Showing posts with label Hidayah. Show all posts
Showing posts with label Hidayah. Show all posts

Tuesday, April 14, 2009

Tajdid Iman: Jiwa tanpa hidayah terima seksaan paling beratJ

Oleh Juanda Jaya


BERSYUKUR kepada Allah bukan saja ketika senang tetapi juga pada saat menghadapi ujian-Nya. - Gambar hiasan


Rahmat, musibah diturunkan Allah patut jadi medan umat muhasabah diri setiap saat

SESUNGGUHNYA orang yang memiliki ketajaman mata hati mengakui bahawa bencana dan seksa Allah tidak hanya dalam bentuk kelaparan, sakit, miskin dan muflis. Sesungguhnya bencana paling hebat ialah azab Allah bersifat maknawi, tidak nampak di mata manusia tetapi kesannya sungguh dahsyat dirasai.

Ia boleh membuat hati mereka tertekan seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Barang siapa yang Allah menghendakinya mendapat petunjuk nescaya Dia melapangkan dadanya untuk menerima Islam. Siapa yang dikehendaki Allah mendapat kesesatan nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit seolah-olah ia sedang mendaki ke langit." (Surah Al-An'am, ayat 125)

Walaupun semua nikmat dunia sudah dimiliki dada rasa sempit, susah, takut, risau dan sedih. Bukankah perasaan itu adalah azab yang bersifat maknawi? Apakah lagi azab Allah yang ditimpakan kepada manusia supaya mereka beringat?

Azab di hati, tidak berasa manisnya iman. Mengapa orang yang lalai kepada Allah hidupnya bergelumang harta dan kuasa? Tidak nampak kesusahan pada wajah mereka, sentiasa sihat dan gembira dengan apa dimiliki. Tetapi benarkah mereka bahagia?

Mana mungkin harta boleh membeli ketenangan jiwa, bahkan hakikatnya semua yang ditonjolkan adalah palsu belaka. Hati mereka menjerit dikejar rasa bersalah, diburu bayang-bayang dosa dan maksiat yang dilakukan.

Nurani yang bersih sentiasa berbisik bahawa mereka melakukan kesilapan memilih jalan sedangkan nafsu yang keji cuba menjerat dengan pelbagai kenikmatan sesaat. Memang mereka menikmati segalanya tetapi jiwa tidak pernah puas, hampa dan kosong.

Allah menyeksa dengan cara mengunci mati hati mendapat hidayah-Nya. Azab Allah membuat hidup seseorang tidak menentu, tertekan, tersesat tanpa kuasa yang boleh menolongnya selain Allah.

Jika Allah cabut kemanisan iman dari hati, sesungguhnya Dia mengazab mereka secara senyap, ramai yang sembahyang tetapi tidak rasa manisnya sujud atau khusyuk dan mereka berilmu tetapi tidak mengenal jalan menuju Allah.

Mereka kaya tetapi tidak merasai keberkatan hartanya. Mereka kepenatan mengejar dunia, menitiskan air mata untuk dunia, risau dan takut kerana dunia, berjuang untuk dunia, sakit dan akhirnya mati untuk dunia tanpa melalui kemanisan saat beribadah dan kenikmatan memuji Allah.

Hati tempat jatuhnya rahmat dan azab Allah. Alangkah ramainya manusia yang tidak menyedari dirinya sedang diazab kerana dosa membutakan hati sehingga tiada mampu membeza manakah salah satunya, antara rahmat atau azab?

Kata-kata pendeta Bani Israil dalam kitab Ibnul Qayyim Al-Jauzi, 'Shaydul Khatir': "Oh Tuhanku, aku sering berbuat maksiat tetapi mengapa tak kunjung datang azab-Mu menimpaku? Dikatakan kepadanya: Betapa banyaknya azab Allah menimpamu, tetapi engkau tidak tahu bahawa itulah azab Allah. Tidakkah engkau merasa dihalang dirimu merasai kenikmatan bermunajat kepada-Nya?"

Orang berilmu buta hati jika ia menganggap dirinya sentiasa dirahmati Allah walaupun maksiat menghiasi peribadi, apatah lagi orang awam yang kering iman lagi jahil. Walaupun mesti bersangka baik kepada Allah, jangan sampai dia langsung tidak kisah dengan karat maksiat dan hanya berlagak umpama suci dalam debu.

Semakin dia rasa tidak kisah dengan maksiat itu, semakin hatinya kotor dan tidak layak dijatuhi pandangan rahmat-Nya. Kemudian dia tidak mampu lagi membeza mana rahmat dan mana azab, akhirnya buta hati.

Azab di mata, tidak mahu membaca hikmah peringatan Allah. Setiap peristiwa mesti mengandungi hikmah untuk kebaikan manusia. Ujian dan azab yang dideritai adalah bentuk tarbiah berkesan untuk menyedarkan kesilapan manusia.

Tetapi, ada pula orang yang semakin diuji semakin teruk kesesatannya, bahkan berterusan melakukan maksiat. Azab di atas azab! Apabila sakit yang dideritai, kehilangan harta, kegagalan hidup dan ajal maut sama sekali tidak menyedarkan bahawa semua itu adalah peringatan Allah.

Padahal duri yang mencucuk kulit itu menyimpan petanda peringatan daripada Allah bahawa manusia memang lemah, miskin dan tidak berupaya melawan kehendak Allah. Orang yang degil dan derhaka anggap semua itu lumrah hidup tiada campur tangan Allah.

Ketika sakit dia menyumpah seranah, jika rugi dia membuat penyelewengan demi mendapat keuntungan secara haram, jika dizalimi dia membalas dendam dengan kezaliman yang lebih teruk ke atas orang lain.

Tidak ada kamus taubat dan insaf dalam hidupnya. Mereka tidak mahu mengambil pelajaran kisah penyelewengan manusia yang berakhir dengan kesengsaraan dunia akhirat. Mata, telinga, hati dan akal dikurniakan Allah untuk mendapat hidayah tidak dimanfaatkan sehingga kesesatan tiada berakhir.

Firman Allah yang bermaksud: "Perumpamaan mereka seperti orang yang menyalakan api, maka selepas api itu menerangi sekelilingnya Allah hilangkan cahaya (yang menyinari) mereka, dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Mereka tuli, bisu dan buta." (Surah al-Baqarah, ayat 17)

Mengapa manusia mudah tertipu? Bukankah mereka tahu musuh paling berbahaya ialah iblis dan syaitan tetapi mereka menjadikannya teman setia? Manusia juga dibekalkan syariat, hati dan mata. Justeru, dengan modal itu mereka pula semakin tersesat.

Orang Islam mengetahui syurga dan neraka, tetapi ramai pilihannya selalu silap. Mereka tahu dunia ini palsu dan menipu tetapi di situlah mereka memuaskan nafsu. Jadi, bagaimana menyelamatkan diri daripada kebodohan sendiri yang selalu tertipu sebelum azab datang?

Setiap kali mengulangi dosa dan maksiat kepada Allah, cubalah ancam diri sendiri. Awas! Jaga-jaga kuasa Allah boleh menarik balik semua yang anda miliki. Bayangkan perkara negatif terkena pada tubuh, harta, anak, isteri dan keluarga, kedudukan serta kuasa.

Apabila seseorang hidup dalam zon selesa dan tidak pernah mengancam diri maka keadaan ini membuatnya hanyut, lalai dan lupa daratan. Jika dia sentiasa berjaga-jaga dan suka menakutkan diri, ia sebagai langkah pencegahan sebelum kemurkaan Allah tidak dapat dibendung. Cara paling berkesan untuk mengancam diri dengan azab Allah ialah dengan mentadabburkan al-Quran. Sesungguhnya al-Quran bukan hanya membawa khabar gembira kepada hamba Allah yang beriman bahkan ada ayat ancaman supaya manusia tidak leka dibelai dunia. Sedikit tertawa dan banyak menangis adalah wasiat Rasulullah SAW supaya manusia suka mengancam dan memperingatkan diri dengan seksa Allah yang begitu pedih.

Ketinggian akhlak manusia bergantung dengan seberapa kerap dia bersyukur kepada Allah. Orang itu layak dipanggil manusia paling mulia dan tahu mengenang budi. Sesungguhnya manusia tanpa sifat syukur seperti penderhaka yang mengambil kesempatan dan menikam dari belakang.

Walaupun ilmu menjulang ke langit, harta setinggi gunung, kuasanya segagah ruang angkasa tetapi jika sifat kufur mengatasi segala-gala maka dia menjadi sehina makhluk pada pandangan Zat Yang Maha Pemberi Nikmat.

Lebih baik hidup sebagai cacing yang sedar diri sambil berzikir pagi dan petang mengingat jasa baik Allah memberinya makanan di dalam tanah. Walaupun syukur sang cacing tidak dibalas dengan nikmat di akhirat tetapi dia pandai berterima kasih kepada Allah atas rezekinya dalam tanah. Cacing hanya makan kotoran tetapi pandai bersyukur. Manusia jauh lebih baik makanan dan nikmat hidup yang dianugerahkan Allah tetapi betapa sedikitnya yang pandai bersyukur.

Syukur bermakna berhias dengan lidah yang memuji saja tanpa sepatah pun mencela perbuatan Allah ke atas diri kita, berhias dengan perbuatan mengikut undang-undang Tuhan sekali gus menolak logik manusia yang bodoh berlagak tahu segala-gala.

Syukur itu perhiasan paling cantik jika dipakai, ilmu bermanfaat jika diamal dan akhlak indah pada pandangan Tuhan, bahkan ia boleh menahan azab yang turun dari langit. Allah berfirman yang bermaksud: "Jika kamu bersyukur, Aku tambahkan nikmat-Ku namun jika kamu kufur sungguh azab-Ku amat pedih."

Tuesday, October 21, 2008

Tajdid Iman: Memelihara kesucian hati sebagai penerima hidayah

Oleh Dr Juanda Jaya
juanda77@hotmail.com


MENGINGATI mati boleh menghidupkan hati, menyuntik semangat untuk beramal lebih baik daripada kelmarin, menumbuhkan rasa takut dan harap kepada Allah seterusnya menggugah hati untuk sentiasa bertaubat. - Foto Bernama


Membaca al-Quran, solat dan mengingati mati asas ummah capai ketenangan hidup

PENYAKIT berbahaya sehingga boleh menyuramkan masa depan seseorang ialah tekanan perasaan yang berpunca daripada hati sakit.

Seorang guru yang tertekan boleh bersikap kejam dan melampau dalam mendisiplinkan murid atau mungkin membiarkan mereka tanpa kawalan dan pengajaran.

Seorang pegawai yang seharusnya melaksanakan amanah dengan dedikasi apabila diserang penyakit hati akan mengambil kesempatan lari daripada tanggungjawab dan menangguhkan kerja sehingga menjejaskan jabatannya.

Seorang pemimpin di rumah atau di tengah masyarakat jika tidak bersih hati akan rosaklah apa yang dipimpinnya dan terabai amanah. Seorang isteri yang tercemar hatinya suka menyusahkan suami, mengabaikan anak dan mendedahkan diri kepada dosa dan maksiat.

Seorang yang sembahyang, puasa dan sedekah dengan hati yang berpaling daripada Allah, hatinya akan mati, kotor dan menyimpan penyakit serta sudah tentu ibadahnya tidak memberi kesan kepada keperibadiannya.

Pertanyaan paling mahal dan bernilai bagi seorang Mukmin ialah: "Apakah aku sudah kehilangan hati suciku hari ini? Mengapa? Kerana hati menjadi asas segala sesuatu yang bernama sebuah kehidupan.

Hidup ini tidak akan bermakna tanpa hati yang hidup.

Jika hati mati maka semua amalan yang dilakukan akan menjadi tempang, kerja mengejar dunia akan mengaburi pandangan ke akhirat dan ibadat pula hilang kemanisannya.

Fokus utama hati hanya akan terarah untuk memenuhi kehendak nafsu, padahal ia diciptakan untuk sentiasa memandang keagungan Tuhannya, menerima hidayah dan kemudian mengawal semua gerak kerja seluruh anggota badan semata-mata untuk keredaan Allah.

Namun demikian, hati juga diciptakan dengan ciri sensitif seperti mudah terpengaruh oleh persekitaran, mudah berubah, berbolak-balik, kadang tersesat dan kadang terpimpin.

Adalah menjadi tugas seorang Mukmin menjaga hatinya, merawat dan menghidupkan semangat iman di dalam hati.

Sahabat Rasulullah pernah menerima teguran langsung melalui wahyu-Nya, supaya mereka sentiasa mengurus hati dengan penjagaan baik agar ia dapat berfungsi dengan sempurna sebagai ejen penerima hidayah Allah.

Menurut pendapat Abdullah ibn Mas'ud, Allah menegur mereka pada saat mereka baru empat tahun memeluk Islam. Dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka menjadi seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya, kemudian berlalu masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik." (Surah al-Hadid ayat: 16)

Apabila hati dibiarkan tanpa penjagaan, lama-kelamaan ia menjadi keras lalu membentuk benteng kukuh yang tidak dapat ditembusi cahaya hidayah Allah.

Terkunci mati dan menjadi sarang kejahilan dan kejahatan. Jika demikian keadaannya maka yang menjadi raja di dalam hati ialah iblis dan nafsu syahwat.

Hasilnya semua amal dan kerja berorientasi pada kemahuan keduanya. Kalau keadaan sebegini dibiarkan sepanjang masa, boleh jadi seseorang akan kehilangan hatinya.

Pernahkah anda melihat manusia yang tidak memiliki hati? Orang yang langsung tidak mahu mendengar apa kata hatinya akibat nurani bersih hasil limpahan ilham daripada Allah sudah tiada lagi. Kerana dia sendiri sudah meleburkan hatinya bersama kegelapan tanpa mahu menerima cahaya Ilahi.

Pada hakikatnya, cahaya menyinari hati bersumber pada tiga pancaran, iaitu cahaya al-Quran, sembahyang dan mengingati mati.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Al-Imam Al-Ghazali, beliau berkata: "Carilah hatimu di tiga tempat. Pertama ketika membaca al-Quran, kedua ketika sembahyang dan ketiga ketika engkau mengingati mati. Jika pada tiga tempat itu kamu tidak menemukan hatimu maka mohonlah kepada Allah agar Ia memberimu hati kerana sesungguhnya kamu ketika itu tidak memiliki hati."

Cahaya hati pertama - membaca al-Quran.

Kejayaan seseorang bergantung pada usahanya mengenal Allah, dan tiada jalan yang paling dekat untuk mengenal Allah selain mempelajari al-Quran.

Dunia hanya boleh direbut dengan kekuatan daripada Allah, tanpa bergantung kepada-Nya manusia tidak akan mendapat apa yang diimpikan.

Kejayaan itu ialah sejauh mana seseorang mengikat dirinya dengan Allah dengan ikatan kuat. Maka al-Quranlah yang menjadi ikatan antara hamba dengan Allah Taala. Melaluinya seseorang pandai memilih yang hak daripada batil, dia mengetahui jalan terang dan mengikuti petunjuk al-Quran. Meneroka dunia dan mengurus diri dan masyarakatnya melalui bimbingan wahyu.

Dia lahir menjadi manusia jujur, kuat bekerja dan memiliki misi yang jelas dalam hidupnya kerana diniatkan segala pekerjaannya itu sebagai ibadah kepada Allah.

Kalaupun seseorang itu malas, miskin dan suka menyusahkan orang lain punca pertama penyakitnya ialah kerana dia jahil, jauh daripada bimbingan al-Quran dan tidak mengenal Allah dengan lebih dekat.

Begitu pula kalau ada orang kaya dan berpangkat tetapi sengsara hatinya punca utama keadaan itu ialah jauhnya ia daripada Allah, merasa asing dengan ayat-ayatnya dan membiarkan diri terus menerus dalam kekeringan ilmu.

Kejayaan atau kegagalan itu bermula daripada usaha mengurus hati, mengenal Allah lewat kalam-Nya suci.

Cahaya hati kedua - mendirikan sembahyang.

Siapakah yang mahu berjaya dalam perniagaan; yang bercita-cita kariernya sentiasa naik ke puncak; mengimpikan pasangan hidupnya setia dan jujur; berharap anak-anak dan keluarga menjadi penyejuk matanya dan mahu sentiasa bergembira dan bahagia?

Semua itu hanya dapat dirasai dengan pertolongan Allah, yang memberi manfaat dan mudarat, membahagi dan mencabut rezeki bagi manusia, memberi petunjuk dan menyesatkan, mengatur segala urusan makhluk.

Siapa yang bergantung kepada selain Allah dia tidak akan mendapat faedah daripada pergantungannya itu.

Ibnu al-Qayyim Rahimahullah pernah berkata: "Ketika manusia bergantung kepada dunia, gantungkanlah dirimu hanya kepada Allah. Ketika manusia bergembira kerana dunia, jadikanlah dirimu bergembira kerana Allah.

Ketika manusia mencari bahagia dengan kekasih mereka, carilah bahagia dengan mencintai Allah dan ketika manusia pergi menghadap raja dan pembesar mereka pergilah menuntut hajatmu hanya kepada Allah."

Sesungguhnya ibadah yang menghampirkan manusia kepada Allah dengan sedekat-dekatnya adalah sujud, permintaan tidak akan ditolak adalah doa ikhlas dan proses pembersihan dosa dilakukan terus menerus adalah sembahyang.

Apakah kejayaan seseorang itu bergantung kepada kualiti sembahyangnya? Mengapa tidak, jika sembahyangnya itu melahirkan akhlak yang mahmudah.

Sembahyang yang didirikan dengan sempurna syarat, rukun dan khusyuknya boleh diumpamakan stesen minyak yang bertugas mengisi kekosongan pada tangki kereta agar dapat meneruskan perjalanan hingga sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat.'

Sembahyang adalah energi yang diperlukan untuk menghadapi perjalanan hidup mencabar.

Sembahyang berkualiti adalah yang boleh melahirkan jiwa yang reda sekali gus kuat berikhtiar semata-mata mahu berlumba-lumba melakukan amal salih dan membina kehidupan di dunia.

Namun demikian, dunia tidak akan memperdayakan orang khusyuk hatinya serta menyerahkan diri sebulat-bulatnya kepada Allah.

Sembahyang juga menjaga seseorang daripada ancaman perhiasan dunia yang melekakan, dan menjadi salah satu cara kita mengingati diri supaya pandai merancang hidup yang selamat di dunia sampai ke akhirat.

Cahaya hati ketiga - mengingati mati.

Antara tanda kebijaksanaan orang Mukmin ialah pandai merancang masa depan.

Bukan hanya pandai melipatgandakan harta dan membina istana tetapi jauh pandangannya hingga menembusi alam akhirat.

Pernahkah anda merancang bagaimana menghabiskan masa muda dan melewati masa tua dengan ketinggian ilmu dan persediaan amal, akhirnya merancang untuk mati dengan tenang?

Mengingati mati boleh menghidupkan hati, menyuntik semangat untuk beramal lebih baik daripada kelmarin, menumbuhkan rasa takut dan harap kepada Allah seterusnya menggugah hati untuk sentiasa bertaubat.

Jika ramai manusia berlumba-lumba menghadiri pesta keriangan, memenuhi pasar dan mengunjungi tempat peranginan yang indah, tidak salah jika kita menjadikan ziarah kubur sebagai kegiatan rutin yang boleh mengingatkan diri kepada kematian.

Sebagaimana yang dilakukan Baginda Rasulullah lazim menziarah kubur dan mendoakan kaum Muslimin tidak kira siang ataupun malam.

Dengan membaca al-Quran, menunaikan solat dan sentiasa mengingati mati seorang Mukmin melakukan penjagaan yang rapi terhadap hatinya.

Bagaimanakah pula keadaan orang yang tidak memiliki ketiga-tiga cahaya hati ini?

Mungkin hidupnya begitu hampa, jika kaya pasti merana, miskin pula mungkin lebih terseksa, jika jahil tersesat, kalau alim ilmunya pula tidak bermanfaat.

Monday, February 11, 2008

Tajdid Iman: Bisikan hidayah anugerah teristimewa

Bersama Dr Juanda Jaya

SETIAP manusia pasti menyimpan kenangan paling bersejarah dalam hidupnya. Umpamanya, kenangan ketika pertama kali berjumpa buah hati atau saat manis menggenggam kejayaan dalam pendidikan, kerjaya dan bidang diceburi.

Kebahagiaan itu terpancar bersama kesyukuran. Hingga ke hari ini, terlalu banyak detik bahagia yang pernah dilalui. Bagi seorang mukmin, sebenarnya ada saat terlalu istimewa yang tidak dapat dibeli dengan dunia dan segala isinya.

Ia terlalu mahal dan tidak mungkin sesiapa pun dapat memperoleh kemanisan itu dengan tangannya sendiri kerana ia suatu anugerah terhebat dalam sejarah kehidupan manusia. Inilah yang disebut sebagai saat bersejarah ketika hati menadah titisan hidayah Allah.

Kali pertama bisikan kebenaran mampu melapangkan hati nurani kita, sehingga tiada terdetik pun keinginan, kecuali kepada Allah dan dia menjadi cukup bahagia menjadi hamba-Nya saja. Padahal, ketika itu kebanyakan manusia berkeinginan kepada dunia dan bercita-cita menjadi raja.

Perasaan itu pernah hadir di hati Umar al-Khattab yang membenci Allah dan Rasul-Nya pada peringkat awal, tetapi selepas mendengar bisikan hidayah menerusi alunan nada keramat Kalam Allah, beliau hanyut dalam kolam hidayah yang menyucikan jiwanya.

Demikianlah keadaan manusia jika Allah menghendaki, maka tiada sesiapa yang mampu menghalang dan jika Allah menolak, tiada sesiapa boleh memujuk. Bahawa bernilai setiap detik yang mengandungi hidayah bagi setiap insan.

Namun, ramai manusia yang bukan hanya sekali mendapat hidayah bahkan berkali-kali diberi peluang sepanjang hidupnya. Cara hidayah Allah diturunkan kepada manusia bermacam-macam, ada yang diuji supaya bertaubat, tetapi dia hanya sedar pada saat goncangan pertama.

Sesudah badai berlalu dalam hidupnya, dia pun kembali tenggelam dalam kenikmatan yang alpa. Sayang sungguh jika hidayah itu hinggap sebentar, kemudian terbang entah ke mana. Manusia yang lalai ini beralasan hatinya belum terbuka, jiwanya tidak siap menerima perubahan dan dia masih menunggu hidayah Allah yang lain untuk menyucikan jiwa raganya.

Maka insan istimewa ini menunggu sepanjang hidupnya, menghitung hari sambil melayan keinginan nafsu yang tidak pernah puas menikmati dunia. Seolah-olah segala apa yang dia mahu Allah akan makbulkan.

Terbuka jalan selebar-lebarnya untuk mendapat apa keinginan, tetapi sayang hanya satu yang Allah tidak bagi, satu yang teramat mahal bernama hidayah. Ditutup pintu hidayah dalam hatinya sehingga dia tidak pernah merasai puncak kenikmatan yang dirasai orang beriman.

Hidayah adalah milik Allah. Sesiapapun tidak berkuasa memberi hidayah kepada sahabatnya, isteri, anak atau ibu bapanya sendiri. Hal itu, dinyatakan Allah kepada Rasul-Nya yang bersedih kerana bapa saudara dikasihi tidak mahu menerima Islam.

Begitu pula dalam kisah Asiyah yang beriman tidak dapat menolong suaminya yang kufur dan anak Nabi Allah Nuh yang tenggelam tidak mahu menerima keimanan, walaupun bapanya seorang Rasul.

Bahkan Allah menegaskan mengenai orang yang menolak hidayah Allah, dalam firman-Nya yang bermaksud: “Jika kami turunkan malaikat kepada mereka, dan orang yang sudah mati berbicara dengan mereka dan kami kumpulkan pula segala sesuatu ke hadapan mereka, nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika Allah menghendaki, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (Surah al-An’am, ayat 111)

Dalam hati kita sentiasa terdengar bisikan iman iaitu hidayah Allah. Sejauh mana seseorang mahu mendengar bisikan hidayah, itu pilihannya sendiri. Tidak akan kekal iman yang dipaksa dan tidak akan kukuh keyakinan kerana terpaksa.

Biarlah hidayah itu berakar kuat dalam hati, tetapi jangan pula hanyut dalam angan-angan tanpa usaha mendapatkan hidayah. Sesungguhnya hidayah itu mesti dicari, digenggam dan dikekalkan selama-lamanya dalam kehidupan.

Iman sifatnya relatif, berubah-ubah, mengikut masa dan keadaan. Ada yang tetap iman dan semakin tinggi darjatnya. Ada pula sekali melonjak hingga ke puncak, lama kelamaan pudar ditelan gelombang kehidupan.

Setiap insan berada atas dua pilihan, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Syurga itu lebih dekat kepada seseorang daripada tali kasutnya dan demikian juga dengan neraka.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Bagi yang sudah memiliki iman atau hidayah kurniaan Allah, sesungguhnya iman itu tidak cukup sekadar melahirkan tangisan sekejap atau kesedaran yang hanya sebentar. Manusia hendaklah mengekalkan hidayah yang menerangi hatinya, sekali gus menambah kualitinya supaya cabaran kehidupan tidak memperdaya diri.

Hanya satu jalan mencari hidayah Allah itu dengan mendekati ulama yang ikhlas dan menuntut ilmu agama bersandar kepada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Berusaha bersungguh-sungguh meletakkan diri di kalangan orang soleh, penuntut ilmu yang ikhlas dan pembela agama Allah dalam bidang apapun.

Ilmu dan ulama adalah warisan Nabi yang bertugas menunjukkan jalan diredai Allah sebagai penyambung mata rantai keimanan untuk memastikan agama Allah tetap hidup atas muka bumi ini.

Al-Imam Ibnu al-Jauzi menulis mengenai keutamaan ilmu dalam kitab beliau bertajuk Shaydul Khatir: “Ilmu membawa diriku menuju pengetahuan mengenai Sang Pencipta dan ilmu menyuruhku untuk berbakti kepada-Nya. Maka aku pun tunduk di hadapan kekuasaan-Nya seraya melihat sifat-Nya. Hatiku juga merasai getaran kebesaran-Nya sehingga aku tertunduk malu kerana cinta kepada-Nya. Ilmu juga yang menggerakkan aku untuk sentiasa berada dekat ke riba-Nya dan menolong aku mencapai ketinggian ubudiyah kepada-Nya. Aku hanyut dalam kebesaran-Nya setiap kali mengingati-Nya dalam zikirku. Saat menyendiri adalah saat ibadahku untuk-Nya. Apabila terdetik hatiku mahu meninggalkan ilmu, ia berkata: Apakah kamu mahu berpaling dariku, padahal akulah yang menjadi petunjuk jalanmu sehingga kamu mengenal Allah? Aku pun menjawab: Sesungguhnya engkaulah penunjuk jalan, tetapi aku sudah sampai ke destinasi, masihkah aku memerlukan petunjuk jalan? Ilmu berkata lagi kepadaku: Oh, tidak! Setiap kali bekalmu bertambah, akan bertambah pula pengetahuanmu mengenai Kekasihmu dan kamu semakin faham bagaimana cara mendekati-Nya. Esok kamu akan tahu sebenarnya hari ini kamu masih banyak menyimpan kekurangan. Tidakkah kamu mendengar firman-Nya kepada Nabi SAW: “Katakanlah (Wahai Muhammad) Oh Tuhanku, tambahkanlah ilmuku.” (Surah Taha, ayat 14)

Setiap Muslim yang mahukan hidayah Allah tetap hidup di hatinya tidak dapat melalui jalan lain, selain jalan ilmu. Menggali ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW menjadi agenda terpenting dalam rutin hariannya.

Bertanya dan mengkaji nilai Islam dengan penuh tanggungjawab serta mendekati ulama yang ikhlas semata-mata kerana mahu membuka setiap pintu rahsia mengenai mencintai Allah. Sesungguhnya jalan terbentang luas di hadapan kita terlalu sulit dilalui. Hanya dengan bekal ilmu, hidayah Allah, setiap insan akan mampu menghabiskan harinya di dunia dengan selamat sehingga bertemu Allah dengan reda lagi diredai.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my