Tuesday, September 30, 2008

Syawal kesinambungan tarbiah jiwa sepanjang Ramadan

Oleh Penulis Khas YaPEIM

SAHABAT Rasulullah SAW, Anas pernah menceritakan bagaimana Rasulullah SAW mendapati penduduk Madinah bergembira dalam dua hari. Lantas Baginda SAW bertanya kepada mereka mengenai dua hari itu.

Mereka menjawab bahawa mereka menyambut perayaan dan bergembira pada hari itu mengikut amalan jahiliah. Baginda SAW menyatakan bahawa Allah sudah menggantikan dua hari itu dengan hari yang lebih baik iaitu Hari Raya Korban dan Hari Raya Fitrah.

Perkataan hari raya disebut juga dengan ‘ayd’ yang merujuk kepada suatu keadaan di mana seseorang itu kembali mengecapi suasana kegembiraan setiap tahun dan memastikan bahawa ia sentiasa mengulang-ulang kegembiraan tersebut. Jadi apabila digandingkan kalimah `ayd al-fitrah ia memberi maksud kembali kepada fitrah yang suci.

Dengan kata lain, seseorang itu menyatakan kegembiraannya mengecapi sesuatu yang fitrah, suci dalam dirinya. Ia adalah kesinambungan daripada proses pentarbiahan dan penyucian jiwa sepanjang bulan Ramadan dengan melakukan segala ketaatan kepada Allah.

Kedatangan hari raya menjadikan umat Islam dapat bergembira atas taufik Allah yang dikurniakan kepadanya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang mereka rayakan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya dengan membawa bersama puasanya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah)

Ia menunjukkan apabila mereka berbuka puasa setiap hari, mereka akan bergembira. Begitu juga apabila selesai menyempurnakan fardu puasa selama sebulan pada Ramadan dan menyambut hari raya, mereka bergembira buat kali kedua.

Kegembiraan yang disambut itu bagaimanapun adalah kegembiraan bersumberkan taufik Ilahi kepada mereka yang menjunjung titah perintah Allah sepanjang Ramadan. Nikmat ketaatan itu terzahir pada peluang dan ruang dikurniakan Allah kepada mereka untuk mengerjakan ibadah puasa dan menunaikan solat sunat pada waktu malam Ramadan yang mulia.

Justeru, kemunculan hari raya adalah untuk menyempurnakan kegembiraan yang baru saja selesai mengerjakan ibadah puasa pada Ramadan. Maka tidak hairanlah pada hari lebaran, orang mukmin akan bergembira dengan taufik Allah.

Ini bertepatan firman Allah yang bermaksud: “Katakan dengan kelebihan dan nikmat Allah, dengan itu maka bergembiralah kamu. Ia adalah lebih baik dari apa harta yang kamu kumpulkan.” (Surah Yunus, ayat 58)

Walau bagaimanapun, umat Islam tidak boleh bergembira secara solo atau bersendirian pada hari yang mulia sebaliknya, kegembiraan itu perlu dikongsi dengan orang lain terutama yang bertaraf miskin dan fakir.

Justeru, Islam mensyariatkan zakat fitrah yang wajib bagi setiap individu Muslim, anak dan isteri yang termasuk di dalam tanggungannya walaupun dia juga dikategorikan sebagai miskin. Islam mengkehendaki setiap Muslim membiasakan diri untuk menafkahkan hartanya sama ada ketika susah atau senang dan membiasakan diri menjadi penyumbang. Walaupun dia sendiri fakir, tetapi tetap menjadi penyumbang.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Zakat diberikan orang kaya akan digunakan Allah untuk membersihkan dirinya dari dosa. Manakala zakat orang miskin akan dikembalikan kepadanya oleh Allah dengan jumlah yang lebih banyak dari apa yang diberikannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam Abu Daud)

Pada hari raya, setiap individu Muslim yang berjaya menyempurnakan perintah Allah pada Ramadan layak bergembira. Kegembiraan dan kesyukuran yang dirayakan itu, bagaimanapun, tidak boleh disambut dengan melakukan perkara bercanggah ajaran Islam.

Sambutan hari raya dalam Islam tidak perlu dimeriahkan dengan program berlandaskan tuntutan hawa nafsu. Hari raya perlu dimulakan dengan takbir dan solat sunat hari raya. Ia menunjukkan hari raya mempunyai hubungan rapat dengan makna dan tuntutan ibadah dalam Islam.

Pada hari raya itu mempunyai makna rabbani, hubungan dengan Allah. Bukanlah ertinya hari raya yang sebenar jika ada beranggapan boleh melakukan apa saja tanpa mengira batasan agama. Pada hari raya juga tidak bermakna seseorang Muslim memutuskan hubungan dengan Allah.

Kita perlu membetulkan suatu kefahaman bahawa tamatnya bulan Ramadan, maka tamatlah hubungan mereka dengan masjid, solat berjemaah, solat sunat dan membaca al-Quran.

Barangkali inilah yang dikatakan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi ketika menyindir kelakuan sesetengah umat Islam yang beranggapan sedemikian dengan katanya: “Sesiapa yang menyembah Ramadan, maka Ramadan telah pergi. Tetapi sesiapa yang menyembah Allah maka Dia sentiasa hidup tanpa mati.”

Justeru, tidak hairanlah kita melihat fenomena di tanah air apabila berada pada awal Ramadan, masjid dan surau penuh sesak dengan jemaah yang datang beribadah, tetapi apabila Ramadan mula melabuhkan tirainya, makin susut pengunjung masjid.

Jika kita menginsafi bahawa Ramadan adalah bulan terbaik untuk mentarbiah diri dan hati dengan makna keimanan, ketakwaan dan mencari kelebihan yang ada di sisi Allah, kita tidak akan dapati seseorang itu boleh memutuskan hubungannya dengan Allah walaupun Ramadan berlalu pergi.

Dia percaya bahawa latihan yang diterima pada Ramadan menjadikan dirinya terus membuat hubungan dengan Allah selepas Ramadan. Dia tidak akan memutuskan hubungan mesranya dengan Penciptanya.

Barangkali ada benarnya kata-kata salafussoleh bahawa seburuk-buruk kaum ialah kaum yang hanya kenal Allah pada Ramadan saja. Kita hendaklah menjadi rabbani sepanjang masa dan waktu, bukan menjadi orang yang melakukan ketaatan hanya pada Ramadan.

YaPEIM mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin kepada semua muslimin dan muslimat, marilah kita menyambut hari raya dengan penuh kesyukuran dan keinsafan, mudah-mudahan Allah menambah lagi nikmat kepada kita, keluarga, masyarakat dan negara tercinta.

Bersederhana segala aspek gambaran akhlak terpuji

Oleh Mohd Adid Abd Rahman

ISLAM menuntut setiap insan supaya berusaha mengejar dan mencari sedapat mungkin keperluan bagi menyempurnakan sebuah kehidupan sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti. Cara paling sesuai dianjurkan Islam ialah dengan bersederhana.

Pada masa sama, perlu ada keseimbangan supaya kedua-dua tuntutan dunia dan akhirat dapat disempurnakan sebaiknya seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Beramallah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu, seolah-olah kamu akan mati besok pagi.” (Hadis riwayat Ibn Asakir)

Kehidupan di dunia dan akhirat hendaklah seimbang kerana kejayaan kehidupan akhirat bergantung kepada kejayaan hidup di dunia terutama dalam mencari reda Allah. Tidak boleh berat sebelah timbangan kerana ini akan menimbulkan ketidakseimbangan.

Oleh itu, tidak boleh ditumpukan kepada keperluan hidup di dunia semata-mata sehingga terlupa untuk mencari keperluan hidup di akhirat dan begitulah sebaliknya, tidak boleh ditumpukan kepada keperluan hidup di akhirat semata-mata hingga terlupa mencari keperluan hidup di dunia sekarang.

Mengambil jalan bersederhana dalam segala hal menggambarkan satu gambaran akhlak yang sangat murni dan terpuji. Sifat inilah yang sentiasa menghiasi kehidupan Rasulullah SAW sehari-hari sepanjang perjalanan hayatnya.

Sewajarnya sebagai umatnya, kita perlu mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dengan cara mengamalkan sifat sederhana dalam semua perkara. Ia satu tindakan terbaik dan pilihan paling tepat bagi seorang Muslim.

Rasulullah SAW pernah mengakui bahawa sederhana dalam segala aspek itu adalah bagus seperti sabda Baginda bermaksud: “Sebaik-baik perkara adalah tengah-tengahnya (sederhana).” (Hadis riwayat Baihaqi)

Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan jangan pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu.” (Surah al-Isra’, ayat 110)

Kesederhanaan tidak terhad kepada perbelanjaan saja, tetapi perlu dititikberatkan dalam semua aspek kehidupan termasuk dalam percakapan, pergaulan, beribadat, berpakaian dan menguruskan kerjaya serta kehidupan peribadi.

Namun, dalam suasana hari ini, bersederhana dalam perbelanjaan sangat penting bagi menseimbangkan ekonomi keluarga selepas berbelanja menyambut Hari Raya.

Ini sebagai persediaan melalui hari mendatang sementara menanti gaji akan datang kerana sepanjang Syawal ini kita masih perlu berbelanja untuk pergi bekerja sementara anak juga hendak diberi wang saku ke sekolah.

Sesungguhnya pembaziran itu perbuatan syaitan. Allah dengan nada tegas melarang manusia membazir. Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu menghamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros itu saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 26-27)

Lantaran itu, Islam menganjurkan supaya kita berjimat cermat dalam perbelanjaan, tidak boros dan tidak suka bermewah dengan tujuan bermegah-megah.

Bersederhana dalam perbelanjaan juga bermakna tidak boleh kedekut, kikir atau terlalu `berkira’. Ia penyakit hati yang perlu dikikis sebelum merebak parah. Lantaran apabila kedekut sudah menguasai diri, maka dia akan menjadi orang yang sombong, mementingkan diri sendiri, tidak mahu bersyukur dengan kurniaan Allah.

Firman Allah bermaksud: “Sekali-kali janganlah orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurniaan-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Tetapi kebakhilan itu buruk bagi mereka, harta yang mereka bakhilkan akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat.” (Surah ali-Imran)

Menyalurkan perbelanjaan pada tempat yang sesuai dengan kehendak agama dan diredai Allah juga dikira sebagai bersederhana dalam perbelanjaan. Misalnya menyumbangkannya untuk kesejahteraan keluarga sendiri, untuk pembinaan masjid, pembelaan anak yatim dan orang lemah.

Orang yang murah hati atau dermawan akan pasti dihormati dan disanjungi masyarakat walaupun itu bukan dipinta olehnya, bahkan mendapat balasan sewajarnya daripada Allah seperti firman yang bermaksud: “Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, nescaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup dan sedikitpun kamu tidak akan dianiaya.” (Surah al-Baqarah, ayat 272)

Sesungguhnya bersederhana itu akan memberi kesan positif kepada diri seperti lahirnya sifat tenang dan sabar dalam jiwa, menjadi manusia berdisiplin dan bertanggungjawab baik. Orang yang bersederhana akan memperoleh kejayaan sama ada di dunia serta akhirat.

Aidilfitri bukan suatu adat, wajar dipenuhi ibadat

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

IBADAT puasa di bulan Ramadan diibaratkan suatu ‘institusi’ atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa. Bukan saja menahan lapar dahaga juga mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa.

Malah disiplin institusi ini amat tinggi sehinggakan bukan saja di hadapan umat Islam berpuasa, tetapi apabila bersendirian juga amalan ini masih utuh. Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah.

Manifestasi kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat tarawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi. Hampir sebulan mengikuti institusi Ramadan, kini tiba pula masa untuk meraikan Hari Raya.

Jelas kegirangan dan kegembiraan tersemat dalam hati Muslimin dan Muslimat sekalian kerana kemenangan di hari yang mulia ini. Pelbagai persiapan diadakan bagi menyambut hari itu dan selalunya kanak-kanak yang paling gembira ketika hari raya.

Dari segi bahasanya, Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa. Tatkala Aidilfitri, umat Islam suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan telah membersih segala dosa.

Namun tidak kurang juga kita yang kecundang dan gagal mendapat ‘ijazah’ dari madrasah Ramadan ini apabila mereka juga kembali kepada ‘fitrah’ iaitu sikap negatif yang diamalkan sebelumnya. Mereka kembali kepada kehidupan penuh dosa dan menindas golongan lemah. Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran Allah.

Pada hari kemenangan ini, jangan dilupa golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mesti diutamakan di samping mengeratkan silaturahim sesama umat Islam. Golongan kurang bernasib baik ini juga berhak merayakan Aidilfitri seadanya.

Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Patuhi peraturan lalu lintas dan utamakan keselamatan. Moga-moga selepas berhari raya kita dapat kembali ke tempat kerja masing-masing dengan selamat. Agama Allah memerlukan kita meneruskan perjuangan menegakkan kalimah-Nya di muka bumi ini sesuai dengan peranan sebagai khalifah.

Aidilfitri bukanlah suatu adat, tetapi ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia suatu ibadat, adalah wajar hari besar ini dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah. Bukanlah tidak boleh berseronok, tetapi tujuan utamanya untuk mengabdikan diri kepada Allah janganlah dikesampingkan.

Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim, ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya adalah tergelincir dari apa dianjurkan Islam. Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini, tetapi dalam sukatan dan kadar tidak menjurus kepada pembaziran. Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam dan membantu golongan memerlukan.

Ramai juga di kalangan umat Islam tidak mahu keluar rumah mengunjungi sanak saudara. Hal sedemikian seolah-olah menjadi budaya masyarakat Islam di Malaysia. Ia berlaku kerana umat Islam khususnya di kalangan muda mudi menumpukan perhatian kepada rancangan hiburan disediakan.

Bukanlah penulis mengatakan hiburan patut diharamkan di hari raya, tetapi rancangan disajikan itu menghakis semangat Hari Raya itu sendiri. Apatah lagi rancangan disajikan itu pula disiarkan pada waktu prima, sudah tentu muda mudi lebih tertarik kepada rancangan itu berbanding perkara lain. Malah golongan pertengahan dan yang berusia juga kadangkala terpengaruh dengan rutin ini.

Seperti lazimnya, Syawal akan dipenuhi program rumah terbuka yang menyajikan pelbagai juadah dan makanan. Ada kalanya sehinggakan kita tidak dapat memenuhi jemputan yang datang.

Dari sudut pembaziran makanan pun sudah cukup menyedihkan kita, apatah lagi jika dikaji kesan produktiviti, betapa lama masa yang diluangkan menghadiri majlis berkenaan. Bukanlah tujuan penulis menyanggah apa dilakukan sekian lama ataupun menyarankan ia diberhentikan, tetapi biarlah dalam semua tindakan itu dibuat dengan berpada-pada dan tidak disifatkan sebagai suatu pembaziran.

Malah, oleh kerana terlalu banyak rumah terbuka meraikan Aidilfitri, ada kalanya kita tidak berkesempatan menunaikan tuntutan agama seperti berpuasa enam. Berpuasa enam hari pada Syawal amatlah dituntut dalam Islam.

Dalam keghairahan meraikan Aidilfitri, sewajarnya kita merenung sejenak apakah kita akan berjumpa lagi Ramadan akan datang? Apakah pula persiapan kita menemui Tuhan Maha Pencipta? Kebeningan Ramadan sudah pasti dirindui dan syahdunya menunggu Ramadan tahun hadapan. Tiada janji pasti kita akan bertemunya lagi. Segala-galanya terserah kepada qada’ dan qadar-Nya.

Apa juga tindakan yang ingin kita lakukan, sewajarnya renung terlebih dulu sama ada sesuatu tindakan itu mempunyai asas hukum syarak atau sebaliknya. Segala perbuatan kita hendaklah mempunyai susur galur kepada sumber perundangan Islam sebenar.

Janganlah hanya mengikut tanpa memahami nas atau dalil sesuatu perkara. Jika kita tidak berkemampuan mendapatkan ilmu daripada sumber asal tanyalah guru yang mursyid bagi membimbing kita.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli PGSM, peguam syarie, penyokong perjuangan PGSM dan seluruh Muslimin dan Muslimat sekalian.

Bagi pihak pimpinan PGSM, penulis menyusun sepuluh jari mohon keampunan di sisi-Nya dan kemaafan zahir dan batin terhadap segala kesilapan yang dilakukan sama ada dalam keadaan sedar ataupun sebaliknya.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.org

Monday, September 29, 2008

Rai Aidilfitri sebagai ibadat, bukan adat

Oleh Lokman Ismail


AIDILFITRI masa untuk mengunjungi sanak saudara dan bermaafan.

Islam larang sambut 1 Syawal berlebih-lebihan dengan niat untuk menunjuk

UMAT Islam akan meraikan Aidilfitri iaitu hari kebesaran penuh kemuliaan yang dihadiahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW atas kejayaan berpuasa Ramadan selama sebulan.

Islam menganjurkan Aidilfitri disambut penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan. Sesuai dengan kedudukannya sebagai hari yang mulia, sambutan Aidilfitri perlu mengikut tuntutan syariat.

Meraikan Aidilfitri adalah satu ibadat. Oleh itu, ia berbeza dengan Aidilfitri yang disambut lebih sebagai adat. Setiap ibadat mengikut apa disyariatkan, sedangkan adat mengikut kebiasaan diamalkan sejak turun temurun dalam masyarakat.

Sambutan Aidilfitri bermula sebaik berakhir ibadat puasa Ramadan apabila kelihatan anak bulan Syawal. Perkara utama perlu dizahirkan sebagai tanda bermula sambutan Aidilfitri ialah melaungkan gema takbir membesarkan Allah membuktikan ketaatan dan tunduk kepada-Nya dengan penuh ikhlas.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sempurnakanlah ibadat puasa kamu mengikut bilangan hari dalam bulan Ramadan (29 atau 30 hari), serta bertakbirlah (membesarkan Allah) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Amalan bertakbir dari satu rumah ke satu rumah, selain di masjid seperti diamalkan di sesetengah tempat memang baik. Selain mengucapkan kalimah kebesaran, dapat juga merapatkan silaturahim sesama penduduk. Ketika itu juga terbuka peluang untuk menghulurkan tangan bermaafan dan membantu mana yang perlu.

Amalan itu perlu dilakukan dengan tertib dan ikhlas. Jangan hanya bertandang ke rumah tertentu dengan tujuan tertentu juga. Ada yang menyertai kumpulan takbir sekadar suka-suka dan berpeluang mengintai anak gadis.

Malam Aidilfitri adalah malam ibadat yang menyediakan kelebihan tersendiri. Berpandukan maksud sebuah hadis menjelaskan bahawa sesiapa beribadat pada dua malam hari raya, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha, maka hatinya tidak akan mati pada saat hati orang lain mati.

Banyak orang yang menyertainya sembahyang sunat tasbih, taubat dan hajat yang diadakan di masjid. Amalan itu memang amat baik untuk menghidupkan malam Aidilfitri. Malang sekali banyak yang turut serta tanpa memahaminya.

Dikatakan ibadat itu hanya tertentu pada malam Aidilfitri, sedangkan ia boleh dilakukan sepanjang tahun. Individu yang tidak turut serta dipandang serong kerana dianggap tidak melakukan sesuatu yang 'wajib' pada malam hari raya.

Pada pagi Aidilfitri disunatkan mandi seperti amalan Rasulullah. Kemudian sunat menghiasi diri dengan pakaian terbaik yang dimiliki serta mengenakan wangian.

Maksud pakaian terbaik bukan semesti baru dibeli atau dijahit. Tetapi di kalangan masyarakat kita berpegang kepada maksud itu memaksa semua orang berpakaian baru dengan alasan itu tuntutan agama. Mereka bukan membuat sepasang baju baru untuk dipakai pada pagi hari raya, tetapi hingga empat atau lima pasang.

Sebelum turun rumah menuju ke masjid atau tempat lapang untuk menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri, disunatkan juga menjamah sedikit makanan tanda tidak lagi berpuasa dan bersyukur dengan nikmat dianugerahkan Allah. Pada hari Aidilfitri diharamkan berpuasa.

Diriwayatkan Bukhari dan Ahmad, daripada Anas katanya: "Nabi Muhammad SAW makan beberapa biji tamar sebelum keluar pada pagi Aidilfitri dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil."

Rasulullah SAW ketika menuju ke masjid menggunakan jalan lain dan ketika pulangnya pula melalui jalan lain. Melalui jalan berbeza adalah bertujuan supaya dapat bertemu dengan ramai jiran yang tinggal di sepanjang jalan itu. Ketika bertemu disunatkan mengucapkan salam dan tahniah.

Sembahyang sunat Aidilfitri perlu dilambatkan sedikit, sedangkan solat Hari Raya Korban perlu disegerakan. Melewatkan solat Aidilfitri bertujuan memberi masa bagi sesiapa yang belum mengeluarkan zakat fitrah yang wajib ditunaikan sebelum solat Aidilfitri.

Sebenarnya sambutan hari raya hanya pada 1 Syawal sementara pada 2 Syawal dan hari seterusnya dibenarkan berpuasa ganti dan sunat. Di kebanyakan negara Arab, Aidilfitri hanya disambut sehari atau kalaupun sambutan masih diteruskan hanya untuk dua atau tiga hari.

Bagaimanapun, tidak dilarang untuk terus melakukan sambutan Aidilfitri selagi apa yang dilakukan tidak bertentangan syariat. Semangat kunjung mengunjung wajar diperbanyakkan. Jika hanya sehari tentu tidak banyak rumah yang dapat dilawati. Apa lagi jika membabitkan jarak perjalanan yang jauh.

Namun apa yang ditakuti ialah kecenderungan masyarakat kita beraya sakan sepanjang Syawal. Ada yang mengaitkan sebagai tuntutan agama. Jika berpuasa sepanjang bulan Ramadan, maka dikatakan sepanjang Syawal pula untuk berhari raya.

Perlu ditegaskan, beraya sepanjang Syawal bukan dianjurkan Islam. Ia adalah adat, tetapi tidak salah untuk diamalkan. Apa yang penting kefahaman kita mengenainya dan bagaimana sambutan dilakukan.

Mengadakan rumah terbuka dan amalan ziarah sempena Aidilfitri amat digalak bagi merapatkan hubungan yang renggang akibat pada hari lain semuanya sibuk dengan urusan masing-masing.

Ketika menghadiri rumah terbuka perlu ikhlas, bukan mengharapkan tuan rumah akan 'membalas' dengan datang ke rumah kita pula. Tuan rumah perlu melayan tetamu dengan perasaan ikhlas dan tidak bertujuan menunjuk-nunjuk hidangan disediakan.

Begitu juga dengan amalan menziarah tanah perkuburan ketika hari raya. Sebenarnya masa untuk melawat tanah perkuburan tidak hanya pada hari raya. Sepatutnya, pada hari raya kita mengutamakan melawat orang yang masih hidup dan bukan orang sudah mati.

Jika benar kita ingin melakukan perkara baik berkaitan melawat kubur ahli keluarga elok dilakukan pada waktu lain, ketika tidak sibuk dengan urusan lain. Bacaan Yasin, tahlil dan doa untuk si mati boleh dilakukan di mana saja dan tidak terhad di kubur.

Sambut Aidilfitri ini dengan sederhana. Islam melarang perbuatan melampau dan membazir. Bergembira keterlaluan mudah mengundang kelalaian. Lebih baik kita tumpukan perhatian kepada tugas seharian yang perlu dilakukan untuk kebaikan semua.

Kebanyakan amalan yang dilakukan dalam masyarakat kita adalah adat. Sebab itu penting kita memperbetulkan niat dan mengetahui perkara sebenar supaya apa yang dilakukan termasuk dalam ibadat dan bukan sekadar melaksanakan adat. Setiap amalan bergantung kepada niatnya.

Menyambut Aidilfitri dengan amalan mulia lebih bermakna dan mendatangkan keberkatan. Jangan jadikan ia sekadar adat dan bertujuan untuk bergembira semata-mata. Takut nanti falsafah hari raya sekadar sia-sia dan hanya mendapat kepuasan nafsu semata-mata. INFO: Cara rai Aidilfitri

Perkara utama perlu dizahirkan sebagai tanda sambutan Aidilfitri ialah melaungkan takbir membesarkan Allah membuktikan ketaatan kepada-Nya dengan ikhlas.

Pada pagi Aidilfitri disunatkan mandi seperti amalan Rasulullah. Kemudian sunat menghiasi diri dengan pakaian terbaik serta mengenakan wangian.

Sebelum sembahyang sunat Aidilfitri, disunatkan juga menjamah sedikit makanan tanda tidak lagi berpuasa dan bersyukur dengan nikmat Allah.

Mengadakan rumah terbuka dan amalan ziarah sempena Aidilfitri amat digalak bagi merapatkan hubungan yang renggang akibat pada hari lain semuanya sibuk dengan urusan masing-masing.

Melawat tanah perkuburan tidak hanya pada hari raya, sepatutnya pada hari raya kita mengutamakan melawat orang yang masih hidup.

Sambut Aidilfitri dengan sederhana kerana Islam melarang perbuatan melampau, membazir dan bergembira keterlaluan akan mengundang kelalaian.

Syawal didik diri mohon maaf

Oleh Saidul Amin Usman

Dosa sesama manusia tidak diampuni Allah selagi kedua belah pihak enggan bermaafan terlebih dulu

MANUSIA tidak luput daripada salah, khilaf dan dosa. Namun sebaik-baik orang yang berbuat salah dan dosa adalah mereka yang cepat kembali kepada Allah seraya memohon ampun kepada-Nya.

Ini yang dikatakan Allah dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya taubat di sisi Allah itu adalah orang yang melakukan dosa kerana kebodohan dan kekhilafan mereka. Lalu mereka bertaubat dengan segera. Maka mereka itulah yang diterima taubatnya." (Surah al-Nisa', ayat 17)

Sayyid Qutb dalam tafsirnya, Fi Zilal al-Quran menyatakan bertaubat dalam waktu yang dekat adalah bertaubat sebelum meninggal dunia atau memasuki sakaratul maut. Sebab hakikatnya manusia sangat dekat dengan kematiannya dan mereka tidak mengetahui bila akan meninggal dunia. Untuk itu mereka harus sentiasa bersiap-siap untuk menghadapi kematian yang boleh datang bila-bila masa saja.

Syeikh Mustafa al-Maraghi dalam tafsir al-Maraghi menyatakan, bertaubat dalam waktu yang dekat bermakna seseorang yang melakukan dosa akibat kebodohan dan kelalaian harus bertaubat seberapa segera mungkin apabila sedar akan kesalahan yang dilakukannya.

Namun Sayyid Qutb dan al-Maraghi bersepakat, taubat yang diterima Allah adalah mereka yang bertaubat dari lubuk hati yang dalam dan ceruk jiwa yang suci. Mereka menyesali perbuatan itu serta berusaha sekuat tenaga untuk tidak melakukannya di masa akan datang. Ertinya Allah menerima taubat manusia bergantung kepada niat tulus ikhlas manusia itu.

Dosa manusia pada hakikatnya dapat dibahagi kepada dua, dosa kepada Allah dan dosa kepada manusia. Dosa kepada Allah dapat dihilangkan dengan beberapa cara. Dosa kecil dapat dihapuskan dengan beristighfar kepada Allah dan dosa biasa dapat dihapus dengan ibadat.

Dosa besar haruslah diselesaikan dengan taubat kecuali amalan syirik. Perbuatan itu dosanya tidak akan diampunkan sehingga seseorang itu meninggalkan semua anasir syirik seperti firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan dia akan mengampuni dosa selain itu." (Surah al-Nisa', ayat 48)

Namun sesungguhnya dosa yang paling berat itu adalah dosa di antara manusia dengan manusia. Sebab dalam masalah ini Allah tidak ikut campur sebelum manusia itu menyelesaikannya terlebih dulu.

Hal itu dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW daripada Anas bin Malik yang bermaksud: "Kezaliman itu terbahagi kepada tiga. Pertama kezaliman tidak diampunkan Allah. Kedua kezaliman diampunkan Allah dan ketiga kezaliman yang Allah tidak ikut campur dalam hal itu. Kezaliman tidak diampunkan Allah adalah syirik. Kezaliman diampunkan Allah adalah dosa manusia ke atas dirinya dan tuhannya. Kezaliman yang Allah tidak ikut campur adalah dosa di antara manusia dengan manusia, sehingga mereka menyelesaikannya terlebih dulu."

Allah tidak akan mengampunkan dosa seorang hamba kepada hamba yang lain sebelum kedua belah pihak menyelesaikan permasalahan mereka terlebih dulu. Jika tidak, pada akhirat nanti mereka akan saling menuntut balas dan membayar dosa dengan kebaikan atau memindahkan dosa orang dizalimi kepada yang menzalimi.

Pada hari itu mahkamah dipimpin Allah Maha Adil. Maka tidak ada sedikit pun kezaliman yang tidak dibalasi dan tidak ada sebesar zarahpun kebaikan kecuali akan diperlihatkan.

Oleh sebab itu meminta maaf ke atas dosa dilakukan kepada orang lain adalah sesuatu keharusan yang mesti dilakukan sebab meminta maaf di dunia jauh lebih mudah daripada harus membayar kesalahan itu pada akhirat kelak. Tidak seorang pun yang dapat membayangkan bagaimana dahsyat dan hebatnya alam akhirat.

Namun Islam adalah agama penuh kasih sayang. Maka setiap Muslim dianjurkan untuk memberi maaf sebelum orang meminta maaf. Sebab memberi maaf itu lebih dekat kepada ketakwaan seperti firman Allah yang bermaksud: "Dan jika kamu memberi maaf, maka itu lebih dekat kepada takwa." (Surah al-Baqarah, ayat 237)

Walaupun memberi maaf itu bukanlah sesuatu kewajipan, namun memberi maaf memiliki nilai yang sangat besar di sisi Islam. Orang yang memaafkan selepas diminta maaf akan mendapatkan pahala memaafkan dan pahala daripada kezaliman ke atasnya.

Namun orang yang memaafkan sebelum diminta maaf akan mendapat keuntungan sangat besar, iaitu ketenangan jiwa di dunia dan balasan berlipat ganda pada akhirat kelak, jauh melebihi nilai kezaliman yang dimaafkan itu.

Sempena mengakhiri Ramadan yang suci dan memasuki Syawal mulia sewajarnya kita membuka pintu maaf untuk siapa saja. Berikan ruang dalam hati untuk saling memaafkan kerana itu lebih utama daripada menyimpannya berlarutan di jiwa.

Semangat Ramadan kawal bara kemarahan

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

IBADAT puasa bukan saja perlu dilaksanakan dengan hati ikhlas kerana Allah, bahkan kita juga dituntut menjaga tingkah-laku atau akhlak sepanjang Ramadan. Kata Luqman al-Hakim: "Agama dan akhlak adalah sendi ketakwaan."

Salah satu akhlak yang harus dijauhi sepanjang Ramadan ini ialah marah. Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menyatakan selain hawa nafsu, marah adalah kesempatan emas bagi syaitan untuk menyesatkan manusia.

Menurut Imam al-Ghazali pula, marah berpunca daripada secebis api neraka yang menyala. Kepanasan itu naik ke sudut hati lalu bersembunyi menjadi bara yang diliputi abu. Bara itu menetap di hati seperti api dalam sekam. Apabila terjadi sesuatu tidak menyenangkan, maka meletuslah bara itu lalu menjadi api yang bernyala.

Syaitan akan mengambil kesempatan apabila ada anak cucu Adam yang mula hendak marah dengan menghasut mereka menerusi urat pendawaian yang boleh dihubungi oleh hasutan syaitan. Akhirnya tercetuslah kemarahan apabila api dalam hati marak menyala bagai gunung berapi.

Dalam banyak keadaan marah boleh mendatangkan perkara buruk. Apabila seseorang itu marah, ia dibantu oleh syaitan. Syaitan adalah musuh utama manusia yang berjanji kepada Allah untuk menggoda dan memesongkan anak cucu Adam.

Hal ini jelas dinyatakan melalui firman Allah yang bermaksud: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus.” (Surah al-Araf, ayat 16)

Mujahid menceritakan syaitan berkata: “Aku tidak dapat dilemahkan oleh anak Adam pada tiga perkara. Salah satu perkara itu ialah apabila orang itu marah, dia akan berkata apa yang tidak diketahuinya dan melakukan sesuatu perkara yang dikesalnya.”

Walaupun perasaan marah itu banyak dihasut oleh syaitan, ada waktunya perasaan itu boleh diredakan dengan kita mengalihkan pemikiran kita kepada Allah yang sentiasa melihat kita dan apa yang kita lakukan.

Ingatlah, Allah tidak menyukai hamba-Nya berakhlak buruk, apatah lagi kesan dari akhlak buruk itu boleh mendatangkan perkara tidak baik. Kaedah cukup baik untuk menurunkan api kemarahan yang bergelora dalam diri ialah dengan mengambil wuduk untuk menyejukkan kemarahan yang membara dalam dada.

Sesungguhnya apabila kita menjauhkan diri daripada mengamalkan sikap marah atau orang yang suka marah, kita sebenarnya menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah.

Hal itu dinyatakan Rasulullah SAW kepada seorang lelaki bertanya Baginda: “Wahai Rasulullah! Apakah sesuatu yang lebih berat? Dijawab Rasulullah SAW: Kemurkaan Allah! Lelaki itu bertanya lagi: Apakah sesuatu yang dapat menjauhkan aku daripada kemurkaan Allah? Rasulullah SAW menjawab: Jangan marah.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu `Amr)

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang, Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Selain dapat menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah, hikmah dan beruntungnya orang yang tidak marah ini ialah dapat masuk syurga seperti diceritakan Abu Darba bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Saya bertanya, Wahai Rasulullah! Tunjukkanlah saya amalan yang boleh membawa saya masuk ke dalam syurga! Lalu Baginda menjawab: Jangan marah.” (Hadis riwayat Ibnu Abid-Dunya dan At-Tabrani)

Daripada Imam Hasan, dinyatakan bahawa ada empat orang dilindungi Allah dari syaitan dan diharamkan masuk neraka. Menurut Imam Hasan, orang yang mengekang dirinya dari kecintaan, kebencian, nafsu syahwat dan marah.

Mengelak rasa marah bukan saja pada Ramadan tetapi sepanjang waktu perlu mengawal emosi supaya tidak lekas marah. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang cepat marah dan suka marah.

Perlu diingat, marah itu bara api syaitan yang menjunam ke dalam hati manusia dan syaitan itu adalah musuh manusia nombor satu. Jauhkan diri kita daripada sifat marah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menahan kemarahannya dan dapat melaksanakannya, nescaya Allah akan memanggilnya di hadapan manusia ramai dan menyuruhnya memilih di antara bidadari yang dikehendakinya.” (Hadis riwayat Ibnu Abid-Dunya, Ahmad, Abu Daud dan at-Tarmizi)

Sunday, September 28, 2008

Ulul Albab: Ramadan, Aidilfitri didik umat bertakwa

Bersama Abdurrahman Haqqi


BERSEDEKAH antara cara menzahirkan rasa kesyukuran kepada Tuhan.


Orang berpuasa lebih sempurna kejayaannya jika dihiasi dengan kesyukuran kepada Tuhan

ESOK umat Islam akan melihat anak bulan Syawal 1429 Hijrah (H). Jika melihatnya maka pada Selasa umat Islam akan menyambut hari kemenangan melawan hawa nafsu mereka, Aidilfitri. Jika tidak, maka hari yang diharap-harapkan oleh mereka akan jatuh pada Rabu. Bagaimanapun, dalam kedua-dua senario ini Aidilfitri akan menjelma dan umat Islam akan gembira.

Tujuan disyariatkan puasa pada Ramadan adalah agar orang yang melaksanakan ibadat puasa itu akan menjadi orang yang bertakwa seperti tersurat dalam ayat 183 surah al-Baqarah. Dan sifat ketakwaan makro boleh kita dapat pada awal Surah sama iaitu maksudnya: "Iaitu orang yang beriman kepada perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang yang beriman kepada Kitab (al-Quran) yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan kitab yang diturunkan terdahulu daripada mu serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang yang berjaya." (Ayat 3-5)

Ia bermakna orang yang berpuasa akan menjadi graduan dengan ijazah takwa dan dia termasuk dalam golongan berjaya. Kejayaannya itu akan sempurna jika dihiasi dengan bersyukur kepada yang memberi nikmat untuk melaksanakan puasa sepanjang Ramadan.

Bersyukur menurut Imam Ghazali dalam bukunya Ihya 'Ulumiddin adalah memanfaatkan potensi anugerah Allah berikan untuk melaksanakan amal kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Ketika anda dalam keadaan sihat badan dan fikiran kemudian anda menggunakannya untuk melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka anda menjadi orang yang bersyukur.

Ketika anda diberikan rezeki kemudian anda membelanjakannya untuk melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka anda menjadi orang bersyukur.

Ketika anda memperoleh ijazah takwa kemudian anda menggunakannya untuk melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka anda menjadi orang yang bersyukur.

Dalam bertadarus al-Quran tahun ini, penulis terpegun dengan pendedahan ayat sucinya yang mana dalam surah Ghafir atau al-Mukmin bersyukur dikaitkan dengan nikmat, manakala kejadian alam semesta dikaitkan dengan ilmu, alam minda dikaitkan dengan zikir dan keadaan akhirat dikaitkan dengan iman.

Ayat itu bermaksud: "Demi sesungguhnya, menciptakan langit dan bumi (dari tiada kepada ada) lebih besar (dan lebih menakjubkan) daripada menciptakan manusia dan menghidupkannya semula (sesudah matinya); akan tetapi kebanyakan manusia (yang mengingkari hari kiamat) tidak mengetahuinya. Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang celik, dan juga tidaklah sama orang-orang yang beriman serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan. (Meskipun hakikat ini jelas nyata, tetapi) sedikit sangat kamu beringat dan insaf.

Sesungguhnya hari kiamat tetap akan datang, tidak ada sebarang syak mengenai kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (akan hakikat itu)… Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada seluruh manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (Ayat 57-59, 61)

Bersyukur adalah berterima kasih dan nikmat bererti enak, sedap, lazat, kurnia, anugerah dan sebagainya. Kedua-duanya sama-sama berasal dari bahasa Arab. Syukur nikmat ertinya berterima kasih atas suatu anugerah atau pemberian. Dalam hal ini nikmat datang daripada Allah SWT. Dan nikmat yang paling berharga adalah nikmat iman dan Islam yang mana takwa adalah natijahnya.

Apabila kita perhatikan jenis atau macam nikmat kita boleh mengkategorikannya ke dalam dua jenis iaitu pertama nikmat fizikal atau jasmani yang dirasai oleh tubuh kita seperti nikmat sihat, nikmat makanan dan minuman, dan nikmat bersetubuh. Dan kedua nikmat mental atau rohani yang dirasai oleh roh atau jiwa kita seperti nikmat ilmu pengetahuan, nikmat akal fikiran dan nikmat perasaan.

Bagi menzahirkan kesyukuran, kita boleh melakukannya dengan beberapa cara termasuk pertama bersyukur dengan hati dan perasaan seperti menghindari perilaku buruk yang dibenci Allah dan manusia termasuk kikir, fasik, mungkar, keji, dendam, sombong, takbur, munafik dan sebagainya; selalu ingat kepada Allah SWT dan juga mengingat mati dan memiliki perasaan cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya melebihi apapun juga.

Kedua bersyukur dengan mulut dan ucapan seperti terbiasa membaca al-Quran atau tadarus; menyebarkan dan mengajarkan ilmu yang dimiliki; selalu ingat Allah dengan berzikir di manapun dan bila-bila masa dengan mengucapkan tahlil, tahmid, istiqhfar, hauqalah, takbir, ta'awwuz, dan sebagainya dan sentiasa berdoa kepada Allah untuk mendoakan diri sendiri, keluarga, kerabat, musuh dan lain-lain.

Ketiga bersyukur dengan amal perbuatan seperti melakukan ibadat solat lima waktu; melaksanakan ibadat puasa wajib dan sunat; melaksanakan semua perintah Allah SWT dan menjauhi semua larangan-Nya dan melaksanakan ibadat zakat serta haji jika mampu dan memenuhi syarat.

Keempat, bersyukur dengan harta benda seperti membantu orang yang memerlukan pertolongan kewangan; menabung di bank Islam; membangunkan mushala, masjid, sekolah, jambatan dan sebagainya dan menderma.

Jadi, sebagai tanda syukur kita kepada Allah yang menjadikan kita orang yang bertakwa menerusi pensyariatan puasa Ramadan, maka sudah sewajarnya kita memanfaatkan ketakwaan itu untuk mengikhlaskan hidup dan mati kita untuk-Nya. Kita kembalikan rasa syukur kita ini kepada Allah dan jangan kita mencemarinya dengan perbuatan bercanggah dengan sifat syukur kepada-Nya.

Kita sebagai orang yang mengaku Tuhan kita adalah Allah, perlulah membezakan diri kita dalam bersyukur dengan sifat seekor anjing. Sebagai contoh, sebuah rumah ada tuan rumah, orang gaji dan seekor anjing. Setiap hari tuan rumah menyuruh orang gaji memberi makan kepada anjing. Sedari itu, setiap kali anjing melihat dan berjumpa orang gaji, pasti akan digoyang-goyangkan kakinya, goyang-goyang ekor menunjukkan tanda suka seekor anjing. Tetapi apabila tuan rumah datang, maka si anjing tadi akan menyalak, sedangkan yang sebenarnya yang memberi makan adalah tuan rumah terbabit. Maka, jika kita tidak bersyukur pada Allah, mungkin boleh disamakan dengan anjing.

Jika kita bersyukur di atas ketakwaan yang diberikan kepada kita oleh Allah maka ketakwaan kita akan bertambah sebagaimana tersirat dalam ayat yang bermaksud: "Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepadamu." (Surah Ibrahim: 7)

Oleh itu, sebagai wujud kesyukuran kita kepada Allah pada Aidilfitri ini dan pada hari berikutnya sampai Ramadan kembali lagi, kita mestilah menjauhi perkara yang membatalkan ketakwaan kita seperti membazirkan harta dan masa, menolak permohonan maaf dan tidak mengendahkan ajaran Islam. Sebaliknya kita mesti membebaskan diri daripada dibelenggu tipu daya syaitan yang terkutuk. Taqabbalallahu ta'atakum! INFO: Cara umat zahir kesyukuran

Bersyukur dengan hati dan perasaan seperti menghindari perilaku buruk yang dibenci Allah dan manusia termasuk kikir, fasik, mungkar, keji, dendam, sombong, takbur, munafik dan sebagainya.

Bersyukur dengan mulut dan ucapan seperti biasa membaca al-Quran atau tadarus; menyebarkan dan mengajarkan ilmu yang dimiliki.

Bersyukur dengan amal perbuatan seperti melakukan ibadat solat lima waktu; melaksanakan ibadat puasa wajib dan sunat; melaksanakan semua perintah Allah SWT dan menjauhi semua larangan-Nya dan melaksanakan ibadat zakat serta haji jika mampu dan memenuhi syarat.

Bersyukur dengan harta benda seperti membantu orang yang memerlukan pertolongan kewangan; menabung di bank Islam; membangunkan mushala, masjid, sekolah, jambatan dan sebagainya dan menderma.

Jadi, sebagai tanda syukur kita kepada Allah yang menjadikan kita orang yang bertakwa menerusi pensyariatan puasa Ramadan, maka sudah sewajarnya kita memanfaatkan ketakwaan itu untuk mengikhlaskan hidup dan mati kita untuk-Nya. Kita kembalikan rasa syukur kita ini kepada Allah dan jangan kita mencemarinya dengan perbuatan bercanggah dengan sifat syukur kepada-Nya.

Persoalan Agama: Umat digalak qiyamullail hidupkan malam Aidilfitri

Bersama Jakim

Islam garis amalan sunat rai hari raya tanda syukur nikmat Ilahi, erat persaudaraan

Soalan:

Selain solat sunat Aidilfitri, apakah cara menyambut Aidilfitri mengikut syariat Islam?

Ishak Alang Ahmad
Kuala Kangsar, Perak

Jawapan:

Aidilfitri atau hari raya fitrah ialah salah satu hari raya dalam Islam selain Aidiladha. Antara perkara sunat yang digalakkan pada atau sebelum hari raya ialah:

Menggalakkan berjaga pada malam (qiyamullail) hari raya dengan melakukan ibadah seperti sembahyang sunat, zikir, membaca al-Quran dan memperbanyakkan istighfar.

Sabda Nabi SAW "Sesiapa yang menghidupkan (beribadah) malam hari raya fitrah dan hari raya korban dengan mengharapkan keredaan Allah, nescaya tidak mati hatinya pada hari yang mati semua hati" (Kasyaf al-Qina). Doa pada malam hari raya adalah mustajab.

Pada pagi hari raya juga disunatkan mandi hari raya, memakai bau-bauan , mencuci mulut, gigi serta memakai pakaian yang baik bagi lelaki sebagai qiyas pada Jumaat untuk menyatakan nikmat Allah dan bersyukur kepada-Nya.

Pada hari raya fitrah, hendaklah menjamah makan sebelum keluar bersembahyang sunat seperti buah kurma dan dimakan dengan bilangan ganjil.

Menunaikan kewajipan zakat fitrah sebelum sembahyang atau ditunaikan beberapa hari sebelum hari raya bagi membolehkan fakir menggunakannya pada hari raya.

Ibnu Abbas berkata: "Rasulullah SAW memfardukan zakat fitrah sebelum sembahyang bagi membersihkan orang berpuasa daripada kesilapan dan percakapan yang keji, dan untuk memberi makan fakir miskin, maka sesiapa menunaikannya sebelum sembahyang, maka ia adalah zakat yang diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas sembahyang, maka ia adalah salah satu daripada sedekah." (Muttafaq Alaih).

Memperbanyakkan sedekah iaitu lebih daripada kebiasaan menurut keupayaan masing-masing terutama kepada kaum kerabat.

Memberi senyuman dan menunjukkan kegembiraan kepada orang mukmin dan menziarahi keluarga serta sahabat handai di kampung halaman sebagai menandakan kegembiraan serta mengeratkan hubungan persaudaraan dan kasih mesra antara satu sama lain.

Persoalan Agama: Kajian Dr Masaru bukti air dibaca ayat al-Quran

Soalan:

Menjelang peperiksaan seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tidak lama lagi, sesetengah sekolah atau ibu bapa mengadakan majlis baca Yasin dan air yang diletakkan pada majlis itu untuk diminum pelajar yang bakal menduduki peperiksaan. Apakah pandangan tuan mengenai amalan ini?

Bapa Ingin Tahu
Ampang, Selangor

Jawapan:

Air itu boleh dikatakan sebagai air penawar atau dikenali juga dengan air penerang hati bergantung kepada niat atau hajat yang diperlukan.

Membaca al-Quran adalah ibadah dan amalan ini memberi pahala kepada si pembacanya serta memberi berkat kepada orang di sekitarnya seperti air yang diletakkan di sisinya.

Berikutan penggunaan air sebagai medium, ia adalah benda hidup yang dapat memahami dan berinteraksi dengan persekitarannya.

Oleh kerana 70 peratus tubuh kita terdiri daripada unsur air, bererti ketika kita membaca, mendengar al-Quran atau air yang dibaca ayat al-Quran akan membentuk susunan dan molekul yang teratur dan sempurna yang dapat membantu memperbetulkan fungsi dalaman tubuh bagi menenangkan jiwa dan bertindak seperti niat dan tujuan kita.

Perkara ini boleh dirujuk kepada kajian Dr Masaru Emoto dari Jepun yang sudah membuktikan secara ilmiah bahawa air yang dibacakan doa atau perkataan yang baik atau muzik yang merdu akan membentuk struktur molekul yang nampak halus dan indah.

Jika diperdengarkan kepada air itu perkataan yang buruk serta muzik yang kasar, maka ia membentuk molekul yang tidak seimbang dan hodoh.

Justeru, molekul air dapat berubah dan mengikut aura persekitaran lalu membentuk seperti apa yang berlaku di sekelilingnya seterusnya memberi kesan kepada manusia.

Kesimpulannya, membaca dan minum air Yasin dengan niat yang baik boleh diamalkan kerana termasuk usaha dan ikhtiar di samping usaha lain yang perlu juga dilaksanakan bagi mencapai matlamat dan cita-cita yang baik dan cemerlang.

Persoalan Agama: Puasa enam, qada boleh serentak

Soalan:

Apakah hukum puasa sunat enam hari pada Syawal dan kelebihan melakukannya. Bolehkah puasa ini dilakukan serentak dengan puasa qada?

Ridzuan Abdullah
Port Dickson, Negeri Sembilan

Jawapan:

Puasa enam hari pada Syawal adalah sunat. Ia boleh dilakukan secara terpisah tetapi jika dilakukan secara berturutan lebih afdal. Kelebihan melakukannya seumpama sabda Rasulullan SAW “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam Syawal, itu bererti puasa sepanjang tahun” (Riwayat Muslim)

Malah, puasa enam juga terhasil walaupun seseorang melakukan puasa qada atau nazar.

Saturday, September 27, 2008

Kesibukan dunia bukan alasan remehkan ibadah

Oleh Hashim Ahmad


DIRIKAN solat yang menjadi tiang agama untuk mendapat keredaan Allah. - Gambar hiasan


Umat Islam mesti utamakan suruhan Ilahi supaya tidak dibelenggu hawa nafsu

BISIKAN petunjuk yang melekat pada fikiran dan perasaan seseorang salih hasil usahanya yang bersungguh untuk membangun iman dan mewujudkan amal salih. Petunjuk Allah mengarah jiwa insan salih ke arah mencari keredaan-Nya.

Daripada Abu Hurairah, katanya: "Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah berfirman dalam hadis qudsi: "Barang siapa memusuhi kekasih-Ku, maka Aku memberitahu padanya bahawa ia akan Kuperangi, Kumusuhi. Dan tidaklah seseorang hamba-Ku itu mendekat pada-Ku dengan sesuatu yang amat Kucintai lebih daripada apabila ia melakukan apa yang telah Kuwajibkan padanya. Dan tidaklah seorang hamba-Ku itu mendekatkan pada-Ku dan melakukan hal sunnah sehingga akhirnya Aku mencintainya. Maka apabila Aku mencintainya, Akulah sebagai telinganya yang ia gunakan untuk mendengar, Akulah matanya yang ia gunakan untuk melihat, Akulah tangannya yang dia gunakan untuk mengambil dan Akulah kakinya yang ia gunakan untuk berjalan. Andai kata ia meminta sesuatu pada-Ku, pastikan Kuberi dan andai kata memohonkan perlindungan pada-Ku, pasti Kulindungi." (Hadis riwayat Bukhari)

Apabila anak Adam pada zaman ini melazimi ibadah wajib dan sunat seperti dituntut Allah serta ditunjukkan melalui kehidupan Rasulullah SAW, maka akan tumbuh iman dalam dirinya untuk hidup bahagia dan selamat.

Ramai orang meremehkan jalan hidup Rasulullah SAW disebabkan mereka terbelenggu dengan kesibukan. Bilangan manusia bertambah tetapi tidak ramai yang memahami tujuan hidup dan bagaimana menjalani hidup selamat serata bahagia. Masing-masing mengisi hidup dengan cara sendiri sesuai dengan hawa nafsu. Masyarakat tradisional suka dengan acara tradisi dan amalan yang diyakini membawa kepada kejayaan hidup di dunia serta akhirat.

Ada juga umat beragama membuat upacara ibadah dan amalan sendiri padahal ia bukan tuntutan Allah dan Rasul-Nya. Semua itu di hadapan Allah sebagai sia-sia. Firman Allah yang bermaksud: "Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) daripada urusan agama itu, maka ikuti syariat itu dan jangan kamu ikuti hawa nafsu orang yang tidak mengetahui." (Surah al-Jasiyah:18)

Kesibukan mengharungi kehidupan dan jadual aktiviti dunia menyebabkan manusia sering bingung apakah perkara yang perlu diutamakan supaya dapat mencontohi Rasulullah SAW yang berjaya melaksanakan tugas keduniaan dan pada masa sama tidak melupakan tuntutan akhirat. Mereka yang mendapat petunjuk Allah akan mengutamakan perkara yang mendekatkan diri kepada-Nya serta berusaha mencari keredaan-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Maka hadapkan wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetap atas) fitrah Allah yang menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwa kepada-Nya serta dirikanlah solat dan janganlah kamu termasuk orang yang mempersekutukan Allah." (Surah ar-Rum: 30-31)

Perlu disedari kehidupan di dunia dan akhirat adalah milik Allah semata. Apabila manusia mengutamakan kecintaan selain Allah, maka Allah dapat berbuat segala sesuatu kepada umat manusia di muka bumi. Firman Allah yang bermaksud: "Jika penduduk negeri beriman dan bertakwa, Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya. Apakah penduduk negeri itu rasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka di malam hari pada waktu mereka sedang tidur? Atau apakah penduduk negeri itu rasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada waktu matahari naik ketika mereka sedang bermain? Maka apakah mereka rasa aman daripada azab Allah (yang tidak terduga). Tiada yang rasa aman daripada azab Allah kecuali orang yang merugi." (Surah al-A'raf: 96-99)

Ancaman Allah ini dijadikan orang beriman yang solih untuk lebih mengutamakan jadual Allah, daripada jadual lain. Mereka lebih mencintai Allah daripada yang lain. Kepentingan itu kemudian disebarkan kepada umat lain ke arah mencari kebahagiaan.

Ramadan bulan bersihkan jiwa, peribadi

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Ibadah puasa mendidik manusia mengekang keinginan kepada kejahatan

MANUSIA pada asal kejadiannya adalah makhluk yang suci bersih, tidak ternoda, apatah lagi berdosa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapanyalah yang menjadikannya sama ada Yahudi, Majusi atau Nasrani." (Hadis riwayat Bukhari)

Bagaimanapun, faktor persekitaran yang mewarnai pentas kehidupan kemudian mempengaruhi keperibadian serta perjalanan hidup manusia sehingga ada di kalangan mereka Muslim dan bukan Muslim. Inilah yang dikatakan Rasulullah SAW.

Fitri atau fitrah bermaksud suci, bersih dan tidak ternoda. Fitrah manusia pada asal usul kejadiannya adalah suci kerana ia berasal dari Zat yang Maha Suci iaitu Allah. Oleh kerana kesucian manusia itulah maka Allah memuliakan manusia berbanding makhluk lain di alam semesta.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami memuliakan anak Adam; dan Kami beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan laut; dan Kami memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik serta Kami lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’, ayat 70)

Kelahiran manusia yang pada asal kejadiannya suci akhirnya berubah menjadi personaliti yang memiliki pelbagai ragam perangai dan perwatakan. Ada di kalangan mereka teguh mempertahankan kesuciannya dengan menjunjung Islam sebagai cara hidupnya yang lengkap.

Tidak kurang juga kalangan yang berubah menjadi manusia berdosa dan berbuat jahat seketika tetapi sempat bertaubat lalu menyucikan dirinya bernaung di bawah kalimat Allah. Lebih malang lagi, ada juga yang berbuat jahat dan berdosa, namun tidak mahu membersihkan diri malah terus bergelumang dengan lembah dosa sehingga kematian datang menjemputnya pada kemudian hari.

Begitulah warna kehidupan pasti dilalui setiap manusia di alam maya ini. Perlu diinsafi bahawa dunia ini adalah seumpama tempat bercucuk tanam yang bakal menentukan arah dan hala tuju manusia ke tempat asalnya semula iaitu kembali kepada Allah.

Dalam hal ini, orang yang selalu berusaha membersihkan dirinya daripada noda dosa, maka dia akan bertemu dengan Allah dalam keadaan bersih dan suci seperti asal kejadiannya yang bersifat fitrah.

Sebaliknya orang yang memiliki jiwa kotor, maka dia pula akan menghadap Allah dalam keadaan kekotoran jiwanya. Sedangkan Allah tidak akan menerima manusia yang kotor jiwanya.

Firman Allah yang bermaksud: “(Setelah diterangkan akibat orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang yang beriman dan beramal salih akan disambut dengan kata-kata: Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredai (di sisi Tuhanmu)! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-Ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Surah al-Fajr, ayat 27-30)

Demikian titik penghujung perjalanan kehidupan manusia yang akhirnya kembali ke hadrat Ilahi. Perjalanan hidup manusia sarat pelbagai ujian dan aneka godaan dengan tujuan melahirkan hamba Allah yang suci dan bersih hatinya serta mantap imannya kepada Allah Maha Esa.

Oleh itu, ibadat puasa dilaksanakan selama sebulan Ramadan oleh setiap Muslim adalah medium terbaik untuk membimbing orang beriman ke arah jalan kesucian yang diredai Allah. Ini kerana ibadat puasa berupaya mengembalikan manusia meraih kesucian kerana puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum.

Malah, ibadat puasa dihayati dengan penuh keimanan dan pengharapan untuk mengekang segala keinginan kotor hawa nafsu yang sentiasa mengintai peluang menjerumuskan manusia ke lembah kesesatan dan kancah dosa.

Justeru, berpuasa pada tahap itu adalah wahana paling efektif untuk meraih kembali kesucian jiwa yang sudah sekian lama ternoda oleh pelbagai jenis dosa yang menghimpit hidup manusia. Nafsu pada bulan puasa perlu dikekang pada tahap maksimum demi menjejaki kesucian diharapkan. Ketika nafsu sudah dapat dikawal, maka jiwa sendirinya akan mudah terisi dengan sinaran cahaya Ilahi yang suci.

Orang berpuasa yang berjaya dalam ibadat pada hakikatnya telah meraih kebahagiaan sejati kerana sudah menemui kembali kesucian diimpikannya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang berpuasa itu memiliki dua kegembiraan atau kebahagiaan; iaitu pertama, kegembiraan ketika berbuka puasa, dan kedua, kebahagiaan ketika bertemu dengan Allah pada hari akhirat kelak.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Pendek kata, seorang Muslim mengecapi kebahagiaan selepas berjaya menyucikan jiwanya dengan berpuasa. Serentak itu, dia juga merasa bahagia dengan kesucian jiwanya itu yang akan mempertemukan dengan Allah pada hari akhirat kelak.

Kesabaran menahan lapar mampu bentuk sikap ketika memandu

Oleh Masmawi Abdullah

UMAT Islam melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah kerana berjaya mengakhiri ujian Ramadan tahun ini dengan cemerlang. Kegembiraan dan kesyukuran hakiki tidak dapat dirasai kecuali bagi mereka yang berjaya memantapkan keimanan dan ketakwaan selepas menjalani ibadat puasa.

Harapan kita, semua nilai yang ada dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ramadan itu pada awalnya rahmat, pada pertengahannya keampunan dan pada akhirnya bebas daripada api neraka, diperoleh mereka yang berpuasa."

Menjadi kebiasaan masyarakat Islam di negara ini untuk pulang bercuti ke kampung pada Aidilfitri terutama bagi mereka yang bertugas di perantauan. Seolah-olah tidak lengkap jika tidak berhari raya di kampung bersama ibu bapa serta sanak saudara.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan kerana terpaksa bertugas seperti pasukan beruniform, sumbangan kuih-muih sewajarnya disegerakan sebagai tanda ingatan dan penghargaan atas pengorbanan mereka.

Namun, dalam keghairahan merasai suasana 'balik kampung', kadang-kadang kita tidak sedar ada pihak yang cuba mengaut keuntungan daripada semangat orang ramai yang ingin balik kampung.

Ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjual tiket pengangkutan awam dengan harga tidak munasabah.

Mereka memanipulasikan keadaan itu dengan membeli tiket dalam jumlah banyak dan menjual balik dengan harga berlipat ganda. Perbuatan itu bertentangan dengan semangat dan tanggungjawab untuk membantu memeriahkan suasana berhari raya.

Selain itu, sikap pemandu dan pengguna jalan raya juga kadang-kadang menyimpang daripada semangat hari raya iaitu bertimbang rasa, hormat menghormati dan kasih sayang. Sering kali kegopohan, ego dan mementingkan diri sendiri ketika memandu menjadi punca menyumbang kepada kecelakaan jalan raya.

Kita hendaklah sentiasa berwaspada, hati-hati dan bersabar ketika berada di jalan raya kerana angka kecelakaan sering meningkat pada musim perayaan.

Sebaiknya nasihat daripada pihak berkuasa diberi perhatian selain memberi kerjasama dengan memandu secara berhemah.

Matlamat diadakan program peringatan mengenai keselamatan di jalan raya adalah tuntutan fardu kifayah demi memastikan keselamatan pengguna terjamin selain mendisiplinkan pemandu supaya menghormati undang-undang serta hak pemandu lain.

Usaha murni pihak berkuasa juga bertujuan melancarkan perjalanan pengguna jalan raya yang sudah mula sibuk merancang perjalanan balik kampung memandangkan sekolah sudah mula bercuti mulai Isnin depan.

Walaupun negara kita memiliki sistem lalu lintas yang terbaik, namun ketika musim perayaan seperti ini jalan raya yang besar dan luas tidak lagi dapat menampung limpahan lalu lintas yang serentak menyerbu jalan raya untuk ke destinasi masing-masing.

Berita kemalangan atau tragedi menimpa pengguna jalan raya seperti tahun lalu hendaklah dijadikan iktibar kerana pastinya kita tidak mahu kegembiraan ahli keluarga untuk menyambut Aidilfitri bertukar sedih kerana sikap tidak berhati-hati kita.

Oleh itu, dalam semangat berkobar-kobar untuk menyambut Aidilfitri dan bertemu keluarga di kampung, jangan hilang fokus.

Di jalan raya tidak kurang dugaannya dan hendaklah dihadapi dengan ketenangan serta kesabaran.

Puasa mendidik kita bersabar menahan lapar dan sepatutnya kesabaran itu dikekalkan ketika memandu.

Biar lambat asalkan selamat hendaklah menjadi pegangan setiap pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan ini.

Firman Allah yang bermaksud: "Usahlah kamu mendedahkan diri kamu kepada kebinasaan." Jika kita leka, lalai, gelojoh, bermakna kita membawa diri kita ke arah kebinasaan iaitu maut.

Memandu terlalu laju, menggunakan jalan raya secara tidak berhemah, mementingkan emosi serta perasaan sendiri tanpa mempertimbangkan orang lain adalah antara yang menempah kepada kebinasaan.

INFO:

Sikap berhemah di jalan raya

Pemandu dan pengguna jalan raya mesti bertimbang rasa, hormat menghormati dan kasih sayang.

Elak bersikap gopoh, ego dan mementingkan diri sendiri ketika memandu bagi mengelak menjadi punca menyumbang kepada kecelakaan jalan raya.

Sentiasa berwaspada, hati-hati dan bersabar ketika berada di jalan raya kerana angka kecelakaan sering meningkat pada musim perayaan.

Mukjizat bantu Nabi Ilyasa', Zulkifli kembalikan akidah umat

Oleh Hasliza Hassan

PROGRAM Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah meneruskan kembara dengan menyingkap kisah dua lagi nabi iaitu Nabi Ilyasa’ dan Zulkifli. Kehidupan Nabi Ilyasa’ amat ringkas. Baginda suka memakai pakaian biasa, bertongkat dan memiliki pembantu bernama Jihza yang setiap masa bersama dan menguruskan keperluan Baginda.

Ketika Nabi Ilyasa’ mengembara untuk menziarah makam Nabi Ayub, iblis menyesatkan Baginda dan hasrat menziarahi makam itu tidak kesampaian.

Ketika memimpin kaumnya, Nabi Ilyasa’ diberi Allah pelbagai mukjizat. Selepas pulang dari Timur Jordan melihat Nabi Ilyias diangkat Allah ke langit, Baginda mendiami Jericho seketika. Penduduk mengadu sumber air mereka rosak, berbau dan tidak boleh diminum.

Nabi Ilyasa’ berdoa kepada Allah dan selepas itu mencampakkan beberapa ketul garam ke dalam mata air. Berkat mukjizat Baginda, mata air itu menjadi bersih dan kembali tawar sesuai untuk diminum.

Nabi Ilyasa’ meninggalkan Jericho menuju ke Baitul Ilah. Penduduk di sana menyembah berhala menyuruh anak mereka mengejek Nabi Ilyasa’ dengan memanggil Baginda, si Botak. Ketika itu keluar dua binatang buas dari hutan berhampiran lalu menerkam kanak-kanak itu hingga membawa maut.

Sejak itu, penduduk kampung menghormati Nabi Ilyasa’ dan tidak lagi mengejeknya. Nabi Ilyasa’ kembali menemui Allah selepas memimpin kaumnya ke arah keimanan dan ketakwaan.

Nabi Zulkifli dikatakan ialah Ilyias bin Yasin, cicit Nabi Harun sementara ada pula mengatakan Baginda ialah Yusa’ bin Nun, Nabi Halqiya dan pendapat lain, Nabi Zulkifli ialah Uwaidaya bin Adrim. Baginda diberi gelaran Zulkifli bermakna ‘yang sanggup memikul tugas.

Nabi Zulkifli diberi tugas mengembalikan seorang raja yang gagah perkasa ke pangkal jalan dan bertaubat kepada Allah. Jika raja itu sanggup bertaubat, Allah janjikan kepadanya syurga. Baginda membawa surat kepada raja itu dan selepas menerimanya, dia bertaubat serta beriman kepada Allah.

Nabi Zulkifli dikatakan hidup pada zaman seorang nabi bani Israel. Selepas nabi itu tua dan tidak lagi berupaya memimpin dia mencari penggantinya. Sesiapa yang sanggup memenuhi tiga syarat akan menggantikannya sebagai pemimpin.

Nabi Zulkifli sanggup melakukannya dan selepas nabi itu wafat, Allah melantiknya menjadi nabi. Ketika berdakwah mengembalikan akidah kaumnya, Nabi Zulkifli juga menghadapi pelbagai cabaran. Namun berkat kesabaran, Baginda berjaya memulihkan akidah kaumnya dan mereka kembali ke pangkal jalan.

Friday, September 26, 2008

Baitulmaqdis jadi rebutan penganut tiga agama samawi

Oleh Hasliza Hassan

Pemerintahan Nabi Sulaiman adalah zaman kegemilangan kerajaan Israel. Ketika itu mereka berpegang teguh kepada agama dan tidak menyekutukan Allah.

Namun, selepas itu mereka menjauhkan diri daripada agama, malah mensyirikkan Allah dengan menyembah berhala Ba'al.

Kerajaan bani Israel berkecai semula. Mereka menjadi lemah, tidak berupaya mempertahankan diri dan tewas dalam peperangan. Kaum mereka sering menjadi tawanan perang dan Baitulmaqdis ditawan musuh silih berganti.

Pada 70 Masihi, Raja Rom, Titus mengepung Baitulmaqdis sehingga bani Israel kebuluran dan dihalau keluar dari Palestin. Pada 135 Masihi, Maharaja Adrianus membina semula Baitulmaqdis tetapi dibakar Parsi pada 614 Masihi.

Baitulmaqdis kemudian diserah kepada Khalifah Umar al-Khattab dan orang Islam memanggilnya Al-Qadsi. Pada 1099 Masihi tentera Salib menawannya daripada umat Islam, tetapi Salahuddin al-Ayubi merampasnya kembali pada 1187. Baitulmaqdis kemudian jatuh ke tangan Kerajaan Turki Alkhawarizmi dan Turki Othmaniah.

Al-Qudsi atau nama asalnya Jerusalem adalah bandar suci penganut Yahudi, Kristian dan Islam.

Bagi penganut Yahudi, di situlah rumah ibadah yang dibina Nabi Sulaiman iaitu Haikal Sulaiman. Bagi penganut Kristian, di situ juga Kanisah Al Qiamah sementara bagi umat Islam, terletaknya Masjid al-Aqsa.

Nabi Sulaiman wafat pada 933 Sebelum Masihi selepas memerintah Israel 40 tahun. Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah yang meneruskan catatan mengenai Nabi Sulaiman dalam episod kali ini turut mengimbau sejarah Baitulmaqdis, iaitu bandar tua Baitulmaqdis yang menjadi ibu negara Palestin dulu.

Nama Jerusalem diberi suku kaum Amuri yang membina bandar itu berdasarkan nama tuhan mereka Syalim. Yurusyalim membawa erti bandar yang diasaskan oleh tuhan Syalim.

Baitulmaqdis menyimpan banyak sejarah selain Makam Nabi Daud, batu tergantung di Masjid Qabbah Assakhrah serta gua yang menjadi tempat Rasulullah SAW bersembahyang ketika Israk dan Mikraj.

Turut dipertontonkan ialah rumah ibadat yang dibina Nabi Sulaiman iaitu Haikal Sulaiman di atas Bukit Muria atau Bukit Muriah yang memakan masa tujuh tahun untuk disiapkan.

Zakat fitrah amalan bersih diri, santapan fakir

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir


ZAKAT fitrah diwajibkan kepada semua umat Islam yang memenuhi syarat.


Rukun Islam keempat wajib ditunai sebelum solat Aidilfitri, didik ummah tak terlalu sayang harta

SEBELUM Ramadan yang mulia dan penuh ganjaran pahala ini meninggalkan kita, satu tanggungjawab yang patut dilaksanakan ialah membayar zakat fitrah. Setiap umat Islam wajib membayarnya mulai sekarang dan waktu afdal ialah selepas sembahyang Subuh akhir Ramadan.

Selewat-lewatnya sebelum menunaikan sunat Aidilfitri di masjid. Membayar zakat fitrah itu dianggap makruh dan haram sesiapa membayarnya selepas terbenam matahari pada Aidilfitri.

Daripada Umar katanya: "Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada Ramadan kepada semua orang Islam, lelaki, perempuan, orang yang merdeka atau hamba, satu sha' kurma atau gandum." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tujuan membayar zakat fitrah adalah menyucikan diri yang berpuasa daripada kata dan perbuatan keji. Kehidupan ini sentiasa terdedah dengan perbuatan atau perkara yang boleh mendatangkan dosa, apatah lagi jika kita berniaga.

Kita mungkin tidak sedar sumber kewangan dalam perniagaan diperoleh daripada jalan tidak bersih dan haram seperti terjual barang haram, tersalah kira, menjual barang kurang bermutu atau luput tarikh. Pendapatan daripada sumber itu dianggap tidak bersih dan haram.

Apabila mengeluarkan zakat, bererti kita mengeluarkan harta daripada sumber pendapatan yang tidak bersih itu. Yang tinggal adalah harta yang bersih dan halal seperti firman Allah bermaksud: "Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka." (Surah at-Taubah, ayat 103)

Islam menggariskan lapan perkara bagi orang yang layak atau boleh menerima zakat fitrah iaitu fakir, miskin, mualaf, riqab (budak yang akan memerdekakan diri), orang yang banyak hutang, berjuang di jalan Allah, ibnu sabil dan amil. Sementara orang yang tidak layak dan tidak boleh menerima zakat ialah lima kelompok iaitu kafir, orang yang ada pekerjaan dan harta, dalam tanggungan orang lain, hamba dan keturunan Hashim serta Abdul Mutalib.

Sama ada zakat fitrah atau harta, harus diingat mengeluar atau membayar zakat adalah perintah Allah. Ia antara lima Rukun Islam dan diwajibkan pada tahun kedua hijrah. Firman Allah yang bermaksud: "Dirikanlah sembahyang dan bayarkan zakat hartamu." (Surah an-Nisa', ayat 77)

Dalam sebuah buku dicatat bahawa Ikramah, berkata harta yang daripadanya tidak ditunaikan hak Allah akan menjadi ular yang tidak berambut di kepala pada Hari Kiamat dan mengejar pemiliknya. Dia (pemilik harta itu) akan meminta perlindungan daripadanya.

Diceritakan juga Hajar Ibnu Baian menukilkan sabda Baginda SAW bahawa jika seorang daripada saudara-mara meminta pertolongan daripada harta yang lebih daripada keperluannya dan dia tidak sanggup menolong, maka pada hari hisab harta itu menjadi ular dan membelit jasadnya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan orang yang menyimpan emas dan perak tidak menafkahkan di jalan Allah, maka beritahulah kepada mereka (bahawa mereka akan) mendapat seksa yang pedih." (Surah at-Taubah, ayat 34)

Harta yang dikeluarkan zakat darinya mendapat lebih keberkatan dan si pemilik harta berkenaan mendapat pahala dan hidupnya diberkati Allah. Tentu saja mereka yang ingkar membayar zakat menerima hukuman Allah seperti dinyatakan dalam firman di atas.

Mengeluarkan zakat tanda kita bersyukur kepada Allah atas nikmat-Nya. Sesungguhnya nikmat Allah yang dikecapi kini dan lalu tidak ternilai harganya dan tidak terbalas. Justeru, tidak ada sebab mengapa kita berat hati mengeluarkan zakat yang diwajibkan.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, nafkahkanlah sebahagian daripada rezeki yang sudah Kami berikan kepada kamu." (Surah al-Baqarah: 254)

Daripada Ibnu Abbas katanya: "Rasulullah SAW menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan sia-sia dan perkataan buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum solat hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain." (Hadis riwayat Abu Daud)

Thursday, September 25, 2008

Hak Muslim: Suami juga kena tunggu habis tempoh idah

Jawapan oleh Tuan Musa Awang (Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM))
excopgsm-@yahoo.com

Perceraian elak lelaki salah guna sijil cerai untuk kahwin lain dan rujuk semula

Soalan:

SAYA dan isteri bercerai pada Ogos lalu. Dua minggu selepas tarikh cerai, saya ke Jabatan Agama Islam untuk mendapatkan sijil cerai. Saya ingin bernikah dengan wanita lain. Malangnya, saya dimaklumkan oleh kakitangan bertugas bahawa saya juga perlu beridah seperti bekas isteri. Saya menjadi keliru dengan kenyataan itu. Adakah kaum lelaki juga perlu beridah? Setahu saya edah itu khusus untuk wanita atau isteri saja. Harap dapat penjelasan.

Hamba yang keliru,
Pulau Pinang.

Jawapan:

Sebelum menjawab kekeliruan saudara, kita fahami dulu definisi, kategori dan hikmah idah menurut syarak. Idah ialah tempoh masa menunggu bagi isteri yang diceraikan suami. Hikmah idah adalah untuk menentukan rahim isteri bersih daripada benih bekas suaminya.

Dalam perceraian talak raj'i, idah memberi peluang kedua-dua pihak berfikir semasak-masaknya, apakah perceraian yang berlaku itu memberi manfaat untuk mereka atau sebaliknya.

Idah terbahagi dua iaitu idah isteri yang kematian suami dan idah isteri bercerai hidup. Tempoh idah isteri yang kematian suami ialah jika isteri mengandung maka idahnya selepas melahirkan anak dan jika tidak mengandung, idahnya selama empat bulan sepuluh hari sama ada disetubuhi suami semasa hidup atau tidak.

Idah isteri yang bercerai hidup pula ialah jika mengandung maka idah tamat selepas kelahiran bayi dan jika tidak mengandung, edahnya ialah tiga kali suci bagi perempuan yang masih datang haid. Jika isteri yang diceraikan masih tidak disetubuhi maka tidak ada idah baginya.

Haram bagi suami bersetubuh dengan bekas isteri yang berada dalam tempoh idah raj'i, kecuali selepas berlaku rujuk. Ketika dalam tempoh idah, suami masih bertanggungjawab memberi nafkah makan minum, tempat tinggal dan pakaian kepada bekas isteri.

Firman Allah yang bermaksud: "Jika mereka itu mengandung maka berikanlah nafkah kepada mereka sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya itu." (Surah at- Thalaq, ayat 6)

Arahan Allah ini ditaqninkan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang memperuntukkan: "Tertakluk kepada hukum syarak, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah isteri atau bekas isterinya."

Balik kepada soalan saudara, secara umumnya memang idah khusus untuk isteri. Tetapi suami juga ada tempoh idah dalam keadaan berikut:

Apabila suami menceraikan isteri dengan talak raj'i dan suami hendak berkahwin dengan perempuan yang haram dihimpunkan bersama dengan isterinya (contoh adik beradik isterinya) maka hendaklah suami menunggu sehingga habis tempoh idah isteri yang ditalak itu.

Jika suami sudah mempunyai empat orang isteri, kemudian menceraikan salah seorang daripadanya dengan talak raj'i, untuk dia berkahwin satu lagi maka dia mesti menunggu isteri yang diceraikan itu habis tempoh idah terlebih dulu.

Dari segi praktik perundangan, suami juga tidak dibenarkan berkahwin dengan wanita lain selagi tempoh idah talak raj'i dengan bekas isteri belum tamat. Jika dia tetap ingin meneruskan hasrat itu, maka dia hendaklah memohon kebenaran berpoligami dari mahkamah.

Ini adalah untuk mengelakkan penyalahgunaan sijil cerai dengan cara memanipulasi fakta dan keadaan. Berlaku kes di mana suami menggunakan sijil cerai itu untuk bernikah dengan wanita lain, tetapi kemudian dia kembali rujuk kepada isterinya yang masih dalam tempoh idah talak raj'i, tanpa memaklumkan kepada bekas isterinya itu bahawa dia sudah berkahwin lain. Akibatnya, dia mempunyai dua isteri pada masa sama. Perkara sebeginilah yang hendak dielakkan pihak berkenaan.

Bagaimanapun, menurut pengalaman saya, sijil cerai masih boleh dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam jika suami membuat satu akuan berkanun bahawa dia tidak akan berkahwin lain sehingga tempoh idah isterinya tamat.

Nasihat saya, saudara sabarlah menunggu sehingga tempoh idah isteri tamat. Manalah tahu, Allah menampakkan hikmah dalam tempoh idah itu, Allah memberi petunjuk wanita itu tidak sesuai untuk saudara? Atau Allah bukakan hati saudara dan bekas isteri untuk kembali semula ke perkahwinan sebelumnya.

Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm-@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blog spot.com

Kuasa, kekayaan tak jejas ketakwaan, iman Nabi Sulaiman

NABI Sulaiman memohon daripada Allah supaya dikurniakan sebuah kerajaan yang besar dan luas. Allah memperkenankan permohonan Nabi Sulaiman itu yang tidak diberikan kepada kerajaan lain selepasnya.

Allah juga mempermudah angin yang bertiup mengikut arahan Baginda. Jika angin diperintah bertiup, nescaya bertiuplah ia dan apabila diperintah berhenti, angin pun berhenti. Baginda juga berupaya memerintah angin bertiup menjadi ribut kencang atau bayu lembut yang nyaman.

Baginda boleh mengarahkan angin bertiup membawa awan dan menurunkan hujan di kawasan kering dan gersang dalam wilayahnya. Bumi gersang itu pun bertukar subur menghijau membawa kemewahan kepada petani.

Pada waktu negara jiran mengalami kemarau panjang, negara Israel mewah dengan air hujan yang dibawa awan. Ribut taufan menjadi bala tentera Baginda ketika bertindak memecahbelahkan barisan pertahanan musuh.

Allah juga mempermudahkan jin berkhidmat kepada Nabi Sulaiman dan jin digunakan sebagai buruh lombong tembaga dan bijih besinya. Jin juga bekerja menyediakan perhiasan dan perabot untuk istana dan rumah ibadah Baginda.

Di samping itu, syaitan juga patuh kepada perintah dan arahan Nabi Sulaiman. Syaitan diperintah Baginda untuk menyelam di laut dalam, bagi mengeluarkan mutiara. Begitulah kekuasaan Nabi Sulaiman yang dikurniakan Allah kepadanya.

Nabi Sulaiman juga memahami bahasa serangga seperti semut. Ketika bala tentera Nabi Sulaiman terdiri daripada manusia, jin dan burung sampai di suatu lembah yang dikenali dengan 'Lembah Semut' seekor daripada semut itu mengarahkan semut lain supaya masuk ke sarang masing masing.

Mereka diminta berbuat demikian supaya tidak dipijak oleh bala tentera Nabi Sulaiman yang ramai. Nabi Sulaiman memahami bahasa percakapan semut lalu tersenyum dan ketawa. Lantas memuji Allah, Pencipta Alam yang memberi nikmat kepadanya dan kedua ibu bapanya.

Biarpun diberi Allah kekayaan dan kekuasaan namun Nabi Sulaiman tidak lupa daratan. Malah segala-galanya menjadikan iman dan takwa baginda kepada Allah, bertambah kuat.

Kisah Nabi Sulaiman dan mukjizat dikurniakan Allah kepada Baginda diceritakan dalam program Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah dalam episod 26 di TV9, jam 10.30 malam ini. Penonton juga didedahkan dengan kisah Nabi Sulaiman dengan Puteri Balqis seperti diceritakan oleh al-Quran.

Melalui perkhabaran diterima daripada burung belatuk, ada seorang raja perempuan memerintah negeri Saba' dan mereka menyembah matahari. Lalu Nabi Sulaiman mengutus surat untuk berdakwah kepada pemerintah wanita itu.

Surat Nabi Sulaiman dimaklumkan Puteri Balqis kepada pembesar negara dan walaupun bersedia untuk menghadapi peperangan tetapi Puteri Balqis tidak mahu kerana memikirkan kesannya nanti kepada negara Baginda.

Sebaliknya Puteri Balqis lebih suka mengadakan hubungan baik dengan Nabi Sulaiman lalu mencadangkan supaya dikirim utusan membawa hadiah dan barang barang berharga kepada Baginda.

Nabi Sulaiman menolak hadiah dikirimkan seterusnya memaklumkan bahawa Baginda tidak mengharapkan harta benda. Malah apa diberi Allah kepa-danya jauh lebih baik daripa-da apa yang dimiliki Puteri Balqis.

Menurut pendapat yang masyhur, Nabi Sulaiman memperisterikan Ratu Balqis dan mengasaskan masyarakat Yahudi di negaranya.

Wednesday, September 24, 2008

Terap amalan murni pada Aidilfitri

Oleh Aminudin Mansor

Umat dituntut hidupkan malam raya dengan takbir, tahmid

SELEPAS berjaya menunaikan ibadat puasa dan kini pada penghujung Ramadan, umat Islam akan menyambut Hari Raya Puasa atau Aidilfitri minggu depan dengan penuh kegembiraan dan kejayaan.

Hari Raya Puasa hanya disambut setahun sekali dan tentulah akan disambut dengan penuh meriah. Bagaimanapun, Islam melarang umatnya membazir dan berbelanja secara berlebih-lebihan ketika merayakannya.

Islam menjaga keamanan dalam masyarakat dengan menggalakkan seseorang individu dan masyarakatnya bersatu daripada berada di dunia yang bersifat individualistik. Islam juga menyeru pengikutnya ke arah matlamat luhur.

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah." (Ali-Imran:10).

Oleh itu, umat Islam mestilah merayakan Hari Raya dengan penuh bermakna, melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan dan kemungkaran sewaktu merayakannya.

Amalan pada malam Hari Raya adalah disunatkan supaya membanyakkan amalan bertakbir pada malam hari raya. Takbir ini hendaklah dilakukan di mana saja dan dalam apa saja waktu sekalipun, sama ada selepas solat fardu, ketika menziarahi saudara-mara, di masjid dan sebagainya.

Waktu takbir Aidilfitri bermula dari saat matahari terbenam di akhir bulan Ramadan (awal Syawal) iaitu jika keesokan harinya ialah 1 Syawal. Takbir Hari Raya ada dua cara. Pertama ialah Takbir Mursal iaitu takbir yang dibacakan pada waktu yang tidak mengikut sembahyang. Kedua ialah Takbir Muqaiyyad iaitu takbir yang dibaca selepas sembahyang.

Takbir Hari Raya disunatkan untuk bertakbir sepanjang malam hari raya di mana saja, tidak kira dari rumah ke rumah, masjid, di sepanjang jalan dan sebagainya.

Bagi sesetengah kampung dan tempat, perkara ini sudah menjadi amalan yang baik dan diikuti dengan majlis tahlil serta berkunjung ke rumah jiran atau saudara-mara bagi merapatkan silaturahim.

Amalan dan nilai murni menyambut Hari Raya seperti ini harus dikekalkan. Biasanya anak-anak yang berhijrah ke kota akan pulang ke desa untuk bersama dengan keluarga pada malam Hari Raya.

Malam Hari Raya ini dikenali sebagai malam Lailatul Jaa'izah iaitu malam pengurniaan hadiah. Waktu bertakbir berakhir pada takbiratul ihram sembahyang sunat Aidilfitri.

Sembahyang sunat hari raya disyariatkan dalam tahun pertama hijrah. Dalam hal ini, Anas bin Malik pernah berkata: "Rasulullah SAW datang ke Madinah ketika itu, penduduk Madinah sudah mempunyai dua hari besar yang sentiasa mereka rayakan." Lantaran itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah Tabaraka Wata'ala telah menggantikan yang dua hari itu dengan yang lebih baik bagi kamu, iaitu Hari Raya dan Aidiladha." (Ahmad, Abu Daud, Naasa'ei dan al-Baihaqi)

Allah SWT berfirman yang maksudnya:

"Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa Ramadan), dan hendaklah kamu mengagumkan Allah atas petunjuk yang diberikan-Nya ke pada kamu, supaya kamu bersyukur." (Surah Al-Baqarah : 185)

Jelaslah bahawa Hari Raya adalah hari kebesaran untuk mengagungkan Allah dan bersyukur atas segala nikmat dan petunjuk yang diberikan-Nya. Cara bersyukur yang patut ditunjukkan ialah kesederhanaan dalam apa juga keadaan ketika menyambut Aidilfitri

Amalan dan nilai murni yang patut dilakukan ketika menyambut hari raya ialah menghidupkan malam dengan ibadat. Antara ibadat yang boleh dilakukan dalam menyambut Hari Raya ialah menghidupkan malamnya dengan pelbagai jenis ibadat.

Antara ibadat yang boleh dilakukan ialah banyakkan bertakbir, beristiqhfar dan memuji kebesaran Allah pada malam hari raya itu.

Amalan yang baik untuk menyambut hari raya ialah disuruh mandi, bersugi (menggosok gigi) dan memakai wangi-wangian. Disunatkan menjamah makanan sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya.

Dalam mengerjakan sembahyang Aidilfitri atau berziarah, kita disuruh memakai pakaian yang bersih dan cantik. Hassan bin Ali berkata "Rasulullah SAW. menyuruh kami memakai pakaian yang paling bagus dan baik serta memakai minyak wangi yang paling bermutu bergantung kepada kemampuan kami."

Amalan ini haruslah dilakukan oleh umat Islam kerana ia menunjukkan kebersihan dan kegembiraan ketika menyambut Hari Raya.

Umat Islam juga disuruh pergi menunaikan sembahyang hari raya iaitu setelah selesai mengerjakan sembahyang subuh dan hendaklah bersiap untuk pergi ke masjid. Pelbagai amalan yang baik boleh dilakukan sempena Hari Raya, antaranya mengeratkan hubungan silaturahim dengan berkunjung ke rumah saudara-mara yang lebih tua, sahabat atau jiran.

Menziarahi kubur juga boleh dilakukan pada Hari Raya seperti dilakukan oleh umat Islam di negara ini. Amalan ini juga boleh dilakukan sebelum hari raya.

Ziarah-menziarahi sangat digalakkan dan patut menjadi amalan murni di kalangan umat Islam Al-Alamah Ibnu Rajab telah menukilkan dalam kitabnya Al-Lata'if, katanya: "Orang yang arif telah saling menziarahi antara mereka."

Antara mereka berkata: "Aku ingin berbicara dengan kamu katanya, hari ini adalah hari raya". Kemudian meninggalkan sahabatnya itu dan datang lagi pada hari yang lain. Lelaki itu bertanya kepadanya, "Alangkah banyak Hari Raya kamu." Lalu dikatakan kepadanya: "Gagah perkakasan adakah engkau tidak mengetahui bahawa setiap hari di mana tidak bermaksiat dengan Allah adalah juga hari raya."

Kesimpulannya, sambut Hari Raya boleh dilakukan mengikut tradisi dan budaya Melayu serta berlandaskan Islam dengan melakukan sembahyang sunat Aidilfitri dan kemudian ziarah-menziarahi di kalangan ahli keluarga, sahabat dan juga jiran untuk mengukuhkan lagi ikatan silaturahim dalam kita umat Islam.

Iqra: Tujuh penyakit hati rosakkan peribadi

Oleh Jami’ah Shukri
bhnews@bharian.com.my

JUDUL: Merawat Tujuh Penyakit Hati
Penulis: Syed Mahazir Shariff Ahmad
Penerbit: Pustaka Azhar
Pengulas: Jami'ah Shukri
Harga: RM10

PENYAKIT hati sesuatu yang luas untuk diterjemahkan. Hati tidak saja organ penting kepada manusia malah ia menjadi tempat yang terdedah kepada jangkitan penyakit rohani sekiranya seseorang itu gagal menjaga kesucian hati mereka.

Persoalan penyakit hati menyelubungi manusia yang diperkatakan di dalam buku ini berkisar kepada tujuh, iaitu bangga diri, terpedaya dengan perasaan sendiri, sombong atau bongkak, suka menunjuk, buruk sangka, bakhil dan dendam.

Keseluruhan buku ini membicarakan dengan terperinci mengenai setiap jenis penyakit hati untuk memastikan kita bebas daripada belenggu penyakit hati yang pastinya boleh menghalang menjadi umat Islam sempurna.

Penyakit hati wujud atas pelbagai sebab dan perlu merawatnya dengan sentiasa mengingatkan terhadap nikmat Allah, mendengar al-Quran dan sunnah serta muhasabah diri.

Sesungguhnya, penyakit hati itu saling berkait antara sama sama lain. Jalan yang terbaik seseorang perlu membersihkan diri supaya hati tidak mudah ternoda serta memikirkan perkara yang menjurus kepada kehadiran tujuh penyakit itu serta beramal soleh supaya dijauhi dengan sifat mungkar itu.

Wajib ambil anak angkat dalam situasi tertentu

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Islam tetapkan hukum keadilan bagi pelihara keharmonian nasab, jaga hak harta

ANAK dalam keluarga adalah buah hati belahan jiwa atau penyeri kehidupan. Setiap pasangan yang melangsungkan perkahwinan mengharapkan kelahiran anak sebagai penerusan kepada sebuah keluarga, keturunan dan bangsa.

Namun demikian, tidak semua mahligai perkahwinan dianugerahi Allah dengan anak. Malah, ada yang sehingga menghembuskan nafas terakhir tidak juga dikurniakan cahaya mata walaupun sepanjang hayat mereka pelbagai usaha berubat secara moden mahupun tradisional.

Kebanyakan pasangan yang tidak mempunyai anak akhirnya mengambil keputusan untuk mengambil anak angkat selepas penantian mereka tidak mendatangkan hasil bagi menghilangkan kesunyian dalam rumah tangga mereka.

Anak angkat diambil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, mengambil anak saudara sendiri kerana saudaranya itu miskin serta mempunyai anak ramai ataupun dengan cara mengambil anak luar nikah sebagai anak angkat selepas ibu anak malang itu enggan memelihara anak berkenaan.

Anak angkat sudah dikenali sejak zaman jahiliah sebelum ada risalah Nabi Muhammad SAW. Ketika itu anak angkat dinasabkan kepada bapa angkatnya serta boleh menerima perwarisan. Malahan isteri anak angkat haram dikahwini oleh bapa angkatnya.

Justeru, umumnya anak angkat mendapat hak yang sama seperti anak kandung. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengambil Zaid bin Haritsah bin Syarahil Al-Kalbi sebagai anak angkat sebelum beliau menjadi rasul, sehingga dipanggil dengan nama Zaid bin Muhammad. Tradisi itu berlanjutan dari zaman jahiliah hingga tahun ketiga atau keempat hijrah.

Allah kemudian memerintahkan anak angkat dinasabkan kepada bapa mereka (yang sebenarnya) apabila diketahui. Allah mengharamkan anak angkat dinasabkan kepada bapa angkat secara hakiki, bahkan anak juga dilarang bernasab kepada selain bapa mereka yang sebenarnya.

Allah mengungkapkan hukum itu sebagai bentuk keadilan yang mengandungi kejujuran dalam perkataan, menjaga keharmonian nasab serta menjaga hak harta bagi orang yang berhak memilikinya.

Islam tidak menggalakkan konsep anak angkat tanpa sebarang ikatan diiktiraf. Berbeza dengan anak susuan, anak angkat adalah dikira sebagai orang asing dalam rumah, maka semua batasan aurat perlu dijaga seperti wanita di luar rumah.

Ia adalah fenomena tidak sihat menurut Islam. Jika seseorang tahu statusnya sebagai anak angkat hanya ketika ia sudah dewasa, maka bermula daripada ia sedar semua batasan aurat mesti dijaga seperti dituntut Islam kepada lelaki dan perempuan bukan mahram.

Dari segi pembahagian harta bagi anak angkat, Islam menetapkan anak angkat tiada hak dalam harta pusaka. Jika hendak bagi juga harta kepada anak angkat, harta itu hendaklah dibahagi secara hibah ketika hayat bapa atau ibu angkat. Selain itu adalah dengan cara mewasiatkan harta kepada anak angkat, tetapi dengan syarat tidak boleh mewasiatkan lebih daripada satu pertiga harta yang ada.

Mengambil anak angkat untuk dijadikan sama macam anak sendiri dilarang oleh syarak seperti dilarang menukar bin anak angkat tersebut. Mengambil anak angkat seperti anak luar nikah yang tidak dipedulikan orang bertanggung jawab adalah digalakkan di sisi syarak.

Dalam sesuatu keadaan, hukum mengambil anak angkat ini boleh menjadi wajib apabila timbulnya ketakutan anak itu akan jatuh ke tangan orang kafir. Justeru bagi mengelakkan akidah anak itu terpesong, Islam mewajibkan anak berkenaan diambil serta dijadikan anak angkat.

Ada dua cara mendapatkan anak angkat iaitu mengambil terus daripada ibu bapa yang ingin memberikan anak mereka sebagai anak angkat atau kedua, dengan cara membuat permohonan kepada JKM.

Bagi menjadikan permohonan cara pertama di atas sah mengikut lunas undang-undang, permohonan pemohon hendaklah dilanjutkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara di bawah Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (Akta 253). Permohonan untuk pengesahan itu hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak angkat berkenaan dipelihara oleh keluarga angkatnya.

Permohonan cara kedua, sebelum anak angkat dibenarkan diambil, JKM akan mempertimbangkan permohonan pemohon terlebih dulu. Antara perkara dipertimbangkan JKM ialah latar belakang sosial pemohon serta kesanggupan menjadi keluarga angkat.

Selain itu, syarat dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 juga perlu dipenuhi antaranya, ibu bapa angkat mestilah sekurang-kurangnya berumur 25 tahun dan sekurang-kurangnya 18 tahun lebih tua daripada anak angkat itu. Anak angkat itu hendaklah di bawah umur 18 tahun dan ibu bapa dan anak angkat hendaklah menetap di Malaysia.

Mengikut peruntukan undang-undang, pengambilan anak pelihara secara sendiri perlu dimaklumkan kepada JKM mengikut seksyen 35(1) Akta kanak-Kanak 2001 tidak lewat daripada satu minggu selepas pengambilan.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Sahabat YaPEIM tingkat usaha beramal jariah

Oleh Penulis Khas YaPEIM

ALHAMDULILLAH, selamat berjumpa lagi dalam Ruangan Bersama YaPEIM yang dianjurkan dengan kerjasama Berita Harian. Terlebih dulu kepada semua muslimin dan muslimat, YaPEIM mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Aidilfitri. Mudah-mudahan, Ramadan tahun ini lebih baik daripada sebelumnya.

Pelbagai perkembangan memberangsangkan sudah dan sedang berlaku di YaPEIM. Semuanya berkat bantuan Allah serta sokongan dan dokongan muslimin dan muslimat di seluruh negara yang sentiasa bersama YaPEIM bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi ummah di negara ini.

Antaranya, penubuhan Majlis Pemuafakatan Sahabat YaPEIM (Sahabat YaPEIM) yang membabitkan kira-kira 300,000 keahlian. Sahabat YaPEIM adalah daripada Rakan Kongsi YaPEIM (penyumbang tetap Skim Amal Jariah YaPEIM); Panel Perunding /Forum Pengurusan Islami (pakar, pemikir dan tokoh dalam bidang berkaitan); Kelab Maya Sahabat Ar-Rahnu (Peserta Ar-Rahnu YaPEIM yang terbabit secara langsung dalam bidang perniagaan); Kelab Pengurusan Muda Islam (golongan muda yang berminat dengan Pengurusan Islami).

Tidak ketinggalan, Kelab Santun (peserta Skim Anugerah Kecemerlangan Anak/Yatim Miskin Nasional); Sahabat Skim Khairat (penerima manfaat Skim Khairat dalam bidang perniagaan); kelompok melalui program/skim lain; jabatan/agensi kerajaan serta wakil media yang bertanggungjawab terhadap program pembangunan sosioekonomi.

Sahabat YaPEIM dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 4 Ogos lalu di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Hadir sama, Ketua Pengarah YaPEIM, Dr Abd Malek Awang Kechil.

Sahabat YaPEIM menjadi ruang bagi YaPEIM memaklumkan perkembangan semasa, terkini dan perancangan masa depan institusi dalam rangka untuk mewujudkan kesatuan fikiran dan tindakan kepada semua kelompok terbabit.

Menjadi harapan YaPEIM supaya Sahabat YaPEIM akan merapatkan saf kepelbagaian kelompok sedia ada serta melahirkan pasukan yang mempunyai persefahaman tinggi dan saling melengkapi bagi merealisasikan misi besar YaPEIM – Membangun Ummah Melalui Budaya Beramal Jariah.

Ini selaras firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berperang untuk membela agama-Nya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh." (Surah as-Saff, ayat 4)

Bersempena itu juga, YaPEIM melancarkan Skim Sumbangan Amal Jariah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai saluran mudah kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk memberi sumbangan bagi Program Amal Jariah YaPEIM.

Skim baru dengan kerjasama syarikat telekomunikasi itu membantu memantapkan lagi penyediaan saluran beramal jariah menerusi YaPEIM selaras dengan kedudukannya sebagai institusi amal jariah utama di negara ini.

YaPEIM berharap rakyat Malaysia menyambut baik skim SMS ini dan bersama menyumbang bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi golongan yang memerlukan di negara kita.

Pengguna hanya perlu mendail AJ1 atau AJ2 atau AJ3 atau AJ4 atau AJ5 dan hantarkan ke nombor 32728. Sebarang pertanyaan sila hubungi hotline YaPEIM 1 300 88 1006.

Di samping itu, YaPEIM turut melancarkan Kad Privilege YaPEIM untuk Sahabat YaPEIM yang memberi pelbagai kelebihan termasuk khairat kematian, diskaun rawatan perubatan dan kesihatan, membeli-belah dan pelancongan.

Ahmad Zahid menyifatkan kemudahan baru diperkenalkan YaPEIM bakal menggalakkan lagi penyertaan kelompok masyarakat dalam program serta skim anjuran YaPEIM dan menjadi satu lagi pencapaian produk anjuran YaPEIM.

Daripada sudut pengurusan, pendekatan YaPEIM ini boleh disifatkan sebagai usaha mesra pengguna yang bakal mendekatkan lagi YaPEIM dengan 300,000 Sahabat YaPEIM serta kumpulan sasar yang bakal menjadi Sahabat YaPEIM.

Memetik kata-kata Mahatma Ghandi:

Seperti kata-kata tokoh pengurusan: "Pelanggan adalah raja dan kita memerlukan mereka bukan mereka yang memerlukan kita."

Sementara itu, penulis buku Berani Gagal, Billie Lim berkata: "Untuk mengekalkan hubungan pelanggan ialah dengan memberikan keistimewaan kepada mereka."

Insya-Allah, mudah-mudahan Ramadan al-Mubarak ini menjadi madrasah terbaik untuk kita bermuhasabah diri ke arah mewujudkan umat lebih kuat dan mantap pada masa depan.

Tuesday, September 23, 2008

Tajdid Iman: Terakhir Ramadan momentum untuk perubahan

Oleh Dr Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com

Al-Qadar hanya disediakan bagi mereka memiliki ciri keimanan unggul dan terpuji

MENDEKATI hari raya puasa, masa yang tersisa semakin sempit, baki peluang menghabiskan tadarus sentiasa dikejar. Pada malam hari ibadat bertambah nikmat, pada siang hari pula bertungkus-lumus mencari rezeki mengejar sasaran kerana mahu lebih banyak bersedekah dan menunaikan zakat.

Sepertiga malam dihidupkan dengan penuh pengharapan kepada Allah. Langkah semakin pasti menuju ke malam kemuncak penentuan bonus paling hebat tiada tandingannya untuk sepanjang tahun ini. Urusan dunia tidak menyurutkan langkah ke masjid, bahkan orang yang berpuasa mampu mengorbankan masa, wang dan kerehatan untuk beriktikaf sebagaimana saranan Rasulullah SAW.

Agaknya bilakah waktu yang paling sibuk sepanjang tahun ini? Sepuluh hari terakhir Ramadan adalah jawapan paling tepat sesuai dengan perkhabaran daripada Ummul Mukminin Aisyah: "Adalah Rasulullah SAW sentiasa bersungguh-sungguh dalam beribadah pada Ramadan, tidak seperti bulan lain. Dan pada 10 malam terakhir Ramadan Baginda semakin bersungguh-sungguh dalam beribadah tidak seperti pada malam lain." (Hadis riwayat Muslim)

Namun demikian, sebagai manusia lemah ada ketika datanglah lalai dan lupa, kesibukan itu beralih arah. Mulanya sibuk mengurus hal akhirat tetapi akhirnya tenggelam dalam urusan dunia yang meliputi hiburan tidak berfaedah, perhiasan melampau, memuaskan nafsu membeli-belah hingga timbul pembaziran, semata-mata atas slogan mahu menyambut raya.

Pada kebiasaannya, suasana akhir Ramadan terlalu mencabar keimanan kita. Jika dulu Rasulullah SAW dan sahabat mengencangkan kain mereka dan membangunkan ahli keluarga untuk beribadah pada 10 malam terakhir.

Kini manusia masih juga berjaga malam tetapi mereka berhimpun dalam bersesak-sesak membanjiri pasar, melepak sepanjang hari hingga ke akhir malam, sibuk yang tidak habis atas nama menunggu hari raya yang tetap pasti menjelma.

Janganlah kita hanya mengejar keutamaan ibadat pada awal Ramadan manakala akhir Ramadan ditutup dengan kelalaian. Puasa sebegini amat jelas dan terang tidak mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: "Nabi SAW biasanya beriktikaf selama 10 hari pada setiap Ramadan, kemudian pada tahun Baginda wafat, Rasulullah SAW beriktikaf 20 hari." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Mungkin hikmah disediakannya malam al-Qadar yang jatuh pada akhir Ramadan menjelaskan kepada kita pentingnya memiliki sifat istiqamah dalam beriman dan beramal. Allah menjanjikan syurga kepada orang yang istiqamah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang mengatakan: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah. Maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berduka cita. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya; sebagai balasan atas apa yang mereka kerjakan." (Surah al-Ahqaf, ayat 13-14)

Sesungguhnya malam al-Qadar hanya disediakan bagi mereka yang memiliki ciri keimanan unggul dan terpuji antaranya:

Tidak terpengaruh oleh persekitaran tidak sihat. Bagaimanakah persekitaran yang tidak sihat bagi orang mukmin saat berpuasa? Iaitu di mana kelalaian diutamakan, hiburan didahulukan daripada zikrullah, kepuasan nafsu mengalahkan kenikmatan ibadah dan maksiat menjejaskan kesucian puasanya.

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Abdulllah bin 'Amru bin al-Ash supaya tidak terikut-ikut perangai kawan yang lalai yang bermaksud: "Wahai Abdullah, janganlah kamu seperti si polan yang biasa bangun pada waktu malam untuk solat, lalu kemudian dia meninggalkan solat malamnya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bijak mengatur strategi dalam beribadat ketika sibuk.

Menjelang raya tidaklah dilarang untuk melakukan persediaan patut, yang menjadi masalah ialah apabila seluruh tenaga dikerahkan untuk pesta kemenangan itu hingga menyalahi sunnah Rasulullah SAW. Jika tubuh badan letih, sudah tentu ia akan menjejaskan fokus ibadah kita. Namun hal itu bukanlah alasan untuk meninggalkan ibadat yang dianjurkan Baginda SAW.

Dalam kesibukan yang memuncak seperti ini, seelok-eloknya iman dan amal tetap terjaga dengan baik, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Amal yang paling dicintai Allah adalah amal yang berterusan walaupun sedikit." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sentiasa dalam keadaan berperang melawan nafsu.

Betapa beratnya berhadapan dengan dua keinginan, hati berbisik "Mendekatlah kepada Allah". Nafsu pula merayu: "Tidurlah, malam masih panjang, bukankah Allah Maha Pengasih dan Pengampun?" Kita hanya memilih di antara dua, tiada alternatif yang ketiga. Kuatkan iman atau ikutkan nafsu. Pilihan sebegini adalah mudah bagi sesiapa yang istiqamah dan amat sulit untuk orang yang lalai.

Genderang perang sudah ditabuh, mengingatkan orang mukmin siapakah musuh mereka. Antara tanda sempurnanya iman seseorang ialah dia merasai kehadiran musuhnya daripada segala penjuru dan berjaga-jaga supaya musuh tidak menembus benteng hatinya lalu merosak imannya.

Rasulullah SAW menceritakan tipu daya syaitan laknatullah yang bermaksud: "Syaitan mengikat tengkuk kepala seseorang ketika tidur dengan tiga ikatan. Pada masing-masing ikatan itu syaitan berkata: "Tidurlah malam masih panjang. Apabila orang itu bangun kemudian mengingati Allah maka lepaslah satu ikatan. Apabila ia berwuduk maka lepaslah satu ikatan lagi, apabila ia solat maka lepaslah semua ikatan. Sehingga pada waktu pagi dia bertenaga dan baik jiwanya, adapun jika dia tidak melakukan itu maka hatinya keruh dan dia menjadi malas." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Syarat kejayaan dan kecemerlangan seseorang itu bergantung kepada awal terbukanya mata. Apakah ia berzikir kepada Allah kemudian wuduk dan solat sehingga membuat syaitan putus asa terhadap dirinya, atau mungkin dia tenggelam dalam kenikmatan sesaat yang membawa kesan hingga ke seluruh masanya pada hari itu.

Jiwa jadi kotor maknanya mudah dipengaruhi bisikan syaitan untuk melakukan kelalaian seterusnya, hilang semangat dan menjadi malas, putus asa mungkin juga lalai sepanjang masa. Betapa berbahaya melepaskan saat penuh rahmat pada akhir malam menjelang datangnya fajar. Apatah lagi apabila terlepas peluang mendapat keutamaan beribadat pada malam 1,000 bulan.

Merasai pertolongan Allah ketika mengharap turunnya rahmat.

Layakkah kita mendapat kemuliaan malam al-Qadar dengan kelemahan diri melawan nafsu dan sedikitnya amal? Sudikah kiranya Allah menerima seorang hamba yang diliputi kotoran maksiat?

Rasulullah SAW mengajarkan satu doa yang elok dibaca selepas sembahyang yang bermaksud: "Ya Allah bantulah hamba untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperbaiki ibadatku."

Sesungguhnya Dialah yang menolong hamba-Nya, memberi hidayah dan menunjukkan jalan. Entah berapa kali Allah memalingkan kita daripada kesesatan dan kelalaian. Tidak bolehkah pada akhir Ramadan ini menjadi momentum yang paling baik untuk perubahan?

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my