Showing posts with label (A) Ghafani Awang Teh. Show all posts
Showing posts with label (A) Ghafani Awang Teh. Show all posts

Friday, March 27, 2009

Politik wang wariskan pemimpin tidak berkualiti

Oleh Ghafani Awang Teh

Proses demokrasi tercalar, sistem bernegara tergugat jika perebutan kuasa jadi agenda utama

PERBUATAN merebut dan mencantas pihak lain untuk menjadi pemimpin adalah bercanggah dengan ajaran Islam dan hak asasi manusia. Rasulullah SAW menegah umat Islam daripada meminta-minta untuk menjadi pemimpin dalam urusan pentadbiran negara.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa suatu ketika Abdul Rahman Samurah ditegur Rasulullah SAW, sabdanya yang bermaksud: "Wahai Abdul Rahman Samurah, jangan engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Jika diberi kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan."

Hadis ini menjelaskan dalam Islam jawatan pemimpin adalah tanggungjawab yang berat. Ia bukan status yang direbut bagi mendapatkan sanjungan dan keistimewaan. Oleh itu, Islam menegaskan jawatan pemimpin tidak boleh ditagih mengikut desakan naluri dan nafsu semata-mata.

Bahkan, proses pemilihan pemimpin atau pentadbir perlu dilakukan dengan adil berasaskan kelayakan, karisma dan ciri kepemimpinan seperti bertakwa, berakhlak tinggi, bertanggungjawab, sabar, boleh merancang dan bijak melaksanakan tugas.

Allah mengingatkan kepemimpinan paling berkesan ialah kepemimpinan melalui teladan seperti ditunjukkan Rasulullah SAW. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya sudah datang kepada kamu seorang rasul daripada golongan kamu sendiri yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang beriman." (Surah at-Taubat, ayat 128)

Pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang dan prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka. Justeru, memegang kuasa melalui kemenangan politik wang hanya memberi keseronokan sementara untuk diri dan penyokong.

Budaya politik wang yang bertujuan memenuhi kepentingan diri dan segelintir puak memberi kesan penderitaan jangka panjang kepada negara dan rakyat. Sejarah silam tamadun Islam menunjukkan bagaimana pemimpin terbabit politik wang, tamak kuasa, mengutamakan puak dan keluarga serta mementingkan nafsu menjadi penyebab utama tumbangnya kerajaan Umaiyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah.

Politik wang menimbulkan perpecahan di kalangan pemimpin. Mereka berusaha menjatuhkan rakan seperjuangan dan pihak lawan walaupun secara tidak sah demi mencapai matlamat dalam politik.

Perebutan sengit kadangkala melalaikan mereka melaksanakan tugas hakiki iaitu memberi perkhidmatan memuaskan kepada masyarakat. Gelagat dan tingkah laku buruk pemimpin ini boleh menimbulkan rasa bosan dan meluat di kalangan rakyat.

Keadaan bosan berterusan menggugat sistem bernegara kerana rakyat hilang kepercayaan dan keyakinan kepada pemimpin yang asyik mengejar atau mengaut kepentingan diri. Dengan perkataan lain, 'pemimpin bertelagah rakyat berpecah'.

Oleh itu, kita perlu insaf budaya politik wang mewariskan pemimpin tidak berkualiti, berakhlak dan berintegriti. Pemimpin yang berkuasa melalui politik wang melahirkan pemimpin yang mudah mengamalkan rasuah dan perbuatan keji lain. Lebih malang, amalan politik wang menutup proses demokrasi secara sihat kerana orang yang berduit saja berpeluang menjadi pemimpin besar.

Pihak yang tiada wang tidak berpeluang menjadi pemimpin walaupun benar-benar layak memimpin.

Kita juga perlu mengambil pengajaran ada pemimpin yang baik, tetapi terikut-ikut dengan kehendak dan tekanan penyokong dalam memenuhi agenda politik wang, maka pemimpin berkenaan tersungkur.

Kini orang Islam masih menjadi kuasa utama kepemimpinan negara. Kekuatan politik yang ada di tangan umat Islam menjadi ukuran kestabilan politik di negara ini. Oleh itu, apabila kuasa politik Islam lemah, maka pihak lain akan mengambil kesempatan.

Kita perlu ingat kelemahan kepemimpinan Islam menyebabkan pihak tertentu mengambil peluang memperhebatkan tekanan yang mencabar institusi Raja sebagai ketua agama Islam, mempertikai Islam dalam Perlembagaan dan pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini.

Prinsip ketiga pendekatan Islam Hadhari menetapkan kerajaan perlu berlaku adil dan beramanah. Untuk mencapai matlamat itu, amalan buruk dalam berpolitik seperti politik wang, menyalahgunakan kuasa dan rasuah perlu ditolak dan dihapuskan. Mereka yang mengamalkan budaya ini tidak wajar diberi ruang sebagai pemimpin.

Mereka yang berjaya menjadi pemimpin secara sah mempunyai amanah dan tanggungjawab besar di sisi Allah. Mereka bertanggungjawab menentukan hala tuju negara dan rakyat ke arah pegangan hidup selari dengan ajaran al-Quran dan sunah. Pemimpin yang menunjukkan teladan, amanah dan baik terus disanjung serta ditaati rakyat.

Sebagai peringatan dalam pencarian pemimpin elok kita renungi rakaman pertukaran pemimpin antara Nabi Musa dan Nabi Harun dalam al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan berkatalah Musa kepada saudaranya Harun: "Gantikan aku dalam (urusan memimpin) kaumku, dan perbaikilah dan jangan engkau menurut jalan orang yang melakukan kerosakan." (Surah al-A'raf, ayat 142)

Penulis ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Saturday, March 1, 2008

Masjid sebagai destinasi pelancongan

Oleh Ghafani Awang Teh

PELANCONGAN keagamaan yang dikaitkan dengan pusat dan tempat bersejarah sesuatu agama adalah produk pelancongan yang berkembang pesat. Banyak negara sudah melancarkan kempen tahun melawat di negara masing-masing turut mempromosikan pusat keagamaan sebagai destinasi pelancongan.

Malaysia turut mengambil langkah sama, tetapi tidak dinafikan usaha itu terutama menjadikan masjid sebagai destinasi pelancongan menjadi isu negatif di kalangan masyarakat yang beranggapan kedatangan pelancong terutama bukan beragama Islam boleh menjejaskan kesucian masjid yang menjadi rumah Allah.

Persoalan besar timbul ialah apakah hukum orang bukan Islam memasuki masjid? Berdasar pendapat Mazhab Syafie, orang bukan Islam dilarang secara mutlak memasuki Masjidil Haram seperti dinyatakan firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Sesungguhnya (kepercayaan) orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid al-Haram sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu daripada limpah kurnia-Nya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 28)

Masjid lain pula pada pandangan ulama Syafi’iyah adalah diharuskan jika bertujuan baik. Ulama ini berpegang pada hadis sahih diriwayatkan Bukhari, menjelaskan bahawa sekumpulan tentera Islam yang baru kembali dari medan perang Nejad membawa seorang tawanan perang bernama Tsumamah Utsaal dari Bani Hanifah yang ketika itu belum beragama Islam dan mengikatnya pada tiang dalam sebuah masjid.

Kemudian Rasulullah SAW menuju kepada tawanan itu seraya bersabda: “Lepaskanlah Tsumamah.” Kemudian Tsumamah berangkat menuju ke kebun kurma berdekatan masjid dan mandi. Selepas itu Tsumamah masuk semula ke dalam masjid sambil melafazkan kalimah dua syahadah menjadi seorang muslim.”

Berdasarkan hadis itu nyata bahawa jika tindakan membawa seseorang bukan Islam ke dalam masjid menjadi satu kesalahan tentu sekali Rasulullah SAW akan menegur tindakan sahabat membawa masuk Tsumamah ke dalam masjid itu.

Bagaimanapun bagi menjamin dan memelihara kesucian masjid, pihak pengurusan perlu membuat peraturan sesuai umpamanya dimestikan menutup aurat, tidak meninggikan suara atau membuat bising serta menentukan masa sesuai yang tidak mengganggu umat Islam menunaikan ibadat.

Dari aspek pelancongan, kita dapati Masjidil Haram Makkah dan Masjid Nabawi Madinah di Arab Saudi menjadi tempat kunjungan paling popular di dunia. Pada musim haji saja kira-kira 3 juta umat Islam mengunjungi Makkah dan Madinah.

Menurut Lembaga Pelancongan Arab Saudi menjelang 2020 dijangkakan seramai 45.5 juta orang Islam akan mengunjungi dua tempat suci itu dengan anggaran pendapatan sebanyak SR80 bilion setahun. Perbelanjaan besar umat Islam itu memberi peluang perniagaan yang besar kepada penduduk Arab Saudi.

Walaupun masjid dan tempat sejarah Islam yang ada di negara kita tidak sehebat di Arab Saudi, tetapi ia berpotensi besar untuk menarik pelancong terutama orang bukan Islam menziarahi masjid dan tempat sejarah Islam yang ada di negara kita.

Berdasarkan pemerhatian, perkara yang menjadi daya tarikan pelancong terutama pelancong bukan Islam ketika melawat masjid ialah keindahan menara, seni bina masjid, mihrab, mimbar, hiasan dalaman masjid yang tenang, tempat wuduk, peranan imam, kemerduan suara muazzin, peranan makmum dan cara umat Islam menunaikan sembahyang.

Bagi umat Islam, daya tarikan ini kelihatan perkara biasa, tetapi bagi orang bukan Islam adalah sesuatu yang perlu diketahui secara mendalam kerana nyata suasana ketenangan rumah Allah itu berbeza dengan suasana rumah ibadat agama lain.

Di sebalik kecenderungan besar pelancong bukan Islam terhadap produk pelancongan berasaskan keagamaan ini, maka sewajarnya umat Islam mengambil kesempatan memperluaskan pengetahuan mengenai Islam melalui pelancongan.

Bagaimanapun bukan mudah untuk menarik pelancong datang menziarahi masjid kecuali pihak pengurusan masjid mampu mengambil langkah tertentu seperti menyediakan maklumat berkenaan sejarah penubuhan masjid, persekitaran bersih dan ceria serta kemudahan tandas selesa.

Begitu juga fungsi dalaman masjid, menyediakan kemudahan tempat letak kenderaan yang selesa, menjalankan promosi luas kepada masyarakat setempat dan perkhidmatan pemandu pelancong selain menyediakan ruangan pameran serta galeri.

Pada masa ini antara masjid yang berpotensi besar menarik pelancong ialah masjid negeri dan Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Terapung Tengku Tengah Zaharah dan Masjid Kristal Jerteh di Terengganu, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Masjid Kampung Laut Kelantan dan Masjid Ulu Melaka, Melaka.

Masjid yang paling berjaya menarik pelancong ialah Masjid Negara. Menurut laporan, Masjid Negara mendapat kunjungan kira-kira 255,800 pelancong asing sepanjang 2007.

Selari dengan usaha memakmurkan masjid ini, maka marilah kita merenungi firman Allah bermaksud: “Bahawasanya yang memakmurkan masjid ialah orang yang beriman kepada Allah, hari Akhirat, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, tidak takut melainkan kepada Allah, maka mudah-mudahan mereka yang memakmurkan masjid itu mendapat hidayah daripada Allah.” (Surah at-Taubah, ayat 18)

Penulis ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Friday, February 22, 2008

Pilihan raya selaras amalan syura

Oleh Ghafani Awang Teh

KEBEBASAN: Pilihan raya adalah cara terbaik untuk memilih kerajaan sesebuah negara.

Proses demokrasi langkah selari ajaran Islam memilih pemimpin layak

BUKAN mudah untuk menjadi pemimpin politik dan membela hak kepentingan rakyat jelata. Bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto mati dibunuh pada 27 Disember 2007 dalam usahanya untuk memimpin semula Pakistan.

Dalam perkembangan semasa, Kenya di benua Afrika pula menjadi huru-hara kerana proses pilihan raya dikatakan ada penipuan. Di Palestin, kita lihat walaupun Parti Hamas memenangi pilihan raya bebas tetapi kemenangan itu tidak diiktiraf Barat kerana dikatakan bercanggah dengan dasar demokrasi Barat.

Pada dasarnya, proses demokrasi adalah langkah selari dengan ajaran Islam. Proses pengundian dalam pilihan raya untuk memilih pemimpin dianggap sebagai penyaksian memilih pemimpin yang layak memerintah negara.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan mintalah kesaksian daripada dua orang yang adil di antara kamu." (Surah al-Talaq, ayat 2)

Pemilihan Nabi Muhammad SAW sebagai ketua negara Islam Madinah pada masa itu tidak ditentukan oleh pilihan raya tetapi dilantik secara mutlak oleh Allah SWT selari dengan pemilihan Baginda sebagai Rasul Allah SWT.

Ia selaras dengan firman Allah yang bermaksud: "Allah mengutus Nabi Muhamad SAW sebagai Rasul Allah bertujuan membawa rahmat kepada makhluk sejagat." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Proses pilihan raya bermula selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW pada 632 Masihi. Menurut pendapat mazhab empat, Nabi Muhammad SAW tidak menentukan penggantinya. Baginda menyerahkan urusan penggantinya kepada umat Islam pada masa itu.

Menurut sirah Ibnu Ishak, pemimpin Kaum Ansar dan Muhajirin berkumpul dan mengadakan Majlis Syura di Dewan Saqifah Bani Saidah untuk mencari pemimpin yang layak menggantikan Rasulullah SAW.

Dua pemimpin Ansar dicalonkan iaitu Said bin Ubadah dan Abu Ubaidah al-Jarrah. Kumpulan Muhajirin juga mencalonkan dua wakil iaitu Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab. Menurut Ibnu Ishak pada peringkat awal berlaku ketegangan antara golongan Ansar dan Muhajirin dalam proses pemilihan pengganti itu.

Bagaimanapun dengan kebijaksanaan dan semangat keislaman yang tinggi maka Majlis Syura bersetuju memilih Saidina Abu Bakar sebagai Khalifah pertama. Kumpulan Ansar dan Muhajirin berikrar mematuhi (berbaiah) kepimpinan Khalifah Abu Bakar.

Dalam ucapan dasar sebagai Khalifah, Saidina Abu Bakar antara lain menyatakan: "Wahai manusia, aku dilantik memerintah kamu. Aku bukanlah orang yang paling layak daripada kalangan kamu. Jika kamu melihat aku berada di atas jalan yang benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, maka perbetullah aku."

Ketika menjelang saat wafatnya, Saidina Abu Bakar menunjukkan Saidina Umar al-Khattab sebagai penggantinya. Pilihan itu dipersetujui sahabat.

Khalifah Umar ketika menyampaikan ucapan dasarnya sempena pemilihannya menyatakan: "Wahai manusia, sesiapa yang melihat aku menyeleweng, perbetulkan aku." Kemudian seorang makmum berkata, "Demi Allah SWT jika kami melihat kamu menyeleweng, kami akan memperbetulkan dengan mata pedang kami!" Umar menjawab: "Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang menjadikan di kalangan rakyat Umar, terdapat mereka yang akan memperbetulkan penyelewengan Umar dengan mata pedang."

Demikian juga ketika menjelang kewafatannya, Saidina Umar membentuk satu pasukan seramai enam orang sahabat besar untuk memilih salah seorang di kalangan pasukan itu menggantikannya. Saidina Uthman terpilih. Demikian juga pelantikan Saidina Ali ditunjukkan oleh Saidina Uthman dan dipersetujui oleh sahabat besar yang lain.

Berdasarkan analisis pemilihan pemimpin di zaman Rasulullah SAW dan Khulafa' al-Rasyidin, ternyata caranya berlainan. Nabi Muhammad SAW tidak menentukan pengganti tetapi menyerahkan kepada amalan syura.

Begitu juga dengan amalan Khulafa' al-Rasyidin walaupun ditentukan pengganti tetapi diluluskan secara syura. Antara ciri penting kepimpinan Rasulullah SAW dan sahabatnya ialah kepimpinan melalui teladan dalam pematuhan perintah Allah dan beramanah.

Persoalan besar timbul ialah mengapa syura penting dalam pemilihan pemimpin. Syura secara mudahnya bermaksud bermesyuarat. Pada dasarnya syura adalah sebahagian proses demokrasi. Sebagai perbandingan kita boleh qiaskan dalam kepimpinan sembahyang.

Islam sendiri mengajarkan bahawa seseorang yang tidak disukai orang ramai tidak boleh menjadi iman dalam solat. Ketika mengulas perkara itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada tiga jenis manusia yang tidak akan diangkat pahala solat mereka sejengkal pun daripada kepala mereka. Salah satu antaranya ialah seorang imam yang memimpin kaumnya (dalam solat) sedangkan mereka (pengikut) tidak suka terhadapnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Pengajaran besar daripada hadis ini ialah pemilihan pemimpin secara syura dapat mengelakkan pemimpin yang tidak disukai rakyat. Dengan demikian, pemilihan pemimpin yang dibuat secara individu, melalui pertemuan rahsia empat mata, dibeli undi, tidak adil dan pemilihan secara 'Pak Turut' akan melahirkan pemimpin yang tidak disukai rakyat terbanyak.

Penulis ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Tuesday, January 29, 2008

Islam Hadhari celik akal masyarakat

Oleh Ghafani Awang Teh

Demonstrasi tak boleh tutup kempen jahat Barat burukkan agama Allah

APAKAH benar wujud Islam fobia di kalangan bukan Islam atau sekadar digembar-gembur musuh Islam untuk menjauhkan masyarakat dunia mendekati ajaran Islam? Menurut penulis terkenal di Barat dan juga bekas penggerak Kristian, Karen Armstrong, dalam majalah Time Magazine keluaran 17 September 2001, jika benar Islam agama fobia mengapa Islam hari ini terus menjadi agama terpantas berkembang di seluruh dunia?

Seterusnya Karen Armstrong menjelaskan, ketika berlaku perang Salib di Palestin pada 1099 masihi, seramai 65,000 orang Islam dibunuh dalam masa dua hari ketika puak Barat menawan Jerusalem. Tentera Salib juga membunuh beribu orang Yahudi dalam perjalanan menuju Jerusalem di Palestin.

Menurut Karen Armstrong lagi, dalam Perang Dunia Kedua, tentera Nazi dilaporkan membunuh enam juta orang Yahudi di Eropah dalam peristiwa Holocaust. Demikian juga dalam Perang Dunia Kedua 1945 ketika tentera Pakatan Barat di ketuai Amerika Syarikat menggunakan bom nuklear mengebom bandar Hiroshima dan Nagasaki menyebabkan 220,000 orang terutama rakyat Jepun terbunuh. Persoalan besar timbul ialah mengapa isu keganasan pihak barat tidak pula dikaitkan dengan pegangan agama mereka.

Berdasarkan ulasan waras Karen Armstrong ternyata Islam bukanlah agama fobia. Isu Islam agama fobia adalah isu kempen atau propaganda lama musuh Islam untuk memburukkan agama Islam. Isu dalaman yang wujud dalam negara Islam tiada kena mengena dengan Islam fobia, tetapi ia berkait rapat dengan kelemahan, kelalaian umat Islam atau dipengaruhi campur tangan kuasa asing yang turut menyumbang kepada ketidakstabilan dalam negara Islam.

Peringatan Allah dalam al-Quran jelas bahawa kempen memusuhi Islam bermula sejak nabi Adam lagi yang diketuai iblis. Musuh Islam tidak akan berdiam diri dan berterusan hingga kini diketuai pula oleh manusia yang berwajah iblis atau syaitan.

Musuh Islam akan terus mengambil kesempatan dan mengeksploitasi kelemahan umat Islam untuk terus menuduh Islam sebagai agama pelampau dan menganjurkan keganasan. Tuduhan bahawa Islam agama fobia berat untuk diterima umat Islam kerana Islam adalah agama Allah.

Persoalan besar timbul, apakah peranan umat Islam untuk membersihkan agama Allah daripada tuduhan Islam agama fobia itu? Apakah cukup umat Islam bertempik, berarak ke hulu hilir berdemonstrasi di hadapan kedutaan asing atau memulau produk keluaran Barat sebagai bantahan kempen memburukkan Islam itu? Apakah tindakan ini boleh menutup kempen jahat Barat memburukkan Islam?

Selari dengan perubahan dunia, masyarakat dan kempen memburukkan Islam oleh pihak tertentu, maka kerajaan berikhtiar melakukan ijtihad selari dengan konsep Siyasah Syar'iyyah. Ijtihad itu ialah kerajaan melancarkan pendekatan Islam Hadhari.

Pendekatan Islam Hadhari secara mudahnya adalah merujuk kepada penonjolan inti sari penting ajaran Islam yang dikumpul daripada ajaran al-Quran, sunnah dan kupasan cerdik pandai Islam. Pendekatan itu jika dilaksanakan secara ikhlas, diyakini boleh menepis kempen jahat pihak tertentu.

Setakat ini, inti sari ajaran Islam yang dijadikan pendekatan Islam Hadhari itu mengandungi 10 komponen iaitu, membentuk manusia bertakwa dan beriman, mewujudkan kerajaan yang adil dan amanah, rakyat berjiwa merdeka, menguasai ilmu, menguasai kekuatan ekonomi, kehidupan berkualiti, pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita, keutuhan budaya dan moral, pemeliharaan alam semula jadi dan akhir sekali penekanan kekuatan pertahanan.

Dalam pendekatan Islam Hadhari, hak bukan Islam jelas diletakkan di bawah peruntukan ‘pembelaan hak kumpulan minoriti’. Ini selari firman Allah bermaksud: “ Tidak ada paksaan kepada orang bukan Islam untuk memasuki agama Islam, sesungguhnya jelas jalan yang benar daripada yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 256).

Firman Allah lagi bermaksud: “Manusia dicipta daripada pelbagai keturunan dan puak untuk berkenalan dan mesra sesama mereka.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Berdasarkan analisis pendekatan Islam Hadhari, ternyata pendekatan itu jelas menonjolkan Islam sebagai agama tidak melampau, mengutamakan perseimbangan dunia dan akhirat, saling melengkapi keperluan manusia sejagat yang nyata membawa rahmat, mesra dunia dan mesra masyarakat.

Penonjolan hebat pendekatan Islam Hadhari pada peringkat tempatan dan antarabangsa, maka sudah pasti akan memberi celik akal masyarakat bukan Islam bahawa Islam adalah agama menarik dan menyenangkan untuk diamalkan.

Syeikh Yusuf Qaradawi dalam buku Kedudukan Non-Muslim Dalam Negara Islam menyatakan menjadi tanggungjawab negara Islam menjaga hak asasi orang bukan Islam untuk mendapat perlindungan dalam keselamatan, harta benda, bantuan kesusahan, kebebasan bekerja, menjawat jawatan, kebebasan beragama dan mengamalkan kepercayaan.

Selari dengan wawasan hijrah, kerajaan sudah mengambil langkah sewajarnya mengembalikan Islam sebagai agama Allah yang dihormati pada peringkat tempatan dan antarabangsa. Dalam usaha menjayakan ijtihad itu, kerajaan memerlukan sokongan dan kerjasama umat Islam menjayakannya.

Firman Allah bermaksud: “Dan demikianlah Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan (bersikap pertengahan) supaya kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan supaya Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 143)

Penulis ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial Dan Masjid Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Monday, January 21, 2008

Islam Hadhari ramuan pacu gemilang

Oleh Ghafani Awang Teh

Peningkatan ekonomi, pendidikan berkualiti paksi kecemerlangan ummah, negara

ISLAM sebenarnya agama yang cemerlang dan gemilang. Ini adalah berdasarkan sejarah perjuangan rasul silih berganti yang menyeru manusia menjadi insan cemerlang dan salih berlandaskan piawaian ditetapkan Allah SWT.

Kitab suci al-Quran yang menjadi rukun iman kepada orang Islam juga hebat. Dasar pengajaran kitab suci daripada Rasul terdahulu seperti kitab Zabur Nabi Daud, Taurat Nabi Musa, Injil Nabi Isa, dan Suhuf Nabi Ibrahim diteruskan dalam al-Quran mengikut keperluan dan kesesuaian umat zamannya.

Allah memberi peringatan bahawa umat berilmu mempunyai kelebihan darjat daripada mereka yang tidak berilmu (az-Zumar: 9), manusia adalah sebaik-baik kejadian (at-Tin: 4), umat Islam adalah umat yang terbaik ( Ali-Imran : 103), Islam adalah agama membawa rahmat kepada manusia (al-Anbiya':107), umat Islam hendaklah menjadi teladan kepada umat yang lain (al-Ahzab:21).

Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir berjaya membentuk ummah yang cemerlang dan salih. Permulaan baik yang diasaskan Rasulullah itu diteruskan pula oleh Khulafa' ar-Rasyidin, Kerajaan Umaiyyah, Kerajaan Abasiyyah dan Kerajaan Othmaniah Turki sehingga mencapai zaman ketamadunan Islam yang cemerlang dan gemilang.

Bagaimanapun, selepas itu pengaruh negara Islam kepada ekonomi dan politik dunia terus merosot. Negara Islam gagal mempertahankan hak dan mencipta semula kegemilangan ummah seperti dituntut ajaran Islam.

Berdasarkan pemerhatian pencapaian negara maju, ternyata wujud kaitan yang kuat bahawa kejayaan dalam ekonomi dan pendidikan akan meningkatkan kegemilangan sesebuah negara.

Kajian Goldman Sachs Group iaitu syarikat perunding kewangan terkenal dunia, pada 2003 menyenaraikan 20 negara menguasai ekonomi dunia berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

KDNK secara mudah adalah kaedah pengukuran nilai pengeluaran, perbelanjaan dan pendapatan penduduk sesebuah negara dalam tempoh tertentu. Dalam penyenaraian ini, tujuh negara atau kumpulan tujuh negara maju menduduki tangga teratas terkaya iaitu Amerika Syarikat (AS$11.7 trilion), diikuti Jepun (AS$4.4 trilion), China (AS$1.7 trilion), Britain (AS$1.7 trilion), Perancis (AS$1.5 trilion), dan Itali (AS$1.2 trilion).

Antara negara Asia lain yang termasuk dalam kumpulan 20 negara itu ialah India, Korea Selatan dan Taiwan. Menurut Goldman Sach, dalam tempoh 50 tahun akan datang, tujuh negara terkaya itu akan terus mengekalkan kesinambungan menguasai ekonomi dunia yang diramalkan China akan menjadi saingan terbesar kepada Amerika Syarikat dan Jepun.

Sebagai perbandingan kita lihat pencapaian Malaysia. Menurut Wikipedia yang memetik beberapa sumber, KDNK Malaysia bagi 2005 ialah bernilai AS$290 bilion iaitu menduduki tangga ke-34 di dunia. Bagaimanapun, pencapaian Malaysia dianggap terbaik di kalangan negara Islam dibandingkan sebahagian negara lain.

Berdasarkan statistik penguasaan ekonomi dunia itu jelas menunjukkan tidak ada negara Islam dikelompokkan dalam senarai 20 negara terbaik ekonomi. Negara yang menguasai ekonomi dunia bererti mereka menguasai pertumbuhan perdagangan, perusahaan, pertanian, telekomunikasi, sains teknologi, pendidikan, pertahanan dan sebagainya.

Wujud kaitan yang kuat bahawa kehebatan pendidikan mempengaruhi kegemilangan ummah. Badan penarafan universiti antarabangsa iaitu Times Higher Education Supplement (THES) pada 2005 dan 2006, menyenaraikan 200 universiti terbaik dunia.

Dalam penarafan universiti itu, sekali lagi menunjukkan tidak ada universiti dari negara Islam dikelompokkan dalam 200 universiti terbaik dunia.

Sudah menjadi lumrah dunia moden hari ini bahawa negara yang menguasai ekonomi dunia menjadi negara berpengaruh dan berwibawa menentukan hala tuju iklim politik dunia. Kita boleh melihat bagaimana sebarang keputusan Kumpulan Tujuh negara kaya mengenai ekonomi menjadi rujukan penganalisis ekonomi untuk meramalkan prestasi masa depan ekonomi antarabangsa.

Berdasarkan statistik ekonomi dunia dan pendidikan, jelas menunjukkan prestasi negara Islam dalam perlumbaan menguasai ekonomi dan pendidikan ketinggalan jauh berbanding negara maju. Ini jelas melambangkan negara Islam tidak mampu bersaing mencapai kecemerlangan seperti diharapkan dalam al-Quran.

Umat Islam gagal membuktikan kepada dunia bahawa mereka adalah umat terbaik dunia, umat yang tinggi darjat, menjadi umat contoh, pembawa rahmat kepada manusia sejagat. Inilah cabaran dan ujian berat umat Islam untuk merealisasikan ajaran Islam.

Sebagai renungan, kita perhatikan peringatan Allah SWT yang bermaksud, "Dan bersiap sedialah kamu dengan kekuatan yang mampu dan dengan kekuatan berkuda (mekanisma canggih). Dengannya kamu menghancurkan musuh Allah dan musuh kamu," ( al-Anfal: 60).

Persoalan besar timbul apakah kita sudah membuat perancangan dan persiapan rapi untuk melaksanakan peringatan Allah itu.

Dalam usaha meningkatkan persaingan ummah pada peringkat tempatan dan antarabangsa, maka kerajaan sudah mengenal pasti beberapa bidang yang perlu diberi tumpuan dan keutamaan. Bidang itu ialah mewujudkan ummah yang beriman dan bertaqwa, keutuhan budaya dan moral, kerajaan adil dan amanah, rakyat berjiwa merdeka, membela hak kumpulan minoriti dan wanita, menguasai ekonomi, menguasai ilmu pengetahuan, mewujudkan kehidupan berkualiti, mewujudkan alam semula jadi yang baik dan menguasai pertahanan.

Bidang inilah yang dinamakan pendekatan Islam Hadhari sebagai ikhtiar dan ijtihad kerajaan untuk membangunkan kekuatan ummah. Sepuluh pendekatan Islam Hadhari yang ada sekarang bukanlah kekal selama-lamanya.

Kita yakin pada masa akan datang pendekatan Islam Hadhari ini mungkin ditambah dan diubah suai bagi memenuhi keperluan perubahan dunia dan masyarakat.

Bagaimanapun, ada pihak tertentu di negara ini mempertikaikan pendekatan Islam Hadhari, malah menganggapnya ajaran baru dan sesat. Kita percaya mereka yang mengkritik pendekatan Islam Hadhari adalah mereka yang tidak celik akal mengenai kelemahan umat Islam untuk bersaing pada peringkat tempatan, apatah lagi pada peringkat antarabangsa.

Apa yang nyata, pendekatan Islam Hadhari adalah langkah positif. Pendekatan Islam Hadhari bertindak sebagai ramuan dan pemacu untuk mempertahankan dan meraih semula kegemilangan ummah.

Bagaimanapun kejayaan besar pendekatan Islam Hadhari berkait rapat dengan keikhlasan, kesepakatan dalam perancangan, kesungguhan dalam pelaksanaan, serta pembabitan menyeluruh jentera kerajaan dan masyarakat.

Penulis ialah panel penulis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).