Showing posts with label (A) Lokman Ismail. Show all posts
Showing posts with label (A) Lokman Ismail. Show all posts

Saturday, February 13, 2010

Pendakwah berhemah, budi bahasa lebih berkesan

Oleh Lokman Ismail


PENDAKWAH tidak boleh mudah putus asa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat. - Gambar hiasan


Tunjukkan contoh baik, berhati-hati dalam tindakan terutama babitkan maruah

MELAKUKAN tugas dakwah perlu berhemah, bijaksana dan bersabar. Cara ini akan memudahkan usaha mengajak orang lain melakukan kebaikan. Firman Allah bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik dan bertukar-tukar fikiran dengan mereka dengan baik." (Surah an-Nahl, ayat 125).

Menggunakan perkataan yang baik, berbudi bahasa dan menghormati pihak yang didakwah adalah satu pendekatan terbaik. Sampaikan dakwah itu dengan kata-kata yang lembut dan menyenangkan hati.

Firman Allah dalam surah Fushshilat ayat 33 memberi panduan bagi mereka yang ingin melakukan kerja-kerja dakwah yang bermaksud: "Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah serta berbaik-baik dan mengaku aku seorang Muslim."

Justeru, amatlah bersalahan dengan apa yang disuruh oleh Allah apabila golongan yang menolak dakwah dipulau dan dipisahkan daripada masyarakat.

Seseorang yang diseru melakukan kebaikan, tetapi masih enggan menerimanya bukan menjadi beban dan masalah buat pendakwah. Tugas menyampaikan risalah Allah telah dilaksanakan, tinggal lagi tidak berjaya seperti diharapkan.

Allah menjelaskan bahawa urusan memberi hidayah kepada seseorang bukan di tangan manusia. Rasulullah SAW sendiri berdepan dengan kesukaran ketika berdakwah di Makkah. Tidak banyak yang menerima Islam sebagai cara hidup biarpun Rasulullah SAW melakukan pelbagai usaha.

Seseorang pendakwah tidak boleh mudah putus asa. Sekeras-keras hati manusia akan tiba masanya menjadi lembut dan menerima apa yang didakwahkan kepadanya.

Rasulullah SAW memberi ingatan agar pendakwah sentiasa berhati-hati dalam menyentuh maruah, perasaan dan kepentingan orang yang ingin disampaikan risalah Allah. Kehadiran pendakwah jangan sampai dianggap musuh oleh orang yang didakwah.

Memandangkan konsep menyampaikan dakwah amat luas, maka setiap Muslim perlu mempunyai semangat ingin menyampaikan dakwah dalam apa bentuk yang mampu dilakukan olehnya.

Melakukan perkara yang baik dengan niat untuk dicontohi orang lain juga satu usaha dakwah. Dengan kata lain, dua kebaikan diperoleh serentak iaitu mendapat kebaikan dan dakwah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa menyeru manusia kepada sesuatu kebaikan, dia akan beroleh pahala sebanyak pahala orang yang mengikutnya dan berkekalan selagi orang itu terus melakukan perkara kebaikan itu." Hadis riwayat Muslim)

Jika tidak mampu melakukan dakwah secara nyata (perbuatan, lisan, tulisan), selemah-lemah dakwah yang boleh dilakukan melalui hati.

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: "Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, dia hendaklah mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu (berbuat demikian) hendaklah mengubahnya dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan hatinya dan yang demikian itu adalah iman yang paling rendah."

Melakukan kebaikan semata-mata masih belum cukup untuk meletakkan seseorang Muslim itu dianggap manusia beruntung selagi dia tidak melakukan amalan saling menasihati antara satu sama lain (dakwah).

Sebenarnya, menjalankan tugas dakwah mengajak orang lain melakukan kebaikan mengingatkan agar diri sendiri melakukan apa yang diserukan kepada orang lain. Cara ini memberi kekuatan untuk meletakkan diri lebih baik daripada orang yang didakwah itu.

Firman Allah bermaksud: "Maka serulah mereka dan tetapkan pendirian sebagaimana kamu diperintahkan." (Surah al-Hajj, ayat 67).

Perkara ini bertepatan dengan konsep yang mana seorang pendakwah sebenarnya contoh kepada orang yang didakwah.

Justeru, sebelum menyeru orang lain melakukan perkara yang diserukan itu, orang itu sendiri perlu memastikan dirinya terlebih dulu melakukannya atau menunjukkan contoh yang baik.

Thursday, April 23, 2009

Sikap berputus asa, kecewa hampiri kegagalan

Oleh Lokman Ismail

Umat berusaha dan sabar menghadapi musibah mampu bina kejayaan lebih cemerlang

HIDUP di dunia penuh cubaan dan tidak semua dirancang dan diingini akan diperoleh dengan mudah biarpun sudah dilakukan segala usaha termampu. Justeru, hanya mereka bersemangat kental dapat menghadapi cabaran hidup dengan jayanya.

Seperti kata pepatah, yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek. Ia mengajar kita supaya berusaha dan terus mencuba biarpun sering berdepan kegagalan. Hakikatnya, kegagalan lumrah kehidupan. Allah menguji setiap hamba-Nya dengan pelbagai cara. Ada banyak hikmah di sebalik sesuatu kegagalan dan ia ujian menentukan tahap kesabaran seseorang.

Sesiapa yang bersabar, dia bakal beroleh kejayaan berlipat ganda di sisi Allah. Hidup di dunia adalah medan ujian menentukan siapa paling layak mendapat pembalasan baik daripada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Allah berfirman bermaksud: "Mereka itulah yang diberikan pahalanya dua kali ganda disebabkan mereka sabar." (Surah al-Qasas, ayat 54)

Firman Allah lagi: "Hanya orang yang sabar akan disempurnakan pahalanya tanpa kiraan." (Surah az-Zumar, ayat 10)

Oleh itu, orang beriman melihat kegagalan dan musibah dari sudut positif. Dia sentiasa bersangka baik terhadap Allah. Malah bersyukur dan menerima takdir itu dengan berlapang dada, dijadikan pengukuh kepada rasa takwa.

Kegagalan tidak bermakna dia akan gagal selama-lamanya. Justeru, umat Islam dilarang sama sekali berputus asa. Setiap Muslim mesti terus berusaha untuk mencapai apa yang diharapkan kerana tidak ada kejayaan tanpa berusaha.

Sikap berputus asa tidak akan mengubah ke arah lebih baik. Sebaliknya, ia akan memburukkan keadaan dan menjauhkan seseorang itu daripada kejayaan. Orang berputus asa sebenarnya menjauhkan diri daripada kejayaan yang separuhnya sudah dicapai di sebalik kegagalan ditempuh. Setiap usaha tentu ada kebaikannya, biarpun tidak mencapai kejayaan diharapkan. Tidak tepat jika dikatakan usaha dilakukan hanya sia-sia disebabkan tidak mencapai sasaran ditetapkan. Setiap kebaikan dilakukan tidak hanya untuk satu matlamat atau kebaikan. Kebaikan diraih dari pelbagai sudut bagi setiap perkara kebaikan dilakukan biarpun matlamat akhir belum tercapai.

Umpamanya, pelajar yang belajar dan kemudian menduduki peperiksaan, tetapi gagal mencapai gred diharapkan, sudah tentu lebih baik daripada mereka yang tidak belajar langsung. Dia mendapat banyak kebaikan daripada proses pembelajaran diikuti.

Sesungguhnya, setiap Muslim dilarang keras daripada bersikap berputus asa daripada rahmat Allah. Sikap berputus asa bererti menolak qada dan qadar yang wajib diimani dan diyakini, manakala sabar memudahkan seseorang berusaha mencari jalan menghadapi kegagalan.

Apa yang terjadi kepada manusia sudah ditetapkan Allah. Namun, ia tidak menghalang manusia daripada berusaha dan berdoa. Hanya Allah mengetahui di sebalik qada dan qadar. Tugas manusia ialah terus berusaha melakukan sesuatu untuk kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Mereka yang mudah berputus asa bermakna imannya cacat dan tidak sempurna. Mereka tidak tahan ujian dan dugaan Allah. Orang yang mudah berputus asa tidak akan mencapai kejayaan hidup. Kekecewaan menghampirkan diri kepada kegagalan mutlak.

Individu yang teguh imannya tidak berputus asa dengan rahmat Allah. Dia mengetahui dirinya sudah menuju kejayaan sama ada ditunjukkan di dunia ataupun di akhirat kelak.

Firman Allah bermaksud: "Wahai anakku, pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah, sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf, ayat 87)

Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menzalimi hamba-Nya. Setiap apa yang Allah jadikan itu ada sebabnya. Ujian diberikan Allah adalah tanda Allah menginginkan kebaikan untuknya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya besar ganjaran seseorang berdasarkan besarnya ujian. Sesungguhnya Allah apabila mengasihi sesuatu kaum, mereka akan diuji dengan ujian. Barang siapa yang reda, maka baginya keredaan Allah dan barang siapa yang tidak bersabar, Allah tidak akan bersabar terhadap mereka." (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Firman Allah bermaksud: "Demi sesungguhnya Kami akan menguji dengan sedikit perasaan takut, kelaparan dan berlaku kekurangan harta benda dan jiwa (kematian) serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar." (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Oleh itu, kegagalan sepatutnya akan menjadikan seseorang itu lebih tekun dan gigih berusaha sehingga mencapai kejayaan. Kebanyakan individu yang berjaya cemerlang dalam pelbagai bidang pernah beberapa kali gagal sebelum itu. Mereka bersyukur kerana berdepan dengan kesukaran dulu. Bagi yang berfikiran positif, musibah dan kegagalan adalah peluang. Ketika berdepan masalah, banyak orang menjadi 'cerdik' dan akal panjang untuk mengatasinya. Keadaan mencabar memberi satu momentum melonjak ke arah lebih baik.

Kegagalan bukan disebabkan peluang tiada. Allah membuka seluas-luasnya peluang untuk manusia berjaya mendapat apa dihajati. Namun, liku-liku perjalanan untuk mendapat apa dihajati berbeza antara satu sama lain.

Orang berjaya sentiasa melihat kegagalan sebagai peluang membolehkannya membina kejayaan. Dia terpaksa bersusah payah untuk menukar kegagalan sebagai kejayaan. Apa dicapai itu lebih manis dan bermakna, yang memberi pengajaran hidup cukup berharga.

Saturday, April 18, 2009

Bertaubat daripada dosa jangan tunggu usia tua

Oleh Lokman Ismail

Syaitan sentiasa goda manusia lakukan maksiat jaya misi tambah penghuni mereka

MANUSIA dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah dan Islam sebagai cara hidup. Pengabdian kepada Allah meletakkan manusia sebagai hamba yang perlu sentiasa patuh kepada suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya.

Nikmat iman adalah anugerah paling besar kepada manusia. Sesiapa yang menolak cahaya keimanan, dia tidak mendapat kebaikan hidup di dunia. Firman Allah bermaksud: "Maka sesiapa yang memilih cara hidup selain Islam, Allah tidak sekali-kali menerima (agamanya) itu dan di akhirat dia dimasuk ke dalam golongan orang yang rugi." (Surah Ali-Imran, ayat 85)

Sesiapa sudah menerima nikmat keimanan, peganglah sehingga ke akhir hayat. Jangan menukar keimanan dengan kekufuran. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan sebagai seorang Islam." (Surah Ali-Imran, ayat 102)

Namun, sifat manusia tidak seperti malaikat yang tidak pernah melakukan selain perkara disuruh Allah. Dalam diri manusia ada akal dan nafsu yang mendorong melakukan kebaikan serta keburukan. Sebab itu, Allah menjanjikan balasan pahala dan dosa bagi setiap perbuatan. Allah mengetahui setiap perkara dilakukan hamba-Nya secara nyata atau bersembunyi.

Tahap keimanan manusia diumpamakan ombak yang ada tinggi dan rendahnya. Keimanan berada pada tahap tertinggi apabila banyak melakukan kebaikan dan menjauhkan kemungkaran dan begitulah sebaliknya.

Biarpun berstatuskan hamba, manusia bebas menentukan cara kehidupan diingini. Allah memberi pilihan berdasarkan kehendak manusia dan sebab itu manusia bakal menerima pembalasan atas apa dilakukan. Allah berfirman bermaksud: "Dan Kami menunjukkan kepadanya (manusia) dua jalan (jalan kebaikan dan jalan kejahatan)." (Surah al-Balad, ayat 10)

Setiap kebaikan digandakan nilai pembalasan antara 10 sehingga 700 kali. Sedangkan sesiapa melakukan kejahatan hanya dibalas dengan satu pembalasan atau diampunkan.

Sekalipun Allah tidak berhajat pertolongan daripada makhluk ciptaan-Nya, Dia memberi pembalasan sebaik-baiknya terhadap hamba yang taat. Limpah rahmat yang diberikan tidak terkira banyaknya.

Memandangkan manusia tidak lepas daripada melakukan dosa, sedangkan Allah sudah menjanjikan kebaikan pada hari akhirat, maka diberi peluang untuk menghapuskan dosa itu dengan jalan yang disebut taubat. Firman-Nya bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang melampau batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Dia juga yang mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia juga yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah az-Zumar, ayat 53) Allah menyebut mengenai sifat-Nya Maha Pengampun, bermaksud tidak ada satu pun dosa yang tidak diampunkan jika manusia memohon keampunan daripada-Nya. Firman Allah bermaksud: "Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, nescaya kamu beruntung." (Surah an-Nur, ayat 31)

Taubat boleh dilakukan sepanjang masa, paling baik selepas menyedari melakukan dosa. Jika kesalahan itu membabitkan sesama manusia, keampunan perlu dimohon kepada orang terbabit. Ketika meminta maaf perlu dilakukan dengan ikhlas kerana Allah atas kesedaran perbuatan itu satu dosa dan menyesalinya. Diharapkan perbuatan buruk itu tidak diulang, sebaliknya berusaha melakukan kebaikan untuk semua.

Taubat sebenar ialah menyedari kesalahan atau dosa diikuti penyesalan dan memohon keampunan Allah. Seterusnya, menanam sifat benci kepada perbuatan itu dan terus meninggalkannya. Hasil taubat membawa diri melakukan perbuatan baik. Taubat dipertahankan dengan sentiasa sedar dan waspada menjauhkan diri daripada kejahatan. Biarpun pintu taubat sentiasa terbuka, ia tertutup apabila ajal tiba. Jangan berlengah untuk bertaubat dan ia perlu dilakukan sepanjang masa, bukan hanya apabila usia lanjut.

Syaitan sentiasa membisikkan supaya melakukan dosa, menangguhkan taubat sehingga sampai ke akhir hayat. Syaitan sedar, sebesar mana dosa dilakukan anak Adam dan kemudian bertaubat, Allah tetap menerima taubat itu.

Bagi memastikan misi syaitan meletakkan manusia dalam neraka ialah dengan cara mengelak daripada bertaubat. Kerja jahat syaitan untuk menempatkan manusia bersamanya di neraka menjadi sia-sia jika manusia bertaubat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya, selagi roh belum sampai di kerongkong (hampir sangat dengan ajal)." (Hadis riwayat Tirmizi)

Sebagai Muslim yang yakin bertemu Allah di akhirat kelak, berusahalah meningkatkan takwa dan menghindarkan dosa supaya dihimpunkan bersama orang beriman di akhirat. Sesungguhnya hidup ini tidak hanya berakhir di dunia kerana akhirat kehidupan abadi.

Friday, April 10, 2009

Hormati hak jiran asas bentuk masyarakat harmoni

Oleh Lokman Ismail


KEGIATAN gotong-royong mampu mengeratkan lagi hubungan sesama jiran. - Gambar hiasan


Islam mementingkan keseimbangan hidup bertetangga dan individualistik elak permusuhan

HAK kebebasan individu dan keluarga diperakui serta dihormati dalam masyarakat kerana perkara ini penting bagi menjamin keselesaan hidup dinikmati dengan bebas tanpa gangguan. Bagaimanapun, kebebasan itu perlu difahami serta diamalkan dengan baik.

Islam melarang campur tangan terhadap kebebasan orang lain. Haram melakukan perbuatan yang mendatangkan kesusahan terhadap orang lain.

Begitu juga Islam mementingkan adab kejiranan dan menekankan aspek hak asasi individu, keadilan sosial serta keselamatan dalam kehidupan sehari-hari. Aspek itu penting bagi mengelak perpecahan, dengki, bermusuhan dan khianat.

Kemantapan dan keutuhan kejiranan bergantung kepada ketinggian budi pekerti. Melalui adab kesopanan dan budi pekerti tinggi menjadikan individu menikmati keselesaan hidup untuk dirinya, serta tidak mengganggu ketenteraman orang lain. Dirinya membawa kebaikan, kedamaian dan keselamatan kepada individu lain.

Islam bererti damai dalam segala bentuk kehidupan. Individu Muslim mesti menterjemahkan kedamaian itu dalam dirinya dan masyarakat. Jangan lakukan perbuatan mengganggu individu lain secara fizikal, mental ataupun emosi.

Menjadi lumrah manusia yang hidup di muka bumi ini saling memerlukan antara satu sama lain. Apa yang penting, kita berusaha melakukan perbuatan yang tidak menggugat ketenteraman dan kebahagiaan orang lain.

Islam menggariskan beberapa peraturan hidup berjiran dan bermasyarakat. Antara perkara yang ditekankan ialah adab bertamu. Rumah adalah kawasan peribadi pemilik dan ahli keluarga yang tinggal di dalamnya.

Dalam Islam, peraturan menghormati kuasa tuan rumah sudah tercatat dalam al-Quran. Ini membuktikan satu peraturan hidup penting yang mesti dipatuhi setiap individu Muslim.

Allah berfirman yang bermaksud: "Hai orang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, supaya kamu ingat." (Surah an-Nur, ayat 27)

Sambungan dalam surah yang sama, menjelaskan kita perlu meninggalkan rumah yang dikunjungi jika pemiliknya tidak mahu menerima tetamu. Kita tidak perlu mempersoalkan tindakan pemiliknya. Perbuatan itu (meninggalkan rumah) lebih baik kerana banyak hikmah di sebaliknya.

Firman Allah yang bermaksud: "Jika kamu tidak menemui seseorang pun dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: Kembalilah, maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah an-Nur, ayat 28)

Islam menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia satu keperluan. Hidup kita tidak terlepas daripada mempunyai jiran. Hubungan baik dengan jiran dapat mewujudkan kehidupan setempat yang aman dan harmoni.

Tuntutan supaya berbuat baik dengan jiran dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jauh." (Surah an-Nisa, ayat 36)

Jiran yang perlu dihormati tidak terhad kepada jiran beragama Islam. Wajib menghormati dan menjaga hak jiran bukan Islam, termasuk berkaitan kepercayaan dan amalan agama mereka. Sikap toleransi terhadap jiran bukan Islam penting kerana ia juga sebahagian daripada dakwah.

Tindakan itu memberi imej baik berkaitan Islam. Ia dapat mengelak provokasi atau tindakan menghina daripada penganut agama lain.

Rasulullah SAW amat mementingkan hubungan dengan jiran dan menekankan perkara sama kepada sahabat. Perkara itu dijelaskan Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku mengenai jiran tetangga sehingga aku menyangka bahawa beliau (iaitu jiran) yang akan mewarisinya (pusaka)." (Hadis riwayat Bukhari)

Sebagai umat Nabi Muhammad, apa yang ditunjukkan Baginda mesti diamalkan dalam kehidupan seharian. Apa yang dilakukan adalah untuk tujuan kebaikan diri sendiri. Fikirkan jika kejiranan kita dalam keadaan tidak selamat, musibahnya akan terkena kepada kita juga.

Tidak dinafikan, usaha mewujudkan kerukunan hidup berjiran masa kini menghadapi sedikit kesulitan. Bilangan individu mementingkan diri dan keluarga semakin bertambah. Lihatlah, kawasan rumah kebanyakannya berpagar menggunakan tembok sehingga tidak dapat melihat apa yang berlaku di dalam kawasan itu.

Sikap tidak bergaul dengan jiran tetangga melahirkan masyarakat yang ego. Tetamu yang datang hanya di kalangan rakan dan saudara mara dari jauh. Jika ada kenduri kendara pun, tetamu yang dijemput bukan jiran yang tinggal di sekelilingnya.

Jiran adalah orang yang paling hampir dengan kita kerana apa juga perkara yang berlaku terlebih dulu diketahui jiran. Jiran adalah orang paling dekat untuk memohon pertolongan ketika ditimpa musibah sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak saudara.

Firman Allah yang bermaksud: "Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan." (Surah al-Maidah, ayat 2)

Fenomena yang berlaku dalam kejiranan sekarang banyak buruknya. Pertama, kita hilang nikmat hubungan kejiranan, berasa hidup dalam penjara di rumah sendiri. Keluarga dan jiran tidak lagi memberi nilai positif kepada diri untuk berdepan suasana lebih luas.

Kurang interaksi dengan jiran menyebabkan kemahiran komunikasi, pembinaan akhlak, jati diri, budaya dan percambahan fikiran tidak berkembang dengan baik. Ini memberi kesan kepada keseluruhan hidup. Paling ketara berlaku kepada anak apabila mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat.

Fitrah manusia memerlukan hubungan dengan individu atau keluarga lain. Budaya membina tembok konkrit sebagai pagar kawasan rumah mesti diubah. Sudah memadai jika dibuat pagar kawat atau besi untuk tujuan keselamatan.

Untuk menjaga hubungan baik dalam lingkungan kejiranan, perlu mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan dengan penuh hikmah serta kasih-sayang.

Di samping itu, sikap negatif seperti buruk sangka, iri hati, dengki dan fitnah perlu dikikis serta dijauhkan. Usaha memupuk semangat kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan. Jiran sepakat membawa berkat.

Peraturan berjiran memberikan penyelesaian adil dan berterusan terhadap pelbagai penyakit masyarakat. Cuba kita muhasabah diri berkaitan hubungan kita dengan jiran. Jangan kita berasa sudah sempurna iman disebabkan kerap berulang alik ke masjid kerana masih banyak perkara lain perlu dijadikan ukuran.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang, sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri." (Hadis riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya."

Friday, March 20, 2009

Muhasabah penyelesaian terbaik selamatkan rumah tangga

Oleh Lokman Ismail

KEHIDUPAN berumah tangga banyak dugaan. Tidak sefahaman, sikap angkuh pasangan, campur tangan keluarga, penyakit, kewangan dan gagal menjalankan tanggungjawab menjadi antara puncanya.

Islam menyarankan permasalahan rumah tangga diselesaikan dengan sebaik-baiknya. Jangan mengambil jalan singkat yang boleh menghancurkan kebahagiaan yang dikecapi melalui perkahwinan. Jika ada persengketaan antara suami isteri, perlu diadakan muhasabah untuk mencari punca krisis berlaku. Dalam hal ini keikhlasan suami isteri amat penting. Jangan mudah menyalahkan pasangan sebagai penyebabnya. Sikap membuat kesimpulan sebelum perbincangan hanya akan menambah lagi kekusutan.

Keadilan hanya akan wujud jika perbincangan dilakukan dengan berlapang dada. Ketika suami atau isteri menjelaskan apa yang berlaku, ia mesti didengar dan diperhalusi tanpa prejudis. Dengan cara itu kebenaran lebih mudah ditemui dan keputusan dapat dibuat dengan adil.

Dalam usaha merungkai masalah yang timbul, bercakap benar amat penting. Antara suami isteri seharusnya tiada rahsia kecuali jika dikhuatiri berterus terang dalam hal tertentu akan mendatangkan keburukan, maka harus ia dirahsiakan.

Bercakap benar perlu diamalkan sepanjang masa. Pembohongan antara satu sama lain akan menghancurkan rumah tangga dibina. Jika berbohong, lambat laun ia akan terbongkar juga. Keadaan ini menyebabkan suami atau isteri tidak lagi mempercayai apa dicakapkan biarpun perkara yang benar.

Bercakap benar akan membina ikatan saling mempercayai dan seterusnya mengelak rasa curiga. Jika difikirkan sukar diadakan perbincangan ketika suami dan isteri sudah 'panas' dan buntu fikiran, maka Islam menyuruh kedua-dua menghantar wakil untuk berbincang. Pendekatan itu diharapkan dapat mencari jalan penyelesaian.

Perkataan talak atau cerai yang dilafazkan oleh suami sah biarpun dilakukan ketika marah, bergurau, ugutan dan seumpamanya. Talak berlaku bukan saja melalui ucapan, malah juga dalam bentuk tulisan, termasuk melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Justeru, soal talak tidak boleh dipandang mudah. Betapa payahnya hendak melangsungkan perkahwinan yang terpaksa melalui beberapa proses, begitu juga sepatutnya sebelum berlaku talak.

Isteri jangan mencabar suami menjatuhkan talak apabila berlaku perkara yang tidak disenangi. Suami pula perlu berhati-hati dan bersabar daripada mengucapkan perkataan talak atau perkataan yang boleh menyebabkan talak.

Islam membenarkan talak bukan bermakna ia satu perkara yang 'mudah' dilakukan. Talak adalah jalan terakhir dalam penyelesaian masalah rumah tangga. Selagi ada peluang untuk kembali aman, maka wajib dilakukan usaha ke arah itu.

Firman Allah bermaksud: "Tidak ada sesuatu dosa atas kamu jika kamu menceraikan isteri kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 236). Ayat itu jelas mengenai harus bagi suami menceraikan isterinya atas sebab tertentu.

Sesungguhnya, kebenaran suami talak isteri bukan bermakna ia boleh dipermudahkan dan dipermainkan. Kamus rumah tangga tidak sepatutnya menyimpan perkataan talak.

Talak ertinya berlawanan dengan akad nikah. Jika perkahwinan itu dituntut, maka talak pula perlu dihindarkan. Peristiwa talak mengundang kebencian Rasulullah SAW dan Allah.

Suami tidak boleh bertindak atau memperlakukan sesuka hati terhadap isteri. Isteri mempunyai hak untuk mendapat layanan terbaik daripada suami. Isteri bukannya hamba memuaskan nafsu suami semata-mata. Institusi perkahwinan adalah pelindung bagi wanita daripada perbuatan jahat lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Kebahagiaan yang diharapkan pada permulaan perkahwinan perlu diteruskan sepanjang masa. Semakin lama usia perkahwinan, sepatutnya semakin erat kasih sayang dan mendewasakan mereka dalam menghadapi cabaran hidup.

Thursday, March 19, 2009

Pemimpin perlu tegas, elak jadi boneka pihak lain

Oleh Lokman Ismail

DALAM negara atau organisasi yang mengamalkan dasar demokrasi, pemimpin dipilih oleh rakyat atau ahli. Bakal pemimpin menawarkan diri untuk dipilih dan berkhidmat. Mana-mana calon yang mendapat undi majoriti, maka dialah yang dilantik menjadi pemimpin.

Untuk memilih pemimpin, perlulah dilakukan dengan cara betul agar pemimpin yang dipilih itu dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik. Pemimpin yang baik sentiasa dikasihi rakyat kerana dia sentiasa mengambil berat soal kebajikan rakyat. Pemimpin perlu sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.

Kepimpinan adalah amanah yang cukup berat dan sarat dengan tanggungjawab. Tanggungjawab dan kewajipan yang terpikul di bahu setiap pemimpin berbeza-beza bergantung kepada kedudukan atau kuasa yang diamanahkan kepadanya.

Sebenarnya, sebahagian besar kita adalah pemimpin. Suami menjadi pemimpin dalam keluarga. Malah dijelaskan bahawa jika dua orang melakukan urusan bersama, maka salah seorang perlu dilantik menjadi pemimpin.

Apa pun tahap kepimpinan, kita tidak boleh memandang mudah dengan amanah yang diberikan itu. Sebaliknya jadilah seorang pemimpin yang sentiasa ingin melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin.

Sebagai pemimpin mereka mempunyai tanggungjawab yang amat berat, lalu sebahagian mereka tidak dapat melaksanakan dengan baik. Sesungguhnya hanya mereka yang bertakwa dan ikhlas saja yang dapat menjalankan tugas sebagai pemimpin yang baik. Hal ini demikian kerana mereka yakin akan berdepan dengan persoalan Allah SWT tentang urusan yang diamanahkan kepadanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap kamu merupakan pemimpin yang kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaan-Mu. Seorang pemerintah ialah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang suami ialah pemimpin kepada keluarganya dan bertanggungjawab terhadap ahli keluarganya.

Seorang isteri ialah pemimpin dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap orang di bawah tanggungannya. Manakala soal khadam ialah penjaga harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap apa di bawah jagaannya. Jadi, setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap perkara yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebenarnya, pemimpin yang bertanggungjawab tidak sungguh meminta apa-apa keistimewaan untuk dirinya. Malah dia tidak menganggap dirinya lebih baik daripada orang lain. Apa yang lebih bagi seorang pemimpin adalah tanggungjawab yang getir perlu dilaksanakan. Mereka perlu adil dalam melaksanakan setiap tindakan dan keputusan yang dibuat.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya melaksanakan amanah terhadap ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia (Allah menyuruh) kamu menghukum mereka dengan adil.” (Surah an-Nisa, ayat 58)

Pemimpin yang benar-benar memegang amanah akan berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan mengikut keutamaan. Apabila dia menyelesaikan masalah, diteliti fakta dan bukti yang benar.

Pada masa sama, individu yang bergelar pemimpin perlu menjauhkan diri daripada melakukan amalan menabur fitnah dan janji dusta. Perbuatan itu wajib dijauhi kerana amalan ini boleh melenyapkan kebenaran dan menyembunyikan unsur-unsur kebenaran.

Pemimpin yang melakukan pembohongan hanya akan mendapat kemuliaan selagi perkara sebenar tidak terdedah. Namun, perkara buruk lambat laun akan terdedah juga. Pembohongan akan merendahkan martabat pemimpin di mata rakyat. Jadi, jika ini lama berkuasa dan dapat menjalankan amanah dengan sempurna, pemimpin perlu menjauhkan sikap berbohong.

Sesungguhnya Allah SWT telah mengingatkan manusia khususnya pemimpin agar menjauhkan perkataan dusta. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka jauhilah kekotoran kerana sembahan berhala, serta jauhi perkataan saksi palsu.” (Surah al-Haj, ayat 30).

Perlu diingat, sesiapa yang dipilih menjadi pemimpin bukan bermakna dirinya semua tahu. Seseorang dipilih menjadi pemimpin pada zaman ini mungkin hanya kerana kelebihan tertentu saja. Jadi, mereka perlu tawaduk dan merendah diri dalam semua tindakan.

Maka, untuk melengkapkan kepimpinannya, pemimpin itu perlu melantik pakar dalam pelbagai bidang untuk menasihatinya. Pembantu atau penasihat yang dilantik sudah tentu boleh memberi khidmat terbaik dalam bidangnya.

Penasihat yang dilantik itu hendaklah berdasarkan kelayakan, bukan kenalan atau pertalian saudara. Islam melarang seseorang pemimpin melantik penasihatnya atau pegawainya berdasarkan kenalan rapat atau saudara mara sedangkan mereka tidak berkelayakan.

Seseorang yang diberi jawatan kerana saudara atau kenalan jarang mengambil kira kemahiran yang diperlukan. Mereka dilantik kerana untuk menjaga kepentingan peribadi atau individu tertentu.

Selain itu, sebagai pemimpin mereka perlu mengekalkan sifat mulia sepanjang masa. Lazimnya, seseorang pemimpin akan dikecam dan dikritik. Inilah lumrah yang tidak boleh dielak. Oleh sebab itu, mereka mesti kuat jiwa sehingga sungguh menerima kritikan dan cacian dengan hati terbuka.

Mereka yang tidak mampu berjiwa kental, lemah semangat, dan mudah terpengaruh tidak layak untuk menjadi pemimpin. Pemimpin perlu tegas dan mengelak daripada menjadi boneka kepada pihak lain.

Pemimpin yang menjadi boneka berselindung di sebalik kedudukan untuk melaksanakan kehendak orang lain. Jika begitu halnya, lebih baik jawatan itu diserahkan kepada pihak lain yang benar-benar dapat melaksanakan tugas kepimpinan.

Tuesday, March 17, 2009

Kepemimpinan suatu amanah berat, sarat tanggungjawab

Oleh Lokman Ismail

DALAM negara atau organisasi yang mengamalkan dasar demokrasi, pemimpin dipilih sendiri oleh rakyat atau ahli. Bakal pemimpin menawarkan diri untuk dipilih dan berkhidmat. Mana-mana calon yang mendapat undi majoriti, maka dialah yang dilantik menjadi pemimpin.

Untuk memilih pemimpin, perlulah dilakukan dengan cara betul supaya pemimpin yang dipilih itu dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik. Pemimpin yang baik sentiasa dikasihi rakyat kerana dia sentiasa mengambil berat soal kebajikan rakyat iaitu pemimpin yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.

Kepemimpinan adalah amanah yang cukup berat dan sarat dengan tanggungjawab. Tanggungjawab dan kewajipan yang terpikul di bahu setiap pemimpin berbeza-beza bergantung kepada kedudukan atau kuasa yang diamanahkan kepadanya.

Sebenarnya, sebahagian besar kita adalah pemimpin. Suami menjadi pemimpin dalam keluarga. Malah dijelaskan bahawa jika dua orang melakukan urusan bersama, maka salah seorang perlu dilantik menjadi pemimpin.

Apa pun tahap kepemimpinan, kita tidak boleh memandang mudah dengan amanah yang diberikan itu. Sebaliknya jadilah seorang pemimpin yang sentiasa ingin melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin.

Sebagai pemimpin, mereka mempunyai tanggungjawab yang amat berat, lalu sebahagian mereka tidak dapat melaksanakan tugas dengan baik. Sesungguhnya hanya mereka yang bertakwa dan ikhlas saja yang dapat menjalankan tugas sebagai pemimpin yang baik. Hal ini kerana mereka yakin akan berdepan dengan persoalan Allah mengenai urusan yang diamanahkan kepadanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap kamu merupakan pemimpin yang kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu. Seorang pemerintah ialah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang suami ialah pemimpin kepada keluarganya dan bertanggungjawab terhadap ahli keluarganya.

“Seorang isteri ialah pemimpin dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap orang di bawah tanggungannya. Soal khadam ialah penjaga harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap apa di bawah jagaannya. Jadi, setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap perkara yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebenarnya, pemimpin yang bertanggungjawab tidak meminta sebarang keistimewaan untuk dirinya. Malah dia tidak menganggap dirinya lebih baik daripada orang lain. Apa yang lebih bagi seorang pemimpin adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Mereka perlu adil dalam melaksanakan setiap tindakan dan keputusan yang dibuat.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya melaksanakan amanah terhadap ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia (Allah menyuruh) kamu menghukum mereka dengan adil.” (Surah an-Nisa, ayat 58)

Pemimpin yang benar-benar memegang amanah akan berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan mengikut keutamaan. Apabila dia menyelesaikan masalah, diteliti fakta dan bukti yang benar.

Pada masa sama, individu yang bergelar pemimpin perlu menjauhkan diri daripada melakukan amalan menabur fitnah dan janji dusta. Perbuatan itu wajib dijauhi kerana amalan ini boleh melenyapkan kebenaran dan menyembunyikan unsur kebenaran.

Pemimpin yang melakukan pembohongan hanya akan mendapat kemuliaan selagi perkara sebenar tidak terdedah. Namun, perkara yang buruk lambat-laun akan terdedah juga. Pembohongan akan merendahkan martabat pemimpin di mata rakyat. Jadi, jika ini lama berkuasa dan dapat menjalankan amanah dengan sempurna, pemimpin perlu menjauhkan sikap berbohong.

Ada pepatah mengatakan, ‘bercakap benarlah kamu, walaupun benar itu pahit, kerana kepahitan itu adalah penawar mujarab.’

Perlu diingat, sesiapa yang dipilih menjadi pemimpin bukan bermakna dirinya semua tahu. Seseorang dipilih menjadi pemimpin pada zaman ini mungkin hanya kerana kelebihan tertentu saja. Jadi, mereka perlu tawaduk dan merendah diri dalam semua tindakan.

Maka, untuk melengkapkan kepemimpinannya, pemimpin itu perlu melantik pakar dalam pelbagai bidang untuk menasihatinya. Pembantu atau penasihat yang dilantik sudah tentu boleh memberi khidmat terbaik dalam bidangnya.

Penasihat yang dilantik itu hendaklah berdasarkan kelayakan, bukan kenalan atau pertalian saudara. Islam melarang seseorang pemimpin melantik penasihatnya atau pegawainya berdasarkan kenalan rapat atau saudara mara sedangkan mereka tidak berkelayakan.

Seseorang yang diberi jawatan kerana saudara atau kenalan jarang mengambil kira kemahiran yang diperlukan. Mereka dilantik kerana untuk menjaga kepentingan peribadi atau individu tertentu.

Thursday, March 12, 2009

Pekerja culas sama berdosa dengan terima rasuah

Oleh Lokman Ismail

Makan suap bukan saja membabitkan wang, malah kenaikan pangkat serta habuan seks

RASUAH adalah perbuatan tidak bermoral yang amat membahayakan keselamatan negara, keharmonian masyarakat dan kelicinan urusan kehidupan seharian. Negara akan hancur dan huru hara jika amalan rasuah berleluasa.

Banyak negara jatuh ke tangan kuasa asing disebabkan berleluasanya amalan rasuah di kalangan pegawai dan kakitangan awam. Kerajaan menjadi boneka kepada pihak yang menyogok rasuah untuk mendapat sesuatu.

Perbuatan rasuah atau makan suap bukanlah perkara baru dalam kehidupan masyarakat. Amalan itu sudah dikesan berlaku 4,000 tahun lalu atau lebih awal daripada itu. Kisah dan hukum mengenai rasuah disebut dalam Kitab Perjanjian Lama Injil.

Rasuah ialah perbuatan sogokan dengan wang atau sebarang hadiah atau manfaat sebagai ganjaran balas terhadap sesuatu hajat atau kemahuan yang sudah, sedang atau akan ditunaikan dengan cara yang tidak sebenarnya.

Penggunaan perkataan duit kopi, hadiah, sumbangan ikhlas, upah atas pertolongan dan duit proses sering digunakan sebagai mengaburi mata orang ramai untuk menghalalkan perbuatan itu.

Sesiapa dilantik menjalankan sesuatu urusan dan dibayar gajinya oleh pihak berkuasa, perlu melakukan tugas tanpa mengharapkan bayaran daripada pihak lain. Apa yang dilakukan sudah memadai dengan gaji diterima daripada kerajaan atau majikan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang sudah kami lantik untuk memegang sesuatu pekerjaan, yang sudah kami tetapkan pula pendapatannya, jika dia mengambil lebih daripada (pendapatan) yang ditetapkan itu (iaitu dengan cara rasuah), dia adalah pencuri." (Hadis riwayat Abu Daud)

Pengertian rasuah tidak terhad kepada menerima wang sogokan saja. Segala bentuk yang mempunyai 'nilai' seperti kenaikan pangkat, layanan istimewa, hubungan seks, hiburan dan jamuan juga sebahagian daripada habuan rasuah.

Sesuatu yang mempunyai hubung kait dengan rasuah membabitkan pelanggaran etika kerja. Pekerja menerima rasuah mengetepikan aturan tugas yang diamanahkan kepadanya. Dia tidak melakukan sesuatu yang hak dan mewujudkan masalah dalam pentadbiran negara.

Sesungguhnya penerima dan pemberi rasuah melakukan dosa besar dan bakal menerima seksaan di neraka pada hari kiamat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Pemberi dan penerima rasuah akan ditempatkan di neraka." (Hadis riwayat Bukhari)

Malah, dosa besar ditanggung oleh mana-mana individu yang terbabit dalam urusan rasuah, iaitu sebagai orang tengah, saksi atau tidak menghalang daripada berlaku rasuah sedangkan dia mampu melakukannya.

Daripada Abdullah Ibnu Umar, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tuhan melaknati orang yang memberi dan menerima rasuah serta perantaraan di antara kedua-duanya." (Hadis riwayat Ahmad)

Perbuatan rasuah mudah berlaku di kalangan pekerja melakukan penguatkuasaan dan urusan secara langsung dengan orang ramai. Individu melakukan kesalahan sanggup mengeluarkan sedikit wang untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam sistem urusan pentadbiran mengamalkan birokrasi, amalan rasuah mudah berlaku. Sistem birokrasi meletakkan pegawai mempunyai kuasa penuh terhadap sesuatu urusan dikendalikan. Sistem itu juga mempunyai pelbagai peringkat proses pengurusan membabitkan banyak peraturan.

Secara amnya pelanggan tidak suka kepada sistem birokrasi. Prosesnya mengambil masa dan banyak peraturan. Jadi, sebagai jalan mudah pelanggan memberi sogokan supaya urusan berkaitan dimudahkan. Pegawai yang berkuasa memenuhi keinginan pelanggan itu mendapat habuan lumayan.

Pegawai menerima rasuah didorong perasaan ingin mendapat wang lebih. Keperluan wang yang mendesak disebabkan cara hidup mewah atau berbelanja melebihi kemampuan menyebabkan ramai pegawai terjebak amalan rasuah.

Sesiapa mengamalkan cara hidup mewah mudah terjebak amalan buruk. Sebab itu Rasulullah SAW sentiasa menasihatkan supaya pegawai yang dilantik menjauhi kehidupan mewah. Kehidupan mewah melampaui kemampuan adalah sebahagian daripada amalan syaitan.

Contohnya, Rasulullah SAW menasihatkan Muaz bin Jabal yang dilantik sebagai pegawai tinggi di Yaman, supaya tidak hidup dalam kemewahan bagi mengelak berlaku perkara buruk akibatnya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jauhilah daripada hidup dalam keadaan hidup yang serba mewah kerana hamba Allah yang setia bukanlah orang yang hidup dalam keadaan serba mewah." (Hadis riwayat Ahmad)

Setiap pekerja yang dilantik tertakluk kepada peraturan tugas. Mereka dipertanggungjawab bagi memastikan mutu kerja yang memuaskan. Kecemerlangan pekerja menjadi lambang kepada kejayaan kerajaan dan organisasi diwakili yang menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Hal demikian memerlukan setiap pekerja menanam azam dan iltizam akan melakukan tugas dengan keupayaan terbaik. Matlamat itu hanya tercapai jika pekerja mengikut peraturan kerja, jujur, amanah dan melakukan yang terbaik.

Sewajarnya setiap pekerja bersyukur diberikan pekerjaan dan berpeluang untuk berkhidmat kepada negara. Gaji yang diterima atas kerja dilakukan hanya dianggap halal dan diberkati jika kerja itu dilakukan seperti mana ditugaskan.

Pekerja tidak menjalankan tugas dengan sempurna juga dianggap melakukan rasuah, yakni tidak amanah. Amalan mencuri tulang, lepas tugas dan tidak bersungguh-sungguh melakukan tugas menyebabkan mutu perkhidmatan berada pada tahap rendah.

Pekerja tidak melakukan tugas dengan sempurna, tetapi menerima gaji penuh sebulan, samalah seperti mencuri. Dia mengambil gaji yang tidak sepadan dengan apa dilakukan.

Islam tidak bertolak ansur dalam soal kecemerlangan. Semua tugas perlu dilakukan mengikut tahap terbaik yang mampu dilakukan.

Tuesday, February 24, 2009

Berjudi boleh menyebabkan insan hidup miskin, papa kedana

Oleh Lokman Ismail

JUDI adalah antara amalan termasuk dalam dosa besar kerana ia dikaitkan dengan amalan syaitan. Tegahan berjudi kerana perbuatan itu mendatangkan banyak keburukan bukan saja kepada orang yang suka berjudi, juga mereka yang rapat dengannya.

Pengharaman judi jelas dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib adalah najis (haram) dan ia daripada perbuatan syaitan.” (Surah al-Maidah, ayat 90)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah kepada kedua-duanya ada dosa besar (mudarat) dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya adalah lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 219)

Gila judi juga mendorong seseorang melakukan perbuatan menyalahi syariat agama dan lebih teruk lagi, akibat judi menyebabkan seseorang itu berpaling daripada Allah seterusnya melupakan tanggungjawab kepada penciptanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti (daripada melakukannya).” (Surah al-Maidah, ayat 91)

Permusuhan mudah tercetus di kalangan kaki judi. Pihak yang menanggung kerugian sering memandang serong kepada pihak yang menang. Banyak kemenangan biasanya diperoleh secara penipuan dan mengambil kesempatan di atas kelemahan pihak lawan.

Biarpun ada pihak mendakwa perjudian dikendalikan syarikat berlesen adil dan terhindar daripada penipuan, hakikatnya keburukan sebenar perjudian masih ada. Islam mengharamkan semua bentuk judi tidak kira memiliki lesen perniagaan atau diadakan secara haram.

Sebenarnya tidak ada syarikat pengendalian perjudian menanggung kerugian sebaliknya, pelanggan atau kaki judi yang berterus-terusan menanggung kerugian. Bilangan mereka mendapat keuntungan daripada perjudian amat sedikit dan tidak memadai jumlah yang dihabiskan selama ini.

Wang hasil perjudian adalah haram dan tiada keberkatan. Sesiapa memiliki wang judi tidak kekal lama. Masyarakat menyebutnya ‘wang panas’ yang tidak dapat disimpan lama. Orang menang judi bersikap boros, menghadapi malapetaka dan kesusahan menyebabkan wang itu habis dibelanjakan.

Malah, ada menjadi gila atau hilang ingatan selepas menang besar dalam perjudian. Semua itu adalah pembalasan Allah kepada kaki judi di dunia ini lagi. Orang suka berjudi tidak akan melihat perkara lain lebih penting dalam hidup mereka selain berjudi.

Mereka sanggup mengalami keretakan rumah tangga dan membiarkan orang disayangi menderita kerananya. Malah, orang berjudi ramai terbabit dengan amalan syirik apabila mempercayai bomoh ekor, bertapa dan memuja keramat. Oleh itu, aktiviti perjudian bukan saja merugikan dalam bentuk kewangan, juga melahirkan masyarakat malas dan kuat berangan-angan. Pakar psikologi dan sosiologi bukan Islam turut sepakat mengatakan judi banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Mereka ketagih judi merasakan dirinya mendapat keuntungan, sedangkan hal sebaliknya dialami. Sebab itu Islam mengharamkan segala bentuk permainan yang mempunyai unsur judi biarpun dalam bentuk mana ia diadakan.

Sesuatu yang mendatangkan keburukan adalah ditegah sama sekali dilakukan oleh umat Islam. Firman Allah yang bermaksud: “Dan jangan kamu mencampakkan diri kamu dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Usahlah menyimpan harapan mendapat kekayaan daripada hasil judi. Perbuatan yang didorong hasutan syaitan tidak akan menjanjikan sebarang kebaikan. Berjudi yang menjadi amalan syaitan akan mengakibatkan kepapaan.

Monday, September 29, 2008

Rai Aidilfitri sebagai ibadat, bukan adat

Oleh Lokman Ismail


AIDILFITRI masa untuk mengunjungi sanak saudara dan bermaafan.

Islam larang sambut 1 Syawal berlebih-lebihan dengan niat untuk menunjuk

UMAT Islam akan meraikan Aidilfitri iaitu hari kebesaran penuh kemuliaan yang dihadiahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW atas kejayaan berpuasa Ramadan selama sebulan.

Islam menganjurkan Aidilfitri disambut penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan. Sesuai dengan kedudukannya sebagai hari yang mulia, sambutan Aidilfitri perlu mengikut tuntutan syariat.

Meraikan Aidilfitri adalah satu ibadat. Oleh itu, ia berbeza dengan Aidilfitri yang disambut lebih sebagai adat. Setiap ibadat mengikut apa disyariatkan, sedangkan adat mengikut kebiasaan diamalkan sejak turun temurun dalam masyarakat.

Sambutan Aidilfitri bermula sebaik berakhir ibadat puasa Ramadan apabila kelihatan anak bulan Syawal. Perkara utama perlu dizahirkan sebagai tanda bermula sambutan Aidilfitri ialah melaungkan gema takbir membesarkan Allah membuktikan ketaatan dan tunduk kepada-Nya dengan penuh ikhlas.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sempurnakanlah ibadat puasa kamu mengikut bilangan hari dalam bulan Ramadan (29 atau 30 hari), serta bertakbirlah (membesarkan Allah) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Amalan bertakbir dari satu rumah ke satu rumah, selain di masjid seperti diamalkan di sesetengah tempat memang baik. Selain mengucapkan kalimah kebesaran, dapat juga merapatkan silaturahim sesama penduduk. Ketika itu juga terbuka peluang untuk menghulurkan tangan bermaafan dan membantu mana yang perlu.

Amalan itu perlu dilakukan dengan tertib dan ikhlas. Jangan hanya bertandang ke rumah tertentu dengan tujuan tertentu juga. Ada yang menyertai kumpulan takbir sekadar suka-suka dan berpeluang mengintai anak gadis.

Malam Aidilfitri adalah malam ibadat yang menyediakan kelebihan tersendiri. Berpandukan maksud sebuah hadis menjelaskan bahawa sesiapa beribadat pada dua malam hari raya, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha, maka hatinya tidak akan mati pada saat hati orang lain mati.

Banyak orang yang menyertainya sembahyang sunat tasbih, taubat dan hajat yang diadakan di masjid. Amalan itu memang amat baik untuk menghidupkan malam Aidilfitri. Malang sekali banyak yang turut serta tanpa memahaminya.

Dikatakan ibadat itu hanya tertentu pada malam Aidilfitri, sedangkan ia boleh dilakukan sepanjang tahun. Individu yang tidak turut serta dipandang serong kerana dianggap tidak melakukan sesuatu yang 'wajib' pada malam hari raya.

Pada pagi Aidilfitri disunatkan mandi seperti amalan Rasulullah. Kemudian sunat menghiasi diri dengan pakaian terbaik yang dimiliki serta mengenakan wangian.

Maksud pakaian terbaik bukan semesti baru dibeli atau dijahit. Tetapi di kalangan masyarakat kita berpegang kepada maksud itu memaksa semua orang berpakaian baru dengan alasan itu tuntutan agama. Mereka bukan membuat sepasang baju baru untuk dipakai pada pagi hari raya, tetapi hingga empat atau lima pasang.

Sebelum turun rumah menuju ke masjid atau tempat lapang untuk menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri, disunatkan juga menjamah sedikit makanan tanda tidak lagi berpuasa dan bersyukur dengan nikmat dianugerahkan Allah. Pada hari Aidilfitri diharamkan berpuasa.

Diriwayatkan Bukhari dan Ahmad, daripada Anas katanya: "Nabi Muhammad SAW makan beberapa biji tamar sebelum keluar pada pagi Aidilfitri dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil."

Rasulullah SAW ketika menuju ke masjid menggunakan jalan lain dan ketika pulangnya pula melalui jalan lain. Melalui jalan berbeza adalah bertujuan supaya dapat bertemu dengan ramai jiran yang tinggal di sepanjang jalan itu. Ketika bertemu disunatkan mengucapkan salam dan tahniah.

Sembahyang sunat Aidilfitri perlu dilambatkan sedikit, sedangkan solat Hari Raya Korban perlu disegerakan. Melewatkan solat Aidilfitri bertujuan memberi masa bagi sesiapa yang belum mengeluarkan zakat fitrah yang wajib ditunaikan sebelum solat Aidilfitri.

Sebenarnya sambutan hari raya hanya pada 1 Syawal sementara pada 2 Syawal dan hari seterusnya dibenarkan berpuasa ganti dan sunat. Di kebanyakan negara Arab, Aidilfitri hanya disambut sehari atau kalaupun sambutan masih diteruskan hanya untuk dua atau tiga hari.

Bagaimanapun, tidak dilarang untuk terus melakukan sambutan Aidilfitri selagi apa yang dilakukan tidak bertentangan syariat. Semangat kunjung mengunjung wajar diperbanyakkan. Jika hanya sehari tentu tidak banyak rumah yang dapat dilawati. Apa lagi jika membabitkan jarak perjalanan yang jauh.

Namun apa yang ditakuti ialah kecenderungan masyarakat kita beraya sakan sepanjang Syawal. Ada yang mengaitkan sebagai tuntutan agama. Jika berpuasa sepanjang bulan Ramadan, maka dikatakan sepanjang Syawal pula untuk berhari raya.

Perlu ditegaskan, beraya sepanjang Syawal bukan dianjurkan Islam. Ia adalah adat, tetapi tidak salah untuk diamalkan. Apa yang penting kefahaman kita mengenainya dan bagaimana sambutan dilakukan.

Mengadakan rumah terbuka dan amalan ziarah sempena Aidilfitri amat digalak bagi merapatkan hubungan yang renggang akibat pada hari lain semuanya sibuk dengan urusan masing-masing.

Ketika menghadiri rumah terbuka perlu ikhlas, bukan mengharapkan tuan rumah akan 'membalas' dengan datang ke rumah kita pula. Tuan rumah perlu melayan tetamu dengan perasaan ikhlas dan tidak bertujuan menunjuk-nunjuk hidangan disediakan.

Begitu juga dengan amalan menziarah tanah perkuburan ketika hari raya. Sebenarnya masa untuk melawat tanah perkuburan tidak hanya pada hari raya. Sepatutnya, pada hari raya kita mengutamakan melawat orang yang masih hidup dan bukan orang sudah mati.

Jika benar kita ingin melakukan perkara baik berkaitan melawat kubur ahli keluarga elok dilakukan pada waktu lain, ketika tidak sibuk dengan urusan lain. Bacaan Yasin, tahlil dan doa untuk si mati boleh dilakukan di mana saja dan tidak terhad di kubur.

Sambut Aidilfitri ini dengan sederhana. Islam melarang perbuatan melampau dan membazir. Bergembira keterlaluan mudah mengundang kelalaian. Lebih baik kita tumpukan perhatian kepada tugas seharian yang perlu dilakukan untuk kebaikan semua.

Kebanyakan amalan yang dilakukan dalam masyarakat kita adalah adat. Sebab itu penting kita memperbetulkan niat dan mengetahui perkara sebenar supaya apa yang dilakukan termasuk dalam ibadat dan bukan sekadar melaksanakan adat. Setiap amalan bergantung kepada niatnya.

Menyambut Aidilfitri dengan amalan mulia lebih bermakna dan mendatangkan keberkatan. Jangan jadikan ia sekadar adat dan bertujuan untuk bergembira semata-mata. Takut nanti falsafah hari raya sekadar sia-sia dan hanya mendapat kepuasan nafsu semata-mata. INFO: Cara rai Aidilfitri

Perkara utama perlu dizahirkan sebagai tanda sambutan Aidilfitri ialah melaungkan takbir membesarkan Allah membuktikan ketaatan kepada-Nya dengan ikhlas.

Pada pagi Aidilfitri disunatkan mandi seperti amalan Rasulullah. Kemudian sunat menghiasi diri dengan pakaian terbaik serta mengenakan wangian.

Sebelum sembahyang sunat Aidilfitri, disunatkan juga menjamah sedikit makanan tanda tidak lagi berpuasa dan bersyukur dengan nikmat Allah.

Mengadakan rumah terbuka dan amalan ziarah sempena Aidilfitri amat digalak bagi merapatkan hubungan yang renggang akibat pada hari lain semuanya sibuk dengan urusan masing-masing.

Melawat tanah perkuburan tidak hanya pada hari raya, sepatutnya pada hari raya kita mengutamakan melawat orang yang masih hidup.

Sambut Aidilfitri dengan sederhana kerana Islam melarang perbuatan melampau, membazir dan bergembira keterlaluan akan mengundang kelalaian.

Wednesday, September 17, 2008

Puasa didik Muslim jadi hamba takwa

Oleh Lokman Ismail

Ramadan beri peluang kepada manusia kekang nafsu, lebihkan sedekah

RAMADAN yang banyak keistimewaan diumpamakan seperti kem latihan membentuk Muslim lebih bertakwa. Memasuki kem Ramadan setiap tahun adalah seperti servis kenderaan secara berkala bagi memastikan prestasi enjin pada tahap terbaik.

Ibadat puasa mendidik diri menjadi hamba bertakwa dan membersihkan daripada sifat buruk. Sebab itu ibadat puasa dianggap penting bagi umat Nabi Muhammad. Puasa juga disyariatkan kepada semua agama langit seperti Kristian dan Yahudi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang beriman. Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Malah penganut Hindu dan Buddha juga mengamalkan puasa mengikut cara mereka. Orang Barat mengamalkan berpuasa untuk kesihatan. Kajian perubatan moden menerangkan kebaikan berpuasa dari segi kesihatan.

Ibadat puasa yang dilakukan dengan niat ikhlas mengabdikan diri kepada Allah SWT, mendapat balasan yang amat istimewa dan tiada tandingannya. Puasa menjadi benteng yang kukuh mengelak diri daripada terpengaruh daripada melakukan perbuatan tercela.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Puasa itu adalah benteng daripada kejahatan." (Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan Nasai).

Puasa juga mengekang nafsu syawat. Rasulullah memerintahkan teruna dan dara yang berkeinginan kepada seks, tetapi tidak mampu berkahwin, maka hendaklah mereka berpuasa bertujuan mengelak melakukan amalan buruk.

Ikhlas dan istiqamah dalam ibadat amat penting dalam ibadat. Apa yang dilakukan hendaklah dalam kesedaran bahawa ia dilakukan kerana Allah SWT dan hanya mengharapkan balasan daripada-Nya.

Puasa yang dilakukan secara terikut-ikut dinamakan puasa ritual. Amalan-amalan puasa ritual tidak bertahan lama dan tidak ikhlas.

Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya orang yang mengatakan: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah (dengan jujur), maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka pula tiada berduka cita." (Surah al-Ahqaf, ayat 13).

Perbuatan terlalu mencintai dunia dapat dihindarkan jika melaksanakan puasa dengan ikhlas dan sempurna. Rasulullah menyebut perasaan mencintai dunia melebihi kepentingan hidup di akhirat sebagai satu penyakit umat akhir zaman yang membawa ke arah kehancuran.

Perasaan terlalu mencintai dunia akan menghalang seseorang daripada membelanjakan apa yang dimiliki ke jalan Allah. Usaha yang dilakukan semata-mata mengharapkan habuan di dunia seperti wang ringgit, harta benda, pangkat, kedudukan dan pujian.

Orang berpuasa sentiasa merasakan dirinya hampir dengan Allah SWT. Dia berusaha melakukan amalan yang disukai Allah SWT. Mereka sedar segala kekayaan dan kejayaan yang dimiliki di dunia ini datangnya daripada Allah SWT.

Pekerti mulia yang lahir hasil melakukan ibadat puasa ialah bersedekah. Banyak orang menghulur sedekah pada bulan Ramadan. Sikap ini bertepatan dengan pesan yang dinyatakan oleh Rasulullah bahawa seutama-utama sedekah ialah yang dilakukan pada bulan Ramadan .

Sebab itu amat ditekankan supaya menghulurkan sedekah walaupun dalam jumlah sedikit. Selain sedekah dalam bentuk wang dan barang keperluan, sedekah berupa makanan juga amat digalakkan dilakukan pada bulan Ramadan.

Penyediaan makanan berbuka dapat membantu golongan miskin dan merapatkan tali persaudaraan. Majlis berbuka disertai saudara mara, rakan dan jiran tetangga membentuk rasa muhibbah dan memperkuatkan perasaan kasih sayang.

Sesiapa yang menyediakan hidangan berbuka puasa beroleh pahala puasa orang yang berbuka itu, tanpa sedikitpun pahala orang itu berkurangan.

Sedekah juga adalah mekanisma untuk membersihkan diri dan harta daripada unsur-unsur kotor. Harta yang diperoleh secara salah, sama ada secara sedar dan tidak sedar, perlu dibersihkan dengan cara disedekahkan kepada orang miskin.

Firman Allah SWT bermaksud: "Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah amat mendengar lagi amat mengetahui." (Surah at-Taubah, ayat 103).

Justeru, pada Ramadan yang diberkati perlu ditekankan sifat bersedekah dan membantu orang yang memerlukan. Di sebalik ibadat puasa tersimpan tujuan agar lahir rasa keinsafan dan bersyukur akan nikmat yang dirasai berbanding orang lain yang hidup lebih menderita.

Menahan lapar dan terhalang daripada melakukan perbuatan yang membatalkan puasa, satu ujian besar bagi golongan kaya. Ketika menjalani ibadat puasa, semua orang tanpa mengira kekayaan dan kedudukan terpaksa melalui satu situasi yang sama, iaitu berlapar dan menahan diri daripada melakukan perbuatan membatalkan puasa.

Lapar ketika berpuasa hanya sebahagian daripada ujian daripada Allah SWT. Sesiapa yang bersabar bakal beroleh kegembiraan di akhirat.

Firman Allah SWT bermaksud: "Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, kekurangan harta benda, dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (Surah al-Baqarah, ayat 155).

Sesiapa yang berpuasa dengan sebenar-benarnya akan dapat berasakan bahawa semua kekayaan dan kejayaan dimiliki tidak lagi bernilai, melainkan ketakwaan dan keimanan saja yang menjadi penentu kehidupan di akhirat.

Membersihkan diri daripada dosa berkaitan harta perlu disegerakan. Sifat sayangkan dunia menjadi senjata utama syaitan menyesatkan manusia. Biarpun ajal sudah amat hampir, masih terbayang kepada kekayaan, pangkat dan kemewahan yang disayangi.

Ketika hampir ajal, syaitan mendekati orang terlalu sayangkan dunia, lalu ditawarkan bantuan untuk mencapai segala impian. Syaitan menawarkan bantuan dengan syarat manusia sanggup mengakui kekuasaan syaitan.

Orang tamak dan terlalu sayangkan dunia mudah dikuasai syaitan ketika hampir ajalnya dan matilah dia dengan keadaan tidak beriman kepada Allah SWT. Amat buruk sikap mereka dilalaikan harta benda.

Firman Allah SWT bermaksud: "Biarkanlah mereka makan dan bersenang-senang, mereka dilalaikan oleh angan-angan dan mereka akan mengetahui akibatnya." (Surah al-Hijr, ayat 3).

Rasa keimanan yang disuburkan sepanjang Ramadan membersihkan diri daripada sifat tercela. Latihan Ramadan menumbuhkan tunas dan menyuburlah sifat Muslim sejati.

Pada Ramadan Allah SWT membuka seluas-luasnya pintu taubat bagi membersihkan diri. Siapa membersihkan diri maka dialah orang beruntung. Manusia tidak sunyi daripada melakukan dosa dan kesalahan.

Dalam surah al-Maidah ayat 39 Allah SWT berfirman bermaksud: "Maka barang siapa bertaubat selepas melakukan kejahatan itu dan membaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang."

Monday, August 11, 2008

Menahan marah, pemaaf sifat terpuji

Oleh Lokman Ismail

SIFAT MULIA: Bermaaf-maafan dituntut supaya perselisihan tidak berpanjangan demi keharmonian masyarakat. - Gambar hiasan


Bertenang, wuduk mampu redakan panas baran untuk wujud keharmonian

MARAH adalah antara sifat semula jadi yang ada dalam diri manusia, lahir apabila ada perkara yang tidak disukai, menyakitkan, merugikan atau tidak seperti dikehendaki berlaku terhadap diri. Lawan sifat marah ialah pemaaf.

Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap Muslim. Sifat itu mempunyai kesan besar dalam kehidupan kerana ia dapat menyelamatkan seseorang daripada terjebak dalam tindakan yang boleh mendatangkan penyesalan.

Kerugian atau keadaan yang tidak seteruk mana yang menjadi punca kemarahan boleh bertukar satu kerugian lebih besar jika kemarahan tidak dapat dikawal.

Sifat pemaaf dapat meletakkan seseorang pada kedudukan tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat. Dia mendapat keuntungan untuk dirinya sendiri dan tidak pula mendatangkan keburukan kepada pihak lain.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan." (Surah al-Imran, ayat 132)

Orang yang bersifat pemaaf adalah insan yang tidak berdendam dan buruk sangka terhadap orang lain. Biarpun dia pernah diperlakukan dengan sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, dia memaafkan perbuatan itu dan menerimanya secara positif.

Mungkin pihak yang menyebabkan rasa marah itu tidak mempunyai niat melakukan perbuatan itu, melainkan kerana terpaksa atau tidak mempunyai pilihan lain. Dalam situasi begitu, sesiapa pun tidak dapat mengelak.

Bagi mengelak timbul perasaan marah, jangan melihat sesuatu keadaan dengan terlalu serius sehingga memberi gambaran sebaliknya. Jangan cepat menyalahkan orang, sebaliknya fikirkan apakah kita mampu mengelaknya jika berada di sebelah pihak yang menyebabkan kemarahan itu.

Marah akan menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal dan banyak keburukan akan terjadi.

Insan pemaaf dan berhati mulia tidak hanya memaafkan apabila pelakunya memohon maaf, bahkan bersikap terbuka. Jadi, sesiapa ingin membersihkan diri daripada sifat negatif haruslah terlebih dulu membuang sifat dendam.

Orang yang kuat menahan sifat marahnya akan mudah memaafkan orang lain. Firman Allah yang bermaksud: "Dan orang yang menahan amarahnya serta memaafkan (kesalahan) orang." (Surah al-Imran, ayat 134)

Rasulullah SAW pernah menjelaskan orang yang kuat dalam pandangan syarak ialah mereka yang berjaya mengawal perasaan ketika marah untuk mengelak daripada bencana lebih buruk. Dia boleh mengalihkan situasi marah itu kepada satu keadaan yang lebih baik.

Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Islam mengajar umatnya bagaimana mengendalikan diri dalam keadaan marah supaya sifat marahnya itu tidak berlarutan. Antaranya jika seseorang yang sedang marah itu dalam keadaan berdiri, adalah lebih baik dia duduk.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Selain itu, mereka yang sedang marah juga boleh memadamkan kemarahannya dengan berwuduk. Dua perkara kelebihan wuduk, pertamanya membersihkan diri daripada kekotoran hati dan keduanya secara fizikal menyejukkan hati yang melahirkan ketenangan.

Hadis diriwayatkan Abu Daud yang bermaksud: "Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk."

Mereka yang berjaya menahan amarahnya supaya tidak merebak akan mendapat ganjaran di sisi Allah di dalam syurga kelak, di mana mereka boleh memilih mana-mana bidadari yang mereka sukakan.

Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: "Barang sesiapa menahan amarahnya pada hal ia mampu untuk menumpahkannya, maka Allah akan memanggilnya di hadapan para pemimpin makhluk, lalu Allah memberinya kebebasan untuk memilih bidadari mana yang ia sukai." (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)

Di samping mampu menahan sifat marah, seseorang itu juga perlu bersedia memaafkan pihak yang membuatkan mereka marah. Memaafkan kesalahan orang lain digalakkan bagi mengekalkan silaturahim dan keharmonian. Malah, sifat pemaaf meletakkan seseorang itu di tempat yang tinggi.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang sesiapa yang ingin dimuliakan tempat tinggalnya dan ditinggikan darjatnya, maka hendaklah ia memberi maaf kepada orang yang menzaliminya, memberi kepada orang yang tidak mahu memberi kepadanya dan menyambung silaturahim kepada orang yang memutuskannya." (Hadis riwayat al-Hakim)

Rasulullah SAW juga mengingatkan mereka yang selalu memberi ampunan kepada seseorang akan mudah mendapat keampunan daripada Allah. Memang orang yang dizalimi berhak membalas balik perbuatan itu tetapi adalah lebih baik jika memberi kemaafan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang sama. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim." (Surah asy-Syura, ayat 39-40)

Biarpun Islam membenarkan membalaskan kejahatan dengan kejahatan yang sama, adalah lebih baik jika diselesaikan secara memberi kemaafan. Ini bagi mengelak perkara buruk berterusan. Disebabkan membalas itu mungkin berlaku ketidakadilan apabila balasan dikenakan lebih teruk.

Sebenarnya tidak rugi kita memaafkan orang lain. Apa yang berlaku sudah menjadi sejarah. Kita tidak mendapat apa-apapun daripada kemarahan yang ditunjukkan, bahkan menyebabkan kesan buruk kepada diri sendiri.

Syaitan pernah memberitahu Nabi Musa bagaimana dia mendekati manusia supaya melakukan perbuatan dilarang agama dengan katanya: "Tiga perempat daripada masa yang paling baik untuk aku menggoda manusia ialah sewaktu mereka dalam keadaan marah, kerana pada masa itu aku boleh mempermainkan hati mereka seperti sebiji bola."

Tuesday, January 8, 2008

Jadikan semangat hijrah cipta banyak kebaikan

Oleh Lokman Ismail

PERISTIWA hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah menjadi peristiwa penting dalam kalendar Islam. Bagaimanapun, tarikh 1 Muharam yang dijadikan awal Hijrah bukan tarikh sebenar berlaku hijrah atau pergerakan Rasulullah dari Makkah ke Madinah.

Mengikut catatan sejarah, Rasulullah SAW keluar dari Makkah pada Khamis akhir Safar dan bersembunyi di Gua Thur, satu tempat terpencil di luar kota Makkah, untuk mengelak dikesan kafir Quraisy yang berusaha membunuh Baginda.

Baginda keluar dari Gua Thur, seterusnya menuju ke Madinah ialah pada awal Rabiulawal, mengikut perkiraan Masihi, peristiwa itu berlaku pada 622 Masihi, bermakna sudah 1385 tahun berlalu. Namun, mengikut kiraan Hijrah sudah mencecah 1,429tahun.

Bilangan hari dalam setahun tahun Masihi ialah 365 atau 366 hari (Februari ada 29 hari), manakala Hijrah bilangan harinya ialah 354 hari. Justeru, kita menyambut tahun baru Hijrah awal 10 atau 11 hari setiap tahun (berdasarkan tarikh Masihi).

Contohnya, umat Islam akan menyambut sesuatu perayaan pada musim sama ialah selepas 33 tahun berlalu (satu pusingan lengkap).

Rasulullah SAW berdepan halangan besar melaksanakan hijrah, tetapi hasil perancangan teliti, ia dapat dilakukan dengan jayanya. Kafir Quraisy terpedaya dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW merancang perjalanan supaya tidak dapat dikesan, ia termasuk melakukan transit di Gua Thur.

Baginda SAW tidak menggunakan kekuatan mukjizat atau dipermudahkan dengan pertolongan di luar kekuasaan manusia. Jelas sekali cara itu memberi pengajaran besar yang wajar dicontohi kerana jika menggunakan mukjizat, sudah tentu usaha itu tidak mampu dicontohi atau diikuti orang kebanyakan kerana mukjizat hanya dikhaskan untuk Rasul.

Peristiwa hijrah dijadikan detik permulaan perkiraan Hijrah yang menjadi kalendar umat Islam. Masyarakat Arab ketika itu belum ada pengiraan tahun, walaupun sudah ada nama bulan berdasarkan kepada musim atau peristiwa.

Detik hijrah diingati sebagai garisan permulaan kepada kejayaan gemilang penyebaran dakwah Islamiah dan kerana itu kita dituntut mengulangi kegemilangannya dengan cara menghayati dan melaksanakan hijrah yang banyak tersirat pengertian di sebaliknya.

Selepas hijrah Rasulullah SAW, Islam dapat disebarkan dengan lebih mudah di Madinah berbanding di Makkah, dan bermulalah tamadun Islam yang berjaya menguasai tanah Arab dan tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Untuk mencapai kejayaan dan mendapat sesuatu yang lebih baik memerlukan kita berhijrah ke arah itu. Perkara ini disebut Rasulullah SAW sebagai menjelaskan perihal hijrah yang dituntut dilakukan setiap umat Islam, selepas peristiwa hijrah Makkah ke Madinah.

Sahabat yang tidak sempat bersama Rasulullah SAW berhijrah berasakan satu kerugian kerana tidak mendapat pahala hijrah. Hakikat sebenar, hijrah tidak hanya perpindahan dari Makkah ke Madinah, tetapi masih banyak konsep hijrah yang perlu dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa-apa dilarang Allah ke atasnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ajaran Islam sentiasa mementingkan usaha menuju kebaikan dan kejayaan. Apa yang dilarang Allah bermakna ia perbuatan mendatangkan keburukan dan membawa kepada kegagalan hidup. Kita perlu berhijrah meninggalkan semua dilarang dan melakukan apa disuruh.

Justeru, berhijrah adalah sebahagian daripada melaksanakan misi ketakwaan. Berhijrah adalah satu perintah yang perlu dilakukan sepanjang masa. Sesiapa yang mengharapkan kehidupan lebih baik di dunia dan akhirat, tidak dapat tidak mesti berhijrah setiap masa.

Kita mesti sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dan mengharap rahmat Allah. Konsep hubungan hijrah dan kejayaan mendapat rahmat Allah disebut dalam al-Quran melalui firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah (fisabilillah), mereka itulah yang boleh mengharap (mendapat) rahmat dari-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 218)

Mencapai apa juga kejayaan memerlukan pengorbanan dan sesuatu pengorbanan tidak semestinya membuahkan kejayaan dalam tempoh masa singkat. Adakalanya pengorbanan itu perlu dilakukan berulang selepas menempuh kegagalan sebelum mencapai apa diimpikan.

Bahkan, ada usaha dan pengorbanan tidak berhasil mendapat seperti apa diharapkan di dunia ini, tetapi ia bukan sesuatu yang sia-sia selagi seseorang itu reda apa yang berlaku dan menerima ketentuan Allah.

Sesungguhnya apa juga perkara baik yang dilakukan akan mendapat pembalasan pahala. Mungkin kejayaan yang diharapkan tidak dapat dikecapi di dunia ini, balasan pahala tetap diterima di akhirat. Kegagalan ditanggung itu adalah sebahagian daripada ujian Allah.

Berusaha berubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna sudah mensia-siakan peluang hidup semalam. Peluang itu tidak akan datang lagi, kerana sudah berlalu menjadi sejarah.

Ketika masih ada peluang meneruskan kehidupan ini hendaklah direbut peluang untuk mengangkat darjat di sisi Allah. Peluang kelebihan dinikmati hendaklah digunakan sebaiknya sebelum ia berlalu atau hilang. Masa hidup di dunia ini terlalu singkat berbanding kehidupan yang kekal di akhirat.

Rasulullah SAW memberi peringatan supaya merebut kesempatan yang masih ada sebelum datang masa atau keadaan sebaliknya. Sikap bertangguh menyebabkan peluang yang ada sebelumnya akan tertutup, dan kematian adalah pengakhiran kepada semua peluang di dunia ini.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Rebutlah lima kesempatan sebelum datang lima yang lain; masa muda mu sebelum datang masa tuamu, masa sihat mu sebelum datang masa sakit mu, masa kaya mu sebelum datang masa fakir mu, masa lapang mu sebelum datang masa sibuk mu dan masa hidup mu sebelum datang kematian mu.” (Hadis riwayat Tarmizi)

Hijrah membolehkan seseorang melakukan lebih banyak kebaikan untuk diri sendiri, keluarga, agama dan bangsa. Allah melipatgandakan kejayaan dan keberkatan kepada mereka yang sanggup bersusah payah melakukan usaha hijrah. Semakin sukar laluan yang perlu ditempuh, lebih tinggi darjatnya di sisi Allah.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah dan mereka itulah orang yang berjaya.” (Surah at-Taubah, ayat 20)

Sesiapa yang berusaha mencapai sesuatu lebih baik dalam kehidupannya sudah melakukan sebahagian daripada maksud hijrah dan mendapat pahala hijrah jika ia diniatkan untuk memperoleh keredaan Allah. Setiap usaha perlu dilakukan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya setiap amal itu bergantung kepada niatnya. Maka sesiapa yang berhijrah semata-mata kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya diterima Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan duniawi, ia mendapat apa dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya terhenti pada apa yang diniatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadikan semangat sempena tahun baru hijrah ini untuk mencipta lebih banyak kebaikan dalam hidup. Dalam Islam tidak ada istilah pencen atau berhenti melakukan kebaikan selagi keupayaan dan peluang masih ada.