Showing posts with label Anak Angkat. Show all posts
Showing posts with label Anak Angkat. Show all posts

Thursday, March 12, 2009

Hak Muslim: Anak angkat disusukan selepas usia 2 tahun bukan muhrim

SAYA dan suami ada mengambil seorang anak angkat kerana kami tidak mempunyai anak. Saya sudah menyusukannya beberapa kali. Saya pernah diberitahu bahawa anak itu boleh menjadi anak susuan dan saya diharamkan berkahwin dengan anak itu. Bolehkah tuan jelaskan perkara ini dan adakah undang-undang mengenainya yang boleh menjadi panduan kami suami isteri.

Ibu susu,

Selama, Perak.

Benar, jika seseorang wanita menyusukan seorang kanak-kanak ajnabi (bukan anaknya), maka anak itu akan menjadi anak susuannya dan suami kepada wanita itu akan menjadi bapa susuan. Namun ia tertakluk kepada beberapa syarat tertentu yang akan dijelaskan.

Kesan hukum yang akan berlaku hasil daripada penyusuan itu ialah anak susuan haram berkahwin dengan ibu dan bapa susuannya dan juga daripada keturunan ibu dan bapa susuan iaitu adik beradik, anak, cucu kepada ibu dan bapa susuan.

Ibu dan bapa susuan juga haram berkahwin dengan anak susuan, seperti mana diharamkan berkahwin akibat keturunan. Anak kepada anak susuan juga haram berkahwin dengan anak kepada ibu dan bapa susuan.

Bagaimanapun, ibu dan bapa susuan serta keturunannya boleh berkahwin dengan ahli keluarga anak susuan yang lainnya kerana mereka adalah orang asing (ajnabi) kepada ibu dan bapa susuan serta keturunannya.

Ada beberapa syarat yang menjadikan anak susuan itu sebagai muhrim kepada ibu dan bapa susuan. Pertamanya, anak yang disusukan itu belum mencapai umur dua tahun. Jika lebih usia dua tahun, penyusuan itu tidak menjadikannya muhrim.

Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Anak susuan tidak menjadi muhrim melainkan disebabkan susu yang masuk ke dalam perutnya ketika menyusu. Ia hendaklah berlaku sebelum anak itu bercerai susu.”

Keduanya, kanak-kanak itu di susu dengan lima kali susuan berasingan. Sesuatu penyusuan itu dikira sebagai penyusuan yang berasingan atau tidak dengan melihat adat kebiasaan masyarakat. Jika anak itu berhenti menyusu kerana kenyang, ia dikira sekali susuan.

Tetapi jika anak itu berhenti menyusu kerana sendawa untuk mengeluarkan angin, kemudian kembali menyusu, atau dia bertukar daripada payudara ke payu dara satu lagi, ia dikira sekali susuan saja. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak menjadi mahram (anak yang disusukan) dengan hanya sekali atau dua kali susuan, sekali atau dua kali hisap.”

Penyusuan yang menepati syarat dinyatakan di atas menjalinkan hubungan kekeluargaan antara anak susuan dan keluarga susuan. Hubungan ini mewujudkan golongan yang haram dikahwini (mahram).

Mereka yang haram dikahwini kerana hubungan penyusuan sama seperti mereka yang haram dikahwini kerana keturunan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Diharamkan kerana susuan apa yang diharamkan kerana keturunan (nasab).”

Pengharaman ini ada dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Subseksyen 9 (3) enakmen itu memperuntukkan: “Tiada seseorang lelaki atau perempuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab sesusuan, berkahwin dengan seseorang perempuan atau lelaki yang ada hubungan dengannya melalui penyusuan di mana, jika hubungan itu adalah melalui kelahiran dan bukan melalui penyusuan, perempuan atau lelaki itu tetap dilarang berkahwin dengannya oleh sebab nasab atau pertalian kahwin. ”

Setakat ini tiada peruntukan undang-undang mengkehendaki anak susuan itu didaftarkan atau dicatatkan dalam sijil kelahiran mereka sebagai ‘anak susuan’. Mungkin pihak berkenaan boleh mengkaji perkara ini dan mengambil langkah susulan sewajarnya.

Ia bagi menjamin nasab keturunan umat Islam terpelihara dan jauh daripada unsur syubhah. Apa yang perlu puan dan suami lakukan, setelah puan yakin bahawa dua syarat dinyatakan di atas sudah dipenuhi dan anak itu menjadi anak susuan, maka puan dan suami perlu memberitahu saudara mara dan keluarga terdekat, supaya mereka maklum perkara itu.

Dikhuatiri nanti suatu hari kita menghalalkan perkahwinan antara keluarga susuan yang diharamkan Allah SWT.

Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sila layari http :\\www.peguamsyarie.org.my.

Wednesday, September 24, 2008

Wajib ambil anak angkat dalam situasi tertentu

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Islam tetapkan hukum keadilan bagi pelihara keharmonian nasab, jaga hak harta

ANAK dalam keluarga adalah buah hati belahan jiwa atau penyeri kehidupan. Setiap pasangan yang melangsungkan perkahwinan mengharapkan kelahiran anak sebagai penerusan kepada sebuah keluarga, keturunan dan bangsa.

Namun demikian, tidak semua mahligai perkahwinan dianugerahi Allah dengan anak. Malah, ada yang sehingga menghembuskan nafas terakhir tidak juga dikurniakan cahaya mata walaupun sepanjang hayat mereka pelbagai usaha berubat secara moden mahupun tradisional.

Kebanyakan pasangan yang tidak mempunyai anak akhirnya mengambil keputusan untuk mengambil anak angkat selepas penantian mereka tidak mendatangkan hasil bagi menghilangkan kesunyian dalam rumah tangga mereka.

Anak angkat diambil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, mengambil anak saudara sendiri kerana saudaranya itu miskin serta mempunyai anak ramai ataupun dengan cara mengambil anak luar nikah sebagai anak angkat selepas ibu anak malang itu enggan memelihara anak berkenaan.

Anak angkat sudah dikenali sejak zaman jahiliah sebelum ada risalah Nabi Muhammad SAW. Ketika itu anak angkat dinasabkan kepada bapa angkatnya serta boleh menerima perwarisan. Malahan isteri anak angkat haram dikahwini oleh bapa angkatnya.

Justeru, umumnya anak angkat mendapat hak yang sama seperti anak kandung. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengambil Zaid bin Haritsah bin Syarahil Al-Kalbi sebagai anak angkat sebelum beliau menjadi rasul, sehingga dipanggil dengan nama Zaid bin Muhammad. Tradisi itu berlanjutan dari zaman jahiliah hingga tahun ketiga atau keempat hijrah.

Allah kemudian memerintahkan anak angkat dinasabkan kepada bapa mereka (yang sebenarnya) apabila diketahui. Allah mengharamkan anak angkat dinasabkan kepada bapa angkat secara hakiki, bahkan anak juga dilarang bernasab kepada selain bapa mereka yang sebenarnya.

Allah mengungkapkan hukum itu sebagai bentuk keadilan yang mengandungi kejujuran dalam perkataan, menjaga keharmonian nasab serta menjaga hak harta bagi orang yang berhak memilikinya.

Islam tidak menggalakkan konsep anak angkat tanpa sebarang ikatan diiktiraf. Berbeza dengan anak susuan, anak angkat adalah dikira sebagai orang asing dalam rumah, maka semua batasan aurat perlu dijaga seperti wanita di luar rumah.

Ia adalah fenomena tidak sihat menurut Islam. Jika seseorang tahu statusnya sebagai anak angkat hanya ketika ia sudah dewasa, maka bermula daripada ia sedar semua batasan aurat mesti dijaga seperti dituntut Islam kepada lelaki dan perempuan bukan mahram.

Dari segi pembahagian harta bagi anak angkat, Islam menetapkan anak angkat tiada hak dalam harta pusaka. Jika hendak bagi juga harta kepada anak angkat, harta itu hendaklah dibahagi secara hibah ketika hayat bapa atau ibu angkat. Selain itu adalah dengan cara mewasiatkan harta kepada anak angkat, tetapi dengan syarat tidak boleh mewasiatkan lebih daripada satu pertiga harta yang ada.

Mengambil anak angkat untuk dijadikan sama macam anak sendiri dilarang oleh syarak seperti dilarang menukar bin anak angkat tersebut. Mengambil anak angkat seperti anak luar nikah yang tidak dipedulikan orang bertanggung jawab adalah digalakkan di sisi syarak.

Dalam sesuatu keadaan, hukum mengambil anak angkat ini boleh menjadi wajib apabila timbulnya ketakutan anak itu akan jatuh ke tangan orang kafir. Justeru bagi mengelakkan akidah anak itu terpesong, Islam mewajibkan anak berkenaan diambil serta dijadikan anak angkat.

Ada dua cara mendapatkan anak angkat iaitu mengambil terus daripada ibu bapa yang ingin memberikan anak mereka sebagai anak angkat atau kedua, dengan cara membuat permohonan kepada JKM.

Bagi menjadikan permohonan cara pertama di atas sah mengikut lunas undang-undang, permohonan pemohon hendaklah dilanjutkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara di bawah Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (Akta 253). Permohonan untuk pengesahan itu hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak angkat berkenaan dipelihara oleh keluarga angkatnya.

Permohonan cara kedua, sebelum anak angkat dibenarkan diambil, JKM akan mempertimbangkan permohonan pemohon terlebih dulu. Antara perkara dipertimbangkan JKM ialah latar belakang sosial pemohon serta kesanggupan menjadi keluarga angkat.

Selain itu, syarat dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 juga perlu dipenuhi antaranya, ibu bapa angkat mestilah sekurang-kurangnya berumur 25 tahun dan sekurang-kurangnya 18 tahun lebih tua daripada anak angkat itu. Anak angkat itu hendaklah di bawah umur 18 tahun dan ibu bapa dan anak angkat hendaklah menetap di Malaysia.

Mengikut peruntukan undang-undang, pengambilan anak pelihara secara sendiri perlu dimaklumkan kepada JKM mengikut seksyen 35(1) Akta kanak-Kanak 2001 tidak lewat daripada satu minggu selepas pengambilan.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com