Sunday, February 28, 2010

Ulul Albab: Rasulullah inspirasi utama tempa kejayaan

Abdurrahman Haqqi

Kepemimpinan terdahulu wajar dijadikan contoh untuk memangkin keunggulan Islam

ALLAH SWT berfirman maksudnya: "Nabi Muhammad ialah Rasul Allah dan orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang salih) ada pada muka mereka - daripada kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang disebut dalam Kitab Taurat, dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dantunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengagumkan orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat Nabi Muhammad dan pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Dia hendak menjadikan orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang yang beriman dan beramal salih daripada mereka, keampunan dan pahala yang besar." (Surah al-Fath: 29)

Ayat yang menyifatkan perihal keadaan Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda di atas datang sesudah ayat yang menyatakan maksudnya: "(Allah yang menyatakan kebenaran itu) Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain, dan cukuplah Allah menjadi Saksi (mengenai kebenaran apa yang dibawa oleh Rasul-Nya itu). (Surah al-Fath: 28)

Ketika memberi komentar kalimat 'supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain', Sheikh Abdullah Basmeih dalam Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menulis: "Apa yang dijanjikan oleh Allah Taala mengenai kejayaan agama Islam mengatasi agama yang lain telah ternyata kebenarannya kerana hanya dalam masa yang singkat saja Islam telah tersebar di merata-rata dunia dan telah menyebabkan umat Islam mencapai zaman yang keemasan, manakala ilmu pengetahuan Islam pula memberikan sumbangan yang besar dalam pembentukan tamadun dunia.

Agama Islam masih berjaya mengatasi agama lain sekalipun sesudah susutnya kuasa politiknya daripada sebahagian besar daerah yang telah dikuasainya �terutama di benua Eropah - dan sesudah susutnya kekuatan umatnya di seluruh dunia berbanding dengan kekuatan umat lain zaman sekarang yang telah muncul di timur dan di barat.

Ya! Agama Islam - menurut keadaannya sebagai agama - masih dan tetap berjaya mengatasi agama yang lain kerana bawaannya sesuai dengan tabiat semula jadi manusia dan undang-undang alam, serta dapat memberikan apa yang diperlukan oleh roh dan akal, dan apa yang diperlukan oleh pembangunan dan kemajuan, juga apa yang diperlukan oleh pelbagai masyarakat daripada segala lapisan."

Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda adalah pangkal permulaan sebaik-baik umat yang telah dikeluarkan oleh perut bumi sepanjang sejarahnya menerusi kesaksian ayat 110 Surah Ali Imran kemudian ia ditegaskan Nabi dengan sabdanya yang diriwayatkan Imam Muslim bermaksud: "Sesungguhnya orang yang terbaik di antara kamu ialah yang hidup pada zaman kurunku (sahabat), kemudian orang yang hidup sesudah kurunku (tabi'in), kemudian orang yang hidup sesudah mereka (tabi' al-tabi'in), kemudian orang yang hidup sesudah mereka." Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda ra telah memenuhi kriteria suatu umat manusia yang ideal seperti yang dikehendaki Allah SWT sehingga mereka layak untuk mendapat pujian. Umat ideal itu adalah umat yang cinta Allah, bersifat lemah lembut sesama umat beriman, bersifat tegas gagah terhadap orang kafir, berjuang di jalan Allah dan pemberani. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah daripada agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah lembut terhadap orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya." (Surah al-Maidah: 54)

Dakwah Islamiah telah pun melahirkan satu generasi manusia, generasi sahabat Rasulullah SAW iaitu suatu generasi yang paling istimewa di dalam sejarah Islam dan di dalam sejarah kemanusiaan seluruhnya. Generasi itu tidak pernah muncul dan timbul lagi sesudah itu, walaupun terdapat juga beberapa peribadi dan tokoh tertentu di sepanjang sejarah, tetapi tidaklah lahir lagi segolongan besar manusia, di satu tempat yang tertentu pula, seperti yang telah muncul dan timbul di dalam peringkat pertama daripada penghidupan dakwah ini.

Ini adalah satu fakta dan kenyataan yang terang dan memanglah telah berlaku, mempunyai maksud tertentu yang perlu kita perhatikan dan sayugia kita merenungnya bersungguh-sungguh, agar dapat kita menyelami rahsianya.

Al-Quran yang menjadi sumber dakwah ini masih berada bersama-sama kita. Hadis Rasulullah SAW dan petunjuk-petunjuk daripada perjalanan hidup dan sirahnya yang mulia itu juga masih ada di samping kita seperti juga kedua-duanya telah ada bersama-sama dengan generasi yang terdahulu itu, tidak jejas oleh perjalanan sejarah dan tidak lapuk oleh perkembangan zaman; hanya diri peribadi Rasulullah SAW saja yang telah tiada lagi bersama-sama kita sekarang.

Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda adalah contoh masyarakat cemerlang yang mengkedepankan keharmonian, perpaduan dan persaudaraan.

Masyarakat yang tersebar di antara mereka satu ajaran Nabi yang bermaksud: "Allah Azza wajalla mewajibkan tujuh hak kepada seorang mukmin terhadap mukmin lainnya, iaitu melihat saudara seimannya dengan rasa hormat dalam pandangan matanya; mencintainya di dalam hatinya; menolong dengan hartanya; tidak menggunjingnya atau mendengar penggunjingan terhadap kawannya; menjenguknya bila sakit; melawat jenazahnya dan tidak menyebut kecuali kebaikannya sesudah dia wafat." (Hadis riwayat Ibnu Babawih)

Sebagai generasi penerus yang ingin menempah kejayaannya masa kini dalam menjunjung tinggi agama Islam, sudah semestinya kita mencontohi generasi utama pendahulu kita. Imam Malik pernah berkata bahawa sesuatu umat tidak akan berhasil menempah kejayaannya kecuali dengan cara yang dilakukan oleh generasi awal dalam menempah kejayaan yang sama. La yasluh qaumun illa bima saluha bihi al-awwalun, ujarnya yang menjadi ristaan sejarah Islam, sedangkan Syed Qutb menyebutkan punca kejayaan generasi terdahulu adalah "sumber pokok yang diceduk oleh generasi pertama itu ialah al-Quran, hanya al-Quran saja. Hadis Rasulullah SAW dan petunjuk beliau adalah semata-mata adalah pentafsiran kepada sumber utama itu."

Akhirnya, sempena Maulidurrasul ke-1484 tahun ini kita semakin yakin bahawa sifat keteladanan Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda yang digambarkan oleh al-Quran adalah satu inspirasi utama untuk kembali menempah kejayaan umat Islam. Allahumma salli ala Muhammad wa'ala alihi wasahbihi wasallam.

Persoalan Agama: Boleh jamak, qasar selagi tidak bermukim

Keringanan dalam ibadat mudahkan musafir selesaikan urusan tanpa tinggalkan solat

SAYA ingin tahu berapa hari seseorang musafir itu boleh mendirikan solat jamak dan qasar jika tempoh mendirikan solat jamak dan qasar sudah tamat sedangkan tugas atau urusan seseorang musafir belum selesai? Adakah solat lain yang boleh didirikan untuk meringankan seseorang musafir supaya solatnya tidak tertinggal walaupun padat dengan jadual tugas atau urusannya.

Ingin Tahu,
Sandakan.

MUSAFIR adalah mereka yang berjalan jauh melebihi dua marhalah (lebih kurang 92 kilometer) dengan tujuan dan matlamat yang baik. Tidak dibolehkan qasar dan jamak solat sekiranya musafir bagi tujuan maksiat dan dosa seperti musafir untuk merompak dan sebagainya. Seorang musafir hendaklah melepasi kampung halaman, bandar atau pun kotanya, maka di sana boleh dimulakan solat qasar dan jamak.

Berhubung rukhsuh (keringanan) solat ketika musafir ini, Allah SWT berfirman, "Dan apabila kamu merantau di muka bumi, maka tidak menjadi kesalahan ke atas kamu mengqasarkan (memendekkan) solat. (Surah al-Nisa' ayat: 101)

Fuqaha' sepakat orang yang berada dalam musafir boleh qasar solatnya sehingga ia melaksanakan keperluannya dan kembali semula ke negaranya, asal saja beliau tidak berniat untuk bermukim di tempat yang dituju walaupun berada dalam tempoh musafir itu beberapa bulan lamanya. Umpamanya, dia menunggu untuk melaksanakan keperluannya sambil berkata kepada dirinya, "esok aku akan musafir." Walau bagaimanapun pada keesokan hari, urusannya masih belum selesai.

Jika dia berniat untuk bermukim (menetap) selama beberapa hari, fuqaha' berselisih pendapat mengenai bilangan hari yang boleh diqasar solat. Bagi fuqaha' Hanafi mereka berpendapat tidak boleh diqasarkan solat jika seseorang berniat untuk bermukim selama 18 hari ke atas kerana berdasarkan ucapan Ibn Abbas dan Ibn Umar: "Apabila anda tiba di sebuah negara dalam keadaan anda bermusafir dan anda berniat untuk bermukim selama 15 malam, maka sempurnakan solat anda, tetapi jika anda tidak mengetahui bila anda akan musafir meninggalkan negara itu, anda boleh qasar solat anda." Hadis ini dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi.

Fuqaha' as-Syafie berpendapat tidak boleh diqasarkan solat, jika seseorang berniat untuk bermukim (menetap) selama 18 hari berdasarkan hadis Imran bin Husain yang berkata: "Aku musafir bersama Rasulullah SAW. Aku juga terbabit dengan Baginda SAW semasa pembukaan Makkah. Baginda SAW bermukim di Makkah selama 18 malam. Baginda tidak bersolat kecuali dua rakaat saja. Baginda SAW bersabda (yang bermaksud): "Wahai penduduk Makkah, solatlah kamu sekalian sebanyak empat rakaat, kerana kami adalah kaum yang musafir." Hadis ini dikeluarkan oleh as-Syafie secara panjang lebar dan juga Abu Daud.

Bagi Fuqaha' Maliki dan sesetengah fuqaha' Hambali, tidak boleh mengqasarkan solat, jika seseorang itu berniat untuk bermukim di suatu tempat melebihi empat hari kerana berpegang dengan pendapat Said bin al-Musayyab, "Sesiapa yang meniatkan untuk bermukim selama empat malam dalam keadaan ia musafir maka hendaklah disempurnakan solatnya." Hadis dikeluarkan oleh Imam Malik.

Menurut Ibn Munzir dalam suatu penyelidikannya, kalangan ahli ilmu sudah ijmak (sepakat), seorang musafir dibolehkan qasar solatnya, selama ia tidak bermaksud untuk terus bermukim atau menetap di tempat yang hendak dituju, walaupun membabitkan masa bertahun-tahun lamanya.

Menurut jumhur al-Ulamak, tempat yang boleh dimulakan qasarkan solat ialah selepas melepasi rumah di satu-satu kawasan perkampungan orang yang hendak bermusafir itu sendiri dan tidak boleh menyempurnakan solatnya (solat tamam) kecuali selepas melepasi rumah pertama di kampungnya apabila kembali daripada musafirnya. Menurut Ibn Munzir, "saya tidak mengetahui Nabi SAW ada qasar solatnya dalam tempoh musafir kecuali selepas keluar dari Madinah." Wallahua'lam.

Persoalan Agama: Bakal pengantin berhak lihat pasangan sebelum kahwin

APAKAH boleh seorang pemuda itu melihat gadis sebelum meminangnya.

Johari,
Klang, Selangor

KALAU kita lihat di negara barat, lelaki bukan saja boleh melihat si gadis yang hendak dipinang tetapi lebih dari itu ia boleh bawa gadis itu ke sana dan ke mari, ke pesta atas alasan untuk menguji. Pada satu pihak tradisional pula, mereka mengharamkan lelaki melihat wanita yang hendak dipinang itu. Mereka melarang kedua-duanya saling berpandangan sehinggalah tiba saat dikahwinkan.

Sesungguhnya kedua-dua sikap tersebut adalah tercela. Yang benar adalah pendapat pertengahan daripada kedua-dua pendapat berkenaan seperti yang diajar syarak dan diperintahkan oleh Nabi SAW, iaitu agar lelaki hendaklah melihat wanita yang hendak dilamar sebagai mana dalam sebuah hadis yang bermaksud "Pernah seorang lelaki datang kepada Baginda SAW seraya berkata, "Saya telah meminang seorang perempuan Ansar." Lalu Nabi SAW bertanya, "Apakah engkau telah melihatnya?" Dia menjawab, "Belum." Baginda SAW menjawab, " Pergilah engkau melihatnya, kerana pada mata orang-orang Ansar itu (biasanya) ada sesuatu (cacat). (Riwayat an-Nasa'I no.3247).

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi iaitu al-Mughirah bin Syu'bah pernah meminta izin atau memberitahu kepada Nabi SAW bahawa dia hendak meminang seorang wanita, lalu Nabi SAW bertanya, "Adakah engkau sudah melihatnya?" Dia menjawab, "Belum." Kemudian Baginda SAW bersabda, "Lihatlah dia, kerana yang demikian itu lebih menjamin untuk melangsungkan hubungan kamu berdua." (Riwayat al-Tirmizi no.1087).

Ertinya dengan mengikut cara yang dianjurkan dalam hadis, kelak akan terbinalah kerukunan, keharmonian dan keserasian di antara keduanya (suami dan isteri). Ini adalah perintah daripada Nabi SAW. Sabda Baginda lagi, "Apabila salah seorang di antara kamu meminang seorang wanita dan mahu mengahwininya, maka hendaklah ia melihat sebahagian dari apa yang dapat mendorongnya untuk mengahwininya." (Riwayat Abu Daud no.2084)

Daripada hadis di atas, dapatlah kita ketahui bahawa lelaki yang mahu meminang berhak, bahkan harus melihat wanita yang akan dipinang itu dan keluarga si wanita itu hendaklah memberi kemudahan kepadanya untuk melakukannya, sehingga ia (si lelaki) dapat melihat si wanita dan si wanita dapat melihat lelaki tersebut. Seterusnya wanita berhak untuk menerima atau menolak pinangan tersebut. Justeru, kedua-dua belah pihak perlu saling melihat satu sama lain sebelum melaksanakan perkahwinan. Dengan cara itu, kehidupan rumah tangga dapat dibina di atas tapak yang kukuh dan tiang yang kuat.

Boleh juga lelaki melihat wanita yang akan dipinang itu tanpa pengetahuan wanita dan keluarganya, kerana pengetahuan keluarga dan wanita itu bukanlah syarat. Ia juga supaya si wanita tidak tersinggung perasaannya. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah, bahawa beliau bercerita mengenai isterinya selepas dikahwininya. Katanya, "Sesungguhnya saya dulu bersembunyi di bawah pohon untuk melihatnya, sehingga saya dapat melihat sebahagian dari sesuatu yang dapat mendorong saya untuk mengahwininya."

Saturday, February 27, 2010

Sentiasa bersyukur digandakan nikmat

Oleh Amran Zakaria

Umat Islam perlu menghargai, beri balasan ikut kemampuan bagi setiap sumbangan diterima

BERSYUKUR dan berterima kasih adalah manifestasi perasaan diluahkan manusia sebagai kemuncak menghargai sesuatu diterima. Disebut juga sebagai tasyukur yang membawa maksud berterima kasih yakni berterima kasih kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan.

Kedua-duanya adalah sifat yang bergerak dari dalam perasaan secara semula jadi. Biasanya anjakan perasaan itu mengiringi rasa nikmat diperoleh seseorang berkaitan dengan kepuasan hati dan perasaan diterjemahkan dengan ungkapan puji-pujian tanda penghargaan.

Ingatlah, Allah mengurniakan nikmat kepada seluruh makhluk-Nya semata-mata untuk disyukuri, bukan untuk dikhianati. Sesungguhnya Allah pemberi nikmat sebenar yang menjanjikan tambahan nikmat kepada mereka yang bersyukur dan azab seksa amat pedih bagi mereka yang kufur.

Allah berfirman bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya. Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Surah Ibrahim, ayat 7).

Luahan rasa syukur seseorang itu sebenarnya dapat dirungkai melalui tiga dimensi, iaitu mengetahui akan nikmat, menerima nikmat dan memuji akan pemberi nikmat. Pertama, mengetahui nikmat bererti seseorang itu tahu akan kehadiran nikmat itu dalam dirinya bersaksikan fikiran yang memperakui.

Kedua, menerima dan merasai akan nikmat itu dengan perasaan yang terlalu sukacita bila mana hati dan perasaannya dalam suasana mekar. Ketiga, memuji kepada pemberi nikmat melalui rangsangan hati yang diluahkan sebagai tanda kesyukuran melalui ungkapan puji-pujian.

Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepada-Nya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmat yang diterima dengan penuh kesyukuran dan puji-pujian. Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah wajib dan amat dituntut.

Adapun bersyukur kepada Allah menjadi pengakuan insan mengesahkan semua nikmat yang dikecapi adalah pemberian Allah kepada makhluknya atas sifat Allah yang Maha Kaya, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Penyantun. Lawan perkataan syukur nikmat adalah kufur nikmat iaitu mengingkari secara nyata atau tersembunyi segala kenikmatan diterima bukannya pemberian Allah.

Oleh itu, ternyata kufur nikmat berpotensi ke arah merosak dan mencederakan keimanan seseorang. Berterima kasih kepada sesama manusia lebih cenderung menunjukkan perasaan senang untuk menghargai atas pertolongan dan sumbangan yang diberikan, sama ada melalui pemikiran, tenaga dan wang ringgit yang dijelmakan dalam pelbagai nama.

Lafaz kesyukuran dan ungkapan terima kasih sebenarnya tidak perlu dipaksa kepada penutur untuk menuturkannya. Ia bersifat semula jadi dengan jiwa dan fitrah murni manusia.

Selama mana fitrah ini tidak dirosakkan anasir riak, bongkak, angkuh dan sombong pastinya lafaz berterima kasih akan menguntum kepada setiap manusia kepada insan lain yang menabur jasa dan budi kepadanya.

Dalam menjalani kehidupan harian, Allah menjadikan manusia untuk sentiasa saling berhubung, bekerjasama, bantu membantu dan berjasa sesama mereka. Justeru, sifat berterima kasih kepada orang yang berjasa perlu ada kepada diri seorang insan sebagai memenuhi tuntutan syarak.

Daripada sifat berterima kasih ini akan menjalar subur kepada perasaan kasih sayang dan kemesraan sesama masyarakat. Namun apabila perasaan ini hilang atau tiada langsung kepada diri manusia akibat rasa kebencian yang membuak, pastinya mengundang pelbagai tohmahan dan cacian memanjang hingga berakhir dengan perpecahan.

Kurniaan dan nikmat Allah tidak terbatas banyaknya termasuklah nikmat Islam, kehidupan, kesihatan, kecerdasan, pancaindera, keharmonian dan keamanan, segar dan nyaman, ilmu, akal, iman, pangkat, jawatan, kawan, tidur dan lain-lain yang tidak terhitung banyaknya.

Mereka yang tidak menghayati semua nikmat yang mereka terima, nescaya orang seperti ini termasuk dalam golongan yang ingkar. Mereka dengan sombong dan angkuhnya mengingkari nikmat dikurniakan Allah yang memberi petanda kerugian kepadanya.

Kurnia itulah yang disampaikan Allah sebagai berita gembira kepada hamba-Nya yang beriman dan mengerjakan kebaikan. Firman Allah yang bermaksud: "Aku tidak meminta upah kepadamu atas seruanku ini, kecuali hanya kasih sayang dalam kekeluargaan. Siapa yang mengerjakan kebaikan, kami lipat gandakan kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Penilai." (Ash-Syura : 23)

Rasulullah SAW menjadikan sikap berterima kasih sesama manusia ini sebagai tanda seorang itu bersyukur kepada Allah.

Soalnya sekarang bagaimana cara dan kaedahnya untuk menyalurkan perasaan terima kasih kita kepada manusia. Dalam hal ini Rasulullah menunjuk ajar cara terbaik untuk diikuti seperti mana sabda Baginda yang bermaksud: "Barang siapa yang melakukan kebaikan kepadamu, maka balaslah dia, jika kamu tidak dapati apa-apa untuk membalas, maka berdoalah untuknya hingga kamu dapati bahawa kamu membalasnya." (Riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)

Sebenarnya, membalas jasa orang yang pernah membantu kita adalah tanda sikap terima kasih, demikian juga mendoakan dengan ikhlas kebaikan untuknya. Di samping itu turut disaran supaya kita menyatakan penghargaan atas sumbangan diberikan.

Kita juga dengan penuh ikhlas dan sedaya upaya perlu mengiktiraf bantuan yang diterima walaupun cuma sedikit, apatah lagi bantuan yang diberi itu terlalu besar maknanya kepada kita dan keluarga.

Ingatan bagi pelupa: Sifat hikmat tidak perlu berlebihan

HIKMAT ertinya bijaksana, iaitu keutamaan diberikan Allah kepada manusia supaya dapat mengendalikan syahwatnya dan kemarahannya, jangan sampai memesongkan. Ahli hikmat dinamakan seorang hakim atau kata jamaknya hukama.

Lukman digelar Al-Hakim kerana banyak mengajarkan sifat hikmat itu kepada anaknya untuk mengendalikan akal budi. Sifat hikmat perlu di pertengahan, tidak terlalu ke atas hingga melebihi daripada sepatutnya dan jangan terlalu kurang supaya tidak mendatangkan kerugian.

Hikmat yang berlebihan tidak dinamakan hikmat tetapi cerdik buruk. Cerdiknya tidak memberi manfaat, tetapi merugikan orang lain kerana mana yang tunduk ditekan, mana yang tinggi dipanjat. Cerdik buruk berisi senyum tetapi dalam senyum tersimpan perasaan dengki.

Mulut keluar perkataan manis, laksana bubur bercampur santan dan gula tetapi tersimpan racun yang mematikan.

Orang bodoh tidak ada hikmatnya kerana fikirannya tidak lebih daripada barang yang ada di mukanya.

Dia tidak mengerti akibat. Jika datang seorang penipu menepuk, memberinya sebatang rokok dengan kertas untuk ditandatangani, dia tidak keberatan menandatangani kertas itu.

Bodoh adalah penyakit berpunca daripada tabiat atau keturunan yang sukar disembuhkan. Namun, ada yang kata boleh disembuhkan jika ditimpa penyakit lain. Bagi yang bodoh disebabkan kurang pendidikan, boleh diatasi dengan pembelajaran.

Ada juga penyakit pada orang pintar, tetapi tidak tahu harga diri, tiada perasaan malu dan kurang darjat. Orang gila dapat dikenal daripada kelakuannya dan orang bodoh dapat dikenal daripada aksi dan tutur katanya.

Anugerah Maulidur Rasul rangsang semangat

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


PELAJAR dan guru Sekolah Rendah Islam Kafa Masjid Az -Zubair Ibnul Awwam bergambar selepas diumumkan johan pertandingan perarakan Kategori Sekolah dan IPTA pada Sambutan Maulidur Rasul di Putrajaya, semalam.


Kerajaan beri penghormatan individu cemerlang beri manfaat untuk negara

"TIDAK terjangkau tinggi pekertimu, tidak tergambar indahnya akhlakmu, tidak terbatas segala jasamu, sesungguhnya engkau Rasul pilihan. Cekalnya hatimu menempuh dugaan, mengajar erti kesabaran, menjulang tinggi kemenangan, terpahat namamu di dalam al-Quran."

Bait indah dendangan lagu nasyid menggambarkan keperibadian serta kelebihan Nabi Muhammad SAW yang menjadi contoh sepanjang zaman sememangnya menimbulkan kekaguman dan pada masa sama, melahirkan rasa takut.

Mungkin itu yang cuba diluahkan pemenang Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah/2010 Masihi, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, ketika dikelilingi media yang ingin mendapatkan maklum balas beliau pada Majlis Sambutan Maulidur rasul Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya, semalam.

Selain rasa malu atas anugerah diterima itu, Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu melahirkan rasa takut jika pengiktirafan diterima tidak setimpal khidmat disumbangkan.

"Nabi Muhammad sebagai individu sudah meninggalkan kita tetapi Baginda sebagai misi dan visi terus hidup. Apabila saya diberi anugerah Maulidur Rasul ini, saya tertanya sama ada mampu bawa masyarakat kepada misi dan visi sebenar.

"Ini buat saya rasa kecil dan takut soal pengiktirafan yang belum tentu dapat saya sempurnakan. Lagipun, masih ramai yang berwibawa dan banyak menabur bakti di luar sana tidak ditonjolkan. Saya rasa malu, takut anugerah ini tidak tepat dengan realiti," katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau tetap bersyukur, gembira dan rasa berkewajipan menerima pengiktirafan berkenaan selain berharap untuk terus berbakti kepada masyarakat dengan memberi pandangan yang boleh diterima serta sesuai mengikut keperluan masyarakat.

Anugerah disampaikan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Anugerah Perdana Maulidur Rasul mula diperkenalkan tahun lalu dan penerima anugerah menerima wang tunai RM50,000, sebuah plak, sijil dan hadiah iringan. Penerima pertama anugerah ini ialah Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba.

Anugerah Maulidur Rasul mula diperkenalkan pada 1413 Hijrah (1992 masihi) dan pencalonan terbuka kepada lelaki serta perempuan Islam dan bukan Islam yang terbabit dalam tugas serta perkhidmatan mencabar, berisiko tinggi, kritikal yang memberi kebaikan kepada rakyat dan negara. Penerima menerima hadiah wang tunai RM22,000 berserta hadiah iringan.

Penerima kali ini ialah bekas Pengarah Kesihatan yang aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan, Datuk Dr Abdul Razak Kechik; pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 yang mendapat 21A dan kini sedang melanjutkan pengajian di Jordan, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamel; Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, Faiza Bayumi Syed Ahmad; pendakwah dan penceramah bebas, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz.

Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Yaacob Che Man dan satu-satunya penerima bukan Islam, Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Tan Swee Lian.

Dr Tan berkata, pengiktirafan diterima hasil kerjanya di Mardi selama lebih 30 tahun itu diharap menjadi pendorong kepada penyelidik muda untuk menghasilkan penyelidikan yang membawa faedah kepada masyarakat serta negara.

Beliau yang berjaya mendapat hak milik intelektual bagi lima jenis ubi kayu dan empat jenis ubi keledek mengakui semangat 1Malaysia membolehkan rakyat mendapat pengiktirafan hasil sumbangan mereka serta menjadi pendorong kepada orang lain menyumbang untuk negara.

"Saya tidak boleh bandingkan diri saya dengan Nabi Muhammad tetapi saya berharap dengan anugerah Maulidur Rasul ini saya dapat menjadi contoh kepada penyelidik muda untuk bekerja lebih rajin demi negara," katanya.

Sementara itu, Dr Yaacob yang diiktiraf sebagai saintis pertama menerima Anugerah Saintis Halal di World Halal Research Summit 2009, mengharapkan usaha dilakukan untuk mempertingkatkan kepentingan logo halal Malaysia.

Katanya, status halal Malaysia sangat berwibawa dan dipandang tinggi termasuk oleh Pertubuhan Negara Islam (OIC) tetapi berdepan masalah dalam negara seperti kebanjiran logo halal digunakan disebabkan kelemahan undang-undang.

"Ini kelemahan tetapi menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal agama sudah mengambil usaha memastikan isu ini dapat diselesaikan. Kita harap apabila ada akta lebih kuat nanti tiada lagi berlaku penipuan logo halal atau isu logo yang pelbagai.

"Selain standard yang bagus, kita perlu ada undang-undang tegas selain penguatkuasaan berkesan untuk mengawal penggunaan logo halal," katanya yang banyak menjalankan penyelidikan bagi membangunkan industri halal.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah mengekalkan tradisi berarak sambil berselawat oleh kira-kira 100 kontinjen yang mengambil bahagian sebagai manifestasi kecintaan kepada Rasulullah SAW dan menonjolkan semangat serta syiar Islam.

Perarakan sejauh 2.5 kilometer itu bermula dari Masjid Tuanku Mizan menuju Masjid Putra, Putrajaya. Kontinjen terbabit dalam perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah turut diadili bagi menentukan johan dan naib johan berdasarkan kategori.

Lima kategori dipertandingkan iaitu kategori agensi kerajaan, badan berkanun, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi (IPT) dan institut latihan dan sekolah. Pemenang menerima plak, sijil dan hadiah iringan.

Friday, February 26, 2010

Contohi perjalanan hidup, perjuangan Rasulullah

Oleh Ibrahim Abdullah


SAMBUTAN Maulidur Rasul yang diadakan setiap tahun tanda ingatan umat Islam kepada Nabi Muhammad SAW. - Gambar hiasan


Nabi Muhammad miliki sifat terpuji, tokoh kepemimpinan yang wajar diteladani

SEWAJARNYA acuan hidup Rasulullah sebagai gambaran penampilan diri yang amat istimewa sentiasa dicontohi umat Islam. Secara fizikal, tingkah laku, sikap, tutur kata, pemikiran, emosi hingga keikhlasan hati dan keluhuran jiwa baginda terserlah sekali gus mencerminkan bentuk keperibadian yang nyata. Ia menyentuh dan membekas begitu mendalam pada sanak saudara, sahabat, tetangga dan kawan.

Tidak hairan selepas Rasulullah wafat, sahabat bertanya kepada Aisyah bagaimanakah gambaran baginda selama hidupnya? Aisyah tidak mampu menahan linangan air mata sambil berkata: "Segalanya begitu menakjubkan bagiku," dan pada waktu lain Aisyah menjawab: "Sesungguhnya akhlak baginda adalah al-Quran."

Secara fizikal, Rasulullah digambarkan sebagai lelaki yang kuat, gagah, berani, dada bidang dan itu ditandakan dengan kuatnya baginda melakukan banyak ibadat, mengerjakan pekerjaan biasa sebagai lelaki dan bahkan turut berperang. Tidak ada pilihan terbaik dalam mencontohi penampilan diri kecuali apa-apa yang Rasulullah ajarkan.

Al-Quran menginformasikan Rasulullah adalah teladan utama bagi umat manusia. "Sungguh ada pada diri Rasulullah itu suri teladan baik bagi kamu sekalian iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan kedatangan hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah." (Surah Al-Ahzab: 21).

Keteladanan Rasulullah tidak hanya terbatas sejak baginda diangkat menjadi nabi dan rasul bahkan sejak baginda dilahirkan hingga wafat. Seluruh perjalanan hidup dan perjuangan baginda menjadi uswah hasanah dan teladan yang baik bagi umat manusia.

Dalam istilah agama, perjalanan hidup dan perjuangan baginda dinamakan as-sunnah. Secara bahasa, perkataan as-sunnah bererti kebiasaan atau tradisi. Namun dalam istilah agama, as-sunnah adalah apa yang menjadi kebiasaan Nabi Muhammad, perkataan, perbuatan mahupun persetujuan baginda mengenai suatu perbuatan yang dilakukan sahabat, sejak diangkat menjadi nabi dan rasul mahupun sebelumnya.

Ringkasnya as-sunnah adalah sirah atau perjalanan hidup baginda sejak lahir hingga wafat keseluruhannya adalah uswah, teladan agung bagi umat manusia.

Contoh uswah keteladanan, keunggulan, ketrampilan Rasulullah dalam kehidupan baginda dari remaja sehingga menjadi nabi dan rasul, juga pemimpin negara dan pemerintahan dapat dilihat meskipun baginda lahir sebagai anak yatim kerana kehilangan ibunda tercinta sejak berusia empat tahun. Baginda membesar sebagai remaja yang cerdas (fatanah), jujur dan boleh dipercayai (amanah), serta benar (siddiq) dalam ucapan dan perbuatan.

Ketika diangkat menjadi nabi dan rasul, terpadu secara simfoni dengan sifat tabligh (menyampaikan) dengan empat sifat itu adalah sifat wajib mesti ada secara rasional pada diri seorang nabi dan rasul sebagai utusan Allah.

Muhammad Husain Haikal, penulis sirah (biografi) terkenal dari Mesir menyatakan, rahsia kejayaan Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib tidak hanya ditentukan oleh empat sifat yang menjadi kredibiliti seorang nabi dan rasul tetapi juga kerana baginda sejak remaja memiliki kebiasaan ta'ammulat, mengamati, memikirkan, merenungkan keadaan sekitar, alam maya, geografi, sosial, politik dan kebudayaan termasuk adat istiadat masyarakat Arab waktu itu.

Hasil proses ta'ammulat yang dilakukan secara tekun dan teliti itu menjulang baginda menjadi remaja yang mempunyai teladan dan peribadi cemerlang. Baginda juga dapat menyelesaikan masalah berbangkit antara kabilah di Makkah ketika meletakkan Hajaral Aswad di tempat asalnya di Kaabah. Kehadiran baginda menjadi rumusan bagi pelbagai masalah dengan kreatif, inovatif dan cerdas pemikiran mahupun tindakan.

Dalam rumusan yang diusulkan baginda ada nilai kearifan, kecerdikan dan kepintaran yang boleh menjadi inspirasi bagi pejuang perdamaian, keadilan dan kemanusiaan. Bahkan dalam kata hikmah disebutkan 'yadullah maal jamaah' (tangan Allah berada dalam jemaah kebersamaan).

Jelas, banyak lagi contoh teladan boleh diambil untuk mencontohi dan mengikuti jejak langkah yang ditampilkan Rasulullah dalam kehidupan harian bagi kaum Muslimin bersempena sambutan Maulidur Rasul, hari ini.

Firman Allah bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Al-Anbiyya': 107).

Soal Jawab Agama: Sambutan Maulidur Rasul harus selagi tak bertentangan syariat

Islam galak rai hari berkenaan sebagai tanda kasih kepada Rasulullah


SAYA pernah mendengar hadis menyebut: "Sesiapa memuliakan hari kelahiranku (hari Maulidur Rasul) akan mendapat syafaatku, dan sesiapa mendermakan satu dirham pada hari itu akan mendapat ganjaran sebesar bukit Uhud fi sabilillah." Bagaimana dengan sambutan Maulidur Rasul dan cara terbaik meraikannya. Apakah pendapat ustaz dalam hal ini.

Jejaka Muslim

SESUNGGUHNYA keagungan junjungan besar Nabi Muhammad tidak dapat diukur dan dinilai melainkan Allah. Apa yang pasti, Baginda adalah insan terpilih di kalangan umat dan kehadiran Baginda adalah rahmat bagi sekalian alam.

Allah berfirman maksudnya: "Tidak Aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam". (Surah Al-Anbiya', ayat 107)

Firman Allah lagi bermaksud: "Katakanlah (Muhammad) dengan rahmat Allah dan kurnia-Nya hendaklah mereka bergembira". (Surah Yunus, ayat 58).

Hadis yang saudara dengar ada dalam kitab Madarijus Suud karangan seorang ulama Indonesia. Bagaimanapun, ia sudah diperbetulkan oleh ulama terkenal, Syekh Ismail Othman Zin dan penulis sudah memohon maaf atas keterlanjuran itu atau mungkin ia adalah cetusan rasa penulis yang tidak wajar diketengahkan kepada masyarakat umum.

Sebenarnya hadis itu dan lafaz yang sama dengannya adalah rekaan semata-mata atau khayalan orang tertentu yang boleh mengelirukan masyarakat Islam. Jika benar kata-kata itu nescaya sahabat terlebih dulu berlumba melakukannya tetapi sejarah tidak pernah melakarkan perkara berkenaan.

Oleh itu, segala disandarkan kepada Rasulullah khususnya hadis, perlu dikaji dan diteliti terlebih dulu kesahihannya kerana dibimbangi kita akan termasuk golongan yang mendustakan Baginda.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesiapa yang mendustakan aku dengan sengaja maka tempatnya adalah dalam neraka." (Al-Hadis)

Tiada hadis memerintahkan supaya kita menyambut Maulidur Rasul. Namun, ulama berpendapat memperingati hari berkenaan sebagai tanda kasih kepada Baginda adalah harus selama mana tiada unsur bertentangan syariat Islam.

Pengarang kitab Yasalunaka Fid Din, Syeh As-Syarbusi, berkata semua amalan kebajikan pada hari Maulidur Rasul dengan niat mendekatkan diri kepada Allah dan tanda kasih kepada Rasulullah seperti solat, membaca al-Quran, selawat dan seumpamanya adalah harus.

Perbuatan itu sebenarnya mendapat ganjaran di sisi Allah. Pendapat saya, itulah cara terbaik untuk umat Islam menyambut kelahiran Rasulullah. Sabda Baginda bermaksud: "Sesiapa berselawat ke atasku sekali maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali." (Al-Hadis)

Ulama berpendapat, selawat Allah kepada hamba-Nya ialah rahmat dan keampunan.

Ingatan bagi pelupa: Curi tulang rugikan pekerja, punca berlaku permusuhan

KITA berasa marah dan jijik kepada pencuri kerana perbuatan itu adalah salah di sisi agama, akhlak dan kemasyarakatan. Sikap negatif kita terhadap pencuri disebabkan pendidikan agama diterima selama ini.

Pencuri yang ditakuti biasanya adalah pencuri harta, karya dan benda yang dapat dilihat atau dirasa. Sebaliknya kita tidak sedar berlaku pencurian masa atau lebih difahami dengan istilah 'curi tulang' dalam tugas harian.

Curi tulang boleh berlaku dengan mengabaikan tugas dan tanggungjawab, melengahkan kerja atau meninggalkannya sama sekali dengan pelbagai helah atau alasan tidak munasabah. Ada kalanya tanggungjawab itu dilakukan tetapi sekadar melepaskan batuk di tangga.

Perbuatan keji ini jika diteruskan amat merugikan diri sendiri terutama apabila kita memahami kerja adalah ibadat terhadap Allah jika dikerjakan dengan tulus ikhlas dan penuh tanggungjawab.

Selain ganjaran pahala yang diterima, kita juga akan mendapat upahnya. Jadi, jika pengabaian terus berlaku, kita tidak akan menerima pahala yang boleh memberkati wang gaji. Tegasnya, wang upah yang kita terima jadi tidak bersih.

Selain itu, kita juga berdosa terhadap rakan sejawatan kerana menggendalakan kerja mereka dan meletakkan mereka dalam keadaan serba salah. Ditegur bimbang tidak diterima dan mengakibatkan permusuhan. Jika tidak ditegur, akan merugikan banyak pihak.

Sifat mensyukuri dan mencukupi amat penting supaya kita tidak menjadi orang yang tidak pernah rasa cukup, keluh-kesah dan jangan biarkan dikejar tak dapat, dikendong berciciran.

Menara induk Masjid Abidin iras Masjid Negara

MASJID Abidin adalah antara masjid tertua di Terengganu. Struktur itu terletak di tengah bandar Kuala Terengganu. Masjid ini dulunya dikenali sebagai Masjid Besar atau Masjid Putih. Pada asalnya bangunan masjid adalah sebuah istana kayu yang didirikan Almarhum Sultan Zainal Abidin II. Bangunan masjid diperbesarkan pada 1319 Hijrah (1901 Masihi) ketika pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III. Binaan kayu masjid diganti dengan batu ketika pemerintahan Almarhum Baginda Sultan Umar. Pada 1972, bangunan masjid dinaik taraf dan diperbaharui dengan satu menara induk dibina menyerupai menara Masjid Negara.

Thursday, February 25, 2010

Keupayaan wanita bukan ancaman lelaki

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


MONOPOLI wanita dalam pelbagai bidang harus dijadikan saingan yang sihat oleh lelaki. - Gambar hiasan


Golongan Adam perlu memperkasakan diri dengan ilmu seiring keperluan agama, negara

TIADA yang perlu dibimbangkan apabila kesamarataan gender dalam perkhidmatan awam dijamin kepada setiap rakyat Malaysia. Selain termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 juga mengiktiraf kesaksamaan hak yang memberi keadilan untuk berkhidmat tanpa mengira jantina.

Sebagai negara yang mengesahkan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita 1979, Malaysia berkeyakinan pembangunan penuh dan menyeluruh sesebuah negara menghendaki penyertaan maksimum wanita berdasarkan persamaan dengan lelaki dalam semua bidang.

Cuma ada beberapa perkara diberi pengecualian. Antaranya, alasan untuk tidak bertentangan dengan amalan syariah di negara ini. Justeru, sebagai golongan yang asalnya tertindas disebabkan norma, sosial dan budaya yang tidak memihak kepada mereka, wanita bangun menuntut hak seiring dengan perintah agama yang memuliakan setiap manusia tanpa mengira perbezaan biologi.

Bermula dengan keluar dari kepompong kehidupan yang sempit akibat pengaruh kolonialisme, wanita Malaysia mencari ilmu dan kemahiran untuk membuktikan keupayaan dalam semua bidang. Pengaruh sosial meletakkan mereka warga kelas dua turut menjadi cabaran merealisasikan sunnah Rasulullah yang mengangkat martabat wanita ditindas sejak era jahiliah.

Tentu kita tidak lupa mengenai sejarah bagaimana komited usahawan ternama Saidatina Khadijah dalam perniagaan. Begitu juga cicit Rasulullah, Sukaynah Hussain dalam memperjuangkan hak wanita.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 2006 melaporkan, jumlah pelantikan wanita sebagai pembuat dasar di Malaysia sangat tidak memberangsangkan. Walaupun kerajaan mengesahkan komitmen memastikan 30 peratus pembuat dasar dilantik dari kalangan wanita namun polisi dan program merealisasikan hasrat itu tidak selari dengan iltizam dijanjikan.

Tetapi kini wanita semakin bijak, menguasai perkhidmatan awam dan semakin ramai dilantik memegang jawatan pembuat keputusan. Aliran menunjukkan merit kelayakan mengatasi perbezaan biologi dalam merencana sesuatu agenda negara. Sedikit sebanyak senario ini memberi impak terhadap negara dalam pelbagai aspek. Ia bukan soal bagaimana menghadapi situasi nasional yang bersifat matriaki tetapi bagaimana untuk akur kepada hakikat ketidakseimbangan gender akibat kelemahan golongan lelaki dalam pendidikan.

Sekali gus menidakkan penyertaan mereka dalam arena awam sedangkan mereka juga tidak semuanya mampu cemerlang untuk menjalankan tugas rumah tangga. Kebimbangan terhadap pertambahan wanita dalam sektor perkhidmatan memang berasas berdasarkan keupayaan mereka sebagai sumber pengembangan zuriat. Tetapi wanita tiada pilihan kerana mereka mempunyai kepakaran diperlukan demi kemajuan dan pertumbuhan negara. Sebab itu keupayaan wanita tidak harus dilihat sebagai ancaman terhadap norma dan sosial masyarakat sebaliknya lelaki harus sama-sama berusaha supaya kembali berjalan seiring.

Seperti mana wanita kembali membina empayar yang kukuh dalam masyarakat selepas kedatangan Islam dengan menguasai ilmu, maka tindakan sama juga perlu untuk lelaki yang sudah lama lena dibuai mimpi. Sistem pengambilan pelajar ke universiti dan kakitangan awam berasaskan merit kelulusan akademik jelas menunjukkan ilmu menentukan kedudukan dalam perkhidmatan tanpa cenderung kepada jantina dan jika tidak memihak kepada calon lelaki. Ini bukan salah wanita.

Kekangan timbul akibat penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam hanyalah persepsi dan belum dibuktikan menjadi masalah utama pembangunan masa depan negara. Justeru, pandangan itu perlu dinilai semula kerana boleh menjadi ancaman kepada agama dan negara.

Jangan nanti wanita terpaksa berundur hanya kerana lelaki kian mundur. Sebaliknya, mereka harus bersama memperkasakan diri dengan ilmu seiring keperluan agama dan negara yang tidak bertolak ansur dengan kelayakan akademik. Kreativiti, tahap kecerdasan minda, keupayaan menyelesaikan masalah, kebijaksanaan membuat pertimbangan, tahap ketahanan mental dan keluasan pengetahuan boleh dibuktikan dengan kelulusan akademik cemerlang di sekolah mahupun universiti.

Maulidur Rasul dekatkan generasi muda dengan Nabi Muhammad

Oleh Abdul Razak Idris

PERARAKAN sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini menimbulkan pertikaian kerana ada pihak bersetuju tradisi itu diteruskan dan ada juga melarang program itu dianjurkan sebagai menterjemahkan perasaan kasih sayang terhadap junjungan besar Nabi Muhammad.

Sejak berzaman, perarakan sempena Maulidur Rasul dianjurkan umat Islam di negara ini tanpa ada pandangan sinis masyarakat majmuk.

Ia adalah ekspresi terhadap kasih sayang umat Islam sempena lahirnya pembawa kalamullah.

Rasulullah adalah kekasih umat Islam. Tetapi bagi pihak yang lebih suka bercerita mengenai budaya agama lain, membicarakan mengenai Nabi Muhammad mungkin dianggap sebagai kurang menarik perhatian.

Kita semua jangan terpedaya dengan psikologi songsang yang dibicarakan orientalis sejak dulu. Kepada yang masih kabur kenapa kita wajar menzahirkan kasih serta ingatan terhadap Nabi Muhammad, banyak perkara perlu diberi perhatian.

Adalah menyedihkan apabila isu perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul dijadikan modal politik dengan dilihat seperti upacara tarik tali dan langsung tidak menyumbang kepada kesyumulan Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Apakah budaya dan agama dianggap perkara remeh oleh pihak terbabit. Buka mata kepada perkembangan semasa yang menakutkan apabila bayi dibuang secara berleluasa dan dibakar seperti sampah dan dalam masa yang sama kita menganggap amalan agama tidak penting serta tidak mendatangkan kebaikan.

Tanpa amalan agama disemarakkan dalam masyarakat, apa akan jadi kepada anak yang bakal menjadi pewaris kepemimpinan negara. Apa garis panduan boleh dijadikan sempadan kepada mereka apabila berhadapan dengan isu keagamaan.

Isu membabitkan kepentingan umat Islam terutama perkara berkaitan akidah serta amalan keagamaan tidak boleh dipandang remeh apatah lagi usaha penghapusan program yang memberi kesedaran terhadap nilai murni Islam. Agama bukan soal kecil yang boleh diperbetulkan seperti mengganti minyak hitam dalam enjin kereta atau seperti menambah nilai talian pra-bayar.

Umat Islam perlu sedar, Malaysia yang aman ini kerana agama Islam progresif yang menjadi akidah selama ini.

Bukan kerana kemajuan dan wawasan dibuat tanpa ada asas agama di dada. Oleh itu, pemimpin perlu lantang mempertahankan amalan agama yang menjadi sebahagian syiar Islam.

Berarak atau tidak bukan isu tetapi natijah daripada amalan itu yang menunjukkan penghormatan terhadap insan idola umat Islam yang banyak memberi panduan daripada perkataan dan perbuatan dalam membentuk kehidupan baik di dunia serta akhirat.

Alangkah sedihnya jika generasi akan datang bertanyakan kepada kita siapa Muhammad bin Abdullah sedangkan kita mempunyai banyak peluang memperkenalkan nama hebat itu sama ada secara langsung atau tidak.

Sekurang-kurangnya sambutan meraikan kelahiran Nabi Muhammad setiap tahun menyemarakkan ingatan serta menjawab persoalan yang menjurus kepada riwayat hidup Baginda yang penuh warna dan sumber pendidikan kepada semua lapisan masyarakat.

Wednesday, February 24, 2010

Peguam Syarie Menulis: Perbezaan hukuman kelirukan ummah


PESALAH disebat dalam keadaan menutup aurat membuktikan Islam menyanjung tinggi maruah umat.


Undang-undang syariah wajar diseragamkan di semua negeri

PADA 9 Februari lalu adalah tarikh yang mencatatkan sejarah baru dalam sistem perundangan syariah tanah air apabila pelaksanaan hukuman sebat kali pertama ke atas wanita dilaksanakan di negara ini, dalam suasana harmoni dan penuh kerahmatan.

Tiga pesalah wanita disabitkan mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan luar nikah) yang dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari lalu. Selain itu, ada empat pesalah lelaki turut menjalani enam kali sebatan pada hari berkenaan atas kesalahan sama.

Walaupun timbul polemik isu sebatan ke atas pesalah wanita, Kartika Sari Dewi Shukarno sejak 20 Julai 2009, tiga wanita yang dijatuhkan hukuman kemudian daripada Kartika Sari, menjalani hukuman lebih awal. Syabas kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara kerana melatih penyebat wanita menjalankan sebatan syariah, dan sebelum itu dikatakan tidak wujud jawatan seumpamanya.

Sebaik saja hukuman dilaksanakan, timbul bantahan dan kritikan golongan tertentu, kononnya memperjuangkan hak wanita dan hak asasi manusia. Tetapi hakikatnya, golongan ini cuba mengukur undang-undang jenayah Islam dari perspektif undang-undang sivil.

Walhal, peruntukan dalam Kanun Acara Jenayah yang diterima pakai di Mahkamah Sivil, tidak wajar dijadikan kayu pengukur dalam menilai pelaksanaan undang-undang jenayah syariah. Undang-undang jenayah syariah yang ada pada hari ini bukanlah cabang undang-undang Sivil, tetapi ia bertunjangkan atas paksi tersendiri, berasaskan semangat perlembagaan yang diberikan oleh Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan dan prosiding di Mahkamah Syariah tidak tertakluk kepada Mahkamah Sivil. Sebarang hukuman atau keputusan dijatuhkan Hakim Mahkamah Syariah adalah hukuman yang sah, berdasarkan peruntukan undang-undang diluluskan Badan Perundangan Negeri dan diperkenankan Sultan negeri berkenaan, dan bagi Wilayah Persekutuan, diluluskan oleh Parlimen dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Hujah dikemukakan golongan ini bahawa hukuman sebat ke atas pesalah wanita bertentangan dengan peruntukan Seksyen 289 (a) Kanun Acara Jenayah yang melarang hukuman sebat dijatuhkan ke atas wanita adalah hujah lemah dan dangkal.

Ini kerana seksyen itu hanya terpakai dalam kes jenayah mengikut bidang kuasa Mahkamah Sivil. Peruntukan itu tidak mengikat Mahkamah Syariah, kerana Mahkamah Syariah mempunyai Akta/Enakmen Tatacara Jenayahnya sendiri. Undang-undang Syariah tidak membezakan hukuman antara pesalah lelaki atau wanita.

Golongan ini sepatutnya berasa malu, kerana mereka boleh menyaksikan sendiri cara pelaksanaan hukuman sebatan syariah yang tersangat ringan, tidak mencederakan dan bukanlah zalim seperti didakwa. Pesalah disebat dalam keadaan menutup aurat, membuktikan Islam menyanjung tinggi maruah mereka sebagai wanita, walaupun mereka melakukan jenayah.

Tiga pesalah wanita yang menjalani hukuman sebat itu mengakui mereka langsung tidak berasa sakit dengan sebatan berkenaan, sebaliknya berasa insaf dan bertaubat. Tarikh 9 Februari itu, bukan saja menjadi titik tolak perubahan hidup tiga wanita terbabit ke arah kehidupan lebih baik, malah juga terhadap perkembangan perundangan syariah negara.

Dalam usaha penambahbaikan sistem sedia ada, penulis mengajak pihak terbabit meninjau keseluruhan peruntukan Akta atau Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri. Setakat ini beberapa kesalahan tertentu diperuntukkan hukuman sebatan syariah ke atas pesalah, sebagai tambahan kepada hukuman denda atau penjara.

Hukuman itu juga ada dalam kesalahan yang berbeza antara satu sama lain dan juga berlainan antara satu negeri dengan negeri lain. Penulis mengambil contoh peruntukan kesalahan jenayah syariah yang boleh dihukum sebat di 10 negeri untuk tujuan perbandingan.

Sebagai contoh, bagi kesalahan doktrin palsu (ajaran sesat), Selangor, Wilayah Persekutuan, Pahang, Johor, Terengganu dan Pulau Pinang memperuntukkan pesalah boleh dihukum dengan sebatan Syariah, tetapi tidak di negeri lain. Di Selangor, perbuatan mencemar atau memusnahkan tempat ibadat boleh dihukum sebat, tetapi di negeri lain hanya dihukum didenda atau penjara saja, walaupun kategori kesalahan sama.

Pesalah tidak boleh dihukum sebat bagi kesalahan sumbang mahram, jika kesalahan berlaku di Kelantan, Sabah, dan Sarawak, tetapi boleh dihukum sedemikian jika kesalahan berlaku di negeri lain. Seorang bapa ayam (muncikari) tidak boleh dihukum sebat jika kesalahan berlaku di Kelantan, Pahang, Sabah dan Perak.

Hanya bagi kesalahan persetubuhan luar nikah (zina), kebanyakan negeri memperuntukkan hukuman sebat kecuali Terengganu. Bagi kesalahan persediaan melakukan persetubuhan luar nikah (muqaddimah zina), dan persetubuhan bertentangan hukum tabii, pesalah boleh disebat di Selangor dan Negeri Sembilan, tetapi di negeri lain pesalah tidak disebat.

Kesalahan meliwat boleh dihukum sebat di Wilayah Persekutuan, Kelantan, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang tetapi hukuman sedemikian tidak ada di negeri-negeri lain. Lebih menghairankan, hanya Pahang dan Kelantan memperuntukkan perbuatan meminum arak boleh dikenakan sebatan syariah, tetapi tidak di negeri-negeri lain. Maksudnya jika seseorang itu meminum arak di Wilayah Persekutuan atau di Terengganu, dia tidak boleh dihukum sebat. Dia hanya denda atau penjara atau kedua-duanya.

Perbezaan peruntukan hukuman sebat di negeri-negeri ini menampakkan tidak selaras Badan Perundangan Negeri dalam memperuntukkan hukuman terhadap pesalah jenayah syariah, walaupun dalam kategori kesalahan sama. Kenapa tidak diseragamkan peruntukan kesalahan dan hukuman jenayah syariah ini?

Dengan syarat ia masih dalam bidang kuasa yang dibenarkan mengikut Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (pindaan 1988), maka tidak mustahil idea ini direalisasikan. Adalah suatu keganjilan dan kejanggalan sebuah negara kecil seperti Malaysia mempunyai pelbagai peruntukan mengenai kesalahan syariah dan peruntukan hukuman yang berbeza-beza.

Iqra: Buku riwayat hidup Rasulullah panduan terbaik untuk Muslim


KOLEKSI buku riwayat hidup Rasulullah sebagai bahan panduan dan rujukan umat Islam.


SEMPENA sambutan Maulidur Rasul, syarikat penerbitan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd menyediakan buku bertemakan kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW.

Pilihan merangkumi peribadi Baginda sebagai pahlawan, ahli perniagaan, pemimpin, pemerintah, kisah cinta dengan Khadijah dan perjalanan hidupnya sebagai nabi yang wajar dicontohi umat Islam pelbagai peringkat umur.

Antaranya, Biografi Muhammad bin Abdullah, Sejarah Khalifah Rasulullah, Bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad, Peribadi Bisnes Muhammad bin Abdullah, Muhammad bin Abdullah: Peribadi Seorang Pahlawan, Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah dan Khadijah Cinta Abadi Kekasih Nabi.

Sebagai insan memiliki keperibadian mulia serta sifat terpuji, usaha menelusuri sejarah dan pencapaian Nabi Muhammad melalui bahan bacaan menyingkap kisah Baginda mampu membawa perubahan kepada umat Islam.

Kehidupan hari ini dengan pelbagai cabaran menuntut masyarakat mencari contoh supaya permasalahan mampu diatasi dengan berkesan. Kisah hidup Rasulullah SAW rujukan terbaik untuk pemimpin, ulama, pendidik, ketua keluarga dan hamba Allah.

Perjalanan hidup Baginda adalah ensiklopedia lengkap menerangkan bagaimana semangat perpaduan menyatukan masyarakat pelbagai bangsa, amanah memajukan perniagaan dan keikhlasan membawa kebahagiaan di akhirat.

Ramai keliru dan tidak mengenal Islam, tetapi melalui pembacaan melingkari perjalanan hidup Muhammad bin Abdullah, umat Islam hari ini akan mengakui kehebatan mencintai Baginda.

Pengetahuan mengenai Muhammad SAW adalah pendekatan kreatif bagi mendekatkan kanak-kanak kepada sejarah Islam dan senjata berkesan buat ibu bapa menerapkan pendidikan dalam keluarga.

Buku mengenai Nabi Muhammad SAW membina kerangka pemikiran umat Islam sepatutnya tidak hanya dibelek semasa sambutan Maulidur Rasul sebaliknya menjadi teman sepanjang masa kerana kita pasti ingin dikenali sebagai sahabat kepada pilihan pertama The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History.

Tuesday, February 23, 2010

Tajdid Iman: Azab Allah bagi yang abai tanggungjawab

Oleh Dr Juanda Jaya


BENCANA alam adalah tanda peringatan Allah kepada umat manusia supaya bertaubat dan kembali ke jalan-Nya. - Gambar hiasan


Terlalu mengejar nikmat dunia sehingga manusia lupa tegah amal makruf, nahi mungkar

APABILA terjadi bencana alam, kemarau panjang, krisis politik, runtuhnya ekonomi dan terancamnya keselamatan dalam negara sehingga terjadi peperangan dan kejahatan yang menakutkan, apakah terdetik di hati kita amaran tegas al-Quran yang bermaksud: "Dan begitulah azab Tuhanmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu adalah sangat pedih lagi keras." (Surah Hud ayat:102)

Kemudian hati kita mula bertanya, apakah kesilapan dilakukan umat Islam yang turut sama terbabit dalam kebinasaan itu. Mungkinkah diri kita salah satu penyebab turunnya azab Allah kepada umat ini? Sebagai individu Muslim yang bertanggungjawab menjaga kesejahteraan umat, adakah cukup masa, tenaga, harta dan ilmu yang dicurahkan untuk memastikan azab Allah tidak turun ke atas masyarakat kita?

Atau sebaliknya kita menjadi individu lemah yang terumbang-ambing dengan keadaan semasa yang melalaikan? Mungkinkah kita tersesat dalam arus dunia yang sentiasa merangsang nafsu? Alangkah indahnya nasihat Qais bin Hazm kepada Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik, manusia yang paling berkuasa di bumi pada zamannya.

Khalifah Sulaiman bertanya: Mengapa kami membenci akhirat dan mencintai dunia wahai Qais? Qais menjawab: "Kerana engkau sudah memakmurkan duniamu dan menghancurkan akhiratmu sehingga engkau enggan berpindah dari kemakmuran kepada kehancuran."

Apabila umat terlena sepanjang malam kerana keletihan memuaskan nafsunya sepanjang siang, bermaksiat secara terang-terangan, tiada lagi sifat malu menderhaka kepada Allah, menentang perintah al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, merapati kehendak syahwat serapat-rapatnya dan melanggar semua batasan agama dengan berani dan biadab, maka tunggulah amaran Allah selanjutnya sebagaimana yang pernah terjadi pada beberapa kaum sebelum mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya bagi kaum Saba' ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka iaitu dua ladang di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (Kepada mereka dikatakan): "Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan yang Maha Pengampun.

"Tetapi mereka berpaling, maka kami datangkan kepada mereka banjir besar dan kami ganti kedua ladang mereka dengan dua ladang yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon 'Atsl dan sedikit dari pohon Sidr. Demikianlah kami memberi balasan kepada mereka kerana kekafiran mereka dan kami tidak menjatuhkan azab (yang demikian itu), melainkan hanya kepada orang yang sangat kafir. (Surah Saba ayat: 15-17).

Ibnu Kathir menyatakan Allah SWT mengurniakan setiap orang di negeri Saba dengan dua buah taman di sebelah kanan dan kiri rumah mereka. Dipenuhi dengan buah lazat dan manis, air jernih, burung yang indah dan kehidupan yang sangat aman dan sejahtera. Tetapi mereka tidak mensyukuri Allah malah berpaling dan terang-terangan bermaksiat.

Apakah Allah Taala perlu menurunkan Malaikat untuk menyeksa mereka? Tidak. Bahkan Allah menghina mereka dengan hanya mengirimkan tikus yang mampu merobohkan empangan air kebanggaan mereka, akhirnya empangan pecah dan berlaku bah, sehingga ia memusnahkan segala-galanya. Sebagaimana Allah membunuh Namrud bin Kan'an dengan mengutus seekor nyamuk saja. Begitulah azab menimpa kaum yang mengganti nikmat Allah dengan kekufuran.

Jiwa manusia hanya akan tersedar setelah melalui goncangan hebat bernama musibah. Bersyukurlah jika amaran kecil hinggap mengusik hati kita supaya kembali kepada Allah. Jangan sampai tiada lagi peluang sampai azab yang besar datang tanpa diundang menjemput nyawa yang terkandung dalam badan.

Sesungguhnya azab Allah yang turun pada hakikatnya disebabkan kerana dua kelalaian manusia sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran iaitu fitnah harta dan tidak tegaknya amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat.

Maksiat dan penderhakaan manusia biasanya dipengaruhi ujian harta seperti dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya." (Surah Al-Isra' ayat: 16)

Makna daripada perkataan maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah adalah; Allah SWT memperbanyak jumlah orang yang mengecap kemewahan lalu dengan itu mereka menderhakai Allah. Berapa ramai manusia yang mampu menahan fitnah hidup selesa, makin kaya makin lupa daratan, bertambah duit bertambah keji penderhakaan yang dilakukan. Ibadat dikala susah tidak bersambung saat harta melimpah, dunia menjadi rebutan sedangkan agama tidak lekat di ingatan. Mereka membangun istana dunia dengan puing keruntuhan akhirat.

Maksiat bermula daripada kesibukan mengejar dunia lalu akhirat kabur daripada ingatan. Berpisahnya hati dari Allah kerana leka dengan nikmat dunia. Ramai yang keletihan menikmati dunia hingga hatinya tak terkesan dengan al-Quran. Ibadat tidak menjadi agenda utama, ilmu jauh sekali menjadi matlamat apatah lagi berkorban untuk agama jauh panggang dari api. Tiada fokus memandang akhirat, yang ada hanya dunia bergemerlapan.

Kesilapan manusia mengundang azab yang kedua adalah tumpulnya semangat 'amar makruf nahi mungkar' seperti firman Allah yang bermaksud: "Telah dilaknati orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu." (Surah al-Nisa ayat: 78-79)

Apabila suami enggan menegur isteri, ibu bapa takut menasihat anak-anak, guru tidak ambil peduli, pemimpin masyarakat tidak ikhlas berbakti, ahli politik hanya mengambil kesempatan dalam kesempitan, cerdik pandai menjadi penakut dan ulama membisu dan membutakan mata melihat kemungkaran, maka siapakah yang dapat menolong diri mereka daripada kehancuran dan azab Allah?

Kedua-dua fitnah ini sentiasa datang pada setiap umat yang dilahirkan, hanya mereka yang beringat saja mampu menyelamat diri, keluarga, masyarakat dan umat manusia seluruhnya. Penulis ialah Mufti Perlis, kini menjadi Felo Tamu di Universiti Oxford, UK.

Rajin bersedekah diluaskan rezeki

ASMA' menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (kepada Asma): "Nafkahkanlah dan janganlah kamu menyempitkan sedekah sehingga menyebabkan Allah menyempitkan (tidak mengeluarkannya) untuk kamu. Dan janganlah kamu menyembunyikan sesuatu dalam bungkusan yang kerananya Allah memutuskan berkatnya dan kesuburannya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Allah melarang kita daripada mempunyai sifat kedekut, suka mengumpulkan harta dan tidak menafkahkan harta berkenaan ke jalan Allah.

Orang yang bersedekah adalah orang yang tahu akan kebaikan pada masa depan kerana Allah berjanji bahawa pintu rezeki hamba-Nya akan sentiasa diluaskan jika seseorang itu banyak bersedekah.

Monday, February 22, 2010

Hukuman sebat martabat syariah

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my


PENERANGAN mengenai hukuman sebatan syariah perlu diperluaskan bagi menepis tanggapan buruk terhadap pelaksanaannya. - Gambar hiasan


Usaha perkasa undang-undang Islam wajar disokong

NEGARA bagai dikejutkan dengan berita tiga wanita Islam disebat atas kesalahan melakukan hubungan luar nikah di Penjara Wanita Kajang baru-baru ini. Pasangan lelaki ketiga-tiga wanita terbabit turut disebat di penjara sama. Bagi saya, ia adalah khabar gembira bagi segenap masyarakat Islam yang ingin melihat undang-undang Islam dilaksanakan.

Ia menggambarkan inisiatif kerajaan yang bukan hanya mahu undang-undang sebatan Islam ini hanya tinggal sebagai tulisan malah dipraktikkan. Namun, seperti dijangka muncul beberapa golongan yang menentang keras pelaksanaan sebatan ini atas pelbagai alasan. Mereka mengeluarkan dalil, hujah, fatwa dan pelbagai tanggapan serong terhadap pelaksanaan sebatan syariah ini.

Saya merujuk kepada kenyataan akhbar beberapa pihak seperti Sisters-in-Islam (SIS), Awam, Majlis Peguam dan beberapa pihak lain yang mempertikaikan pelaksanaan sebatan syariah ke atas tiga pesalah syariah wanita baru-baru ini. Saya hairan kenapa masih ada golongan yang tidak memahami dwisistem perundangan diamalkan di negara kita.

Malah, bantahan ini menggambarkan seolah-olah apa saja yang dibuat oleh pihak berkuasa berkaitan agama Islam, ada saja yang tidak kena. Perlu ditegaskan sekali lagi di sini bahawa sebatan syariah jauh berbeza daripada sebatan sivil. Sebatan syariah tidak mencederakan mahupun melukakan pesalah berbanding sebatan sivil yang meninggalkan parut dan kesan dalam jangka masa dua tahun.

Sebatan syariah adalah umpama bapa atau guru yang merotan anak yang melakukan kesilapan. Sudah banyak rencana, makalah dan kajian dibuat mengenai pelaksanaan hukuman sebat dalam Islam ini diadakan. Malah pelbagai bengkel, seminar dan forum juga digarap ke arah memberi pemahaman mengenai hukuman ini.

Tidak ketinggalan juga beberapa demonstrasi sebatan syariah dibuat, namun inisiatif ini langsung tidak diambil kira oleh golongan yang menentang sebatan syariah ini secara membuta tuli. Terbaru demonstrasi yang ditunjukkan oleh pegawai penjara yang disiarkan di dalam televisyen serta temu bual dengan pesalah syariah wanita yang disebat itu, menzahirkan tentangan golongan ini langsung tidak berasas dan bersumberkan kepada anggapan semata-mata.

Dalam perjuangan SIS mendapatkan hak sama rata, kenapa pula wanita tidak boleh disebat secara syariah sama seperti lelaki? Logiknya, jika semuanya ingin disamaratakan, hukuman pun hendaklah disamaratakan dan tidak mendiskriminasi golongan lelaki. Adakah kesamarataan yang diperjuangkan oleh SIS ini ialah sama rata sekiranya memberi manfaat kepada wanita saja?

Menggambarkan sebatan syariah sebagai zalim dan kejam adalah amat keterlaluan dan tidak mempunyai asas perundangan dan hukum syarak. Malah saya percaya pegawai SIS sendiri tidak pernah menyaksikan pelaksanaan sebatan syariah yang dilabelkan sebagai kejam dan zalim itu.

Pada masa sama, saya bersetuju sebatan sivil itu adalah kejam dan perlu dihapuskan. Sebatan sivil itu juga tidak Islamik. Pandangan yang sama ini juga dikeluarkan Persatuan Ulama Malaysia yang mana saya mempersetujuinya.

Sebatan yang mencederakan dan mengerikan itulah yang patut dihapuskan kerana melanggar hak asasi manusia. Namun sebatan syariah mempunyai falsafahnya yang tersendiri dan berakar umbi daripada sumber hukum Islam yang utama seperti al-Quran dan al-Sunnah. Mempertikaikan efektif atau tidaknya hukuman sebatan Islam ini samalah seperti mempertikaikan hikmah dan mukjizat al-Quran dan Rasul Allah SAW.

Sebatan yang melanggar hak asasi manusia ialah sebatan sivil bukan sebatan syariah. Malah Resolusi Majlis Peguam yang diluluskan beberapa tahun lalu juga memberi penekanan aspek kekejaman sebatan sivil.

Sebatan syariah tidaklah sekejam yang digambarkan itu. Saya percaya ahli-ahli beragama Islam di dalam Majlis Peguam tidak bersetuju sebatan syariah dihapuskan kerana ia adalah sebahagian ajaran Islam, dengan Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan mengadakan hukuman bagi sebarang kesalahan melanggar perintah agama.

Malah ada juga ahli-ahli Majlis Peguam yang tidak bersetuju dan mengasingkan diri daripada kenyataan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan. Mereka ini termasuklah ahli yang beragama Islam dan tidak beragama Islam.

Sebenarnya Kanun Acara Jenayah yang menghalang wanita disebat yang dirujuk oleh Ragunath tidak terpakai di mahkamah syariah. Undang-undang yang terpakai di mahkamah syariah bagi pelaksanaan sebatan syariah ialah Akta Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian Presiden Majlis Peguam itu perlulah merujuk kepada akta terbabit terlebih dulu (yang juga diluluskan oleh Parlimen) sebelum membuat sebarang ulasan.

Janganlah menjadi bahan ketawa pula apabila merujuk kepada undang-undang yang tidak mempunyai kuat kuasa di mahkamah syariah. Malaysia adalah sebuah negara unik yang mempunyai dua sistem perundangan dan kedua-dua sistem ini haruslah melengkapi antara satu sama lain serta menghormati pihak yang satu lagi.

Tidak ada sesiapa boleh mempertikaikan Malaysia adalah sebuah negara berdaulat. Adalah menjadi peraturan asas bahawa rujukan kepada konvensyen antarabangsa bukanlah nas yang sahih di sudut perundangan negara selagi ia tidak dijadikan undang-undang.

Tidak timbul isu pelaksanaan hukuman sebatan syariah ini dibuat secara senyap-senyap. Jika kita lihat sebatan yang dilakukan oleh mahkamah sivil juga tidak diuar-uarkan kepada umum. Kenapa ini tidak dihebohkan? Adakah menjadi satu syarat sebatan itu perlu diumumkan terlebih dulu sebelum dilaksanakan?

Jika diumumkan maka berulanglah cerita Kartika Sari Dewi Shukarnor yang sehingga kini masih belum disebat lagi kerana mendapat bantahan golongan ini. Merekalah sebenarnya antara penyebab sebatan syariah ke atas Kartika tidak dapat dilaksanakan. Namun langsung tidak terdengar suara SIS apabila seorang lelaki disebat di Penjara Penor beberapa bulan lalu kerana kesalahan meminum arak.

Di manakah SIS dan Majlis Peguam menyorok diri. Adakah 'kekejaman' boleh dilakukan ke atas lelaki saja? Walaupun pada dasarnya hukuman sebat lebih utama dilakukan di khalayak awam, buat permulaan ini memadai dilakukan di dalam penjara disaksikan oleh sebahagian orang beriman. Apabila semua aspek sudah bersedia, maka bolehlah sebatan syariah dibuat di khalayak awam dan jumlah sebatan juga ditambah sejajar dengan undang-undang Islam.

Saya juga menyeru mana-mana hukuman sebatan syariah yang masih lagi belum dilaksanakan sebatan syariah di seluruh negara termasuklah kes Kartika, dilaksanakan dengan segera agar keadilan kepada pesalah syariah itu sendiri dapat dilakukan.

Janganlah ada lagi yang bercakap bagi pihak Kartika yang menentang pelaksanaan sebatan ini kerana Kartika sendiri memilih untuk disebat sebagai penebus kepada dosa yang dilakukannya itu. Sepatutnya apa yang perlu kita lakukan ialah berdoa agar Allah memberi hidayah kepada Kartika dan mengampunkannya bukan terkinja-kinja ke sana ke mari membantah pelaksanaan hukuman sebatan itu.

Saya menyokong usaha kerajaan memartabatkan perundangan syariah melalui sebatan syariah bagi pesalah yang disabitkan atas kesalahan yang membawa hukuman sebat.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my

Doa mustajab bagi orang beriman

DARIPADA Abdullah ibn Abbas, Rasulullah SAW pernah berdoa: "Ya Allah aku berserah kepada engkau, aku beriman kepada engkau, aku bertawakal kepada engkau, aku kembali kepada engkau dan aku berjuang kerana engkau.

Ya Allah, aku berlindung dengan kemuliaan dan kekuatan engkau, tiada Tuhan yang aku sembah melainkan engkau, janganlah aku disesatkan. Engkau yang hidup dan tidak akan mati sedangkan jin dan manusia semuanya akan mati." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Doa mustajab bagi orang mukmin. Oleh itu hendaklah berdoa kepada Allah dengan menyerahkan diri penuh keimanan dan bertawakal kepadanya serta memuji sifat-Nya.

Setiap hamba Allah hendaklah meletakkan sepenuh harapan kepada-Nya supaya diterima doanya.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sunday, February 21, 2010

Ulul Albab: Mencari khalifah berjiwa Mu'tashim

Oleh Abdurrahman Haqqi

Contohi pemimpin terdahulu pertahan umat Islam ditindas penjajah luar

KEJADIANNYA sangat sederhana dan remeh tetapi hasilnya di luar jangkaan bahkan luar biasa. Ada seorang wanita Muslim dari Bani Hashim yang sedang berbelanja di sebuah pasar di kawasan negeri di bawah kuasa kerajaan Romawi di utara benua Asia, kota Ammuriah, kawasan Turki hari ini. Ketika dia sedang berjalan, seorang lelaki berbangsa Romawi mengganggunya dengan hanya menyentuh hujung jilbab atau tudungnya sehingga dia secara spontan berteriak "Wa Mu'tashamah". (Tolonglah aku wahai Mu'tashim)

Selepas berita ini sampai ke telinga Khalifah Al-Mu'tashim Billah daripada Khalifah Abbasiyyah, puluhan ribu tentera dikejarkan ke Baghdad untuk menolong wanita berkenaan sekali gus membebaskan kota berkenaan daripada jajahan Barat.

Dikisahkan dalam buku rujukan sejarah Islam termasuk kitab al-Kamil fi al-Tarikh karangan Ibn Al-Athir jilid 3 muka surat 197 perihal kejadian pada tahun 223 Hijrah dalam tajuk Penaklukan Kota Ammuriah. Ketika mendengar berita itu, Khalifah Mu'tashim sedang memegang gelas mahu minum kemudian dibatalkan niatnya itu dan berseru kepada panglima tenteranya untuk bersiap-siap menuju Ammuriah tempat wanita berteriak meminta pertolongannya.

Ribuan tentera Muslim bergerak pada April 838 Masihi dari Baghdad menuju Ammuriyah dan selepas berlaku pertempuran sengit di antara tentera Khalifah dan tentera Romawi yang membawa kepada pengepungan kota oleh tentera Islam selama lima bulan sehingga akhirnya kota itu jatuh kembali ke tangan tentera Islam pada 13 Ogos 838M.

Seorang wanita Muslim yang lemah berteriak kerana diganggu oleh lelaki penjajah orang Romawi yang bukan Islam. Dalam teriaknya dia meminta pertolongan khalifah yang sedang berkuasa pada masa itu iaitu Khalifah al-Mu'tashim Billah yang memerintah Kerajaan Abbasiyah selepas abangnya, Khalifah al-Ma'mun meninggal dunia pada 10 Ogos 833 hingga 5 Januari 842M.

Khalifah tersentuh hati dan terbakar ghairah keIslamannya sehingga dia membuat keputusan untuk melancarkan serangan dan mencetuskan peperangan walaupun dia di dalam negerinya sedang menghadapi dugaan yang berat untuk menumpas kelompok penganut ajaran sesat yang bermaharajalela di kawasan Azeirbaijan di bawah pimpinan Babak al-Kharmi yang berpendapat adanya inkarnasi dan menghalalkan amalan seks bebas.

Mu'tashim Billah termasuk antara khalifah yang meninggalkan kenangan indah pada masa kepemimpinannya. Beliau menggantikan kekhalifahan daripada kedua-dua abangnya Al-Amin dan Al-Ma'mun yang digelar dengan khalifah yang cendekiawan.

Walaupun berbeza dengan kedua-dua abangnya dari segi kepintaran tetapi Al-Mu'tashim membuktikan keperkasaan jasmaninya. Diberitakan bahawa Al-Mu'tashim termasuk orang yang tidak pandai membaca dan menulis tetapi dia menundukkan banyak singa dan mengangkut seribu liter air. Bagaimanapun, kehidupan ilmiah dan sastera pada zamannya tidak jauh berbeza daripada zaman sebelumnya.

Kejadian sama banyak berlaku pada hari ini, bahkan ia lebih parah lagi. Kita dengar umat Islam diganggu, dihina, dicedera, dihalau, dijadikan suspek, dianggap penjenayah, dianggap pengganas bahkan dibunuh seorang-seorang mahupun beramai-ramai tetapi tiada sesiapa tersentuh hatinya dan tercabar ghairah keIslamannya.

Umat Islam ingin melaksanakan ajarannya secara kaffah atau menyeluruh di negeri asing tetapi disulitkan, bahkan dilarang walaupun mereka mendakwa bahawa negara mereka demokrasi di mana kebebasan beragama adalah dilindungi oleh negara. Mereka melarang tudung digunakan oleh wanita Muslim, bagaimanapun umat Islam diam. Mereka melarang azan dikumandangkan, umat Islam tidak bergerak. Mereka melarang restoran hanya menyediakan makanan halal, umat Islam pun tidak berganjak.

Hal yang terakhir disebut ini baru berlaku pertengahan minggu ini di Perancis. Ahli politik Perancis mengkritik keputusan jaringan makanan segera Quick untuk hanya menghidangkan makanan halal di seluruh 350 cawangannya di seluruh negara. Mereka berpendapat bahawa keputusan itu tidak boleh diterima kerana ia amalan memaksa cukai Islam ke atas pelanggannya.

Malah, seorang datuk bandar yang berpendirian sosialis mengancam akan membawa syarikat berkenaan ke mahkamah kerana ada diskriminasi dalam keputusan syarikat terhadap pelanggan yang tidak mahu makanan halal.

Pandangan aneh ahli politik Perancis sebenarnya mencerminkan keresahan dan kekhuatiran Perancis secara am kepada kemaraan Islam di sana. Mereka dibayangi Perancis akan menjadi Muslim. Dalam kes makanan halal ini, dilaporkan bahawa pasar makanan halal di sana semakin meningkat di mana dicatatkan pada tahun lalu pasaran halalnya mencecah AS$7.46 bilion. Salah satu sebabnya adalah belia Muslim di Perancis untuk menggunakan produk halal dalam kehidupan mereka.

Dengan satu kenyataan pada hari ini yang mana umat manusia sedang dijajah oleh satu kelompok berpengaruh dunia yang memiliki kekuatan dan kekuasaan yang luar biasa dan selubung seperti selubungnya iblis daripada pandangan manusia, maka diperlukan satu kelompok lagi yang boleh menangkis balik dakyah mereka dan membawa kembali umat manusia ke jalan yang benar seperti misi kalangan nabi dan rasul terdahulu.

Nabi dan rasul sudah meninggal dunia tetapi musuh mereka, iblis, masih hidup dan sedang dipuja dan disembah oleh kelompok berpengaruh dunia berkenaan.

Menurut Syed Qutb, sebuah masyarakat yang dalamnya manusia berkumpul dan berorganisasi berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan kemahuan fitrah kemanusiaan itulah masyarakat yang bertamadun.

Sebuah masyarakat yang di dalamnya manusia berkumpul berdasarkan sesuatu di luar kemerdekaan dan kebebasan fitrah kemanusiaan, maka masyarakat itu adalah sebuah masyarakat yang songsang atau mengikut istilah Islam, masyarakat itu ialah masyarakat Jahiliah.

Sesungguhnya masyarakat Islam sajalah sebuah masyarakat yang anggotanya berkumpul berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan. Ia juga sebuah masyarakat yang menganggap akidah sebagai rupa bangsa yang mengumpulkan orang berkulit putih, hitam, merah dan kuning, mengumpulkan orang Arab, Romawi, Parsi, kulit hitam dan seluruh bangsa manusia di muka bumi ini menjadi satu umat yang bertuhankan Allah, yang memuja dan menyembah-Nya saja. Orang yang paling mulia dan dihormati di dalam masyarakat itu ialah orang yang paling bertakwa dan yang selainnya setaraf saja dalam menjunjung hukum dan perintah Allah SWT.

Apabila nilai kemanusiaan atau moral kemanusiaan yang menjadi asas hidup umat manusia, berkuasa di dalam sebuah masyarakat, nescaya masyarakat itu akan menjadi sebuah masyarakat, yang bertamadun, dan nilai moral kemanusiaan itu bukanlah suatu perkara yang sukar, tidak pula menjadi satu perkara yang berubah dan tidak mantap serta tidak punya asas, seperti yang dituduh oleh tafsiran ala benda atas sejarah atau seperti yang dituduh oleh para penganut sosialisme saintifik.

Sesungguhnya nilai yang dimaksudkan itu ialah nilai yang menggalakkan pertumbuhan ciri-ciri yang menjadi milik manusia saja dan tidak dimiliki oleh haiwan, nilai yang menonjolkan sudut yang membezakan manusia dengan haiwan, bukanlah nilai yang menggalakkan pertumbuhan ciri dan sudut yang menyamakan manusia itu dengan haiwan.

Sejarah Islam membuktikan bahawa pemimpinlah yang berjaya membuat umat mencapai kemuncak kedudukannya. Pemimpin itu dalam istilah politik Islam disebut khalifah dan adakah seorang khalifah yang berjiwa al-Mu'tashim pada hari ini? Wallahu alam.

Persoalan Agama: Jauhkan anak daripada maksiat

Bersama Ustaz Zahazam Mohamed

SAYA bimbang dengan gejala sosial yang membabitkan remaja sekarang. Sebagai ibu, saya mahukan anak saya menjadi baik dan bijak. Apakah ada doa atau ayat suci al-Quran yang boleh anak saya amalkan bagi memperkuatkan daya ingatan atau fikiran? Apakah ia boleh dimulakan seawal mungkin.

Aina,
Selangor.

APABILA kita menyebut soal anak, ia adalah suatu anugerah Allah SWT yang perlu disyukuri. Tidak semua pasangan yang berkahwin, dimudahkan Allah SWT memperoleh cahaya mata. Oleh itu, selepas memperolehnya, janganlah kita mempersia-siakan mereka dan didiklah mereka dengan iman dan takwa supaya mereka menjadi anak yang soleh dan solehah.

Anak yang soleh adalah punca ketenangan dan kegembiraan bagi ibu bapa di dunia dan di akhirat. Allah SWT berfirman pada ayat 52 dalam surah al-Hijr yang bermaksud: "Mereka (Malaikat) berkata (kepada Nabi Ibrahim): "Janganlah engkau takut, sebenarnya kami hendak menggembirakan kamu dengan berita bahawa engkau akan beroleh seorang anak lelaki yang bijak." Allah SWT juga menyebut mengenai Nabi Zakaria pada ayat 7 yang bermaksud: "Wahai Zakaria, sesungguhnya Kami menggembirakan kamu dengan anak yang bernama Yahya (Nabi Yahya as)."

Begitu juga Allah SWT mengkhabarkan kepada Maryam pada ayat 45 dalam surah Ali Imran yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan perkataannya (anugerah-Nya) yang dinamakan Isa bin Maryam."

Hakikatnya, antara cara untuk menjadikan anak kita mempunyai ketinggian ilmu, hendaklah mendekatkan mereka ke tempat pengajian agama, terutama yang diadakan di masjid. Sebagai contoh, sebaik saja Saidina Ali dilantik menjadi khalifah, beliau terus berkunjung ke masjid dalam negara untuk memastikan perjalanannya.

Ada satu peristiwa ketika di Basrah, beliau berpeluang mendengar majlis ilmu yang disampaikan seorang budak lelaki kecil. Majlis itu dipenuhi dengan orang ramai. Selepas tamat majlis itu, Saidina Ali memanggil orang muda tadi lalu berkata, "Wahai budak, engkau sudah berkata dan engkau sungguh pandai dalam berkata-kata dan engkau seorang yang fasih, dan engkau menepati (kebenaran). Aku ada dua soalan, yang pertama apakah dia tiang agama? Jawabnya, 'warak.' Saidina Ali bertanya lagi: "Apakah perosak agama?" Jawabnya: 'Tamak.' Saidina Ali seterusnya berkata: "Teruskanlah wahai budak. Sesungguhnya engkau adalah sebaik-baik orang yang aku lihat."

Budak kecil itu ialah Hasan al-Basri. Budak kecil ini sampai ke peringkat ilmunya yang tinggi disebabkan pendidikan yang dilaluinya di masjid kerana kepemimpinan dan ilmu itu diperoleh di masjid.

Malah masjid juga bukan saja menjadi tempat meningkatkan ilmu tetapi juga sebagai tempat pemulihan akhlak. Pernah diceritakan seorang lelaki yang sudah puas cuba mengubati anaknya yang degil tetapi gagal. Dia dinasihatkan oleh seseorang untuk membawa anak itu ke masjid dan itulah yang dilakukannya tanpa rasa percaya terhadap usahanya itu. Anak tadi dengan izin Allah SWT berubah menjadi anak yang yang baik, berjaya dan berusaha mengatasi rakan-rakan yang sudah pandai, sedangkan di luar sana ada televisyen, radio dan wayang. Semuanya luas berpengaruh dengan adanya pelbagai cara menyebarkannya.

Untuk menjadikan anak bijak dan soleh hendaklah jauhi mereka daripada perkara maksiat. Ibnu Qayyim pernah menasihatkan: "Jauhilah anak daripada majlis lagha (melalaikan), maksiat dan mendengar percakapan kotor. Apabila dia mula berfikir mengenai perkara itu yang menyebabkannya teringat semuanya dan melekat dalam dirinya sehinggakan susah untuk ditinggalkan."

Imam Syafie pernah mengadu kepada gurunya Imam Waki' iaitu dalam sebuah syair yang masyhur: (Syakautu ila waki'i suu'a hifzi�Faarsyadani ila tarkil ma'aasi�wa akhbarani bianna ilma nuurun..wanurullahi la yuhda lil 'aasi..) Bermaksud: Aku mengadu kepada guruku Waki' akan lemahnya hafalanku..Lalu guruku menasihatiku agar meninggalkan maksiat. Dia memberitahuku bahawa ilmu itu cahaya...dan cahaya Allah itu tidak akan masuk kepada ahli maksiat."

Sebenarnya, peringkat mendidik anak sudah bermula sejak kelahiran bayi itu. Apabila bayi itu dilahirkan kita dianjurkan untuk mengazankan di telinga kanan dan qamat di telinga kiri supaya perkara yang mula-mula masuk dalam dirinya adalah kalimah kebesaran dan keagungan Allah SWT. Seterusnya memberi nama anak yang baik kerana nama yang baik itu suatu doa, mengkhatan, menyayanginya, tidak memukulnya serta menggalakkan adab-adab yang baik.

Pada usia kanak-kanak, Islam juga menganjurkan agar menerapkan keimanan kepada mereka. Kanak-kanak pada usia ini kerap

bertanya mengenai cara kewujudannya, gambaran mengenai Tuhannya. Seperti kata ulama, awal-awal agama ialah mengenal Allah. Kedua, hendaklah mengasuh mereka mencintai al-Quran. Ibu bapa yang baik akan mengajar anak mereka membaca al-Quran sejak kecil lagi. Ketiga, hendaklah mendidik mereka untuk mencintai keluarga Nabi dan para sahabat.

Di dalam buku, Anakku Hebat Anakku Soleh beberapa teknik mendidik anak disebut sebagai panduan. Ini termasuk:

# Hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik. Keluarga yang inginkan anak berakhlak mulia perlu mempraktikkan akhlak yang mulia. Kelakuan keluarga yang buruk akan menjadikan anak itu sendiri berkelakuan buruk.

# Merangsangkan (targhib) dan menakut-nakutkan (tarhib). Kalangan cendekiawan ilmu tarbiah bersepakat bahawa memberi galakan dan memberi ganjaran adalah perkara penting dalam pendidikan apabila anak melakukan perkara-perkara yang baik. Justeru, ibu bapa atau pendidik jangan menyempitkan konsep pemberian hadiah.

# Mencontohi dan mengikuti. Taklid nilai baik ialah mengikuti apa yang dilakukan oleh ibu bapa yang diterima oleh akal dan yang diyakini olehnya tetapi dia tidak dapat memberi dalil atas apa yang dibuatnya.

# Memberi pengajaran (nasihat). Al-Quran menyuruh ibu bapa mendidik anak-anak dengan kasih sayang. Inilah yang kita lihat diucap oleh Nabi alaihimussalam kepada anak-anak mereka walaupun anak-anak mereka kadangkalanya derhaka dan tidak mengikuti agama yang dibawa oleh ayah mereka. Contohnya firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 131 dan 132 bermaksud: "(Ingatlah ) ketika Tuhan berfirman kepadanya (Ibrahim), "Berserah dirilah (tunduk taat kepada agama)!" Dia menjawab, "Aku berserah diri kepada Tuhan seluruh alam." Dan Ibrahim berpesan (ucapan) itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'kub: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah sudah memilih agama ini untuk kamu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim."

# Bercerita. Cara bercerita juga mungkin boleh dilaksanakan dalam tarbiah untuk menanam sifat baik dalam diri anak. Al-Quran banyak mengandungi cerita untuk diambil pengajaran dan teladan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Kahfi ayat 13 yang bermaksud: "Kami ceritakan kepadamu (Muhammad), kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran."

Begitu juga kisah kalangan sahabat, sebagai contoh, ketika Abdullah bin al-Zubair berumur 12 tahun, pernah Saidina Umar lalu menghampirinya. Kanak-kanak lain yang sedang bermain dengannya bertempiaran lari kecuali Abdullah bin Zubair. Semuanya lari kerana takut dengan ketegasan Saidina Umar kecuali Abdullah yang memandang kepada Amirul Mukminin itu. Umar mengucapkan salam padanya kemudian beliau terus duduk di situ dan bermain sehingga Saidina Umar bertanya: "Kenapa kamu tidak lari seperti kawan-kawanmu?" Abdullah menjawab: "Aku bukan zalim lalu aku takut kepadamu dan jalan pun tidak sempit supaya aku beralih dan aku pun tidak buat dosa sehingga aku perlu lari." Umar gembira dengan keberanian pemuda sekecil itu dan mengusap kepala anak itu lalu berkata kepada sahabat-sahabatnya: "Anak ini akan hidup dengan kehebatan."

# Membuat perumpamaan. Antara cara pendidikan yang berjaya ialah dengan membuat perumpamaan dalam percakapan dengan anak dan dalam mendidiknya. Tidak ada syak cara ini juga ada digunakan oleh al-Quran dengan banyak sekali. Contohnya, Allah SWT membuat perumpamaan lemahnya aqidah yang batil itu seperti sarang labah-labah pada ayat 41 surah al-Ankabut yang bermaksud: "Perumpamaan orang yang mengambil pelindung selain Allah SWT adalah seperti labah-labah yang membuat rumah (sarang). Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah, sekiranya mereka mengetahui."

Banyak lagi panduan serta teknik mendidik anak yang dapat diperoleh daripada buku itu supaya anak menjadi hebat dan soleh. Kesimpulannya, anak adalah amanah Allah SWT yang perlu dididik mengikut cara didikan Islam supaya keperibadian mereka dicorakkan dengan corak Islam seterusnya menjadi anak yang soleh atau solehah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 138 bermaksud: "Sibghah (celupan) Allah, siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah". Maksud sibghatallah ialah celupan Allah SWT yang akan mencorakkan keseluruhan kehidupan orang beriman dengan corak Islam. Kesilapan dalam mendidik akan menjadikan anak itu liar disebabkan mereka tidak mengenali Tuhan dan tidak mengenal tujuan hidup.

Persoalan Agama: Solat sunat sebelum, selepas solat fardu sangat disaran

Bersama Ustaz Zahazam Mohamed

USTAZ, saya ingin penjelasan mengenai kedudukan solat sunat sebelum Maghrib? Adakah dalil yang menganjurkannya?

Azrul,
Taiping, Perak.

DALIL yang menjelaskan solat sunat dua rakaat sebelum solat fardu Maghrib, jelas disebut dalam beberapa hadis. Ini termasuk Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda, "Kerjakanlah solat dua rakaat sebelum solat fardhu Maghrib (iaitu sesudah azan Maghrib), kerjakanlah solat dua rakaat sebelum Maghrib!"

Pada kali ketiga, Baginda menambah: "Bagi sesiapa yang mahu (tambahan ini), " kerana Baginda SAW tidak mahu kalau orang menjadikannya sebagai kebiasaan.

Imam Bukhari , Muslim dan an-Nasa'I meriwayatkan juga bahawa sahabat Nabi, Anas bin Malik menjawab ketika ditanya oleh al-Mukhtar al-Muqaffal, "Apakah Nabi mengerjakan solat dua rakaat selepas masuknya waktu Maghrib dan sebelum solat fardhu Maghrib? Anas menjawab: "Baginda melihat kami mengerjakan solat, tetapi Baginda tidak menyuruh dan tidak juga melarang kami."

Ada sepuluh rakaat solat sunat yang berkait dengan solat wajib yang amat dianjurkan, iaitu: dua rakaat sebelum solat Subuh, Zuhur, dan Asar serta dua rakaat sesudah Maghrib dan Isyak.

INFO

Solat sunat dianjur berkait solat wajib

# Ada sepuluh rakaat solat sunat yang berkait dengan solat wajib yang amat dianjurkan, iaitu: dua rakaat sebelum solat Subuh, Zuhur, dan Asar serta dua rakaat sesudah Maghrib dan Isyak.

Saturday, February 20, 2010

Kontroversi hukuman sebat berpunca daripada persepsi salah masyarakat

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Tak perlu pertikai pelaksanaan prosedur yang ambil kira kesejahteraan pesalah

TIGA wanita disabitkan kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di penjara Kajang, 9 Februari lalu disaksikan 13 orang termasuk Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan serta pegawai bahagian syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.

Dua daripada wanita itu dikenakan enam sebatan, manakala seorang lagi empat sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 antara Disember 2009 hingga Januari lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, merujuk kebimbangan sesetengah pihak berhubung hukuman sebat itu berkata, sebatan terhadap tiga wanita berkenaan tidak langsung mendatangkan kecederaan.

Malah, berdasarkan temu bual dengan tiga pesalah wanita itu, mereka mengakui reda, insaf dan bertaubat dengan hukuman diterima. Walaupun sebatan tidak mendatangkan luka pada badan, ia mendatang kesan mendalam kepada diri mereka.

Diharap perkembangan terbaru ini mampu mengubah persepsi negatif pihak tertentu yang menentang hukuman sebat mengikut undang-undang syariah, dijatuhkan kepada pesalah wanita oleh Mahkamah Syariah atas kesalahan dilakukan mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, merujuk kebimbangan sesetengah pihak berhubung hukuman sebat itu berkata, sebatan terhadap tiga wanita berkenaan tidak langsung mendatangkan kecederaan.

Malah, berdasarkan temu bual dengan tiga pesalah wanita itu, mereka mengakui reda, insaf dan bertaubat dengan hukuman diterima. Walaupun sebatan tidak mendatangkan luka pada badan, ia mendatang kesan mendalam kepada diri mereka.

Diharap perkembangan terbaru ini mampu mengubah persepsi negatif pihak tertentu yang menentang hukuman sebat mengikut undang-undang syariah, dijatuhkan kepada pesalah wanita oleh Mahkamah Syariah atas kesalahan dilakukan mereka.

Friday, February 19, 2010

Keseronokan dunia ibarat permainan melalaikan

Oleh Hashim Ahmad


MANUSIA sentiasa disuruh beramal untuk mendapatkan kebahagiaan akhirat. - Gambar hiasan


Manusia diingatkan sentiasa patuhi segala suruhan-Nya untuk bekalan akhirat

DUNIA diibaratkan seperti ladang untuk bercucuk tanam dan hasilnya akan diperoleh di akhirat kelak. Hasil itu bergantung kepada apa yang diusahakan. Jika amalan diusahakan itu baik maka baiklah hasilnya dan begitu juga sebaliknya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah (debu yang halus) nescaya dilihatNya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dilihatNya." (Surah Al-Zilzal, ayat 7-8)

Sesungguhnya setiap langkah, gerak geri dan tingkah laku kita di dunia dalam pengetahuan Allah. Segala amalan manusia semuanya akan direkodkan dalam diari dan diari itu akan dibentangkan di akhirat nanti.

Allah menugaskan dua malaikat, Raqib dan Atid untuk mencatatkan segala rekod kebaikan serta kejahatan dilakukan setiap individu.

Ahli tasauf menganggap dunia seperti bangkai dan manusia seperti anjing. Sebab itulah manusia lebih sukakan dunia daripada akhirat. Al-Quran juga ada menerangkan yang dunia ini adalah permainan dan kelalaian.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan tidaklah penghidupan dunia itu melainkan permainan dan kelalaian. Dan sesungguhnya negeri akhirat adalah lebih baik bagi orang yang berbakti. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir." (Surah Al-An'am, ayat 32)

Dunia ini diibaratkan sebagai permainan dan melalaikan. Permainan itu akan tamat apabila tiba masanya. Kesenangan dan kemewahan dalam erti kata sebenarnya ialah kesenangan dan kemewahan di akhirat yang kekal selama-lamanya.

Hal ini jelas daripada firman Allah yang bermaksud: "Dan sebutlah (ingatlah) nama Tuhanmu serta sembahyang. Tetapi kamu lebihkan penghidupan dunia, pada hal akhirat lebih baik dan lebih kekal." (Surah Al-A'la, ayat 15, 16 dan 17)

Allah mengingatkan supaya manusia sentiasa ingat kepada-Nya dengan menunaikan sembahyang, mematuhi suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Namun, manusia lebih cenderung kepada penghidupan dunia.

Mungkin ini disebabkan dorongan syaitan dan hawa nafsu kerana syaitan itu sentiasa berusaha menyesatkan manusia di muka bumi ini, pada hal mereka sudah berkali-kali diberi peringatan bahawa akhirat itu lebih baik dan kekal.

Islam bukan melarang manusia mencari kemewahan dan kesenangan di dunia tetapi kemewahan itu biarlah sekadar memadai untuk menunaikan tanggungjawab serta kewajipan yang membawa kepada kebahagiaan hidup di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan carilah dalam kurniaan yang Allah berikan kepadamu itu (keselamatan) negeri akhirat. Tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu dari di dunia." (Surah Al-Qasas, ayat 77)

Manusia disuruh mencari atau beramal untuk mendapatkan kebahagiaan akhirat. Di samping itu, Allah juga menegaskan bahawa dunia tidak boleh dilupakan langsung. Cuma antara dunia dan akhirat, Allah menguatkan supaya akhirat lebih diutamakan dari dunia.

Bagaimana halnya mereka yang lebih mementingkan dunia dari akhirat? Allah berfirman yang maksudnya: "Mereka itu orang yang membeli kehidupan dunia dengan akhirat, maka tidak akan diringankan seksaan ke atas mereka dan mereka tidak akan diberi pertolongan." (Surah Al-Baqarah, ayat 86)

Inilah balasan orang yang sanggup meninggalkan akhirat dan mengutamakan dunia. Mereka itu akan mendapat seksaan di akhirat kelak.

Sesungguhnya, untuk memperoleh kejayaan dan kesenangan sama ada di dunia atau akhirat, kita disuruh melakukan segala kebaikan dan mencegah segala larangan. Kita juga digalakkan membuat amal ibadat lebih banyak daripada urusan keduniaan.

Keadaan ini jelas daripada sabda Rasulullah yang bermaksud: "Bekerjalah kamu untuk kepentingan di dunia ini seolah-olah kamu akan hidup buat selama-lamanya, tetapi beramallah untuk kepentinganmu di akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari." (Hadis riwayat Al-Asyakin)