Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Wednesday, February 24, 2010

Iqra: Buku riwayat hidup Rasulullah panduan terbaik untuk Muslim


KOLEKSI buku riwayat hidup Rasulullah sebagai bahan panduan dan rujukan umat Islam.


SEMPENA sambutan Maulidur Rasul, syarikat penerbitan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd menyediakan buku bertemakan kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW.

Pilihan merangkumi peribadi Baginda sebagai pahlawan, ahli perniagaan, pemimpin, pemerintah, kisah cinta dengan Khadijah dan perjalanan hidupnya sebagai nabi yang wajar dicontohi umat Islam pelbagai peringkat umur.

Antaranya, Biografi Muhammad bin Abdullah, Sejarah Khalifah Rasulullah, Bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad, Peribadi Bisnes Muhammad bin Abdullah, Muhammad bin Abdullah: Peribadi Seorang Pahlawan, Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah dan Khadijah Cinta Abadi Kekasih Nabi.

Sebagai insan memiliki keperibadian mulia serta sifat terpuji, usaha menelusuri sejarah dan pencapaian Nabi Muhammad melalui bahan bacaan menyingkap kisah Baginda mampu membawa perubahan kepada umat Islam.

Kehidupan hari ini dengan pelbagai cabaran menuntut masyarakat mencari contoh supaya permasalahan mampu diatasi dengan berkesan. Kisah hidup Rasulullah SAW rujukan terbaik untuk pemimpin, ulama, pendidik, ketua keluarga dan hamba Allah.

Perjalanan hidup Baginda adalah ensiklopedia lengkap menerangkan bagaimana semangat perpaduan menyatukan masyarakat pelbagai bangsa, amanah memajukan perniagaan dan keikhlasan membawa kebahagiaan di akhirat.

Ramai keliru dan tidak mengenal Islam, tetapi melalui pembacaan melingkari perjalanan hidup Muhammad bin Abdullah, umat Islam hari ini akan mengakui kehebatan mencintai Baginda.

Pengetahuan mengenai Muhammad SAW adalah pendekatan kreatif bagi mendekatkan kanak-kanak kepada sejarah Islam dan senjata berkesan buat ibu bapa menerapkan pendidikan dalam keluarga.

Buku mengenai Nabi Muhammad SAW membina kerangka pemikiran umat Islam sepatutnya tidak hanya dibelek semasa sambutan Maulidur Rasul sebaliknya menjadi teman sepanjang masa kerana kita pasti ingin dikenali sebagai sahabat kepada pilihan pertama The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History.

Wednesday, October 15, 2008

Iqra: Iblis tak pernah leka sesatkan manusia

JUDUL: Janji dan Sumpah Iblis
Penulis: Adil Akhyar
Penerbit: Pustaka Azhar
Pengulas: Jami'ah Shukri
Harga: RM10

BUKU ini menghuraikan mengenai tipu daya, janji dan sumpah iblis memerangkap dan membinasakan manusia yang lalai, hidup didasari nafsu dan tidak dibekalkan iman yang kukuh dari segenap segi. Sesungguhnya dengan keimanan yang teguh mampu menjadi benteng paling ampuh mematahkan serangan syaitan ini. Dengan runtuhnya keimanan itu pasti iblis dan syaitan itu akan terus menjadi teman karib manusia.

Yang nyata, kejahatan iblis ini tiada batasan dan tidak pernah berehat untuk mengajak manusia ke jalan kesesatan dengan terus berjuang tanpa henti sehingga pada saat malaikat mencabut nyawa seseorang. Malah, tipu dayanya lebih dahsyat supaya manusia mati dalam keadaan sesat dan tidak beriman.

Iblis mempunyai lima anak yang masing-masing menjalankan tugas tertentu.

Thabr bertugas ketika manusia ditimpa kecelakaan atau kematian dengan menyuruh merosakkan diri sendiri seperti mengoyakkan pakaian, menampar muka dan apa juga kebiasaan dilakukan pada zaman jahiliah.

A'war sebagai penghasut melakukan zina dengan menggambarkan manusia mengenai keseronokan dan keindahannya. Masut pula membisikkan manusia supaya berdusta dan berbohong. Dasim bertugas menghasut seseorang marah kepada keluarganya dan menuduh mereka mendedahkan keaibannya.

Zalanbur bertugas merayau-rayau di pasar serta menghasut penjual dan pembeli mengadu terhadap kecurangannya. Khazab mengganggu manusia ketika sedang bersembahyang manakala Walhan pula mengganggu manusia ketika berwuduk.

Sesungguhnya, wanita sering dijadikan sasaran dan dianggap makanan lazat kepada iblis untuk menghimpunkan lelaki ke medan 'kesesatan dan neraka'. Iblis menjanjikan janji indah penuh tipu daya memikat kaum lelaki supaya memfokus diri terhadap wanita yang penuh kenikmatan dan keseronokan.

Janji dan sumpah iblis untuk menyesatkan manusia dengan pelbagai cara iaitu sentiasa ingin menerbitkan perasaan marah, mencintai dunia, rakus dan tamakkan dunia, riak, syirik, ujub (kagum dan merasa hairan dengan keunggulan diri sendiri), buruk sangka, memandang rendah pada orang lain, suka kepada dosa, putus asa daripada rahmat Allah, kufur, sombong, mengumpat, lalai, dan membazir serta bermewah dalam hidup.

Semua sifat itu dijelaskan dengan terperinci dalam bab seterusnya menjadikan pembaca ingin terus membaca dan menghayati isi kandungan.

Namun, dalam usaha meningkatkan keimanan itu, keseluruhan umat juga perlu memperbanyakkan ibadat kepada Allah dengan kerap bertaubat dengan apa yang dilakukan, sentiasa memusuhi nafsu, rasa takut kepada Allah serta berzikir sebagai tanda keprihatinan kepada Allah serta mengingat-Nya. Dengan zikir ini ia juga mampu menjadi benteng kekebalan diri daripada gangguan iblis dan syaitan selain mendapat syafaat Rasulullah SAW.

Wednesday, September 17, 2008

Ulasan Buku: Buku ulas fatwa semasa

JUDUL: Fatwa-Fatwa Kontemporari Jilid 1
PENULIS : Syeikh Ali Jum`ah -Mufti Mesir
PENERBIT: Berlian Publication Sdn Bhd
HARGA: RM35.00
PENGULAS: Muhd Yusuf Abu Bakar

FATWA memerlukan pengetahuan mengenai perkembangan di dalam masyarakat sesuai dengan perubahan masa, tempat dan keadaan masyarakat dan situasi yang dihadapi. Semua ini akan mempengaruhi sesuatu fatwa yang akan dikeluarkan oleh ahli fatwa atau mufti. Contohnya, satu keadaan yang dinyatakan haram menurut hukum syarak, namun boleh dilakukan oleh seseorang dalam keadaan terdesak. Perkara ini amat penting untuk diketahui kerana ramai yang menuduh ulama sebagai bidaah apabila berhadapan dengan kes tertentu, sedangkan apa yang difatwakan mufti adalah berdasarkan al-Quran dan sunnah.

Mufti Mesir, Syeikh Ali Jum`ah turut menyentuh ulama yang sudah sampai kepada tingkat mujtahid supaya dapat menggunakan akal fikiran dalam menangani pelbagai persoalan yang datang silih berganti. Sebagai ahli fatwa, beliau perlu memahami pertanyaan atau masalah yang diajukan dan memberi jawapan yang benar bagi orang yang menginginkan jawapan berkenaan.

Di dalam buku Jilid 1 ini, Syeikh Ali menjawab pelbagai masalah dengan panjang lebar, walaupun ia berkisar permasalahan masyarakat Islam di Mesir, namun dengan mengambil pendekatan pandangan Imam Shafie ia boleh dijadikan panduan.

Permasalahan bersuci, solat, pengurusan jenazah, zakat, haji, puasa jual beli, sewa, jihad dan akidah dijawab dengan begitu terperinci dan jelas sekali. Begitu juga mengenai hukum wanita berkhatan yang menimbulkan isu di kalangan masyarakat Islam di benua Afrika turut diperjelaskan dengan terperinci.

Dalam pada itu, Syeikh Ali turut menjawab persoalan mengenai harta wakaf, pernikahan, talak dan hak asasi manusia, akhlak, pakaian dan perhiasan.

Ketika menjawab mengenai perbezaan antara Sunnah dan Syiah, Mufti Mesir itu, berkata, persamaan di antara Sunnah dan Syiah menunjukkan lebih banyak persamaan berbanding perbezaan. Katanya, kita sama-sama solat mengadap Kaabah, kitab suci, puasa, nabi dan Allah SWT yang sama. Cuma berbeza mengenai fiqih, iaitu penambahan lafaz azan, menjama' dua solat, serta masalah sujud di atas tanah.

Semua ini disebabkan, Syiah mencipta kaedah berdasarkan sunnah yang dijadikan ulama sebagai syariat. Mazhab itu hanya menerima riwayat daripada Ja`far Ash Shadiq yang berketurunan Ali Abi Talib yang dianggap terpelihara daripada dosa. Sedangkan mazhab Ahli Sunnah mengambil riwayat dari semua sahabat. Berdasarkan hujah berkenaan, Syeikh Ali meminta masyarakat Islam memperkuatkan persamaan berbanding perselisihan, perpecahan dan permusuhan.

Buku ini amat sesuai dibaca kerana jawapan yang diberikan berkaitan masalah masa kini yang bukan saja dihadapi masyarakat Islam di Mesir malah seluruh masyarakat Islam di seluruh dunia.

Wednesday, September 10, 2008

Iqra: Kecekalan wanita takwa jadi teladan



Judul: Selembut Bicara Kisah Inspirasi Untuk Wanita

Penulis: Saridah Hamid

Penerbit: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd

Pengulas: Hasliza Hassan

Harga: RM17.90 (Semenanjung Malaysia), RM20.90 (Sabah, Sarawak)

SELEMBUT Bicara Kisah Inspirasi Untuk Wanita adalah buku yang menghidangkan mengenai kisah wanita sebagai panduan kepada semua pembaca.

Buku ini memuatkan himpunan 52 kisah benar pelbagai zaman dengan penceritaan menarik. Antaranya kisah isteri Baginda SAW, Aishah tatkala difitnah Abdullah Ubai apabila ketinggalan dalam rombongan bersama suaminya dipandu oleh tentera bernama Safwan bin Muattal as-Salami.

Akibat fitnah itu, Aishah jatuh sakit dan penyakitnya bertambah teruk apabila mengetahui cerita tidak benar itu tersebar luas dan Baginda SAW juga seakan mempercayai cerita bohong itu sehingga turun wahyu Allah yang membersihkan nama beliau.

Kesabaran Aishah menghadapi ujian sewajarnya diteladani wanita hari ini supaya tidak cepat melatah dan mencari penyelesaian terbaik untuk setiap masalah. Selain itu, dikisahkan isteri Firaun yang beriman kepada Allah bertanya kepada Musa ketika diseksa suaminya sendiri: “Wahai Musa, katakan kepada saya adakah Tuhan reda atau marah kepada saya?” Jawab Musa: “Wahai Asiah, semua malaikat di langit merindukanmu dan Allah pula memujimu. Allah berkata, mintalah kepada Aku, akan Aku penuhi permintaanmu.

Pengajaran kisah dalam buku ini ialah keyakinan kepada Allah memberi kejayaan serta kebahagiaan sementara dugaan yang didatangkan sebagai menguji tahap kesabaran.

Wednesday, September 3, 2008

Iqra: Menyelusuri keagungan kota Makkah

Judul: Makkah al-Mukarramah Kelebihan dan Sejarah

Penulis: Dr Abdul Basit Abdul Rahman

Penerbit: Telaga Biru Sdn Bhd

Pengulas: Hasliza Hassan

Harga: RM30 (Semenanjung Malaysia) RM32 (Sabah, Sarawak)

MAKKAH adalah negeri bersejarah, tempat bermulanya dakwah Nabi Ibrahim, kota suci yang memiliki pelbagai kelebihan. Ia juga kota didoakan oleh Nabi Ibrahim untuknya keberkatan dan keselamatan daripada pengaruh dajal selain dilipat gandakan pahala mereka beribadat di sana.

Bumi Makkah dipilih Allah sebagai bumi pertama yang dijadikannya dan menjadi tapak rumah-Nya yang mulia, tempat terbitnya air paling berkat dan tempat lahir nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW.

Makkah mempunyai banyak nama dan antara disebutkan di dalam al-Quran ialah Bakkah, Ummul Qurra, Al-Balad, Al-Baldah, Al-Baladul Amin, Haraman Amina, Ma’ad, Al-Qaryah dan Masjidilharam.

Orang pertama dikatakan membuat sempadan kota suci Makkah ialah Nabi Ibrahim berpandukan petunjuk daripada Jibrail. Selepas pembukaan Kota Makkah, Rasulullah melantik Tamim bin Asad al-Khuza’r memperbaharui tanda sempadan Tanah Haram.

Buku Makkah al-Mukarramah Kelebihan dan Sejarah hasil tulisan Dr Abdul Basit Abdul Rahman menceritakan dengan lengkap mengenai Makkah yang menjadi perhatian umat Islam sejak dulu daripada kaca mata serta kajian beliau mengenainya serta gambar menarik.

Buku ini membincangkan mengenai tanah haram Makkah, sempadan, kelebihan dan hukum berkaitannya. Selain itu diceritakan juga sejarah Kaabah, Hajar Aswad, makam Nabi Ibrahim, Masjidilharam serta tempat ibadat haji dan tempat bersejarah lain.

Makkah terletak di bahagian barat Arab Saudi, di bumi Hijaz di lembah yang dikelilingi bukit bukau dari semua penjuru. Makkah mempunyai tiga pintu masuk iaitu al-Ma'lah, al-Masfalah dan al-Syubaikah.

Setiap maklumat dalam buku Makkah al-Mukarramah Kelebihan dan Sejarah diolah dengan bahasa mudah difahami dan menarik disertakan nota kaki untuk memudahkan pengkaji serta pelajar membuat rujukan.

Selain menjadi sumber maklumat, buku ini juga sebagai mengubat rindu kepada mereka yang pernah menjejakkan kaki ke tanah suci dimuliakan Allah, dan semoga dengan membacanya dapat menyemarakkan semangat serta kemanisan beribadat yang pernah dirasai ketika berada di sana.

Wednesday, August 27, 2008

Iqra: Panduan beroleh keberkatan hidup

TAJUK: Jalan Orang-orang Soleh
Penulis: Ibnu Al-Maqdisi
Penerbit: Berlian Publication Sdn Bhd
Pengulas: Jami'ah Shukri
Harga: RM59

MENIMBA ilmu adalah perkara yang wajib dan tidak ada penghujungnya. Justeru, buku ini sarat dengan ilmu mencakupi isu ibadat di samping membincangkan adat kebiasaan dalam kehidupan seharian, perkara yang merosakkan dan menyelamatkan seseorang insan.

Kini ramai yang masih diistilahkan dalam kelompok tidak suci diri, menghabiskan waktu menghias diri sedang batin mereka rosak dan penuh noda, kesombongan, riak, kemunafikan dan kebodohan.

Umat Islam digalakkan mendalami ilmu mengukuhkan keluarga. Di sini, dijelaskan isu pernikahan dan pemasalahan, seawal memasuki gerbang perkahwinan serta tanggungjawab suami dan isteri.

Tidak lengkap sebuah kehidupan tanpa punya pekerjaan sebagai mata pencarian. Oleh itu, adab berkaitannya perlu diikuti bagi memastikan setiap titik peluh dan hasil pendapatan diterima itu halal.

Langkah seterusnya bagi melengkapkan diri ke jalan soleh memerlukan adab perhubungan sesama insan, termasuk dalam persahabatan dan pergaulan. Dinyatakan akhlak baik menghasilkan rasa saling mencintai dan keserasian manakala perangai buruk membuahkan kebencian serta permusuhan. Lima sifat penting untuk dijadikan sahabat iaitu, orang yang berakal, akhlak baik, tidak fasik, tamak atau haloba terhadap dunia dan bukan ahli bid’ah.

Umat Islam digalakkan melatih jiwa, membimbing akhlak dan mengubati penyakit hati supaya kehidupan lebih sempurna. Mengubati jiwa memerlukan kekuatan serta banyakkan bersabar supaya jalan ke arah itu mencapai matlamatnya.

Perkara penting dalam menuju ke jalan soleh juga seharusnya mereka memiliki sifat terpujiDi sini penulis menggarapkan isu utama seperti menjelaskan mengenai taubat (syarat, rukun dan perkara yang berkaitan), menanamkan sifat sabar, zuhud dan kefakiran, tauhid dan tawakal selain mengingati kematian.

Buku setebal 570 muka surat ini begitu padat dengan maklumat berguna untuk dijadikan panduan umat Islam untuk menuju ke jalan Allah SWT.

Wednesday, August 20, 2008

Iqra: Mencari 'ubat' ketenangan

Judul: Tips Mencapai Ketenangan Jiwa Mengatasi Gelisah

Penulis: Ilyas Mohammad Umar

Penerbit: Pustaka Azhar

Pengulas: Hasliza Hassan

Harga: RM8

PENYAKIT kegelisahan yang juga dipanggil kemurungan adalah penyakit biologikal (jiwa hayat) yang tidak pernah memilih orang miskin, kaya, kanak-kanak atau dewasa. Sebaliknya, ia menimpa sesiapa saja dan pada bila-bila masa.

Banyak punca penyakit ini antaranya faktor keturunan, persekitaran, punca pemakanan, hasil melawan hukum alam dan unsur ghaib. Kesannya terhadap perkembangan sosial juga berat kerana menyebabkan seseorang itu cepat marah serta suka meminggirkan diri.

Buku Tips Mencapai Ketenangan Jiwa Mengatasi Gelisah membincangkan mengenai penyakit kemurungan serta menyediakan kaedah mengatasi masalah itu melalui pelbagai pendekatan termasuk moden dan ajaran Islam.

Sesungguhnya, setiap penyakit itu ada ubatnya dan bagi yang menghadapi kemurungan atau perasaan gelisah perlu memberi perhatian serta berusaha menyembuhkan penyakit itu sendiri melalui ikhtiar daripada dalam jiwa.

Ini termasuk mendekatkan diri kepada Allah dengan bertaubat kerana mungkin punca kepada penyakit gelisah yang dihadapi disebabkan maksiat atau kesalahan yang kita lakukan kepada Allah dan orang di sekeliling.

Bahagian kedua buku ini menekankan bahawa mengenal Allah adalah penawar mengatasi kegelisahan kerana kehidupan manusia akan menjadi tenang dan bahagia apabila mereka mengenal Penciptanya serta dapat menyempurnakan diri dengan tuntutan diwajibkan terhadapnya.

Al-Quran sebenarnya menawarkan pelbagai kaedah untuk mengatasi masalah murung menerusi wirid harian, mingguan dan bulanan selain pembacaan ayat Kursi, Yasin, al-Waqiah dan banyak lagi supaya umat Islam tidak lupa kepada nikmat wahyu yang diturunkan untuk mereka.

Wednesday, August 13, 2008

Iqra: Kisah kehidupan Bintus-Siddiq

Judul: Aisyah Ummul Mukminin
Penulis: Sulaiman An-Nadawi
Penerbit: PTS Islamika
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM43 (Semenanjung Malaysia) RM46 (Sabah/Sarawak)

ASAM garam mewarnai perjalanan hidup anak kesayangan Abu Bakar as-Siddiq, Aisyah yang terkenal dengan gelaran Ummul Mukminin. Kesempatan hidup berumahtangga dengan Rasulullah SAW dan menjadi isteri paling rapat menghasilkan sebuah peribadi mulia dalam dirinya.

Walaupun sering ditonjolkan sebagai isteri manja dan kuat cemburu, beliau adalah wanita memiliki naluri keibuan yang kental dalam mengasuh, mendidik serta mengajar ilmu Allah kepada anak saudara dan kanak-kanak di sekitar kediamannya.

Kisah Aisyah diabadikan dalam buku berkulit tebal berjudul Aisyah Ummul Mukminin oleh penulis kelahiran India, Sulaiman an-Nadawi sebagai cermin kepada wanita Islam hari ini yang berusaha mengindahkan keperibadian dan menyempurnakan kehidupan yang diambil daripada Aisyah.

Aisyah adalah sumber rujukan intelektual sahabat terkemuka. Sejarah mencatatkan sahabat banyak belajar masalah berkaitan agama dan hukum fiqah daripadanya kerana pengetahuan yang luas dalam bidang itu.

Selain itu, beliau sangat berhati-hati ketika mengulas sebarang masalah peribadi, di samping mengetahui banyak rahsia Nabi Muhammad SAW. Aisyah juga mengisahkan banyak hadis yang didengar daripada Baginda secara langsung.

Buku Aisyah Ummul Mukminin menyingkap sejarah empunya nama timangan as-Siddiqiah yang bermaksud perempuan yang berkata benar. Ada kisah menyebut nama timangannya Humaira, iaitu kemerah-merahan, tetapi Nabi Muhammad SAW lebih gemar memanggilnya Bintus-Siddiq, anak gadis lelaki berkata benar.

Sejarah hidup Aisyah yang menjadi topik mula buku ini menceritakan detik kelahiran, zaman kanak-kanak serta perkahwinannya dengan Nabi Muhammad SAW pada usia enam tahun. Pernikahan itu digambarkan begitu indah, walaupun tarikh sebenar tidak dapat dipastikan ahli sejarah.

Penceritaan dalam bahasa mudah berserta dalil daripada hadis menjadikan pembaca leka dan tidak sabar untuk mengetahui kisah selanjutnya, terutama membabitkan permulaan kehidupan kanak-kanak usia sembilan tahun menguruskan rumah tangga serta suami yang jauh lebih tua daripadanya.

Umumnya, kehidupan Aisyah adalah bukti terbaik indahnya Islam pada wanita. Syariat Islam meletakkan kedudukan wanita di tingkat yang mulia. Ingin mengetahui keistimewaan ibu kepada umat Mukmin ini, boleh mendampingi buku Aisyah Ummul Mukminin kerana banyak rahsia yang didedahkan berpandukan kepada catatan hadis dan diceritakan dengan gaya penceritaan begitu menarik sekali.

Melalui Aisyah juga banyak hak wanita diperjuangkan kerana beliau akan membantah jika ada pihak cuba merendahkan martabat wanita.

Sebagai isteri yang paling dicintai Nabi Muhammad SAW dan dicemburui isteri yang lain, Aisyah juga menaruh rasa cemburu terhadap madunya kerana masing-masing bersaing untuk mendapatkan cinta serta perhatian Baginda.

Tirmizi mencatatkan, "Aisyah mempunyai tahap pemikiran yang tinggi dan menonjol di kalangan wanita. Malah kecerdasan pemahaman serta daya fikiran yang kuat mengalahkan kebanyakan lelaki dan wanita yang hidup pada zamannya."

Pengetahuan dimiliki Aisyah merangkumi pelbagai bidang seperti al-Quran, hadis, ilmu fiqah dan qiyas, ilmu tauhid, akidah, rahsia syariat, perubatan, sejarah, pidato serta syair. Maka tidak hairanlah jika beliau menjadi sumber rujukan para sahabat.

Umumnya, kehidupan Aisyah adalah bukti terbaik betapa indahnya Islam pada wanita. Syariat Islam meletakkan kedudukan wanita di tingkat yang mulia. Melalui Aisyah juga banyak hak wanita diperjuangkan kerana beliau akan membantah jika ada pihak cuba merendahkan martabat wanita.

Ingin mengetahui keistimewaan ibu kepada umat Mukmin ini, boleh mendampingi buku Aisyah Ummul Mukminin kerana banyak rahsia yang didedahkan berpandukan kepada catatan hadis dan diceritakan dengan gaya penceritaan begitu menarik sekali.

Wednesday, August 6, 2008

Iqra: Rakyat hidup bahagia, selesa di bawah sistem politik Islam


SEJAHTERA: Buku ini mengandungi panduan bagaimana melaksanakan pentadbiran negara selaras dengan tuntutan Islam.


POLITIK Islam bermaksud memerintah dengan peraturan ditetapkan Allah dalam al-Quran dan sunnah. Jika begitu, apakah hukum memerintah sebuah negara dengan hukum selain daripada hukum Allah?

Buku Sistem Politik Islam menghuraikan pemerintahan sebuah negara Islam bermula dengan sejarah penubuhan negara Islam pertama di Madinah oleh Rasulullah SAW diikuti ciri, tujuan dan kaedah politik Islam.

Sebenarnya politik adalah ilmu dan kemahiran. Ia adalah ilmu kerana mempunyai prinsip dan disiplin tertentu yang keseluruhannya membentuk ilmu politik. Politik juga dikatakan kemahiran kerana terhad kepada melaksanakan undang-undang bersifat teori dan kekuasaan tetapi menuntut kepakaran yang diperoleh melalui pengalaman serta pengetahuan.

Sistem politik ialah satu struktur mengatur hubungan antara pemimpin dan orang bawahan yang terbentuk daripada keseluruhan institusi mengatur orang awam serta institusi yang mengatur kekuasaan.

Politik daripada pandangan Islam pula ialah menjaga urusan umat di dalam dan luar negara dengan cara tidak menyalahi syariat Islam iaitu tidak bertentangan dengan al-Quran, sunnah, ijmak dan kaedah syarak serta dasar amnya.

Sistem politik Islam mempunyai kelainan berbanding sistem politik lain dengan ciri unik membolehkan manusia keseluruhan boleh dipimpin tanpa mengira bangsa dan budaya serta relevan untuk dipraktikkan pada bila masa.

Antara ciri istimewa itu ialah peraturan serta hukum hakamnya bukan ciptaan manusia yang dibelenggu kelemahan dan kekurangan. Seperkara lagi, sistem politik Islam tegak di atas kemurnian akhlak serta menghormati hak asasi manusia.

Sistem politik Islam tegak berasaskan akidah, keadilan dan persamaan serta dasar global kerana undang-undangnya sesuai bagi setiap masa dan tempat.

Selepas menumpukan aspek politik Islam, perkara kedua yang difokuskan buku Sistem Politik Islam ini ialah soal pemimpin yang menyentuh kedudukan mereka dalam Islam, syarat untuk menjadi pemimpin, kaedah serta bentuk kepemimpinan yang hendak dilaksanakan.

Sementara perkara ketiga diketengahkan ialah rakyat atau masyarakat diikuti dengan tanah air, kekuasaan politik, perundangan, kehakiman, pelaksanaan, kementerian dan asas politik yang adil. Buku ini juga menyorot fatwa mengenai politik Islam oleh mufti serta ulama terkemuka.

Mengulas mengenai perlunya mempelajari serta memahami ilmu politik Islam, penulis buku Sistem Politik Islam, Dr Khalid Ali Muhammad al-Anbariy berkata, sepanjang sistem politik Islam memerintah, pemimpin serta rakyat hidup dalam kebahagiaan dan keselesaan.

Bagaimanapun katanya, umat hari ini hidup menderita dengan sebab salah faham terhadap Islam dan silap melaksanakannya. Justeru, jalan keluar daripada bencana dahsyat ialah melaksanakan sistem politik Islam oleh kerajaan dan rakyat.

"Sebagaimana menjadi kewajipan kepada pemerintah dan orang atasan memerintah dengan syariat Islam, begitulah juga menjadi kewajipan rakyat supaya taat dan mengikuti sistem dan undang-undang, menghormati serta memuliakan pentadbir," katanya.

Judul: Sistem Politik Islam
Penulis: Dr Khalid Ali Muhammad Al-Anbariy
Penerbit: Telaga Biru Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM29.90 (Semenanjung Malaysia) RM31.90 (Sabah dan Sarawak)

Wednesday, July 30, 2008

Iqra: Himpunan doa pilihan jadi panduan seharian

Judul: Doa-Doa Pilihan Rasulullah
Penulis: Mufti Melaka, Datuk Rashid Redza Mohd Salleh
Penerbit: Knaz Studio
Pengulas: Jami'ah Shukri

SAIZNYA buku ini kecil, namun kandungannya cukup padat dengan koleksi doa yang begitu memberi manfaat untuk amalan seharian sejajar tuntutan agama bagi menggalakkan umatnya berdoa serta berzikir untuk mendapat keredaan dan rahmat daripada Allah.

Yang menariknya, ia adalah himpunan doa penting yang diamalkan Rasulullah berkisar dalam semua aspek daripada mengenai kebaikan diri, keluarga, harta benda, urusan dunia, agama dan akhirat.

Setiap perjalanan hidup manusia memang sudah ditentukan qada dan qadar oleh Allah, tetapi menerusi doa, sesuatu itu mampu menolak takdir. Bagaimanapun kita digalakkan supaya tidak cepat putus asa dan mengharapkan doa dikabulkan segera kerana Allah sudah menjanjikan sesuatu, walaupun pada saat itu kita sudah bongkok tiga.

Himpunan doa yang turut disertakan dengan makna itu dilakukan mengandungi lapan bab bagi memudahkan pembaca memilih mana-mana doa yang mereka fikirkan perlu untuk diamalkan dengan menegaskan bahawa doa adalah satu ibadat, dalam bab dua dan tiga dinyatakan doa bersumberkan al-Quran, hadis, adab makan dan minum (bab empat), adab musafir (bab lima), adab salam (bab enam), keutamaan berzikir (bab tujuh) dan Asmaul Husna (bab lapan).

Doa mempunyai adab tertentu, iaitu yang paling penting ialah umat Islam mesti ikhlas melakukannya. Berdoalah dalam keadaan suci, tidak mengharap doa cepat dikabulkan, berdoa menadah tangan dengan tapak tangan di atas, menghadap kiblat, mulai doa dengan diri sendiri, memohon keinginan dan niat yang kuat, mengulanginya tiga kali, meminta Asmaul Husna, mulai doa dengan pujian dan sanjungan, meminta kesihatan serta banyaklah meminta serta selawat ke atas Nabi Muhammad.

Waktu doa yang terkabul ialah sepertiga malam terakhir, berdoa ketika turun musibah atau cubaan, antara azan dan iqamat, azan dan jihad bertempur melawan musuh, ketika sujud solat, pada Jumaat dan ada kokokan ayam.

Sementara itu, doa yang dikabulkan adalah ketika dalam kesulitan dalam perjalanan, orang tua kepada anaknya, seorang mukmin untuk saudaranya tanpa pengetahuannya, ketika senang, orang yang banyak berzikir, dizalimi dan iman yang adil serta doa orang Muslim untuk orang kafir.

Bagaimanapun, doa akan terhalang (tidak dikabulkan), iaitu menyekutukan Allah, meminta mati atau keburukan diri sendiri, keburukan anak, pembantu dan harta kekayaan, mengharapkan peperangan dan bertemu dengan musuh, doa dengan dosa dan maksiat serta melampaui batasan berdoa.

Buku setebal 240 muka surat ini, mudah dibawa ke mana-mana sebagai panduan bagi memudah dan menggalakkan amalan beribadat, sekali gus mampu sebati dengan diri. Doa dan zikir adalah tuntutan Allah.

Thursday, February 28, 2008

Personaliti: Sebar syiar Islam menerusi karya

Oleh Hasliza Hassan

SUMBER ILMU: Mohd Yaakub menunjukkan buku hasil karyanya.

Dorongan kawan mengubah sikap Mohd Yaakub, semangat hasilkan buku agama

SESEORANG yang ada kekurangan diri akan melakukan sesuatu untuk memperbaiki diri, berbeza dengan mereka yang berasakan ilmu di dada sudah banyak selalunya berasa selesa dan beranggapan tidak perlu lagi berusaha mempertingkatkan diri.

Berasakan dirinya tergolong di kalangan yang masih mempunyai kekurangan, graduan Jabatan Komunikasi (pengkhususan bidang Komunikasi Organisasi) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Yaakub Mohd Yunus mula mengorak langkah mendalami ilmu agama bagi memantapkan pengetahuan ke arah menjadi insan lebih baik.

Bermula daripada pembacaan buku agama dalam pelbagai bidang berkaitan kehidupan, akhirnya timbul minat di hati anak muda berusia 35 tahun itu untuk berkongsi ilmu diperoleh bersama keluarga dan kawan.

Maka terhasillah penulisan rencana pendek yang kebanyakannya disiarkan dalam laman forum dan atas dorongan rakan serta pelayar internet, beliau berjinak menceburi bidang penulisan dengan niat murni supaya perkara yang baik dapat dimanfaatkan lebih ramai umat Islam.

"Selain usia yang mematangkan, keputusan menjadi insan lebih baik mula menerpa hati apabila saya ingin mendirikan rumah tangga pada 2000. Saya sedar menjadi suami, bapa dan ketua keluarga bermakna saya bakal memikul tanggungjawab besar.

"Maka, hati saya berkata, untuk memikul amanah serta tanggungjawab yang datang bersama status itu, saya perlu menjadi insan lebih baik. Bertitik tolak dari situ saya mengambil inisiatif mendalami ilmu agama," katanya.

Beliau yang kini bertugas sebagai Penolong Naib Presiden di Bahagian Perbankan Perniagaan, Affin Bank Berhad berkata, seperti remaja lain beliau pernah melalui saat di mana hidupnya dipengaruhi kehendak untuk berhibur dan melakukan perkara bertentangan dengan syariat.

Perkara itu berterusan ketika melanjutkan pengajian di UIAM. Walaupun kenakalan beliau tidak pada tahap ekstrim, tetapi penampilan sebagai seorang yang sentiasa ceria serta suka ketawa menjadikan beliau dilihat sebagai seorang yang tidak serius.

Akibatnya, ramai rakan yang mengenali anak kelahiran Bentong, Pahang itu terkejut apabila berjumpa dengannya dan tidak percaya dengan perubahan 360 darjah dilakukan sehingga ada menyangka beliau terbabit dengan kumpulan tabligh.

Mohd Yaakub berkata, bukan saja orang di sekeliling, malah jika ditanya kepada dirinya, beliau sendiri tidak menyangka akan diberi hidayah serta dorongan Allah untuk berubah dan memperbaiki kekurangan diri.

Justeru, katanya, apabila diberi peluang berubah ke arah lebih baik beliau berasakan seolah menjadi satu amanah untuknya berdakwah dan bidang paling dekat dengannya ketika itu ialah bidang penulisan yang dari sehari ke sehari menjadi tabiat positif dalam diri.

"Di sini saya jelaskan pengaruh kawan memang ada kuasa untuk merubah perwatakan seseorang. Apabila saya mula berkongsi pandangan di ruang siber, saya berkenalan dengan ramai orang yang ikhlas memberi pandangan serta kritikan.

"Mereka juga memberi dorongan kepada saya untuk berubah menjadi lebih baik dan menyumbang pula kepada masyarakat. Uniknya, kebanyakan mereka bukan dalam bidang agama, tetapi mampu menghasilkan karya hebat yang menandingi mereka dalam aliran agama," katanya.

Katanya, perasaan menyesal terutama apabila mengingat kembali perkara pernah dilakukan yang bertentangan dengan hukum syarak menguatkan lagi semangat beliau untuk terbabit dalam gerakan dakwah melalui penghasilan buku agama.

Bak kata pepatah, 'di mana ada kemahuan di situ ada jalan', dan dengan keazaman kuat banyak perkara positif dapat dilakukan seperti menghasilkan buku agama begitu juga perkara negatif yang dibuang secara perlahan-lahan contohnya, tabiat merokok.

Menyentuh bidang penulisan, Mohd Yaakub berkata, beliau tidak mengikuti kursus atau bengkel penulisan secara khusus, tetapi berbekalkan minat serta serba sedikit ilmu dituntut di UIAM, diam tak diam, sudah tujuh buku berjaya diterbitkan.

Beliau berkata, tidak disangka buku yang dihasilkan sebagai memenuhi kemahuan hati untuk menyumbang kepada masyarakat rupa-rupanya menjadi jambatan yang menghubungkan serta mendekatkan beliau dengan lebih ramai kawan.

Disebabkan itu, katanya, beliau tidak kisah jika ada yang mempertikaikan hasil karyanya kerana pegangan penulisannya berteraskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yakni berpegang teguh dengan ajaran al-Quran dan sunnah serta golongan salafussalih terdiri daripada sahabat, tabiin dan tabiut-tabiin.

"Jalan atau manhaj salafussalih adalah jalan selamat untuk diikuti umat Islam. Dalam menyampaikan ilmu, saya suka menggunakan istilah amar makruf nahi mungkar kerana menjadi tanggungjawab semua umat Islam mendidik kepada kebaikan.

"Saya buat sekadar yang termampu berpandu kepada sabda Rasulullah SAW supaya sampaikan walaupun hanya satu ayat," katanya yang turut menghadiri kelas agama dipimpin ulama serta ilmuwan untuk memantapkan kefahaman mengenai ajaran Islam.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, sewajarnya kelahiran lebih ramai golongan profesional dalam bidang agama untuk saling bantu membantu mengajak masyarakat ke arah kebaikan dan menentang perkara mungkar diterima secara positif.

Beliau berkata, adanya kumpulan yang digelar 'profesional ustaz' bukan untuk mengambil alih tempat tuan guru atau ustaz, tetapi sekadar membantu menyampaikan ilmu agama melalui pendekatan kreatif, efektif dan bertepatan dengan teknologi terkini.

Malah, kumpulan pendakwah daripada ahli profesional dalam pelbagai bidang itu masih bergantung kepada alim ulama sebagai rujukan untuk mempelajari ilmu agama, selain kajian dilakukan dan maklumat daripada pembacaan.

Mohd Yaakub berkata, kelebihan ustaz daripada kalangan profesional ini ialah mereka tahu ada ruang kosong yang tidak digapai golongan agama dan cuba memenuhi ruang kosong itu bagi membantu masyarakat mendapatkan maklumat diperlukan.

Katanya, dalam keadaan dunia tanpa sempadan hari ini, cara untuk mempelajari ilmu agama tidak hanya bertumpu di masjid, surau atau kuliah yang dianjurkan pihak tertentu. Sebaliknya, orang ramai menuntut ilmu di mana-mana saja dan pada masa mereka suka.

Kewujudan laman web contohnya, memberi ruang lebih luas kepada pelayar internet untuk menimba ilmu agama dan pada masa sama, membolehkan mereka bertukar pandangan atau berbahas bagi lebih memahami serta menghayati ajaran Islam.

"Terus terang saya katakan, masyarakat hari ini bukan seperti zaman dulu, mereka mementingkan soal kesahihan dan ketulenan fakta. Mereka tidak boleh dimomokkan dengan sebarang cerita atau kisah saja.

"Ia bermakna cabaran untuk pendakwah lebih besar, bukan sekadar memberitahu apa yang boleh dan tidak, tetapi menerangkan dengan terperinci hikmah di sebalik larangan atau suruhan itu berpandukan kepada al-Quran dan sunnah yang menjadi landasan utama," katanya.

Wednesday, January 9, 2008

Iqra: Panduan si cilik fahami konsep ketuhanan

Judul: Ibu, benarkah tuhan itu ada?

Penulis: Nabilah Hasan

Penerbit: PTS Islamika PTS Publications and Distributions

Sdn Bhd

Harga: RM15

Pengulas: Hasliza Hassan

APAKAH jawapan yang akan diberi apabila ada kanak-kanak bertanya, benarkah Tuhan itu ada? Soalan cepu mas itu sering kali membuatkan ibu bapa tergamam seketika dan tercari-cari jawapan yang wajar diberi kepada pertanyaan itu.

Buku Ibu, benarkan Tuhan itu ada? boleh dijadikan rujukan bagaimana untuk menjawab persoalan mengenai ketuhanan sesuai dengan tahap pemikiran kanak-kanak supaya mereka dapat memahami konsep kewujudan tuhan.

Penulis berusaha memberi jawapan kepada soalan lazim ditanya secara umum berdasarkan sumber berautoriti dan menggarap semula dengan bahasa mudah bagi membantu proses memberi keyakinan anak kepada Allah.

Buku Ibu, benarkan tuhan itu ada? dimulakan dengan soalan siapakah tuhan kita, dan penulis memberi beberapa pilihan jawapan yang dikupas secara mudah seperti menjelaskan dari mana asal kita dan bagaimana mengenal Allah.

Sebanyak 21 soalan mencabar daripada kanak-kanak dibincangkan dan selain kisah, jawapan turut memetik ayat al-Quran kerana wahyu Allah adalah rujukan yang paling tepat bagi memperkenalkan anak dengan Allah yang menciptakan alam dan sekalian yang ada di dalamnya.

Mungkin ada sesetengah jawapan agak teknikal dan mencabar kefahaman kanak-kanak tetapi boleh dimudahkan oleh ibu bapa mengikut pendekatan bercerita atau memberi contoh yang dirasakan dapat diterima anak.

Buku Ibu, benarkan tuhan itu ada? bertindak sebagai rujukan kerana ibu bapa lebih memahami kaedah terbaik menyampaikan maklumat menggunakan kreativiti masing-masing kerana ada anak boleh menerima penjelasan dengan mudah dan ada sebaliknya.

Maklumat dalam buku ini tidak 100 peratus memenuhi keperluan anak tetapi boleh dimanfaatkan bukan saja dalam mendedahkan mereka kepada ilmu mengenai Allah tetap juga sebagai maklumat tambahan kepadadewasa.

Contohnya, perkara berkaitan ramalan bintang bukan topik sesuai dibincangkan dengan kanak-kanak kerana topik itu agak berat, selain mereka tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan ramalan bintang. Bagaimanapun, topik itu lebih menjurus kepada golongan dewasa, terutama yang suka membaca ramalan bintang.

Walaupun pada dasarnya buku ini untuk memberi kefahaman kepada kanak-kanak, manfaatnya adalah demi kesejahteraan semua lapisan masyarakat kerana suasana hari pada zaman sekarang menunjukkan bukan kanak-kanak saja yang tidak kenal Tuhan, malah dewasa juga ada yang masih tercari-cari.

Hakikat berkenaan tidak dapat dinafikan, oleh itu ia harus ditangani dengan bijaksana.

Justeru, buku Ibu, benarkan Tuhan itu ada? sesuai menjadi bacaan seluruh isi keluarga dalam usaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah dan menjalani kehidupan yang diredai demi kebahagiaan di dunia dan akhirat.