Showing posts with label (A) Wan Mohd Ruzlan Wan Omar. Show all posts
Showing posts with label (A) Wan Mohd Ruzlan Wan Omar. Show all posts

Saturday, May 23, 2009

Solat asas utama hindari remaja terjebak maksiat

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

GEJALA sosial yang tidak pernah surut menggerunkan sesiapa saja dan pelbagai program diatur dalam usaha memastikan generasi muda berada di atas landasan hidup yang benar serta menjadi insan yang berguna.

Sebenarnya apa yang berlaku pada anak bergantung kuat kepada didikan diberikan kedua-dua ibu bapa kerana di rumah bermula titik tolak landskap penghidupan anak untuk menentukan corak dilalui semasa alam remaja serta dewasa.

Justeru, kita perlu melihat panduan Nabi SAW melayari bahtera rumah tangga kerana segala apa yang dilakukan dan berlaku dalam rumah tangga Baginda adalah pedoman terbaik untuk umat Islam melangkaui zaman apa sekalipun.

Jika diteliti secara mendalam perjalanan sejarah rumah tangga Nabi SAW, memang terpapar banyak elemen pendidikan suci dan luhur untuk dijadikan ikutan. Di sini disentuh satu aspek sangat relevan dengan apa terjadi pada anak remaja belia masa kini yang terjebak dengan gejala negatif.

Nabi SAW mendidik isteri dan anak dalam soal solat saja. Solat adalah pembentukan dan pengasuhan hati budi yang mempengaruhi perwatakan anak. Firman Allah yang bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mendirikan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar mengerjakannya.” (Surah Toha, ayat 132)

Kaitan anak remaja dengan solat ialah, solat jika dididik dalam ruang lingkup yang baik dan penuh berhemah ketika anak masih kecil akan menyerap unsur nilai serta ketaatan kepada perintah agama secara berkesan .

Apabila menunaikan solat sudah sebati dan menjadi amalan wajib dalam diri anak, fokus fikir serta kekuatan daya tahan hati mereka sukar untuk ditembusi anasir negatif. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Jelaslah, solat yang diasuh secara rapi dan penuh bermakna pasti akan meninggalkan kesan mendalam kepada perwatakan sahsiah anak. Disebabkan itu anak perlu dididik menunaikan solat sedari kecil lagi.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Suruhlah anak kamu mendirikan solat pada ketika usia mereka tujuh tahun, jika mereka masih belum melaksanakannya pada usia 10 tahun, maka pukullah mereka.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu daud).

Pentingnya ibu bapa membimbing anak supaya menunaikan sembahyang sejak kecil dan pendidikan itu dilakukan secara berperingkat. Tugas itu juga tidak boleh diserahkan kepada pihak lain dengan mengharapkan guru di sekolah untuk mendidik anak menunaikan solat.

Imam Ibnu Taimiyah berkata: “Sesiapa yang memiliki anak, hamba atau anak yatim, sedang dia tidak menyuruh mereka mendirikan solat, maka orang dewasa yang lebih tua akan diseksa oleh Allah jika tidak menyuruh yang lebih muda usianya mendirikan solat. Orang yang lebih dewasa hendaklah dihukum takzir (denda) yang sewajarnya kerana menderhaka perintah Allah dan Rasul.”

Begitulah pendapat Ibnu Taimiyah yang melihat kepentingan ibu bapa mendidik anak supaya menunaikan solat. Apa guna kita memberikan pendidikan akademik meninggi langit tetapi mereka membesar dalam situasi yang tidak kenal perintah agama seperti solat itu.

Biar didikan solat menjadi agenda utama dalam pendidikan anak kerana sebagai pemegang amanah, ibu bapa akan ditanya apakah mereka sudah memenuhi tanggungjawab termasuk mendidik anak supaya tidak tinggalkan kewajipan menunaikan solat.

Suruhan agama mendirikan solat itu mempunyai hikmah bersesuaian meliputi semua masa dan zaman. Ibu bapa sewajarnya mendidik anak menjadi seorang insan yang soleh, taat kepada Allah dengan melaksanakan segala perintahnya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin, setiap pemimpin adalah bertanggungjawab kepada orang yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat An-Nasai)

Anak yang membesar dalam suasana kehidupan beragama akan menjadi insan yang mengawal diri walaupun ketika mereka remaja atau dewasa nanti.

Jiwa dan hati anak akan disaluti iman yang mantap di samping memiliki keindahan akal budi. Secara tidak langsung ibu bapa tentu akan gembira apabila anak mereka hidup dalam persekitaran yang murni.

Monday, May 11, 2009

Akal didasari iman, akhlak mulia pertingkat martabat manusia

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

MANUSIA menjadi mulia kerana sifat kemanusiaannya yang berteraskan kekuatan fikiran. Malang sekali jika disalahgunakan kecerdasan fikiran boleh membawa kerosakan bukan saja pada diri, juga mereka di sekeliling.

Akal manusia menjadikannya makhluk mulia, berbanding makhluk lain ciptaan Allah sehingga boleh membina tamadun dibanggakan. Melalui kurniaan Allah itu juga manusia mencipta peralatan moden serta canggih untuk keperluan mereka.

Kemampuan manusia membezakan perkara baik dan buruk juga daripada akal fikiran. Namun, kelihatannya kecenderungan manusia lebih kepada melakukan kerosakan daripada mendatangkan kebaikan untuk seluruh isi alam.

Apabila akal yang sepatutnya diletakkan pada kedudukan yang tinggi dikorbankan untuk sesuatu kepentingan diri, maka tepat apa difirmankan Allah, manusia akan terjun menjadi serendah-rendah makhluk, bahkan lebih rendah daripada haiwan yang melata.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia Aku cipta dalam sebaik-baik kejadian. Lalu Aku jatuhkannya menjadi serendah-rendah makhluk; kecuali mereka yang beriman, beramal salih. Mereka mendapat ganjaran yang tidak putus-putus."

Maruah kemanusiaan yang ada pada diri tergadai kerana menurutkan nafsu yang menjadi musuh kepada akal. Kecantikan dan keindahan insan kerana akhlaknya yang baik dan bertepatan dengan kehendak agama.

Akhlak Islam mesti bersumberkan wahyu al-Quran dan sunnah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Agama itu adalah akhlak yang baik."

Jelaslah, kedudukan akhlak seseorang menggambarkan kedudukan iman dan pegangan agama sama ada terbukti kukuh atau tidak. Dalam Islam, akhlak yang baik mencerminkan penghayatan seseorang terhadap ajaran agama.

Nabi SAW berpesan dalam sabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang paling baik akhlaknya ialah yang paling baik agamanya."

Ini menunjukkan akhlak adalah roh kepada agama. Roh akhlak meliputi semua aspek kehidupan sama ada akidah, keimanan, ibadah dan muamalah. Persoalan yang timbul ialah bagaimana akal dijaga supaya manusia berada pada taraf yang tinggi.

Manusia mesti kembali kepada Allah, beriman serta mengabdikan diri semata-mata kepada-Nya. Manusia tidak akan sempurna setakat mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai bidang bersifat keduniaan tetapi tiada keimanan teguh terhadap Allah. Kepercayaan dan keimanan kepada Allah menjadi paksi segala kesedaran yang akan mendorong manusia melakukan amalan baik seperti dituntut Allah.

Pada masa sama, manusia akan menjauhkan diri daripada melakukan perkara mungkar yang boleh menyebabkan kemurkaan Allah.

Apabila seseorang mengaku beriman kepada Allah, ia bukan sekadar ucapan tetapi diterjemahkan melalui perbuatan kerana kita dipertanggungjawabkan terhadap setiap apa yang dilakukan di duni.

Oleh sebab pentingnya akal, sepatutnya kita menggunakan ia untuk tujuan kebaikan. Jika manusia masih membuat bohong, fitnah, mencuri, memukul, rasuah, zina dan pelbagai kejahatan lain, ingatlah Allah tetap memerhatikannya dan memberi hukuman setimpal.

Apa juga yang kita lakukan adalah hasil pemikiran akal. Oleh itu, jangan salahkan orang lain jika kita tersalah langkah kerana hak menentukan perjalanan hidup terletak seratus peratus di tangan sendiri. Memang hidup sudah ditentukan Allah, tetapi kita perlu berusaha sebelum bertawakal kepada-Nya.

Adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan akal yang dimiliki dapat membawa kepada keredaan Allah. Hanya dengan keimanan kepada Allah yang dapat menyelamatkan diri daripada ditimpa kemurkaan.

Gunakan akal kurniaan Allah untuk mencapai kejayaan serta keredaan-Nya bukan mencari sebab untuk dimurkai. Oleh itu, sentiasalah mengharapkan apa yang kita lakukan dapat memberi kebaikan untuk di dunia dan akhirat.

Monday, March 2, 2009

Semangat semut beri panduan umat bina etika kerja cemerlang

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

SEMUT adalah serangga bertubuh kecil tetapi hidup dalam satu komuniti kukuh bersatu padu. Semut dapat dilihat di tempat lembap dan mengandungi sisa makanan. Ada pelbagai spesies semut di dunia dan kehadirannya dalam jumlah yang banyak pasti menggawatkan manusia lantas pelbagai kaedah dilaksanakan untuk menghapuskannya.

Sikap rajin dan dedikasi semut boleh dijadikan iktibar dan pedoman dalam menelusuri roda kehidupan di dunia ini. Perhatikan bagaimana semut apabila mencari makanan, mereka begitu tekun, gigih malah cukup tabah meneroka kawasan dianggap mempunyai sumber makanan.

Meskipun kawasan itu terletak jauh dari sarangnya, namun mereka masih sanggup mencari dan terus mencari sehingga berjumpa dengan sasaran dikehendaki. Semangat kegigihan yang membara itu ternyata ada pada diri setiap semut. Tiada pengecualian kerana semua perlu berusaha mencari sumber makanan keperluan harian.

Justeru, penting dijadikan petanda aras kepada kita supaya bersikap penuh komited terhadap usaha penghidupan. Hal itu sejajar tuntutan Islam yang menyeru umatnya tekun dan bersemangat dedikasi melakukan sesuatu pekerjaan.

Daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang."

Allah SWT menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil kerja tekun dan berdedikasi. Ia kerana orang yang hebat dan berjaya cemerlang itu selalu memusatkan perhatian mereka pada usaha yang sedang mereka lakukan.

Bertindak cepat dan bergerak dengan matlamat yang tepat menjadi penanda jaya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya." (Surah al-Najm, ayat 39)

Apabila berkata mengenai dedikasi, maka sikap masyarakat Jepun dan Korea adalah antara contoh terbaik masa kini yang menepati semangat semut itu. Kedua-dua masyarakat itu begitu terkenal dengan etika kerja yang tinggi dalam memajukan diri dan negara.

Bekas Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat, Charles Evans Hughes berkata: "Orang tidak akan mati kerana bekerja kuat. Mereka mati kerana pembaziran dan kecemasan."

Sebenarnya, keazaman dan semangat gigih menjadikan kerja yang sukar berjaya dilaksanakan dan se kali gus memacu kegemilangan. Inilah semangat semut jika kita rajin perhatikan dengan mata hati yang murni akan perjalanan hidup serangga merayap itu.

Apabila semut berusaha mencari sumber makanan, segala ikhtiar akan ditumpukan dengan perhatian bersungguh tanpa timbul rasa putus asa. Sikap kerajinan semut bersendikan pada bergerak cepat dan tepat memberi impak positif kepada kelangsungan hidup semut.

Kita mesti meneladani sikap dan tabiat baik itu kerana ia selaras suruhan agama. Kata Ibnu Umar dalam satu wasiatnya: "Gunakanlah daripada sihatmu bagi masa sakitmu dan daripada hidupmu bagi masa matimu."

Demikianlah beberapa sikap dan tabiat baik serangga semut yang boleh dimanfaatkan manusia kerana ada ketikanya kita selalu cuai dan tidak mampu berasimilasi dengan alam secara baik dan sempurna.

Saturday, February 21, 2009

Pemimpin berintegriti, amanah tonggak kecemerlangan negara

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

AMANAH adalah nilai peribadi mukmin sejati dan sangat dituntut Islam ke atas setiap umatnya, tanpa mengira pangkat serta kedudukan lebih-lebih lagi terhadap pemimpin. Pemimpin yang memiliki sifat amanah adalah imej perwatakan diri yang unggul.

Ketiadaan sifat amanah boleh menjerumuskan seseorang dalam kategori orang munafik seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tanda orang munafik itu ada tiga, apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mengingkarinya dan jika diberi amanah dia khianati."

Saidina Abu Bakar ketika menyampaikan ucapan dasarnya selepas dilantik sebagai khalifah menyatakan, kejujuran adalah suatu amanah dan pendustaan adalah suatu khianat.

Demikian gambaran kedudukan nilai amanah pada setiap mukmin supaya amanah menjadi sebahagian daripada jati diri umat Islam ke arah mencapai kecemerlangan dalam apa juga yang dilakukan di dunia ini.

Amirul Mukminin Umar Abdul Aziz dikunjungi emak saudaranya. Tujuannya adalah kerana berhajat untuk meminta tambahan wang saraan dari Baitulmal. Pada waktu itu Umar sedang makan kacang bercampur bawang dan adas, iaitu makanan yang dimakan rakyat biasa.

Melihat emak saudaranya datang berkunjung, Umar pun berhenti makan lalu mengambil sekeping wang bernilai satu dirham dan membakarnya. Kemudian, Umar membungkus wang itu dengan sehelai kain dan diberikannya kepada emak saudaranya sambil berkata: "Inilah tambahan saraan wang yang makcik minta."

Apabila dipegang, emak saudaranya lantas menjerit kerana kepanasan. Kemudian Umar berkata: "Jika api dunia terasa sangat panas, bagaimana nanti api neraka yang akan membakar diriku dan makcik kerana mengkhianati amanah dan berbuat seleweng terhadap harta kaum muslimin?"

Peristiwa antara Khalifah Umar Abdul Aziz dengan emak saudaranya itu jelas menunjukkan Umar sangat menjaga nilai amanah hatta kepada kaum kerabatnya sendiri. Begitulah suci dan luhurnya peribadi seorang khalifah agung.

Peristiwa itu sewajarnya memberi pengajaran supaya sentiasa mengamalkan sifat amanah sebagai agenda hidup. Jika amanah sudah kukuh dan mantap terserap dalam diri seseorang mukmin, pasti sukarlah syaitan mempengaruhinya.

Membentuk dan menggemilangkan sesebuah negara, pemimpin mesti seorang yang berintegriti dan kuat sikap amanahnya. Rasulullah SAW ketika memilih pemimpin sangat peka terhadap nilai amanah pada seseorang itu sebelum dilantik sebagai pemimpin.

Hal itu bertepatan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya sebaik-baik orang hendak engkau ambil untuk bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)." (Surah al-Qasas, ayat 36)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)." (Surah al-Nisa', ayat 58)

Saturday, November 29, 2008

Berbakti kepada ibu bapa diberi ganjaran besar

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

Pengorbanan membesarkan, kasih sayang kepada anak tidak mungkin dapat dibalas

IBU bapa adalah sepasang insan yang paling istimewa dalam kehidupan kerana tanpa mereka, tidak adalah kita di dunia ini. Kedua mereka sanggup berkorban segala-galanya demi melihat kebahagiaan dan kesejahteraan kita.

Jasa serta pengorbanan mereka terlalu besar dan mustahil dapat seseorang anak itu untuk membalas atau membayarnya. Justeru, seseorang anak wajib menghormati serta mentaati mereka.

Menjaga dan memelihara semasa mereka tua adalah sesuatu amal yang sangat besar pahalanya di sisi Allah SWT. Kisah diriwayatkan pada zaman Nabi Sulaiman sewajarnya menjadi renungan untuk kesejahteraan dan keberkatan hidup di dunia ini,

Dikisahkan, Nabi Sulaiman sedang berkelana di antara langit dan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, ia cukup memerintahkan angin supaya tenang dan tenang pula samudera itu.

Nabi Sulaiman memerintahkan jin Ifrit menyelam ke samudera itu sampai ke dasarnya. Di sana jin Ifrit melihat sebuah kubah daripada permata putih yang tanpa lubang, kubah itu diangkatnya ke atas samudera dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman.

Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan. "Kubah apakah gerangan ini?" fikirnya. Dengan minta pertolongan Allah SWT, Nabi Sulaiman membuka tutup kubah. Betapa terkejutnya Baginda melihat seorang pemuda tinggal di dalamnya.

"Siapakah engkau ini? Kelompok jin atau manusia?" tanya Nabi Sulaiman kehairanan. "Aku adalah manusia," jawab pemuda itu perlahan. "Bagaimana engkau boleh memperoleh karomah semacam ini?" tanya Nabi Sulaiman lagi. Pemuda itu menceritakan riwayatnya hingga memperoleh karomah dari Allah SWT boleh tinggal di dalam kubah dan berada di dasar lautan.

Diceritakan, ibunya dulu sudah tua dan tidak berdaya sehingga dialah yang memapah dan mengendongnya ke mana juga dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya, dan ibunya selalu mendoakan anaknya.

Salah satu doanya itu, ibunya selalu mendoakan anaknya diberi rezeki dan perasaan puas diri. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.

"Setelah ibuku wafat aku berkeliling di pantai. Dalam perjalanan aku melihat sebuah kubah diperbuat daripada permata. Aku mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu sehingga aku masuk ke dalamnya," tutur pemuda itu kepada Nabi Sulaiman.

Nabi Sulaiman kagum terhadap pemuda itu. "Bagaimana engkau boleh hidup di dalam kubah di dasar lautan itu?" tanya Nabi Sulaiman.

"Di dalam kubah itu sendiri, aku tidak tahu di mana berada. Di langitkah atau di udara, tetapi Allah SWT tetap memberi rezeki kepadaku ketika aku tinggal di dalam kubah," kata pemuda itu.

Nabi Sulaiman bertanya lagi, "Bagaimana Allah memberi makan kepadamu? Jawab pemuda itu: "Jika aku merasa lapar, Allah menciptakan pohon di dalam kubah dan buahnya yang aku makan. Jika aku merasa haus maka keluarlah air yang teramat bersih, lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu."

"Bagaimana engkau mengetahui perbezaan siang dan malam?" tanya Nabi Sulaiman yang berasa semakin hairan. Kata pemuda itu, "Apabila terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih, dari situ aku mengetahui kalau hari itu sudah siang. Apabila matahari terbenam kubah akan menjadi gelap dan aku mengetahui hari sudah malam."

Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu lalu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali dan pemuda itu tetap tinggal di dalamnya. Itulah keromah bagi seorang pemuda yang berbakti kepada kedua orang tuanya.

Demikianlah berkat dan mulia hidup seseorang anak yang berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya.

Jangan abaikan mereka walaupun kita kini sudah besar dan berjaya dalam kehidupan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sembahlah Allah, jangan menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun. Dan dengan kedua-dua orang tua (kamu) hendaklah berbuat baik." (Surah an-Nisa, ayat 36).

Manakala dalam surah al-Israk, ayat 23, Allah berfirman yang bermaksud: "Bilamana seorang

daripada mereka atau kedua-duanya sudah mencapai usia tua di sisi kamu, maka janganlah kamu katakan kepada mereka perkataan 'uh' dan janganlah kamu mengherdik mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah sayap kamu bagi mereka (merendah diri) sebagai tanda kasih sayang."