Showing posts with label (A) Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi. Show all posts
Showing posts with label (A) Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi. Show all posts

Wednesday, February 17, 2010

Kelahiran anak ujian dunia buat ibu bapa

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki


ANAK adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa untuk mendidik dan mengasuh mereka supaya menjadi insan berguna. - Gambar hiasan

Zuriat bukan sekadar penyambung warisan tetapi bukti kekuasaan Allah

ANAK anugerah Allah yang amat istimewa bagi suami isteri dalam kehidupan berumahtangga. Malah, setiap pasangan berkeluarga memang impikan anak untuk menyerikan institusi rumah tangga mereka. Itu sudah menjadi satu keinginan semula jadi yang Allah ciptakan dalam sudut hati setiap manusia.

Firman Allah yang bermaksud: "Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda yang diingini oleh nafsu ialah perempuan dan anak pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul daripada emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan ternakan serta kebun. Semuanya ialah kesenangan hidup di dunia." (Surah Ali-Imran, ayat 14)

Oleh itu, tidak hairanlah anak dianggap penyejuk hati dan mata ibu bapa di kala suka serta duka dalam menelusuri kehidupan. Alangkah sepinya ibu bapa yang tidak memiliki anak untuk mewarnai hidup mereka.

Bagaimanapun, mereka tetap mempunyai pilihan lain iaitu dengan mengambil anak angkat sebagai penghibur dan penawar.

Islam tidak pernah mengatakan ada dosa yang dibawa oleh bayi sejak lahir walaupun anak itu adalah anak luar nikah. Ini kerana setiap bayi dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah dan putih bersih serta suci daripada sebarang dosa.

Akan tetapi, dalam Islam dosa itu mula mencemari kesucian hati seseorang apabila dia meninggalkan perintah Allah dan melanggar segala larangan-Nya.

Perlu ditegaskan, kelahiran seorang anak yang diharap akan menyambung warisan kekeluargaan sebenarnya mengungkap banyak makna dan pengertian yang tersurat sebagai bahan renungan untuk menginsafkan kita sebagai hamba Allah.

Pertamanya, kelahiran anak sudah memadai sebagai bukti paling mudah mengisyaratkan kekuasaan dan keagungan Allah mengatasi segala-galanya di alam maya ini. Sebelum lahirnya anak itu melalui pelbagai peringkat yang berbeza di alam rahim selama sembilan bulan 10 hari sehingga tercipta seorang manusia yang sempurna kejadiannya.

Semua itu diceritakan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)." (Surah Al-Tin, ayat 4)

Namun, di sebalik kesempurnaan sifat manusia sebenarnya daif dan kerdil kerana sentiasa bergantung harap kepada Allah. Oleh sebab itulah, setiap insan diwajibnya beriman kepada Allah untuk menikmati kesejahteraan di dunia dan akhirat di bawah keredaan Ilahi.

Kedua, anak adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa. Justeru, lahirnya seorang anak bukannya sebagai satu keseronokan hidup atau satu bebanan yang tidak tertanggung. Sebaliknya, anak adalah ujian Allah kepada ibu bapa.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar." (Surah Al-Anfal, ayat 28)

Setiap ibu bapa berkewajipan mendidik dan mengasuh anaknya. Tetapi malangnya, sejak akhir-akhir ini jumlah bayi dilahirkan akibat perzinaan terus meningkat dan lebih menyedihkan, ada antara mereka dibuang dan didera sehingga menemui ajal.

Maka, tidak hairan Al-Sheikh Muhammad Qutb menganggap peristiwa berlaku dalam masyarakat Islam mutakhir ini ibarat kembali kepada zaman jahiliah terdahulu yang sanggup menanam hidup-hidup anak perempuan mereka kerana tidak sanggup menanggung malu.

Jadi tidak ada bezanya sama sekali antara perbuatan menanam bayi dan membuang anak dengan niat membunuh kerana kedua-dua perbuatan itu dilarang Allah.

Perlu diinsafi, mendidik dan mengasuh anak termasuk dalam ibadah kerana setiap ibu bapa akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dilakukan anaknya. Lebih-lebih lagi anak itu umpama helaian kertas putih yang belum diwarnai dan dicorakkan lagi.

Maka ibu bapalah yang akan mencorakkannya berdasarkan cita rasa masing-masing. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya." (Hadis riwayat Bukhari)

Anak sebagai amanah Allah perlu diberi perhatian supaya mereka menjadi insan bertakwa dan berguna kepada agama, bangsa serta negara. Alangkah beruntungnya ibu bapa memiliki anak soleh yang doanya berterusan kepada kedua ibu bapanya.

Monday, February 8, 2010

Saling membela, berkasih sayang erat ukhuwah

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Umat Islam disaran hulur bantuan kepada rakyat Palestin yang dizalimi Israel

PERSAUDARAAN Islam antara tonggak terpenting yang menyumbang ke arah kecemerlangan ummah. Sejarah Islam sudah memahatkan episod gemilang generasi Rasulullah SAW yang mengangkat martabat Islam ke mercu paling tinggi pada zaman permulaannya.

Masyarakat Islam berpaksikan pada prinsip persaudaraan dalam menghadapi pelbagai situasi seperti peperangan, perdamaian, penghijrahan dan perniagaan. Islam menganjurkan umat Islam membina persaudaraan dalam mesej utama kepada umatnya.

Biarpun berlainan bangsa, warna kulit, sempadan tempat dan bahasa, ia bukanlah batu penghalang ke arah itu dan Islam tetap menyatukan mereka atas dasar iman serta takwa kepada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia. Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku-puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Ada dua prinsip utama mesti dipelihara setiap Muslim dalam membina persaudaraan sebagai pemangkin ke arah kekuatan dan kejayaan umat Islam iaitu prinsip saling membela serta prinsip saling berkasih sayang.

Prinsip saling membela bererti setiap Muslim tidak akan sama sekali membiarkan saudaranya direndahkan atau dihina. Dia juga tidak akan membiarkan saudaranya menghadapi bahaya sendirian melainkan wajib baginya untuk membantu, menolong, memperkuat, membela dan melindunginya.

Ini termasuk menjaga rahsia, memelihara aib masing-masing, menolong bila ditimpa musibah atau bahaya terhadap harta, jiwa dan kehormatannya.

Perlu ditegaskan rahmat dan pertolongan Allah hanya akan dikurniakan kepada orang beriman jika dia mempunyai komitmen kuat untuk membela dan membantu orang lemah seperti fakir miskin, membela orang difitnah dan dizalimi.

Sehubungan itu, Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya kalian hanya akan dibantu dan diberikan rezeki oleh Allah jika kalian semua membela orang yang lemah." (Hadis riwayat Bukhari)

Membantu golongan fakir miskin bermaksud mengeluarkan sebahagian daripada anugerah Allah seperti harta, ilmu dan sebagainya untuk mengangkat taraf kehidupan mereka. Sementara membela orang dizalimi dan difitnah menuntut setiap Muslim berusaha membersihkan nama baik mereka.

Di samping itu, orang yang zalim juga harus dibela seperti mana ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Bantulah saudaramu yang zalim mahupun yang dizalimi. Jawab sahabat: Kami akan membantunya sewaktu dia dizalimi, bagaimana pula kami akan membantunya bila dia berlaku zalim? Ujar Rasulullah: Kamu menegahnya daripada perbuatan zalimnya itulah erti membantunya." (Hadis riwayat Bukhari)

Oleh itu, marilah bersama membantu dan menghulurkan pertolongan kepada saudara kita di Palestin berdasarkan kemampuan yang ada.

Inilah masanya dan giliran untuk membantu meringankan beban serta penderitaan dihadapi daripada segi kewangan, makanan, pakaian, perubatan dan doa supaya mereka lebih tabah, sabar serta diberikan kekuatan menghadapi kekejaman rejim zionis Israel yang zalim.

Umat Islam juga boleh mengambil tindakan memboikot barangan Amerika dan sekutunya sebagai tanda sokongan padu kepada warga Palestin yang kini berjihad mempertahankan maruah dan tanah air tercinta.

Prinsip kedua pula iaitu kasih sayang yang harus didasarkan atas keredaan Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang di kalangan kamu sehinggalah dia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Prinsip berkasih sayang asasnya meniupkan semangat besar dalam jiwa setiap Muslim bersama meringankan kesulitan hidup dialami saudaranya Muslim, bahkan turut sama mencari jalan menyelesaikan kemelut dan masalah umat.

Sejarah Islam mengabadikan wujudnya model unggul ukhuwah Islamiah yang ditampilkan kaum Ansar yang amat mencintai kaum Muhajirin. Lantas mereka sanggup membahagikan sama rata harta, tanah, barang dagangan, bahkan isteri kepada kaum Muhajirin yang sangat miskin.

Akhirnya kisah pengorbanan penuh gilang gemilang ini diabadikan Allah dalam al-Quran. Firman-Nya yang bermaksud: "Orang tinggal di kota Madinah dan beriman (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin) dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan sesiapa yang terpelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang beruntung." (Surah al-Hasyr, ayat 9)

Inilah contoh teladan persaudaraan tulen tiada tolok bandingnya terukir dalam sejarah Islam sehingga setakat ini yang diasaskan atas dasar akidah yang satu ditujukan khusus kepada Allah Maha Esa semata-mata, bukannya mengharapkan kepentingan duniawi atau manfaat bersifat sementara cuma.

Jelaslah, bagaimana Islam berjaya memupuk persaudaraan di kalangan kaum Ansar dan Muhajirin sehingga mereka saling bekerjasama, duduk sama rendah serta berdiri sama tinggi tanpa memandang kepada kelebihan pangkat dan keturunan.

Malah, mereka saling hormat menghormati dan bertoleransi antara satu sama lain sehingga mampu membentuk masyarakat yang bersatu dan kuat serta unggul dalam segala lapangan hidup. Mereka berjaya menonjolkan diri sebagai kuasa besar baru mengatasi kehebatan Rom dan Parsi serta berjaya menyebarkan risalah keadilan Islam kepada seluruh manusia.

Islam mengajar umatnya ikatan penghubung antara umat Islam adalah ukhuwah Islamiah, bukan kesukuan, kebangsaan atau

kepartian kerana Islam adalah satu-satunya ikatan yang diwajibkan oleh Allah kepada setiap Muslim.

Menjadi kewajipan setiap Muslim untuk meyakini setiap mereka adalah bersaudara. Firman Allah bermaksud: "Bahawa sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara kerana itu damaikanlah antara dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Tuesday, January 26, 2010

Banyak amalan bomoh bertentangan hukum syarak

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Kaedah rawatan tak berdasarkan sumber al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias dilarang sama sekali


SEJAK kebelakangan ini, semakin banyak laporan akhbar mendedahkan penyelewengan dan penipuan dalam amalan bomoh tradisional. Lebih mengejutkan lagi, bomoh berkenaan mengubati pesakit dengan kaedah pelik yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan ajaran Islam.

Malangnya, masih ramai orang Islam percaya kepada amalan bomoh yang bercanggah dengan hukum syarak seperti memanggil roh, jin dan sebagainya. Segala amalan yang tidak berdasarkan sumber al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias adalah dilarang sama sekali.

Di dalam sejarah Islam, memang ada kaedah perubatan tertentu yang diamalkan Rasulullah dan sahabat bagi menyembuhkan penyakit. Selain cara perubatan biasa, mereka juga menggunakan doa ma'thur khusus untuk mengubati beberapa jenis penyakit seperti yang dijelaskan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya al-Tibb al-Nabawiyy dan Imam Muwaffiq al-Din Abdul Latif dalam kitabnya al-Tibb min al-Kitab wa al-Sunnah.

Amalan rawatan yang dibenarkan syarak perlu disertai dengan doa ma'thur daripada Rasulullah. Baginda pernah membenarkan seorang sahabat untuk menjampi dengan membaca doa kepada sahabatnya yang terkena sengatan kala jengking.

Dalam satu hadis Imam Muslim, Abu Zubair berkata, "Aku mendengar Jabir bin Abdullah berkata ada seorang lelaki daripada kalangan kami terkena sengatan kala jengking. Ketika itu, kami duduk bersama Rasulullah. Lalu seorang lelaki bertanya, "Wahai Rasulullah, bolehkah aku jampi? Jawab Baginda, "Sesiapa daripada kamu yang berupaya memberi manfaat terhadap saudaranya, maka hendaklah dia lakukannya".

Perlu ditegaskan bahawa Islam amat menitikberatkan persoalan akidah, syariah dan akhlak dalam kehidupan Muslim seharian. Oleh itu, apa saja amalan, perkataan dan kepercayaan yang tidak berasaskan kepada sumber yang dijelaskan di atas adalah ditolak. Ini berdasarkan sabda Rasulullah yang bermaksud, "Dan berjaga-jagalah kamu. Jauhkanlah diri kamu daripada perkara baru (bidaah) kerana setiap perkara yang diadakan itu bidaah, dan setiap bidaah itu sesat. (Hadis riwayat Abu Dawud)

Menurut perspektif akidah Islam, persoalan perubatan terhadap pesakit adalah satu persoalan yang sewajarnya difahami setiap Muslim. Ini kerana dalam Islam, hanya Allah saja yang berkuasa. Setiap manusia dikehendaki berikhtiar merawati penyakit dan kesakitan yang dihadapinya berdasarkan garis panduan ditetapkan syarak.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain daripada Allah yang tidak mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu jadilah engkau daripada kalangan orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). (Surah Yunus: 106)

Ayat di atas jelas melarang umatnya meminta pertolongan selain daripada Allah seperti bomoh, jin, roh datuk nenek, roh wali, syeikh, amalan syirik yang terkutuk. Oleh yang demikian, setiap Muslim dituntut meminta pertolongan dan berdoa secara langsung ke hadrat Allah yang Maha Esa dan Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.

Selain itu, Islam juga melarang umatnya daripada menggunakan sihir kerana Rasulullah SAW bersabda, "Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan. Golongan sahabat bertanya, "Apakah tujuh perkara itu? Jawab Baginda, " Mensyirikkan Allah, melakukan sihir, membunuh orang tanpa hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan zina". (Hadis Bukhari)

Dalam konteks ini, kita harus berwaspada terhadap amalan perbomohan terutama yang mengandungi unsur syirik dan juga amalan sihir kerana ia boleh membatalkan iman seseorang.

Sehubungan itu, seseorang pesakit hendaklah memastikan tabib atau bomoh yang hendak ditemuinya itu seorang Islam yang tidak meninggalkan ibadat wajib seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain, berakal waras, tidak melakukan perkara yang boleh membawa kepada syirik sama ada melalui kepercayaan, perkataan atau perbuatan.

Seorang bomoh juga hendaklah seorang yang adil iaitu tidak melakukan maksiat dan jenayah yang bertentangan dengan undang-undang negara.

Masyarakat Islam perlu berhati-hati menggunakan khidmat bomoh supaya tidak terjebak dalam amalan syirik yang akan menjejaskan akidah. Yang penting di sini, setiap Muslim diwajibkan berusaha dan berikhtiar serta seterusnya bertawakal kepada-Nya kerana Allah saja yang Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu.

Wednesday, November 11, 2009

Ahli Sunnah pewaris generasi sahabat, tabiin

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Rasulullah menyatakan al-Jamaah terselamat berbanding 71 golongan yang akan hancur

DARI sudut sejarah, tidak diketahui dengan tepat tarikh kemunculan mazhab Ahlal-Sunnah wal-Jamaah. Begitu juga tokoh yang mula memperkenalkan nama mazhab itu. Kemunculannya jauh berbeza daripada aliran Syiah dan Khawarij.

Kemunculan kedua-dua golongan itu bermotifkan politik terutama kepemimpinan umat Islam. Oleh itu, Syiah dan Khawarij boleh dikatakan dua parti siasah agama yang terawal lahir dalam sejarah umat Islam.

Menurut Ibnu Tamiyyah (wafat 728 Hijrah), Ahli Sunnah adalah mazhab sedia ada sejak dulu dan dikenali sebelum kemunculan Abu Hanifah, Malik, al-Syafie dan Ahmad. Ia mazhab sahabat yang bersumber daripada Nabi SAW. Mereka bersepakat mengatakan ijmak sahabat adalah hujah, tetapi mereka berselisih pendapat mengenai ijmak generasi selepas sahabat.

Ibn Abbas menyebut istilah Ahl al-Sunnah ketika beliau mentafsirkan firman Allah yang maksudnya: "(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang) menjadi putih berseri dan ada muka (orang) menjadi hitam legam".

Dalam ayat itu, Ibn Abbas mentafsirkan muka orang yang putih berseri ialah Ahl al-Sunnah dan ulama, manakala muka hitam legam ialah ahli bidaah sesat.

Ahmad Hambal (wafat 241 Hijrah) pula menyatakan dalam mukadimah kitabnya al-Sunnah: "Inilah mazhab ahli ilmu, ashab al-athar dan ahl al-sunnah yang berpegang teguh pada al-Sunnah yang dikenali jejak langkahnya serta menjadi ikutan umat bermula daripada sahabat Nabi SAW hingga ke hari ini."

Asas pengenalan kepada Ahl al-Sunnah boleh dilihat melalui keiltizaman mereka dengan al-Quran dan sunnah sebagai sumber rujukan utama mengatasi yang lain. Di samping itu, mereka memandang tinggi kepada generasi sahabat, tabiin dan tokoh ulama hadis kerana melalui jaluran ini ilmu agama dapat dipelajari serta diyakini.

Ulama berusaha mencari siapakah yang dimaksudkan al-Jamaah iaitu golongan yang terselamat seperti dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW. Daripada Anas Malik bahawa Rasulullah bersabda bani Israel kepada 71 golongan, daripada itu 70 golongan hancur binasa dan satu golongan lagi terselamat.

Sesungguhnya umatku juga akan berpecah kepada 72 golongan dan 71 golongan akan hancur binasa. Satu golongan lagi akan terselamat". Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, siapakah golongan yang terselamat itu? Baginda menjawab: Al-Jama'ah, al-Jamaah. (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).

Secara umum pendapat ulama berhubung al-Jamaah seperti berikut:

# Golongan teramai (al-Sawad al-Azam) daripada umat Islam

Ini berdasarkan sabda Rasulullah maksudnya: "Allah tidak menghimpunkan umatku dalam perkara kesesatan selama-lamanya. Hendaklah kamu mengikuti al-Sawad al-A'zam, yang bermaksud sekumpulan majoriti orang yang berhimpun mentaati pemerintah dan menurut jalan yang lurus."

Berdasarkan kenyataan ini, termasuk dalam pengertian al-Jamaah ialah golongan mujahid umat, ulama dan pendukung syariat yang beramal dengannya. Sesiapa saja yang keluar daripada jemaah, dia ialah golongan menyeleweng yang terjatuh dalam perangkap syaitan.

Begitu juga ahli bidaah kerana amalan mereka bercanggah dengan amalan golongan terdahulu daripada umat ini. Oleh itu, dalam keadaan apa sekalipun mereka tidak termasuk dalam al-Sawad al-Azam.

# Golongan ahli ilmu, fekah dan hadis kalangan ulama mujtahidin

Allah menjadikan imam mujtahid sebagai hujah terhadap makhluk yang menerima ajaran mereka dalam urusan agama. Merekalah golongan yang dimaksudkan melalui sabda Rasulullah SAW maksudnya: "Allah tidak menghimpunkan umatku dalam perkara kesesatan selama-lamanya".

# Sahabat Rasulullah secara khusus tidak termasuk generasi selepas mereka

Mereka menegakkan tiang agama dan meneguhkan sendinya. Mereka juga tidak pernah berhimpun dalam perkara sesat.

Pendapat ini juga menepati riwayat al-Jamaah yang disebutkan Rasulullah dalam hadis bermaksud: "Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan juga sahabatku."

Dr Hamka pula berpendapat Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah ialah orang yang mengikuti sunnah Nabi dan ulama mujtahid yang mengeluarkan pendapat bebas sebagai hasil ijtihadnya. Orang yang menganut mazhab Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali dalam soal furuk ialah golongan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, sedangkan Syiah, Khawarij dan Muktazilah tidak termasuk di dalamnya.

Demikian juga pendukung bidaah yang menambah, apatah lagi mengurangi ajaran Nabi Muhammad SAW tidak termasuk dalam Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Dalam ilmu kalam, mazhab al-Asyari dan al-Maturidi ialah mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.

Ringkasnya, Ahli Sunnah wa al-Jamaah adalah generasi sahabat dan tabiin yang bersatu mengikuti kebenaran yang jelas daripada kitab Allah dan Sunnah Rasulullah.

Tuesday, November 10, 2009

Ulama penentu jatuh bangun peradaban manusia

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Setiap Muslim perlu rujuk orang alim bertauliah elak perpecahan, perdebatan agama


ULAMA adalah pewaris tugas dan peranan nabi dan rasul dalam menyampaikan amanah Islam kepada seluruh umat manusia. Di tangan ulama penentu kepada maju mundurnya sesebuah negara, terang gelapnya sesebuah bangsa, baik buruknya sesuatu umat di bumi ini.

Jika ulama berperanan sebagaimana tanggungjawab nabi dan rasul, maka akan baiklah umat itu. Sebaliknya, jika ulama itu tidak berfungsi dan berperanan jelek, nescaya akan buruk dan binasalah umat berkenaan.

Rasulullah SAW bersabda: "Ulama itu ibarat pelita yang menerangi bumi, pengganti (pewaris) para nabi dan rasul, ahli warisku dan ahli waris nabi dan rasul." (Hadis Ibnu Adiy)

Ulama, seorang yang luas dan mendalam ilmu pengetahuan agamanya dan berupaya menggarapkan dan seterusnya mengembangkan ilmu itu bersesuaian dengan bidang kepakarannya sehingga lahir beberapa disiplin ilmu lain sama ada dalam bidang ilmu keagamaan atau keduniaan. Hasilnya, disiplin ilmu itu menjadi rujukan utama umat manusia zaman berzaman.

Inilah ciri utama seorang ulama yang berwibawa dan berhemah tinggi dalam sebuah masyarakat Islam. Allah berfirman: "Dan orang yang tetap teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya dalam ilmu agama berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datang dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang yang berfikiran (Ulul Albab)." (Surah Ali Imran: 7).

Seterusnya, ciri terpenting yang dianggap sebagai garis pemisah antara seorang ulama dengan bukan ulama ialah ciri keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Seorang ulama adalah seorang yang cukup mantap imannya dan tebal takwanya kepada Allah, tidak takut kepada sesiapa kecuali Allah ketika menegakkan kebenaran.

Oleh kerana imannya yang bertapak kukuh dalam sudut jiwa itulah yang mendorongkan ulama itu untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan berbekalkan sebanyak mungkin amalan kebajikan kerana dia menginsafi bahawa bekalan ilmu saja belum memadai. Maka tidak dapat tidak, amalan kebajikan wajib ditunaikan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa (amal bakti untuk mencapai keredaan Allah). Bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya (Ulul Albab)." (Al-Baqarah: 197).

Dengan kemuliaan yang dianugerahi Allah kepada seorang ulama, maka dia mempunyai peranan yang cukup besar dalam membimbing dan memimpin hala tuju masyarakat dan negaranya ke arah keredaan Allah. Semakin kreatif seseorang ulama, maka semakin meningkatlah tamadun dan peradaban manusia dalam hidup ini.

Justeru, setiap Muslim hendaklah merujuk terlebih dulu kepada ulama dalam sebarang persoalan hidup sama ada persoalan duniawi mahupun ukhrawi. Jika di Malaysia, ulama merujuk kepada orang alim yang ditauliahkan kerajaan, pihak berwajib agama dan masyarakat Islam untuk menjalankan tugas keagamaan yang dipertanggungjawabkan seperti penasihat agama, mufti, kadi, imam dan ustaz lepasan institusi pengajian Islam.

Sehubungan itu, orang perseorangan mahupun jemaah tidak sewajarnya cepat melatah atau melenting dalam sesuatu isu yang diperdebatkan, terutama sekali membabitkan persoalan hal ehwal Islam. Apa saja isu yang berbangkit, serahkan saja kepada mereka yang ditauliahkan kerajaan dalam menyatakan persepsi sebenarnya agar dapat dijauhkan segala kekeliruan yang mungkin merenggangkan jalinan persaudaraan sesama Muslim.

Monday, November 2, 2009

Jauhi ajaran sesat bertopengkan tasauf, tarekat

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Pengamal ajaran sebenar tak akan lakukan perbuatan bercanggah hukum syarak

ISU ajaran sesat bukanlah satu perkara asing dalam kehidupan umat Islam kerana ia datang seiringan dengan kehidupan manusia. Namun, masih ramai di kalangan umat Islam mudah terjebak dengan fenomena ajaran sesat.

Sehingga kini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyenaraikan 125 kumpulan ajaran sesat yang bertapak di negara ini, sebahagian besarnya berselindung di sebalik ajaran tarekat dan tasauf yang terkenal.

Pada hal tasauf menurut perspektif Islam adalah satu kaedah tertentu untuk mendekatkan diri kepada Allah. Al-Sya'rani mendefinisikan tasauf sebagai ilmu yang terhasil di dalam hati wali apabila mereka mempraktikkan al-Quran dan sunnah.

Sebagaimana ilmu yang terhasil daripada ulama fekah, setiap amalan yang dilakukan dengan panduan kedua-duanya akan menghasilkan pelbagai ilmu, adab, rahsia dan hakikat yang tidak dapat diungkapkan secara lisan dengan syarat amalan itu bebas daripada kecacatan dan kehendak hawa nafsu.

Tarekat pula menurut huraian ulama tasauf mempunyai beberapa pengertian iaitu umum, khusus dan lebih khusus. Pengertian yang umum bagi tarekat itu merujuk kepada jalan agama Allah iaitu jalan Islam itu sendiri. Ibn Khaldun menggunakan perkataan tarekat dengan makna ini.

Beliau menjelaskan asal ilmu tasauf itu ialah tarekat kaum sufi di sisi golongan terdahulu daripada umat ini dan pemimpinnya daripada kalangan sahabat, tabi'in dan golongan selepas mereka adalah tarekat kebenaran dan hidayah. Asal tarekat ialah tekun beribadah, menumpukan sepenuh perhatian kepada Allah, berpaling daripada perhiasan duniawi, bersifat zuhud terhadap apa yang dicari oleh orang ramai yang berupa kelazatan, harta dan pangkat serta menyendiri daripada makhluk dalam bersendirian untuk beribadat.

Pengertian khusus bagi tarekat pula ialah tata cara yang khusus atau himpunan adab dan ajaran yang diamalkan sesuatu kumpulan ahli tasauf. Tarekat dengan pengertian yang lebih khusus pula ialah perjalanan dan peningkatan tahap kejernihan rohani manusia dengan menempuh pelbagai halangan, melalui pelbagai peringkat dan maqam dan merasai pelbagai hal kerohanian.

Kadang-kadang, sesuatu ajaran tarekat dinamakan dengan nama pengasasnya sendiri, kemudian digabungkan dengan nama kumpulan tarekat yang terkenal di kalangan umat Islam sebagai satu pendekatan untuk mengaburi pandangan umat Islam mengenai ajaran dan kumpulan tarekat yang didukung itu, sedangkan pada hakikatnya terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

Di antara ciri-ciri kesesatan yang menghiasi ajaran tarekat yang menyeleweng adalah pegangan terhadap istilah tasauf yang secara terang-terangan bercanggah dengan syarak di samping istilah falsafah, kebatinan dan takwil tasauf yang menyimpang jauh daripada kebenaran terhadap persoalan akidah dan ibadah.

Di samping itu, ajaran tarekat itu juga menganjurkan pengikutnya agar meringankan atau tidak melaksanakan amalan ibadat dan kewajipan syarak yang dituntut. Begitu juga pengikut ajaran tarekat yang sesat tidak segan silu melakukan maksiat. Lebih jauh dari itu, ajaran tarekat yang sesat juga membentuk gerakan politik bawah tanah yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan kesejahteraan umat Islam.

Abu Yazid al-Bistami, seorang tokoh terkenal dalam bidang tasauf menjelaskan bahawa ada hubungan rapat antara syariat dan tasauf sehingga tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Menurutnya, syariat itu adalah asas utama yang diperlukan dan tidak boleh ditinggalkan dalam perjalanan menuju kepada Allah.

Beliau pernah berkata, jika kamu melihat seorang lelaki yang diberikan kekeramatan sehingga dia terbang di udara, maka janganlah kamu terpedaya dengannya sehinggalah kamu melihat bagaimana keadaannya atau sifatnya di sisi perintah dan larangan Allah, menjaga sempadannya dan menunaikan syariat.

Beliau juga dikatakan pernah mengajak anak muridnya untuk menemui seorang lelaki yang memasyhurkan dirinya dengan kewalian dan kezuhudannya. Apabila orang itu keluar dari rumahnya dan memasuki masjid, lalu dia meludah ke arah kiblat, tiba-tiba Abu Yazid berpaling meninggalkannya dan tidak mengucapkan salam kepadanya seraya berkata, "Bagaimana dia boleh dipercayai terhadap apa yang didakwanya itu".

Pada umumnya, setiap insan ingin mendekatkan dirinya kepada Tuhannya. Begitu juga, dalam kehidupan dunia, seorang anak akan berasa senang bila berada dekat dengan kedua-dua orang tuanya.

Oleh kerana itulah, pengamal tasauf haruslah orang yang bersih hatinya, suci perbuatan dan tingkah lakunya daripada hal yang subahat apatah lagi perkara haram, serta tidak terpesona dengan segala urusan dunia. Bagi pengamal tasauf, dunia hanyalah jambatan menuju Allah.

Demikian pengertian sebenar tasauf dan tarekat, jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu, setiap Muslim wajib berhati-hati dengan ajaran sesat yang bertopengkan tasauf dan tarekat yang semakin bercambah. Marilah sama-sama kita kembali kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah dalam usaha kita menjejaki keredaan Ilahi dunia akhirat.

Wednesday, June 3, 2009

Sifat lemah lembut tingkat kesatuan umat Islam

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Nafsu, emosi tidak terkawal menjurus manusia ke arah hidup tak tenteram

SATU sifat terpuji yang amat disukai Allah dalam diri seseorang Muslim ialah sifat lemah lembut. Oleh sebab itu, Rasulullah pernah bersabda maksudnya: Allah itu bersifat lemah lembut dan amat menyukai sifat lemah lembut dalam setiap urusan. (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Menurut Kamus Dewan, lemah lembut didefinisikan sebagai elok perangai, halus budi pekerti, baik hati, berwajah ceria dan berlapang dada. Sifat luhur inilah yang menghiasi peribadi Rasulullah sehingga baginda berjaya menyampaikan kalimah Allah di muka bumi yang terbentang luas ini.

Apa yang dihadapi Rasulullah sepanjang perjalanan dakwahnya selama 23 tahun adalah satu metodologi dakwah yang difardukan kepada umat Islam supaya mereka dapat menyampaikan Islam dengan cara lemah lembut.

Sehubungan itu, Allah memuji sifat Rasulullah atas cara dan pendekatan dilakukan dalam berdakwah di samping memerintahkan umat Islam supaya mencontohi sifat dan peribadi terbilang Rasulullah.

Allah berfirman yang bermaksud: Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah al-Ahzab, ayat 21).

Rasulullah mempamerkan contoh terbaik dalam sifat lemah lembut kepada umatnya sebagaimana kisah yang diceritakan Rasulullah dalam satu hadis yang bermaksud: “Ketika aku sedang berdiri menunaikan solat, aku sebenarnya ingin memanjangkan bacaan, tetapi apabila aku mendengar tangisan seorang bayi, lantas aku ringkaskan bacaan kerana aku tidak ingin membuatkan ibunya resah gelisah. (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Di samping itu, Rasulullah diperintahkan Allah supaya bersifat lemah lembut terhadap umatnya ketika menyampaikan dakwah Islam sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka akan lari dari kelilingmu.

Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Surah Ali Imran , ayat 159)

Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah dengan tujuan membentuk peribadi sahabat dan pengikutnya yang terdiri daripada pelbagai karakter dan sikap. Dengan panduan ayat ini diharapkan semua matlamat perjuangan dapat dicapai dengan hasil kejayaan yang membanggakan pada waktu yang singkat.

Selepas ayat ini dihayati dan diterapkan oleh Rasulullah, terbukti hanya dalam tempoh 23 tahun Baginda berhasil membentuk sebuah masyarakat Arab Jahiliah sebagai sebuah masyarakat yang makmur penuh dengan pelbagai dimensi kecemerlangan dalam segenap aspek kehidupan.

Selaras dengan seruan al-Quran kepada umat Islam supaya menghiaskan diri dengan sifat lemah lembut, maka pada masa sama, umatnya juga diperintahkan supaya menghindarkan diri daripada segala bentuk caci maki, prasangka buruk, tidak menerima pandangan orang lain, apatah lagi perbuatan yang mengakibatkan fitnah memfitnah antara sesama umat.

Akhlak terpuji yang dianjurkan Islam supaya umatnya berperilaku lemah lembut dalam segala urusan kehidupan dengan maksud mengawal kehendak hawa nafsu, perasaan dan emosi daripada menguasai diri seseorang Muslim.

Hawa nafsu, perasaan dan emosi yang tidak terkawal hanya menjurus umat manusia ke arah suasana hidup yang tidak tenteram, institusi keluarga yang porak peranda, masyarakat yang tidak harmoni, umat manusia pula saling cerca mencerca, pemimpin dan rakyatnya pula saling menjatuhkan antara satu sama lain hingga akhirnya memecah belahkan kesatuan ukhuwwah Islamiah.

Perpecahan umat Islam sudah tentu akan melemahkan perjuangan mereka ke arah memartabatkan kembali ketuanan Islam di bumi Allah ini. Oleh itu, setiap Muslim sewajibnya menginsafi betapa pentingnya persaudaraan Islam yang jitu sehingga Rasulullah pernah mengibaratkan kesatuan umat Islam seumpama satu tubuh badan manusia.

Apabila saja satu anggota tubuh badan menderita sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain pun turut sama ikut menderita. Justeru, sifat lemah lembut wajar menjadi perhiasan wajib setiap Muslim dalam usaha mencipta kesatuan dan keutuhan ukhuwah Islam di kalangan umatnya.

Seorang pemimpin dituntut bersikap lemah lembut terhadap semua rakyatnya tanpa memilih bulu. Pemimpin juga tidak boleh bersikap kasar dan berhati keras ketika menghadapi setiap kerenah dan tuntutan rakyatnya.

Setiap anggota masyarakat pula hendaklah bersikap lemah lembut sesama mereka, menerima segala pandangan diutarakan dan berusaha menghapuskan segala bibit permusuhan daripada mengakari setiap sendi kehidupan masyarakat.

Perbezaan pendapat dan pandangan politik tidak seharusnya menjadi penghalang ke arah mewujudkan kesatuan dan perpaduan umat untuk sama-sama menggembleng tenaga membina peradaban Islam di bawah naungan Ilahi.

Tambahan pula, Allah memerintahkan umatnya supaya bersatu dengan tali Allah (agama Islam) dan tidak pula berpecah-belah. Rasulullah pernah memberi amaran keras kepada umatnya bahawa jika mereka tidak bersatu, mereka akan menjadi umat yang lemah seperti buih di lautan meskipun bilangan mereka ramai.

Dalam konteks kekeluargaan pula, ibu bapa bertanggungjawab mewarnai sifat lemah lembut dalam rumah tangga supaya semua anak dapat menghirup ketenangan dan kenikmatan syurga dalam rumah mereka. Dengan ini, anak-anak pasti terhindar daripada gejala tidak sihat yang melanda masyarakat dewasa ini.

Begitu juga seorang suami bersifat lemah lembut terhadap isterinya ketika melayari bahtera kehidupan demi mencipta sebuah keluarga bahagia.

Perlu diinsafi bahawa skop sifat lemah lembut ini amat luas. Ia bukan saja terhad dalam konteks hubungan sesama manusia, malah ia turut membabitkan hubungan sesama makhluk lain yang menghuni alam maya ini.

Justeru, Rasulullah memerintahkan setiap Muslim supaya bersikap lemah lembut terhadap binatang. Dalam hal ini, baginda bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah memerintahkan bersifat ihsan (baik dan lemah lembut) dalam segala hal . Apabila kalian hendak membunuh (binatang), maka bunuhlah secara baik. Jika kalian hendak menyembelih, maka asahlah pisau setajam-tajamnya supaya dapat meringankan kesakitan haiwan yang akan disembelihnya. (Hadis riwayat Muslim)

Sahabat juga telah mempelajari keutamaan sifat lemah lembut daripada Rasulullah sebagai contoh terbaik dalam kehidupan mereka.

Satu ketika, Saidina Umar melihat seorang pemuda mengheret kasar pada kaki seekor kambing untuk disembelih, lalu Saidina Umar menegurnya: “Celaka kamu! Mengapa kamu berlaku kasar seperti itu, heretlah kambing itu dengan baik untuk disembelih.

Untuk mencipta situasi negara yang aman damai dan suasana masyarakat yang sejahtera, maka contoh terbaik daripada Rasulullah dan generasi sahabat menjadi ikutan yang sangat relevan untuk dipraktikkan dalam zaman era globalisasi dewasa ini. Akhlak Islam adalah penawar dan ubat yang ampuh bagi segala masalah dan persoalan yang menimpa umat Islam.

Saturday, May 30, 2009

Manja berlebihan antara punca remaja makin ‘liar’

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

JIKA sebelum ini samseng jalanan hanya membahayakan pengguna jalan raya dengan perlumbaan haram, tetapi sejak akhir-akhir ini mereka bertindak lebih ganas hingga berani meragut, memukul, mencederakan dan tergamak membunuh sesiapa yang cuba menghalang kegiatan mereka.

Petanda itu jelas menunjukkan gejala samseng jalanan tidak boleh dibiarkan begitu saja, malah menuntut perhatian serius dan tindakan drastik untuk menghapuskan gejala yang merosakkan remaja itu.

Jika ditinjau secara halus, ada banyak sebab mendorong remaja terbabit dalam gejala samseng jalanan antaranya sebagai satu cara untuk mencari keseronokan dan kepuasan dalam hidup kerana mereka tidak memperoleh ketenangan dan keseronokan bersama keluarga.

Oleh itu, mereka mula mencari alternatif lain untuk berseronok dan akhirnya terjebak dalam gejala samseng jalan raya. Akibatnya, masa muda dihabiskan bukan saja dengan perkara sia-sia, malah boleh membahayakan diri serta orang ramai. Mereka seolah-olah tidak mempunyai matlamat hidup.

Dalam hal ini, ibu bapalah yang sepatutnya dipertanggungjawabkan atas pembabitan remaja dalam gejala samseng jalanan. Ini kerana ibu bapa sudah mengabaikan tanggungjawab untuk mengasuh dan mendidik anak sebagai insan bertakwa serta bermanfaat kepada masyarakat dan negara.

Barangkali ibu bapa begitu sibuk dengan pekerjaan sehingga anak di rumah terbiar tanpa belaian kasih ibu bapa. Pendidikan Islam sepatutnya berupaya membentuk anak yang salih tetapi tidak pula diberikan penekanan ketika membesarkan mereka.

Pendidikan akidah berfungsi sebagai perisai yang memelihara diri anak daripada gejala merosakkan diabaikan. Mereka juga tidak diajar untuk mengenal erti kehidupan dan matlamat sebenar kehidupan mereka di dunia ini.

Tanpa pendidikan agama dan perisai akhlak Islam, muda mudi sudah tentu tidak mampu menepis ancaman budaya luar yang mendominasi masyarakat masa kini seperti pergaulan bebas, dadah, video lucah dan pelbagai perkara negatif lain.

Apa yang berlaku mutakhir ini, anak begitu dimanjakan oleh ibu bapa sehingga sanggup memberikan apa saja yang diminta mereka tanpa sebarang persoalan. Ibu bapa juga tidak lagi menghiraukan keadaan anak, membiarkan ke mana saja mereka pergi dan tidak mengambil tahu dengan siapa mereka berkawan.

Yang penting anak memperoleh apa yang mereka hajatkan. Itulah bentuk kasih sayang material dicurahkan oleh ibu bapa dengan harapan dapat mengisi masa terluang anak akhirnya menjerumuskan anak mereka ke kancah gejala sosial memudaratkan.

Perlu ditegaskan kebanyakan kegiatan dilakukan biasanya pada waktu malam, maka ibu bapa yang berada di rumah pada waktu itu sepatutnya mengawasi dan mengawal segala pergerakan anak supaya tidak terbabit gejala negatif.

Namun tanpa kawalan ketat daripada ibu bapa, sudah tentu anak begitu bebas dan berani melakukan sesuatu bertentangan dengan undang-undang.

Ringkasnya, pengisian yang salah semasa remaja, kecetekan ilmu agama, kekurangan perhatian ibu bapa, pengaruh budaya luar yang mendominasi kehidupan masa kini adalah antara punca masalah dan gejala sosial membabitkan muda mudi di negara ini.

Faktor itu menyebabkan muda mudi kekosongan jiwa yang akhirnya mendorong mereka mencari keseronokan di luar seperti berlumba haram, meragut, merompak, membunuh, bergaul bebas dengan pasangan masing-masing, malahan berzina dengan perempuan taruhan jika menang perlumbaan.

Sehubungan itu, Islam dari awal lagi menggariskan corak pendidikan yang sesuai kepada muda mudi supaya lahir sebagai generasi berkualiti serta bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Dengan mempunyai jati diri seumpama itu, anak muda tidak mudah terpengaruh dengan lambakan budaya asing yang jelas bercanggah ajaran Islam kerana mereka memiliki kekebalan diri dengan perisai Islam dan tahu memilih antara yang hak dan batil.

Perlu diinsafi bahawa mendidik dan mengasuh anak termasuk dalam pengertian ibadah kepada Allah. Setiap ibu bapa akan dipertanggungjawabkan terhadap apa dilakukan terhadap anak mereka.

Lebih-lebih lagi anak itu seumpama helaian kertas putih melepak yang belum lagi diwarnai dan dicorakkan. Maka ibu bapalah yang mewarnai dan mencorakkannya berdasarkan kepada cita rasanya masing-masing.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.” - (Hadis riwayat Bukhari)

Islam membentuk disiplin umatnya melalui pelaksanaan ibadat yang diwajibkan kepada mereka. Ibadat solat adalah perisai yang kukuh daripada sebarang amalan keji. Puasa pula bertindak sebagai bengkel kerohanian menyucikan jiwa dan raga daripada penyakit hati.

Sementara zakat menyuburkan harta di samping memintal kemas jalinan ukhuwah sesama Muslim dan begitulah seterusnya. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu suruh anak kamu mengerjakan solat apabila sampai usia tujuh tahun dan pukullah mereka apabila sampai usia sepuluh tahun (jika masih belum mengerjakan solat).” - (Hadis riwayat Abu Daud)

Selanjutnya, pendidikan akhlak memainkan peranan penting membentuk peribadi dan sahsiah muda mudi sebagai generasi berkualiti. Pendidikan akhlak perkara pertama diajar Rasulullah SAW kepada Asma’ binti Abu Bakar.

Ketika anak gadis itu akil baligh, Baginda SAW berpesan kepada Asma’ supaya menutup aurat dan memelihara batas pergaulan dengan orang lelaki.

Selain itu, ibu bapa hendaklah membimbing anak cara menguruskan masa dengan baik. Zaman remaja seharusnya dimanfaatkan dengan aktiviti, program dan amalan berfaedah. Anak perlu diinsafkan bahawa zaman remaja adalah antara soalan akan ditanya kepada setiap Muslim apabila menghadap Allah pada hari akhirat kelak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan tergelincir kedua kaki anak Adam pada hari kiamat nanti melainkan dia akan ditanya dengan lima soalan; mengenai umurnya ke mana dihabiskan; masa mudanya bagaimana dipergunakan; hartanya dari mana diperoleh dan ke mana pula dibelanjakannya; dan ilmunya apakah ia diamalkan.” - (Hadis riwayat Tirmizi, Tabrani dan Ibnu Asakir)

Monday, May 25, 2009

Didik generasi muda tanggungjawab setiap Muslim

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Semua pihak perlu serius tangani masalah disiplin pelajar, remaja yang semakin parah

STATISTIK Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 2,562 pelajar ditahan pada 2003 dan 1,429 daripadanya terbabit pelbagai kes jenayah. Pada 2005 peratusan kes jenayah pelajar meningkat iaitu 5,543 berbanding 2004, 5,140 kes.

Rekod Kementerian Pelajaran menunjukkan 21,060 pelajar (0.39 peratus) ponteng pada 2007, manakala 24,840 pelajar (0.46 peratus) pada tahun sebelumnya.

Selain ponteng, salah laku pelajar kurang sopan seperti merokok, tidak hormat guru dan pengawas serta berbahasa kesat adalah kesalahan paling banyak berlaku di sekolah membabitkan 23,220 kes (0.43 peratus) tahun lalu dan 19,980 kes (0.37 peratus) pada 2006.

Kesalahan berunsur jenayah seperti mencuri, mencederakan pelajar, bergaduh dan pukul juga antara kes banyak dicatatkan di sekolah iaitu 18,900 (0.35 peratus) tahun lalu dan 18,360 (0.34 peratus) pada 2006. Isu lewat ke sekolah atau tidak pentingkan masa juga agak ketara dengan rekod 18,360 pelajar (0.34 peratus) terbabit tahun lalu dan 15,120 pelajar (0.28 peratus) tahun sebelumnya.

Perlu diinsafi, renteten peristiwa demi peristiwa yang berlaku di kalangan pelajar kini mendukacitakan, sekali gus menjadi isyarat jelas kepada kita indeks keruntuhan akhlak di kalangan pelajar berada pada paras berbahaya.

Apa yang berlaku wajar diberi perhatian serius pelbagai pihak bertanggungjawab daripada ibu bapa, masyarakat dan kerajaan dalam mendepani kemelut yang meruncing dan tidak ketinggalan, umat Islam perlu menginsafi apakah corak pendidikan dicurahkan kepada anak muda masih tidak mencukupi.

Lantaran itu, mereka mudah terjerumus ke kancah yang akhirnya bukan saja memudaratkan diri sendiri, malah mengancam kesejahteraan masyarakat dan kestabilan negara. Umat Islam juga wajib menghisab diri apakah fenomena ini disebabkan mereka melupakan tanggungjawab mendidik generasi muda yang bakal mewarisi takhta kepemimpinan pada masa akan datang.

Oleh itu, tidak wajar kita memandang remeh apa yang berlaku dan seterusnya menganggap ia masih belum serius dan terkawal. Kita mesti berwaspada serta sentiasa beringat sepanjang masa.

Jangan pula apabila masalah sudah menjadi parah, baru kita mengambil tindakan susulan padahal ia sudah terlambat seperti kata orang tua, sudah terhantuk baru tengadah.

Umat Islam tidak usah menuding jari menyalahkan siapa yang bertanggungjawab terhadap krisis akhlak dan disiplin pelajar.

Islam menganjurkan umatnya mendidik anak dengan ilmu dunia dan akhirat. Generasi muda terdidik dengan iman, ilmu dan akhlak adalah generasi yang ampuh dan mampu berdepan cabaran zaman penuh pancaroba.

Namun, tugas mendidik bukan mudah, ia mesti dipikul setiap Muslim dalam masyarakat Islam. Perlu ditegaskan skop didikan bukan sekadar memberi makan pakai secukupnya, malah mencakupi bimbingan ke arah kebaikan dan kebahagiaan sebenar.

Ibu bapa ialah pendidik pertama kepada anak dan tidak dinafikan tanggungjawab mendidik paling besar sebenarnya terhimpun pada bahu mereka untuk mencorakkan jenis pendidikan yang akan mewarnai hati, akhlak, perwatakan serta pemikiran anak.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tiada bayi yang dilahirkan melainkan dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci dan bersih dari dosa). Ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi." (Hadis riwayat Bukhari)

Dapat disimpulkan beratnya tanggungjawab terpaksa dipikul ibu bapa. Sebab itu, sebarang kesilapan dilakukan dalam proses mendidik anak atau mengabaikan tanggungjawab itu akan membawa kemudaratan hidup anak dan mereka.

Walaupun tanggungjawab mendidik terletak di bahu ibu bapa, masyarakat sekeliling juga bertanggungjawab mendidik generasi muda Islam. Oleh itu, jangan sesekali bersikap tidak ambil peduli mengenai hal orang lain.

Masyarakat Islam sebenarnya ialah masyarakat yang bersatu padu, saling bahu-membahudan tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan. Bukankah tugas mendidik juga termasuk dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.

Lantaran itu, generasi muda perlu didekati dan dididik oleh setiap masyarakat melalui pendekatan terbaik seperti firman Allah bermaksud: "Dan serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan peringatan yang baik." (Surah al-Nahl, ayat 125)

Justeru, generasi muda yang hanyut dibawa arus kemungkaran perlu diselamatkan, ditegur dan dipimpin ke arah jalan lurus sesuai sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Barang siapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya), dan jika dia tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)

Kesimpulannya, tanggungjawab mendidik adalah tanggungjawab mulia dan besar ganjarannya di sisi Allah. Justeru, setiap anggota masyarakat dari pemimpin, rakyat dan seterusnya ibu bapa hendaklah memikul tanggungjawab mendidik generasi pewaris mereka nanti.

Sikap saling mengajar kepada perkara bermanfaat dan tegur menegur terhadap perkara yang silap sewajarnya terhias dalam setiap anggota masyarakat. Dengan itu, barulah masyarakat Islam terhindar daripada sebarang kemelut dan krisis moral yang meruncing.

Thursday, May 14, 2009

Akhlak remaja penanda aras pembangunan bangsa, negara

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

ISU gejala sosial sudah sering dibahaskan cendekiawan dulu dan mereka secara umumnya berpendapat ia satu fakta sosial yang menyerlahkan warna, rupa, bentuk dan jati diri masyarakat itu dengan sendirinya.

Selain itu, ia juga dianggap sebagai sifat yang mewakili atau contoh untuk memahami keadaan masyarakat yang berada suatu masa tertentu. Hakikatnya, sejarah penularan gejala sosial sudah melewati setiap ruang dan waktu setiap zaman.


Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan kini, gejala sosial semakin berleluasa dalam masyarakat negara apabila semakin banyaknya kes dilaporkan akhbar arus perdana dewasa ini.

Lebih-lebih lagi, kemajuan dan kesejahteraan sesebuah negara banyak bergantung kepada kestabilan institusi masyarakat yang tidak terencat dengan masalah atau krisis sosial. Oleh itu, permasalahan sosial yang semakin meruncing sewajarnya menjadi topik utama pihak berwajib dalam merencana tindakan segera dan susulan bagi mengatasi gejala itu.

Dalam konteks pengajian ilmu sosiologi, isu sosial bolehlah ditakrifkan sebagai persoalan atau perkara menjadi bahan perbincangan orang ramai. Di samping itu, ia juga mengenai fenomena masyarakat bermasalah yang timbul daripada masyarakat atau sesuatu yang menimpa masyarakat suatu masa dan tempat.

Namun, sebahagian besar masyarakat negara ini sudah membataskan atau menyempitkan pengertian dan skop gejala sosial. Apabila disebut gejala sosial atau masalah sosial, maka ia secara langsung membabitkan golongan remaja.

Padahal, gejala sosial dari sudut konsepnya adalah ungkapan yang luas maknanya sama ada dipandang dari segi makro mahupun mikro. Yang bersifat makro seperti kemiskinan, rasuah, perkauman, penindasan pekerja dan pemusnahan alam sekitar.

Sementara yang bersifat mikro seperti bunuh diri, salah guna dadah, buang bayi, bohsia, lepak, persundalan, pecah amanah, pecah rumah, perceraian, keganasan rumah tangga dan penderaan anak.

Selain itu, skop gejala sosial dari sudut empirikal bukan hanya membabitkan remaja atau muda mudi saja. Malah, ia juga turut membabitkan semua lapisan manusia sama ada secara berkelompok atau individu tanpa mengambil kira had umur, jantina, kelas, taraf, kaum dan kasta.

Ringkasnya, konsep gejala sosial berkait rapat dengan faktor perbezaan sosial, wujudnya jurang atau jarak komunikasi sosial dan keadaan masyarakat yang bercelaru atau tidak terurus. Namun, semua faktor itu berupaya memberi impak negatif secara langsung kepada pembinaan insan dan pembangunan ummah dalam sesebuah negara.

Berdasarkan fenomena gejala sosial yang berlaku secara meluas dewasa ini, dapatlah disimpulkan antara punca menyebabkan indeks gejala sosial semakin melonjak adalah disebabkan institusi keluarga yang pincang, cetek pendidikan agama, pembangunan tidak seimbang, pengaruh media massa dan rakan sebaya.

Pengaruh ibu bapa penting dalam mendidik dan mengasuh anak mengenal erti kehidupan penuh mencabar. Namun, fenomena ibu bapa bekerja sepanjang hari sedikit sebanyak menyebabkan wujudnya perubahan sosial.

Kebanyakan ibu bapa terlalu mementingkan pekerjaan, mengejar kekayaan dan menimbunkan harta daripada memberikan perhatian sewajarnya kepada anak menyebabkan mereka rasa terbiar tanpa kasih sayang serta penjagaan sempurna.

Akibatnya, mereka mula mencari alternatif dengan bercampur rakan sebaya yang bermasalah dan akhirnya menimbulkan gejala sosial di kalangan anak.

Pendidikan agama penting dalam membentuk sifat mulia dan moral terpuji dalam lingkungan masyarakat umum. Tanpa didikan agama, manusia seolah-olah tidak memiliki matlamat hidup yang jelas dan tidak berasa takut untuk melakukan sesuatu perkara biarpun bercanggah dengan agama.

Dalam satu segi lain, dasar pendidikan negara yang lebih cenderung kepada pendidikan sains dan teknologi sesuai dengan peredaran zaman tanpa memberi penekanan kepada pendidikan agama sebagai perisai konkrit untuk berdepan dengan cabaran semasa. Tanpa pendidikan agama, pelajar tidak mampu mengharungi gelombang hidup.

Faktor pembangunan tidak seimbang dilaksanakan kerajaan juga dikenal pasti antara punca mencetuskan gejala tidak sihat ini. Biarpun pada hakikatnya, pembangunan negara sudah mencapai kemajuan pesat dalam pelbagai aspek kehidupan, namun ia tidak menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.

Perkembangan teknologi semakin canggih sehingga segala maklumat tersebar di seluruh dunia dapat diperoleh dan disebarkan tanpa sempadan dalam masa yang singkat. Tanpa pegangan kukuh, manusia akan menjadi lemas ditenggelami banjir budaya besar yang dominan ini.

Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang banyak terhadap sebarang tindakan dan perlakuan anak muda kerana mereka menghabiskan lebih banyak masa bersama rakan berbanding dengan ibu bapa.

Rakan sebaya mendedahkan mereka kepada dunia baru lagi asing dan akhirnya mengubah sedikit demi sedikit perkembangan sosial serta psikologinya.

Remaja adalah aset penting kepada kelangsungan pembangunan bangsa dan negara. Jika baik remaja, maka baik dan majulah negara. Sebaliknya, jika buruk akhlak remaja, maka akan punah dan hancurlah negara.

Oleh itu, isu gejala sosial anak muda sewajarnya diberi perhatian serius dan menuntut perhatian serta rasa tanggungjawab semua pihak bermula ibu bapa, guru, masyarakat dan seterusnya pihak kerajaan dalam menangani krisis sosial yang semakin meruncing ini.

Justeru, agenda drastik dan susulan hendaklah disusun dengan lebih berkesan dan menyeluruh dalam usaha pihak kerajaan menjana kembali kekuatan bangsa serta keutuhan ummah.

Friday, May 8, 2009

Mengenang jasa ibu bapa tuntutan sepanjang hayat

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

IBU bapa mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah sehingga Allah memerintahkan kita berbuat baik kepada mereka selepas perintah mengabdikan diri kepada-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Islam menyanjung tinggi kedudukan ibu sehingga memberi penghargaan istimewa terhadap pengorbanan ibu kepada anak. Ibu insan paling banyak menanggung penderitaan demi kelangsungan hidup anak.

Pengorbanan wanita bergelar ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. Segala kesusahan ketika hamil dan kesakitan melahirkan sukar digambarkan, tetapi tiba-tiba boleh menjadi kegembiraan apabila mendengar tangisan pertama anak.

Apakah memadai jasa dan pengorbanan ibu dihayati dan dikenang tatkala menyambut hari ibu? Sudah tentu tidak kerana sikap ini tidak menggambarkan kasih sayang sepanjang hayat tetapi hanya budaya sekali setahun.

Namun hari ibu yang disambut pada 10 Mei setiap tahun tidak bermakna ia harus dibiarkan berlalu tanpa pengisian bermakna. Sebagai anak, kita dituntut mengenang jasa dan pengorbanan ibu.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. (Dengan demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)

Jasa ibu melahir dan membesarkan anak tidak dapat dibalas kerana pengorbanan memastikan kesejahteraan mereka amat besar sehingga meletakkan kedudukan syurga bagi anak di bawah tapak kaki ibunya.

Kisah Alqamah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW menjadi cerita yang terus diulang sebagai iktibar kepada generasi hari ini supaya menghormati serta menghargai ibu tidak kira dalam apa keadaan.

Alqamah ialah pemuda yang baik dan taat, rajin mendirikan solat, banyak berpuasa serta bersedekah, namun dia lebih mengutamakan isteri berbanding ibunya yang makan hati berulam jantung dengan perbuatan Alqamah.

Akibatnya dia tidak mampu mengucap dua kalimah syahadah pada penghujung hayatnya sehingga Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah apabila ibunya yang berkecil hati enggan memaafkan anak itu.

Tindakan Rasulullah SAW menyebabkan ibunya segera memaafkan Alqamah yang kemudian dengan mudah mengucapkan dua kalimah syahadah. Selepas dimandi, dikafan, disolat dan dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di tepi kuburnya lalu bersabda yang bermaksud: “Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak diterima daripadanya taubat dan tebusannya.” (Hadis riwayat Abu al-Laith)

Walaupun hatinya kecewa, kasih sayang ibu mengatasi segalanya sehingga sanggup melupakan perbuatan anak semata-mata untuk melihat mereka mendapat keredaan Allah. Oleh itu, anak sepatutnya sanggup berkorban apa saja demi ibu.

Islam mewajibkan anak menunaikan segala hak dan melayani ibunya dengan baik. Islam juga mengharamkan anak melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan dan menyinggung perasaan ibunya. Pendek kata, ibu ialah insan paling berhak mendapat layanan terbaik daripada anak selaras pengorbanan yang dilakukannya.

Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki: “Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik? Jawab Rasulullah: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Ujar Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu.”

Hadis Rasulullah SAW mengangkat kedudukan istimewa ibu sehingga berbakti kepada ibu mengatasi berbakti kepada orang lain walau kepada bapa sekalipun.

Alangkah sedihnya melihat masyarakat hari ini apabila ada anak sanggup mendera, membiarkan malah mencederakan ibu bapa apabila kehendak hati tidak dipenuhi atau disebabkan nasihat untuk kebaikan diberi.

Anak yang menderhaka terhadap ibu bapa kerana hilang nilai keimanan dalam diri dan jiwa dikuasai hasutan nafsu. Tekanan hidup hari ini juga menjadikan hubungan kekeluargaan kian jauh dan institusi keluarga makin rapuh.

Namun, apa juga cabaran, itu bukan alasan untuk menidakkan hak ibu atau membolehkan anak melupakan tanggungjawab kepada ibu bapa mereka. Ada kala, ibu tidak memerlukan wang ringgit tetapi cukup perhatian diberi anak mereka.

Anak yang derhaka kepada ibunya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup ketika di dunia dan akhirat. Selain itu, menderhaka kedua ibu bapa bererti menderhaka kepada Allah.

Daripada Abdullah Amru, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah daripada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Monday, May 4, 2009

Hamba ikhlas tak harap habuan, kemewahan dunia

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Umat Islam diberi peringatan supaya jauhi sifat ujub, riak yang boleh rosak, kesucian hati

ISLAM yang menjadi pegangan pada dasarnya mengungkap makna kepatuhan dan ketundukan secara menyeluruh kepada Allah. Justeru, Islam dalam kerangka pengertian itu tidak akan dapat dicapai tanpa dimulai sifat keikhlasan iaitu penyerahan diri sepenuhnya ke hadrat Ilahi.

Firman Allah bermaksud: "Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar." (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Sifat ikhlas antara sifat terpuji menghiasi peribadi Muslim yang bertakwa kepada Allah dan keikhlasan menjadi asas penilaian di sisi Allah sama ada amalan dilaksanakan itu diterima-Nya ataupun sebaliknya. Keikhlasan menjadi penentu kejayaan atau kebahagiaan Muslim di dunia dan akhirat.

Jika diteliti rangkaian ayat suci al-Quran, keikhlasan adalah ciri utama bagi perhiasan peribadi Muslim bertakwa. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya." (Surah al-Zumar, ayat 2)

Menurut ulama, ikhlas bermaksud safa' iaitu suci bersih lagi bening. Safa' al-qalb iaitu suci dan bersih hatinya kerana orang yang ikhlas adalah seorang yang amat bersih lagi suci hatinya.

Imam al-Ghazali menegaskan, ikhlas itu niat yang benar ketika melaksanakan sesuatu amalan. Setiap amalan salih dan kebajikan yang hendak dilakukan sewajibnya berorientasikan kerana Allah.

Tanpa keikhlasan, semua amalan kebajikan dilakukan amat mudah terkena penyakit hati yang berbahaya iaitu riak dan ujub. Seorang yang ikhlas sebenarnya adalah insan dilindungi Allah daripada penyakit hati itu.

Sehubungan itu, Rasulullah ada memberi peringatan kepada umat Islam supaya menjauhi perkara yang boleh menodai dan menghakis sifat keikhlasan kepada Allah seperti riak, ujub dan sombong hinggakan pada satu ketika Rasulullah menganggap riak itu sebahagian daripada syirik tersembunyi kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sedikit daripada sifat riak itu adalah syirik. Maka sesiapa yang memusuhi wali Allah nescaya sesungguhnya dia memusuhi Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berbakti dan bertakwa serta yang tidak dikenali ramai akan hal ehwal dirinya. Jika mereka tidak ada dan hilang (ghaib) dalam mana-mana majlis, mereka tidak dicari, dan jika mereka hadir pun di situ mereka tidak begitu dikenali ramai. Hati nurani mereka seumpama lampu petunjuk yang akan menyuluh mereka keluar daripada tempat yang gelap gelita." (Hadis riwayat Hakim)

Demikianlah gambaran indah dilukiskan Rasulullah SAW mengenai hamba yang mengikhlaskan dirinya kepada Allah. Mereka sama sekali tidak mengharapkan habuan dan kemewahan dunia, sebaliknya apa yang mereka harapkan hanyalah limpahan keredaan Ilahi dan syurga Allah.

Itulah cita-cita dan impian mereka setiap detik kehidupan yang sarat dengan pengabdian penuh tulus lagi kudus semata-mata kerana Allah. Firman Allah bermaksud: "Katakanlah. Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian saja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (menyerah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)." (Surah al-An'am, ayat 162-163)

Imam al-Ghazali menyatakan, semua manusia sebenarnya celaka, kecuali orang yang berilmu. Ilmuwan itu pun celaka, kecuali mereka yang benar-benar mengamalkan ilmu mereka. Dan yang disebutkan terakhir itu pun celaka, kecuali mereka yang menghiaskan diri dengan sifat ikhlas.

Ringkasnya, selama mana seseorang Muslim itu menyerahkan dirinya dengan penuh keikhlasan kepada Allah, maka selama itulah segala gerak geri, diamnya, tidur dan jaganya akan dinilai sebagai satu langkah ikhlas serta tulus menuju keredaan Allah.

Seorang yang ikhlas pada asasnya tidak akan terpengaruh atau termakan dengan pujian dan cercaan dilontarkan manusia lain kerana bagi mereka segala pujian indah atau cercaan buruk sama saja nilainya.

Oleh itu, tidak termasuk dalam kelompok orang yang ikhlas jika seseorang itu suka dipuja dan dipuji, apatah lagi takut pula dicerca oleh khalayak ramai.

Seorang yang ikhlas selalunya tidak mengharapkan sebarang balasan ataupun ganjaran daripada amalan kebajikan dilakukan, melainkan dia hanya mengharapkan keredaan Ilahi semata-mata. Ini bermakna orang yang beribadah dan bekerja kerana mengejar kepentingan duniawi seperti mencari populariti, pangkat dan harta bertimbun, maka dia bukanlah daripada kalangan orang mengikhlaskan diri kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Pada hari kiamat nanti, dunia akan dibawa, kemudian diasing-asingkan, apa yang dikerjakan kerana Allah dan apa dilakukan bukan kerana Allah, lalu dicampakkan ke dalam api neraka." (Hadis riwayat Baihaqi)

Orang yang ikhlas tidak mengungkit kembali segala kebaikan dilakukan. Ini bererti orang yang selalu menyebut kebaikannya, apalagi mencerca dan memburukkan orang pernah diberinya bantuan, sesungguhnya dia jauh daripada kelompok orang yang ikhlas.

Bukankah Rasulullah SAW pernah memerintahkan supaya memberi sedekah secara diam-diam, jauh daripada pandangan khalayak ramai ibarat tangan kanan memberi hinggakan tangan kiri pun tidak mengetahuinya.

Pendek kata, harta dan kemewahan dunia serta pesonanya tidak mempunyai erti, sebaliknya harta paling bernilai ialah hati yang ikhlas. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bahawa sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu, tetapi Dia hanya memandang kepada hati sanubari kamu." (Hadis riwayat Muslim)

Jika begini kedudukan seorang yang ikhlas kepada Allah dengan pelbagai kemuliaan dan keistimewaan, maka kita sebagai umat Islam sewajibnya menghiaskan diri dengan sifat mulia itu dalam usaha memartabatkan kembali kegemilangan ummah di persada dunia.

Saturday, April 18, 2009

Kekuatan akhlak, ilmu asas pembangunan insan

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi


KANAK-KANAK mengikuti kem solat yang digunakan sebagai model pembangunan insan. - Gambar hiasan


Umat wajib bersihkan jiwa daripada hasutan nafsu, kebendaan capai kehidupan diredai

SEIRING pelantikan sebagai khalifah Allah, manusia diamanah untuk memakmurkan bumi dengan pembangunan dan kemajuan sesuai kepentingan serta keperluan manusia. Perkara itu dilaksanakan umat terdahulu seperti diceritakan al-Quran.

Firman Allah bermaksud: "Demi sesungguhnya bagi penduduk Saba' satu tanda (menandakan kemurahan Allah) di tempat tinggal mereka, iaitu dua kumpulan kebun (luas lagi subur) di sebelah kanan dan kiri (kariah mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukur kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun." (Surah Saba', ayat 15)

Kaum Saba' sudah menjulang ke mercu kecemerlangan dan kegemilangan dengan Empangan Ma'ribnya yang masyhur. Ditambah limpahan nikmat Ilahi yang tiada terhingga dan kesuburan tanahnya mengubah wajah kota sekitarnya umpama syurga dunia.

Pada mulanya, penduduk kota Saba mensyukuri nikmat Allah, namun kemudian mereka lupa diri dan semakin berani melakukan kezaliman sehingga terjerumus dalam kancah kederhakaan kepada Allah. Bukan setakat itu, mereka lantang menentang seruan nabi Allah yang diutuskan kepada mereka. Natijahnya, Allah mengirimkan banjir besar sehingga meleburkan Empangan Ma'rib yang tersohor itu Segala tanaman musnah dan menjadikan negeri itu umpama padang jarak padang tekukur. Semua nostalgia silam itu dirakamkan dalam surah Saba'.

Jelas, kemajuan dan pembangunan dalam pelbagai bidang adalah keperluan kehidupan manusia serta diharuskan syarak selama ia membawa kebaikan dan manfaat kepada umat manusia. Inilah pembangunan material yang diharuskan kepada umat, tetapi pada masa sama mereka perlu menginsafi segala kemajuan dan pembangunan dicapai itu adalah dari Allah juga.

Umat Islam wajar menyatakan kesyukuran kepada Allah atas limpah dan kurnia nikmat-Nya yang tiada terhingga. Kesyukuran itu antara ciri pembangunan rohani yang perlu disemai supaya kemajuan dan pembangunan berlangsung terus seiring peredaran zaman.

Justeru, pembangunan fizikal dan kerohanian memainkan peranan ke arah kelangsungan bangsa bertapak kukuh. Meninjau keadaan umat Islam kini, pembangunan fizikal perlu dalam kehidupan ummah, sekali gus mewujudkan keunggulan umat dalam pelbagai bidang kehidupan kini.

Islam tidak melarang pembangunan fizikal selagi ia memberi manfaat. Jika pembangunan membawa kemudaratan, Islam melarangnya seperti pembangunan senjata nuklear atau pengedaran dadah. Pembangunan kerohanian yang tidak ditekankan atau diberi perhatian sewajarnya oleh umat Islam menyebabkan mereka mudah dilabelkan sebagai umat mundur dan jumud. Sedangkan, pembangunan kerohanian adalah mekanisme penting yang perlu dijana ke arah membawa umat Islam ke mercu kegemilangan. Pembangunan kerohanian bukan istilah baru dalam diari masyarakat Islam. Ia wujud sejak zaman Rasulullah SAW yang diutuskan sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam. Dewasa ini, pembangunan kerohanian dikaitkan dengan pembangunan insan.

Prof Zakaria Stapa dalam bukunya, Akidah dan Kerohanian dalam Kehidupan Muslim mendefinisikan pembangunan insan sebagai usaha berterusan memupuk dan mengembangkan potensi dalam diri manusia supaya subur dan kental keimanannya terhadap Rukun Iman serta berupaya terdorong menggesa atau menyumbang ke arah kebaikan dan kesejahteraan diri, orang lain juga alam.

Mereka juga perlu sedia dan sentiasa terpanggil untuk melaksanakan kerja pencegahan terhadap perkara mungkar yang boleh merosakkan kesejahteraan hidup.

Pembangunan insan merujuk kepada usaha pembinaan diri atau sahsiah manusia dengan nilai positif sesuai dengan akal murni dan syarak supaya kewujudan serta kehadiran mereka menjadi sumber kepada kebaikan dan kesejahteraan hidup, bukan sebaliknya.

Jelas di sini, maksud pembangunan insan adalah usaha berencana untuk melahirkan peribadi yang dapat menghayati konsep hidup manusia sebagai hamba dan khalifah Allah dengan akidah mantap, akhlak terpuji, ilmu yang kukuh serta semangat juang.

Acuan inilah juga rahsia dan formula sebenar kejayaan serta keunggulan yang dirintis generasi dulu seterusnya berjaya menghasilkan personaliti terbilang antaranya Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Othman bin Affan, Ali Abi Talib dan ramai lagi.

Merekalah yang menyemarakkan pentas dunia dengan nilai positif tiada tolak bandingnya dalam lipatan sejarah Islam. Ini bertepatan jolokan istimewa yang Allah kurniakan kepada mereka sebagai umat terbaik. Firman Allah bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk lagi keji) serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-sebenar iman)." (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Perlu diinsafi antara punca kehancuran bangsa terdahulu kerana tersebarnya kefasikan dan kemungkaran penghuninya. Oleh itu, perbuatan maksiat dan kemungkaran perlu dijauhi dan dihapuskan secara menyeluruh.

Sejarah manusia membuktikan akhlak bertindak sebagai ejen penentu kepada jatuh bangun sesebuah bangsa. Syauqi Bek pernah berhikmah: "Sesungguhnya umat dan bangsa sangat bergantung pada akhlaknya. Jika baik, maka akan kuatlah bangsa itu. Jika rosak, maka hancurlah bangsa itu."

Lebih-lebih lagi gelora globalisasi, pasca modenisme dan dunia tanpa sempadan menuntut sedikit sebanyak kesediaan umat Islam melakukan perubahan ke arah kecemerlangan Islam. Oleh itu, umat Islam semua lapisan dan peringkat menyedari peranan merealisasikan program pembangunan insan. Individu Muslim wajib memurnikan jiwanya daripada unsur syirik, belenggu fahaman kebendaan dan karat penyakit hati serta dorongan nafsu membinasakan. Setiap ibu bapa perlu menyedari tanggungjawab tarbiah anak supaya berpegang teguh dengan ajaran Islam sebenar.

Setiap anggota masyarakat Islam turut menyumbangkan saham dalam tradisi ketamadunan ilmu, membangunkan agama, bangsa dan negara di atas kefahaman Islam sebenar. Pemimpin perlu menjadikan Islam teras pentadbiran berteraskan keadilan dan ketelusan.

Memadailah Rasulullah SAW dan generasi selepasnya sebagai contoh terbaik untuk diteladani dalam program pembangunan insan yang berjaya apabila Baginda SAW berjaya mendidik generasinya dengan tauhid, akhlak, ilmu dan semangat jihad sehingga tercipta generasi bertakwa.

Pembangunan insan perlu bagi menjana kekuatan akidah, kekentalan akhlak dan kemantapan ilmu; Ketiga-tiga aspek itu perlu dicernakan seiring pembangunan material untuk membentuk pembangunan bermanfaat kepada umat manusia di bawah naungan limpahan keredaan Ilahi.

Monday, April 13, 2009

Islam galak dakwah secara berhikmah

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Kesabaran Rasulullah sebar risalah suci perlu dicontohi sepanjang zaman

DAKWAH kepada Islam adalah antara kewajipan yang dituntut kepada ummah dalam usaha menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Kewajipan berdakwah adalah seruan kepada melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Firman Allah yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik." (Surah al-Nahl, ayat 125)

Kewajipan berdakwah satu kewajipan yang besar lagi getir serta menjadi tonggak utama kepada agama, menjadi tiang atau paksi menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturannya serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Oleh itu, Allah memerintahkan umat Islam menyampaikan mesej Islam dengan penuh berhikmah. Hikmah adalah pendekatan terbaik dalam menyampaikan ajaran Islam di samping mempunyai kaitan dengan kesenian berdakwah.

Sheikh al-Sabuni ketika menafsirkan ayat itu, menjelaskan pengertian berdakwah dengan hikmah bermaksud menyeru dan mengajak manusia kepada agama Allah dan syariat-Nya yang suci secara bijaksana, berlemah-lembut dan beradab, sehingga dapat memberi kesan seterusnya diterima dengan sukarela.

Ulama dakwah mengklasifikasikan hikmah kepada beberapa jenis, iaitu hikmah mengenal status manusia, memilih masa sesuai, mencari titik pertemuan sebagai tempat bermula untuk maju secara sistematik.

Pendakwah terbabit dalam medan dakwah sudah pasti akan berdepan pelbagai ragam serta perangai manusia seperti mereka yang kuat berpegang dengan tradisi, mereka yang bersifat konservatif, kumpulan jahil dan bodoh dan yang masih ragu kerana salah faham.

Dalam konteks ini, pendakwah hendaklah berdepan sasaran masing-masing melalui cara yang sesuai dengan tahap keilmuan dan kecerdasan di samping mengambil kira aspek pemikiran, perasaan serta sahsiah peribadi mereka.

Pendakwah yang berjaya mampu menyampaikan mesej dakwah dan buah fikirannya kepada sekalian manusia sekalipun berbeza daripada segi pemikirannya, sahsiah peribadinya dan darjat serta dapat menarik seterusnya mengubah pemikiran mereka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kami diperintah supaya berbicara dengan manusia menurut kadar akal (kecerdasan mereka masing-masing)." (Hadis riwayat Muslim)

Pendakwah juga mesti bijak memilih waktu dan suasana sesuai seperti bilakah masanya dia perlu diam, bilakah pula waktunya dia mesti berbicara dan begitulah seterusnya sehingga dia dapat memperoleh hasil yang baik daripada strateginya itu.

Jika ditinjau dalam sirah Rasulullah SAW pada permulaan Islam, Baginda menerima perintah Ilahi seperti firman Allah bermaksud: "Berilah peringatan kepada keluargamu yang terdekat." (Surah al-Syu'ara', ayat 214)

Bertolak daripada itu, Rasulullah SAW memulakan misi dakwah secara rahsia terutama pada tiga tahun pertama melalui hubungan individu.

Baginda mendekati individu yang hampir dengannya dan juga kaum kerabat terdekat untuk sama-sama berkumpul dan bernaung di bawah lembayung Islam.

Kemudian, Rasulullah SAW berhasrat menyampaikan Islam kepada khalayak, tetapi dihalang Abu Lahab dengan membangkitkan isu yang menimbulkan fitnah. Apakah reaksi Baginda?

Rasulullah SAW hanya diam dengan tidak membalas, bahkan tetap tenang dan itu adalah jawapan sebenar, bahkan itulah jawapan paling tepat dalam suasana sedemikian.

Di samping itu, Rasulullah SAW mempunyai kesenian dalam berbicara. Baginda berbicara buat pertama kalinya kepada kaum kerabat dengan ringkas kerana mereka baru mendengar mengenai Islam.

Jika bicara terlalu panjang lebar, mereka pasti menjauhi Baginda. Bicara Rasulullah SAW pada asasnya sangat padat dengan hikmah dan amat rapi susunan bahasanya.

Rasulullah SAW berbicara ibarat seorang yang membangun atau mendirikan rumah, menyusun batu-bata selapis demi selapis sehingga menjadi bangunan kuat, kukuh dan indah.

Seorang manusia pada hakikatnya susah menerima buah fikiran baru yang dirasakan asing sama sekali. Justeru, pendakwah mesti pandai atau berhikmah memulakan perbicaraan yang sudah tentu menuntut tafsiran mendalam berpandukan ilmu yang sahih.

Pendakwah perlu berhikmah dalam mencari titik pertemuan sebagai tempat bertolak dan dari sana dia maju secara perlahan, selangkah demi selangkah dengan istiqamah ke arah matlamatnya.

Ajaran Islam cukup daya tarikan, pendakwah mesti pandai memilih cara tepat dan kaedah unik untuk menyampaikannya dengan pendekatan menarik bagi mengajak khalayak mendampingi Islam.

Ini jelas menerusi surat perutusan Rasulullah SAW kepada Raja Heraklius di Rom dan Muqauqis di Mesir yang beragama Nasrani. Rasulullah SAW memanggil mereka dengan gelaran Ahlul Kitab yang bermaksud tuan punya kitab suci.

Ini dirakamkan Allah dalam ayat 64, surah Ali-Imran bermaksud: "Wahai ahli kitab marilah kepada kalimah yang sama antara kami dan kamu, iaitu janganlah kita menyembah melainkan Allah dan janganlah kita mempersekutukan sesuatu apapun dengan Dia, dan janganlah sebahagian daripada kita menjadikan sebahagian lainnya sebagai tuhan selain Allah dan jika mereka berpaling katakanlah: Saksikanlah bahawa kami ini adalah orang Islam."

Pendakwah mesti pandai memulakan dan mengakhiri perbicaraannya. Ketika mengakhiri perbicaraan gunakan perkataan yang boleh menusuk ke lubuk hati, bukan kata pahit dan kesat yang meninggalkan kesan buruk.

Satu lagi saluran berkesan menyampaikan dakwah teladan yang baik dan bahasa bersesuaian dengan keadaan. Rasulullah SAW semasa pertama kali menjejakkan kaki di Madinah al-Munawwarah dan sebelum masuk kota, Baginda SAW mendirikan Masjid Quba iaitu masjid pertama dalam sejarah Islam.

Rasulullah SAW berhenti di tempat itu, tanpa banyak berbicara Baginda terus memulakan kerja. Diriwayatkan seorang wanita bernama Syamus Nu'man yang hadir pada waktu itu berkata: "Aku melihat Rasulullah SAW waktu mula sampai, Baginda turun dan berhenti, lalu mengajak sahabat mendirikan masjid itu, aku melihat Baginda mengangkat batu besar sehingga terhuyung-hayang kerana beratnya batu itu, seorang sahabat datang dan berkata kepada Baginda: Ya Rasulullah biarkanlah! Serahkanlah kepadaku untuk mengangkatnya. Rasulullah SAW menjawab: Tidak, ambil saja batu lain yang seperti ini."

Demikianlah Rasulullah SAW mempamerkan teladan berkesan kepada sahabatnya iaitu turut bersama kaum Muhajirin sehingga masjid itu disempurnakan. Rasulullah SAW bukan saja pandai mengarah dan banyak bercakap tetapi juga banyak membuat kerja.

Begitulah antara pengertian hikmah berdakwah yang menjadi aset terpenting dalam menjamin kelangsungan serta kejayaan dakwah Islam kepada umat manusia sejagat. Manusia hari ini bukan setakat mendengar apa diperkatakan tetapi melihat bagaimanakah tingkah laku pendakwah di rumahnya dan dalam lingkungan masyarakat.

Wednesday, March 25, 2009

Kewajipan berdakwah jadi tiang tegakkan Islam

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Ajaran Nabi Muhammad meliputi semua masyarakat atau bangsa menghuni alam semesta

AJARAN dan hukum hakam antara rasul ada beberapa perbezaan, namun perbezaan ajaran itu hanyalah daripada segi syariatnya selaras perubahan sikap manusia, situasi dan zaman ketika mereka diutuskan.

Apabila Rasulullah SAW diutus sebagai nabi akhir zaman, maka agama yang dibawa Baginda menjadi akidah, syariat, ikutan dan sistem yang sempurna lagi lengkap untuk seluruh umat manusia. Justeru, kewajipan menyeru manusia adalah bersifat sejagat dan menyeluruh kerana Islam adalah sumber cahaya kepada semua orang tanpa mengira warna kulit, bahasa atau bangsa.

Islam tidak terbatas kepada satu umat atau kabilah saja, lebih-lebih lagi Rasulullah SAW tidak diutuskan untuk bangsa Arab semata-mata, malah Baginda diutus untuk orang Arab dan juga Ajam (bukan berbangsa Arab).

Baginda SAW adalah nabi dan rasul kepada manusia serta jin, jadi perutusan Muhammad yang menjadi penutup kepada ajaran sekalian rasul menjadikan ajarannya meliputi semua masyarakat atau bangsa yang menghuni alam semesta ini.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbia', ayat 107)

Perlu ditegaskan bahawa tugas berdakwah kepada Islam ini adalah antara kewajipan yang dituntut kepada umat Islam dalam usaha untuk menegakkan kalimah Allah. Perintah kewajipan berdakwah ini banyak disebut dalam al-Quran.

Allah berfirman yang bermaksud: "Serulah ke jalan tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik." (Surah al-Nahl, ayat 125)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Adakah ucapan yang baik itu melainkan mereka yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebaikan seterusnya berkata, 'sesungguhnya aku daripada kalangan orang beriman'." (Surah Fussilat, ayat 33)

Al-Sheikh Muhammad Amin al-Kurdi dalam bukunya Tanwir al-Qulub menjelaskan, ayat itu menjadi dalil yang jelas kepada kewajipan menyeru dan menegah. Kewajipan berdakwah menjadi tiang atau paksi yang menegakkan binaan Islam, menyempurnakan peraturannya serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Lebih menarik, berdakwah kepada Allah adalah amalan kebaikan dan kebajikan yang diperintahkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya." (Hadis riwayat Muslim)

Menyedari kepentingan tugas berdakwah kepada Allah di bahu setiap umat Islam, Sayyid Qutub dalam kitab tafsirnya Di Bawah Bayangan al-Quran ada menegaskan, tugas dakwah satu amanah yang cukup getir dan besar tanggungjawabnya.

Seluruh ruang lingkup kehidupan manusia bergantung sepenuhnya kepada hasil gerak kerja dakwah yang akan menentukan hala tuju hidup manusia, maju dan mundurnya bangsa, jatuh dan bangunnya masyarakat dan juga bakal menentukan nasib kesudahan umat.

Apabila umat betul-betul melaksanakan perintah Allah dengan berdakwah ke arah kebenaran dan keadilan Islam, maka mereka sudah menempa era gemilang dalam sejarah tamadun manusia. Sebaliknya, jika umat melalaikan tugas dakwah, mereka menempah tiket kesengsaraan dan penyesalan yang tiada titik penghujungnya di dunia dan akhirat.

Sudah tentu dosa dan kelalaian itu ditanggung oleh orang yang sudah dipertanggungjawabkan dengan tugas dakwah tetapi dia tidak melaksanakan amanah itu.

Ini bertepatan dengan perumpamaan yang digambarkan Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud: "Perumpamaan bagi seorang yang menegakkan hukum Allah dan membabitkan diri dalam tugas itu adalah seumpama satu kaum yang berkongsi menumpang sebuah kapal. Ada sebahagian mereka yang menumpang di sebelah atas kapal dan sebahagian lain lagi menumpang di sebelah bawahnya. Penumpang yang berada di bawah kapal apabila berhajatkan air, mereka akan naik ke atas lalu mengambil air itu. Lantas mereka berkata: Alangkah baiknya kalau kita menebuk lubang di bawah kapal ini, lalu kita mendapat air dengan mudah tanpa menyusahkan penumpang di sebelah atas.

"Justeru, jika mereka dibiarkan saja dan menebuk lubang di bawah kapal itu, nescaya semua penumpang kapal akan tenggelam binasa. Sebaliknya jika penumpang di sebelah atas menegur dan menghalang penumpang di bawah kapal berbuat demikian, nescaya mereka dan semua penumpang kapal akan selamat." (Hadis riwayat Bukhari).

Ada kalanya timbul juga persoalan di benak fikiran umat Islam dewasa ini iaitu apakah tugas berdakwah ke arah kebenaran ini hanya khusus kepada kelompok ulama yang ikhlas kerana mereka adalah pewaris nabi.

Orang ramai tidak dihalang menjalankan dakwah, malah sesiapa saja daripada kalangan umat Islam tidak kira apa kedudukan dan pangkatnya, boleh berdakwah dengan cara menunjukkan contoh teladan yang baik.

Apatah lagi Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sampaikanlah apa-apa saja yang diterima dariku walaupun sepotong ayat." (Hadis riwayat Bukhari).

Friday, March 6, 2009

Ikuti seruan Rasulullah perkuat perpaduan ummah

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Wujudkan suasana keharmonian dalam hidup bermasyarakat di bawah lembayung Islam

JATUH dan bangunnya sesebuah negara berkait rapat dengan perpaduan dan kesatuan ummah yang menjadi teras kepada kestabilan negara. Ini adalah satu hakikat tidak boleh dinafikan dari segi realiti kehidupan dan kewarasan logik akal.

Pepatah Melayu juga ada berkata, "Bersatu teguh bercerai roboh". Ini diperkuatkan lagi dengan sejarah tamadun manusia yang banyak menyaksikan jatuh dan bangunnya sesebuah negara di dunia sejak zaman berzaman.

Apabila merenung kembali dan menginsafi keadaan umat Islam sekarang ini, kita dapati umat Islam masih lagi tidak bersatu dalam segala hal dan keadaan menjadi bertambah buruk apabila umat Islam saling bercakaran yang akhirnya mengakibatkan padah buruk kepada umat Islam sendiri.

Padahal umat Islam sedia maklum bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan kepada kesatuan dan perpaduan ummah seperti pernah dibina Rasulullah SAW sendiri kepada masyarakat Arab terdiri kaum Muhajirin dan Ansar.

Justeru, mereka mampu dan berjaya mencipta keunggulan serta kejayaan dalam segala aspek kehidupan selaras dengan kedudukan mereka sebagai khaira ummah.

Banyak nas yang menganjurkan umat Islam sentiasa memelihara kesatuan dan perpaduan ini antaranya firman Allah yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai; dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (ketika jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara." � (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Rasulullah SAW pernah melukiskan mengenai kesatuan dan perpaduan dengan sabdanya yang bermaksud: "Ibarat seorang mukmin dengan mukmin yang lain ialah sebuah binaan yang terdiri daripada bahan yang saling menyokong antara satu sama lain sehingga tercipta sebuah binaan." � (Hadis riwayat Bukhari)

Suasana perpaduan ini dibuktikan sendiri oleh generasi Rasulullah SAW dan sahabatnya sehingga mereka mampu melakarkan sejarah sebagai umat terbaik. Ini bukanlah suatu perkara mustahil bagi kita untuk mengulangi kembali lipatan sejarah dengan syarat kita kembali kepada Islam yang fitrah.

Menyedari akan kepentingan perpaduan ini bagi menjamin kestabilan dan keutuhan satu-satu umat dalam mengharungi gelombang hidup ini, adalah wajar bagi kita menjana kesatuan dan perpaduan yang utuh di kalangan orang Islam sendiri.

Allah memberi peringatan supaya kita memelihara perpaduan dan kesatuan ummah serta menjauhkan sama sekali sebarang permusuhan dan perbalahan yang boleh mengakibatkan perpecahan yang bisa menghancurkan negara.

Allah berfirman bermaksud: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan jangan kamu berbantah-bantahan; jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang bersabar." � (Surah al-Anfal, ayat 46)

Umat Islam perlu dan semestinya memupuk unsur membawa kepada perpaduan dan kesatuan ummah yang kukuh seperti bersaudara atas dasar Islam, berkasih sayang, saling nasihat menasihati, bantu membantu dan ziarah menziarahi.

Ini penting bagi umat Islam, lebih-lebih lagi kita sekarang berada pada alaf baru yang menuntut lebih banyak persediaan serta kesungguhan dalam menobatkan kembali kegemilangan dan kecemerlangan dalam segala aspek kehidupan.

Sehubungan itu, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Jangan kamu berdendam kesumat, jangan kamu berhasad dengki, jangan kamu berpaling muka, jangan kamu pulau memulau, sebaliknya hendaklah kamu bersaudara. Adalah tidak harus bagi seseorang Muslim tidak bertegur sapa dengan saudaranya melebihi tiga hari." � (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW ada menyediakan resipi ke arah mengukuhkan perpaduan ummah dengan bersabda yang bermaksud: "Demi nyawaku di bawah genggaman Allah! Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang. Mahukah kamu kalau aku tunjukkan kepada kamu akan satu perbuatan, bila kamu lakukannya kamu akan berkasih sayang iaitu ucapkan salam sesama kamu." � (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, Rasulullah SAW memberikan tips ke arah mewujudkan suasana keharmonian dalam hidup bermasyarakat di bawah lembayung Islam. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sebarkanlah salam, perkuatkanlah silaturahim, kasihanilah golongan fakir miskin dan jangan tinggalkan solat malam." � (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis itu, Rasulullah SAW menyampaikan empat pesanan penting ke arah pengukuhan dan pemantapan institusi masyarakat harmoni dan bersatu. Lebih-lebih lagi seruan hadis itu menemui momentumnya selari keadaan mutakhir yang berdepan pelbagai kemelut mencengkam ummah.

Kita sebagai umat Islam dapat menyaksikan kedamaian dan keharmonian semakin tergugat dan berkocak disebabkan longgarnya kesatuan ummah di samping tali silaturahim sesama manusia pun semakin terungkai simpulannya.

Biarpun kedengaran suara supaya kembali kepada Islam dan akhlak Islam namun bagaikan air dicurahkan di daun keladi.

Marilah bersama berusaha untuk merealisasikan cita-cita mencipta perpaduan dan kesatuan ummah seperti pernah dikecapi generasi umat Islam terdahulu. Oleh itu, kita perlu mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Pada masa sama, mestilah memelihara perpaduan dan kesatuan ummah supaya terus utuh sepanjang masa berbekalkan ilmu yang mantap dan sinaran penghayatan keagamaan tidak pernah pudar.

Monday, February 23, 2009

Teman berakhlak dorong arah kebaikan

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi


PEMILIHAN teman berakhlak dan salih jadi benteng kepada seseorang daripada terpengaruh gejala sosial. - Gambar hiasan


Islam letak garis panduan memilih rakan elak terpengaruh gejala sosial

MANUSIA tidak boleh hidup bersendirian dan sentiasa mengharapkan orang lain. Oleh itu, manusia memerlukan teman untuk mengharungi kehidupan serta menghadapi cabaran suka duka di dunia ini.

Itulah antara hikmah di sebalik penciptaan manusia pelbagai bangsa, agama serta latar belakang.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Islam sebagai agama yang syumul lagi lengkap dalam semua aspek kehidupan manusia tidak ketinggalan menyentuh persoalan teman atau sahabat yang sewajarnya menjadi pilihan umat Islam.

Apatah lagi pakar psikologi dan ulama tasauf sering menekankan teman mampu mempengaruhi perwatakan dan pembawaan diri temannya yang lain.

Rasulullah SAW memberi peringatan kepada umatnya supaya berhati-hati memilih teman. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Seseorang itu menurut agama sahabatnya, oleh itu seseorang Muslim itu hendaklah berhati-hati dengan siapakah yang harus dia pilih sebagai sahabat." (Hadis riwayat Ahmad)

Jelas daripada mafhum hadis itu, jika temannya itu orang yang baik dan salih, maka dia akan membantunya menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim di samping memelihara hak serta kewajipan dalam konteks persahabatan.

Sebaliknya, jika temannya itu teman yang jahat, maka akibatnya sudah pasti dia berada dalam kancah kejahatan. Akhirnya, dia akan menyesal seperti kisah yang dirakamkan Allah mengenai orang yang tersilap memilih teman ketika di dunia.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya seraya berkata: Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama Rasul! Kecelakaan besarlah bagiku semoga (dulu) tidaklah aku menjadikan si polan itu teman akrabku. Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku daripada al-Quran ketika al-Quran ini datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mahu menolong manusia." (Surah al-Furqan, ayat 28 - 29)

Sehubungan itu, Islam meletakkan garis panduan untuk kita memilih teman yang salih dan sejati. Rasulullah SAW mengajar supaya memilih sahabat yang mendorong ke arah kebajikan dan amal salih. Ini kerana setiap kita mudah terpengaruh dengan sifat, agama dan peribadi temannya itu.

Teman yang baik budi pekerti dan salih penting untuk merangsang kita berakhlak mulia sepertinya. Begitulah sebaliknya, teman yang jahat hanya akan mendorong ke arah kejahatan dan kemaksiatan yang dimurkai Allah.

Ditinjau situasi masyarakat dewasa ini, dapat diperhatikan betapa anak muda tidak begitu mengambil endah akan hal memilih teman yang baik. Maka tidak hairanlah, ramai daripada kalangan muda mudi begitu mudah terjebak dalam kancah gejala sosial dan jenayah yang dilarang.

Menurut kajian dijalankan, antara punca utama menyebabkan mereka mudah terjerumus ke kancah itu ialah pengaruh sahabat dan teman sebaya. Mereka dengan tidak segan silu bergurukan teman rapat berbanding ibu bapa.

Akibatnya, berlakulah kes derhaka kepada kedua ibu bapa, rumah tangga bercerai-berai dan lari dari rumah. Sekarang tiada guna menuding jari meletakkan kesalahan kepada sesiapa kerana ia sudah pun berlaku dan paling penting ialah berusaha mengatasi kemelut yang meruncing daripada mengakari serta melarat dalam masyarakat.

Islam menekankan pemantapan akhlak terpuji dan pengisian rohani dengan keimanan tulus kepada Allah dalam diri Muslim. Institusi keluarga adalah benteng pertama dan juga unit terpenting dalam satu-satu masyarakat yang melahirkan generasi terbilang untuk kepemimpinan Islam akan datang.

Justeru, tanggungjawab sebenarnya digalas setiap ibu bapa untuk mendidik dan mengasuh anak sebagai insan yang salih dan bertakwa kepada Allah. Apalah gunanya kekayaan dan harta benda bertimbun sedangkan anaknya terbabit dalam gejala sosial yang hanya akan mendatangkan masalah serta ancaman kepada masyarakat dan negara.

Selain itu, masyarakat juga sewajarnya peka dan prihatin terhadap anggota masyarakatnya terutama muda-mudi yang masih mentah dengan rentak kehidupan ini. Untuk itu, setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan memantau segala gerak geri muda- mudi dengan menggalakkan amalan bermanfaat serta mencegah amalan dilarang Allah.

Ini adalah ciri masyarakat Islam yang baik seperti terungkap dalam firman Allah yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Teman sejati dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Ibarat teman yang baik itu adalah seumpama seorang yang membawa haruman kasturi. Walaupun kamu tidak dapat memilikinya, namun kamu dapat juga menghidu bau harumnya dan bandingan teman yang jahat itu seperti seorang (tukang besi) yang menggunakan alat hembusannya. Biarpun kamu tidak terkena habuknya yang hitam, akan tetapi kamu terkena juga asapnya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Persahabatan dengan teman yang salih lagi bertakwa akan menjulang temannya itu ke mercu kemuliaan dan kesejahteraan, manakala persahabatan dengan teman yang jahat pula hanya membawanya ke lubuk kehinaan dan kecelakaan yang tiada penghujungnya.

Sebagai renungan bersama, seorang ahli hikmah pernah menyatakan: "Sesiapa yang ingin bersahabat dengan lapan jenis manusia, maka akan bertambah lapan pula akibatnya. Pertama, sesiapa yang berkawan dengan orang kaya, maka akan bertambahlah cintanya kepada dunia.

Kedua, sesiapa yang bersahabat dengan orang fakir miskin, maka akan bertambahlah rasa syukur dan reda dengan rezeki diperolehnya. Ketiga, sesiapa yang bertemankan pemimpin, maka akan bertambahlah kecongakan dan kesombongannya.

Keempat, sesiapa yang bersahabat dengan wanita, maka akan bertambahlah kebodohan dan nafsu syahwatnya. Kelima, sesiapa yang bergaul dengan anak-anak atau kanak-kanak, maka akan bertambahlah sifat suka bermainnya dan membuang masa.

Keenam, sesiapa yang bersahabat pula dengan orang fasik, maka akan bertambahlah keberaniannya untuk berbuat dosa dan menangguhkan taubat kepada Allah. Ketujuh, sesiapa yang suka bergaul dengan orang salih, maka akan bertambahlah keinginannya untuk taat kepada Allah. Akhirnya, sesiapa yang suka berkawan dengan ulama, maka akan bertambahlah ilmu dan sifat waraknya."