Showing posts with label (A) Amran Zakaria. Show all posts
Showing posts with label (A) Amran Zakaria. Show all posts

Saturday, February 27, 2010

Sentiasa bersyukur digandakan nikmat

Oleh Amran Zakaria

Umat Islam perlu menghargai, beri balasan ikut kemampuan bagi setiap sumbangan diterima

BERSYUKUR dan berterima kasih adalah manifestasi perasaan diluahkan manusia sebagai kemuncak menghargai sesuatu diterima. Disebut juga sebagai tasyukur yang membawa maksud berterima kasih yakni berterima kasih kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan.

Kedua-duanya adalah sifat yang bergerak dari dalam perasaan secara semula jadi. Biasanya anjakan perasaan itu mengiringi rasa nikmat diperoleh seseorang berkaitan dengan kepuasan hati dan perasaan diterjemahkan dengan ungkapan puji-pujian tanda penghargaan.

Ingatlah, Allah mengurniakan nikmat kepada seluruh makhluk-Nya semata-mata untuk disyukuri, bukan untuk dikhianati. Sesungguhnya Allah pemberi nikmat sebenar yang menjanjikan tambahan nikmat kepada mereka yang bersyukur dan azab seksa amat pedih bagi mereka yang kufur.

Allah berfirman bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya. Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Surah Ibrahim, ayat 7).

Luahan rasa syukur seseorang itu sebenarnya dapat dirungkai melalui tiga dimensi, iaitu mengetahui akan nikmat, menerima nikmat dan memuji akan pemberi nikmat. Pertama, mengetahui nikmat bererti seseorang itu tahu akan kehadiran nikmat itu dalam dirinya bersaksikan fikiran yang memperakui.

Kedua, menerima dan merasai akan nikmat itu dengan perasaan yang terlalu sukacita bila mana hati dan perasaannya dalam suasana mekar. Ketiga, memuji kepada pemberi nikmat melalui rangsangan hati yang diluahkan sebagai tanda kesyukuran melalui ungkapan puji-pujian.

Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepada-Nya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmat yang diterima dengan penuh kesyukuran dan puji-pujian. Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah wajib dan amat dituntut.

Adapun bersyukur kepada Allah menjadi pengakuan insan mengesahkan semua nikmat yang dikecapi adalah pemberian Allah kepada makhluknya atas sifat Allah yang Maha Kaya, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Penyantun. Lawan perkataan syukur nikmat adalah kufur nikmat iaitu mengingkari secara nyata atau tersembunyi segala kenikmatan diterima bukannya pemberian Allah.

Oleh itu, ternyata kufur nikmat berpotensi ke arah merosak dan mencederakan keimanan seseorang. Berterima kasih kepada sesama manusia lebih cenderung menunjukkan perasaan senang untuk menghargai atas pertolongan dan sumbangan yang diberikan, sama ada melalui pemikiran, tenaga dan wang ringgit yang dijelmakan dalam pelbagai nama.

Lafaz kesyukuran dan ungkapan terima kasih sebenarnya tidak perlu dipaksa kepada penutur untuk menuturkannya. Ia bersifat semula jadi dengan jiwa dan fitrah murni manusia.

Selama mana fitrah ini tidak dirosakkan anasir riak, bongkak, angkuh dan sombong pastinya lafaz berterima kasih akan menguntum kepada setiap manusia kepada insan lain yang menabur jasa dan budi kepadanya.

Dalam menjalani kehidupan harian, Allah menjadikan manusia untuk sentiasa saling berhubung, bekerjasama, bantu membantu dan berjasa sesama mereka. Justeru, sifat berterima kasih kepada orang yang berjasa perlu ada kepada diri seorang insan sebagai memenuhi tuntutan syarak.

Daripada sifat berterima kasih ini akan menjalar subur kepada perasaan kasih sayang dan kemesraan sesama masyarakat. Namun apabila perasaan ini hilang atau tiada langsung kepada diri manusia akibat rasa kebencian yang membuak, pastinya mengundang pelbagai tohmahan dan cacian memanjang hingga berakhir dengan perpecahan.

Kurniaan dan nikmat Allah tidak terbatas banyaknya termasuklah nikmat Islam, kehidupan, kesihatan, kecerdasan, pancaindera, keharmonian dan keamanan, segar dan nyaman, ilmu, akal, iman, pangkat, jawatan, kawan, tidur dan lain-lain yang tidak terhitung banyaknya.

Mereka yang tidak menghayati semua nikmat yang mereka terima, nescaya orang seperti ini termasuk dalam golongan yang ingkar. Mereka dengan sombong dan angkuhnya mengingkari nikmat dikurniakan Allah yang memberi petanda kerugian kepadanya.

Kurnia itulah yang disampaikan Allah sebagai berita gembira kepada hamba-Nya yang beriman dan mengerjakan kebaikan. Firman Allah yang bermaksud: "Aku tidak meminta upah kepadamu atas seruanku ini, kecuali hanya kasih sayang dalam kekeluargaan. Siapa yang mengerjakan kebaikan, kami lipat gandakan kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Penilai." (Ash-Syura : 23)

Rasulullah SAW menjadikan sikap berterima kasih sesama manusia ini sebagai tanda seorang itu bersyukur kepada Allah.

Soalnya sekarang bagaimana cara dan kaedahnya untuk menyalurkan perasaan terima kasih kita kepada manusia. Dalam hal ini Rasulullah menunjuk ajar cara terbaik untuk diikuti seperti mana sabda Baginda yang bermaksud: "Barang siapa yang melakukan kebaikan kepadamu, maka balaslah dia, jika kamu tidak dapati apa-apa untuk membalas, maka berdoalah untuknya hingga kamu dapati bahawa kamu membalasnya." (Riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)

Sebenarnya, membalas jasa orang yang pernah membantu kita adalah tanda sikap terima kasih, demikian juga mendoakan dengan ikhlas kebaikan untuknya. Di samping itu turut disaran supaya kita menyatakan penghargaan atas sumbangan diberikan.

Kita juga dengan penuh ikhlas dan sedaya upaya perlu mengiktiraf bantuan yang diterima walaupun cuma sedikit, apatah lagi bantuan yang diberi itu terlalu besar maknanya kepada kita dan keluarga.

Thursday, January 21, 2010

Hargai nikmat kedamaian, keamanan sebelum datang bencana

Oleh Amran Zakaria

BAGI negara yang dilanda peperangan, nescaya mereka sentiasa mendoakan keamanan berterusan. Peperangan dan pertelingkahan berpanjangan membunuh nikmat kebahagiaan dengan kejamnya.

Keamanan adalah nilai yang amat berharga untuk sebuah negara merdeka. Percayalah setiap penduduk dalam negara yang menghadapi persengketaan dan peperangan, akan sentiasa mengimpikan keamanan yang entah bila boleh dikembalikan.

Kejayaan Rasulullah SAW membina negara Madinah yang berdaulat adalah hasil kesepaduan masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan. Ia membuktikan Islam mementingkan perpaduan dan keamanan. Inilah keindahan Islam yang sepatutnya diamalkan sebagai model terbaik untuk dicontohi penganut bukan Islam.

Rasulullah SAW amat mementingkan keharmonian dan kedamaian. Daripada Abdullah bin Aufa menyebut bahawa: "Rasulullah SAW pada suatu hari menanti musuh sehingga matahari condong. Kemudian Baginda berdiri di hadapan orang ramai lalu bersabda: "Wahai saudara-saudara. Janganlah mengharap-harapkan menemui musuh, mintalah kesejahteraan kepada Allah. Tetapi jika kamu bertemu dengan musuh, sabarlah (berhati teguh). Ketahuilah, sesungguhnya syurga itu terletak di bawah bayangan pedang."

Kemudian Baginda berkata: "Wahai Tuhan yang menurunkan kitab, yang menjalankan awan dan mencerai-beraikan pasukan musuh. Cerai-beraikanlah mereka dan bantulah kami melawan mereka." (Riwayat Bukhari)

Islam amat mementingkan prinsip kesederhanaan dan keadilan dalam kehidupan beragama. Sekiranya setiap penganut agama mengambil pendekatan sederhana dan bersikap adil terhadap penganut agama lain, insya-Allah, saya percaya perpaduan dan keamanan dapat dikekalkan di negara kita.

Memelihara keamanan adalah suatu yang dituntut dalam kehidupan tanpa mengira agama, bangsa, atau keturunan. Nabi Ibrahim pada awal baginda memijak kakinya di kota Makkah, beliau berdoa kepada Allah: "Ya Rabb-ku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki berupa buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian." (Surah Al-Baqarah : 126).

Betapa nikmat keamanan itu amat penting dalam kehidupan turut sama dirasai oleh Nabi Ibrahim bila Baginda memulakan doanya dengan memohon keamanan untuk kota Makkah. Baginda Nabi Ibrahim tahu keamanan adalah lambang kebahagiaan masyarakat, bangsa dan negara dan dengan keamanan akan tercapai segala kemashlahatan dan kebaikan yang diimpikan oleh manusia.

Allah SWT memperkenankan doa Nabi Ibrahim bila Makkah dijadikan kota yang aman seperti Firman Allah yang bermaksud: "Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Kami menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman." (Surah Al-'Ankab? : 67).

Nilai keamanan dan kemakmuran yang dibawa Islam adalah sesuai dengan setiap masa dan zaman. Sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama pembawa kesejahteraan. Untuk itu sekali lagi ditegaskan ia tidak boleh dilihat sebagai agama yang mencetuskan keganasan atau menyeru ke arah pertumpahan darah, sedangkan masih ada ruang untuk menyebar serta menegakkan ajaran dan syiar Islam di bumi ini.

Rasulullah ketika menyelesaikan masalah masyarakat Islam pada zamannya sentiasa menjuruskan kepada keamanan dan kesejahteraan. Demikian juga yang Baginda lakukan ketika berdepan musuh Baginda. Tindakan Baginda Rasulullah dalam berdakwah umpamanya, Baginda tidak mendahulukan menghukum daripada mendidik. Rasulullah juga mementingkan aspek kemanusiaan dan tidak mendahului nafsu dan amarah dalam tindakan Baginda.

Sewajarnya umat Islam menanamkan sikap bertolak-ansur, hormat menghormati serta toleransi yang tinggi sesama manusia dan sekeliling mereka. Orang yang beriman dan bertakwa pastinya akan mengamalkan sikap toleransi, bekerjasama dan tolong menolong sesama insan tanpa mengira batasan agama, bangsa dan sebagainya.

Di samping membantu memastikan keseimbangan dan keharmonian hubungannya dengan dunia persekitarannya, mereka bergaul sesama manusia dan alam sekitar dengan sebaik-baik pergaulan tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan bahasa.

Seharusnya penduduk saling hormat dan tidak mementingkan diri sendiri melainkan melihat keharmonian dan kesejahteraan masyarakat sebagai sesuatu yang lebih utama. Perpaduan yang dibina dengan ikatan tali ukhwah ini mesti ada kesinambungan sepanjang masa. Hargailah nikmat keamanan sebelum datang bencana kehancuran.

Monday, December 28, 2009

Ummatan wahidah asas kekuatan sosial

Oleh Amran Zakaria

Sahifah Madinah yang dicetuskan Rasulullah pelopor cara hidup muafakat dalam masyarakat

SERING kali Sahifah Madinah menjadi rujukan utama dalam membina asas kekuatan ummah yang akhirnya menjelmakan kesatuan masyarakat yang disebut sebagai ummatan wahidah. Wahidah ertinya ialah satu kesatuan utuh, tidak berpecah-belah dan bercerai yang menjadi asas kepada keutuhan negara bangsa.

Sahifah Madinah menjadi panduan hidup bermasyarakat dalam masyarakat majmuk. Dalam Sahifah Madinah menganjurkan hubungan dan persahabatan yang dijalin tanpa mengenal agama atau asal keturunan.

Dianjur dalam rumpun kehidupan untuk sentiasa tolong menolong dan bantu membantu demi kebaikan dalam konteks membina masyarakat bernegara yang kukuh seumpama membina suatu bangunan yang terhasil dari batu-bata.

Masyarakat Madinah melalui Sahifah Madinah membentuk satu identiti bangsa tersendiri iaitu masyarakat majmuk yang bertanggungjawab untuk mempertahankan negara bangsa yang merdeka itu. Ia diasaskan daripada penyatuan puak dan bangsa.

Dalam Islam, soal warna kulit, keturunan, rupa bangsa dan kedudukan adalah sama di sisi Allah melainkan mereka yang bertaqwa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kalian adalah satu dan bapa kalian pun satu. Tidak ada keutamaan orang Arab atas orang a'jam (bukan Arab) dan tidak ada keutamaan orang a'jam atas orang Arab, tidak ada keutamaan orang berkulit hitam atas yang merah dan tidak ada keutamaan orang berkulit merah atas yang hitam, kecuali dengan taqwa" (Riwayat Ahmad).

Berkaitan dengan pembinaan masyarakat wahidah di Madinah, Rasulullah melakukan dua kali ikatan penyatuan membabitkan kumpulan berbeza. Pertama, menyatukan kalangan muhajirin dan ansar membentuk ikhwanul muslimin.

Kedua, menyatukan golongan Yahudi dan penduduk Madinah secara keseluruhan bagi membentuk ummatan wahidah. Jelas Rasulullah SAW mempertimbangkan secara betul dan tepat akan latar belakang, budaya dan agama yang berbeza sebelum pelaksanaan ikatan penyatuan dilakukan.

Sebelum terbentuknya ummah wahidah di Madinah, masyarakat Madinah hidup di dalam keadaan berpecah-belah. Hal ini disebabkan Madinah terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama. Secara keseluruhannya, penduduk Madinah terdiri daripada dua bangsa utama iaitu Arab dan Yahudi.

Orang Arab pula terdiri daripada dua puak iaitu Aus dan Khazraj. Kedua-dua puak ini sering bermusnahan antara satu sama lain terutama kerana perebutan kuasa. Orang Yahudi pula terdiri daripada beberapa puak dan yang paling terkenal ialah Bani Nadhir, Quraizah dan Qainuqak. Hubungan di antara puak Yahudi dan Arab sentiasa di dalam keadaan tegang sehinggalah Nabi berhijrah ke Madinah.

Apa yang jelas, Rasulullah sangat mementingkan penyatuan antara umat yang kepelbagaian puak itu. Baginda cekap melakukannya demi mematahkan pertelingkahan konflik yang membayangkan kemungkinan berlaku. Atas kecekapan dan kehebatan Rasulullah membaca sifir keamanan, maka ciri kemajmukan yang menjadi jurang perbezaan itu bertukar menjadi rahmat keamanan.

Rasulullah mempersatukan seluruh masyarakat Madinah di dalam pemikiran dan perasaan. Rasulullah mempersatukan sahabat tanpa mengira bangsa atau kaum, muhajirin atau ansar, miskin atau kaya, warna kulit atau keturunan membentuk satu masyarakat bangsa.

Secara umumnya Sahifah Madinah adalah undang-undang bertulis pertama di dunia yang dirangka oleh Rasulullah SAW pada 622 Masehi yang menjadi asas pemerintahan bernegara, terdiri daripada masyarakat Islam dan bukan Islam. Ia menggariskan tanggungjawab ketua negara dan rakyatnya dan dirangka berasaskan persetujuan orang Islam dan bukan Islam.

Mengandungi 47 fasal dengan 23 fasa membincangkan hubungan orang Muslim dan tanggungjawab mereka manakala 24 fasa menggariskan tanggungjawab bukan Islam terhadap Madinah. Sahifah Madinah ini dapat dirumus kepada tujuh aspek penting merangkumi politik, ekonomi, sosial dan dari segi pentadbirannya, Nabi Muhamad dipersetujui untuk dilantik sebagai pemimpin Negara Madinah dan bertindak sebagai hakim bagi menyelesaikan sebarang masalah timbul.

Dari segi agama, penduduk Madinah bebas mengamalkan sebarang agama dan bebas mengamalkan adat selagi tidak bertentangan dengan Islam. Masyarakat yang dibentuk di Madinah adalah masyarakat dikenali sebagai ummatan wahidah atau masyarakat Madinah yang satu yang mempunyai tanggungjawab sama terhadap negara dan tidak sekali-kali boleh bermusuhan.

Dari segi perundangan undang-undang Islam diguna pakai, tetapi undang-undang kekeluargaan dalam kabilah boleh diamalkan selagi tidak bertentangan dengan Islam. Undang-undang Islam menekankan aspek membina keinsafan atas perbuatan dan bukannya menjatuhkan hukuman semata-mata.

Undang-undang menetapkan bahawa syarat untuk menjatuhi hukuman mestilah mengemukakan saksi yang dapat mengesahkan jenayah berkaitan. Aspek pertahanan, semua anggota masyarakat, tanpa mengira Muslim dan bukan Muslim, dikehendaki pertahankan negara mereka. Sementara kedudukan kaum Yahudi pula terjamin selagi mereka mematuhi perlembagaan Madinah. Sahifah Madinah menyebutkan nama mereka satu persatu dan mereka masing-masing mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap negara Islam Madinah.

Dari segi ekonomi, kerjasama dituntut bagi memajukan ekonomi negara dengan amalan tipu dan riba dihapuskan. Bermakna, adalah menjadi tanggungjawab kepada semua masyarakat majmuk untuk memakmurkan negara melalui penjanaan pembangunan ekonomi yang menyeluruh, membabitkan tanggungjawab bersama.

Aspek keadilan dan perpaduan adalah dua unsur terpenting dalam membina umat yang satu. Di dalam Al-Quran, wujud banyak suruhan supaya kita berlaku adil. Dalam konteks kepelbagaian bangsa ini, agama menganjurkan umatnya agar sentiasa hidup tolong menolong dalam melakukan kerja-kerja kebaikan dan sentiasa bertaqwa kepada Allah.

Kita dilarang melakukan perkara dosa dan permusuhan. Firman Allah yang bermaksud "Dan tolong menolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan" (Surah Al-Maidah, Ayat 2).

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islami (Damai)

Thursday, November 12, 2009

Beza pendapat tak wajar heret ummah bertelagah

Oleh Amran Zakaria

Konflik yang dihadapi perlu ditangani secara berhemah demi kepentingan maruah Islam

PERBEZAAN pandangan serta pendapat mengenai sesuatu isu bukan perkara baru yang membabitkan ilmuwan Islam. Bagaimanapun sikap berkeras untuk tidak menyelesaikan masalah sehingga menimbulkan konflik berterusan. Ia amat mengecewakan kerana turut mengheret penyokong masing-masing, yang berakhir dengan kata-mengata, rendah-merendah dan jatuh-menjatuhkan sesama Islam.

Kesannya, muncul pelbagai keadaan negatif dalam kehidupan bermasyarakat seperti fitnah, prasangka buruk, cabar-mencabar, hasad dengki, dendam dan mendedah keaiban orang lain. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda, "Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.' (Hadis At-Tirmizi)

Tambah malang lagi apabila isu membabitkan pertelingkahan sesama Islam dibesar-besarkan tanpa ikhtiar untuk meredakannya. Cabar mencabar sebagai medan menunjukkan kehebatan dan menguji pengaruh serta sokongan tidak dibolehkan dalam Islam. Hassan Al-Banna, pendakwah Islam yang terkemuka pernah memberi wasiat kepada umat Islam melalui pesannya, "Jangan memperbanyak perdebatan dalam pelbagai bidang pembicaraan kecuali dalam hal yang penting. Pertengkaran ini semata-mata tidak akan mendatangkan kebaikan"

Bagi mengelakkan berlaku sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan, kita perlu berwaspada sebelum berkata-kata, apatah lagi cabar-mencabar. Firman Allah yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan jangan pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan jangan sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain; dan jangan pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,) maka amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman, Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.' (Surah al-Hujurat :11)

Agama amat memberi perhatian dalam aspek pertuturan hinggakan perkataan yang keluar daripada lidah diperhalusi supaya tidak mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati dan menimbulkan rasa tidak puas hati kepada orang yang mendengarnya. Apatah lagi perkataan yang terkeluar itu berupa sangkaan dan tohmahan yang gagal dibuktikan akan kebenarannya.

Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Janganlah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan jangan kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.' (Surah al-Hujurat: 12)

Sementara itu Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ayyuhal Walad, menasihatkan mereka yang sering berdebat dan bertelingkah supaya "seboleh-bolehnya tinggalkan perdebatan kerana ia boleh membawa kepada riak, hasad, takbur, ujub dan sebagainya. Namun jika kamu terjerumus ke kancah perdebatan, maka hendaklah ikhlas niat di hati bagi menzahirkan kebenaran. Niat yang ikhlas ini boleh dikesan melalui dua tanda iaitu pertamanya, kamu tidak membezakan sama ada kebenaran itu nanti akan tersingkap melalui lidah kamu atau lidah lawan debatmu. Keduanya, kamu lebih menyukai jika debat itu diadakan dalam tempat yang tertutup tanpa dilihat oleh orang yang begitu ramai.

Dalam isu berdebat dan bertelingkah ini, didapati bahawa mereka yang suka berdebat bukan bertujuan menyampaikan kebenaran tetapi untuk membantah hujah pihak lawan seperti firman Allah yang bermaksud, "Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud membantah saja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar." (Surah Az-Zukhruf: 58)

Menjadi seorang Muslim yang baik bukan saja terletak pada keupayaan membaiki diri sendiri bahkan berupaya mengukuhkan ummah melalui anjuran perdamaian seandainya berlaku sebarang pertelingkahan. Apatah lagi kalau ia membabitkan tokoh ulama dan ilmuan agama. Barangkali ramai di kalangan kita yang membiarkan pertelingkahan yang berlaku sesama kita atas dasar seronok untuk melihat pertarungan hujah tetapi tidak berupaya melepasi garisan bahaya perpecahan yang sedia menunggu.

Justeru, menangani konflik yang berlaku di kalangan umat Islam juga perlu dilaksanakan sebagai memenuhi tanggungjawab terhadap agama. Namun begitu kita banyak diajar dan dididik oleh agama akan cara-cara menangani konflik kalau ia berlaku. Islam menggariskan kaedah yang tepat dalam menangani sebarang konflik peribadi atau kumpulan. Jawapannya dengan cara mendamaikan mereka secara adil demi maruah dan kepentingan agama mendahului pertembungan peribadi.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Dewan Amal Islami (Damai)

Friday, June 5, 2009

Memuliakan warga emas amalan terpuji

Oleh Amran Zakaria

Berusaha jaga hati ibu bapa di samping beri bantuan moral, kewangan

WARGA emas menjadi sebahagian aset penting negara dan kehadiran mereka wajar dimanfaatkan. Kelebihan yang ada pada mereka ialah mampu memberi sumbangan kepada agama dan negara, terutama membabitkan aspek pembangunan diri, keluarga dan masyarakat.

Pengalaman dan kepakaran dimiliki warga emas tidak ada nilainya walaupun kemungkinan dari segi teorinya, golongan muda boleh belajar di mana-mana pusat pengajian yang menyediakan kajian mengenai mereka.

Justeru, generasi muda jangan bersifat bongkak dan sombong apabila berdepan warga emas. Hormatilah mereka kalau kita minta dihormati apabila sampai masanya nanti. Hidup di dunia laksana roda yang berpusing. Yang muda tidak akan muda selama-lamanya.

Oleh itu, golongan muda jangan alpa ketika meniti kehidupan pada usia puncak yang menyeronokkan. Mahu atau tidak kita akan menempuhi hari tua yang amat mencabar dan cukup sensitif. Episod senja ini kalau drama kehidupan, adalah episod terakhir dalam kehidupan manusia yang begitu berharga untuk dilalui.

Daripada 26 juta rakyat Malaysia, tujuh peratus atau 1.75 juta adalah warga tua atau warga emas. Mereka yang berumur 60 tahun ke atas dikategorikan sebagai warga emas. Mengikut definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), warga emas adalah di kalangan mereka berusia 65 tahun ke atas.

Negara ini akan mengalami penuaan penduduk pada 2020 apabila peratusan penduduk warga emas berumur 65 tahun ke atas akan meningkat kepada tujuh peratus atau 2.1 juta daripada jumlah penduduk 33.4 juta.

Sementara jangka hayat penduduk tempatan juga terus meningkat dengan lelaki meningkat daripada purata 66.5 tahun pada 1980 kepada 70.8 tahun pada 2003. Jangka hayat wanita pula dari 71.0 tahun kepada 75.5 tahun dalam tempoh sama.

Pada 2020, jangka hayat lelaki diunjurkan 75.4 tahun dan wanita 80.4 tahun. Ini bererti jumlah penduduk wanita akan melebihi lelaki. Justeru, keperluan sosial serta ekonomi mereka perlu diambil kira dalam perancangan dasar yang lebih peka kepada kesan penuaan yang berbeza bagi warga emas lelaki dan wanita.

Warga emas dianggap aset penting negara dan hakikat ini tidak boleh ditolak, sebaliknya perlu dimanfaatkan. Walaupun sudah semakin berusia, sumbangan bagi pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara menerusi pengalaman, kepakaran serta kemampuan boleh terus dihulurkan.

Golongan berkenaan memang kaya dengan pelbagai pengalaman yang diperoleh dan dipupuk melalui pendidikan awal, hidup berkeluarga, berkerjaya dan bersosial. Pada usia emas ini kita akan merasakan sesuatu perasaan yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

Secara lumrahnya pada ketika itu, kita akan berada dalam serba kekurangan berbanding masa muda sama ada dari segi kekuatan fizikal, daya ingatan dan juga emosi. Oleh itu, seeloknya bagi mereka yang dikurniakan umur panjang agar dapat memanfaatkan nikmat usianya dengan sebaik-baiknya untuk terus berusaha memperbaiki diri dengan berbuat ketaatan dan melakukan amal perbuatan yang diredai Allah.

Semakin bertambah umur manusia itu bererti semakin kurang jangka hayatnya dan semakin hampir pula kepada ajalnya. Dalam melalui hari-hari tua, kita perlu mengubah sikap ke arah kebaikan dan menghindari dari kelalaian.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dari Abdul Rahman bin Abi Bakraah daripada bapanya, sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam katanya: Wahai Rasulullah, manusia bagaimanakah yang baik sifatnya? Sabda Rasulullah, siapa yang panjang umurnya dan baik amalannya, pemuda itu bertanya lagi: Manusia bagaimanakah yang buruk sifatnya? Sabda Baginda: Siapa yang panjang umurnya dan buruk amalannya". (Hadis Riwayat At-Tirmizi).

Banyak amalan baik untuk diamalkan oleh mereka yang dikurniakan umur panjang. Antaranya ialah sentiasa mengingati mati kerana ia akan mendorong kita untuk sentiasa mengerjakan amal salih dan meninggalkan perkara sia-sia.

Di samping itu, warga tua juga digalakkan agar memperbanyakkan taubat dan istighfar kerana taubat dan istighfar itu adalah jalan ke arah mendekatkan diri kepada Allah yang mendorong manusia untuk membuat segala amal bakti dan kebajikan, seperti disebutkan dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Daripada Jabar bin Abdullah katanya Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami, sabdanya: “Wahai manusia! Bertaubatlah kamu kepada Allah sebelum kamu mati dan segeralah kamu mengerjakan amal salih sebelum kamu sibuk dan adakanlah perhubungan antara kamu dengan Tuhan kamu dengan memperbanyakkan zikir kepada-Nya". (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Sebenarnya, peringatan sebegini ada benarnya kerana diakui hati orang tua itu lebih kepada berangan-angan dan bernafsu untuk mengumpulkan seberapa banyak harta. Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Daripada Abi Hurairah RA menyatakan bahawa telah bersabda Rasulullah SAW “ Hati orang tua itu mudah untuk mencintai dua perkara iaitu panjang angan-angan (harapan) dan suka membanyakkan harta." (Hadis Riwayat At-Tirmizi).

Orang yang berangan-angan panjang itu akan merasakan diri mereka seolah-olah kekal hidup di dunia ini yang akan menyebabkan mereka lalai untuk mengingati Allah. Mereka yang dilanda penyakit ini akan lalai untuk menyediakan bekalan untuk menuju akhirat, sentiasa mengikut hawa nafsu dan sering lupa kepada mati sehingga bertangguh-tangguh dalam mengerjakan amal salih.

Mereka yang panjang angan-angan ini selalunya lebih mengutamakan kepentingan dunia daripada kepentingan akhirat.

Sesungguhnya warga tua mempunyai hak untuk mendapat kasih sayang dan penghormatan. Dalam hal ini Rasulullah SAW memerintahkan umatnya untuk menghormati orang tua dan menganjurkan untuk menjaga hak mereka.

Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis Baginda yang bermaksud Dari Anas bin Malik katanya telah bersabda Rasulullah SAW: “Tiada seorang pemuda yang menghormati dan memuliakan seseorang yang tua usianya melainkan Allah akan menentukan baginya orang lain yang akan menghormati kelak apabila dia pula mencapai usia tua." (Hadis Riwayat At-Tirmizi).

Sememangnya perhatian terhadap warga emas adalah satu kewajipan yang tidak boleh diabaikan, yang akan menjadikan kita sebagai orang yang mengenang budi, yang akan menjadikan harapan sepanjang zaman. Tanpa mereka, hidup kita mungkin menjadi sia-sia kerana restu dan reda mereka akan menjadi sebahagian keberkatan dan kerahmatan Allah terhadap kita.

Dengan apa daya sekalipun kita hendaklah berusaha untuk menjaga hati mereka di samping memberi bantuan moral dan kewangan. Hendaknya kita melakukan yang terbaik untuk mereka ketika mereka melalui sisa-sisa hidup yang sedikit berbaki itu.

Menjadi amalan yang ditarbiyah oleh agama untuk kita berterusan menghormati dan menjaga kebajikan mereka. Biarlah kasih sayang yang dicurahkan kepada warga tua dirasai mereka dengan sempurna. Jangan sesekali mengabaikan dan mensia-siakan mereka.

Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)

Thursday, April 30, 2009

Melakukan kerja halal seperti jaga maruah agama

Oleh Amran Zakaria

Pekerja curi masa ketika di pejabat, buat kerja peribadi akan diperhitung di akhirat


MENJALANKAN kerja yang halal bermakna membawa rezeki diberkati untuk menanggung kehidupan sendiri mahupun keluarga. Jauhilah daripada kerja haram dan subahat kerana kelak pintu keberkatan rezeki akan tertutup.

Daripada Anas bin Malik meriwayatkan, seorang lelaki daripada kaum Ansar datang menemui Rasulullah SAW dan meminta sesuatu kepada Baginda. Tiba-tiba Rasulullah SAW bertanya lelaki itu: "Adakah sesuatu di rumahmu? Jawabnya: Ada, ya Rasulullah. Saya mempunyai sehelai kain tebal, yang sebahagian kami gunakan untuk selimut dan sebahagian kami jadikan alas tidur. Selain itu, saya juga mempunyai sebuah mangkuk besar yang kami guna untuk minum."

Rasulullah SAW meminta lelaki itu membawa barang berkenaan dan menyerahkannya kepada Baginda. Setelah barang diterima, Rasulullah SAW melelongnya kepada sahabat yang hadir pada saat itu, Baginda menawarkan pada siapa yang mahu membeli.

Salah seorang sahabat menawar kedua barang itu dengan harga satu dirham. Tetapi Rasulullah SAW menawarkan kepada mereka barangkali ada yang sanggup membeli lebih daripada satu dirham. Kemudian ada yang menawarkan dua dirham dan Rasulullah SAW menyerahkan kedua barang itu kepada si pembeli dan menerima wangnya.

Wang itu lalu Baginda SAW serahkan kepada lelaki Ansar berkenaan, seraya berkata: "Belikan satu dirham untuk keperluanmu dan satu dirham lagi belikan sebuah kapak dan engkau kembali lagi ke sini." Tidak lama kemudian lelaki itu kembali menemui Rasulullah SAW dengan membawa kapak.

Rasulullah SAW melengkapi kapak itu dengan membuatkan gagangnya terlebih dulu, lantas berkata, "Pergilah mencari kayu bakar, lalu hasilnya kamu jual di pasar dan jangan menemui aku sampai dua pekan." Lelaki itu taat melaksanakan apa yang disaran Rasulullah SAW.

Selepas dua pekan berlalu lelaki itu menemui Rasulullah SAW melaporkan hasil kerjanya. Dia memberitahu Rasulullah SAW bahawa selama masa itu dia berjaya memperoleh wang sebanyak sepuluh dirham. Sebahagian perolehan digunakan untuk membeli makanan dan pakaian.

Selepas mendengar kata-kata lelaki Ansar itu, Rasulullah SAW bersabda: "Pekerjaanmu ini lebih baik bagimu daripada kamu datang sebagai pengemis, yang akan membuat cacat di wajahmu kelak pada hari kiamat."

Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: "Demi Allah, jika seseorang di antara kamu membawa tali dan pergi ke bukit untuk mencari kayu bakar, kemudian dipikul ke pasar untuk dijual, dengan bekerja itu Allah mencukupi keperluanmu itu lebih baik daripada ia meminta-minta kepada orang lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Bekerja dalam Islam bukan sekadar memenuhi keperluan untuk belanja mengisi perut bahkan bertujuan memelihara harga diri dan martabat kemanusiaan yang seharusnya dipertahankan. Islam menghargai orang yang bekerja dengan tangannya sendiri.

Rasulullah SAW pernah ditanya: "Pekerjaan apakah yang paling baik? Beliau menjawab: Pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua jual beli yang dianggap baik." (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Seorang yang bekerja dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya akan bertambah martabat serta kemuliaannya. Sebaliknya, mereka yang berat tulang dan lebih selasa menganggur, memberi imej buruk dan negatif pada pandangan serta penglihatan orang lain.

Diceritakan pada suatu hari Saidina Umar Al-Khattab melihat Zaid bin Maslamah sedang menanam tanaman di tanahnya, maka berkatalah Saidina Umar kepada Zaid: "Benar sekali perbuatanmu itu. Engkau tidak menggantungkan hidupmu kepada orang lain adalah cara terbaik untuk memelihara agamamu dan amat mulia untuk menjaga martabat dirimu."

Saidina Umar juga pernah memberitahu: "Sesungguhnya aku memandang seorang pemuda, maka aku kagum kepadanya. Lantas aku bertanya kepadanya apakah pekerjaan yang dilakukannya. Lalu dijawab tidak, maka jatuh nilai pemuda itu pada pandanganku."

Memang benar kehidupan sebagai buruh sangat berbeza dengan kehidupan eksekutif. Secara umumnya buruh dilihat memerah keringat sementara eksekutif bertungkus-lumus memerah dan mengeluarkan idea.

Jika semuanya itu dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan amanah nescaya ia akan menghasilkan produk yang sangat bermanfaat dari segi masa, kos dan tenaga sementara ruang lingkup kehidupan pula akan lebih sejahtera.

Di samping itu, kita hendaklah mengetahui setiap tugas atau kerja yang diberi Allah SAW kepada seseorang itu adalah menurut kemampuan mereka seperti firman Allah yang bermaksud: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya." (Surah al-Baqarah , ayat 286)

Ayat itu menegaskan tidak ada sebab bagi seseorang pekerja itu mengeluh dan mengatakan bahawa tugasnya terlalu berat dan sukar. Seseorang pekerja itu boleh menyelesaikan segala tugas jawatannya, melainkan pekerja itu sendiri tidak mahu menunaikan tanggungjawabnya.

Bagi pekerja yang punya prestasi kerja tinggi, komited, menjaga akhlak, masa dan bermatlamat jelas untuk kepentingan keluarga, agama dan majikan, wajar dihargai serta disanjung tinggi. Islam memandang tinggi kepada golongan pekerja seperti ini.

Apalagi banyak antara mereka yang melakukan kerja dari subuh hingga larut malam bagi tujuan memenuhi keperluan keluarganya. Atas niat yang betul, mereka akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Pekerja mahu pun majikan wajib mentaati dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah. Seorang buruh wajib bekerja sesuai dengan akad yang disepakati bersama begitu juga majikan memastikan pekerja mendapat haknya.

Jangan sekali-kali kita lupakan bahawa bekerja mengikut kaedah Islam adalah berbeza mengikut pendekatan Barat. Dalam Islam, pekerjaan halal yang dipilih akan meletakkan status pelakunya pada tahap yang tinggi sehingga pahala diperoleh seperti pahala orang yang berjihad di jalan Allah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Barang siapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah." (Hadis riwayat Bukhari)

Kita hendaklah insaf dan sedar bahawa setiap kegiatan dan pekerjaan di dunia ini akan dihitung di akhirat nanti. Firman Allah yang bermaksud: "Tiap-tiap diri bertanggungjawab terhadap apa yang sudah diperbuatnya." (Surah al-Muddaththir, ayat 38)

Kita tidak boleh mengambil peluang mencuri masa dengan membuat kerja peribadi dalam waktu pejabat, melengah-lengahkan bayaran kepada pemborong, meluluskan permohonan yang sepatutnya ditolak kerana kita akan dihukum di akhirat kelak walaupun terlepas hukuman di dunia.

Sebaliknya, berbahagialah kita di dunia dan akhirat jika kita melaksanakan tugas menurut tuntutan Islam dan bergembiralah mana-mana pekerja yang mendapat keredaan Allah dengan ganjaran pahala.

Islam benci kepada mereka yang layak bekerja tetapi menjadi pengemis atau penganggur sementara yang mempunyai tanggungjawab perlu melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya dan amanah kerana Allah SWT.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)

Friday, April 24, 2009

Filem wajar jadi wadah, senjata sebar risalah Islam

Oleh Amran Zakaria

MEMPERKATAKAN kerja dakwah bermakna kita melakukan usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia mengenali Islam, menerima dan menghayatinya yang dilaksanakan menerusi kaedah, cara serta pendekatan tertentu.

Pendekatan dakwah yang diambil seboleh-bolehnya tidak terlalu stereotaip. Adalah dicadangkan supaya pendekatan dakwah bergerak mengikut peredaran masa dan kecanggihan teknologi yang semestinya dimanfaatkan secara berkesan.

Teknologi yang amat berkesan dan berpengaruh hari ini ialah multimedia seperti video, audio, gambar, grafik, animasi dan teks untuk menyampaikan maklumat. Multimedia kini menjadi instrumen sangat berpengaruh dan berkesan.

Sejarah merekodkan filem pertama diperoleh dari Barat dibawa masuk ke dunia Islam oleh ahli keluarga kerajaan Uthmaniyah dan pengimport tempatan ketika peralihan abad ke-20. Filem pertama ditayangkan di Istana Sultan di Istanbul.

Sementara pekerja filem Islam menghasilkan filem mereka sekitar 1930-an. Sehingga Perang Dunia Kedua, jumlah penghasilan filem mereka tetap kecil. Pada 1960-an, industri filem dunia Islam mulai muncul, sekalipun jumlah penghasilannya jauh lebih kecil berbanding dihasilkan Barat.

Cita rasa umat Islam terhadap filem amat rendah dibandingkan dengan Barat yang sememangnya mengguna dan memanfaatkan filem untuk dijadikan senjata memusnahkan sosiobudaya masyarakat Islam mulai peringkat awalnya pengeluaran filem mereka.

Filem tidak dinafikan banyak menyalurkan maklumat dan memberi hiburan kepada penonton. Peranan filem penting terutama selepas Perang Dunia Kedua tidak dapat dinafikan. Melalui medium itu sesuatu maklumat menjadi lebih mudah untuk disampaikan kepada kumpulan sasaran.

Penyelidik Barat sudah lama membuat penyelidikan dan mencongak strategi bagaimana cara dan kaedah untuk merombak pemikiran masyarakat Muslim supaya melihat Barat sebagai bangsa yang dikagumi.

Mereka menuntut masyarakat Muslim untuk kagum dan hormat kepada bangsa mereka. Pendekatan itu sebenarnya menjadi senjata perang saraf untuk melumpuhkan idealisme orang Islam. Serangan Barat terhadap orang Islam melalui filem semakin berani.

Contohnya, filem Fitna yang diterbitkan produksi di Belanda dimiliki Ahli Parlimen negara itu, Geert Wilders. Filem itu memaparkan penganut agama Islam yang kononnya membudayakan keganasan dalam kehidupan.

Filem selama 15 minit yang disiarkan dalam laman web Liveleak.com pada 27 Mac 2008 mengkritik Islam dengan menunjukkan surah al-Quran berlatarbelakangkan imej keganasan bagi tujuan memaparkan kepada dunia takrif sebenar Islam melalui pemesongan mereka.

Firman Allah bermaksud: “Mereka ingin memadamkan (tersebarnya) cahaya (agama) Allah dengan mulut mereka, tetapi Allah enggan sebaliknya Dia akan menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang kafir tidak suka.” (Surah at-Taubah, ayat 32)

Sepatutnya kita lebih kagum dengan Islam dan berusaha menyampaikan keindahan Islam kepada orang lain dan memanfaatkannya berdasarkan sumber penyebaran yang boleh diguna pakai termasuk melalui filem.

Umat Islam seharusnya menggunakan medan tempur baru untuk mempertahankan diri melalui penghasilan seberapa banyak filem berorientasikan keagamaan yang berupaya menyebarkan risalah keamanan dan kedamaian seperti dianjurkan agama.

Filem yang memenuhi aspirasi umat Islam mestilah memenuhi ciri filem yang disyaratkan syariat seperti pandangan Syeikh Yusof Qardawi mengenai maksud filem iaitu alat untuk memberikan pendidikan disamping hiburan. Ia perkara halal dan baik bahkan membawa kepada perkara dituntut tetapi perlu menjaga daripada perkara ditegah oleh syarak.

Filem Sang Murabbi: Mencari Spirit Yang Hilang umpamanya adalah sebuah filem biasa, tetapi cukup hebat dan memberi kesan mendalam kepada penonton. Filem diadaptasi dan berkisarkan kisah hidup sebenar tokoh pendakwah dan Ahli Parlimen terkenal Indonesia iaitu K H Rahmat Abdullah.

Beliau adalah reformis dakwah yang cukup komited menyampaikan gambaran realiti Islam sebenar kepada masyarakatnya tanpa mengenal erti penat dan letih sepanjang filem ini hendak disiapkan.

Melihat kekuatan dan kejayaannya, filem wajar menjadi wadah menyebarkan risalah agama bagi menggantikan filem Barat yang kehilangan arah dan lebih tertumpu kepada usaha melemahkan saraf minda orang Islam.

Filem juga boleh menjadi saluran maklumat untuk menjelaskan pertuduhan Barat bahawa Islam agama yang menghidupkan keganasan sedangkan Islam agama menyeru kepada keamanan dan perdamaian untuk menciptakan keharmonian serta keindahan sebenarnya.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)

Friday, April 10, 2009

Muhasabah senjata hancurkan sifat takbur, sombong

Oleh Amran Zakaria

Nilai kelemahan diri, usah salahkan orang lain jika gagal capai matlamat dirancang

MUHASABAH penting bagi memastikan setiap individu ataupun organisasi sentiasa kuat dan cekal menghadapi ujian. Sering kali elemen muhasabah iaitu menilai dan memeriksa diri untuk memperbaiki kelemahan diri diabaikan.

Melalui amalan muhasabah, seseorang itu dapat menganalisis kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Sekurang-kurangnya ia menjadikan seseorang lebih berhati-hati supaya tidak mengulangi kesilapan.

Antara keburukan pada kebanyakan manusia ialah kurang muhasabah diri. Mengamati kelemahan dan kekurangan diri membuatkan kita lebih insaf bahawa kita tidak terlepas melakukan kesilapan. Hanya manusia angkuh saja memiliki pendirian bahawa dirinya tidak pernah melakukan kesalahan.

Sebenarnya, kemerosotan penghayatan nilai agama dan etika boleh mempengaruhi sifat serta sikap individu dalam urusan kerja atau apa-apa urusan yang dipertanggungjawabkan. Oleh itu, kita perlu bersedia mengakui kesalahan dan memperbetulkannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)." (Surah al-Ankabut, ayat 64)

Manusia yang takbur akan dilaknat Allah SWT kerana mereka menyaingi kebesaran dan keagungan Allah SWT. Mereka juga dilaknat Allah SWT kerana membesarkan diri sendiri, bukan orang lain yang membesarkannya.

Orang takbur suka dipuji, pantang dikritik, kagum dengan pandangan sendiri, suka meremehkan pandangan orang lain dan sukar menerima nasihat atau tunjuk ajar daripada orang lain.

Imam Al-Ghazali merumuskan, seburuk-buruk sifat takbur ialah orang yang tidak mahu mengambil manfaat daripada ilmu pengetahuan serta tidak mahu tunduk kepada kebenaran, walaupun kebenaran itu sudah terbukti.

Apabila sifat angkuh dan sombong menguasai, akan hilanglah keseimbangan diri dan sikap rasional, maka tindakan mereka lebih menjurus ke arah mencapai kepuasan serta mengikut hawa nafsu masing-masing.

Salman Al-Farisi, sahabat Rasulullah SAW ketika ditanya: "Apakah perbuatan buruk yang menyebabkan semua kebaikan menjadi sia-sia? Beliau menjawab: Takbur."

Jangan membangga diri dengan ilmu yang banyak dan tinggi, sehingga menganggap orang lain semuanya bodoh. Jangan angkuh dengan kekayaan dan rezeki dikurniakan Allah SWT. Jangan bangga dengan kuasa yang diberikan kepada kita sebagai ujian sehingga kita menjadi takbur kerananya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada setiap orang yang sombong, takbur lagi membanggakan diri." (Surah Luqman, ayat 18)

Jangan sekali kita berlagak sombong dan memandang rendah kepada manusia lain. Allah SWT mengingatkan melalui firma yang bermaksud: "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri." (Surah Luqman, ayat 18)

Adapun cara untuk kita mensyukuri nikmat Allah SWT itu pelbagai termasuk melalui pujian dan doa serta sujud syukur. Kita hendaklah sentiasa menanam dalam jiwa sifat tawaduk, rendah hati dan sentiasa bersyukur nikmat Allah SWT kurniakan.

Jangan sesekali menyalahkan kesilapan diri dengan menuding jari kepada orang lain kerana orang yang tidak mengakui kelemahan sukar untuk memperoleh kejayaan, sentiasa resah dan kelam kabut dalam kehidupannya.

Justeru, kita perlu rendah hati untuk mengakui kesilapan yang pernah dilakukan atau bersedia mengambil manfaat daripada kegagalan dan cukup berani untuk membetulkan kesilapan. udah untuk meletakkan kesalahan kepada orang lain apabila kita gagal dalam mencapai matlamat sepertimana yang dirancang. Namun agak sukar kita mengakui kesilapan yang kita lakukakan secara terbuka. Hanya hati dan perasaan kita yang ditimbang akal akan mencari kesalahan dan kelemahan diri untuk diperbetulkan secara tertutup.

Kita sepatutnya mengenalpasti dan mencari jalan bagaimana hendak mengatasi kelemahan yang ada dalam diri kita dan bersedia ditegur untuk kebaikan. Jika kelemahan itu dapat diatasi dan sentiasa berusaha menambahbaik, pasti harapan mencapai kejayaan akan menjadi lebih mudah.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)

Friday, March 27, 2009

Istiqamah laksana amanah bela rakyat sifat pejuang sejati

Oleh Amran Zakaria

ISTIQAMAH antara sifat yang amat dititikberatkan Islam. Sifat ini yang akan menjamin kejayaan di dunia dan akhirat. Istiqamah adalah disiplin agama yang menganjurkan umatnya melakukan pekerjaan dan amalan berterusan.

Istiqamah adalah perkataan Arab bermakna terus diminta berdiri. Istiqamah dalam konteks ini merujuk kepatuhan, ketaatan dan ketekunan mengamal serta melaksanakan tugasan atas kepentingan agama serta ummah. Jelas, istiqamah sebagai disiplin adalah pelengkap penting dalam mencapai aspirasi yang dihasratkan.

Daripada Abi Amrah Sufyan Abdillah katanya: "Aku bertanya: Ya Rasulullah, ajar kepadaku mengenai Islam, perkataan yang tidak perlu aku bertanya seseorang pun selain daripadamu. Sabda Nabi SAW: Katakan aku beriman dengan Allah, kemudian istiqamah."

Namun keseluruhan makna yang dicadangkan mengenai istiqamah menjurus kepada terus menerus dalam kerja dan tugasan. Pemimpin yang beristiqamah melaksanakan tanggungjawab diamanahkan secara berterusan dan tidak bermusim.

Rasulullah SAW pernah ditanya amal yang disukai Allah. Baginda menjawab: "Amal paling disukai Allah adalah amal dilakukan secara rutin walaupun sedikit." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Tuntutan beristiqamah bukan saja menjadi kewajipan umat Islam, malah rasul dan nabi ditegaskan Allah supaya terus beristiqamah dalam menjalankan tugas serta kewajipan kerasulan dan kenabian mereka. Firman Allah bermaksud: "Maka beristiqamahlah engkau seperti engkau diperintahkan." (Surah Hud, ayat 112)

Allah mengingatkan Nabi Musa supaya terus beristiqamah ke jalan Allah serta tabah menghadapi cabaran dan ugutan Firaun. Firman Allah yang bermaksud: "Maka beristiqamahlah kamu berdua dan jangan kamu ikut jalan orang yang tidak tahu." (Surah Yunus, ayat 89)

Ibnu Taimiyyah dalam bukunya Al-Siyaasah as-Syar'iyyah pernah menegaskan kepemimpinan adalah amanah. Justeru, untuk memilih pemimpin tugas yang diamanahkan perlu dilaksanakan secara bijaksana. Pemimpin yang berkesan sentiasa istiqamah dalam perjuangan. Sifat pantang menyerah dan berterusan secara bersama bagi seorang pemimpin amat penting dan perlu diutamakan bagi memastikan gerak kerja tidak berciciran di tengah jalan. Pemimpin yang hilang daya, menjalankan tanggungjawab dan kegiatan secara bermusim ialah pemimpin yang tidak istiqamah. Apabila tiba masa memilih pemimpin, baru menunjukkan seolah-olah mereka bekerja.

Hakikatnya kedudukan pemimpin tidak ada bezanya dengan rakyatnya. Pemimpin tidak harus menganggap dirinya istimewa. Ia hanya orang yang didahulukan selangkah kerana mendapatkan kepercayaan melaksanakan tanggungjawab dan amanah.

Pemimpin yang baik memiliki sifat terbuka untuk dikritik. Mereka harus mendahului aspirasi rakyat dan terbuka menerima kritikan bersifat membina. Mereka tidak seharus menganggap kritikan sebagai alat pemusnah untuk menjatuhkannya oleh lawan.

Saidina Umar berkata: "Belajarlah sebelum kamu menjadi pemimpin". Maknanya, pemimpin perlu menimba pelbagai ilmu supaya sedia menghadapi kemungkinan yang datang. Pemimpin yang berterusan dengan amanah rakyat menjadi kunci kepada keyakinan serta kepercayaan orang bawahan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, lantas tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk kebaikan mereka dan tidak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka." (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam pemilihan kepemimpinan yang bersifat demokrasi, undi rakyat adalah kuasa penentu. Menggunakan wang untuk mendapat sokongan adalah mencabul hak demokrasi diamalkan.

Islam membenci pemimpin memberi wang (rasuah politik) dan mereka yang menerima wang). Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Semua jasad yang tumbuh daripada penghasilan yang haram, maka nerakalah yang lebih sesuai untuknya." (Hadis riwayat Tirmizi)

Pemimpin sejati sentiasa meletakkan dirinya berbakti untuk rakyat dan mengabdikan diri kepada Allah. Pemimpin perlu senantiasa memohon pertolongan Allah dan berbuat ihsan sesama manusia.

Umumnya al-Quran sudah memberi gambaran kriteria pemimpin yang harus dipilih, iaitu seperti ditegaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Dan sesungguhnya sudah Kami tulis dalam Zabur sesudah (sesudah Kami tulis dalam) Luh Mahfuzh, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-Ku yang salih." (Surah al-Anbiya', ayat 105)

Meletakkan pertimbangan iman dan akal dituntut ketika membuat pemilihan menentukan barisan kepemimpinan. Sikap untuk cuba sewajarnya mesti dikikis ketika membuat pemilihan. Renunglah masa depan ummah dan generasi akan datang. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Surah Muhammad, ayat 7)

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)

Monday, March 16, 2009

Sektor pertanian janjikan rezeki, pahala

Oleh Amran Zakaria

Islam galak ummah bercucuk tanam untuk manfaat dunia, ganjaran di akhirat

ISLAM menekankan aspek perancangan strategi dalam apa saja tindakan, termasuk pengurusan ekonomi. Selain kekuatan akidah, umat Islam memerlukan harta untuk membolehkannya mencapai objektif kehidupan.

Ini bermakna kekuatan ekonomi berperanan penting bagi membolehkan umat Islam mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Dengan harta, urusan agama dan urusan dunia menjadi lebih mudah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Pada akhir zaman kelak manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunianya." (Hadis riwayat at-Tabrani)

Untuk membangunkan kekuatan ekonomi, kita perlu kesedaran dan pengetahuan dalam merancang serta mengurus kewangan mengikut apa yang digariskan Islam.

Kisah Nabi Yusuf AS membuat perancangan untuk Mesir yang menghadapi kegawatan ekonomi akibat kemarau selama tujuh tahun patut diteladani dan dicontohi, terutama pemimpin negara.

Kisah Nabi Yusuf AS memberi pengajaran berharga pentingnya pelan strategik dan futuristik menyelamat ekonomi rakyat serta negara dengan mengimbangi kadar penghasilan, penabungan, perbelanjaan selain pelaksanaan sistem ekonomi bijaksana yang berkesan.

Nabi Yusuf AS yang bersuluhkan wahyu Rabbani, menyarankan perancangan ekonomi pertanian untuk jangka waktu 14 tahun dengan membuat perimbangan antara jumlah penghasilan, penggunaan, penyimpanan dan pelaburan semula. Dengan perencanaan bersifat melihat ke hadapan, krisis ekonomi yang dikhuatiri menimpa negara dapat dihindarkan.

Hanya melalui perancangan dan penjanaan ekonomi yang baik, pengurusan teratur dan mantap serta memanfaatkan sumber rezeki dianugerahkan Allah SWT secara optimum berupaya membangunkan kehidupan lebih kondusif.

Hari ini kita berdepan cabaran ekonomi semasa kesan daripada kemelesetan dunia. Penyakit yang sukar dikesan puncanya walaupun dikemukakan pelbagai teori. Justeru, peralihan tumpuan kepada sektor pertanian wajar diberi perhatian.

Galakan supaya penyertaan dalam sektor ini mesti dipertingkat. Sebenarnya, sektor pertanian memainkan peranan besar pada awal 1920-an menerusi industri getah yang mengangkat nama Malaysia sebagai pengeluar getah asli utama dunia sehingga 1980-an.

Ekonomi negara selepas merdeka dimonopoli aktiviti pertanian dan perlombongan sehinggakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada ketika itu menunjukkan sumbangan sektor pertanian dan perlombongan mencecah angka 46 peratus.

Pertumbuhan dan daya maju sektor pertanian memerlukan kita mengubah cara pertanian tradisional kepada bercorak lebih komersial.

Petani dan peladang bukan saja perlu menggunakan teknologi canggih, tetapi juga mengamalkan pengurusan lebih tersusun. Berslogankan "Pertanian adalah satu perniagaan" Islam sebenarnya sudah lama memberi galakan supaya sektor pertanian diberi keutamaan.

Menurut sejarah Islam, selepas Rasulullah SAW tiba di Madinah, Baginda bukan saja menyusun pentadbiran dan menyatukan antara Ansar dan Muhajirin, bahkan Baginda mula melihat potensi ekonomi yang boleh dimanfaatkan di Madinah.

Rasulullah SAW menggalakkan pendudukan Madinah untuk mempertingkat hasil pertanian. Bumi Madinah ketika itu sememangnya subur dan perlu diusahakan dengan lebih giat. Sebagai penggalak, mereka diberi insentif untuk memiliki tanah diusahakan.

Diriwayatkan Aisyah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang memakmurkan (mengusahakan) tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa maka dia lebih berhak terhadapnya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Perubahan struktur dalam sektor pertanian memerlukan pengorbanan besar kerana petani harus peka dan bersedia menerima serta membuat perubahan dalam amalan pertanian termasuk penggunaan teknologi baru. Mereka harus lebih inovatif, meningkatkan kepakaran dan berusaha lebih gigih merebut peluang pelaburan dalam sektor pertanian yang kian berkembang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang Muslim pun yang bertani atau berladang lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia ataupun binatang melainkan bagi dirinya daripada tanaman itu pahala sedekah." (Hadis riwayat al-Bukhari).

Allah SWT menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut Islam. Perlu diingat, hanya rezeki yang halal mesti dicari kerana di situ letaknya keberkatan dan ganjaran Allah SWT.

Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani dan Imam An- Nawawi, kelebihan bercucuk tanam dan ganjaran bagi orang yang melakukannya itu berterusan hingga hari kiamat selagi tanaman itu masih kekal. Mereka yang mengusahakannya akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan bahawasanya seseorang itu tidak akan memperoleh (kebaikan) kecuali daripada hasil usahanya sendiri." (Surah an-Najm, ayat 39)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang lelaki menanam sesuatu tanaman melainkan Allah menetapkan baginya ganjaran pahala sebanyak jumlah yang dihasilkan oleh tanaman itu." (Hadis riwayat Ahmad).

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI)

Saturday, March 7, 2009

Perlembagaan Persekutuan lindungi umat Islam

Oleh Amran Zakaria

Kebebasan beragama boleh disekat melalui undang-undang bagi menjaga ketenteraman awam

ARTIKEL 3 dalam Perlembagaan mencatatkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Kedua, dilindungi orang Islam dalam konteks Artikel 11 (4). Walaupun kebebasan beragama dibenarkan tetapi dari segi umat Islam, mereka tidak boleh diganggu.

Perkara 11 adalah peruntukan utama hak kebebasan beragama, semacam membayangkan ruang litup hak berkenaan meliputi aspek menganut, mengamal dan mengembangkan agama berkenaan.

Bagaimanapun, hak mengembangkan agama tertakluk kepada peruntukan bahawa pengembangan agama lain tertakluk kepada sekatan undang-undang. Sekatan ini termasuk larangan mengembangkan doktrin atau agama selain Islam kepada orang Islam.

Undang-undang menyekat penyebaran agama lain di kalangan orang Islam masih belum ada di Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang. Undang-undang ini ialah untuk melindungi orang Islam daripada dipengaruhi kepercayaan lain.

Dalam agama Islam, hak kebebasan agama bermaksud Islam tidak memaksa orang bukan Islam menerima Islam. Namun di negara kita kebebasan beragama boleh disekat melalui undang-undang.

Perlembagaan dengan jelas menyatakan kebebasan itu tertakluk kepada undang-undang yang diluluskan bagi mengawal atau menyekat pengembangan agama lain daripada Islam di kalangan umat Islam.

Selain itu perlembagaan juga menyebut kebebasan agama tidak boleh digunakan untuk menyalahi undang-undang awam mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak.

Justeru, menghairankan mengapakah akhbar Herald The Catholic yang diterbitkan dalam empat bahasa dan pengedaran hanya 12,000 naskhah, beriya-iya memaksa kerajaan memberi kebenaran menggunakan perkataan Allah untuk seksyen bahasa Melayu, sedangkan di negara Barat mereka amat membenci nama Allah.

Tentu mereka ada perancangan terselindung. Mereka cuba menjadikan isu memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai strategi untuk memohon kerajaan membenarkan penggunaan nama Allah untuk menggantikan 'God' yang biasa diguna pakai mereka.

Penyakit itu bukanlah baru jika kita mengenal strategi mereka. Sebab itulah Allah memberitahu dalam firman: "Sebahagian dari orang Yahudi mengubah kalimah-kalimah Allah daripada tempatnya." (Surah an-Nisaa, ayat 46).

Jika perkataan Allah dibenarkan dalam terbitan agama lain di sini, ia dikhuatiri akan mengelirukan umat Islam, terutama generasi akan datang yang tidak dapat membezakan penggunaan nama Allah untuk kedua-dua agama itu.

Sesungguhnya Allah seperti dipercayai umat Islam jauh bezanya dengan apa yang cuba diperkenalkan untuk menggantikan 'God' yang sudah lama mereka gunakan. Memang ada hujah penggunaan Allah oleh penganut Kristian sekali gus menunjukkan mereka menidakkan konsep Triniti dalam agama itu.

Ini kerana makna Allah merujuk kepada 'Tuhan Maha Esa'. Bagaimanapun dalam soal ini Allah sudah memberi peringatan: "Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Sesungguhnya Allah ialah Al Masih putera Maryam, padahal Al Masih (sendiri) berkata: Hai Bani Israel, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu.

Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang zalim itu seorang penolong pun. Sesungguhnya kafirlah orang yang mengatakan: Bahawasanya Allah salah seorang dari yang tiga, padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa seksaan pedih. (Surah al-Maidah, ayat 72-73)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Katakanlah: Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus." ( Surah al-Maidah, ayat 77)

Memang benar Islam menekankan aspek kesabaran. Sabar bermakna tidak bertindak balas atas apa yang diperlakukan oleh orang lain kepada masyarakat Islam. Sabar bermaksud tabah menghadapi sesuatu keadaan yang tidak disenangi dan berserah kepada Allah.

Wajarkah kita bersabar apabila melihat agama dicabar. Firman Allah yang bermaksud: "Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang menceroboh." (Surah al-Baqarah, ayat 190)

Sudah cukup serangan daripada pelbagai sudut terhadap umat dan kesucian Islam di negara ini selama ini. Kita tidak mahu wujud lagi provokasi yang boleh menjejas dan mempersendakan agama suci ini.

Kita tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan atas suara kita yang tidak berada dalam satu wadah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah." (Surah al-Anfal, ayat 39)

Perjuangan mempertahankan kalimah Allah adalah sumbangan penting kepada agama.

Daripada Abdullah bin Amru bin Al-As menceritakan: "Seseorang telah bertanya Rasulullah SAW: Apakah sifat orang Islam yang paling baik? Rasulullah SAW bersabda: Seseorang yang menyelamatkan orang Islam dengan lidah dan tangannya." (Hadis riwayat Muslim)

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)