Tuesday, March 31, 2009

Tajdid Iman: Nikmat, azab iringi kemenangan

Oleh Dr Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com


PEMIMPIN wajar memastikan pengikutnya memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat. - Gambar hiasan


Peranan utama tegakkan kebenaran kerana mereka khalifah di muka bumi

SETIAP pemimpin adalah khalifah Allah di muka bumi. Peranannya hanya satu iaitu menegakkan setiap kalimah titah perintah Allah serta menebas setiap kejahatan yang tumbuh menjalar di hati pengikut dan kaumnya.

Kekuatan dan kelemahan seorang pemimpin berkait rapat dengan hubungan peribadinya kepada Allah. Seperti ditentukan ke atas Nabi SAW, sejak daripada kandungan lagi Baginda sudah dipersiapkan oleh-Nya untuk memikul tugas berat ini.

Itulah ketentuan yang tidak dapat ditolak jika Dia menghendaki dan tidak dapat direbut jika Dia tidak berkenan. Bagaimanakah Allah mempersiapkan Baginda SAW untuk menjadi orang yang amat berpengaruh sejak dilahirkan dan abadi keharuman sejarah hidupnya hingga akhir zaman.

Sewajarnya ini diketahui supaya kita yang berdiri pada zaman ini dan memikul satu misi kepemimpinan tidak akan lari daripada matlamat asal kita dipilih dalam apa juga bidang yang diceburi.

Sebagai ahli perniagaan yang mengetuai ribuan pekerja atau ahli politik yang memimpin sesebuah negara, bahkan ahli jawatankuasa masjid pun mesti menyediakan diri untuk tugas berat yang diamanahkan Allah.

Hinggakan sebagai ketua rumah tangga yang menjaga anak, isteri dan keluarga hendaklah bersedia memimpin diri sendiri terlebih dulu ke jalan Allah dan memohon petunjuk-Nya supaya tidaklah ia membawa pengikutnya itu ke jalan yang berbahaya lagi membinasakan.

Antara persediaan yang ditentukan Allah untuk menguatkan jati diri Rasulullah SAW sebagai pemimpin umat ialah:

# Latihan keperitan hidup yang menguatkan keperibadian.

Sejarah hidup Rasulullah SAW merakamkan keperitan dan penderitaan tidak akan sanggup dipikul manusia biasa. Allah menceritakan dalam firman bermaksud: "Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu dia melindungimu? Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung lalu Dia memberikan petunjuk. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan." (Surah al-Dhuha, ayat 6-8)

Kesusahan hidup dialami Rasulullah SAW ketika kecil adalah didikan dan tarbiah Allah ke atasnya supaya terbentuk sahsiah kuat demi menghadapi ujian lebih mencabar pada masa depan. Boleh dikatakan hidup yang dijalani Rasulullah SAW tidak pernah sepi daripada penderitaan.

Kekejaman itu bermula sejak diangkat Baginda menjadi Rasul. Bukan setakat penghinaan, provokasi, tipu daya jahat, fitnah dan cubaan bunuh terhadap diri Rasulullah SAW bahkan selepas semua itu tidak mampu menghentikan dakwah Baginda maka dilancarkan penyeksaan dan pembunuhan terhadap orang dikasihi Rasulullah SAW untuk menjejaskan moral Baginda SAW.

Selepas ancaman dan seksaan tidak mampu menghentikan langkah pemimpin kaum muslimin ini, maka rundingan damai pula ditawarkan untuk memujuk hati Baginda SAW. Jika Muhammad SAW inginkan rasuah harta mereka bersedia memberi seberapa banyak diminta, jika Muhammad SAW mahukan rasuah takhta dengan senang hati mereka akur, jika Muhammad SAW inginkan rasuah wanita, maka pasti akan dicarikan wanita paling cantik lagi menawan.

Semua itu ditolak serta-merta dan dengan tegas ungkapan dilaungkan: "Jika ditawarkan bulan diletakkan di tangan kananku dan matahari di tangan kiriku, maka demi Allah aku tidak akan meninggalkan dakwah ini sehingga Allah menentukan keputusan-Nya."

Ramai orang yang kuat iman ketika dia miskin lagi susah tetapi rebah saat kekayaan melimpah. Sesungguhnya dunia yang direbutkan itu tidak lebih umpama bangkai seekor anak kambing yang direbutkan sekumpulan lalat pada pandangan orang mukmin.

Jiwa seorang pemimpin tidak mungkin dibeli oleh apapun, tidak pernah terancam oleh siapapun dan tidak akan roboh oleh bagaimanapun cara dan kaedah serangan kerana jiwanya berada dalam genggaman Tuhannya.

Apakah rahsia pemimpin berkaliber seperti Rasulullah SAW yang memerlukan masa 30 tahun saja selepas kewafatannya untuk membebaskan 22 negara hingga ke Cordova, Tajikistan dan Turkmenistan daripada kekufuran pada zamannya.

Landasan kepemimpinan Rasulullah SAW yang paling asas ialah setia kepada misi Tuhannya. Hendaklah setiap pemimpin meneliti untuk siapa dia bekerja dan bagaimana dia bergerak? Jawapan yang menjanjikan kejayaan setiap pemimpin adalah dia bekerja untuk Allah dan bergerak mengikut kehendak Allah. Dia tidak sesekali menderhaka kepada Allah untuk mencapai cita-cita duniawinya. Kerana perjuangannya adalah perjuangan akhirat.

Suatu hari Umar bin al-Khattab kelihatan begitu sedih. Rasulullah SAW bersabda: "Mengapa kamu, wahai Umar? Umar menjawab: Wahai Rasulullah, sesungguhnya Kisra dan Kaisar, raja Parsi dan Rom musuh Allah itu bergelumang emas dan perak. Pakaian mereka dari sutera paling baik, sedang Engkau Ya Rasulullah, kekasih Allah hidup sebegini (Umar sedih melihat tikar kasar tempat tidur Rasulullah yang membekas pada tubuh Rasulullah). Rasulullah bersabda: Wahai Ibnul Khattab, masihkah kamu ragu, jika bagi mereka dunia dan bagi kita akhirat? Umar menjawab: Ya, aku reda." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Misi pemimpin ulung bukan setakat kejayaan dunia bahkan kemenangan di akhirat. Idealismenya tidak pernah bercanggah dengan tuntutan Allah walaupun lahir fahaman buatan manusia, tidak sesekali dia berani menandingi syariat Allah.

Pemimpin Muslim yang berjaya tunduk dan akur dengan ketentuan Allah dan Rasul-Nya dalam merancang strategi dan polisi kepemimpinannya kerana yang demikian itu termasuk tuntutan keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya." (Surah al-Nisa, ayat 65)

Kalah dan menang bukan urusan manusia, Allah hanya menyuruh mereka berusaha dengan cara diredai-Nya dan membalas ganjaran atas usaha mereka itu tanpa Dia peduli siapa kalah dan siapa menang.

# Kemenangan lebih mendekatkan dirinya kepada Allah.

Ketika Rasulullah SAW memenangi pembukaan kota Makkah, Baginda menundukkan kepala sambil bertasbih dan beristighfar. Ketika kemenangan dicapai di akhir hayatnya, Rasulullah SAW bersabda di hadapan umatnya yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya aku akan berjumpa dengan Tuhanku dan aku akan menceritakan kepada-Nya mengenai sikap dan penerimaan kamu terhadap aku. Wahai sekalian manusia jika ada seorang daripada kamu yang pernah aku caci, aku herdik atau aku ambil hartanya maka segeralah menuntut qisas sekarang sebelum datang hari yang tidak akan berguna dirham dan dinar. Anas berkata: Aku memandang ke arah orang yang hadir, semuanya menundukkan kepala sambil menangis." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Lihatlah, keperibadian seorang pemimpin yang memenangi lebih daripada 20 kali peperangan dan pernah melalui saat-saat genting cubaan bunuh sebanyak 11 kali mengikut ahli sirah. Pengalaman dalam perjuangan tidak sesekali mencetuskan rasa bongkak dan takbur melampaui batas.

Bahkan dia makan bersama hamba dan orang miskin di atas tanah, menemani seorang wanita tua berjalan memenuhi keperluannya di pasar sehingga wanita lemah itu bosan. Berkhidmat untuk umat sepanjang masa hingga turun ayat menegur umatnya jangan menyusahkan Nabi kerana Rasulullah SAW malu menolak sebarang permintaan.

Pada diri Rasulullah SAW selayaknya pemimpin dan seluruh umat bercermin diri. Kejayaan sepatutnya membuat kita semakin dekat kepada Allah, saat manis kemenangan itu hendaklah diiringi perasaan takut dan cemas adakah perjuangan dilakukan sesuai dengan kehendak-Nya?

Kemenangan mungkin suatu petanda bahawa nikmat itu turun kepada kita atau sebagai simbol azab-Nya akan datang selepas itu. Semua bergantung pada hati dan iman mereka yang menjadi pemimpin.

Perspektif Ikim: Pertahan kemurnian alam sekitar tanda bersyukur

Oleh Rosmidzatul Azila Mat Yamin

Manusia perlu sedar kepentingan makhluk lain bagi jamin kesejahteraan ekosistem

SIKAP segelintir pihak menidakkan hak hidupan liar untuk terus bermandiri serta berbakti kepada alam dan umat manusia demi kepentingan kebendaan semata-mata sangat dikesali. Sungguhpun banyak kempen kesedaran pentingnya hidupan liar terhadap keseimbangan alam sekitar dan ekosistem, ia seolah-olah tidak memberi kesan disebabkan sikap tamak haloba yang beraja di hati.

Buktinya, laporan media berhubung kes pemburuan haram dan penyeludupan spesies hidupan liar terutama spesies terancam tidak pernah surut, malah semakin berleluasa. Melihat keadaan ini, seolah-olah tiada petanda kegiatan tidak bertanggungjawab ini akan berakhir.

Pelbagai persoalan timbul di benak, sampai bilakah nasib hidupan liar akan terus dicabul haknya tanpa pembelaan? Di mana silapnya sehinggakan begitu mudah hidupan liar 'bolos' ke luar negara untuk di pasarkan ke pasaran gelap?

Dikhuatiri jika masalah ini terus berlanjutan, ia akan memberi tekanan lebih parah kepada hidupan liar yang selama ini banyak menderita akibat pencerobohan habitat mereka untuk kepentingan ekonomi semata-mata.

Lebih malang dan menyedihkan lagi apabila ada sebahagian hidupan liar yang diburu mengalami kecederaan, kecacatan kekal, serta terpaksa meneruskan sisa hidup dengan keupayaan terbatas akibat penggunaan jerat. Jika keadaan ini tidak dibendung segera, tidak mustahil suatu masa spesies hidupan liar terbabit akan pupus.

Jika hari ini, spesies harimau Malaya di Malaysia begitu terancam dan daripada perangkaan dilaporkan, dianggarkan 80 peratus daripada jumlah yang masih tinggal akan mengalami kepupusan dalam tempoh 50 tahun lagi.

Tidak mustahil, suatu masa spesies lain turut menerima nasib sama dengan harimau Malaya yang kini terpaksa bertarung demi meneruskan sisa hidup masih berbaki dalam suasana perit lantaran habitat semakin terganggu.

Timbulnya konflik dengan manusia secara berterusan memburukkan lagi keadaan. Justeru, sanggupkah kita melihat spesies hidupan liar yang lain mengikut jejak harimau Malaya yang semakin menyusut bilangannya hari ini?

Pemburuan dan penyeludupan terhadap sesuatu spesies hidupan liar dilihat bermusim mengikut permintaan semasa. Laporan media di Temerloh bulan lalu menunjukkan tiga spesies hidupan liar yang semakin terancam dan giat diburu, iaitu burung hantu, tenggiling dan biawak untuk diseludup dan dipasarkan ke Indochina sebagai hidangan eksotik.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Datuk Abdul Rasid Samsudin, ketiga-tiga spesies itu mendapat permintaan tinggi di pasaran gelap ekoran begitu digemari penggemar makanan eksotik di sana sehingga harga mencecah RM200 seekor.

Daripada laporan yang dibuat, kerja pemburuan dan penyeludupan hidupan liar menjadi lebih mudah kerana mendapat kerjasama masyarakat Orang Asli dan penduduk setempat sebelum diseludup ke luar negara melalui jalan laut dan darat.

Faktor itu menjadikan usaha membanteras kegiatan pemburuan haram hidupan liar bertambah rumit. Justeru, kesedaran masyarakat setempat perlu bagi menangani masalah penyeludupan spesies haiwan yang dilindungi supaya tidak berhadapan dengan ancaman kepupusan.

Keadaan menjadi bertambah meruncing apabila kegiatan pembalakan dilakukan tanpa kawalan menyebabkan semakin banyak habitat hutan yang menjadi tempat perlindungan hidupan liar musnah.

Daripada perangkaan yang dilaporkan, dunia kini sedang kehilangan lebih daripada 170,000 kilometer persegi hutan daripada permukaan bumi.

Mengimbas kembali kurun ke-19, hutan hujan tropika yang kita miliki masih lagi meliputi hampir 90 peratus di seluruh Semenanjung. Namun, menjelang 1957, kawasan yang dilitupi hutan berkurang kepada 74 peratus dan kebanyakan kawasan tanah rendah ditukar statusnya bagi menggiatkan lagi sektor pertanian.

Keadaan bertambah buruk apabila jumlah hutan yang kita miliki semakin berkurang kepada 61 peratus pada 1970-an, manakala hanya tinggal 47 peratus saja kawasan dilitupi hutan pada 1980-an.

Dalam setahun, dianggarkan negara kita kehilangan kira-kira 7,000 kilometer persegi kawasan hutan asli. Selari penyusutan kawasan hutan, jumlah hidupan liar termasuk harimau juga turut berkurang ekoran kitaran makanan dalam ruang lingkup habitat yang semakin mengecil. Keadaan ini sekali gus menyebabkan kadar populasi hidupan liar menyusut secara membimbangkan.

Masih mampukah kita menyelamatkan habitat hutan dan hidupan liar supaya tidak pupus daripada muka bumi ini. Bagi mengatasi masalah ini, kita perlulah mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menyeimbangkan antara membolos sumber alam dengan keperluan manusia.

Contohnya, menanam semula hutan, mengawal populasi hidupan liar, menggantikan petrol dengan hidrogen dan kuasa elektrik, mengitar semula bahan buangan serta mengadakan perdamaian dengan alam juga hidupan liar.

Secara mudahnya, perdamaian dapat dibentuk apabila kita bermuhasabah diri dan mendidik jiwa supaya tidak melakukan kemusnahan terhadap alam, berlaku adil terhadap hidupan liar yang sama-sama berkongsi persekitaran dengan kita dan menghormati hak hidupan liar.

Setiap lapisan masyarakat perlu sedar bahawa jika sesuatu spesies pupus, ia akan memberi kesan besar ke atas kitaran dan kestabilan ekosistem kita. Hari ini, kita dapati banyak kepincangan berlaku terhadap ekosistem lantaran sikap memandang enteng akan kepentingan setiap ciptaan Ilahi tanpa mensyukurinya.

Sedangkan, banyak amaran dan peringatan diberi Allah namun manusia tetap tamak sehingga mengabaikan kepentingan ekosistem demi keuntungan duniawi semata-mata yang seterusnya merugikan kita sendiri.

Justeru, mulai saat ini marilah sama-sama kita mengubah sikap dan mensyukuri nikmat Allah kurniakan di samping muhasabah diri dengan penuh kesedaran terhadap kepentingan makhluk lain supaya alam menjadi tempat lebih majmuk dan selamat untuk semua pihak.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia

Saranan bersegera laksana kebaikan, amalan ujian keimanan

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

SESUNGGUHNYA keimanan murni akan melahirkan amalan atau perbuatan terpuji, selari syariat Islam yang suci. Orang yang berpegang teguh pada dahan akidah yang kukuh, sentiasa berusaha untuk memperbanyak amal demi meraih keredaan Allah.

Tidak dinafikan lagi hal ini sudah menjadi tabiat semula jadi setiap individu mukmin sejati dan menjadi salah satu tanda orang beriman seperti mana wasiat Rasulullah SAW kepada Saidina Ali yang bermaksud: “Wahai Ali, orang mukmin itu ada tiga tandanya: bercepat-cepat taat kepada Allah, menjauhi segala yang haram dan berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadanya.”

Begitu juga yang pernah diungkapkan Dr Abdullah Azzam dalam bukunya Aqidah, Landasan Pokok Membina Ummat, “Semua amal dan perbuatan seseorang berasas dan berasal daripada akidah yang dianutinya dan adalah pantulan sinar keimanannya.”

Bagi orang beriman, setiap ruang, kesempatan atau peluang di sepanjang perjalanan hidupnya tetap diisi dengan amal ibadah (sama ada kecil ataupun besar), maka dilakukannya secara bersegera, berlumba-lumba, tanpa berlengah.

Sikap yang suci elok itu sebenarnya sejajar suruhan Allah yang bermaksud: “Maka berlumbalah (dalam membuat) kebaikan di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Apabila ditinjau dengan hati penuh insaf, ternyata ada segelintir masyarakat gemar memilih sikap berlengah atau berkata ‘nanti dulu’, ‘sekejap lagi’ atau ‘biarlah dulu, nanti esok’, menunda waktu dalam menyempurnakan sesuatu kerja baik sama ada bersangkutan peribadi, masyarakat mahupun tanggungjawab terhadap majikan.

Sikap suka bertangguh ini mengakibatkan kesan buruk. Kerja ditangguhkan itu lama-kelamaan akan jadi bertimbun-timbun, untuk menyelesaikannya tentu saja tidak cukup masa dan tenaga, tergopoh-gapah melakukannya dan hasilnya sudah pasti tidak sempurna atau kesudahannya akan terbengkalai.

Keadaan ini sungguh mendukacitakan sekali dan perlu segera dikikis habis-habis jangan sampai ia berakar umbi dan membudaya dalam masyarakat yang ingin maju. Orang suka bertangguh sebenarnya mencerminkan seorang manusia yang tidak menghargai nikmati masa anugerah Allah.

Masa sangat berharga kerana sedetik berlalu tidak akan berulang kembali dan tidak boleh dibeli dengan segunung intan. Manusia yang mensia-siakan waktu adalah manusia yang mendapat kerugian di dunia serta akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, melainkan orang yang beriman dan beramal soleh dan orang yang menyeru kepada kebenaran dan kesabaran.” (Surah al-‘Asr, ayat 1-3)

Nyatalah manusia yang rugi itu ialah manusia yang lalai daripada tanggungjawabnya terhadap diri, Allah, masyarakat sekelilingnya, suka melakukan perkara tidak mendatangkan faedah.

Oleh kerana berlengah itu dapat mengundang kerugian dan bahaya, maka tidak hairanlah jika Nabi Muhammad SAW menyeru umatnya tidak `membuang masa’ melakukan kebaikan atau bersegera melaksanakan kebaikan selagi ada kesempatan.

Hadis diriwayatkan Baihaqi yang bermaksud: “Pergunakanlah lima kesempatan sebelum datangnya lima kesempitan iaitu: pergunakan kesempatan sihatmu sebelum datang sakitmu; pergunakan kesempatan lapangmu sebelum datang kesempitan; pergunakan hari mudamu sebelum datang hari tuamu; pergunakan kesempatan waktu engkau kaya sebelum datang kemiskinan; pergunakan kesempatan masa hidupmu sebelum datang saat kematian.”

Apabila suka bertangguh, tentunya peluang atau kesempatan yang ada itu akan berlalu begitu saja. Kita ketinggalan dan akan mendapat kerugian besar yang tidak boleh ditebus dengan apa juga.

Oleh itu, bersegeralah membuat kebaikan kerana apa yang datang tidak dapat di duga.

Hasan Basri memberi nasihat: “Ayuh segeralah, segeralah! Sebab segala sesuatu itu tergantung dari nyawamu saja, jika ini sudah diputuskan, terputuslah pula segala amalmu. Jika demikian amalan mana lagi yang akan kau perguna untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.”

Di samping itu, orang suka menunda waktu membayangkan manusia pemalas, tidak bertanggungjawab, tidak ada wawasan untuk hidup lebih maju dan suka berfoya-foya dipengaruhi bisikan syaitan yang memang suka menghancurkan kehidupan manusia.

Jika dikaji dan teliti, memang ada beberapa rahsia mengapa Islam mengajar manusia supaya bersegera melakukan kebaikan antara lainnya ialah mendapat kedudukan pahala yang tinggi di sisi Allah.

Contohnya dalam hal solat, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Awal waktu solat itu menyebabkan reda Allah, sedang akhir waktu sebagai ampunan daripada Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Saranan bersegera melakukan pekerjaan atau amal ibadat ialah untuk menguji keimanan dan ketaatan seseorang terhadap Allah. Apabila orang itu benar-benar beriman, dia akan berlumba mempersembahkan pengabdiannya kepada Allah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Keimanan tipis, maka suruhan Allah ditunda tanpa sekelumit pun berasa takut kepada ancaman dan azab Allah.

Oleh itu, sebelum terlambat dan penyesalan menjadi sia-sia, maka seharusnya kita bersegera atau cepat bertindak melakukan kebaikan. Kita pasti diredai dan disayangi Allah seperti firman-Nya bermaksud: “Dan orang yang paling cepat pada kebaikan, mereka itu yang didekatkan pada Allah, berada dalam syurga kenikmatan.” (Surah al-Waqiah, ayat 10-12)

Monday, March 30, 2009

Pembangunan Islam dibina berasaskan tasawwur

Oleh Mohd Shukri Hanapi

Kemusnahan kerajaan Saba' berpunca daripada penafian tiga ciri utama prinsip kemajuan

SESUATU pembangunan yang muncul sudah tentu dibina berasaskan kepada acuannya tersendiri. Begitu juga pembangunan berteraskan Islam, dibina berasaskan acuan tasawwur atau perspektif Islam tulen.

Tasawwur Islam yang tulen adalah gambaran bentuk Islam hakiki. Ia menjelaskan secara keseluruhan prinsip asas Islam secara benar dan lengkap, sehingga sebati dalam diri orang yang memahaminya.

Umumnya, al-Quran sudah menggambarkan adanya tiga pokok utama tasawwur Islam iaitu Allah sebagai Pencipta, manusia sebagai makhluk dan alam semesta sebagai makhluk.

Oleh itu, setiap orang mendapat gambaran bentuk Islam hakiki dan memahami secara keseluruhan prinsip asas Islam terkandung dalam al-Quran serta beramal dengannya, mampu membawa kepada kemurnian peribadi Islam serta kecemerlangan hidup masyarakat Islam di dunia dan akhirat.

Jika dilihat pembangunan berteraskan Islam, tasawwur Islam dijadikan asas atau acuan dalam pembentukan pembangunan tulen. Ia pada asasnya adalah tapak bagi setiap aspek kehidupan manusia, sementara prinsip pembangunan berteraskan Islam adalah tapak khusus pembangunan.

Daripada tasawwur Islam inilah lahirnya prinsip pembangunan berteraskan Islam lain. Contohnya, prinsip pembangunan berteraskan Islam kedua (manusia sebagai pelaku pembangunan) lahir daripada tasawwur Islam yang meyakini manusia adalah makhluk Allah.

Prinsip pembangunan berteraskan Islam ketiga (alam roh, alam dunia dan alam akhirat sebagai skala waktu pembangunan), keempat (ilmu fardu ain kerangka pembangunan), kelima (ibadah sebagai perkaedahan pembangunan) dan ketujuh (mendapat keredaan Allah sebagai matlamat akhir) pula berhubung rapat dengan tasawwur Islam yang meyakini Allah adalah Pencipta.

Sementara prinsip pembangunan berteraskan Islam keenam (sumber alam sebagai perkaedahan pembangunan) pula lahir daripada tasawwur Islam yang meyakini alam semesta adalah makhluk Allah.

Oleh sebab tasawwur Islam yang mencorakkan segala kehidupan manusia, maka pembangunan yang muncul daripada tasawwur lazim atau falsafah Barat bukanlah pembangunan berteraskan Islam tulen.

Selagi ia tidak membebaskan diri daripada ikatan tasawwur lazim, selagi itulah ia terperangkap dalam paradigma lazim. Selagi ia terperangkap dalam cengkaman tasawwur lazim, selagi itulah pembangunan tidak boleh dikatakan pembangunan berteraskan Islam.

Sebenarnya al-Quran sudah menjelaskan implikasi pembangunan tidak dibina berdasarkan tasawwur Islam. Peristiwa menimpa kerajaan Saba' pada 120 sebelum masihi. Empangan Ma'rib didirikan kerajaan Saba' dengan didukung rakyatnya yang sangat kuat berusaha.

Empangan ini mampu membekalkan air tiga bulan kepada penduduk Saba' ketika kemarau. Air daripada empangan itu dialirkan untuk mengairi daerah pertanian seluruh Saba'.

Dengan terbinanya Empangan Ma'rib itu, Saba' berjaya mencapai tahap kemakmuran tinggi. Demikianlah makmurnya negeri itu sehingga sempat pula mereka membina dua taman tergantung cukup indah dengan teknik tercanggih pada zaman itu.

Kemakmuran Saba' tidak kekal lama. Kemakmuran dan pembangunan dikecapi menyebabkan mereka lupa dan berpaling daripada agama Allah. Mereka tenggelam dalam kekufuran dan bermacam kemewahan hidup dunia. Akhirnya Allah menghancurkan umat Saba'.

Keruntuhan Empangan Ma'rib menyebabkan banjir al-Arim dan kemusnahan besar. Kebun anggur, taman dan ladang pertanian yang diusahakan kaum Saba' sejak sekian lama musnah sama sekali. Masyarakat Saba' juga diketahui menempuh kemelesetan sebaik saja kejadian. Tempoh itu menjadi penghujung bagi Saba'.

Allah berfirman yang bermaksud: "Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kebun yang berisi dengan pohon yang pahit buahnya, dan pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon bidara. Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang yang amat kufur." (Surah Saba', ayat 16-17)

Sebenarnya pembangunan yang dibina kerajaan Saba' ini jelas tidak langsung berakar umbi daripada ketiga-tiga pokok tasawwur Islam yang utama. Keutamaan keupayaan ekonomi seperti memaksimumkan pengeluaran dan penggunaan oleh kaum Saba' menafikan Allah sebagai Pencipta dan sekali gus menafikan keredaan-Nya seharusnya dijadikan matlamat akhir.

Selain itu, fungsi manusia dalam pembangunan kerajaan Saba' juga turut bercanggah dengan pokok tasawwur Islam kedua iaitu manusia sebagai makhluk Allah. Mereka anggap manusia sebagai makhluk ekonomi yang fungsinya untuk mengeluar dan mengguna semata-mata.

Sedangkan berdasarkan kepada tasawwur Islam, manusia selaku makhluk Allah mempunyai fungsi lebih khusus daripada itu.

Aktiviti pengeluaran dan penggunaan hanyalah sebahagian daripada alat untuk manusia menjalankan atau mempertahankan fungsi khusus yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Fungsi khusus manusia yang dimaksudkan ialah sebagai hamba dan khalifah Allah.

Dalam pembangunan berteraskan Islam, fungsi manusia sebagai hamba dan khalifah Allah ini direalisasikan menerusi dua dimensi perhubungan. Fungsi manusia selaku hamba Allah direalisasi menerusi hubungan menegak dengan Allah (hablum minallah) selaku Pencipta.

Sementara fungsi sebagai khalifah Allah direalisasikan dalam hubungan mendatar sesama manusia dan sumber alam selaku makhluk Allah (hablum minannas).

Maka pembangunan berteraskan Islam mesti dibina dan lahir daripada acuannya sendiri, iaitu daripada akar umbi mengenai pengetahuan dan tasawwur Islam serta tidak boleh dicampuradukkan dengan fahaman bercanggah Islam.

Justeru, jelaslah tasawwur Islam adalah perkara asas dan prinsip paling utama dalam pembangunan berteraskan Islam untuk mencapai kejayaan ke arah meraih kecemerlangan kehidupan di akhirat.

Menafikan wujud jin boleh menidakkan kekuasaan Maha Pencipta

Oleh Dr Muhammad Azizan Sabjan

JIN makhluk ciptaan Allah yang ditaklifkan untuk menyembah Allah dan melakukan ibadat kepada-Nya. Seperti manusia, mereka juga dikehendaki beriman dengan Nabi Muhammad SAW dan melaksanakan segala ajaran Islam.

Tegasnya, mereka hanyalah makhluk ciptaan Allah yang mempunyai kelemahan seperti manusia. Sememangnya jin wujud dan mempercayai kewujudannya bukanlah suatu kepercayaan tahyul atau momokan masyarakat.

Tegasnya, kewujudan ciptaan Allah bernama jin sudah termaktub dalam al-Quran dan hadis. Menafikan kewujudannya boleh membawa erti seolah-olah kita menafikan kehebatan Allah mencipta hamba-Nya.

Mempercayai kewujudan jin bukanlah suatu kepercayaan tahyul. Bahkan, tidak keterlaluan jika dikatakan cubaan menolak atau menafikan kewujudan jin boleh dikira menafikan kekuasaan dan kehebatan Allah kerana kewujudan mereka disahkan dalil al-Quran dan hadis.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku." (Surah al-Dzariyaat, ayat 56)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Maka janganlah kamu beristinjak dengan tulang dan tahi binatang. Sebab hal itu adalah bekal (makanan) saudaramu daripada kalangan jin." (Hadis riwayat Tarmizi)

Allah mencipta Adam dan keturunannya iaitu manusia daripada tanah. Malaikat pula diciptakan Allah daripada nur (cahaya). Berlainan pula keadaan penciptaan jin, ia tidak dicipta daripada tanah mahupun nur. Ia juga bukan berasal daripada Adam dan Hawa.

Asal usul jin daripada jin bernama Jaan. Jaan beriman kepada Allah dan melahirkan keturunan beriman. Ada pula daripada keturunan Jaan yang kufur dan melahirkan pula keturunan kufur.

Anak cucu Jaan yang beriman itu ada yang kekal dalam iman, ada pula kufur dan ada yang kembali beriman kepada Allah. Dalam erti kata lain, Jaan ialah bapa segala jin seperti Adam ialah bapa segala manusia.

Jaan ialah jin yang pertama, dicipta dan dijadikan daripada lidah api. Keturunan jin yang seterusnya pula dijadikan dan berkembang-biak daripadanya sama seperti halnya Adam dan keturunannya iaitu manusia. Seperti manusia, jin juga daripada pelbagai bangsa dan jenis.

Mereka juga mempunyai jajahan pemerintahan dan kerajaannya tersendiri. Jin juga seperti manusia inginkan keturunan dan hidup berpuak-puak. Puak dan kumpulan jin terlalu banyak dan bercakap pelbagai loghat serta bahasa. Jin juga diperintahkan Allah untuk menerima syariat Islam seperti diperintahkan kepada manusia.

Majoriti bangsa jin daripada golongan jin kafir. Jin kafir ini kebanyakannya beragama Yahudi, Kristian, komunis dan sangat sedikit beragama Buddha dan Majusi. Ada juga jin tidak beragama. Golongan jin yang memeluk Islam sedikit bilangannya dan daripada golongan minoriti jika dibandingkan dengan keseluruhan bilangan jin.

Hanya Allah dan Rasul-Nya mengetahui rupa bentuk asal jin selepas dicipta dan ditiupkan roh. Menurut sesetengah ulama, rupa, tabiat, kelakuan dan perangai jin 90 peratus mirip kepada manusia.

Jin juga diberi keizinan oleh Allah untuk menzahirkan diri dalam pelbagai bentuk dan rupa disukai serta dikehendakinya kecuali rupa Rasulullah SAW. Rupa dizahirkan pula mengikut tahap dan kemampuan masing-masing. Pada asasnya rupa bentuk jin tidak banyak berbeza daripada manusia, iaitu mereka mempunyai jantina, mempunyai hidung mata, tangan, kaki, telinga dan sebagainya.

Pada dasarnya 80 hingga 90 peratus jin menyerupai manusia. Perbezaan ketara adalah sudut fizikal. Jin lebih kecil dan halus daripada manusia. Bentuk tubuh mereka itu ada yang pendek, terlalu tinggi dan mempunyai pelbagai warna seperti putih, merah biru dan hitam.

Menurut sesetengah pendapat, ketinggian jin kira-kira tiga hasta saja. Dalam al-Quran, Allah berfirman setiap yang berjiwa pasti akan merasai mati. Dalam konteks ini, jin juga merasai kematian.

Usia jin mencecah ribuan tahun. Ini kerana mereka bertubuh halus dan tidak terdedah kepada penyakit sakit jantung, kencing manis dan sebagainya seperti manusia.

Biarpun usia jin menjangkau ribuan tahun, mereka tetap merasai kematian. Satu-satunya jin yang tidak akan merasai kematian melainkan apabila datangnya kiamat ialah Iblis laknatullah. Ia berdasarkan permintaannya kepada Allah supaya dipanjangkan umur sampai kiamat untuk menyesatkan anak Adam.

Kecepatan jin bergerak melebihi gerak cahaya dalam satu saat. Disebabkan jin adalah daripada makhluk seni dan tersembunyi, tidak zahir seperti manusia dan tidak sepenuhnya ghaib seperti malaikat, maka ruang kecil pun boleh di duduki berjuta-juta jin dan ia juga boleh memasuki dan menghuni tubuh badan manusia.

Alam kediaman jin di lautan, daratan, udara dan alam Mithal iaitu suatu alam antara alam manusia dan alam malaikat. Makanannya pula berasaskan asap, gas, haruman dan ada juga buah-buahan bersesuaian dengan penciptaan mereka. Makanan jin juga daripada tulang, manakala makanan haiwan ternakan mereka ialah bongkah najis binatang ternakan manusia.

Manusia mengandung sembilan bulan untuk melahirkan zuriat dan anak manusia juga perlu masa lama untuk matang serta menjadi baligh. Berbeza dengan jin, apabila disentuh alat kelamin lelaki dengan alat kelamin perempuan, jin perempuan terus mengandung, beranak dan anak baru lahir itu terus mukallaf.

Alam jin itu satu daripada kebesaran dan keagungan Allah. Cubaan menafikan kewujudan jin dan alamnya boleh membawa kepada menafikan kekuasaan Allah.

Banyak lagi pendedahan alam jin perlu diketengahkan untuk dijadikan garis panduan kasar mengenai jin serta memberi kesedaran pentingnya Muslim menjaga akidah, menjauhi syirik dan mengelakkan diri terjerumus dengan tipu daya jin yang ingkar terhadap Allah.

Penulis ialah pensyarah Bahagian Falsafah dan Tamadun Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia

Pemimpin wajib lindung agama, makmurkan rakyat

Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad

Setiap Muslim bertanggungjawab pilih pemerintah berakhlak, adil, ikhlas laksana amanah

SAYID Sabid pernah berkata: “Mendirikan pemerintahan adalah wajib. Kita dilarang melengah serta melalaikan persoalan itu. Islam memberi pengertian pemerintahan adalah pelindung agama Allah dan pelaksana politik umat manusia”.

Mengingati pentingnya pemerintahan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang mati sedang di lehernya tidak ada pemilihan terhadap seorang pemimpin, maka matinya itu dalam kejahilan.”

Rasulullah SAW ialah pemimpin sepanjang hayat. Namun, selepas Baginda wafat, demi menjaga kepentingan dan kelangsungan pemerintahan yang stabil, sahabat segera berkumpul untuk memilih pemimpin. Melantik pemimpin untuk membentuk pemerintahan adalah kewajipan. Tidak ada seorang pun sahabat menafikan perlunya pemimpin.

Pemimpin ialah orang yang boleh dipercayai, berintegriti serta baik akhlak. Selain bijak dan cekap, dia juga bertanggungjawab, berani dan jujur untuk memperbaiki setiap kelemahan serta kesilapannya.

Seseorang yang diberi amanat serta kedudukan tertinggi di kalangan rakyat harus menunaikan tanggungjawab demi kemakmuran dan kesejahteraan umat. Ia berkewajipan menyediakan segala kemudahan, bukan menyalahgunakannya untuk kepuasan dirinya.

Rasulullah SAW pernah menegaskan dalam sabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang yang diserah urusan rakyat oleh Allah, dia mati di kala matinya berkhidmat kepada rakyat, maka Allah mengharamkan atasnya neraka.”

Justeru, sebagai orang ramai, kita perlu membuat pemilihan tepat dan wajar dengan memilih pemimpin atau wakil yang mampu memikul tugas serta tanggungjawab, bukan seorang yang hanya tahu bercakap, tetapi tidak berbuat apa yang dicakapkan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang beriman, mengapa kamu mengucapkan sesuatu yang tidak kamu kotakan. Besar benar dosanya di sisi Allah kalau kamu mengucapkan apa yang tidak kamu kotakan.” (Surah al-Munafiqun, ayat 1-2)

Pemerintahan wajib diserahkan kepada orang yang dipercayai, jujur, adil, baik, sempurna dan dijamin kebaikannya, cekap tabah, bertanggungjawab membangun umat serta melindungi hak mereka seperti ia melindungi haknya sendiri.

Al-Tabrani pernah meriwayatkan daripada Ibnu Abas bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang pun daripada umatku yang diserah untuk memegang pimpinan urusan kaum Muslimin, kemudian ia tidak melindungi hak mereka seperti melindungi haknya, melainkan nanti ia tidak akan dapat merasakan kenikmatan bau syurga.”

Sabda Baginda lagi bermaksud: “Ia adalah amanat. Ia adalah menyebabkan malu dan menyesal di hari kiamat melainkan orang yang dapat menepati haknya dan menunaikannya seperti mana semestinya.”

Umar al-Khatab juga berkata: “Demi Allah andai kata ada seekor kuda yang tergelincir di Iraq, nescaya saya takut jika Allah akan meminta pertanggungjawaban daripadaku, mengapa jalan di sana tidak saya ratakan atau tidak saya perbaiki jika rosak.”

Kepemimpinan yang berani dan bertanggungjawab akan dihormati oleh kawan dan lawan. Hati rakyat menjadi cinta gembira dan mudah tertawan. Semua lidah pasti mendoakan kebaikan dan keselamatannya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baik pemimpinmu ialah yang mencintai kamu dan kamu mencintainya, yang mendoakan kebaikanmu dan kamu pun mendoakan kebaikannya, sedang seburuk-buruk pemimpin ialah yang membencimu dan kamu juga membencinya, melaknati kamu dan kamu pun melaknatinya.”

Sabda Baginda lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang taat kepadaku, maka ia taat kepada Allah. Sesiapa yang menderhakaiku, maka ia menderhaka kepada Allah. Sesiapa yang taat kepada pemerintah maka ia taat kepadaku. Pemimpin bagaikan perisai, pengikutnya berperang di belakangnya dan berlindung dengannya.”

Nabi Muhammad SAW dan Khulafa al-Rasyidin adalah contoh pemimpin yang baik. Mereka bukan saja dihormati atau disegani oleh umatnya tetapi juga oleh musuh.

Mereka dihormati kawan dan lawan kerana memiliki sifat yang baik, tidak angkuh, tidak mementingkan diri apalagi rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

Oleh itu, kita harus menyokong dan menolong serta menjaga kepemimpinan mukmin yang melindungi ketinggian agama dan kebajikan negara demi kemakmuran hidup rakyat keseluruhannya.

Sunday, March 29, 2009

Ulul Albab: Pemimpin beragama pelindung rakyat

Oleh Abdurrahman Haqqi


MUSLIM yang dilatih bertakwa sejak kecil bakal menjadi pemimpin terbaik pada masa depan.


Tokoh berfikiran tinggi, disertai akhlak terpuji bentuk kekuatan bangsa dan negara

SALAH satu ciri kepemimpinan ialah seseorang tidak akan terlepas daripada pengalaman hidup ketika zaman kanak-kanak, sedangkan kanak-kanak belajar daripada kehidupannya.

Seseorang yang tidak dikenali mencatatkan kata-kata hikmat yang berbunyi seperti ini: "Jika seorang anak hidup dengan bidasan, dia belajar untuk mengutuk; Jika seorang anak hidup dengan permusuhan, dia belajar untuk bergaduh; Jika seorang anak hidup dengan cemuhan, dia belajar untuk ragu; Jika seorang anak hidup dengan aib, dia belajar untuk berasa bersalah; Jika seorang anak hidup dengan toleransi, dia belajar untuk bersabar; Jika seorang anak hidup dengan galakan, dia belajar untuk yakin; Jika seorang anak hidup dengan pujian, dia belajar untuk menghargai; Jika seorang anak hidup dengan kesaksamaan, dia belajar untuk adil; Jika seorang anak hidup dengan keselamatan, dia belajar untuk percaya; Jika seorang anak hidup dengan persetujuan, dia belajar untuk menyukai diri; Jika seorang anak hidup dengan penerimaan dan persahabatan, dia belajar untuk menemui kasih sayang di dunia ini.

Pemimpin yang beragama dengan agama pemimpin adalah dua perkara yang berlainan. Ketika membincangkan masalah kufu' atau kafa'ah dalam perkahwinan, mazhab Hanafi mempunyai enam ciri kufu' antaranya 'beragama' di samping 'Islam'. Seorang calon suami mestilah 'beragama' jika calon isterinya juga 'beragama'. Beragama di sini dengan pengertian kuat memegang ajaran agamanya. Tapi Islam adalah syarat kufu' bagi calon suami seorang wanita Islam walaupun tidak kuat pegangan agamanya. (Lihat al-Ghandur, al-Ahwal al-Syakhsiyyah).

Agama seorang pemimpin tidak akan mempengaruhi secara signifikan corak kepemimpinannya, tetapi pemimpin yang beragama sebaliknya. Sepanjang sejarah Islam kita dapati ratusan pemimpin Islam yang sememang agamanya Islam tapi hanya beberapa orang yang terserlah kepemimpinannya kerana disebabkan kekuatan dalam berpegang teguh terhadap agama Islam. Pemimpin terbabit ialah baginda Rasulullah SAW, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Umar bin Abdul Aziz, Harun al-Rashid, Salahuddin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fatih.

Dalam sejarah bangsa lain pun kita dapati kepemimpinan yang menonjol daripada pemimpin mereka yang beragama bukan kerana agama mereka. Sebut saja Raja Sejong Taewang dari Korea sebagai contoh, yang berkuasa dari 1418 hingga 1450. Beliau adalah raja keempat Korea dari dinasti Joseon dan salah satu daripada dua raja Korea yang diberi gelaran 'Agung', manakala raja yang lain adalah Raja Gwanggaeto.

Beliau seorang pakar bahasa yang mencipta aksara hangul untuk bahasa Korea, walaupun mendapat tentangan daripada cendekiawan yang dididik dalam cara hanja (China). Beliau juga seorang perencana ketenteraan yang berkesan dan juga penulis unggul. Karangan beliau mempunyai nilai yang tinggi antaranya buku rujukan Dongguk Jeong-un (Kamus Sebutan Tepat Cina-Korea).

Sejong menubuhkan sebuah dewan, Jiphyeonjeon pada 1420. Beliau mengumpul cendekiawan dari seluruh Korea untuk merakamkan sejarah Korea, membuat draf untuk dokumen penting dan menghasilkan buku pelbagai topik.

Sejong juga dipercayai mencipta penyukat hujan, jam air dan sundial, iaitu alat yang menunjukkan waktu dengan bayangan matahari. Beliau pernah mengisytiharkan bahawa seseorang yang bersalah mesti menjalani sekurang-kurangnya tiga kali pusingan perbicaraan di mahkamah sebelum hakim boleh membuat keputusan.

Keberhasilan Sejong dalam mencipta sendiri sejarah kepemimpinan yang berkesan dalam sejarah Korea tidak luput daripada pegangannya yang kuat terhadap prinsip konfusianisme bahkan dikatakan beliau seorang pakarnya.

Keberagamaan seorang pemimpin akan menyinarkan kewibawaan bukan agamanya. Secara umum terdapat tiga aspek utama, ciri-ciri pemimpin berwibawa, iaitu kelebihan dalam penggunaan pemikiran yang rasional; kelebihan dalam rohaniah (spiritual) dan kelebihan dalam badaniyyah (fizikal).

Menurut al-Farabi, bapa psikologi moden, pemimpin yang unggul adalah seorang yang berfikiran tinggi, memiliki sifat mulia serta akhlak terpuji dan fizikal yang sempurna. Beliau menyebutnya sebagai al-rais al-awwal (pemimpin ulung).

Terdapat 12 ciri pemimpin yang berwibawa diketengahkan oleh al-Farabi, iaitu:

l Kemampuan fizikal � Mempunyai tubuh badan yang sempurna, sihat dan bertenaga atau berkemampuan supaya dapat menjalankan tugasnya dengan mudah.

l Daya ingatan yang kuat � baik hafalan (ingatan) mengenai sesuatu yang dia faham, lihat dan juga bukan seorang yang pelupa.

l Kecerdasan akal � Baik kefahamannya dan dapat menggambarkan setiap sesuatu yang dilafazkan atau diucapkan, serta mengetahui apa yang harus dibuat.

l Bijaksana � Bijaksana dan cerdik apabila mendengar sesuatu. Walaupun dengan reaksi saja, dia boleh memahami sesuatu perkara.

l Cintakan ilmu pengetahuan � Sangat suka atau berminat pada ilmu pengetahuan, senang menerima ilmu dan tidak berasa penat dalam menimba ilmu pengetahuan.

l Luas pengetahuan dan peka dengan sesuatu situasi semasa � Dapat membuat penjelasan atau huraian yang jelas berhubung dengan sesuatu perkara yang berlaku secara cepat, jelas dan tepat.

l Bersederhana � Tidak bersikap buruk, lebih-lebih lagi dalam hal mengenai makan minum dan hubungan kelamin serta menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang hanya untuk bersuka-suka.

l Cintakan kebenaran � Memiliki sifat kebenaran dan mencintai kebenaran dan membenci sifat sebaliknya.

l Berhemah tinggi � Memiliki jiwa besar atau berhemah tinggi hingga dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara remeh-temeh.

l Tidak mencintai kekayaan dan tiada kepentingan diri � Tidak berminat untuk mengumpulkan wang ringgit dan segala bentuk kekayaan dunia yang lain.

l Adil kepada semua pihak � Bersikap prokeadilan dan antikezaliman dan penindasan, tidak mudah dipengaruhi oleh perkara yang buruk, sebaliknya mudah diseru kepada kebaikan, keadilan dan seumpamanya.

l Berani dan berazam tinggi � Mempunyai keazaman yang kuat dan berani menghadapi sesuatu perkara yang dirasakan perlu dilakukan dan tidak mudah lemah semangat atau jiwa.

Al-Mawardi pula menjelaskan beberapa kriteria seorang pemimpin yang berwibawa, iaitu seseorang yang adil dengan erti kata yang sebenarnya dalam semua tindakan sama ada pada dirinya atau kepada orang lain; mempunyai ilmu agama (faqih) yang sempurna hingga melayakkan berijtihad dalam sesuatu perkara apabila dia perlu berbuat demikian; mempunyai anggota badan yang sempurna supaya dia dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan lancar; memiliki pancaindera yang sempurna dari segi penglihatan atau pandangan dan pendengarannya kerana kecacatan dalam salah satu daripadanya boleh mengurangkan keupayaannya mengendalikan sesuatu urusan negara; mempunyai fikiran yang baik supaya dapat mengatasi segala masalah rakyat dan mengendalikan kebajikan mereka; bersikap berani berjihad memerangi musuh kerana mahu menjamin keselamatan rakyat. (Lihat Dr Raja Roslan, dkk, Peranan Komunikasi Kepemimpinan Diri dan Organisasi Dalam Perspektif Islam)

Mungkin kita boleh menambah satu kata lagi dalam kata-kata hikmah pada permulaan tulisan ini dengan berkata: "Jika seorang anak hidup dengan agama, dia belajar untuk mencari kedamaian" atau dalam perkataan lain, pemimpin yang beragama akan membawa umat kepada kedamaian. Wallahu a'lam.

INFO: Pemimpin ideal pada pandangan Al-Mawardi

# Adil dalam semua tindakan sama ada pada dirinya atau kepada orang lain.

# Mempunyai ilmu agama (faqih) yang sempurna hingga melayakkan berijtihad dalam sesuatu perkara apabila dia perlu berbuat demikian.

# Mempunyai anggota badan yang sempurna supaya dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lancar.

# Memiliki pancaindera sempurna dari segi penglihatan atau pandangan dan pendengarannya.

# Mempunyai fikiran yang baik supaya dapat mengatasi segala masalah rakyat dan mengendalikan kebajikan mereka.

# Bersikap berani berjihad memerangi musuh kerana mahu menjamin keselamatan rakyat.

Saturday, March 28, 2009

10 pintu masuk syaitan kuasai hati manusia

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Suburkan diri dengan iman sebagai perisai tangkis godaan lakukan maksiat

KETERBUKAAN manusia mengundang kehadiran syaitan dalam diri ada kaitan dengan sifat mazmumah yang menjadi amalan kehidupan seharian. Melalui pelbagai perbuatan maksiat dalam sedar atau tidak, sebenarnya menyediakan ruang syaitan menapak dalam diri.

Apabila syaitan sudah meraja dalam diri, individu sanggup melakukan apa juga perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan.

Hati, organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia pada saat itu juga goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana merayap untuk menguasai tunjang dalam badan manusia.

Berlumbalah syaitan untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka sedaya upaya menawan hati itu dan memujuk nurani manusia supaya melanggar segala perintah Allah.

Allah berfirman bermaksud: "Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya." (Surah an-Nisa', ayat 120-121)

Beruntung manusia yang berupaya menangkis godaan syaitan. Menurut ulama, syaitan menguasai tubuh badan manusia melalui 10 pintu:

# Sifat sombong dan angkuh

Dua sifat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia yang lazimnya mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan.

# Bakhil dan kedekut

Setiap harta benda dan kemewahan adalah kurniaan Allah yang harus dibelanjakan ke jalan benar. Ia boleh digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau sedekah.

# Takbur dan bongkak

Sifat ini selalu bertapak dalam diri manusia yang berasakan memiliki segala-galanya dalam hidup. Mereka terlupa kesenangan dan kenikmatan dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur." (Surah an-Nahl, ayat 23)

# Sifat khianat

Khianat yang dimaksudkan bukan saja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi perjanjian atau perkongsian yang dibuat.

# Tidak suka menerima ilmu dan nasihat

Junjungan Rasulullah SAW selalu menasihati sahabat supaya mengelakkan diri daripada menjadi golongan keempat di kalangan manusia yang dibenci Allah iaitu tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.

# Hasad dengki

Sifat ini selalu diikuti rasa benci dan dendam berpanjangan. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Hindari kamu sifat hasad kerana ia memakan amalan kamu seperti api memakan kayu kering." (Hadis riwayat Bukhori dan Muslim)

# Meremehkan orang lain

Sifat ego manusia selalu lahir apabila individu berasa dirinya sempurna berbanding orang lain yang dilihat terlalu kecil dan kerdil dengan apa dia miliki.

Abu Umamah pernah meriwayatkan Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: "Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua Muslim, orang berilmu dan imam yang adil." (Hadis riwayat Muslim)

# Sifat ujub atau bangga diri

Menurut Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Jangan kamu bersenang-lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah bukan orang yang bersenang-senang saja." (Hadis riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

# Suka berangan-angan

Islam antikemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam hidup dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian tinggi tetapi amat malas berusaha untuk memperolehnya.

# Buruk sangka

Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidik amat dicela Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang sudah rosak dirinya." (Hadis riwayat Muslim)

Perkasa sahsiah diri kembalikan kegemilangan Islam

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

UMAT Islam pernah menjadi umat cemerlang, gemilang, terpandang, dikagumi dan digeruni bukan Islam. Umat Islam hidup dalam suasana aman dan maju serta sedikit tiada rasa takut di hati untuk melaksanakan ibadat atau menjalani kehidupan seharian.

Inilah gambaran umat Islam yang hidup di bawah asuhan dan kepemimpinan Rasulullah SAW di Madinah. Hari ini kedudukan umat Islam jauh berbeza, sudah begitu lemah, mudah ditindas dan dianiayai musuh Islam tanpa rasa gerun sedikit pun.

Keadaan ini berlaku kerana sesetengah masyarakat Islam menyimpang daripada ajaran sebenar. Kita dapat perhatikan dalam kehidupan sehari-hari cara mereka berpakaian, bergaul dan bermuamalah.

Pelakuan ini menimbulkan pelbagai masalah seperti sumbang mahram, pesta seks, fitnah, minum arak, buang bayi dan pembunuhan. Umat Islam harus insaf dengan keadaan yang memilukan dan memalukan ini.

Kita mesti faham tidak ada yang dapat mengubah nasib selain kita sendiri yang berusaha mengubahnya. Hal ini pernah ditegaskan Allah dalam firman bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah diri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapa yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya." (Surah ar-Ra'd, ayat 11)

Bagi menjadi umat Islam cemerlang dan gemilang, bersemangat waja, kita perlu kita menghayati ajaran Islam dalam kehidupan. Allah berfirman bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Apabila individu Muslim menjalankan amar makruf nahi mungkar, akan terbina akhlak dan sahsiah diri mengikut acuan Islam. Sesungguhnya umat yang baik, bermula daripada individu seperti dinyatakan Syeikh Said Hawa bahawa untuk menjadi umat yang baik mesti bermula dengan pembinaan sahsiah diri, memperteguhkan iman dan akidah.

Perkara ini yang pernah diterapkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada awal perkembangan dan kemunculan cahaya Islam di tanah Arab.

Di samping itu, umat Islam akan muncul sebagai umat yang kuat, tahan diuji serta digeruni jika menguasai pelbagai ilmu pengetahuan. Jika diperhatikan, sesungguhnya bangsa yang maju sejak dulu hingga kini adalah bangsa yang memiliki ilmu pengetahuan.

Lantaran pentingnya ilmu, Islam mewajibkan setiap Muslim menuntut ilmu pengetahuan. Memang benar seperti diungkapkan Dr Muhammad Ghazali, cukup untuk menegaskan Islam ialah agama ilmu dan akal. Islam menghendaki umatnya pandai memegang kalam dan otak dipenuhi beraneka ilmu.

Seseorang insan berilmu akan terjamin kesejahteraan hidup dan diredhai Allah serta mendapat kemuliaan di sisi-Nya seperti dalam firman yang bermaksud: "Diangkat Allah orang yang beriman daripada kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Senada dengan itu, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Bahawa ilmu pengetahuan itu menambah mulia orang yang mulia dan meninggikan seorang budak (hamba) sampai ke tingkat raja." (Hadis riwayat Abu Naim dan Anas)

Hari ini umat Islam perlu berdiri tegak atas landasan ajaran Islam sebenar sehingga terbentuk umat gemilang, terhormat dan boleh bersaing dengan bangsa yang sudah maju.

Kualiti umat penentu kecemerlangan negara


ATAS tekad dan usaha gigih tidak mustahil kita mampu menempuh cabaran seterusnya dan mencapai hasrat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 nanti. - Gambar hiasan


PERBINCANGAN mengenai kualiti umat tidak seharusnya berlegar di sekitar produktiviti material dan kemahiran semata-mata tetapi kualiti yang dimaksudkan meliputi kejiwaan, intelektual dan spiritual yang digabungkan dengan kualiti fizikal seperti berketrampilan, rajin, beretika, beriman serta berwawasan.

Kualiti ditafsirkan sebagai ciri perkhidmatan seperti kesopanan, kemesraan dan ketetapan masa atau ciri luaran seperti daya ketahanan, kebolehpercayaan, estetik, peranan dan keselamatan. Semua ciri itu bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan individu bagi mencapai kejayaan sesebuah agensi dan seterusnya negara.

Bagaimanapun, usaha mempertingkatkan kualiti harus dilihat sebagai satu proses yang menyeluruh dan bersepadu membabitkan semua anggota sesebuah agensi atau persatuan.

Islam sendiri menekankan perlunya umat Islam berusaha dan berlumba-lumba membina masa depan serta mencari kejayaan seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Berlumbalah kamu mengerjakan kebaikan, di mana saja kamu berada, nescaya Allah akan mengumpulkan kamu semua, sesungguhnya Allah itu berkuasa atas segala sesuatu.”

Ternyata, Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW menghendaki kita supaya sentiasa berusaha mencari kemajuan dan kejayaan berteraskan prinsip Islam bagi mendapatkan keredaan Allah.

Mengimbas sejarah perjuangan Rasulullah SAW, pastinya kita melihat bagaimana kejayaan penuh gemilang dicapai Baginda hanya dalam jangka masa singkat. Lebih-lebih lagi jika diteliti detik dilalui pada permulaan sejarah kerasulannya di Makkah, seolah-olah tidak menjanjikan apa-apa kerana sentiasa berada di bawah tekanan pihak Musyrikin.

Apabila berhijrah ke Madinah, keadaannya berbeza sekali. Islam diterima sebilangan besar penduduknya berbanding usaha Baginda SAW ketika di Makkah. Kejayaan Rasulullah SAW bukan sekadar menyebarkan Islam dan membangunkan masyarakat, malah lebih daripada itu.

Baginda SAW mementingkan kualiti sebenar yang harus ada pada jiwa pengikutnya supaya negara Islam dibina Baginda benar-benar berada di atas pundak yang kukuh imannya kerana dengan Islam dan iman lahirnya amal salih yang berguna kepada setiap insan.

Penghidupan dihiasi akhlak Islam dan nilai hidup berteraskan syariat Allah berjaya mencipta tamadun manusia dan mampu dipertahankan sebegitu lama. Tamadun yang diciptakan Muhammad SAW menerusi wahyu Ilahi adalah tamadun bersifat syumul demi kejayaan dunia dan akhirat.

Perjuangan Rasulullah SAW bukan saja untuk membawa manusia meninggalkan dunia demi mengejar akhirat semata-mata, pengorbanan dan kepayahan dihadapi Baginda menegakkan Islam adalah untuk mencapai kedua-duanya sekali.

Benarlah sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan tuntutlah olehmu akan apa saja yang sudah disediakan kepadamu di akhirat dan jangan sekali-kali kamu lupa memperjuangkan nasibmu di dunia (untuk mencapai kemajuan) dan berbuat baiklah (kepada manusia) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu di samping itu jangan sekali-kali kamu melakukan angkara jahat di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berbuat kerosakan.” - (Surah al Qasas, ayat 77)

Menghadapi proses pembangunan negara dan pembangunan insan, kualiti umat harus digilap supaya keseimbangan kemajuan negara disaingi ketinggian martabat umat itu sendiri. Umat Islam perlu mempunyai disiplin, menjaga peraturan, menghormati masa, tekun, sabar, beramal salih dan semangat daya juang yang kental.

Umat berkualiti adalah penentu kejayaan dan kecemerlangan negara. Tanpanya, segala halangan dan tentangan yang dihadapi bagi mencapai matlamat wawasan negara, tidak akan dapat ditangkis oleh umat yang lemah.

Islam sentiasa menekankan prinsip kesungguhan dan dedikasi berteraskan ilmu dalam mencapai kejayaan. Islam juga menitikberatkan umatnya melaksanakan pekerjaan secara bersungguh-sungguh tanpa rasa jemu dan kecewa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu membuat sesuatu perkara, ia melakukannya dengan tekun.” - (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Kejayaan umat Islam mesti berasaskan kepada struktur perencanaan yang rapi, kualiti digarap dan ketahanan spiritual mantap, barulah seluruh umat manusia akan menikmati kehidupan berdisiplin, berilmu, inovasi dan produktif.

Segala bentuk kemajuan serta wawasan yang dicita-citakan tidak akan tercapai sepenuhnya tanpa adanya perancangan teliti dan konkrit. Abul ‘Ala al Maududi dalam karyanya menegaskan pentingnya umat Islam menjadi maju dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Istilah al Hadarah al Islamiyah (tamadun Islam) digunakan oleh beliau sebagai membuktikan bahawa umat Islam menjadi penyumbang utama kepada tamadun dunia sejak berabad lamanya dengan pencapaian gilang gemilang dalam pelbagai bidang. Ini membuktikan umat terdahulu lebih berkualiti dalam tindakan mereka bagi memastikan kelangsungan hidup umat masa hadapan yang cemerlang.

Umat berkualiti tidak selamanya memadai dalam menunaikan kewajipannya pada kadar yang dipertanggungjawabkan saja, malah bagi mencari manfaat, umat Islam hendaklah sentiasa menunaikan tugas melebihi daripada had yang sudah semestinya.

Justeru, umat Islam tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dan memintas peluang dengan memijak orang lain. Kejayaan sebenar di sisi Islam adalah hasil usaha kudrat sendiri berlandaskan ciri agama.

Orang yang mempunyai wawasan hidup, tidak akan menerima kekayaan secara percuma lebih-lebih lagi diragui halalnya. Mereka berkeyakinan, kekayaan seumpama itu tidak akan kekal lama kerana mungkin di sebalik kekayaan itu berlaku penindasan dan kezaliman terhadap orang lain.

Jika kita meneliti perjuangan Rasulullah SAW, jelas menunjukkan kejayaan yang diperoleh, bukan sekadar kejayaan di dunia malah kejayaan di akhirat. Pengorbanannya paling tinggi. Perjuangannya penuh cabaran. Halangan yang ditempuh bukan sebarangan. Namun perjuangan tetap diteruskan.

Jika habuan dan keseronokan dunia yang diperjuangkan Muhammad SAW semata-mata, maka Baginda sudah lama mencapainya ketika di Makkah lagi. Sewaktu ditawarkan oleh Musyrikin kepada Muhammad SAW harta, kemuliaan, pangkat, wanita cantik, semuanya ditolak.

Rasulullah SAW berpandangan jauh. Baginda tidak menerima kekayaan yang singkat tanpa perjuangan bagi meraih kejayaan. Kejayaan sebenarnya ialah apabila Islam dapat disebarkan bukan saja di Tanah Arab malah ke Asia, Afrika, Eropah dan seluruh dunia hinggalah yang kita lihat hari ini.

Di sinilah letaknya kualiti perjuangan diasaskan Rasulullah SAW yang perlu diwarisi seluruh umat Islam jika ingin kejayaan hidup yang diredai Allah.

Kegigihan umat Islam dalam babak mencipta kemajuan akan menjadi mudah jika kepemimpinan negara sentiasa menerapkan nilai Islam dalam pentadbiran, ekonomi dan pendidikan.

Tokoh pemikir Islam, Malek Bin Nabi ada menyatakan tujuan kewujudan sesebuah masyarakat ialah merealisasikan kehendak Islam pada peringkat individu dengan peringatan bahawa kehidupan duniawi adalah jalan menuju kehidupan akhirat. Islam cara hidup paling relevan.

Islam mahukan umatnya cemerlang, bermutu, berkualiti tinggi, sentiasa terkehadapan. Jika perkara ini dapat dijadikan sumber ketahanan kejayaan umat Islam, tidak mustahil kita mampu menempuh cabaran seterusnya dan mencapai hasrat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 nanti.

Friday, March 27, 2009

Politik wang wariskan pemimpin tidak berkualiti

Oleh Ghafani Awang Teh

Proses demokrasi tercalar, sistem bernegara tergugat jika perebutan kuasa jadi agenda utama

PERBUATAN merebut dan mencantas pihak lain untuk menjadi pemimpin adalah bercanggah dengan ajaran Islam dan hak asasi manusia. Rasulullah SAW menegah umat Islam daripada meminta-minta untuk menjadi pemimpin dalam urusan pentadbiran negara.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa suatu ketika Abdul Rahman Samurah ditegur Rasulullah SAW, sabdanya yang bermaksud: "Wahai Abdul Rahman Samurah, jangan engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Jika diberi kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan."

Hadis ini menjelaskan dalam Islam jawatan pemimpin adalah tanggungjawab yang berat. Ia bukan status yang direbut bagi mendapatkan sanjungan dan keistimewaan. Oleh itu, Islam menegaskan jawatan pemimpin tidak boleh ditagih mengikut desakan naluri dan nafsu semata-mata.

Bahkan, proses pemilihan pemimpin atau pentadbir perlu dilakukan dengan adil berasaskan kelayakan, karisma dan ciri kepemimpinan seperti bertakwa, berakhlak tinggi, bertanggungjawab, sabar, boleh merancang dan bijak melaksanakan tugas.

Allah mengingatkan kepemimpinan paling berkesan ialah kepemimpinan melalui teladan seperti ditunjukkan Rasulullah SAW. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya sudah datang kepada kamu seorang rasul daripada golongan kamu sendiri yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang beriman." (Surah at-Taubat, ayat 128)

Pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang dan prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka. Justeru, memegang kuasa melalui kemenangan politik wang hanya memberi keseronokan sementara untuk diri dan penyokong.

Budaya politik wang yang bertujuan memenuhi kepentingan diri dan segelintir puak memberi kesan penderitaan jangka panjang kepada negara dan rakyat. Sejarah silam tamadun Islam menunjukkan bagaimana pemimpin terbabit politik wang, tamak kuasa, mengutamakan puak dan keluarga serta mementingkan nafsu menjadi penyebab utama tumbangnya kerajaan Umaiyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah.

Politik wang menimbulkan perpecahan di kalangan pemimpin. Mereka berusaha menjatuhkan rakan seperjuangan dan pihak lawan walaupun secara tidak sah demi mencapai matlamat dalam politik.

Perebutan sengit kadangkala melalaikan mereka melaksanakan tugas hakiki iaitu memberi perkhidmatan memuaskan kepada masyarakat. Gelagat dan tingkah laku buruk pemimpin ini boleh menimbulkan rasa bosan dan meluat di kalangan rakyat.

Keadaan bosan berterusan menggugat sistem bernegara kerana rakyat hilang kepercayaan dan keyakinan kepada pemimpin yang asyik mengejar atau mengaut kepentingan diri. Dengan perkataan lain, 'pemimpin bertelagah rakyat berpecah'.

Oleh itu, kita perlu insaf budaya politik wang mewariskan pemimpin tidak berkualiti, berakhlak dan berintegriti. Pemimpin yang berkuasa melalui politik wang melahirkan pemimpin yang mudah mengamalkan rasuah dan perbuatan keji lain. Lebih malang, amalan politik wang menutup proses demokrasi secara sihat kerana orang yang berduit saja berpeluang menjadi pemimpin besar.

Pihak yang tiada wang tidak berpeluang menjadi pemimpin walaupun benar-benar layak memimpin.

Kita juga perlu mengambil pengajaran ada pemimpin yang baik, tetapi terikut-ikut dengan kehendak dan tekanan penyokong dalam memenuhi agenda politik wang, maka pemimpin berkenaan tersungkur.

Kini orang Islam masih menjadi kuasa utama kepemimpinan negara. Kekuatan politik yang ada di tangan umat Islam menjadi ukuran kestabilan politik di negara ini. Oleh itu, apabila kuasa politik Islam lemah, maka pihak lain akan mengambil kesempatan.

Kita perlu ingat kelemahan kepemimpinan Islam menyebabkan pihak tertentu mengambil peluang memperhebatkan tekanan yang mencabar institusi Raja sebagai ketua agama Islam, mempertikai Islam dalam Perlembagaan dan pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini.

Prinsip ketiga pendekatan Islam Hadhari menetapkan kerajaan perlu berlaku adil dan beramanah. Untuk mencapai matlamat itu, amalan buruk dalam berpolitik seperti politik wang, menyalahgunakan kuasa dan rasuah perlu ditolak dan dihapuskan. Mereka yang mengamalkan budaya ini tidak wajar diberi ruang sebagai pemimpin.

Mereka yang berjaya menjadi pemimpin secara sah mempunyai amanah dan tanggungjawab besar di sisi Allah. Mereka bertanggungjawab menentukan hala tuju negara dan rakyat ke arah pegangan hidup selari dengan ajaran al-Quran dan sunah. Pemimpin yang menunjukkan teladan, amanah dan baik terus disanjung serta ditaati rakyat.

Sebagai peringatan dalam pencarian pemimpin elok kita renungi rakaman pertukaran pemimpin antara Nabi Musa dan Nabi Harun dalam al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan berkatalah Musa kepada saudaranya Harun: "Gantikan aku dalam (urusan memimpin) kaumku, dan perbaikilah dan jangan engkau menurut jalan orang yang melakukan kerosakan." (Surah al-A'raf, ayat 142)

Penulis ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Istiqamah laksana amanah bela rakyat sifat pejuang sejati

Oleh Amran Zakaria

ISTIQAMAH antara sifat yang amat dititikberatkan Islam. Sifat ini yang akan menjamin kejayaan di dunia dan akhirat. Istiqamah adalah disiplin agama yang menganjurkan umatnya melakukan pekerjaan dan amalan berterusan.

Istiqamah adalah perkataan Arab bermakna terus diminta berdiri. Istiqamah dalam konteks ini merujuk kepatuhan, ketaatan dan ketekunan mengamal serta melaksanakan tugasan atas kepentingan agama serta ummah. Jelas, istiqamah sebagai disiplin adalah pelengkap penting dalam mencapai aspirasi yang dihasratkan.

Daripada Abi Amrah Sufyan Abdillah katanya: "Aku bertanya: Ya Rasulullah, ajar kepadaku mengenai Islam, perkataan yang tidak perlu aku bertanya seseorang pun selain daripadamu. Sabda Nabi SAW: Katakan aku beriman dengan Allah, kemudian istiqamah."

Namun keseluruhan makna yang dicadangkan mengenai istiqamah menjurus kepada terus menerus dalam kerja dan tugasan. Pemimpin yang beristiqamah melaksanakan tanggungjawab diamanahkan secara berterusan dan tidak bermusim.

Rasulullah SAW pernah ditanya amal yang disukai Allah. Baginda menjawab: "Amal paling disukai Allah adalah amal dilakukan secara rutin walaupun sedikit." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Tuntutan beristiqamah bukan saja menjadi kewajipan umat Islam, malah rasul dan nabi ditegaskan Allah supaya terus beristiqamah dalam menjalankan tugas serta kewajipan kerasulan dan kenabian mereka. Firman Allah bermaksud: "Maka beristiqamahlah engkau seperti engkau diperintahkan." (Surah Hud, ayat 112)

Allah mengingatkan Nabi Musa supaya terus beristiqamah ke jalan Allah serta tabah menghadapi cabaran dan ugutan Firaun. Firman Allah yang bermaksud: "Maka beristiqamahlah kamu berdua dan jangan kamu ikut jalan orang yang tidak tahu." (Surah Yunus, ayat 89)

Ibnu Taimiyyah dalam bukunya Al-Siyaasah as-Syar'iyyah pernah menegaskan kepemimpinan adalah amanah. Justeru, untuk memilih pemimpin tugas yang diamanahkan perlu dilaksanakan secara bijaksana. Pemimpin yang berkesan sentiasa istiqamah dalam perjuangan. Sifat pantang menyerah dan berterusan secara bersama bagi seorang pemimpin amat penting dan perlu diutamakan bagi memastikan gerak kerja tidak berciciran di tengah jalan. Pemimpin yang hilang daya, menjalankan tanggungjawab dan kegiatan secara bermusim ialah pemimpin yang tidak istiqamah. Apabila tiba masa memilih pemimpin, baru menunjukkan seolah-olah mereka bekerja.

Hakikatnya kedudukan pemimpin tidak ada bezanya dengan rakyatnya. Pemimpin tidak harus menganggap dirinya istimewa. Ia hanya orang yang didahulukan selangkah kerana mendapatkan kepercayaan melaksanakan tanggungjawab dan amanah.

Pemimpin yang baik memiliki sifat terbuka untuk dikritik. Mereka harus mendahului aspirasi rakyat dan terbuka menerima kritikan bersifat membina. Mereka tidak seharus menganggap kritikan sebagai alat pemusnah untuk menjatuhkannya oleh lawan.

Saidina Umar berkata: "Belajarlah sebelum kamu menjadi pemimpin". Maknanya, pemimpin perlu menimba pelbagai ilmu supaya sedia menghadapi kemungkinan yang datang. Pemimpin yang berterusan dengan amanah rakyat menjadi kunci kepada keyakinan serta kepercayaan orang bawahan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, lantas tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk kebaikan mereka dan tidak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka." (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam pemilihan kepemimpinan yang bersifat demokrasi, undi rakyat adalah kuasa penentu. Menggunakan wang untuk mendapat sokongan adalah mencabul hak demokrasi diamalkan.

Islam membenci pemimpin memberi wang (rasuah politik) dan mereka yang menerima wang). Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Semua jasad yang tumbuh daripada penghasilan yang haram, maka nerakalah yang lebih sesuai untuknya." (Hadis riwayat Tirmizi)

Pemimpin sejati sentiasa meletakkan dirinya berbakti untuk rakyat dan mengabdikan diri kepada Allah. Pemimpin perlu senantiasa memohon pertolongan Allah dan berbuat ihsan sesama manusia.

Umumnya al-Quran sudah memberi gambaran kriteria pemimpin yang harus dipilih, iaitu seperti ditegaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Dan sesungguhnya sudah Kami tulis dalam Zabur sesudah (sesudah Kami tulis dalam) Luh Mahfuzh, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-Ku yang salih." (Surah al-Anbiya', ayat 105)

Meletakkan pertimbangan iman dan akal dituntut ketika membuat pemilihan menentukan barisan kepemimpinan. Sikap untuk cuba sewajarnya mesti dikikis ketika membuat pemilihan. Renunglah masa depan ummah dan generasi akan datang. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Surah Muhammad, ayat 7)

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)

Thursday, March 26, 2009

Nabi melaknat pemberi, penerima rasuah

Oleh Nik Salida Suhaila

Sifat tamak haloba meminggir hukum agama dalam melaksanakan urusan harian

SIFAT manusia sering pelupa, tentulah kita perlu sentiasa mengingatkan supaya tidak terus leka. Halangan dan rintangan dalam kehidupan kadangkala tidak tertanggung oleh sesiapa, apatah lagi wang ringgit di depan mata.

Itulah yang gawat dalam organisasi, akauntabiliti tidak dipandang lagi, kredibiliti sudah tidak bererti, yang tinggal hanyalah janji bakal dimungkiri. Hari ini, kepemimpinan dan pentadbiran goyah dengan amalan rasuah.

Ia adalah satu contoh amalan berbentuk 'mata pencarian' tidak halal dan daripada sumber haram sama sekali. Malangnya, ia berlaku di mana-mana saja lantaran kurangnya keinsafan segelintir manusia mengenai akibat memakan sesuatu yang tidak baik dan tidak berjaga-jaga mengenai keselamatan dirinya di akhirat kelak.

Suruhan Allah supaya kita mencari rezeki daripada sumber halal ada sebabnya. Amalan rasuah iaitu perbuatan memberi sogokan kepada seseorang sama ada dalam bentuk wang ringgit, imbuhan, perkhidmatan atau faedah lainnya untuk membolehkan sesuatu dihajati seseorang itu diperoleh adalah perbuatan dikeji Allah.

Mengambil harta orang lain dengan cara salah adalah perbuatan mengingkari perintah Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang lain di antara kamu dengan jalan salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian daripada harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui salahnya." (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Ia kerana perbuatan memberi sogokan untuk mendapatkan 'sesuatu' adalah sifat diwarisi daripada sifat syaitan, iaitu musuh kepada seluruh umat Islam di dunia. Implikasinya juga besar, iaitu manusia boleh berbohong, menyatakan yang salah dan menidakkan yang benar.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Rasulullah SAW juga melaknat orang memberi dan menerima rasuah. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Daripada Abdillah bin Amru: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah." (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Orang yang tidak bersyukur kepada Allah juga mudah mengikut jejak langkah syaitan durjana yang fungsinya menghancurkan keimanan umat Islam. Sifat memberi dan menerima rasuah contohnya adalah satu sifat tamak haloba yang meminggirkan hukum agama dalam menjalankan urusan harian.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Makanlah daripada benda yang baik, halal, yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadat kepada Allah." (Surah al-Baqarah, ayat 172)

Satu-satunya tonggak boleh menghalang daripada berlakunya amalan rasuah dalam urusan harian adalah sifat amanah. Tidak semudah menyebutnya, amanah adalah sifat terpuji yang ditonjolkan Rasulullah SAW, khulafa' al-Rasyidin dan sahabat yang sentiasa mendampingi serta mengikuti akhlak Baginda.

Sikap amanah menjadikan kepemimpinan Rasulullah SAW diangkat sebagai kepemimpinan paling mulia untuk diteladani. Sifat pemimpin masa itu yang adil serta bijaksana mengatur strategi dakwah, sangat berkesan sebagai serampang dua mata kepada agama wahyu iaitu memimpin dan mendidik orang yang dipimpin.

Bukan sekadar memberi peringatan, Rasulullah SAW mendidik umat di bawah tadbirannya untuk mencontohi watak Baginda yang rendah diri tetapi besar hatinya, sikit harta tetapi banyak ilmunya, tenang bicara tetapi dalam maknanya dan kecil tanah jajahannya tetapi satu dunia dan akhirat ini sempadannya.

Kepemimpinan yang cemerlang itu menakutkan orang kafir Quraisy yang akhirnya menawarkan sesuatu kepada Rasulullah SAW supaya Baginda dapat bekerjasama dengan mereka tetapi ditolak.

Rasulullah SAW pernah ditanya bagaimana caranya supaya Allah mudah memakbulkan doa hambanya. Diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tabarani, "Daripada Saad bin Abi Waqas, ia berkata: Wahai Rasulullah serulah kepada Allah untuk menjadikan aku orang yang mustajab dengannya. Bersabda Rasulullah SAW: Wahai Saad, perbaikilah makananmu, nescaya kamu menjadi orang yang dikabulkan doanya. Demi jiwa Muhammad dalam genggaman-Nya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amal kebajikannya selama 40 hari. Dan barang siapa yang daging dalam badannya tumbuh daripada yang haram dan hasil riba, maka api neraka lebih layak baginya."

Seseorang pemimpin yang cemerlang dalam pentadbiran adalah paling amanah terhadap tanggungjawabnya dan tidak berkira mencurahkan bakti terhadap orang yang dipimpin. Kita boleh membayangkan dalam sebuah keluarga yang mempunyai suami atau bapa yang amanah, ia pasti kuat bekerja untuk mencari rezeki halal untuk isteri dan anak.

Isteri atau ibu yang amanah, tidak berkeluh kesah menjalankan tugas rumah tangga serta mengandung, melahir dan membimbing setiap cahaya mata dengan baik, sementara anak yang amanah tidak akan memungkiri janji kepada ibu bapa untuk menjadi insan terbilang.

Realitinya, kita boleh lihat bagaimana sebuah kehidupan tidak lagi sarat dengan sifat amanah, warganya pasti porak-peranda, kucar-kacir dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam menuju masa hadapan cemerlang.

Daripada Abi Hurairah, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila hilang amanah maka tunggulah kedatangan hari kiamat. Maka bertanya seorang lelaki: Bagaimana hilangnya amanah itu? Sabda Rasulullah SAW: Iaitu apabila sesuatu urusannya diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah kerosakan dan kebinasaan." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nilai, Negeri Sembilan.

Berdoa juga perlu mengikut adab serta syarat tertentu

DARIPADA Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada orang mukmin seperti diperintahkan-Nya kepada rasul. Firman-Nya: Wahai rasul, makanlah makanan baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal salih. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Mukminun, ayat 51)

Firman Allah lagi: Wahai orang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang kami rezekikan kepadamu. (Surah al-Baqarah, ayat 172). Kemudian Nabi SAW menceritakan mengenai seorang lelaki sudah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut-masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya ke langit dan berdoa: Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya daripada barang haram, minumannya daripada yang haram, pakaiannya daripada yang haram dan dia diasuh dengan makanan haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya." (Hadis riwayat Muslim)

Berdoa itu tidak boleh dilakukan secara semberono (tidak berhati-hati) dan sembarangan, tetapi perlu kepada adab serta syarat tertentu. Orang yang berdoa sambil lewa dan menganggap berdoa itu adalah suatu yang remeh adalah orang doanya jarang dikabulkan sehingga kemudian timbul prasangka buruk kepada Allah.

Memakan makanan halal dan baik adalah satu bentuk ketaatan kepada Allah dalam memenuhi segala perintah-Nya. Maka apabila seseorang itu selalu taat kepada Allah dalam segala perkara dan sentiasa berada dalam kebenaran, Insya-Allah segala yang dimohon akan dikabulkan Allah.

Kita hendaklah berdoa dengan penuh keyakinan, harapan dan rasa takut. Merendahkan diri dengan suara lirih, tenang, tidak tergesa-gesa, penuh khusyuk dan tahu akan hakikat diminta. Ia berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut." (Surah al-A'raf , ayat 55)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperoleh satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) serupa." (Hadis riwayat at-Tabrani)

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Wednesday, March 25, 2009

Peguam Syarie Menulis: Pemimpin dipilih perlu junjung ketinggian martabat agama Islam

http://peguamsyarie.org


KOMITMEN kepada Islam menjadi jati diri orang Melayu, tanpa Islam orang Melayu akan punah. - Gambar hiasan


Komitmen jadi penanda aras laksana tanggungjawab

PEMILIHAN kepemimpinan parti melihatkan pelbagai kemelut dan kontroversi tercetus. Namun penulis tidak berhasrat mencampuri urusan pemilihan kerana biarkanlah ahli parti menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Sebagai pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, penulis tidak dapat lari daripada bersemuka dengan ahli parti politik tidak kira daripada parti kerajaan mahupun pembangkang bagi membincangkan dan melontar idea memartabatkan Islam.

Bagaimanapun, dalam pemilihan kepemimpinan ini adalah penting pemimpin yang dipilih itu mempunyai komitmen tinggi kepada Islam yang menjadi jati diri orang Melayu. Tanpa Islam orang Melayu akan punah.

Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang berusaha menegakkan Islam dalam kepemimpinannya. Usaha yang dilakukan menjadi bukti komitmen seseorang itu terhadap Islam. Tidak perlulah diingatkan kedudukan istimewa Islam yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang bukan saja perlu dipertahankan malah dipertingkatkan lagi supaya menampakkan keindahan Islam sebagai sebuah tata cara kehidupan yang lengkap.

Kebelakangan ini kita melihat perkembangan positif apabila rakyat Malaysia mula mengambil berat dan peka terhadap hak diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Fenomena ini sangat baik kerana rakyat celik undang-undang adalah aset kepada perkembangan negara di samping tidak mudah diperkotak-katik orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.

Ruangan kali ini cuba mengupas kedudukan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa yang tidak akan terjejas walaupun negara dalam keadaan darurat dan tidak aman.

Perkara ini jelas dalam perkara 150 (6a) menegaskan ada enam hak tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat iaitu hak berkaitan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa.

Secara tersirat, sudah tentu Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan tinggi undang-undang itu berbanding undang-undang lain. Undang-undang itu menikmati kedudukan lebih tinggi dan tidak boleh diganggu-gugat melalui cara tidak diperuntukkan perlembagaan.

Hal ini termasuk Undang-Undang Pentadbiran Hukum Syarak, Undang-Undang Jenayah Syariah, Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Tatacara dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah. Oleh itu tiada sesiapapun boleh mempertikaikan undang-undang disebutkan.

Tidak keterlaluan dikatakan undang-undang Islam adalah lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya. Natijah daripada kedudukan tinggi ini, sudah sewajarnyalah jika ada pertelingkahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain, maka tafsiran yang memihak undang-undang Islam (yang dari segi kedudukannya lebih tinggi dari undang-undang lain) hendaklah dipakai.

Secara hipotesisnya, jika negara diisytiharkan darurat, semua undang-undang digantung pelaksanaannya, namun undang-undang Islam termasuk Undang-Undang Keluarga Islam masih berkuat kuasa.

Ini bermakna Mahkamah Syariah boleh beroperasi dan orang Islam masih boleh melaksanakan upacara akad nikah menurut Undang-Undang Keluarga Islam. Inilah keistimewaan diberikan Perlembagaan Persekutuan kepada undang-undang Islam.

Sebenarnya keistimewaan ini bukan hanya diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal, kedudukan Islam memang sudah gah di sisi masyarakat dan bukanlah perkara asing bagi penduduk negara ini.

Malah keistimewaan undang-undang Islam tidak pernah berganjak walaupun negara sudah dijajah beberapa penjajah selama ratusan tahun. Jika penjajah pun tidak berani menyentuh ketinggian undang-undang Islam, takkan selepas lebih 50 tahun negara merdeka dan diperintah anak watan, keutuhan undang-undang Islam diperlekehkan.

Seharusnya pendekatan yang diambil meningkatkan lagi kedudukan undang-undang Islam bagi mencakupi segenap lapangan kehidupan umat Islam. Adalah penting bagi rakyat bukan saja mengetahui hak mereka, malah memahami falsafah serta semangat perlembagaan mengikut kerangka dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan bukanlah matlamat tetapi hanya alat bagi kita mencapai keadilan dan kesepakatan antara rakyat. Ia adalah garis panduan bagi memudahkan rakyat memakmurkan negara.

Negara kita bukan bermula tatkala Perlembagaan Persekutuan diwujudkan tetapi kehidupan dan kesepakatan itu sudah ada jauh lebih dulu sebelum perlembagaan wujud.

Perlembagaan Persekutuan hanyalah mengesahkan susun atur yang disepakati antara rakyat negara ini. Ia adalah dokumen berharga dan manifestasi keharmonian rakyat. Perimeter digariskan Perlembagaan Persekutuan hendaklah dihayati kerana tanpanya negara mungkin goyah.

Berbalik kepada pemilihan Umno ini, penulis menyeru supaya pemimpin yang dipilih meletakkan keutamaan memartabatkan Islam sebagaimana yang dijunjung Perlembagaan Persekutuan. Keutamaan ini sepatutnya menjadi penanda aras kepada setiap pemimpin yang dipilih itu.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia
(PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.org

Iqra: Menyingkap teladan haiwan dalam al-Quran



Judul: Haiwan Teladan dari al-Quran
Penerbit: Pustaka Azhar
Penulis: Nor Azlin Japar
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM58.80 (12 buku)

ADA banyak cara untuk mendidik anak supaya mengikut perbuatan atau amalan baik dan salah satu daripadanya melalui pembacaan. Kisah menarik bukan saja boleh merangsang minat membaca malah, menggalakkan pencarian ilmu pengetahuan.

Himpunan 12 buku siri Haiwan Teladan dari al-Quran adalah bahan bacaan yang dicadangkan kepada ibu bapa sebagai kaedah membimbing anak melalui penceritaan. Ia kerana kisah dan teladan selalunya mudah diterima sebagai fakta benar oleh kanak-kanak.

Buku mengisahkan haiwan yang disebut dalam al-Quran seperti ular, burung merpati, lembu betina dan ikan menyingkap keistimewaan mereka dalam perjuangan menegak agama Allah serta teladan boleh dicontohi anak-anak.

Buku ini menggunakan bahasa mudah difahami dengan ilustrasi menarik yang pastinya akan mendorong kanak-kanak untuk mengetahui kisah haiwan yang menjadi fokus cerita.

Kepintaran dan kebijaksanaan haiwan itu dipaparkan dalam buku cerita Lembu Betina yang Suci, Merpati Hidup Semula, Orang yang Tidak Beriman Menjadi Beruk, Tongkat Menjadi Ular, Kisah Unta Betina, Mengikut Perbuatan Gagak dan Gajah Raja Abrahah.

Buku lain ialah Hukuman Nabi Daud, Pengorbanan Ikan Nun, Anai-anai Mengerit Tongkat Nabi Sulaiman, Qitmir Anjing yang Cerdik dan Jasa Burung Pipit.

Selain himpunan buku Haiwan Teladan dari al-Quran, Pustaka Azhar turut menerbitkan Himpunan Kisah Perjuangan Nabi iaitu 16 buku mengenai nabi dan rasul yang berdepan dengan cabaran serta tentangan musuh mereka.

Kisah yang dipaparkan bukan asing bagi kanak-kanak serta orang dewasa kerana ia adalah petikan sejarah yang sudah sebati dengan kehidupan umat Islam. Bagaimanapun, gaya persembahan buku dengan bahasa mudah dan gambar menarik memberi kelainan.

Setanding dengan buku cerita rakyat yang menjadi kepercayaan masyarakat, kelebihan Himpunan Kisah Perjuangan Nabi ialah kisah diketengahkan penuh dengan teladan untuk menyedarkan generasi hari ini sejarah perkembangan Islam.

Kesanggupan nabi dan rasul menghadapi tentangan musuh mereka membuktikan keimanan teguh kepada Allah dan ini perlu diberi penekanan dalam mendidik anak hari ini terutama ketika berhadapan pelbagai cabaran.

Set yang dijual pada harga RM78.80 itu antara lain menceritakan kisah Nabi Nuh dengan kapal besarnya, Nabi Adam dan korban Habil dan Qabil, Nabi Ibrahim berdepan kezaliman Raja Namrud serta kisah kedegilan penduduk bandar Sadum menerima ajaran Nabi Lut.

Kisah diketengahkan sesuai dibaca semua lapisan umur kerana walaupun ditujukan kepada kanak-kanak, perjalanan hidup nabi sewajarnya sentiasa diulang baca untuk mende-katkan kita kepada perjuangan mereka mengembangkan agama Allah.

Kewajipan berdakwah jadi tiang tegakkan Islam

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Ajaran Nabi Muhammad meliputi semua masyarakat atau bangsa menghuni alam semesta

AJARAN dan hukum hakam antara rasul ada beberapa perbezaan, namun perbezaan ajaran itu hanyalah daripada segi syariatnya selaras perubahan sikap manusia, situasi dan zaman ketika mereka diutuskan.

Apabila Rasulullah SAW diutus sebagai nabi akhir zaman, maka agama yang dibawa Baginda menjadi akidah, syariat, ikutan dan sistem yang sempurna lagi lengkap untuk seluruh umat manusia. Justeru, kewajipan menyeru manusia adalah bersifat sejagat dan menyeluruh kerana Islam adalah sumber cahaya kepada semua orang tanpa mengira warna kulit, bahasa atau bangsa.

Islam tidak terbatas kepada satu umat atau kabilah saja, lebih-lebih lagi Rasulullah SAW tidak diutuskan untuk bangsa Arab semata-mata, malah Baginda diutus untuk orang Arab dan juga Ajam (bukan berbangsa Arab).

Baginda SAW adalah nabi dan rasul kepada manusia serta jin, jadi perutusan Muhammad yang menjadi penutup kepada ajaran sekalian rasul menjadikan ajarannya meliputi semua masyarakat atau bangsa yang menghuni alam semesta ini.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbia', ayat 107)

Perlu ditegaskan bahawa tugas berdakwah kepada Islam ini adalah antara kewajipan yang dituntut kepada umat Islam dalam usaha untuk menegakkan kalimah Allah. Perintah kewajipan berdakwah ini banyak disebut dalam al-Quran.

Allah berfirman yang bermaksud: "Serulah ke jalan tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik." (Surah al-Nahl, ayat 125)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Adakah ucapan yang baik itu melainkan mereka yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebaikan seterusnya berkata, 'sesungguhnya aku daripada kalangan orang beriman'." (Surah Fussilat, ayat 33)

Al-Sheikh Muhammad Amin al-Kurdi dalam bukunya Tanwir al-Qulub menjelaskan, ayat itu menjadi dalil yang jelas kepada kewajipan menyeru dan menegah. Kewajipan berdakwah menjadi tiang atau paksi yang menegakkan binaan Islam, menyempurnakan peraturannya serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Lebih menarik, berdakwah kepada Allah adalah amalan kebaikan dan kebajikan yang diperintahkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya." (Hadis riwayat Muslim)

Menyedari kepentingan tugas berdakwah kepada Allah di bahu setiap umat Islam, Sayyid Qutub dalam kitab tafsirnya Di Bawah Bayangan al-Quran ada menegaskan, tugas dakwah satu amanah yang cukup getir dan besar tanggungjawabnya.

Seluruh ruang lingkup kehidupan manusia bergantung sepenuhnya kepada hasil gerak kerja dakwah yang akan menentukan hala tuju hidup manusia, maju dan mundurnya bangsa, jatuh dan bangunnya masyarakat dan juga bakal menentukan nasib kesudahan umat.

Apabila umat betul-betul melaksanakan perintah Allah dengan berdakwah ke arah kebenaran dan keadilan Islam, maka mereka sudah menempa era gemilang dalam sejarah tamadun manusia. Sebaliknya, jika umat melalaikan tugas dakwah, mereka menempah tiket kesengsaraan dan penyesalan yang tiada titik penghujungnya di dunia dan akhirat.

Sudah tentu dosa dan kelalaian itu ditanggung oleh orang yang sudah dipertanggungjawabkan dengan tugas dakwah tetapi dia tidak melaksanakan amanah itu.

Ini bertepatan dengan perumpamaan yang digambarkan Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud: "Perumpamaan bagi seorang yang menegakkan hukum Allah dan membabitkan diri dalam tugas itu adalah seumpama satu kaum yang berkongsi menumpang sebuah kapal. Ada sebahagian mereka yang menumpang di sebelah atas kapal dan sebahagian lain lagi menumpang di sebelah bawahnya. Penumpang yang berada di bawah kapal apabila berhajatkan air, mereka akan naik ke atas lalu mengambil air itu. Lantas mereka berkata: Alangkah baiknya kalau kita menebuk lubang di bawah kapal ini, lalu kita mendapat air dengan mudah tanpa menyusahkan penumpang di sebelah atas.

"Justeru, jika mereka dibiarkan saja dan menebuk lubang di bawah kapal itu, nescaya semua penumpang kapal akan tenggelam binasa. Sebaliknya jika penumpang di sebelah atas menegur dan menghalang penumpang di bawah kapal berbuat demikian, nescaya mereka dan semua penumpang kapal akan selamat." (Hadis riwayat Bukhari).

Ada kalanya timbul juga persoalan di benak fikiran umat Islam dewasa ini iaitu apakah tugas berdakwah ke arah kebenaran ini hanya khusus kepada kelompok ulama yang ikhlas kerana mereka adalah pewaris nabi.

Orang ramai tidak dihalang menjalankan dakwah, malah sesiapa saja daripada kalangan umat Islam tidak kira apa kedudukan dan pangkatnya, boleh berdakwah dengan cara menunjukkan contoh teladan yang baik.

Apatah lagi Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sampaikanlah apa-apa saja yang diterima dariku walaupun sepotong ayat." (Hadis riwayat Bukhari).

Bersama YaPEIM: Kewangan kukuh faktor kejayaan perniagaan, berdaya saing

Oleh Prof Madya Dr Noor Azman Ali

KEMAMPUAN kewangan sudah dibuktikan sebagai salah satu faktor penentu kejayaan dan kelestarian sesebuah perniagaan. Kemampuan itu meliputi keupayaan mendapatkan, membelanja, mengurus dan mengawal sumber kewangan dengan berkesan.

Melainkan usahawan mempunyai sumber kewangan yang kukuh, memikirkan dan berusaha untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi memulakan perniagaan adalah tugas paling penting sebelum boleh memikirkan perancangan keseluruhan perniagaan.

Mendapatkan modal memulakan perniagaan memang penting, tetapi ia tidak menjamin yang perniagaan itu akan terus menjana sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan. Ini bermakna, sumber kewangan yang perlu di sediakan adalah peruntukan sebelum memu-lakan perniagaan, melancarkan perniagaan, kelengkapan melangsungkan perniagaan dan kemampuan penghasilan untuk terus berdaya tahan.

Modal operasi yang lazim diperlukan untuk kelangsungan perniagaan termasuk upah dan gaji, sewaan, belian bekalan, utiliti, pengiklanan, susut nilai dan bayaran faedah. Adalah dinasihatkan bagi perniagaan kecil perbelanjaan permulaan perlu mampu bertahan dengan modal operasi selama enam bulan.

Selain modal sendiri, pengusaha perlu mampu mendapatkan bantuan kewangan daripada sumber yang berkenaan. Menurut kajian, 50 peratus mendapatkan bantuan institusi kewangan, dua belas peratus pinjaman persendirian dan tiga peratus pinjaman daripada bukan kenalan. Malah 41 peratus menggunakan pinjaman peribadi termasuk menggunakan kad kredit untuk membiaya perniagaan.

Harta peribadi seperti simpanan (termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, simpanan peribadi, elaun pekerjaan), gadaian semula hartanah, harta peribadi dan kad kredit. Keadaan ini mungkin perlu bagi peniaga yang tidak mempunyai harta cagaran atau sejarah kredit yang menyukarkan membuat pinjaman.

Peniaga perlu menunjukkan penyata kewangan kepada pihak yang ditemui untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan seperti Penyata Kira-kira, Penyata Untung Rugi, Penyata Aliran Tunai dan Nota Penyata Kewangan. Penyata itu perlu disediakan mengikut prinsip perakaunan yang secara umumnya diterima untuk menggambarkan prestasi sesebuah aktiviti perniagaan pada tempoh tertentu.

Penyata kira-kira menunjukkan aset, tanggungan dan ekuiti syarikat di mana aset dan tanggungan semasa ditunjukkan berasingan dengan aset dan tanggungan jangka panjang. Maklumat ekuiti pula akan mengenalpasti sama ada syarikat berkenaan milik individu, tanggungan terhad atau di senarai awam.

Penyata untung rugi membentangkan prestasi keuntungan perniagaan berdasarkan jumlah jualan dan perbelanjaan bagi tempoh tertentu, dan boleh juga dibuat perbandingan antara dua tempoh. Penyata aliran tunai boleh disediakan dalam beberapa format bagi melaporkan maklumat tunai yang dijana dan dibelanjakan melalui aktiviti operasi, pelaburan dan pembiayaan dalam tempoh dinyatakan.

Perkara penting dalam pengurusan kewangan perniagaan adalah pembuatan keputusan perniagaan seperti pembelian, pelaburan, pembiayaan, penetapan harga dan perundingan perniagaan pastinya mempunyai implikasi kewangan.

Di samping itu, dalam urusan harian, penyimpanan rekod amat penting bagi memastikan penyata dapat disediakan pada tempoh ditetapkan. Usaha Pengurusan Risiko (ERM) adalah proses berterusan dalam memperkemaskan entiti keupayaan pengurusan risiko melalui strategi perniagaan, sumber manusia, proses, teknologi dan pengetahuan bagi menjadi lebih berkemampuan menjangka dan berkesan dalam menilai dan mengurus ketidakpastian.

Pendekatan sistematik dalam ERM dapat menilai kemampuan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengurus:

# Gelagat risiko dengan menetapkan objektif dan membangunkan mekanisma mengurus risiko berkaitan, memilih tindak balas risiko sama ada mengelak, mengurang, berkongsi atau menerima risiko;

# Menyedari dan kemampuan untuk mengenalpasti kemungkinan ancaman dan menetapkan tindak balas untuk mengurangkan kejutan dan kerugian atau kos luar jangkaan;

# Menyedari kemungkinan peluang, menetapkan tindakan dan menyediakan sumber berkaitan diperlukan.

Keseluruhannya, ERM membantu pengurusan untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan memperbaiki prestasi perniagaan. ERM juga membantu peniaga bersedia menghadapi kemungkinan ancaman menjejaskan perniagaan, mengambil tindakan untuk menghindari masalah luar jangkaan dan bersedia bertindak balas jika ancaman tidak dapat dielakkan.

Pihak memberi pinjaman mengenakan syarat tertentu bagi memelihara kepentingan syarikat daripada mengalami kerugian.

Oleh itu, nasihat umum kepada pengusaha perlu mendapatkan sumber pembiayaan supaya bersifat amanah, berintegriti, menjaga kedudukan kewangan baik, merancang perniagaan dengan pengetahuan serta kemahiran dan mendalami ilmu pengurusan risiko.

Pengusaha yang memerlukan pembiayaan perlu menunjukkan kemampuan untuk menjana pendapatan, menguruskan perniagaan dengan baik dan berkemampuan membayar balik pinjaman yang dijanjikan atau memberi pulangan diharapkan pelabur.

Kertas kerja Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Noor Azman Ali, pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di PWTC, baru-baru ini