Showing posts with label (B) Personaliti. Show all posts
Showing posts with label (B) Personaliti. Show all posts

Thursday, March 6, 2008

Personaliti: Astro Oasis popularkan seruan Islam

Oleh Hasliza Hassan

SERUAN SUCI: Izelan berjaya membawa Astro Oasis sebagai saluran dakwah yang tidak menjemukan.

Izelan buktikan program agama sentiasa mendapat tempat di hati penonton

"HIDUP ini seperti sekotak coklat. Kita tidak akan tahu apa yang kita bakal dapat." Itu kata Tom Hanks dalam filem Forest Gump.

Lain pula bagi Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, "Program agama ibarat coklat yang asalnya daripada koko dan rasanya semua sama. Yang membezakan ialah bahan tambahan seperti kacang atau kismis dan cara pembungkusan. Coklat yang mahal, kotaknya cantik dan menarik."

Justeru, katanya, jika inginkan program agama yang dapat menarik perhatian penonton, ia perlu dipersembahkan dengan kreatif, menepati cita rasa penonton dan penting sekali, mesej disampaikan dapat menyentuh hati yang mendengarnya.

Alasan beliau, ajaran Islam yang disampaikan Rasulullah SAW kepada umatnya tidak berubah sejak dulu hingga kini. Cuma, cara penyampaian berbeza mengikut waktu serta perubahan yang dilalui manusia seperti hari ini.

"Ajaran Islam tidak berubah, tetapi penyampaian serta persembahan ilmu itu yang membezakan. Begitu juga dengan program agama yang disiarkan di televisyen, menyampaikan maklumat yang sama, tetapi melalui konsep serta pendekatan berbeza.

"Buat masa ini, program yang disiarkan melalui saluran Oasis berada di landasan yang betul berdasarkan penerimaan orang ramai. Saya bersyukur kepada Allah kerana tidak sangka Oasis mendapat sambutan memberangsangkan," katanya.

Mendekati orang kuat saluran Oasis yang ditemui di pejabatnya di Wisma Penyayang, Sri Kembangan, kesimpulan boleh dibuat ialah beliau suka dengan tugas yang dilakukan daripada nada suaranya yang begitu bersemangat apabila bercerita mengenai program dihidangkan kepada penonton saluran 106 Astro.

Malah, apabila ditanya mengenai pembabitan dengan saluran Oasis yang dilancarkan pada Oktober 2007, anak kelahiran Kuala Lumpur itu tidak putus memanjatkan kesyukuran kerana Allah memberi peluang kepadanya untuk melakukan kerja yang disukai dan diberkati.

Izelan berkata, walaupun sudah lama terbabit dalam dunia penerbitan, beliau berasakan ada sesuatu yang kurang hinggalah tiba satu saat apabila beliau menyampaikan hajatnya kepada Allah supaya ditetapkan dalam bidang yang memang menjadi minatnya dengan mendapat berkat daripada-Nya.

Hendak dijadikan cerita katanya, tidak berapa lama selepas itu beliau mendapat tawaran daripada Astro disampaikan Pengarah Programnya, Zainir Aminullah, mengenai hasrat melancarkan saluran baru khusus untuk program keagamaan.

"Zainir tanya saya minat tak? Saya tanya pula isteri saya. Jawapan isteri saya mudah saja, ada dua kerja yang dapat gaji di dunia dan akhirat iaitu imam dan bilal. Satu lagi, jawatan yang ditawarkan kepada saya," katanya yang akur bahawa ketentuan Allah itu kadang kala tidak disangka.

Berlatar belakang pendidikan dalam jurusan pemasaran, beliau tidak melihat itu sebagai halangan menghasilkan program keagamaan yang bagus sebaliknya pengalaman sedia ada digunakan untuk membantunya memasarkan program agama supaya menjadi sebahagian kehidupan masyarakat.

Katanya, apabila Allah membuka jalan kepadanya untuk berdakwah melalui penghasilan program keagamaan, beliau yakin usaha itu akan dipermudahkan selagi niat serta matlamatnya adalah untuk mengajak masyarakat ke arah mencari keredaan Allah.

Pada masa sama menurut Izelan, proses menghasilkan program menyebarkan Islam dalam pelbagai cara yang memerlukan daya kreativiti menjadi titik mula kepadanya serta kakitangan Oasis lain untuk belajar semula ilmu yang pernah dipelajari dulu secara lebih mendalam.

Katanya, beliau sendiri banyak belajar dan kini mula menyedari betapa mendalamnya maksud surah al-'Alaq yang menyeru manusia supaya banyak membaca yang dikuatkan dengan sabda Rasulullah SAW untuk menimba ilmu hingga ke China.

Selain itu, katanya, beliau akan memastikan apa yang disampaikan kepada penonton Oasis turut diterjemahkan setiap kakitangan melalui perbuatan kerana mereka adalah cermin yang akan membalikkan imej sebenar saluran itu.

"Saya tidak mahu nanti orang kata cakap tidak serupa bikin. Jangan cerita saja tetapi kena dalami sekali ilmu yang disampaikan. Matlamat kita mengajak masyarakat menjadi muslim sejati maka kita perlu melambangkan imej muslim dan muslimah.

"Satu perkara saya sering beritahu kepada staf Oasis, setiap program yang dihasilkan jika terdetik di hati penonton rasa insaf, semua mendapat ganjaran pahala daripada Allah. Malah, mereka juga digalakkan berpuasa setiap Isnin dan Khamis selain sentiasa diingatkan menjaga solat," katanya.

Beliau berkata, melihat kepada perjalanan kerjaya yang berjalan lancar serta kejayaan diraih Oasis menempatkan saluran itu di hati penonton dengan begitu pantas menguatkan lagi semangat beliau memberi yang terbaik kepada masyarakat atas sokongan mereka.

Natijahnya, maka lahirlah program realiti Jemputan Umrah bermula Februari lalu di mana penonton yang mahu menyertai program itu hanya perlu memberi jawapan kreatif kenapa mereka berhajat menunaikan ibadat umrah.

Izelan berkata, program yang ilhamnya datang ketika beliau tersangkut dalam kesesakan lalu lintas adalah tanda terima kasih Oasis untuk membalas perhatian serta maklum balas diberi penonton saluran itu kepada program yang dijadualkan untuk mereka.

Beliau berkata, Jemputan Umrah bukan sekadar hadiah tetapi galakkan secara langsung Oasis untuk umat Islam menunaikan ibadat itu dan pada masa sama mempelajari permasalahan berkaitan umrah secara terperinci.

Begitu juga program seperti Indahnya Iman yang menampilkan selebriti mengalunkan seruan azan, zikir harian yang mendapat reaksi membanggakan daripada penonton dan banyak lagi program lain yang mewarnai saluran berkenaan.

Mengusik perasaan beliau yang begitu teruja tatkala menceritakan mengenai perkembangan Oasis, Izelan mengakui bukan mudah menghasilkan program agama dan cabaran paling besar ialah menangkis persepsi bahawa program agama membosankan.

Bagi beliau, program agama tidak pernah membosankan dan sebagai perantara, tanggungjawab yang dipikul terlalu besar untuk menerbitkan program yang apabila masyarakat menonton, mereka seronok dan mendapat pengajaran.

Beliau berkata, program agama perlu mempunyai standard yang tinggi apatah lagi sekarang ini usaha untuk mendalami Islam bukan saja di kalangan umat Islam sendiri, malah masyarakat antarabangsa turut menunjukkan minat mengenali apa itu Islam.

Katanya, dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam yang sering dijadikan contoh, peluang itu perlu direbut bukan saja stesen televisyen, tetapi juga syarikat penerbitan bagi menghasilkan produk berunsur keagamaan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

Izelan berkata, saluran Oasis tidak pernah diminta dilabelkan sebagai saluran Islam, tetapi apabila dikaitkan sebegitu, ia adalah pengiktirafan kepada usaha pengurusan mendekati masyarakat dengan menyajikan santapan rohani yang menepati keperluan semasa umat Islam.

Oasis yang bermaksud lembah subur di tengah padang pasir adalah saluran gaya hidup Melayu dengan objektif menjadi cahaya yang membawa mereka keluar daripada gejala sosial yang melanda ke arah kehidupan lebih baik berpandukan ajaran Islam.

Katanya, menjadi hasrat beliau dan ahli keluarga Oasis yang lain supaya lebih ramai menonton program disediakan oleh saluran itu mendapat manfaat yang kemudian dikongsi bersama orang di sekeliling mereka.

"Saya percaya setiap manusia walau macam mana jahat pun dia, dalam tempoh 24 jam akan ada satu saat dalam hati mereka timbul keinsafan. Kepuasan pada saya ialah apabila orang menonton, sedar dan insaf kerana apabila mereka insaf kita tahu mana penghujungnya," katanya.

Thursday, February 28, 2008

Personaliti: Sebar syiar Islam menerusi karya

Oleh Hasliza Hassan

SUMBER ILMU: Mohd Yaakub menunjukkan buku hasil karyanya.

Dorongan kawan mengubah sikap Mohd Yaakub, semangat hasilkan buku agama

SESEORANG yang ada kekurangan diri akan melakukan sesuatu untuk memperbaiki diri, berbeza dengan mereka yang berasakan ilmu di dada sudah banyak selalunya berasa selesa dan beranggapan tidak perlu lagi berusaha mempertingkatkan diri.

Berasakan dirinya tergolong di kalangan yang masih mempunyai kekurangan, graduan Jabatan Komunikasi (pengkhususan bidang Komunikasi Organisasi) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Yaakub Mohd Yunus mula mengorak langkah mendalami ilmu agama bagi memantapkan pengetahuan ke arah menjadi insan lebih baik.

Bermula daripada pembacaan buku agama dalam pelbagai bidang berkaitan kehidupan, akhirnya timbul minat di hati anak muda berusia 35 tahun itu untuk berkongsi ilmu diperoleh bersama keluarga dan kawan.

Maka terhasillah penulisan rencana pendek yang kebanyakannya disiarkan dalam laman forum dan atas dorongan rakan serta pelayar internet, beliau berjinak menceburi bidang penulisan dengan niat murni supaya perkara yang baik dapat dimanfaatkan lebih ramai umat Islam.

"Selain usia yang mematangkan, keputusan menjadi insan lebih baik mula menerpa hati apabila saya ingin mendirikan rumah tangga pada 2000. Saya sedar menjadi suami, bapa dan ketua keluarga bermakna saya bakal memikul tanggungjawab besar.

"Maka, hati saya berkata, untuk memikul amanah serta tanggungjawab yang datang bersama status itu, saya perlu menjadi insan lebih baik. Bertitik tolak dari situ saya mengambil inisiatif mendalami ilmu agama," katanya.

Beliau yang kini bertugas sebagai Penolong Naib Presiden di Bahagian Perbankan Perniagaan, Affin Bank Berhad berkata, seperti remaja lain beliau pernah melalui saat di mana hidupnya dipengaruhi kehendak untuk berhibur dan melakukan perkara bertentangan dengan syariat.

Perkara itu berterusan ketika melanjutkan pengajian di UIAM. Walaupun kenakalan beliau tidak pada tahap ekstrim, tetapi penampilan sebagai seorang yang sentiasa ceria serta suka ketawa menjadikan beliau dilihat sebagai seorang yang tidak serius.

Akibatnya, ramai rakan yang mengenali anak kelahiran Bentong, Pahang itu terkejut apabila berjumpa dengannya dan tidak percaya dengan perubahan 360 darjah dilakukan sehingga ada menyangka beliau terbabit dengan kumpulan tabligh.

Mohd Yaakub berkata, bukan saja orang di sekeliling, malah jika ditanya kepada dirinya, beliau sendiri tidak menyangka akan diberi hidayah serta dorongan Allah untuk berubah dan memperbaiki kekurangan diri.

Justeru, katanya, apabila diberi peluang berubah ke arah lebih baik beliau berasakan seolah menjadi satu amanah untuknya berdakwah dan bidang paling dekat dengannya ketika itu ialah bidang penulisan yang dari sehari ke sehari menjadi tabiat positif dalam diri.

"Di sini saya jelaskan pengaruh kawan memang ada kuasa untuk merubah perwatakan seseorang. Apabila saya mula berkongsi pandangan di ruang siber, saya berkenalan dengan ramai orang yang ikhlas memberi pandangan serta kritikan.

"Mereka juga memberi dorongan kepada saya untuk berubah menjadi lebih baik dan menyumbang pula kepada masyarakat. Uniknya, kebanyakan mereka bukan dalam bidang agama, tetapi mampu menghasilkan karya hebat yang menandingi mereka dalam aliran agama," katanya.

Katanya, perasaan menyesal terutama apabila mengingat kembali perkara pernah dilakukan yang bertentangan dengan hukum syarak menguatkan lagi semangat beliau untuk terbabit dalam gerakan dakwah melalui penghasilan buku agama.

Bak kata pepatah, 'di mana ada kemahuan di situ ada jalan', dan dengan keazaman kuat banyak perkara positif dapat dilakukan seperti menghasilkan buku agama begitu juga perkara negatif yang dibuang secara perlahan-lahan contohnya, tabiat merokok.

Menyentuh bidang penulisan, Mohd Yaakub berkata, beliau tidak mengikuti kursus atau bengkel penulisan secara khusus, tetapi berbekalkan minat serta serba sedikit ilmu dituntut di UIAM, diam tak diam, sudah tujuh buku berjaya diterbitkan.

Beliau berkata, tidak disangka buku yang dihasilkan sebagai memenuhi kemahuan hati untuk menyumbang kepada masyarakat rupa-rupanya menjadi jambatan yang menghubungkan serta mendekatkan beliau dengan lebih ramai kawan.

Disebabkan itu, katanya, beliau tidak kisah jika ada yang mempertikaikan hasil karyanya kerana pegangan penulisannya berteraskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yakni berpegang teguh dengan ajaran al-Quran dan sunnah serta golongan salafussalih terdiri daripada sahabat, tabiin dan tabiut-tabiin.

"Jalan atau manhaj salafussalih adalah jalan selamat untuk diikuti umat Islam. Dalam menyampaikan ilmu, saya suka menggunakan istilah amar makruf nahi mungkar kerana menjadi tanggungjawab semua umat Islam mendidik kepada kebaikan.

"Saya buat sekadar yang termampu berpandu kepada sabda Rasulullah SAW supaya sampaikan walaupun hanya satu ayat," katanya yang turut menghadiri kelas agama dipimpin ulama serta ilmuwan untuk memantapkan kefahaman mengenai ajaran Islam.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, sewajarnya kelahiran lebih ramai golongan profesional dalam bidang agama untuk saling bantu membantu mengajak masyarakat ke arah kebaikan dan menentang perkara mungkar diterima secara positif.

Beliau berkata, adanya kumpulan yang digelar 'profesional ustaz' bukan untuk mengambil alih tempat tuan guru atau ustaz, tetapi sekadar membantu menyampaikan ilmu agama melalui pendekatan kreatif, efektif dan bertepatan dengan teknologi terkini.

Malah, kumpulan pendakwah daripada ahli profesional dalam pelbagai bidang itu masih bergantung kepada alim ulama sebagai rujukan untuk mempelajari ilmu agama, selain kajian dilakukan dan maklumat daripada pembacaan.

Mohd Yaakub berkata, kelebihan ustaz daripada kalangan profesional ini ialah mereka tahu ada ruang kosong yang tidak digapai golongan agama dan cuba memenuhi ruang kosong itu bagi membantu masyarakat mendapatkan maklumat diperlukan.

Katanya, dalam keadaan dunia tanpa sempadan hari ini, cara untuk mempelajari ilmu agama tidak hanya bertumpu di masjid, surau atau kuliah yang dianjurkan pihak tertentu. Sebaliknya, orang ramai menuntut ilmu di mana-mana saja dan pada masa mereka suka.

Kewujudan laman web contohnya, memberi ruang lebih luas kepada pelayar internet untuk menimba ilmu agama dan pada masa sama, membolehkan mereka bertukar pandangan atau berbahas bagi lebih memahami serta menghayati ajaran Islam.

"Terus terang saya katakan, masyarakat hari ini bukan seperti zaman dulu, mereka mementingkan soal kesahihan dan ketulenan fakta. Mereka tidak boleh dimomokkan dengan sebarang cerita atau kisah saja.

"Ia bermakna cabaran untuk pendakwah lebih besar, bukan sekadar memberitahu apa yang boleh dan tidak, tetapi menerangkan dengan terperinci hikmah di sebalik larangan atau suruhan itu berpandukan kepada al-Quran dan sunnah yang menjadi landasan utama," katanya.

Thursday, February 21, 2008

Personaliti: Memantapkan rohani atlit negara

Oleh Hasliza Hassan



Amalan zikir mampu bina kekuatan, keyakinan untuk raih kejayaan: Hasnol

KEKUATAN Ruhiah Dicapai, Kilauan Pingat Digapai. Itulah moto Unit Hal Ehwal Islam Majlis Sukan Negara (MSN) yang menjelaskan fungsi kewujudannya di tengah-tengah kelompok atlit negara bertujuan memantapkan kerohanian mereka untuk mencapai kejayaan.

Ternyata selain kekuatan fizikal dan mental, kekukuhan serta pemantapan rohani mampu menjadi 'makanan tambahan' bernilai bagi meningkatkan keyakinan diri atlit negara berhadapan cabaran dalam bidang sukan diceburi.

Mendekati orang yang bertanggungjawab menguruskan program pemantapan kerohanian atlit negara, Ketua Unit Hal Ehwal Islam MSN, Mohammad Hasnol A Bakar mengakui tugas berdakwah kepada warga sukan memerlukan pendekatan yang pelbagai.

Katanya, tidak dinafikan bukan mudah untuk memasukkan elemen Islam dalam bidang sukan yang kebanyakan pencapaian dinilai daripada kekuatan fizikal dan mental tetapi tugas itu perlu dilaksanakan dalam usaha membangun jati diri warga sukan khususnya atlit.

"Mungkin ada yang bertanya apa kena mengena Islam dengan sukan. Sebenarnya banyak kaitan antara Islam yang menjadi cara hidup dengan sukan yang menjadi sebahagian daripada kehidupan terutama kepada atlit kita.

"Dalam pembinaan manusia ada jasad, akal dan kerohanian. Tanggungjawab saya bersama rakan di Unit Hal Ehwal Islam MSN ialah membimbing atlit menggunakan kekuatan kerohanian untuk mencapai kemenangan serta menghadapi cabaran semasa," katanya.

Katanya, ketika mula-mula memikul tanggungjawab sebagai pegawai agama kepada warga MSN pada 2001, langkah pertama dilakukan ialah menganjurkan program meningkatkan kefahaman dalam bidang akidah, ibadat dan akhlak dengan bantuan daripada unit lain.

Beliau yang ketika itu berseorangan turut mengatur program secara berkala seperti solat berjemaah, solat hajat, bacaan Yasin setiap minggu dan bulanan selain meraikan hari kebesaran Islam seperti mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul.

Muhammad Hasnol berkata, tumpuan beliau ketika itu ialah memberi kesedaran kepada atlit mengenai kepentingan membina hubungan dengan Allah sebagai sumber kekuatan dalaman yang dapat membantu mereka mencapai kecemerlangan.

Beliau berkata, atlit dan warga sukan perlu diperjelaskan bahawa agama bukan ibadat semata-mata tetapi agama dapat membantu membina kekuatan dalaman dengan meningkatkan kefahaman akidah dan menguatkan keimanan kepada Allah.

Katanya, atlit Islam akan menghadiri kuliah untuk meningkatkan kefahaman bidang akidah sementara atlit bukan Islam, ada pegawai memantau keperluan mereka memenuhi amalan agama masing-masing berpaksi kepada perkara pertama Rukun Negara iaitu Percaya Kepada Tuhan.

Katanya, keyakinan bahawa setiap kejayaan diraih atau kegagalan terjadi datangnya daripada Allah akan mengembalikan atlit kepada hakikat di sebalik usaha gigih itu mereka perlu bertawakal kepada Allah.

"Jika juru latih membimbing atlit berusaha menggunakan kekuatan fizikal dan mental tatkala menjalani latihan atau menghadapi pertandingan, saya tunjukkan bagaimana amalan berzikir mampu membantu ahli sukan mencapai kemenangan.

"Pada masa sama, saya juga menekankan perlunya sifat amanah dan pentingnya untuk atlit serta warga sukan memasang niat untuk ikhlas melaksanakan tanggungjawab kerana selain imbuhan dunia yang diperoleh apabila mereka berjaya, mereka bakal menerima ganjaran daripada Allah," katanya.

Memiliki diploma dalam bidang pengajian Islam, al-Quran dan Sunnah, graduan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) yang bercita-cita menjadi pendakwah itu reda dengan rezeki ditentukan Allah kepadanya untuk menabur khidmat bakti kepada warga sukan.

Walaupun menghadapi kejutan budaya ketika mula berkhidmat dan bergaul dengan atlit daripada 27 bidang sukan, beliau yakin ada sebab mengapa Allah menjodohkan beliau dengan Unit Hal Ehwal Islam MSN.

Bagi anak kelahiran Kuala Lumpur itu, walaupun berdepan cabaran untuk menarik minat warga sukan mendalami serta memahami kepentingan agama dalam bidang sukan, semangatnya tidak pernah luntur.

Malah, hatinya berazam untuk terus berdakwah dengan meminjam semangat ditunjukkan idolanya Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah berputus asa menyebarkan syariah Islam walau terpaksa berdepan tentangan hebat.

Beliau juga bersyukur apabila di bawah pentadbiran Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, Unit Hal Ehwal Islam MSN dibesarkan dengan tambahan seorang lagi pegawai agama lelaki dan seorang ustazah yang membolehkan lebih banyak program diatur mengikut kepentingan serta keperluan atlit.

Kini, setiap hari warga sukan yang terdiri daripada kakitangan MSN dan atlit akan memulakan hari mereka dengan tazkirah ringkas disampaikan beliau secara bergilir dengan rakan lain yang turut didengar atlit yang sedang menjalani latihan di padang.

Mohammad Hasnol berkata, tumpuannya kini ialah berusaha memastikan program kekuatan kerohanian di kalangan atlit dan warga sukan mendapat sambutan hebat seperti diberikan kepada program meningkatkan kekuatan fizikal dan mental.

Katanya, usaha itu memerlukan sokongan pihak pengurusan MSN dan mereka yang bertanggungjawab dalam persatuan sukan bagi memastikan pembangunan fizikal, mental dan kerohanian atlit Malaysia dapat dilakukan serentak.

Mengenai kepentingan ilmu agama dalam sukan katanya, semua dapat difahami daripada matlamat penubuhan unit berkenaan yang antara lain untuk melahirkan generasi atlit serta anggota kerja yang mantap daripada sudut ilmu dan iltizam, berilmu dan berakhlak mulia menghadapi cabaran semasa.

Melalui proses secara berperingkat, beliau yakin keperluan pemantapan kerohanian kepada atlit akan diakui lambat laun berdasarkan perkembangan positif diperlihatkan terutama daripada atlit yang memanfaatkan ilmu disampaikan kepada mereka.

"Kenangan manis bagi saya ialah apabila pasukan sepak takraw berjaya pada Sukan Sea di Manila 2005. Di sana mereka tidak lupa membaca surah Yasin dan mengamalkan zikir yang diajar untuk membina keyakinan serta kekuatan.

"Gabungan ketiga-tiga kekuatan iaitu fizikal, mental dan kerohanian menunjukkan atlit lebih berkeyakinan dan mampu mencapai matlamat mereka dengan lebih mudah. Saya harap banyak lagi yang dapat saya sumbangkan untuk membantu atlit kita mencapai kecemerlangan," katanya.

Beliau berkata, Kursus Pembangunan Atlit Melalui Kecerdasan Emosional dan Spiritual (ESQ) yang diperkenalkan MSN kepada atlit juga adalah alternatif terbaik menitipkan kesedaran pentingnya kekuatan intelektual dan spiritual dalam mengisi tujuan hidup seorang atlit.

Mohammad Hasnol berkata, mengislamkan sukan bukan sesuatu yang mustahil kerana beliau sudah melihat contoh yang ditunjukkan atlit dari Iran yang cemerlang dalam bidang sukan masing-masing dan pada masa sama mengekalkan nilai yang diajar dalam Islam.

Begitu juga contoh dilihat pada temasya Sukan Negara Islam yang pernah dianjurkan di Makkah di mana beliau menjadi Chef de Mission mengetuai atlit negara pada 2004 berjaya memisahkan atlit wanita dan lelaki dengan mengadakan acara secara berasingan.

Justeru katanya, banyak lagi yang boleh dilakukan oleh pihak berkaitan bagi memastikan agama tidak terpinggir dalam program pembangunan sukan negara sebaliknya menjadi elemen penting yang dapat membantu atlit mencapai tahap terbaik dalam diri mereka.

"Atlit tidak berdisiplin kerana tidak ada kekuatan agama dan kurang penekanan kepada kerohanian. Agama mengajar kita supaya saling hormat menghormati. Jika atlit hormat jurulatih, mereka akan disayangi dan pastinya perhatian diberikan kepada mereka.

"Begitu juga sebaliknya, jika jurulatih menghormati atlit, mereka lebih mudah menerima tunjuk ajar yang diberi. Akhirnya, prestasi kedua-duanya meningkat, mencapai kejayaan dan paling penting, mendapat keredaan Allah," katanya.

Katanya, adanya program pemantapan kerohanian dalam bidang sukan juga dapat menangkis kerisauan ibu bapa yang takut anak mereka meninggalkan aspek spiritual apabila membabitkan diri dalam dunia sukan.

PROFIL

Mohammad Hasnol A Bakar

Tarikh lahir: 20 April 1973
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Pendidikan: Diploma Pengajian Islam, al-Quran dan Sunnah, Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, Terengganu
Isteri: Norrul Huda Ngah
Anak: Izzatul Mutmainnah, 10; Izzurrahman, 9; Izzulhafeez, 4

Thursday, February 14, 2008

Personaliti: Rehal DHO mesra pengguna

Zaimy hasilkan produk sesuai ketika membaca al-Quran, belajar

HATI mana tidak gembira dan bangga apabila melihat rehal yang dihasilkan mampu memberi keselesaan kepada umat Islam membaca al-Quran dan pada masa sama membuka peluang untuk mereka beramal jariah serta bersedekah.

Lebih terusik lagi, setiap kali menerima panggilan daripada mereka yang sudah memiliki rehal keluaran syarikat Cipta Edar DHO yang menelefon semata-mata untuk mengucapkan terima kasih kerana hasil ciptaan yang inovatif itu.

"Ada makcik telefon saya hanya untuk mengucapkan terima kasih kerana sekarang beliau dapat membaca al-Quran lebih lama. Ramai juga mengucapkan tahniah kerana rehal kami memberi banyak manfaat kepada mereka.

"Sokongan serta maklum balas pelanggan menjadi dorongan untuk saya menghasilkan produk yang dapat menyelesaikan masalah orang ramai pada masa depan," kata Pengarah Urusan Cipta Edar DHO Sdn Bhd, Zaimy Darus pada pertemuan di kilangnya di Kampung Tengah, Puchong, Selangor.

Bercerita lanjut mengenai pembabitan dalam perniagaan menghasilkan rehal keluaran syarikat yang dikenali sebagai Rehal DHO (singkatan Darus Haji Othman), usahawan berusia 36 tahun itu berkata, kisahnya ada kaitan dengan pengalaman bapanya, Darus Othman.

Bapanya pernah ditegur kerana meletakkan al-Quran di atas paha ketika membacanya yang dianggap sebagai tidak memuliakan al-Quran dan berikutan itu, beliau membuat meja berbentuk empat segi untuk memudahkannya meletak kitab suci itu.

Apabila seorang kawan melihat meja kecil itu, beliau meminta Darus membuatkan satu untuknya dan setiap kali saudara mara datang berkunjung ke rumah serta melihat kotak empat segi itu, mereka turut meminta dibuat satu.

Melihat kepada permintaan menggalakkan itu, timbul idea Darus untuk mengkomersialkan rehal ciptaannya. Namun, disebabkan bentuknya yang besar dan sukar dibawa, ramai meminta supaya beliau mencipta rehal lebih kecil dan mudah alih.

Selepas perbincangan antara bapa dan anak, Zaimy yang ketika itu bertugas sebagai akauntan di sebuah institusi kewangan mengambil keputusan berhenti kerja dan membantu bapanya merealisasikan hasrat menghasilkan rehal memenuhi permintaan pelanggannya.

Menyedari rehal boleh menjadi satu perniagaan jika reka bentuknya memberi kemudahan kepada pengguna, beliau membangunkan produk berkenaan dengan bantuan Pusat Latihan Industri Perabot Mara (Fitec-Mara).

Menerusi proses penyelidikan dan pembangunan daripada percambahan idea beliau yang mengambil kira pandangan serta saranan pengguna rehal ciptaan bapanya, maka terhasillah Rehal DHO yang penggunaannya tidak terhad di Malaysia.

"Saya bangga kerana Rehal DHO bukan saja mendapat sambutan di Malaysia, malah turut menarik minat masyarakat Islam di luar negara. Rehal DHO turut dipasarkan di Brunei, Singapura dan United Kingdom. Kita juga dapat pertanyaan daripada Australia dan Perancis," katanya.

Katanya, rehal keluaran syarikatnya dihasilkan daripada kayu getah bermutu tinggi yang tahan lasak, tidak mudah patah dengan pelbagai bentuk serta saiz mengikut kesesuaian pengguna kerana mereka lebih arif mengenai apa yang diperlukan.

Oleh itu juga, beliau sentiasa bersedia menerima kritikan dalam usaha menambah baik rehal yang dihasilkan dari segi reka bentuk, saiz, corak atau yang bertangkai mengikut tempahan diterima.

Beliau berkata, mungkin disebabkan kesediaan menghasilkan rehal mengikut spesifikasi pihak yang akan menggunakannya membuat Rehal DHO mudah diterima pakai orang ramai. Produk itu bukan saja digunakan untuk membaca al-Quran, malah mempunyai pelbagai peranan sebagai tempat menulis, juga sesuai meletak kitab pada majlis ilmu.

Lebih penting bagi Zaimy, kejayaan rehal yang dihasilkan bermatlamat untuk menyelesaikan masalah dihadapi ketika membaca al-Quran turut memberi ruang kepada umat Islam melakukan amal jariah.

Selain kegunaan sendiri, banyak pihak membeli Rehal DHO untuk dihadiahkan, disedekahkan serta diwakafkan ke surau atau masjid. Padanya, secara tidak langsung, Rehal DHO membantu bukan saja pewakaf, juga penerima wakaf memanfaatkan produk itu.

Penggunaan Rehal DHO turut menyerlah melalui tajaan yang dibuat untuk program televisyen seperti Mari Mengaji yang diterbitkan TV9, selain digunakan qari serta qariah Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa dan terkini, rehal berukiran digunakan pelajar program Mari Bertaranum.

Zaimy berkata, keindahan Islam kini bukan saja terserlah daripada ajarannya yang cukup sempurna, malah terbukti dari segi amalan dengan syarat umatnya sentiasa bersedia untuk menimba ilmu serta berani mencuba sesuatu yang baru.

Katanya, beliau sendiri tidak menyangka rehal yang begitu dekat dengan kehidupan umat Islam mampu menjadi perniagaan yang berjaya serta membanggakan bukan saja pada dirinya, juga ejen pengedar serta kakitangan Cipta Edar DHO.

Selain Rehal DHO, Zaimy kini mempromosi serta memasarkan ciptaan yang dikenali sebagai Oxfordian DHO iaitu alat bantuan untuk meletakkan buku bagi memudahkan pembacaan di atas meja tanpa perlu menunduk.

Katanya, idea menghasilkan Oxfordian DHO dikembangkan daripada masalah yang dihadapi beliau ketika mengulang kaji pelajaran ketika mengambil jurusan perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Walaupun masalah itu tidak lagi dihadapinya kini tetapi beliau percaya bukan saja pelajar, malah ramai anggota masyarakat yang berhadapan dengan masalah untuk membaca menggunakan meja dan mengekalkan postur tulang belakang bagi mengelakkan sakit pinggang.

Justeru, beliau mengambil tindakan berani menghasilkan Oxfordian DHO dan mendapatkan paten untuk hasil ciptaannya.

"Kawan saya ada beritahu, bapanya membaca al-Quran atas meja tetapi sakit tengkuk apabila terpaksa menunduk. Saya beri dia cuba Oxfordian DHO dan bapanya puji alat itu kerana mudah baca al-Quran," katanya.

Thursday, February 7, 2008

Personaliti: Berdakwah menerusi terbitan buku agama

Oleh Hasliza Hassan

Faris Hasbullah guna pendekatan hasilkan bahan bacaan mesra pembaca

BUKAN semua orang boleh berdakwah atau menjadi pendakwah walaupun mempunyai ilmu dalam bidang itu. Hakikat itu diakui Pengurus Penerbitan di PTS Islamika, PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, Faris Hasbullah yang memiliki ijazah pengkhususan dalam bidang dakwah.

Graduan Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu akur dengan kekurangan diri yang tidak petah berbicara untuk menyampaikan ceramah terutama di depan khalayak.

Namun, dakwah bukan hanya menyampaikan ilmu agama kepada orang lain kerana cabang dakwah begitu luas dan ini memungkinkan beliau melaksanakan tanggungjawab menyampaikan ilmu, tetapi dengan cara menguruskan penerbitan buku aliran agama.

"Saya berpegang kepada kata-kata Imam al-Ghazali, jika kita tidak boleh buat semua, jangan tinggalkan semua. Saya memang tidak pandai nak bercakap depan orang ramai, tetapi saya bersyukur kerana walaupun kecil, tetapi peranan saya masih dalam ruang lingkup berdakwah.

"Tugas saya menguruskan penerbitan buku agama membolehkan saya menyumbang kepada penyebaran ilmu mengenai Islam secara tidak langsung. Saya berbangga kerana dapat berperanan walaupun hanya di belakang tabir," katanya pada pertemuan di pejabatnya di Wangsa Melawati.

Berasal dari Ulu Klang, bapa kepada tiga cahaya mata itu ternyata gembira dengan tugas dilakukan dan ini dapat dilihat daripada kesungguhan beliau bercerita mengenai tanggungjawab Pengurus Penerbitan di syarikat yang semakin aktif mengembangkan sayapnya.

Bermula daripada sejarah penubuhan sehingga kepada perkembangan terkini berkaitan PTS Islamika, semuanya dalam tangan beliau yang sudah bersama syarikat penerbitan itu sejak ditubuhkan pada 2002.

Faris berkata, bukan mudah bagi beliau membina kerjaya dalam bidang itu kerana beliau tidak memiliki asas atau kemahiran dalam bidang penerbitan apatah lagi menghasilkan buku aliran agama dengan tujuan untuk dipasarkan.

Bagaimanapun, berkat usaha yang tidak pernah kenal jemu dan sokongan daripada pihak pengurusan serta rakan sekumpulan, membantu beliau membina keyakinan untuk bersama mencapai matlamat syarikat memudahkan ilmu kepada masyarakat.

Katanya, dalam perjalanan merealisasikan aspirasi itu pastinya ada cabaran serta dugaan yang ditempuh di mana kemampuan mengatasinya menjadi proses pembelajaran yang akhirnya mematangkannya untuk terus menguruskan bahagian penerbitan buku aliran Islam.

"Tugas saya merangkumi semua daripada menguruskan jabatan, membangunkan manuskrip, menyusun jadual penerbitan, latihan untuk kakitangan serta penulis selain membuat penentuan kos. Ada kala, saya juga membaca manuskrip untuk memberi pandangan.

"Jika dilihat memang jauh larinya kerana belajar mengenai ilmu dakwah, tetapi tugas sekarang menerbitkan buku. Cabaran juga banyak kerana perlu fikir bagaimana hendak mengajak penulis menghasilkan buku agama yang mesra pembaca serta masyarakat," katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan masyarakat tidak mahu membaca atau berminat kepada buku agama, menjadi tanggungjawab penerbit menghasilkan buku yang dapat menarik perhatian dan memenuhi keperluan mereka.

Justeru katanya, sebagai kumpulan yang inginkan buku hasil terbitan mereka diterima baik masyarakat, jabatan penerbitan PTS Islamika perlu memikirkan kaedah berkesan dua dalam satu, berdakwah dan pada masa sama memastikan buku laris di pasaran.

Bagi tujuan itu, buku yang diterbitkan perlu memiliki ciri yang dekat di hati pembaca iaitu selain muka depan menarik, isi kandungannya juga memenuhi cita rasa dengan memberi apa yang diinginkan melalui bahasa mudah difahami.

Faris berkata, pihaknya sentiasa melakukan penyelidikan serta percambahan idea termasuk mencadangkan kepada penulis tajuk yang wajar diketengahkan supaya apa diberi nanti ialah apa yang diinginkan pembaca.

Katanya, memang ada yang tidak bersetuju pendekatan dibuat, tetapi berdasarkan sambutan diterima daripada buku diterbitkan, beliau yakin usaha mendekatkan ilmu kepada pembaca berjaya mencapai matlamat.

Antara pendekatan diguna pakai ialah menghasilkan buku agama dikhususkan kepada kumpulan yang tidak pernah membaca buku agama atau ingin membaca mengenai ilmu agama, tetapi bukan bahan yang berat.

"Kebanyakan buku kita menggunakan bahasa yang mudah dan tidak berbau Arab kerana ada yang tidak mahu baca buku agama kerana mereka tidak tahu bahasa Arab. Kita juga hasilkan buku yang lari daripada konsep buku agama yang ada di pasaran.

"Contohnya, orang tidak pernah pergi mengerjakan haji, kita terbitkan buku mengenai haji, tetapi bukan yang jenis ilmiah. Buku Travelog Haji yang secara tidak langsung turut mengajar pembaca cara menunaikan ibadat haji adalah kejayaan kita memberi apa yang dimahukan pembaca di luar sana.

"Tajuk juga penting kerana kita ada terbitkan buku mengenai taubat dengan judul Mendekati Tuhan. Buku itu turut mendapat sambutan kerana mungkin ada antara kita ingin bertaubat, tetapi tidak mahu niat itu nampak ketara apabila mereka dilihat memegang buku dengan judul Taubat.

"Begitu juga apabila kita hasilkan Biografi Muhammad bin Abdullah, ada yang memberi maklum balas kerana menganggap kita tidak menghormati Nabi Muhammad, tetapi buku itu mendapat perhatian daripada bukan Islam. Maknanya cara kita berjaya mendekatkan buku kepada masyarakat," katanya.

Katanya, beliau turut membaca serta mengkaji buku dihasilkan penulis bukan Islam dan mempelajari bagaimana mereka mendekatkan ilmu agama seperti menghasilkan Bible yang dekat kepada penganut Kristian.

Berpandukan kepada kaedah psikologi yang digunakan penulis Barat serta Indonesia untuk mempromosikan amalan agama melalui penerbitan buku, beliau yakin ia boleh dilaksanakan oleh penerbitan Islam.

Faris berkata, pengalaman menerajui jabatan penerbitan buku aliran agama memberi perspektif luas kepada beliau selain dapat menimba ilmu baru setiap hari daripada manuskrip yang dihantar penulis dalam pelbagai bidang.

Malah, kesempatan bertemu dan berbincang dengan penulis terutama muka baru yang memiliki idea lebih segar adalah pengalaman berharga baginya yang kini sudah mula berjinak-jinak untuk bergelar penulis.

Seperkara lagi penemuan yang dirasakan penting untuk diketengahkan katanya ialah tanggapan bahawa rakyat Malaysia tidak suka membaca berasaskan kepada kajian menunjukkan rakyat negara ini hanya membaca satu buku setahun.

Sedangkan katanya, dilihat daripada industri penerbitan buku yang kian berkembang, kesimpulan boleh dibuat ialah rakyat Malaysia suka membaca serta sentiasa mencari bahan baru untuk santapan jiwa dan minda mereka.

"Saya rasa, perlu diadakan kajian baru bagi melihat tabiat membaca rakyat Malaysia kerana kajian yang mengatakan kononnya orang Malaysia tidak suka membaca ini mungkin dibuat sudah lama. Ketika itu juga, tidak banyak buku di pasaran.

"Keadaan sekarang berlainan kerana banyak pilihan buku dan rakyat kita juga semakin sedar kepentingan menimba ilmu. Saya lihat kepada pasaran buku, andaian yang boleh kita buat, masyarakat kita semakin menyukai buku," katanya.

PROFIL

Nama: Faris Hasbullah
Tarikh lahir: 11 Julai 1975
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (pengkhususan bidang dakwah), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Isteri: Ruhana Hidayah Abd Halim, 29
Anak: Haura', 6 Marwan, 5 Sameer, 1

Thursday, January 24, 2008

Personaliti: Minat dorong Mohd Hariri ceburi debat

Oleh Hasliza Hassan

Kehebatan pelajar Usim berhujah pikat hadirin walaupun gagal jadi pemidato terbaik

KEPETAHAN melontar hujah dengan susunan kata-kata lembut membidas pihak lawan serta senyuman yang tidak pernah lekang menjadikan kehadiran pendebat dari Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Mohd Hariri Mohamad Daud menjadi perhatian hadirin.

Walaupun gagal meraih kedudukan sebagai Pendebat Terbaik pertandingan Akhir Debat Kefahaman Islam antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) baru-baru ini, kehebatan beliau tetap diperakukan.

Pada pusingan separuh akhir, bukan saja tepukan gemuruh diberikan setiap kali beliau selesai berhujah, malah rakan pendebat lain dilihat akan datang kepadanya untuk mengucapkan syabas sebaik tamat sesi pertandingan.

Tidak keterlaluan dikatakan mungkin ada antara mereka yang meramalkan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu mempunyai peluang cerah diumumkan sebagai Pendebat Terbaik pada pertandingan menyaksikan 16 kumpulan pidato bertanding.

Ditanya kepada yang empunya diri, Mohd Hariri berkata, memang beliau mendapat maklum balas positif serta keyakinan daripada rakan sepasukan berdasarkan persembahan ditampilkan pada peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, beliau akur dengan pemilihan juri kerana mereka lebih arif dan apa yang berlaku sedikit pun tidak memberi kesan mendalam kepada dirinya yang sudah terbabit dalam pertandingan debat sejak di sekolah menengah lagi.

"Harapan untuk menjadi Pendebat Terbaik memang ada, tetapi itu bukan matlamat. Jika dipilih ia adalah rezeki dan jika tidak, saya berpuas hati dengan pencapaian saya dan pasukan kerana berjaya hingga ke peringkat akhir.

"Pembabitan saya dalam debat lahir daripada minat dan ternyata bidang ini banyak membantu membina keyakinan diri selain mendedahkan saya kepada cabang ilmu lebih luas. Tajuk debat pelbagai dan ini memerlukan pemidato lebih banyak membaca," katanya.

Selain itu katanya, pendebat perlu banyak berlatih untuk meyakinkan pendengar terhadap hujah diberi dan peluang menyertai pertandingan debat memberi peluang kepadanya membina rangkaian rakan di kalangan pendebat daripada IPT lain.

Bercita-cita menjadi ahli akademik selepas tamat pengajian nanti, Mohd Hariri turut bergiat aktif sebagai pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pernah duduk di kerusi Yang Dipertua MPP Usim bagi sesi 2006-2007 lalu.

Sebagai bekas Yang Dipertua MPP Usim, beliau gembira kerana dapat berbakti kepada rakan pelajar serta pihak universiti dalam usaha merealisasikan visi serta misi Usim melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam bidang akademik, juga menyerlah dari aspek kepemimpinan.

Katanya, setiap orang mempunyai bakat kepemimpinan serta minat masing-masing dan bagi dirinya minat menyertai kegiatan kokurikulum serta semangat memimpin lahir sejak sekolah, kemudian dipupuk dan dikembangkan hingga ke hari ini.

"Ketika remaja, ibu bapa banyak mengatur hidup saya. Mereka menentukan apa yang perlu dibuat dan pelajaran apa perlu diambil. Namun, dari segi kegiatan kurikulum mereka memberi kebebasan dan sentiasa menyokong minat saya.

"Apabila sudah melanjutkan pengajian di universiti, ibu bapa memberi kebebasan saya untuk menentukan hala tuju, tetapi mereka sentiasa memberi dorongan serta sokongan. Pencapaian saya hari ini adalah berkat doa ibu bapa saya juga," katanya.

Kata anak kedua pasangan Mohamad Daud Othman dan Salmah Mohd Zahari itu, fizikal tubuh badannya mungkin kecil, tetapi jiwanya besar dan berbekalkan jiwa yang besar itu beliau menempuh pelbagai ujian bergelar pemimpin.

Dipilih sebagai Yang Dipertua MPP berdasarkan undi tertinggi yang diterima pada pilihan raya 2006, Mohd Hariri berkata, pemimpin perlu ada dua kekuatan iaitu kekuatan ilmu dan kekuatan sahsiah kerana ia akan menjadi perkara yang dilihat pada diri pemimpin itu.

Justeru katanya, tugas pemimpin bukan saja memandu pengikutnya, tetapi mereka juga perlu memenuhi tugas lebih utama iaitu mempersiapkan diri dengan pelbagai cabang ilmu, membina personaliti dan memiliki akhlak yang boleh dijadikan contoh teladan.

Katanya, pemimpin yang baik lebih dikenali kerana karakter serta personaliti yang mampu mempengaruhi orang lain untuk mendengar serta mengikut cakapnya. Pada masa sama, pemimpin perlu ada nilai tambah iaitu ilmu pengetahuan yang luas.

"Saya banyak gunakan pengalaman ketika menjadi ketua kelas di sekolah dan Naib Presiden MPP ketika melanjutkan pengajian peringkat diploma di Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (Kusza), di Terengganu untuk menjadi pemimpin berkesan.

"Antara pendekatan yang saya gunakan ialah meluaskan empayar persahabatan. Saya bergaul dengan semua lapisan pelajar di kampus kerana saya yakin apabila kita dekat dengan mereka, lebih mudah untuk berhubung.

"Sebaliknya, jika kita berlagak sombong orang pun menyampah. Oleh itu, mesti eratkan ukhuwah dan persaudaraan. Apabila bercakap dengan orang, kena hormati mereka. Perlu ingat, kita jadi pemimpin tidak lama, nanti kita akan jadi rakyat biasa juga," katanya.

Katanya, hidup pemimpin bukan sentiasa indah kerana di sebalik orang yang menyokong, pasti akan ada pihak yang cuba menjatuhkan mereka. Oleh itu, perkara itu perlu dihadapi dan ditangani dengan bijak serta berkesan.

Sebagai pelajar pula, mereka juga berdepan dengan cabaran menseimbangkan antara pencapaian akademik dengan tugas serta aktiviti kokurikulum.

Bagaimanapun, bagi Mohd Hariri, beliau bersyukur kerana masih mampu mengekalkan tahap pencapaian akademik dan pada masa sama, meneruskan minat dalam bidang debat dan memastikan waktu bersama keluarga tetap ada.

Menjawab persoalan mengenai isu pelajar universiti yang dikatakan banyak terbabit dengan gejala negatif serta masalah sosial, beliau berkata, sebenarnya pelajar yang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi memang berminat untuk belajar dan berjaya.

Namun katanya, apabila tiba di menara gading, pelajar akan berdepan dengan pelbagai unsur serta pengaruh hingga ada antara mereka yang terjebak, tergelincir dan hilang hala tuju. Ini menyebabkan timbul isu mengaitkan pelajar IPT dengan gejala negatif.

Katanya, ketekunan kepemimpinan negara menekankan sistem pendidikan yang mampu membina modal insan dilihat bakal melahirkan pelajar bukan saja memiliki minda kelas pertama, tetapi juga sahsiah yang cemerlang.

"Pada Jun tahun lalu saya terpilih mengikuti lawatan Kementerian Pengajian Tinggi ke Eropah dan kami melawat universiti di Belanda, Perancis dan United Kingdom. Apa yang saya lihat Malaysia mempunyai kualiti pelajar IPT yang tersendiri.

"Di sana tumpuan adalah kepada minda dan pelajaran saja, tetapi kita tumpu kepada pembangunan modal insan. Kita ingin melahirkan siswa yang cemerlang dalam bidang akademik dan mempunyai sahsiah terpuji," katanya.

Menyentuh mengenai agama yang kononnya akan menghalang kepada kemajuan, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Perak, Jasin, Melaka itu berkata, pelajar bidang agama adalah graduan yang berkebolehan.

Mohd Hariri berkata, pelajar sekolah agama yang sudah mempunyai asas ilmu agama akan mengambil pelbagai jurusan apabila mereka melanjutkan pengajian pada peringkat tertinggi seperti bidang ekonomi, undang-undang, perubatan dan lain-lain disiplin ilmu.

Katanya, ini memberi kelebihan kepada graduan berkenaan kerana segala ilmu dipelajari nanti dapat dimanfaatkan mengikut landasan Islam memandangkan mereka mempunyai pengetahuan dalam ilmu agama.

"Agama tidak pernah menjadi penghalang kerana Islam sendiri menggalakkan umatnya mencari dan menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan. Bagi yang mempunyai kemahiran dalam bidang agama dan ilmu kontemporari, mereka mempunyai banyak kelebihan.

"Jika jadi doktor pun, mereka masih boleh jadi ustaz. Bukankah ini kelebihan. Ini semua sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melahirkan modal insan bagi membangun ketamadunan Islam," katanya. PROFIL

Nama: Mohd Hariri Mohamad Daud

Tarikh lahir: 30 Oktober 1984.

Tempat lahir: Pasir Mas, Kelantan.

Pendidikan: Diploma Usuluddin (Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (Kusza) Terengganu) Tahun Tiga jurusan Pendidikan Dakwah dan Pengurusan Islam (Universiti Sains Islam Malaysia).

Thursday, January 17, 2008

Personaliti: Prinsip kongsi rezeki dorong kejayaan

Oleh Hasliza Hassan

Syed Mokhtar Albukhary guna nikmat Tuhan untuk faedah orang ramai timba ilmu

DENGAN hanya satu soalan iaitu bagaimana begitu prihatin dengan amalan perniagaan dan kebajikan, maka terbongkarlah rahsia tokoh perniagaan terkenal dengan imej dermawan, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, yang dipilih Tokoh Maal Hijrah 1429, baru-baru ini.

Persoalan mengenai siapa sebenarnya Syed Mokhtar yang begitu berahsia orangnya kerana jarang mahu ditemu ramah mengenai hal peribadi, akhirnya didedahkan pada sidang media selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), minggu lalu.

Beliau menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1429 daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya tidak pernah cerita mengenai kisah saya secara terbuka, tetapi hari ini Datuk (sambil merujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin) bagi semangat pada saya," katanya sambil ketawa kepada pihak media yang sabar menanti kira-kira 45 minit di Bilik Sidang Media PICC untuk menemu ramah beliau.

Menurut anak kelahiran Alor Star, Kedah itu, jiwa dermawan dalam dirinya dipupuk oleh bapanya, Syed Nor AlBukhary dan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Mohamed Rahmat.

Menceritakan mengenai latar belakang dirinya, Syed Mokhtar berkata, kisah hidupnya bermula ketika membantu ibu bapanya berniaga lembu sekitar 1960-an sebelum beralih kepada perniagaan perkhidmatan lori pada 1970-an selepas mendapat bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Daripada perniagaan lori, anak muda yang ketika itu masih pada usia awal 20-an mula berniaga beras secara kecil-kecilan. Pendapatan pertama daripada perniagaan diusahakan sendiri yang dibawa balik ke rumah ialah sebanyak RM1,500. Pada 1970-an, jumlah itu agak lumayan dan pastinya hati begitu gembira dengan wang sebanyak itu.

Namun, apabila ibunya memberitahu bahawa setengah daripada pendapatan itu digunakan untuk adik yang lain, sementara setengahnya pula perlu diberi kepada 15 keluarga miskin, tiada bantahan daripada Syed Mokhtar.

"Masa saya bawa balik pendapatan pertama, ibu saya beritahu RM750 kita guna untuk adik dan RM750 lagi kena bagi pada 15 keluarga jiran yang susah, orang tua dan lain-lain. Setengah pendapatan itu diambil ibu saya untuk beri orang yang kurang kemampuan.

"Dari situ jiwa sudah dibendung ibu bapa. Walaupun dari segi hukum, zakat pendapatan hanya 2.5 peratus, tetapi pendapatan saya diambil 50 peratus. Selebihnya diberi kepada 15 keluarga dan sehingga kini saya masih beri kepada 15 keluarga berkenaan.

"Kawan saya, Syed Abdullah yang ditugaskan menghantar wang itu sejak mula pun sudah bercucu. Hingga kini beliau masih melaksanakan tanggungjawab itu. Malah, lori dan syarikat beras saya masih beroperasi di Kedah," katanya.

Beralih babak seterusnya, Syed Mokhtar membuka rahsia yang pasti mengejutkan umum apabila memberitahu beliau sempat tamat pendidikan Tingkatan Lima, tetapi tidak berpeluang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana tidak mempunyai wang untuk membayar yuran peperiksaan.

Namun, semangat menimba pengetahuan tetap subur dalam jiwanya dan semangat itulah yang mendorong beliau menjayakan Program Tuisyen Albukhary pada 2001. Ketika itu, perniagaan yang dimulakan sejak 30 tahun lalu berbekalkan jerit perih sudah maju dan berkembang pesat, malah Yayasan Albukhary sudah ditubuhkan sejak 1996.

Matlamat penubuhan yayasan itu memenuhi aspirasi orang tua, terutama ibunya yang mendidik beliau mencari rezeki bukan saja untuk diri sendiri, malah bagi membangun ummah serta membantu golongan tidak berkemampuan.

"Saya tidak dapat peluang melanjutkan pelajaran, tetapi saya diberi peluang dalam bidang perniagaan. Saya fikir, jika saya tidak berpeluang, saya perlu beri peluang itu kepada orang yang tidak ada kemampuan. Daripada situ saya beri budak kampung yang miskin dan kurang cerdik mengikuti tuisyen secara percuma.

"Kita gajikan cikgu satu jam RM40 untuk ajar budak ini dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan subjek lain yang mereka tidak mahir. Syukur, pusat tuisyen sudah berjalan empat tahun dan 22,000 pelajar mendapat manfaat untuk maju dalam pelajaran," katanya.

Kecintaan Syed Mokhtar dalam menimba ilmu jelas sekali apabila beliau turut menyediakan Biasiswa Albukhary kepada pelajar miskin yang cerdik daripada 47 negara yang umat Islamnya adalah kumpulan minoriti untuk melanjutkan pengajian pada peringkat universiti.

Biasiswa Albukhary, program pendidikan antarabangsa itu sudah berjasa kepada 372 pelajar yang ada antara mereka cemerlang di persada antarabangsa.

Selain bidang pendidikan, Yayasan Albukhary turut mengambil tanggungjawab membina masjid dan memastikan pengurusannya berjalan lancar. Setakat ini, yayasan itu sudah membina 20 masjid di bandar dan luar bandar di seluruh negara.

Malah, beliau mengambil inisiatif membaik pulih Masjid Negara yang menjadi satu daripada destinasi pelancongan negara supaya sentiasa terang dan bercahaya seperti cerahnya Muzium Kesenian Islam Malaysia yang didirikan yayasan, bersebelahan Masjid Negara.

"Saya dapat banyak bantuan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Daripada muzium, masjid, perniagaan berkembang dan saya dapat rezeki. Saya ikut nasihat ibu, setengah kena bagi balik. Daripada situ dapat keinsafan.

"Keinsafan itu juga mendorong saya membina Kompleks Albukhary di Kedah yang menempatkan rumah anak yatim, hospital dan pusat dialisis yang semuanya diberi secara percuma kepada golongan kurang berkemampuan supaya mereka dapat hidup selesa," katanya.

Syed Mokhtar berkata, semua yang dilakukan datang daripada jiwa dan didikan asal ibu bapa, selain gerak hatinya, ikhlas kerana Allah. Katanya, semua yang dilakukan bukan saja-saja, tetapi demi membantu mereka yang memerlukan.

Bertindak daripada gerak hati juga katanya, beliau memohon kuota haji untuk menghantar kumpulan yang difikirkannya sudah layak, tetapi tidak berkesempatan menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah kerana tidak mempunyai wang seperti imam, bilal dan siak masjid.

Hartawan berusia 57 tahun itu berkata, beliau tidak pernah melihat dirinya seorang yang kaya kerana prinsip beliau ialah manusia ini hamba Allah dan Allah Yang Maha Kaya. Segala usaha, pelbagai dugaan serta cabaran dilalui sejak lebih 40 tahun lalu baginya adalah rezeki Allah dan rezeki itu dikongsi bersama 67,700 tenaga kerjanya.

Apa yang diyakininya, jika seseorang itu rajin berusaha, dengan izin Allah mereka akan berjaya. Justeru, katanya, untuk soalan apakah resipi kejayaan, jawapannya ialah menggunakan nikmat Allah untuk faedah orang ramai terutama dalam pencarian ilmu.

"Saya bersyukur saya sudah rasa semua nikmat Allah melainkan mati, belum rasa lagi. Saya sudah dapat lebih, apa lagi yang saya hendak. Jadi, apabila Allah beri, kita perlu gunakan nikmat itu untuk faedah orang ramai.

"Apabila melihat pertubuhan Kristian, Buddha dan wat Siam yang banyak di Kedah, saya terfikir kenapa kita orang Islam tidak boleh berkembang. Alhamdulillah, saya dapat buat semua dan berkembang seperti hari ini, walaupun terpaksa melalui pahit maung.

"Itulah sedikit sebanyak kisah saya yang tidak pernah diceritakan sebelum ini. Cuma saya nak betulkan sikit, ketika dibaca mengenai diri ketika pengumuman Tokoh Maal Hijrah 1429 Hijrah, tinggi saya dikatakan enam kaki tiga inci. Buang tiga inci kerana tinggi saya enam kaki saja," katanya ketawa ketika mengakhiri bicara dan disambut tepukan pihak media.

PROFIL

NAMA: Syed Mokhtar Albukhary Syed Nor AlBukhary
LAHIR: 1951
ASAL: Alor Star, Kedah
ISTERI: Puan Seri Sharifah Zarah Albukhary
ANAK: Empat (dua lelaki dan dua perempuan)

PEMBABITAN PERNIAGAAN

1971: Memulakan perniagaan daging di Alor Star, Kedah.

1973: Menceburi perniagaan pengangkutan.

1974: Membeli kedai pertama di Jalan Telok Wan Jah, Alor Star.

1975: Mengasaskan Shah Enterprise dan memohon lesen Lembaga Padi dan Beras Negara.

1976: Memulakan operasi di Jalan Telok Wan Jah.

1977: Menubuhkan syarikat pertama di luar Kedah - Bukhary (KL) Sdn Bhd.

1978: Menyertai delegasi Pernas ke Pesta Perdagangan Canton, China.

1990: Memulakan perniagaan beras di Johor.

1996: Menubuhkan Yayasan Albukhary.