Showing posts with label (A) Zainul Rijal Abu Bakar. Show all posts
Showing posts with label (A) Zainul Rijal Abu Bakar. Show all posts

Monday, March 1, 2010

Merealisasikan Raja sebagai ketua agama

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

RAJA-Raja Melayu dalam Mesyuarat Majlis Raja Raja Melayu ke-220 lalu, begitu prihatin dengan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam bagi merujuk tuhan mereka. Raja-Raja Melayu juga dilaporkan memberi jaminan untuk memenuhi tanggungjawab melindungi status dan kesucian Islam sebagai agama negara tanpa mengetepikan hak dan kebebasan agama rakyat yang lain.

Raja-Raja Melayu selanjutnya menyarankan supaya kemelut penggunaan lafaz jalalah oleh penganut bukan Islam ini dapat diselesaikan segera. Ketetapan ini dikeluarkan hasil pelbagai permintaan, surat dan memorandum pertubuhan dan individu yang disampaikan kepada Sultan-Sultan selaku Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.

Penzahiran rasa dukacita Raja-Raja Melayu dalam isu ini menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab mereka dalam menjalankan ‘tanggungjawab berperlembagaan’ baginda. Sudah tentu golongan eksekutif dan legislatif seharusnya mengambil maklum ketetapan yang diambil oleh Raja-Raja Melayu ini.

Segenap lapisan masyarakat sepatutnya tidak mempolitikkan isu ini atau terlalu gopoh untuk memberi pandangan tanpa memahami isu sebenar perkara ini. Jangan pula ada yang mendahului Raja-Raja Melayu dan mufti semata-mata kerana kepentingan peribadi. Jangan pula terperangkap dalam mainan dan percaturan golongan musuh agama yang hanya ingin mengganggu gugat kedudukan istimewa Islam di Malaysia.

Saya menzahirkan penuh kesyukuran dengan ketetapan ini dan menjunjung kasih kepada Raja-Raja Melayu kerana amat prihatin dalam isu penting sebegini. Sebenarnya, saya sendiri sudah menulis beberapa kali dalam ruangan ini mengenai peranan institusi Raja-Raja Melayu dalam mempertahankan Islam.

Menghormati Raja-Raja Melayu yang bukan saja menjadi ketua agama Islam malah simbol perpaduan dan ketua utama negara boleh menjadi faktor utama kejayaan bagi penyelesaian konflik berkaitan sensitiviti agama yang sedang hangat diperkatakan.

Menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Raja-Raja adalah ketua agama Islam bagi negeri masing-masing manakala Yang di-Pertuan Agong ialah ketua agama Islam bagi negeri baginda, negeri yang tidak mempunyai Raja dan Wilayah-Wilayah Persekutuan. Malah peruntukan sama wujud dalam perlembagaan negeri yang memberikan kesan sama.

Menelusuri sejarah, kita akan dapati kedudukan Raja sebagai ketua agama Islam sudah wujud sebelum zaman penjajah. Ia bukan suatu ciptaan Britain melalui Suruhanjaya Reid. Perlembagaan Persekutuan hanya memberi keabsahan kepada susun atur yang sudah lama tersemat di dalam masyarakat ketika itu. Ia sudah menjadi tradisi dan amalan yang diterima berkurun lamanya.

Peruntukan itu sudah wujud dalam sesetengah perlembagaan negeri sebelum kedatangan Inggeris lagi dan kedudukan ini tidak pernah dicabar atau diganggu Inggeris. Kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam adalah jatidiri bagi negara kita. Ia adalah hak, kuasa dan tanggungjawab yang diberikan perlembagaan.

Pengiktirafan perlembagaan ini mempunyai kesan besar dan mendalam di mana Raja-Raja Melayu harus jadi rujukan dan diterima dalam mendepani isu berkaitan agama Islam. Ketua Agama yang diiktiraf perlembagaan perlu diberi ruang untuk didengar dan dipatuhi dalam apa juga keadaan berkaitan agama Islam.

Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam Jadual 4 Perlembagaan meletakkan tanggungjawab perlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga dan mempertahankan kedudukan Islam. Oleh itu, titah Yang di-Pertuan Agong perlu didukung dalam isu berkaitan agama Islam. Jika sebaliknya, jawatan Ketua Agama Islam dan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong itu hanya peruntukan perlembagaan yang sia-sia.

Hal sebegini tidak harus terjadi kerana perlembagaan bukan dokumen yang sia-sia dan kaku. Seluruh peruntukan perlembagaan mempunyai firasat dan nafas tertentu. Perlembagaan Persekutuan itu ‘hidup’ dan perlu diberi tafsiran sesuai dengan sifatnya yang ‘hidup’.

Hak, kuasa dan tanggungjawab Raja sebagai Ketua Agama Islam tidak berapa terserlah penguasaannya. Ini mungkin menjadi antara punca kepada kurangnya sensitiviti sesetengah pihak. Oleh itu, sudah tiba masa bagi semua golongan termasuk Raja-Raja dan rakyat menyedari peri penting hak, kuasa dan tanggungjawab yang mesti didukung ketua agama.

Mungkin ketika Islam dalam kontroversi seperti ini kuasa ketua agama amat diperlukan untuk keutuhan Islam dan juga keharmonian agama dan bangsa di negara ini. Merosakkan agama dominan akan menyebabkan kerosakan kepada seluruh tamadun.

Sebenarnya, dalam urusan agama Islam, perlembagaan memberi ruang kepada Raja membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada jemaah menteri. Oleh itu, isu Raja berperlembagaan dalam konteks hak, kuasa dan tanggungjawab baginda sebagai ketua agama adalah tidak begitu relevan. Sekiranya relevan, ia hanya berkisar dalam polemik kuasa Raja terbatas oleh perlembagaan kerana perlembagaan yang mengiktiraf kuasa berkenaan.

Namun, perlu diambil perhatian bahawa kuasa Raja berkaitan agama Islam adalah konklusif. Sekiranya tidak, baginda tidak dapat memelihara Islam seperti dimaksudkan dalam sumpah jawatan. Keadaan ini memberikan Raja satu posisi selesa sebagai ketua agama.

Berbalik kepada ketetapan dikeluarkan Majlis Raja-Raja itu, sudah pasti ia mempunyai nilai dari sisi undang-undang dan bukan sia-sia saja. Oleh itu, semua pihak perlu mendukung dan mengambil perhatian kepada ketetapan berkenaan.

Sudah tiba masa Malaysia merealisasikan kedudukan Raja sebagai ketua agama. Ia adalah konvensyen perlembagaan kerana pengiktirafan yang sudah diberikan sekian lama. Dalam prinsip undang-undang perlembagaan, walaupun konvensyen tidak mempunyai kesan perundangan, tetapi boleh dijadikan sumber kepada tafsiran Perlembagaan Persekutuan. Walau apapun keadaannya, kedudukan istimewa Islam di Malaysia wajib dipertahankan selaras dengan sumpah Yang di-Pertuan Agong itu.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui: zainul.rijal@abubakar.my

Monday, February 8, 2010

Peguam wajib jadi pembantu kebenaran

Oleh Zainul Rijal
zainul.rijal@abubakar.my


KEWIBAWAAN seorang peguam bercirikan Islam yang berpegang kepada prinsip guaman yang betul akan mencerminkan institusi kehakiman negara serta dihormati oleh masyarakat. - Gambar hiasan


Keadilan perlu ditegak demi meletakkan hak kepada yang mempunyai hak


UMUM mengetahui bahawa dalam setiap tindakan di mahkamah sama ada Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah, peguam adalah pihak penting membantu perjalanan kes. Tanpa peguam, perjalanan prosiding di mahkamah kadangkala pincang dan tidak teratur. Secara umumnya, profesion kepeguaman berpaksikan kepada minat, kesungguhan dan kecintaan kepada bidang guaman itu sendiri.

Seseorang yang tidak mempunyai minat dalam profesion guaman sudah tentu tidak akan mencurahkan kudrat mereka sepenuhnya di dalam profesion ini. Seseorang peguam Muslim wajar berusaha memiliki kualiti seperti berintegriti, sabar, suka mencari ilmu, meluangkan masa, tenaga dan kepakaran untuk membantu pihak yang memerlukan tanpa menjadikan wang sebagai ganjaran dan matlamat utama.

Sebaliknya, perlu menjadikan peluang berkhidmat dan membantu pihak teraniaya sebagai keutamaan. Peguam Muslim bukanlah berada di bawah tanda aras peguam yang cemerlang malah ada kalanya peguam Muslim lebih mantap dan tinggi kualiti perkhidmatannya berbanding dengan peguam lain. Memang tidak dapat dinafikan seorang peguam menggalas harapan yang tinggi daripada anak guamnya dan dibeban dengan pelbagai tanggungjawab. Seorang peguam Muslim sudah tentu mempunyai tanggungjawab yang lebih kerana menjunjung nama Islam.

Antara ciri asas yang perlu ada pada peguam Muslim ialah mesti mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasan. Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti di mana tugasan itu memerlukan mereka bersikap profesional, jujur, amanah terhadap pelanggan, menjalankan profesion dengan penuh kesungguhan tanpa menolak nilai profesionalisme tinggi peguam.

Peguam mesti bertindak dengan penuh keyakinan, menghormati orang lain sama ada pelanggan, peguam lain dan mahkamah dalam menegakkan keadilan. Di samping itu, sikap mengambil berat dan sabar dalam berurusan juga adalah suatu kemestian. Sikap ini menghendaki peguam untuk sentiasa menghormati dan melayan semua pihak sama ada pihak lawan dan peguam mereka dengan adil, baik dan sewajarnya serta menjauhi daripada bertindak tidak adil dan prejudis terhadap mana-mana pihak sepanjang proses undang-undang dilaksanakan.

Ini bermakna, walaupun peguam mewakili pelanggannya, pada masa sama, peguam di pihak lawan tetap dianggap kawan dan boleh berbincang dengan sebaiknya demi kesejahteraan kes dan pihak yang diwakili.

Cintakan ilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu pula adalah tuntutan di dalam Islam. Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu dengan menggunakan pelbagai kaedah sama ada menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau bertanya kepada peguam lebih berpengalaman perkara yang belum difahami. Dengan bekerjasama, kita akan lebih cepat memahami dan menyelesaikan sesuatu kekusutan yang belum diketahui.

Peguam berpengalaman juga perlu terbuka untuk mencurah pengalaman kepada peguam baru sebagai pelapis profesion ini. Bersikap baik dan mengambil berat pula adalah sikap yang amat positif. Peguam yang mengambil berat profesion ini akan mengambil pendekatan baik dan mengambil berat serta menghormati bukan saja kepada mahkamah dan rakan sekerja, malah juga seluruh manusia yang digaulinya.

Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat yang diputuskan, temu janji dibuat, mengambil berat kepada jadual tugasan dan memberi komitmen tinggi kepada apa yang perlu dilaksanakan. Peguam mesti mewakili pelanggan dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan, komited dalam tugasannya serta menghormati kepercayaan diberikan terhadapnya.

Kesungguhan dan kesetiaan kepada pelanggan tidak pula menyebabkan dia melakukan tindakan tidak benar, kasar dan biadab apatah lagi menzalimi lawannya. Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan undang-undang dan menjaga sistem keadilan yang diperjuangkan.

Peguam tidak wajar terbabit dalam urusan undang-undang saja, tetapi perlu turut sama dalam urusan memberi kebajikan kepada masyarakat, membantu dalam soal membabitkan perundangan, pendidikan, khidmat sosial, kebajikan dan sebagainya. Ketika berurusan dengan pihak lawan serta peguam mereka atau mana-mana pihak yang terbabit dalam sistem perundangan negara, peguam mesti berusaha menjadikan sistem keadilan itu dapat berfungsi dengan baik dan cemerlang.

Peguam Muslim perlu mengelak daripada melakukan perkara yang boleh memberi kesan buruk, menjatuhkan nama baik mahkamah, sistem perundangan atau menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap perundangan terhakis.

Sebelum memilih untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan dan meneruskan perbicaraan, peguam wajar mencari jalan dan mencadangkan kepada pelanggan alternatif untuk menyelesaikan pertelingkahan dan masalah seperti menggunakan kaedah sulh, mediasi dan sebagainya.

Hadis diriwayatkan Abu Dawud yang bermaksud: 'Hakim itu ada tiga jenis. Satu di dalam syurga dan dua lagi akan ke neraka�' memberi penekanan mengenai konsep integriti. Hadis itu bukan saja ditujukan kepada hakim, malah untuk peguam kerana hakim yang akan ke neraka itu sudah pasti akan mengheret peguam yang berhujah secara palsu di hadapannya bersama mereka.

Oleh itu, peguam hendaklah menjadi pembantu kepada kebenaran bukan kepada kebatilan. Peranan peguam Muslim sangat besar sebagai pembantu mahkamah menegakkan keadilan demi meletakkan hak kepada mereka yang mempunyai hak.

Jika sesuatu kes itu membabitkan kepercayaan yang bertentangan dengan keimanan mereka, agak sukar bagi peguam Muslim ini untuk mengendalikannya. Peguam Muslim yang mempunyai prinsip tidak akan goyah dengan ujian di dunia ini.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Syarie Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my

Monday, January 25, 2010

Isu kalimah Allah boleh selesai jika faham Perlembagaan Negara

Zainul Rijal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my


TINDAKAN tidak bermoral membakar surau yang dilakukan oleh golongan tidak bertanggungjawab boleh menimbulkan konflik di kalangan masyarakat majmuk. - Gambar hiasan


Penekanan perlu diberikan agar tiada pihak mempersendakan Islam

SELEPAS lebih tiga minggu berlalu isu mengenai penggunaan kalimah Allah dalam sebuah penerbitan berbahasa Melayu Gereja Katolik masih lagi belum reda. Beberapa insiden buruk seperti membakar gereja, kuil dan surau yang dilakukan oleh segolongan orang yang tidak bertamadun mencacatkan permulaan tahun baru 2010 ini.

Namun, ironinya apabila gereja dibakar ia menggamit liputan media yang besar. Malah kerajaan, ahli politik dari kalangan kerajaan dan pembangkang juga berpusu-pusu melawat gereja itu. Kerajaan juga menghulur sejumlah wang yang besar bagi membaiki kerosakan.

Badan bukan kerajaan (NGO) Islam juga mengambil tanggungjawab menyediakan sukarelawan bagi mengawasi dan melindungi gereja. Bukanlah hasrat saya mempertikaikan keikhlasan semua pihak dalam tindakan mereka itu.

Bagi saya sendiri perbuatan membakar rumah ibadat adalah suatu perbuatan terkutuk yang tidak pernah diajar oleh agama Islam. Ia adalah perbuatan yang menjadi liabiliti kepada Islam.

Walaupun begitu apabila surau menjadi mangsanya tidak kelihatan pula begitu ramai pemimpin yang melawat surau berkenaan, berapa pula sumbangan yang diperuntukkan oleh pihak tertentu bagi membaiki surau itu dan di mana pula NGO bukan Islam? Tidakkah mahu mereka menawar diri menjamin keselamatan surau dan masjid?

Inilah antara persoalan yang sering bermain di fikiran kita. Nampaknya terdapat perbezaan antara dua golongan ini.

Lebih teruk lagi ada juga pihak tertentu mempertahankan penggunaan kalimah Allah ini oleh orang bukan Islam. Pihak ini pula bukanlah daripada golongan Kristian tetapi sebaliknya, orang Islam sendiri yang memperjuangkannya. Walaupun dalam sedar mereka mengetahui orang Kristian di Denmark tidak bersetuju penggunaan kalimah Allah ini merujuk Tuhan orang Kristian, seorang paderi di Australia juga menentang penggunaannya, beberapa golongan Kristian di Sabah dan Sarawak juga berpandangan kalimah itu tidak wajar digunakan oleh orang Kristian. Nampaknya orang Islam ini sendiri yang lebih sudu dari kuah.

Natijahnya jadilah orang Islam ini sebagai hamlak yang hanya ditertawakan oleh bangsa lain. Malah bangsa Melayu Islam sendiri menghamput golongan ini kerana hanya memikirkan kepentingan diri saja walaupun secara terang-terangan bertentangan dengan titah Sultan Selangor.

Golongan ini sebenarnya mendahului Raja-Raja Melayu khususnya Sultan Selangor dalam hal ini. Tetapi mereka cuba mengalih perhatian rakyat dengan menyeret Majlis Agama dan Jabatan Agama ke dalam kemelut ini kerana kedua-dua agensi ini berpegang teguh atas pendirian kalimah Allah hanyalah bagi orang Islam saja. Tindakan Majlis Agama ini adalah berdasarkan perundangan negeri yang memberi kuasa kepada Majlis Agama untuk menjalankan tugas sebagai wakil Sultan dalam hal mengimpak kepentingan dan perpaduan Islam dan Melayu Islam.

Begitu juga tatkala seorang ahli jemaah menteri menyatakan kalimah Allah itu hanya tidak boleh digunakan di Semenanjung Malaysia saja tetapi bebas digunakan di Sabah dan Sarawak. Amat pahit kenyataan ini hendak ditelan orang Islam sama ada di Semenanjung ataupun di Sabah dan Sarawak. Seolah-olah di negeri itu tiada mempunyai ketua agama.

Raja dan rakyat tidak dapat dipisahkan bagi mempertahankan agama Islam. Raja-Raja Melayu bukanlah bersifat 'ceremonial' saja. Di dalam sebuah kertas kerja bertajuk Para Sultan Melayu Nusantara - Pewaris Khulafa Rasul Allah sebagai Sayyidin Penata Agama dan Madinah ada menyatakan:

"Sultan dengan zikir dan fikir seharusnya mampu berfiil amal soleh yang kaffah, mengubah buana ini yang cenderung jahiliyah-yastribiyah menjadi adabiyah diniyah; peradaban yang agamis tertib dan indah, berpedoman imani dan ilmu dua warisan al-Quran dan as Sunnah sehingga layak sebagai pewaris Rasulillah fil ardi.

"Oleh kerana rakyat Melayu asal beriman menurut titah Rajanya, maka tiadalah sempurna Melayu itu melainkan dengan pemagar-pemagarnya iaitulah Sultan dan segala orang besar baginda. Mereka ini laksana payung Allah dan tempat Allah menurunkan rahmat dan hidayatnya. Maka demikianlah yang menjadikan bangsa Melayu itu kuat umpama seikat rotan payah dan liat untuk dipatahkan. Adat dan syarak pengikatnya, Sultan dan orang-orang berbangsa pengetatnya. "Biar mati anak jangan mati adat kerana terlerailah Melayu sebagai bangsa jika tiada dijaga adat dan syarak.

Pantang anak Melayu derhaka pada Rajanya kerana apabila rotan sebilah tiada mahu mengikut, walau bagaimanapun putus juga ia kerana rahmat Allah sudah tiada bersama."

Jelaslah peranan Raja dan rakyat amat besar di dalam mempertahankan agama Islam. Sudah pasti golongan yang berpendirian memberi kebenaran bagi orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah ini tidak mengambil kira pandangan sejarah ini. Malah segala tindakan leluhur kita akan menjadi sia-sia dengan pendirian terhasil daripada tanggapan tersasar dari landasan sebenar itu.

Kedudukan Sultan di negeri di dalam Persekutuan dan Yang DiPertuan Agong adalah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing dan mereka menjalankan tugas suci sebagai pelindung Agama Islam dan menjaga kepentingan masyarakat Islam melalui Majlis Agama Islam Negeri Negeri seperti yang diperuntukkan oleh perundangan. Malah kesetiaan kepada Raja adalah salah satu Rukun Negara.

Berteraskan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, kedudukan Islam adalah sebagai Agama Persekutuan di mana hal ehwal berkaitan Islam dan hak orang Melayu adalah termaktub dan terpelihara oleh Perlembagaan Persekutuan.

Penekanan perlu diberikan terhadap perkara ini agar tiada pihak yang akan mempersendakan kedudukan Islam, hak-hak orang Melayu serta mendokong kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

Permasalahan ini sebenarnya bukanlah dicetuskan oleh umat Islam sendiri. Pihak Gereja Katolik itulah yang mengusik sensitiviti umat Islam dan kedudukan agama Islam ini sehingga menimbulkan kegelisahan keresahan dan kegusaran di kalangan orang Islam.

Oleh itu, mereka seharusnya mengambil langkah betul bagi memperbaiki keadaan runcing ini. Kemelut ini boleh diselesaikan jika setiap rakyat mengakui hakikat kedudukan istimewa agama Islam di dalam Perlembagaan.

Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my

Monday, January 18, 2010

Semai keperibadian dengan akhlak mulia

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my


KEPERIBADIAN yang tinggi perlu dipupuk sejak kecil lagi agar generasi akan datang mengamalkannya. - Gambar hiasan


Kekuatan jasmani pacu daya tahan laksana tuntutan agama secara optimum

MINGGU lalu, saya menghantar anak saya mendaftar di sebuah sekolah berasrama penuh milik kerajaan negeri Perak, Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan teratur. Tatkala sampai di sekolah itu, saya teringat pelbagai kenangan semasa menimba ilmu di situ. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula sekolah sendiri.

Sudah pasti ia terpahat di dalam hati, menggamit perasaan dan tidak mungkin dapat dipadamkan. Mengimbau kenangan di sekolah berkenaan, saya teringat mengenai peringatan yang selalu diterap kepada pelajar ketika itu - berkaitan keperibadian Muslim sama ada oleh guru atau pelajar senior.

Sehingga kini saya tidak akan lupa asas-asas keperibadian itu yang saya pegang selama ini. Sebenarnya saya sendiri pernah menulis berkaitan keperibadian Muslim di ruangan ini tetapi tiada salahnya jika saya mengulanginya sekali lagi.

Sebagai sebuah tatacara yang mengawal kehidupan seharian, Islam menggariskan panduan yang lengkap, sistematik dan tersusun supaya kehidupan manusia tidak tersasar daripada matlamat mencari keredaan Allah serta ibadah kepada Pencipta. Islam amat menekankan pembangunan modal insan berasaskan kepada ciri pembinaan sahsiah dan keperibadian Muslim.

Manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah dan khalifah yang diberi kelebihan dan kekuatan ilmu. Keunggulan keperibadian manusia hendaklah disulami dengan akhlak mulia, ilmu pengetahuan yang berpaksikan kepada keesaan Allah dan ketaqwaan kepadaNya. Namun apa yang menyedihkan sekarang ini, kita melihat umat Islam tidak menjadi contoh kepada orang lain. Umat Islam tidak memiliki akhlak mulia atau menjadi idola kepada orang lain.

Lebih dahsyat lagi umat Islam ketinggalan di kebanyakan bidang kerana mereka meninggalkan agama dalam kehidupan mereka. Apa saja yang dinisbahkan kepada Islam dikatakan mundur, ketinggalan zaman dan tidak sesuai. Mereka mencemuh akhlak Islamiah sebaliknya mendewa-dewakan apa saja yang dibawa dari Barat. Keperibadian Muslim yang unggul, mengikut Hassan Al Banna, hendaklah sekurang-kurangnya mempunyai 10 ciri yang jitu lagi mantap.

emua ciri ini saling lengkap melengkapi bagi menonjolkan kecemerlangan sahsiah Islam. Ciri-ciri itu adalah Aqidah yang bersih. Ciri ini amat penting kerana ia menjadi teras kepada pembangunan modal insan yang sebenar. Dengan ada aqidah yang mantap, sudah pasti umat Islam tidak akan tergelincir daripada landasan syariat Islam yang betul. Ia juga menjadi suatu piawaian ke arah pengabdian diri seperti diikrarkan di dalam solat iaitu Solatku, ibadahku, hidupku dan matiku semuanya bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Ibadat yang betul pula akan menjurus kepada keikhlasan dan penggarapan peribadi mulia. Ini menunjukkan sesuatu ibadat itu mestilah bersumberkan sumber yang betul yang terdiri daripada al-Quran dan al-Sunnah serta sumber lain yang diterima oleh ulama. Sekiranya ibadat kita tidak betul, maka sia-sialah amalan kita dan sudah tentu keunggulan sahsiah Islam itu tidak akan tercapai. Akhlak yang mulia pula menjadi teladan serta ikutan orang lain.

Perilaku ini harus dimiliki setiap Muslim kerana akhlak yang mulia bukan saja akan menjaga hubungan antara makhluk, malah juga hubungan antara makhluk dan Penciptanya. Kekuatan jasmani akan membawa kepada daya tahan yang kuat sehingga dapat melaksanakan tuntutan agama yang optimum. Aspek ini juga diberi perhatian dalam Islam. Islam tidak pernah mengasingkan kekuatan fizikal dalam mencari keredaan Allah.

Ini amat jelas dilihat kerana beberapa amalan di dalam Islam memerlukan kekuatan fizikal yang mantap seperti solat, puasa dan haji. Kekuatan jasmani juga adalah pencegahan kepada pelbagai penyakit. Pada masa sama, kecerdasan berfikir juga perlu seiring dengan kekuatan jasmani tadi. Kecerdasan berfikir akan membawa kepada intelektualisme. Seorang intelek adalah aset kepada masyarakat. Oleh yang demikian seorang Muslim perlu memiliki wawasan yang luas dan kemampuan inteleknya tidak harus diragui orang lain.

Namun intelektualisme di dalam Islam tidak hanya diukur daripada banyaknya sijil diperoleh, sebaliknya mencakupi ruang lingkup lebih besar yang dicorakkan dengan kesemua ciri keunggulan peribadi Muslim ini. Berjuang melawan hawa nafsu juga adalah elemen yang amat penting di dalam menyempurnakan sahsiah Islam. Oleh kerana setiap manusia memiliki kecenderungan kepada sesuatu yang baik dan buruk, perlulah suatu semangat untuk melawan hawa nafsu yang buruk.

Kesungguhan melawan hawa nafsu ini perlu disemai di dalam diri umat Islam kerana ia akan berupaya melawan pelbagai maksiat dan kemungkaran. Tiada gunanya seorang yang mempunyai ilmu dan wibawa tinggi tetapi gagal melawan hawa nafsu sendiri. Dalam pada itu pandai menjaga waktu juga adalah kemahiran yang perlu dilatih di dalam diri seorang Muslim.

Ia adalah faktor penting bagi manusia khususnya kepada orang Islam. Islam mengajar perancangan waktu seperti solat di awal waktu. Solat di awal waktu ini perlulah diterjemahkan dalam kehidupan seharian sebagai pengurusan masa yang tepat. Setiap tindakan kita perlu dirancang mengikut waktu yang sesuai. Oleh yang demikian adalah amat penting bagi pelajar terutamanya menerapkan ciri-ciri ini seawal mungkin bagi mencapai keunggulan peribadi Muslim.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my

Monday, January 11, 2010

Keharmonian agama perlu diutamakan

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my


ORANG Islam harus berhati-hati supaya sebarang tindakan yang diambil tidak mencemarkan kesucian agama Islam. - Gambar hiasan


Umat Islam harus sentiasa tenang, setiap tindakan perlu berpaksi kepada ajaran agama

PERKEMBANGAN terbaru beberapa hari lalu amat membimbangkan. Emosi umat Islam sudah tercabar akibat cubaan penganut Katholik untuk mengguna kalimah suci Islam bagi merujuk kepada agama mereka di dalam majalah mingguan Herald-The Catholic Weekly.

Ini dapat dilihat dari demonstrasi aman dilakukan di seluruh negara. Masyarakat Islam arus perdana melihat penghakiman itu sebagai suatu perkara yang akan menimbulkan kekeliruan dan kegusaran di kalangan umat Islam. Penghakiman itu juga dilihat menghakis keistimewaan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Dalam beberapa hari saja penghakiman diumumkan, keluhan dan ketidakpuasan hati umat Islam dizahirkan di media arus perdana dan media alternatif. Demonstrasi aman di seluruh negara adalah manifestasi semangat umat Islam mempertahankan kesucian agama.

Namun ada golongan yang terlalu emosi mengambil tindakan melampau cuba membakar gereja seperti dilaporkan. Tindakan sebegini haruslah dihentikan segera.

Percubaan membakar tiga gereja dikutuk keras pelbagai pihak, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menyifatkannya sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan menjejaskan keharmonian negara.

Setiap rakyat diminta bertenang dan tidak mengambil tindakan melampaui batas, sebaliknya diselesaikan mengikut saluran sesuai dengan undang-undang. Tindakan mereka sebenarnya akan menghancurkan keharmonian negara.

Kepelbagaian agama sebagai amalan hidup hormat-menghormati tidak boleh digugat oleh sesiapa dan amalan ini sudah sebati di kalangan rakyat. Cuma umat Islam berasa tercabar akibat perbuatan 'merebut' kalimah Allah.

Akibatnya, berlaku kejadian membakar Gereja Metro Taber Nacre A/G Catholic di Taman Melawati, Gereja Assumption Assunta, Petaling Jaya dan Gereja Chappel, Damansara. Tidak pernah terfikir di benak fikiran saya perkara seperti ini akan berlaku di Malaysia. Ia pasti tidak akan berlaku jika sensitiviti umat Islam tidak diusik oleh mana-mana pihak.

Tindakan pembakaran rumah ibadat ini melampau dan tidak menzahirkan ajaran Islam sebenar. Ia tidak berpaksi kepada ajaran agama Islam itu sendiri. Saya menyeru semua orang sama ada Islam ataupun bukan Islam supaya tenang dalam mengambil tindakan.

Biarlah saluran undang-undang menentukan bagaimanakah kemelut penggunaan isu kalimah Allah ini kerana rayuan sudah kemukakan di Mahkamah Rayuan.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin juga mengambil perhatian serius terhadap isu penggunaan ini dan menitahkan semua pihak menghormati kesucian ajaran dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Baginda bertitah, bagi menjamin suasana aman dan harmoni di antara penganut berlainan agama, maksud dan rujukan kalimah Allah dalam konteks umum hendaklah menepati sifat ditetapkan oleh Islam kerana amalan itu sekian lama diterima baik semua penganut agama lain di Malaysia.

Baginda juga berharap agar semangat perpaduan dan hormat-menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara ini sentiasa dijaga.

Hanya Islam satu-satunya agama disebut dalam Perlembagaan Persekutuan. Tiada agama lain disebut secara khusus melainkan hanya disebut sebagai boleh diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni dalam negara saja.

Ini jaminan Perlembagaan bahawa pengamalan agama lain oleh bukan Islam dibenarkan tertakluk kepada Perkara 11(4) iaitu berkaitan sekatan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan agama Islam ialah agama Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Makna 'boleh diamalkan dengan aman dan damai' ialah agama lain selain Islam boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan selagi ia tidak menghakis kedamaian dan keamanan agama bagi Persekutuan iaitu Islam.

Dalam suasana tegang sekarang saya menyeru umat Islam mempertahankan penggunaan kalimah Allah ini merujuk kepada agama Islam saja sesuai dengan 'waqi' (suasana setempat) di Malaysia tetapi dalam mempertahankannya haruslah dilakukan mengikut undang-undang yang berkuatkuasa.

Jangan mengambil sebarang tindakan yang boleh menggugat keharmonian negara. Toleransi yang ditunjukkan umat Islam selama ini sebagai umat majoriti di Malaysia haruslah diteruskan walaupun dalam keadaan tegang sekarang.

Saya amat memahami isu agama adalah sensitif di kalangan umat Islam tanpa mengira batasan politik atau ras, namun ia harus ditangani dengan kebijaksanaan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my

Monday, January 4, 2010

Penghakiman hakis keistimewaan Islam

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my

Keputusan mahkamah benar gereja guna kalimah cetus kegusaran, kekeliruan masyarakat

KEPUTUSAN Hakim Datuk Lau Bee Lan pada 31 Disember lalu yang membenarkan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald-The Catholic Weekly adalah suatu tamparan hebat kepada usaha memartabatkan agama Islam sebagai 'agama rasmi.' Masyarakat Islam arus perdana melihat penghakiman ini sebagai suatu perkara yang akan menimbulkan kekeliruan dan kegusaran di kalangan umat Islam.

Penghakiman ini juga dilihat menghakis keistimewaan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Saya sendiri mendapat banyak panggilan telefon, e-mel dan surat bertanyakan kesan penghakiman itu terhadap kedudukan agama Islam di Malaysia khususnya. Dalam beberapa hari saja penghakiman berkenaan dikeluarkan, keluhan dan ketidakpuasan hati umat Islam ini dizahirkan di dalam media arus perdana dan media alternatif.

Sebenarnya pendirian umat Islam bukanlah hendak memadam kalimah Allah di dalam kitab suci agama lain tetapi hanyalah berkisar di sebalik undang-undang yang berkuatkuasa di dalam negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini jelas kerana agama Sikh umpamanya yang menggunakan kalimah Allah di dalam bahasa asal kitab suci mereka tidak pernah dihalang daripada membaca atau mengamalkan ajaran di dalam kitab asal mereka.

Malah pendirian diambil oleh umat Islam bukanlah 'peperangan antara kitab suci' tetapi lebih kepada memberi makna dan tafsiran jelas kepada peruntukan yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan yang disanjung oleh segenap warga negara Malaysia. Permasalahan yang timbul ialah penerbitan majalah Herald-The Catholic Weekly ini boleh digapai oleh orang ramai termasuk orang Islam. Ia sudah tentu diedarkan dan tiada jaminan ia tidak akan sampai kepada orang Islam.

Walaupun usaha beberapa majlis Islam negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Terengganu, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Kedah serta Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), gagal mencelah di dalam kes ini, usaha itu haruslah diberi penghargaan tinggi kerana khususnya majlis agama sudah menjalankan tanggungjawab statutori mereka di dalam mempertahankan agama Islam dan MACMA adalah NGO tunggal berbuat demikian.

Namun persoalan lain pula, di manakah Majlis-Majlis Agama Islam negeri lain? Adakah mereka juga bersekongkol dan bersetuju kalimah Allah ini boleh digunakan oleh pihak gereja di dalam penerbitan mereka? Majlis agama mempunyai tanggungjawab statutori menasihati Sultan di dalam hal ehwal agama malah menjaga agama juga diletakkan di bawah tanggungjawab majlis agama. Hanya Islam satu-satunya agama yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tiada agama lain disebut secara khusus di dalam Perlembagaan Persekutuan melainkan hanya disebut sebagai boleh diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni dalam negara. Ini adalah jaminan perlembagaan bahawa pengamalan agama lain oleh orang bukan Islam dibenarkan tertakluk kepada Perkara 11(4), iaitu berkaitan sekatan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Umat Islam adalah penduduk majoriti di Malaysia. Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan agama Islam ialah agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Malaysia. Makna 'boleh diamalkan dengan aman dan damai' ialah agama lain selain agama Islam boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan selagi ia tidak menghakis kedamaian dan keamanan agama rasmi Persekutuan, iaitu Islam. Inilah kedudukan istimewa Islam.

Kedudukan istimewa Islam ini bolehlah difahami kerana wujud peruntukan lain yang memberi kelebihan kepada Islam sebagai agama rasmi Persekutuan seperti termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, antaranya:

a) Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa negeri-negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka kepada orang Islam. Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang yang menganuti agama Islam;

b) Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan Persekutuan diberi kuasa untuk mengurus dan menghulur bantuan kepada institusi Islam seperti masjid, sekolah agama dan juga bagi tujuan pembangunan syiar Islam;

c) Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan kerajaan negeri berkuasa membuat undang-undang bagi mentadbir urusan agama Islam;

d) Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan juga memberi pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan, membatalkan atau tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.

Penghakiman Lau itu memberi kesan ketara terhadap orang Islam. Ini bermakna orang bukan Islam bebas menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan mereka selagi ia diedarkan di kalangan orang bukan Islam. Persoalan yang timbul pula apakah jaminan ia tidak akan diedarkan kepada orang Islam?

Penerbitan itu bukan hanya diedarkan di gereja. Kenapakah pihak gereja begitu terdesak mahu menggunakan kalimah Allah ini? Tidakkah dengan menggunakan kalimah Allah ini akan menggugat kedamaian dan keamanan agama bagi Persekutuan? Malah kewujudan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) juga tidak mempunyai signifikan secara realitinya.

Enakmen yang wujud di beberapa negeri sejak berpuluh-puluh tahun masih tidak dilaksanakan. Malah ada negeri yang meluluskan enakmen ini masih tidak mewartakan dan memberi tarikh pelaksanaannya. Empat negeri pula, iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak belum menggubal undang-undang sama walaupun Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri ketika menjadi Perdana Menteri, berjanji dan mengarahkan negeri terbabit menggubal undang-undang berkenaan.

Sememangnya kepentingan agama Islam sering kali dipinggirkan ketika membuat sebarang tindakan oleh pelbagai pihak. Kenapa kita terlalu mengabaikan perkara ini? Dalam keadaan yang agak tegang ini, saya meminta kerajaan segera memfailkan rayuan terhadap keputusan hakim itu, serta memohon menggantung perintah dikeluarkan.

Saya juga menyeru kerajaan melaksanakan segera Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam dan bagi negeri yang belum menggubal undang-undang terbabit, hendaklah segera berbuat demikian.

Majlis Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama negeri juga perlu membuat ketetapan tegas berkaitan dengan perkara ini selaras dengan sumpah jawatan baginda mempertahankan Islam pada setiap masa. Malah Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan juga boleh merujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi pentafsiran Perkara 3 itu.

Perkara 13 berkenaan menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal mengenai kesan mana-mana peruntukan perlembagaan ini yang sudah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya mengenai apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

Oleh yang demikian, jika Yang di-Pertuan Agong merujuk kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan isu ini, mungkin akan meredakan ketegangan dihadapi umat Islam sekarang. Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang gereja menggunakan kalimah Allah kerana KDN sebagai sebuah badan kerajaan perlu mempertahankan ikrar Yang di-Pertuan Agong ketika menaiki takhta, iaitu mempertahankan Islam pada setiap masa.

Oleh itu segala tindakan dibuat kerajaan perlu sejajar dengan ikrar mempertahankan Islam. Secara mudahnya, setiap urusan kerajaan adalah disifatkan sebagai Urusan Seri Paduka Baginda (seperti tertera di dalam sampul surat jabatan kerajaan). Oleh yang demikian adalah tidak masuk akal, urusan itu mencabul ikrar yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

KDN perlu segera merayu keputusan kes ini kerana ia membabitkan kedudukan agama Islam di Malaysia apatah lagi keputusan mahkamah tertinggi dalam negara perlu bagi menyelesaikan kedudukan ini secara muktamad.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my

Monday, December 28, 2009

Tahun baru harus jadi pemangkin minda

Oleh Zainul Rijal Abu bakar

Tiada guna masa berlalu tanpa memperoleh manfaat, usaha perbaiki kelemahan diri

MINGGU ini adalah minggu terakhir sebelum 2009 melabuhkan tirainya. Tahun 2010 pula sedang mengintai dengan penuh harapan dan dugaan. Umat Islam pula masih baru menyambut Maal Hijrah yang menandakan permulaan tahun 1431 Hijrah. Azam dan iltizam memenuhi gerak hati kebanyakan insan yang berikrar memperbaiki diri.

Kemunculan tahun baru ini seharusnya menjadi pemangkin minda kita memikirkan apakah yang berlaku sepanjang tahun dan bagaimanakah pula kita akan menghadapi tahun baru nanti. Segala suka dan duka yang berlaku hendaklah dijadikan teladan dan sempadan kepada kita. Tiadalah gunanya tahun berlalu tanpa apa-apa manfaat yang kita peroleh. Tiadalah manfaatnya tahun berlalu tanpa kita perbaiki untuk masa-masa akan datang.

Apa yang berlaku tercatat sebagai sejarah. Tiada siapa yang dapat mengubahnya dan sejarah itu pasti berulang. Itulah lumrah alam. Oleh hal yang demikian kita tidak dapat lari daripada memikirkan apa yang telah berlaku kepada kita.

Jika kita menyorot apa yang berlaku sepanjang 2009, tentu banyak perkara yang akan merungkai minda kita.

Dari sudut perundangan Islam pula, sudah tentu kalendar 2009 diwarnai dengan pelbagai persepsi yang positif dan negatif.

Umpamanya keputusan Majlis Raja-Raja menolak cadangan pindaan undang-undang keluarga Islam yang dicadangkan kerajaan menarik perhatian pelbagai pihak berkaitan dengan undang-undang itu. Begitu juga kes Kartika Seri Dewi Sukharno yang masih belum lagi dilaksanakan hukuman sebat ke atasnya menimbulkan polemik yang agak sukar difahami ramai orang. Pendakwaan kes mengajar tanpa tauliah Dr Mohd Asri Zainal Abidin juga tidak kurang menarik perhatian umum.

Kes Muhammad Ridzuan Pathmanathan seorang mualaf yang mengislamkan anaknya mengambil tempat di dada akhbar arus perdana. Begitu juga halnya dengan kes perkuburan Islam di Kota Kemuning yang mana Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan Majlis Agama Islam Selangor mencelah juga membangkitkan ketidakpuasan hati di kalangan masyarakat Islam.

Semua kes di atas adalah manifestasi bahawa perjuangan memartabatkan Islam di bumi Malaysia masih belum mencapai matlamatnya yang sebenar. Usaha kita untuk mengarusperdanakan Syariah perlu dilipat ganda dan disusun atur dengan lebih sistematik bagi mencapai kejayaan.

Semoga tahun mendatang ini akan menjadi lebih baik khususnya berkaitan perkembangan agama Islam di tanah air. Walaupun bibit penambah baik itu mula dirasainya, ia bukannya suatu jaminan umat Islam berasa selesa dan menghentikan perjuangan. Walaupun kesatuan NGO Islam disemai, masih banyak perkara yang perlu diperkukuhkan antara NGO Islam. Melihat kepada cabaran yang akan dihadapi kelak, sebenarnya sudah tiada masa untuk umat Islam berseronok dan terkinja-kinja menyambut tahun baru.

Tahun baru mesti disambut dengan penuh keazaman dan komitmen agar Islam diletakkan di tempatnya. Bukan caranya menyambut tahun baru dengan pesta liar yang langsung tidak menggambarkan adat ketimuran budaya, bangsa dan agama.

Saya juga mengharapkan perpecahan di kalangan umat Islam akan dapat diperbaiki. Perpaduan antara umat Islam dan bukan Islam pula dapat ditingkatkan di samping saling hormat menghormati antara satu sama lain sejajar dengan prinsip Rukun Negara dan Keluhuran Perlembagaan dan kedudukan istimewa Islam di negara kita.

Kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan perlu direalisasikan dan dalam masa yang sama agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Ini bermakna agama lain boleh diamalkan selagi ia tidak menjejaskan keamanan dan kedamaian terhadap Agama Persekutuan di dalam negara.

Pada masa yang sama umat Islam hendaklah jangan sesekali mengherdik agama orang lain sebagaimana kita sendiri tidak mahu agama kita diherdik. Jangan memperlekehkan agama orang lain seperti kita tidak mahu diri agama kita diperlekehkan.

Perubahan minda sebegini amat penting bagi mengharungi tahun baru ini. Tanpanya sudah pasti kita akan berada di takuk lama dan tidak akan menjadi contoh teladan kepada orang lain.

Anjakan minda sebegini akan menjadi pemangkin kepada kita menggapai kecemerlangan pada tahun hadapan. Berbeza pandangan dalam perkara furu' adalah lumrah dan janganlah begitu terpesona dan taksub dengan sesuatu pandangan hingga tidak boleh berlapang dada menerima teguran orang lain.

Walaupun 2009 menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan yang menguji kesabaran dan perpaduan masyarakat, 2010 pasti akan menjadi pertaruhan sekiranya tiada usaha mantap memperbetulkan keadaan yang sedang berlaku.

Untuk itu pihak kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, institusi dan individu perlu sedar hakikat sebenar dan tidak mementingkan diri sendiri saja. Moga tahun baru ini memberi harapan ke arah memartabatkan agama Islam di samping memelihara perpaduan rakyat pelbagai bangsa.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia, boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my

Monday, December 21, 2009

Hukuman sebat Kartika perlu dilaksanakan

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my

Banyak pihak masih bertikam lidah berhubung isu pelaksanaan undang-undang syariah

NAMA Kartika Sari Dewi Sukharno sudah semakin dilupai masyarakat. Akhbar arus perdana juga tidak lagi memaparkan isunya. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga bagai menutup tirai perjuangan mereka dalam isu ini, sama ada NGO berasaskan jantina dan hak asasi manusia mahupun NGO Islam. Maka tinggallah Kartika dan dibantu beberapa teman beliau mencari ruang bagi menebus kesilapan lampau.

Apa yang ingin ditunjukkan Kartika hanyalah bagi memandu arah beliau sendiri kembali ke jalan benar di samping menjadi sempadan kepada orang lain agar tidak melakukan kesilapan sama. Persoalan yang timbul kenapakah begitu sukar untuk Kartika disebat? Seolah-olah terdapat halangan yang besar bagi melaksanakan sebatan Syariah yang penuh pengajaran dan hikmah itu. Di Pahang hukuman sebat sudah dilaksanakan ke atas pesalah syariah yang meminum arak di Penjara Penor Pahang tanpa sebarang masalah baru-baru ini.

Ironinya kenapa pula NGO berasaskan jantina dan hak asasi ini tidak melenting apabila sebatan itu dilaksanakan? Adakah mereka menggunakan tanda aras yang berbeza bagi orang yang berlainan? Isu Kartika menarik perhatian saya kerana kejahilan mengatasi mereka yang berilmu. Orang yang dangkal ilmu agama dan pelaksanaan sebatan syariah berebut-rebut bercakap berhubung isu ini tanpa fakta dan kajian seolah-olah merekalah ahli agama dan pejuang keadilan. Malah sebenarnya hujah yang dikemukakan mereka ini adalah hujah picisan yang tidak berlandaskan kedudukan agama dan Perlembagaan sebenar.

Walaupun berulang kali diperjelaskan oleh ulama, masih tidak dapat diterima golongan ini. Ia bagai 'mencurah air di daun keladi' kerana golongan ini tidak berlapang dada menerima pandangan orang lain. Saya sendiri beberapa kali menulis berkaitan isu ini, malah berjumpa dengan hampir sebahagian besar pihak yang terbabit termasuklah Kartika, Mahkamah Syariah Pahang dan Penguat kuasa Agama. Maklum balas yang saya terima ialah mereka bersedia menjalankan sebatan ini. Namun sehingga ke hari ini hasrat ini masih belum direalisasikan lagi. Di mana silapnya?

Saya memohon kepada Sultan Pahang sebagai ketua agama agar campur tangan di dalam isu ini. Sudah terlalu lama isu ini berlalu tanpa jalan penyelesaiannya. Sudah acap kali Mahkamah Syariah diperlekehkan. Sudah sering undang-undang Islam diperkotak-katikkan. Ketegasan ketua agama di dalam melaksanakan undang-undang syariah ini akan menambah kasih sayang rakyat kepada

baginda.

Hubungan simbiotik antara rakyat dan sultan bukanlah suatu retorik tetapi hendaklah dizahirkan melalui ketegasan dan limpahan rahmat Allah dengan melaksanakan syariat yang ditetapkan oleh Allah.

Pelaksanaan sebatan ke atas Kartika akan meningkatkan integriti dan standard Mahkamah Syariah dan jabatan agama yang berada di bawah naungan Sultan. Ini dapat dilihat dari usaha umat Islam arus perdana yang mahukan pelaksanaan hukuman sebat ini berbanding dengan segelintir kecil yang tidak sudah-sudah menentang apa saja yang dilakukan oleh institusi Islam. Namun saya yakin keprihatinan Sultan Pahang akan dapat menyelesaikan kemelut ini.

Hukuman sebatan syariah sebenarnya jauh berbeza dengan sebatan sivil. Walaupun peruntukan hukuman ini sudah lama wujud, pelaksanaannya masih lagi belum meluas. Halangan yang ada adalah halangan bersifat metafora dan bukan halangan sebenar. Hakim Syarie juga sudah melihat demonstrasi sebat syariah oleh pegawai penjara mendapati ia tidak bertentangan dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak. Suatu bengkel khas berkaitan dengan permasalahan hukuman sebat juga sudah dijalankan April lepas anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan hasilnya mendapati tiada permasalahan besar dalam melaksanakan hukuman sebatan Syariah ini.

Walaupun sudah bertaubat, Kartika tidak berganjak mahukan beliau dihukum atas kesalahannya. Hal yang demikian menunjukkan bahawa Kartika benar-benar sudah bertaubat sebagaimana yang dikehendaki Allah iaitu taubat nasuha seperti disebut dalam Surah at Tahrim ayat 8 yang bermaksud, "Hai orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya."

Ibnu Katsir mentafsirkan taubat nasuha sebagai taubat yang sebenarnya dan sepenuh hati, akan menghapus keburukan yang dilakukan sebelumnya, mengembalikan keaslian jiwa orang yang bertaubat, serta menghapus keburukan yang dilakukannya. Oleh itu diharapkan Kartika dapat mencapai taubat nasuha itu.

Setiap orang melakukan kesilapan dan kadangkala kesilapan itulah yang mengajar kita untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Lebih lama kemelut ini dibiarkan ia hanya akan menambahkan kegelisahan di kalangan rakyat. Begitu juga bagi Kartika yang tertunggu-tunggu bilakah hukuman akan dilaksanakan. Kartika memerlukan ketenangan, hanya selepas hukuman dilaksanakan barulah beliau akan mendapat ketenangan. Kesilapan yang menghantui beliau hanya akan terpadam dengan pelaksanaan hukuman ke atasnya. Oleh yang demikian saya menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan agar melakukan sesuatu bagi memastikan kelancaran pelaksanaan hukuman ke atas Kartika.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), boleh dihubungi melalui zainul.rijal@abubakar.my

Monday, December 7, 2009

Syariah wajar dijadikan teras kehidupan

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my


IBADAT solat menghubungkan manusia dengan Tuhannya dan juga saudara seagama. - Gambar hiasan


Pengawalan aturan ditetapkan Allah patut dibuat menyeluruh bukan ikut bahagian tertentu


SECARA etimologi, syariah bererti aturan atau ketetapan yang Allah perintahkan kepada hamba-Nya. Secara terminologi pula, syariah bermaksud penerapan seluruh aspek kehidupan, sesuai ajaran Islam yang berkait dengan masalah ibadat umum dan khusus yang dinisbahkan kepada sumber hukum Islam.

Mahmud Syaltut mendefinisikan syariah sebagai aturan yang ditetapkan Allah, supaya manusia mengadaptasi aturan itu untuk mengatur hubungan dirinya dengan Tuhannya dan hubungan dirinya dengan saudaranya yang Muslim dan saudara kemanusiaannya (bukan Islam) serta hubungan dirinya dengan alam semesta dan kehidupan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat saja, tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu." (Surah Al-Maidah, ayat 48)

Rasulullah pernah diriwayatkan sebagai bersabda yang bermaksud: "Umat aku selalu berada di atas syariah, selama di tengah-tengah mereka belum nampak tiga perkara iaitu selama ilmu belum dicabut daripada mereka, selama di tengah-tengah mereka belum banyak anak zina serta belum nampak di tengah-tengah mereka 'al shaqqaruun."

Sahabat pun bertanya: "Ya Rasulullah, apa 'al shaqqaruun' itu?" Rasulullah menjawab: "Manusia yang ada di akhir zaman yang mana ucapan antara mereka adalah saling melaknat antara satu sama lain."

Yusof al-Qaradhawi pula menegaskan ada enam ciri syariah Islam iaitu:

# Robbaniyah (ketuhanan) - oleh kerana ia bersifat 'ketuhanan' maka seseorang Muslim tidak mempunyai alasan untuk menolak syariah kerana seorang Muslim mesti meyakini hukum syariah yang paling adil dan sempurna.

# Insaniyah (kemanusiaan) - syariah mengangkat martabat manusia serta memeliharanya. Ia dicipta untuk manusia dan sesuai dengan kapasiti manusia itu sendiri tanpa mengira ras, warna kulit atau status.

# Syumuliah (komprehensif) - syariah Islam mengatur seluruh kehidupan manusia dan tidak secara terpilih dalam bidang tertentu saja.

# Akhlaqiah (peribadi mulia) - akhlak dan moral menjadi benteng kepada keindahan syariah Islam kerana tujuan Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia;

# Waqiyyah (realistik) - syariah Islam adalah benar dan realistik, tidak ketinggalan zaman, memacu kejayaan dan praktikal; dan

# Tanasuq (keteraturan) - sifat saling lengkap melengkapi dalam syariah menjadikannya suatu sistem atau tanzim yang terbaik kerana ia tidak bertentangan antara satu sama lain.

Oleh demikian, syariah adalah satu cara hidup bagi umat Islam dan ia tidak hanya perlu diamalkan mengikut bahagian tertentu saja.

Menelusuri kepada sejarah pula, kita akan mendapati penjajahan terhadap masyarakat Islam memberi kesan besar dengan meminggirkan sistem kehakiman dan undang-undang syariah yang mana bidang kuasa syariah ini dihadkan kepada undang-undang diri dan beberapa aspek kecil saja.

Syariah tidak mempunyai peranan dalam kebanyakan aspek lain.

Pembebasan daripada penjajahan pula tidak secara automatik membebaskan umat Islam daripada belenggu penjajahan itu sendiri kerana benih-benih penjajahan sudah bersemadi dalam jiwa umat Islam sepanjang penjajahan.

Malah sudah tidak asing lagi dalam dunia Islam kita akan mendapati orang Islam sendiri menentang sebarang usaha mengarusperdanakan syariah. Walaupun sejak berpuluh tahun lalu memang wujud gerakan mengarusperdanakan syariah di tempat sepatutnya, usaha itu masih belum menampakkan kejayaannya lagi.

Hakikatnya, umat Islam lebih suka ditadbir di bawah undang-undang syariah berbanding undang-undang asing yang dikenakan terhadap mereka.

Syariah tidak wajar diharmonikan dengan undang-undang lain tetapi undang-undang lain itulah yang perlu diasimilasikan dengan syariah supaya tidak tergelincir daripada landasan syariah.

Tiada pilihan bagi umat Islam untuk memilih jalan selain daripada Islam kerana umat Islam tidak teruja dengan kehebatan kemampuan akal fikiran manusia. Ini disebabkan betapa hebat pun kemampuan akal fikiran manusia, ia masih lagi di bawah taklukan dan kawalan Yang Maha Esa.

Begitu juga kebejatan akhlak, sahsiah diri dan tatasusila dalam masyarakat adalah hasil pengasingan agama daripada kehidupan seharian. Jika benarlah nilai hidup Barat itu yang terbaik kenapa masyarakat Barat sendiri seolah-olah tercari-cari arah tujuan dan penanda aras bagi masyarakat mereka?

Walaupun begitu, bukanlah saya mengatakan semua yang datang dari Barat itu tidak baik. Memang tidak dinafikan ada kebaikan dalam sesuatu masyarakat itu tetapi kita perlu pandai mengutip yang baik, membezakan antara kaca dan permata supaya tidak menghakis jati diri umat Islam sendiri.

Dalam hal demikian, sebenarnya segenap usaha perlu digembleng untuk mengarusperdanakan syariah, bukan sekadar mengharmonikan syariah saja. Kita perlu menjadikan syariah sebagai teras kehidupan dan bukan sebagai alternatif kepada sistem yang ada di depan kita masa ini. Penulis adalah Peguam bela/Peguam cara dan Peguam syarie dan boleh dihubungi melalui email di zainul.rijal@abubakar.my

Monday, November 9, 2009

Persenda Islam boleh jejas keharmonian

Oleh Zainul Rejal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my

Laungan azan oleh pelajar di gereja timbulkan keraguan masyarakat pelbagai kaum


TINDAKAN sekumpulan pelajar sekolah menengah di Betong, Sarawak baru-baru ini merakamkan perbuatan mereka meniru cara umat Islam bersolat jemaah termasuk melaungkan azan dalam sebuah gereja, boleh menimbulkan kekeliruan dan masalah di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Sebagai rakyat yang mentaati undang-undang, seseorang itu hendaklah menghormati sentimen dan agama orang lain. Timbul soal apakah sekolah yang menjadi pusat pendidikan pelajar berkenaan gagal menyemai sikap toleransi dan saling hormat antara satu sama lain atau adakah ibu bapa pelajar tidak mendidik anak mereka ke arah itu?

Akibat tindakan itu, umat Islam diseru bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan di luar undang-undang. Sebenarnya memang kebiasaannya umat Islam bertenang di dalam perkara begini. Namun hakikatnya umat Islam menagih supaya tindakan yang adil diambil terhadap orang yang mencabuli kesucian agama Islam.

Siasatan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) mungkin tidak dapat mencapai matlamatnya kerana pelaku kesalahan itu, orang bukan Islam. Jais hanya boleh menyiasat terhadap orang Islam dan mendakwa mereka di Mahkamah Syariah yang hanya ada dalam bidang kuasa kes jenayah terhadap orang yang menganut Islam.

Dalam hal ini, siasatan Jais hanya menjadi persoalan akademik dan tinggal sebagai siasatan saja. Sebenarnya pihak polis yang perlu mengadakan siasatan dan menyiasat kes berkenaan. Sekiranya benar, ada kesalahan dilakukan, maka mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang tidak mengasingkan orang Islam dan orang bukan Islam.

Kesalahan yang dilakukan itu adalah amat serius dan mengguris hati umat Islam. Selama ini umat Islam amat berhati-hati dan tidak mendokong sebarang usaha menghina agama selain Islam. Malah, dalam banyak keadaan, umat Islam sendiri menyokong mana-mana orang Islam yang menghina agama bukan Islam agar disiasat dan dipertanggungjawabkan atas kesalahan mereka.

Pihak berkuasa juga didapati amat cekap apabila kesalahan berkenaan dilakukan orang Islam tetapi sebaliknya terlalu banyak birokrasi jika dilakukan orang bukan Islam. Ini terbukti misalnya di dalam kes perarakan kepala lembu baru-baru ini, bukanlah saya menyokong perarakan itu tetapi hanya menzahirkan contoh perbezaan darjah tindakan yang diambil pihak berkuasa.

Oleh yang demikian, saya menyarankan agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera di dalam kes menghina agama Islam itu.

Perkara sebegini amat tidak wajar berlaku di mana-mana bahagian negara ini. Yang lebih menyedihkan ialah Sarawak adalah salah satu daripada empat negeri di Malaysia yang masih belum meluluskan undang-undang kawalan penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam. Negeri lain yang masih belum meluluskan undang-undang itu ialah Pulau Pinang, Sabah dan Wilayah Persekutuan.

Walaupun undang-undang ini tidak dapat membendung penghinaan terhadap agama Islam seperti diperuntukkan di dalam Kanun Keseksaan, dengan wujudnya undang-undang itu ia akan dapat memberi panduan kepada orang bukan Islam agar tidak mencemarkan kesucian agama Islam atau cuba mendakyah orang Islam.

Ia sesuai dengan kedudukan agama Islam sebagai 'Agama Persekutuan' seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah berjanji beberapa tahun lalu bahawa keempat-empat negeri itu akan menggubal undang-undang kawalan berkenaan tetapi sehingga kini walaupun bertukar pucuk pimpinan, undang-undang itu masih lagi menjadi impian umat Islam di negeri berkenaan.

Berbalik kepada penghinaan yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar di Betong itu, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka melakukan kesalahan terbabit. Sekiranya tindakan gagal diambil seolah-olah ia akan menjadi manifestasi diskriminasi terhadap orang Islam. Perkara sedemikian juga sebenarnya menunjukkan kegagalan sistem pendidikan kita menyemai sifat saling menghormati antara satu sama lain.

Mungkin prasarana pendidikan kita yang mengasingkan pelajar mengikut bangsa dan agama menjadikan timbul persepsi negatif antara satu sama lain. Walaupun disuarakan pembentukan sekolah satu aliran, ia masih sukar dilaksa-nakan kerana sebahagian kita masih lagi melihat sekolah aliran jenis kebangsaan itu dalam konteks mikro saja.

Mereka tidak melihatnya daripada aspek lebih besar iaitu keperluan menyemai fikrah yang sama dan saling bekerjasama dan mengenali antara satu sama lain.

Natijahnya, rakyat Malaysia daripada bangsa tertentu akan mempunyai keraguan terhadap rakannya daripada kalangan bangsa yang lain walaupun selalunya keraguan itu tidak dizahirkan. Tetap jauh di lubuk hati mereka terpahat sikap gusar dan tidak mempercayai antara satu sama lain.

Sekali lagi saya meminta supaya tindakan tegas diambil terhadap sesiapa saja yang mencemar hubungan baik antara agama dan memperlekehkan mana-mana agama. Seharusnya keharmonian dan keamanan yang kita sudah kecapi ini dipertahankan bukan dirobek serta diperkotak-katik.

Penulis ialah peguam bela, peguam cara dan peguam syarie dan boleh dihubungi melalui e-mel zainul.rijal@abubakar.my

Wednesday, April 8, 2009

Peguam Syarie Menulis: Tanpa Islam keistimewaan hak, warisan Melayu lenyap

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

PELANTIKAN Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam sudah pasti membawa implikasi besar kepada negara. Perubahan pucuk kepemimpinan negara akan merubah landskap politik dan kepimpinan nasional juga.

Apatah lagi keputusan pilihan raya kecil serentak untuk tiga kawasan yang dijalankan semalam juga pasti memberi impak kepada watan.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mendoakan Perdana Menteri dapat menjalankan tanggungjawabnya seperti diikrarkan di hadapan Yang di- Pertuan Agong tempoh hari. Sebagai Perdana Menteri sewajarnya Najib berusaha sedaya upaya memenuhi ikrar iaitu pada setiap masa mempertahankan Islam.

Sebagai pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, penulis tidak dapat lari daripada bersemuka dengan ahli parti politik tidak kira daripada parti kerajaan mahupun pembangkang bagi membincangkan dan melontar idea memartabatkan Islam.

Bagaimanapun, dalam pemilihan kepemimpinan ini adalah penting pemimpin yang dipilih mempunyai komitmen tinggi kepada Islam yang menjadi jati diri orang Melayu. Tanpa Islam orang Melayu akan punah.

Pemimpin yang baik adalah pemimpin berusaha menegakkan Islam dalam kepemimpinannya. Usaha dilakukan menjadi bukti komitmen seseorang itu terhadap Islam.

Tidak perlulah diingatkan kedudukan istimewa Islam diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang bukan saja perlu dipertahankan malah dipertingkatkan lagi supaya menampakkan keindahan Islam sebagai sebuah tatacara kehidupan lengkap.

Kebelakangan ini kita melihat perkembangan positif apabila rakyat mula mengambil berat dan peka terhadap hak diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Fenomena positif itu menunjukkan rakyat celik undang-undang adalah aset kepada perkembangan negara di samping tidak mudah diperkotak-katik orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.

Ruangan kali ini cuba mengupas kedudukan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa yang tidak akan terjejas walaupun negara dalam keadaan darurat atau tidak aman.

Perkara ini jelas dalam perkara 150 (6a) menegaskan ada enam hak tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat iaitu hak berkaitan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa.

Sebenarnya keistimewaan ini bukan hanya diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal, kedudukan Islam memang sudah gah di sisi masyarakat dan bukanlah perkara asing bagi penduduk negara ini.

Keistimewaan undang-undang Islam tidak pernah berganjak walaupun negara sudah dijajah beberapa penjajah selama ratusan tahun. Jika penjajah pun tidak berani menyentuh ketinggian undang-undang Islam, takkan selepas lebih 50 tahun negara merdeka dan diperintah anak watan, keutuhan undang-undang Islam diperlekehkan.

Seharusnya pendekatan yang diambil meningkatkan lagi kedudukan undang-undang Islam bagi mencakupi segenap lapangan kehidupan umat Islam.

Adalah penting bagi rakyat bukan saja mengetahui hak mereka, malah memahami falsafah serta semangat perlembagaan mengikut kerangka dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan bukanlah matlamat atau destinasi akhir kita tetapi hanya alat bagi mencapai keadilan dan kesepakatan antara rakyat. Ia adalah garis panduan bagi memudahkan rakyat memakmurkan negara.

Negara kita bukan bermula tatkala Perlembagaan Persekutuan diwujudkan tetapi kehidupan dan kesepakatan itu sudah ada jauh lebih dulu sebelum Perlembagaan wujud. Perlembagaan Persekutuan hanyalah mengesahkan susun atur yang disepakati antara rakyat negara ini.

Ia adalah dokumen berharga dan manifestasi keharmonian rakyat. Parameter digariskan Perlembagaan Persekutuan hendaklah dihayati kerana tanpanya negara mungkin goyah.

Walau apapun idea atau perjuangan ingin dibawa Perdana Menteri hendaklah memastikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri tidak terhakis.

Tidak dapat dinafikan ada perbezaan antara rakyat negara ini, tetapi perbezaan itu hendaklah dilihat daripada aspek positif iaitu menjadi kekuatan kepada pembinaan negara dan bukan kelemahan.

Kita hendaklah bersatu dalam perbezaan itu. Adalah mustahil kita bersatu tanpa sebarang perbezaan.

Masyarakat majoriti tidak boleh menindas minoriti manakala minoriti pula hendaklah menghormati hak majoriti apatah lagi dalam perkara yang sudah sepakat.

PGSM merayu kepada Najib supaya dalam apapun tindakan beliau, kayu pengukur yang hendak digunakan adalah Islam. Islam adalah rahmat ke seluruh alam.

Dengan piawaian Islam sudah pasti kemakmuran negara dan kedaulatan Islam akan berjalan seiring.

PGSM akan berdiri di belakang Perdana Menteri dalam setiap usaha mempertahankan Islam dan melaksanakan fungsinya sebagai badan pendesak jika ada penghakisan kedaulatan Islam kerana sebagai NGO, PGSM tidak terikat dengan mana-mana parti siasah.

PGSM mendoakan supaya Perdana Menteri memberi komitmen sepenuhnya kepada Islam dan mengajak umat Islam bersatu padu demi agama tercinta.

Jangan diulangi kesilapan terdahulu, lihatlah ke depan demi menggalas cabaran negara.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Layari www.peguamsyarie.org

Wednesday, March 11, 2009

Peguam Syarie Menulis: Mahkamah Syariah selari kehendak Perlembagaan

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Persetujuan ibu atau bapa bagi tukar agama anak bawah 18 tahun jelas ikut undang-undang

JABATAN Agama dan Mahkamah Syariah difitnah lagi. Ketua Biro Pendidikan Politik MCA, Gan Ping Sieu menempelak keputusan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan yang dikatakan membenarkan seorang bayi berusia 15 bulan, memeluk Islam.

Tindakan memeluk Islam itu dibuat secara berseorangan oleh ibu kandung bayi berkenaan Siti Zubaidah Chew Abdullah tanpa persetujuan bapa. Mahkamah Syariah Seremban juga sudah memberi hak penjagaan sementara kepada Siti Zubaidah bagi menjaga anaknya itu.

Maka pelbagai tohmahan dilontarkan kepada Jabatan Agama dan Mahkamah Syariah akibat ketidakpuasan hati mereka. Antaranya, seperti dilaporkan dalam akhbar berbahasa Inggeris tempatan dan laman web malaysiakini.com iaitu:

# Keputusan berkenaan adalah suatu penghinaan kepada mana-mana sistem keadilan;

# Mahkamah Syariah mengambil kesempatan atas masalah yang melanda pasangan dan keluarga itu, dan

# Hak penjagaan anak mesti diputuskan oleh Mahkamah Sivil kerana anak itu lahir daripada perkahwinan sivil dan Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.

Malah, MCA menyifatkan keputusan menukar agama kanak-kanak bukan Islam berusia 15 bulan sebagai 'keghairahan agama berlebihan' dan 'salah guna sewenang-wenangnya' tafsiran Perlembagaan Persekutuan.

Gan juga menyatakan kekecewaan dengan tindakan mengambil kesempatan melalui proses perundangan syariah sehingga menjejaskan pasangannya dan anggota keluarga suami.

Tuduhan sebegini amat keterlaluan yang muncul daripada kejahilan mereka sendiri berkaitan Perlembagaan Persekutuan daripada sudut penafsiran, kerangka dan sejarahnya. Malah, ia juga meminggirkan keputusan Mahkamah Sivil sendiri.

Kenyataan Gan menyinggung perasaan orang Islam. Gan juga gagal memahami dwi sistem perundangan yang diamalkan di negara kita.

Perkara 12 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: "Tiada seorangpun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri."

Perkara 12 (4) pula menegaskan: "Bagi maksud Fasal (3), agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya."

Jelas peruntukan yang disebut itu membenarkan salah seorang ibu atau bapa menukar agama anaknya. Perlembagaan Persekutuan yang juga undang-undang tertinggi memperuntukkan sedemikian.

Jika kita menjunjung Perlembagaan itu sudah tentu kita mengakui hakikat keputusan Mahkamah Syariah adalah selari dengan kehendak Perlembagaan.

Sebenarnya ada beberapa kes Mahkamah Sivil iaitu Chang Ah Mee dan Gengga Devi Chelliah yang memutuskan bahawa persetujuan kedua ibu bapa diperlukan untuk menukar agama anak di bawah 18 tahun.

Namun, Mahkamah Tinggi Johor Bahru dalam kes Nenduchelian memutuskan hanya kebenaran salah seorang ibu bapa saja diperlukan. Dalam hal demikian ada perbezaan keputusan antara mahkamah berkenaan.

Namun, perbezaan keputusan sudah diselesaikan oleh keputusan mahkamah tertinggi negara iaitu Mahkamah Persekutuan. Ini kerana, baru-baru ini Mahkamah Persekutuan memutuskan dalam kes Subahsini dan Saravanan bahawa salah seorang ibu bapa boleh menukar agama anak kecilnya itu.

Oleh demikian, kedudukan undang-undang ini sudah pun diselesaikan dan mahkamah bawahan tidak mempunyai pilihan lain selain mengikuti keputusan itu.

Jika Gan tidak menerima keputusan Mahkamah Syariah kenapa pula keputusan Mahkamah Sivil ini tidak diperlekehkan? Adakah Gan mempunyai agenda tertentu dalam komentarnya itu?

Tidak timbul soal mengambil kesempatan dalam sebarang situasi. Sebenarnya Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan tidak bertanding antara keduanya.

Masing-masing mempunyai bidang kuasa tertentu dan tidak melangkaui batasan yang digariskan itu. Hakikat ini amat dipertahankan oleh kedua-dua mahkamah namun pihak ketiga pula yang gagal mengamati hikmahnya, lantaran desakan emosi serta minda yang tertutup.

Lebih menghairankan, Gan langsung tidak menyentuh ketidakadilan yang berlaku kepada mualaf dalam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Apa yang ingin digambarkan oleh Gan ialah akta itu adalah akta terbaik yang tiada cacat celanya dan adil kepada semua pihak.

Penulis mengambil contoh seksyen 51 akta berkenaan hanya memberi kuasa kepada pihak yang tidak memeluk Islam saja memohon membubarkan perkahwinan mereka. Bagi mualaf yang memeluk Islam, hak mereka langsung tidak diberikan untuk membubarkan perkahwinan itu.

Mereka langsung tidak mempunyai pilihan di Mahkamah Sivil, sebaliknya terpaksa menunggu pasangan yang tidak memeluk Islam memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di Mahkamah Sivil barulah boleh memohon sesuatu di mahkamah sedangkan keIslaman mereka sudah diiktiraf dan dijamin Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 11 menganut dan mengamalkan agamanya.

Oleh itu, mereka tidak mempunyai pilihan selain menoleh ke Mahkamah Syariah untuk memutuskan kedudukan mereka di sisi hukum syarak. Tatkala berbuat demikian, mereka diterjah pelbagai tohmahan mengatakan mereka melakukan penindasan dan sebagainya.

Sebenarnya, mualaf inilah yang ditindas oleh Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 itu. Mengapa Gan langsung tidak menyentuh hal demikian dan tidak menyarankan supaya seksyen 51 itu dipinda? Ini persoalan besar yang harus dijawab oleh Gan.

Memanglah diakui mencari jalan penyelesaian yang memuaskan hati semua orang adalah amat sukar. Oleh itu, kita mesti berbalik kepada asas dan kerangka perlembagaan itu sendiri. Malah, keputusan Mahkamah Sivil juga memihak kepada Mahkamah Syariah. Ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan dan terimalah hakikat itu.

Mahkamah Syariah memutuskan pertikaian berdasarkan kepada nas agama. Amat keterlaluan jika dikatakan Mahkamah Syariah terlalu ghairah dalam agama. Agama adalah tunjang Mahkamah Syariah dan tiada istilah ghairah dalam perjalanan prosiding Mahkamah Syariah.

Segala-galanya sudah ditunjukkan oleh agama. Oleh demikian, orang bukan Islam perlu lebih sensitif dan memahami perasaan orang Islam. Orang Islam tidak memaksa orang bukan Islam memeluk Islam tetapi apabila seseorang itu sudah Islam adalah menjadi tanggungjawab orang Islam membantu saudara seagamanya tanpa mengira sama ada mereka dilahirkan Islam atau baru memeluk agama Islam.

Hakikatnya ialah Gan dan MCA yang sebenarnya terlalu ghairah memperlekehkan institusi Islam tanpa membuat penyelidikan mengenai kedudukan undang-undang dan perlembagaan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Wednesday, March 4, 2009

Peguam Syarie Menulis: Perlembagaan memartabat Islam

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
www.peguamsyarie.org

Syor wujud unit khas dengan pegawai kuat kuasa enakmen

PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kesal kerana sehingga kini empat negeri yang sudah diarahkan menggubal undang-undang bagi mengawal serta menyekat pengembangan iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam masih belum berbuat demikian.

Isu itu sudah berlarutan lebih dua tahun sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan negeri berkenaan iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan segera berbuat demikian.

Namun, seolah-olah tidak ada tindakan termasuk di Wilayah Persekutuan kecuali beberapa kenyataan daripada pemimpin negeri berkenaan yang menyatakan persetujuan.

Tiada penjelasan diberikan mengapa banyak masa diambil untuk menggubal undang-undang itu sehinggalah baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika menjawab soalan di Parlimen menegaskan bahawa kerajaan sudah bersedia menggubal Akta Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam.

Kenyataan tegas itu mendapat sokongan badan bukan kerajaan (NGO) Islam arus perdana dan diharapkan menteri berkenaan mengotakan janjinya itu.

Pada Ogos 2006, Perdana Menteri mengarahkan empat kerajaan negeri mengambil tindakan sesuai untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam.

Pada masa ini, semua negeri beraja seperti Perlis, Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu, selain Melaka sudah melaksanakan kuasa itu melalui enakmen negeri masing-masing. Kelantan adalah negeri paling awal berbuat demikian pada 1981 dan paling akhir ialah Johor pada 1991.

Berdasarkan laporan akhbar, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang itu dikatakan amat mengecewakan kerana hampir tiada rekod menunjukkan undang-undang berkenaan pernah dilaksanakan.

Antara kesalahan yang disebut pada undang-undang ini ialah memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut seorang Islam untuk menjadi seorang pengikut atau anggota suatu agama bukan Islam.

Turut dianggap sebagai kesalahan ialah mendedahkan seorang yang beragama Islam bawah umur 18 tahun kepada pengaruh suatu agama bukan Islam dan menghantar atau menyerahkan terbitan mengenai apa-apa agama bukan Islam kepada seorang beragama Islam.

Selain itu, apa yang lebih penting pada enakmen itu ialah untuk menjadikannya lebih berkesan daripada sudut penguatkuasaan. Kekurangan itu dapat dilihat bagaimana setakat ini bukan saja masyarakat umum kurang mengetahuinya, malah di kalangan penguat kuasa sendiri tidak begitu arif mengenainya.

Ia kerana penguat kuasa enakmen bukan penguat kuasa agama tetapi polis kerana ia membabitkan pengawalan terhadap mereka yang bukan beragama Islam. Sehubungan itu, penulis mencadangkan supaya pihak berkuasa menubuhkan unit khas dengan menempatkan pegawai dan anggota yang khusus bagi menguatkuasa enakmen itu.

Melihat perkembangan kebelakangan ini, apabila banyak isu menyentuh sensitiviti umat Islam berlaku, tentunya penguatkuasaan undang-undang itu menjadi semakin mustahak. Namun, perlu ditegaskan bukan tujuan kita untuk meminta ada sesiapa yang ditangkap mengikut enakmen ini. Cuma kita mahu enakmen ini mampu menimbulkan kegerunan yang secara langsung menjadi satu bentuk pencegahan.

Harus diingat enakmen ini mempunyai asas rapat dengan Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 11 (4) yang membenarkan undang-undang digubal bagi mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam.

Pada perkembangan sama, penulis menyarankan negeri lain supaya mencontohi Kelantan yang sudah meningkatkan hukuman dalam enakmen berkenaan. Pindaan dibuat pada 1998 membolehkan Kelantan mengenakan hukuman denda tertinggi dan penjara paling lama berbanding negeri lain.

Melihat senario politik masa kini, Rang Undang-Undang itu mungkin melalui jalan mudah jika dibentangkan di Parlimen kerana ia akan dibentangkan kerajaan sendiri, manakala wakil rakyat Pas diharapkan tidak akan menentang Rang Undang-Undang berkenaan.

Wakil rakyat PKR pula yang sebahagiannya juga adalah orang Islam termasuk Zulkifli Noordin yang bertanyakan secara khusus berkaitan akta ini sudah tentu tidak akan menyanggahnya. Cuma tinggal wakil rakyat DAP yang mungkin tidak dapat menerima hakikat itu.

Apapun, di kebanyakan negeri, adalah menjadi kesalahan menyebarkan agama bukan Islam di kalangan orang Islam termasuk mengguna kalimah tertentu seperti Allah, Baitullah, Kaabah, solat dan lain-lain lagi.

Negara baru-baru ini digemparkan dengan perintah dikeluarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang membenarkan penggunaan kalimah itu dengan syarat tertentu. Namun selepas didesak, menteri berkenaan meneliti semula dan mendapati terdapat kesilapan dalam pewartaan perintah itu.

Umat Islam arus perdana menarik nafas lega dengan keputusan menteri berkenaan dan mengingatkan supaya lebih berhati-hati apabila membuat keputusan mengenai Islam.

Penulis mendesak supaya tindakan segera diambil kepada sesiapa saja yang melanggar undang-undang kawalan pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam. Tidak perlu ditunggu sehingga keputusan kes kalimah Allah diputuskan oleh mahkamah kerana sudah wujud kesalahan berkaitan perkara itu.

Menteri Dalam Negeri sepatutnya mengambil langkah proaktif membaiki kesilapannya dengan mengarahkan pelaksanaan undang-undang kawalan penyebaran agama bukan Islam itu dimantapkan dan dilaksanakan dengan berkesan.

Selesai isu pewartaan Menteri Dalam Negeri, timbul pula laporan yang memetik Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menyarankan supaya orang bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Jika benar seperti apa yang dilaporkan, kenyataan itu sebenarnya terkeliru antara nas al-Quran dan realiti perundangan negara. Ia juga nampaknya tidak mengambil kira faktor maslahah dan tujuan kenapa orang bukan Islam begitu beriya-iya ingin menggunakan kalimah itu.

Malah, mereka tidak akan berhenti menggunakan kalimah Allah saja, mereka sudah pun meminta menggunakan perkataan lain seperti Baitullah, Kaabah dan solat. Kenyataan itu juga tidak bersandarkan kepada sejarah bahawa Kelantan antara negeri yang awal menggubal Enakmen Kawalan Agama melarang penggunaan perkataan Allah di kalangan orang bukan Islam.

Apatah lagi pada 2007, Dewan Undangan Negeri Kelantan di bawah pimpinan Menteri Besar sendiri meluluskan Rang Undang-Undang meningkatkan hukuman dalam enakmen sama. Bagaimana pula sekarang Menteri Besar menyokong orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah?

Kedudukan Islam mestilah dipelihara. Islam bukan hanya simbol negara malah adalah agama bagi negara. Sudah tentu sebagai agama bagi negara, Islam menikmati kedudukan istimewa berbanding agama lain tetapi pada masa sama tidak memaksa orang bukan Islam menganut Islam.

Tiada sekatan bagi penganut agama lain menganut dan mengamalkan agamanya dengan aman dan harmoni. Namun, penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam tidak boleh dilakukan kerana kerangka Perlembagaan Persekutuan memperincikan perkara sedemikian. Inilah hakikat yang perlu diterima setiap rakyat yang menjunjung Perlembagaan.

Malah, sumpah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan timbalan baginda juga adalah mempertahan dan memelihara Islam pada setiap masa. Adalah tidak masuk akal Ketua Negara berikrar mempertahan dan memelihara Islam pada setiap masa sedangkan kerajaan baginda tidak patuh kepada ikrar itu.

Sudah sampai masanya kita melihat semula kerangka Perlembagaan Persekutuan daripada lensa berbeza supaya Islam itu dapat dimartabatkan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari www.peguamsyarie.org

Wednesday, February 25, 2009

Peguam Syarie Menulis: Penggubalan undang-undang keluarga wajar dipercepat

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
www.peguamsyarie.org


MAHKAMAH Syariah perlu diberi nafas baru supaya lebih �mesra pelanggan� serta hakim dan peguam syarie diberi garis panduan khusus mengenai beberapa isu penting.


Cadangan pindaan beberapa isu perlu diperhalusi, pelaksanaan diseragamkan setiap negeri

PERJUANGAN ke arah kesamarataan antara lelaki dan wanita berkumandang lagi baru-baru ini.

Masih belum luput daripada fikiran kita beberapa tahun lalu kekeliruan dibangkitkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita apabila Rang Undang-Undang Keluarga Islam Pindaan 2006 diluluskan oleh Parlimen.

Dikatakan undang-undang itu menindas wanita. Lantaran desakan NGO wanita itu maka kerajaan mengambil keputusan menangguhkan pelaksanaan undang-undang dibentangkan dan diluluskan Parlimen.

Keputusan itu mendapat bantahan ramai termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). PGSM berpandangan kerajaan hendaklah melaksanakan undang-undang diluluskan itu dan kemudian boleh dikaji semula atau dipinda jika perlu. Jika ditangguhkan akan ada suatu tempoh yang lama bagi pindaan berikutnya.

Sanggahan PGSM terbukti benar kerana sehingga kini undang-undang berkenaan masih belum dimuktamadkan lagi walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri sudah berjanji untuk mengkaji semula dan melantik pakar bagi penambahbaikan undang-undang itu.

Kajian itu diselia Peguam Negara sendiri. Perdana Menteri mengarahkan perkara itu hendaklah diselesaikan segera. Difahamkan beberapa mesyuarat diadakan dan cadangan menyeluruh sudah digarap bagi penambahbaikan berkenaan.

Semua cadangan penambahbaikan sudah disiapkan jawatankuasa itu. Banyak cadangan baik diutarakan dan disepakati. Hal demikian sudah selesai beberapa tahun lalu, tetapi sehingga kini hasil perbincangan panjang lebar itu masih belum direalisasikan.

Sehingga hari ini selepas hampir tiga tahun berlalu, Rang Undang-Undang Keluarga yang dipinda masih belum dibawa ke Parlimen walaupun jawatankuasa pakar sudah menyiapkannya lebih setahun lalu. Di mana silapnya? Adakah kajian dilakukan masih belum lengkap lagi?

Nampaknya kerajaan tidak menyedari pentingnya undang-undang itu. Undang-Undang Keluarga adalah undang-undang yang perlu disegerakan kerana hal-ehwal kekeluargaan biasanya amat sensitif dan perlu ditangani segera.

Sebenarnya rang undang-undang pindaan yang dibentangkan pada tahun 2006 itu adalah undang-undang seragam yang sudah dipersetujui Majlis Raja-Raja pada mesyuarat Duli-Duli Yang Mulia Raja-Raja Melayu.

Malangnya, Wilayah Persekutuan yang mencadangkan rang undang-undang itu terkebelakang dalam melaksanakannya. Negeri seperti Terengganu, Kelantan dan Selangor sudah pun meluluskan undang-undang itu sejak 2002.

Pada masa ini kebanyakan negeri sudah melulus dan melaksanakan undang-undang keluarga ini. Itulah sebabnya sejak kebelakangan ini kita dapati kurang rasa tidak puas hati berkaitan perbezaan undang-undang keluarga Islam antara negeri di Malaysia.

Rang undang-undang itu sudah dikaji jawatankuasa pakar undang-undang Islam iaitu Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Sivil/Hukum Syarak yang ditubuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Jawatankuasa itu terdiri daripada pakar undang-undang dan syariah termasuk wakil NGO wanita.

PGSM mendesak supaya undang-undang yang sudah ditambah baik itu segera dibentangkan di Parlimen untuk dilaksanakan secepat mungkin. Oleh kerana menurut Perlembagaan Persekutuan agama adalah di bawah bidang kuasa negeri, Dewan Undangan Negeri juga perlu meluluskan undang-undang sama supaya segala pindaan dapat diseragamkan dan tiada lagi keresahan undang-undang berbeza antara negeri.

Beberapa isu penting dibincangkan dalam cadangan pindaan berkaitan poligami, nafkah, pembubaran perkahwinan dan harta sepencarian, penting untuk diperhalusi supaya tidak akan ada lagi cemuhan mengatakan undang-undang Islam menindas wanita.

Walaupun hakikat sebenarnya undang-undang Islam tidak pernah mendiskriminasi mana-mana golongan, akibat ketidakfahaman falsafah undang-undang dan perundangan Islam, tanggapan negatif terhadap undang-undang Islam sudah berputik.

Ada pelbagai hak diberikan kepada golongan wanita dalam rang undang-undang itu, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hak wanita jauh lebih banyak diperincikan dalam undang-undang berkenaan berbanding hak lelaki.

Melihat perkembangan semasa, beberapa isu baru juga perlu diberi perhatian. Undang-undang substantif yang baik saja tidak mencukupi kerana di mahkamah, pihak terikat dengan tatacara dan kaedah pembuktian.

Dalam hal demikian, undang-undang tatacara Mahkamah Syariah juga perlu diberi nafas baru supaya lebih 'mesra pelanggan', tidak terlalu formal dan membebankan serta dapat menghasilkan keadilan dengan kadar lebih segera.

Undang-undang keterangan yang memberi garis panduan berhubung pembuktian dan sebagainya juga perlu dipinda bagi menyesuaikan dengan kehendak moden di samping tidak mengetepikan hukum syarak.

Beberapa isu baru seperti ujian DNA, sistem pesanan ringkas, video, keterangan pakar dan sebagainya boleh dimasukkan dalam undang-undang keterangan bagi memastikan ia boleh diterima di Mahkamah Syariah.

Ketiadaan peruntukan berkaitan menyukarkan pembuktian di Mahkamah Syariah pada masa ini. Malah tiada garis panduan khusus berhubung perkara itu bagi menjadi pedoman kepada hakim dan peguam syarie.

Ada banyak lagi perkara perlu diberi penekanan bagi memastikan pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah mendapat keadilan dengan kadar segera. Apa menyedihkan ialah apabila Mahkamah Syariah dikatakan lewat atau gagal menjalankan perbicaraan adil, keseluruhan kesalahan itu dibebankan kepada Mahkamah Syariah.

Tanpa menyelidiki latar belakang dan fakta sebenar, sering kali Mahkamah Syariah dijadikan bahan cemuhan pelbagai pihak. Mahkamah Syariah hanyalah pelaksana. Apa dilaksanakan adalah apa yang sudah diperuntukkan oleh undang-undang. Jika undang-undang tidak memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah, maka tiadalah kuasa itu.

Jika pun diberi kuasa, beberapa kekangan dihadapi Mahkamah Syariah seperti kekurangan kakitangan, peruntukan dan bangunan masih lagi menghambat Mahkamah Syariah daripada melaksanakan keadilan.

Namun, dalam kekangan itu, Mahkamah Syariah dapat mengekalkan wibawa mereka dengan cemerlang.

Berbalik kepada undang-undang pindaan di atas, sekali lagi PGSM mendesak kerajaan supaya mempercepatkan penggubalan Rang Undang-Undang Keluarga Islam itu. Sudah terlalu lama undang-undang itu dibincangkan dan sepatutnya ia sudah dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan.

Dewan Undangan Negeri di beberapa negeri juga perlu meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam masing-masing bagi menyeragamkannya dengan pindaan terbaru ini.

Selepas daripada itu beberapa undang-undang lain pula perlu juga dipinda seperti Undang-Undang Tatacara Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah. Dengan cara ini mahkamah syariah akan dapat menghasilkan keputusan yang adil dalam kadar segera.

Moga segala cemuhan terhadap Mahkamah Syariah akan menjadi sejarah. PGSM mendesak agar Perdana Menteri dapat memastikan Rang Undang-Undang Keluarga Islam yang sudah ditambah baik ini dapat dibentang di Parlimen sebelum beliau mengundur diri sebagaimana dijanjikan.

Dalam menjadikan syariah asas keadilan dan meletakkan hak kepada yang berhak, langkah segera perlulah diambil bagi memberi keadilan kepada semua pihak yang bertikai di mahkamah syariah tanpa mengira gender, ras dan bangsa.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari laman web www.peguamsyarie.org

Intipati

# Undang-Undang Keluarga adalah undang-undang yang perlu disegerakan kerana hal-ehwal kekeluargaan biasanya amat sensitif dan perlu ditangani segera.

# Beberapa isu penting dibincangkan dalam cadangan pindaan berkaitan poligami, nafkah, pembubaran perkahwinan dan harta sepencarian, penting untuk diperhalusi supaya tidak akan ada lagi cemuhan mengatakan undang-undang Islam menindas wanita.

# Undang-undang keterangan yang memberi garis panduan berhubung pembuktian dan sebagainya juga perlu dipinda bagi menyesuaikan dengan kehendak moden di samping tidak mengetepikan hukum syarak.

# Tiada garis panduan khusus berhubung isu baru seperti ujian DNA, sistem pesanan ringkas, video, keterangan pakar dan sebagainya bagi menjadi pedoman kepada hakim dan peguam syarie.

# Undang-Undang Tatacara Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah perlu dipinda supaya menghasilkan keputusan lebih adil.

Wednesday, November 5, 2008

Peguam Syarie Menulis: Menguatkuasa undang-undang penjualan minuman keras lebih ketat

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Masyarakat Islam perlu diberi kesedaran mengenai kesalahan jenayah syariah

SETIAP hari kita akan membaca di akhbar mendapati banyak permohonan mendapatkan permit menjual minuman memabukkan di negara kita. Peraturan yang berkuatkuasa sekarang mengkehendaki orang yang berhasrat menjual minuman memabukkan hendaklah mendapat permit atau lesen terlebih dulu.

Pemohon juga perlu mengiklankan hasratnya bagi mengetahui sama ada wujud bantahan oleh orang ramai atau sebaliknya. Tujuan peraturan itu memang baik bagi mengawal, memantau dan menyelia penjualan minuman memabukkan secara berleluasa sejajar kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Namun hakikatnya, masih banyak kedai yang menjual minuman memabukkan secara terbuka. Malah ia mudah diperoleh walaupun oleh orang beragama Islam. Natijahnya, objektif peraturan yang disebut di atas tidak kesampaian.

Penjualan minuman memabukkan yang berleluasa ini mendatangkan keresahan di kalangan orang Islam khususnya apabila premis menjual arak itu terlalu hampir dengan kawasan perumahan yang majoritinya didiami orang Islam atau di premis yang dibuka 24 jam sehari, memungkinkan orang Islam membelinya tatkala tiada ramai pengunjung kedai itu.

Malah kegusaran itu ditambah lagi apabila kita mendapati minuman memabukkan itu diletakkan sebaris dengan minuman lain. Seolah-olah sensitiviti umat Islam langsung tidak diambil kira dalam hal ini kerana pekedai hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Penulis banyak menerima rungutan berhubung perkara itu dan ada yang begitu kesal kerana kadang-kadang secara tidak sengaja menyentuh barangan diharamkan agama. Bukan itu saja, sebahagian permit yang diberikan juga menganjurkan perlakuan jenayah di sisi undang-undang.

Umpamanya seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 memperuntukkan: 18(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 18 (2) pula memperuntukkan: Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ini bermakna bukan saja meminum memabukkan seperti arak adalah salah di sisi undang-undang, malah orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan juga melakukan jenayah menurut enakmen sama. Malah, dalam kategori kedua ini hukumannya adalah lebih berat berbanding kategori pertama.

Oleh itu, pihak berkuasa hendaklah berhati-hati dalam meluluskan lesen penjualan minuman memabukkan seperti arak dan sudah sewajarnya memberi syarat khusus bahawa kakitangan yang terbabit dalam membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan hendaklah daripada kalangan bukan Islam.

Hormatilah agama Islam seperti mana bukan Islam menagih orang Islam menghormati agama mereka. Penghormatan penting bagi menjamin keharmonian masyarakat khususnya masyarakat pelbagai bangsa, ras dan agama.

Adalah tidak adil kepada pekerja beragama Islam yang terpaksa membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan bagi pihak majikannya.

Hasilnya, pihak majikan mendapat keuntungan daripada jualan minuman memabukkan itu manakala pekerja yang terpaksa menjual pula menanggung risiko melakukan jenayah di sisi Enakmen Jenayah Syariah.

Sudah tentulah ia tidak adil dan memudaratkan umat Islam secara keseluruhannya. Apatah lagi jika majikan itu bukan Islam, mereka menikmati imuniti daripada Enakmen Jenayah Syariah.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyarankan jika lesen penjualan minuman memabukkan diberikan, pihak berwajib perlu mengawal bilangan lesen diberikan di sesuatu tempat, memastikan syarat majikan tidak boleh memaksa, mengarah pekerja Islam mengendalikan penjualan arak sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam.

PGSM sedar saranan ini sudah tentu akan menimbulkan pelbagai reaksi sama ada di kalangan orang Islam dan bukan Islam, tetapi inilah hakikat yang perlu diutarakan dan diinsafi setiap rakyat.

Sudah tentu ada yang menyatakan syarat disyorkan hanya akan menyebabkan orang Islam menjadi pilihan terakhir sebagai pekerja dan meningkatkan kadar pengangguran di kalangan orang Islam. Bagi menjawab persoalan ini, sebenarnya kita perlu menimbang neraca manakah yang ingin digunakan bagi mencapai sesuatu kesimpulan. Adakah lebih baik menggadai agama demi mendapat rezeki yang sudah tentu tidak diberkati Allah.

Malah sektor pekerjaan di negara ini sebenarnya masih terbuka luas bagi mencari rezeki yang halal dan diberkati. Hanya terpulang kepada diri kita sendiri untuk merebut peluang. Ini terbukti kerana ada ramai pendatang asing yang datang ke negara kita mencari rezeki melalui saluran dibenarkan undang-undang atau sebaliknya.

Jika di negara kita kurang pekerjaan, sudah tentu mereka tidak berpusu-pusu datang ke Malaysia mencari rezeki. Cuma, mungkin orang Islam terlalu memilih sektor pekerjaan yang mementingkan imej dan kesenangan kerja.

Ia sebenarnya tidak selaras dengan kehendak hukum syarak yang menganjurkan kita berusaha sedaya upaya mencari rezeki. Penulis teringat hadis diriwayatkan apabila Rasulullah melihat tangan seorang sahabat yang bengkak.

Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat itu kenapa tangannya bengkak. Lalu sahabat tadi menjawab: "Wahai Rasulullah, tangan inilah yang memberi makan isteri dan anak-anakku. Lantaran Rasulullah SAW membalas: Tangan itu tidak akan dibakar oleh api neraka."

Ini bermakna walaupun sesuatu pekerjaan sukar dan boleh mendatangkan ketidakselesaan, demi mencari rezeki bagi menyara keluarga, pekerjaan itu sebenarnya mulia di sisi agama.

Berbalik kepada penjualan minuman memabukkan, sudah sampai masanya bagi pekerja Islam diberi penghormatan sewajarnya untuk mengamalkan agamanya dengan tidak dipaksa menjual arak, memberi pilihan kepada pekerja Islam memakai pakaian menutup aurat, memberi peluang pekerja Islam menunaikan solat tanpa didenda atau sebagainya dan tidak dipaksa memegang benda diharamkan.

Sebenarnya ini kebebasan mengamalkan agama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

PGSM juga meminta pihak berkuasa agama di negeri yang menguatkuasakan seksyen 18 itu dengan ketat. Ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat Islam mengenai kesalahan seperti dinyatakan di atas.

Mungkin ramai di kalangan umat Islam termasuk pihak penguatkuasa, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan sendiri yang tidak menyedari kewujudan peruntukan itu. Sudah tiba masanya untuk bergerak melaksanakan peruntukan yang sudah lama wujud ini.

Masyarakat Islam perlu tahu hak dan tanggungjawab sebagai orang Islam. Bukanlah tujuan kita untuk memporak perandakan masyarakat tetapi hanyalah sekadar menjunjung Perlembagaan Persekutuan yang mengabsahkan kedudukan tinggi undang-undang dan agama Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Layari lama web www.peguamsyarie.org