Showing posts with label Hijrah. Show all posts
Showing posts with label Hijrah. Show all posts

Friday, January 1, 2010

Mengharapkan hijrah untuk kehidupan lebih baik

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Iman, jihad, matlamat akhir ke syurga mampu bentuk masyarakat Islam berkualiti

PERUBAHAN ke arah kehidupan lebih baik yang sering dikaitkan dengan sejarah hijrah Nabi Muhammad SAW bukan sesuatu yang mudah dilakukan dan tidak ramai berminat untuk keluar daripada zon selesa diduduki sekarang.

Bagaimanapun, menurut perunding motivasi Human Touch Consultant, Mohd Zawawi Yusoh (gambar), hijrah akan menjadi mudah serta menyeronokkan jika perubahan itu bersandar kepada tiga komponen iaitu iman, jihad serta matlamat akhir untuk mencapai syurga.

Katanya, pengertian hijrah yang membawa maksud bermula daripada awal juga perlu diubah kepada memulakan sesuatu dengan mengingati matlamat akhir kerana cara itu lebih berkesan untuk mendorong seseorang berubah.

"Cerita sejarah hijrah Nabi Muhammad SAW adalah cerita lama tetapi akan menjadi baru jika umat Islam dapat menghayati cara hidup Baginda dalam niat untuk melakukan penghijrahan atau perubahan ke arah kehidupan lebih baik.

"Al-Quran apabila bercerita mengenai hijrah selalu mengaitkannya dengan orang yang beriman dan ini menguatkan bahawa hijrah itu bermula dengan iman," katanya pada Majlis Sambutan dan Ceramah Maal Hijrah di surau di Balai Berita, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, melihat kepada kedudukan diri, seseorang perlu bertanya apakah mereka sudah benar-benar beriman dan jika sebaliknya hendaklah berusaha memulakan hijrah dengan mempertingkatkan keimanan.

Zawawi berkata, tiga konsep iman jika difahami akan menjadikan penghijrahan bakal dilakukan bermula dengan iman itu berakhir dengan mencapai hasil diharapkan akhirnya iaitu meraih syurga Allah pada akhirat kelak.

Pertama, konsep iman ilmu al yakin yang mendorong seseorang itu berubah atas dasar iman serta ilmu. Maknanya, apa yang dilakukan semata-mata kerana Allah, bukan tujuan mendapat pengiktirafan atau layanan baik daripada pihak tertentu.

Contohnya, majikan dan pekerja yang saling hormat menghormati antara satu sama lain bukan saja di pejabat tetapi di mana juga mereka berada, adalah sebagai memenuhi suruhan Allah bukan kerana terpaksa.

Konsep iman ainul yakin pula adalah rasa yakin yang lahir seolah-olah apa yang diyakini itu dapat dilihat dengan mata kasar. Walaupun Nabi Muhammad SAW sudah tiada, hati kuat berasa untuk berubah dan mencontohi keperibadian Baginda.

"Ainul yakin ialah kita percaya walau tidak nampak dengan mata kasar. Malangnya sifat manusia ini, sudah nampak baru yakin atau sudah terkena baru nak sedar. Mat rempit selepas kemalangan dan patah kaki baru hendak menyesal.

"Sepatutnya walaupun Nabi Muhammad sudah tiada melihat kepada sirah Rasulullah kita tetap ingin menjadi seperti Baginda. Inilah yang dinamakan melakukan sesuatu kerana kita yakin balasannya nanti," katanya.

Sementara iman haqqul yakin pula katanya, adalah keyakinan yang sudah sebati dalam jiwa seseorang itu yang dapat digambarkan melalui perasaan seolah-olah apa yang dilihatnya ialah apa yang Allah lihat dan apa yang didengarnya ialah apa yang Allah dengar.

Dalam erti kata lain, Allah hanya suka melihat benda yang baik-baik dan itulah yang dilihat seseorang yang berhijrah. Begitu juga Allah suka mendengar perkara yang baik-baik saja dan itulah yang sepatutnya kita dengar.

Zawawi berkata, walaupun asasnya perubahan seolah-olah sukar untuk dilaksanakan tetapi dengan keyakinan kepada janji Allah seseorang itu mampu melakukannya dengan syarat sentiasa berdoa bersungguh-sungguh, berusaha melakukan suruhan agama, kreatif dalam berusaha dan akhirnya bertawakal kepada Allah.

Tuesday, January 22, 2008

Sahabat sepakat Muharam permulaan takwim Islam

Oleh Masmawi Abdullah

HIJRAH adalah sunnah yang sudah diamalkan sejak dulu. Nabi terdahulu sudah melakukan hijrah sebelum peristiwa hijrah yang dilakukan Khatamul Anbiya’, Nabi Muhammad SAW. Nabi yang mula-mula sekali melakukan hijrah ialah Saidina Ibrahim diikuti Nabi Luth, Nabi Musa dan Nabi Isa.

Sementara itu, amalan hijrah sangat disukai dan digalakkan oleh Allah terutama kepada mereka yang dizalimi. Bahkan, Allah bermurah hati untuk memberi ganjaran dan menempatkan mereka di dalam syurga sebaris dengan nabi, siddiqin, syuhada dan salihin.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiayai, pasti Kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. Sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, jika mereka mengetahui.” (Surah an-Nalh, ayat 41)

Oleh itu, hijrah mengandungi erti kesabaran, ketabahan, pengorbanan, ganjaran baik dan pahala. Dalam pada itu, hijrah Nabi SAW ke Madinah Munawwarah adalah satu peristiwa penting yang belum pernah berlaku dalam sejarah dakwah Islam.

Peristiwa hijrah itu juga menunjukkan sebaik-baik contoh pertolongan Allah kepada Islam dan umatnya selain terbentuknya sebuah negara Islam pertama di Madinah. Oleh itu, tidak hairan jika peristiwa penting ini dijadikan asas dan titik tolak kepada permulaan takwim Islam.

Imam Bukhari dalam kitabnya Sahih Bukhari mengadakan bab khusus mengenai permulaan takwim Islam di bawah tajuk, ‘Daripada mana mereka membuat penarikhan takwim Islam?’

Mengulas mengenai metod yang dilakukan Imam Bukhari, al-Hafiz ibnu Hajar berkata, bahawa Imam Bukhari seolah-olah ingin menarik perhatian kita kepada beberapa pendapat dalam memulakan penarikhan takwim Islam.

Sementara itu, al-Hakim meriwayatkan daripada al-Zuhriy dalam ‘al-Iklilnya’ bahawa Nabi SAW tatkala sampai di Madinah, baginda memerintah supaya dibuat satu takwim. Maka dicatatkan pada Rabiulawal.

Pendapat itu sukar diterima kerana ada pendapat lain yang mengatakan sebaliknya dan pendapat itu lebih masyhur.

Diceritakan bahawa Au Musa menulis surat kepada Khalifah Umar tidak bertarikh. Saidina Umar memanggil semua ahli sejarah untuk membincangkan perkara ini.

Sebahagian mereka berpendapat supaya permulaan bulan takwim dimulakan dengan kebangkitan Rasulullah SAW menjadi Rasul, manakala sebahagian yang lain pula berpendapat supaya dimulakan dengan peristiwa hijrah.

Justeru Saidina Umar menerima pendapat yang kedua kerana katanya hijrah itu memisahkan perkara yang hak daripada perkara batil.

Tatkala mereka sependapat dengan cadangan itu, sebahagian lain pula mencadangkan supaya dimulakan dengan Ramadan.

Umar berkata, “Tidak, kita mulakan dengan Muharam kerana bulan ini orang ramai berpisah dengan ibadat haji mereka. Mereka pun menerima pendapat itu.

As-Suhaili menambah: “Sahabat memulakan penarikhan dengan peristiwa hijrah berpandu firman Allah yang bermaksud: “Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya, Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (masjid Quba’) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya.” (Surah al-Taubah, ayat 108)

Sesungguhnya hari pertama yang dimaksudkan di sini bukanlah hari pertama seperti kita maklum, tetapi hari pertama yang dimaksudkan ialah suatu perkara yang tersirat di sebalik itu iaitu seawal masa yang dimulakan oleh Islam.

Pada hari itu, Nabi SAW dapat melakukan ibadat dengan aman tanpa sebarang gangguan. Pada hari itu juga sebuah masjid mula dibina.

Berasaskan hakikat itu, sahabat bersependapat bahawa permulaan penarikhan takwim bermula pada hari itu.

Dan kita faham daripada tindakan mereka memahami firman Allah, “Sejak hari pertama” bahawa hari pertama penarikhan takwim Islam.

Al-Hafiz berkata: “Boleh difahami maksud ‘Hari Pertama’ iaitu hari pertama Nabi dan sahabat memasuki kota Madinah.

Walaupun begitu, mereka menganjakkan lebih awal lagi daripada Rabiulawal iaitu bermula dengan Muharam kerana permulaan suruhan hijrah adalah pada Muharam.

Maka kerana Baiatul Aqabah berlaku pada Zulhijjah iaitu permulaan hijrah, anak bulan pertama bermula bulan itu selepas. Maka, munasabah menjadikan Muharam sebagai permulaan bulan takwim Islam.

Friday, January 18, 2008

Berhijrah bukan sekadar laungan

Oleh Marzulina Omar

Umat Islam perlu berubah menuju matlamat disasar, raih kecemerlangan

HIJRAH membawa pelbagai pengertian. Daripada pandangan lahiriah, hijrah akan terasa setiap kali diadakan sambutan Maal Hijrah dan program tertentu sempena menyambut Tahun Baru Hijrah. Dari sudut rohaniah, hijrah sebenarnya hanya dirasai individu yang benar-benar melakukan hijrah, iaitu melakukan perubahan dalam diri yang menjadi titik peralihan atau perubahan ke arah yang lebih baik.

Pendek kata hijrah menjadi penanda aras prestasi perjalanan hidup individu dari tahun ke tahun yang berikutnya. Justeru, kehidupan pastinya akan lebih meningkat dan berjaya. Begitulah sebaliknya. Pepatah Melayu ada menyebut, 'Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.'

Allah SWT juga berfirman yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" (Surah ar- Ra'd: 11)

Dalam konteks pembinaan ummah, roh hijrah adalah suatu keutamaan. Tamadun Islam tidak dapat dibina semula hanya bersandarkan slogan indah atau retorik manis semata-mata, sebaliknya ia menuntut satu jihad, pengorbanan, kesungguhan dan komitmen jitu untuk menjulang panji Islam ke persada dunia.

Pengajaran paling penting di sini ialah kejayaan dan kemenangan itu sebenarnya tidak akan datang dengan sendiri melainkan dipengaruhi banyak sebab yang memudahkan seseorang itu meraih kejayaan diimpikan sama ada kekuatan ekonomi, keutuhan sosial dan keadilan politik.

Semua faktor itu adalah antara prasyarat dan persediaan penting serta memberi pengaruh menentukan kemenangan atau kegagalan sesuatu bangsa dalam pelbagai bidang. Lanjutan daripada itu, umat Islam sewajarnya memahami erti kehidupan di dunia ini yang sarat dengan perjuangan dan pertarungan sengit.

Justeru, menghayati roh hijrah memerlukan kita menongkah arus dan cabaran hidup seperti berikut:

Sebagai Muslim kita digalakkan menuntut apa saja ilmu yang baik dan tidak menyalahi hukum syarak serta boleh memberi manfaat kepada manusia seperti hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berkehendakkan dunia hendaklah dengan ilmu, sesiapa berkehendakkan akhirat hendaklah dengan ilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya sekali hendaklah dengan ilmu."

Masyarakat berilmu akan bijak menilai sesuatu perkara, peka dengan setiap keadaan, faham dengan setiap keperluan untuk berubah dan berani melakukan perubahan walaupun hanya dengan sedikit cetusan idea. Mereka tidak mudah ditipu atau dipengaruhi kerana mereka adalah masyarakat berpengetahuan dan bermaklumat.

Masalah yang timbul pada zaman mutakhir ini banyak berpunca daripada ketidakfahaman mengenai agama (jahil). Perkara khurafat dan tahyul masih berleluasa bahkan menjadi semakin popular semula dalam masyarakat.

Pergantungan kepada Allah amat rapuh hingga mereka tidak yakin dengan janji Allah dan terus mencari jalan pintas untuk mencapai matlamat hidup. Seharusnya sebagai Muslim kita harus berkeyakinan bahawa kemenangan dan kegagalan adalah sebahagian daripada peraturan Allah SWT dan Dialah yang menentukan segala-galanya.

Justeru, dalam apa juga matlamat, kita harus berusaha untuk mendapatkannya dengan jalan dan cara halal di samping berdoa memohon keredaan daripada Allah SWT.

Cabaran dalam bertindak (akhlak dan amal) – Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang Nabi pun di kalangan mereka yang diutuskan kepada umat sebelumku melainkan mereka mempunyai pengikut dan sahabat yang mengikut sunahnya dan meneladaninya.

Kemudian akan ada generasi selepasnya, yang mengatakan sesuatu yang mereka tidak lakukan serta melakukan apa yang tidak disuruh. Sesiapa yang menentang mereka dengan tangannya bermakna dia adalah seorang yang beriman, sesiapa yang menentang mereka dengan lidahnya maka dia adalah beriman dan sesiapa yang menentang dengan hatinya, maka dia adalah seorang yang beriman. Tidak ada yang selain daripada itu keimanan padanya walau sebesar sebiji sawi." (Muslim)

Pada era moden ini kita semakin menghadapi cabaran berat untuk berubah sama ada untuk menyedarkan diri kita sendiri atau menyedarkan masyarakat sekeliling agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Justeru, kita perlu berani mencuba dalam usaha menjadi ummah cemerlang, gemilang dan terbilang. Bukankah penghijrahan itu adalah satu kesanggupan untuk membuat perubahan dalam kehidupan bagi mengatasi masalah dan mencari kejayaan bagi sesuatu usaha dilakukan?

Sekiranya Rasulullah SAW sanggup menghadapi cabaran dan bahaya yang besar, melintasi padang pasir yang luas dengan ancaman musuh Islam, apakah kita selaku umat Islam hari ini harus semata-mata berdoa tanpa berusaha memperbaiki masyarakat kita melalui penghijrahan?

Maka dalam mengisi keperluan hijrah, janganlah kita keciciran dalam tiga aspek terpenting dalam hidup iaitu memperbaiki aqidah, akhlak, amal dan ilmu bagi mencapai taraf hidup lebih baik serta diredai Allah.

Dengan perkataan lain, hijrah adalah tuntutan agama yang menghendaki manusia supaya berpindah daripada belenggu jahiliah kepada Islam, kemunduran kepada kemajuan, hidup berpuak dan bermusuhan kepada hidup bersaudara dan bersatu padu.

Menjadikan 'Islam is the way of life'. Ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW daripada Abdullah bin Habsyi yang bermaksud: "Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah."

Baginda juga bersabda yang bermaksud: "Yang dinamakan orang Muslim ialah bila mana orang lain selamat daripada gangguan lidah dan tangannya, dan dinamakan mukmin ialah bila mana orang lain dibuat berasa aman atas darah (nyawa) dan hartanya." (an-Nasa'i)

Masa beredar zaman bertukar, suasana berubah. Tahun Baru Hijrah datang dan pergi namun ia tidak akan memberi sebarang kesan kepada kita sekiranya kita sendiri tidak dapat menghayati roh hijrah itu dan tuntutannya dalam kehidupan.

Semuanya akan menjadi tawar. Roh sudah meninggalkan jasad menjadikan jiwa kita kaku dan mati tanpa semangat untuk berubah. Tidakkah kita sedar bahawa masa kian pantas berlalu. Kehidupan hari ini semakin mencabar.

Desakan dalam memenuhi keperluan semakin menekan menyebabkan kita sering tewas dengan cabaran, kekeliruan memilih antara yang benar dan salah, yang halal dan haram, dosa dan pahala, menyebabkan hidup menjadi huru-hara, kucar-kacir dan masyarakat menjunam menuju kehancuran. Inikah prestasi hijrah yang kita mahukan?

Justeru, sewajarnya Tahun Baru Hijrah menimbulkan keinsafan kepada kita agar melakukan muhasabah diri merasai sejauh mana keperluan hijrah yang sebenarnya kita lakukan. Adakah kita semakin maju atau mundur? Terus hanyut dalam arus kehidupan? Sesungguhnya Allah menjadikan kita daripada dua unsur iaitu jasmani dan rohani.

Di dalam tubuh kita ada dua kekuatan naluri yang saling berlawanan iaitu tenaga yang tunduk di bawah pengendalian akal waras yang boleh membezakan antara yang baik dan buruk serta tenaga atau naluri yang merosakkan di bawah runtunan nafsu yang akhirnya merosakkan diri bahkan masyarakat dan negara.

Maka meninjau keadaan masyarakat Malaysia dewasa ini, terlalu banyak bahan renungan dan iktibar yang perlu dijadikan ukuran. 2007 menyaksikan pelbagai jenis kepincangan dan keruntuhan, kejatuhan dan kebangkitan, kegagalan dan kejayaan, suka dan duka, pahit dan manis tercatat dalam diari hidup setiap daripada kita selaku manusia di bumi Allah ini.

Justeru, awal tahun baru adalah saat dan detik sesuai bagi umat Islam berazam, bertekad dan berubah untuk mengakhiri segala macam kemelut, krisis, kepincangan dan musibah menimpa.

Dalam erti kata lain, umat Islam perlu berubah menuju ke arah matlamat disasarkan, merencana hala tuju dan meraih wawasan kecemerlangan dalam pelbagai lapangan hidup. Untuk itu, perubahan paling utama perlu dilakukan terlebih dulu ialah bermula daripada diri sendiri.

Rencana sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Thursday, January 17, 2008

Jadikan taubat agenda utama tahun baru hijrah 1429

Oleh Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad

DALAM kemeriahan kita menyambut tahun baru hijrah 1429 dengan pelbagai azam dan cita-cita baru, kita tidak patut melupai apa yang dilalui sebelum ini. Sebagai seorang Muslim kita perlu muhasabah diri terutama sepanjang tahun lalu apakah titik hitam berupa noda dan dosa yang pernah dilakukan.

Sekurang-kurangnya hal seperti itu tidak berulang pada tahun baru ini. Kerana dosa itu menyebabkan penderitaan berkekalan terutama di akhirat. Islam adalah agama yang penuh kerahmatan kerana ia milik Allah Yang Maha Pencipta, Yang Maha Pengasih dan Penyayang serta Maha Pengampun.

Justeru, Islam sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba-Nya yang terlanjur menderhakaiNya. Allah berfirman maksudnya: "Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang yang beriman supaya kamu beruntung"( Surah al-Nur, ayat 31).

Anas bin Malik berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda maksudnya: "Orang yang bertaubat daripada dosa seperti orang yang tidak ada dosa" ( Hadis Riwayat Ibn Majah). Kemudian Rasulullah membaca firman Allah bermaksud": Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan Allah menyukai orang menyucikan diri "(Surah al-Baqarah, ayat 222). Lalu baginda ditanya: apakah itu taubat ? Jawab baginda: "penyesalan".

Taubat adalah wajib sepanjang masa, kerana manusia tidak terlepas daripada maksiat, sekiranya ia terlepas daripada maksiat melalui anggota, ia tidak terlepas daripada angan-angan hendak berbuat dosa dengan hati.

Sekalipun ia terlepas daripada semua itu, ia tidak hilang daripada was-was dan rayuan syaitan sehingga lalai daripada mengingati Allah atau zikrullah.

Demikianlah kekurangan dan kelemahan manusia. Justeru, Islam sentiasa membuka pintu seluas-luasnya untuk umatnya bertaubat walau sebesar mana dosanya.

Sabda Rasulullah maksudnya: "Sekiranya kamu melakukan kesalahan sehingga tinggi melangit sekalipun, kemudian kamu bertaubat, pasti Allah menerima taubatmu" (Hadis Riwayat Ibn Majah daripada Abu Hurairah).

Saidina Umar r.a berkata: "Dampingilah orang yang suka bertaubat kerana mereka orang yang berjiwa halus".

Seorang yang bertaubat sebaiknya melakukan kebaikan sebagai ganti kepada kejahatan yang dilakukan supaya dengan itu dapat menghapuskan kejahatannya. Kebaikan itu boleh berlaku dalam bentuk hati, lidah dan anggota mengikut keadaan kejahatan dilakukan.

Kalau dengan hati ialah kita berasa hina dan rendah diri terhadap Allah, maka dengan lidah, kita mengakui kejahatan dilakukan dan terus beristighfar kepada Allah seumpama dia berkata: "Hai Tuhanku, aku menzalimi diriku, ampun dosaku".

Rasulullah mengajar kita bertaubat dalam sabdanya bermaksud: "Mana-mana orang yang melakukan satu dosa, lalu dia berwuduk dengan sebaik-baiknya, kemudian dia melakukan solat dua rakaat dan memohon ampun kepada Allah, pasti Allah mengampunkan dosanya" (Hadis Riwayat al-Tayalisi dalam Musnadnya).

Sesungguhnya dosa yang dilakukan memberi kesan buruk kepada hati kita sebagai Mukmin.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesungguhnya seorang Mukmin apabila dia melakukan satu dosa, terbentuklah satu titik hitam di hatinya, jika dia meninggalkannya dan bertaubat, bersinar kembali hatinya. Jika dia menambah lagi dosanya akan menebal titik hitam di hatinya.

Apakah hakikat taubat sebenarnya? Taubat ialah penyesalan terhadap apa yang dilakukan pada masa lalu, dan meninggalkannya serta-merta dan bertekad kuat untuk tidak mengulanginya lagi pada masa mendatang.

Marilah kita menjadikan taubat sebagai agenda utama kita sempena menyambut tahun baru Islam kita pada tahun ini. Semoga kita dapat membuka lembaran hidup baru dan bersih daripada noda dan dosa.

Friday, January 11, 2008

Memperbaiki kehidupan dituntut syarak

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Proses hijrah perlukan ummah muhasabah diri atasi permasalah bagi cipta kejayaan

KITA panjatkan rasa syukur kerana masih lagi dipanjangkan usia untuk bersama melangkah ke tahun baru 1429 hijrah dengan himpunan semangat dan kekuatan membina lembaran kehidupan sebagai insan mukmin yang beriman dan beramal salih.

Perpindahan Rasulullah SAW dan umat Islam dari Makkah ke Madinah menjadi lambang dan obor setiap insan mukmin bagi menterjemah apa yang tersirat di sebalik penghijrahan yang banyak mencatat kemenangan Islam.

Muhasabah diri setiap dari umat Islam sebenarnya menjadi asas yang kuat bagi menangani apa juga permasalahan diri yang timbul untuk disesuaikan dengan konteks hijrah itu sendiri. Banyak pengajaran dan iktibar yang boleh diambil daripada peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW.

Baginda SAW membuat perancangan cukup teliti bagi memilih tempat yang difikirkan sesuai untuk berhijrah memandangkan keadaan semasa umat Islam Makkah yang kian tertekan dengan ugutan dan ancaman kafir Quraisy.

Biarpun perintah untuk berhijrah datangnya daripada Allah, tetapi Rasulullah SAW tidak menggantung harapan penuh kepada pertolongan Allah tanpa mengambil tindakan perlu bagi memastikan kejayaan proses penghijrahan ini.

Baginda SAW memilih Ali bin Abi Talib untuk menggantikan Baginda di tempat tidur, sementara Abu Bakar pula dipilih sebagai teman sepanjang berhijrah. Abdullah bin Urqith berperanan sebagai penunjuk jalan ke Madinah, Abdullah bin Abu Bakar sebagai penyampai berita, manakala Asma' binti Abu Bakar pula menjadi penghantar makanan kepada Baginda dan Abu Bakar ketika bersembunyi di Gua Thur.

Tindakan Rasulullah SAW dan peranan yang dimainkan beberapa individu itu sebenarnya menepati perintah Allah seperti firman-Nya yang bermaksud: "Orang lelaki mukmin dan orang perempuan mukmin sesetengah mereka menjadi penolong kepada setengahnya, menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran." (Surah at-Taubah, ayat 71)

Islam mahukan semua umatnya melakukan perubahan ke arah yang terbaik. Caranya sudah tentu dengan meningkatkan azam dan kekuatan untuk sentiasa bersedia menerima dan menghadapi cabaran dengan dada terbuka, yakin qada' dan qadar Allah serta boleh menerima konsep takdir dengan rela.

Biarpun kini Islam tidak lagi menuntut umatnya melakukan penghijrahan dalam konteks perpindahan geografi, dalam keadaan fitrah manusia, penghijrahan tetap dituntut dalam aspek kehidupan seperti meningkatkan amal ibadat, kualiti diri, mutu kerja, perhubungan dan muamalat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang Islam itu ialah orang yang menyelamatkan orang Islam lain daripada bencana lidah dan tangannya, dan orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang ditegah oleh Allah daripada melakukannya."

Hijrah sebenarnya mengajak manusia supaya taat kepada perintah ketua, selagi apa yang disuruh itu tidak melanggar batas syariat. Apabila bertemu perancangan manusia dan Allah, sudah pasti ketetapan Allah akan menjangkau kehendak manusia.

Pada masa itu, pasti akan musnah segala helah dan tipu daya musuh Allah yang sentiasa ingin mengambil peluang memperdaya manusia daripada mengingati segala kekuasaan dimiliki Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Jika kamu menolong Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan menetapkan pendirian kamu." (Surah Muhamad, ayat 7)

Seseorang yang pada awalnya begitu lemah imannya kemudian berubah menjadi seorang yang taat kepada suruhan agama dikatakan sudah berjaya melakukan penghijrahan pada dirinya.

Penghijrahan umat Islam Makkah ke Madinah mempereratkan hubungan sesama manusia menerusi persaudaraan kaum Ansar dan Muhajirin yang diikat atas dasar akidah yang kukuh sehingga sanggup melakukan pengorbanan besar bagi membolehkan mereka hidup dalam suatu rumpun masyarakat disegani.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Demi Allah sesungguhnya negeri Makkah adalah sebaik-baik bumi Allah, dan bumi yang paling aku suka ialah Makkah dan sekiranya aku tidak dihalau nescaya aku tidak akan keluar dari bumi ini."

Setibanya di Madinah, Rasulullah SAW membangunkan masyarakat dan negara Madinah berteraskan apa yang termaktub dalam al-Quran dan sunnah, merangkumi tiga aspek iaitu hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia dan hubungan umat Islam dengan bangsa lain seperti Yahudi, Rom dan Parsi.

Hijrah juga mempunyai hubungan rapat dengan semangat jihad dalam diri Rasulullah SAW dan umat Islam secara keseluruhannya. Jihad itu bukanlah berbentuk kekerasan, tetapi beristiqamah dengan rundingan, perbincangan dan berfikiran terbuka dalam dakwah jihad.

Rasulullah SAW sudah membuktikan bahawa Islam bukannya agama pembangunan rohani dan metafizik, tetapi Islam mampu mentadbir penduduk dunia dengan sistem lebih teratur. Rasulullah SAW, sahabat dan mujaddid Islam yang muncul hingga zaman Uthmaniyyah berjaya menterjemahkan banyak perintah Allah dalam kehidupan seharian.

Keyakinan umat Islam sejak era Rasulullah SAW, Khulafa' al-Rasyidin dan sahabat sesungguhnya berjaya menghasilkan kecemerlangan dalam sistem pemerintahan, pentadbiran dan ketamadunan hidup masyarakat pada suatu ketika dulu.

Kejayaan ini berkat rasa optimis dan keyakinan bahawa kuasa dan ketetapan Allah adalah mengatasi segala-galanya seperti firman Allah yang bermaksud: "Janganlah kamu berasa lemah semangat dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamu adalah kaum yang cemerlang jika kamu benar-benar beriman." (Surah al-Imran, ayat 39)

Thursday, January 10, 2008

Hijrah bukti kebijaksanaan Rasulullah

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

HIJRAH bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah daripada satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang.

Ia berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Maknanya, hijrah difahami sebagai perpindahan daripada suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Pada asasnya, peristiwa hijrah bukan saja berlaku kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi turut dilakukan nabi yang lain atas perintah Allah. Nabi Ibrahim umpamanya diperintahkan Allah berhijrah ke satu tempat seperti firman-Nya yang bermaksud: “Selepas Nabi Lut beriman kepada-Nya dan Nabi Ibrahim pun berkata: Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, sesungguhnya Dialah juga yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Ankabut, ayat 26)

Selain Nabi Ibrahim, Nabi Musa juga diarahkan berhijrah kerana ancaman pembunuhan terhadap baginda. Selain itu, banyak ayat al-Quran yang menerangkan peristiwa hijrah Nabi Musa ke tempat Madyan, atas cadangan seorang lelaki yang mengetahui ada pakatan bunuh terhadap Nabi Musa. Begitu juga Nabi Noh yang diperintahkan berhijrah kerana akan berlaku banjir besar.

Bagaimanapun, dalam konteks hari ini, hijrah yang disambut setiap tahun lebih kepada memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah.

Peristiwa hijrah itu menyingkap satu perjuangan yang ‘pantang menyerah atau mengaku kalah’ di samping ia menjadi garisan pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Ia juga diibaratkan satu jambatan yang menghubungkan antara dua tahap masa perjuangan Rasulullah SAW iaitu, di Makkah selama 13 tahun dan kedua, di Madinah selama 10 tahun.

Ia bermakna Rasulullah SAW berhijrah bukan untuk lari atau meninggalkan medan perjuangan, sebaliknya meneruskan perjuangan. Malah, hijrah memberikan harapan dan membayangkan keberhasilan perjuangan pada masa depan.

Justeru, hijrah adalah tonggak perjuangan sangat bermakna. Hijrah juga fajar kemenangan yang menentukan kemenangan demi kemenangan perjuangan Nabi SAW dan sahabat yang berhijrah menyahut panggilan dan keimanan.

Hijrah itu berlaku atas dorongan iman yang kuat dan suci. Tanpa iman, pasti mereka akan berasa berat untuk meninggalkan keluarga, sanak saudara, kampung halaman dan kota kelahiran. Namun, demi mempertahankan cita-cita luhur yang lahir daripada iman kepada Allah dan Rasul-Nya, ia menguatkan semangat mereka untuk berhijrah.

Mereka juga menyedari tanpa pengorbanan dan perjuangan kental, hasrat atau cita-cita murni itu pasti terkubur. Justeru, mereka bersiap sedia untuk berjihad dengan ikhlas kerana Allah. Mereka berhijrah demi memenuhi panggilan iman, mempertahan dan mencapai cita-cita murni itu.

Mereka menghadapi apa saja rintangan, tekanan dan pelbagai kesulitan dalam perjalanan jihad itu dengan penuh sabar, tabah dan hati yang teguh. Hijrah Nabi SAW dan sahabatnya bukan bererti menjadi orang yang kalah atau tersingkir. Hijrah yang penuh tentangan dan halangan itu memberi mereka peluang untuk meraih kemenangan.

Peristiwa hijrah juga memperlihatkan banyak kebijaksanaan Rasulullah SAW, bagaimana baginda mengutamakan pembinaan masjid pertama di Madinah dikenali sebagai Masjid Quba’. Ia juga memperlihatkan fungsi kepentingan masjid dalam Islam. Masjid kedua yang didirikan Nabi ialah Masjid Nabawi.

Seterusnya, kebijaksanaan baginda mempersaudarakan kaum Muhajirin (sahabat Nabi SAW yang sama-sama berhijrah dari Makkah ke Madinah) dan kaum Ansar, yang bersedia menerima kedatangan mereka di Madinah.

Baginda juga berusaha mengadakan beberapa kesepakatan dengan golongan Yahudi dan Nasrani di Madinah untuk mewujudkan suasana aman damai dan harmoni.

Melihat kepada perancangan baginda, marilah kita sama-sama mencontohi semangat hijrah yang terkandung padanya banyak hikmah dan iktibar. Antara teladan yang boleh dipelajari daripada hijrah Nabi ialah komitmen baginda memperbaiki dan membangunkan ummah, yakni membangun ummah beriman, bertakwa, bersaudara, bergotong-royong, saling membantu dan hidup dalam damai dan harmoni dengan umat agama lain.

Hijrah baginda bukan untuk kerehatan, tetapi meneruskan perjuangan dakwah, kerja keras dan berkorban demi kebaikan ummah. Inilah masanya untuk umat Islam di Malaysia menghayati roh hijrah ini untuk diguna pakai dalam konteks semasa iaitu membina semula kegemilangan tamadun Islam.

Tamadun Islam tidak dapat dibina dengan slogan indah atau retorik manis semata-mata, sebaliknya ia menuntut satu jihad, pengorbanan, kesungguhan dan komitmen yang jitu untuk menjulang panji Islam ke persada dunia.

Hijrah juga mengajar makna perpaduan. Cuba renungkan kejayaan Rasulullah SAW menyatukan dua kumpulan yang sebelum itu yang saling bermusuhan, iaitu Aus dan Khazraj. Atas nama persaudaraan dan demi kasih sayang kepada Allah, dua kumpulan itu akhirnya dapat disatukan.

Dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia, wajar umat Islam mempamerkan semangat toleransi dan rahmah sejajar dengan Islam sebagai al-Din yang amat menitikberatkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah.

Justeru, Islam dari awal lagi menganjurkan umat Islam supaya bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain dalam memakmurkan bumi Allah ini. Bumi Allah adalah milik semua makhluk diciptakan Allah dan ia bukan milik atau kepunyaan istimewa satu kaum atau bangsa tertentu.

Malah, semuanya diberikan hak dan keistimewaan sama rata untuk bersama mendiami alam ini di samping memakmurkannya ke arah kejayaan dan kebahagiaan sejagat.

Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya kerana Islam adalah al-Din yang bersifat rahmat kepada sekalian alam.

Firman Allah yang bermaksud: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbia, ayat 107)

Tuesday, January 8, 2008

Jadikan semangat hijrah cipta banyak kebaikan

Oleh Lokman Ismail

PERISTIWA hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah menjadi peristiwa penting dalam kalendar Islam. Bagaimanapun, tarikh 1 Muharam yang dijadikan awal Hijrah bukan tarikh sebenar berlaku hijrah atau pergerakan Rasulullah dari Makkah ke Madinah.

Mengikut catatan sejarah, Rasulullah SAW keluar dari Makkah pada Khamis akhir Safar dan bersembunyi di Gua Thur, satu tempat terpencil di luar kota Makkah, untuk mengelak dikesan kafir Quraisy yang berusaha membunuh Baginda.

Baginda keluar dari Gua Thur, seterusnya menuju ke Madinah ialah pada awal Rabiulawal, mengikut perkiraan Masihi, peristiwa itu berlaku pada 622 Masihi, bermakna sudah 1385 tahun berlalu. Namun, mengikut kiraan Hijrah sudah mencecah 1,429tahun.

Bilangan hari dalam setahun tahun Masihi ialah 365 atau 366 hari (Februari ada 29 hari), manakala Hijrah bilangan harinya ialah 354 hari. Justeru, kita menyambut tahun baru Hijrah awal 10 atau 11 hari setiap tahun (berdasarkan tarikh Masihi).

Contohnya, umat Islam akan menyambut sesuatu perayaan pada musim sama ialah selepas 33 tahun berlalu (satu pusingan lengkap).

Rasulullah SAW berdepan halangan besar melaksanakan hijrah, tetapi hasil perancangan teliti, ia dapat dilakukan dengan jayanya. Kafir Quraisy terpedaya dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW merancang perjalanan supaya tidak dapat dikesan, ia termasuk melakukan transit di Gua Thur.

Baginda SAW tidak menggunakan kekuatan mukjizat atau dipermudahkan dengan pertolongan di luar kekuasaan manusia. Jelas sekali cara itu memberi pengajaran besar yang wajar dicontohi kerana jika menggunakan mukjizat, sudah tentu usaha itu tidak mampu dicontohi atau diikuti orang kebanyakan kerana mukjizat hanya dikhaskan untuk Rasul.

Peristiwa hijrah dijadikan detik permulaan perkiraan Hijrah yang menjadi kalendar umat Islam. Masyarakat Arab ketika itu belum ada pengiraan tahun, walaupun sudah ada nama bulan berdasarkan kepada musim atau peristiwa.

Detik hijrah diingati sebagai garisan permulaan kepada kejayaan gemilang penyebaran dakwah Islamiah dan kerana itu kita dituntut mengulangi kegemilangannya dengan cara menghayati dan melaksanakan hijrah yang banyak tersirat pengertian di sebaliknya.

Selepas hijrah Rasulullah SAW, Islam dapat disebarkan dengan lebih mudah di Madinah berbanding di Makkah, dan bermulalah tamadun Islam yang berjaya menguasai tanah Arab dan tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Untuk mencapai kejayaan dan mendapat sesuatu yang lebih baik memerlukan kita berhijrah ke arah itu. Perkara ini disebut Rasulullah SAW sebagai menjelaskan perihal hijrah yang dituntut dilakukan setiap umat Islam, selepas peristiwa hijrah Makkah ke Madinah.

Sahabat yang tidak sempat bersama Rasulullah SAW berhijrah berasakan satu kerugian kerana tidak mendapat pahala hijrah. Hakikat sebenar, hijrah tidak hanya perpindahan dari Makkah ke Madinah, tetapi masih banyak konsep hijrah yang perlu dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa-apa dilarang Allah ke atasnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ajaran Islam sentiasa mementingkan usaha menuju kebaikan dan kejayaan. Apa yang dilarang Allah bermakna ia perbuatan mendatangkan keburukan dan membawa kepada kegagalan hidup. Kita perlu berhijrah meninggalkan semua dilarang dan melakukan apa disuruh.

Justeru, berhijrah adalah sebahagian daripada melaksanakan misi ketakwaan. Berhijrah adalah satu perintah yang perlu dilakukan sepanjang masa. Sesiapa yang mengharapkan kehidupan lebih baik di dunia dan akhirat, tidak dapat tidak mesti berhijrah setiap masa.

Kita mesti sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dan mengharap rahmat Allah. Konsep hubungan hijrah dan kejayaan mendapat rahmat Allah disebut dalam al-Quran melalui firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah (fisabilillah), mereka itulah yang boleh mengharap (mendapat) rahmat dari-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 218)

Mencapai apa juga kejayaan memerlukan pengorbanan dan sesuatu pengorbanan tidak semestinya membuahkan kejayaan dalam tempoh masa singkat. Adakalanya pengorbanan itu perlu dilakukan berulang selepas menempuh kegagalan sebelum mencapai apa diimpikan.

Bahkan, ada usaha dan pengorbanan tidak berhasil mendapat seperti apa diharapkan di dunia ini, tetapi ia bukan sesuatu yang sia-sia selagi seseorang itu reda apa yang berlaku dan menerima ketentuan Allah.

Sesungguhnya apa juga perkara baik yang dilakukan akan mendapat pembalasan pahala. Mungkin kejayaan yang diharapkan tidak dapat dikecapi di dunia ini, balasan pahala tetap diterima di akhirat. Kegagalan ditanggung itu adalah sebahagian daripada ujian Allah.

Berusaha berubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna sudah mensia-siakan peluang hidup semalam. Peluang itu tidak akan datang lagi, kerana sudah berlalu menjadi sejarah.

Ketika masih ada peluang meneruskan kehidupan ini hendaklah direbut peluang untuk mengangkat darjat di sisi Allah. Peluang kelebihan dinikmati hendaklah digunakan sebaiknya sebelum ia berlalu atau hilang. Masa hidup di dunia ini terlalu singkat berbanding kehidupan yang kekal di akhirat.

Rasulullah SAW memberi peringatan supaya merebut kesempatan yang masih ada sebelum datang masa atau keadaan sebaliknya. Sikap bertangguh menyebabkan peluang yang ada sebelumnya akan tertutup, dan kematian adalah pengakhiran kepada semua peluang di dunia ini.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Rebutlah lima kesempatan sebelum datang lima yang lain; masa muda mu sebelum datang masa tuamu, masa sihat mu sebelum datang masa sakit mu, masa kaya mu sebelum datang masa fakir mu, masa lapang mu sebelum datang masa sibuk mu dan masa hidup mu sebelum datang kematian mu.” (Hadis riwayat Tarmizi)

Hijrah membolehkan seseorang melakukan lebih banyak kebaikan untuk diri sendiri, keluarga, agama dan bangsa. Allah melipatgandakan kejayaan dan keberkatan kepada mereka yang sanggup bersusah payah melakukan usaha hijrah. Semakin sukar laluan yang perlu ditempuh, lebih tinggi darjatnya di sisi Allah.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah dan mereka itulah orang yang berjaya.” (Surah at-Taubah, ayat 20)

Sesiapa yang berusaha mencapai sesuatu lebih baik dalam kehidupannya sudah melakukan sebahagian daripada maksud hijrah dan mendapat pahala hijrah jika ia diniatkan untuk memperoleh keredaan Allah. Setiap usaha perlu dilakukan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya setiap amal itu bergantung kepada niatnya. Maka sesiapa yang berhijrah semata-mata kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya diterima Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan duniawi, ia mendapat apa dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya terhenti pada apa yang diniatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadikan semangat sempena tahun baru hijrah ini untuk mencipta lebih banyak kebaikan dalam hidup. Dalam Islam tidak ada istilah pencen atau berhenti melakukan kebaikan selagi keupayaan dan peluang masih ada.