Sunday, September 20, 2009

Persoalan Agama: Solat sunat Aidilfitri berjemaah amat dituntut

BOLEHKAH ustaz memberi penjelasan mengenai sambutan Aidilfitri seperti ditetapkan agama kita? Selain saling bermaafan, apakah lagi bentuk amalan lain yang boleh dilakukan? Bagaimana dengan amalan menitikberatkan soal pemberian duit raya yang keterlaluan, sehingga meneng-gelamkan maksud Syawal yang sebenarnya. Apakah hukum memberi duit raya mengikut Islam?

INGIN TAHU,

Alor Setar, Kedah.

MENGKAJI sejarah Aidilfitri dan Aidiladha, ulama hadis menerangkan sebuah riwayat dari Anas bin Malik, apabila Nabi SAW sampai ke Madinah, orang-orang Ansar merayakan dua hari perayaan iaitu Nairus dan Mahrajan. Menurut penjelasan dari kitab Aunul Ma’bud kedua-dua hari mereka bergembira ini ditetapkan oleh pihak berkuasa pada masa itu. Lalu Nabi SAW dengan wahyu dari Allah SWT sudah menukarkan kedua-duanya kepada Aidilfitri dan Aidiladha. Nabi bersabda yang bermaksud: “Aku datang kepadamu sedangkan kamu menyambut dua hari raya yang menjadi hari kamu bergembira pada zaman jahiliah, maka Allah SWT sudah menggantikannya kedua-duanya dengan Aidilfitri dan Aidiladha.”

Menurut Syeikh Ahmad Ab Rahman al-Banna, maksud gantian ini disyariatkan oleh Allah SWT kerana kedua-duanya berkaitan secara langsung selepas pelaksanaan dua rukun Islam yang penting iaitu ibadat puasa selama sebulan sepanjang Ramadan dan haji yang dilakukan pada waktunya. Penetapan ini turut mengambil kira kecenderungan hamba-Nya yang gemar bergembira, maka dianugerahkan kegembiraan itu. Anugerah itu diberikan selepas berusaha sedaya upaya mentaati-Nya.

Dalam hadis yang lain yang turut mengukuhkan aspirasi raya sebagai suatu kegembiraan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bagi setiap Muslim yang berpuasa baginya dua kegembiraan iaitu kegembiraan bila dia berbuka dan kegembiraan bertemu dengan Allah SWT (Riwayat Muslim). Maksud berbuka dalam maksud yang lebih luas seperti yang difahami sebahagian ulama adalah berhari Raya.

Antara amalan yang menjadi amalan Nabi SAW dalam menyambut hari raya adalah seperti berikut:

l Menghadiri Solat sunat Aidilfitri secara berjemaah dan mendengar khutbah. Al-Imam al-Syaukani menjelaskan dalam Nailul Awtar, Nabi SAW sentiasa mengerjakan solat sunat berkenaan dan tidak pernah meninggalkannya. Malah baginda telah memerintahkan umatnya untuk mengerjakannya, termasuk hamba dan wanita yang haid pun digalakkan untuk menyaksikan solat itu dikerjakan oleh umat Islam.

l Mandi sebelum solat Sunat Aidilfitri. Menurut Said bin al-Musayyib mengatakan, sunnah sebelum solat itu ia merangkumi tiga perkara iaitu mandi sebelum solat sunat Aidilfitri, makan sebelum pergi solat dan pergi dengan berjalan kaki. (Riwayat al-Firyabi dengan sanad yang sahih seperti yang dijelaskan dalam Irwaul Ghalil)

l Berhias diri dengan cara yang dibenarkan tanpa mendedahkan aurat dan memakai pakaian dari buatan yang diharamkan. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathil Bari bahawa sahabat seperti Ibn Umar akan memakai pakaian yang paling baik pada hari Aidilfitri dan Aidiladha. Maka menjadi suatu yang dituntut agar umat Islam memakai pakaian yang elok pada kedua hari ini. Bagaimanapun hendaklah dijauhi pakaian-pakaian yang dibuat dari bahan yang haram seperti sutera kerana dalam sebuah hadis yang lain apabila Umar memberikan untuk nabi pakaian dari sutera untuk dipakai pada hari Raya, maka Nabi SAW dengan tegasnya bersabda: “Pakaian ini adalah pakaian untuk orang yang tidak berakhlak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim ).

l Makan sedikit sebelum pergi ke tempat solat. Perkara ini berdasarkan sebuah hadis sahih dari Anas, bahawa Nabi SAW tidak akan berangkat ke tempat solat pada hari Aidilfitri sehinggalah baginda makan beberapa biji kurma terlebih dulu. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim )

l Memperbanyakkan takbir. Menurut sebuah riwayat dari Ibn Abi Syaibah dari Musannafnya Nabi SAW akan berangkat menuju ke tempat solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha, dan baginda akan bertakbir hingga sampai ke tempat solat, malah akan sibuk bertakbir dengan nyaring hingga solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha itu. Baginda Cuma akan berhenti sejurus sebelum memulakan solat sunat berkenaan.

l Mengucapkan tahniah kepada setiap Muslim yang ditemui dengan ucapan: “TaqabbalalLahu minna wa minkum yang bermaksud, semoga Allah SWT menerima amal salih yang kita lakukan sepanjang Ramadhan. Kata Ibn Hajar dalam kitabnya al-Mahamiliyyat dan Fathul Bari, ini adalah ucapan selamat yang paling sahih yang ditemui dalam riwayat-riwayat dari Nabi SAW.

Berkaitan dengan perbuatan yang menjadi amalan masyarakat Melayu dengan memberikan wang pada hari Raya ia hanyalah suatu amalan tradisi yang harus dilakukan.

Ini bergantung kepada niat seseorang, sama ada dia menghulurkan wang itu sebagai hadiah ataupun sedekah. Apa juga niat yang disematkan moga-moga ia termasuk dalam kebajikan yang dinyatakan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 215 yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

Menurut Ibn Kathir dalam Sahih Tafsir Ibn Kathir sebuah riwayat dari Muqatil bin Hayyan, ayat ini menjelaskan keutamaan infaq ataupun belanja, saluran manakah yang harus diutamakan. Ayat ini ditutup dengan ingatan bahawa segala kebaikan yang dikerjakan, pasti akan dibalas oleh Allah SWT dengan kebaikan kerana Dia tidak akan menzalimi hamba-Nya, meskipun kebaikan itu hanyalah sebesar zarah saja.

Cuma penting bagi ibu bapa agar menjelaskan kepada generasi anak-anak kepentingan menjadi insan yang mulia yang menjauhi budaya meminta-minta. Mereka perlu diperjelaskan tentang ingatan Nabi SAW yang bermaksud: “Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ulul Albab: Semangat Aidilfitri kukuh perpaduan umat

SELAMA 13 tahun tinggal di beberapa negara di Asia Barat untuk menimba ilmu, melancong mahupun mengunjungi saudara-mara, penulis tidak pernah mendapat ucapan atau kad raya seperti lazimnya di Nusantara dengan budaya khasnya ‘Maaf Zahir dan Batin’. Di sana yang ada antaranya ‘Kullu ‘Am wa Antum Bikhair’ (Semoga sepanjang tahun anda berada dalam kebaikan), ‘Asakum min ‘Awwadah (yang ini lebih kurang sama dengan ‘minal ‘aidin wal faizin), atau ucapan taqabbalallahu ta’atakum (semoga Allah berkenan menerima segala ketaatan anda).

Di Nusantara ada budaya mengucap maaf zahir dan batin yang jika ingin diterapkan di Asia Barat canggung untuk menterjemahkannya menjadi ‘al-‘afwu zahiran wa batinan’ atau ‘samihni zahiran wa batinan’. Jika ia berlaku, sudah tentu mereka akan menanyakan maknanya. Mungkin dalam masyarakat lain juga kita tidak jumpa kata-kata ucapan Aidilfitri ‘maaf zahir dan batin’. Dalam bahasa Inggeris yang lazim hanya kata-kata ‘Happy ‘Ied. Tidak kita jumpa ucapan ‘Forgive me open and secret atau explicitly and implicitly’, mungkin.

Itulah budi bahasa masyarakat Nusantara yang diwarisi sejak zaman berzaman. Bahkan jika seseorang terinjak kaki di dalam bas atau keramaian, dia yang akan meminta maaf, ‘maaf, kaki saya terinjak’, bukan orang yang menginjak meminta maaf, ‘maaf, saya menginjak kaki anda”.

Indahnya berbudi bahasa masyarakat Nusantara mempunyai kelainan tersendiri jika dibandingkan dengan masyarakat lainnya di mana ada kalanya ia disalah faham oleh mereka.

Budi bahasa yang dimiliki masyarakat Nusantara adalah satu kebesaran Allah yang termaktub dalam ayat al-Quran bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujarat: 13)

Berbudi bahasa sepatutnya bahkan suatu kewajipan yang mesti dimiliki oleh setiap Muslim. Rasulullah SAW menegaskan maksudnya: “Sesungguhnya Allah mewajibkan (kalian) berbuat baik terhadap segala sesuatu, maka bila kalian hendak membunuh orang (dalam peperangan ataupun yang lainnya), bunuhlah dengan cara yang baik, dan bila kamu menyembelih (binatang), maka sembelihlah dengan cara yang baik, hendaklah kalian menajamkan pisau dan memperlakukan binatang sembelihan dengan lembut.” (Riwayat Muslim)

Demikianlah Islam memerintah berbuat ihsan termasuk di dalamnya berbudi bahasa kepada binatang dan menunjukkan contoh amalinya. Maka ihsan kepada yang lebih mulia kedudukannya daripada pada binatang tentu lebih diperintahkan dan lebih dijelaskan contohnya. Oleh kerana itu tuntutlah ilmu sebanyak-banyaknya mengenai ihsan kepada Allah, kepada sesama makhluk baik yang berakal atau tidak berakal. Sungguh rahmat Allah dekat dengan orang muhsin.

Dalam hadis yang lain, Baginda bersabda maksudnya: “Sesungguhnya seorang mukmin mengambil (melaksanakan) budi bahasa (adab) dari Allah. Jika Allah meluaskan budi bahasa baginya maka akan luas budi bahasanya dan (jika Dia) menyempitkannya (menahan dan tidak memberinya budi bahasa) maka sempitlah budi bahasanya.” (Riwayat al-Hakim).

Keindahan bermaaf-maafan pada Aidilfitri adalah satu perkara yang disukai Allah SWT seperti diperoleh maknanya daripada sebuah hadis maksudnya: “Sesungguhnya Allah indah dan suka kepada keindahan. Bila seseorang ke luar untuk menemui kawan-kawannya hendaklah merapikan dirinya. (Hadis riwayat al-Baihaqi).

Budaya saling memaafkan adalah sinar yang terpancar dari diri seorang muslim yang berakhlak mulia. Nabi bersabda maksudnya: “Kamu tidak akan memperoleh simpati semua orang dengan hartamu tetapi dengan wajah yang menarik dan dengan akhlak yang baik. (Hadis riwayat Abu Ya'la dan al-Baihaqi)

Melalui saling maaf memaafkan pada Aidilfitri kita akan dapat memperkukuh perpaduan kita dengan menghilangkan permusuhan dan dendam dan menghapuskan semua kesalahan sesama kita.

Ada baiknya, dalam suasana kemeriahan dan kesyahduan Aidilfitri yang mana kita semua dalam keadaan fitrah atau suci dan bersih daripada segala dosa berkat Ramadan, kita merapatkan barisan kita yang selama ini menjadi celah untuk diganggu oleh musuh-musuh kita agar kita selalu bermusuhan.

Ada baiknya, dalam suasana yang penuh keberkatan ini kita bertafakur dan merenungi ayat al-Quran berikut demi memperkukuh perpaduan umat kerana sebab perbalahan, perseteruan, pertelingkahan dan permusuhan di antara umat Islam tidak terlepas daripada maksud yang terkandung di dalamnya. Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.

Dan ketahuilah! Bahawa di antaramu ada Rasulullah; kalaulah ia menurut kehendakmu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu mengalami kesukaran; akan tetapi Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta dihiaskannya dalam hatimu, dan menjadikan kekufuran dan kefasikan serta kederhakaan itu perkara yang kamu benci; mereka itulah orang yang tetap menurut jalan yang lurus. Sebagai kurnia dan nikmat pemberian daripada Allah dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Jika dua puak dari orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah keduanya dengan adil, dan berlaku adillah kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.

Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.

Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang yang zalim. Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujarat: 6-12)

Tidak ada ruginya jika kita mendahulukan perpaduan walaupun dengan mengorbankan kepentingan peribadi mahupun kelompok tetapi banyak ruginya jika kita mengetepikannya walaupun dengan sebab sekecil apa pun juga. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.