Showing posts with label Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Ilmu. Show all posts

Sunday, January 31, 2010

Ulul Albab: Pengetahuan dimiliki manusia sangat terbatas


Menerima apa jua ketentuan Allah di situ letaknya keilmuwan, menolak ketetapan bererti kejahilan

SEPERTI biasa, sebelum menulis artikel dalam ruangan ini, penulis pada setiap Jumaat pagi kerana di Brunei Jumaat dan Ahad adalah hari libur bagi perkhidmatan awam, membaca akhbar langganan penulis, Borneo Bulletin. Di muka surat 29 akhbar berkenaan pada Jumaat lalu ada satu laporan Reuters yang menyebut Presiden Argentina, Christina Fernandez menemukan satu alternatif untuk menggantikan ubat viagra bagi kepentingan 'urusan' rumah tangga. Yang menjadi perhatian penulis ialah alternatif yang dimaksudkan Presiden itu ialah 'khinzir' sehingga membuat penulis untuk berucap qul a antum a'lamu amillah (Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah?") sepotong ayat al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 140.

Presiden dalam laporan itu berkata: "I've just been told something I didn't know; that eating pork improves your sex life...I'd say it's a lot nicer to eat a bit of grilled pork than take viagra." Beliau menyatakan kenyataan ini selepas beliau mengiktiraf selalu berasa seronok menjalani hujung minggu bersama suaminya selepas menikmati barbeku khinzir. Subhanallah!

Kita tidak akan membincangkan apa yang berlaku selepas itu di sebuah negara Amerika Latin, negara asal Maradona. Tetapi yang akan disentuh di sini ialah inti ucapan Presiden yakni daging khinzir sebagai alternatif padahal menurut Pencipta seluruh makhluk termasuk Presiden itu yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah didakwahkan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi � kerana sesungguhnya ia adalah kotor, atau sesuatu yang dilakukan secara fasik iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah." (Surah al-An'am: 145)

Allah SWT bersifat Maha Mengetahui dan pengetahuan Allah meliputi segala sesuatu, tiada yang tersembunyi daripada-Nya. Dia mengetahui apa yang berlaku, sedang berlaku, dan yang akan berlaku. Dalam al-Quran, sifat maha tahu Allah disebut sebanyak 162 kali dan pengertian 'ilm' atau 'mengetahui' menurut ahli bahasa menjangkau sesuatu sesuai dengan keadaan sebenarnya.

Saidina Ali ra dalam Nahj al-Balaghah menyatakan: "Tidaklah ada yang tersembunyi daripada pengetahuan Allah meskipun setitis air, tidak pula bintang di langit, hembusan angin di angkasa, rambatan semut pada waktu malam yang kelam. Sesungguhnya Allah mengetahui daun-daun yang berguguran dan tersembunyinya gerakan mata."

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah?" difirmankan Allah untuk menolak dakwaan orang Yahudi dan Nasrani yang mengatakan bahawa nabi dan rasul sebelum Rasulullah beragama Yahudi atau Nasrani. Secara utuh ayatnya berbunyi maksudnya: "Atau patutkah kamu mengatakan bahawa Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak dan Nabi Yaakob berserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang Yahudi atau Nasrani, (padahal agama mereka telahpun ada sebelum adanya agama Yahudi atau agama Kristian itu)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?" Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan."

Pengetahuan Allah meliputi segala sesuatu seperti ditegaskan dalam satu ayat yang bermaksud: "(Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi setiap sesuatu, tidakkah kamu (insaf) mengambil pelajaran?" (Surah al-An'am: 80)

Pengetahuan Allah meliputi segala aktiviti zahir dan batin. Dia mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati. Bahkan Dia mengetahui segala sesuatu yang akan berlaku sebelum ia berlaku. Demikian luasnya pengetahuan Allah sehingga tidak satu makhluk pun yang boleh mengukur atau mengira ilmu-Nya. Allah berfirman bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambah lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan." (Surah al-Kahfi: 109)

Sebaliknya, pengetahuan yang dimiliki manusia sangat terbatas. Bahkan pengetahuan itu adalah kurnia pemberian Allah SWT. Kita selalu membaca sebuah ayat yang diucapkan malaikat yang bermaksud: "Maha Suci Engkau (Ya Allah) Kami tidak mempunyai pengetahuan, selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Baqarah: 32).

Dengan sifat manusia yang memiliki semua keterbatasan, maka sudah sewajarnya mereka tidak menyombong diri, berasa kuat dan megah bahkan meremehkan ketentuan dan peraturan Allah. Sebagai manusia, kita mesti reda dengan qada dan qadar Ilahi yang mengetahui baik buruknya apabila ia mengenai kita. Saidina Umar pernah berkata: "Inilah aku. Tidak pernah aku menuntut, malah aku menikmati apa yang sudah ditetapkan dalam qada."

Peraturan dan ketetapan Allah dalam apa jua aspek kehidupan manusia mesti kita junjung tinggi dan menerimanya dengan keterbukaan dan lapang dada. Sebagai contoh, dalam aspek penyerahan diri manusia sepenuhnya kepada Allah ketika ditimpa musibah ada baiknya kita melihat apa yang berlaku terhadap Urwah bin Zubair, seorang sahabat Nabi. Ketika kaki beliau dipotong dan pada masa sama anaknya meninggal dunia, beliau berkata: "Yang Allah, segala puji bagi-Mu. Jika hari ini Engkau mengambil, maka sebenarnya dulu Engkau telah memberi. Jika kini Engkau mendatangkan cubaan, maka sesungguhnya dulu Engkau telah memberikan keselamatan. Engkau telah kurniakan empat anggota tubuh kepadaku (kaki dan tangan), namun Engkau hanya mencabut satu daripadaku. Engkau kurniakan padaku empat orang anak dan Engkau hanya mengambil seorang di antaranya."

Seorang mukmin yang mampu memahami dan meneladani sifat Maha Mengetahui Allah dalam kehidupan seharian akan memiliki sejumlah karakter positif antaranya: Memiliki semangat belajar yang tinggi. Dia akan selalu haus terhadap ilmu pengetahuan kerana dia sedar bahawa belajar adalah keperluan hidupnya. Bahkan belajar adalah ibadat yang bernilai pahala; Tidak menjadi ilmuwan yang sombong kerana dia menyedari bahawa ilmunya adalah anugerah Allah yang mesti dimanfaatkan. Dia menyedari hadis Nabi bermaksud: "Siapa yang menuntut ilmu untuk bermegah-megah/menunjuk-nunjuk kebolehannya di hadapan ilmuwan atau untuk berbantah-bantahan dengan yang jahil, maka dia di neraka." (Hadis riwayat al-Tirmizi); Menjadi manusia yang bermanfaat dan berguna bagi masyarakat. Dia tidak akan mensesiakan ilmunya melainkan dengan mengamalkannya seperti Baginda Rasulullah dalam doanya yang bermaksud: "Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, dari diri yang tidak kenyang; dan dari doa yang tidak dimakbulkan." (Hadis riwayat Muslim)

Akhirnya, ketika kita menerima apa jua ketentuan Allah di situlah letaknya keilmuwan kita. Tetapi sebaliknya, ketika kita menolak apa jua ketetapan Allah di situlah letak kejahilan kita. Pythagoras pernah berkata: "Jika engkau tidak sanggup menahan penat belajar, engkau harus menanggung pahitnya kebodohan." Wallahualam

Wednesday, November 11, 2009

Penyampaian ilmu tanpa hikmah gagal lahirkan insan berkualiti

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bhrian.com.my

PENEKANAN kepada penyampaian maklumat dan mempertingkatkan kemahiran menyebabkan aspek hikmah dalam pendidikan diabaikan sedangkan ilmu dan hikmah tidak boleh dipisahkan jika ingin melahirkan insan berjiwa besar. Felo Penyelidik Kanan Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (UM), Prof Dr Osman Bakar, berkata hikmah dalam bidang pendidikan merujuk ilmu istimewa dan jika dimiliki boleh menjadikan seseorang lebih bijaksana.

Katanya, apa yang berlaku dalam bidang pendidikan kini lebih kepada menyampaikan sebanyak mungkin maklumat bukan ilmu menyebabkan matlamat melahirkan generasi memiliki ilmu dan hikmah tidak tercapai.

"Hikmah ialah ilmu yang mempunyai ciri tertentu dan patut diserapkan pada peringkat pengajian rendah hingga ke universiti. Sekarang kita lebih bercakap mengenai penyampaian maklumat. Pemikir kita kata maklumat berbeza dengan ilmu dan ilmu berbeza dengan hikmah.

"Bagaimana kita dapat teruskan pembinaan tamadun manusia lebih baik jika hanya berpuas hati dengan penyampaian maklumat," katanya pada Seminar Pendidikan Tinggi Islam VII anjuran Kolej Dar al-Hikmah di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bandar Baru Bangi.

Seminar itu diadakan sempena sambutan 20 tahun penubuhan Kolej Dar al-Hikmah bertujuan membincangkan pendekatan dan usaha yang perlu dilaksanakan bagi membina generasi ilmuwan ulul albab dan memartabatkan falsafah pendidikan al-Hikmah.

Menjelaskan mengenai hikmah, Dr Osman yang menjadi ahli panel membicarakan 'Wawasan Pendidikan al-Hikmah: Pembinaan Generasi Ulul Albab' berkata, dalam konteks pendidikan, memiliki kemahiran saja tidak mencukupi sebaliknya perlu ditambah dengan sifat kemanusiaan.

Contohnya, untuk dikatakan menguasai bidang perniagaan perlu mahir teknologi maklumat selain memiliki banyak ilmu mengenai perniagaan. Namun apakah kemahiran saja mencukupi untuk menjadi peniaga yang berjaya?

Bagaimana sifat kemanusiaan seperti kejujuran dalam perniagaan kerana jika mengikut hikmah, kejujuran perlu sebagai aset dalam bidang perniagaan tetapi ia bukan dalam bentuk yang boleh disukat atau diukur.

"Maknanya jika ingin menjadi peniaga berjaya bukan sekadar memiliki kemahiran malah juga aspek lain seperti kejujuran. Peniaga yang memiliki kejujuran berbeza dengan peniaga hanya memiliki kemahiran. Oleh itu, hendak didik ilmu mesti berserta hikmah kerana jika ada satu saja, pendidikan itu tidak lengkap," katanya.

Katanya, dimensi kemanusiaan sedikit demi sedikit sudah terhakis daripada pemikiran dan kesedaran masyarakat hari ini kerana terdesak untuk menyampaikan sebanyak mungkin maklumat dan mengajar kemahiran.

Justeru, pihak berkuasa perlu mengkaji semula kurikulum pendidikan sama ada ia memberi penilaian cukup pada dimensi kemanusiaan serta bagaimana hendak menghidupkan kembali prinsip ilmu dalam al-Quran, hadis dan yang dikemukakan ulama setiap zaman.

Dr Osman berkata, gabungan ilmu dan hikmah perlu diserapkan dalam sukatan pelajaran supaya apa juga maklumat disampaikan mampu melahirkan manusia yang baik kerana daripada manusia baik lahir warga negara yang baik.

Sementara itu, Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba, berkata masyarakat perlu diberi kefahaman pentingnya pendidikan yang memberi fokus kepada pembangunan insan.

Katanya, perubahan dalam pendidikan wajar mengambil kira penyesuaian dalam binaan kurikulum dan metodologi bagi memperkasakan sistem pendidikan Islam yang boleh membangunkan tamadun.

"Bagi tujuan itu, pendidikan mesti bersepadu serta menyeluruh. Pendidikan Islam dan ilmu mengurus mesti disepadukan kerana kita perlu melahirkan ulama ilmuwan yang bukan saja tahu bidang profesional malah menguasai ilmu agama," katanya.

Beliau mahu pendidikan arus perdana yang pelajarnya berbilang bangsa didekati melalui pendidikan etnik dan nilai menggabungkan tamadun Islam dengan bukan Islam dalam usaha mendekatkan nilai murni, seterusnya menghasilkan pencapaian cemerlang.

Dalam aspek pendidikan Islam, Dr Sidek mahu penekanan diberikan kepada usaha memperkasa kurikulum yang mengintegrasikan ilmu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama untuk diteruskan ke peringkat pengajian tinggi.

"Dengan ada ilmu bersepadu, pelajar sekolah aliran agama boleh meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi. Pada masa sama, pendidikan negara yang berbilang bangsa jangan terlepas daripada tamadun etika dan nilai yang menemukan manusia dengan manusia," katanya.

Thursday, June 4, 2009

Ilmu kekeluargaan wajar diajar di sekolah

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Salleh
salidasuhaila99@yahoo.com

Pendidikan dapat elak remaja terbiar, tertekan akibat rumah tangga bergolak

PENDIDIKAN mengenai rumah tangga dan kekeluargaan tidak boleh dianggap asing dalam sistem pendidikan negara dan ia wajar dijadikan sukatan pelajaran di sekolah menengah sama ada diserapkan dalam beberapa mata pelajaran sedia ada seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sains, Biologi, Kesihatan dan Bahasa Melayu atau sebagai mata pelajaran baru.

Bertunjangkan perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan keluarga, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual dan masyarakat serta budaya, pendidikan seksualiti dan ilmu kekeluargaan boleh menghindari 'jahil ilmu' sehingga menyebabkan ramai gadis remaja terjebak zina walaupun mendakwa dirogol.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra', ayat 32 bermaksud: "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu ialah satu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk."

Antara perlu dijawab dalam isu ini ialah adakah remaja belasan tahun yang masih bersekolah mengamalkan seks bebas kerana jahil ilmu kekeluargaan? Adakah mereka tidak mengetahui kesan hubungan seks tanpa nikah atau hukumnya menurut agama yang dianuti?

Tidakkah pernah ibu bapa mengajar anaknya bahaya gejala sosial yang boleh menyebabkan zina dan melahirkan anak luar nikah? Jika peranan ini perlu dimainkan pendidik yang rasmi di institusi pendidikan, tentu banyak pula implikasinya.

Walaupun boleh diserapkan dalam mata pelajaran lain, pendidikan perkahwinan dan kekeluargaan lebih baik diajar dalam sukatan pelajaran yang khusus tanpa menumpang mana-mana subjek sedia ada. Mata pelajaran berkenaan adalah bab luas dan memerlukan masa panjang. Sekiranya berlaku timbunan bab dalam garis panduan mata pelajaran, kemungkinan skopnya tidak menyeluruh.

Banyaknya kes zina dan rogol di kalangan pelajar seawal usia 11 tahun sungguh mengaibkan dan menjatuhkan maruah golongan dewasa, lantaran kegagalan menghalang mereka daripada berkelakuan sedemikian rupa.

Mereka mungkin ingin mencuba atau kerana tidak arif dosa dan pahala, malah mungkin kerana kurang memahami ilmu kekeluargaan kerana tiada yang mendidik mereka sehingga tidak sedar wanita dicipta untuk menjadi isteri dan ibu yang melahirkan generasi rabbani, yang menyenangkan suami, bukan pemuas nafsu yang tidak halal pada awal usia remaja dan belia.

Dalam Surah Ar Rum, ayat ke 21 Allah SWT berfirman bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum berfikir.'

Pembelajaran formal dan khusus amat penting dalam membentuk peribadi lebih harmoni kepada setiap generasi. Pendidikan seksualiti dan ilmu kekeluargaan adalah dua cabang ilmu berbeza. Walaupun kesesuaian diperkenalkan kepada pelajar peringkat menengah tidak seiring, ia tidak boleh dipinggirkan langsung.

Ilmu kekeluargaan dianggap lebih luas dan amat penting diperkenalkan sebagai sukatan mata pelajaran wajib. Antara lain menekankan aspek pembinaan keluarga mengikut lunas agama, faktor asas membina sebuah keluarga harmoni, ciri-ciri perlu ada dalam mempertahankan kebahagiaan keluarga dan tanggungjawab setiap ahli keluarga dalam menjamin keseimbangan toleransi dan kepercayaan menjurus kepada kepentingan institusi keluarga, perkahwinan dan komitmen sepanjang hayat serta keibubapaan.

Kes perceraian semakin meningkat dewasa ini adalah rentetan jalan pintas yang diambil oleh pasangan suami isteri dalam menyelesaikan konflik keluarga. Segala rasional dan diplomasi dianggap sesuatu yang remeh temeh, tambahan pula kebergantungan hidup kepada suami semakin berkurangan.

Isteri mula menafsir tanpa ketua keluarga, mereka masih boleh meneruskan hidup, malah lebih baik. Masalah rumah tangga mungkin boleh diselesaikan dengan perceraian, tetapi masalah pembesaran dan masa depan anak, juga kesan psikologi lantaran perebutan kuasa pemilikan ke atas mereka di samping proses pertumbuhan minda yang kurang sihat akan menzalimi kehidupan anak itu sendiri.

Konflik rumah tangga antara ibu bapa sering kali dilihat sebagai masalah yang tidak boleh ditangani di rumah. Walhal, anak adalah teras paling penting dalam menjamin keharmonian rumah tangga. Persoalannya, dapatkah anak memainkan peranan sepatutnya dalam membantu menyelesaikan konflik antara ibu bapa sekiranya tidak dibekalkan ilmu sepatutnya.

Mengenai ilmu perkahwinan, masyarakat hari ini mempunyai pengetahuan yang sangat cetek mengenai hukum mendirikan perkahwinan, memelihara malah berkaitan dengan pembubarannya. Ekoran pemahaman yang amat sedikit ini, mungkin ada suami mentalakkan isteri tetapi kerana urusan pendaftaran cerai tidak dilakukan seperti termaktub dalam peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam, maka mereka tetap meneruskan kehidupan sebagai suami isteri walaupun tiada niat dan keinginan untuk rujuk.

Pengetahuan asas hukum perkahwinan perlu dimaklumi setiap orang kerana ia membabitkan nasab bakal menyambung generasi. Kursus praperkahwinan yang disyaratkan kepada bakal pengantin pula sebenarnya tidak mencukupi dan tempoh kursus yang amat singkat hanya mengizinkan ilmu asas menghadapi perkahwinan didedahkan. Ilmu kekeluargaan sebenarnya melangkau peranan yang harus dimainkan suami dan isteri.

Tidak boleh dinafikan, ilmu kekeluargaan harus disebatikan dalam setiap diri individu. Ia adalah ilmu paling mudah diamalikan memandangkan setiap pelajar mempunyai keluarga. Melalui pendidikan seksualiti dan kekeluargaan saja setiap individu diberi bimbingan secara rasmi mengenai amalan kehidupan, hak dan tanggungjawab yang tergalas di bahu mereka sebagai ahli keluarga dan masyarakat yang baik.

Bangunkan mentaliti rakyat Malaysia hari ini bahawa keluarga teguh adalah asas negara utuh. Rumpun keluarga harmoni dan berteraskan agama menjadi paksi kukuh bangsa bermaruah tinggi.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Friday, May 15, 2009

Manfaat ilmu cara terbaik hargai jasa guru

Oleh Mohd Shukri Hanapi

GURU insan yang bertanggungjawab mendidik dan memimpin masyarakat. Guru banyak menyumbangkan khidmat membangunkan bangsa dan negara, lebih-lebih lagi membentuk sahsiah pelajar.

Oleh itu, guru perlu mempunyai sahsiah yang baik untuk dicontohi pelajar dalam pembentukan sahsiah mereka. Prof Mohd Kamal Hasan menjelaskan: “Contoh teladan pendidik ini yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar. Mereka yang seharusnya terlebih dulu dilengkapi ciri akhlak mulia walaupun masyarakat kurang menghargai watak yang berbudi luhur.”

Abdul Halim al-Muhammadi pula menjelaskan, guru ialah ejen kepada keberkesanan pendidikan. Walau sebaik manapun sistem pendidikan, maksud yang ingin disampaikan tidak mencapai matlamatnya jika ejen yang menyampaikan tidak efektif. Kejayaan dan keberkesanan pendidikan berhubung rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya. Kesepaduan antara kemahiran keilmuan dengan keluhuran peribadi adalah kriteria peribadi pendidik yang tidak boleh dipisahkan, sebaliknya jadi contoh berkesan.

Dapat dikatakan, guru bertanggungjawab membentuk tamadun manusia melalui penyebaran ilmu. Jasa guru amat besar, begitu juga pengaruh mereka mendidik serta membimbing pelajar mencapai kecemerlangan hidup. Islam memberi penghormatan yang tinggi kepada guru. Mereka bukan saja berperanan memberi kesedaran kepada diri sendiri, juga kepada kumpulan di bawah bimbingan mereka termasuk dalam hal menjaga hubungan dengan Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hambanya ialah ahli ilmu.” (Surah Faathir, ayat 28)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai orang beriman, apabila dikatakan kepada kamu berikan sedikit ruang pada majlis, maka berikan ruang, nescaya Allah akan memperluaskan ruang untuk kamu. Allah mengangkat darjat orang yang dikurniakan ilmu kepada mereka dan (ingatlah) Allah itu Maha Mengetahui terhadap apa saja yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Khidmat guru jika dilakukan dengan ikhlas bukan saja dapat melahirkan generasi yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara, malah membuka peluang kepada guru meraih keberkatan serta reda Allah. Tugas guru adalah amanah yang datang dengan tanggungjawab serta beban berat kerana tidak dinafikan mendidik pelajar daripada usia lima tahun (prasekolah) bukan mudah serta memerlukan kesabaran tinggi. Harapan menggunung diletak pada bahu guru sering kali menimbulkan dilema kerana hakikat mendidik pelajar bukan hanya tanggungjawab guru, sebaliknya perlu mendapat sokongan ibu bapa yang menjadi guru di rumah.

Sesungguhnya, amanah menyampaikan ilmu adalah tanggungjawab yang dipersoalkan pada akhirat kelak. Rasulullah SAw bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu juga bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Kedudukan profesion perguruan dalam agama cukup jelas. Segala ilmu disampaikan guru kepada pelajar akan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat. Di sini peranan guru meningkatkan usaha serta kreativiti supaya proses pembelajaran dapat dilaksanakan secara berkesan. Justeru, pengorbanan dan kesungguhan guru menghadapi cabaran perlu dibalas dengan kejayaan pelajar menterjemahkan ilmu disampaikan dalam kehidupan mereka. Itulah hadiah paling berharga bagi guru.

Segala penat lelah terbalas apabila melihat pelajar yang dididik serta dibimbing penuh kasih sayang mencapai kejayaan dalam pelajaran seterusnya mencapai kecemerlangan. Justeru, guru perlu diberi penghormatan tinggi selari penghormatan diberikan Islam.

Bagi guru atau pendidik, mereka tidak pernah mengharapkan hadiah bertimbun setiap kali sambutan Hari Guru kerana harapan mereka biar anak didik menjadi insan berilmu dan berguna, seterusnya menyumbang khidmat bakti kepada negara. Guru mengerti usaha mendidik dan membangunkan insan bukan mudah. Meskipun begitu, semangat mereka tidak pernah luntur malah terus berusaha menyusun langkah meneruskan perjuangan demi memikul amanah Allah.

Demikianlah antara peranan guru ketika ini. Mereka bukan saja menjadi ‘qudwah hasanah’ (contoh terbaik) kepada masyarakat, bahkan peranan mereka lebih terbukti apabila negara kita berjaya melahirkan sumber tenaga manusia dalam pelbagai bidang.

Tanggungjawab dan peranan guru tidak dapat dipertikaikan biarpun kadangkala mereka dipersalahkan apabila berlaku kes keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Kecekapan dan keberkesanan peranan guru menerusi sistem pendidikan mampu membina negara bangsa yang berjaya. Guru mempunyai peranan dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Aspek pembinaan negara bangsa ini yang dijadikan tema sambutan hari guru pada tahun ini iaitu ‘Guru Pembina Negara Bangsa’. Tema ini bermatlamatkan memperkasakan peranan guru dalam mewujudkan pembangunan modal insan. Pemilihan tema ini sesuai dan tepat dengan peranan guru menjadi harapan bagi memastikan pembentukan jati diri pelajar yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat.

Wednesday, May 13, 2009

Manusia tidak berilmu mudah terbabit jenayah

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Masyarakat perlu berusaha, ambil langkah bendung kelakuan bertentangan agama

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan 'perang habis-habisan' tanpa kompromi terhadap penjenayah berikutan peningkatan indeks jenayah di seluruh negara. Kumpulan penjenayah ini perlu diperangi bagi melenyapkan ancaman mereka kerana kehadiran kelompok itu boleh menjejaskan kedudukan sosioekonomi dan politik negara.

Orang melakukan jenayah sebenarnya boleh dianggap hanya berjasad manusia, tetapi jiwa dan perasaannya tidak lebih daripada ganasnya binatang.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan sebarkanlah bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredaan-Nya dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana mengharapkan) perhiasan dunia dan janganlah kamu mengikut orang yang hatinya Kami lalaikan dari mengingati Kami, dan menurut hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batasan." (surah al-Kahfi ayat 28).

Penjenayah dan jenayah memang kejam. Selepas tercetusnya sesuatu kes jenayah akan lahir pula selepas itu perasaan marah, iri hati dan dendam kesumat yang bakal ribut lagi bahang kekejaman dalam bertindak balas seterusnya.

Lanjutan insiden itu juga kita semua pasti dengan segera akan terbayangkan pelbagai gejala tidak sihat terus bernanah menjadi 'penyakit masyarakat'.

Nasihat menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain supaya tidak tergelincir dari landasan Islam sudah menjadi tanggungjawab setiap Muslim. Tanggungjawab itu bergantung pula kepada keupayaan diri seseorang itu apabila berada dalam kelompok manusia tertentu dan mengikut tahap keilmuan dimiliki seseorang individu.

Firman Allah SWT bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian, kecuali mereka mengerjakan amalan soleh dan nasihat menasihati mentaati kebenaran dan kesabaran." (Surah al-Asr, ayat 1-3).

Perangkaan, indeks jenayah kebangsaan meningkat kepada 12.6 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama pada 2006 iaitu sejumlah 170,481 kes berbanding hanya 151,444 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Jenayah keganasan meningkat 18.01 peratus, harta benda naik 13.87 peratus dan jenayah komersial bertambah 17.98 peratus. Hanya jenayah narkotik mencatatkan penurunan sebanyak 8.07 peratus.

Benarlah, manusia yang tidak berilmu sanggup melakukan apa saja untuk kepentingan diri sendiri. Golongan ini akan merasa bahagia dengan kematian, kecederaan, kecacatan dan keruntuhan hidup orang lain.

Insiden jenayah menyebabkan negara mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM15.3 bilion pada 2007. Dengan peningkatan berterusan pada tahun lalu dan tahun ini, angka kerugian pastinya terus meningkat.

Kita masih terus berharap agar pihak berkuasa dapat terus mengambil langkah bijak bagi menangani pelbagai kes jenayah yang terus meningkat setiap hari.

Dalam hadis Rasulullah lain riwayat Ibnu Majah, baginda bersabda bermaksud:" Wahai manusia , sesungguhnya Allah memerintahkan kamu melakukan yang makruf dan menegah perkara yang mungkar. Sebelum (sampai masanya) kamu berdoa kepada-Ku tetapi Aku tidak memperkenankannya, (perintah dan tegahlah) sebelum (sampai masanya) kamu meminta pertolongan-Ku tetapi Aku tidak menolong kamu."

Justeru, semua anggota masyarakat perlulah sama-sama berusaha untuk memikir dan mengambil langkah jangka panjang bagi membendung dan membanterasnya. Allah berpesan dalam kitab suci al-Quran supaya semua manusia bersatu padu dalam melakukan apa juga bentuk kebaikan untuk kesejahteraan bersama dan jangan sekali-kali bersatu melakukan sesuatu yang boleh membawa ke arah dosa dan kerosakan.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Serulah (semua manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmat dan pengajaran yang baik dan bijaksana, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik." (surah an-Nahl, ayat 125).

Penambahan anggota polis sehingga 60,000 anggota dalam masa lima tahun akan datang dan peningkatan kepakaran dalam bidang tertentu seperti sains dan teknologi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknologi siber dan forensik, adalah antara sasaran utama mereka dalam usaha membendung dan seterusnya membasmi pelbagai kes jenayah berlaku di seluruh negara.

Bukan hanya akan lebih bijak dan cekap dalam membendung dan mengurangkan peningkatan kes, tetapi juga dalam masa yang sama menghapuskan punca yang membawa kepada tercetusnya pelbagai kejadian jenayah yang kian parah dalam masyarakat.

Moga ia dapat dibendung, sesuai dengan kekuatan yang ada pada gagasan perkhidmatan pasukan keselamatan negara kita. Gandingan tenaga dari seluruh rakyat pula amat ditagih kerana seorang warga yang terpuji adalah sentiasa memikirkan cara dan kaedah terbaik untuk menyumbang jasa kepada keharmonian tanah air sendiri.

Monday, May 11, 2009

Teori masyarakat Ibnu Khaldun jadi rujukan Barat

Oleh Zahid Zamri

Ilmu ramuan paling asas bagi perkembangan minda manusia, terutama mengenai alam

IBNU Khaldun (1332-1406) ialah cendekiawan Islam yang banyak menyumbang dalam pelbagai bidang sains kemanusiaan antaranya falsafah, sains politik, sejarah dan sosiologi.

Berasal dari Tunisia, beliau pernah bertugas sebagai hakim atau kadi kepada mazhab Maliki di Afrika Utara. Beliau juga negarawan yang arif dalam hal ehwal negara hasil pengalamannya berkhidmat kepada beberapa generasi pemerintah Muslim di sana.

Antara karya penulisan beliau yang masyhur ialah Muqaddimah, buku pendahuluan bagi Kitab Al-'Ibar mengulas teori ketamadunan yang kini menjadi rujukan ilmuwan Islam dan pengkaji Barat.

Antara pemikiran Ibnu Khaldun adalah teori kemasyarakatan. Menurut beliau, sebelum mengkaji lebih mendalam sesuatu masyarakat, kita perlu memahami manusia dan perbezaannya daripada hidupan lain. Manusia diangkat tinggi martabatnya berbanding makhluk sekeliling kerana boleh berfikir dan menimba pelbagai ilmu sains serta ilmu seni. Kedua, manusia mempunyai kemahiran memerintah yang memberi peluang untuk menyediakan perlindungan serta mempertahankan keselamatan diri.

Ketiga, manusia dapat bekerjasama melalui pelbagai bentuk dan cara dalam menjalani kehidupan seperti kerjasama dalam institusi kekeluargaan, anak sentiasa berusaha membantu ibu bapa.

Seterusnya ia berkembang kepada kerjasama antara kaum yang akhirnya mewujudkan ciri keempat pada manusia yang dinamakan oleh Ibnu Khaldun sebagai tamadun. Manusia memerlukan tamadun untuk memenuhi keperluan mereka.

Ini termasuk tempat tinggal yang selesa di bandar dan kawan bagi menemani hidup supaya tidak kesunyian. Semua ciri ini membezakan manusia dengan makhluk lain mengikut pengamatan Ibnu Khaldun. Apabila memahami manusia, baru kita beralih kepada pengkajian mengenai bagaimana individu dapat membina jati diri serta mempelajari budaya melalui pergaulan dan pengalaman hidup dalam masyarakat.

Individu tidak boleh hidup dengan mengasingkan diri daripada masyarakat. Ibnu Khaldun menceritakan mengenai seorang kanak-kanak yang dikurung bersama bapanya sejak ia lahir.

Walaupun memiliki pengetahuan mengenai dunia luar melalui penceritaan bapanya, budak itu masih tidak mampu membayangkan dan berimaginasi apa yang diceritakan itu. Pengasingan dengan dunia luar membuatkan kanak-kanak itu tiada pengalaman berjumpa dan hidup dalam masyarakat sehingga membantutkan daya fikirannya. Oleh itu, hidup bermasyarakat adalah penting.

Menurut Ibnu Khaldun, beberapa faktor perlu ada bagi membantu individu dalam proses mengumpul pengetahuan mengenai masyarakat dan pertama adalah ilmu.

Ilmu adalah ramuan paling asas bagi perkembangan minda manusia, terutama mengenai alam. Manusia asalnya jahil dan mempunyai minda yang kosong ataupun dipanggil tabula rasa mengikut Ibnu Khaldun.

Kemudian, hasil usaha menimba ilmu pengetahuan, seseorang menjadi insan lebih sempurna akal fikirannya dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Ilmu pengetahuan dimantapkan dengan faktor kedua iaitu nilai murni keagamaan yang mewujudkan pembangunan jati diri yang baik.

Pembangunan insan berlandaskan agama ini perlu diserapkan ke dalam personaliti setiap individu. Proses ini dapat dilaksanakan oleh ejen ketiga iaitu institusi keluarga.

Kasih sayang yang diberikan ibu bapa sangat perlu bagi mewujudkan individu yang normal dan dapat menyumbang kepada masyarakat. Pandangan ini sesuai dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Setiap bayi yang lahir itu dilahirkan seperti kain putih, terserah kepada ibu bapanya untuk menjadikan dia Yahudi atau Nasrani ataupun Majusi."

Keluarga memainkan peranan utama membentuk sahsiah dan akhlak individu supaya sentiasa baik dan berada dalam landasan agama. Guru dan golongan tua juga ejen yang membantu menerapkan nilai murni kepada individu.

Golongan tua terlebih dulu makan garam memandu golongan muda berdasarkan pengalaman hidup yang sudah mereka tempuhi. Sementara guru pula berkemampuan mengajarkan pelbagai ilmu kepada murid.

Menurut Ibnu Khaldun, ilmu yang diajar harus secara berperingkat. Sedikit demi sedikit ilmu diserapkan kepada pelajar mengikut kemampuan mereka. Jangan terus memberi soalan yang susah atas alasan supaya mereka dapat menimba pengalaman daripada menjawab soalan itu.

Soalan yang sukar ini patut disimpan untuk dijawab pada akhir proses pembelajaran. Guru yang melakukan kesilapan ini sebenarnya menambahkan kekeliruan pelajar kepada pelajaran.

Bagi Ibnu Khaldun ini adalah teknik pengajaran yang lemah dan tidak berkesan. Beliau juga menekankan elak daripada menjalankan proses pendidikan formal berasaskan penghafalan kerana menghafal mengakibatkan seseorang mudah lupa.

Faktor seterusnya ialah penguasaan bahasa sebagai medium asas untuk berkomunikasi dengan masyarakat termasuk kebolehan berbahasa pasar kerana ia dapat memudahkan seseorang bersosial dan merapatkan lagi hubungan dengan ahli masyarakat.

Penulisan juga penting kerana bahasa sesuatu yang simbolik. Penulisan dapat membantu seseorang meluahkan apa yang terdetik di benak dan minda mereka.

Ejen sosialisasi yang terakhir ialah muzik. Menurut Ibnu Khaldun, muzik dapat mengeratkan hubungan sesama manusia melalui emosi yang dilahirkan ketika mendengarnya terutama muzik berentak harmoni.

Ia membantu menceriakan suasana serta meringankan tekanan. Muzik bercorak puisi indah, berirama rancak dan bertenaga pula menaikkan semangat tentera yang berjuang di medan peperangan. Ini membantu mereka terus cekal melindungi keselamatan masyarakat sehingga berjaya mengatasi dan mengalahkan musuh serta pulang ke pangkuan keluarga dicintai.

Ibnu Khaldun banyak menyumbang kepada ilmu falsafah sama ada politik, sosiologi dan sejarah, walaupun pelbagai kritikan dilemparkan kerana teorinya yang dianggap agak sekular, jika diamati, fikiran beliau lebih maju daripada era zamannya sendiri.

Selepas lebih enam abad berlalu, falsafah beliau masih dapat diguna pakai dan banyak menyumbang kepada pembangunan tamadun sama ada Islam mahu Barat.

Sehingga kini, hasil nukilan beliau masih menjadi sumber rujukan utama bagi universiti di seluruh dunia.

Tuesday, April 28, 2009

Tajdid Iman: Usah merendah nilai Islam melakukan jenayah ilmu

Oleh Dr Juanda Jaya


BELAJAR dengan bimbangan pakar atau guru adalah cara terbaik untuk menambah ilmu. - Gambar hiasan


Al-Quran tetap benar tanpa perlu teori manusia serba lemah yang pasti belum berakhir

SAAT ini ramai manusia mengalami tekanan akibat kekejaman dunia, amukan tsunami ekonomi dan politik kucar kacir yang menjadikan kehidupan semakin susah. Kesan putus asa terhadap keadaan ini menyebabkan mereka tercari-cari agama untuk mendapatkan ketenangan.

Maka muncullah ajaran baru berjenamakan Islam moden bagi menyediakan khidmat menyejuk hati manusia yang tertekan ini. Daripada yang berharga murah meriah, hingga beribu gebu untuk satu pakej bimbingan mencari 'ketenangan jiwa', dengan kepelbagaian teknik profesional dan mempesona, daripada berjubah hingga bertali leher, secara tradisional kuno hingga menggunakan khidmat teknologi maklumat terkini serta canggih.

Pendekatan hipnosis ala karismatik Kristian Evangelical digunakan bagi menghipnosis, mengkhayalkan dan mempesona 'pengikut' dengan lantunan zikir yang ada kala membelai jiwa serta diiringi muzik klasik syahdu menusuk jiwa.

Ada pula yang ganas seolah-olah merempit, berpusing-pusing sambil menari, memukul dada dengan iringan 'alat muzik rock' sambil bernasyid memuja syeikh didakwa boleh menyinarkan lampu cahaya Allah SWT di hati mereka.

Muncul pula ajaran songsang yang mempercayai sudah muncul nabi baru membawa 'wahyu' hasil bisikan hatinya, yang kononnya boleh memberi kekayaan dan berkat bagi sesiapa mengikutnya.

Ada pula mengamalkan meditasi umpama yoga Hindu, disulami zikir hasil ciptaan 'nabi baru' yang sama sekali tidak pernah diajarkan Nabi terakhir, Muhammad SAW. Ada cuba mempercayai 'keberkatan' nombor tertentu, sebelum membina bangunan dan melakukan pekerjaan dan urusan.

Sedangkan Rasulullah SAW menyuruh umatnya mengkaji tafsiran al-Quran sebagai wahyu panduan, tetapi mereka pula menyesatkan umat dengan mengkaji nombor pelik terdapat dalam al-Quran. Gurunya amat terlatih menggoda, mesra 'alam' terlampau dan pandai mengambil hati.

Walaupun tanpa kelulusan diiktiraf mana-mana institusi agama tersohor, atau mungkin hanya bersahabat dengan ulama kontroversi pegangan agamanya, lantas ahli ekonomi dan pakar psikologi ini berani menceroboh dan bercakap mengenai akidah Islam serta tauhid yang murni.

Mereka menafsir nama dan sifat Allah SWT mengikut 'suara hati', padahal latar belakang pendidikannya mendatangkan keraguan terhadap tafsiran Islam mereka. Yang pasti, ia dibuat sesuka hati, sesuai pakej jualan agama baru mereka.

Akhirnya murid berasa cukup dengan mendengar suara hati dan tak perlu melalui kepayahan mujahadah menuntut ilmu. Usaha mengkaji al-Quran dan kitab hadis pun akhirnya tidak penting lagi dan ditolak.

Apa yang disampaikan itu sebenarnya suatu bentuk candu yang mendatangkan nikmat high and fly dan meresap ke dalam hati, mereka tidak perlu menulis, membaca dan mengkaji, hanya memadai mendengar suara hati.

Aneh dan sungguh hebat dakwaan palsu ini. Nabi yang dapat wahyu terus dari langit pun tidak dapat kemampuan sebegini. Sedangkan Baginda sepatutnya lebih layak tahu rahsia penciptaan manusia melalui dokongan wahyu langit, malangnya Allah SWT kekal menjadikan rahsia itu tidak akan disingkap untuk sesiapa.

Oleh itu apakah benar jika hanya dengan mendengar suara hati saja manusia boleh menghayati Islam. Adakah itu ilmu yang diwariskan Nabi SAW? Padahal sahabat Baginda SAW dan golongan salafus salih bersabar mencari ilmu melalui bacaan dan tadabbur ribuan ayat al-Quran dan jutaan hadis yang mesti dikaji, dihayati dan diamalkan.

Bukan kerana mereka tiada aktiviti lain selain bersama Rasulullah SAW dalam majlis ilmu, bahkan mereka adalah pejuang dan tentera yang tangkas, boleh diarah berperang serta-merta jika dikehendaki untuk memerdekakan Islam di belahan dunia lain.

Mereka juga adalah peladang dan petani yang memiliki ladang kurma yang luas, mereka juga adalah usahawan dan hartawan berniaga sampai ke luar negara mengambil masa berbulan-bulan.

Sesungguhnya Rasulullah SAW menegaskan bahawa Baginda SAW hanya mewarisi ilmu. Dan ilmu itu hanya ada pada ulama yang berautoriti. Jika seseorang hendak belajar ilmu perubatan, apakah relevan jika dia berguru kepada pakar ekonomi yang jahil ilmu perubatan? Bukankah pelik?

Tetapi masa kini, manusia tidak berasa pelik jika belajar akidah dan tauhid daripada seorang guru zikir, pakar motivasi atau seorang guru ekonomi. Janganlah merendahkan nilai Islam dengan melakukan jenayah sebegini. Ilmu Islam itu tinggi, mulia lagi bersyarat dan ada disiplin yang ketat bagi sesiapa yang mahu mengajar dan belajar.

Janganlah mempergunakan Islam untuk kepentingan dunia. Masih banyak lagi barang lain yang halal lagi bersih boleh dijual, jangan jual jenama Islam untuk melariskan produk. Itu perbuatan haram yang berat namanya.

Usaha untuk mengislamkan apa-apa saja produk tidak bermakna seseorang sudah bersih daripada fahaman sekular, seolah-olah mereka bangga dengan slogan jangan pisahkan Islam daripada ekonomi, politik, sains dan segala urusan dunia.

Padahal sebenarnya mereka boleh jadi tanpa sengaja atau memang sengaja mencampurkan yang hak dengan batil, nilai bukan Islam dicampur dengan Islam dan diberi jenama baru semata-mata untuk kepentingan tertentu. Islam yang asli dan bersih hanyalah Islam mengikut al-Quran dan al-Sunnah dalam bentuk serta caranya.

Jika bermaksud hendak mengkaji ilmu politik, sains, fizik, biologi, psikologi, pengurusan atau ekonomi dalam al-Quran, jangan sesekali memaksa idea dan hasil kajian itu kononnya setaraf nilai al-Quran kerana ia boleh mencemarkan kesucian wahyu al-Quran.

Lebih-lebih lagi jika kajian ilmu manusia dikaitkan terus dengan akidah. Ulama al-Azhar pernah menolak fahaman yang menyatakan kajian sains sudah membuktikan kebenaran al-Quran hasil pencarian seorang saintis Perancis, Maurice Bucchaiel.

Apakah al-Quran perlu kepada pembuktian sains? Sedangkan al-Quran itu wajib diimani walaupun tanpa pembuktian sains kerana ia wahyu Allah SWT yang maksum daripada kesilapan. Ilmu hasil pemikiran manusia tidak akan setanding dengan al-Quran, kerana manusia hanya menggunakan akal terbatas.

Bagaimana jika hasil penemuan mereka didapati tidak relevan lagi pada masa akan datang, apakah mereka akan mengatakan al-Quran juga tidak relevan lagi? Ada mendakwa ilmu sains saudara kembar al-Quran mengapa ilmu hasil pemikiran akal manusia yang kerdil boleh berkembar dengan wahyu Allah yang tidak akan tercapai seluruh akal makhluk pun?

Bukankah sains bersifat subjektif, berubah-ubah dan sementara bahkan dapat dipatahkan oleh hipotesis baru, sedangkan al-Quran bersifat benar, mutlak dan tuntas, tidak ada perubahan padanya. Walaupun tanpa teori Big Bang dan God Spot, al-Quran tetap benar dan tidak perlukan sokongan teori manusia yang lemah. Boleh jadi teori itu belum berakhir lagi, masih akan ada penemuan baru yang akan menguatkan ataupun malah menafikan teori lama.

Jadi, jangan kembarkan al-Quran dengan apa saja, apatah lagi ilmu orang kafir, atheis, liberalis, pluralis dan jangan cuba menyedut ilmu yang tidak bersumber daripada al-Quran dan al-Sunnah untuk membincangkan perkara akidah.

Tidak ada masalah jika mahu mentafsir ilmu psikologi atau pengurusan dan ekonomi berlandaskan asas Islam tetapi rujuklah kepada al-Quran yang ditafsir al-Quran sendiri dan hadis sahih. Jangan sewenang-wenang mengambil ayat al-Quran untuk membela idea yang direka cipta kemudian ayat itu dipaksa dan dikembarkan pula dengan tafsiran sarjana kafir dari Barat.

Sama seperti usaha menyampaikan Islam oleh segelintir hamba Allah SWT dalam kursus motivasi kepemimpinan yang anehnya tidak mengaku sebagai organisasi atau badan dakwah Islam padahal mereka sesuka hati mengeksploitasi al-Quran kononnya memberi pencerahan jiwa pesertanya.

Bahkan sampai ke tahap berani mentafsirkan manusia berasal daripada cahaya Allah SWT: "Jadilah cahaya yang menyinari siapa pun tanpa pilih kasih, kerana engkau tercipta dari cahaya di atas cahaya." Ayat ini memang indah dan mengagumkan sesiapa mendengar.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tidak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca dan kaca itu seakan-akan bintang yang bercahaya seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkat, iaitu pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya saja hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu."

Siapakah yang dicipta dari cahaya di atas cahaya? Bukankah manusia asalnya hanya dicipta dari tanah dan kemudiannya air mani, manakala roh pula ciptaan Allah SWT? Al-Quran mencurahkan semua bahawa roh adalah rahsia Allah SWT, tidak akan disingkap untuk sesiapa hakikatnya.

Jangan disoal hal itu, apatah lagi mahu menafsir akhlak manusia berasal daripada sifat Allah Yang Maha Tinggi. Tidak pernah disebut melalui lisan Nabi-Nya perkara itu. Hanya Allah SWT berada pada cahaya di atas cahaya. Jika mahu menyamakan manusia dengan sifat dan zat Allah, walau tanpa sengaja, maka sudah tentu tidak wajar kita membela fahaman sebegini.

Monday, April 20, 2009

Manusia binasa jika biar diri dibelenggu kejahilan

Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad

Ilmu senjata paling penting untuk bina kekuatan supaya negara, agama terus gemilang

ILMU dan amal selalunya ingin bersama umpama laut dan pantai, aur dan tebing yang seiring kekal bergandingan. Umpama pemimpin dan rakyat yang saling memerlukan. Namun ilmu kadang kala meninggalkan amal, ada kalanya ilmu juga disingkirkan.

Betapa keajaiban jika laut tidak bersama pantai begitu juga jika aur tidak lagi bersama tebingnya, ilmu tidak bersama amalnya, pemimpin tidak lagi bersama rakyatnya. Lagu tidak lagi berirama dan nasi tidak berlauk tentu pincanglah lagu, selera pun hilang.

Terungkap kecintaan Allah terhadap ilmu dan orang yang berpengetahuan berdasarkan firman yang bermaksud: "Katakanlah. Bukankah tidak sama orang yang mengetahui dengan orang tidak mengetahui? Tidak mengingat melainkan orang mempunyai fikiran." (Surah az-Zumar, ayat 9)

Allah meletakkan mereka yang berilmu sebaris dengan orang mempunyai fikiran serta dapat membezakan antara buruk dan baik, kebenaran dan kepalsuan. Imam al-Ghazali berkata: "Siapa yang tidak berfikir ilmunya tidak dapat dipercayai."

Dr Sidi Gazalba juga pernah berkata: "Kebenaran ilmu sepanjang pengalaman. Pengalaman filsafat sepanjang pemikiran."

Mulia insan kerana ilmunya, halus pemahaman mengenai hidup serta luas matahari dan tajam akalnya. Orang berilmu akan diterangi jalan ke syurga, memimpin mereka kepada kebahagiaan. Justeru carilah ilmu semoga tersingkap pintu rahmat tertutup lorong kehancuran.

Buta hati kerana jahil lebih bahaya daripada buta mata. Lantaran itu dibimbangi di kalangan kita akan luput ilmu, berleluasa kejahilan lalu hancur peradaban dan lenyap ketamadunan. Empayar dibina berasas ketinggian ilmu menjadi pengukur bagi bangsa lain di dunia.

Renungi sejarah silam keagungan Islam, kekuatan yang diasaskan kepada ajaran suci terhadap ilmu membuka jiwa dan mata hati masyarakat jahiliah menjadi satu bangsa bermaruah dan disegani. Kewajipan menuntut ilmu banyak ditegaskan dalam al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud: "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah. Tuhanmu adalah Maha Mulia, yang mengajarkan manusia menulis dengan pena. Mengajarkan manusia apa saja yang tidak diketahui." (Surah Al-Alaq: ayat 1-5)

Seorang penyair agung Sepanyol, Stanley Lane Poole pernah berkata: "Selera ilmu dan sastera dalam abad keagungan Islam sama sekali tidak kita dapati pada zaman moden ini."

Sementara itu Dr Hamka berkata: "Ilmu pengetahuan menjadi kekuatan besar bagi suatu ketamadunan bangsa."

Ilmu adalah kunci alam, alam adalah kunci mengenal Tuhan. Sebesar dan sebenar-benar ilmu yang tidak melewati batas Islam iaitu berpandukan al-Quran dan hadis, bersendikan iman. Dan ilmu yang merosak diukur dengan nafsu.

Ilmu tidak mungkin terlekat di jiwa jika akal tidak digerakkan malah kesempurnaan ilmu terletak pada kesempurnaan akalnya. Oleh itu umat terbaik wajar menambahkan lagi kekuatan untuk bangkit memartabatkan diri sebagai umat terbaik, berilmu, berintergriti, beramal dan berdaya juang.

Kerana Islam itu sendiri terlalu luas, tiada batas sempadan dan perlu diteroka hingga ke dasar untuk mencari makna serta inti pati yang mampu membentuk tamadun hebat seperti ditonjolkan tokoh dan ilmuwan terdahulu.

Namun, ilmu jika tidak diterjemahkan tidak mungkin dapat merubah suasana sedia ada. Kita perlukan kesedaran ketika membuka lembaran ilmu dan sejarah seperti yang pernah ditegaskan pemikir Mesir, Dr Muhammad Imarah: "Kesedaran adalah satu senjata paling ampuh untuk membina kembali ummah selepas terbolos dengan kealpaan sendiri dan terperangkap oleh jerat musuh."

Kita tidak mahu melihat kecelakaan yang menimpa umat Islam akibat daripada buta ilmu dan memandang sepi terhadap sejarah. Justeru, peristiwa berlaku serta kegemilangan pernah dijulang perlu direnungi secara mendasar agar menjadi landasan untuk bangkit membina ummah.

Rasulullah pernah mengingatkan bahawa segala teknologi dan kepakaran adalah asalnya datang daripada umat Islam dan kepakaran itu hilang kerana kelemahan orang mukmin sendiri. Sejarah silam perlukan penghadaman serta kupasan yang segar bagi semarak kembali kegemilangan itu.

Kerakusan serta kesilapan menjadikan umat Islam hilang kegemilangannya, terbolos dan beku oleh belenggu nafsu. Justeru, minda dan hati perlu dibangkitkan untuk melonjak ilmu supaya menjadikan diri dan bangsa lebih dikenali, disegani serta dihormati.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah tidak menarik kembali pengetahuan dengan jalan mencabutnya dari hati manusia, tetapi dengan jalan mematikan orang yang berilmu. Apabila orang berpengetahuan sudah punah, maka masyarakat mengangkat orang bodoh menjadi pemimpin dan tempat bertanya. Orang ini akan berfatwa tanpa ilmu, mereka itu sesat dan menyesatkan."

Apa salahnya merenung sejarah silam untuk dijadikan iktibar dan pedoman. Renungi sejarah dan kegemilangan dengan akal serta mata hati supaya tidak terjajah oleh nafsu.

Pemikir Islam iaitu Malik Bennabi pernah berkata: "Jika kamu tidak mahu dijajah maka jangan bersedia untuk dijajah."

Sebagai umat terbaik, kita perlu berubah dengan meletakkan al-Quran serta segala isinya di tempat yang terbaik. Kita perlu kembali pada akarnya, sejarah dan kegemilangannya. Kita tidak akan rebah jika benar-benar menjadikan al-Quran sumber segala ilmu dan rujukan.

Saturday, April 18, 2009

Kekuatan akhlak, ilmu asas pembangunan insan

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi


KANAK-KANAK mengikuti kem solat yang digunakan sebagai model pembangunan insan. - Gambar hiasan


Umat wajib bersihkan jiwa daripada hasutan nafsu, kebendaan capai kehidupan diredai

SEIRING pelantikan sebagai khalifah Allah, manusia diamanah untuk memakmurkan bumi dengan pembangunan dan kemajuan sesuai kepentingan serta keperluan manusia. Perkara itu dilaksanakan umat terdahulu seperti diceritakan al-Quran.

Firman Allah bermaksud: "Demi sesungguhnya bagi penduduk Saba' satu tanda (menandakan kemurahan Allah) di tempat tinggal mereka, iaitu dua kumpulan kebun (luas lagi subur) di sebelah kanan dan kiri (kariah mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukur kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun." (Surah Saba', ayat 15)

Kaum Saba' sudah menjulang ke mercu kecemerlangan dan kegemilangan dengan Empangan Ma'ribnya yang masyhur. Ditambah limpahan nikmat Ilahi yang tiada terhingga dan kesuburan tanahnya mengubah wajah kota sekitarnya umpama syurga dunia.

Pada mulanya, penduduk kota Saba mensyukuri nikmat Allah, namun kemudian mereka lupa diri dan semakin berani melakukan kezaliman sehingga terjerumus dalam kancah kederhakaan kepada Allah. Bukan setakat itu, mereka lantang menentang seruan nabi Allah yang diutuskan kepada mereka. Natijahnya, Allah mengirimkan banjir besar sehingga meleburkan Empangan Ma'rib yang tersohor itu Segala tanaman musnah dan menjadikan negeri itu umpama padang jarak padang tekukur. Semua nostalgia silam itu dirakamkan dalam surah Saba'.

Jelas, kemajuan dan pembangunan dalam pelbagai bidang adalah keperluan kehidupan manusia serta diharuskan syarak selama ia membawa kebaikan dan manfaat kepada umat manusia. Inilah pembangunan material yang diharuskan kepada umat, tetapi pada masa sama mereka perlu menginsafi segala kemajuan dan pembangunan dicapai itu adalah dari Allah juga.

Umat Islam wajar menyatakan kesyukuran kepada Allah atas limpah dan kurnia nikmat-Nya yang tiada terhingga. Kesyukuran itu antara ciri pembangunan rohani yang perlu disemai supaya kemajuan dan pembangunan berlangsung terus seiring peredaran zaman.

Justeru, pembangunan fizikal dan kerohanian memainkan peranan ke arah kelangsungan bangsa bertapak kukuh. Meninjau keadaan umat Islam kini, pembangunan fizikal perlu dalam kehidupan ummah, sekali gus mewujudkan keunggulan umat dalam pelbagai bidang kehidupan kini.

Islam tidak melarang pembangunan fizikal selagi ia memberi manfaat. Jika pembangunan membawa kemudaratan, Islam melarangnya seperti pembangunan senjata nuklear atau pengedaran dadah. Pembangunan kerohanian yang tidak ditekankan atau diberi perhatian sewajarnya oleh umat Islam menyebabkan mereka mudah dilabelkan sebagai umat mundur dan jumud. Sedangkan, pembangunan kerohanian adalah mekanisme penting yang perlu dijana ke arah membawa umat Islam ke mercu kegemilangan. Pembangunan kerohanian bukan istilah baru dalam diari masyarakat Islam. Ia wujud sejak zaman Rasulullah SAW yang diutuskan sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam. Dewasa ini, pembangunan kerohanian dikaitkan dengan pembangunan insan.

Prof Zakaria Stapa dalam bukunya, Akidah dan Kerohanian dalam Kehidupan Muslim mendefinisikan pembangunan insan sebagai usaha berterusan memupuk dan mengembangkan potensi dalam diri manusia supaya subur dan kental keimanannya terhadap Rukun Iman serta berupaya terdorong menggesa atau menyumbang ke arah kebaikan dan kesejahteraan diri, orang lain juga alam.

Mereka juga perlu sedia dan sentiasa terpanggil untuk melaksanakan kerja pencegahan terhadap perkara mungkar yang boleh merosakkan kesejahteraan hidup.

Pembangunan insan merujuk kepada usaha pembinaan diri atau sahsiah manusia dengan nilai positif sesuai dengan akal murni dan syarak supaya kewujudan serta kehadiran mereka menjadi sumber kepada kebaikan dan kesejahteraan hidup, bukan sebaliknya.

Jelas di sini, maksud pembangunan insan adalah usaha berencana untuk melahirkan peribadi yang dapat menghayati konsep hidup manusia sebagai hamba dan khalifah Allah dengan akidah mantap, akhlak terpuji, ilmu yang kukuh serta semangat juang.

Acuan inilah juga rahsia dan formula sebenar kejayaan serta keunggulan yang dirintis generasi dulu seterusnya berjaya menghasilkan personaliti terbilang antaranya Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Othman bin Affan, Ali Abi Talib dan ramai lagi.

Merekalah yang menyemarakkan pentas dunia dengan nilai positif tiada tolak bandingnya dalam lipatan sejarah Islam. Ini bertepatan jolokan istimewa yang Allah kurniakan kepada mereka sebagai umat terbaik. Firman Allah bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk lagi keji) serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-sebenar iman)." (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Perlu diinsafi antara punca kehancuran bangsa terdahulu kerana tersebarnya kefasikan dan kemungkaran penghuninya. Oleh itu, perbuatan maksiat dan kemungkaran perlu dijauhi dan dihapuskan secara menyeluruh.

Sejarah manusia membuktikan akhlak bertindak sebagai ejen penentu kepada jatuh bangun sesebuah bangsa. Syauqi Bek pernah berhikmah: "Sesungguhnya umat dan bangsa sangat bergantung pada akhlaknya. Jika baik, maka akan kuatlah bangsa itu. Jika rosak, maka hancurlah bangsa itu."

Lebih-lebih lagi gelora globalisasi, pasca modenisme dan dunia tanpa sempadan menuntut sedikit sebanyak kesediaan umat Islam melakukan perubahan ke arah kecemerlangan Islam. Oleh itu, umat Islam semua lapisan dan peringkat menyedari peranan merealisasikan program pembangunan insan. Individu Muslim wajib memurnikan jiwanya daripada unsur syirik, belenggu fahaman kebendaan dan karat penyakit hati serta dorongan nafsu membinasakan. Setiap ibu bapa perlu menyedari tanggungjawab tarbiah anak supaya berpegang teguh dengan ajaran Islam sebenar.

Setiap anggota masyarakat Islam turut menyumbangkan saham dalam tradisi ketamadunan ilmu, membangunkan agama, bangsa dan negara di atas kefahaman Islam sebenar. Pemimpin perlu menjadikan Islam teras pentadbiran berteraskan keadilan dan ketelusan.

Memadailah Rasulullah SAW dan generasi selepasnya sebagai contoh terbaik untuk diteladani dalam program pembangunan insan yang berjaya apabila Baginda SAW berjaya mendidik generasinya dengan tauhid, akhlak, ilmu dan semangat jihad sehingga tercipta generasi bertakwa.

Pembangunan insan perlu bagi menjana kekuatan akidah, kekentalan akhlak dan kemantapan ilmu; Ketiga-tiga aspek itu perlu dicernakan seiring pembangunan material untuk membentuk pembangunan bermanfaat kepada umat manusia di bawah naungan limpahan keredaan Ilahi.

Tuesday, April 14, 2009

Perspektif Ikim: Hanya ilmu mampu tangani kemiskinan umat, negara Islam

Oleh Azrina Sobian

KEMISKINAN ditakrifkan sebagai paras kesejahteraan di bawah keperluan minimum isi rumah dari segi pemakanan, pakaian, kesihatan dan keperluan asas lain. Kemiskinan tegar tidak boleh atau sukar diubah meliputi semua keperluan hidup. Kemiskinan diukur dengan membandingkan paras mutlak pendapatan isi rumah dengan pendapatan diperlukan bagi perbelanjaan minimum atau apa yang mungkin diistilahkan sebagai pendapatan garis kemiskinan.

Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha bagi mengelakkan kemiskinan tegar. Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, hingga mereka mengubah nasib (perbuatannya) sendiri." (Surah ar Raad, ayat 12)

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Allah lebih menyayangi orang mukmin yang kuat daripada orang mukmin yang lemah." (Hadis riwayat Muslim)

Kemiskinan, menurut Program Makanan Sedunia (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), setiap 3.5 saat seorang penduduk dunia mati atau 24,685 orang setiap hari akibat kelaparan. Anehnya dan menyedihkan kebanyakan mereka adalah masyarakat Islam.

Statistik itu membuktikan kemiskinan masih membelenggu umat Islam di seluruh dunia yang masih tercicir dalam pelajaran, kesihatan dan pemakanan. Masalah kelaparan dan kebuluran berkait rapat dengan kemiskinan. Oleh itu, umat Islam digalak berkorban bagi membantu umat Islam lain yang kelaparan dan kebuluran.

Setiap amal kebaikan adalah sedekah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud "Setiap kebaikan adalah sedekah." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pengorbanan dan kasih sayang antara umat kaya kepada yang miskin amat penting. Semangat ukhuwah membantu mereka yang miskin dengan mengambil semangat korban. Pengorbanan dan kasih sayang ialah pencetus kepada kejayaan ummah di dunia ini.

Krisis globalisasi dikatakan meninggikan ekonomi dan pertumbuhan keluaran dihasilkan petani, nelayan serta pengusaha industri kecil. Hal ini dapat mengurangkan kemiskinan di luar bandar.

Namun, sesetengah ahli ekonomi menyatakan perlu ada dasar sosial yang baik untuk membantu rakyat miskin kerana kemiskinan dan taraf sosial tidak mempunyai hubung kait dengan globalisasi.

Oleh itu, umat Islam mesti berusaha mempertingkat ilmu agar masalah kemiskinan dapat diatasi. Jika umat Islam mempunyai ilmu dalam bidang ekonomi, pertanian, perusahaan dan perniagaan masalah kemiskinan dapat diatasi.

Benarlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Keadaan orang mukmin menakjubkan kerana segala keadaan yang dihadapinya menjadi baik baginya, jika dia mendapat keuntungan dia bersyukur dan itu adalah baik baginya. Sebaliknya, jika dia menghadapi kesusahan dia bersabar dan itu adalah baik baginya." (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, umat Islam mesti mempunyai kekuatan mental dan fizikal menghadapi masalah kemiskinan. Imam Syafi'e menyatakan kemiskinan menyebabkan kemenangan dalam menuntut pengetahuan.

Sementara itu, kemiskinan tidak patut dijadikan alasan seseorang tidak berjaya. Kemiskinan bukanlah hina, malah malas berusaha dan bekerja adalah lebih hina.

Sesungguhnya, kemiskinan boleh membawa kebinasaan. Umat Islam tidak digalak berhutang yang boleh membawa kesusahan. Allah berfirman bermaksud: "Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan." (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Penulis ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia

Sunday, March 15, 2009

Ulul Albab: Mengungkap rahsia urutan surah al-Quran

Abdurrahman Haqqi

Pelbagai ilmu yang tersimpan di dalam kitab suci suburkan iman jika diamal setiap Muslim

PERNAHKAH anda terfikir mengapa al-Quran yang mengandungi 114 surah dimulakan dengan al-Fatihah diikuti surah al-Baqarah, Ali 'Imran dan diakhiri dengan surah al-Nas dengan sebelumnya adalah surah al-Falaq dan al-Ikhlas? Apakah rahsia di sebaliknya dan manfaat yang boleh kita ambil daripadanya?

Al-Quran ialah semulia kitab dan tidak diragukan ia Kalamullah mengatasi segala kalam. Mushaf yang ditulis Kalamullah wajib dihormati, dimuliakan dan tidak mendedahkannya kepada penghinaan serta pencemaran.

Al-Quran seperti disifatkan Baginda Rasulullah maksudnya: "(Berpegang) kepada kitab Allah yang sudah menceritakan orang sebelummu dan berita orang sesudahmu, dan sebagai penghukum apa yang terjadi antara sesamamu. Kitab Allah adalah firman yang memisahkan antara hak dan batil serta bukan senda gurau, orang yang meninggalkan kitab Allah daripada orang yang sombong, Allah akan membinasakannya, orang yang mencari petunjuk selain kitab Allah, maka Allah akan menyesatkannya, kitab Allah adalah (tali) Allah yang kuat, ia juga kitab yang penuh hikmah, jalan yang lurus, ia tidak condong pada hawa nafsu, tidak berat pada setiap lisan, alim ulama tidak akan kenyang padanya, ia tidak usang oleh banyak diulang (bacaannya), ia tidak habis keajaibannya, ia tidak hentinya, tatkala jin mendengarnya, mereka berkata: (Sesungguhnya kami sudah mendengar al-Quran menakjubkan yang memberi petunjuk kepada jalan benar, lalu kami beriman kepadanya). Barang siapa berkata dengan al-Quran, maka benarlah dia, barang siapa yang mengamalnya, dia diberi pahala, orang yang menetapkan hukum dengannya maka dia adil dan barang siapa mengajak kepada al-Quran, ia mendapat petunjuk pada jalan yang lurus. Ambillah (kata yang baik) hai A'war." (Hadis riwayat Tirmizi)

Dalam hadis ada menyatakan 'ulama tidak kenyang padanya, ia tidak usang oleh banyaknya diulang (bacaannya), ia tidak habis keajaibannya.' Kita sudah menjumpai bukti kebenaran ucapan hadis ini. Kita dapati ulama menemukan perkara baru selepas merujuk kepadanya; kita dapati manusia tidak pernah bosan mendengarkannya dan kita dapati banyak keajaiban yang timbul daripadanya.

Ulama yang arif mengeluarkan banyak ilmu daripada al-Quran; ulama yang bijak pandai sudah banyak mengeluarkan hukum yang jitu daripada al-Quran; ulama yang ikhlas lagi setia banyak mengungkap rahsia al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan membuka tabir keagungan Allah Taala.

Tiada satu kitab pun di dunia ini yang boleh dibandingkan dengan al-Quran. Tidak ada satu kitab pun di dunia selain al-Quran yang sangat menarik perhatian manusia dari segi bahasa, tatabahasa, sastera, kandungan bahkan jumlah kata dan hurufnya sehingga ulama mengira bahawa lafaz 'Allah' dengan fathah (di atas) ialah 591, dengan kasrah (di bawah) 1,131 dan dengan dammah (di depan) berjumlah 974. (Al-Madisi, Fath al-Rahman, 489)

Melalui tadabbur al-Quran kita mendapati gaya bahasa dan metod persembahan dalam menyampaikan mesejnya sungguh bergaya. Tatabahasa tepat, penyampaian menarik, struktur ayat yang indah dan pilihan perkataan yang cantik hanya sebahagian daripada pesona memukau bagi menggamit insan bertadabbur terhadap wahyu Ilahi.

Satu cabang ilmu al-Quran yang diciptakan manusia adalah ilmu asrar tartib suwar al-Quran atau rahsia urutan surah-surah al-Quran. Ilmu ini tidak seberapa berbanding ilmu munasabah al-ayat atau ilmu hubung kait satu ayat kepada ayat yang lain yang selalu kita dapati dalam Tafsir Mafatih al-Ghaib (Kunci Alam Ghaib) karangan Imam al-Razi (w 1209M) kerana yang pertama disebut hanya membincangkan 114 surah sedangkan terakhir membincangkan seluruh ayat al-Quran berjumlah lebih 6,000 ayat.

Adalah Imam al-Suyuti (w 1505M), seorang ulama ensiklopedia kerana menulis di semua bidang ilmu keislaman pernah menulis kitab Asrar Tartib al-Quran.

Ketika membincangkan rahsia mengapa al-Quran dimulakan dengan al-Fatihah, beliau berkata pada halaman pertama: "Allah SWT memulakan kitab-Nya dengan surah ini (al-Fatihah) kerana di dalamnya terkumpul semua tujuan al-Quran, oleh itu ia juga dinamai umm al-Quran (induk al-Quran), umm al-kitab (induk al-kitab) dan al-asas (Asas), maka ia sesuai dengan namanya sebagai pembuka.

Berkata Hasan al-Basri: "Sesungguhnya Allah SWT menyimpan semua ilmu kitab terdahulu di dalam al-Quran; kemudian Dia menyimpan ilmu al-Quran dalam surah al-Mufassal; kemudian Dia menyimpan ilmu al-Mufassal dalam surah al-Fatihah. Siapa mengetahui tafsir al-Fatihah seolah-olah mengetahui tafsir semua kitab yang diturunkan (itu)." (Diriwayatkan al-Baihaqi)

Ketika masuk membincangkan surah al-Baqarah, al-Suyuti menulis: Sebahagian imam berkata: "Surah al-Fatihah merangkumi pengakuan terhadap ketuhanan (rububiyyah) dan cara kembali kepada-Nya dalam Islam dan juga pemeliharaan daripada agama Yahudi dan Kristian.

Sedangkan surah al-Baqarah merangkumi kaedah asas agama dan surah Ali Imran sebagai penyempurna maksudnya. Surah al-Baqarah adalah dalil hukum sedangkan Ali 'Imran jawapan terhadap kekeliruan musuh (Islam)." (halaman. 2)

Akhirnya ketika membincangkan surah al-Nas, al-Suyuti menulis: "Selepas itu disebut pula surah al-Nas yang di dalamnya diberitakan mengenai martabat dan darjat jiwa manusia." (Halaman 43)

Perkara yang menarik ialah mengapa disebut dalam surah ini tiga perkataan berbeza untuk satu benda yang sama. Rab al-nas, malik al-nas dan ilah al-nas. Jika dalam tafsiran biasa diterjemah dengan 'Pemelihara sekalian manusia', 'Yang Menguasai sekalian manusia', dan 'Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia', secara berurutan. Al-Suyuti mengetengahkan pendapat Ibn al-Zamlkani dalam memahami rahsianya iaitu tiga kata 'al-nas' diertikan kanak-kanak, belia dan orang tua secara berurutan kerana sebab tertentu seperti dilihat Ibn al-Zamlkani.

Inilah rahsia ilmu al-Quran yang dijumpai ulama yang tidak pernah dilakukan terhadap kitab sebelumnya. Ia bertujuan menambah dan mempertingkatkan keimanan Muslim yang mencintai kita sucinya.

Al-Quran diturunkan oleh Allah bertujuan menyuntik semangat keimanan kepada manusia. Semangat yang sudah berputik menimbulkan minat untuk membaca dan beramal dengan tuntutannya penuh keyakinan tanpa dibatasi faktor masa, kaum, kepentingan dan tempatan.

Seseorang yang bermula dengan iman yakin dan percaya kesesuaian kitab ini pada semua zaman dan masa kerana diturunkan oleh Allah, Tuhan yang menciptakan makhluk manusia.

"Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam)," seperti maksud firman Allah dalam surah al-Isra' ayat 9. Maha Benar Allah!

Thursday, March 5, 2009

Minda mati jika kontang ilmu

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


BACAAN berfaedah mampu mengasah minda dan meningkat jati diri. - Foto Munira Abdul Ghani


Budaya membaca mampu mematangkan fikiran, tinggalkan kejahilan

TIADA buku tanpa pena dan kertas. Gersang buku, manusia akan jadi kaku. Jika tidak tahu menghargai manfaat tulisan, masyarakat tidak akan digelar berilmu, apatah lagi bijak pandai. Hari ini, cabaran kehidupan menuntut umat Islam terus mendampingi buku untuk mengendali liku-liku kehidupan dengan penuh hemah, bukan gundah dan tidak betah.

Buku melambangkan ilmu kerana di dalamnya tercatat segala yang perlu dipelajari sama ada sebagai manusia atau hamba. Ibarat cahaya menerangi kegelapan, ilmu dijadikan kewajipan ke atas setiap umat Islam supaya mampu meninggalkan kejahilan.

Kepentingan ilmu diakui apabila Allah menurunkan wahyu pertama kepada Rasulullah SAW iaitu surah al-'Alaq yang bermaksud: "Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahui-Nya."

Tiada siapa tahu hakikat kebesaran Allah tanpa membaca kitab suci al-Quran. Tidak juga jika tidak cuba memahami maksudnya melalui bahasa yang difahami. Sama ada difahami melalui pembacaan, ajaran pakar tafsir yang ahli dalam bidangnya atau gandingan halaqah yang membincangkan makna setiap ayatnya, semuanya berbalik kepada pembacaan.

Darjat orang berilmu dengan yang sebaliknya wajar diperbandingkan. Hakikat ini dirakamkan oleh Allah dengan firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah lagi kepada-Nya: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna." (Surah az-Zumar, ayat 9)

Allah juga meletakkan kedudukan orang berilmu itu lebih tinggi dan mulia, seperti disebut dalam mafhum-Nya yang bermaksud: "Allah meninggikan darjat orang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama daripada kalangan kamu beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan." (Surah al-Mujaadalah, ayat 11)

Hari ini pena dan tulisan boleh dimanfaatkan dengan begitu mudah, kadangkala tanpa perlu berhujan dan berpanas, kita boleh membaca di skrin komputer tanpa susah payah membelek helaian, yang tidak berkudrat pun boleh mendapatkan ilmu di layar komputer bila-bila masa, tinggal lagi kemahuan mesti dipaksa.

Sudah tentu kita membaca dengan harapan ilmu yang terkandung di dada semakin bertambah, supaya semakin matang dan berpemikiran menerajui diri dalam kehidupan. Gencatan akhlak akibat terlalu leka dengan hiburan dan tuntutan material melampau menyusutkan modal insan yang berketrampilan dalam ilmu serta moral.

Keadaan ini berlaku di mana-mana saja dalam dunia hari ini, cuma yang mempertahankan akidah dan keimanan ialah ilmu dan agama yang dijunjung. Bayangkan jika ilmu tidak lagi menjadi agenda negara dan setiap warga mengambil mudah pendidikan, sudah pasti tiada apa lagi yang tinggal.

Mengharapkan hati dan jiwa yang bersatu, kadangkala tidak kena dengan kepentingan sesuatu, tetapi jika ada ilmunya sudah tentu umat Islam mengkesampingkan sedikit sangsi sesama sendiri demi agama, bangsa dan negara.

Manusia yang dilantik sebagai khalifah di bumi Allah ini dibezakan dengan makhluk lain melalui kemampuan berfikir. Kemahiran ini tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika tugas minda tidak dibekalkan dengan keperluan sepatutnya seperti pembacaan dan pengalaman.

Allah mengajar hamba-Nya supaya memohon untuk ditambahkan ilmu yang ada, seperti firman Allah yang bermaksud: "Dan berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku." (Surah Taahaa, ayat 114)

Justeru, tuntutan menuntut ilmu khususnya berkaitan akidah, ibadat, akhlak, syariah dan muamalat amatlah dituntut supaya umat Islam tidak mudah terpesong dalam ranjau kehidupan di dunia yang terlalu mencabar ini.

Banyak kisah mengajar kita supaya sentiasa beringat, kelonggaran akidah kerana tipu daya dunia juga berlaku kerana kontang ilmu, sehingga ada sanggup menukar agama, membunuh diri, minum arak, berzina, bersosial tanpa batasan hukum, malah menggadaikan agama kerana wang ringgit, wanita dan kuasa yang sementara.

Dunia moden menuntut umat Islam mengejar kemajuan, sains dan teknologi yang menjadikan dunia semakin kecil perlu dihargai dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Tetapi pencerobohan ke atas kehidupan peribadi menggunakan sains dan teknologi yang dikuasai dengan ilmu contohnya menunjukkan betapa ilmu tidak bermakna tanpa saringan akidah dan akhlak.

Ibu bapa sebagai guru pertama yang memberi pendidikan kepada anak perlu terlebih dulu mengisi dada dengan ilmu, walaupun ilmu bukan saja dilambangkan dengan segulung ijazah, tetapi juga contoh teladan yang baik untuk diikuti.

Ibu bapa perlu menyediakan ruang secukupnya untuk mendidik secara formal mahupun tidak formal, supaya setiap anak mengerti hakikat kepentingan ilmu sedari kecil.

Peluang untuk memilih sama ada menuntut ilmu atau tidak adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku hari ini kerana sebagai negara yang semakin disegani seluruh umat Islam di dunia, ilmu adalah lambang ketinggian dan kebanggaan negara.

Biarlah setiap Muslim berbeza dengan yang lainnya kerana ilmu. Insaf dengan hakikat penciptaan yang direka sebegitu rupa sebagai khalifah, inilah masanya umat Islam berfikir bagaimana untuk kembali kepada ilmu, di kala dunia Islam resah kerana ekonomi yang susut, akhlak merosot, perpaduan direnggut, tanah air direbut dan politik serabut.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

Golongan bodoh sombong tak dapat rahmat

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan itu) dan janganlah engkau menjadi daripada golongan kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa." (Hadis riwayat al-Bazzar)

Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan Allah. Orang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi. Oleh itu, setiap mukmin hendaklah berusaha mempertingkatkan kemajuan dirinya sama ada:

Menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain.

Menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu).

Mendengar atau mengikuti majlis ilmu.

Menghormati atau mencintai satu daripada atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka.

Dengan adanya sifat disebutkan di atas, kehidupan seseorang itu sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan benar.

Sementara mereka yang tidak termasuk dalam golongan itu atau 'bodoh sombong', mereka adalah golongan bakal mendapat kebinasaan kerana tidak ada pimpinan dapat memandu kepada kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang ditanya mengenai ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang daripada api neraka pada hari kiamat." (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Islam menghargai ilmu dan ilmuwan sehingga kedudukan ilmu serta ulama dipandang tinggi seperti firman Allah bermaksud: "Nescaya Allah akan meninggikan orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat." (Surah al-Mujaadalah, ayat 58)

Berjihad dalam ilmu maksudnya ialah bersungguh-sungguh membentuk masyarakat berpengetahuan serta memberikan gambaran benar mengenainya tanpa merasa iri hati atau tamak kerana orang yang memberikan ilmu dikurniakan balasan pahala dan kebaikan sama seperti orang mengamal ilmu itu.

Mereka yang tidak kedekut ilmu juga akan dilimpahkan rahmat Allah kerana semua makhluk Allah mendoakan supaya diberikan balasan sebaiknya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi, sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara baik kepada orang ramai." (Abu Umamah)

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Wednesday, October 22, 2008

Bersama YaPEIM: Penerapan pelbagai ilmu pertingkatkan kualiti pengurusan

Oleh Penulis Khas YaPEIM

FIRAUN menolak tawaran petunjuk ilmu yang benar, lalu terus mengganas sehingga ke batas ditetapkan Allah, dia binasa ditelan laut. Demikian hakikatnya orang yang tidak berilmu dan zalim.

Keadilan amat berkait dengan ilmu. Hanya dengan ilmu seseorang dapat mengetahui makna nilai dan kedudukan sesuatu. Ilmu memberi petunjuk untuk berlaku adil iaitu memberikan hak kepada yang berhak dan meletakkan sesuatu tepat pada tempatnya. Dengan ilmu seseorang dapat mengenal urutan keutamaan lalu membuat keputusan tepat. Al-Quran banyak menyebut ungkapan: "Yang demikian itu lebih baik jika kamu mengetahui."

Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman! Apabila diseru azan untuk mengerjakan sembahyang pada Jumaat, maka segera kamu pergi untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkan berjual beli; yang demikian adalah baik bagi kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." Surah al-Jumu'ah, ayat 9

Orang berilmu mengetahui menghentikan urus niaga untuk menunaikan sembahyang (Jumaat) adalah lebih baik kerana menurut perkiraan ilmu ia dapat keredaan, keberkatan dan ganjaran Allah berbanding keuntungan duniawi.

Berasaskan ilmu adalah pembentukan watak manusia adil dan bertanggungjawab, ia menjadi syarat utama penyandang kepemimpinan. Nabi Sulaiman penyandang dwi-fungsi nabi dan raja sekali gus. Sebagai pemerintahan, kekuatannya terletak pada ilmu dan hikmah kurnia Allah. Nikmat Allah kepada Nabi Sulaiman melimpah ruah tetapi tidak menjadikannya lupa diri.

Objektif perutusan rasul adalah melakukan transformasi kemanusiaan, merubahnya daripada sesat menjadi terbilang dalam petunjuk Ilahi (hidayah). Untuk mencapai objektif itu, rasul menggunakan kaedah menyerapkan ilmu dan menyucikan jiwa serta minda.

Misi pengilmuan serta pemurnian itulah yang tersurat dan tersirat dalam ayat firman Allah yang bermaksud: "Dialah yang sudah mengutuskan dalam kalangan orang (Arab) yang Ummiyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) daripada bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (daripada iktikad sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Jumu'ah, ayat 2)

Menurut perspektif Islam, ilmu bukan barang mewah yang menjadi hak eksklusif golongan tertentu. Ia adalah sebahagian daripada kemanusiaan kerana itu ilmuwan seperti Dr Yusuf al-Qardawi memasukkan pendidikan dalam senarai keperluan asasi manusia di samping makanan, pakaian dan tempat tinggal. Nabi Adam tidak diciptakan hanya dalam bentuk makhluk fizikal, tetapi diperangkap dengan ilmu menerusi proses taklim seperti diisyaratkan dalam firman Allah yang bermaksud: "Dan Allah mengajarkan Adam dengan nama (benda) seharusnya." (Surah al-Baqarah, ayat 31) Demikianlah seterusnya perjuangan Rasulullah SAW mengubah masyarakat jahiliah menjadi umat terunggul bermula dengan satu kata, iqra', kalimat melambangkan ilmu dalam erti dan semangat yang tepat.

Tauhid bukan sekadar tanggapan mental mengenai keesaan Allah, tetapi sekali gus kaedah pemanduan menunjukkan kesepaduan ilmu. Menerusi tamadun tauhidik segala disiplin ilmu terpadu dalam jalinan saling memperkukuh bagaikan anyaman yang terjelma dalam rupa kesatuan utuh dan padat. Begitu juga dengan ilmu pengurusan Islami yang terjalin dan teranyam erat antara pelbagai ilmu seperti ilmu akidah, syariat, akhlak, sejarah, geografi serta ilmu kemanusiaan. Kesepaduan itu harus dipelihara kerana pemecahan ilmu mengakibatkan kekacauan. Pengurusan yang cekap dan bersih tidak mungkin dapat dilakukan ketika kerosakan pelbagai sektor kehidupan masyarakat. Sebarang kerosakan yang berlaku di sesuatu bahagian akan memberi kesan kepada bahagian lain.

Objektif pengurusan berkualiti hanya dapat dicapai andai seluruh sistem dan budaya lingkungannya dalam keadaan sihat, harmonis dan kondusif hasil penerapan ilmu terpadu yang saling memperkukuh. Tanpa dukungan dan pengukuhan daripada ilmu lain, ia tidak dapat berfungsi dengan berkesan.

Hakikat itu dapat menjelaskan mengapa ilmu pengurusan perlu dipadukan dengan ilmu tauhid. Pengurusan berkesan memerlukan daya manusia berwatak kuat, tabah, sabar, berani, jujur dan ikhlas. Watak seperti itu hanya dapat dibina dengan berkesan menerusi pendidikan tauhid kerana ia adalah doktrin menjurus pembebasan jiwa dan minda, mengangkat martabat insani, pemberian erti hidup dan nilai amal. Ilmu pengurusan memerlukan landasan akidah untuk pembangunan sumber daya manusia yang dinamik dan pembinaan motivasi dalaman.

Thursday, October 9, 2008

Ilmu, ibadat mensejahterakan kehidupan

Oleh Nik Salida Suhaila

Untuk menjadi penghuni syurga perlu penuhi piawaian ditentukan Allah

TIADA siapa menginginkan kehidupan sengsara, derita dan penuh keperitan. Tetapi ada juga yang harus merasainya kerana itulah ditakdirkan Allah sebagai ujian. Kasih sayang Allah akan lebih terasa setelah Dia menghilangkan penderitaan jika kita berjaya melaluinya dengan tabah.

Bahkan, kita akan lebih menghargai kehidupan. Kehidupan sejahtera memang diimpikan semua, apatah lagi sejahtera di akhirat sana yang kekal abadi. Justeru, mencari kesejahteraan hidup di dunia semata-mata adalah merugikan.

Memang benar, akhirat belum tentu menjamin kesenangan semua orang kerana perhitungan Allah di Padang Mahsyar adalah pasti. Tetapi sebagai orang Islam, kita harus mengendalikan hidup di dunia dengan sebaiknya mengikut landasan syariat ditetapkan dengan harapan tugas di dunia membawa untung di akhirat.

Sejahtera merujuk kepada suatu keadaan yang baik, yang mana orangnya berada dalam kemakmuran, sihat dan aman damai. Kesejahteraan hidup adalah sesuatu yang penting dalam Islam sehinggakan ia menjadi ucapan kita kepada umat Islam lain hampir setiap masa dan ketika.

Lafaz salam iaitu 'Assalamualaikum' yang bermaksud salam sejahtera ke atas kamu wajib hukumnya dijawab dengan doa juga iaitu 'waalaikumsalam' yang bermaksud salam sejahtera juga ke atas kamu. Malah ada yang jauh berkirim salam melalui perantaraan tanda kasih yang kukuh termeterai antara umat Islam.

Setiap kali selepas solat pula kita berdoa, "Wahai Tuhanku, kurniakanlah aku kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat dan jauhkanlah aku daripada azab api neraka."

Dalam mencari kesejahteraan hidup, setiap manusia perlu mengetahui bahawa rasa selesa dan bahagia serta cukup dengan apa yang ada semata-mata bukanlah tanda hidup sejahtera. Sebaliknya, aspek dalaman dan luaran perlu dilengkapi sewajarnya.

Aspek dalaman dimaksudkan seperti kesihatan tubuh badan dan mental yang waras. Sementara aspek luaran pula ialah seperti ekonomi yang baik, kemampuan memenuhi keperluan masyarakat, bebas daripada ancaman bahaya jenayah, kebebasan asasi yang dipelihara, saling hormat, lengkap-melengkapi dan mengambil berat antara satu sama lain, alam sekitar yang kurang pencemaran serta kaya sumber asli.

Melihat kepada amalan ucapan dan doa untuk kehidupan sejahtera, kita melihat pentingnya kesejahteraan hidup. Sebagai umat Islam, kita bukan hanya hidup di dunia, tetapi juga di akhirat.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya dan ia Maha Kuasa untuk membalas amalan kamu dan Maha Pengampun kepada orang yang bertaubat." – (Surah al-Mulk, ayat 2)

Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin menceritakan kesejahteraan dalam syurga di akhirat kelak dengan berkata, ciri-ciri kebahagiaan di akhirat boleh dibahagikan kepada empat iaitu keadaannya kekal abadi selama-lamanya, kegembiraannya berkekalan dan tiada langsung kesedihan, sebab itu semua penghuni syurga adalah orang muda, tiada yang tua kerana kemudaan adalah kegembiraan serta tiada lagi kejahilan, kerana manusia sudah dengan pasti mengetahui yang haq setelah melalui kematian, hari kiamat dan hisab di Padang Mahsyar dan tiada lagi kemiskinan, kerana kekayaan yang diperkenankan Allah adalah petanda kehidupan yang sejahtera.

Allah berfirman yang bermaksud: "Tiap-tiap jiwa akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat akan disempurnakan pahalamu. Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka dia beruntung. Kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." – (Surah Ali-Imran, ayat 185)

Tetapi perlu diingat bahawa syurga itu milik Allah, jika berhasrat untuk menjadi penghuni syurga kita perlulah mengikut syarat dan piawaian yang ditentukan Allah, iaitu melakukan apa diperintahkan, menjadikan Islam sebagai aqidah dengan mengingati dan memahami Rukun Iman, menjadikan Islam sebagai syariat dengan mengingati dan menghayati Rukun Islam.

Selain itu hendaklah mengamalkan hukum yang ditentukan Allah kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk manusia. Islam hendaklah menjadi ibadat kerana ibadat bukti akidah kita kepada Allah serta menjadikan Islam sebagai akhlak dengan mencontohi Rasulullah SAW.

Sempena Syawal ini, molek benar andai kita bertekad untuk mencari kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat. Mengharungi hidup di dunia yang penuh tipu daya sesungguhnya menjadikan kita sentiasa berhati-berhati kerana tidak rela menjadi si dungu yang tertipu dengan mudah.

Umat Islam perlu jadikan ilmu sebagai perisai menghadapi tentangan hawa nafsu yang datang bersilih ganti setiap masa sehingga kadangkala tidak memberi ruang untuk kita mengingati Dia. Paling penting, jadikan Islam sebagai akidah, syariat, ibadat dan akhlak, semoga kita sentiasa terpelihara di bawah lindungan-Nya. Sesungguhnya Islam adalah cara hidup.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

Monday, September 22, 2008

Konsep memperkasakan ilmu dalam Islam tiada batasan

Oleh Dr Sapora Sipon


ISLAM menyarankan umatnya menuntut ilmu dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat. - Gambar hiasan

Manusia sentiasa disuruh mendalami apa saja pengetahuan untuk manfaat hidup di dunia dan akhirat

ILMU adalah nikmat dan rahmat Allah yang tidak ternilai harganya memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Ilmu dapat menentukan atau meletakkan manusia ke tahap lebih tinggi dan mulia serta membimbing manusia mentaati Allah dan memberi kebaikan di dunia.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesiapa yang diberikan kebijaksanaan, sesungguhnya ia diberikan kebaikan yang amat banyak." (Surah al-Baqarah, ayat 269)

Umat Islam didorong supaya sentiasa menyediakan diri dengan ilmu yang bukan hanya terbatas kepada ilmu agama tetapi juga digalakkan mengkaji ilmu berkaitan hal keduniaan seperti ilmu sains, perubatan dan banyak lagi.

Dalam Islam, kedua-dua ilmu dunia dan akhirat wajib dituntut. Adalah salah jika menganggap bahawa manusia hanya wajib mempelajari ilmu akhirat, sedangkan ilmu keduniaan tidak wajib kerana manusia disuruh menuntut semua ilmu Allah sekalipun terpaksa menghadapi pelbagai dugaan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dia menundukkan untukmu apa-apa yang di langit dan apa-apa yang di bumi semuanya (sebagai kurnia) daripada-Nya. Sungguh pada demikian itu beberapa ayat (keterangan) bagi kaum yang berfikir." (Surah al-Jaatsiyah, ayat 13)

Sesungguhnya al-Quran menerangkan bahawa alam ini adalah kitab ilmu kepunyaan Allah di mana pengkaji akan bertambah makrifah dan khashiah (ketakutan) kepada pencipta-Nya seperti mana firman Allah yang bermaksud: "Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah orang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Pengampun." (Surah Faathir, ayat 28)

Konsep ilmu dalam Islam adalah konsep yang menyeluruh tetapi bersepadu. Keseluruhan konsep ilmu Islam merangkumi bukan saja ilmu yang diturunkan kepada nabi, tetapi juga kepada manusia lainnya sama ada melalui pemahaman wahyu atau pengkajian terhadap alam semesta, sejarah dan pengalaman dalaman manusia.

Kesepaduan ilmu Islam bermaksud bahawa isi dan proses keilmuan dipimpin oleh nilai dan aturan al-Quran serta sunnah Nabi Muhamad SAW.

Proses pencarian ilmu serta kegiatan ilmiah adalah satu kerja tertinggi yang mendahului kerja lain.

Banyak ayat al-Quran yang menekankan aspek kepentingan mencari ilmu.

Tuntutan ilmu tidak terbatas dengan berguru kepada orang Islam saja, malah boleh berguru dengan orang yang bukan Islam asalkan ilmu itu berguna.

Jelasnya, segala nikmat yang banyak tidak diberikan Allah dengan begitu mudah sekali tanpa sebarang usaha untuk mendapatkannya atau menggunakannya dengan lebih bermanfaat.

Manusia perlu mempunyai ilmu sebagai alat untuk menggunakan segala nikmat disediakan dengan berfaedah.

Tanpa ilmu, manusia tidak akan berupaya menggunakan segala nikmat disediakan dengan bijaksana. Tanpa ilmu, manusia tidak akan berdaya untuk mengetahui dengan lebih mendalam rahsia isi alam ataupun nikmat tersedia ada, lebih-lebih lagi nikmat di sebalik pandangan zahir.

Oleh itu ilmu sangat penting kepada sekalian manusia untuk hidup dilingkungi dengan kenikmatan Allah.

Ilmu agama atau akhirat dituntut supaya kita kenal diri yang sentiasa tertakluk kepada perintah Allah. Manusia juga perlu faham bahawa mereka bertanggungjawab melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah Allah di atas dunia ini.

Firman Allah yang bermaksud: "(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah diatas bumi (Adam)..." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Kepentingan menguasai ilmu pengetahuan boleh dilihat dalam kehidupan kita beribadah. Contohnya, kita melaksanakan kewajipan sebagai hamba Allah yang menunaikan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Jika melakukan ibadat tanpa ilmu, tanpa mengetahui peraturannya, tanpa mengetahui sah batalnya, maka ibadat itu ditolak atau tidak diterima oleh Allah. Ilmu Allah amat luas dan mencakupi pelbagai bidang.

Namun, untuk mendapat keredaan Allah manusia mestilah mempunyai ilmu yang hanya diredai-Nya yang tidak bertentangan dengan dasar syariah. Ini menuntut manusia berusaha menguasai ilmu seberapa banyak yang boleh untuk memperoleh segala nikmat yang ada.

Menuntut ilmu membawa kepada pelbagai kebaikan. Antara faedah menuntut ilmu adalah:

Makhluk Allah akan dapat membentuk keperibadian diri melalui ilmu pengetahuan. Melalui ilmu, manusia akan dapat menguatkan iman serta takwa kepada Allah.

Tanpa ilmu pengetahuan, seorang itu tidak dapat melakukan ibadat kepada Allah dengan baik. Kekurangan ilmu juga akan menjadikan seorang itu menjadi hina di sisi masyarakat.

Sesuatu perkara yang hendak dilakukan tidak akan menjadi sempurna tanpa memiliki ilmu yang berkaitan dengan-Nya.

Ini kerana menuntut ilmu adalah sangat penting sebagai asas atau panduan dalam setiap amalan sama ada dalam bentuk ibadat fardu ain atau fardu kifayah.

Dalam melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah, manusia perlu kepada ilmu pengetahuan. Manusia diwujudkan untuk menjadi wakil Allah dan mentadbir alam ini supaya bumi Allah ini menjadi makmur dan seterusnya membentuk masyarakat dan manusia yang diredhai oleh-Nya.

Melalui ilmu pengetahuan, manusia dapat membina bangunan yang mengagumkan, kediaman lebih selesa dan mencipta pelbagai jenis rekaan moden untuk kemudahan umat manusia menjalankan tugas mereka seharian.

Ilmu dapat menentukan kedudukan dan dapat mengubah mobiliti sosial individu daripada kehidupan sosial yang rendah kepada taraf lebih tinggi.

Orang berilmu sentiasa dihormati dan pandangan mereka adalah pandangan yang positif dan membina baik dari segi rohani dan juga jasmani.

Kesimpulannya, seruan kepada pencarian dan penguasaan ilmu pengetahuan sememangnya sudah lama disarankan dalam Islam.

Islam amat mementingkan ilmu dalam menentukan kejayaan umatnya. Kepentingan ilmu penting dalam menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat.

Penulis ialah pensyarah kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia.

Tuesday, March 11, 2008

Perspektif Ikim: Kebahagiaan rakyat perlu diutama

Oleh Azrina Sobian

UTAMAKAN ILMU: Peluang pendidikan yang luas dan bermutu menjadi aset terbaik negara.

Setiap pemimpin mesti tunai tanggungjawab wujudkan negara 'paling gembira'

PENYELIDIK Universiti Leicester menjalankan satu kajian berkenaan 'kegembiraan' di kalangan 80,000 responden dari seluruh dunia. Hasil kajian yang dibuat pada 2006 menunjukkan Denmark adalah negara yang paling 'gembira' untuk dihuni, diikuti dengan Switzerland dan Austria.

BBC News juga menjalankan satu kajian hampir sama, dan hasilnya menunjukkan 81 peratus daripada penduduk di United Kingdom percaya kerajaan sepatutnya memberi tumpuan untuk membuatkan rakyat lebih gembira berbanding lebih kaya.

Berdasarkan kenyataan itu, apakah yang membuatkan penduduk sesebuah negara berasa gembira tinggal di negara berkenaan? Bagaimanakah pula kegembiraan itu diukur? Hakikatnya kegembiraan mempunyai makna berbeza antara satu insan dengan insan yang lain.

Kegembiraan yang dimaksudkan dalam kajian itu merujuk kepada tahap kepuasan penduduk sesebuah negara terhadap kehidupannya. Dalam hal ini, penduduk di negara yang mempunyai sistem kesihatan baik, mencatatkan keluaran negara kasar (KNK) yang tinggi dan peluang pendidikan luas, biasanya menunjukkan tahap kegembiraan tinggi.

Walaupun banyak perkara boleh dipertikaikan daripada kajian itu terutama dalam mentafsirkan makna kegembiraan, sedikit sebanyak hasil kajian memberi beberapa pengajaran. Pengajaran paling utama adalah kajian itu setidak-tidaknya menunjukkan serba sedikit apa yang diinginkan penduduk sesebuah negara supaya mereka boleh mendabik dada dan berasa bangga serta gembira tinggal di negara berkenaan.

Denmark misalnya, mendapat tempat pertama kerana beberapa sebab, kekayaan, keindahan alam semula jadinya, saiznya yang kecil, sistem pendidikan bermutu dan penyediaan perkhidmatan kesihatan baik.

Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat mencatat kedudukan di tangga ke-23 kerana dipengaruhi masalah kemiskinan (akibat pengangguran) dan perkhidmatan kesihatan kurang bermutu.

Bersesuaian dengan keadaan semasa negara yang baru saja selesai pilihan raya, pemimpin yang menang perlu bekerja kuat memenuhi kehendak rakyat yang pastinya mahu sebuah negara boleh memberi kebahagiaan kepada mereka.

Rakyat dahagakan satu sistem pendidikan yang mampu menghasilkan orang berilmu yang bukan semestinya memiliki gulungan ijazah berjela. Mereka ini, seperti kata Prof Dr Syed Hussien Alatas, adalah insan yang menghambakan dirinya untuk memikirkan buah fikiran (idea) dan masalah dalam masyarakat dengan menggunakan kemampuan akliahnya.

Pada ketika ini, berapa ramaikah pelajar sekolah mahupun lepasan universiti yang benar-benar menggunakan akal mereka dalam menjalani hidup seharian? Apatah lagi, adakah akal itu digunakan untuk membantu membangunkan masyarakat?

Sayang sekali, anugerah paling berkuasa yang diberikan kepada manusia ini tidak dapat dimanfaatkan setinggi mungkin ke jalan yang baik. Kegagalan memanfaatkan akal pasti ada kaitannya dengan corak pendidikan diterima.

Perkhidmatan kesihatan yang bermutu memang didambakan semua orang. Bermutu bukan semata-mata merujuk kepada nisbah doktor-pesakit yang sesuai, teknologi canggih digunakan atau cantiknya hospital yang ada.

Pernahkah anda mendengar orang berkata, satu senyuman yang indah kadang kala sudah cukup untuk mengubat segala penyakit. Oleh itu, senyuman mesra disokong layanan yang cekap juga adalah disifatkan sebagai sebahagian daripada perkhidmatan bermutu.

Salah satu rungutan kerap didengar berkait dengan perkhidmatan kesihatan negara ini adalah dari segi kos. Kos yang berbeza memberi petunjuk kepada perkhidmatan berbeza. Perkhidmatan murah (biasanya disediakan kerajaan) memang baik, tetapi mutunya (terutama layanan) amat menghampakan.

Perkhidmatan mahal disediakan di hospital swasta atau hospital kerajaan tidak semua mampu merasainya. Oleh itu, sampai bila mereka yang tidak berkemampuan boleh merasa perkhidmatan kesihatan bertaraf lima bintang.

Selain pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, ada banyak lagi perkara perlu diperbaiki bagi menjamin kegembiraan rakyat. Masalah alam sekitar, kenaikan harga barang, kemudahan awam untuk semua termasuk orang kurang upaya, masalah keselamatan antara perkara perlu dimasukkan dalam agenda membahagiakan rakyat.

Nyatalah bahawa banyak lagi perlu dilakukan untuk menjadikan rakyat Malaysia 'gembira'. Untuk memulakan langkah pertama, semua wakil mesti memperuntukkan sedikit masa memikirkan apa yang sebenarnya dimahukan rakyat. Cubalah meletakkan diri dalam keadaan atau hidup rakyat. Mungkin dengan cara itu, semua wakil terpilih dapat merasai kesusahan rakyat di kawasan masing-masing.

Justeru, inilah masanya untuk pemimpin yang dipilih pada pilihan raya baru-baru ini menunaikan janji membahagiakan rakyat. Tunaikan janji anda, jangan hanya menjadi juara di gelanggang pilihan raya, tetapi tersungkur ketika melaksanakan tanggungjawab.

Penulis ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia.