Showing posts with label Iman. Show all posts
Showing posts with label Iman. Show all posts

Tuesday, February 2, 2010

Manusia beriman diberkati

DEMI keagungan, kebesaran, kemuliaan, cahaya, ketinggian dan kedudukan-Ku, setiap hamba yang mendahulukan kedudukannya daripada kedudukan-Ku, pasti Aku cerai-beraikan urusannya, Aku kacaukan dunianya, Aku sibukkan dan Aku letakkan hatinya hanya dalam urusan keduniaan, dunia tidak mendatanginya kecuali apabila yang Aku tentukan baginya.

Demi keagungan, kebesaran, kemuliaan, cahaya, ketinggian dan kedudukan-Ku, kemuliaan, cahaya, ketinggian dan kedudukan-Ku, setiap hamba yang mendahulukan kehendak-Ku daripada kehendaknya pasti aku perintahkan malaikat menjaganya.

Aku jamin langit dan bumi sebagai tempat mencari rezekinya, Aku menyertai setiap urusan dan perniagaannya serta dunia akan datang sambil merendahkan diri padanya (Hadis Qudsi).

Saturday, June 6, 2009

Keimanan latih insan patuh undang-undang duniawi, sejahtera

Oleh Hashim Ahmad

SEJAK dulu manusia tidak rela jiwanya kosong. Mereka mencari tempat untuk bergantung, memuja dan memuji. Kekosongan jiwa merosakkan diri. Justeru, mereka mencari sesuatu untuk memenuhi kekosongan itu. Semula jadi manusia memang berhajat kepada agama. Jika Allah tidak mengutuskan nabi dan rasul, manusia memikirkan mengenai Tuhan dan kekuasaan-Nya

Tuhan tidak membiarkan manusia dalam kegelapan kerana akan menimbulkan lebih banyak jurang di antara manusia. Di Eropah dan Mesir pada masa lampau (sebelum kedatangan Nabi Yusuf dan Nabi Musa), masyarakatnya hanya bertumpu kepada keadaan yang berlaku di sekeliling mereka.

Keadaan itu mendorong mereka berfikir dan menganalisis gejala yang berlaku itu menunjukkan ada kuasa mutlak mentadbir dan menguruskannya.

Di samping mempercayai wujud kuasa ghaib, mereka percaya Allah mempunyai perantaraan yang dapat dijadikan media perhubungan antara manusia dengan kuasa ghaib berkenaan.

Objektif mereka menjadi perantaraan itu berbeza. Umpamanya, masyarakat Mesir kuno mempercayai matahari mempunyai kuasa luar biasa. Masyarakat Majusi pula menganggap api mesti disembah kerana berkuasa membakar dan masak makanan.

Ada bangsa menjadikan makhluk seperti lembu, gajah dan singa sebagai perantaraan dan media ibadat. Daripada pelbagai kepercayaan ini, timbul pengaruh agama pada individu pada zaman lampau.

Cara mengabdikan diri ini berbeza antara masyarakat. Ada cara pengabdian sehingga mengorbankan nyawa seperti menyembelih bintang dan sanggup mengorbankan anak gadis di depan berhala.

Ada juga pengabdian bersifat kerohanian seperti puasa menahan diri daripada makan dan minum. Untuk sujud kepada matahari, lembu atau api, sedikit sebanyak menimbulkan kesulitan.

Mereka membuat patung dan berhala yang dianggap lebih mendekatkan hubungan dengan Tuhan. Bertolak daripada keadaan ini, timbul pelbagai berhala didirikan masyarakat dulu yang berpanjangan hingga ke zaman muncul agama Yahudi dan Masihi.

Agama rekaan manusia ini jika dikaji secara mendalam mempunyai kesan secara tidak langsung kepada penganutnya terutama ketika mereka menghadapi kesusahan. Ia terjadi disebabkan perasaan semula jadi manusia yang tidak lepas daripada takut kepada kuasa ghaib. Oleh kerana ada utusan yang dapat menunjukkan mereka ke jalan benar serta ditambah dengan kejahilan sendiri.

Pada asasnya, agama langit berpunca daripada wahyu Allah yang disampaikan melalui nabi dan rasul supaya menyampaikan segala ajaran-Nya kepada manusia yang bersifat lemah dan berhajat kepada pemimpin serta petunjuk.

Allah tidak memerintah selain untuk kebaikan dan kesejahteraan manusia serta menerangkan hidup ini hanya sementara dan akhirat yang kekal.

Di akhirat, setiap amalan manusia menerima balasan. Amalan baik menerima balasan syurga dan nikmat, manakala amalan jahat menerima seksa neraka dan azab.

Peranan agama langit ialah untuk memperbaiki iktikad dan mengakui wujud Allah. Ia juga menunjuk dan memimpin akhlak manusia berasaskan tauhid. Di samping itu, berbaik sangka serta menolong sesama manusia adalah tujuan utama beragama.

Apabila seseorang mentaati perintah Allah, terjadi ikatan Khaliq dan makhluk yang membawa manusia kepada kesejahteraan hidup. Apabila hubungan manusia dengan Allah mencapai taraf tinggi, maka terikat jiwa dan hati manusia dengan tali keimanan kukuh.

Keimanan ini melatih manusia patuh terhadap undang-undang duniawi bertujuan membentuk masyarakat ke arah kesejahteraan dan kedamaian.

Kepentingan agama dalam kehidupan meliputi soal pemerintahan, pentadbiran dan pendidikan serta sosial. Jika ada yang menolak kenyataan ini, bererti ia mengingkari hakikat diri sendiri.

Manusia terikat dengan tali keimanan tidak sanggup mengabaikan agama dan suruhan Allah. Dalam soalan pegangan, Islam satu-satunya agama yang memenuhi kehendak semula jadi manusia.

Tuesday, May 26, 2009

Kepemimpinan dalam takwa, iman wujudkan keharmonian

Oleh Dr Aminudin Mansor

KEADILAN penting dalam pemerintahan, begitu juga kepemimpinan dalam sesebuah keluarga akan dipersoalkan di akhirat kelak. Setiap daripada kita adalah pemimpin bagi diri keluarga, masyarakat dan negara.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang berlaku adil di sisi Allah akan menduduki beberapa mimbar diperbuat daripada cahaya. Mereka ialah orang yang berlaku adil di dalam pemerintahan, ke atas keluarga dan apa-apa yang ditadbir mereka." � (Hadis riwayat Muslim)

Ciri pemimpin yang baik mestilah perlu mempunyai kecerdasan spiritual tinggi dan memahami penderitaan serta kehendak rakyat dipimpinnya. Begitulah sebagai ibu atau bapa mesti memahami kehendak ahli keluarga dipimpinnya dan bertindak adil dengan penuh kesedaran.

Menurut K H Dewantara, pemimpin di hadapan memberi contoh sehingga dapat diteladani, di tengah memberi dorongan semangat dan mengikuti dari belakang dengan memberi kekuatan dalam usaha melaksanakan tugas.

Muhammad Iqbal berkata, seseorang pemimpin mesti mempunyai semangat patriotisme. Oleh sebab itu, seseorang pemimpin mestilah memerintah dengan bijaksana, ia akan dipatuhi dengan senang hati oleh orang dipimpinnya.

Sewajarnya, seseorang pemimpin mestilah berakhlak, beradab, berani bertindak, bersikap adil, lemah lembut, penyayang, saksama, berdisiplin, selalu bermusyawarah, memudahkan dan mempunyai misi mengarah ke masa hadapan.

Aisyah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya sebahagian tanda orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling berakhlak mulia dan paling lembut kepada keluarganya." � (Hadis riwayat Tirmidzi dan Al-Hakim)

Perilaku seseorang pemimpin yang baik akan menjadi ikutan kepada orang dipimpin. Apabila perilaku baik, sifat ini akan menjadi ikutan dan teladan kepada orang dipimpin ke arah mewujudkan ummah cemerlang di dunia dan akhirat.

Khalifah Umar Al-Khattab adalah contoh pemimpin yang berani dan tegas. Selain itu, beliau juga mempunyai sifat dan rasa kasih sayang tinggi, adil dalam menghukum, suka bermusyawarah, tidak sombong, pendengki dan tidak pendendam.

Beliau mendahulukan kepentingan masyarakat daripada kepentingan peribadi. Suka menerima kebenaran daripada sesiapa saja, sederhana, tidak berlebihan dalam makan minum, berpakaian dan hidup seperti rakyat biasa. Beliau sangat benci kepada yang batil dan berani membela yang benar.

Khalifah Umar Al-Khattab pernah berkata: "Janganlah engkau datangi sesuatu yang tidak penting bagimu! Jauhkan diri daripada musuhmu. Awaslah daripada temanmu yang ramai, kecuali teman kepercayaanmu! Jangan kau percaya selain orang yang takut kepada Allah. Jangan engkau berteman dengan orang zalim, kerana nanti engkau peroleh pengetahuan dari kezalimannya! Jangan engkau perlihatkan kepadanya rahsiamu! Dan bermusyawarah dalam urusanmu dengan mereka yang takut kepada Allah."

Sebagai pemimpin Saiyidina Umar Al-Khattab seorang yang berani, tegas, disegani oleh kawan dan lawan, berakhlak mulia, berhati jujur dan perkataannya selalu benar. Begitu juga khalifah pertama, Abu Bakar As-Siddiq, yang lebih cinta kepada Allah dan Nabi SAW melebihi cintanya kepada harta benda serta anak serta isterinya sendiri.

Sebagai pemimpin, beliau adalah seorang yang gagah berani, suka menolong orang miskin, memuliakan tetamu, pemurah lagi bersopan santun serta dermawan.

Antara kata nasihatnya: "Aku adalah manusia biasa dan aku bukanlah manusia yang terbaik di antara kamu. Apabila kalian lihat perbuatanku benar, ikutlah aku, tetapi apabila kalian lihat perbuatanku salah, maka perbetulkan aku."

Begitulah sifat rendah diri dan tawaduk yang ada pada pemimpin yang juga sahabat walaupun termasuk antara mereka yang mendapat jaminan masuk syurga.

Oleh sebab itu, sebagai pemimpin, baik pemimpin negara, di pejabat, rumah dan dalam kalangan masyarakat, sifat ketakwaan dan keimanan kepada Allah dan Nabi SAW penting bagi mewujudkan keharmonian dalam negara dan masyarakat.

Sesungguhnya, sabda Nabi SAW ini seharusnya menjadi renungan dan pandangan kepada kita. Sabdanya yang bermaksud: "Kamu semua adalah penjaga (pemimpin). Dan kamu semua bertanggungjawab terhadap penjagaan (orang yang dipimpin)." � (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Monday, May 11, 2009

Akal didasari iman, akhlak mulia pertingkat martabat manusia

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

MANUSIA menjadi mulia kerana sifat kemanusiaannya yang berteraskan kekuatan fikiran. Malang sekali jika disalahgunakan kecerdasan fikiran boleh membawa kerosakan bukan saja pada diri, juga mereka di sekeliling.

Akal manusia menjadikannya makhluk mulia, berbanding makhluk lain ciptaan Allah sehingga boleh membina tamadun dibanggakan. Melalui kurniaan Allah itu juga manusia mencipta peralatan moden serta canggih untuk keperluan mereka.

Kemampuan manusia membezakan perkara baik dan buruk juga daripada akal fikiran. Namun, kelihatannya kecenderungan manusia lebih kepada melakukan kerosakan daripada mendatangkan kebaikan untuk seluruh isi alam.

Apabila akal yang sepatutnya diletakkan pada kedudukan yang tinggi dikorbankan untuk sesuatu kepentingan diri, maka tepat apa difirmankan Allah, manusia akan terjun menjadi serendah-rendah makhluk, bahkan lebih rendah daripada haiwan yang melata.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia Aku cipta dalam sebaik-baik kejadian. Lalu Aku jatuhkannya menjadi serendah-rendah makhluk; kecuali mereka yang beriman, beramal salih. Mereka mendapat ganjaran yang tidak putus-putus."

Maruah kemanusiaan yang ada pada diri tergadai kerana menurutkan nafsu yang menjadi musuh kepada akal. Kecantikan dan keindahan insan kerana akhlaknya yang baik dan bertepatan dengan kehendak agama.

Akhlak Islam mesti bersumberkan wahyu al-Quran dan sunnah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Agama itu adalah akhlak yang baik."

Jelaslah, kedudukan akhlak seseorang menggambarkan kedudukan iman dan pegangan agama sama ada terbukti kukuh atau tidak. Dalam Islam, akhlak yang baik mencerminkan penghayatan seseorang terhadap ajaran agama.

Nabi SAW berpesan dalam sabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang paling baik akhlaknya ialah yang paling baik agamanya."

Ini menunjukkan akhlak adalah roh kepada agama. Roh akhlak meliputi semua aspek kehidupan sama ada akidah, keimanan, ibadah dan muamalah. Persoalan yang timbul ialah bagaimana akal dijaga supaya manusia berada pada taraf yang tinggi.

Manusia mesti kembali kepada Allah, beriman serta mengabdikan diri semata-mata kepada-Nya. Manusia tidak akan sempurna setakat mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai bidang bersifat keduniaan tetapi tiada keimanan teguh terhadap Allah. Kepercayaan dan keimanan kepada Allah menjadi paksi segala kesedaran yang akan mendorong manusia melakukan amalan baik seperti dituntut Allah.

Pada masa sama, manusia akan menjauhkan diri daripada melakukan perkara mungkar yang boleh menyebabkan kemurkaan Allah.

Apabila seseorang mengaku beriman kepada Allah, ia bukan sekadar ucapan tetapi diterjemahkan melalui perbuatan kerana kita dipertanggungjawabkan terhadap setiap apa yang dilakukan di duni.

Oleh sebab pentingnya akal, sepatutnya kita menggunakan ia untuk tujuan kebaikan. Jika manusia masih membuat bohong, fitnah, mencuri, memukul, rasuah, zina dan pelbagai kejahatan lain, ingatlah Allah tetap memerhatikannya dan memberi hukuman setimpal.

Apa juga yang kita lakukan adalah hasil pemikiran akal. Oleh itu, jangan salahkan orang lain jika kita tersalah langkah kerana hak menentukan perjalanan hidup terletak seratus peratus di tangan sendiri. Memang hidup sudah ditentukan Allah, tetapi kita perlu berusaha sebelum bertawakal kepada-Nya.

Adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan akal yang dimiliki dapat membawa kepada keredaan Allah. Hanya dengan keimanan kepada Allah yang dapat menyelamatkan diri daripada ditimpa kemurkaan.

Gunakan akal kurniaan Allah untuk mencapai kejayaan serta keredaan-Nya bukan mencari sebab untuk dimurkai. Oleh itu, sentiasalah mengharapkan apa yang kita lakukan dapat memberi kebaikan untuk di dunia dan akhirat.

Monday, May 4, 2009

Kebahagiaan hanya dapat dicapai melalui iman, takwa, amal salih

MENCARI kebahagiaan adalah cita-cita dan harapan manusia dalam kehidupan. Bagi mereka berpendapat kebahagiaan terletak kepada kekayaan, maka berjuanglah mereka memperolehnya.

Golongan beranggapan kebahagiaan terletak kepada kekuasaan, berusahalah mereka untuk mencapainya, sementara ada menyangkakan kebahagiaan itu boleh diperoleh menerusi kepuasan seks, lalu berlumbalah mereka melakukannya tanpa segan silu.

Namun, fakta sejarah membuktikan bahawa kekayaan, kekuasaan dan kenikmatan seks bukanlah kebahagiaan sebenar yang dicari dan diperlukan manusia. Tidak sedikit manusia terpedaya dan mengalami kehancuran gara-gara mengejar serta memburu kebahagiaan berdasarkan ketiga-tiga pendapat itu.

Dalam soal kekayaan misalnya, kisah diceritakan al-Quran pada zaman Nabi Musa adalah satu contoh paling tepat membuktikan kekayaan bukan kebahagiaan mutlak.

Qarun dengan usahanya berjaya menjadi orang paling kaya di dunia. Malangnya dalam masa tidak berapa lama kebahagiaan yang dikatakan wujud pada kekayaan itu musnah akibat rasa takbur dan sombong yang tercetus dalam diri Qarun.

Qarun bersama harta kekayaannya ditelan tanah seperti firman Allah bermaksud: "Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidak ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri." (Surah al-Qasas, ayat 81)

Kemudian ada beranggapan kebahagiaan itu terletak pada kekuasaan. Maka berjuanglah mereka untuk memperolehnya dengan pelbagai cara. Contoh jelas dalam soal ini ialah kisah Firaun yang berlaku pada zaman Nabi Musa.

Betapa besar kekuasaannya di bumi Mesir, sehingga dia mengaku dirinya Tuhan, tetapi kebahagiaan dikecapi berdasarkan kekuasaannya itu tidak sampai ke mana. Akhirnya Allah menenggelamkan bala tentera termasuk dirinya ke dalam laut ketika mengejar Nabi Musa.

Hal ini dijelaskan Allah dalam firman bermaksud: "Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya." (Surah al-A'raaf, ayat 136)

Seterusnya ada pula beranggapan kebahagiaan itu terletak pada kenikmatan seks jadi berusahalah mereka mencari kepuasan itu. Hal itu terjadi pada zaman Nabi Luth di mana kaumnya cuba mencari puncak kepuasan itu dalam keghairahan seks.

Ternyata sekali mereka tidak menemuinya pada wanita yang seharusnya menjadi pasangan mereka. Akhirnya mereka beralih mencari pasangan sejenis. Akibat perbuatan terkutuk itu akhirnya mereka dihancurkan.

Bagaimana pula pandangan Islam mengenai kebahagiaan sebenar? Dalam Islam kebahagiaan hanya boleh dicapai dan diperoleh pada jalan beriman, bertakwa dan beramal salih. Malah iman mutiara paling agung dalam peribadi Muslim.

Allah berfirman bermaksud: "Sebenarnya Allah jugalah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan memimpin kamu kepada keimanan jika kamu adalah orang yang benar." (Surah al-Hujurat, ayat 17)

Lantaran itu tidak hairanlah jika kebahagiaan orang mukmin hasil daripada keimanan dan ketakwaan meliputi dua alam iaitu alam dunia yang sementara itu dan akhirat, kekal buat selama-lamanya.

Firman Allah bermaksud: "Ketahuilah! Sesungguhnya wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berduka cita (wali Allah itu ialah) orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa. Untuk mereka sajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan akhirat. Tidak ada (sebarang) perubahan pada janji Allah, yang demikian itulah kejayaan benar." (Surah Yunus, ayat 64)

Kebahagiaan sebenar dalam Islam bukanlah berdasarkan kekayaan, kekuasaan dan kepuasan seks, sebaliknya menerusi keimanan, ketakwaan dan amal salih. Namun, Islam tidak melarang umatnya daripada berikhtiar dan mencari harta kekayaan, ilmu serta pangkat.

Firman Allah bermaksud: "Dan tentulah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) di dunia." (Surah al-Qasas, ayat 77)

Tetapi harta kekayaan, ilmu dan pangkat bukan menjadi tujuan utama sebaliknya sebagai alat dan syarat kehidupan di dunia sementara ini.

Saturday, May 2, 2009

Tafakur kejadian alam, diri mantapkan iman

HIDUP ini adalah perjalanan yang sengaja dirahsiakan hikmah untuk manusia berusaha dan mencari maknanya. Bagi mereka yang berfikir, kehidupan tidak akan dipersiakan, sebaliknya dimanfaatkan sebaiknya demi kebahagiaan dunia serta akhirat.

Berfikir atau tafakur adalah senaman untuk mengaktifkan akal fikiran dikurniakan Allah kepada manusia supaya apa yang dilihat serta ingin dilakukan tidak menyimpang daripada syariat. Al-Hasan pernah berkata: "Bicara yang tidak mengandungi hikmah adalah tidak berguna. Diam tidak berfikir adalah kelalaian. Lihat yang tidak membuahkan pelajaran adalah permainan belaka."

Tafakur, berfikir atau merenung kejadian alam membuahkan pelajaran serta bukti kekuasaan Allah sekali gus menjurus dan mengarah kepada tujuan yang berguna.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya kejadian langit dan bumi dan perselisihan malam dan siang itu ada beberapa bukti bagi orang yang mempunyai fikiran. Mereka mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau berbaring dan memikirkan kejadian langit dan bumi seraya berkata: Hai Tuhan kami! Tidaklah Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau! Kerana itu peliharalah kami daripada seksa api neraka." Surah ali-Imran ayat 190-191)

Pernah diriwayatkan, Nabi SAW menangis dan apabila ditanya mengapa, lalu dijawab Rasulullah SAW bahawa pada malam itu diturunkan ayat daripada surah Ali-Imran bermaksud: "Celakalah bagi orang yang membaca ayat kejadian langit dan bumi dengan tidak memikirkannya."

Firman Allah bermaksud: "Maka tidakkah mereka mahu melihat kepada unta bagaimana dijadikan? Dan melihat kepada langit bagaimana ditinggikan? Dan melihat kepada gunung bagaimana ditegakkan? Dan melihat kepada bumi bagaimana dihamparkan? Maka ingatkanlah, kerana engkau itu hanya seorang pengingat." (Surah al-Ghasyiah, ayat 17-21)

Kekuasaan Allah terukir dan terlukis pada alam. Rahmat dan kasih sayang-Nya ada pada setiap detik kehidupan. Demikian sebahagian bukti kekuasaan Allah. Betapa indah dan sempurnanya setiap ciptaan itu. Al-Quran banyak menyuntik dan mendorong manusia berfikir kerana dengan itu akal tidak dibekukan oleh rutin dan kesibukan, malah memantapkan iman serta menjana kesempurnaan.

Bagaimanapun, berfikir biar pada batas dibenarkan atau yang sanggup dijangkau akal bukan seperti diingatkan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Berfikirlah pada tanda kekuasaan Allah, dan jangan kamu berfikir mengenai zat Allah kerana kamu tidak akan dapat mengukur batasnya."

Suatu hari Nabi SAW menghampiri kaumnya yang sedang bertafakur. Nabi bertanya: "Mengapa kamu diam saja? Mereka menjawab: Kami sedang bertafakur mengenai makhluk Allah. Nabi berkata: Jika demikian, lakukanlah. Fikirkan mengenai makhluk Allah dan jangan fikirkan mengenai Allah."

Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud: "Dan di antara keterangan itu, diciptakannya kamu daripada tanah kemudian itu lihatlah, kamu menjadi manusia yang bertebaran." (Surah al-Rum, ayat 20)

Demikian bijaksana Allah yang Maha Mencipta mengatur semua itu untuk manusia. Namun, berapa ramai manusia berfikir mengenai penciptaan itu. Bulan dan matahari boleh berpadu walau tidak bersatu. Begitu juga siang dan malam saling bertukar tidak pernah bercakaran.

Bintang berkelipan indah tidak pernah membantah, malah semua itu tidak pernah bertelagah apa lagi menderhaka meminta kedudukan dan kuasa. Tetapi manusia yang bertebaran berterabur dengan perbalahan dan permusuhan.

Fudhail berkata: "Tafakur itu cermin kaca yang memperlihatkan padamu kebaikan dan keburukanmu." Justeru, pengembaraan dalam tafakur bukan sekadar memperlihatkan kebaikan dan keburukan tetapi melahirkan kenikmatan serta ketenangan, menemukan hikmah dan makrifah, mengarah pemantapan iman, pembersihan jiwa, memperbanyak amal salih.

Monday, April 27, 2009

Tanggungjawab khalifah uji ketaatan, iman ummah

Oleh Mohd Adib Ab Rahman

Manusia digalak bangunkan bumi menerusi usaha berfaedah, bukan bawa kehancuran

MUSLIM yang selalu mengharap rahmat dan keredaan Allah akan menyedari serta mengerti siapa dirinya dan untuk apa diciptakan di dunia ini. Jelas diberitahu dalam al-Quran manusia diwujudkan semata-mata untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah yang selalu beribadat kepada-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." (Surah Adz-Dzaariyat, ayat 58)

Tidak dinafikan sebilangan besar umat Islam yang hanya memahami istilah ibadat itu tertumpu kepada amalan ibadat khusus dan fardu ain seperti solat, zakat dan haji.

Sementara soal selain itu seperti bercucuk tanam, bertukang, belajar ilmu kedoktoran dan mendalami selok-belok pertanian dianggap tiada kaitan dengan ibadat. Fahaman itu tidak menepati maksud ibadat sebenar mengikut pandangan Islam.

Ibadat ialah melakukan sesuatu pekerjaan atau kegiatan dengan ikhlas kerana Allah sama ada ibadat umum atau khusus.

Allah juga menghendaki manusia menjadi khalifah yang berperanan mentadbir, mengatur dan membangunkan dunia mengikut saluran ajaran Islam yang suci. Allah berfirman yang bermaksud: "Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Menjadi khalifah satu tanggungjawab atau amanah sangat besar dan berat. Lantaran itu makhluk lain tidak sanggup memikulnya. Al-Quran menceritakan yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung. Maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya dan dipikullah amanat itu oleh manusia." (Surah al-Ahzab, ayat 72)

Bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah dengan sebaiknya, Allah melengkapkan manusia dengan akal fikiran untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Penguasaan ilmu membolehkan manusia menguruskan alam. Mengambil manfaat daripada kejadian langit, bumi, lautan dan pada masa sama mentadbir umat manusia supaya berakhlak mulia, mengejar kemajuan, membina tamadun serta dapat menguasai pelbagai bidang ilmu menepati ciri hamba yang taat dan bertakwa.

Namun, realitinya umat Islam hari ini belum dapat menyempurnakan tugas sebagai khalifah kerana cara hidup, fizikal dan mental mereka berdegup mengikut hawa nafsu serta dipimpin kuasa budaya Barat. Ini gambaran yang mendukacitakan, betapa lemahnya umat Islam kini gara-gara ketinggalan dalam penguasaan ilmu. Sehingga senang ditindas dan dihina serta diperlakukan sebagai manusia tidak bertamadun oleh musuh.

Sememangnya keadaan itu sudah diduga sejak awal iaitu jika umat Islam tidak mempersiapkan diri dengan ilmu. Lantaran itu Rasulullah SAW secara tegas mewajibkan setiap Muslim menuntut ilmu supaya dapat dimanfaatkan demi kesejahteraan sejagat.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan Kami ciptakan besi (dan perak, emas, tembaga, minyak dan lain-lain) yang padanya ada kekuatan yang hebat dan pelbagai manfaat bagi manusia (untuk diolah) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong agama-Nya (Islam) dan Rasul padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa." (Surah al-Hadid, ayat 25)

Apabila manusia rajin bekerja dan istiqamah berusaha menegakkan ibadat, bermakna sudah menepati tujuan penciptaannya supaya menjadi khalifah yang bijak memakmurkan bumi ini. Firman Allah bermaksud: "Dialah yang menciptakan kamu daripada bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya (menghuni dan mengolah hasil bumi untuk kesejahteraan umat manusia)." (Suraj al-Hadid, ayat 61)

Pengertian pemakmur dalam ayat tadi ialah kepakaran dan kemampuan manusia membangunkan bumi menerusi usaha dalam pertanian, perindustrian, memajukan taraf hidup serta menghindari perkara yang boleh merosakkan alam ini berdasarkan ilmu yang benar.

Manusia yang dapat menyempurnakan tugas sebagai khalifah di bumi dengan baik mengikut syariat Islam, tentu mulia di sisi Allah. Sesungguhnya manusia memikul tanggungjawab sebagai khalifah adalah ujian Allah mengukur sejauh mana ketaatan dan keimanan. Jika dijalankan tugas itu dengan baik, diberi ganjaran di akhirat dan begitu juga sebaliknya kerana tidak menunaikan tanggungjawab seperti mengkhianati amanah yang diberi.

Firman Allah bermaksud: "Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan sesetengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat kerana hendak menguji kamu pada apa yang sudah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah al-An'am, ayat 165)

Sepanjang hidup kita sebagai umat Islam perlu berlumba-lumba mengejar kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat dengan usaha menepati ciri umat Nabi Muhammad yang diakui Allah sebagai umat terbaik.

Saturday, April 25, 2009

Sifat malu melambangkan nilai keimanan

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Masalah sosial, maksiat berlaku kerana manusia hilang perasaan segan dan silu

MALU antara sifat terpuji yang melambangkan ketinggian budi pekerti Muslim dan ketebalan imannya. Sifat malu juga satu petanda membuktikan iman itu bertapak kukuh dalam jiwa sanubarinya, sebaliknya mereka yang tidak mempunyai rasa malu bermakna sudah hilang imannya.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Malu dan iman itu adalah teman yang seiring jalan. Jika salah satu daripadanya terangkat (tiada), nescaya terangkat (tiada) juga yang satu lagi." (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya, malu adalah sifat semula jadi diciptakan Allah SWT pada setiap insan. Ia dapat diperhatikan apabila seseorang manusia kemerahan wajahnya atau pipinya akibat malu selepas dimarahi atau melakukan sesuatu yang kurang sopan.

Ada juga manusia bermuka tebal sehingga tidak menghiraukan apa dilakukannya. Orang itu tidak mempunyai perasaan malu di sudut hatinya. Sifat malu diberi kedudukan istimewa dalam Islam.

Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesungguhnya bagi setiap agama ada tatasusilanya atau ciri-ciri istimewanya, maka untuk Islam ialah sifat malu." (Hadis riwayat Malik)

Sehubungan itu, Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam kitabnya Akhlak Muslim menjelaskan, dalam ajaran Yahudi pada zaman Nabi Musa AS ada ciri kekerasan dan dalam ajaran Masihi pada zaman Nabi Isa AS pula ada ciri kelembutan dan kelonggaran dalam kira bicaranya serta saling bermaaf-maafan.

Sementara Islam pula mempunyai sifat malu sebagai ciri keistimewaannya. Ringkasnya, sifat malu mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam sehingga dijulang sebagai satu simbol melambangkan nilai keimanan dan kesusilaan seseorang Muslim, sekali gus mengisyaratkan betapa Islam adalah agama menganjurkan umatnya berakhlak mulia dan menjauhi sama sekali segala yang keji.

Rasulullah SAW adalah teladan terbaik dalam penampilan akhlak terpuji sehingga diperakui bahawa akhlak Rasulullah SAW terjemahan menyeluruh al-Quran. Sebenarnya, Rasulullah SAW adalah seorang yang amat pemalu dalam tingkah laku sehariannya.

Diriwayatkan oleh sahabatnya, Abu Sa'id al-Khudri yang bermaksud: "Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemalu dan lebih pemalu daripada seorang anak dara dalam kelubungnya dan apabila Baginda melihat sesuatu yang tidak disukainya, nescaya kami dapat camkan yang demikian itu melalui wajahnya." (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, wajarlah setiap Muslim menghiasi dirinya dengan sifat malu kerana sifat itu lambang kesempurnaan iman seseorang kepada Allah SWT. Lebih-lebih lagi, sifat malu mampu bertindak sebagai perisai atau benteng bagi seseorang Muslim terjerumus ke lembah kehinaan.

Malah, dengan sifat malu yang bertakhta kukuh dalam sudut hati berupaya memartabatkan individu Muslim sebagai Muslim yang kental imannya, luhur budi pekertinya, berdisiplin dan disenangi semua insan.

Sebaliknya, seandainya sifat malu terhapus dan tidak bertapak dalam hati seseorang, maka ia menjadi bibit virus atau penyakit yang mampu menggugat keimanan seseorang dan akhirnya dengan mudah terjerumus ke lembah kederhakaan kepada Allah SWT.

Mungkin ini bertepatan dengan peringatan keras Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Apabila Allah SWT kehendaki untuk membinasakan seseorang hamba, akan dicabut daripadanya perasaan malu. Maka apabila dicabut daripadanya sifat malu, dia akan dibenci orang dan bila dia dibenci orang, akan dicabut daripadanya sifat amanah. Apabila dicabut daripadanya sifat amanah, maka dia didapati sebagai seorang yang khianat dan dikhianati. Jika dia berada dalam keadaan yang sedemikian, akan dicabut pula daripada hatinya perasaan rahmat dan bila ia terjadi begitu, maka dia tidak akan berada melainkan dalam keadaan yang dilaknati dan dimurkai. Bila dia dilaknati dan dimurkai, bermakna terungkailah akhirnya tambatan Islam daripadanya." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Akibatnya, berleluasa krisis sosial dan maksiat tanpa batasan dalam kehidupan manusia seperti diperhatikan dalam masyarakat hari ini. Kita melihat muda mudi tanpa segan silu bergandingan tangan dan berpelukan di khalayak ramai biarpun tidak mempunyai ikatan sah.

Malah, ada juga yang sudah terlanjur ke lembah perzinaan di mana akhirnya si gadis yang hamil terpaksa melakukan pengguguran terhadap anak yang dikandunginya secara haram.

Begitu juga, amalan rasuah yang semakin menjadi-jadi. Semuanya berpunca tidak lain tidak bukan kerana sifat malu tidak menjadi perhiasan wajib dalam diri seseorang Muslim. Pendek kata, sifat malu berupaya menghambat hawa nafsu dan menghalang daripada terjebak ke kancah kehinaan.

Saturday, April 18, 2009

Bertaubat daripada dosa jangan tunggu usia tua

Oleh Lokman Ismail

Syaitan sentiasa goda manusia lakukan maksiat jaya misi tambah penghuni mereka

MANUSIA dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah dan Islam sebagai cara hidup. Pengabdian kepada Allah meletakkan manusia sebagai hamba yang perlu sentiasa patuh kepada suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya.

Nikmat iman adalah anugerah paling besar kepada manusia. Sesiapa yang menolak cahaya keimanan, dia tidak mendapat kebaikan hidup di dunia. Firman Allah bermaksud: "Maka sesiapa yang memilih cara hidup selain Islam, Allah tidak sekali-kali menerima (agamanya) itu dan di akhirat dia dimasuk ke dalam golongan orang yang rugi." (Surah Ali-Imran, ayat 85)

Sesiapa sudah menerima nikmat keimanan, peganglah sehingga ke akhir hayat. Jangan menukar keimanan dengan kekufuran. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan sebagai seorang Islam." (Surah Ali-Imran, ayat 102)

Namun, sifat manusia tidak seperti malaikat yang tidak pernah melakukan selain perkara disuruh Allah. Dalam diri manusia ada akal dan nafsu yang mendorong melakukan kebaikan serta keburukan. Sebab itu, Allah menjanjikan balasan pahala dan dosa bagi setiap perbuatan. Allah mengetahui setiap perkara dilakukan hamba-Nya secara nyata atau bersembunyi.

Tahap keimanan manusia diumpamakan ombak yang ada tinggi dan rendahnya. Keimanan berada pada tahap tertinggi apabila banyak melakukan kebaikan dan menjauhkan kemungkaran dan begitulah sebaliknya.

Biarpun berstatuskan hamba, manusia bebas menentukan cara kehidupan diingini. Allah memberi pilihan berdasarkan kehendak manusia dan sebab itu manusia bakal menerima pembalasan atas apa dilakukan. Allah berfirman bermaksud: "Dan Kami menunjukkan kepadanya (manusia) dua jalan (jalan kebaikan dan jalan kejahatan)." (Surah al-Balad, ayat 10)

Setiap kebaikan digandakan nilai pembalasan antara 10 sehingga 700 kali. Sedangkan sesiapa melakukan kejahatan hanya dibalas dengan satu pembalasan atau diampunkan.

Sekalipun Allah tidak berhajat pertolongan daripada makhluk ciptaan-Nya, Dia memberi pembalasan sebaik-baiknya terhadap hamba yang taat. Limpah rahmat yang diberikan tidak terkira banyaknya.

Memandangkan manusia tidak lepas daripada melakukan dosa, sedangkan Allah sudah menjanjikan kebaikan pada hari akhirat, maka diberi peluang untuk menghapuskan dosa itu dengan jalan yang disebut taubat. Firman-Nya bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang melampau batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Dia juga yang mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia juga yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah az-Zumar, ayat 53) Allah menyebut mengenai sifat-Nya Maha Pengampun, bermaksud tidak ada satu pun dosa yang tidak diampunkan jika manusia memohon keampunan daripada-Nya. Firman Allah bermaksud: "Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, nescaya kamu beruntung." (Surah an-Nur, ayat 31)

Taubat boleh dilakukan sepanjang masa, paling baik selepas menyedari melakukan dosa. Jika kesalahan itu membabitkan sesama manusia, keampunan perlu dimohon kepada orang terbabit. Ketika meminta maaf perlu dilakukan dengan ikhlas kerana Allah atas kesedaran perbuatan itu satu dosa dan menyesalinya. Diharapkan perbuatan buruk itu tidak diulang, sebaliknya berusaha melakukan kebaikan untuk semua.

Taubat sebenar ialah menyedari kesalahan atau dosa diikuti penyesalan dan memohon keampunan Allah. Seterusnya, menanam sifat benci kepada perbuatan itu dan terus meninggalkannya. Hasil taubat membawa diri melakukan perbuatan baik. Taubat dipertahankan dengan sentiasa sedar dan waspada menjauhkan diri daripada kejahatan. Biarpun pintu taubat sentiasa terbuka, ia tertutup apabila ajal tiba. Jangan berlengah untuk bertaubat dan ia perlu dilakukan sepanjang masa, bukan hanya apabila usia lanjut.

Syaitan sentiasa membisikkan supaya melakukan dosa, menangguhkan taubat sehingga sampai ke akhir hayat. Syaitan sedar, sebesar mana dosa dilakukan anak Adam dan kemudian bertaubat, Allah tetap menerima taubat itu.

Bagi memastikan misi syaitan meletakkan manusia dalam neraka ialah dengan cara mengelak daripada bertaubat. Kerja jahat syaitan untuk menempatkan manusia bersamanya di neraka menjadi sia-sia jika manusia bertaubat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya, selagi roh belum sampai di kerongkong (hampir sangat dengan ajal)." (Hadis riwayat Tirmizi)

Sebagai Muslim yang yakin bertemu Allah di akhirat kelak, berusahalah meningkatkan takwa dan menghindarkan dosa supaya dihimpunkan bersama orang beriman di akhirat. Sesungguhnya hidup ini tidak hanya berakhir di dunia kerana akhirat kehidupan abadi.

Thursday, April 2, 2009

Pertimbangan iman asas hadapi dugaan

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Salleh

Umat Islam wajib percaya qada' dan qadar serta pasrah terima ujian

PASRAH atas apa yang berlaku serta menganggap setiap ketentuan Allah tersirat seribu hikmah, adalah sifat mulia dan terpuji dituntut oleh Islam. Islam mendidik umatnya sentiasa reda melakukan kebaikan dan menerima kejahatan serta ujian.

Ketetapan Ilahi adalah sesuatu yang tidak mampu ditandingi kerana sebagai hamba, kita akan sentiasa diuji untuk menambahkan keimanan dalam diri.

Daripada Suhibul Raumi berkata, sabda Rasulullah SAW, "Betapa ajaibnya orang yang beriman itu. Sesungguhnya semua perkara adalah baik bagi mereka. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin. Jika memperoleh kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya dan jika ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sebagai seorang hamba, setiap umat Islam perlu pasrah menerima hukum Allah dan penghakiman lain yang sudah ditetapkan melalui wahyu disampaikan Rasulullah SAW. Kepatuhan dan ketaatan terhadap suruhan dan larangan-Nya menunjukkan keredaan kita terhadap apa digariskan agama, apatah lagi jika kita melakukannya dengan ikhlas dan bertanggungjawab.

Sering kali kita melihat umat Islam diuji bertalu-talu, bukan diseksa, tetapi itulah tanda kasih-Nya kerana kadangkala ujian sajalah yang menjadikan seseorang itu kembali kepada-Nya, sedang waktu senang ada kalanya kita tergamak mendahulukan keseronokan dunia melebihi sepatutnya.

Ketika melalui ujian tidak tertanggung, jelas dilihat pada wajah orang beriman sifat pasrah atas suratan dan mereka pasti hikmah tersirat lebih istimewa daripada kesusahan dihadapi, justeru keyakinan terhadap kekuasaan-Nya saja yang mampu mengubat hati.

Daripada Anas, sabda Rasulullah SAW bermaksud, "Apabila Allah cinta kepada suatu kaum, mereka diuji. Barang siapa reda menerima ujian itu, Allah reda pula kepadanya. Dan barang siapa yang marah (tidak reda), maka Allah pun murka kepadanya." (Hadis riwayat Imam At-Tarmizi)

Sifat pasrah dan reda hanya dimiliki orang beriman, bukan yang munafik kerana orang yang menentang ketetapan serta suratan Allah tidak tergolong dalam golongan beriman. Contoh jelas dapat dilihat dalam mengamalkan ibadah diwajibkan kepada setiap individu Muslim seperti berpuasa dan solat lima waktu.

Sebagai penganut Islam, kita wajib berpuasa di bulan Ramadan dan ia tidak boleh diingkari. Ketaatan kepada suruhan itu dan pasrah dengan rasa lapar, dahaga, menahan diri dan anggota tubuh badan daripada perkara membatalkan puasa adalah bukti reda terhadap hukum ditetapkan.

Begitu juga perintah menunaikan solat lima waktu yang tidak dipertanggungjawabkan ke atas penganut agama lain. Perintah itu sukar dilakukan orang munafik, tetapi tidak susah untuk disempurnakan oleh umat yang sentiasa bersyukur atas nikmat dan kemewahan dianugerahkan Allah.

Tiada satu pun diminta bayaran, melainkan perintah melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya, yang juga akhirnya untuk kebaikan umat Islam itu sendiri di akhirat kelak.

Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap agama Allah dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya, dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik. Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka hanya bertujuan riak memperlihatkan sembahyangnya kepada manusia supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman dan mereka pula tidak mengingati Allah dengan mengerjakan sembahyang melainkan sedikit sekali." (Surah an-Nisaa', ayat 142)

Jelas sekali percaya kepada qada' dan qadar adalah satu tuntutan dan rukun iman ke atas setiap umat Islam. Jika tidak wajib beriman dengan qada' dan qadar, sudah tentulah manusia tidak dapat menerima ketentuan Ilahi, sebaliknya menyalahkan pelbagai perkara sehingga akhirnya kesalahan itu berbalik kepada diri sendiri.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Dari Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW: Jika engkau terkena oleh sesuatu musibah, maka janganlah engkau berkata: Andai kata saya mengerjakan begini, tentu akan menjadi begini dan begitu. Tetapi berkatalah: Ini adalah takdir Allah dan apa saja yang dikehendaki oleh-Nya tentu Dia melaksanakan-Nya, sebab sesungguhnya ucapan andai kata itu membuka pintu godaan syaitan." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Cabaran dan dugaan dilalui setiap manusia adalah frasa kehidupan yang normal dan ketika itulah manusia manfaatkan untuk membuat pertimbangan sama ada terus menghadapinya dengan cekal, berikhtiar dan berusaha menyelesaikan segala kekusutan ataupun menyalahkan takdir semata-mata.

Kepayahan mendapat jodoh yang baik, kesukaran menunaikan tanggungjawab sebagai suami, isteri, ibu dan ayah kepada anak sehingga amanah Allah itu tidak terbentuk seperti dituntut agama, tiada komitmen dalam ibadah dan sebagainya perlu dianggap sebagai ujian, bukan suratan kerana ia perlu ditentang disebabkan sifatnya bertentangan hukum Allah.

Jangan pula kita pasrah jika malas bersolat, reda jika mengamalkan rasuah dan akur jika terus seronok mengumpat, menabur fitnah dan sifat keji lain. Sebaliknya sikap itu menunjukkan kita tidak pasrah terhadap perintah Allah.

Sesungguhnya jika kita pasrah terhadap apa yang ditentukan Allah, maka kita juga akan memperoleh keredaan Allah.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Tuesday, March 31, 2009

Saranan bersegera laksana kebaikan, amalan ujian keimanan

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

SESUNGGUHNYA keimanan murni akan melahirkan amalan atau perbuatan terpuji, selari syariat Islam yang suci. Orang yang berpegang teguh pada dahan akidah yang kukuh, sentiasa berusaha untuk memperbanyak amal demi meraih keredaan Allah.

Tidak dinafikan lagi hal ini sudah menjadi tabiat semula jadi setiap individu mukmin sejati dan menjadi salah satu tanda orang beriman seperti mana wasiat Rasulullah SAW kepada Saidina Ali yang bermaksud: “Wahai Ali, orang mukmin itu ada tiga tandanya: bercepat-cepat taat kepada Allah, menjauhi segala yang haram dan berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadanya.”

Begitu juga yang pernah diungkapkan Dr Abdullah Azzam dalam bukunya Aqidah, Landasan Pokok Membina Ummat, “Semua amal dan perbuatan seseorang berasas dan berasal daripada akidah yang dianutinya dan adalah pantulan sinar keimanannya.”

Bagi orang beriman, setiap ruang, kesempatan atau peluang di sepanjang perjalanan hidupnya tetap diisi dengan amal ibadah (sama ada kecil ataupun besar), maka dilakukannya secara bersegera, berlumba-lumba, tanpa berlengah.

Sikap yang suci elok itu sebenarnya sejajar suruhan Allah yang bermaksud: “Maka berlumbalah (dalam membuat) kebaikan di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Apabila ditinjau dengan hati penuh insaf, ternyata ada segelintir masyarakat gemar memilih sikap berlengah atau berkata ‘nanti dulu’, ‘sekejap lagi’ atau ‘biarlah dulu, nanti esok’, menunda waktu dalam menyempurnakan sesuatu kerja baik sama ada bersangkutan peribadi, masyarakat mahupun tanggungjawab terhadap majikan.

Sikap suka bertangguh ini mengakibatkan kesan buruk. Kerja ditangguhkan itu lama-kelamaan akan jadi bertimbun-timbun, untuk menyelesaikannya tentu saja tidak cukup masa dan tenaga, tergopoh-gapah melakukannya dan hasilnya sudah pasti tidak sempurna atau kesudahannya akan terbengkalai.

Keadaan ini sungguh mendukacitakan sekali dan perlu segera dikikis habis-habis jangan sampai ia berakar umbi dan membudaya dalam masyarakat yang ingin maju. Orang suka bertangguh sebenarnya mencerminkan seorang manusia yang tidak menghargai nikmati masa anugerah Allah.

Masa sangat berharga kerana sedetik berlalu tidak akan berulang kembali dan tidak boleh dibeli dengan segunung intan. Manusia yang mensia-siakan waktu adalah manusia yang mendapat kerugian di dunia serta akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, melainkan orang yang beriman dan beramal soleh dan orang yang menyeru kepada kebenaran dan kesabaran.” (Surah al-‘Asr, ayat 1-3)

Nyatalah manusia yang rugi itu ialah manusia yang lalai daripada tanggungjawabnya terhadap diri, Allah, masyarakat sekelilingnya, suka melakukan perkara tidak mendatangkan faedah.

Oleh kerana berlengah itu dapat mengundang kerugian dan bahaya, maka tidak hairanlah jika Nabi Muhammad SAW menyeru umatnya tidak `membuang masa’ melakukan kebaikan atau bersegera melaksanakan kebaikan selagi ada kesempatan.

Hadis diriwayatkan Baihaqi yang bermaksud: “Pergunakanlah lima kesempatan sebelum datangnya lima kesempitan iaitu: pergunakan kesempatan sihatmu sebelum datang sakitmu; pergunakan kesempatan lapangmu sebelum datang kesempitan; pergunakan hari mudamu sebelum datang hari tuamu; pergunakan kesempatan waktu engkau kaya sebelum datang kemiskinan; pergunakan kesempatan masa hidupmu sebelum datang saat kematian.”

Apabila suka bertangguh, tentunya peluang atau kesempatan yang ada itu akan berlalu begitu saja. Kita ketinggalan dan akan mendapat kerugian besar yang tidak boleh ditebus dengan apa juga.

Oleh itu, bersegeralah membuat kebaikan kerana apa yang datang tidak dapat di duga.

Hasan Basri memberi nasihat: “Ayuh segeralah, segeralah! Sebab segala sesuatu itu tergantung dari nyawamu saja, jika ini sudah diputuskan, terputuslah pula segala amalmu. Jika demikian amalan mana lagi yang akan kau perguna untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.”

Di samping itu, orang suka menunda waktu membayangkan manusia pemalas, tidak bertanggungjawab, tidak ada wawasan untuk hidup lebih maju dan suka berfoya-foya dipengaruhi bisikan syaitan yang memang suka menghancurkan kehidupan manusia.

Jika dikaji dan teliti, memang ada beberapa rahsia mengapa Islam mengajar manusia supaya bersegera melakukan kebaikan antara lainnya ialah mendapat kedudukan pahala yang tinggi di sisi Allah.

Contohnya dalam hal solat, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Awal waktu solat itu menyebabkan reda Allah, sedang akhir waktu sebagai ampunan daripada Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Saranan bersegera melakukan pekerjaan atau amal ibadat ialah untuk menguji keimanan dan ketaatan seseorang terhadap Allah. Apabila orang itu benar-benar beriman, dia akan berlumba mempersembahkan pengabdiannya kepada Allah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Keimanan tipis, maka suruhan Allah ditunda tanpa sekelumit pun berasa takut kepada ancaman dan azab Allah.

Oleh itu, sebelum terlambat dan penyesalan menjadi sia-sia, maka seharusnya kita bersegera atau cepat bertindak melakukan kebaikan. Kita pasti diredai dan disayangi Allah seperti firman-Nya bermaksud: “Dan orang yang paling cepat pada kebaikan, mereka itu yang didekatkan pada Allah, berada dalam syurga kenikmatan.” (Surah al-Waqiah, ayat 10-12)

Tuesday, February 17, 2009

Buang bayi luar nikah bukan penyelesai masalah

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Iman, akhlak perlu ditekankan dalam pendidikan agar gejala sosial diatasi secara tuntas

MUTAKHIR ini, kita sering didedahkan dengan tragedi pembuangan bayi di tempat pembuangan sampah, semak dan kaki lima bangunan serta sesetengahnya ditemui mati. Bayi tidak berdosa itu dibungkus dengan plastik atau kain lalu dibuang tanpa ada sedikit pun rasa belas ihsan dan sifat kemanusiaan.

Pembuangan bayi itu dipercayai dilakukan insan yang tidak bertanggungjawab antaranya mungkin hasil hubungan luar nikah. Al-Quran dan Sunnah sering memperingatkan nilai hidup setiap makhluk. Kita dilarang mencabut nyawa janin termasuk haiwan kecuali atas ketentuan dibenarkan Allah. Tanpa rasa belas kasihan ibu atau pasangan terbabit sanggup membuang bayi yang dikandung.

Manusia semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan ketika bertindak. Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan hasil hubungan haram dapat dirasai secara berulang kali.

Allah berfirman dalam surah asy-Syura ayat 49-50 bermaksud: "Dia memberikan anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki atau menganugerahkan kedua-dua lelaki dan perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia juga menjadikan mandul kepada sesiapa yang dikehendaki. Sesungguhnya Dialah yang maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa."

Anak anugerah Allah yang tidak ternilai kepada pasangan harus lahir daripada ikatan perkahwinan kerana secara fitrah manusia berhajat kepada kurniaan itu.

Justeru, manusia mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga amanah Allah ini mencakupi segala keperluan fizikal, mental dan material.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila cukup umur dan mengajarnya al-Quran" (riwayat al-Hakim dan ad-Dailamy).

Realitinya isu pembuangan dan pembunuhan bayi mengingatkan kita pada zaman jahiliah apabila membunuh bayi perempuan yang dianggap memalukan keluarga.

Di manakah perikemanusiaan dan harga diri atau maruah masyarakat jika bayi tidak berdosa yang sepatutnya dibelai dengan kasih sayang dibuang begitu saja. Sedangkan haiwan sayangkan anak, inikan pula manusia yang perlu bertanggungjawab untuk memelihara zuriatnya.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Setiap suami adalah pemimpin keluarganya. Ia akan diminta bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya dia juga akan diminta untuk bertanggungjawab." (riwayat Bukhari).

Statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mendapati 65 kes buang bayi dicatat pada 2000 dan meningkat kepada 83 kes, tahun lalu. Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 22 kes (2000) dan 24 kes (2006). Daripada jumlah 83 kes itu, 79 membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan dan empat kes pembuangan janin.

Hakikatnya, pembuangan dan pembunuhan anak pada masa jahiliah moden ini bukan kerana takut miskin tetapi perbuatan keji untuk menutup malu selepas melakukan zina.

Pasangan yang dikaitkan dengan isu pembuangan bayi ini ialah mereka yang tertekan dengan keterlanjuran sehingga melahirkan bayi di luar nikah. Kegawatan sosial adalah permasalahan bersama dan memerlukan penyelesaian bersepadu, kolektif dan terancang. Strategi menanganinya memerlukan pendekatan proaktif termasuk pendekatan aspek keagamaan adalah tunjang kerohanian bagi individu Kefahaman yang tinggi dalam pegangan agama dan nilai kerohanian adalah asas pembentukan sahsiah manusia.

Agama memainkan peranan penting untuk memandu ke arah tingkah laku sesuai dengan pertimbangan dan rasional rutin hidup seharian.

Menurut Prof Dr Sidek Baba, pendidikan iman dan akhlak pada prinsipnya berasaskan dua faktor yang saling berhubung iaitu qudwah atau teladan dan pengaruh persekitaran kerana antara naluri dan kecenderungan utama anak dalam proses pembelajaran ialah keinginan untuk meniru, mencontohi dan meneladani.

Justeru, setiap anak memerlukan contoh teladan, mentor dan qudwah supaya kebaikan dan kehebatan contoh berkaitan dapat diikuti dan dihayati dalam kehidupannya.

Ibu bapa adalah model terawal dan utama dalam pembentukan iman dan akhlak anak. Bagi membolehkan ibu bapa mendidik dengan sempurna, mereka perlu berupaya serta menjadi qudwah terbaik. Mereka harus bijak mengawasi persekitaran kekeluargaan dan agar lahirnya situasi yang sihat dan cemerlang ke arah membentuk keluarga harmoni.

Seluruh lapisan masyarakat harus bersatu padu dan mengaplikasikan pelbagai pendekatan dalam menyelesai masalah gejala sosial ini. Setiap individu termasuk ibu bapa perlu peka dan memainkan peranan, khususnya dalam memastikan anak tidak terjebak dengan gejala sosial yang merosakkan masa depan mereka. Cabaran menangani gejala sosial terutama membabitkan kes pembuangan bayi harus diberi perhatian serius. Tindakan segera perlu diambil supaya terus merebak menjadi penyakit sosial sukar diubati.

Jika pada zaman jahiliah mereka membunuh antara lain kerana khuatir anak diperkosa atau berzina, maka pada masa jahiliah moden anak dibunuh kerana ibunya sendiri diperkosa atau berzina.

Kepada dua golongan wanita ini, kembalilah kepada fitrah hidup manusia yang sebenar. Jika terlanjur membuat dosa sehingga hamil tanpa ikatan perkahwinan menambahkan bilangan dosa dengan menyeksa mental dan fizikal kepada bayi yang dilahirkan dengan membuangnya bagaikan sampah-sarap. Sepatutnya sebagai warga yang hidup di dalam negara berdaulat dan pada era pasca-merdeka amat tidak wajar sama sekali ada yang terbabit dalam kes seperti ini.

Friday, October 17, 2008

Mukmin sejati sentiasa berakhlak mulia, sangat mengagumkan

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

TIDAK dapat dinafikan orang beriman, hatinya sentiasa hangat dengan ingatan lurus, rindu yang halus serta cinta tulus terhadap-Nya sepanjang detik hidupnya. Jiwanya juga padat dengan wangian rasa takjub, kagum dan gerun terhadap kekuasaan-Nya. Allah menegaskan dalam sepotong ayat yang bermaksud:

"Dan orang yang beriman itu terlebih cinta kepada Allah......" (Al-Baqarah: 165)

Cinta kepada Allah (Mahabbatullah), lahir setelah diri benar-benar mengenali Allah seperti nama-nama-Nya yang indah, segala sifat kesempurnaan-Nya dan af'al-Nya (perbuatan-Nya).

Sekurang-kurang af'al-Nya ialah penciptaan bumi dan segala isinya termasuk malaikat dan seluruh alam langit, adalah gambaran keimanan yang sangat tinggi seorang hamba terhadap Khaliq. Ibn Taimiyah mengatakan: `Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya adalah sebesar-besar kewajipan iman, sebesar-besar pokok dan setinggi-tinggi asas" Ini bermakna, orang yang hatinya terhias dengan kesucian iman, ia akan pasti terbabit dengan perasaan cinta yang tidak berbelah bagi kepada-Nya.

Orang yang cinta kepada-Nya sudah tentu dapat digambarkan sebagai seorang hamba yang taat segala perintah-Nya dan tidak pernah alpa daripada mengharapkan keredaan-Nya. Orang yang cinta kepada-Nya pasti akan dicintai-Nya sebagaimana maksud ayat:

"Katakanlah (wahai Muhammad), jika kamu cinta kepada Allah, maka turutlah akan daku, nescaya Allah (cinta) pula kepadamu dan Ia ampunkan bagi kamu dosa-dosa kamu, kerana Allah Pengampun, Penyayang. Katakanlah, hendaklah kamu taat kepada Allah dan Rasul, jika kamu berpaling, maka Allah tidak cinta kepada orang kafir" (Ali Imran: 31 - 32)

Kalau kita tanyakan kepada diri kita, adakah sekarang ini kita benar-benar cinta kepada Allah? Oleh Imam al-Ghazali pernah menjelaskan tanda mahabbatullah:

Ia ingin berjumpa dengan siapa yang dicintainya. Ibarat orang yang sedang mabuk asmara. Sepanjang masa terbayang-bayang wajah sang kekasih dan tidak sabar menunggu bilakah datangnya hari pertemuan. Begitu juga dengan Allah, dalam hatinya selalu terpasang cita-cita ingin bertemu untuk melepas rasa rindu. Walau apapun halangannya, nescaya tetap akan ditempuh."

Sanggup berkorban dengan meninggalkan apa yang disukai nafsunya, kalau hal itu bertentangan dengan perintah-Nya.

Ingatannya selalu berpaut kepada Allah dengan memperbanyak zikir, membaca kitab suci, melakukan solat fardu dengan khusyuk dan ikhlas dan pelbagai lagi amalan yang kiranya dapat mendekatkan diri kepada-Nya.

Tidak merasa berat untuk melakukan ibadah secara rutin dan teratur serta tawadduk.

Rasa kasih terhadap seluruh manusia yang taat kepada perintah-Nya, dan rasa benci terhadap perbuatan manusia yang melakukan setiap larangan-Nya.

Rela dan senang hati menerima segala ketentuan Tuhan, sekali gus dianggap sebagai ujian yang seharusnya ada dalam percintaan dengan-Nya.

Mukmin yang sebati cintanya kepada Tuhan Yang Maha Esa, terpancarlah keindahan akhlak pada dirinya, begitu menawan dan sangat mengagumkan. Mencontohi akhlak pernah ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Inilah yang dikatakan pengaruh murni dan natijah daripada gelombang mahabbatuliah yang menguasai jiwa seseorang mukmin. Keadaan ini boleh menghantar manusia kepada sifat adil terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, Rasul dan juga Allah. Allah sangat mengasihi orang yang bersifat adil seperti maksud sepotong ayat yang berbunyi: "Hendak kamu berlaku adil. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berlaku adil." ( Al-Hujurat: 9)

Di samping itu selalu terdorong untuk berbuat baik, bukan saja kepada dirinya sendiri, manusia lain (Muslim atau bukan Muslim) bahkan juga terhadap makhluk Allah lain, seperti terhadap haiwan dan alam sekitar.

Sudah menjadi lumrah, orang yang cinta kepada Allah didapati suka bertawakal kepada-Nya untuk menunjukkan rasa hina, rendah diri dan tidak mempunyai daya upaya, kerana dia tahu dan sangat meyakini bahawa manusia hanya mampu merancang dan berusaha, sementara yang menentukan berjaya tidaknya adalah Allah.

Oleh itu, demi mendapat keredaan-Nya dan meraih keselamatan dan kebahagiaan di dunia serta di akhirat, maka sebagai seorang hamba yang beriman kita hendaklah berusaha memupuk rasa mahabah terhadap Allah.

Wednesday, October 15, 2008

Penyakit uji keimanan, kesabaran manusia

Oleh Aminudin Mansor


PESAKIT yang dikunjungi pelawat akan berasa gembira dan tenang dan secara tak langsung meringan beban ditanggung. - Gambar hiasan


Umat Islam digalak ziarah, hulur bantuan ringankan beban orang sakit

SETIAP penyakit yang didatangkan Allah kepada kita umat Islam semuanya adalah ujian terhadap keimanan kita kepada-Nya. Ujian itu sama ada besar atau kecil bertujuan menghapuskan dosa jika kita bersabar.

Semua penyakit yang didatangkan Allah mempunyai ubat kecuali penyakit tua dan mati atau sampai ajal seseorang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mereka bertanya: Ya Rasulullah, apakah kami berubat? Baginda menjawab; Ya Wahai hamba Allah, sesungguhnya Allah meletakkan penyakit dan diletakkan pula penyembuhannya, kecuali satu penyakit iaitu penyakit ketuaan." – (Riwayat Abu Sunnah)

Sementara itu, Allah juga memberi ganjaran kepada orang yang menziarahi orang sakit. Daripada Thauban, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang menziarahi orang sakit sentiasa berpeluang 'memungut' ganjaran dari syurga sehinggalah ia pulang." – (Hadis riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa mengunjungi orang sakit atau menziarahi saudaranya yang seagama, maka memanggil akan dia oleh malaikat: Baik engkau dan baik perjalanan engkau dan sesungguhnya engkau telah menempatkan dalam syurga suatu tempat yang baik."

Dalam keadaan pesakit terlantar di katil hospital atau rumah, mereka akan rasa dihormati jika ada saudaranya, kaum kerabatnya dan kawan serta kenalannya datang menziarah. Kunjungan itu akan mengurangkan bebanan perasaan serta mengurangkan rasa sakitnya.

Tetapi seandainya tidak ada keluarga dan kawan menziarahi, dia akan berasa terasing, sedih dan pilu. Ini akan menambahkan lagi bebanan rasa sakitnya. Oleh itu, menziarahi orang sakit sangat digalakkan oleh Islam.

Cegahlah segala penyakit, sebab itu lebih utama daripada mengubatinya. Dalam kehidupan umat Islam, sesudah nikmat iman, tidak ada pemberian Allah yang lebih baik daripada nikmat kesihatan.

Oleh itu, jika menghidap penyakit segeralah diubati supaya tidak melarat dan mendatangkan lebih banyak mudarat.

Jangan sesekali meminta kepada orang biasa atau dukun pengamal mistik yang mengaku mempunyai ilmu ghaib. Barang siapa mendatangi mereka maka Allah tidak akan menerima sembahyangnya selama 40 hari.

Sementara itu, jangan berubat dengan benda haram, misalnya alkohol, binatang atau benda lain yang diharamkan Allah kerana Allah yang menciptakan penyakit tidak menjadikan yang haram sebagai penyembuh.

Uthman bin Abu al-Ass mengadu kepada Rasulullah SAW akan kesakitan dirasai pada jasadnya sejak ia memeluk Islam, lalu Rasulullah SAW bersabda kepadanya: "Letakkan tangan engkau pada bahagian jasad yang engkau merasai sakit dan katakanlah: Dengan nama Allah, sebanyak tiga kali, kemudian katakanlah sebanyak tujuh kali: Aku mohon berlindung dengan Allah dan kekuasaan-Nya daripada keburukan yang aku dapat dan aku berwaspada." – (Hadis riwayat Muslim)

Sementara itu, Rasulullah SAW juga mengajar doa menziarahi orang sakit. Daripada Ibnu Abbas, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang menziarahi pesakit yang belum tiba saat kematiannya, lalu ia berkata di sisinya, sebanyak tujuh kali: Aku bermohon kepada Allah Yang Maha Besar, Tuhan 'Arasy yang Agung, agar menyembuhkan engkau. Nescaya Allah akan menyelamatkannya daripada penyakit itu." – (Hadis riwayat Abu Daud)

Jelaslah sakit dan penyakit adalah ujian Tuhan kepada hambanya. Setiap orang akan merasa sakit sama ada sakit berat atau ringan. Setiap penyakit ada ubatnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah tidak menurunkan suatu penyakit melainkan Allah menurunkan penyembuhan untuknya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Apabila anda sedang sakit, bersabar dan bertawakal sambil berikhtiar untuk berubat. Penyakit datang dengan tiba-tiba, sedangkan penyembuhannya memerlukan waktu yang lama. Harus diingat, doktor hanya mampu mengubati sedangkan yang menyembuhkan adalah Allah.

Bagi mengelakkan penyakit, selalu bersenam, jangan makan terlalu kenyang ini kerana terlalu banyak makan mengakibatkan timbulnya penyakit jantung, darah tinggi, hati dan paras kolesterol tinggi.

Umat Islam juga diingatkan mengelakkan penyakit yang mengaibkan dan berbahaya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan segala penyakit yang berbahaya."

Dan dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada mati sebab jatuh ke dalam telaga, mati akibat runtuhan, tenggelam, kebakaran dan aku berlindung daripada dibinasakan oleh syaitan ketika hendak mati, aku berlindung kepada-Mu, dan aku berlindung daripada mati kerana sengatan binatang yang bisa." – (Hadis riwayat al-Nasai dan al-Hakim)

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW sebagai seorang rasul memang dipelihara Allah daripada sebarang penyakit jelik. Bahkan Baginda mengingatkan kepada umatnya supaya berusaha mengelakkan dan menjauhi penyakit yang mengaibkan dan perkara buruk lain.

Sakit adalah takdir Allah yang menimpa kepada sesiapa dikehendakinya. Tidak ada orang yang meminta untuk mendapat penyakit. Tetapi apabila penyakit menimpa, maka hendaklah kita bersabar menerima takdir Allah dan berusaha supaya disembuhkan daripada penyakit itu.

Tuesday, September 23, 2008

Perspektif Ikim: Muhasabah diri untuk mengukur kekuatan iman

Oleh Wan Roslili Abd Majid

Ramadan ajar umat memberi maaf, jernihkan hubungan elak sengketa bawa kehancuran RAMADAN kini berada pada 10 terakhir. Bagi mereka yang melaksanakan ibadah puasa dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan mengharapkan keredaan Allah pastilah saat akhir ini menjadikan mereka lebih bersemangat menggandakan amal salih dan kebajikan.

Semua dengan tujuan bagi mencapai matlamat ibadah puasa disyariatkan, iaitu menjadi insan lebih bertakwa. Sehubungan itu, dalam usaha mencapai tahap berkenaan memerlukan hidayah serta petunjuk daripada al-Quran yang diturunkan pada Ramadan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya daripada Allah dan kesempurnaannya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 2)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Bidayah al-Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah) menegaskan bahawa permulaan jalan hidayah ialah ketakwaan zahir dan kesudahan jalan hidayah adalah ketakwaan batin.

Katanya, petunjuk hanya akan diperoleh oleh orang yang berusaha menyediakan dirinya supaya menjadi orang bertakwa. Beliau menjelaskan ketakwaan terbahagi kepada dua bahagian iaitu melaksanakan segala perintah Allah dan kedua, meninggalkan larangan-Nya.

Selepas berlalunya bahagian pertama dan kedua Ramadan, wajarlah kita bermuhasabah sama ada sudah benar-benar berusaha mencapai matlamat melaksanakan ibadah puasa, iaitu bagi menyemai ketakwaan dalam diri atau sebaliknya.

Ibadah puasa hanya dilaksanakan sebagai amalan menahan lapar serta dahaga bermula dengan terbit fajar sehingga terbenamnya matahari dan tidak lebih daripada itu. Jika itu keadaannya, maka jadilah kita sebagai sebahagian daripada orang yang rugi dan tercela.

Maka sesudah berlalunya Ramadan kelak, tiada sebarang peningkatan dicapai dalam jalinan hubungan dan ketaatan terhadap Allah. Ada satu kaedah dalam Islam yang menyatakan, "Apa yang tidak dapat dilakukan keseluruhannya maka usahlah ditinggalkan keseluruhannya."

Kita tidak akan dicela jika tidak dapat mencapai peringkat ketakwaan tertinggi tetapi kita dicela kerana tidak melakukan sebarang usaha, sedangkan kita masih berkemampuan.

Selain bermuhasabah mengenai hubungan dengan Allah, ketaatan dan ketakwaan terhadap-Nya, kita juga wajar menilai sejauh mana ibadah puasa dilaksanakan dapat mendorong untuk sentiasa memperbaiki serta mengukuhkan hubungan sesama manusia, iaitu salah satu sifat dan ciri utama golongan bertakwa.

Justeru, hitung dan nilailah sama ada kekusutan dan perbalahan yang mungkin berlaku sudah dileraikan. Atau sebaliknya, sehingga saat ini kita masih belum bertegur sapa dan bersedia memaafkan ahli keluarga, rakan sekerja, sahabat-handai dan jiran tetangga.

Amat malang bagi kita jika pada bulan yang menjanjikan keampunan Allah ini, kita pula masih bersengketa dan bermusuhan serta tidak bersedia untuk saling memaafkan antara satu dengan lain. Padahal kita cukup menyedari bahawa kesepakatan, perpaduan dan kesatuan amat penting bagi kemajuan, keutuhan serta kesejahteraan ummah.

Sebaliknya, perbalahan dan persengketaan hanya merugikan selain mengakibatkan kehancuran serta kemusnahan. Al-Quran merakamkan pujian terhadap orang yang lebih suka memaafkan dan menjernihkan hubungan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan ingatlah, Allah mengasihi orang yang melakukan perkara baik." (Surah Ali-Imran, ayat 133)

Sementara hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta dan tidaklah Allah menambahkan bagi hamba yang suka memaafkan (kesilapan orang lain) melainkan kemuliaan, dan tidaklah seseorang itu tunduk tawaduk kepada Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya."

Al-Quran menggariskan peranan penting itu kerana ia akhirnya dapat mengelakkan kezaliman terhadap salah satu pihak dan menyatukan kembali kedua-duanya.

Dalam hubungan ini, tindakan al-Hasan bin Ali bagi mengelakkan perpecahan dan pertumpahan darah umat Islam terus berlaku, wajar dijadikan iktibar. Selepas Ali meninggal dunia, penyokong beliau terus memberikan bai'ah kepada puteranya, al-Hasan.

Penyokong itu mahu meneruskan niat mereka untuk membunuh Mu'awiyah namun dibantah oleh al-Hasan. Sebaliknya al-Hasan mengutus surat perdamaian kepada Mu'awiyah yang diterima oleh Mu'awiyah dengan perasaan gembira tidak terkira.

Lantas, Mu'awiyah berangkat ke Kufah pada Rabiul Awal 41 hijrah iaitu selepas enam bulan al-Hasan menjalankan tugas sebagai khalifah. Al-Hasan dan al-Husain memberikan bai'ah kepadanya dan langkah itu dituruti seluruh umat Islam. Dengan demikian, tertegaklah Kerajaan Umayyah secara rasmi dan Mu'awiyah menjadi khalifah bagi umat Islam keseluruhannya.

Umat Islam gembira dengan perdamaian yang dapat diwujudkan dan mereka bersyukur kerana segala bentuk fitnah serta pertumpahan darah dapat dihentikan serta-merta. Mereka menamai tahun itu sebagai 'Tahun Penyatuan'.

Sesungguhnya usaha mulia al-Hasan meninggalkan kesan yang baik terhadap keseluruhan umat Islam. Majoriti ulama' Ahli-Sunnah memuji tindakan yang diambil al-Hasan sehingga berjaya menyatukan kembali umat Islam yang dilanda persengketaan, kebencian dan permusuhan.

Mereka juga menegaskan bahawa tindakannya itu menegaskan lagi kenabian datuknya, Muhammad SAW yang bersabda, "Anak (cucu)ku ini adalah penghulu, semoga Allah mendamaikan melaluinya dua buah kumpulan yang besar daripada kalangan umat Islam."

Penulis ialah pegawai penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia

Sunday, September 14, 2008

Lemah iman punca umat Nabi Musa paling tadah

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian,com.my

LOKASI sebenar berlaku peristiwa turunnya kitab Taurat kepada Nabi Musa tidak diketahui dengan jelas tetapi pendapat menyatakan ia berlaku di Bukit Thur Sina. Pendapat itu boleh diterima kerana al-Quran tidak menamakan lokasinya.

Selepas genap 40 hari berpuasa, berangkatlah Nabi Musa bersama 70 pengikutnya yang terpilih menuju ke puncak Jabal Musa.

Ketika peristiwa Isra' Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan Allah beberapa umat terdahulu. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Aku melihat seorang nabi bersama sekelompok kecil umatnya, ada juga nabi yang disertai seorang atau dua dan ada pula nabi yang tidak disertai seorang pun. Tiba-tiba ditunjukkan padaku kelompok yang besar, aku menyangka mereka adalah umatku. Tetapi dijelaskan, ini adalah Nabi Musa dan kaum Bani Israel." (Hadis riwayat Muslim)

Ketika bermunajat, Nabi Musa berkata: "Ya Tuhanku, nampakkanlah zat-Mu kepadaku supaya aku dapat melihat-Mu." Allah berfirman yang bermaksud: "Engkau tidak akan sanggup melihat-Ku, tetapi cuba lihat bukit itu. Jika ia tetap berdiri tegak di tempatnya seperti sedia kala, maka nescaya engkau dapat melihat-Ku."

Musa terus memandang ke arah bukit yang dimaksudkan itu dan dengan tiba-tiba bukit itu hancur hingga masuk ke perut bumi, tanpa meninggalkan bekasnya. Musa terperanjat dan gementar seluruh tubuh lalu pengsan.

Apabila sedar, Nabi Musa terus bertasbih dan memuji Allah, sambil berkata: "Maha besarlah Engkau ya Tuhan, ampuni aku dan terimalah taubatku dan aku akan menjadi orang pertama beriman kepada-Mu."

Ketika bermunajat, Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa. Menurut ahli tafsir, kitab itu berbentuk kepingan batu atau kayu, namun padanya terperinci segala panduan ke jalan diredai Allah.

Sepeninggalan Baginda, Nabi Harun ditugaskan untuk memimpin Bani Israel yang ditinggalkan buat sementara waktu. Bagaimanapun sikap taat kepada pemimpin yang menjadi kunci perpaduan ummah musnah akibat sikap seorang pemuda bernama Samiri yang gilakan kuasa.

Samiri berjaya menghasut pengikut Nabi Musa yang tinggal sementara Baginda bermunajat menyebabkan mereka yang belum teguh imannya mudah terpengaruh lalu kembali menyembah patung anak lembu yang dibuat daripada emas milik golongan wanita yang dikumpulkan.

Perbuatan mereka itu ditegur Nabi Harun tetapi dijawab mereka yang termakan hasutan Samiri dengan kata-kata: "Kami akan tetap berpegang kepada anak lembu ini sebagai tuhan persembahan kami sampai Musa kembali ke tengah-tengah kami."

Nabi Harun tidak dapat bertindak tegas terhadap kaum yang murtad kerana bimbang akan berlaku perpecahan hingga boleh menimbulkan keadaan lebih rumit bagi Baginda dan Nabi Musa untuk mencari jalan keluar kelak.

Nabi Harun hanya memberi peringatan dan nasihat kepada mereka sambil menanti kedatangan Nabi Musa kembali dari Thur Sina.

Nabi Musa marah dan sedih hati tatkala sekembalinya dan melihat kaumnya sedang berpesta mengelilingi anak patung lembu emas, menyembahnya dan memujinya.

Nabi Musa bertanya Samiri, seperti diceritakan dalam al-Quran yang bermaksud: "Berkata Musa; apakah yang mendorongmu berbuat demikian Samiri? Samiri menjawab: Aku mengetahui sesuatu yang mereka tidak mengetahuinya, maka aku ambil segenggam tanah (bekas tapak Jibril) lalu aku masukkan dalam patung anak sapi itu. Demikianlah aku menuruti dorongan nafsuku."

Kemudian Nabi Musa berkata: "Pergilah kamu dan pengikutmu daripadaku, patung anak sapi itu akan aku bakar dan lemparkannya ke laut, sesungguhnya engkau akan mendapat seksa."

Thursday, September 4, 2008

Tenang hadapi musibah, sentiasa bersyukur tanda beriman

DARIPADA Abi Yahya Shuhaib bin Sinan berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sungguh baik nasib orang yang beriman kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tidak ada habuan baik seperti ini kecuali bagi mereka yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka ia akan bersyukur, maka syukur itu baik baginya. Dan apabila ditimpa musibah maka ia bersabar, maka sabar itu baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)

Jelaslah orang mukmin adalah orang yang bertuah dalam kehidupannya, walaupun terpaksa berhadapan pelbagai ujian. Namun, umat Islam bersabar dengan keadaan yang menimpa berbekalkan kekuatan iman untuk menangani masalah dengan tenang.

Kepuasan hidup dan ketenangan jiwa hanya dinikmati orang yang benar-benar beriman. Dalam apa juga keadaan pun hatinya tenang menghadapi masalah dan musibah.

Sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah, apabila ia berada dalam kenikmatan dan kesenangan, ia akan bersyukur dan menggunakan nikmat itu untuk mencari keredaan Allah baik bagi dirinya atau orang lain.

Ali bin Abu Thalib berkata, “Iman itu dibina di atas empat sendi iaitu keyakinan, kesabaran, perjuangan dan keadilan.”

Justeru, iman penting dalam hati dan diri umat Islam. Sebagai ujian apabila mereka dalam kemiskinan atau kesusahan, akan sabar menerima takdir Allah dengan hati yang lapang. Ia memahami dunia adalah tempat ujian dan kesusahan, akhirat tempat kebahagiaan sebenar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Iman terbahagi kepada dua, separuh dalam sabar dan separuh dalam syukur.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Iman yang paling afdal ialah apabila kamu mengetahui bahawa Allah selalu menyertaimu di mana pun kamu berada.” (Hadis riwayat Ath Tabrani)

Bagaimanapun, orang yang tidak beriman yang berada dalam keadaan kenikmatan dan kesenangan akan lupa daratan serta tidak bersyukur kepada Allah. Apabila berada dalam keadaan fakir dan miskin serta kesusahan ia bertindak liar serta tidak dapat mengawal dirinya.

Kesimpulannya, iman dan takwa akan membina peribadi mulia dalam diri seseorang. Iman memberi kita semangat bagi menghadapi masa hadapan dengan penuh cabaran.

Sunday, August 31, 2008

Persoalan Agama: Muslim perlu berusaha tingkatkan keimanan

Bersama Jakim

ALHAMDULILLAH, sejak baligh, saya tidak pernah meninggalkan solat. Ibu bapa saya amat menekankan mengenai tanggungjawab ini. Bagaimanakah cara mengenali Allah SWT dengan lebih dekat agar pegangan saya terhadap agama kekal mantap hingga ke akhir hayat.

AhmadSyarifKamaruddin,
Kangar, Perlis

Solat adalah tiang agama iaitu penghubung antara manusia dengan Pencipta-Nya iaitu Allah SWT secara langsung melalui niat, perkataan dan perbuatan. Oleh itu sesiapa yang menjaga solat maka Insya-Allah seluruh kehidupannya akan terjaga daripada melakukan perkara tercela kerana firman Allah bermaksud "Sesungguhnya solat mencegah daripada perbuatan yang keji dan kemungkaran." (al- Ankabut 29: 45)

Iman manusia boleh bertambah dan berkurang. Oleh yang demikian kita sebagai manusia perlu berusaha mengekalkan dan meningkat keimanan dan amal perbuatan.

Sehubungan itu cara mengenali Allah dengan lebih dekat dari semasa ke semasa di sepanjang kehidupan, agar pegangan agama semakin mantap ialah melalui empat perkara iaitu pertama memfokuskan akal agar berfikir dengan baik seraya mengambil kira keadaan persekitaran bagi melahirkan idea dan tindakan yang terbaik kerana akal adalah kurniaan Allah SWT yang amat berharga buat manusia.

Kedua, meningkatkan ilmu pengetahuan, tetapi perlu ditegaskan akal dan ilmu bukan faktor utama kelahiran iman.

Ketiga, membaja perasaan wujdan (naluri kerinduan dan kecintaan kepada Allah SWT) kerana perasaan percaya kepada ketuhanan dan berharap bantuan yang Maha Kuasa dalam kehidupan, lebih-lebih lagi ketika menghadapi kesusahan; sebenarnya adalah fitrah atau naluri hati manusia. Maka dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.

Keempat, akal, ilmu dan wujdan sekadar menghantar seseorang di hadapan pintu iman dan aqidah. Wahyu dan al-Quran yang membimbing manusia menjalani kehidupan penuh keimanan. Allah mengutuskan Rasul untuk membimbing manusia ke jalan yang benar malahan semua Rasul sejak Nabi Adam hingga ke Nabi Muhammad SAW membawa risalah tauhid yang sama iaitu mengesakan Allah SWT dan menyeru ke arah kebaikan.

Wednesday, August 27, 2008

Manusia sukar nikmati bahagia selagi keimanan belum mantap

Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad

Tokoh tersohor akui jalan kebenaran perlu bermula dengan hati tulus

SEMUA orang inginkan kebahagiaan dalam apa juga perkara di dunia ini. Buddhisme mengemukakan teori kebahagiaan antaranya melalui persiapan untuk semadi dengan jalan lurus, cinta kepada kebenaran, kehalusan dan tulus hati.

Aristotle pula memandang kebahagiaan sebagai sesuatu yang tertinggi dalam penghidupan. Formula kebahagiaan menurut Aristotle ialah harus memiliki harta secukupnya, membina persahabatan dan menegak keadilan. Beliau berkata: "Kebaikan bukan untuk kebaikan, melainkan kebaikan untuk merasai kebahagiaan."

Sesuai pula dengan pandangan tiga kelompok Pithagoras, Socrates dan Aristotle bahawa bahagia itu terbentuk daripada empat sifat utama iaitu, hikmah, keberanian, kehormatan dan keadilan.

Seorang pujangga Russia yang terkenal dan berpengaruh sebelum pemerintahan komunis di Kesatuan Soviet iaitu Leo Tolstoy pernah mengutarakan mengenai kebahagiaan. Katanya: "Ada pun kebahagiaan yang sejati ialah mencintai sesama manusia seperti mana mencintai diri sendiri maka amanlah dunia teraturlah pergaulan hidup, tersebarlah perdamaian dan tersingkirlah perbalahan hingga semua orang berasa dirinya untuk kepentingan masyarakat."

Sesetengah orang menganggap kebahagiaan itu adalah kepuasan hidup. Winano Surachmad dan Prof R Murray Thomas juga pernah menukilkan: "Seseorang yang memiliki kemampuan, keterampilan dan kesempatan untuk memenuhi keinginannya, penghargaan, jaminan dari bahaya dan lain-lain adalah manusia yang berbahagia."

Ada juga sesetengahnya menganggap kebahagiaan itu terletak pada kewibawaan, pangkat, kedudukan dan nama yang tersohor. Namun walau apapun yang dicetuskan, kebahagiaan masih tetap menjadi suatu pencarian.

Pujangga pernah berkata: "Orang yang mencapai kebahagiaan sebenarnya ialah orang yang mempunyai keperibadian kuat, selalu berusaha mencapai tujuan tertentu yang mulia dan dorongannya tidak bertentangan dengan kemanusiaan."

Berkata juga Imam al-Ghazali: "Menempuh jalan menuju kebahagiaan adalah kemantapan hati orang yang cerdik, sedangkan meremehkan kebahagiaan adalah kelalaian orang bodoh."

Sebenarnya, fitrah dan kecenderungan manusia yang diciptakan Allah SWT ialah untuk mencari kebahagiaan dan menikmati ketenangan hidup. Namun ia tidak mungkin tercapai tanpa iman.

Firman Allah yang bermaksud: "Lantaran itu, bukankah tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mengadakan pendustaan atas nama Allah atau mendustakan ayat-Nya? Sesungguhnya tidaklah akan berbahagia orang yang berdosa." (Surah Yunus, ayat 17)

Jelaslah, iman sebagai faktor utama yang memungkinkan seseorang itu berbahagia seperti tersurat dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya berbahagialah orang yang beriman." (Surah al-Mukminun, ayat 1)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Mereka berbahagia, bergirang hati kerana memperoleh nikmat dan kurnia dari Allah dan kerana sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan ganjaran orang beriman." (Surah ali-Imran, ayat 171)

Iman adalah sebagai permata yang dirasakan nikmat paling agung, kerana itulah jaminan kebahagiaan, ketenangan jiwa dan ketenteraman dalam hidup. Sebaliknya orang yang hati kusut dan kacau akan kehilangan arah tujuan.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Orang beriman itu tenteram hati mereka lantaran ingat kepada Allah. Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu mententeramkan jiwa." (Surah al-Ra'ad, ayat 28)

Salah satu faktor pembangunan kebahagiaan ialah apabila diperdengarkan ayat dan keterangan Allah SWT maka bertambah keimanan serta ketakwaan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah takutlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-Nya kian bertambah iman mereka, dan kepada Tuhan mereka berserah diri." (Surah al-Anfal, ayat 2)

Kebahagiaan mukmin sebenarnya meliputi dua alam iaitu kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kebahagiaan bukan hanya pada kepuasan hidup atau harta, pangkat dan kedudukan yang hanya bersifat sementara tetapi suatu kenikmatan kebahagiaan bersifat kekal abadi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Orang beriman dan beramal soleh adalah kebahagiaan bagi mereka dan tempat kembali yang baik." (Surah ar-Ra'ad, ayat 97)

Kebahagiaan juga bukan hanya berpangkalan pada iman, juga kebahagiaan masyarakat seluruhnya. Kesejahteraan dan kebahagiaan negara akan wujud sempurna jika ditegakkan atas prinsip keimanan. Sebaliknya, jika penduduk negeri itu ingkar dan tidak mengendahkan nilai keimanan, maka akan hilang kemakmuran dan kebahagiaan itu.

Hayati janji Allah SWT dalam firman yang bermaksud: "Allah berjanji kepada mukmin lelaki dan wanita akan menganugerahkan mereka syurga yang mengalir padanya sungai, kekal di dalamnya dan tempat yang baik dalam syurga yang kekal sedang keredaan dari Allah adalah lebih besar, demikian itu adalah suatu kebahagiaan yang besar." (Surah at-Taubah, ayat 72).

Tuesday, August 26, 2008

Tajdid Iman: Roh Islam hidupkan semangat lawan penjajah

Oleh Dr Juanda Jaya


PERJUANGAN: Islam janjikan kemuliaan kepada sesiapa berjuang menegakkan yang hak dan menentang kezaliman. - Gambar hiasan
Sejarah buktikan perjuangan tegak kedaulatan agama, bangsa dipelopori ulama
KETIKA memperingati Hari Kebangsaan, kita perlu merenung sambil cuba menjelajah sejarah yang menumpahkan darah syuhada bangsa. Apakah yang menguatkan azam dan keberanian jiwa mereka menentang penjajah.

Agaknya ada sesuatu yang amat besar mampu melahirkan semangat kepahlawanan dalam diri syuhada. Roh Islamlah sebenarnya berperanan menghidupkan jiwa mereka menentang kolonialisme. Islam yang menjanjikan kemuliaan kepada sesiapa berjuang menegakkan yang hak.

Data sejarah merakamkan gerakan antipenjajahan British yang dipelopori ulama sama ada di Sarawak, Melaka, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Catatan sejarah menyatakan pada 17 Ogos 1844, Sharif Sahab, Sharif Mashor, Datu Patinggi Ali, Datu Patinggi Imam Abdul Gafur, Imam Masjid Besar Sarawak yang pertama bersama penduduk tempatan dari kalangan Dayak melakukan penentangan bersenjata secara serentak terhadap penjajahan Brooke di Sarawak.

Akibat pertempuran itu, Datu Patinggi Ali gugur dalam Pertempuran Beting Maru, manakala Sharif Mashor yang gigih menentang penjajah akhirnya dibuang negeri ke Singapura. (Zaini Ahmad, Rakis 1978)

Pada 1895, di Pahang muncul Datuk Bahaman yang disokong Tok Ku Paloh dari Terengganu mengisytiharkan perang jihad menentang British. Pada awal abad ke-20, muncul pula Tok Janggut Mat Hasan di Kelantan.

Pada 1922, Abdul Rahman Limbong memimpin gerakan Islam menentang British di Terengganu bersama rakan beliau seperti Musa Abdul Ghani. Hasil daripada kesedaran serta semangat kebangsaan dan keIslaman orang Melayu, maka lahirlah parti politik seperti Hizbul Muslimin, Umno dan Pas pada pertengahan abad ke-20.

Walaupun antara parti politik ini ada perbezaan dari segi strategi dan taktik perjuangan, matlamat yang dituju adalah satu iaitu membela kedaulatan agama Islam dan Melayu. (Mahayudin Haji Yahya, Islam di Alam Melayu 1998)

Prof Dr Hamka yang mengkaji gerakan ulama di Nusantara mengabadikan nama besar pahlawan Islam di serata Kepulauan Indonesia. Antara yang beliau sebutkan ialah Sultan Iskandar Muda di Acheh, Sultan Agung Tirtayasa di Banten, Sultan Agung Hanyotokusumo di Mataram, Sultan Hasanudin di Makasar, Raja Haji di Bugis, Raja Muda di Riau, Diponegoro memimpin tanah Jawa, Teuku Imam Bonjol, Pattimura di Ambon dan gurunya Said Partintah dari Saparua, seorang berketurunan Arab. (Hamka, Dari hati ke hati, tentang Agama, Sosial, Budaya dan Politik 2002)

Semua pahlawan negara itu menjadikan ajaran Islam sebagai pedoman dalam gerakan dan perjuangannya. Patutkah kita melupakan jasa ulama di Alam Melayu Nusantara ini? Alangkah lemahnya pandangan mata hati yang tidak mahu mengakui bahawa roh Islamlah sebenarnya yang menggerakkan perjuangan mereka.

Menerusi semangat al-Quran mereka menggenggam semangat jihad hingga mencapai kemerdekaan. Firman Allah yang bermaksud: "Dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya seperti mana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah berserta orang yang bertakwa." (Surah Al-Taubah, ayat 36)

Kerana iman kepada Allah mereka memperjuangkan agama dan bangsa, seperti maksud firman-Nya: "Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui." (Surah Al-Taubah, ayat 41)

Mereka percaya dengan janji Allah bagi sesiapa memperjuangkan agamanya adalah nikmat syurga yang kekal abadi seperti dimaktubkan dalam ayat al-Quran yang bermaksud: "Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya) dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang beriman." (Surah Al-Saf, ayat 10-13)

Jelas terpancar semangat Islam itulah yang membangkitkan pahlawan bangsa kita. Begitu pula sebaliknya, penjajah yang datang dari barat dipengaruhi semangat salibiyyah di samping faktor politik dan ekonomi.

Hal ini dibongkar oleh Hamka melalui buku sejarah yang ditulis K M Panikkar bertajuk Asia and Western Dominant. Ketika Panglima Perang Portugis Alfonso d'Albuquerque mahu menyerang Melaka yang menjadi pertahanan Islam kuat ketika itu, dia mengobarkan semangat juang tenteranya dengan pidatonya yang terkenal: "Adalah suatu pemujaan dan persembahan ibadat yang amat suci dari kita untuk Tuhan dengan mengusir dan menghakis habis orang Arab dari negeri ini, dan dengan menghembus padam pelita pengikut Muhammad sehingga tidak ada lagi cahayanya di sini buat selama-lamanya. Apabila perniagaan di Melaka ini kita rampas daripada tangan orang Islam, maka habislah masa depan Kaherah dan Makkah, dan Vanesia tidak akan dapat lagi berniaga rempah kalau tidak berhubungan dengan Portugis."

Sejarah Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan selama-lamanya. Orientalis dan negarawan pelopor imperialisme terkenal akhir abad ke-19, Gladstone (1809-1898) pernah mengungkapkan kesulitan penjajah menguasai negeri Islam.

Sambil memegang al-Quran dalam House of Common, beliau berkata: "Selama kitab ini masih dibaca orang Islam, selama itu mereka masih melawan kita."

Betapa dekatnya Islam dan bangsa Melayu, abadi selama-lamanya menjadi kekuatan yang terbukti boleh menentang sesiapa yang mahu mempermainkan ketinggian maruah mereka. Perkataan Gladstone menjadi bukti bahawa kekuatan Melayu berpunca daripada keyakinan mereka terhadap agamanya, Islam.

Kita sudah merdeka dan kekal dengan semangat 'Islam dan Melayu' yang takkan hilang ditelan zaman. Namun akhir-akhir ini kita dikejutkan oleh usaha pengkhianat bangsa yang mahu meruntuhkan jiwa bangsa, menghisap kasih sayang dan toleransi dari darah daging generasi baru.

Mereka berusaha meracuni pemikiran generasi baru dengan sentimen ras dan warna kulit berbeza padahal gerakan ini nyata membawa agenda politik tertentu. Perlu difahami bahawa kolonialisme zaman sekarang tidak jauh beza dengan nenek moyang mereka dulu.

Hanya yang sekarang menggunakan taktik membonceng di belakang tali barut berasal dari negara yang dijajah. Mencipta suasana tegang antara suku kaum adalah siasat dan muslihat basi yang agaknya mahu diguna pakai kembali saat ini.

Bukankah penjajah dulu menggunakan taktik pecah dan perintah? Yang menjadi mangsa bukan hanya umat Islam dan orang Melayu, bahkan kaum minoriti lain ikut terbabit kerana kemajuan ekonomi dan pembangunan boleh terjejas dengan isu keselamatan negara. Akhirnya kita akur, kesan penjajahan itu tak boleh dihapuskan, taktik dan muslihat mereka lebih canggih daripada dulu.

Transformasi budaya berunsur negatif sedikit sebanyak menghilangkan jatidiri generasi baru bangsa ini. Bukankah ramai anak muda yang malu mengaku Melayu dan Muslim dalam bergaya, berekspresi dan bergerak dalam percaturan dunia?

Nenek moyang kita amat kuat pegangan agamanya, merekalah yang memperjuangkan kemerdekaan ini. Jangan dilupa, Islamlah yang menggerakkan perjuangan merebut kemerdekaan. Mengapa mahu dihapuskan kemuliaan Islam dalam perjuangan kita hari ini? Hamka pernah mencoretkan pesanan: "Melayu tanpa Islam, hilang 'me'-nya, tinggal layu saja".