Thursday, December 31, 2009

Hak Muslim: Haram, berdosa cerai isteri dalam haid

SAYA dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik, namun mahkamah menangguhkan kes saya atas alasan isteri pada masa itu dalam haid. Mengapa mahkamah tangguhkan kes perceraian saya sedangkan kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai dan apa kaitan haid dengan perceraian saya ini? Adakah perceraian ketika haid tidak jatuh talak?

Roslan Baji
Kepong Indah, Selangor


Terima kasih kepada saudara yang bertanya. Di dalam kes perceraian biasa, adalah menjadi kewajipan bagi hakim untuk memastikan sama ada seseorang isteri itu berada di dalam keadaan suci atau haid sebelum membenarkan pihak suami melafazkan talak terhadap pihak isteri.

Merujuk kepada kitab Fiqh Assunah, karangan Sayed Sabiq, ulama berijmak dan bersepakat bahawa adalah haram dan berdosa bagi seorang suami melafazkan talak ke atas seorang isteri ketika dalam keadaan haid walaupun talak itu sah. Talak seperti ini adalah dinamakan sebagai talak bid’ie.

Perbuatan talak bid’ie ini diharamkan kerana ia bersalahan dengan bentuk talak yang disyariatkan Allah Taala seperti yang difirmankan dalam surah Al-Talak ayat 1: “Wahai Nabi apabila kamu menceraikan isteri-isteri kamu maka cerailah mereka pada masa mereka dapat memulakan edahnya.”

Menurut kitab Fiqh Manhaji, ulama Syafie berpendapat bahawa, suami disunatkan untuk rujuk kembali, jika dia melakukan talak bid’ie seperti yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar: “Beliau menceraikan isterinya ketika haid di zaman Nabi SAW. Saidina Umar Al-Khattab bertanya kepada Nabi SAW mengenai perkara itu: “Perintahkan supaya beliau rujuk kembali, jangan ceraikan sehingga dia suci.”

Berdasarkan nas di atas, hikmah diharamkan talak bid’ie ini adalah kerana ia mendatangkan mudarat kepada isteri dan kaum wanita secara amnya. Ini kerana tempoh edah isteri akan menjadi lebih panjang kerana masa haidnya tidak boleh dikira sebagai permulaan edah.

Sabda Rasulullah: “Tidak boleh melakukan Dharar (menyakiti orang tidak menyakitinya) dan Dhirar (menyakiti dengan cara yang tidak sebenar orang yang menyakitinya).

Berdasarkan hadis di atas, tindakan Hakim Mahkamah Syariah menangguhkan kes saudara itu adalah bertepatan dengan hukum Syarak dan ia bukanlah satu penangguhan yang bertujuan melengah-lengahkan kes.

Sebaliknya beliau bertindak melindungi hak isteri daripada teraniaya akibat menanggung tempoh edah yang panjang. Ini menunjukkan bahawa Mahkamah Syariah bukan saja berperanan untuk menegakkan keadilan malah meletakkan martabat seseorang wanita itu di tempat yang mulia dalam Islam.

Oleh itu demi menjaga kepentingan isteri saudara yang bakal diceraikan, maka saudara hendaklah berbincang dengan isteri saudara terlebih dahulu bila tarikh yang sesuai (iaitu tarikh beliau suci dari haid) bagi membolehkan mahkamah menyelesaikan permohonan cerai itu.

Jawapan ini disediakan oleh, Exco Penerbitan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Yusmawati Ab.llah

Suami kena berazam jadi ketua keluarga terbaik

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Kepemimpinan, teladan seorang ayah tarbiah paling berkesan bentuk peribadi anak

MASIH tidak terlambat untuk berazam sempena awal Muharam yang baru melewati beberapa hari dan 2010 esok hari. Syukur ke hadrat Ilahi kerana memanjangkan usia di tahun baru bersama semangat dan keyakinan bahawa tiada yang boleh berubah melainkan jika kita berani memulakannya.

Masa berlalu pantas seperti tiada apa yang sempat kita rebut walaupun di awalnya kita berazam dengan pelbagai janji untuk diri sendiri. Sedar tak sedar, setahun masa berlalu dan kita masih tidak mengenal diri.

Mujur kita masih diberi waktu untuk memperbanyakkan amal dan bakti. Bala dan musibah masih belum cukup memberi peringatan kerana kita membutakan mata dan tulikan telinga daripada mengambil pengajaran.

Hakikatnya, jika tidak berani untuk berubah, tiada siapa yang boleh berhijrah. Sikap lalai dan cuai banyak memberi kerugian daripada laba yang diingini ramai. Pemimpin yang lalai daripada tanggungjawab boleh menggadaikan tanah air ke tangan asing dan menumbangkan struktur organisasi dibina dengan tonggak dan nilai murni.

Sebaliknya, kuasa dan wang ringgit menjadi taruhan sehingga sanggup meminggirkan agama dan bangsa. Pemimpin yang leka juga boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan yang utuh dengan persefahaman dan tolak ansur, menghilangkan rasa hormat daripada yang dipimpin.

Sifat memimpin tidak akan terbina tanpa ilmu dan akhlak, menyeru kebaikan dan mengingkari kejahatan adalah semata-mata kerana janji kepada Allah sebagai khalifah yang akan meneruskan kesinambungan 'khaira ummah'.

Tetapi sekiranya pemimpin itu sendiri melakukan kerosakan di muka bumi, sudah tentulah sukar untuk membina sebuah kehidupan yang baik dan harmoni kerana maksiat dan kejahatan kepada Yang Esa hanya menjanjikan kecelakaan ke seluruh alam.

Justeru, yang paling penting, pemimpin keluarga mengetuai satu unit masyarakat kecil perlu berani berubah seiring hijrah. Latihan kepemimpinan bermula dengan mengatur keperluan ahli keluarga dan menunaikan hak serta tanggungjawab boleh membantu ketua menjadi pemimpin yang diteladani.

Jangan malu dengan perkahwinan, biarlah dicela kerana tidak seperti pinang dibelah dua, asalkan agama dijunjung di kepala. Pernikahan bermula dengan dua insan saling menghormati dan mempercayai sehingga lahirnya cahaya mata menyinari segenap ceruk rumah tangga dengan cinta dan kasih sayang.

Tarbiah mereka dengan ilmu dan akhlak dipesan Rasulullah SAW serta sahabat supaya kelak mereka menjadi ibu bapa yang menyambung legasi kekasih Allah dan mendidik generasi baru seperti yang pernah mereka lalui.

Allah berfirman yang bermaksud: "Hai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu." (Surah At Tahrim, ayat 6)

Jangan sesekali lalai dengan masa kerana itu merugikan ramai orang sehingga mereka terlambat. Di saat anak sudah mesra dengan maksiat, pemimpin keluarga baru hendak beringat, tetapi semuanya sudah terlambat.

Laporan remaja berzina di awal usia belasan tahun amat mengejutkan, mana mungkin itu terjadi jika pemimpin tidak cuai menjalankan tugas. Janin tidak berdosa di buang merata-rata adalah petanda ada sesuatu tidak kena dalam kepimpinan keluarga hari ini.

Pergaulan bebas bukan berlaku di kota tetapi juga di desa kecil yang warganya saling mengenali dan boleh berpesan sesama sendiri. Setiap pemimpin keluarga yang berada di bawah sinar telunjuk agama tidak akan mengabaikan tanggungjawab terhadap ahli keluarga walau sedetik pun.

Seorang penyair, Hithan bin Mu'alla berkata: "Sesungguhnya anak berada di sekitar kita. Mereka adalah jantung hati kita yang berjalan di atas bumi. Apabila angin menerpa mereka, nescaya mata kita tak mampu untuk terpejam."

Sempena tahun baru, setiap pemimpin keluarga harus menanam tekad dan hasrat membina 'rakyat' dalam rumah tangganya dengan akidah, akhlak dan muamalah diseru agama. Di saat pertama bergelar pemimpin keluarga, mulakan hidup baru bertunjangkan Islam.

Biar tidak berilmu atau sijil berjela, kesediaan bergelar suami dan menghulur mahar adalah petanda segala-galanya lengkap di dada. Untuk memimpin, membimbing dan meneraju sebuah rumah tangga adalah beratus kali payahnya daripada mengetuai diri sendiri.

Oleh itu, janganlah memandang enteng terhadap hidup berkeluarga jika tidak mampu menjadi suami yang paling baik terhadap isteri dan ayah paling dihormati oleh anak.

Wednesday, December 30, 2009

Marah biar bertempat ikut panduan al-Quran, Sunnah Rasulullah

NABI SAW dalam hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah, seorang lelaki datang kepada Nabi SAW lalu berkata: "Berwasiatlah kepadaku Ya Rasulullah. Lalu Baginda bersabda: Jangan engkau marah." Nabi SAW mengulanginya sebanyak tiga kali.

Setiap manusia ada mempunyai sifat marah, begitu juga haiwan. Seekor kucing yang jinak dan manja akan marah apabila kita menyakitinya dengan menarik ekornya beberapa kali.

Sifat sabar adalah penghalang daripada sifat marah. Bagaimanapun, kesabaran ada had dan batasnya kerana apabila sudah hilang sabar maka timbullah kemarahan.

Menurut Imam Al-Ghazali, sikap marah ialah nyalaan api bersumber daripada api Allah yang menyala dan menjulang tinggi sampai naik ke hati. Maka terpulang kepada seseorang untuk cepat marah, marah keterlaluan (marah tidak bertempat), marah pertengahan (mampu mengawal marahnya) atau tidak tahu marah.

Marah yang sederhana adalah marah terpuji, manakala tidak tahu marah adalah terkeji dan marah keterlaluan adalah termasuk dalam marah terkeji yang dilarang oleh Nabi SAW seperti sabdanya.

Marah keterlaluan dilarang Islam kerana mendatangkan kesan dan implikasi tidak baik kepada orang yang marah, juga orang kena marah. Disebabkan marah ada rumah tangga runtuh, kerana marah anak didera, pembunuhan berlaku, anak lari dari rumah, majikan ditetak pembantu rumah dan kerana marah orang saman-menyaman.

Menurut Imam Al-Ghazali, 10 punca menyebabkan sifat marah:

  • rasa bangga diri (sombong)

  • takjub kepada peribadi sendiri

  • suka bergurau senda yang ber lebihan dan melampaui batas
  • suka bercakap perkara sia-sia

  • suka membuat fitnah

  • suka berbantah-bantah dalam sesuatu perkara

  • khianat

  • tamak kepada harta dan pangkat

  • tidak dapat mengendalikan nafsu dan emosi dengki dan irihati.

    Apabila seseorang itu marah maka pergerakan fizikalnya akan turut berubah. Api kemarahan semakin memuncak menyebabkan percakapannya menjadi kuat, kata-kata tidak teratur, bahasanya lucah, kasar dan bersifat menghina.

    Orang yang marah akan merendah-rendahkan orang dimarah, muka dan matanya menjadi merah, badannya terketar-ketar, tangan dan kakinya menjadi ringan untuk memukul dan menghentam, akalnya pada waktu itu tidak digunakan secara betul, semua tindakan mengikut nafsu kemarahannya.

    Bagi orang yang waras, tentu kita tidak sanggup melihat keadaan kita sewaktu marah jika ia dirakam dan ditayang semula untuk menontonnya. Bagi orang yang kena marah mungkin akan berdiam diri, kadang kala melawan dengan kata-kata atau kekuatan.

    Marah turut berlaku kepada individu yang mempunyai kedudukan seperti orang agama berstatus ustaz, ustazah, tuan guru, ulama, marah dan melenting.

    Marah yang dipuji adalah marah yang pertengahan, iaitu marah bertempat. Contohnya, seorang bapa marah kepada anaknya yang tidak mahu bersolat atau menutup aurat. Nabi SAW mengajar dalam sabdanya yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang tidak mahu bersolat ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur."

    Marah kepada mereka yang memusuhi Islam sehingga kita boleh mengisytiharkan berperang. Begitu juga dalam mencegah kemungkaran, perlu ada marah.

    Contoh paling hebat berlaku dalam sejarah ialah ketika Saidina Ali berada dalam satu peperangan di mana beliau hampir hendak memenggal leher musuhnya, tiba-tiba musuhnya itu meludah mukanya. Lalu Saidina Ali tidak jadi memenggal lehernya.

    Maka musuhnya berasa pelik lalu bertanya kepada Saidina Ali mengapa tidak jadi membunuhnya. Maka Saidina Ali menjawab: "Aku takut bahawa aku membunuhmu bukan kerana Allah tetapi kerana marah kepada kamu kerana meludahku." Hebatnya Saidina Ali masih lagi menggunakan pertimbangan akal dan syariat walaupun ketika marah.

    Sumber: Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)
  • Tsunami buka mata masyarakat antarabangsa hulur bantuan di Aceh

    Oleh Penulis Khas YaPEIM

    PADA 26 Disember lalu - Genap lima tahun tragedi tsunami melanda wilayah pesisir pantai di sekitar Aceh, Indonesia, Sri Lanka, Phuket, Thailand sehingga ke utara tanah air. Sejarah hitam itu meragut lebih 250,000 nyawa dan mengakibatkan 100,000 anak-anak kehilangan ibu atau bapa atau kedua-dua sekali.

    Sebagai negara yang berhampiran pusat gempa tsunami iaitu di Laut Andaman berdekatan Aceh, Malaysia hanya menerima tempias daripada fenomena ombak besar dan ganas itu, sewajarnya kita bersyukur kerana Aceh telah menjadi penampan' kepada bahana yang terhasil oleh ledakan gempa melebihi 9 skala Ritcher.

    Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersama-sama masyarakat antarabangsa menghulurkan bantuan dengan menubuhkan Yayasan Pembangunan Anak Yatim Antarabangsa (IODEF) di Aceh dan mewujudkan sebuah Pusat Kecemerlangan Anak Yatim/Miskin (Musibah Tsunami) bertempat di Nombor 10, Lamteumen Timur, Banda Aceh.

    Program yang dilaksanakan termasuk jangka pendek dan panjang. Program jangka pendek iaitu pemulihan psikologi pasca tsunami, kaunseling individu, motivasi dan kerohanian, aktiviti kesukanan dan permainan, aktiviti kesenian dan kemahiran membabitkan anak yatim dan miskin IODEF berjumlah 1,000 kanak-kanak setahun.

    Program jangka panjang, mengadakan Kelas Pengajian Komputer, Kelas Pengajian Al-Quran dan Kelas Pengajian Bahasa Inggeris membabitkan anak yatim dan miskin IODEF serta di sekitar pusat kecemerlangan IODEF membabitkan 200 pelajar setahun.

    Turut dilaksanakan ialah program sokongan dan pemantauan anak yatim kelolaan IODEF secara langsung iaitu peringkat prasekolah, sekolah rendah dan desa dan peringkat menengah seramai 150 orang.

    Program Celik Ilmu dengan pengwujudan Pusat Sumber yang menyediakan kemudahan perpustakaan mini-bahan bacaan umum dan akademik pelbagai peringkat.

    Rancangan Membangun Program Keusahawanan dilaksanakan dengan kerjasama GiatMara dan pesantren (sekolah agama) terpilih. GiatMara menyediakan kemudahan tenaga pengajar dan modul latihan untuk tempoh tiga tahun manakala YaPEIM menerusi institusi yang diasaskan di Malaysia Yayasan Pembangunan Anak Yatim / Miskin (Pemangkin) menyediakan kemudahan infrastruktur peralatan dan bahan.

    Projek pertama akan dimulakan di Pesantren Al-Falah Abu Lam U pada awal tahun 2010. Pihak GiatMara mengenal pasti tenaga pengajar dan akan bertolak ke Aceh pada Januari 2010 untuk kerja awalan seperti urusan persiapan peralatan, prasarana dan infrastruktur bengkel. Program ini dijangka memberi manfaat kepada 600 pelajar dalam tempoh tiga tahun.

    YaPEIM turut diberikan kepercayaan Kerajaan Aceh apabila dilantik sebagai koordinator dalam membantu kelancaran proses penanaman modal swasta asing luar negara yang berminat membuat pelaburan di Aceh.

    YaPEIM menerusi Pemangkin membentuk Jawatankuasa Penasihat Ekonomi Malaysia-YaPEIM' (TCY). TCY membantu pemerintah Aceh menubuhkan Lembaga Pembangunan Ladang Aceh (APDA), sebuah institusi yang menjadikan Felda sebagai model untuk membangunkan tanah ladang kelapa sawit seluas 50,000 hektar di Aceh.

    TCY sedang meneroka dan mengenal pasti rakan kongsi serta pelabur yang bersesuaian dalam usaha menjayakan projek berkenaan dengan objektif utama untuk menjadikannya sumber utama bagi membiayai program pembangunan anak yatim miskin mangsa musibah tsunami.

    Masyarakat perlu peka kesucian makanan ikut syarak

    Oleh Mohd Amri Abdullah

    PENULIS sering ditanya adakah boleh menggunakan perkataan 'halal' kepada makanan kegemaran masyarakat Cina, bak kut teh? Ramai memberi komen dan pandangan berhubung penggunaan bak kut teh 'halal'. Isu ini timbul apabila pada Minggu Halal Antarabangsa lalu, ada pihak yang memperkenalkan promosi bak kut teh 'halal' dan champagne 'halal'.

    Mengikut Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan MS 1500:2009 yang menjadi asas kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri dalam pengurusan pensijilan halal, kedua-dua agensi berkenaan tidak akan mengeluarkan sijil halal kepada mana-mana syarikat atau produk yang menggunakan nama yang dikaitkan dengan perkara haram.

    Dalam perkara 4.5 (g) Prosedur Pensijilan Halal Malaysia menyatakan: "Permohonan pensijilan halal ditolak sekiranya menggunakan perkataan atau nama yang sinonim dengan perkara haram seperti bak kut teh dan sebagainya". Dalam klausa 3.7.4 MS 1500:2009 juga menyebut: "Makanan halal dan bahan perasa tiruan halal, hendaklah tidak menggunakan nama atau nama yang sinonim dengan istilah yang mengelirukan atau merujuk kepada makanan tidak halal seperti ham, bak kut teh, bacon, bir, rum dan sebagainya."

    Pada asasnya bak kut teh adalah sejenis rempah saja untuk dibuat sup daging babi. Sama juga dengan sup daging atau sup tulang yang mempunyai rempah tersendiri. Tetapi dalam hal ini apabila kita melihat restoran bak kut teh maka dengan sendirinya orang ramai, terutama Muslim beranggapan ia ada menjual daging babi. Begitu juga dengan nama 'beefbacon', 'hamburger', 'chickenham' digunakan peniaga untuk menarik golongan bukan Islam atau pelancong asing. Walaupun ia adalah daging lembu atau ayam, tetapi dengan nama dapat menunjukkan ia seolah-olah atau coraknya seperti daging babi.

    Sheikh Dr Yusof Al-Qaradawi (Tokoh Maal Hijrah 2009) dalam bukunya Halal wal Haram fil Islam (Halal Dan Haram Dalam Islam) menjelaskan dalam prinsip ketujuhnya iaitu akan ada manusia akan membuat tipu daya dengan menggambarkan perkara yang haram itu dengan ditukar namanya kepada halal.

    Hadis Nabi SAW, "Nanti akan ada segolongan dari umatku yang menganggap minuman khamar (arak) itu halal dengan menamakannya dengan nama-namanya yang lain." (Ahmad).

    Lantaran itu peranan Jakim bukan hanya mengeluarkan sijil halal semata-mata tetapi juga melihat kesan ke atas generasi Islam akan datang. Jika diberikan sijil halal kepada nama berkenaan di Malaysia maka apabila ke luar negara nanti generasi ini juga beranggapan nama itu adalah halal. Antara alasan inilah Jakim memainkan peranan tanggungjawab sosial dan agama tidak mengeluarkan sijil halal dan mencegah adalah lebih baik daripada berubat.

    Kita tidak harus merosakkan fikiran generasi Islam yang rosak ini dengan perkara haram yang dihalalkan. Sebab itulah ada yang melabelkan generasi Islam kini sebagai 'Generasi Strawbery' yang cepat lembik, masam, tidak boleh diusik dan ditegur.

    Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, 168, "Hai! sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu."

    Isu halal amat sensitif kepada Muslim negara ini. Jakim mempermudahkan pengguna untuk mencari makanan yang halal lagi baik dalam lawan web www.halal.gov.my.

    Penulis ialah Penolong Pengarah Hub Halal, Jakim

    Ummah mundur selagi membelakangkan Islam

    Oleh Yussamir Yusof

    SUARA mengatakan umat Islam mundur kerana agama dianuti, semakin lama semakin kuat berkumandang. Malah, ada kalangan umat Islam mengiyakan kenyataan itu tanpa berfikir panjang. Bukan saja mengiyakan, malah mempersoalkan hukum termaktub dalam al-Quran dan hadis sahih.

    Penyakit kejahilan yang semakin kuat menyerang pemikiran umat Islam dan bukan Islam harus disekat segera. Sesungguhnya sebab kemunduran, kelemahan dan kejahilan umat Islam bukan disebabkan agama dianutinya tetapi kerana umat Islam tidak lagi berpegang kepada agamanya.

    Adakah kerana umat Islam tidak berpegang kepada agamanya, bererti Islam sebagai agama harus dipersalahkan? Demi Allah yang menciptakan apa yang di langit dan di bumi, sama sekali Islam bukanlah penyebab kegagalan umat Islam.

    Seorang doktor yang mendiagnos penyakit, kemudian memberi senarai ubat perlu diambil, tetapi jika pesakitnya tidak mendengar dan mengikuti arahan doktor, siapakah harus dipersalahkan apabila pesakit tidak sembuh. Adakah doktor yang dipersalahkan?

    Islam sudah menyediakan manual untuk penganutnya sebagai panduan dan pengajaran tetapi jika penganut tidak mengikutinya, adakah Islam harus dipersalahkan?

    Islam menyeru kesatuan tetapi umat Islam masih berpecah-belah. Islam menyeru persaudaraan, tetapi umat Islam masih lagi bermusuhan. Islam menyeru kepada keadilan, tetapi umat Islam masih lagi berlaku zalim.

    Umat Islam perlu mengamalkan Islam yang sebenarnya, sentiasa berpegang kepada apa yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Umat Islam perlu mencontohi ketaatan dan kefahaman umat terdahulu di kalangan sahabat dan tabiin menjalani kehidupan sebagai Muslim.

    Jika umat Islam mengikuti seperti orang terdahulu amalkan, sudah pasti umat Islam tidak akan dimomokkan lagi dengan perkataan mundur, kegagalan dan kejahilan.

    Semakin erat hubungan seseorang dengan agama, semakin baik keadaan dan budi pekertinya. Malah, hubungan erat ini akan membawa kepada kejayaan, penghormatan, kemenangan dan kemuliaan kepada sesiapa saja.

    Islam sudah menerangkan segala aspek dan keperluan umat Islam dalam kehidupan mereka, seperti dikatakan oleh Abu Darda: "Tidak ada yang diabaikan oleh Rasulullah, sehingga burung yang mengepakkan sayapnya di langit, Baginda sudah mengajarkan kepada kita mengenai ilmunya."

    Lengkapnya Islam hinggakan hal berkaitan cara membuang hajat juga diajar dan diberi petunjuk. Salman al-Farisi seorang sahabat besar Rasulullah SAW pernah ditanya seorang musyrik adakah Rasulullah mengajarkan cara membuang hajat.

    Kemudian Salman al-Farisi menjawab, "Ya, Baginda melarang kami menghadap kiblat ketika membuang hajat dan melarang kami membersihkannya dengan kurang dari tiga batu atau dengan tangan kanan, atau dengan kotoran kering atau tulang."

    Jika meneliti kembali sejarah pertembungan peradaban Islam dan peradaban lain, Islam unggul kerana hubungan umatnya dengan agama begitu kuat. Sebut siapa saja, Yahudi, Pagan, Rom, Majusi dan munafik, semuanya dapat dikalahkan malah ditawan hati mereka untuk memeluk Islam.

    Selepas kewafatan Rasulullah SAW, kepemimpinan Baginda diteruskan Khulafa' ar-Rasyidin. Pengganti Rasulullah SAW tetap meneruskan apa yang dimulakan Baginda tanpa ada sebarang tambahan mahupun pengurangan.

    Islam semakin berkembang pesat dan tersebar ke seluruh dunia. Zaman ini adalah zaman kegemilangan Islam. Ilmu Islam tersebar ke seluruh pelusuk kota, ramai di kalangan bukan Islam mengambil manfaat daripada kegemilangan ini.

    Ke mana saja umat Islam berada, di situlah peradaban besar dibina, dihormati dan digeruni oleh negara bukan Islam. Peradaban disulami keimanan, ilmuwan, teknologi dan kebendaan menjadi agenda utama. Peradaban dibina umat Islam ketika itu bukan peradaban materialistik mahupun kebendaan, tetapi peradaban menyatupadukan iman, ilmu, pembangunan dan akhlak.

    Ketika itu umat Islam menjadi pemimpin dunia, di waktu itu juga umat Islam dihormati. Negara Islam adalah negara pertama, bukan negara ketiga seperti sekarang. Negara umat Islam adalah guru dan ikutan kepada negara lain.

    Semua orang datang ke negara Islam untuk belajar di universiti disediakan. Bangsa Eropah yang dalam kegelapan ketika itu mempelajari bahasa Arab, ilmu Islam serta kaedah pembelajaran yang dicipta sarjana Islam.

    Namun semua itu hanya tinggal kenangan. Umat Islam kini menghadapi masalah membabitkan kegagalan dan kemunduran. Semuanya apabila umat Islam menjauhkan diri dari Islam sebenar. Ketika kita menjauhi Islam, maka kita akan lemah, berpecah-belah, dan saling mementingkan diri.

    Namun kita semua percaya umat Islam akan dihormati semula dan menjadi gemilang apabila kembali kepada Allah dan Rasul. Apabila masa itu tiba, kita percaya Islam akan mengatasi segala-galanya.

    Firman Allah yang bermaksud: "Dan Allah telah berjanji kepada orang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal salih bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, segera Dia menjadikan orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang yang fasik." (Surah an-Nur, ayat 55)

    Tuesday, December 29, 2009

    Tajdid Iman: Muhasabah diri sebelum tahun baru

    Disiplin, amal ibadat, zikir bantu ummah perangi cengkaman hawa nafsu

    MENDEKATI detik terakhir penghujung tahun ini, sememangnya agak gementar mengimbas kembali catatan kealpaan diri sepanjang tahun. Orang mukmin yang jujur suka mengorek rahsia hatinya dengan mencari kelemahan dan menangisi kerugian yang ditanggung. Mereka merumuskan makna kejayaan dan peningkatan pencapaian sebenar bagi setiap tahun dalam kehidupan mengikut kacamata agama.

    Sesungguhnya peningkatan agama bergantung dengan ibadat, peningkatan harta kerana pandai merancang dan berjimat, peningkatan ilmu kerana mengkaji, peningkatan akhlak kerana lemah lembut dan mengawal emosi, peningkatan dalam hubungan sesama manusia kerana membuang sifat sombong dan riak, peningkatan kesabaran hati kerana banyaknya musibah, peningkatan kualiti diri kerana disiplin yang kuat.

    Kelemahan diri pula menjadi agenda yang paling penting untuk diinsafi setiap masa, misalnya ketika kita kekurangan harta akibat nafsu membeli-belah yang tinggi dan tidak pandai merancang. Sewaktu ditimpa surutnya cahaya di hati kerana malas beribadah dan meninggalkan ilmu. Kerasnya jiwa kerana jauh dari al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya. Berkurangnya kawan dan renggang ikatan persaudaraan kerana suka menambah musuh, takbur, menunjuk-nunjuk dan berdengki. Bertambahnya penyakit kerana banyak makan, malas, berehat dan berhibur secara berlebihan. Berkurangnya umur dan sedikitnya bekalan ke akhirat juga menunjukkan betapa ruginya manusia sepanjang tahun ini.

    Saat bermuhasabah tidaklah terbatas hanya pada hujung tahun, kerana Rasulullah SAW mengajar umatnya untuk sentiasa mengakui kelemahan diri melalui firman Allah yang bermaksud: "Orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas ampunan-Nya dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaan) mu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu. Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa." (Surah al-Najm: 32)

    Jangan sesekali menganggap diri sudah berjaya sebelum benar kepastiannya mengenai pintu syurga atau neraka yang akan dimasuki. Sepanjang kehidupan yang kita lalui di dunia, banyak kemungkinan akan terjadi. Berubahnya hati dan turun naiknya iman, pasang surutnya amalan dan bertambah atau berkurangnya dosa dan pahala. Hakikatnya ramai yang menjadi tawanan hawa nafsu dan sedikit saja orang yang selamat. Layakkah kita menjadi golongan yang sedikit itu?

    Suatu hari Ibnul Qayyim Al-Jauziyah menziarahi gurunya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah yang sedang dipenjara dan difitnah musuh-musuhnya. Melihat keadaan gurunya itu beliau pun menangis. Ibnu Taimiyah berkata: "Apakah kamu menangis melihat keadaanku? Demi Allah, wahai anakku, aku bukan seorang tawanan. Sesungguhnya orang yang menjadi tawanan itu sebenarnya adalah orang yang menahan hatinya dari ikatan Tuhannya membiarkan hawa nafsunya menawannya."

    Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Terangkanlah kepadaku akan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya." (Surah Al-Furqan: 43)

    Mulakan muhasabah ini dengan melihat sejauh mana kekuatan hawa nafsu mempengaruhi diri. Betapa hebatnya cengkaman hawa nafsu terhadap jiwa raga kita sehingga kedudukannya boleh jadi setaraf dengan Tuhan dalam pandangan manusia yang lalai. Bahkan Baginda pernah memberi nasihat kepada seorang sahabat supaya berwaspada dengan jerat nafsu.

    Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Rabi'ah, mintalah kepadaku". Aku berkata: "Wahai Rasulullah biar aku fikirkan sebentar. Lalu aku mengingat-ingat dunia serta kefanaannya sehingga aku berkata: "Aku tidak akan meminta kecuali akhirat. Kemudian aku mendatangi Baginda SAW dan berkata: "Aku meminta supaya aku boleh menemanimu di syurga. Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Rabi'ah adakah yang selain dari itu? Aku menjawab: Itu saja. Maka Rasulullah SAW bersabda lagi: Berjanjilah untuk kamu mengendalikan hawa nafsumu dan banyakkan sujud (nescaya kamu akan menemaniku di syurga)." (Muslim)

    Hawa nafsu boleh dilemahkan jika manusia berdisiplin memeranginya. Satu kata kunci untuk kejayaan adalah disiplin. Ia wujud dalam sistem ibadat kita, solat lima waktu dan solat sunat, puasa, haji, zakat dan sedekah. Zikrullah dengan terang ataupun tersembunyi, memelihara al-Quran sentiasa hidup di dalam hati dan melaksanakan sunnah Rasul adalah disiplin. Mengisi masa dengan amal, menguasai dunia demi akhirat memerlukan disiplin yang tinggi.

    Ibnu Al-Qayyim pernah berkata: "Wahai orang yang lemah semangat! Sesungguhnya di atas jalan ini Nuh menjadi tua, Yahya dibunuh, Zakaria digergaji, Muhammad diseksa dan anda pula inginkan Islam datang dengan mudah di bawah kakimu?"

    Selepas meneliti kuasa hawa nafsu dalam diri dan mengakui cengkamannya yang melemahkan amal salih maka langkah yang kedua ialah menentukan azam baru untuk memerangi, merancang jalan mana yang mahu ditempuhi, lebih tajam membuat siasat perang dan berwaspada dengan muslihat musuh setiap saat.

    Musuh manusia yang paling licik berada di sekelilingnya. Ia tidak memilih apakah orang itu alim atau jahil, ahli ibadat atau ahli maksiat, mukmin atau kafir. Syaitan tetap syaitan, semua orang dipengaruhi syaitan masing-masing. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya syaitan itu mengalir di dalam tubuh anak Adam laksana mengalirnya darah dan sesungguhnya aku bimbang dia akan menimbulkan di dalam hati kamu sesuatu yang jahat." (Al-Bukhari dan Muslim)

    Setiap konflik yang muncul dalam pergaulan manusia kerana dengki, dendam dan sombong, perselisihan suami dan isteri, terputusnya ikatan sanak saudara, anak menderhaka, orang tua tidak amanah, orang kaya tamak, pemimpin zalim serta lalai dan kufurnya manusia terhadap Allah SWT, semua itu berpunca daripada hasutan syaitan akibat diri menjadi tawanan nafsu.

    Orang mukmin sentiasa mengingati diri mereka supaya berlindung dari gangguan syaitan, mengenali bahawa kejahatannya itu adalah hasil kerja syaitan dan cepat-cepat kembali bertaubat dan berwaspada supaya tidak tertipu lagi dengan kenikmatan yang dijanjikan syaitan. Oleh kerana sifat dosa adalah nikmat sesaat manakala pahala pula bersifat susah, perit dan seksaan maka ramailah yang kecundang dalam memilih.

    Tetapi bagi orang mukmin, seksaan melawan hawa nafsu dan syaitan itu sedikit demi sedikit berubah menjadi nikmat jiwa yang paling bernilai yang tidak pernah dirasai orang fasik lagi lalai. Nikmatnya seakan-akan di dalam syurga walaupun mereka masih berada di dunia lagi.

    Ibnu Taimiyah berkata: "Sesungguhnya di dunia ini ada syurga, sesiapa yang belum masuk ke dalamnya dia tidak boleh masuk syurga akhirat. Murid-muridnya bertanya: "Apakah syurga dunia itu? Beliau berkata: "Syurga mengenal Allah, mencintai-Nya, merindu dan berlemah-lembut kepada-Nya."

    Penulis ialah Mufti Perlis

    Kanun Jenayah Syariah: Lima perkara utama memartabatkan prinsip perundangan Islam

    HUKUMAN hudud, qisas, diyat dan ta'zir dalam Kanun Jenayah Syariah bertujuan menjaga prinsip perundangan Islam yang tertakluk kepada lima perkara :

    1. Menjaga agama - Iaitu menjaga akidah supaya tidak terpesong, tidak menjadi orang murtad yang wajib dijatuhkan hukuman bunuh ke atas mereka, jika mereka enggan bertaubat setelah disuruh bertaubat lebih dulu sebelum mereka dihukum bunuh. Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang menukarkan agamanya (murtad) maka bunuhlah dia. (Bukhari)

    2. Menjaga nyawa - Iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuk juga menjaga anggota tubuh badan seseorang, iaitu memberi seseorang manusia hak hidup dan selamat anggota tubuh badan mereka dari dicederakan dan dirosakkan. Mereka yang membunuh manusia atau mencederakan anggota tubuh badan orang lain, tertuduh wajib dijatuhkan hukum qisas atau diyat. Firman Allah Taala: "Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran supaya kamu bertakwa." (Al-Baqarah: 179)

    3. Menjaga akal fikiran - Menjaga akal fikiran manusia dari kerosakan disebabkan minum arak atau minuman memabukkan, mereka yang meminum arak wajib dijatuhkan hukum sebat tidak lebih dari 80 kali sebatan dan tidak kurang dari 40 kali sebatan. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Ali: "Rasulullah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebat, dan Saidina Abu Bakar menyebat 40 kali sebat juga dan Saidina Umar menyebat sebanyak 80 kali sebat, semuanya adalah sunnah Rasulullah SAW dan ini yang lebih aku sukai. (Riwayat Muslim)

    4. Menjaga keturunan - Menjaga seseorang manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab keturunan, wali dan warisan anak-anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram itu tidak rosak, mereka yang melakukan perzinaan itu wajib dijatuhkan hukum sebat dan rejam. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Ubaidah bin Al-Somit: "Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada aku. Sesungguhnya Allah memberi jalan untuk mereka. Perawan sama jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat, dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda (duda) sama janda berzina hukumannya disebat sebanyak 100 kali sebat dan direjam." (Muslim dan Abu Daud)

    5. Menjaga harta benda - Menjaga harta benda manusia dari dicuri dan dirompak dengan menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati atau potong tangan dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang negeri ke atas perompak. Hukuman ini tertakluk kepada cara rompakan itu dilakukan, sebagaimana firman Allah Taala: "Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Al-Maidah: 38)

    "Hanya balasan orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di jalan) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh saja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas saja) atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksaan yang amat besar." (Al-Maidah: 33)

    Sumber buku Qanun Jenayah Syariah dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam berdasarkan al-Quran dan Hadis oleh Said Ibrahim, Bekas Mufti Sabah

    Monday, December 28, 2009

    Tahun baru harus jadi pemangkin minda

    Oleh Zainul Rijal Abu bakar

    Tiada guna masa berlalu tanpa memperoleh manfaat, usaha perbaiki kelemahan diri

    MINGGU ini adalah minggu terakhir sebelum 2009 melabuhkan tirainya. Tahun 2010 pula sedang mengintai dengan penuh harapan dan dugaan. Umat Islam pula masih baru menyambut Maal Hijrah yang menandakan permulaan tahun 1431 Hijrah. Azam dan iltizam memenuhi gerak hati kebanyakan insan yang berikrar memperbaiki diri.

    Kemunculan tahun baru ini seharusnya menjadi pemangkin minda kita memikirkan apakah yang berlaku sepanjang tahun dan bagaimanakah pula kita akan menghadapi tahun baru nanti. Segala suka dan duka yang berlaku hendaklah dijadikan teladan dan sempadan kepada kita. Tiadalah gunanya tahun berlalu tanpa apa-apa manfaat yang kita peroleh. Tiadalah manfaatnya tahun berlalu tanpa kita perbaiki untuk masa-masa akan datang.

    Apa yang berlaku tercatat sebagai sejarah. Tiada siapa yang dapat mengubahnya dan sejarah itu pasti berulang. Itulah lumrah alam. Oleh hal yang demikian kita tidak dapat lari daripada memikirkan apa yang telah berlaku kepada kita.

    Jika kita menyorot apa yang berlaku sepanjang 2009, tentu banyak perkara yang akan merungkai minda kita.

    Dari sudut perundangan Islam pula, sudah tentu kalendar 2009 diwarnai dengan pelbagai persepsi yang positif dan negatif.

    Umpamanya keputusan Majlis Raja-Raja menolak cadangan pindaan undang-undang keluarga Islam yang dicadangkan kerajaan menarik perhatian pelbagai pihak berkaitan dengan undang-undang itu. Begitu juga kes Kartika Seri Dewi Sukharno yang masih belum lagi dilaksanakan hukuman sebat ke atasnya menimbulkan polemik yang agak sukar difahami ramai orang. Pendakwaan kes mengajar tanpa tauliah Dr Mohd Asri Zainal Abidin juga tidak kurang menarik perhatian umum.

    Kes Muhammad Ridzuan Pathmanathan seorang mualaf yang mengislamkan anaknya mengambil tempat di dada akhbar arus perdana. Begitu juga halnya dengan kes perkuburan Islam di Kota Kemuning yang mana Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan Majlis Agama Islam Selangor mencelah juga membangkitkan ketidakpuasan hati di kalangan masyarakat Islam.

    Semua kes di atas adalah manifestasi bahawa perjuangan memartabatkan Islam di bumi Malaysia masih belum mencapai matlamatnya yang sebenar. Usaha kita untuk mengarusperdanakan Syariah perlu dilipat ganda dan disusun atur dengan lebih sistematik bagi mencapai kejayaan.

    Semoga tahun mendatang ini akan menjadi lebih baik khususnya berkaitan perkembangan agama Islam di tanah air. Walaupun bibit penambah baik itu mula dirasainya, ia bukannya suatu jaminan umat Islam berasa selesa dan menghentikan perjuangan. Walaupun kesatuan NGO Islam disemai, masih banyak perkara yang perlu diperkukuhkan antara NGO Islam. Melihat kepada cabaran yang akan dihadapi kelak, sebenarnya sudah tiada masa untuk umat Islam berseronok dan terkinja-kinja menyambut tahun baru.

    Tahun baru mesti disambut dengan penuh keazaman dan komitmen agar Islam diletakkan di tempatnya. Bukan caranya menyambut tahun baru dengan pesta liar yang langsung tidak menggambarkan adat ketimuran budaya, bangsa dan agama.

    Saya juga mengharapkan perpecahan di kalangan umat Islam akan dapat diperbaiki. Perpaduan antara umat Islam dan bukan Islam pula dapat ditingkatkan di samping saling hormat menghormati antara satu sama lain sejajar dengan prinsip Rukun Negara dan Keluhuran Perlembagaan dan kedudukan istimewa Islam di negara kita.

    Kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan perlu direalisasikan dan dalam masa yang sama agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Ini bermakna agama lain boleh diamalkan selagi ia tidak menjejaskan keamanan dan kedamaian terhadap Agama Persekutuan di dalam negara.

    Pada masa yang sama umat Islam hendaklah jangan sesekali mengherdik agama orang lain sebagaimana kita sendiri tidak mahu agama kita diherdik. Jangan memperlekehkan agama orang lain seperti kita tidak mahu diri agama kita diperlekehkan.

    Perubahan minda sebegini amat penting bagi mengharungi tahun baru ini. Tanpanya sudah pasti kita akan berada di takuk lama dan tidak akan menjadi contoh teladan kepada orang lain.

    Anjakan minda sebegini akan menjadi pemangkin kepada kita menggapai kecemerlangan pada tahun hadapan. Berbeza pandangan dalam perkara furu' adalah lumrah dan janganlah begitu terpesona dan taksub dengan sesuatu pandangan hingga tidak boleh berlapang dada menerima teguran orang lain.

    Walaupun 2009 menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan yang menguji kesabaran dan perpaduan masyarakat, 2010 pasti akan menjadi pertaruhan sekiranya tiada usaha mantap memperbetulkan keadaan yang sedang berlaku.

    Untuk itu pihak kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, institusi dan individu perlu sedar hakikat sebenar dan tidak mementingkan diri sendiri saja. Moga tahun baru ini memberi harapan ke arah memartabatkan agama Islam di samping memelihara perpaduan rakyat pelbagai bangsa.

    Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia, boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my

    Muslim perlu waspada campuran plasma darah dalam makanan

    Oleh Jami'ah Shukri

    KAJIAN Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) ke atas 12 sampel isi daging ikan (surimi) digunakan dalam bebola ikan yang diambil daripada beberapa pasar raya di sekitar Putrajaya dan Nilai, Negeri Sembilan didapati mengandungi bahan tidak halal dalam produk berkenaan.

    Kajian awal yang dilakukan itu mendapati bebola ikan berkenaan mengandungi plasma darah haiwan yang dicampurkan di dalam ramuan bebola ikan bagi menambahkan kualiti bebola ikan, selain mencantikkan produk itu supaya nampak lebih kenyal dan gebu.

    Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Usim, Prof Dr Salmah Yusof, ketika mendedahkan hasil kajian itu menyatakan plasma darah kaya dengan protein yang boleh membantu memberi ciri-ciri yang lebih baik serta kualiti kepada sesuatu produk makanan seperti kekenyalan, mudah dihiris dan berwarna putih.

    Lazimnya, beliau berkata, semua bahan itu boleh diperoleh daripada plasma darah ternakan seperti ayam, lembu dan babi. Katanya, penggunaan plasma darah ternyata tidak dibenarkan di dalam Islam kerana ia adalah haram.

    “Kajian yang dilakukan bulan lalu, mendapati bebola ikan itu positif daripada bahan tidak halal iaitu mengandungi plasma darah haiwan. Kita juga akan melakukan kajian secara menyeluruh sedikit masa lagi bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenainya.

    “Kita menggunakan `teknik enzime linked immuno sorbent assay` (Elisa), iaitu teknik yang lebih cepat dari segi dapatan kajian dan lebih menjimatkan masa,” katanya ketika ditemui pada seminar Minggu Pelancongan Islam dan Halal Antarabangsa, baru-baru ini.

    Surimi dijadikan bahan kandungan asas bagi produk seperti sosej, bebola ikan, udang, ketam, mee, isi ketam tiruan produk makanan lain.

    Justeru, tidak mustahil, hasil kajian menunjukkan untuk meningkatkan dan mengekalkan kestabilan kualiti surimi, protein plasma darah haiwan dicampur ke dalam surimi. Plasma adalah bahagian cecair yang tidak berwarna sebahagian daripada darah. Secara sederhana, ia diasingkan daripada darah melalui kaedah pengemparan. Selepas diasingkan, plasma ini dikeringkan dengan alat pengering sembur sehingga berbentuk serbuk.

    Salmah berkata, ketika ini, pihaknya belum melaporkan hasil kajian berkenaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia mengenai produk itu daripada pasar raya di Putrajaya dan Nilai berkenaan didapati tidak halal atas alasan tertentu.

    Bagaimanapun, bagi memenuhi tanggungjawab sebagai umat Islam, beliau melalui pembentangan kertas kerja atau ceramah yang dihadiri akan menyebarkan maklumat mengenai isu halal haram ke atas produk makanan.

    Katanya, berdasarkan pemerhatiannya dan maklumat dan pengetahuan, seseorang boleh tahu dan mencurigai sesuatu makanan atau minuman yang dibeli itu halal atau sebaliknya.

    Sebagai contoh, bentuk fizikal bebola ikan yang dilihat cantik, sempurna dan berkualiti pembuatannya seperti kenyal lazimnya mengandungi plasma darah haiwan.

    “Oleh itu, orang ramai seharusnya prihatin apabila ingin membeli produk berasaskan produk isi daging seperti bebola ikan, ketam atau sosej kerana ia mungkin mengandungi bahan yang tidak halal. Kita perlu ada sifat ingin tahu dan sensitif mengenai perkara ini supaya tidak termakan bahan halal.

    “Malah, dalam hadis riwayat At-Tabarani juga menjelaskan setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih layak baginya,” katanya.

    Salmah berkata, keraguan terhadap penggunaan plasma darah haiwan dalam makanan juga sudah banyak disebarkan di dalam jurnal oleh pakar saintis yang sering memberi penekanan mengenai kewujudan plasma darah haiwan ke dalam beberapa produk makanan.

    Beliau menegaskan, tidak mustahil bahan sama digunakan dalam produk berkaitan di negara ini.

    Justeru, Usim juga akan memperluaskan kajian ke atas produk berasaskan sosej, tahun depan.

    Mengulas lanjut, Salmah berkata, kerjasama menyeluruh membabitkan pelbagai pihak bermula dari peringkat industri, pakar, pengkaji dan Jakim serta agensi berkaitan perlu dipergiatkan bagi menangani kesedaran mengenai isu halal termasuk produk makanan, kosmetik, minuman dan farmaseutikal.

    Ummatan wahidah asas kekuatan sosial

    Oleh Amran Zakaria

    Sahifah Madinah yang dicetuskan Rasulullah pelopor cara hidup muafakat dalam masyarakat

    SERING kali Sahifah Madinah menjadi rujukan utama dalam membina asas kekuatan ummah yang akhirnya menjelmakan kesatuan masyarakat yang disebut sebagai ummatan wahidah. Wahidah ertinya ialah satu kesatuan utuh, tidak berpecah-belah dan bercerai yang menjadi asas kepada keutuhan negara bangsa.

    Sahifah Madinah menjadi panduan hidup bermasyarakat dalam masyarakat majmuk. Dalam Sahifah Madinah menganjurkan hubungan dan persahabatan yang dijalin tanpa mengenal agama atau asal keturunan.

    Dianjur dalam rumpun kehidupan untuk sentiasa tolong menolong dan bantu membantu demi kebaikan dalam konteks membina masyarakat bernegara yang kukuh seumpama membina suatu bangunan yang terhasil dari batu-bata.

    Masyarakat Madinah melalui Sahifah Madinah membentuk satu identiti bangsa tersendiri iaitu masyarakat majmuk yang bertanggungjawab untuk mempertahankan negara bangsa yang merdeka itu. Ia diasaskan daripada penyatuan puak dan bangsa.

    Dalam Islam, soal warna kulit, keturunan, rupa bangsa dan kedudukan adalah sama di sisi Allah melainkan mereka yang bertaqwa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kalian adalah satu dan bapa kalian pun satu. Tidak ada keutamaan orang Arab atas orang a'jam (bukan Arab) dan tidak ada keutamaan orang a'jam atas orang Arab, tidak ada keutamaan orang berkulit hitam atas yang merah dan tidak ada keutamaan orang berkulit merah atas yang hitam, kecuali dengan taqwa" (Riwayat Ahmad).

    Berkaitan dengan pembinaan masyarakat wahidah di Madinah, Rasulullah melakukan dua kali ikatan penyatuan membabitkan kumpulan berbeza. Pertama, menyatukan kalangan muhajirin dan ansar membentuk ikhwanul muslimin.

    Kedua, menyatukan golongan Yahudi dan penduduk Madinah secara keseluruhan bagi membentuk ummatan wahidah. Jelas Rasulullah SAW mempertimbangkan secara betul dan tepat akan latar belakang, budaya dan agama yang berbeza sebelum pelaksanaan ikatan penyatuan dilakukan.

    Sebelum terbentuknya ummah wahidah di Madinah, masyarakat Madinah hidup di dalam keadaan berpecah-belah. Hal ini disebabkan Madinah terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama. Secara keseluruhannya, penduduk Madinah terdiri daripada dua bangsa utama iaitu Arab dan Yahudi.

    Orang Arab pula terdiri daripada dua puak iaitu Aus dan Khazraj. Kedua-dua puak ini sering bermusnahan antara satu sama lain terutama kerana perebutan kuasa. Orang Yahudi pula terdiri daripada beberapa puak dan yang paling terkenal ialah Bani Nadhir, Quraizah dan Qainuqak. Hubungan di antara puak Yahudi dan Arab sentiasa di dalam keadaan tegang sehinggalah Nabi berhijrah ke Madinah.

    Apa yang jelas, Rasulullah sangat mementingkan penyatuan antara umat yang kepelbagaian puak itu. Baginda cekap melakukannya demi mematahkan pertelingkahan konflik yang membayangkan kemungkinan berlaku. Atas kecekapan dan kehebatan Rasulullah membaca sifir keamanan, maka ciri kemajmukan yang menjadi jurang perbezaan itu bertukar menjadi rahmat keamanan.

    Rasulullah mempersatukan seluruh masyarakat Madinah di dalam pemikiran dan perasaan. Rasulullah mempersatukan sahabat tanpa mengira bangsa atau kaum, muhajirin atau ansar, miskin atau kaya, warna kulit atau keturunan membentuk satu masyarakat bangsa.

    Secara umumnya Sahifah Madinah adalah undang-undang bertulis pertama di dunia yang dirangka oleh Rasulullah SAW pada 622 Masehi yang menjadi asas pemerintahan bernegara, terdiri daripada masyarakat Islam dan bukan Islam. Ia menggariskan tanggungjawab ketua negara dan rakyatnya dan dirangka berasaskan persetujuan orang Islam dan bukan Islam.

    Mengandungi 47 fasal dengan 23 fasa membincangkan hubungan orang Muslim dan tanggungjawab mereka manakala 24 fasa menggariskan tanggungjawab bukan Islam terhadap Madinah. Sahifah Madinah ini dapat dirumus kepada tujuh aspek penting merangkumi politik, ekonomi, sosial dan dari segi pentadbirannya, Nabi Muhamad dipersetujui untuk dilantik sebagai pemimpin Negara Madinah dan bertindak sebagai hakim bagi menyelesaikan sebarang masalah timbul.

    Dari segi agama, penduduk Madinah bebas mengamalkan sebarang agama dan bebas mengamalkan adat selagi tidak bertentangan dengan Islam. Masyarakat yang dibentuk di Madinah adalah masyarakat dikenali sebagai ummatan wahidah atau masyarakat Madinah yang satu yang mempunyai tanggungjawab sama terhadap negara dan tidak sekali-kali boleh bermusuhan.

    Dari segi perundangan undang-undang Islam diguna pakai, tetapi undang-undang kekeluargaan dalam kabilah boleh diamalkan selagi tidak bertentangan dengan Islam. Undang-undang Islam menekankan aspek membina keinsafan atas perbuatan dan bukannya menjatuhkan hukuman semata-mata.

    Undang-undang menetapkan bahawa syarat untuk menjatuhi hukuman mestilah mengemukakan saksi yang dapat mengesahkan jenayah berkaitan. Aspek pertahanan, semua anggota masyarakat, tanpa mengira Muslim dan bukan Muslim, dikehendaki pertahankan negara mereka. Sementara kedudukan kaum Yahudi pula terjamin selagi mereka mematuhi perlembagaan Madinah. Sahifah Madinah menyebutkan nama mereka satu persatu dan mereka masing-masing mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap negara Islam Madinah.

    Dari segi ekonomi, kerjasama dituntut bagi memajukan ekonomi negara dengan amalan tipu dan riba dihapuskan. Bermakna, adalah menjadi tanggungjawab kepada semua masyarakat majmuk untuk memakmurkan negara melalui penjanaan pembangunan ekonomi yang menyeluruh, membabitkan tanggungjawab bersama.

    Aspek keadilan dan perpaduan adalah dua unsur terpenting dalam membina umat yang satu. Di dalam Al-Quran, wujud banyak suruhan supaya kita berlaku adil. Dalam konteks kepelbagaian bangsa ini, agama menganjurkan umatnya agar sentiasa hidup tolong menolong dalam melakukan kerja-kerja kebaikan dan sentiasa bertaqwa kepada Allah.

    Kita dilarang melakukan perkara dosa dan permusuhan. Firman Allah yang bermaksud "Dan tolong menolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan" (Surah Al-Maidah, Ayat 2).

    Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islami (Damai)

    Yusuf Al-Qaradawi tokoh ulama serba boleh, reformis dunia Islam

    Oleh Mohamad Sofee Razak

    PEMILIHAN Presiden Persatuan Ulama Sedunia, Dr Yusuf Al-Qaradawi sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa 1431/2009M adalah tepat dan ditunggu-tunggu umat Islam di negara ini sejak sekian lama. Beliau adalah contoh tokoh ulama serba boleh, disanjungi kawan serta lawan dan dinobatkan sebagai reformis dunia Islam dalam segala bidang oleh banyak pihak.

    Malahan melihat kepada keperibadian dan kewibawaan beliau yang begitu mengagumkan, di samping sebagai tokoh ilmuan, beliau juga turut diiktiraf sebagai pemikir, sarjana dan ikon intelek kontemporari pada abad ini. Bintang dunia Islam ini dilahirkan di Mahallah al-Kubra, Gharbiah, Mesir pada 1926 telah mendapat pendidikan tertingginya di Universiti al-Azhar sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam fiqh al-Zakat pada 1973. Beliau menjadi idola kepada ilmuan Islam di seluruh pelosok dunia dan dianggap sebagai ensiklopedia dan kamus bergerak umat Islam.

    Jika sebelum ini kita hanya membaca, meneliti dan menelaah sekian banyak buku, makalah, kajian dan pelbagai bahan penulisan ilmiah serta fatwa-fatwa mutakhir yang dikeluarkan beliau melalui pelbagai medium tanpa memberi apa-apa penghargaan dan pengiktirafan kepada beliau, maka pemilihan beliau kali ini sebagai Tokoh Maal Hijrah adalah bukti terima kasih, penghormatan dan pengiktirafan tertinggi negara kita dan umat Islam di sini kepada golongan agama yang diwakili beliau.

    Sebagai ulama yang ketrampilan, beliau juga diangkat sebagai tokoh tajdid yang tidak pernah kalah menyeru umat Islam kepada model keluasan fekah dan metodologi kemerdekaan minda dari ketaksuban pandangan tokoh atau mazhab tertentu kepada penilaian terhadap setiap pendapat dengan adil berteraskan landasan al-Quran dan al-Sunnah. Situasi ini kadang-kadang menjadikan beliau sebagai tokoh ulama yang agak kontroversi kerana tidak selari dengan sekolah pemikiran tradisional Islam.

    Namun, jika dilihat pencapaian dan rekod sepanjang hidup beliau memperhambakan dirinya kepada dunia ilmu, di samping menjadi jurubicara umat di benua Islam dan seterusnya berusaha memberi khidmat serta kepakaran beliau kepada perkembangan agama Islam dan ummah secara keseluruhannya dengan begitu komited sekali selain konsisten berdakwah yang dianggap sebagai teras kerjayanya, malahan bertenaga menerajui usaha perubahan dan membangkitkan kesedaran Islam di seluruh dunia.

    Dalam pada itu, buku terbarunya Fiqh al-Jihad yang juga karya terbesar selepas Fiqh al-Zakah, Fiqh al-Daulah, Fiqh al-Awlawiyyat dan banyak lagi karya ilmiah beliau yang tidak ternilai kepada umat Islam. Dalam Fiqh al-Jihad misalnya, beliau menekankan bahawa segala dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap amalan jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia.

    Sehubungan itu, umat Islam di seluruh dunia perlu memahami konsep jihad dalam ajaran Islam yang sebenar agar dapat membantu mereka mempertahankan hujah berkaitan penyebaran agama Islam yang sering kali dikaitkan dengan penggunaan pedang, peperangan dan kekerasan melampau seperti yang direka dalam banyak bahan penulisan orientalis, Barat dan catatan sejarah lampau. Persepsi dan perspektif negatif ini perlu diperbetulkan segera agar tidak menjadi barah kepada dunia Islam.

    Sunday, December 27, 2009

    Ulul Albab: Kuasa besar dunia khianati penduduk Gaza

    Oleh Abdurrahman Haqqi



    PENCEROBOHAN tentera Israel ke atas Gaza di Palestin sejak setahun yang lalu menyebabkan kemusnahan besar bumi itu. Sekurang-kurangnya 1,400 penduduk Palestin terbunuh berbanding 13 tentera Israel terkorban.

    Selepas setahun pencerobohan, masyarakat antarabangsa gagal kekang kekejaman Israel

    BERTEPATAN hari ini, 27 Disember, setahun lalu tentera Israel memulakan pencerobohannya ke kota Gaza di Palestin. Pencerobohan yang berlangsung hingga 18 Januari tahun berikutnya membunuh 1,400 penduduk Palestin dan hanya 13 tentera Israel. Sejak itu bermulalah sekatan ke atas Gaza dan 1.5 juta penduduknya oleh rejim haram Israel.

    Setahun berlalu tetapi di Gaza tiada perubahan, malah kesengsaraan bermaharajalela. Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Christophen Gunnes di Gaza menyatakan bahawa operasi pengagihan makanan akan tamat Khamis lalu kecuali jika rejim haram Israel membenarkan gandum, daging, susu dan minyak goreng dibawa masuk ke Gaza tanpa penundaan.

    Gunnes berkata: "Ini hukuman fizikal dan mental bagi penduduk Gaza, ibu dan orang tua yang mahu memberi makan anak-anaknya, serta bagi orang kebuluran. Sekatan ini benar-benar gambaran adanya tindakan orang gasar yang tidak berperikemanusiaan."

    Di samping itu, Pengarah Eksekutif Oxham International, Jeremy Hobbs ada menyatakan: Pemimpin dunia gagal, bahkan mereka mengkhianati penduduk Gaza. "Oxham International adalah gabungan 16 kumpulan hak asasi manusia antarabangsa yang memerhati penduduk Gaza. Masyarakat antarabangsa juga menggesa Israel untuk menarik sekatan tidak bertamadun berkenaan."

    Apakah yang menyebabkan kedegilan Israel? Apakah Israel sebuah negara kuat? Atau ada sesuatu yang meletakkan Israel adalah negara kuat iaitu bangsa Yahudi antarabangsa.

    Kita mesti membezakan antara Israel dan Yahudi sehingga logik kita akan mengatakan bahawa Yahudi bukanlah Israel tetapi Israel adalah sebahagian daripada Yahudi. Israel adalah negara Yahudi tetapi Yahudi bukanlah negara Israel. Yahudi adalah agama rasmi Israel tetapi Israel bukanlah agama rasmi Yahudi. Bagaimanapun, antara kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.

    Masyarakat antarabangsa boleh mengecam Israel tetapi kecaman itu akan berbalik menjadi pembelaan tidak lama kemudian. Masyarakat antarabangsa boleh menghina Israel tetapi hinaan itu akan berbalik menjadi sanjungan. Masyarakat antarabangsa boleh mengucilkan Israel tetapi kucilan itu akan berbalik menjadi pengagungan seperti yang berlaku selama ini sejak penubuhannya lebih 60 tahun lalu. Perkara ini tidak berlaku kerana Israel kuat tetapi bangsa Yahudi yang kuat.

    Masyarakat antarabangsa sepanjang zaman sememangnya muak dengan perangai bangsa Yahudi, bahkan pernah terjadi pengusiran besar-besaran bangsa Yahudi dari Eropah pada 1492 oleh Raja Katholik Ferdinand dan Ratu Isabella bersamaan dengan pengusiran umat Islam dari Sepanyol. Begitu pula perburuan Adolf Hitler ke atas bangsa Yahudi pertengahan abad lalu. Tetapi kemuakan mereka malah menjadi keseronokan di bawah sedar kerana kehidupan masyarakat antarabangsa hari ini tidak boleh lepas daripada kebergantungan mereka kepada inovasi kehidupan politik, sosial, dan ekonomi mereka.

    Masyarakat antarabangsa mana yang tidak mengenal Nokia, Dell, Starbuck dan sejenis dengannya? Masyarakat antarabangsa mana yang sanggup melepaskan kebergantungan mereka ke atas jenama berkenaan dan juga semua produk 'keyahudian' seperti yang diseru dalam boikot produk Yahudi.

    Masyarakat antarabangsa mana yang sedar duit yang mereka keluarkan untuk membeli produk itu akan digunakan untuk kepentingan 'keyahudian' antarabangsa. Kehebatan bangsa Yahudi masa kini tidak terlepas daripada apa yang disebut keluarga Rothschild sebagai tokoh Zionis seperti yang sedang heboh dibincangkan oleh kalangan ilmiah dan popular masyarakat antarabangsa hari ini.

    Rothschild adalah dinasti Yahudi Bavaria (Jerman) yang bererti Perisai Merah. Dalam bahasa Inggeris disebut 'Red-Shield'. Dinasti Rothschild yang legenda dan sangat berkuasa hingga kini berawal dari sejarah Eropah pada abad ke-18 Masihi dengan kelahiran seorang bayi Yahudi Jerman yang kemudian diberi nama Mayer Amshell Bauer.

    Mayer Amshell Bauer lahir pada 1743 di sebuah perkampungan Yahudi di Frankfurt, Bavaria. Ayahnya, Moses Amschell Bauer yang bekerja sebagai along dan tukang emas yang berpindah dari satu tempat ke tempat lain, dari kota yang satu ke kota lainnya. Bakat Moses sebagai along akan diteruskan dan dikembangkan oleh anak cucunya.

    Kelahiran Mayer membuat Moses menghentikan aktiviti perniagaan yang selalu berpindah-pindah dan menetap di sebuah rumah agak besar di persimpangan Judenstrasse (Jalan Yahudi) di kota Frankfurt. Di rumah itu, Moses membuka usaha simpan-pinjam wangnya. Di pintu masuk kedainya, Moses menggantungkan sebuah perisai merah sebagai tanda dagangnya: Rothschild.

    Sejak kecil Mayer Amshell dikenali sebagai anak yang cerdas. Dengan tekun si ayah mengajar Mayer segala pengetahuan mengenai perniagaan berasaskan ribanya. Moses juga sering menceritakan pengalaman dan pengetahuan yang diperolehnya dari pelbagai sumber. Pada 21 September 1769, upayanya mendekati pemerintah Inggeris membuahkan hasil. Pembesar negara, Wilhelm dengan senang hati memberikan restu atas kedainya. Rothschild pun memasang lambang principalitas Hess-Hanau di depan kedainya sebagai lambang restu dan perlindungan istana. Lambang itu bertuliskan huruf emas dengan kalimat 'M A Rothschild'. Dengan limpahan kurnia ditunjuk sebagai abdi istana daripada pembesar negara, Wilhelm von Hanau.

    Pada 1770, ketika berusia 27 tahun, Rothschild menikahi Guetele Schnaper yang berusia 17. Daripada perkahwinannya, mereka dikurniakan 10 anak. Anaknya bernama Amshell III, Salomon, Nathan, Karlmann (Karl) dan Jacob (James). Kepada anak-anaknya, selain mendidik mereka dengan keras soal pengetahuan perbankan dan aneka pengalamannya, Rothschild I juga menanamkan kepada mereka keyakinan Talmudian (bukan Taurat) dengan intensif.

    Frederich Morton, penulis biografi Dinasti Rothschild menulis, "Setiap Sabtu malam, selepas ibadat di Sinagoga, Amshell mengundang seorang rabbi ke rumahnya. Sambil duduk membongkok di kerusi hijau, mengunyah anggur, mereka berbincang sampai larut malam. Bahkan pada hari kerja pun Amshell sering dilihat membaca Talmud dan seluruh keluarga harus duduk dan mendengarkan dengan tertib?

    Rotschild adalah keluarga Yahudi yang berpandangan Talmudian. Mereka sangat percaya bahawa tuhan, sesuai keyakinan dalam ayat Talmud yang memilih bangsa Yahudi sebagai manusia hebat, satu-satunya bangsa manusia, sedangkan orang lain yang bukan Yahudi adalah bangsa yang darjatnya sama dan setara dengan haiwan. Mereka sama sekali tidak peduli dengan orang lain, dan hanya peduli dengan kepentingan sesama Yahudi Talmudian. Kehebatan bangsa Yahudi disebut al-Quran dalam Surah al-Isra, ayat 6 yang bermaksud: "Kemudian Kami berikan kepadamu giliran untuk mengalahkan mereka kembali dan Kami membantumu dengan harta kekayaan dan anak-anak dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar." Kita alami kebenaran ayat al-Quran ini dan kita perhatikan bagaimana kekayaan dunia berada di tangan bangsa Yahudi dan semua kelompok berpengaruh di dunia hari bersatu mahupun bernaung di bawah panji keyahudian disedari atau tidak disedari. Salah satu buktinya adalah penduduk Gaza masih dipenjara oleh rejim Israel yang Yahudi. Wallahualam.

    Friday, December 25, 2009

    Sistem ekonomi kena utama kesejahteraan insan

    Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

    Kepincangan pelaksanaan, ketidakadilan agihan sumber boleh tambah krisis dalam masyarakat

    DUNIA menyaksikan bahawa pendekatan semasa yang diamalkan kebanyakan negara dalam menyusun dan membangunkan ekonomi membuahkan hasil yang tidak sempurna kepada kebajikan masyarakat. Pertumbuhan ekonomi dari segi angka tercapai tetapi jumlah yang miskin terus tertindas. Kos sara hidup terus meningkat. Natijahnya beban hidup masyarakat makin bertambah berat. Permasalahan ini dituruti dengan pelbagai masalah kemanusiaan lain yang ketara. Keruntuhan akhlak seperti rasuah menjadi-jadi. Kadar jenayah, kepincangan institusi keluarga dan ketidakadilan sosial menjadi fenomena yang jelas.

    Jika permasalahan kemanusiaan ini berterusan, kebajikan dan kesejahteraan hidup manusia lambat-laun akan mengalami krisis yang ketara. Bahkan pada masa kini persepsi umum terhadap sesuatu tindakan oleh pihak berwajib banyak menimbul keraguan. Keadaan ini jika tidak dicari penyelesaian yang berkesan akan memusnahkan kehidupan bermasyarakat. Yakin diri dan yakin kepada institusi hidup bermasyarakat akan bertambah meleset.

    Apatah lagi apabila pertumbuhan ekonomi semasa berada dalam suasana yang tidak menentu. Keadaan ekonomi di dunia maju, khususnya di negara Barat jelas mempamerkan usaha untuk menyelesaikan masalah ekonomi tidak memperlihatkan satu arah yang memberangsangkan. Keadaan ekonomi semasa dianggap mampu bertahan hanya melalui pakej rangsangan hasil perbelanjaan defisit dasar fiskal. Berapa lama perbelanjaan defisit dapat diteruskan.

    Sesebuah negara tidak mungkin berterusan mengambil tindakan sedemikian. Amerika Syarikat yang terus mengamalkan amalan berhutang sama ada di sektor awam dan swasta tidak akan dapat mempertahankan kedudukan ekonominya. Jumlah hutang kedua-dua sektor itu sudah melebihi US$50 trillion. Keruntuhan ekonomi Amerika Syarikat akan memberi kesan besar kepada ekonomi dunia.

    Pergantungan ekonomi di antara negara makin bertambah rapat. Sesetengah negara contohnya Jepun, sumber terbesar kepada kemajuan ekonominya banyak bergantung kepada negara pengimport terbesar barangan eksportnya iaitu Amerika Syarikat. Apabila ekonomi Amerika Syarikat merundum, ekonomi Jepun turut mengalami kemelesetan. Begitu juga dengan pergantungan kepada pengaliran modal dari luar negara. Jika sumber modal luar negara menjadi faktor terpenting kepada pembangunan sesebuah ekonomi, kebergantungan ekonomi kepada sumber luar akan menjadi penentu utama kepada kemajuan ekonomi tempatan.

    Dalam suasana sedemikian sudah tiba masanya untuk negara membangun memikirkan mengenai pendekatan baru dalam menyusun dan membangunkan negara. Malaysia tidak terkecuali.

    Kebergantungan kepada sektor luar negara sangat penting diberi perhatian untuk mencapai kemajuan ekonomi negara. Tetapi lebih penting tumpuan turut diberi kepada kemantapan kekuatan faktor dalaman negara seperti penawaran sumber modal, tenaga buruh yang bermutu dan kuasa pasaran yang mantap dalam negara.

    Apabila kedudukan ekonomi negara mengalami keadaan yang memberangsangkan, lebihan modal tempatan perlu mampu disalur kepada pembangunan kegiatan ekonomi. Dengan wujudnya pasaran tenaga buruh yang bermutu, kegiatan ekonomi di sektor nilai tambah yang tinggi mampu diwujudkan. Seterusnya kemantapan ekonomi negara hendaklah berkemampuan menggembleng keseluruhan tenaga rakyat menyertai dalam membangunkan ekonomi negara. Usaha sedemikian akan membolehkan ekonomi mencapai guna tenaga penuh dan kemiskinan rakyat dapat diselesaikan.

    Hala tuju ekonomi berkenaan perlu disokong oleh dasar fiskal dan kewangan yang mantap. Sektor swasta mesti turut serta berperanan secara muafakat berusaha bersama dalam memajukan negara. Jalinan usaha secara berpadu di antara sektor awam dan swasta akan mewujudkan suasana harmonis dalam menyusun dan membangunkan negara.

    Kemajuan ekonomi yang diperoleh sedemikian akan membina kekuatan kuasa pasaran dalam negara. Kekuatan kuasa pasaran dalam negara membolehkan sesebuah ekonomi lebih berkemampuan menghadapi keadaan luaran negara yang tidak menentu dan di luar kemampuan kita untuk mempengaruhinya.

    Justeru, usaha yang bersungguh-sungguh perlu difikirkan untuk memantap kekuatan dalaman ekonomi negara. Usaha itu memberi kesan besar dalam menyelesai masalah sosial masyarakat seperti pengangguran dan kemiskinan rakyat.

    Islam menggalakkan masyarakatnya sentiasa mengambil tindakan awalan merancang dan mengenal pasti kaedah dan pendekatan yang sesuai dengan pergolakan suasana ekonomi serantau dan sejagat. Tanpa memahami pergolakan ekonomi pada peringkat berkenaan tidak mungkin masyarakat Islam dapat mengatur langkah yang sesuai dan berkesan dalam memaju ekonomi masyarakat. Ini termasuk dalam membangun instrumen perbankan Islam. Instrumen kewangan yang menepati kehendak syariah wajib menjana kepada pencapaian matlamat syariah. Ini kerana pencapaian kepada matlamat Syariah adalah sangat penting dalam memajukan ekonomi masyarakat Islam. Jika instrumen kewangan yang digulung menepati syariah tetapi tidak menghala kepada pencapaian matlamat Syariah, satu kajian mendalam perlu diambil. Kita tidak boleh ghairah dengan slogan tetapi gagal memperoleh matlamat yang digaris oleh Syariah.

    Disamping itu kemajuan ekonomi hendaklah menuju ke arah wujud sebuah masyarakat yang berperadaban. Kekuatan ekonomi yang diperoleh hendaklah daripada sumbangan kekuatan penghayatan nilai kemanusiaan yang utuh. Penyusunan dan pembangunan yang tidak berteras nilai kemanusiaan yang dituntut oleh agama akan menghasilkan ketidakadilan dan keharmonian hidup masyarakat.

    Islam menganjurkan nilai keadilan disebatikan dalam setiap bidang kegiatan manusia, sama ada individu atau hidup masyarakat. Ini adalah asas utama kepada usaha menyusun dan memajukan ekonomi negara. Cabaran yang besar sekarang kepada ilmuwan Muslim bagaimana semangat adil dapat diterjemah dalam penggubalan dasar fiskal dan kewangan negara tercapai. Seterusnya dasar itu dilaksana secara adil.

    Penulis ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

    Soal Jawab Agama: Nikah batin tidak sah kerana tiada wali, pasangan wajib kahwin semula

    Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh

    KITA sering mendengar amalan pernikahan secara batin dilakukan pasangan pengantin Islam. Namun persoalan timbul adakah Islam mengiktiraf pernikahan berkenaan dan jika pasangan berkenaan mempunyai anak, apakah hukum kedudukan anak itu?

    Pemuda Kedah
    Alor Star

    Sebenarnya, pernikahan batin muncul apabila masyarakat tidak memahami dan tidak mempelajari Islam yang sebenarnya, sebaliknya mencampuradukkan Islam dengan amalan karut. Di dalam hukum pernikahan mengikut syarak, antara rukun sah nikah, ialah wali dan saksi. Namun apabila nikah batin tidak membabitkan wali dan saksi, tentunya ia jelas tidak sah dan diiktiraf hukumnya.

    Sebuah hadis yang diriwayatkan Tirmizi dari Abu Musa Asya'ri bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tiada nikah melainkan dengan wali".

    Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Aishah bahawa Nabi SAW bersabda: "Mana-mana perempuan yang berkahwin dengan ketiadaan izin walinya, maka nikahnya adalah batil (batal), maka nikahnya adalah batil, maka nikahnya adalah batil".

    Begitu juga keperluan dua saksi bagi menghalalkan pernikahan itu, sabda Rasul SAW melalui hadis Ibnu Abbas bermaksud: "Bermula perempuan yang berkelakuan sundal itu ialah mereka yang menikahkan dirinya tanpa saksi". (Tirmizi, Sahih).

    Imam Ahmad berpendapat adalah harus seorang lelaki dan dua perempuan sebagai saksi. Namun demikian beliau tidak bersetuju jika ketiadaan saksi. Imam Syafi'e di dalam kitabnya Al-Um memuatkan sebuah hadis dari Nabi SAW bermaksud: "Tiada sah nikah melainkan dengan wali dan dua saksi yang adil".

    Inilah apa yang dilakukan sahabat Nabi SAW sebagai respons kepada banyak hadis yang bermaksud demikian. Ia juga dikuatkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas dan sahabat lain menyebut: "Tiada sah nikah melainkan dengan dua saksi yang adil dan wali yang bijak". Pendapat ini juga disokong oleh Zubaidi di dalam syarah Ihya'. Begitu juga disebut oleh Imam Ghazali di dalam kitab Al-wajiz: "Tiada dikira nikah melainkan dengan adanya dua saksi yang adil dan tiada permusuhan antara saksi dan kedua mempelai".

    Saidina Umar pernah membatalkan perkahwinan yang bersaksikan seorang lelaki dan seorang perempuan, seraya berkata: "Jika sekiranya sudah bersatu antara keduanya (yang berkahwin), nescaya akan aku rejam mereka". Apatah lagi jika ketiadaan seorang pun sebagai saksi pada majlis akad berkenaan.

    Jika sekiranya berlaku pernikahan seperti yang disebut penyoal tadi, maka kedua pihak diwajibkan bernikah semula dengan cara yang sah termasuk membayar mahar seperti kebiasaan mengikut bayaran semasa. Maka di dalam soal ini pihak berwajib akan menyelesaikan masalah itu dengan penuh kebijaksanaan jika ia membabitkan soal kekeluargaan dan perlu memberi pengajaran kepada mereka yang berniat melakukannya pada masa akan datang. Dalam pada itu, anak yang dilahirkan hasil dari hubungan itu akan ditentukan oleh mahkamah sama ada ia hasil zina atau syubahat.

    Thursday, December 24, 2009

    Akhlak penentu jatuh bangun tamadun

    Nik Salida Suhaila Nik Saleh

    Sifat sabar Rasulullah bolehkan syiar agama dapat dinikmati umat Islam seluruh dunia

    ASAS yang dilakukan Rasulullah SAW ketika membina masyarakat Islam selepas peristiwa Hijrah ialah dengan membentuk akhlak mulia. Umum tahu bukan mudah menyatupadukan banyak hati, tetapi ia dilakukan Rasulullah dengan baik meskipun ada cabarannya kerana akhlak yang Baginda tonjolkan menjadi pengajaran paling berkesan berbanding keyakinan yang diberikan sahabat di sekelilingnya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Ahmad dan Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."

    Sejarah membuktikan bahawa keperibadian yang mulia membentuk masyarakat yang cemerlang tamadunnya. Rahsia kejayaan Rasulullah SAW sehingga mampu membentuk barisan sahabat yang kukuh dan mantap dari segi sahsiah dan keperibadiannya adalah dengan menonjolkan akhlak yang mulia sejajar dengan keperibadian Muslim sebenar yang dipaparkan di dalam al-Quran. Tanpa apa-apa kepentingan di dunia, Baginda memimpin orang-orang kanannya dengan keluhuran Islam, ada wahyu Baginda sampaikan, ada kebuntuan Baginda sama berbincang.

    Laba daripada inilah yang menjayakan sebuah kepemimpinan yang akhirnya dikagumi kerana integriti, bukan kepentingan diri.

    Baginda tahu bahawa akhlak adalah asas pembinaan diri yang akan menentukan jatuh bangunnya agama dan tamadun, inilah sebab utama diutuskan Rasulullah SAW. Di dalam surah Al-Ahzab, Allah SWT berfirman di dalam ayat ke 21: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu. "Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud" "Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang baik".

    Satu cara untuk membentuk akhlak mulia ialah dengan pendidikan 'contoh teladan' yang baik. Setiap individu harus memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga, suka membantu serta membimbing dan berperanan sebagai model contoh. Antara aspek terpenting yang harus diambil perhatian ialah penampilan setiap individu Muslim, peribadi yang seimbang dalam pemikiran dan tindakan dan sikap terhadap konsep berilmu, beramal dan berakhlak yang sebenar.

    Di antara akhlak mulia Rasulullah kepada sahabatnya ialah bersifat 'siddiq' atau benar. Sifat ini meliputi semua perbuatan, perkataan dan gerak hati. Tidak ada sekelumit pun dendam, niat jahat, bicara untuk menyakiti hati orang lain semata-mata atau melakukan sesuatu perbuatan yang bukan saja mengundang kesusahan dan penderitaan kepada orang lain tetapi juga kemurkaan Allah SWT.

    Hari ini, kebanyakan kepincangan dalam urusan pentadbiran, hatta dalam institusi kekeluargaan sekalipun adalah disebabkan oleh sikap 'tidak benar' yang menjadi taruhan demi kemenangan di dunia.

    Selain itu, sabar dalam semua keadaan adalah perkara yang paling mudah tetapi sukar dilakukan sekiranya hati kita tidak reda terhadap qada dan qadar Allah. Sifat sabar dibentuk oleh Rasulullah sehingga dikagumi sahabat dan musuh ketika hayatnya, bahkan tidak tergambar oleh kita hari ini kesabaran Rasulullah sebenarnya yang menyelamatkan agama dan usaha syiar Baginda dan akhirnya dapat dinikmati oleh seluruh Muslim pada hari ini.

    Menghadapi fitnah dan ancaman musuh yang datang dari segenap ceruk tentulah sukar ditepis, apatah lagi fitnah terhadap Rasulullah, tetapi, daripada api yang asalnya sukar dihidupkan, fitnah akhirnya menjadi bara yang tidak padam-padam. Sehingga ke hari ini Rasulullah SAW masih menjadi bahan jenaka dan cacian golongan kuffar, tetapi Islam tetap rendang menaungi, kerana sikap sabar yang Baginda tinggalkan menjadi 'tuan' kepada khalayak nafsu.

    Satu sifat yang mulia yang ditonjolkan oleh Rasulullah juga ialah sifat pemaaf terhadap kesilapan yang dilakukan sahabat dan musuh serta mudah bertolak-ansur dan tidak pernah marah melainkan kesalahan itu dilakukan kepada Allah SWT. Sifat ini tentulah pernah dilakukan oleh semua orang tetapi ada kala ia tidak dapat dilakukan dalam semua atau setiap kesalahan. Tetapi Rasulullah tidak pernah melemahkan diri dengan menghukum orang lain ataupun tenggelam oleh rasa marah yang mengawal akal. Ketenangan Baginda juga menggambarkan peribadi yang baik dan menunjukkan personaliti yang disukai ramai.

    Rasulullah mendidik sahabat menurut tatacara akhlak yang ditentukan Allah dan itulah yang membentuk sebuah masyarakat Islam yang begitu unggul sifatnya, beriman dan bertakwa serta cenderung dan mencintai kebaikan. Kegagalan dalam membentuk masyarakat yang berakhlak mulia samalah seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini, seperti mana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Rumi ayat 41 yang bermaksud: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (Timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merosakkan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

    Dalam menghadapi arus kemajuan dan cabaran abad baru, keperluan terhadap pembentukan akhlak mulia semakin mendesak memandangkan masalah sosial timbul selari dengan perkembangan ekonomi dan kepesatan kemajuan dunia. Masyarakat dan bangsa yang memiliki akhlak mulia adalah penggerak ke arah pembinaan tamadun dan kejayaan yang diredai oleh Allah SWT. Seperti kata pepatah seorang penyair Mesir, Syauqi Bei: 'Hanya saja bangsa itu kekal selama berakhlak. Bila akhlaknya telah lenyap maka lenyap pulalah bangsa itu'.

    Penulis ialah Pensyarah Kanan di Universiti Sains Islam Malaysia

    Suasana mesra ibadat di hospital rangsang pesakit bersolat

    Oleh Dr Irfan Mohamad

    SEJAK difardukan ke atas umat Nabi Muhammad SAW sejak kira-kira 1430 tahun pada peristiwa Isra dan Mikraj, solat menjadi suatu kewajipan yang tidak terlepas seseorang itu daripada melaksanakannya. Tidak kira apa juga keadaan selagi ia memenuhi syarat wajib solat, maka tanggungjawab menunaikannya perlu dilakukan.

    Baik dalam keadaan senang atau susah, sihat mahupun sakit, solat adalah tetap fardu. Tiada alasan yang boleh digunakan untuk tidak bersolat, ketika sakit Islam memberikan keringanan dari segi pelaksanaan terutamanya bagi rukun fi’li (perbuatan) dengan kaedah tertentu.

    ‘Sembahyang lima waktu itu diwajibkan Allah ke atas hamba-Nya, maka sesiapa melaksanakannya, sedangkan dia tidak pernah mensia-siakan daripadanya sesuatu pun kerana meringankan kewajipan itu, nescaya baginya di sisi Allah suatu perjanjian untuk memasukkannya ke syurga. Dan sesiapa yang tidak melaksanakannya maka tidak ada baginya di sisi Allah suatu perjanjian. Jika Dia mahu, di azabnya, dan jika Dia mahu, dimasukkannya ke syurga.’ (Hadis riwayat Abu Daud, Nasa’i, Malik dan Ibnu Hibban)

    Hospital adalah sebuah suatu institusi yang biasanya ramai orang mengelakkan melainkan terpaksa akibat penyakit yang dihidapi ataupun kerana bekerja di sana. Jika seseorang dimasukkan ke hospital, maka mereka secara automatik menjadi ‘orang sakit’ yang pada kebanyakan masa mempunyai ‘imuniti’ atau dikecualikan daripada melaksanakan tugas seperti biasa. Seseorang pesakit itu seharusnya tabah dengan dugaan yang sedang dihadapinya dan terus mengerjakan solat mengikut kemampuannya. Sememangnya menunaikan solat dalam keadaan sakit menuntut lebih kesabaran dan pengorbanan.

    Firman Allah yang bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.’ (Surah Taha: 132)

    Apabila berada di katil hospital, pesakit akan mula teruji. Di sinilah peranan orang serta prasarana di sekeliling akan menjadi faktor penggalak atau perencat yang membuatkan seseorang pesakit itu mengekalkan kesungguhannya untuk beribadah atau mengambil keputusan untuk menundanya dengan alasan untuk melangsaikan segala hutangnya selepas sembuh. Antara alasan yang diberikan ialah sukar untuk bersuci dan berwuduk kerana khuatir ia memudaratkan kesihatan. Dalam hal ini, Islam telah memberi lagi kelonggaran tatacara bersuci bagi mereka yang sakit.

    Firman Allah: “Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau datang dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamum kamu dengan tanah yang baik (suci): Sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun’. (Surah An-Nisa: 43)

    Langkah proaktif hospital bagi mewujudkan suasana mesra ibadat ini amat penting bagi menggalakkan pesakit melakukan aktiviti ibadat mereka seperti biasa. Kesukaran dan ketiadaan prasarana beribadah mungkin menjadi sebab mengapa orang tua biasanya tidak mahu ke hospital apatah lagi dimasukkan ke wad kerana bimbang hasrat bersolat akan tergugat.

    Sebagai sebuah hospital yang mengadaptasikan konsep mesra ibadat, Hospital Universiti Sains Malaysia cuba menerapkan beberapa elemen baik berbentuk fizikal secara langsung dan juga tidak langsung yang diharap mampu mewujudkan suasana kondusif bagi pesakit untuk terus melaksanakan ibadat mereka. Pemaparan arah kiblat yang mudah di dapati di siling, pembukaan ruangan bagi pesakit menjalankan ibadah di wad serta penyediaan buku panduan ibadah ketika sakit yang diletakkan di tepi katil pesakit diharapkan dapat memudahkan pesakit untuk melaksanakan kewajipan mereka mengikut kadar termampu.

    Pengumuman masuknya waktu solat juga diberikan agar pesakit yang terlantar dan sukar untuk bergerak tetap mendapat maklumat. Bagi waris dan pelawat, surau turut disediakan.

    Sungguhpun perkara kecil seperti buku panduan dan arah kiblat ini nampak remeh namun hakikatnya ia menyebabkan ‘pesakit atas pagar’ memilih untuk melaksanakan atau meninggalkan ibadahnya. Pesakit amat jarang bertanyakan doktor atau jururawat berkenaan cara mereka untuk bersolat dalam keadaan berbalut, bersimen atau dalam keadaan adanya kateter urin dan sebagainya, juga arah kiblat disebabkan soalan ini dianggap tidak relevan dengan profesion kedoktoran atau kejururawatan. Di sinilah buku panduan kecil atau penunjuk arah dapat memainkan peranan dengan tidak menafikan pentingnya seseorang perawat itu melengkapkan pengetahuan mereka demi membantu pesakit secara lebih holistik.

    Dengan menunaikan solat, ia menunjukkan kita kasih kepada Allah dan tidak mensia-siakan amanah yang diberikan. Sesungguhnya bersolat itu lambang cinta seorang hamba terhadap Tuhannya.

    Walaupun Islam tidak pernah memberatkan umatnya, konsep ini tidak seharusnya disalahgunakan untuk meringankan tuntutan solat. Istilah qada selepas sembuh bukan suatu ayat yang mempunyai jaminan bahawa kita akan mempunyai masa untuk melakukannya. Jika kita diberi peluang sembuh dan mampu melakukannya sekalipun, sejauh manakah pastinya kita bahawa ‘segala hutang’ kita itu akan diterima-Nya?

    Penulis ialah Pensyarah Perubatan ORL, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kota Bharu, Kelantan

    Wednesday, December 23, 2009

    Peguam Syarie Menulis: Proses membuktikan amalan sihir mesti jelas

    Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

    Hakim perlu bantuan pakar, saksi sebelum putuskan hukuman ke atas pengamal ilmu hitam

    AMALAN sihir dalam melakukan kegiatan jenayah dilihat semakin meruncing dalam masyarakat masa kini dan seterusnya membuka mata banyak pihak betapa serius perkara ini dan memerlukan penyelesaian segera. Penggunaan istilah sihir dalam alam Melayu kebiasaannya merujuk kepada ilmu hitam.

    Sihir yang diamalkan dikategorikan kepada beberapa bahagian iaitu bagi tujuan melindung diri, mendapatkan kelebihan, mengawal dan memusnahkan musuh serta meramal masa hadapan. Sihir yang diamalkan boleh dikelaskan menurut beberapa kelompok seperti saka yang menggunakan jin atau syaitan (kadam, toyol, roh orang mati, hantu), azimat dan menggunakan jampi serapah.

    Malah amalan sihir ini turut berlaku di dalam perbicaraan kes kekeluargaan di Mahkamah Syariah dan kesannya sihir boleh menghasilkan natijah luar biasa, menarik, mengelirukan dan kadangkala berupaya mengatasi masalah manusia selepas pelbagai ikhtiar dilakukan. Amalan sihir ini terus diamalkan secara tersembunyi atau terang-terangan seolah-olah ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam, apatah lagi usaha untuk menghalangnya seumpama tidak wujud dan jelas.

    Amalan itu berleluasa kerana tiada undang-undang yang diperuntukkan bagi mengekang masalah ini seterusnya tiada sebarang tindakan boleh dikenakan terhadap orang yang menggunakan sihir dan pengamalnya. Oleh itu, cadangan yang dikemukakan pada `Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis anjuran Jabatan Mufti Selangor, baru-baru adalah sesuatu yang boleh diterima dan diperhalusi. Namun begitu, kajian menyeluruh dengan pakar dalam bidang ini amatlah dialu-alukan bagi mendapatkan penyelesaian yang sewajarnya.

    Penggubalan undang-undang berkaitan sihir ini adalah suatu yang mendatangkan kebaikan kerana ia dapat mengekang amalan sihir ini daripada berterusan dan digunakan sewenang-wenangnya dalam masyarakat.

    Namun begitu, apa yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana melalui peruntukan undang-undang ini dapat membuktikan ama lan sihir itu berlaku sedangkan amalan sihir adalah suatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan bersifat abstrak. Dalam hal ini, pandangan pakar amatlah perlu bagi membantu hakim dalam membuat keputusan.

    Firman Allah maksudnya, "Oleh itu, bertanyalah kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahuinya" (Al-Nahl:42).

    Ayat itu menyarankan kepada kita agar bertanya kepada orang yang mengetahuinya. Inilah yang dikatakan meminta pendapat "ra'yu al-khabir" di dalam prinsip Undang-undang Keterangan Islam.

    Persoalan lain pula akan timbul iaitu siapakah pakar-pakar berkenaan? Siapa yang akan menentukan bahawa mereka adalah pakar? Adakah wujud badan yang pakar dalam hal itu?

    Antara kes yang boleh dirujuk adalah kes Mustafa Batcha lwn Habeba Abd Rahman di dalam kes cerai talak tiga yang mana perayu mendakwa bahawa beliau pada ketika itu tidak tahu apa yang dilakukannya kerana terkena sihir, ada barang sihir dan hanya sihat setelah mendapat rawatan daripada dukun.

    Ia perbuatan yang dikeji di dalam hukum Islam. Perayu menyatakan bahawa selepas beliau ke kantin di sebuah kilang, fikirannya tidak tenteram, selalu bergaduh dan marah pada isterinya, timbul rasa benci dan memukul isterinya dan beliau sendiri tidak mengetahuinya. Dalam pada itu, perayu dengan tidak sedar diri telah membuat aduan kepada pihak berkenaan untuk menceraikan isterinya. Perayu mendapati bungkusan kain putih di dalam kantin itu dan beliau berusaha berubat cara kampung. Menurut orang yang mengubatinya (dukun), beliau terkena sihir kerana berjaya mendapatkan kantin itu.

    Berdasarkan rekod perbicaraan, hakim memutuskan hukumannya berdasarkan kepada ikrar yang dibuat oleh perayu yang ia sudah menceraikan isterinya dengan talak tiga. Walaupun ikrar adalah salah satu cara pembuktian yang terkuat dalam hukum syarak tetapi sebelum ikrar itu diterima ia hendaklah dipastikan ia dilakukan secara mutlak tanpa syarat, ikatan atau kait mengait dengan perkara lain. Jika ia dikaitkan dengan perkara lain dan tidak mutlak sebagaimana ulama berpendapat bahawa ikrar itu tidak sah.

    Kes di atas adalah antara contoh kes kekeluargaan yang membabitkan sihir yang dilaporkan. Situasi sebenar yang dapat kita lihat di dalam kes amalan sihir adalah rumit dan memerlukan penelitian yang khusus terutama daripada hakim yang akan membuat keputusan memandangkan tiada peruntukan undang-undang yang khusus bagi menangani masalah yang membabitkan sihir.

    Saranan paling tepat adalah kes itu didengar dan dibicarakan sewajarnya dengan memanggil saksi untuk memberikan keterangan, pendapat "ra'yu al-khabir" sama ada benar atau tidak sihir digunakan dengan membincangkan latar belakang, suasana dan keadaan kes yang diikrarkan.

    Peruntukan undang-undang berkaitan sihir ini perlu diwujudkan di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah bagi mengekang masalah ini daripada terus berleluasa. Sekiranya tiada peruntukan undang-undang berkenaan, ia akan membolehkan individu, bomoh atau penjenayah yang mengamalkan ilmu sihir dan melakukan jenayah serta menganiayai orang lain terlepas daripada hukuman kerana tiada peruntukan undang-undang.

    Perjumpaan antara pengamal undang-undang, ahli agama, ahli akademik dan badan tertentu penting bagi membincangkan penyelesaian kepada masalah ini seterusnya boleh diusul dan dibahaskan dengan terperinci pada peringkat Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan kerana membabitkan isu nasional dan akidah umat Islam.

    Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

    Infak jamin kebajikan golongan daif, jana ekonomi umat Islam

    Oleh Penulis Khas YaPEIM

    MENGELUARKAN sumbangan atau infak untuk kebajikan sebenarnya mempunyai kedudukan penting dalam sistem ekonomi Islam. Istilah infak ini termasuk zakat, sedekah dan segala perbelanjaan untuk kebajikan merangkumi sedekah jariah dan wakaf.

    Amal jariah yang dipopularkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang diperkenalkan semula pada pertengahan tahun 1980-an turut menggabungkan dua ibadat iaitu amal soleh dan sedekah jariah.

    Dalam konteks Islam, keupayaan melaksanakan ibadat yang dianjurkan ini mempunyai kaitan jelas dengan tahap keimanan kepada Allah. Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, "Kitab al-Quran itu tiada padanya sebarang keraguan. Ia memberi hidayah kepada orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang dikurniakan kepada mereka." (al-Baqarah: 2-3)

    Dalam konteks kita melakukan amal kebajikan, konsep kebaktian wajar menjadi panduan dan rujukan. Kebajikan bukan saja merujuk kepada hala tuju sewaktu melakukan ibadat semata, tetapi kebajikan atau kebaktian sebenar ialah keseimbangan hubungan langsung dengan Allah dan terhadap sesama makhluk khususnya manusia.

    Allah SWT berfirman, "Kebaktian itu bukan hanya menghalakan mukamu ke arah timur atau barat, tetapi kebaktian ialah mereka yang beriman kepada Allah, hari Akhirat, malaikat, kitab, nabi dan memberi harta yang disayanginya kepada kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin, orang yang terlantar di dalam perjalanan, orang meminta bantuan, membebaskan hamba abdi, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan janji apabila mereka berjanji. Merekalah orang yang benar berbakti dan merekalah orang yang benar-benar bertakwa." (Al-Baqarah: 177)

    Jelas ia menunjukkan kepada kita bahawa amal jariah adalah bahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada maksud kebajikan atau kebaktian. Malah, dari sudut sejarah ia menjadi sebahagian budaya hidup sejak zaman Rasulullah SAW.

    Ada sahabat utama Baginda SAW yang sanggup mengeluarkan sebahagian harta kesayangan mereka, malah terdapat juga yang menginfak hampir keseluruhan harta yang dimilikinya atas asas keimanan kepada Allah SWT dan Rasulnya.

    Pengalaman Abdul Rahman bin Auf umpamanya, wajar menjadi rangsangan kepada kita. Pada masa hijrahnya, semua harta kekayaan dan kesayangannya ditinggalkan di Makkah.

    Bagaimanapun, berasaskan pendirian tegas dalam meneruskan kehidupannya, beliau tidak mudah menerima tawaran pemberian percuma sebahagian daripada harta kekayaan dan kesayangan saudaranya dari kumpulan Ansar, Sa'ad bin Rabi'.

    Sebaliknya, apa yang diperlukan beliau ialah meminta ditunjukkan di mana pasar untuk beliau memulakan perniagaannya. Diriwayatkan, beliau pernah membiayai keperluan peperangan dengan menyediakan masing-masing 500 kuda tempur serba lengkap dan 500 ekor unta untuk membawa konvoi bekalan.

    Demikianlah satu daripada contoh sahabat yang gigih dalam usahanya dan banyak sekali amal kebajikan dilakukan khususnya dalam konteks mengeluarkan harta kepada jalan Allah. Allah terus memberi kemurahan rezeki dan memberkati harta Abdul Rahman bin Auf kerana sikap dermawan.

    Kita menyaksikan hingga ke abad mutakhir ini, masih terdapat mereka yang bersedia dan sanggup mengeluarkan harta pada jalan kebajikan dan manfaatnya daripada amalan ini juga adalah besar serta berpanjangan.

    Kewujudan institusi pendidikan penting seperti Universiti Al-Azhar Mesir adalah contoh terpilih betapa amalan baik dan murni masih menjadi budaya kepada sebahagian daripada masyarakat Islam yang benar-benar meyakini bahawa amal jariah adalah suatu saluran menyempurnakan tanggungjawab sosial.

    Di negara kita, amalan bersedekah atau beramal jariah dipraktikkan secara meluas. Terdapat banyak sekali institusi ibadat, pendidikan dan kebajikan didirikan atas asas amal jariah, walaupun peruntukan yang disediakan kerajaan adalah besar. Keadaan ini membuktikan bahawa budaya beramal jariah bukanlah sesuatu yang baru dan asing kepada masyarakat kita.

    Hikmah infak adalah:

    # Semangat beramal jariah ini jika digerakkan secara bersungguh-sungguh, melalui penyediaan prasarana beramal jariah secara profesional serta disokong semua lapisan masyarakat berasaskan tahap keupayaan masing-masing, boleh mewujudkan satu bentuk kekuatan yang hebat dan mampu mewujudkan sebuah dana besar yang berperanan dalam membangun sosio ekonomi masyarakat.

    # Pelaksanaan program amal jariah berasaskan tafsiran luas memungkinkan kita menyelesaikan sebahagian daripada permasalahan masyarakat. Program sedemikian juga mempamerkan keindahan Islam yang sebenar, sekali gus menjadi media dakwah berkesan kepada masyarakat bukan Islam.