Saturday, January 9, 2010

Teroka kesamaan dalam agama elak konflik masyarakat

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


DR REZA (kanan) berbincang bersama Pushkain Rahman dan Graeme Vanderstoel (tengah) selepas menyampaikan ceramah bertajuk 'Titik Persamaan: Kesamaan Kerohanian dan Etika Antara Islam dan Buddha' di IAIS, kelmarin.


Asas kepercayaan boleh jadi faktor penyatuan antara penganut jika saling menghormati

MELIHAT persamaan antara agama bukan bermakna menyamakan antara dua agama tetapi bertujuan mempelajari serta memahami sesuatu agama itu bagi mengelak salah faham seterusnya mengambil apa yang baik untuk dimanfaatkan.

Felo Penyelidik Institute of Ismaili Studies, London, Dr Reza Shah-Kazemi, berkata antara agama Islam dan Buddha ada persamaan yang jika dikaji akan menarik masyarakat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai kedua-dua agama.

Katanya, melalui pemahaman itu juga dapat mengelak konflik membabitkan agama sebaliknya masyarakat pelbagai agama boleh hidup dalam suasana harmoni apabila masing-masing sentiasa menghormati agama anutan pihak lain.

"Memang ada perbezaan besar antara dua agama jika kita melihat kepada asas kepercayaan serta doktrin antara Islam dan Buddha. Apabila ingin mencari titik persamaan kita tidak boleh melihat daripada aspek akidah tetapi kerohanian.

"Ini kerana apabila melihat aspek kerohanian, ia adalah manifestasi kepada kesamaan yang ada pada kedua-dua agama," katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk 'Titik Persamaan: Kesamaan Kerohanian dan Etika Antara Islam dan Buddha' di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS), kelmarin.

Beliau yang turut menghasilkan buku 'Buddhism and Islam: The Common Ground' berkata, penekanan ceramahnya itu adalah hasil penyelidikan selama tiga bulan membaca teks agama Buddha dalam usaha meningkatkan kefahaman serta mencari apa yang sama antara kedua-dua agama.

Walaupun menekankan aspek kerohanian untuk mencari titik persamaan berbanding teologi, Dr Reza pada ceramahnya tidak menafikan akan kemungkinan wujudnya persamaan dalam asas kepercayaan agama antara Buddha dan Islam.

Katanya, persamaan menakjubkan boleh dilihat apabila tumpuan diberi kepada bagaimana kedua-dua agama memahami mengenai zat Allah, nama Allah dan kualitinya seperti al-Haq yang bermaksud nyata dan benar.

"Ajaran Buddha tidak terhad kepada norma dan tingkah laku saja kerana dharma (kata-kata) Buddha turut mengiktiraf keadaan nirwana iaitu suasana aman sesudah mati. Walaupun tidak dijelaskan mengenai konsep kuasa yang menjadikan, ini tidak bermakna Buddha menafikan hakikat itu.

"Sementara Islam melihat zat dan nama Allah sebagai kepercayaan kepada kuasa mutlak yang menjadikan dan keyakinan ada alam akhirat. Cuma ia tidak boleh digambarkan secara jelas sebaliknya berdasarkan andaian dibuat mengikut daya akal," katanya.

Pada ceramahnya juga, Dr Reza membangkitkan persoalan mengenai kedudukan penganut Buddha yang menyentuh kepada aspek kepercayaan apabila menanyakan apakah penganut agama itu perlu dilayan seperti ahli kitab.

Beliau merujuk kisah berlaku di zaman Al-Hujaj bin Yusuf yang memberi maklum balas kepada anak saudaranya, Muhammad bin Qasim, mengenai apa yang patut dilakukan kepada penganut Buddha yang ditemui selepas berjaya menakluk India.

Penganut Buddha seperti diceritakan kisah itu tidak termasuk golongan musyrik berdasarkan kepercayaan serta amalan agama dianuti dan sebagai jawapan, Al-Hujaj menyuruh Muhammad melindungi mereka jika membayar jizyah.

Katanya, ada kesepakatan antara ulama untuk mengiktiraf penganut Buddha sebagai ahli kitab. Syafie juga tidak menolak hakikat itu kerana al-Quran ada menyebut kepada suhuf Ibrahim dan Musa yang diberikan kepada nabi lain.

Ini menjurus kepada cadangan, kemungkinan Buddha yang menyebarkan ajaran selepas mendapat kesedaran adalah nabi yang diutuskan kepada umatnya kerana agama Buddha mempunyai naskah yang mengandungi peraturan agama.

Beliau turut merujuk situasi itu kepada ayat 137, surah al-Baqarah yang bermaksud: "Maka jika mereka beriman seperti kamu beriman (dengan kitab Allah dan rasul-Nya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk."

Bagaimanapun, cadangan mengenai penganut Buddha sebagai ahli kitab tidak diterima pensyarah kanan Jabatan Pengajian China, Universiti Malaya, Dr Ching Thing Ho, yang menjelaskan agama Buddha tidak mengiktiraf identiti sebagai individu.

Beliau yang diundang untuk memberi komentar kepada ceramah Dr Reza berkata, tiadanya konsep identiti atau individualisme dalam ajaran Buddha menyebabkan penganutnya tidak boleh disamakan dengan ahli kitab.

Namun, beliau tidak menolak di sebalik perbezaan antara kedua-dua agama wujudnya persamaan dalam aspek teologi sambil mengakui bukan mudah untuk perkara itu dijelaskan dan ia tidak boleh dijelaskan oleh manusia.

"Tuhan digambarkan seperti manusia tetapi bukan manusia. Jadi memang tidak boleh dijelaskan dengan kata-kata. Dari segi kerohanian, memang ada persamaan antara kedua-dua agama dan banyak yang perlu dilakukan untuk menjelaskan perkara itu," katanya.

Katanya, di Malaysia, tidak ramai penganut Buddha yang belajar atau benar-benar memahami agama itu mungkin disebabkan ajaran Buddha kaya dengan falsafah menyebabkan pemahaman mereka tidak sampai kepada tahap melihat persamaan dengan agama lain.

Merumuskan ceramah mengenai titik persamaan antara agama Islam dan Buddha, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IAIS, Prof Datuk Dr Osman Bakar, berkata matlamatnya adalah melihat agama sebagai faktor penyatuan.

Beliau berkata, penekanan memahami agama lain memberi peluang masyarakat melihat persamaan yang boleh mewujudkan suasana harmoni kerana perbezaan hanya akan menimbulkan konflik.

"Dialog antara Islam dan Buddha tidak banyak berlaku dan apa yang dibentangkan Dr Reza sebagai petunjuk bahawa ada kesamaan yang patut diterokai dan difahami penganut kedua-dua agama.

"Apabila masing-masing saling memahami, barulah dapat menghormati serta menghargai kesamaan yang pasti memberi banyak manfaat. Orang Islam tahu apa yang diajarkan agama Buddha dan penganut Buddha akan menghargai Islam," katanya.

No comments: