Showing posts with label (A) Mohd Adid Ab Rahman. Show all posts
Showing posts with label (A) Mohd Adid Ab Rahman. Show all posts

Saturday, January 2, 2010

Kikis sikap malu, segan jika mahu lakukan amalan baik

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

KEMULIAAN serta kualiti manusia bukan dilihat pada fizikal yang cantik atau kekayaan, tetapi iman serta amal salih yang diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Menjadi pakej lengkap setiap orang beriman pasti gemar melakukan kebaikan dalam semua perkara. Semakin mantap iman, semakin mudah berbuat baik sekali gus darjatnya semakin tinggi di sisi Allah.

Di sinilah pentingnya kita mantapkan iman dan berlumba-lumba melakukan kebaikan sama ada kepada Allah, diri, masyarakat. haiwan dan alam. Semua yang dilakukan demi meraih kecintaan dan keredaan Allah sebagai kebahagiaan yang hakiki.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bahagialah (kerana kebaikan yang amat banyak) bagi orang yang baik kerjanya, baik dan bersih hatinya, mulia pula lahirnya dan jauh manusia daripada kejahatannya. Bahagialah orang beramal dengan ilmunya, membelanjakan (untuk kebaikan) lebihan dari hartanya dan menahan lebihan daripada kata-katanya." (Hadis riwayat Tabrani)

Ada individu enggan melakukan perkara baik seperti belajar atau mengajar ilmu bermanfaat kepada orang yang memerlukannya kerana malu. Sikap ini sangat mengelirukan, sebab malu hanya layak dalam perkara dilarang agama.

Kita sering berjumpa manusia yang memandang ringan terhadap kebaikan yang sedikit. Mereka keberatan atau enggan melakukannya lalu dicipta pelbagai alasan tidak masuk akal untuk mengelak daripada dilihat sebagai seorang pemalas dan orang yang bersalah.

Sedangkan Islam sangat menekankan perlunya manusia berlumba-lumba berbuat kebaikan. Walaupun hanya bersedekah sebelah daripada sebiji kurma yang dianggap perkara remeh namun sesungguhnya tetap diperhitung Allah sebagai amalan soleh.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hindarilah seksa neraka meskipun dengan bersedekah sebelah buah kurma. Siapa yang tidak mampu bersedekah separuh buah kurma sekurang-kurangnya dia bertindak dengan menuturkan perkataan yang baik dan bermanfaat." (Maksud Al-Hadis)

Sekecil apapun perkara kebaikan yang dilakukan tetap dinilai dan diberi pahala oleh Allah dan begitu juga dengan kemungkaran, tidak akan dibiarkan begitu saja, pasti akan menerima balasannya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Siapa yang berbuat baik walau sebesar zarah kebaikan ia pasti melihat ganjarannya. Siapa yang berbuat sebesar zarah kejahatan pun ia pasti akan melihat akibatnya." (Surah Al-Zalzalah: 7-8)

Jika ruang hidup yang memang terhad ini tidak diisi dengan amalan baik yang mendatangkan manfaat, bermakna kita sudah melangkah di jalan salah yang terpesong daripada tujuan hidup sebenarnya dan seolah-olah sengaja mencampakkan diri ke dalam golongan orang rugi daripada rahmat-Nya.

Firman Allah bermaksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang beriman dan beramal salih dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan sabar." (Surah Al-Asr: 1-3)

Jika enggan atau berlengah-lengah maka dikhuatiri nanti kita tidak berkesempatan melakukan amal soleh disebabkan mungkin ditimpa sakit atau meninggal dunia.

Benarlah nasihat Hasan Basri: "Ayuh segeralah, segeralah! Sebab segala sesuatu itu tergantung daripada nyawamu saja, jika ini sudah diputuskan, terputuslah pula segala amalmu. Jika demikian, amalan mana lagi yang akan kau pergunakan untuk 'bertaqarrub' (mendekatkan diri) kepada Allah."

Kita perlu sentiasa nyalakan semangat dan azam berlumba-lumba melakukan kebaikan selari suruhan agama supaya terhindar daripada segala kemungkaran.

Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya mereka adalah orang yang selalu berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan dan selalu berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka sentiasa khusyuk kepada Kami." (Surah Al-Anbia: 90)

Demi untuk menjadi insan mulia dan dikasihi Allah, kita perlu segera melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Sesungguhnya Allah selalu bersama orang yang bertakwa dan selalu menambah amalan salih. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa dan orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah An-Nahl: 128)

Tuesday, November 10, 2009

Usah tangguh apabila berpeluang tunai haji

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Setiap Muslim hendaklah menguatkan azam untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci


MEMANDANGKAN ibadat haji adalah wajib bagi setiap Muslim, apabila sudah ada kemampuan iaitu perbelanjaan cukup, tubuh badan sihat, tiada sebarang gangguan dalam perjalanan yang perlu dibimbangi, ilmu cukup di dada, maka hendaklah segera menunaikannya tanpa berlengah-lengah lagi.

Pesan Rasulullah SAW bermaksud, "Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi dia masih tidak menunaikan haji (dengan ketiadaan uzur syarie sehingga dia meninggal dunia) maka tiada halangan baginya mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani." � (Hadis At-Tirmizi dan Al-Baihaqi)

Walaupun begitu, masih ada juga segelintir masyarakat Islam yang sudah ada kemampuan namun enggan menunaikan haji. Mereka beralasan 'belum sampai seru', umur masih terlalu muda, banyak urusan bersifat duniawi yang perlu diselesaikan seperti perniagaan, penternakan dan sebagainya.

Alasan mereka sebenarnya sangat mengelirukan. Pada hal manusia tidak sedikitpun diberi pengetahuan mengenai apakah yang akan berlaku pada masa akan datang, mungkin dirinya jatuh sakit, boleh jadi akan mengalami kekurangan harta atau tidak mustahil meninggal dunia sehingga terhalang daripada menunaikan ibadat haji.

Rasulullah SAW memberi peringatan agar tidak bertangguh jika ada kesempatan untuk melakukan kebajikan. Daripada ibnu Umar katanya, Rasulullah SAW menepuk bahuku serta bersabda: "Hendaklah engkau jadi di dunia ini seolah-olah berdagang di negeri orang atau sebagai orang yang melintasi jalan". Ibnu Umar berkata: "Jika kamu berada di waktu petang janganlah kamu tangguh ke waktu pagi dan jika kamu berada di waktu pagi janganlah kamu tangguh ke waktu petang. Rebutlah kesempatan sewaktu kamu sihat sebagai persediaan waktu engkau sakit dan ketika engkau masih hidup sebagai bekalan ketika engkau mati." � (Hadis Bukhari)

Sesungguhnya ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal, mental dan material. Orang yang ingin mengerjakan haji perlu mempersiapkan diri menghadapi pelbagai kemungkinan dan ujian. Lantaran sekiranya tiada keazaman tinggi dan iman kental, mengakibatkan seseorang mudah kecewa, putus asa dan menganggap ibadat haji sukar dilaksanakan.

Seharusnya jiwa padat dengan kesabaran yang kuat, reda dengan ketentuan Allah di samping senantiasa berdoa kepada-Nya agar haji dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan memperoleh haji mabrur dan ganjarannya sangat besar sebagaimana sabda junjungan besar Nabi SAW bermaksud: "Haji yang mabrur itu tidak ada ganjarannya melainkan syurga." � (Hadis Bukhari)

Sesungguhnya ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal, mental dan material. Orang yang ingin mengerjakan haji perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi pelbagai kemungkinan dan ujian. Lantaran sekiranya tiada keazaman tinggi dan iman kental, menyebabkan seseorang mudah kecewa, putus asa dan menganggap ibadat haji sukar dilaksanakan.

Kunjungan ke Baitullah akan mendapat pelbagai manfaat bagi muslimin sebagaimana dijelaskan Allah: "Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka". � (Surah al-Hajj: 28)

Antara manfaatnya ialah menunjukkan kecintaan dan ketaatan tidak berbelah bagi, mengabdikan diri ikhlas semata-mata kepada Allah, mengikrarkan tauhid bersama-sama, menyuburkan keimanan dan ketakwaan.

Hal ini terjelma melalui lafaz doa, zikir, takbir, tahmid dengan keras sehingga didengar oleh orang yang dekat atau jauh, menjiwai maknanya, merealisasikan dalam setiap amalan sehari-hari.

Dalam perhimpunan besar umat Islam di tanah suci, tidak ada lagi timbul perbezaan taraf, bangsa dan budaya. Semuanya sama di sisi Allah sebagai hamba-Nya seperti bentuk dan warna pakaian ihram yang dipakai oleh setiap yang mengerjakan haji.

Di samping itu, muslimin boleh saling kenal-mengenal, berwasiat, nasihat-menasihati atas dasar kebenaran, bantu membantu, membimbing tata cara mengerjakan haji, berdakwah dan sebagainya. Ini semua manfaat diperoleh melalui ibadat haji.

Demi mencari keredaan dan kebenaran serta keselamatan di dunia dan di akhirat, setiap Muslim hendaklah menguatkan azam agar suatu hari nanti dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menyempurnakan Rukun Islam Kelima, dengan giat bekerja mengumpul harta secara halal dan selalu berdoa kepada-Nya.

Saturday, May 9, 2009

Jangan tunggu usia tua baru hendak bertaubat

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Kematian datang tiba-tiba, sentiasa dalam kemaksiatan boleh menghancurkan peribadi Muslim

MANUSIA tidak terlepas melakukan kesalahan kerana itu sudah menjadi sifat tabii manusia biasa kecuali Rasulullah SAW yang bersifat maksum. Namun, bagi seorang Muslim apabila sudah melakukan perbuatan yang mengundang dosa, perlu segera bertaubat kepada Allah SWT.

Taubat penuh keinsafan dan penyesalan gambaran sebaik-baik manusia yang melakukan kesalahan baik berupa dosa kecil mahu pun dosa besar seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap anak cucu Adam adalah pelaku dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah mereka yang bertaubat." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Maksud dosa besar ialah perbuatan yang melanggar perintah Allah SWT di mana telah ditentukan hukumannya di dunia dan dikenakan ancaman azab neraka di akhirat seperti mencuri, berzina dan lain-lain, yang memang termaktub dalam al-Quran atau pun hadis Rasulullah SAW.

Apabila menyedari sudah melakukan dosa, haruslah segera membersihkan diri. Rasulullah SAW sendiri walaupun dipelihara Allah SWT daripada melakukan dosa tetap bertaubat dalam sehari semalam melebihi 70 kali.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar (memohon ampun) dan bertaubat kepada Allah setiap hari lebih 70 kali." (Hadis riwayat Bukhari)

Namun, sebilangan besar masyarakat Islam hari ini begitu leka melakukan maksiat dan sedikit pun tidak rasa bersalah bahkan menjadi kebanggaan pula apabila melakukannya. Benarlah seperti diungkapkan Asy-Syekh Husen Yusuf Ghazzal: "Dapat kita saksikan bahawa saat ini apabila seseorang melakukan perbuatan dosa, maka ia tidak akan merasa malu sedikitpun. Bahkan dengan sewenang-wenangnya mereka berusaha menghalalkan suatu perbuatan tanpa mempedulikan syariat agama dan norma etika."

Berlakunya hal demikian lantaran masyarakat Islam memiliki iman yang lemah. Mudah menurut telunjuk nafsu sementara pengetahuan selok-belok ajaran Islam ternyata begitu dangkal. Sedangkan apabila sentiasa berada dalam kemaksiatan boleh menghancurkan keperibadian seorang Muslim.

Ulama berkata: "Sesungguhnya kemaksiatan itu berjalan menuju kekufuran. Manusia berpindah dari satu bentuk kemaksiatan kepada kemaksiatan berikutnya, sampai akhirnya dia keluar dari agamanya."

Sesungguhnya orang yang segera bertaubat secara benar dan bersungguh-sungguh adalah orang yang memahami bahawa taubat itu satu kewajipan ditentukan agama serta mencerminkan keimanan yang menebal.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan sungguh-sungguh." (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Allah SWT dengan sifat-Nya yang Maha Pengampun, membuka seluas-luasnya pintu taubat kepada hamba-Nya yang berdosa dan ingin bertaubat. Allah SWT sentiasa menerima taubat setiap hamba-Nya yang ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Barang siapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan, lalu memilih jalan lurus. Maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya dan Tuhan itu Maha Pengampun Maha Penyayang." (Surah al-Maidah, ayat 39)

Bagaimanapun, tidak ramai di kalangan kita yang ingin merebut peluang itu bahkan, taubat dipandang ringan saja. Setiap kali ditanya, mereka rata-rata menjawab akan bertaubat apabila sampai usia tua nanti.

Mereka sebenarnya memberi jawapan mengelirukan, seolah-olah mereka berpegang pada dahan yang rapuh kerana seseorang itu belum tentu hidupnya sampai usia lanjut. Oleh itu, bertaubat segera adalah perbuatan bijak dan terpuji.

Nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya: "Janganlah anakku undurkan melakukan taubat, sebab kematian datangnya tiba-tiba, sedang malaikat maut tidak memberitahukannya terlebih dulu."

Oleh itu, taubat perlu dilaksanakan segera tanpa tangguh-tangguh. Apa lagi taubat itu wajib hukumnya. Lalu bertaubatlah sekarang sebelum pintunya dikatup rapat oleh Allah SWT.

Mengikut keterangan hadis, pintu taubat akan ditutup bila terjadinya perkara-perkara berikut;

l Matahari naik sebelah barat.

Perkara ini dinyatakan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya di waktu siang untuk menerima taubat orang yang membuat jahat di waktu malam, membuka tangan selebar-lebarnya di waktu malam untuk menerima taubat orang yang melakukan maksiat waktu siang. Hal ini berterusan sehinggalah matahari terbit dari arah barat." (Hadis riwayat Muslim)

l Apabila nyawa sampai di kerongkong (nazak)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Tuhan bersedia menerima taubat seseorang hamba selagi nyawanya belum sampai di kerongkong (sebelum nazak)."

Untuk melakukan taubat nasuha, Islam menunjukkan syarat yang mesti dipenuhi iaitu menyesal dengan perbuatan dilakukan dengan sepenuh hati, berhenti serta merta melakukan perbuatan itu, berazam tidak akan mengulang kembali perbuatan itu. Jika membabitkan orang lain, hendaklah memohon maaf daripada orang berkenaan.

Apabila kita melakukan taubat ikhlas kerana Allah SWT, bermakna kita bersih daripada dosa itu, dipelihara dan dikasihi Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan orang yang menyucikan diri." (Surah al-Baqarah, ayat 22)

Allah SWT juga berjanji akan menempatkan orang bertaubat dalam syurga yang penuh kenikmatan, seperti firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha. Mudah-mudahan Tuhan kamu menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Oleh itu, marilah kita mencari keredaan Allah dengan membersihkan diri daripada segala dosa dengan bertaubat sepanjang masa. Jangan tunggu hingga esok kerana matlamat hidup kita sebenarnya ialah mendapatkan kebahagiaan di akhirat nanti. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang dikasihi Allah SWT.

Friday, May 1, 2009

Penyakit jiwa binasakan batin, peribadi manusia

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Hati perlu bersih daripada sifat mazmumah dengan hayati ajaran al-Quran

MANUSIA yang waras sering berdepan dengan pelbagai persoalan dalam kehidupan, sama ada ringan atau berat. Sesungguhnya keadaan itu sudah menjadi lumrah hidup seorang manusia. Masalah itu mungkin saja kerana banyak melakukan dosa, kezaliman, kehilangan sesuatu yang disayangi, ditimpa kerugian dalam perniagaan dan sebagainya. Akibatnya manusia mengalami gangguan jiwa seperti resah, gelisah, dukacita, putus asa, ketakutan, kemarahan, kebencian, suka termenung dan tidak lena tidur serta menyalahkan takdir Ilahi. Semua itu memberi kesan hidup tidak selesa dan jiwa tidak bahagia atau tenang.

Ada sebilangan besar masyarakat meleraikan kekusutan jiwa tanpa pertimbangan akal sihat dan panduan agama. Contoh bersukaria, menikmati muzik, berkaraoke, menari, mengambil ubat penenang, mengambil dadah, minum arak bahkan ada yang sanggup membunuh diri. Ketenteraman yang diperoleh cara demikian sesungguhnya tak lebih hanyalah bersifat sementara dan sekadar anggapan belaka.

Bagi orang beriman, walau sebesar mana persoalan hidup yang melanda pasti akan dihadapi dengan sabar, tabah dan jiwa yang tenang. Lantaran, dengan memiliki ketenangan jiwa menyebabkan seseorang itu dapat menjalani kehidupan dengan teratur dan sewajarnya mengikut kehendak syariat Islam serta mampu beribadat dengan sempurna, melaksanakan tanggungjawabnya terhadap keluarga atau masyarakat. Kesimpulannya segala tindak-tanduk yang dilakukan mengikut rentak jiwa. Hal ini pernah disentuh Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya bermaksud: "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging, jika baik daging itu, baiklah manusia. Jika jahat daging itu maka jahatlah manusia. Ketahuilah itulah hati" (HR Bukhari dan Muslim)

Bagi meraih ketenangan hakiki, perlu seseorang itu mengamalkan cara yang ditunjukkan oleh agama. Sesungguhnya berpegang kukuh kepada agama sangat penting lantaran menjadikan seseorang itu selalu berada dalam keadaan tenang.

Kita sangat tertarik dengan ungkapan Ahli Falsafah dan Psikologi Amerika Syarikat, William James, yang berkata "Iman, adalah ubat paling mujarab dalam menyembuhkan tekanan. Antara kita dan Tuhan ada hubungan yang tidak terputus. Jika kita meletakkan diri di bawah naungan kekuasaan Tuhan dan berserah diri kepada-Nya, semua harapan dan angan-angan kita akan wujud. Pada masa sama, gelombang kesulitan hidup dan tekanan kehidupan tidak akan mampu menggoyahkan ketenangan dan kestabilan jiwa manusia yang memiliki iman kepada Tuhan".

Pendapat beliau selari dengan pandangan Dr Yusof Al-Qardhawi dalam bukunya Al-Iman Walayah yang menyebut, "Ilmu, kesihatan, kepuasan nafsu, kekuatan, harta kekayaan tidak dapat menjana kebahagiaan. Hanya iman kepada Allah, hari akhirat dapat menjana kebahagiaan dan ketenangan"

Begitulah yang diajarkan Islam bahawa seseorang yang berpegang dengan agama secara benar bermakna selalu ingat kepada Allah SWT dalam pelbagai kesempatan atau peluang baik duduk, berdiri mahu pun berbaring, yang akhirnya membuahkan ketenangan jiwa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, Hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram" (Surah Ar-Ra'd: 28)

Dalam ayat lain kita menemui penjelasan Allah mengenai orang yang benar-benar beriman tetap memperoleh keamanan dan ketenteraman. "Orang-orang yang beriman dari tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk" (Surah al-An'am: 82)

Kita juga perlu yakin dengan pertolongan Allah. Sebab seperti yang kita ketahui bahawa dalam usaha untuk mendapatkan sesuatu yang diimpikan sering kali terpaksa menghadapi masalah dan rintangan. Ini semua boleh menimbulkan rasa putus asa, takut dan kebimbangan. Bila ada keyakinan bahawa Allah akan menolong orang beriman (baik orang-orang terdahulu, sekarang dan akan datang) yang bersungguh-sungguh berusaha dan berjuang, menyebabkan jiwa menjadi lapang dan tenteram. Firman Allah SWT bermaksud:

"Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (Surah Al-Anfal: 10)

Senada dengan itu di lain ayat Allah menjelaskan: "Dan Allah tidak menjadikan pemberian bala bantuan itu melainkan sebagai khabar gembira bagi (kemenangan) mu, dan agar tenteram hatimu kerana-Nya dan kemenanganmu itu hanyalah daripada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah Ali Imran: 126)

Islam juga mengajar kita agar selalu bersyukur kepada Allah. Nikmat yang Allah anugerah kepada kita amatlah banyak sehingga tidak terhitung jumlahnya. Kendatipun nikmat atau rezeki itu kecil, tetap diterima dengan penuh reda dan kesyukuran menyebabkan jiwa sentiasa lapang. Selanjutnya dia yakin bahawa Allah akan menambah nikmat itu sebagaimana dapat kita fahami daripada kenyataan al-Quran yang bermaksud: "...Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepadamu, demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras" (Surah Ibrahim: 71)

Namun jika tidak ingin bersyukur, tatkala mendapat rezeki sedikit pasti akan terus menjadi resah, memberontak, putus asa dan dengki terhadap orang yang mendapat rezeki lebih daripadanya. Hal ini boleh kita lihat ayat suci yang bermaksud: "Dan Allah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi penduduknya mengingkari nikmat-nikmat Allah; Kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian (meliputi tubuh badan mereka), kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat" (Surah An-Nahl: 162)

Sesungguhnya apabila jiwa tidak tenang bermakna jiwa sudah dihinggapi penyakit yang pasti akan membinasakan keperibadian seseorang itu. Lantaran penyakit itu mencerminkan hanya keburukan saja sebagaimana dijelaskan Dr Hamzah Ya'qub dalam bukunya Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mukmin, bahawa sifat buruk dan merosak dalam batin manusia yang mengganggu kebahagiaan, merintangi peribadi daripada memperoleh keredaan Allah dan sikap mental yang cenderung mendorong peribadi melakukan perbuatan buruk dan merosak"

Seandainya penyakit jiwa menguasai diri mengakibatkan ghairah beramal jadi melemah, semangat untuk maju dalam kebaikan terpadam, malas untuk bekerja, lalai mengingat Allah, sukar menerima kebenaran dan tumpul daya fikir Allah SWT menjelaskan: "Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada." ( Surah Al-Hajj: 46)

Oleh yang demikian, sebagai seorang Islam yang mahukan kebahagiaan dan ketenangan sebenarnya dan berpanjangan, hendaklah sepanjang hidupnya membersihkan hati daripada sifat mazmumah dengan cara menghayati ajaran al-Quran dalam kehidupan serta meneladani keperibadian Rasulullah secara istiqamah. Dengan itu, orang Islam akan jadi lebih terpuji, produktif dan cemerlang.

Monday, April 27, 2009

Tanggungjawab khalifah uji ketaatan, iman ummah

Oleh Mohd Adib Ab Rahman

Manusia digalak bangunkan bumi menerusi usaha berfaedah, bukan bawa kehancuran

MUSLIM yang selalu mengharap rahmat dan keredaan Allah akan menyedari serta mengerti siapa dirinya dan untuk apa diciptakan di dunia ini. Jelas diberitahu dalam al-Quran manusia diwujudkan semata-mata untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah yang selalu beribadat kepada-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." (Surah Adz-Dzaariyat, ayat 58)

Tidak dinafikan sebilangan besar umat Islam yang hanya memahami istilah ibadat itu tertumpu kepada amalan ibadat khusus dan fardu ain seperti solat, zakat dan haji.

Sementara soal selain itu seperti bercucuk tanam, bertukang, belajar ilmu kedoktoran dan mendalami selok-belok pertanian dianggap tiada kaitan dengan ibadat. Fahaman itu tidak menepati maksud ibadat sebenar mengikut pandangan Islam.

Ibadat ialah melakukan sesuatu pekerjaan atau kegiatan dengan ikhlas kerana Allah sama ada ibadat umum atau khusus.

Allah juga menghendaki manusia menjadi khalifah yang berperanan mentadbir, mengatur dan membangunkan dunia mengikut saluran ajaran Islam yang suci. Allah berfirman yang bermaksud: "Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Menjadi khalifah satu tanggungjawab atau amanah sangat besar dan berat. Lantaran itu makhluk lain tidak sanggup memikulnya. Al-Quran menceritakan yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung. Maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya dan dipikullah amanat itu oleh manusia." (Surah al-Ahzab, ayat 72)

Bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah dengan sebaiknya, Allah melengkapkan manusia dengan akal fikiran untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Penguasaan ilmu membolehkan manusia menguruskan alam. Mengambil manfaat daripada kejadian langit, bumi, lautan dan pada masa sama mentadbir umat manusia supaya berakhlak mulia, mengejar kemajuan, membina tamadun serta dapat menguasai pelbagai bidang ilmu menepati ciri hamba yang taat dan bertakwa.

Namun, realitinya umat Islam hari ini belum dapat menyempurnakan tugas sebagai khalifah kerana cara hidup, fizikal dan mental mereka berdegup mengikut hawa nafsu serta dipimpin kuasa budaya Barat. Ini gambaran yang mendukacitakan, betapa lemahnya umat Islam kini gara-gara ketinggalan dalam penguasaan ilmu. Sehingga senang ditindas dan dihina serta diperlakukan sebagai manusia tidak bertamadun oleh musuh.

Sememangnya keadaan itu sudah diduga sejak awal iaitu jika umat Islam tidak mempersiapkan diri dengan ilmu. Lantaran itu Rasulullah SAW secara tegas mewajibkan setiap Muslim menuntut ilmu supaya dapat dimanfaatkan demi kesejahteraan sejagat.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan Kami ciptakan besi (dan perak, emas, tembaga, minyak dan lain-lain) yang padanya ada kekuatan yang hebat dan pelbagai manfaat bagi manusia (untuk diolah) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong agama-Nya (Islam) dan Rasul padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa." (Surah al-Hadid, ayat 25)

Apabila manusia rajin bekerja dan istiqamah berusaha menegakkan ibadat, bermakna sudah menepati tujuan penciptaannya supaya menjadi khalifah yang bijak memakmurkan bumi ini. Firman Allah bermaksud: "Dialah yang menciptakan kamu daripada bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya (menghuni dan mengolah hasil bumi untuk kesejahteraan umat manusia)." (Suraj al-Hadid, ayat 61)

Pengertian pemakmur dalam ayat tadi ialah kepakaran dan kemampuan manusia membangunkan bumi menerusi usaha dalam pertanian, perindustrian, memajukan taraf hidup serta menghindari perkara yang boleh merosakkan alam ini berdasarkan ilmu yang benar.

Manusia yang dapat menyempurnakan tugas sebagai khalifah di bumi dengan baik mengikut syariat Islam, tentu mulia di sisi Allah. Sesungguhnya manusia memikul tanggungjawab sebagai khalifah adalah ujian Allah mengukur sejauh mana ketaatan dan keimanan. Jika dijalankan tugas itu dengan baik, diberi ganjaran di akhirat dan begitu juga sebaliknya kerana tidak menunaikan tanggungjawab seperti mengkhianati amanah yang diberi.

Firman Allah bermaksud: "Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan sesetengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat kerana hendak menguji kamu pada apa yang sudah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah al-An'am, ayat 165)

Sepanjang hidup kita sebagai umat Islam perlu berlumba-lumba mengejar kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat dengan usaha menepati ciri umat Nabi Muhammad yang diakui Allah sebagai umat terbaik.

Saturday, April 11, 2009

Hati umat Islam berkarat jika meninggalkan zikir

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Jiwa orang selalu ingat Allah sentiasa bening, tenang walaupun banyak masalah hidup

ORANG dalam hatinya terpancar keimanan kukuh, akan selalu giat berusaha sepanjang langkah usianya untuk bertaqarub kepada Allah kerana didorong rasa cinta mendalam terhadap-Nya. Kasih sayang dan kecintaan kepada Allah menjadikan seseorang itu sentiasa rindu pada-Nya.

Ibarat seorang anak muda sedang mabuk asmara, selalu terkenang-kenang si buah hatinya. Orang yang beriman, ingatannya tetap bergetar tulus kepada-Nya tanpa mengira waktu dan tempat. Bagi mukmin sejati, zikir dan hati adalah satu nyawa, tidak boleh dipisahkan.

Ia ditegaskan Ibn Taimiyah: "Zikir bagi hati adalah umpama air bagi ikan, bagaimana keadaan ikan apabila berpisah daripada air?"

Inilah gambaran orang beriman, yakin percaya kepada Allah dan menginsafi diri tidak lebih sebagai seorang hamba sangat lemah yang selama ini menerima nikmat Allah tidak terhitung banyaknya.

Hal ini menepati firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang." (Surah al-Ahzab, ayat 41-42)

Kebanyakan masyarakat faham zikir hanya kata-kata yang dilafazkan saban kali habis menunaikan solat fardu, solat sunat atau membisik doa ketika ingin makan, memulakan sesuatu kerja yang baik, terjaga dan tidur serta bersin.

Padahal hakikat zikir kepada Allah sebenarnya tidak tertentu kepada zikir lisan semata-mata seperti mana ditegaskan Al-Imam An-Nawawi, bahawa zikir tidak terbatas kepada tasbih, tahlil, takbir dan lain-lain zikir lisan, mereka yang bekerja kerana Allah juga orang yang berzikir kepada Allah.

Pendapat beliau disokong Basri Ibrahim Al-Azhari dalam bukunya Salah Faham Terhadap Konsep Ibadah, Ilmu dan Zikir, bahawa setiap orang yang taat kepada Allah, mengikut segala diperintahkan dan meninggalkan dilarang oleh-Nya dikira sebagai orang yang berzikir.

Zikir terbahagi kepada tiga bahagian iaitu zikir hati, lidah dan anggota. Zikir hati memikirkan keagungan dan kebesaran Allah di bumi, langit dan seluruh kejadian makhluk-Nya. Zikir lidah pula melantunkan puji-puji kepada Allah, mensyukuri nikmat kurniaan-Nya, menyeru masyarakat ke arah ajaran Islam, menerangkan kebaikan syarak, menjelaskan hikmah pada perintah dan larangan Allah, memberi nasihat kepada sesama Islam.

Sementara zikir anggota pula menggunakan anggota badan untuk melakukan amalan ketaatan, sama ada dalam bentuk melakukan segala suruhan atau meninggalkan segala larangan Allah.

Orang yang lupa atau lalai kepada Allah, hatinya selalu dirundung resah gelisah, tenggelam dalam kebimbangan dan sengaja meletakkan dirinya di tempat mengundang kemurkaan Allah lantaran tidak rasa bersalah terhadap kemungkaran dilakukan.

Lupa kepada Allah menandakan hati seseorang itu sudah berkarat dengan sifat mazmumah yang sangat keji. Orang beriman tidak akan membiarkan hatinya berkarat dan penuh dengan kekotoran, ia akan sentiasa menggilap hatinya dengan berzikir kepada Allah.

Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah pernah berkata: "Tidak dimungkiri bahawa hati itu dapat berkarat seperti berkaratnya besi dan perak. Alat yang dapat membersihkan hati berkarat adalah zikir. Zikir dapat membersihkan hati berkarat sehingga dapat berubah menjadi bening seperti cermin yang bersih. Apabila seseorang meninggalkan zikir, hatinya akan berkarat. Dan apabila ia berzikir, hatinya akan bersih."

Sesungguhnya seseorang yang lalai daripada mengingati Allah bermakna dirinya dihinggapi penyakit sombong, lupa asal kejadian diri sebagai makhluk lemah yang diciptakan semata-mata supaya mengabdikan diri kepada-Nya dan mewarisi sifat orang munafik.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang munafik itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan, apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riak (dengan solat) di hadapan manusia. Dan, tidaklah mereka menyebut Allah, kecuali sedikit sekali." � (Surah an-Nisa, ayat 142)

Setiap mukmin sewajarnya menjadikan zikir sebagai sesuatu yang tidak terpisah daripada kehidupan seharian kerana banyak keistimewaan bakal diterima oleh orang yang sentiasa berzikir.

Kitab Tanbih al-Ghafilin menyatakan lima kelebihan dan faedah berzikir, iaitu mendapat keredaan Allah, menambahkan kesungguhan melaksanakan ketaatan, terkawal daripada hasutan syaitan, melembutkan hati dan mencegah daripada melakukan maksiat.

Orang yang memperbanyakkan zikir, dosanya akan diampuni sekali gus mendapat ganjaran pahala besar seperti firman yang bermaksud: "Lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Aku sudah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar." � (Surah al-Ahzab, ayat 35)

Orang yang selalu ingat kepada Allah jiwanya menjadi bening dan tenang, sekalipun sedang menghadapi banyak permasalahan hidup, ujian, musibah dan seumpamanya. Firman Allah yang bermaksud: "Ingatnya, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram." � (Surah al-Ra'ad, ayat 28)

Sesungguhnya dengan selalu ingat kepada Allah, akhlak diri menjadi indah dan menarik, sekali gus menjadi cermin bagusnya nilai ajaran Islam dan hebatnya orang mukmin pada mata orang bukan Islam seperti pernah ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Jangan jadikan sibuk dengan urusan kehidupan di dunia sebagai alasan lupa kepada Allah. Sungguh Allah melarang keras seseorang memiliki sifat lalai seperti ditegaskan firman yang bermaksud: "Janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai." � (Surah al-A'raf, ayat 205)

Saturday, April 4, 2009

Budaya saling berpesan pererat kesatuan ummah

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

BUDAYA saling nasihat-menasihati sudah semakin pupus dan tidak dititikberatkan lagi. Inilah hakikat yang harus kita telan walaupun pahit. Tidak diragukan lagi masing-masing kelihatan sibuk dengan urusan duniawi sehingga tiada masa menyuburkan budaya itu walaupun dalam keluarga sendiri.

Padahal kita tahu manusia sepanjang hidupnya memang memerlukan kepada nasihat, teguran dan saling ingat-mengingati, berpesan-pesan antara satu sama lain supaya diri tidak terus terpesong daripada landasan syariat Islam.

Apabila budaya nasihat-menasihati tidak dijadikan amalan sudah tentu masyarakat hidup dalam suasana penuh celaru, keliru, lalai dan mengikut hawa nafsu semata-mata.

Bagi orang beriman yang selalu berlumba-lumba untuk beramal salih, masa bagi mereka sangat penting dan berharga, tetap akan diisi dengan budaya nasihat-menasihati sebagai satu kewajipan yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan.

Allah memberi gambaran jelas bagaimana seharusnya seorang yang beriman tatkala berada dalam masyarakatnya. Firman-Nya yang bermaksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran." (Surah al-Ashr, ayat 1-3)

Iman dan amal salih saja ternyata masih merugikan sebelum menyempurnakan dengan semangat saling memberi nasihat serta bersabar dalam mempertahankan kebenaran dan kesabaran demi memperoleh keselamatan hidup di dunia dan akhirat.

Semua orang Islam itu bersaudara dan perlu saling sayang-menyayangi tanpa mengira kedudukan. Apabila menyedari hakikat ini, maka seorang Muslim sejati pasti tidak akan tergamak membiarkan saudaranya berada dalam kealpaan dan kesesatan yang sangat dimurkai Allah.

Pasti akan ditegur atau dinasihati jika ada saudara kita melakukan kesilapan supaya dengan demikian kehidupan mereka mengarah kepada ajaran Islam sebenar. Keadaan ini selari gesaan Islam supaya umatnya hidup dalam suasana damai dan bagi mencapai maksud itu masyarakat wajar bertindak memperbaiki apabila melihat kesalahan berlaku.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Rasulullah SAW selalu menekankan pentingnya nasihat kerana ia adalah suruhan agama. Daripada Tamim ad-Daari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Ad-din itu nasihat (tiga kali) maka kami bertanya: Untuk siapa wahai Rasulullah? Sabdanya: Untuk Allah, kitabnya, rasulnya, pemimpin dan yang dipimpin (orang biasa)." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sebagai umat Islam yang taat dengan ajaran Islam dan selalu rindu kepada keredaan Allah, tentu akan menghindari daripada cara hidup bersendirian tanpa memikirkan atau mempedulikan masalah masyarakat sekeliling.

Seorang Muslim memang ada hak dan tanggungjawabnya terhadap Muslim yang lain seperti dijelaskan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hak dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada enam.

Jika anda bertemu maka ucapkanlah salam kepadanya dan jika anda dijemput maka hendaklah memperkenankannya, dan jika dia meminta nasihat maka nasihatlah dia dan jika dia bersin dan mengucapkan Alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah dan jika dia sakit maka ziarahilah dan jika dia mati maka iringilah jenazahnya hingga ke kubur." (Hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya amalan nasihat-menasihati adalah salah satu cara yang boleh menutup kekurangan dan keaiban yang ada di antara kita, memberi keuntungan dan keselamatan bagi yang mahu menerima nasihat serta mengamalkannya dalam kehidupan.

Di samping itu, dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara sesama Islam serta mengukuhkan kesatuan umat Islam seluruhnya. Apabila amalan ini dapat dihidupkan, sudah pasti ia akan membuahkan suasana kemesraan sekali gus mengelak tercetusnya api permusuhan dan perpecahan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya." (Surah ali-Imran, ayat 104)

Selain disuruh memberi nasihat, kita juga dituntut supaya ikhlas dan berlapang dada dalam menerima nasihat. Kadangkala ada di kalangan kita yang marah dan tidak senang hati apabila ditegur atau diberi nasihat.

Padahal, nasihat yang diberi itu semata-mata supaya kita menjadi orang yang baik, kembali ke jalan benar selepas tersilap langkah dan inilah sebenarnya yang dikehendaki agama.

Rasulullah SAW pernah meminta nasihat daripada sahabatnya dalam menguruskan umat dan berlaku peperangan.

Al-Quran ada menceritakan bagaimana Nabi Musa menerima secara ikhlas nasihat yang diberikan seorang daripada kaumnya seperti termaktub dalam ayat yang bermaksud: "Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: Wahai Musa, Sesungguhnya pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu, oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu. Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku daripada kaum yang zalim." (Surah al-Qashash, ayat 20-21)

Tidak dinafikan jika dalam masyarakat tidak ada budaya nasihat-menasihati dan amar makruf nahi mungkar, ia adalah petanda masyarakat yang tidak bertanggungjawab, tiada kesepakatan, penuh dengan sifat mazmumah serta mementingkan diri sendiri.

Masyarakat sebegini sebenarnya lupa pesan agama bahawa sebahagian Muslim menjadi penolong dan pelindung kepada Muslim lain. Firman Allah yang bermaksud: "Dan orang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah, ayat 71)

Bagi mencipta masyarakat yang baik, maka perlulah wujud suasana saling nasihat-menasihati, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah perbuatan mungkar di mana saja sepanjang masa. Inilah yang dikatakan sebaik-baik umat.

Tuesday, March 31, 2009

Saranan bersegera laksana kebaikan, amalan ujian keimanan

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

SESUNGGUHNYA keimanan murni akan melahirkan amalan atau perbuatan terpuji, selari syariat Islam yang suci. Orang yang berpegang teguh pada dahan akidah yang kukuh, sentiasa berusaha untuk memperbanyak amal demi meraih keredaan Allah.

Tidak dinafikan lagi hal ini sudah menjadi tabiat semula jadi setiap individu mukmin sejati dan menjadi salah satu tanda orang beriman seperti mana wasiat Rasulullah SAW kepada Saidina Ali yang bermaksud: “Wahai Ali, orang mukmin itu ada tiga tandanya: bercepat-cepat taat kepada Allah, menjauhi segala yang haram dan berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadanya.”

Begitu juga yang pernah diungkapkan Dr Abdullah Azzam dalam bukunya Aqidah, Landasan Pokok Membina Ummat, “Semua amal dan perbuatan seseorang berasas dan berasal daripada akidah yang dianutinya dan adalah pantulan sinar keimanannya.”

Bagi orang beriman, setiap ruang, kesempatan atau peluang di sepanjang perjalanan hidupnya tetap diisi dengan amal ibadah (sama ada kecil ataupun besar), maka dilakukannya secara bersegera, berlumba-lumba, tanpa berlengah.

Sikap yang suci elok itu sebenarnya sejajar suruhan Allah yang bermaksud: “Maka berlumbalah (dalam membuat) kebaikan di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Apabila ditinjau dengan hati penuh insaf, ternyata ada segelintir masyarakat gemar memilih sikap berlengah atau berkata ‘nanti dulu’, ‘sekejap lagi’ atau ‘biarlah dulu, nanti esok’, menunda waktu dalam menyempurnakan sesuatu kerja baik sama ada bersangkutan peribadi, masyarakat mahupun tanggungjawab terhadap majikan.

Sikap suka bertangguh ini mengakibatkan kesan buruk. Kerja ditangguhkan itu lama-kelamaan akan jadi bertimbun-timbun, untuk menyelesaikannya tentu saja tidak cukup masa dan tenaga, tergopoh-gapah melakukannya dan hasilnya sudah pasti tidak sempurna atau kesudahannya akan terbengkalai.

Keadaan ini sungguh mendukacitakan sekali dan perlu segera dikikis habis-habis jangan sampai ia berakar umbi dan membudaya dalam masyarakat yang ingin maju. Orang suka bertangguh sebenarnya mencerminkan seorang manusia yang tidak menghargai nikmati masa anugerah Allah.

Masa sangat berharga kerana sedetik berlalu tidak akan berulang kembali dan tidak boleh dibeli dengan segunung intan. Manusia yang mensia-siakan waktu adalah manusia yang mendapat kerugian di dunia serta akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, melainkan orang yang beriman dan beramal soleh dan orang yang menyeru kepada kebenaran dan kesabaran.” (Surah al-‘Asr, ayat 1-3)

Nyatalah manusia yang rugi itu ialah manusia yang lalai daripada tanggungjawabnya terhadap diri, Allah, masyarakat sekelilingnya, suka melakukan perkara tidak mendatangkan faedah.

Oleh kerana berlengah itu dapat mengundang kerugian dan bahaya, maka tidak hairanlah jika Nabi Muhammad SAW menyeru umatnya tidak `membuang masa’ melakukan kebaikan atau bersegera melaksanakan kebaikan selagi ada kesempatan.

Hadis diriwayatkan Baihaqi yang bermaksud: “Pergunakanlah lima kesempatan sebelum datangnya lima kesempitan iaitu: pergunakan kesempatan sihatmu sebelum datang sakitmu; pergunakan kesempatan lapangmu sebelum datang kesempitan; pergunakan hari mudamu sebelum datang hari tuamu; pergunakan kesempatan waktu engkau kaya sebelum datang kemiskinan; pergunakan kesempatan masa hidupmu sebelum datang saat kematian.”

Apabila suka bertangguh, tentunya peluang atau kesempatan yang ada itu akan berlalu begitu saja. Kita ketinggalan dan akan mendapat kerugian besar yang tidak boleh ditebus dengan apa juga.

Oleh itu, bersegeralah membuat kebaikan kerana apa yang datang tidak dapat di duga.

Hasan Basri memberi nasihat: “Ayuh segeralah, segeralah! Sebab segala sesuatu itu tergantung dari nyawamu saja, jika ini sudah diputuskan, terputuslah pula segala amalmu. Jika demikian amalan mana lagi yang akan kau perguna untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.”

Di samping itu, orang suka menunda waktu membayangkan manusia pemalas, tidak bertanggungjawab, tidak ada wawasan untuk hidup lebih maju dan suka berfoya-foya dipengaruhi bisikan syaitan yang memang suka menghancurkan kehidupan manusia.

Jika dikaji dan teliti, memang ada beberapa rahsia mengapa Islam mengajar manusia supaya bersegera melakukan kebaikan antara lainnya ialah mendapat kedudukan pahala yang tinggi di sisi Allah.

Contohnya dalam hal solat, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Awal waktu solat itu menyebabkan reda Allah, sedang akhir waktu sebagai ampunan daripada Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Saranan bersegera melakukan pekerjaan atau amal ibadat ialah untuk menguji keimanan dan ketaatan seseorang terhadap Allah. Apabila orang itu benar-benar beriman, dia akan berlumba mempersembahkan pengabdiannya kepada Allah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Keimanan tipis, maka suruhan Allah ditunda tanpa sekelumit pun berasa takut kepada ancaman dan azab Allah.

Oleh itu, sebelum terlambat dan penyesalan menjadi sia-sia, maka seharusnya kita bersegera atau cepat bertindak melakukan kebaikan. Kita pasti diredai dan disayangi Allah seperti firman-Nya bermaksud: “Dan orang yang paling cepat pada kebaikan, mereka itu yang didekatkan pada Allah, berada dalam syurga kenikmatan.” (Surah al-Waqiah, ayat 10-12)

Saturday, March 28, 2009

Perkasa sahsiah diri kembalikan kegemilangan Islam

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

UMAT Islam pernah menjadi umat cemerlang, gemilang, terpandang, dikagumi dan digeruni bukan Islam. Umat Islam hidup dalam suasana aman dan maju serta sedikit tiada rasa takut di hati untuk melaksanakan ibadat atau menjalani kehidupan seharian.

Inilah gambaran umat Islam yang hidup di bawah asuhan dan kepemimpinan Rasulullah SAW di Madinah. Hari ini kedudukan umat Islam jauh berbeza, sudah begitu lemah, mudah ditindas dan dianiayai musuh Islam tanpa rasa gerun sedikit pun.

Keadaan ini berlaku kerana sesetengah masyarakat Islam menyimpang daripada ajaran sebenar. Kita dapat perhatikan dalam kehidupan sehari-hari cara mereka berpakaian, bergaul dan bermuamalah.

Pelakuan ini menimbulkan pelbagai masalah seperti sumbang mahram, pesta seks, fitnah, minum arak, buang bayi dan pembunuhan. Umat Islam harus insaf dengan keadaan yang memilukan dan memalukan ini.

Kita mesti faham tidak ada yang dapat mengubah nasib selain kita sendiri yang berusaha mengubahnya. Hal ini pernah ditegaskan Allah dalam firman bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah diri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapa yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya." (Surah ar-Ra'd, ayat 11)

Bagi menjadi umat Islam cemerlang dan gemilang, bersemangat waja, kita perlu kita menghayati ajaran Islam dalam kehidupan. Allah berfirman bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Apabila individu Muslim menjalankan amar makruf nahi mungkar, akan terbina akhlak dan sahsiah diri mengikut acuan Islam. Sesungguhnya umat yang baik, bermula daripada individu seperti dinyatakan Syeikh Said Hawa bahawa untuk menjadi umat yang baik mesti bermula dengan pembinaan sahsiah diri, memperteguhkan iman dan akidah.

Perkara ini yang pernah diterapkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada awal perkembangan dan kemunculan cahaya Islam di tanah Arab.

Di samping itu, umat Islam akan muncul sebagai umat yang kuat, tahan diuji serta digeruni jika menguasai pelbagai ilmu pengetahuan. Jika diperhatikan, sesungguhnya bangsa yang maju sejak dulu hingga kini adalah bangsa yang memiliki ilmu pengetahuan.

Lantaran pentingnya ilmu, Islam mewajibkan setiap Muslim menuntut ilmu pengetahuan. Memang benar seperti diungkapkan Dr Muhammad Ghazali, cukup untuk menegaskan Islam ialah agama ilmu dan akal. Islam menghendaki umatnya pandai memegang kalam dan otak dipenuhi beraneka ilmu.

Seseorang insan berilmu akan terjamin kesejahteraan hidup dan diredhai Allah serta mendapat kemuliaan di sisi-Nya seperti dalam firman yang bermaksud: "Diangkat Allah orang yang beriman daripada kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Senada dengan itu, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Bahawa ilmu pengetahuan itu menambah mulia orang yang mulia dan meninggikan seorang budak (hamba) sampai ke tingkat raja." (Hadis riwayat Abu Naim dan Anas)

Hari ini umat Islam perlu berdiri tegak atas landasan ajaran Islam sebenar sehingga terbentuk umat gemilang, terhormat dan boleh bersaing dengan bangsa yang sudah maju.

Monday, February 23, 2009

Persamaan akidah perkukuh ukhuwah ummah

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

FITRAH manusia inginkan hidup yang selamat dan terjamin. Oleh itu, bagi mencapai maksud murni itu, sejarah hidup Rasulullah SAW wajar menjadi panduan dan ikutan kerana itulah suruhan Allah kepada hambanya.

Firman Allah bermaksud; “Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah SAW itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap rahmat dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Sesungguhnya masyarakat yang diasuh dan terbina dengan acuan Rasulullah SAW di Madinah memang harmoni, disirami cahaya kedamaian dan wujud persefahaman menakjubkan, padahal masyarakat Madinah ketika itu ada pelbagai bangsa, kaum, suku dan tradisi.

Sebelum itu mereka terbiasa hidup dalam suasana huru-hara, berpecah-belah, saling berbangga dengan keturunan, bergaduh sehingga berlaku pertumpahan darah beratus tahun lamanya.

Rasulullah SAW berjaya mencambahkan pada setiap hati masyarakat bibit akidah yang suci daripada ajaran murni diwahyukan. Mereka berpegang kepada akidah itu dengan bersungguh-sungguh sehingga tidak mampu digoyangkan sebarang godaan atau janji manis.

Rasulullah SAW menyedarkan umatnya mengenai asal kejadian manusia daripada satu jiwa iaitu Adam seperti termaktub dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai segenap manusia, bertakwalah kepada Tuhan yang menciptakan kalian daripada seorang (Adam) dan daripada dia jugalah Allah menciptakan isterinya: kemudian daripada kedua-duanya Allah mengembang biak lelaki dan perempuan yang banyak. Dan Hendaknya kalian bertakwa kepada Allah yang dengan nama-Nya kalian selalu meminta. Hendaknya kalian memelihara hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kalian.” (Surah an-Nisa, ayat 1)

Apabila kefahaman ini meresap ke seluruh jiwa setiap mukmin, tentu tidak timbul perbezaan tradisi, ras, bangsa, warna kulit atau bahasa kerana semua dikira bersaudara yang membentuk perpaduan dalam keluarga besar.

Islam menegaskan semua mukmin adalah satu kelompok yang tidak berpecah-pecah seperti firman Allah yang bermaksud: “Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara, sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Ukhuwah mendorong mukmin hidup berkasih sayang yang dirahmati Allah. Keperibadian masyarakat yang dihiasi kasih sayang dan saling melengkapi menghasilkan masyarakat yang kuat.

Akidah Islam tidak membenarkan umat Islam saling membenci dan merendahkan orang lain dengan penuh kesombongan. Firman Allah bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami mencipta kamu daripada lelaki dan wanita, dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling mengenal (antara satu sama) lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling takwa daripada kamu.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Abdul Al-Salim Makram dalam bukunya Aqidah Membina Peribadi Mukmin Sebenar menyatakan alat untuk menyatukan umat hanya menyatukan akidah mereka. Jika akidah mereka sama, maka jiwa dan perasaan mereka senada dan seirama; jika berlaku krisis dan pertentangan sesama sendiri, maka mudah menyatukan semula sekali gus melenyapkan musuh dan permusuhan.

Sesungguhnya perpecahan hanya meruntuhkan kekuatan umat Islam dan membuka peluang musuh melakukan penindasan dan penaklukan. Rasulullah SAW mengingatkan: “Kerana sesungguhnya perpecahan itu adalah pisau yang tajam (akan menghancurkan umat seluruhnya).” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Monday, February 16, 2009

Cegah kemungkaran belum sebati di jiwa Muslim

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Setiap umat bertanggungjawab tegakkan kebenaran demi mengangkat martabat Islam

KEBAIKAN dan kemuliaan martabat umat Islam kerana keimanan kental yang dibuktikan dengan amalan menyeru manusia ke jalan benar serta mencegah perbuatan mungkar bersandar al-Quran dan sunnah.

Corak kehidupan umat seperti ini nyata memperoleh kedudukan terhormat dan mencapai kejayaan cemerlang, dikagumi bukan saja di dunia bahkan juga di akhirat .

Firman Allah bermaksud: "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah." (Surah Ali Imran, ayat 110)

Apabila amalan menyuruh berbuat baik dan menjauhi perbuatan dimurkai Allah menjadi budaya setiap Muslim, maka pasti terbina iklim kehidupan umat yang aman, selesa, bahagia dan maju kerana maksiat serta kemungkaran menimbulkan gangguan dalam masyarakat.

Oleh itu, kita diseru sentiasa saling mengingatkan kerana ia usaha dakwah yang dianjurkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Jika tidak ada usaha mengajak ke arah kebaikan, masyarakat terus hanyut di bawa arus kesesatan. Memetik kata Syed Ahmad Semait dalam bukunya Kuliah Subuh: "Andai kata tugas ini dilengahkan dan segala jentera amar makruf nahi mungkar dicuaikan, sama ada dalam ilmu pengetahuan atau amalan, tentu kesesatan bermaharajalela dan kejahilan terus melanda setiap orang dan ketika itu negara rosak binasa sementara rakyatnya menjadi kacau-bilau."

Syarat yang perlu dipenuhi untuk mencegah kemungkaran digariskan Imam al-Ghazali dalam kitabnya Bimbingan Mukmin iaitu:

# Perkara yang dilarang itu memang perbuatan mungkar sama ada dosa kecil atau besar.

# Hendaklah kemungkaran itu dilakukan secara terang-terangan dapat dilihat orang awam, bukan secara rahsia atau diintip.

# Perkara yang dicegah itu mesti kemungkaran dalam perkara yang sudah diketahui hukumnya (haram atau berdosa) bukan yang dihukumkan secara ijtihad.

Tugas mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran perlu dilakukan secara bijaksana, istiqamah dan bersungguh-sungguh. Renungi contoh kesungguhan segelintir ahli kitab yang beriman serta mendukung risalah dibawa Rasulullah SAW.

Abdullah Salam, Tha'labah Syu'bah dan beberapa sahabat lain begitu aktif membaca dan menghayati al-Quran sepanjang hidup mereka, menegakkan amar makruf nahi mungkar, berlumba-lumba serta bersegera melakukan kebaikan demi bangsa dan negara.

Perkara itu terakam dalam ayat bermaksud: "(Ahli Kitab) tidak sama semua. Antaranya, ada golongan yang lurus. Mereka membaca ayat Allah pada malam hari dan sujud. Mereka beriman kepada Allah dan hari kemudian, menyuruh berbuat makruf dan melarang melakukan yang mungkar. Mereka bersegera (sedia) berbuat kebajikan, dan mereka termasuk orang-orang soleh."

Ringkasnya, kegiatan dakwah ke jalan Allah adalah ketaatan yang mulia dan ibadah paling agung kerana untuk menegakkan panji Islam memerlukan usaha keras, tidak kenal malas atau penat serta memerlukan pengorbanan besar.

Sebagai membalas dan menghargai usaha pendakwah, Allah menyediakan ganjaran pahala yang berterusan untuk mereka seperti mana Rasulullah SAW bermaksud: "Barang siapa mengajak kepada petunjuk, maka ia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala orang yang mengikutinya sedikitpun." (Hadis riwayat Muslim)

Keikhlasan harus menjadi pakaian hati seseorang dalam menghidupkan kerja dakwah kerana ikhlas penting untuk memastikan ibadat diterima serta diredai Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus." (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Tanpa keikhlasan, usaha dakwah tentu diconteng keburukan sifat riak atau sombong yang pasti mencemarkan usaha yang sepatutnya di pandang mulia. Ini perbuatan golongan munafik yang suka mempamerkan sifat bermuka-muka dalam melaksana dakwah.

Kesabaran juga tidak boleh diketepikan begitu saja kerana dalam menjalankan amar makruf nahi mungkar, jalannya berliku dan berduri. Banyak rintangan serta ujian yang memerlukan kesabaran tinggi seperti pernah ditempuh anbia, sahabat dan solihin.

Nabi Muhammad SAW ketika menjalankan dakwah tidak terkecuali menerima tentangan hebat seperti ejekan, ancaman, seksaan dan ugutan bunuh daripada masyarakat Arab jahiliah. Orang yang kuat menentang dakwah Rasulullah SAW di Makkah ialah Abu Lahab.

Namun, Baginda menghadapi semua itu dengan kesabaran dan keberanian sehingga dakwahnya mendapat kejayaan cemerlang dan gemilang. Benarlah seperti diucapkan Saidina Ali Abi Talib: "Orang yang sabar pasti mendapat kemenangan, walaupun lambat hasilnya."

Pendakwah perlu menunjukkan akhlak terpuji dalam berpakaian, percakapan dan pergaulan. Contohnya hati kaya dengan sifat kasih-sayang, lemah-lembut, ramah tamah dan mempamerkan wajah dihiasi senyuman.

Sifat terpuji itu menghiasi keperibadian mulia Rasulullah SAW seperti diceritakan al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya sudah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Muhammad Natsir dalam bukunya Fiqh Ad-Dakwah: "Ada tiga cara dakwah yang sesuai disampaikan di tengah masyarakat iaitu dakwah bil-lisan (memberi nasihat, ceramah, pengajaran), dakwah bil-kalam (dalam bentuk tulisan seperti menulis buku) dan dakwah bil-hal (menunjuk contoh teladan dan tingkah laku yang baik). Dakwah yang sering digunakan ialah dakwah bil-lisan. sementara dakwah bil-hal tidak dititikberatkan."

Tingkah laku yang baik boleh mempengaruhi jiwa dan gaya hidup masyarakat di sekeliling. Ini juga adalah syiar Islam yang mesti didegupkan supaya dapat memberi kesimpulan dan gambaran baik mengenai ajaran Islam.

Ada masyarakat beranggapan tugas mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa. Ada yang tidak mahu bertindak atas alasan enggan mencampuri urusan orang lain kerana takut mendatangkan bahaya pada diri sendiri.

Disebabkan itu, walaupun kemungkaran berlaku di depan mata, tidak ditegah atas alasan bukan tugasnya. Anggapan salah ini perlu dikikis kerana apabila hal itu dibiarkan berlarutan, tidak mustahil mendorong perbuatan mungkar terus berleluasa di masa depan.

Kita harus takut dengan ancaman azab Allah jika tidak mencegah perbuatan mungkar seperti maksud sabda Rasulullah SAW:

"Apabila orang ramai melihat seorang zalim, tetapi tidak merubah kemungkaran yang dilakukannya, hampir-hampir Allah SWT menimpakan mereka dengan balasan daripada sisi-Nya." (Hadis riwayat Abu Daud, An-Nasa'i dan At-Tarmizi)

Sebagai umat Islam yang mahu menjadi sebaik-baik umat pilihan Rabbul Jalil hendaklah menjalankan amar makruf nahi mungkar dengan penuh keinsafan, komitmen tinggi dan keimanan sejati.

Apabila semuanya sudah menjadi insan yang patuh kepada Allah dan membenci perbuatan menyalahi syariat Islam, maka akan terbina masyarakat yang hidup dalam suasana aman damai, serta mendapat keredaan Allah.

Friday, October 17, 2008

Mukmin sejati sentiasa berakhlak mulia, sangat mengagumkan

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

TIDAK dapat dinafikan orang beriman, hatinya sentiasa hangat dengan ingatan lurus, rindu yang halus serta cinta tulus terhadap-Nya sepanjang detik hidupnya. Jiwanya juga padat dengan wangian rasa takjub, kagum dan gerun terhadap kekuasaan-Nya. Allah menegaskan dalam sepotong ayat yang bermaksud:

"Dan orang yang beriman itu terlebih cinta kepada Allah......" (Al-Baqarah: 165)

Cinta kepada Allah (Mahabbatullah), lahir setelah diri benar-benar mengenali Allah seperti nama-nama-Nya yang indah, segala sifat kesempurnaan-Nya dan af'al-Nya (perbuatan-Nya).

Sekurang-kurang af'al-Nya ialah penciptaan bumi dan segala isinya termasuk malaikat dan seluruh alam langit, adalah gambaran keimanan yang sangat tinggi seorang hamba terhadap Khaliq. Ibn Taimiyah mengatakan: `Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya adalah sebesar-besar kewajipan iman, sebesar-besar pokok dan setinggi-tinggi asas" Ini bermakna, orang yang hatinya terhias dengan kesucian iman, ia akan pasti terbabit dengan perasaan cinta yang tidak berbelah bagi kepada-Nya.

Orang yang cinta kepada-Nya sudah tentu dapat digambarkan sebagai seorang hamba yang taat segala perintah-Nya dan tidak pernah alpa daripada mengharapkan keredaan-Nya. Orang yang cinta kepada-Nya pasti akan dicintai-Nya sebagaimana maksud ayat:

"Katakanlah (wahai Muhammad), jika kamu cinta kepada Allah, maka turutlah akan daku, nescaya Allah (cinta) pula kepadamu dan Ia ampunkan bagi kamu dosa-dosa kamu, kerana Allah Pengampun, Penyayang. Katakanlah, hendaklah kamu taat kepada Allah dan Rasul, jika kamu berpaling, maka Allah tidak cinta kepada orang kafir" (Ali Imran: 31 - 32)

Kalau kita tanyakan kepada diri kita, adakah sekarang ini kita benar-benar cinta kepada Allah? Oleh Imam al-Ghazali pernah menjelaskan tanda mahabbatullah:

Ia ingin berjumpa dengan siapa yang dicintainya. Ibarat orang yang sedang mabuk asmara. Sepanjang masa terbayang-bayang wajah sang kekasih dan tidak sabar menunggu bilakah datangnya hari pertemuan. Begitu juga dengan Allah, dalam hatinya selalu terpasang cita-cita ingin bertemu untuk melepas rasa rindu. Walau apapun halangannya, nescaya tetap akan ditempuh."

Sanggup berkorban dengan meninggalkan apa yang disukai nafsunya, kalau hal itu bertentangan dengan perintah-Nya.

Ingatannya selalu berpaut kepada Allah dengan memperbanyak zikir, membaca kitab suci, melakukan solat fardu dengan khusyuk dan ikhlas dan pelbagai lagi amalan yang kiranya dapat mendekatkan diri kepada-Nya.

Tidak merasa berat untuk melakukan ibadah secara rutin dan teratur serta tawadduk.

Rasa kasih terhadap seluruh manusia yang taat kepada perintah-Nya, dan rasa benci terhadap perbuatan manusia yang melakukan setiap larangan-Nya.

Rela dan senang hati menerima segala ketentuan Tuhan, sekali gus dianggap sebagai ujian yang seharusnya ada dalam percintaan dengan-Nya.

Mukmin yang sebati cintanya kepada Tuhan Yang Maha Esa, terpancarlah keindahan akhlak pada dirinya, begitu menawan dan sangat mengagumkan. Mencontohi akhlak pernah ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Inilah yang dikatakan pengaruh murni dan natijah daripada gelombang mahabbatuliah yang menguasai jiwa seseorang mukmin. Keadaan ini boleh menghantar manusia kepada sifat adil terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, Rasul dan juga Allah. Allah sangat mengasihi orang yang bersifat adil seperti maksud sepotong ayat yang berbunyi: "Hendak kamu berlaku adil. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berlaku adil." ( Al-Hujurat: 9)

Di samping itu selalu terdorong untuk berbuat baik, bukan saja kepada dirinya sendiri, manusia lain (Muslim atau bukan Muslim) bahkan juga terhadap makhluk Allah lain, seperti terhadap haiwan dan alam sekitar.

Sudah menjadi lumrah, orang yang cinta kepada Allah didapati suka bertawakal kepada-Nya untuk menunjukkan rasa hina, rendah diri dan tidak mempunyai daya upaya, kerana dia tahu dan sangat meyakini bahawa manusia hanya mampu merancang dan berusaha, sementara yang menentukan berjaya tidaknya adalah Allah.

Oleh itu, demi mendapat keredaan-Nya dan meraih keselamatan dan kebahagiaan di dunia serta di akhirat, maka sebagai seorang hamba yang beriman kita hendaklah berusaha memupuk rasa mahabah terhadap Allah.

Tuesday, September 30, 2008

Bersederhana segala aspek gambaran akhlak terpuji

Oleh Mohd Adid Abd Rahman

ISLAM menuntut setiap insan supaya berusaha mengejar dan mencari sedapat mungkin keperluan bagi menyempurnakan sebuah kehidupan sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti. Cara paling sesuai dianjurkan Islam ialah dengan bersederhana.

Pada masa sama, perlu ada keseimbangan supaya kedua-dua tuntutan dunia dan akhirat dapat disempurnakan sebaiknya seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Beramallah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu, seolah-olah kamu akan mati besok pagi.” (Hadis riwayat Ibn Asakir)

Kehidupan di dunia dan akhirat hendaklah seimbang kerana kejayaan kehidupan akhirat bergantung kepada kejayaan hidup di dunia terutama dalam mencari reda Allah. Tidak boleh berat sebelah timbangan kerana ini akan menimbulkan ketidakseimbangan.

Oleh itu, tidak boleh ditumpukan kepada keperluan hidup di dunia semata-mata sehingga terlupa untuk mencari keperluan hidup di akhirat dan begitulah sebaliknya, tidak boleh ditumpukan kepada keperluan hidup di akhirat semata-mata hingga terlupa mencari keperluan hidup di dunia sekarang.

Mengambil jalan bersederhana dalam segala hal menggambarkan satu gambaran akhlak yang sangat murni dan terpuji. Sifat inilah yang sentiasa menghiasi kehidupan Rasulullah SAW sehari-hari sepanjang perjalanan hayatnya.

Sewajarnya sebagai umatnya, kita perlu mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dengan cara mengamalkan sifat sederhana dalam semua perkara. Ia satu tindakan terbaik dan pilihan paling tepat bagi seorang Muslim.

Rasulullah SAW pernah mengakui bahawa sederhana dalam segala aspek itu adalah bagus seperti sabda Baginda bermaksud: “Sebaik-baik perkara adalah tengah-tengahnya (sederhana).” (Hadis riwayat Baihaqi)

Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan jangan pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu.” (Surah al-Isra’, ayat 110)

Kesederhanaan tidak terhad kepada perbelanjaan saja, tetapi perlu dititikberatkan dalam semua aspek kehidupan termasuk dalam percakapan, pergaulan, beribadat, berpakaian dan menguruskan kerjaya serta kehidupan peribadi.

Namun, dalam suasana hari ini, bersederhana dalam perbelanjaan sangat penting bagi menseimbangkan ekonomi keluarga selepas berbelanja menyambut Hari Raya.

Ini sebagai persediaan melalui hari mendatang sementara menanti gaji akan datang kerana sepanjang Syawal ini kita masih perlu berbelanja untuk pergi bekerja sementara anak juga hendak diberi wang saku ke sekolah.

Sesungguhnya pembaziran itu perbuatan syaitan. Allah dengan nada tegas melarang manusia membazir. Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu menghamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros itu saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 26-27)

Lantaran itu, Islam menganjurkan supaya kita berjimat cermat dalam perbelanjaan, tidak boros dan tidak suka bermewah dengan tujuan bermegah-megah.

Bersederhana dalam perbelanjaan juga bermakna tidak boleh kedekut, kikir atau terlalu `berkira’. Ia penyakit hati yang perlu dikikis sebelum merebak parah. Lantaran apabila kedekut sudah menguasai diri, maka dia akan menjadi orang yang sombong, mementingkan diri sendiri, tidak mahu bersyukur dengan kurniaan Allah.

Firman Allah bermaksud: “Sekali-kali janganlah orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurniaan-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Tetapi kebakhilan itu buruk bagi mereka, harta yang mereka bakhilkan akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat.” (Surah ali-Imran)

Menyalurkan perbelanjaan pada tempat yang sesuai dengan kehendak agama dan diredai Allah juga dikira sebagai bersederhana dalam perbelanjaan. Misalnya menyumbangkannya untuk kesejahteraan keluarga sendiri, untuk pembinaan masjid, pembelaan anak yatim dan orang lemah.

Orang yang murah hati atau dermawan akan pasti dihormati dan disanjungi masyarakat walaupun itu bukan dipinta olehnya, bahkan mendapat balasan sewajarnya daripada Allah seperti firman yang bermaksud: “Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, nescaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup dan sedikitpun kamu tidak akan dianiaya.” (Surah al-Baqarah, ayat 272)

Sesungguhnya bersederhana itu akan memberi kesan positif kepada diri seperti lahirnya sifat tenang dan sabar dalam jiwa, menjadi manusia berdisiplin dan bertanggungjawab baik. Orang yang bersederhana akan memperoleh kejayaan sama ada di dunia serta akhirat.

Monday, September 22, 2008

'Amar makruf nahi mungkar' asas keharmonian masyarakat

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

MASYARAKAT yang baik ialah masyarakat maju, bertamadun, subur dengan suasana aman bahagia, terjalin ikatan mesra dan bersatu padu yang berasaskan akidah, syariat dan akhlak Islamiah. Tentu sekali masyarakat ini akan sentiasa menerima cucuran rahmat serta perlindungan Allah.

Beginilah masyarakat yang dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah, padahal masyarakatnya terdiri daripada pelbagai rupa bangsa, aliran kepercayaan dan darjat, namun mereka dapat hidup dalam suasana penuh kekeluargaan.

Mengapa masyarakat pada zaman Rasulullah SAW boleh hidup dalam keadaan perpaduan yang utuh dan kukuh serta aman makmur? Bila diteliti helaian sirah Baginda, antara rahsianya ialah kerana Rasulullah SAW serta sahabat dan seluruh anggota masyarakatnya menegakkan amar makruf nahi mungkar (menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat mungkar) di tengah-tengah masyarakat.

Masyarakat Islam masa kini seharusnya mencontohi apa yang dipraktikkan Rasulullah SAW pada masa silam dalam membangun masyarakat harmoni yang tinggi nilai akhlaknya serta perpaduan mengagumkan. Dengan ini syiar Islam mampu berada di puncak kegemilangannya dan syariat Islam dengan mudah pula dapat ditegakkan.

Tidak dapat dinafikan lagi, Islam amat menitikberatkan kedamaian dan perpaduan masyarakat serta membenci perbalahan atau perpecahan. Lantaran itu, Islam menghulurkan tanggungjawab kepada setiap anggota masyarakat supaya menghidupkan amar makruf nahi mungkar kerana manfaatnya kepada kehidupan umat Islam yang sejahtera.

Firman Allah yang bermaksud: “Perintahlah orang lain supaya berbuat baik dan laranglah ia daripada berbuat jahat, serta bersabarlah terhadap cubaan yang menimpamu.” (Surah Luqman, ayat 17)

Berdasarkan maksud ayat itu, Allah dengan nada tegas mengarahkan setiap orang Islam supaya menjalankan tugas dakwah dengan penuh keinsafan dan keimanan, walaupun nanti memang tidak dapat lari daripada merempuh segala macam halangan. Ini tentunya memerlukan semangat, pengorbanan dan kesabaran tinggi. Bila tugas dakwah dijalankan seperti sepatutnya, maka akan lahirlah satu umat yang terpuji di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang telah dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah.” (Surah al-Imran, ayat 110)

Dimaksudkan umat terbaik menurut Abul Khairi Al-Latifi dalam bukunya ‘Keruntuhan Martabat Umat Islam’ ialah, “.... individu-individu dalam umat ini memberi manfaat kepada individu lain”. Maknanya masing-masing saling nasihat-menasihati dan menjalankan amar makruf nahi mungkar ikhlas semata-mata kerana Allah.

Dalam usaha menerapkan nilai murni dalam masyarakat, Islam memberi garis panduan cukup sistematik dan terbaik untuk diteladani. Jika berlaku perbuatan maksiat, maka hendaklah dicegah dan dihalang mengikut ukuran kemampuan masing-masing.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa di antara kalian melihat perbuatan mungkar, maka cegahlah perbuatan itu dengan tangannya (kekuasaan), apabila ternyata ia tidak mampu maka cegahlah dengan lisan (nasihat atau larangan) dan apabila masih juga tidak mampu, maka hatinya harus mengingkari perbuatan itu, tetapi terakhir ini adalah termasuk orang yang lemah imannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Dr Afif Abdullah Fattah Thabbarah dalam bukunya Dosa Dalam Pandangan Islam menyatakan: “Mendiamkan perbuatan mungkar bererti ikut berdosa, dan dosanya akan dipikul oleh semua anggota masyarakat, kerana berdiam diri bererti merestui perbuatan itu.”

Di samping mencegah, agama Islam juga menunjukkan cara bagaimana sebaik-baiknya manusia menyeru manusia lain (masyarakat/kaumnya) ke jalan yang diredai Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Serulah manusia ke jalan Tuhanmu, dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berdebatlah (berbincang) dengan mereka secara yang baik.” (Surah an-Nahlu, ayat 125)

Allah menunjukkan tiga cara berdakwah yang perlu sekali dihayati, iaitu menyampaikan dakwah dengan hikmah. Seterusnya memberi nasihat yang baik dan apabila berbincang dengan cara yang terhormat, baik terhadap orang Islam sendiri mahupun bukan Islam

Sesungguhnya masyarakat yang tidak menjalankan amar makruf nahi mungkar sebagai satu kewajipan, maka akan dilaknat Allah. Kisah kaum yang dilaknati Allah banyak diceritakan dalam al-Quran.

Mengikut Imam Ghazali, apabila masyarakat sunyi daripada amar makruf nahi mungkar akan terkeluar daripada kelompok orang mukmin. Mengulas ayat 71, surah at-Taubah, beliau berkata: “Apakah anda belum memahami ayat ini? Ayat itu mengatakan bahawa siapa saja yang tidak mahu menjalankan amar makruf nahi mungkar, bererti ia telah keluar daripada golongan orang beriman. Oleh kerana perbuatan amar makruf nahi mungkar adalah ciri khas dan sifat umat Islam.”

Rasulullah SAW pernah menegaskan yang bermaksud: “Suatu kaum yang melakukan perbuatan maksiat, kemudian mereka tidak mahu mencegahnya padahal mereka mampu bertindak, maka Allah pasti akan menurunkan seksa-Nya kepada mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Monday, September 15, 2008

Cakap benar, beradab mampu tunduk kekerasan

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Muslim disuruh utama etika berdiplomasi dalam komunikasi untuk wujud kesejahteraan ketenteraman

ALLAH yang Maha Pemurah menganugerahkan manusia nikmat sangat besar ertinya iaitu kepandaian berkata-kata mengikut bahasa masing-masing bagi membolehkan mereka berkomunikasi dan mewujudkan sistem hidup bermasyarakat yang unik, harmoni serta berperaturan.

Suasana itu membezakan manusia dengan kehidupan haiwan atau makhluk lain. Lantas Muslim yang selalu mencari keredaan sentiasa bersyukur kepada Allah.

Islam amat menitikberatkan soal lidah atau percakapan. Walaupun mampu bercakap dan meluahkan rasa hati melalui percakapan, ia perlu selalu diawasi dan berhati-hati jangan sampai terpelanting ke luar batasan ajaran agama.

Setiap Muslim selalu berusaha menjaga diri dan keluarga atau masyarakatnya daripada terjerumus ke kancah maksiat atau melakukan perkara yang mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah lebih-lebih lagi dalam hal percakapan.

Seorang Muslim selalunya mengeluarkan kata-kata yang baik, lembut serta memberi manfaat kepada si pendengar kerana sedar Allah menjadikan lidah bukan untuk berbicara sesuatu yang sia-sia, tetapi yang mendatangkan faedah bukan saja kepada diri sendiri bahkan orang lain juga.

Firman Allah yang bermaksud: "Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka kecuali bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat makruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Siapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar." (Surah an-Nisa', ayat 114)

Daripada ayat itu beberapa contoh yang dimaksudkan dengan perkataan yang baik iaitu:

Menyuruh manusia bersedekah sebahagian harta yang dikurniakan Allah kepada orang yang memerlukan seperti orang miskin, anak yatim dan orang susah.

Menyuruh orang berbuat baik dalam segala hal sebagai merealisasikan tuntutan agama di samping terlebih dulu diri sendiri melakukan kebaikan.

Mendamaikan dua pihak yang sedang bertelagah atau berbalah seperti memberi nasihat supaya hidup berbaik-baik seperti yang terkandung dalam suruhan Rasulullah SAW, di samping menyedarkan mereka mengenai keburukan akibat daripada hidup berbalah, tidak bertegur sapa dan berpecah belah.

Sesungguhnya percakapan yang terkeluar daripada mulut menjadi kayu ukur kepada keimanan seseorang. Ini dapat kita fahami daripada sabda junjungan besar Nabi Muhammad SAW bermaksud:

"Tidak lurus keimanan seseorang sehingga lurus hatinya dan tidak lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya." (Hadis riwayat Ahmad)

Boleh dikatakan seorang yang beriman, senantiasa mengeluarkan kata-kata baik dan berfaedah. Orang tidak beriman pula katanya keluar mengikut rentak nafsu atau mengikut hati yang jauh daripada hidayah. Kata-katanya kedengaran tidak keruan, mencarut, mengejek, memfitnah dan menipu.

Lantaran itu, Islam sebagai agama paling lengkap, tinggi dan suci mengajar manusia bukan saja sebatas ibadat dan akidah, bahkan juga akhlak termasuk percakapan. Islam memberi panduan dalam berkata dan menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk menghayati dan mematuhinya baik dalam keadaan bagaimana sekalipun.

Dalam pertuturan, perbualan atau percakapan, kita perlu mengikut beberapa ketetapan antara lain bercakap benar, bercakap perkara baik dan bercakap menggunakan kata yang sopan dan lembut.

Kata yang lembut dan sopan dengan bahasa baik, disertai nada suara rendah dan menawan, mempunyai tarikan tersendiri bagi orang yang mendengarnya kerana hati akan tenteram dan apa diperkatakan mudah difahami serta mewujudkan kemesraan.

Al-Quran menyebut saranan supaya berkata sopan dan lembut melalui firman yang bermaksud: "Dan lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai." (Surah Luqman, ayat 19)

Monday, August 25, 2008

Balasan dosa kecil usah pandang remeh

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

KERJA AMAL: Gotong-royong antara aktiviti masyarakat membuat kebajikan dan menghulurkan bantuan sesama insan.


Muslim dituntut selalu mengingati Tuhan sebagai benteng jauhi keingkaran

MENGIKUT syariat Islam, dosa terbahagi kepada dua, iaitu dosa besar dan dosa kecil. Dikatakan dosa besar ialah dosa yang sudah ditentukan hukumannya di dunia serta mendapat ancaman azab pedih di akhirat seperti termaktub dalam al-Quran dan hadis.

Dosa besar hanya boleh terhapus dengan bertaubat kepada Allah, menyesali perbuatan mungkar yang dilakukan serta berazam dengan sekuat hati tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang apabila sudah melakukan perbuatan keji atau menganiaya dirinya sendiri, mereka ingat kepada Allah, lalu memohon ampun atas dosanya. Dan siapa lagi yang akan mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tiada meneruskan perbuatan buruk itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah ali-Imran, ayat 135)

Dosa kecil pula ialah dosa yang tidak ditentukan hukumannya ketika di dunia dan tidak diberi ancaman azab keras di akhirat seperti mengeluarkan kata-kata kesat, menyentuh al-Quran tanpa berwuduk atau membuang sampah merata-rata. Walaupun begitu, perlu diingat bahawa dosa kecil apabila dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hati-hatilah kamu terhadap dosa kecil, kerana apabila sering dilakukan oleh seseorang, maka pasti akan merosakkannya (akan menjadi dosa besar).” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Selain daripada itu, sesiapa yang ingin mengetahui sama ada dosa besar atau dosa kecil maka ada sebahagian ulama berpendapat: “Bandingkanlah kerosakan yang diakibatkan daripada dosa itu dengan dosa besar yang sudah ada nasnya. Apabila pada kenyataannya kerosakan yang ditimbulkan itu hanya sedikit, maka yang demikian adalah dosa kecil. Tetapi apabila kerosakan yang diakibatkan itu sebanding atau lebih besar, yang demikian itu adalah dosa besar.”

Walau apapun, tidak ada seorang pun yang terlepas melakukan dosa kecil kecuali orang yang maksum (dijaga) oleh Allah seperti Nabi Muhammad SAW. Dosa kecil akan terhapus jika taat melakukan solat lima waktu dan amalan fardu yang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Antara solat fardu sampai solat fardu lainnya dan antara solat Jumaat sampai solat Jumaat lainnya, serta antara bulan Ramadan sampai Ramadan lainnya adalah pelebur dosa, selagi dosa besar dijauhi.” (Hadis riwayat Muslim)

Mengapakah manusia senang terjebak dengan perbuatan dosa? Paling ketara sekali ialah kerana dalam diri seseorang itu tidak mempunyai iman yang kukuh, tidak ada rasa malu dan gerun dengan ancaman azab Allah.

Hakim Peradilan Agama Beirut, Syeikh Husin Yusuf Ghazzal dalam kata pengantarnya untuk buku Dosa Dalam Pandangan Islam berkata: “..... dapat kita saksikan bahawa saat ini apabila seseorang melakukan perbuatan dosa, maka ia tidak akan merasa malu sedikitpun. Bahkan dengan sebarangan mereka berusaha menghalalkan suatu perbuatan tanpa mengendahkan syariat agama dan norma etika. Hal ini disebabkan lantaran mereka sudah kehilangan rasa takut kepada Allah dan hari pembalasan-Nya kelak.”

Keadaan itu terjadi disebabkan lemahnya iman. Apabila iman begitu tipis, bermakna diri sudah tidak ada lagi pertahanan dan kekuatan. Jiwa jadi rapuh, mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan dan juga tunduk terhadap dorongan nafsu. Lalu senang pula seseorang terperangkap dalam perbuatan dosa, baik dosa zahir (nampak) mahu pun dosa batin (membabitkan hati).

Kejahilan mengenai ajaran al-Quran dan hadis atau sering kali mengabaikannya dalam kehidupan, boleh mendorong seseorang itu melakukan dosa. Apalagi jika hidup di persekitaran yang tidak menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sebenar.

Kita perlu sedar dan ingat bahawa hidup ini bukan untuk memenuhi tuntutan nafsu yang merosakkan tetapi mengabdikan diri kepada Allah. Justeru, bagi mengelakkan diri daripada perbuatan maksiat atau dosa, hendaklah berasa takut kepada Allah.

Seorang yang melanggar undang-undang atau melakukan jenayah terhadap pemerintah, sudah tentu sepanjang hari dalam keadaan gementar dan risau memikirkan balasan bakal diterimanya nanti. Ini baru hukuman di dunia, bagaimana dengan hukuman akhirat.

Kenapa perasaan kebimbangan dan ketakutan seperti ini tidak terhadap Allah apabila membabitkan kemungkaran, kerana azab Allah itu sangat pedih? Setiap orang beriman seharusnya memiliki perasaan takut terhadap-Nya yang dapat menghalang daripada berbuat dosa.

Said bin Zubair yang ditanya mengenai takut berkata: “Takut kepada Allah ialah rasa takut yang boleh menghalangi antara dirimu dengan maksiat kepada Allah.”

Selalu ingat kepada Allah juga dapat menghindarkan diri daripada berbuat maksiat dan perkara ditegah kerana menyedari segala perbuatannya diperhatikan oleh-Nya. Kesannya, seseorang itu akan meningkatkan keimanan serta ibadat kepada Allah.

Sesungguhnya orang yang berdosa adalah orang malang dan cukup menderita sekali di akhirat nanti. Firman Allah yang bermaksud: “Adapun orang yang celaka, mereka (tempatnya) di dalam neraka, di dalamnya mereka mengeluarkan nafas dan menariknya (dengan merintih).” (Surah Hud, ayat 106)

Sekarang terletak pada pertimbangan diri untuk memilih arah mana hendak dituju, yang lurus atau bengkok. Allah menegaskan yang bermaksud: “Dan sesungguhnya di antara kami ada orang yang taat dan ada pula menyimpang daripada kebenaran. Barang siapa yang taat, maka itu benar-benar sudah memilih jalan yang lurus. Adapun orang yang menyimpang daripada kebenaran maka mereka menjadi kayu api neraka Jahanam.” (Surah al-Jin, ayat 14-15]

Wednesday, August 20, 2008

Iman mantap bentuk keinsanan mulia

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Kecintaan sejati terhadap Allah, Rasul rangsang manusia buat kebaikan

KEIMANAN yang mantap dan tegak di dada akan mendorong seseorang itu menjadi insan berkualiti tinggi, sentiasa menjaga dan menghargai maruah diri. Menjadi insan berguna bukan saja kepada diri sendiri, keluarga malah masyarakat serta dipandang mulia oleh Allah.

Kemurnian iman memantulkan sinar kemuliaan pada perwatakan keperibadian dan memiliki sikap yang cantik, percakapan baik, perbuatan atau amalan menarik selari dengan tuntutan agama.

Inilah akhlak mulia yang mencerminkan keimanan seseorang. Sesungguhnya antara iman dan akhlak mempunyai hubungan yang tidak dapat dipisahkan.

Bagi orang yang benar-benar beriman, paling ketara sekali ialah rasa kecintaannya terhadap Allah serta Rasul begitu mendalam dan tidak mungkin berbelah bagi. Sesungguhnya kecintaan itu muncul setelah hati benar-benar mengetahui serta mengenali Allah dan Rasul-Nya. Inilah yang disebutkan orang yang makrifat kepada Allah dan Rasul.

Makrifat kepada Allah bermakna memahami sifat kesempurnaan-Nya yang wajib, harus dan mustahil. Hal ini akan memancarkan pelbagai perasaan baik, sifat mahmudah dan dorongan untuk selalu berbuat kebajikan.

Sementara makrifat kepada Rasul pula bermakna mengetahui adanya manusia mulia yang menjadi pilihan Allah untuk menyampaikan risalah-Nya serta menjadi contoh dan ikutan bagi seluruh manusia.

Manusia yang menumpahkan cintanya kepada Allah dan Rasul akan selalu berusaha dengan penuh kerelaan untuk membuktikannya dengan amalan baik. Semua amalan sunat atau fardu adalah dalam rangka memperham-bakan diri kepada Allah dan menyatakan ketaatan terhadap Rasul.

Beginilah sikap yang menjadi pilihan seorang mukmin sejati. Allah menegaskan dalam firman yang bermaksud: "Dan tidaklah patut bagi lelaki mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) mengenai urusan mereka. Dan sesiapa menderhaka Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia sudah sesat, sesat yang nyata." (Surah al-Ahzab, ayat 38)

Oleh itu, kita dapati orang yang beriman pasti mengutamakan kecintaannya kepada Allah dan Rasul-Nya daripada segala-galanya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Kalian tidak beriman, sehingga kalian mencintai aku lebih dari mencintai ayahnya, puteranya dan dari seluruh umat manusia." (Hadis riwayat Bukhari dari Anas)

Dengan adanya kekuatan iman, seseorang akan sentiasa mengisi masa sepanjang perjalanan hidupnya (tanpa mengira keadaan sibuk, lapang, senang ataupun susah) dengan melakukan ibadat bersungguh-sungguh, sempurna, istiqamah dan ikhlas.

Konsep ibadat dalam Islam tidak hanya sekadar di masjid, tetapi mencakupi semua aktiviti kehidupan. Apabila dilakukan semata-mata ikhlas kerana Allah, maka pekerjaan itu dikira sebagai ibadat.

Pengarang buku 'Keajaiban Ibadah', Mukhlas Asy-Syarkani Al-Falahi pernah mengungkapkan: "Semua aktiviti manusia yang menuju kepada keredaan Ilahi. Semua ibadat dinilai daripada niatnya, Allah tidak memandang besar dan kecilnya perbuatan, tetapi yang dilihat pertama sekali adalah niatnya. Dengan demikian suatu amalan termasuk dalam ibadat adalah dilihat sejauh mana niatnya. meskipun pekerjaan itu kecil, jika diniatkan sebagai ibadat, maka jadilah ibadat, tetapi pekerjaan yang besar, apabila tidak diniatkan dengan ibadat, maka ia tidak termasuk ibadat..."

Justeru, dapat kita fahami bahawa seorang mukmin pasti akan melakukan sesuatu urusan atau pekerjaan itu bersandar keikhlasan kepada Allah semata-mata kerana ibadat bukanlah menjauhi pekerjaan bersifat duniawi.

Allah menyeru manusia supaya menseimbangkan tuntutan kehidupan di dunia dan akhirat. Allah berfirman yang bermaksud: "Hendaklah tuntut kampung akhirat dengan (kekayaan) yang diberikan Allah kepada engkau dan janganlah engkau lupakan bahagian (nasib) engkau dari dunia." (Surah al-Qashash, ayat 77)

Demikianlah gambaran sikap seorang mukmin, yang sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah melalui amalan soleh. Mereka ini akan mendapat perlindungan dan rahmat Allah di akhirat nanti seperti firman-Nya yang bermaksud: "Barang siapa yang mengharap akan menemui Allah, maka beramal solehlah dan janganlah musyrik dalam ibadat kepada Rabnya dengan sesiapapun." (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Akhlak orang beriman sangat suka kepada perbuatan baik yang seiring dengan syariat, menghayati ajaran Islam dalam kehidupannya serta menggalakkan orang lain melakukan kebaikan. Corak kehidupan seperti ini dimaksudkan Rasulullah SAW sebagai 'khairun ummah'.

Firman Allah yang bermaksud: "Adalah kamu sebaik-baiknya umat yang dilahirkan bagi seluruh manusia, supaya kamu menyuruh membuat kebajikan dan melarang daripada perbuatan mungkar, serta beriman kepada Allah." (Surah ali Imran, ayat 110)

Ternyatalah iman menjadi dasar pembentukan akhlak mulia seorang Muslim sejati. Oleh demikian, setiap mukmin seharusnya insaf dan terus memantapkan iman dengan cara melawan godaan hawa nafsu, memperbanyak amalan sunat dan selalu memikirkan kebesaran serta keagungan Allah melalui alam ciptaan-Nya.

Wednesday, August 6, 2008

Terap istiqamah dalam keimanan, amalan

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Kecewa, mudah bosan penyakit berbahaya melenyapkan harapan capai kemajuan

MENJADI idaman setiap Muslim berkeinginan mengecapi kecemerlangan hidup bukan saja di dunia malah di akhirat. Namun, untuk memperolehnya seseorang itu hendaklah terlebih dulu berusaha keras meningkatkan keimanan walau apapun dugaan atau halangan yang datang.

Kecewa dan mudah bosan memang penyakit sangat berbahaya dan mampu melenyapkan harapan untuk mencapai hidup maju. Perasaan itu mesti dilontarkan sejauh-jauhnya. Inilah sifat istiqamah yang sewajarnya menjadi identiti bagi setiap muslimin supaya tidak hanyut mengikut nafsu.

Allah berfirman yang bermaksud: "Oleh yang demikian, maka ajaklah (mereka) dan berdirilah dengan lurus sebagaimana engkau diperintah, dan janganlah engkau turut hawa nafsu". – (Surah as-Syura, ayat 15)

Sehaluan dengan perintah itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Katakanlah: Aku percaya kepada Allah kemudian berlaku lurus (istiqamah)." – (Hadis riwayat Muslim)

Istiqamah seharusnya diterapkan dalam segala bidang pekerjaan kerana bekal keimanan serta sifat berhubung kait dengan hati dan ibadat membolehkan seseorang itu melihat segala kebaikan atau keburukan yang datang daripada sudut pemikiran rasional.

Sewajarnya apabila kecundang dalam sesuatu yang diperjuangkan, sama sekali tidak boleh menyalahkan takdir bahkan sehingga ada yang tergamak beranggapan bahawa Allah sudah benci kepadanya.

Sebaliknya, lihat pada diri sendiri, selidik dan teliti apa kekurangan atau kecacatan supaya dapat diperbaiki dan meneruskan usaha dengan akal sihat, subur, akhirnya bertawakal kepada Allah. Anggaplah kekalahan itu sebagai ujian Allah yang perlu dihadapi penuh kesabaran dan keimanan.

Dengan itu, mudah-mudahan tidak berulang lagi kegagalan yang sama dalam hidup. Di sinilah seseorang perlu kepada sifat istiqamah. Sesungguhnya orang yang mengaku beriman itu tetap diuji Allah untuk mengukur sejauh mana kekentalan iman di dadanya.

Firman Allah yang bermaksud: "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami menguji orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta." – (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Umat Islam perlu tekun mematuhi perintah Allah untuk mengharungi kehidupan masa kini selain memastikan diri sentiasa beristiqamah kerana mereka yang beristiqamah akan mendapat rahmat Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan bahawasanya jika mereka tetap berjalan lurus (istiqamah) di atas jalan itu (agama Islam) benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar atau rezeki yang banyak." – (Surah al-Jin, ayat 16)

Dr Hamzah Ya'qub dalam bukunya Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mukmin, menyimpulkan istiqamah ini kepada tiga tahap iaitu istiqamah dengan hati, lisan dan perbuatan.

Istiqamah dengan hati bermaksud teguh iman, mempertahan kejujuran dan sifat mazmumah lain. Mereka yang memiliki iman teguh tidak mudah tergoda, terpengaruh dan rebah kepada godaan. Oleh itu, setiap tindak-tanduknya adalah mencerminkan hati yang suci.

Istiqamah dengan lisan ialah sentiasa memelihara tutur kata supaya ikhlas dan benar. Apa yang diucapkan itu mengikut landasan agama dan bukan atas kehendak nafsu. Firman Allah yang bermaksud: "Allah menetapkan orang beriman dengan perkataan yang tetap dalam penghidupan dunia dan akhirat." – (Surah Ibrahim, ayat 27)

Akhir sekali, istiqamah dengan perbuatan iaitu tekun dalam bekerja, berusaha, berjuang, tidak jemu berusaha, tidak kecewa, cemas dan takut apabila jatuh sebaliknya terus saja berjuang sehingga berjaya.

Ketiga-tiga tingkatan tadi, tidak boleh tidak wajib dimiliki setiap orang yang beriman kerana ia adalah salah satu antara ciri orang mukmin yang akan membuahkan keuntungan dan kemenangan di dunia serta akhirat.

Allah memberi khabar gembira kepada orang istiqamah melalui firman yang bermaksud: "Sesungguhnya mereka yang mengakui Allah Tuhan kami, kemudian berlaku lurus (istiqamah) akan turun malaikat kepadanya untuk menghibur dengan kata-kata: Jangan takut dan jangan berduka cita, dan bergembiralah kamu dengan syurga yang dijanjikan kepadamu." – (Surah Fushshilat, ayat 30)

Thursday, February 21, 2008

Jujur amanah bina masyarakat cemerlang, dirahmati

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

ISLAM menekankan supaya setiap individu Muslim bersifat jujur dan ikhlas dalam setiap aspek kehidupan. Apa saja pekerjaan baik yang bersifat batin mahupun zahir, demi memperoleh hasil yang baik dan cemerlang serta diredai Allah, hendaklah dilakukan dengan penuh kejujuran.

Memiliki hati yang jujur ikhlas dan mempraktikkan dalam kehidupan sehari-hari memang sangat dituntut seperti firman Allah yang bermaksud: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan keikhlasan ibadat kepada-Nya tetap teguh atas tauhid dan supaya mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat.” - (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Apabila sesuatu perkara dilaksanakan berasaskan kepada kejujuran, maka ia akan bernilai ibadat di sisi Allah. Lebih daripada itu, akan membenihkan pokok kejayaan bukan saja dalam kehidupan di dunia malahan di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya sifat jujur membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa kepada syurga, maka seseorang yang selalu jujur nescaya akan dicatat sebagai orang yang jujur di sisi Allah. Sesungguhnya dusta itu membawa kepada dosa, dan dosa membawa kepada neraka, seseorang yang selalu berdusta nescaya akan dicatat sebagai pendusta di sisi Allah.” - (Hadis riwayat Muttafaqun ‘alaih)

Di kalangan masyarakat hari ini khususnya yang beragama Islam, ada segelintir yang bersikap tidak jujur terutama untuk mencapai apa yang dihajati hingga sanggup memilih jalan pintas termasuk melakukan, rasuah, pecah amanah dan berbohong.

Keadaan menjadi lebih parah jika tidak ada usaha mengatasinya oleh semua pihak dengan cara memberi kesedaran dan penerangan mengenai keburukan sikap tidak jujur terhadap pembangunan masyarakat dalam semua aspek kehidupan.

Kita perlu sedar tanpa kejujuran, segala kebaikan yang dilakukan hanyalah sia-sia dan tidak diterima Allah. Syeikh Ahmad ibn ‘Athallah dalam Al-Hakim mengatakan: “Jujur di dalam setiap amal itu wajib. Kerana setiap amal yang tidak disertai keikhlasan tidak memberi manfaat sama sekali....”

Hal itu bertepatan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Taala tidak akan melihat bentuk badanmu dan tidak pula rupamu, akan tetapi Dia langsung melihat kepada hatimu (ada keikhlasan ataupun tidak?” (Hadis riwayat Muslim)

Selain tidak diterima Allah, masyarakat juga tidak mudah mempercayai orang yang tidak jujur. Akibatnya, ia akan disisih masyarakat, sukar mendapat pertolongan atau bantuan pada waktu diperlukan dan hidup pasti seperti kera sumbang, sendirian tanpa kawan.

Orang yang tidak jujur, perasaan secara fitrahnya akan jadi cemas, tidak tenteram sepanjang masa kerana dilanda rasa bersalah baik terhadap diri sendiri, masyarakat mahupun kepada Allah. Sementara orang yang jujur sentiasa yakin di dalam hatinya bahawa Allah sentiasa memerhatikan.

Kerana itu hati yang jujur diselubungi ketenteraman sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.” - (Surah Ar-Ra’ad, ayat 28-29)

Keringnya sifat jujur dalam diri mendorong seseorang itu melakukan perkara menyalahi undang-undang lantaran hidup yang sudah jauh dari jalan Allah.

Keikhlasan berkait rapat dengan niat kerana niat atau tujuan melakukan sesuatu perkara itu menentukan hasilnya sama ada mendatangkan pahala atau sebaliknya.

Justeru, sifat jujur perlu demi melahirkan masyarakat Islam yang cemerlang, disegani dan terhormat serta dirahmati Allah kerana hati yang jujur tidak akan menjurus kepada tindakan yang bertentangan dengan syariat.

Daripada hati yang jujur ikhlas juga, lahir keperibadian indah sebagai modal insan yang diingini seperti taat kepada perintah Allah dan takut gerun akan azab-Nya, amanah, berbudi bahasa, bijaksana, berani menegakkan kebenaran, menepati masa serta benci kepada maksiat.