Showing posts with label Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Dakwah. Show all posts

Saturday, February 13, 2010

Pendakwah berhemah, budi bahasa lebih berkesan

Oleh Lokman Ismail


PENDAKWAH tidak boleh mudah putus asa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat. - Gambar hiasan


Tunjukkan contoh baik, berhati-hati dalam tindakan terutama babitkan maruah

MELAKUKAN tugas dakwah perlu berhemah, bijaksana dan bersabar. Cara ini akan memudahkan usaha mengajak orang lain melakukan kebaikan. Firman Allah bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik dan bertukar-tukar fikiran dengan mereka dengan baik." (Surah an-Nahl, ayat 125).

Menggunakan perkataan yang baik, berbudi bahasa dan menghormati pihak yang didakwah adalah satu pendekatan terbaik. Sampaikan dakwah itu dengan kata-kata yang lembut dan menyenangkan hati.

Firman Allah dalam surah Fushshilat ayat 33 memberi panduan bagi mereka yang ingin melakukan kerja-kerja dakwah yang bermaksud: "Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah serta berbaik-baik dan mengaku aku seorang Muslim."

Justeru, amatlah bersalahan dengan apa yang disuruh oleh Allah apabila golongan yang menolak dakwah dipulau dan dipisahkan daripada masyarakat.

Seseorang yang diseru melakukan kebaikan, tetapi masih enggan menerimanya bukan menjadi beban dan masalah buat pendakwah. Tugas menyampaikan risalah Allah telah dilaksanakan, tinggal lagi tidak berjaya seperti diharapkan.

Allah menjelaskan bahawa urusan memberi hidayah kepada seseorang bukan di tangan manusia. Rasulullah SAW sendiri berdepan dengan kesukaran ketika berdakwah di Makkah. Tidak banyak yang menerima Islam sebagai cara hidup biarpun Rasulullah SAW melakukan pelbagai usaha.

Seseorang pendakwah tidak boleh mudah putus asa. Sekeras-keras hati manusia akan tiba masanya menjadi lembut dan menerima apa yang didakwahkan kepadanya.

Rasulullah SAW memberi ingatan agar pendakwah sentiasa berhati-hati dalam menyentuh maruah, perasaan dan kepentingan orang yang ingin disampaikan risalah Allah. Kehadiran pendakwah jangan sampai dianggap musuh oleh orang yang didakwah.

Memandangkan konsep menyampaikan dakwah amat luas, maka setiap Muslim perlu mempunyai semangat ingin menyampaikan dakwah dalam apa bentuk yang mampu dilakukan olehnya.

Melakukan perkara yang baik dengan niat untuk dicontohi orang lain juga satu usaha dakwah. Dengan kata lain, dua kebaikan diperoleh serentak iaitu mendapat kebaikan dan dakwah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa menyeru manusia kepada sesuatu kebaikan, dia akan beroleh pahala sebanyak pahala orang yang mengikutnya dan berkekalan selagi orang itu terus melakukan perkara kebaikan itu." Hadis riwayat Muslim)

Jika tidak mampu melakukan dakwah secara nyata (perbuatan, lisan, tulisan), selemah-lemah dakwah yang boleh dilakukan melalui hati.

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: "Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, dia hendaklah mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu (berbuat demikian) hendaklah mengubahnya dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan hatinya dan yang demikian itu adalah iman yang paling rendah."

Melakukan kebaikan semata-mata masih belum cukup untuk meletakkan seseorang Muslim itu dianggap manusia beruntung selagi dia tidak melakukan amalan saling menasihati antara satu sama lain (dakwah).

Sebenarnya, menjalankan tugas dakwah mengajak orang lain melakukan kebaikan mengingatkan agar diri sendiri melakukan apa yang diserukan kepada orang lain. Cara ini memberi kekuatan untuk meletakkan diri lebih baik daripada orang yang didakwah itu.

Firman Allah bermaksud: "Maka serulah mereka dan tetapkan pendirian sebagaimana kamu diperintahkan." (Surah al-Hajj, ayat 67).

Perkara ini bertepatan dengan konsep yang mana seorang pendakwah sebenarnya contoh kepada orang yang didakwah.

Justeru, sebelum menyeru orang lain melakukan perkara yang diserukan itu, orang itu sendiri perlu memastikan dirinya terlebih dulu melakukannya atau menunjukkan contoh yang baik.

Tuesday, February 9, 2010

Tajdid Iman: Kegemilangan Islam menerusi wasyatiyah

Oleh Dr Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com


KEJADIAN mengebom bunuh diri berlaku hampir setiap masa di Iraq dan di beberapa negara Islam lain kerana fahaman melampau dalam agama atau politik. - Gambar hiasan


Berdakwah perlu secara sederhana, tidak terlalu berlebihan atau ambil mudah

PROVOKASI ternyata gagal membakar kemarahan rakyat Malaysia yang semakin matang berfikir dan bertindak. Kes penemuan kepala babi di masjid dan pembakaran beberapa gereja oleh individu yang mahu menangguk di air keruh dihadapi dengan cukup berwaspada.

Tidak seperti di sesetengah negara Islam yang amat mudah dirangsang bara permusuhan antara etnik dan agama, rakyat Malaysia cukup rasional. Mereka amat menjaga sensitiviti saudara sebangsa serta menghormati kepercayaan agama lain. Inilah kekuatan umat Islam yang sememangnya dituntut agama kita.

Setelah membina kekuatan besar di Madinah, Rasulullah pernah ditegah memasuki Makkah untuk menunaikan umrah oleh orang kafir. Pada hal ketika itu Madinah muncul menjadi negara Islam yang semakin kuat.

Bagaimanapun, Rasulullah akur dengan keputusan perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai bersama kafir Quraisy. Sehinggakan sahabat tidak berpuas hati dan mahu menyerang Makkah yang sudah lemah itu.

Walaupun umat Islam ketika itu majoriti terbesar dan semakin kuat, Rasulullah tidak sewenang-wenang menyerang. Jika mereka mengajak berdamai, baginda menyambut ajakan mereka. Di sini kita melihat dakwah baginda yang cukup diplomatik.

Ini sesuai dengan tuntutan wahyu yang bermaksud: "Wahai orang beriman hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah menjadi saksi dengan adil dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." � Surah al-Maidah: 8

Rasulullah juga melarang sahabat menyerang kafilah Quraisy yang lalu di kawasan mereka di luar kota Makkah kerana tindakan itu tidak mencerminkan akhlak Islam yang adil dan jujur berpegang pada perjanjian damai walaupun kepada kaum minoriti.

Menjadi majoriti tidaklah menghalalkan umat Islam berlaku zalim bahkan Umar pernah berpesan kepada pemimpin Islam pada masa beliau bertakhta sebagai khalifah: "Aku mengutus kamu semua bukan untuk menumpahkan darah manusia tetapi untuk mengajarkan agama kepada mereka."

Pendekatan dakwah Islam bercirikan wasyatiyah. Ia terbukti mampu memberi pulangan baik kepada umat Islam. Wasyatiyah diberi makna oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitabnya Al-Khashaishul Ammah Li Al-Islam sebagai keseimbangan di antara dua jalan yang saling bertentangan.

Islam adalah sistem ciptaan Allah yang tidak mungkin bersifat kekurangan atau berlebihan. Ia adalah sistem yang seimbang dan adil bagi seluruh umat manusia seperti firman Allah bermaksud: "Dan demikian (pula) kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu." � Surah al-Baqarah: 143

Berbeza sistem diciptakan manusia sebagai jalan hidup dan panduan yang tidak mungkin terlepas daripada kekurangan bahkan berlebihan. Hal ini dapat dibuktikan melalui rentangan sejarah dan realiti masa kini.

Dr Yusuf Al-Qaradhawi menambahkan: "Jika pada kurun ke-19 komunis bertakhta, abad 20 pula kapitalis bermaharajalela, Insya-Allah abad 21 adalah milik Islam."

Tamadun dan sistem serta fahaman manusia silih berganti. Umat Islam diharapkan mengambil peranan aktif di arena antarabangsa merebut peluang kecemerlangan dalam segala bidang.

Hal ini tidak akan mampu digalas tanpa memakai pakaian Islam yang sederhana, wasyatiyah, adil dan seimbang. Apa akan jadi jika umat Islam berkurangan dalam mengamalkan ajaran agamanya?

Ramai yang buta Islam kerana tidak faham syariat Allah bahkan mempersendakan hukum Allah. Ini kerana mereka terikut fahaman Barat yang percaya kepada akal saja bahkan dalil sahih pun mereka tolak kerana tidak selari dengan akal fikiran moden mereka.

Lalu ditafsirkan al-Quran mengikut kemahuan akal mereka. Ditinggalkan ulama muktabar bahkan dipersoalkan hadis Rasulullah kerana kononnya tidak sesuai dengan tuntutan zaman. Muncul sarjana berani menyuarakan pandangan kontroversi seumpama Dr Siti Musdah Mulia seorang pensyarah Pemikiran Politik Islam di School of Graduates Studies, Universiti Islam Syarif Hidayatullah, Jakarta.

Beliau juga seorang Profesor Penyelidik di Institut Sains Indonesia yang mendapat pengiktirafan Barat kerana menyokong gay dan lesbian, dengan kenyataannya memeranjatkan: "Homoseksual adalah perkara semula jadi dan ia diciptakan Tuhan. Oleh itu ia dibolehkan agama."

Ada juga golongan terlalu berlebihan bertindak mengikut hawa nafsu. Panduan wahyu dan ajaran sunnah Rasulullah dianggap tidak cukup hebat bagi mereka. Sehingga ada yang beribadah melebihi ibadah Rasulullah, memberatkan agama yang sememangnya mudah.

Golongan yang berlebihan dalam mempercayai kuasa ghaib yang kononnya dimiliki orang tertentu pula tenggelam dalam alam khurafat dan syirik. Mereka tersasar dalam mengambil ilmu di luar jangkauan al-Quran dan hadis Rasulullah.

Ada pula menjalankan hukum melebihi ketentuan Allah sehingga menakutkan umat. Memberi imej keras dan kaku mengenai Islam seakan-akan menjajakan perkara haram saja. Mengenai isu toleransi antara umat beragama, mereka dengan mudah menjatuhkan kafir ke atas orang Islam yang mahu berdiplomasi dengan orang kafir.

Pada hal, Rasulullah sentiasa menjaga hak kafir zimmi. Golongan yang keras dan berlebihan ini akan sentiasa muncul menjejaskan imej Islam di mata dunia. Pengganas antarabangsa yang melakukan kerja bom bunuh diri sentiasa merekrut pengikut yang mudah dipengaruhi dengan fahaman kononnya menurut mereka daripada sumber Islam.

Pada hal, mereka menyelewengkan ajaran agama demi kepentingan dan maksud peribadi. Alangkah malang Islam jika umatnya berada pada dua paksi yang berlawanan, satu berlebihan dan satu lagi berkurangan dalam menjalankan ajaran agama.

Kembalikan kegemilangan Islam dengan sikap wasyatiyah. Berada pada pertengahan, seimbang dan adil. Mengambil Islam daripada sumber asal bukan berat ke kanan atau ke kiri tetapi di pertengahan. Allah ciptakan Islam sebagai sistem yang kukuh, kenapa kita berasa terlebih pandai dari ilmu-Nya?

Penulis ialah Mufti Perlis kini menjadi tamu Pusat Kajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom.

Tuesday, February 2, 2010

Tajdid Iman: Pendakwah usah mudah termakan fitnah

Oleh Dr Juanda Jaya

TEGANG dengan persaingan politik, isu perkauman dan sensitiviti agama, sedikit sebanyak mempengaruhi sikap umat Islam. Keadaan ini tentangan berat yang mesti dipikul pemimpin negara, ulama dan umat seluruhnya. Kita wajib bersyukur atas setiap kejadian yang tertulis sebagai takdir umat ini, setiap musibah mesti menghantar sebuah mesej penting daripada Allah SWT.

Selepas sibuk bertegang urat sedaya upaya menuntut nama Allah disucikan daripada sebarang kekotoran yang akhirnya melahirkan aksi ganas individu tidak bertanggungjawab di beberapa masjid dan gereja, ia menambah lagi sakit hati umat Islam dan Kristian di negara ini.

Seandainya kita boleh bersahabat dengan mereka tanpa diiringi ketakutan tidak berasas. Rasulullah SAW pernah bersahabat dengan seorang pemuda Yahudi, ketika pemuda itu sakit dengan penuh kasih sayang Baginda menziarahinya sehingga menimbulkan ikatan hati antara mereka yang melahirkan syahadah di penghujung hayat pemuda berkenaan.

“Sesungguhnya ada seorang anak Yahudi yang berkhidmat kepada Nabi SAW sakit lalu Bagidna menziarahinya sedangkan dia ketika itu dalam keadaan sakit menghadapi maut. Nabi SAW menyerunya kepada Islam, lalu ia melihat kepada bapanya yang berada di sebelah kepala lalu bapanya itu berkata: Taatilah Abul Qasim (Nabi SAW) lantas dia memeluk Islam kemudian meninggal dunia.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari, Abu Daud dan Imam Ahmad).

Memang tidak dinafikan wujudnya makar kuffar setiap zaman, mubaligh Kristian ada sedikit hasil di Indonesia, Filipina dan negara miskin di Afrika. Jaringan dakyah mereka direstui penjajah dulu hingga zaman moden kini. Namun, mereka hanya mampu menukar akidah dengan kesenangan hidup untuk orang miskin dan jahil yang pasti tidak akan berakar kuat sedangkan dakwah Islam semakin hari semakin menerjah negara maju dengan peningkatan semakin ketara selepas tragedi 11 September.

Hal ini terbukti dengan negara Eropah dan Amerika kian takut dengan virus yang mereka namakan Islamophobia. Takut terancam ialah sifat semula jadi manusia, namun umat Islam diharap mampu bertindak secara rasional tanpa mengetepikan bimbingan wahyu dan sunnah Nabi SAW dalam memandang setiap isu terutama usaha ejen yang mahu memurtadkan umat Islam. Kita dituntut bersikap adil dan berpegang pada bukti kukuh dalam berdepan isu murtad.

Adakah bukti mubaligh sudah bertapak di Malaysia dan berjaya memurtadkan orang Islam? Berapakah bilangannya dan apakah ia membabitkan bangsa Melayu atau saudara baru saja yang tidak terbimbing selama ini? Semua itu boleh dipersoalkan di jabatan agama Islam setiap negeri. Jika ternyata bukti itu amat membimbangkan, apakah mungkin pemimpin dan ulama tanpa mengira parti tidak mahu bertindak.

Namun, langkah pencegahan juga tidak sepatutnya dibekukan jika tiada bukti kukuh kerana khabar angin sudah cukup merisaukan kita dan wajib setiap individu meneliti langkah dakwah umat Islam sendiri sebelum meneliti dakyah penganut agama lain.

Dakwah Islam patut disusun dan dirancang dengan kemas melalui individu atau kelompok dan kumpulan dakwah tanpa menyibukkan diri dengan isu perpecahan sesama sendiri akibat pendekatan berbeza. Jika yang berqunut tidak cukup tenaga untuk berdakwah ke pedalaman Orang Asli, mengapa dipersoalkan isu tauliah kepada ulama yang tidak berqunut jika mahu berdakwah?

Umat ini sebenarnya kekurangan pendakwah seperti masyarakat sibuk mempersoalkan kurangnya tenaga doktor di hospital atau polis di kawasan perumahan mereka. Semua setuju bahawa pendakwah, doktor dan polis amat diperlukan untuk kesejahteraan masyarakat. Tanpa mereka takkan mungkin keamanan dan kedamaian wujud.

Oleh itu, setiap organisasi dakwah perlu mampu berperanan melebihi pendakyah yang benar-benar tangguh membela keyakinan mereka. Kekuatan merancang, mengatur kerja dan menyusun strategi menjadi faktor kejayaan kumpulan dakwah. Umat amat merindui pendakwah yang amanah, kasih dan sayang, jujur dan ikhlas tanpa menyimpan agenda peribadi.

Persaingan dengan pendakyah agama lain dalam medan sebenar perlu benar-benar dirasai umat Islam. Jangan hanya pandai berkata-kata tetapi tiada realitinya, di manakah pendakwah Islam saat umat dilanda buta al-Quran dan al-Sunnah dan ketika umat kelaparan lagi miskin akibat tidak tercapai sentuhan zakat? Di manakah anda ketika masjid sepi tanda umat yang lalai dan tandus ilmu?

Ke manakah hilangnya seruan persatuan, rahmatan lil alamin kepada umat yang jahil lagi taksub, fanatik tak kenal kompromi apatah lagi toleransi akibat kejahilan dan buta agama? Bahkan diapi-apikan lagi bahang permusuhan kepada agama lain, disebarkan cerita rekaan yang menakutkan mengenai strategi perang orang kafir sehingga menimbulkan syak wasangka, kebencian dan dendam.

Pada hal cerita itu tidak pun menggambarkan kenyataan sebenar kerana amat kekurangan dalil dan bukti kukuh yang menunjukkan kejahatan mereka secara langsung sebagai umat minoriti. Namun pada masa sama, golongan yang mendakwa sebagai khairu ummah ini hanya suka duduk bersembang di kedai mamak mereka cerita dan menabur fitnah. Jika dibiarkan seruan kebencian ini, boleh menimbulkan aksi ganas yang menggugat keselamatan negara seperti di negara lain yang menjadi mangsa berikutan tiada rasa toleransi sesama umat beragama.

Pada hal untuk mengelak daripada rusuhan kaum dan agama dalam masyarakat Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membunuh kafir muahad (orang kafir yang membuat perjanjian damai dengan kerajaan Islam), dalam riwayat lain sesiapa yang membunuh ahli zimmah, ia tidak dapat mencium bauan syurga.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Ketika semakin ramai penduduk dunia memahami pentingnya menjaga keamanan bersama dengan mewujudkan sikap saling menghormati dan berlaku adil, takkan umat Islam di Malaysia baru hendak mencuba bermain api?

Amat malang lagi jika sarjana Islam dan pendakwahnya mudah termakan api fitnah. Umat ini memerlukan dai bermata jeli dan berhati kapas yang mampu memandang isu dengan bimbingan dalil sahih dan melembutkan setiap aksi dakwahnya supaya terusik jiwa umat yang mendengar seruannya.

Penulis ialah Mufti Perlis kini menjadi tamu Pusat Kajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom

Saturday, December 5, 2009

Jakim anjur Ekspedisi Kasih sempena Aidiladha

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


BERAMAH mesra sempena program Ekspedisi Kasih di Pos Hendrop.


Program bertujuan memberi penjelasan mengenai ibadat korban kepada Orang Asli

MENGGUNAKAN pendekatan dakwah bil hal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan program Ekspedisi Kasih sempena sambutan Aidiladha di perkampungan Orang Asli di Pos Hendrop, Gua Musang, Kelantan.

Program bertujuan memberi penjelasan dan pendedahan mengenai ibadat korban kepada masyarakat Orang Asli serta cara meraikannya menurut kaca mata Islam itu diketuai Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Program julung kali dianjurkan itu mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Wan Mohamad berkata, penganjuran program ibadat korban kepada kumpulan sasar seperti masyarakat Orang Asli secara langsung membolehkan mereka menghayati hikmah dilaksanakan korban yang menjadi syariat agama.

Katanya, pembabitan masyarakat Orang Asli dalam aktiviti penyembelihan dan pengagihan secara gotong-royong dengan semangat kerjasama memperlihatkan kemurnian Islam dalam menjaga kepentingan golongan kurang berkemampuan.

"Semangat kerjasama ini dapat menerapkan nilai murni ibadat korban kepada masyarakat Orang Asli dalam hubungan sesama manusia kerana selain membantu mereka yang tidak berkemampuan, pelaksanaan secara gotong-royong mengeratkan lagi hubungan silaturahim.


WAN MOHAMAD (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Orang Asli.


"Hikmah ibadat korban ini perlu dihayati supaya tujuan pengorbanan itu benar-benar mencapai matlamat," katanya pada majlis perasmian program Ekspedisi Kasih yang diadakan selama tiga hari untuk mengimarahkan sambutan Aidiladha.

Hadir sama, wakil Abim, Datuk Dr Abdul Razak Kecik; Pengarah JHEOA Negeri Kelantan, Abdul Razak Arsyad dan Mohd Zamri dari Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) serta pengurusan tertinggi Jakim.

Selain menyembelih tujuh ekor lembu, program itu dimeriahkan dengan jamuan hari raya, penyampaian sumbangan oleh Pertubuhan Himpunan Lepasan Institut Pendidikan Malaysia (Haluan) dan ceramah bertajuk Sejarah Ibadat Korban oleh Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA).

Pada majlis itu, Wan Mohamad turut merasmikan surau di tengah-tengah perkampungan Pos Hendrop sebagai hadiah kepada penduduk kampung selain menyampaikan sumbangan wang dan barangan berjumlah RM10,000.

Program meraikan penduduk Pos Hendrop terdiri dari 13 kampung itu turut melakar sejarah apabila 142 penduduk melafazkan syahadah termasuk Tok Batin Kampung Hendrop, Penghulu Rongging Busu.

Wan Mohamad berkata, Jakim akan menghantar pegawainya pada 11 Disember nanti bagi membuat proses susulan dan pemantauan seterusnya membantu masyarakat Orang Asli yang baru memeluk Islam.

"Saya gembira kerana majlis ini disempurnakan pada hari raya korban dan berharap dapat menjenguk lagi semua saudara Islam di sini pada sambutan Maulidur Rasul nanti untuk bersama-sama meraikan hari mengimbau sejarah perjuangan Rasulullah SAW," katanya.

Jumlah keseluruhan penduduk di Pos Hendrop ialah 594 orang dan 346 daripadanya beragama Islam.

Thursday, December 3, 2009

Berdakwah kepada Orang Asli tuntut kesabaran

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


BERDAKWAH kepada Orang Asli adalah satu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan walaupun banyak keutamaan lain yang harus didahulukan. - Gambar hiasan


Wajib bagi orang Islam mengutuskan nasihat sesama insan, terutama yang memerlukan

PENEMPATAN 200 pegawai agama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di semua perkampungan Orang Asli di negara ini bagi memastikan masyarakat itu mengenali agama Islam dan cara hidup Islam yang sebenar boleh memperkasakan program dakwah yang sudah lama dilakukan di negara ini.

Ia menjadi agenda dakwah yang utama di era globalisasi selain tuntutan mengembalikan akidah dan akhlak yang tercalar di kalangan umat Islam moden, yang kurang mengamalkan cara hidup Islam kerana pengaruh sosial dan budaya yang mengatasi syarak.

Berdakwah kepada Orang Asli adalah satu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan walaupun banyak keutamaan lain yang harus didahulukan. Setelah mereka menyatakan syahadah, mereka perlu dibimbing dan dibantu, tambahan pula cara hidup asal yang jauh menyimpang daripada agama baru yang mereka anuti sudah sebati dalam diri mereka dan menjadi ikutan sejak berzaman lamanya.

Pengalaman berkampung di salah sebuah pos Orang Asli di Gua Musang lebih 10 tahun lalu mengingatkan penulis mengenai tugas wajib setiap individu Muslim dalam mengutuskan nasihat sesama insan, lebih-lebih lagi yang amat memerlukan panduan dan pedoman dalam melayari kehidupan berpaksikan agama yang satu.

Merentasi perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke destinasi yang asing bagi penulis menimbulkan tanda tanya kerana penganjur membawa bekalan minyak masak, beras, susu tepung, gula, sabun mandi, mancis, sayur-sayuran, ikan bilis, rempah ratus dalam jumlah yang begitu besar.

Telahan penulis, ia untuk diagihkan kepada setiap keluarga Orang Asli yang akan kami lawati. Dengan menaiki trak milik Kementerian Kesihatan, kami meredah jalan tanah merah yang berdebu.

Perjalanan jauh ke dalam hutan tebal menggusarkan tetapi pemandu kenderaan yang sudah acap kali merentas denai yang sama meyakinkan penulis bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Sebaik tiba, deretan Orang Asli mula datang menyambut kami yang kali pertama mengunjungi mereka, mengeratkan talian kasih dari jauh di kota batu ke penempatan yang terlalu luar biasa untuk kami. Kebanyakan mereka datang untuk meminta sabun dan mancis, tetapi kami dilarang mengagihkannya.

Namun, mereka diminta supaya datang sebelum Maghrib ke surau yang dibina di setiap pos untuk kemudahan 'saudara baru' menunaikan solat dan mengadakan aktiviti keagamaan. Surau itu jugalah menjadi tempat tinggal kami sepanjang seminggu berada di pos Orang Asli. Walaupun tiada kemudahan seperti surau lain, kami cukup teruja memanfaatkan setiap saat bersama mereka, terutama yang belum menerima hidayah Allah SWT, tetapi tetap ingin tahu mengenai agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW ini.

Aktiviti berbentuk solat jemaah, membaca Muqaddam, qiyamullail dan Fardhu Ain menjadi rutin setiap kali Orang Asli dikunjungi pegawai agama atau pelajar institusi pengajian tinggi, yang mencuri peluang menunaikan kewajipan berdakwah terhadap saudara baru sewaktu cuti semester. Biarpun sukar berkomunikasi kerana bahasa berbeza, ia tidak sedikit pun membuatkan penulis berputus asa, sebaliknya masa yang terlalu singkat menjadi sebab untuk tidak mensia-siakan peluang yang ada.

Aktiviti paling menyeronokkan buat mereka ialah sukaneka, kerana mereka akan diberikan hadiah berupa hamper berisi makanan dan minuman yang langsung tidak pernah mereka jamah sebelum ini.

Pada hari terakhir, penulis dan teman sama-sama mengadakan kenduri kesyukuran di atas silaturrahim yang terbina dan ia sangat menyeronokkan, apabila Orang Asli di situ datang membawa pisang hutan untuk dimasak lemak bersama terung pipit dan buah-buahan yang mereka tanam.

Walaupun jauh beratus batu, perjalanan pulang terasa amat singkat apabila kami saling menghimbau kenangan sewaktu berada di pos Orang Asli yang tidak pernah terbayang sebelum ini, lebih-lebih lagi apabila kami ke sungai untuk mandi dan mengambil wuduk sebelum azan subuh berkumandang.

Yang paling manis, apabila beberapa orang saudara baru dapat menghafal beberapa surah pendek yang diajar sepanjang kami berada di sana.

Pegawai agama yang perlu bermukim di pos-pos Orang Asli tentulah luar biasa semangat dakwahnya kerana tidak mudah mengarifkan mereka yang sifar langsung mengenai agama ini, tambahan pula ada di kalangan Orang Asli hanya memahami bahasa mereka sahaja dan juga fobia terhadap kehadiran'orang luar'.

Bagaimanapun, tiada apa yang mustahil dalam urusan dakwah kerana menyeru kepada haq adalah satu kewajipan, bukannya pilihan.

Tuesday, November 10, 2009

Perspektif Ikim: Gabungan dakwah, teknologi cetus pembangunan jiwa ummah

Oleh Norkumala Awang

KEPESATAN pembangunan teknologi tidak harus dipinggirkan dalam memartabatkan dakwah agar pengajaran dan maklumatnya sampai kepada khalayak dengan cepat, tepat dan berkesan. Kombinasi kedua-dua elemen, iaitu dakwah dan teknologi mampu mencetuskan natijah untuk pembangunan jiwa ummah.

Kehebatan teknologi yang wujud pada era sekarang harus dipandang sebagai satu kelebihan untuk dimanfaatkan bagi mereka yang bergelar teknodaei atau pendakwah pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Menyoroti sejarah dakwah Islam tersebar dan disampaikan kepada umat manusia, kisah Nabi Musa AS boleh dijadikan iktibar. Bagaimana Baginda dianugerahkan Allah dengan mukjizat tongkat kerana zaman itu kepakaran sihir adalah antara ciri kekuatan dan menjadi pelindung kepada kezaliman penguasa.

Hakikat inilah yang memaparkan bahawa cara dan pendekatan dakwah mesti bersesuaian dengan cabaran dan situasi semasa. Namun, kecanggihan dan kepesatan teknologi pula tidak dapat menjamin bahawa sesuatu dakwah Islam itu dapat difahami dan bertapak ke setiap jiwa manusia.

Duduknya kefahaman seseorang individu terhadap sesuatu ilmu itu bukan terletak pada kehebatan teknologi, tetapi terletak kepada mutu kandungan ilmu itu. Dalam hal sebegini, adab menuntut ilmu dan penyediaan jiwa yang berada di luar kerangka teknologi itu perlu diberi penekanan.

Oleh itu, teknologi sekadar membantu teknodaei untuk memudahkan kefahaman Islam itu disampaikan. Dalam sifat yang lebih global, perkembangan teknologi menjadi pemangkin dalam usaha penyebaran dakwah menerusi pelbagai media, contohnya internet, filem, iklan, animasi, radio, televisyen dan banyak lagi aplikasi terkini yang terlalu mudah untuk dicapai.

Persoalannya, bagaimana untuk menggunakan medium itu agar ia berkesan dalam penyampaian ajaran Islam dan lebih daripada apa yang sekadar dipaparkan. Sebaliknya mempunyai mesej yang sesuai dengan realiti dan kehendak sebenar masyarakat Islam.

Masyarakat kita amat terpengaruh dengan apa yang ditayangkan di media massa. Justeru, ia adalah satu peluang untuk pendakwah teknologi menggunakan kepakaran dalam bidang masing-masing, memainkan peranan dan memikul tanggungjawab dakwah. Di sinilah pentingnya ruang dan kepakaran itu dimanfaatkan bagi menakluki hati masyarakat agar terpaut dengan ajaran Islam yang sarat nilai murni.

Apa yang perlu digarapkan adalah penghasilan drama, filem dan iklan memerlukan tenaga tunjang iaitu pengarah, penerbit dan penulis skrip yang memahami dan mementingkan aspek ajaran Islam dalam setiap produk mereka. Dari sinilah akan bermulanya pendidikan secara tidak langsung kepada masyarakat yang dahagakan alternatif lain untuk bagi mempelbagaikan tontonan mereka.

Dominasi media elektronik perlu membabitkan pengamal yang berkualiti dari aspek sahsiah dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap dakwah. Dari sini, akan lahirlah produk yang sarat dengan pengetahuan dan pengajaran Islam untuk dihidangkan kepada masyarakat. Dengan kata lain, penyedia program media elektronik tidak terbelenggu dan stereo taip malah sentiasa mencipta semula program yang lebih menarik daripada yang sedia ada.

Berdakwah tidak hanya terhad dengan cara membabitkan pendengar atau penonton, tetapi di kalangan pembaca juga perlu diambilkira. Sastera mampu dijadikan alat dakwah dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat supaya cenderung dan memahami Islam sebenar. Namun, peranan yang dimainkan penulis yang perlu dibuat penambah baik agar elemen Islam dalam karya penulisan dapat digarapkan seterusnya menambat hati pembaca.

Teknologi membuka ruang kepada penyebaran maklumat mengenai agama dengan lebih pantas dan berkesan. Namun, jumlah penyebaran maklumat yang banyak tidak dapat menjamin mutu kefahaman mengenai agama. Di sinilah wujud halangan sebenar dalam dakwah, iaitu berlakunya penyampaian semata-mata tanpa ada unsur pentarbiahan dan mungkin hanya bergantung kepada teknologi semata-mata.

Persoalannya, bagaimana untuk melahirkan ‘tekno-murabbi’ dalam konteks pembangunan jiwa ummah? Sebagai pengguna teknologi, kadangkala kita tiada asas untuk menilai kesahihan sesuatu maklumat ekoran daripada keterbukaan dunia kini.

Saturday, November 7, 2009

Agenda jana gelombang dakwah abad ke-21

Muhamad Razak Idris

PERGERAKAN Islam di negara ini harus mula menyusun usaha bagi menjana gelombang baru kebangkitan dakwah. Usaha ini adalah cabaran utama pada abad 21 bagi pertubuhan berteraskan Islam di Malaysia. Keutamaan usaha menangani cabaran ini disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, tahap kesedaran terhadap Islam sebagai satu cara hidup pada masa kini sudah semakin merata. Ini dapat dilihat menerusi fenomena pengamalan ajaran Islam yang bertambah meluas dalam pelbagai aspek kehidupan sama ada peringkat individu, kemasyarakatan dan kenegaraan.

Kita boleh melihat contoh perkembangan fenomena kesedaran Islam yang meluas ini menerusi beberapa aspek. Salah satunya ialah dari sudut peningkatan kefahaman individu dan masyarakat mengenai erti agama Islam itu sendiri. Pada masa kini, kefahaman bahawa agama Islam ialah satu cara hidup yang meliputi seluruh aspek kehidupan sudah mula melebar. Kefahaman ini berbeza sekiranya dibandingkan dengan tahap kefahaman mengenai agama Islam pada peringkat awal kebangkitan dakwah.

Agama Islam pada tahap terbabit dipandang sebagai satu bentuk amalan 'ritual' atau 'upacara' khusus antara seorang manusia dengan Penciptanya yang dijelmakan menerusi rukun-rukun agama seperti bersolat dan berpuasa. Pada tahap ini, masyarakat Islam masih belum mengerti bahawa agama Islam selain keupacaraan pada masa sama satu sumber nilai yang boleh dijelmakan di dalam bidang pentadbiran dan urusan kemasyarakatan, perekonomian, pendidikan, perundangan dan hal ehwal kenegaraan.

Saturday, May 16, 2009

Media elektronik wadah berkesan sebar dakwah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Penajaan sektor koporat bagi program keagamaan mampu tingkat keuntungan, keberkatan

PIHAK swasta dan korporat diminta menaja program keagamaan bagi menyemarakkan lagi usaha dakwah melalui media elektronik kerana selain nilai komersial melalui penajaan, langkah itu sebagai cara menambah keberkatan kepada syarikat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, berkata program keagamaan banyak memberi pengajaran sama ada secara langsung dan tidak langsung kepada penonton yang mengambil iktibar daripada program berkenaan.

Katanya, penajaan pihak swasta dan korporat memberi nilai tambah kerana imbuhan yang disediakan jika ada, mampu menarik minat penonton mengikuti serta menimba pengetahuan daripada maklumat disampaikan.

"Program keagamaan sentiasa dinantikan penonton yang sukakan kepada pembangunan minda untuk membentuk individu berjiwa kasih sayang dalam masyarakat berbilang bangsa di negara ini. Tajaan pihak swasta dan korporat akan memberi nilai komersial.

"Lebih penting ialah jika program itu menjadi ikutan, bayangkan berapa ramai yang akan mendapat pengajaran. Tidak semestinya kesedaran itu secara terus, mungkin program menjadi panduan dalam kehidupan dan itu satu proses pendidikan. Ini akan beri keberkatan kepada pihak yang menaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kuiz Al-Risaalah - Berita Harian di Sri Pentas, Damansara. Majlis penyampaian hadiah itu disiarkan secara langsung melalui program Nasi Lemak Kopi O di TV9.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi TV9, Bokhari Che Muda; Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin; Pengarah Urusan Darul Fikir, Datuk Mohd Zaki Ahmad; Pengarah Limatic Travel and Tours Sdn Bhd, Datin Nor Hanida Samsun Baharun dan Pengarah Eksekutif CSL Sdn Bhd.

Pembantu Tadbir Kewangan Hospital Parit Buntar, Mohd Faisal Ahmad Mansor, 38, melahirkan rasa syukur kerana diumumkan sebagai pemenang hadiah utama iaitu kereta Perodua Viva berharga RM28,000 tajaan Darul Fikir Sdn Bhd.

Katanya, berdasarkan maklumat melalui akhbar mengenai penjurian kuiz berkenaan, beliau tidak yakin nasib akan menyebelahinya kerana menyedari saingan hebat daripada peserta lain yang pastinya tekun mengikuti program berkenaan selama sebulan.

"Ketika dimaklumkan bahawa saya tersenarai antara lapan pemenang, saya kata hadiah sagu hati pun sudah memadai. Apabila tinggal saya seorang saja menanti pengumuman hadiah utama, saya bersyukur sangat," katanya.

Beliau yang tidak pernah ketinggalan menonton Al-Risaalah 2 yang disiarkan jam 10.30 malam setiap hari sepanjang Ramadan lalu memang meminati siri dokumentari yang menyingkap kisah nabi dan rasul dalam usaha mereka mengembangkan ajaran Islam.

Bagi jurutera bangunan, Norhisham Idris, 33, hadiah tempat kedua iaitu pakej umrah yang diterima adalah hadiah ulang tahun perkahwinan yang disambut bulan ini bersama isteri, Siti Nurul Ain Abdul Hamid.

Beliau yang menghantar lapan borang penyertaan tidak menyangka akan terpilih sebagai seorang daripada tiga pemenang hadiah utama kerana pernah terlepas beberapa siri program Al-Risaalah 2.

"Sebenarnya saya tak yakin dengan jawapan yang diberi kerana ada beberapa siri yang saya terlepas menonton dan sebab itu saya hantar lapan borang penyertaan. Tetapi, semua ahli keluarga menonton dan mereka bantu mencari jawapan," katanya.

Katanya, disebabkan pakej umrah 12 hari 10 malam yang ditawarkan hanya untuk seorang, beliau akan menampung kos menunaikan umrah untuk isterinya supaya mereka dapat pergi bersama.

Sementara itu, pemenang hadiah ketiga yang menawarkan tambang menunaikan umrah, Noor Aini Mohd Rashid, 50, berkata penyertaan beliau sekadar memenuhi minat menonton program Al-Risalaah 2 yang banyak memaparkan tempat bersejarah.

"Jika hendak pergi sendiri ke tempat itu bukan senang dan apabila Al-Risaalah siarkan apa yang ada di sana, itu sesuatu yang besar manfaatnya buat saya. Jika tidak, bila agaknya saya dapat melihat batu kesan pukulan tongkat Nabi Musa," katanya.

Selain hadiah utama, ketiga-tiga pemenang turut menerima hadiah telefon bimbit tajaan CSL Sdn Bhd yang turut menaja hadiah untuk lima penerima sagu hati.

Pengadilan kuiz dilakukan juri diketuai Pengurus Projek Khas TV9, Che Wan Alias Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Islam Hadhari, Wan Abdul Hamid Wan Teh; Pensyarah Pengajian Islam Universiti Malaya, Roslan Mohamed; Pengarah Limatic Travel and Tours Sdn Bhd, Datin Nor Hanida Samsun Baharun; Pengurus Limatic Travel and Tours Sdn Bhd, Nur Hasmiza Salleh dan Penolong Pengarang Unit Khas Berita Harian, Muhd Yusof Abu Bakar.

Pemilihan pemenang berdasarkan semua jawapan yang betul dan slogan terbaik. Keputusan disahkan Juruaudit Dalaman Media Prima, Nur Hazwani Abdul Halim.

Kuiz Al-Risaalah memerlukan peserta mengumpul 30 soalan yang disiarkan dalam Berita Harian dan Berita Minggu sepanjang Ramadan lalu. Peserta juga perlu melengkapkan slogan tidak lebih 15 perkataan.

Penganjur memilih 96 penyertaan dan menyenarai pendek 33 daripada jumlah itu yang memberi jawapan tepat bagi semua soalan dikemukakan.

Kuiz al-Risaalah kali ini agak mencabar kerana penonton bukan menjawab soalan sebaliknya perlu memadankan gambar yang disiarkan pada borang kuiz berdasarkan episod dan gambar berkenaan tidak menurut urutan.

Program Al-Risaalah 2 bertemakan Musa-Kalimullah adalah kesinambungan daripada kisah nabi yang disiarkan program Al-Risaalah musim pertama yang memaparkan cerita 12 nabi bermula dengan Nabi Adam hingga Nabi Ayub.

Al-Risaalah 2 menyingkap kisah sembilan nabi iaitu Nabi Syuib, Nabi Musa, Ilyasa', Zulkifli, Harun, Daud, Sulaiman, Ilyas dan Yunus. Sebanyak lapan episod menumpukan riwayat hidup Nabi Musa yang menjadi tema program itu.

Saturday, May 9, 2009

Ekspedisi Kasih yakinkan Orang Asli mengenai Islam

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

CAWANGAN Dakwah Bukan Islam dan Orang Asli (DBIOA), Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan program 'Ekspedisi Kasih' ke Perkampungan Orang Asli di Pos Raya Simpang Pulai, Perak serta Pos Hendrop dan Tuel di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom, yang merasmikan program berkenaan, berkata jabatan dan agensi berkaitan perlu memperluaskan kegiatan bagi merapatkan hubungan masyarakat luar dengan Orang Asli.

Katanya, hubungan yang rapat perlu bagi memastikan Orang Asli mendapat bimbingan secara berterusan seterusnya memberi keyakinan untuk mereka mendalami agama Islam dengan lebih berkesan.

"Pelbagai program yang dianjurkan termasuk Ekspedisi Kasih ini diharap memberi kesan lebih baik kepada Orang Asli dan pada masa sama, membolehkan kita memperkenalkan kemuliaan Islam sebagai agama fitrah," katanya.

Pada majlis itu, Jamil Khir turut menyerahkan sumbangan kepada penduduk Kampung Orang Asli Pos Raya, Simpang, Pulai Perak.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jakim yang juga ketua Ekspedisi Kasih, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Othman Mustapha dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jakim, Mohd Noor Abd Hamid.

DBIOA adalah salah satu daripada empat cawangan dakwah di bawah Bahagian Dakwah Jakim yang ditubuhkan pada 1 Januari 1997 bertujuan melaksanakan kegiatan dakwah memperkenalkan Islam dan memberi kefahaman serta penjelasan mengenai Islam kepada bukan Islam.

Cawangan yang menjadikan bukan Islam dan Orang Asli sebagai kumpulan sasaran memastikan program ziarah serta pengenalan Islam dapat dilaksanakan melalui program pemantapan serta susulan yang dirancang.

Objektif DBIOA selain menarik lebih ramai Orang Asli dan bukan Islam memeluk Islam, cawangan itu juga membuat penyelidikan dan gerak saraf terhadap Orang Asli serta melaksanakan pengurusan penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA).

Antara pendekatan DBIOA ialah mengadakan sambutan sempena hari-hari kebesaran Islam dan program khidmat masyarakat di perkampungan Orang Asli, mengendalikan bengkel, muzakarah, mesyuarat dan majlis mesra dengan saudara baru dan saudara yang belum Islam.

Konvoi Ekspedisi Kasih membabitkan 69 peserta menaiki 20 kenderaan pacuan empat roda bermula dari Putrajaya itu mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Majlis Agama Islam dan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Perak dan Kelantan dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).

Terbabit sama ialah Kementerian Kesihatan Malaysia, Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat), Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) Polis Diraja Malaysia, Hospital Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Hospital Pusrawi dan Angkatan Relawan Rakyat (Rela).

Seramai 45 Orang Asli di Pos Hendrop, Gua Musang, menyatakan keislaman mereka disaksikan Wan Mohamad yang kemudian menyempurnakan majlis syahadah itu. Sebelum itu, seramai tujuh Orang Asli memeluk Islam iaitu empat di Pos Raya, Simpang Pulai dan tiga di Pos Tuel, Gua Musang.

Pengislaman 76 Orang Asli sempena Ekspedisi Kasih dan sambutan baik daripada masyarakat Orang Asli membuktikan Islam mampu dikembangkan melalui program yang dilaksanakan secara terancang.

Program susulan adalah penting kerana sebagai saudara baru, banyak yang ingin dipelajari untuk mendalami ajaran Islam seterusnya menterjemahkannya dalam kehidupan harian mereka sebagai umat Islam.

Saturday, May 2, 2009

Akhlak terpuji jayakan dakwah

DARIPADA Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apakah tidak menarik hatimu bagaimana Tuhan menghindarkan daripadaku caci maki dan kutukan orang Quraisy. Mereka yang mencaci dan mengutuk ialah orang tercela, sedangkan aku orang terpuji." (Hadis riwayat Bukhari)

Ada dua sifat yang bertentangan, sifat terpuji (mahmudah) dan tercela (mazmudah). Rasulullah SAW ialah manusia terpuji. Meskipun ditentang, dimusuhi dengan kata-kata kemudian dengan makian, penghinaan, ancaman dan akhirnya pembunuhan, Baginda SAW tidak membalas kejahatan itu.

Baginda SAW tidak pernah marah dan bertindak keras bahkan tenang serta tidak berputus asa. Nama Baginda SAW mencerminkan akhlak yang sekali gus melontar kembali setiap tohmahan serta keburukan dilemparkan kepada pihak yang mengutuk iaitu musuh Baginda.

Allah mengingatkan Rasulullah SAW, manusia menjauhkan diri jika Baginda bersikap keras dan kasar. Sedangkan melalui kasih sayang, hati yang keras menjadi lembut dan cair untuk menerima kebenaran.

Jundub Ibn Sufyan menerangkan: "Rasulullah SAW pada suatu hari berada dalam peperangan sedangkan anak jari Baginda sudah berdarah. Maka berkata Rasulullah SAW: "Engkau hai anak jari tiada selain anak jari yang sudah berdarah dan di jalan Allah apa yang sudah engkau deritai." (Hadis Bukhari dan Muslim)

Nabi pernah menyatakan tekanan paling berat pernah dirasakan Baginda ketika berdepan dengan orang Quraisy ialah pada Hari Aqabah di Mina iaitu ketika ke Taif untuk berdakwah.

Baginda SAW berharap penduduk Taif menerima dakwah Islam dan melindunginya daripada keganasan Quraisy. Namun, sebaliknya berlaku apabila Baginda diusir dan dikasari sehingga luka berdarah.

Berikutan peristiwa itu Allah mengutuskan malaikat membantu Baginda membinasakan puak yang menentang itu. Namun sebagai nabi, Baginda tidak terburu-buru.

Baginda menolak bantuan Allah dan mengharap kaum yang melampau itu diberi kesedaran dan tidak dibinasakan kerana perlakuan mereka sebenarnya disebabkan kejahilan.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Friday, April 24, 2009

Filem wajar jadi wadah, senjata sebar risalah Islam

Oleh Amran Zakaria

MEMPERKATAKAN kerja dakwah bermakna kita melakukan usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia mengenali Islam, menerima dan menghayatinya yang dilaksanakan menerusi kaedah, cara serta pendekatan tertentu.

Pendekatan dakwah yang diambil seboleh-bolehnya tidak terlalu stereotaip. Adalah dicadangkan supaya pendekatan dakwah bergerak mengikut peredaran masa dan kecanggihan teknologi yang semestinya dimanfaatkan secara berkesan.

Teknologi yang amat berkesan dan berpengaruh hari ini ialah multimedia seperti video, audio, gambar, grafik, animasi dan teks untuk menyampaikan maklumat. Multimedia kini menjadi instrumen sangat berpengaruh dan berkesan.

Sejarah merekodkan filem pertama diperoleh dari Barat dibawa masuk ke dunia Islam oleh ahli keluarga kerajaan Uthmaniyah dan pengimport tempatan ketika peralihan abad ke-20. Filem pertama ditayangkan di Istana Sultan di Istanbul.

Sementara pekerja filem Islam menghasilkan filem mereka sekitar 1930-an. Sehingga Perang Dunia Kedua, jumlah penghasilan filem mereka tetap kecil. Pada 1960-an, industri filem dunia Islam mulai muncul, sekalipun jumlah penghasilannya jauh lebih kecil berbanding dihasilkan Barat.

Cita rasa umat Islam terhadap filem amat rendah dibandingkan dengan Barat yang sememangnya mengguna dan memanfaatkan filem untuk dijadikan senjata memusnahkan sosiobudaya masyarakat Islam mulai peringkat awalnya pengeluaran filem mereka.

Filem tidak dinafikan banyak menyalurkan maklumat dan memberi hiburan kepada penonton. Peranan filem penting terutama selepas Perang Dunia Kedua tidak dapat dinafikan. Melalui medium itu sesuatu maklumat menjadi lebih mudah untuk disampaikan kepada kumpulan sasaran.

Penyelidik Barat sudah lama membuat penyelidikan dan mencongak strategi bagaimana cara dan kaedah untuk merombak pemikiran masyarakat Muslim supaya melihat Barat sebagai bangsa yang dikagumi.

Mereka menuntut masyarakat Muslim untuk kagum dan hormat kepada bangsa mereka. Pendekatan itu sebenarnya menjadi senjata perang saraf untuk melumpuhkan idealisme orang Islam. Serangan Barat terhadap orang Islam melalui filem semakin berani.

Contohnya, filem Fitna yang diterbitkan produksi di Belanda dimiliki Ahli Parlimen negara itu, Geert Wilders. Filem itu memaparkan penganut agama Islam yang kononnya membudayakan keganasan dalam kehidupan.

Filem selama 15 minit yang disiarkan dalam laman web Liveleak.com pada 27 Mac 2008 mengkritik Islam dengan menunjukkan surah al-Quran berlatarbelakangkan imej keganasan bagi tujuan memaparkan kepada dunia takrif sebenar Islam melalui pemesongan mereka.

Firman Allah bermaksud: “Mereka ingin memadamkan (tersebarnya) cahaya (agama) Allah dengan mulut mereka, tetapi Allah enggan sebaliknya Dia akan menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang kafir tidak suka.” (Surah at-Taubah, ayat 32)

Sepatutnya kita lebih kagum dengan Islam dan berusaha menyampaikan keindahan Islam kepada orang lain dan memanfaatkannya berdasarkan sumber penyebaran yang boleh diguna pakai termasuk melalui filem.

Umat Islam seharusnya menggunakan medan tempur baru untuk mempertahankan diri melalui penghasilan seberapa banyak filem berorientasikan keagamaan yang berupaya menyebarkan risalah keamanan dan kedamaian seperti dianjurkan agama.

Filem yang memenuhi aspirasi umat Islam mestilah memenuhi ciri filem yang disyaratkan syariat seperti pandangan Syeikh Yusof Qardawi mengenai maksud filem iaitu alat untuk memberikan pendidikan disamping hiburan. Ia perkara halal dan baik bahkan membawa kepada perkara dituntut tetapi perlu menjaga daripada perkara ditegah oleh syarak.

Filem Sang Murabbi: Mencari Spirit Yang Hilang umpamanya adalah sebuah filem biasa, tetapi cukup hebat dan memberi kesan mendalam kepada penonton. Filem diadaptasi dan berkisarkan kisah hidup sebenar tokoh pendakwah dan Ahli Parlimen terkenal Indonesia iaitu K H Rahmat Abdullah.

Beliau adalah reformis dakwah yang cukup komited menyampaikan gambaran realiti Islam sebenar kepada masyarakatnya tanpa mengenal erti penat dan letih sepanjang filem ini hendak disiapkan.

Melihat kekuatan dan kejayaannya, filem wajar menjadi wadah menyebarkan risalah agama bagi menggantikan filem Barat yang kehilangan arah dan lebih tertumpu kepada usaha melemahkan saraf minda orang Islam.

Filem juga boleh menjadi saluran maklumat untuk menjelaskan pertuduhan Barat bahawa Islam agama yang menghidupkan keganasan sedangkan Islam agama menyeru kepada keamanan dan perdamaian untuk menciptakan keharmonian serta keindahan sebenarnya.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)

Monday, April 13, 2009

Islam galak dakwah secara berhikmah

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Kesabaran Rasulullah sebar risalah suci perlu dicontohi sepanjang zaman

DAKWAH kepada Islam adalah antara kewajipan yang dituntut kepada ummah dalam usaha menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Kewajipan berdakwah adalah seruan kepada melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Firman Allah yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik." (Surah al-Nahl, ayat 125)

Kewajipan berdakwah satu kewajipan yang besar lagi getir serta menjadi tonggak utama kepada agama, menjadi tiang atau paksi menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturannya serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Oleh itu, Allah memerintahkan umat Islam menyampaikan mesej Islam dengan penuh berhikmah. Hikmah adalah pendekatan terbaik dalam menyampaikan ajaran Islam di samping mempunyai kaitan dengan kesenian berdakwah.

Sheikh al-Sabuni ketika menafsirkan ayat itu, menjelaskan pengertian berdakwah dengan hikmah bermaksud menyeru dan mengajak manusia kepada agama Allah dan syariat-Nya yang suci secara bijaksana, berlemah-lembut dan beradab, sehingga dapat memberi kesan seterusnya diterima dengan sukarela.

Ulama dakwah mengklasifikasikan hikmah kepada beberapa jenis, iaitu hikmah mengenal status manusia, memilih masa sesuai, mencari titik pertemuan sebagai tempat bermula untuk maju secara sistematik.

Pendakwah terbabit dalam medan dakwah sudah pasti akan berdepan pelbagai ragam serta perangai manusia seperti mereka yang kuat berpegang dengan tradisi, mereka yang bersifat konservatif, kumpulan jahil dan bodoh dan yang masih ragu kerana salah faham.

Dalam konteks ini, pendakwah hendaklah berdepan sasaran masing-masing melalui cara yang sesuai dengan tahap keilmuan dan kecerdasan di samping mengambil kira aspek pemikiran, perasaan serta sahsiah peribadi mereka.

Pendakwah yang berjaya mampu menyampaikan mesej dakwah dan buah fikirannya kepada sekalian manusia sekalipun berbeza daripada segi pemikirannya, sahsiah peribadinya dan darjat serta dapat menarik seterusnya mengubah pemikiran mereka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kami diperintah supaya berbicara dengan manusia menurut kadar akal (kecerdasan mereka masing-masing)." (Hadis riwayat Muslim)

Pendakwah juga mesti bijak memilih waktu dan suasana sesuai seperti bilakah masanya dia perlu diam, bilakah pula waktunya dia mesti berbicara dan begitulah seterusnya sehingga dia dapat memperoleh hasil yang baik daripada strateginya itu.

Jika ditinjau dalam sirah Rasulullah SAW pada permulaan Islam, Baginda menerima perintah Ilahi seperti firman Allah bermaksud: "Berilah peringatan kepada keluargamu yang terdekat." (Surah al-Syu'ara', ayat 214)

Bertolak daripada itu, Rasulullah SAW memulakan misi dakwah secara rahsia terutama pada tiga tahun pertama melalui hubungan individu.

Baginda mendekati individu yang hampir dengannya dan juga kaum kerabat terdekat untuk sama-sama berkumpul dan bernaung di bawah lembayung Islam.

Kemudian, Rasulullah SAW berhasrat menyampaikan Islam kepada khalayak, tetapi dihalang Abu Lahab dengan membangkitkan isu yang menimbulkan fitnah. Apakah reaksi Baginda?

Rasulullah SAW hanya diam dengan tidak membalas, bahkan tetap tenang dan itu adalah jawapan sebenar, bahkan itulah jawapan paling tepat dalam suasana sedemikian.

Di samping itu, Rasulullah SAW mempunyai kesenian dalam berbicara. Baginda berbicara buat pertama kalinya kepada kaum kerabat dengan ringkas kerana mereka baru mendengar mengenai Islam.

Jika bicara terlalu panjang lebar, mereka pasti menjauhi Baginda. Bicara Rasulullah SAW pada asasnya sangat padat dengan hikmah dan amat rapi susunan bahasanya.

Rasulullah SAW berbicara ibarat seorang yang membangun atau mendirikan rumah, menyusun batu-bata selapis demi selapis sehingga menjadi bangunan kuat, kukuh dan indah.

Seorang manusia pada hakikatnya susah menerima buah fikiran baru yang dirasakan asing sama sekali. Justeru, pendakwah mesti pandai atau berhikmah memulakan perbicaraan yang sudah tentu menuntut tafsiran mendalam berpandukan ilmu yang sahih.

Pendakwah perlu berhikmah dalam mencari titik pertemuan sebagai tempat bertolak dan dari sana dia maju secara perlahan, selangkah demi selangkah dengan istiqamah ke arah matlamatnya.

Ajaran Islam cukup daya tarikan, pendakwah mesti pandai memilih cara tepat dan kaedah unik untuk menyampaikannya dengan pendekatan menarik bagi mengajak khalayak mendampingi Islam.

Ini jelas menerusi surat perutusan Rasulullah SAW kepada Raja Heraklius di Rom dan Muqauqis di Mesir yang beragama Nasrani. Rasulullah SAW memanggil mereka dengan gelaran Ahlul Kitab yang bermaksud tuan punya kitab suci.

Ini dirakamkan Allah dalam ayat 64, surah Ali-Imran bermaksud: "Wahai ahli kitab marilah kepada kalimah yang sama antara kami dan kamu, iaitu janganlah kita menyembah melainkan Allah dan janganlah kita mempersekutukan sesuatu apapun dengan Dia, dan janganlah sebahagian daripada kita menjadikan sebahagian lainnya sebagai tuhan selain Allah dan jika mereka berpaling katakanlah: Saksikanlah bahawa kami ini adalah orang Islam."

Pendakwah mesti pandai memulakan dan mengakhiri perbicaraannya. Ketika mengakhiri perbicaraan gunakan perkataan yang boleh menusuk ke lubuk hati, bukan kata pahit dan kesat yang meninggalkan kesan buruk.

Satu lagi saluran berkesan menyampaikan dakwah teladan yang baik dan bahasa bersesuaian dengan keadaan. Rasulullah SAW semasa pertama kali menjejakkan kaki di Madinah al-Munawwarah dan sebelum masuk kota, Baginda SAW mendirikan Masjid Quba iaitu masjid pertama dalam sejarah Islam.

Rasulullah SAW berhenti di tempat itu, tanpa banyak berbicara Baginda terus memulakan kerja. Diriwayatkan seorang wanita bernama Syamus Nu'man yang hadir pada waktu itu berkata: "Aku melihat Rasulullah SAW waktu mula sampai, Baginda turun dan berhenti, lalu mengajak sahabat mendirikan masjid itu, aku melihat Baginda mengangkat batu besar sehingga terhuyung-hayang kerana beratnya batu itu, seorang sahabat datang dan berkata kepada Baginda: Ya Rasulullah biarkanlah! Serahkanlah kepadaku untuk mengangkatnya. Rasulullah SAW menjawab: Tidak, ambil saja batu lain yang seperti ini."

Demikianlah Rasulullah SAW mempamerkan teladan berkesan kepada sahabatnya iaitu turut bersama kaum Muhajirin sehingga masjid itu disempurnakan. Rasulullah SAW bukan saja pandai mengarah dan banyak bercakap tetapi juga banyak membuat kerja.

Begitulah antara pengertian hikmah berdakwah yang menjadi aset terpenting dalam menjamin kelangsungan serta kejayaan dakwah Islam kepada umat manusia sejagat. Manusia hari ini bukan setakat mendengar apa diperkatakan tetapi melihat bagaimanakah tingkah laku pendakwah di rumahnya dan dalam lingkungan masyarakat.

Saturday, April 4, 2009

Penyebaran dakwah melalui ICT berkesan pikat generasi muda

Oleh Ruzain Syukur Mansor

GOLONGAN belia sinonim dengan tenaga dan minda kreatif serta inovasi. Kelebihan itu andai dipacu dengan penuh hikmah ke jalan dakwah, pastinya menghasilkan impak hebat dan bermanfaat untuk agama serta masyarakat.

Usaha dakwah memerlukan momentum dan kepakaran tenaga muda. Maka golongan muda yang sudah melalui proses tarbiah seharusnya diberikan peluang berada dalam barisan mengembangkan syiar Islam.

Untuk itu, golongan belia tidak perlu berasa rendah diri dan hendaklah bijak mengaplikasikan kemahiran dimiliki untuk menyumbang ke arah memperkasa usaha dakwah.

Penemuan bidang baru seperti teknologi maklumat, perniagaan, penyiaran dan penulisan seharusnya menjadi medan dakwah yang terus disuburkan oleh golongan belia.

Bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mempunyai banyak peluang untuk pakar animasi dan multimedia berdakwah. Aplikasi dan perisian jawi, bahasa Arab berbentuk permainan dan kuiz dalam talian boleh direka cipta bagi menambah nilai pengajaran pendidikan Islam.

Sementara penjualan buku dakwah melalui laman web juga boleh diusahakan pakar laman web bagi proses pengembangan ilmu semakin berkembang dengan pantas dan meluas.

Peluang dakwah dalam bidang kesenian turut terbuka luas untuk belia. Kemudahan muat turun nada dering ke telefon bimbit berunsur kesenian Islam perlu diperluas bagi menyaingi kebanjiran nada dering pop komersial yang meluas.

Sementara galakan terhadap penerbitan album nasyid bakal memberikan impak dakwah melalui kesenian. Di sinilah kepakaran penggubah lagu dan lirik lagu dakwah bergabung dengan pemilik teknologi rakaman suara untuk menghasilkan album dakwah bermatlamatkan mencari keredaan Allah.

Selain itu dakwah dalam bidang penyiaran sama ada radio dan media elektronik menanti golongan belia. Kerjaya dalam bidang penyiaran radio Islam seperti Radio ikim.fm umpamanya mampu mendedahkan generasi muda dengan penyebaran dakwah kepada massa.

Ini melalui penerbitan rancangan berunsur keagamaan seperti temu ramah ilmiah, forum bersama tokoh agama serta drama radio dakwah. Mengambil kira pengalaman ikim.fm mengendalikan slot dakwah seperti forum bicara Ad-deen, sudut hukum, duniaku buku dan carta nasyid.

Penulisan dakwah pula kini mempunyai masa depan cukup cerah dan seharusnya menggunakan bakat penulisan kreatif bagi menghasilkan lebih banyak cerpen serta novel berunsur dakwah sebagai sumbangan untuk memacu kegemilangan Islam. Lebih daripada itu, skrip drama dan filem dakwah kini mempunyai ruang untuk ditonjolkan bagi memenuhi misi dakwah.

Laman blog juga membuka satu lagi ruang remaja dan belia untuk berdakwah pada peringkat global. Cuma kebebasan di alam maya itu tidak harus disalahgunakan. Penulis blog dakwah perlu bertanggungjawab terhadap idea yang dilontarkan.

Golongan belia sebenarnya mampu menjadi pendakwah hebat. Cuma, kelompok ini mesti menjalani proses tarbiah untuk menjadi pendakwah selain memahami keperluan dakwah itu. Semoga sumbangan belia dapat menjadikan mereka lebih matang dan memenuhi tanggungjawab menyebarkan syiar Islam kepada semua.

Wednesday, March 25, 2009

Kewajipan berdakwah jadi tiang tegakkan Islam

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Ajaran Nabi Muhammad meliputi semua masyarakat atau bangsa menghuni alam semesta

AJARAN dan hukum hakam antara rasul ada beberapa perbezaan, namun perbezaan ajaran itu hanyalah daripada segi syariatnya selaras perubahan sikap manusia, situasi dan zaman ketika mereka diutuskan.

Apabila Rasulullah SAW diutus sebagai nabi akhir zaman, maka agama yang dibawa Baginda menjadi akidah, syariat, ikutan dan sistem yang sempurna lagi lengkap untuk seluruh umat manusia. Justeru, kewajipan menyeru manusia adalah bersifat sejagat dan menyeluruh kerana Islam adalah sumber cahaya kepada semua orang tanpa mengira warna kulit, bahasa atau bangsa.

Islam tidak terbatas kepada satu umat atau kabilah saja, lebih-lebih lagi Rasulullah SAW tidak diutuskan untuk bangsa Arab semata-mata, malah Baginda diutus untuk orang Arab dan juga Ajam (bukan berbangsa Arab).

Baginda SAW adalah nabi dan rasul kepada manusia serta jin, jadi perutusan Muhammad yang menjadi penutup kepada ajaran sekalian rasul menjadikan ajarannya meliputi semua masyarakat atau bangsa yang menghuni alam semesta ini.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbia', ayat 107)

Perlu ditegaskan bahawa tugas berdakwah kepada Islam ini adalah antara kewajipan yang dituntut kepada umat Islam dalam usaha untuk menegakkan kalimah Allah. Perintah kewajipan berdakwah ini banyak disebut dalam al-Quran.

Allah berfirman yang bermaksud: "Serulah ke jalan tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik." (Surah al-Nahl, ayat 125)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Adakah ucapan yang baik itu melainkan mereka yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebaikan seterusnya berkata, 'sesungguhnya aku daripada kalangan orang beriman'." (Surah Fussilat, ayat 33)

Al-Sheikh Muhammad Amin al-Kurdi dalam bukunya Tanwir al-Qulub menjelaskan, ayat itu menjadi dalil yang jelas kepada kewajipan menyeru dan menegah. Kewajipan berdakwah menjadi tiang atau paksi yang menegakkan binaan Islam, menyempurnakan peraturannya serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Lebih menarik, berdakwah kepada Allah adalah amalan kebaikan dan kebajikan yang diperintahkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya." (Hadis riwayat Muslim)

Menyedari kepentingan tugas berdakwah kepada Allah di bahu setiap umat Islam, Sayyid Qutub dalam kitab tafsirnya Di Bawah Bayangan al-Quran ada menegaskan, tugas dakwah satu amanah yang cukup getir dan besar tanggungjawabnya.

Seluruh ruang lingkup kehidupan manusia bergantung sepenuhnya kepada hasil gerak kerja dakwah yang akan menentukan hala tuju hidup manusia, maju dan mundurnya bangsa, jatuh dan bangunnya masyarakat dan juga bakal menentukan nasib kesudahan umat.

Apabila umat betul-betul melaksanakan perintah Allah dengan berdakwah ke arah kebenaran dan keadilan Islam, maka mereka sudah menempa era gemilang dalam sejarah tamadun manusia. Sebaliknya, jika umat melalaikan tugas dakwah, mereka menempah tiket kesengsaraan dan penyesalan yang tiada titik penghujungnya di dunia dan akhirat.

Sudah tentu dosa dan kelalaian itu ditanggung oleh orang yang sudah dipertanggungjawabkan dengan tugas dakwah tetapi dia tidak melaksanakan amanah itu.

Ini bertepatan dengan perumpamaan yang digambarkan Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud: "Perumpamaan bagi seorang yang menegakkan hukum Allah dan membabitkan diri dalam tugas itu adalah seumpama satu kaum yang berkongsi menumpang sebuah kapal. Ada sebahagian mereka yang menumpang di sebelah atas kapal dan sebahagian lain lagi menumpang di sebelah bawahnya. Penumpang yang berada di bawah kapal apabila berhajatkan air, mereka akan naik ke atas lalu mengambil air itu. Lantas mereka berkata: Alangkah baiknya kalau kita menebuk lubang di bawah kapal ini, lalu kita mendapat air dengan mudah tanpa menyusahkan penumpang di sebelah atas.

"Justeru, jika mereka dibiarkan saja dan menebuk lubang di bawah kapal itu, nescaya semua penumpang kapal akan tenggelam binasa. Sebaliknya jika penumpang di sebelah atas menegur dan menghalang penumpang di bawah kapal berbuat demikian, nescaya mereka dan semua penumpang kapal akan selamat." (Hadis riwayat Bukhari).

Ada kalanya timbul juga persoalan di benak fikiran umat Islam dewasa ini iaitu apakah tugas berdakwah ke arah kebenaran ini hanya khusus kepada kelompok ulama yang ikhlas kerana mereka adalah pewaris nabi.

Orang ramai tidak dihalang menjalankan dakwah, malah sesiapa saja daripada kalangan umat Islam tidak kira apa kedudukan dan pangkatnya, boleh berdakwah dengan cara menunjukkan contoh teladan yang baik.

Apatah lagi Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sampaikanlah apa-apa saja yang diterima dariku walaupun sepotong ayat." (Hadis riwayat Bukhari).

Sunday, March 22, 2009

Persoalan Agama: Perkataan, peri laku cara dakwah terbaik

Soalan:

SAYA wanita berusia 25 tahun dan anak bongsu daripada lapan adik beradik. Saya bertudung, manakala ibu tidak. Ibu juga tidak menunaikan solat dan amat cetek ilmu agama disebabkan latar belakang keluarganya. Saya ingin membantunya, tetapi tidak tahu cara paling sesuai kerana sifat orang tua mudah sensitif. Adik beradik lain juga kurang menitikberatkan soal solat. Persoalannya, bagaimanakah saya dapat membantu ibu? Persoalan kedua, bagaimanakah saya boleh mengawal sikap panas baran saya? Ada rakan berkata saya boleh mengamalkan surah tertentu bagi menangani masalah itu.

The Fighter
Kuala Lumpur

Jawapan:

Tahniah dan syabas kerana anda dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah yang sudah diperintahkan Allah SWT seperti menunaikan solat dan menutup aurat. Merujuk kepada persoalan pertama ia berkisar kepada pendekatan dakwah kepada ibu dan ahli keluarga. Pendekatan terbaik perlu dilakukan ialah secara berhikmah sama ada dari segi perkataan, iaitu menasihati secara berlemah lembut dan sabar ataupun menerusi perbuatan, iaitu berakhlak mulia dengan menampilkan contoh teladan yang baik. Anda juga perlu kerap memanjatkan doa terhadap ibu bapa yang bermaksud: "Ya Allah ampunilah aku dan kedua-dua ibu bapaku dan kasihanilah keduanya sebagai mana mereka memeliharaku ketika aku kecil."

Persoalan kedua pula berkaitan memperbaiki diri sendiri kerana agak sukar berdakwah kepada orang lain sekiranya tidak mempunyai akhlak yang baik. Marah kadang-kadang mungkin sesuatu yang positif dalam beberapa hal, tetapi panas baran adalah sifat negatif yang perlu diubati.

Selain memadamkan kemarahan menerusi amalan membaca Ta'awwuz, beristighfar, mengubah posisi kedudukan badan, mengambil wuduk dan sebagainya, Imam Ghazali dalam Kitab Bimbingan Mukminin menyatakan, melenyapkan marah ialah melalui latihan diri, iaitu dengan jalan mujahadah dan memaksa diri bersifat santun atau memendamkan perasaan itu seketika waktu, agar sifat berkenaan menjadi satu kebiasaan dan kelakuan yang kekal di dalam diri. Latihan itu berperanan melatih manusia memimpin kemarahan mengikut batas syarak, sempat difikir dan dipertimbangkan oleh akal akan baik buruk kemarahan itu serta bagaimana untuk bertindak secara bijaksana.

Tuesday, March 10, 2009

Dakwah penuh kasih, bijaksana paling berkesan

Oleh Prof Dr Sidek Baba

Empat strategi sebar Islam dalam masyarakat majmuk perlu berlandaskan keharmonian


PELBAGAI orientasi dakwah digerakkan hari ini dalam usaha meningkatkan kesedaran dan penghayatan Islam. Ada memilih orientasi heararki (gerakan), siasi (politik), orientasi tabligh dan sufi bagi mencapai keberkesanan dalam kefahaman dan amal Islam.

Di samping jemaah sukarela, peranan lembaga kerajaan juga aktif menghidupkan suasana dakwah di samping menghasilkan institusi seperti bank, kewangan, takaful, institusi pengajian tinggi, menengah dan rendah.

Perkembangan ini menjadi lebih baik jika wujud penyelarasan pada setiap peringkat dan pihak bahawa skop dakwah tidak sekadar seruan dan ajakan secara lisan, sebaliknya dakwah juga pada lembaga serta institusi yang menyalurkan nilai serta etika Islam.

Namun, ada orientasi sukarela menyandarkan dakwah kepada jemaah atau gerakan di luar negara yang cabaran serta masalah tidak sama di negara kita. Malaysia adalah negara unik yang memerlukan kaedah sesuai dengan latar belakang sejarah, sosioekonomi dan pentadbirannya.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna tiada persamaan antara Mesir dan Indo-Pakistan dengan Malaysia tetapi mengambil pendekatan ala Malaysia dalam dakwah perlu kerana orientasi masyarakat majmuk, kebebasan serta pengaruh Islam dalam sistem.

Pendekatan dakwah ala Malaysia mengambil kira peruntukan Islam dalam perlembagaan khususnya yang ada dalam bidang kuasa negeri di samping ruang untuk melaksanakan kegiatan dakwah secara bijaksana.

Sejarah perkembangan dakwah Islam sejak zaman Melaka hingga kini dan pendekatan dinamik yang perlu ada bagi badan dakwah melihat kepada potensi umat Melayu serta bukan Melayu atau bukan Islam.

Rasulullah SAW menganjurkan suatu dustur (kaedah) dakwah yang terbaik iaitu: "Serulah ke jalan Tuhanmu secara bijaksana dengan pekerti teladan yang baik, hujah terbaik dan meyakinkan". Dustur dakwah itu sesuai dalam realiti Malaysia.

Sebagai dai dan murabbi, di depannya ada potensi orang yang hendak didakwahkan pada segala peringkat dan latar belakang. Harus diteroka jalan bijaksana supaya risalah kebenaran dapat disampaikan di samping kehidupan rohaniah dijadikan pedoman.

Pertama, perlu ada sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi terhadap orang yang hendak di dakwah. Berdakwah dengan memberikan label dan sindiran boleh menyebabkan sasaran lari dan tidak tertarik dengan cara diambil.

Kita harus menginsafi tidak semua orang memiliki latar pendidikan dan binaan keluarga yang baik. Sesetengah yang ingin didakwah adalah orang yang cicir dalam keluarga, mengalami kelompangan hati serta kekeliruan minda. Orang seperti ini mudah terdedah kepada kemungkaran kerana tidak memiliki kesedaran rohaniah.

Kedua, apabila melihat kemungkaran atau perkara tidak baik dilakukan seseorang, perbuatan itu tidak kita sertai. Namun, jauh dalam lubuk hati kita terpancar rasa belas kasihan terhadap apa yang berlaku. Lalu datang gerak hati untuk mendekatinya dengan bijaksana.

Jika pendekatan itu dilakukan bagi mengajaknya kembali ke jalan yang benar, kemungkinan ia akan kembali kepada fitrah hidup semula. Jika kejayaan ini ada, bermakna ia tidak lagi terus melakukan kemungkaran, sebaliknya sudah bersama dengan kita hidup dalam makruf.

Ketiga, berdakwah perlu ada persiapan. Faham akan sasaran, tingkat pemikiran, rasa kesabaran dan kebijaksanaan seperti teladan diri yang baik dan tidak mudah berputus asa. Harus ada sikap setiap yang ingin didakwah ada potensi untuk berubah.

Keempat, kuasai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang khususnya ilmu Islam kerana cabaran yang menghadapi masyarakat kini tidak saja rohaniah sifatnya, malah perkembangan ilmu yang menjangkau ke daerah sains dan teknologi.

Ilmu ini harus diolah dengan bijaksana bermula dengan mengukuhkan akidah dan iman, ibadat dan syariah supaya terhasil akhlak yang baik.

Pendekatan dakwah Malaysia bukan sekadar menimbulkan keinsafan pentingnya akhlak mulia disuburkan tetapi dengan kekuatan ilmu dan ketrampilan, ia mungkin memberikan arah pemahaman yang betul mengenai seni dan budaya supaya kemajuan berlaku sentiasa dalam acuan yang makruf.

Pendakwah dan pendidik harus sentiasa memiliki sikap berlapang dada menerima kritik serta teguran. Jangan mengambil pendekatan radikal yang tidak serasi dengan resam budaya masyarakat dan boleh menyebabkan gerak kerja dakwah menjadi fitnah.

Al-Quran memberikan asas yang mantap mengenai jenis manusia yang ingin kita suburkan. Firman Allah bermaksud: "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada makruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah." (Surah al-Imran, ayat 110)

Ada tiga asas penting dalam ayat ini memberikan pedoman dakwah iaitu pertama, harus diwujudkan kebaikan dalam hidup ini ibarat pohon yang tumbuh dalam kehijauan daun dan kelebatan buah supaya manfaatnya dirasakan yang lain.

Makruf tidak hanya terpancar dalam pekerti diri yang memiliki teladan boleh dicontohi, tetapi mampu tegak dengan kekuatan ilmu yang dapat mengaturkan sistem. Memiliki ilmu muamalah didukung prinsip syariah bakal menjauhkan umat terbabit riba. Ia menuntut tekad politik dan keusahawanan yang tinggi supaya umat terus berada dalam keadaan makruf.

Kedua, tentangan terhadap makruf dilakukan dengan menyuburkan perkara makruf sebanyak mungkin. Jika generasi muda kini ketagih dengan budaya popular Barat, tekad yang tinggi dan kreatif di kalangan ulama, ilmuwan, seniman dan karyawan Islam memberikan alternatif, kemungkinan kecenderungan terhadap kemungkaran dapat dikurangkan.

Bagaimana genre pantun, syair, nazam, qitah, gurindam dan seloka dengan bijaksana dan kreatif disuburkan dan menjadi minat generasi muda membawa mesej mengembalikan mereka ke arah yang lebih fitrah.

Ketiga, maksud beriman kepada Allah tidak hanya membina rasa percaya tetapi keyakinan dan kepercayaan yang didukung oleh ilmu. Tidak dinamakan seseorang itu beriman jika asas percaya yang menyebabkan niat dan perbuatannya menyimpang daripada yang diniatkan.

Syahadahnya lain tetapi pancaran syahadah tidak membayangkan ia percaya mengenai kewujudan dan keperkasaan Allah. Lebih-lebih lagi jika menganut Islam dengan sentimen atau emosi semata-mata.

Orang beriman bukan saja percaya tetapi asas kepercayaan kepada Allah mendorongnya untuk berfikir dan memerhati, mengkaji dan mengakui bahawa Maha Besar dan Perkasa Allah menjadikan alam ini dengan limpahan rahmat dan nikmat.

Dalam keadaan kini amat penting kefahaman pendakwah digilap dan kecerdasan strategi dilakukan supaya umat Islam sentiasa bertindak balas kepada keunggulan tamadun silam dan futuristik terhadap kemajuan serta perubahan yang berlangsung.

Ia bukan perjuangan mudah kerana kehebatan Islam tidak saja dilihat pada ajarannya, malah diukur daripada kecemerlangan diri dan gerak kerja penganutnya yang sentiasa mempamerkan teladan tinggi dan mampu menjadi sumber ikutan terhadap yang lain.

Inilah sebenar risalah nubuwwah supaya Islam mampu dicernakan sebagai agama mendukung maksud rahmat untuk sekalian alam.

Penulis ialah penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah

Wednesday, March 4, 2009

Iqra: Berdakwah kepada kakitangan bawah

Judul: Travelog Dakwah Meniti Hari Esok
Penulis: Muhd Kamil Ibrahim
Penerbit: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd
Pengulas: Mona Ahmad
Harga: RM18 bagi Semenanjung dan RM20 bagi Sabah dan Sarawak

KALI pertama membaca buku tulisan Prof Muhd Kamil Ibrahim, profesor perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi kembaranya dalam Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman, pasti membuatkan sesiapa saja ingin terus membaca hasil tangannya yang seterusnya.

Kembali dengan buku bertajuk Travelog Dakwah Meniti Hari Esok, penulis membawa pembaca mengembara dalam penghijrahan dirinya dan pembaca sebagai persediaan menghadap Penciptanya.

Buku ini adalah kisah kita semua. Kisah lampau dan perjalanan menuju alam kekal abadi.

Penulis tanpa rasa malu mengakui hanya tahu membaca al-Quran ketika berusia 40-an, tidak menutup aurat dan liat untuk solat berjemaah. Taufik dan hidayah adalah anugerah tidak terhingga daripada Allah. Hati terbuka untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Buku ini menceritakan perjalanan pasca haji penulis yang mahu terus mengamalkan apa yang diamalkan ketika di Tanah Suci antaranya, solat berjemaah setiap waktu, puasa sunat dan solat malam memohon keredaan Ilahi.

Tanpa rasa riak dan takbur, keikhlasan penulis untuk berdakwah menerusi penulisannya jelas terpancar.

Semakin tinggi jawatan, semakin sukar mendekati Allah. Kenapa tidak. Berjawatan tinggi mengundang kesibukan. Hakikatnya, lagi berjawatan tinggi lagi mudah untuk melaksanakan perintah Allah.

Dalam buku ini, penulis menceritakan pengalamannya dalam mentadbir organisasi tanpa meminggirkan ibadat. Beliau turut menjadikan dasar dalaman jabatannya dengan menangguhkan setiap mesyuarat apabila azan Zuhur dan Asar berkumandang. Mengajak kakitangan solat berjemaah adalah satu cara pemimpin berdakwah.

Berjawatan tinggi adalah anugerah Allah. Begitu tinggi amanah dan harapan Allah letakkan kepada mereka yang berjawatan tinggi dan menjadi ketua di kalangan mereka sendiri.

Buku ini turut mengundang keinsafan supaya kita tidak lagi berdolak dalik untuk melunaskan tanggungjawab sebagai khalifah serta berdakwah membangunkan agama Allah.

Penulis turut menyulami tulisannya dengan maksud al-Quran yang membuatkan setiap jiwa yang membacanya mahu berhijrah.

Penulis menceritakan dakwahnya kepada warga kampus UiTM membuka ruang kepada masyarakat pelbagai peringkat terutama yang mempunyai jawatan tinggi untuk menjayakan misi dakwah.

Penulis turut mendedahkan mengenai pendekatan berdakwah kepada pihak lain selain dirinya. Baginya, mengajak atau memujuk diri sendiri bagi melakukan kebaikan bukan perkara mudah, apatah lagi menyeru orang lain.

Penulis memberi beberapa contoh untuk mengajak berdakwah menerusi perbuatan. Antaranya beliau sanggup berkongsi nasi bungkus dengan pelajarnya ketika berbuka puasa pada majlis penutup Program Minggu Siswa UiTM Segamat, Johor kerana kekurangan makanan.

Perbuatannya itu membuatkan mereka tanpa segan silu turut menawarkan nasi masing-masing untuk dikongsi rakan yang belum makan.

Tuesday, March 3, 2009

Tajdid Iman: Muslim tanpa semangat dakwah, jihad tiada jati diri

Oleh Dr Juanda Jaya


MENCEGAH kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan termasuk perjuangan menegakkan agama Allah. - Gambar hiasan


Umat Islam yang tidak pernah memperjuangkan agama hidup dalam keadaan sia-sia

SEORANG Muslim yang tidak memiliki semangat dakwah dan jihad bagi memperjuangkan agama, sebenarnya sedang mengalami krisis jati diri dan identiti Muslimnya. Untuk apa semua yang diusahakan, harta dikumpul, ilmu dikuasai, jawatan direbut dan dunia yang berhasil digenggam jika tidak dimanfaatkan untuk agama Allah? Seandainya seseorang sudah memiliki segala-galanya kemudian tiba-tiba dia mati tanpa memperjuangkan agama, maka alangkah sedikit bekal dan payahnya kehidupan yang mesti dilalui selepas mati kelak. Sia-sia saja visi dan misi hidupnya di dunia. Saat itu sedarlah ia yang kembali miskin seorang diri di alam barzakh.

Sesungguhnya kejayaan yang hakiki bermula daripada satu niat meninggikan kalimah Allah. Sedangkan apa yang diusahakannya selama ini untuk dunia semata-mata demi kepuasan nafsu belaka.

Kebangkitan Islam sering diperkatakan tetapi realitinya generasi Islam kini sudah mengalami serangan duniawi yang sedikit sebanyak mempengaruhi kejiwaan, pemikiran dan sikap mereka. Mentaliti Muslim yang hilang semangat memperjuangkan agama semakin parah di tengah-tengah umat.

Tidak kira golongan mana pun, jika umat meninggalkan dakwah dan jihad di jalan Allah, maka tunggu kehancuran seperti ditegaskan dalam firman-Nya bermaksud:

"Wahai orang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepadamu: Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih suka dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanya sedikit. Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan Dia menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Surah al-Taubah, ayat 38-39)

Melalui ayat itu, Allah menyatakan punca hilang semangat dakwah dan jihad iaitu kerana manusia terlalu cintakan kehidupan dunia. Bahkan jika boleh, agama pun akan dijual, saudara sesama Muslim dianiaya, jatuh-menjatuhkan, aib- mengaibkan untuk mendapat apa diinginkan oleh hawa nafsu.

Jika kejahatan bermaharajalela tetapi semangat dakwah dan jihad semakin kendur tidak mustahil kehancuran umat akan terjadi. Dakwah dan jihad adalah benteng paling kukuh untuk melindungi umat daripada serangan musuh. Sepatutnya ia menjadi idealisme yang wajib ditanam dalam jiwa seluruh generasi Muslim.

Sayangnya, dakwah Islam dan semangat jihad hanya dimiliki golongan tertentu yang berkopiah dan berserban, di masjid dan surau. Itupun jika tepat ruang yang disalurkan. Sedangkan golongan profesional, pemikir, penggubal dasar, penggerak politik, budayawan, seniman, ahli sukan, saintis, peniaga, pendidik Muslim, mereka agak kurang bersemangat mengenai hakikat dakwah dan jihad.

Peranan ulama diharapkan boleh membuka ruang kepada mereka untuk memahami Islam, mencintai dan merasa terpanggil memperjuangkan agama menurut kapasiti ilmu dan kekuatan dimiliki. Umat Islam mesti kembali menanamkan idealisme tegakkan dakwah dan jihad dalam kehidupan.

Hapuskan kesilapan lalu dan bertaubat daripada kejahatan nafsu duniawi yang menipu. Kerja dakwah serta strategi jihad mesti disesuaikan dengan situasi dan realiti masyarakat sekarang. Media memainkan peranan penting sebagai penyampai kebenaran, hiburan dan seni juga menjadi pilihan orang yang mahukan kelainan dalam sentuhan dakwah, alam maya dalam sistem teknologi maklumat tercanggih yang semakin digilai manusia menjadi alternatif menyampaikan keindahan Islam.

Ulama tidak ketinggalan mengkaji pendekatan dan pengurusan dakwah yang sesuai untuk manusia pada zaman siber. Pendekatan fleksibel, mendidik sebelum menghukum, mendengar suara umat dan mengkaji perubahan zaman sebelum memutuskan fatwa diharap membawa kemajuan adalah tugas ulama yang amanah.

Ulama berdiri sebagai pembimbing jalan, pemberi jawapan atas setiap persoalan, doktor yang menyembuh penyakit jiwa masyarakat dan penyampai keindahan Islam yang membangkitkan umatnya supaya mencintai agama. Ulama memerlukan pendedahan ilmu dan wawasan yang lebih global dengan bermuzakarah antara ulama sedunia untuk mempertingkatkan keupayaan dalam mendampingi umat ke jalan yang diredai Allah.

Sesungguhnya dakwah dan jihad adalah panggilan jiwa insan yang mencintai sunnah Rasulullah SAW. Wasiat Baginda SAW sentiasa menjadi ingatan di hati yang bermaksud: "Sesiapa yang membenci sunnahku bukan termasuk golonganku." (Hadis Muttafaq Alaih)

Dakwah dan jihad juga adalah kerjaya nabi dan rasul yang diabadikan dalam al-Quran sebagai jalan hidup terbaik di sisi Allah. Firman Allah yang bermaksud: "(Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya) dan sampaikanlah berita gembira kepada orang beriman. Wahai orang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah seperti Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikutnya yang setia: Siapakah yang akan menjadi penolongku (untuk menegakkan agama) Allah? Pengikut yang setia itu berkata: Kamilah penolong agama Allah, lalu segolongan dari Bani Israel beriman dan segolongan lain kafir; maka kami berikan kekuatan kepada orang beriman terhadap musuh mereka, lalu mereka menjadi orang yang menang." (Surah al-Shaff, ayat 11-14)

Seseorang yang bergiat dalam kerja dakwah pasti menghadapi ujian yang boleh mengancam langkahnya. Ujian yang dipikul bersesuaian dengan tahap keimanan masing-masing. Kadangkala hanya dengan sifat diri yang kurang sabar seseorang boleh terjatuh dan tidak dapat bangkit lagi, walaupun ramai di hadapannya orang yang lebih berat lagi menerima penyeksaan dalam mengharungi medan dakwah dan jihad.

Hanya orang terpilih yang tegak berdiri menunggu keputusan Allah, apakah dia layak menerima pertolongan Allah atau tidak, semuanya bergantung niat dalam hati. Siapakah yang reda dengan hinaan dan cacian, fitnah, kebencian bahkan ancaman bunuh diterima kerana menegakkan agama?

Hanya orang yang tegar dan yakin dengan kuasa Allah mampu menghadapi kesusahan di jalan-Nya. Biarlah air mata yang ditumpahkan atas jalan Allah sebagai pemadam api neraka yang menyala dan hati terluka, jasad teraniaya semua itu sebagai bukti kecintaan hamba kepada Allah. Bahkan jika tiada menemui gangguan di jalan dakwah, seseorang patut berwaspada mungkin dia tersalah jalan kerana jalan dakwah itu dapat dikenal melalui seksaan dan tangisannya.

Suatu hari Rasulullah SAW melepas pemergian Muaz Jabal ke Yaman untuk menyebarkan Islam di sana. Rasulullah SAW melihat Muaz menangis. Muaz berkata: "Wahai Rasulullah, aku menangis kerana akan berpisah denganmu. Rasulullah SAW bersabda: Jangan kamu bersedih kerana kesedihan itu daripada syaitan. Wahai Muaz, bertakwalah (takut) kepada Allah di mana pun kamu berada. Ikutilah keburukan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskannya dan berbuat baiklah kepada manusia dengan akhlak yang baik." (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad)

Suatu hari Khabbab al-Art menghadap Rasulullah SAW dan mengadukan seksaan yang dideritainya dan sahabat. Rasulullah SAW menghibur Khabbab sambil bersabda yang bermaksud: "Orang sebelum kalian digali sebuah lubang di atas tanah dan mereka dimasukkan ke dalamnya. Selepas itu diambil gergaji dan diletakkan ke atas kepalanya sehingga jasadnya terbelah dua. Namun hal itu tidak menggoyahkan agamanya. Ada juga yang disikat dengan sikat besi sehingga terlepas daging daripada tulangnya. Tetapi seksaan itu tidak sedikitpun menggoncangkan agamanya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hanya hamba Allah yang berkualiti iman dan amalnya sanggup melangkah di jalan dakwah. Mereka orang terpilih daripada kalangan nabi dan rasul, syuhada dan salihin. Dakwah dan jihad adalah harta warisan paling bernilai ditinggalkan mereka hingga akhir zaman untuk generasi Islam berikutnya.

Saturday, February 28, 2009

Berdakwah disertai penguasaan ilmu lebih berkesan

Oleh Mohd Ali Muhamad Don



PENDAKWAH kini berdepan dengan cabaran yang memerlukan persiapan diri dengan pelbagai disiplin ilmu.


Penceramah miliki pengetahuan, berakhlak mulia contoh terbaik dalam mendidik anggota masyarakat

SEMPENA Bulan Dakwah Kebangsaan yang dilancarkan baru-baru ini, golongan pendakwah diseru mengambil kesempatan untuk mempergiat aktiviti penyampaian dakwah kepada semua lapisan masyarakat selaras dengan tema mewujudkan khaira ummah iaitu ummah terbaik.

Usaha mencapai matlamat itu, pendakwah hendaklah memantapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu termasuk memiliki kemahiran menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai medium penyampaian dakwah yang berkesan.

Langkah itu dilihat berbaloi apabila jumlah pengguna internet di Malaysia dilaporkan mencecah 500,000 orang. Begitu pula dalam era globalisasi maklumat tanpa sempadan, kemahiran itu boleh digunakan sebagai mekanisme untuk menjawab segala tohmahan dan kritikan tidak berasas terhadap peribadi Nabi Muhammad SAW dan syariat Islam yang banyak disebarkan menerusi laman web serta blog.

Golongan pendakwah juga harus sentiasa mengamalkan prinsip cakap serupa bikin kerana mereka memikul amanah Allah. Justeru, mereka perlu melaksanakan ajaran agama dalam kehidupan sebelum menyuruh orang lain melakukannya.

Kealpaan pendakwah mempraktikkan prinsip itu bukan saja menyebabkan objektif dakwah tidak tercapai, malah bakal mengundang kemurkaan.

Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak kamu lakukan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah (apabila) kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan." (Surah al-Saf, ayat 2-3)

Situasi masa kini di mana berlaku kepincangan akhlak dan moral masyarakat Islam, dakwah menerusi personaliti mulia (dakwah bilhal) lebih elok dipraktikkan berbanding dakwah melalui mulut yang belum tentu mencapai hasil diharapkan. Pendakwah hendaklah mempersiapkan diri dengan akhlak mulia, penyabar dan tidak cepat melenting apabila ditegur.

Sikap terbuka dan tidak memandang rendah kepada kewibawaan orang lain adalah resipi kejayaan dakwah. Setiap individu harus menerima hakikat manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Adalah mulia jika segala kelebihan itu dikongsi bersama bagi memantapkan misi dakwah, sementara kekurangan diperbaiki untuk faedah bersama.

Kaedah dan cara berdakwah pula perlu seiring dengan situasi semasa supaya dakwah tidak hanya tertumpu kepada segelintir masyarakat saja. Pendekatan dakwah secara bijaksana penting supaya segenap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada aktiviti dakwah yang dijalankan.

Golongan muda dan remaja Islam yang seperti hilang arah hidup sepatutnya menjadi tumpuan pendakwah kerana mereka bakal menjadi pewaris negara pada masa depan. Pendekatan dakwah yang sesuai untuk golongan ini perlu difikirkan bersama oleh semua pihak bagi menarik lebih ramai golongan muda mempraktikkan perintah agama seperti solat yang kemudiannya mampu mendidik sahsiah serta peribadi mereka.

Lebih daripada itu, pendakwah hendaklah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan memperbanyak melakukan ibadah dan bermunajat kepada-Nya. Pendekatan ini adalah persediaan spiritual yang mampu menahan segala ujian dan cabaran dakwah yang bermacam ragam, kerana bukan mudah untuk membentuk akhlak serta peribadi manusia.

Ada yang menyokong dan tidak kurang pula membantah dengan melakukan tindakan di luar batasan. Kekuatan dalaman dan pergantungan mutlak kepada Allah diperlukan untuk menghadapi situasi getir itu.

Nabi dan rasul utusan Allah adalah golongan yang banyak menerima cabaran berat ketika berdakwah kepada kaumnya. Ada kalangan mereka yang bergelar Ulul Azmi, kerana hebatnya tribulasi dakwah terpaksa dihadapi.

Nabi Ibrahim pernah dibakar kaumnya namun dipelihara oleh Allah daripada musibah itu. Nabi Muhammad SAW juga menerima pelbagai ujian berat dalam usaha mengajak manusia supaya mengesakan Allah sehingga kemuncak daripada ujian itu Baginda SAW diracun lalu membawa kepada kewafatannya menurut pendapatan sebahagian ulama sirah.

Sifat buruk seperti keras hati, gemar berdebat, menyangka diri yang terbaik, sombong dan mata duitan adalah sifat yang merosakkan peribadi pendakwah di mata masyarakat. Amalan buruk itu bakal mengundang malapetaka dan merosakkan matlamat dakwah yang dicita-citakan. Pendakwah perlu menghindari sifat buruk ini jika mahu diterima masyarakat.

Pelbagai gerakan dakwah yang wujud di negara ini perlu bersatu hati bagi mencapai tujuan dan matlamat dakwah yang sama. Jangan asyik menuding jari menyalahkan orang lain sebaliknya sama-sama mencari jalan keluar kepada permasalahan yang berlaku. Pepatah ada menyebutkan, bersatu kita teguh bercerai kita roboh.

Masyarakat Islam juga diseru supaya turut sama dalam aktiviti dakwah menyeru kepada yang baik dan mencegah perkara mungkar, tidak hanya berharap kepada golongan agama bagi memikul tanggungjawab itu.

Kesedaran semua anggota masyarakat dalam melaksanakan gerak kerja dakwah amat diharapkan. Malah, cabang dakwah yang luas memberi peluang kepada semua pihak untuk sama-sama bertugas sebagai ejen penyampai dakwah.

Guru berdakwah dengan menyampaikan ilmu kepada murid, peruncit berdakwah melalui sifat amanah dan jujur dalam perniagaan, setiap individu Muslim berdakwah melalui akhlak serta peribadi mulia sehingga mampu memperlihatkan kecantikan Islam di mata masyarakat lain.

Selain pendakwah, setiap individu Muslim wajib memikul amanah memelihara diri dan keluarga daripada kesesatan. Perbuatan sesetengah ibu bapa yang tidak mempedulikan perlakuan buruk anak adalah sikap tidak bertanggungjawab yang bakal merosakkan masa depan mereka sebagai pemuda harapan bangsa dan agama. Bahkan ibu bapa akan dipertanggungjawabkan dengan persoalan itu di hadapan Allah di akhirat kelak.

Pendakwah semestinya memahami tugas dakwah adalah tugas yang berat dan memakan masa panjang. Pendakwah tidak boleh berputus asa kerana yang berhak dan berkuasa memberi petunjuk hanyalah Allah

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jugalah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)." (Surah al-Qasas, ayat 56)

Oleh itu, usaha dakwah tidak hanya meriah pada bulan dakwah saja. Dakwah sepanjang masa diperlukan bagi menarik lebih ramai orang Islam mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan seharian.

Sekali gus, menyumbang kepada minat masyarakat lain untuk mengenali dan mendalami Islam. Usaha ini juga mampu menangkis tanggapan buruk yang dilontarkan kepada Islam dan penganutnya.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

Friday, October 10, 2008

Dakwah berhikmah bentuk kekuatan kerohanian

Oleh Dr Sapora Sipon


KESEDARAN mengenai keimanan dan ketakwaan kepada Allah perlu ditanam dalam diri setiap orang Islam sejak kecil. - Gambar hiasan


Rasulullah SAW buktikan kesabaran, seruan secara baik, berterusan mampu beri kejayaan

PEMBANGUNAN modal insan menjadi agenda utama dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK–9) kerana memberi fokus kepada usaha mempertingkat mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, kesihatan serta fizikal.

Mempertingkatkan mutu kehidupan dilaksanakan dengan mengamalkan sistem ekonomi, perdagangan dan kewangan yang dinamik. Ke arah itu, pembangunan sepadu dan seimbang perlu dalam usaha melahirkan umat berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah serta bersedia menangani cabaran semasa dunia global.

Keperluan membangunkan modal insan melalui keseimbangan individu dinyatakan dengan jelas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap merasmikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke–48.

Beliau berkata, untuk membangunkan modal insan kita mahu memberi ilmu pengetahuan secukupnya, kita mahu mendidik mereka menjadi bangsa berpekerti mulia, mempunyai hemah yang tinggi, berjiwa besar, cintakan negara, mempunyai kekuatan jasmani dan kekuatan rohani. (Bernama, 31 Ogos 2005)

Dalam usaha melahirkan individu seimbang dari aspek rohani, jasmani dan intelektual bukanlah satu perkara mudah. Satu pendekatan bersifat menyeluruh dan sistematik perlu diambil. Dakwah dilihat sebagai seruan bersifat komprehensif dan terancang yang bukan saja menyeru manusia supaya melakukan kebaikan, mencegah kemungkaran dan mengajar ilmu agama berlandaskan wahyu tetapi ilmu yang memberi manfaat kepada kehidupan. Pendek kata, dakwah amat berkesan dalam membangunkan modal insan.

Keberkesanan dakwah dalam membentuk dan melahirkan individu mempunyai kekuatan jasmani dan rohani sudah dibuktikan Baginda Rasulullah SAW. Usaha Baginda yang tidak pernah kenal putus asa berjaya mengubah bangsa Arab Jahiliah yang rendah nilai moral dan akhlaknya menjadi satu bangsa bertamadun tinggi.

Dakwah Islam yang bertujuan membangunkan modal insan perlu disampaikan penuh hikmah, secara memberi peringatan, nasihat dan seruan. Ia perlu disampaikan dengan baik melalui dialog dan pertukaran fikiran.

Firman Allah yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah an-Nahl, ayat 125)

Berdakwah melalui kaedah berhikmah dapat dilihat melalui peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian itu menjadi satu pengajaran besar yang wajib dijadikan petunjuk, betapa kejernihan hati nurani umat Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW yang berpegang kepada prinsip bahawa peperangan dan kekerasan bukan jalan pintas boleh membawa kejayaan.

Kalimah Allah yang terkandung dalam al-Quran disampaikan dengan penuh berhikmah, menyeru, menegur, memperingatkan dan menasihati manusia ke jalan kebaikan iaitu jalan menuju kedamaian dan jalan mendapat keredaan Allah.

Keperluan kepada usaha pembangunan insan lebih jelas terutama pada masa ini di mana berlaku pelbagai masalah kerohanian dan keruntuhan akhlak sehingga sampai satu tahap membimbangkan semua pihak.

Pelbagai jenis jenayah, masalah sosial dan bermacam perilaku negatif dihadapi masyarakat Malaysia sekarang. Keadaan itu tidak boleh dibiarkan terus berlaku kerana ia akan menghalang pencapaian negara maju seperti dihasratkan.

Usaha yang jelas dan menyeluruh dimulakan dari akar umbi perlu digerakkan oleh semua pihak dalam memastikan tahap pembangunan insan, rakyat dan negara berjalan seperti diinginkan.

Walaupun berdakwah dapat membantu dalam pembangunan modal insan cabaran dakwah yang semakin meruncing hari ini, memerlukan setiap umat Islam berperanan menjalankan dakwah dengan penuh komited dan tidak kenal letih atau jemu.

Ketrampilan intelektual pemimpin, ibu bapa dan masyarakat penting dalam menjana sumber insan yang cemerlang. Perkara ini dijelaskan melalui firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-Nya ialah mereka yang beriman." (Surah Fatir, ayat 28)

Proses ini mengambil masa lama dan sentiasa berterusan kerana ilmu yang digarap tidak akan bertahan lama tanpa digilap dan dipancarkan.

Islam sebagai agama rasmi negara melalui Perlembagaan Persekutuan sepatutnya dijadikan umat Islam untuk melaksanakan dakwah Islamiah dengan bersungguh-sungguh. Kesedaran mengenai hakikat kehidupan dan rasa kecintaan, keimanan dan ketakwaan kepada Allah perlu ditanam dalam diri setiap orang Islam sejak kecil.

Ketakwaan yang lahir daripada keimanan kepada Allah penting bagi melahirkan individu berakhlak dan bermoral tinggi yang akan menjaga hubungan sesama manusia, menghormati perbezaan agama, bertolak ansur dan tidak bersifat mementingkan diri.

Dalam usaha berdakwah, badan dakwah perlu berperanan secara aktif seperti membuat penyelidikan bagaimana meningkatkan pembangunan insan berlandaskan teori dan praktikal bagi memastikan dakwah dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

Kegiatan dakwah juga perlu dilakukan secara kontekstual iaitu bersesuaian dengan perkembangan semasa supaya orang yang didakwah dapat memahami apa yang ingin disampaikan kepada mereka.

Selain itu, mesej dakwah yang ingin disampaikan hendaklah jelas bagi mengelakkan kekeliruan ataupun salah faham yang akhirnya boleh mengakibatkan berlakunya penyelewengan akidah dan sebagainya.

Keberkesanan dakwah untuk melahirkan modal insan seimbang adalah satu tuntutan dalam Islam dan perlu dilakukan secara berterusan. Ia menjadi tuntutan umat Islam bertujuan melahirkan insan seimbang dalam semua aspek berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Allah.

Penulis ialah pensyarah kanan Program Kaunseling Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)