Showing posts with label (B) Penulis Khas YaPEIM. Show all posts
Showing posts with label (B) Penulis Khas YaPEIM. Show all posts

Wednesday, January 6, 2010

Bersama YaPEIM: Memupuk nilai budaya korporat Melayu-Islam

Oleh Penulis Khas YaPEIM


PEMIMPIN korporat Muslim sebagai pembina budaya seharusnya menerapkan nilai Islam yang berhubungan dengan etika kerja, moral, nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial yang terkandung dalam fiqh muamalat. - Gambar hiasan

Pengurusan kanan perlu utama tanggungjawab sosial

BUDAYA korporat bermaksud nilai yang dibudayakan dalam konteks suatu perusahaan. Nilai yang disepakati dan dihayati bersama itulah menjadi teras budaya korporat, lalu melahirkan sikap dan perilaku unik serta tersendiri, berbeza daripada korporat lain terutama yang menjadi saingan.

Nilai itu terus dipertahankan dan diwariskan daripada generasi ke generasi kerana nilai budaya itu dianggap faktor penting kecemerlangan prestasi korporat. Memang kecemerlangan sering kali dihubung kait gandingan antara budaya dengan strategi.

Walaupun budaya dengan pelbagai aspeknya sudah lama dibicarakan, kira-kira dua dekad lalu sarjana mula memahami dan mengambil kira pengaruh budaya terhadap perilaku, semangat dan produktiviti kerja. Sejak itu, mereka mula memberi perhatian bagaimana memanfaatkan unsur budaya untuk menjadikan kerja sebagai yang menyenangkan, menambah penghasilan, memenuhi keperluan pengguna dan menghadapi cabaran persaingan.


Dalam kaitan ini, Jepun selalu dirujuk sebagai bangsa berjaya menyerap nilai budayanya dalam organisasi perdagangan mereka dan menghasilkan generasi korporat yang menguasai perindustrian perdagangan antarabangsa.


Memang tidak semua unsur budaya korporat Jepun sesuai dengan budaya kita. Seperti kita tahu, sebahagian budaya korporat Jepun berakar pada ajaran Zen Buddhism dan Shogun Tokugawa. Sudah tentu unsur sedemikian tidak mungkin dapat diserapkan dalam budaya korporat kita.

Dari satu segi, kita memang perlu bersikap terbuka dan bersedia menerima unsur budaya luar bermanfaat dan sesuai dengan budaya kita. Sikap terbuka sedemikian diperlihatkan Rasulullah SAW ketika menerima saranan Salman al-Farisi supaya menggali parit di sekeliling Madinah sebagai strategi pertahanan menghadapi serangan Quraisy dalam Perang Khandak.

Menggali parit sebagai strategi perang satu unsur yang dipinjam dari Parsi, pinjaman seperti itu memang tidak ada salahnya.

Peminjaman unsur budaya asing tidak harus mengambil alih nilai budaya tempatan sebenarnya lebih berpotensi. Sesuatu unsur budaya yang membawa kejayaan sesebuah negara tidak semestinya membawa hasil sama jika dipindahkan dalam persekitaran budaya berlainan.

Sebenarnya ajaran Islam memang cukup kaya dengan nilai dinamik. Andainya nilai yang memang sudah membudaya itu dapat disalurkan dan diserapkan ke dalam budaya korporat kita, nanti akan terhasil suatu model budaya korporat Melayu-Muslim yang sihat, unik dan dinamik.

Dalam hubungan ini pemimpin korporat sebagai pembina budaya seharusnya mampu menggilap dan menyegarkan nilai Islam yang berhubungan dengan etika kerja, moral, nilai kemanusiaan, semangat musyawarah dan gotong-royong, kesetiaan dan kepemimpinan, tanggungjawab sosial yang terkandung dalam fiqh muamalat.

Dalam budaya korporat Islam, kita akan menemukan ciri unik seperti menyenangi pekerjaan kerana kerja mencari nafkah yang halal adalah suatu jihad, sikap berdisiplin yang lahir daripada kewaspadaan batin dan kesedaran mengenai dosa dan pahala, ganjaran dan hukuman duniawi-ukhrawi, juga semangat persaudaraan serta hubungan kasih sayang kemanusiaan yang jujur.

Budaya korporat Islam tidak berorientasi keuntungan atau mencari keuntungan semata-mata. Memang semua korporat perlu mencari keuntungan untuk syarikat, tetapi mereka juga mempunyai tanggungjawab sosial yang harus ditunai.

Yang dimaksudkan tanggungjawab sosial korporat bukan hanya menyediakan barang, perkhidmatan atau dividen, tetapi meliputi masalah kemanusiaan lain tanpa terikat dengan kepentingan ekonomi.

Keghairahan untuk mengaut keuntungan sebanyak mungkin, sering mendorong pelbagai tingkah tidak beretika oleh korporat. Yang penting tidak menyalahi undang-undang. Dengan ungkapan lain buat apa saja asalkan tidak menyalahi undang-undang walaupun tidak beretika.

Budaya korporat berorientasikan Islam tidak hanya memperhatikan aspek undang-undang, tetapi juga etikanya.

Yang diharapkan masyarakat korporat bukan sekadar tidak menyalahi undang-undang, tetapi memenuhi ukuran moral dan etika masyarakat.

Wednesday, December 30, 2009

Tsunami buka mata masyarakat antarabangsa hulur bantuan di Aceh

Oleh Penulis Khas YaPEIM

PADA 26 Disember lalu - Genap lima tahun tragedi tsunami melanda wilayah pesisir pantai di sekitar Aceh, Indonesia, Sri Lanka, Phuket, Thailand sehingga ke utara tanah air. Sejarah hitam itu meragut lebih 250,000 nyawa dan mengakibatkan 100,000 anak-anak kehilangan ibu atau bapa atau kedua-dua sekali.

Sebagai negara yang berhampiran pusat gempa tsunami iaitu di Laut Andaman berdekatan Aceh, Malaysia hanya menerima tempias daripada fenomena ombak besar dan ganas itu, sewajarnya kita bersyukur kerana Aceh telah menjadi penampan' kepada bahana yang terhasil oleh ledakan gempa melebihi 9 skala Ritcher.

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersama-sama masyarakat antarabangsa menghulurkan bantuan dengan menubuhkan Yayasan Pembangunan Anak Yatim Antarabangsa (IODEF) di Aceh dan mewujudkan sebuah Pusat Kecemerlangan Anak Yatim/Miskin (Musibah Tsunami) bertempat di Nombor 10, Lamteumen Timur, Banda Aceh.

Program yang dilaksanakan termasuk jangka pendek dan panjang. Program jangka pendek iaitu pemulihan psikologi pasca tsunami, kaunseling individu, motivasi dan kerohanian, aktiviti kesukanan dan permainan, aktiviti kesenian dan kemahiran membabitkan anak yatim dan miskin IODEF berjumlah 1,000 kanak-kanak setahun.

Program jangka panjang, mengadakan Kelas Pengajian Komputer, Kelas Pengajian Al-Quran dan Kelas Pengajian Bahasa Inggeris membabitkan anak yatim dan miskin IODEF serta di sekitar pusat kecemerlangan IODEF membabitkan 200 pelajar setahun.

Turut dilaksanakan ialah program sokongan dan pemantauan anak yatim kelolaan IODEF secara langsung iaitu peringkat prasekolah, sekolah rendah dan desa dan peringkat menengah seramai 150 orang.

Program Celik Ilmu dengan pengwujudan Pusat Sumber yang menyediakan kemudahan perpustakaan mini-bahan bacaan umum dan akademik pelbagai peringkat.

Rancangan Membangun Program Keusahawanan dilaksanakan dengan kerjasama GiatMara dan pesantren (sekolah agama) terpilih. GiatMara menyediakan kemudahan tenaga pengajar dan modul latihan untuk tempoh tiga tahun manakala YaPEIM menerusi institusi yang diasaskan di Malaysia Yayasan Pembangunan Anak Yatim / Miskin (Pemangkin) menyediakan kemudahan infrastruktur peralatan dan bahan.

Projek pertama akan dimulakan di Pesantren Al-Falah Abu Lam U pada awal tahun 2010. Pihak GiatMara mengenal pasti tenaga pengajar dan akan bertolak ke Aceh pada Januari 2010 untuk kerja awalan seperti urusan persiapan peralatan, prasarana dan infrastruktur bengkel. Program ini dijangka memberi manfaat kepada 600 pelajar dalam tempoh tiga tahun.

YaPEIM turut diberikan kepercayaan Kerajaan Aceh apabila dilantik sebagai koordinator dalam membantu kelancaran proses penanaman modal swasta asing luar negara yang berminat membuat pelaburan di Aceh.

YaPEIM menerusi Pemangkin membentuk Jawatankuasa Penasihat Ekonomi Malaysia-YaPEIM' (TCY). TCY membantu pemerintah Aceh menubuhkan Lembaga Pembangunan Ladang Aceh (APDA), sebuah institusi yang menjadikan Felda sebagai model untuk membangunkan tanah ladang kelapa sawit seluas 50,000 hektar di Aceh.

TCY sedang meneroka dan mengenal pasti rakan kongsi serta pelabur yang bersesuaian dalam usaha menjayakan projek berkenaan dengan objektif utama untuk menjadikannya sumber utama bagi membiayai program pembangunan anak yatim miskin mangsa musibah tsunami.

Wednesday, December 23, 2009

Infak jamin kebajikan golongan daif, jana ekonomi umat Islam

Oleh Penulis Khas YaPEIM

MENGELUARKAN sumbangan atau infak untuk kebajikan sebenarnya mempunyai kedudukan penting dalam sistem ekonomi Islam. Istilah infak ini termasuk zakat, sedekah dan segala perbelanjaan untuk kebajikan merangkumi sedekah jariah dan wakaf.

Amal jariah yang dipopularkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang diperkenalkan semula pada pertengahan tahun 1980-an turut menggabungkan dua ibadat iaitu amal soleh dan sedekah jariah.

Dalam konteks Islam, keupayaan melaksanakan ibadat yang dianjurkan ini mempunyai kaitan jelas dengan tahap keimanan kepada Allah. Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, "Kitab al-Quran itu tiada padanya sebarang keraguan. Ia memberi hidayah kepada orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang dikurniakan kepada mereka." (al-Baqarah: 2-3)

Dalam konteks kita melakukan amal kebajikan, konsep kebaktian wajar menjadi panduan dan rujukan. Kebajikan bukan saja merujuk kepada hala tuju sewaktu melakukan ibadat semata, tetapi kebajikan atau kebaktian sebenar ialah keseimbangan hubungan langsung dengan Allah dan terhadap sesama makhluk khususnya manusia.

Allah SWT berfirman, "Kebaktian itu bukan hanya menghalakan mukamu ke arah timur atau barat, tetapi kebaktian ialah mereka yang beriman kepada Allah, hari Akhirat, malaikat, kitab, nabi dan memberi harta yang disayanginya kepada kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin, orang yang terlantar di dalam perjalanan, orang meminta bantuan, membebaskan hamba abdi, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan janji apabila mereka berjanji. Merekalah orang yang benar berbakti dan merekalah orang yang benar-benar bertakwa." (Al-Baqarah: 177)

Jelas ia menunjukkan kepada kita bahawa amal jariah adalah bahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada maksud kebajikan atau kebaktian. Malah, dari sudut sejarah ia menjadi sebahagian budaya hidup sejak zaman Rasulullah SAW.

Ada sahabat utama Baginda SAW yang sanggup mengeluarkan sebahagian harta kesayangan mereka, malah terdapat juga yang menginfak hampir keseluruhan harta yang dimilikinya atas asas keimanan kepada Allah SWT dan Rasulnya.

Pengalaman Abdul Rahman bin Auf umpamanya, wajar menjadi rangsangan kepada kita. Pada masa hijrahnya, semua harta kekayaan dan kesayangannya ditinggalkan di Makkah.

Bagaimanapun, berasaskan pendirian tegas dalam meneruskan kehidupannya, beliau tidak mudah menerima tawaran pemberian percuma sebahagian daripada harta kekayaan dan kesayangan saudaranya dari kumpulan Ansar, Sa'ad bin Rabi'.

Sebaliknya, apa yang diperlukan beliau ialah meminta ditunjukkan di mana pasar untuk beliau memulakan perniagaannya. Diriwayatkan, beliau pernah membiayai keperluan peperangan dengan menyediakan masing-masing 500 kuda tempur serba lengkap dan 500 ekor unta untuk membawa konvoi bekalan.

Demikianlah satu daripada contoh sahabat yang gigih dalam usahanya dan banyak sekali amal kebajikan dilakukan khususnya dalam konteks mengeluarkan harta kepada jalan Allah. Allah terus memberi kemurahan rezeki dan memberkati harta Abdul Rahman bin Auf kerana sikap dermawan.

Kita menyaksikan hingga ke abad mutakhir ini, masih terdapat mereka yang bersedia dan sanggup mengeluarkan harta pada jalan kebajikan dan manfaatnya daripada amalan ini juga adalah besar serta berpanjangan.

Kewujudan institusi pendidikan penting seperti Universiti Al-Azhar Mesir adalah contoh terpilih betapa amalan baik dan murni masih menjadi budaya kepada sebahagian daripada masyarakat Islam yang benar-benar meyakini bahawa amal jariah adalah suatu saluran menyempurnakan tanggungjawab sosial.

Di negara kita, amalan bersedekah atau beramal jariah dipraktikkan secara meluas. Terdapat banyak sekali institusi ibadat, pendidikan dan kebajikan didirikan atas asas amal jariah, walaupun peruntukan yang disediakan kerajaan adalah besar. Keadaan ini membuktikan bahawa budaya beramal jariah bukanlah sesuatu yang baru dan asing kepada masyarakat kita.

Hikmah infak adalah:

# Semangat beramal jariah ini jika digerakkan secara bersungguh-sungguh, melalui penyediaan prasarana beramal jariah secara profesional serta disokong semua lapisan masyarakat berasaskan tahap keupayaan masing-masing, boleh mewujudkan satu bentuk kekuatan yang hebat dan mampu mewujudkan sebuah dana besar yang berperanan dalam membangun sosio ekonomi masyarakat.

# Pelaksanaan program amal jariah berasaskan tafsiran luas memungkinkan kita menyelesaikan sebahagian daripada permasalahan masyarakat. Program sedemikian juga mempamerkan keindahan Islam yang sebenar, sekali gus menjadi media dakwah berkesan kepada masyarakat bukan Islam.

Wednesday, March 12, 2008

Bersama YaPEIM: Budaya nasihat lambang persaudaraan

Oleh Penulis Khas YaPEIM

Setiap individu berhak syor usul yang baik dalam konteks memberi ajaran, petunjuk

PERMINTAAN seorang pelajar supaya Imam al-Ghazali memberi nasihat dalam bentuk tulisan supaya ia dijadikan panduan hidup, diberi maklum balas dalam bukunya Ayyuha al-Walad bahawa memberi nasihat itu mudah. Namun, timbul kesulitan daripada sudut orang yang mahu menerima nasihat itu.

Kenyataan Imam al-Ghazali itu menunjukkan tradisi dan budaya nasihat menasihati antara sesama manusia sesuatu yang mudah dipraktikkan. Setiap orang berhak menasihati orang lain dalam konteks memberi ajaran, petunjuk dan pengajaran yang baik. Malah, apabila seseorang mengesyorkan atau mengusulkan sesuatu yang baik juga boleh dikira sebagai agenda nasihat menasihati.

Islam meletakkan aktiviti nasihat menasihati sebagai lambang persaudaraan dan persahabatan sejati yang ditandai dengan dasar keimanan. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara." Surah al-Hujurat, ayat 10)

Malah, Nabi SAW pernah bersabda, daripada Anas yang bermaksud bahawa kesempurnaan iman seseorang itu terletak di atas prinsip persaudaraan sejati sehingga dia boleh mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.

Sehubungan itu juga, Nabi SAW pernah mengaitkan bahawa agama itu terdiri atas nasihat seperti sabda baginda yang bermaksud: "Agama itu nasihat. Sahabat bertanya: Untuk siapa (wahai Rasulullah)? Baginda menjawab: Bagi Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan pemimpin umat Islam dan seluruh umat Islam."

Nasihat menasihati boleh berlaku dalam institusi keluarga, masyarakat dan negara. Nasihat Lukman al-Hakim kepada anaknya seperti yang dirakamkan dalam surah Luqman ayat 13-19, mengandungi mesej pendidikan yang jelas kepada kita.

Nasihat itu memperlihatkan keprihatinan ayah terhadap anaknya dalam kehidupan. Ia meliputi aspek hubungan hamba dengan Pencipta-Nya dan hubungan sesama hamba.

Nabi dan Rasul dalam misi dakwah kepada kaum mereka juga menyampaikan nasihat supaya tunduk kepada kekuasaan yang agung dan mentauhidkan Allah. Nabi Nuh umpamanya yang didakwa sebagai sesat dan menyampaikan ajaran sesat memberitahu kaumnya, baginda adalah penyampai risalah dan amanah Allah serta pemberi nasihat dalam misi dakwahnya.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya lalu dia berkata: Wahai kamuku sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain-Nya, sesungguhnya (kalau kaum tidak menyembah Allah, aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang besar (kiamat). Pemuka dari kaumnya berkata: Sesungguhnya kami memandang kamu berada dalam kesesatan yang nyata. Nuh menjawab: Hai kaumku, tidak ada padaku kesesatan sedikitpun tetapi aku adalah utusan dari Tuhan semesta alam. Aku sampaikan kepadamu amanat-amanat Tuhanku dan aku memberi nasihat kepadamu, dan aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui..." (Surah al-A`raf, ayat 59-64)

Begitu juga dengan Nabi Hud yang dituduh sebagai orang bodoh dan pendusta ketika berdakwah kepada kaumnya. Baginda menjawab bahawa baginda adalah utusan Allah yang mempunyai ciri bijak pandai, mempunyai peranan sebagai penyampai amanah Tuhan dan pemberi nasihat yang boleh dipercayai.

Ini dirakamkan oleh Allah dalam firman yang bermaksud: "Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum 'Aad saudara mereka, Hud. Dia berkata: Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya?. Pemuka yang kafir dari kaumnya berkata: Sesungguhnya kami benar-benar memandang kau dalam keadaan kurang akal dan sesungguhnya kami menganggap kamu termasuk dalam golongan orang yang berdusta. Hud berkata: Hai kaumku, tidak ada padaku kekurangan akal sedikitpun, tetapi aku adalah utusan dari Tuhan semesta alam. Aku menyampaikan amanat Tuhanku kepadamu dan aku hanyalah pemberi nasihat yang terpercaya bagimu..." (Surah al-A`raf, ayat 65-68)

Bersambung minggu depan