Showing posts with label (A) Ahmad Sabki Mohd Tahir. Show all posts
Showing posts with label (A) Ahmad Sabki Mohd Tahir. Show all posts

Tuesday, June 2, 2009

Tawakal ibadah hati paling utama mengharapkan sesuatu

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

HIDUP tidak sunyi daripada berdepan masalah. Yang membezakannya hanya jenis masalah itu tidak sama antara seorang dengan seorang. Seseorang itu mungkin berdepan masalah besar menentukan hidup atau mati perniagaannya pada masa depan, manakala yang lain hanya sekadar mendapatkan rumah untuk dibeli.

Apa juga keadaan, mereka perlu mencari jalan menyelesaikannya. Masalah tidak akan selesai jika hanya berdiam diri berpeluk tubuh. Kejayaan atau kegagalan bergantung sejauh mana usaha dilakukan.

Selepas puas berusaha keras dengan pelbagai cara dan kaedah untuk menyelesaikan masalah, mereka boleh berserah kepada Allah iaitu bertawakal kepada Allah.

Tawakal satu ibadah hati paling utama dan akhlak iman paling agung. Seorang ulama menyatakan tawakal ialah percaya kepada Allah dan hanya kepada Dialah kita mengharapkan segala sesuatu, bukan kepada siapa pun.

Imam al-Ghazali menyatakan tawakal satu manzilah (keberadaan) bagi orang beriman, bahkan tawakal darjat muqarrabin atau orang yang dekat dengan Allah.

Ali al Qari pula menyebut tawakal adalah mengetahui dan yakin tidak ada yang mampu berbuat dalam alam ini kecuali atas kehendak Allah.

Abu Ali Ad-Daqqaq berkata, tawakal itu ada tiga tingkatan. Tawakal itu sendiri, kata Abu Ali Ad-Daqqaq: “Berserah diri, kemudian pasrah. Orang bertawakal berasa tenang kerana ada janji daripada Allah, orang berserah diri cukup dengan pengetahuan mengenai Allah dan orang pasrah reda terhadap hikmah Allah. Tawakal adalah permulaan, berserah diri adalah pertengahan dan pasrah adalah penghabisan.”

Kata Abu Ali Ad-Daqqaq lagi: “Tawakal sifat orang mukmin, berserah diri adalah sifat wali dan pasrah adalah sifat muwahhidin. Tawakal sifat orang awam, berserah diri sifat orang khusus dan pasrah sifat orang lebih khusus lagi. Tawakal ialah sifat nabi, berserah diri ialah sifat Ibrahim dan pasrah sifat Nabi Muhammad.”

Orang yang tawakal selalu menggantungkan diri dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. Mereka sentiasa berlapang dada dan tidak resah bila dibelit masalah. Mereka tidak cepat berputus asas, sebaliknya sentiasa yakin dan percaya kepada kemampuan diri sendiri. Mereka hanya berserah (tawakal) kepada Allah selepas segala usaha dan ikhtiar dilakukan.

Mereka bertawakal kepada Allah kerana mereka mempunyai perasaan kuat Allah Yang Maha Pemberi segala-galanya. Allah memberi rezeki, memberi kejayaan, memberi kepandaian, memberi kesenangan, memberi keselamatan dan semuanya datang daripada Allah. Kita hanya berusaha mencari dan mendapatkannya.

Dalam al-Quran Allah berfirman bermaksud: “Dan percayalah (tawakallah) dirimu kepada Allah, jika kamu betul-betul beriman.” (Surah al-Maidah ayat 23).

Allah sangat mencintai hamba-Nya yang bertawakal. Dan Allah akan memberikan jalan keluar serta akan memberikan rezeki yang datang tanpa disangkanya. Dengan kata lain, mereka (orang tawakal) tanpa gusar yakin terhadap ketentuan dan kekuasaan Allah hingga menyerahkan segenap permasalahan kepada-Nya semata.

Allah berfirman bermaksud: “Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki-Nya). Sesungguhnya Allah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.” (Surah Ath Thalaq ayat 3).

Dalam bukunya Para Kekasih Allah, Abdillah F Hasan berkata dalam al-Quran tidak kurang dari 40 ayat membahas masalah tawakal, baik dalam bentuk perintah mahupun keutamaan bagi hamba mampu melaksanakannya.

Yusuf al Qaadhawi dalam kitabnya Ath Thariq Ilalah, At Tawakal mengungkapkan mengenai keistimewaan disandang hamba Allah bertawakal kepada-Nya, iaitu timbul ketenteraman jiwa, kekuatan jiwa (kekuatan spiritual), kewibawaan, keredaan dan percaya diri.

Orang beriman yakin akan pertolongan Allah. Allah tidak akan membiarkan orang berjuang di jalan-Nya. Allah tetap menolong mereka, cuma cepat atau lambat saja.

Orang yang mantap dan teguh imannya tidak ragu-ragu dengan janji Allah ini. Mereka penuh yakin Allah tidak mengingkari janji kerana mereka tahu dan ingat keagungan Allah, kesempurnaan ilmu-Nya dan kudrat-Nya. Allah ingat kepada hamba-Nya yang tidak pernah lupa mengingati-Nya di mana-mana.

Firman Allah dalam al-Quran bermaksud: “Dan Kami selalu berkewajipan menolong orang-orang yang beriman.” (Surah Ar-Rum ayat 47)

Tuesday, April 28, 2009

Azab berat menunggu insan putar belit hukum agama

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

Islam menetapkan perkara halal serta dilarang untuk elakkan kemudaratan kepada masyarakat

HARI ini hidup manusia banyak dikuasai nafsu. Ada masanya nafsu itu dilihat bersifat lebih buruk daripada kelakuan binatang. Sedangkan manusia diberi akal untuk berfikir dan membezakannya dengan haiwan.

Hidup kita ada peraturan dan batas perlu diikuti dan dipatuhi demi kesejahteraan serta keharmonian hidup. Tanpa peraturan, batasan dan undang-undang, maka dibimbangi hidup manusia akan jadi haru-biru serta kucar-kacir.

Allah SWT menggariskan beberapa peraturan yang perlu dipatuhi semasa hidup. Menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah SWT untuk menjauhkan diri daripada perkara dilarang dan ditegah Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Apa yang dihalalkan Allah di dalam Kitab-Nya adalah halal, dan apa yang diharamkan-Nya adalah haram, dan apa yang tidak dijelaskan-Nya adalah kemurahan ('afiah), maka terimalah daripada Allah kemurahan itu, sesungguhnya Allah tidak lupa." Kemudian Baginda SAW membaca ayat (ertinya): "Dan Rabbmu tidak pernah lupa." (Hadis riwayat al-Hakim)

Allah SWT memberi peringatan kepada manusia dalam firman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu mengatakan apa yang disebut oleh lidahmu secara dusta: ini halal dan ini haram, untuk mengada-adakan pembohongan terhadap Allah." (Surah an-Nahl, ayat 116)

Firman Allah SWT itu jelas dan mudah difahami, iaitu benda yang halal tetap halal dan haram (yang dilarang) tetap haram. Manusia tidak boleh mengatakan halal itu haram dan sebaliknya. Azab amat berat menanti mereka yang melanggar larangan ditetapkan Allah SWT.

Melainkan mereka tidak takutkan seksaan Allah SWT kerana amaran sudah diberi tetapi masih ada yang tergamak melakukan perbuatan dilarang. Keberanian itu seolah-olah mereka tidak menghiraukan amaran diberi kepada mereka yang menderhaka perintah Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan barang siapa yang menderhaka Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam neraka sedang ia kekal di dalamnya, dan baginya seksa yang menghinakan." (Surah an-Nisa', ayat 14)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apapun yang aku larang kalian mengerjakannya, maka jauhilah. Dan apa saja yang aku perintahkan kepada kalian, maka lakukanlah sesuai dengan kemampuan kalian." (Hadis riwayat Muslim)

Larangan Allah SWT semata-mata untuk kebaikan manusia juga kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang akan terjadi kepada manusia jika mereka melanggar peraturan diperintahkan-Nya. Contoh paling mudah ialah Allah SWT mengharamkan bagi orang Islam menjual dan meminum arak.

Arak adalah minuman memabukkan dan mereka yang dalam keadaan mabuk akan menjadi tidak waras hingga ada kalanya tindakan mereka mendatangkan mudarat serta bencana kepada diri sendiri atau orang di sekeliling.

Si peminum boleh bertindak di luar duga, seperti mencederakan orang tidak berdosa hatta sanggup membunuh sekali. Justeru, Allah haramkan bagi orang Islam menjual dan meminum arak.

Namun begitu, ada segelintir umat Islam yang berani melanggar peraturan ditetapkan Allah SWT. Mereka tidak takut Allah yang Maha Besar dan Maha Perkasa sekali gus tidak takut seksa yang dijanjikan kerana menderhaka kepada Allah SWT.

Banyak lagi peraturan dilanggar umat Islam antaranya memberi dan menerima rasuah, menipu dalam jual beli barang, melakukan zina, tidak berlaku adil kepada isteri apabila berpoligami, mengambil dan memakan riba, menyakiti jiran serta perlakuan lain yang dimurkai Allah SWT.

Di segi berpakaian pula, larangan yang selalu diabaikan umat Islam ialah memakai emas dan sutera bagi lelaki. Masih ada lelaki Islam yang gemar memakai sutera dan emas seperti rantai, jam tangan, pen, kancing baju terutama di kalangan mereka yang berada.

Diriwayatkan daripada Abu Mursa al-Asy'ari bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Dihalalkan sutera dan emas bagi kaum wanita dari umatku, dan diharamkan atas kaum lelakinya." (Hadis riwayat Ahmad)

Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW pernah melihat sebentuk cincin emas di tangan seorang lelaki, lalu Baginda menanggalkannya dan membuangnya seraya berkata: "Apakah seseorang di antara kamu sengaja mengambil bara api dan meletakkannya di tangannya?"

Kerap berlaku dalam masyarakat kita hari ini ialah perbuatan menceritakan atau mendedahkan aib orang lain. Perbuatan menceritakan dan mendedahkan keburukan orang lain semacam menjadi satu budaya di kalangan orang Islam, terutama mereka yang lemah imannya.

Allah SWT melarang dan mencegah hamba-Nya mencemarkan kehormatan seseorang di depan orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya." (Surah al-Hujurat, ayat 12).

Saturday, April 11, 2009

Setiap ummah bertanggungjawab terhadap amanah dipikul

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

KEBELAKANGAN ini kerap dilaporkan mengenai kes pecah amanah membabitkan wang dan salah guna kuasa. Perbuatan tidak bermoral itu bukan saja dilakukan mereka berjawatan rendah di sektor kerajaan atau swasta, juga yang berjawatan tinggi dan berkedudukan baik.

Mereka yang melakukan perbuatan pecah amanah mengkhianati kepercayaan diberi. Disebabkan itu, boleh dikatakan amanah satu tanggungjawab berat untuk dilaksanakan walaupun akibat mengabaikannya boleh mendatangkan keburukan serta kemudaratan.

Sesiapa diberi amanah sepatutnya memenuhi tanggungjawab itu dengan jujur kerana ia membabitkan hak mereka yang berhak. Firman Allah yang bermaksud: "Maka tunaikanlah oleh orang yang diamanahkan itu akan amanahnya dan bertakwalah kepada Allah, Tuhannya." � (Surah al-Baqarah, ayat 283)

Dibandingkan dengan zaman sekarang, nyata zaman dulu orangnya cukup kuat menjaga amanah, terutama di kalangan Nabi dan Rasul. Contohnya, Nabi Muhammad SAW adalah seorang cukup terkenal dengan sifat amanahnya hingga Baginda diberi gelaran 'Muhammad al-Amin' oleh masyarakat Arab.

Lipatan sejarah Islam memang banyak kisah mengenai amanah tetapi kisah tokoh Islam terkenal, Khalifah Umar bin Abdul Aziz dengan puteranya cukup menarik untuk dipaparkan. Khalifah Umar bin Abdul Aziz memang terkenal sifat amanahnya.

Mengikut riwayat, pada suatu malam sedang baginda tekun bekerja di biliknya dalam istana, seorang puteranya masuk ke bilik dengan niat untuk berbincang sesuatu mengenai masalah keluarga. Sebaik saja puteranya duduk di hadapannya, Khalifah Umar pun memadamkan lampu.

Puteranya pun terkejut dan hairan lalu bertanya kepada Khalifah Umar: "Kenapa ayah padamkan lampu? Bukankah baik jika kita berbincang dalam keadaan terang?"

Khalifah Umar lantas menjawab: "Benar kata anakanda itu, tapi anakanda perlu ingat, lampu yang ayah gunakan untuk bekerja tadi kepunyaan kerajaan. Minyaknya dibeli dengan wang kerajaan. Jadi adalah tidak wajar kita gunakan lampu kerajaan kerana perbincangan kita ini adalah hal keluarga."

Sejurus kemudian Khalifah Umar memanggil pelayannya meminta dibawakan lampu lain dari dalam sebuah bilik. Selepas lampu dibawa pelayan itu dinyalakan, maka Umar pun berkata kepada puteranya: "Sekarang anakanda boleh kemukakan kepada ayahanda apa masalah anakanda kerana lampu yang kita gunakan ini kepunyaan keluarga dan minyaknya pun kita yang beli."

Demikianlah salah satu kisah amanahnya seorang pemimpin zaman dulu. Betapa besarnya jiwa Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Dalam soal lampu yang mungkin kita anggap hal kecil atau remeh Khalifah Umar mampu memelihara atau menjaga amanah, apatah lagi dalam soal lebih besar.

Mengikut ulama, sifat amanah juga adalah salah satu daripada unsur kesempurnaan peribadi seorang Muslim. Imam Ahmad, Ibn Habban, al-Hakim dan al-Baihaqi menceritakan daripada Ubadah bin al-Samit, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Berikanlah padaku enam jaminan daripada diri kamu, aku menjamin syurga untuk kamu."

Enam jaminan yang dimaksudkan Rasulullah SAW itu ialah berlaku benar bila berbicara, tepati bila berjanji, tunaikan apabila diamanahkan, pejamkan mata daripada yang ditegah, pelihara faraj dan tahanlah tangan kamu.

Rasulullah SAW juga pernah ditanya oleh seorang daripada keluarga al-Aliyah seperti diceritakan al-Bazzar daripada Ali. "Wahai Rasulullah, beritahulah kepadaku, apakah yang paling berat dalam agama dan apakah yang paling ringan?" tanya ahli keluarga al-Aliyah.

Rasulullah SAW menjawab: "Yang paling ringan dan mudah adalah mengucapkan dua kalimah syahadah dan yang paling berat, wahai saudari al-Aliyah adalah amanah. Sesungguhnya tidak ada agama bagi orang yang tiada amanah, tidak sembahyang dan tidak menunaikan zakat."

Demikian beratnya tanggungjawab amanah sehingga nabi menganggap tiada agama bagi orang yang tidak amanah. Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui salahnya." � (Surah al-Anfal, ayat 27)

Memelihara dan menjaga amanah tidak akan terhenti selagi kita bernafas. Antara sekian banyak amanah yang mungkin kita pikul atas dunia ini, amanah dikira cukup berat tanggungjawabnya ialah memelihara, sekali gus mendidik anak.

Anak adalah amanah Allah kepada kita semasa hidup. Oleh demikian, peliharalah dan didiklah anak dengan sebaik mungkin supaya menjadi insan beriman dan bertakwa apabila dewasa. Jangan sekali-kali abaikan tanggungjawab diamanahkan Allah. Kegagalan menunaikan tanggungjawab diamanahkan akan ditanya Allah di akhirat kelak.

Monday, April 6, 2009

Ziarah orang sakit dikira kunjungan wajib, ganjaran berlipat ganda

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

MANUSIA sentiasa diuji, ada diberi kesenangan, ada dicabar keimanan dengan hidup miskin harta. Ada pula diberi kuasa sebagai ketua atau pemimpin, tidak kurang dianugerahkan kecantikan serta kepandaian.

Nikmat yang Allah beri tidak kekal pada kita kerana pada bila-bila masa ia boleh ditarik balik. Yang kaya mungkin jatuh miskin dan yang berkuasa, hilang kuasanya sementara si cantik akan pudar kecantikan apabila usia meningkat.

Semuanya boleh berlaku atas kehendak Allah kerana Allah Maha Berkuasa. Allah ingin menguji sejauh mana kita tabah dan sabar berdepan cabaran diberikan-Nya. Allah ingin melihat sejauh mana kuatnya iman kita kepada Allah.

Sakit juga adalah ujian Allah kerana itu ada kalanya, kawan yang dilihat sihat tubuh badannya tiba-tiba dikhabarkan menghidap penyakit. Nasib kita juga tidak tentu kerana esok lusa, mungkin kita juga diuji dengan penyakit.

Orang yang ditimpa sakit sudah tentu diuji Allah. Kita yang sihat ini juga sebenarnya sedang diuji. Allah menguji orang sihat sejauh mana hatinya tersentuh dan bersimpati kepada orang menderita sakit.

Menziarahi orang sakit sama ada di hospital atau rumah termasuk antara kunjungan diwajibkan.

Diriwayatkan Imam Ahmad: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa mengunjungi orang sakit, tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan memintakan ampun kepadanya hingga petang. Baginya pahala satu tahun di syurga. Dan jika ia mengunjunginya pada malam hari, maka tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan semua memintakan ampun untuknya hingga pagi. Dan baginya pahala satu tahun di syurga."

Daripada Anas bin Malik pula mengungkapkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa berwuduk dengan sempurna lalu berkunjung kepada saudaranya yang sakit semata-mata mengharap reda Allah, ia akan dijauhkan daripada api neraka sejauh perjalanan 60 kharif (satu kharif bersamaan dengan satu tahun)."

Sementara Abu Hurairah menyatakan Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa berkunjung kepada saudaranya yang sakit, maka seseorang menyeru dari langit: Beruntunglah engkau, beruntunglah perjalananmu dan sungguh engkau sudah membangun rumah di syurga."

Melawat orang sedang terlantar sakit di rumah atau di hospital bukan saja mengeratkan silaturahim sesama manusia, pada masa sama boleh meringankan beban perasaan pesakit. Pesakit berasakan dirinya tidak dilupakan saudara mara, kawan dan jiran terdekat.

Lawatan atau kunjungan itu boleh menguatkan semangat orang yang sakit untuk terus tabah, sabar dan reda dengan apa yang dialaminya. Kunjungan itu akan memberi kekuatan pada diri pesakit untuk melawan sakit ditanggungnya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Hak seorang Muslim terhadap Muslim yang lain itu ada lima iaitu menjawab salam, menjenguk orang sakit, mengiring jenazah, memenuhi undangan dan menjawab doa orang bersin." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW menyifatkan seorang Muslim yang pergi melawat atau menjenguk Muslim lain yang sedang sakit seakan-akan ia sentiasa berada dalam kebun syurga.

Kita sebenarnya tidak membuang masa melawat atau menjenguk orang sakit kerana pahala yang kita peroleh cukup besar. Selain mendapat pahala dan reda Allah, mereka yang menjenguk orang sakit mendapat rahmat sejak ia keluar rumahnya dengan niat menjenguk sampai ia kembali. Mereka juga membangun rumah di syurga.

Saturday, March 21, 2009

Bijak kawal hawa nafsu tentukan martabat insan

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir


TINDAKAN mengikut hawa nafsu sering menjerumuskan manusia ke kancah persengketaan. - Gambar hiasan


Muslim cemerlang guna akal, iman sebagai panduan jalani kehidupan penuh ujian

MANUSIA adalah sebaik-baik kejadian yang diciptakan Allah di muka bumi berbanding makhluk lain. Kelebihan dan kemuliaan manusia disebabkan mereka diberi akal fikiran.

Dengannya manusia dapat berfikir untuk membezakan perkara baik dan buruk, sekali gus tahu mana perintah Allah yang perlu ditaati dan dilarang-Nya yang mesti dijauhi.

Allah juga membekalkan nafsu kepada manusia. Dengan nafsu martabat dan kedudukan manusia boleh menjadi lebih tinggi dan mulia atau menjadikan insan lebih hina serta rendah daripada haiwan. Baik atau buruk hidup manusia bergantung kepada tahap kesucian batin dan nafsunya.

Mengikut ulama, kemuliaan seseorang hamba bergantung sejauh mana taraf makrifatnya kepada Allah. Jika seseorang berjaya mencapai tahap makrifat sebenar, ia menjadi sebaik-baik makhluk. Berjaya atau tidak manusia itu menjadi makhluk terbaik bergantung kepada sejauh mana ia mengawal nafsunya.

Nafsu mempunyai dua pengertian iaitu meliputi segala tabiat manusia seperti benci, dendam dan berahi. Pengertian kedua berkait dengan kejadian latifah rabbaniyah, iaitu sesuatu yang batin, tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana membabitkan hal kerohanian.

Allah jadikan manusia daripada dua unsur iaitu jasmani dan rohani. Dalam tubuh manusia ada dua tenaga iaitu yang membina dan tenaga merosak. Tenaga membina tunduk di bawah pengendalian akal sihat dan waras, sementara tenaga perosak tunduk di bawah pengaruh nafsu.

Seperti tercatat dalam kitab Sirras Salikin, sesetengah ulama daripada ahli suluk mengelaskan nafsu manusia kepada tujuh jenis iaitu amarah, lawwamah, mulhamah, mutmainnah, radhiah, mardhiah dan kamaliah.

Namun, hanya empat jenis nafsu popular di kalangan umat Islam iaitu amarah, lawwamah, mulhamah dan mutmainnah.

Nafsu amarah tingkat nafsu paling rendah yang menyeru manusia melakukan kejahatan kerana dibayangi perlakuan syaitan dan iblis yang sesat lagi menyesatkan.

Nafsu lawwamah lebih tinggi tingkatnya berbanding amarah, tetapi masih tidak jauh bezanya daripada nafsu amarah dilihat dari sudut pelakuan orang dipengaruhinya. Lawwamah ialah nafsu yang suka mengajak dan menyuruh orang melakukan kejahatan.

Mulhamah ialah nafsu yang menerima beberapa proses kesucian daripada sifat hati yang tercemar. Proses itu menyebabkan segala kekotoran atau hasutan syaitan dapat dibuang dan diganti dengan amalan mengingati Allah.

Nafsu mutmainnah pula merujuk golongan mukmin yang salih dan dihidupkan rohnya, pada waktu sama mempamerkan akhlak mulia dan peribadi yang tinggi serta mata hatinya hidup untuk melihat sesuatu yang ghaib serta mengenal dengan perasaannya.

Sesungguhnya nafsu berperanan sebagai perangsang atau pendorong manusia mengejar cita-cita dan impian demi tuntutan hidup.

Ada yang berjaya mencapai impian mengikut landasan dibenarkan Allah, malah ada juga yang tergelincir daripada landasan dibenarkan Allah kerana dihasut nafsu syaitan.

Pengaruh kebendaan antara penyebab ramai manusia terjerumus dalam kemusnahan. Semua ini berpunca daripada kelemahan diri terlalu mengikut nafsu yang dibayangi syaitan.

Imam al-Ghazali pernah mengumpamakan nafsu sebagai binatang liar kerana sukar dikawal. Jika nafsu dikawal dan dididik, ia menjadi jinak dan tunduk mengikut segala kehendak dan kemahuan kita.

Nafsu lebih banyak mempengaruhi manusia untuk melakukan keburukan daripada mengajak melakukan kebaikan. Hanya orang yang teguh dan kuat imannya mampu menewaskan hasutan dan pengaruh nafsu.

Melakukan pembaziran antara contoh pekerjaan yang dihasut dan dipengaruhi syaitan. Justeru, selalu disebut membazir itu kawan syaitan.

Pembaziran tidak berlaku di kalangan orang yang tinggi keimanannya kepada Allah kerana ia menjadi penghalang atau benteng menahan diri daripada godaan hawa nafsu dibayangi syaitan. Dengan kata lain, iman yang teguh boleh menyelamatkan Muslim daripada terjerumus ke dalam perangkap hawa nafsu.

Selama hidup, kita sentiasa berdepan dengan nafsu yang banyak membawa kepada kemusnahan jika tidak dikawal bersungguh-sungguh. Nafsu hanya kalah dengan orang mantap imannya dan ikhlas beribadah kepada Allah.

Harus diingat Allah jadikan manusia supaya beribadah kepada-Nya. Hal ini dijelaskan dalam al-Quran surah Adz-Dzaariyaat ayat 56, Allah SWT berfirman bermaksudnya: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku."

Manusia, Muslim yang cemerlang dalam hidup adalah mereka yang mampu dan berjaya mengalahkan hawa nafsu dengan iman yang kuat dan mantap.

Saturday, November 29, 2008

Doa 'senjata' Muslim bantu elak musibah, mohon keinginan

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

KEHIDUPAN di dunia penuh dengan pelbagai dugaan, ujian dan cabaran. Suka duka dan pahit getir menjadi asam garam kehidupan manusia sepanjang hayatnya. Dustalah jika ada yang berani berkata hidupnya sentiasa bahagia tanpa sebarang masalah.

Sebagai khalifah di bumi ini, manusia sentiasa diuji Allah SWT untuk melihat sejauh mana keimanan kita kepada-Nya. Apakah kita ini seorang yang bersikap sabar dan kental hatinya atau mudah goyah imannya apabila diuji dengan pelbagai dugaan.

Ujian Allah SWT kepada hamba-Nya meliputi semua peringkat usia dan golongan, tidak kira tua muda, miskin kaya mahu pun pemimpin terkenal atau rakyat biasa. Semuanya tidak terkecuali daripada mendapat ujian Allah SWT.

Dalam apa keadaan sekali pun, sama ada diuji atau tidak, kita patut memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT yang tidak pernah putus memberi rahmat serta nikmat.

Justeru, hendaklah selalu berdoa kepada Allah SWT supaya kita terus diberi rahmat, nikmat serta pertolongan Allah SWT terutama apabila berhadapan dengan ujian hidup. Ibnul Qayyim berkata, doa adalah saranan paling kuat untuk mencegah musibah dan mencapai apa diinginkan.

Berdoa adalah suara pengharapan, pergantungan dan pertolongan seorang hamba kepada Pencitpanya. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hanya kepada Engkau yang kami abadikan diri, dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan." (Surah al-Fatihah, ayat 5)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) berdoa kepada yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu akan jadilah engkau dari orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)." (Surah Yunus, ayat 106)

Doa adalah satu bentuk ibadah kepada Allah SWT. Menurut al-Asqari, doa adalah permohonan kepada Allah SWT supaya Dia mendatangkan sesuatu yang bermanfaat dan menjauhkan daripada segala bentuk kemudaratan.

Dr Wahbah Juhaily dalam Tafsir al-Wajiz mengatakan, doa secara istilah adalah meminta kemanfaatan dan menolak kemudaratan. Dan pada dasarnya, doa termasuk dalam ibadah.

Kebiasaannya kita hanya berdoa apabila ditimpa kesusahan atau menghadapi masalah. Memang pun di saat itu kita amat perlukan pertolongan daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang sombong, yakni merasa mereka boleh menyelesaikan sendiri masalah tanpa mengharapkan pertolongan Allah SWT.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, supaya mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Memang pun Allah SWT cukup menyukai hamba-Nya yang berdoa apabila ditimpa kesusahan atau mendapat musibah, akan tetapi ada di kalangan hamba Allah SWT yang lupa diri setelah terlepas daripada kesusahan atau musibah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Apabila manusia ditimpa kesempitan, dia berdoa kepada Tuhan-Nya, dalam keadaan bersungguh-sungguh untuk kembali kepada-Nya. Kemudian apabila dia dianugerahi dengan nikmat daripada-Nya, dia lupa doa yang dipohon kepada Tuhannya sebelum itu dan dia menjadikan untuk Allah gandingan untuk menyesatkan (manusia) daripada jalan-Nya." (Surah al-Zumar, ayat 8)

Membicarakan soal doa, dalam catatan sejarah Islam ada kisah daripada Anas, diriwayatkan bahawa suatu ketika Rasulullah SAW menziarahi seorang lelaki Muslim yang keadaan tubuhnya sangat lemah.

Rasulullah SAW bertanya: "Pernahkah engkau memohon sesuatu dalam doamu? Lelaki Muslim itu menjawab: Ya. Saya sering berdoa: Ya Allah, apa pun hukuman yang hendak Engkau timpakan kepadaku di akhirat, maka segerakanlah menimpakan kepadaku di dunia."

Rasulullah SAW berkata, "Subhanallah! Engkau takkan kuasa menanggungnya. Alangkah baiknya jika engkau berdoa: Ya Allah, berikanlah kebaikan kepada kami di dunia dan kebaikan pula di akhirat, serta jauhkan kami dari seksa neraka." Kemudian Baginda SAW mendoakan lelaki itu sehingga Allah SWT memberikan kesembuhan kepadanya.

Kisah itu jelas menunjukkan keberkatan doa yang dipohon. Adalah dianjurkan berdoa untuk memohon kebaikan bukan keburukan sama ada untuk diri sendiri atau orang lain.

Satu hakikat yang perlu kita fahami ialah apabila hari ini kita berdoa memohon disembuhkan penyakit misalnya, tidak semestinya esok atau lusa Allah makbulkan permintaan itu. Ada yang memakan masa panjang. Apa pun kita perlu bersabar kerana doa orang mukmin dimakbulkan Allah.

Lambat atau cepat Allah makbulkan doa kita itu adalah dalam ketentuan-Nya. Kita hendaklah bersangka baik kepada ketentuan Allah. Janganlah kita berhenti daripada berdoa walau pun hidup tidak berada dalam kesusahan atau dibelit masalah.

Semasa senang jangan lupa berdoa kepada Allah serta mensyukuri nikmat-Nya. Jika senang, berdoalah supaya Allah murahkan lagi rezeki yang halal dan berkat di masa depan sementara yang bahagia memohon dipanjangkan kebahagiaan itu. Mereka yang sihat berdoalah supaya sentiasa diberikan kesihatan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Doa itu bermanfaat terhadap kejadian yang sudah berlaku atau kejadian yang belum berlaku. Oleh itu, wahai hamba Allah, hendaklah kamu berdoa." (Diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Majah dan lain-lain)

Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah melainkan berdoa." (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi)

Monday, September 29, 2008

Semangat Ramadan kawal bara kemarahan

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

IBADAT puasa bukan saja perlu dilaksanakan dengan hati ikhlas kerana Allah, bahkan kita juga dituntut menjaga tingkah-laku atau akhlak sepanjang Ramadan. Kata Luqman al-Hakim: "Agama dan akhlak adalah sendi ketakwaan."

Salah satu akhlak yang harus dijauhi sepanjang Ramadan ini ialah marah. Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menyatakan selain hawa nafsu, marah adalah kesempatan emas bagi syaitan untuk menyesatkan manusia.

Menurut Imam al-Ghazali pula, marah berpunca daripada secebis api neraka yang menyala. Kepanasan itu naik ke sudut hati lalu bersembunyi menjadi bara yang diliputi abu. Bara itu menetap di hati seperti api dalam sekam. Apabila terjadi sesuatu tidak menyenangkan, maka meletuslah bara itu lalu menjadi api yang bernyala.

Syaitan akan mengambil kesempatan apabila ada anak cucu Adam yang mula hendak marah dengan menghasut mereka menerusi urat pendawaian yang boleh dihubungi oleh hasutan syaitan. Akhirnya tercetuslah kemarahan apabila api dalam hati marak menyala bagai gunung berapi.

Dalam banyak keadaan marah boleh mendatangkan perkara buruk. Apabila seseorang itu marah, ia dibantu oleh syaitan. Syaitan adalah musuh utama manusia yang berjanji kepada Allah untuk menggoda dan memesongkan anak cucu Adam.

Hal ini jelas dinyatakan melalui firman Allah yang bermaksud: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus.” (Surah al-Araf, ayat 16)

Mujahid menceritakan syaitan berkata: “Aku tidak dapat dilemahkan oleh anak Adam pada tiga perkara. Salah satu perkara itu ialah apabila orang itu marah, dia akan berkata apa yang tidak diketahuinya dan melakukan sesuatu perkara yang dikesalnya.”

Walaupun perasaan marah itu banyak dihasut oleh syaitan, ada waktunya perasaan itu boleh diredakan dengan kita mengalihkan pemikiran kita kepada Allah yang sentiasa melihat kita dan apa yang kita lakukan.

Ingatlah, Allah tidak menyukai hamba-Nya berakhlak buruk, apatah lagi kesan dari akhlak buruk itu boleh mendatangkan perkara tidak baik. Kaedah cukup baik untuk menurunkan api kemarahan yang bergelora dalam diri ialah dengan mengambil wuduk untuk menyejukkan kemarahan yang membara dalam dada.

Sesungguhnya apabila kita menjauhkan diri daripada mengamalkan sikap marah atau orang yang suka marah, kita sebenarnya menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah.

Hal itu dinyatakan Rasulullah SAW kepada seorang lelaki bertanya Baginda: “Wahai Rasulullah! Apakah sesuatu yang lebih berat? Dijawab Rasulullah SAW: Kemurkaan Allah! Lelaki itu bertanya lagi: Apakah sesuatu yang dapat menjauhkan aku daripada kemurkaan Allah? Rasulullah SAW menjawab: Jangan marah.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu `Amr)

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang, Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Selain dapat menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah, hikmah dan beruntungnya orang yang tidak marah ini ialah dapat masuk syurga seperti diceritakan Abu Darba bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Saya bertanya, Wahai Rasulullah! Tunjukkanlah saya amalan yang boleh membawa saya masuk ke dalam syurga! Lalu Baginda menjawab: Jangan marah.” (Hadis riwayat Ibnu Abid-Dunya dan At-Tabrani)

Daripada Imam Hasan, dinyatakan bahawa ada empat orang dilindungi Allah dari syaitan dan diharamkan masuk neraka. Menurut Imam Hasan, orang yang mengekang dirinya dari kecintaan, kebencian, nafsu syahwat dan marah.

Mengelak rasa marah bukan saja pada Ramadan tetapi sepanjang waktu perlu mengawal emosi supaya tidak lekas marah. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang cepat marah dan suka marah.

Perlu diingat, marah itu bara api syaitan yang menjunam ke dalam hati manusia dan syaitan itu adalah musuh manusia nombor satu. Jauhkan diri kita daripada sifat marah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menahan kemarahannya dan dapat melaksanakannya, nescaya Allah akan memanggilnya di hadapan manusia ramai dan menyuruhnya memilih di antara bidadari yang dikehendakinya.” (Hadis riwayat Ibnu Abid-Dunya, Ahmad, Abu Daud dan at-Tarmizi)

Friday, September 26, 2008

Zakat fitrah amalan bersih diri, santapan fakir

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir


ZAKAT fitrah diwajibkan kepada semua umat Islam yang memenuhi syarat.


Rukun Islam keempat wajib ditunai sebelum solat Aidilfitri, didik ummah tak terlalu sayang harta

SEBELUM Ramadan yang mulia dan penuh ganjaran pahala ini meninggalkan kita, satu tanggungjawab yang patut dilaksanakan ialah membayar zakat fitrah. Setiap umat Islam wajib membayarnya mulai sekarang dan waktu afdal ialah selepas sembahyang Subuh akhir Ramadan.

Selewat-lewatnya sebelum menunaikan sunat Aidilfitri di masjid. Membayar zakat fitrah itu dianggap makruh dan haram sesiapa membayarnya selepas terbenam matahari pada Aidilfitri.

Daripada Umar katanya: "Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada Ramadan kepada semua orang Islam, lelaki, perempuan, orang yang merdeka atau hamba, satu sha' kurma atau gandum." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tujuan membayar zakat fitrah adalah menyucikan diri yang berpuasa daripada kata dan perbuatan keji. Kehidupan ini sentiasa terdedah dengan perbuatan atau perkara yang boleh mendatangkan dosa, apatah lagi jika kita berniaga.

Kita mungkin tidak sedar sumber kewangan dalam perniagaan diperoleh daripada jalan tidak bersih dan haram seperti terjual barang haram, tersalah kira, menjual barang kurang bermutu atau luput tarikh. Pendapatan daripada sumber itu dianggap tidak bersih dan haram.

Apabila mengeluarkan zakat, bererti kita mengeluarkan harta daripada sumber pendapatan yang tidak bersih itu. Yang tinggal adalah harta yang bersih dan halal seperti firman Allah bermaksud: "Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka." (Surah at-Taubah, ayat 103)

Islam menggariskan lapan perkara bagi orang yang layak atau boleh menerima zakat fitrah iaitu fakir, miskin, mualaf, riqab (budak yang akan memerdekakan diri), orang yang banyak hutang, berjuang di jalan Allah, ibnu sabil dan amil. Sementara orang yang tidak layak dan tidak boleh menerima zakat ialah lima kelompok iaitu kafir, orang yang ada pekerjaan dan harta, dalam tanggungan orang lain, hamba dan keturunan Hashim serta Abdul Mutalib.

Sama ada zakat fitrah atau harta, harus diingat mengeluar atau membayar zakat adalah perintah Allah. Ia antara lima Rukun Islam dan diwajibkan pada tahun kedua hijrah. Firman Allah yang bermaksud: "Dirikanlah sembahyang dan bayarkan zakat hartamu." (Surah an-Nisa', ayat 77)

Dalam sebuah buku dicatat bahawa Ikramah, berkata harta yang daripadanya tidak ditunaikan hak Allah akan menjadi ular yang tidak berambut di kepala pada Hari Kiamat dan mengejar pemiliknya. Dia (pemilik harta itu) akan meminta perlindungan daripadanya.

Diceritakan juga Hajar Ibnu Baian menukilkan sabda Baginda SAW bahawa jika seorang daripada saudara-mara meminta pertolongan daripada harta yang lebih daripada keperluannya dan dia tidak sanggup menolong, maka pada hari hisab harta itu menjadi ular dan membelit jasadnya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan orang yang menyimpan emas dan perak tidak menafkahkan di jalan Allah, maka beritahulah kepada mereka (bahawa mereka akan) mendapat seksa yang pedih." (Surah at-Taubah, ayat 34)

Harta yang dikeluarkan zakat darinya mendapat lebih keberkatan dan si pemilik harta berkenaan mendapat pahala dan hidupnya diberkati Allah. Tentu saja mereka yang ingkar membayar zakat menerima hukuman Allah seperti dinyatakan dalam firman di atas.

Mengeluarkan zakat tanda kita bersyukur kepada Allah atas nikmat-Nya. Sesungguhnya nikmat Allah yang dikecapi kini dan lalu tidak ternilai harganya dan tidak terbalas. Justeru, tidak ada sebab mengapa kita berat hati mengeluarkan zakat yang diwajibkan.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, nafkahkanlah sebahagian daripada rezeki yang sudah Kami berikan kepada kamu." (Surah al-Baqarah: 254)

Daripada Ibnu Abbas katanya: "Rasulullah SAW menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan sia-sia dan perkataan buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum solat hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain." (Hadis riwayat Abu Daud)

Wednesday, September 3, 2008

Mencari kedudukan mulia di sisi Tuhan

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

Mukmin perlu menjauhkan diri daripada perbuatan tak disukai Allah

SIAPAKAH orang yang dibenci Allah? Perompak, pencuri, perogol, penipu atau penindas? Mungkin di kalangan kita nampak baik serta memiliki jawatan bagus, tetapi tidak jujur melaksanakan tanggungjawab.

Dalam apa keadaan pun, tentu sekali kita tidak ingin tergolong dalam senarai orang dibenci Allah. Kita ingin berada dalam kelompok orang dicintai dan dikasihi Allah.

Pastinya untuk termasuk dalam golongan dicintai dan dikasihi Allah, kita perlu menghindari perbuatan membuatkan kita dibenci selain mengelak berada dalam golongan tidak dikasihi Allah.

Jelasnya, golongan pertama yang tidak disukai Allah ialah orang kafir yang tidak beriman kepada Allah. Mereka adalah orang yang ingkar, menolak kebenaran, menyembah kepada selain-Nya, menyekutukan-Nya, mengingkari Rasulullah SAW, al-Quran yang diturunkan kepada Baginda serta sunnah Baginda.

Orang yang sombong lagi membanggakan diri juga tidak disukai Allah. Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman, ayat 19)

Selain orang yang sombong, Allah juga tidak menyukai orang zalim yang melampaui batas, orang yang berlebih-lebihan, munafik (lelaki dan wanita), fasik, takbur dan khianat.

Golongan lain dibenci Allah ialah orang Khawarij, Yahudi, yang tidak berdoa kepada-Nya, membunuh seorang mukmin, lari daripada medan perang, menuduh zina dengan berdusta, suka berkata keji dan membuat keji, orang kaya zalim, murtad, orang melampau batas dalam membelanjakan dan orang yang meminta dengan cara memaksa.

Allah juga membenci perkara seperti menderhaka kepada orang tua, memutuskan hubungan kekeluargaan, ucapan buruk dan rendah akhlak.

Sementara tempat dibenci Allah ialah pasar. Pasar adalah tempat yang boleh berlaku seribu kemungkinan dalam satu masa seperti penipuan, riba, dusta, sumpah palsu, menjual barang haram dan mungkar, jual beli tidak jujur, saingan tidak sihat, memalingkan dari zikir kepada Allah, melalaikan solat, percampuran kaum lelaki dan kaum wanita, perkataan keji serta fitnah.

Apabila sudah diketahui sifat orang yang dibenci Allah, maka mudahlah bagi kita menghindarkan sifat itu daripada menjadi amalan hidup sehari-hari. Cita-cita seorang mukmin ialah untuk meraih kedudukan, darjat yang mulia dan merangkul cinta-Nya kerana ia adalah kunci segala kebajikan serta kebahagiaan dunia dan akhirat.

Jangan sampai Allah membenci kita dalam hidup ini. Jika itu terjadi rugilah hidup kita di dunia dan akhirat. Disebutkan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah apabila membenci seorang hamba, maka Dia memanggil (malaikat) Jibril lalu berfirman: Sesungguhnya Aku membenci si fulan, maka bencilah ia. Malaikat Jibril pun membencinya, lalu ia memanggil penduduk langit seraya berseru: Sesungguhnya Allah membenci si fulan, maka bencilah ia; dan mereka pun membencinya. kemudian penduduk bumi pun juga membencinya.” (Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Saturday, August 30, 2008

Puasa tarbiah jiwa taat, ikhlas lakukan ibadat

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

Ramadan bulan istimewa apabila setiap amalan dijanjikan ganjaran berlipat ganda

KEDATANGAN Ramadan memang ditunggu umat Islam dengan perasaan gembira. Namun, ada juga sebilangan kecil umat Islam yang berasa tidak selesa, gelisah dan ceria dengan kedatangan Ramadan kerana terpaksa menjalani ibadat puasa.

Bagi golongan kedua ini mereka berasakan satu beban berat kepada mereka dengan kehadiran Ramadan. Apa pun, suka atau tidak, Ramadan daripada perkiraan Islam cukup istimewa dan penuh dengan limpahan ganjaran pahala daripada Allah.

Kira-kira dua hari lagi Ramadan akan menjelma dan umat Islam diwajibkan berpuasa. Adalah berdosa bagi sesiapa yang sudah akil baligh, sama ada lelaki atau perempuan, jika tidak menunaikan ibadat puasa.

Andainya ada yang tidak berpuasa pada bulan itu sedangkan ia sudah akil baligh, maka ia hendaklah qada' (menggantikan) puasa yang ditinggalkannya pada Ramadan sebelum ini.

Ibadat puasa Ramadan dan puasa sunat pada bulan lain bertujuan melatih diri supaya menjadi orang yang murqarrabin (orang yang dekat dengan Allah). Puasa juga boleh menginsafkan diri bahawa kita ini adalah hamba Allah yang lemah di sisi-Nya.

Bagi orang berpuasa pada Ramadan dengan hati tulus ikhlas dan mengharapkan keampunan Allah, akan diampuni Allah dosanya yang lalu.

Berpuasa itu juga adalah sebagai tanda kita syukur dan terima kasih kepada Allah yang tidak putus memberi rezeki-Nya serta nikmat (kesihatan, keselamatan, ketenangan dan banyak lagi) yang tidak terhingga kepada kita selama ini.

Sesungguhnya Ramadan mempunyai kelebihan dan keistimewaannya jika dibandingkan dengan bulan lain dalam kalendar Islam.

Firman Allah yang bermaksud: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk perbezaan di antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan maka hendaklah ia berpuasa." - (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Siapa berpuasa bulan Ramadan dengan penuh keimanan, mengharap balasan daripada Allah, diampunkan baginya dosa yang telah lalu." - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain berpuasa melatih diri supaya bersifat sabar ketika berdepan dengan ujian, berpuasa juga menurut beberapa penyelidik ahli ilmu perubatan boleh menghindarkan penyakit dalam tubuh manusia. Demikian antara hikmah bagi orang yang berpuasa.

Menyentuh ibadat puasa ini, menurut Imam Al-Ghazali ada tiga tingkat puasa iaitu puasa umum, puasa istimewa dan puasa paling istimewa.

Puasa umum, ujar Imam al-Ghazali, ialah menghindarkan perut daripada makan, minum dan menahan anggota seks daripada memuaskan nafsu. Puasa istimewa pula ialah puasa yang dapat menghindar dan mengawasi pancaindera iaitu mata, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada melakukan sebarang dosa.

Puasa paling istimewa, menurut Imam al-Ghazali, iaitu puasa yang ditambah lagi dengan puasa hati daripada semua keinginan yang rendah dan fikiran keduniaan. Inilah puasa yang paling tinggi darjatnya dan puasa semacam inilah yang dikehendaki Allah.

Beruntung orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa dalam erti kata sebenar-benarnya seperti puasa paling istimewa yang disebut Iman al-Ghazali.

Walau apa pun, ada dua kesenangan bagi orang yang mengerjakan puasa seperti diterangkan hadis Rasulullah SAW, iaitu kesenangan di kala berbuka dan kesenangan di kala bertemu dengan Allah di padang Mahsyar.

Oleh kerana Ramadan adalah bulan mulia, maka umat Islam diingatkan supaya sentiasa menjaga kemuliaannya dengan tidak melakukan perbuatan atau pun tingkah-laku yang boleh mencemarkan kemuliaan bulan itu.

Mencemarkan kemuliaan Ramadan bukan saja dengan melakukan makan minum di tempat terdedah kepada mata orang ramai di waktu siang, bahkan tidak bersolat, bercakap bohong serta mengumpat dan mengata orang juga boleh dikira mencemarkan bulan Ramadan. Sewajarnya sifat negatif itu tidak dilakukan dalam bulan Ramadan dan bulan lain juga.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah mengeluarkan perkataan yang kotor dan jangan bertengkar. Jika kamu dicaci orang atau pun diajak berlawan, maka katakanlah sesungguhnya aku berpuasa." - (Hadis riwayat Bukhari dan Musim)

Puasa Ramadan adalah perintah Allah. Orang yang berjaya menyempurnakan perintah Allah ini dan sekali gus berjaya melawan ujian serta godaan hawa nafsu dihadapkan kepadanya, maka sesungguhnya mereka adalah orang yang beroleh kemenangan besar.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling takwa." - (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Pada Ramadan, selain turunnya al-Quran, ada satu malam di antara malamnya yang Allah pilih sebagai satu malam tinggi nilainya iaitu malam lailatul qadar. Malam inilah yang dicari dan dirindui setiap umat Islam kerana ganjarannya adalah syurga bagi mereka yang berjaya memperoleh malam itu sewaktu mengerjakan amal ibadat.

Friday, August 22, 2008

Keindahan syurga dorongan perkasakan iman, ketakwaan

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

Bermohon kepada Allah supaya memimpin hati kita supaya cintakan kebaikan, banci kejahatan

SETIAP orang Islam akan merindui kehidupan bahagia dengan nikmat tidak putus, baik ketika hidup di dunia mahupun akhirat. Semua impikan kebahagiaan dan kesenangan. Justeru, siang malam ada antara kita bekerja gigih mencari harta untuk menikmati kebahagiaan hidup di dunia.

Pada masa sama, ada juga antara kita siang dan malam mencari kebahagiaan untuk hidup senang di akhirat dengan mengerjakan amal ibadat.

Kebahagiaan hidup di dunia dapat dirasai ketika di dunia, tetapi kebahagiaan akhirat hanya Allah saja yang tahu. Termampu kita lakukan di dunia ini ialah berusaha mendapatkan kebahagiaan itu dengan cara melakukan dan mengerjakan amalan diperintahkan dan menjauhi larangan Allah.

Amalan dilakukan itu hendaklah dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah. Kita hanyalah hamba-Nya yang serba lemah dan daif. Kita merindui syurga di akhirat. Itulah sebenar-benarnya kebahagiaan bagi kita umat Islam.

Kebahagiaan hidup di akhirat jauh lebih nikmat dan lazat daripada kebahagiaan hidup di dunia. Kebahagiaan hidup di dunia hanyalah sementara, kebahagiaan yang kekal buat selama-lamanya apabila berada dalam syurga. Sesungguhnya kehidupan di syurga tidak terucap dengan kata-kata betapa bahagia dan nikmatnya.

Dr Muhammad Ibrohim An-Nu'aim dalam bukunya Memesan Kerusi Tertinggi di Syurga mencatatkan: "Syurga adalah kenikmatan sempurna yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata sedangkan apa yang dikhabarkan Allah dan Rasul-Nya kepada kita mengenai syurga dan sifatnya membuat akal fikiran kita tercengang kerana tidak dapat membayangkan keelokan, keagungan dan kemuliaannya.

Dalamnya ada pelbagai kenikmatan yang belum pernah terlihat mata, belum pernah terdengar telinga dan belum pernah terdetik dalam benak manusia. Barang siapa yang memasukinya, nescaya ia akan merasakan kenikmatannya dan tidak akan sengsara, mengenakan pakaiannya yang tidak akan pernah usang serta mengalami masa remaja yang tidak akan pudar serta tempat tinggalnya tidak akan membosankan."

Mengingati sifat syurga yang Allah gambarkan melalui firman-Nya dalam al-Quran boleh menebalkan lagi kerinduan kita untuk mendapatkannya dan sekali gus merangsang untuk bersungguh melakukan amalan salih, bersikap zuhud terhadap kenikmatan dunia.

Amalan yang dapat menghantar seseorang itu menikmati syurga Allah adalah keimanan yang benar dan keyakinan kuat kepada Allah dan janji-Nya serta melaksanakan segala perintah-Nya tanpa ada keraguan sedikit pun seperti terlihat pada Khalifah Abu Bakar dan Umar.

Abu Said Al-Khudri meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya penghuni darjat yang tinggi itu, orang yang berada di bawah mereka akan melihat mereka seperti kalian melihat bintang yang terbit di ufuk langit. Sesungguhnya Abu Bakar dan Umar termasuk daripada kalangan mereka serta keduanya diberi nikmat lebih."

Amalan kedua yang dapat mengangkat darjat di syurga adalah takwa kepada Allah. Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, maka ia sudah memperbaiki hubungan antara dirinya dengan Rabb-Nya. Untuk mereka Allah akan menganugerahkan istana yang tinggi kepadanya.

Hal sama dikhabarkan oleh Rasulullah SAW bahawa di antara orang beriman ada yang memiliki istana di pinggiran syurga, di tengah syurga dan di atas syurga. Merekalah orang berjihad di jalan Allah dan memiliki akhlak yang baik.

Takut, tawakal, sabar, sembahyang, mengumandangkan azan atau menjawab azan, puasa Ramadan dan sembahyang tarawih, berdakwah di jalan Allah, membaca al-Quran, cinta kepada Allah dengan menjauhi kemungkaran dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Syurga itu mempunyai tingkatannya. Semakin tinggi tingkatannya, maka semakin luas dan banyak pula kenikmatannya. Tidak salah hari ini kita merindui syurga, akan tetapi merindui saja tidak memberi apa-apa makna jika tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.

Merindui syurga adalah cita-cita tertinggi seorang mukmin sejati. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila kamu meminta kepada Allah, maka mintalah syurga Firdaus sebab ia adalah pertengahan syurga dan tempat yang paling tinggi di syurga." – (Hadis riwayat Bukhari, Termidzi dan Ahmad)

Bagi meraih syurga yang dicitakan itu, seharusnyalah mulai saat ini kita bersungguh-sungguh beramal dan tunduk kepada Rabbul Alamin. Perteguhkan iman dari semasa ke semasa dan waktu yang sama tingkatkan lagi darjah ketakwaan kepada Allah.

Mohonlah pertolongan kepada Allah semoga Allah memimpin hati kita setiap masa suka melakukan kebaikan dan jijik melakukan kejahatan serta kemungkaran.

Monday, August 11, 2008

Akhlak Rasulullah elok jadi teladan

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

MANUSIA mempunyai kekurangan dan kelemahan yang mendedahkan mereka kepada kemungkinan baik serta yang buruk. Fitrah manusia pelbagai ragam menjadikan kehidupan sentiasa berdepan ujian yang datang dari diri sendiri atau pihak lain.

Maka, timbul pelbagai peristiwa yang boleh menyentuh perasaan atau mengguris hati terutama ketika berbual, bekerja serta bermasyarakat. Tanpa disengajakan mungkin ada saudara kita yang melakukan perbuatan mengguris hati.

Apabila menyedari kesilapan itu, saudara tadi memohon maaf dengan ikhlas. Apakah sikap kita dan wajarkah menyimpan dendam kepada saudara tadi? Islam mengajar umatnya supaya sentiasa bersifat pemaaf.

Drs M Ali Hasan dalam bukunya Tuntutan Akhlak berkata: "Orang yang mempunyai sifat pemaaf banyak kawannya dan tidak ada musuh baginya. Semua orang dapat dijadikan kawan."

Merujuk kisah diceritakan H Luqman Hakim dalam bukunya berjudul Rangkaian Cerita-Cerita Teladan, "Pada suatu hari Nabi Muhammad SAW bersama sahabatnya sedang duduk berehat setelah selesai peperangan.

Sedang Nabi berbaring tiba-tiba datang seorang Musyrik sambil menghunuskan pedangnya kepada Baginda, lelaki pun berkata: Wahai Muhammad, katakan siapakah yang dapat menolong kau dari aku sekarang?

Tanpa berasa gentar dengan cepat dan spontan dijawab Nabi Muhammad SAW. "Allah!"

Demi mendengarkan jawapan Nabi, pedang lelaki itu tiba-tiba jatuh lalu cepat direbut oleh Rasulullah dan Baginda pula menghalakan pedang itu ke arah lelaki itu dan bertanya: "Sekarang katakan kepada saya siapa pula yang akan menolong engkau?

Dengan penuh ketakutan kerana risau akan dibunuh lantas ia pun berkata: "Tentulah engkau saja yang dapat menolongku."

Kemudian Nabi Muhammad SAW melepaskan orang itu supaya kembali kepada kaumnya. Tatkala sampai di kalangan kaumnya, ia pun mengkhabarkan: "Wahai kaumku, aku datang dari seorang lelaki yang baik di antara sekalian manusia."

Lelaki itu kemudian memeluk agama Islam selepas mengenangkan sifat kemaafan Baginda yang luar biasa itu.

Sewajarnya kita mencontohi sifat pemaaf Baginda SAW supaya tiada lagi perasaan dendam di dalam hati. Mudah-mudahan sifat memaafkan itu mampu menyedarkan pihak lain untuk tidak melakukan perbuatan yang menyakiti hati saudaranya.

Friday, August 8, 2008

Jiwa beriman mensyukuri nikmat kehidupan

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

Ibadah bukan sekadar sembahyang lima waktu, puasa pada Ramadan

KITA selalu lupa bertanya kepada diri siapa kita sebenarnya yang hidup di dunia ini. Kesibukan bekerja sepanjang siang mencari rezeki untuk diri atau keluarga membuatkan kita tidak ada masa berfikir sejenak mengenai kewujudan diri.

Akibatnya, kebanyakan kita kurang mengingati Allah kecuali apabila berada dalam kesakitan, ditimpa masalah dan menerima musibah barulah menyebut dan mengingati Allah.

Maksud tidak mengingati Allah bukan bermakna tidak sembahyang atau puasa kerana sembahyang lima waktu sehari dan berpuasa pada Ramadan adalah kewajipan bagi umat Islam. Itu perkara wajib dilakukan. Buat dapat pahala, meninggalkannya berdosa.

Di samping melakukan hal wajib, adakah pada waktu sama kita mengingati Allah dalam erti kata mengucap syukur pada-Nya atas segala nikmat diberikan-Nya kepada kita? Adakah tiap-tiap hari kita mengucapkan syukur untuk nikmat dicurahkan sejak lahir hingga saat ini?

Selalukah kita mengucapkan syukur dengan rasa insaf, rendah diri dan khusyuk sama ada selepas mengerjakan solat atau pada bila masa saja difikirkan sesuai.

Mengucap syukur kepada Allah adalah tanda kita mengucapkan terima kasih kepada Allah yang maha pemurah dan penyayang dengan limpahan kurnia serta nikmat yang tidak terhingga.

Elokkah pekerti jika ada orang memberi barang atau rezeki tetapi kita tidak mengucapkan terima kasih. Tentu kita akan dianggap tidak pandai mengenang budi atau sombong. Demikian ibarat diri kita jika tidak mengucap syukur kepada Allah.

Tidak dinafikan nikmat yang Allah berikan kepada kita sungguh banyak. Allah akan tambahkan nikmat itu andainya kita selalu mengucap syukur kepada-Nya atas nikmat diberikan-Nya selama ini.

Allah berfirman bermaksud: "Dan (ingatlah juga), tatkala Rabb-mu memaklumkan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu....." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Firman Allah lagi bermaksud: "Dan Allah akan memberi balasan kepada orang bersyukur." (Surah ali-Imran, ayat 144)

Menurut al-Quran, syukur disebut dalam dua bentuk, iaitu daripada Rabb kepada hamba-Nya dan daripada hamba kepada Rabbnya.

Abdullah Shalih Al-Fauzan berkata, syukur Rabb kepada hamba adalah dengan cara diberikan-Nya balasan baik atas amal hamba, walau pun sedikit sesuai kadar keikhlasannya. Tidak ada satu amalan pun disia-siakan di sisi-Nya, ertinya Dia mensyukuri kebaikan mereka.

Allah membalas amalan mereka dengan pahala. Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya ini adalah balasan untukmu dan usahamu adalah disyukuri (diberi balasan)." (Surah al-Insan, ayat 22)

Sementara syukur hamba kepada Rabbnya, Abdullah mencatatkan ia disebut dengan beragam bentuk dalam al-Quran. Secara keseluruhan, ia menunjukkan bentuk syukur, kedudukannya dan kedudukan pelakunya di sisi Allah.

Sehebat manapun kita di dunia, ada kuasa, pangkat, harta, rupa, namun kita masih tidak mampu menghitung nikmat diberikan Allah.

Sebanyak manapun harta kita ada, tidak terhitung untuk menilai nikmat Allah berikan. Justeru, seharusnya kita mengucap syukur kepada Allah dengan tidak putus-putus.

Kita mungkin tidak sedar, rumah diduduki sekarang adalah nikmat tempat tinggal yang Allah berikan untuk berteduh daripada panas matahari dan dingin hujan. Kita boleh beristirahat dengan tenang bersama keluarga dan tidur lena pada waktu malam.

Banyak lagi nikmat Allah kita terima dan kecapi setiap hari seperti nikmat air, udara, angin, api, pakaian, jalan, kesihatan, keamanan, keselamatan, malam dan siang.

Firman Allah bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah an-Nahl, ayat 18)

Sebagai orang yang menerima nikmat, sewajarnya kita tidak lupa kepada pemberi nikmat, iaitu Allah. Seharusnya perkataan syukur itu sentiasa bermain di bibir setiap hari. Apabila kita sentiasa mengingati Allah, maka Allah juga akan sentiasa mengingati kita.

Jangan ada antara kita lupa mengingati Allah dengan lupa mengucap syukur atas nikmat diberikan-Nya.

Nabi Muhammad SAW pernah berwasiat kepada Mu'adz bin Jabal supaya membaca doa agung ini. Baginda bersabda kepadanya sambil memegang tangan Mu'adz: "Demi Allah wahai Mu'adz, aku benar-benar mencintaimu, maka janganlah engkau lupa mengucapkan selepas selesai solat: Ya Allah, tolonglah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadah dengan baik kepada-Mu." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Saturday, August 2, 2008

Bersedekah kerana glamor hanya sia-sia

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

Niat tulus tentukan ganjaran pahala walaupun pemberian sekecil biji kurma

MENURUT Syaikh Ahmad Farid dalam bukunya Tazkiyatun Nufus, menurut Umar bin Khattab, amal paling utama adalah melaksanakan kewajipan daripada Allah, bersikap warak terhadap yang diharamkan-Nya dan meluruskan niat untuk mendapatkan pahala di sisi Allah.

Sehubungan itu, untuk mendapat pahala dalam hidup ini cukup mudah. Senyum pada orang dapat pahala. Beri salam dan jawab salam pun dapat pahala. Pendek kata, setiap pekerjaan dilakukan untuk kebaikan orang lain dengan niat ikhlas akan diberi ganjaran pahala oleh Allah.

Membuang batu di tengah jalan untuk memudahkan orang lalu dengan selesa dikira membuat kebaikan untuk orang lain. Bersedekah membantu si miskin atau jiran ditimpa musibah juga akan diberi pahala. Allah sayang hamba-Nya yang suka membelanjakan hartanya ke jalan Allah.

Abu Hurairah meriwayatkan daripada Rasulullah SAW bahawa barang siapa bersedekah walaupun hanya sekecil biji buah kurma, tetapi dengan syarat harta disedekahkan itu benar-benar suci, maka Allah mula memelihara sedekah itu seperti mana kita memelihara anak sehinggalah sedekah dapat dihimpunkan dan menjadi sebesar gunung.

Bersedekah adalah amalan mulia. Banyak kelebihan bagi mereka yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah dengan syarat mereka lakukan itu semata-mata ingin mendapatkan cinta dan keredaan Allah.

Ertinya bersedekah bukanlah untuk mendapatkan nama dan glamor. Andainya bersedekah dengan tujuan untuk menonjolkan nama dan mencari glamour saja, maka kebajikannya (bersedekah) itu akan hancur dan dianggap ia melakukan dosa.

Allah berfirman bermaksud: "Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah menjatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan. Dan berbuat baiklah (hendaklah kamu melaksanakan perbelanjaan itu dengan cara yang baik) kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik." (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Firman Allah lagi bermaksud: "Wahai orang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadamu sebelum datangnya hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi persahabatan akrab dan tidak ada lagi syafaat (melainkan dengan izin Allah)." (Surah al-Baqarah, ayat 254)

Kebiasaannya orang yang bersedekah adalah daripada kalangan yang berada dan mempunyai sumber kewangan mengizinkan. Bagaimanapun, itu tidak bermakna mereka yang tidak mempunyai kewangan cukup tidak boleh bersedekah.

Islam adalah agama indah dan sempurna. Bersedekah bukan saja dengan wang kerana banyak untuk mendapatkan pahala sedekah. Salah satu ialah dengan niat kerana niat boleh membuatkan amalan kecil menjadi besar, dan banyak juga amalan besar menjadi kecil kerana niat.

Bersedekah dengan niat ini, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya dunia ini bagi empat golongan. Pertama, hamba yang dikurnia Allah harta dan ilmu. Dengan harta dan ilmunya itu ia bertakwa kepada Tuhannya dan menyambung silaturahim. Ia mengetahui bahawa Allah memiliki hak atas harta dan ilmunya itu. Inilah kedudukan paling utama. Kedua, hamba dikurnia Allah ilmu dan tidak dikurniakan harta, akan tetapi ia memiliki niat yang tulus. Ia berkata: Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal seperti diperbuat si fulan (orang pertama). Dengan niatnya itu maka pahala kedua hamba ini sama. Ketiga, hamba dikurnia Allah harta, tapi tidak dikurnia ilmu. Ia hamburkan hartanya tanpa ilmu dan tidak mahu bertakwa kepada Tuhannya serta tidak menyambung silaturahim.

Demikian pula, ia tidak mengetahui bahawa Allah memiliki hak atas hartanya itu. Maka ia memiliki kedudukan paling rendah. Keempat, seorang hamba yang tidak dikurnia Allah harta atau pun ilmu. Lalu ia berkata: Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan menghamburkannya seperti diperbuat si fulan (orang yang ketiga). Dengan itu, maka keduanya memiliki dosa yang sama." (Hadis riwayat al-Tirmidzi dan disahihkan Syaikh al-Albani dalam Tahqiq Misykatul Mashabih)

Jelaslah kepada kita betapa niat memainkan peranan penting. Dengan niat yang baik, kita memperoleh kedudukan setara dengan orang yang mempunyai harta, mengetahui harta itu hak Allah dan membelanjakannya pula ke jalan Allah serta menyambung silaturahim.

Maknanya, apabila seseorang itu mempunyai niat yang tulus untuk menggunakan atau membelanjakan hartanya ke jalan Allah andai kata Allah memberinya harta, maka niat itu dapat menghantar dirinya untuk mendapatkan pahala sama dengan orang kaya yang bersedekah.

Oleh demikian, kita seharusnya sentiasa memasang niat dalam hati untuk bersedekah walau pun kenyataannya tidak memungkinkan kita bersedekah seperti dilakukan mereka yang berharta. Tanamkan niat dulu dan apabila dikurniakan rezeki nanti, penuhi niat itu. Jangan hanya memasang niat, tetapi tidak ada hasrat memenuhinya.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah menetapkan kebaikan dan keburukan serta menjelaskannya dalam kitab-Nya. Barang siapa sudah berniat berbuat kebaikan, namun tidak jadi mengerjakannya, maka akan dituliskan untuknya satu kebajikan yang sempurna. Jika kemudian dia benar-benar mengerjakannya, maka Allah akan menuliskan untuknya 10 hingga 700 kebaikan, bahkan boleh lebih banyak lagi. Barang siapa yang sudah berniat untuk berbuat keburukan, namun tidak jadi mengerjakannya, maka akan dituliskan untuknya satu kebaikan yang sempurna. Jika kemudian dia benar-benar mengerjakannya, maka Allah akan menuliskan satu keburukan untuknya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)