Showing posts with label JAKIM. Show all posts
Showing posts with label JAKIM. Show all posts

Saturday, December 5, 2009

Jakim anjur Ekspedisi Kasih sempena Aidiladha

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


BERAMAH mesra sempena program Ekspedisi Kasih di Pos Hendrop.


Program bertujuan memberi penjelasan mengenai ibadat korban kepada Orang Asli

MENGGUNAKAN pendekatan dakwah bil hal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan program Ekspedisi Kasih sempena sambutan Aidiladha di perkampungan Orang Asli di Pos Hendrop, Gua Musang, Kelantan.

Program bertujuan memberi penjelasan dan pendedahan mengenai ibadat korban kepada masyarakat Orang Asli serta cara meraikannya menurut kaca mata Islam itu diketuai Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Program julung kali dianjurkan itu mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Wan Mohamad berkata, penganjuran program ibadat korban kepada kumpulan sasar seperti masyarakat Orang Asli secara langsung membolehkan mereka menghayati hikmah dilaksanakan korban yang menjadi syariat agama.

Katanya, pembabitan masyarakat Orang Asli dalam aktiviti penyembelihan dan pengagihan secara gotong-royong dengan semangat kerjasama memperlihatkan kemurnian Islam dalam menjaga kepentingan golongan kurang berkemampuan.

"Semangat kerjasama ini dapat menerapkan nilai murni ibadat korban kepada masyarakat Orang Asli dalam hubungan sesama manusia kerana selain membantu mereka yang tidak berkemampuan, pelaksanaan secara gotong-royong mengeratkan lagi hubungan silaturahim.


WAN MOHAMAD (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Orang Asli.


"Hikmah ibadat korban ini perlu dihayati supaya tujuan pengorbanan itu benar-benar mencapai matlamat," katanya pada majlis perasmian program Ekspedisi Kasih yang diadakan selama tiga hari untuk mengimarahkan sambutan Aidiladha.

Hadir sama, wakil Abim, Datuk Dr Abdul Razak Kecik; Pengarah JHEOA Negeri Kelantan, Abdul Razak Arsyad dan Mohd Zamri dari Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) serta pengurusan tertinggi Jakim.

Selain menyembelih tujuh ekor lembu, program itu dimeriahkan dengan jamuan hari raya, penyampaian sumbangan oleh Pertubuhan Himpunan Lepasan Institut Pendidikan Malaysia (Haluan) dan ceramah bertajuk Sejarah Ibadat Korban oleh Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA).

Pada majlis itu, Wan Mohamad turut merasmikan surau di tengah-tengah perkampungan Pos Hendrop sebagai hadiah kepada penduduk kampung selain menyampaikan sumbangan wang dan barangan berjumlah RM10,000.

Program meraikan penduduk Pos Hendrop terdiri dari 13 kampung itu turut melakar sejarah apabila 142 penduduk melafazkan syahadah termasuk Tok Batin Kampung Hendrop, Penghulu Rongging Busu.

Wan Mohamad berkata, Jakim akan menghantar pegawainya pada 11 Disember nanti bagi membuat proses susulan dan pemantauan seterusnya membantu masyarakat Orang Asli yang baru memeluk Islam.

"Saya gembira kerana majlis ini disempurnakan pada hari raya korban dan berharap dapat menjenguk lagi semua saudara Islam di sini pada sambutan Maulidur Rasul nanti untuk bersama-sama meraikan hari mengimbau sejarah perjuangan Rasulullah SAW," katanya.

Jumlah keseluruhan penduduk di Pos Hendrop ialah 594 orang dan 346 daripadanya beragama Islam.

Sunday, March 15, 2009

E-fatwa Jakim sedia maklumat ajaran sesat

Persoalan Agama


KUMPULAN ajaran sesat berdasarkan tarekat tertentu yang berzikir sambil menari diiringi alat muzik.


Sejak akhir ini, kita kerap didedahkan dengan berita kumpulan ajaran sesat. Terbaru kemunculan kumpulan Guru Yahu di Pahang dan sebelum itu kumpulan membabitkan profesional di Selangor. Bolehkah Jakim mengeluarkan senarai khusus kumpulan ajaran sesat yang dapat dijadikan panduan oleh umat Islam di negara ini. Persoalan kedua, bagaimanakah kita boleh mengelak daripada terjebak dalam ajaran sesat ini.

Abu Bakar Shaari,
Kota Damansara, Selangor

Anda boleh merujuk e-fatwa Jakim, Bahagian Penyelidikan Cawangan Akidah Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri bagi mendapatkan penjelasan serta senarai khusus kumpulan ajaran sesat di Malaysia.

Bagi makluman masyarakat awam, Jakim menerbitkan risalah penjelasan ciri utama ajaran sesat yang menerangkan cara mengenali dan jenis ajaran yang dapat dibahagikan kepada tiga iaitu:

Ia biasanya direka atau dicipta guru atau penganjur ajaran sesat yang menggunakan pelbagai nama atau amalan tertentu.

Membentuk tarekat. Mereka menggunakan nama tarikat yang masyhur di kalangan umat Islam kerana sudah diamalkan ulama berpandukan al-Quran dan sunnah. Kadangkala nama kumpulan dicipta mengikut nama tarekat seperti Ahmadiah, Naqsyabandiah Sazaliah, Samaniah, Qadariah dan Muffaridiah.

Walaupun nama tarekat yang direka menyamai tarikat asal, ternyata ajaran dan konsep ajaran tarekat itu ada unsur penyelewengan akidah.

Melalui kepercayaan dan amalan tradisi yang berhubungan dengan amalan mistik dan kultus. Bentuk kepercayaan ini menjadi lumrah di kalangan orang Melayu di negara ini kerana ia bersifat:

Pemujaan kepada tempat yang dianggap keramat.
Pemujaan kepada orang yang dianggap wali dan mempunyai kelebihan.
Kepercayaan kepada kesaktian melalui amalan seni mempertahankan diri dan sebagainya.
Kepercayaan terhadap dukun atau bomoh yang mendakwa mendapat ilmu daripada mimpi atau orang halus melalui amalan menurun.

Kesimpulannya, masyarakat perlu berwaspada dan jangan memandang ringan ajaran yang berbeza dengan amalan biasa bagi seorang Muslim.

Orang ramai perlu segera mendapatkan penjelasan lanjut daripada pejabat atau Jabatan Agama Islam berhampiran untuk pengesahan perkara ini dan menghilangkan kekeliruan.

Sunday, October 5, 2008

Persoalan Agama: Sembilan waktu paling sesuai puasa sunat

Bersama Jakim

SAYA bersyukur kerana dapat berpuasa penuh sepanjang Ramadan dan mahu berpuasa enam hari ketika Syawal. Saya kini bersemangat untuk menjadikan puasa sebagai amalan sepanjang tahun. Bolehkah saya melakukan begitu dan bilakah umat Islam digalakkan berpuasa selain Ramadan?

Adel Iskandar Hakim,
Mergong, Alor Star.

Puasa sememangnya satu ibadah yang dituntut. Ia adalah ibadah ketaatan dan keikhlasan kepada Allah SWT. Di akhirat kelak orang yang berpuasa dialu-alukan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan. Malahan puasa juga adalah madrasah yang mentarbiyah manusia menjadi insan bertakwa kerana ia membiasakan manusia dengan sifat sabar, amanah, disiplin, mengurangkan makan, meningkatkan amal ibadat dan sebagainya. Oleh itu amatlah digalakkan untuk mukmin meneruskan puasa sunat selepas berlalunya Ramadan untuk mengekalkan kebaikan yang sudah kita lakukan ketika Ramadan seperti puasa enam hari pada Syawal.

Antara waktu digalakkan berpuasa sunat ialah;

Berpuasa satu hari dan berbuka satu hari. Ia paling afdal kerana Rasulullah SAW bersabda: "Puasa yang paling afdal ialah puasa Nabi Daud. Dia berpuasa satu hari dan berbuka puasa satu hari. Tidak ada yang lebih afdal daripada itu." (Riwayat Bukhari Muslim)

Berpuasa tiga hari setiap bulan dan lebih afdal berpuasa tiga hari bulan terang (hari ke-13, 14 dan 15). Pahala berpuasa pada hari-hari berkenaan ialah sama seperti berpuasa sepanjang masa dengan gandaan pahala.

-Berpuasa pada hari Isnin dan Khamis bagi setiap minggu.

-Puasa pada enam hari bulan Syawal.

-Puasa hari Arafah. Iaitu hari yang kesembilan bulan Zulhijjah bagi mereka yang tidak mengerjakan haji. Bagi seseorang yang sedang mengerjakan ibadat haji tidak disunatkan berpuasa pada hari itu sebaliknya disunatkan berbuka puasa walaupun dia kuat. Ini bertujuan untuk terus kuat berdoa dalam mengerjakan ibadah wajib berkenaan.

-Puasa lapan hari daripada bulan Zulhijjah sebelum hari Arafah bagi orang yang sedang mengerjakan haji dan orang yang tidak mengerjakannya.

-Puasa Tasi' dan Asyura (hari ke-9 dan 10) dan disunatkan menghimpun kedua-duanya.

-Puasa dalam bulan-bulan haram (iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab). Sebaik-baik bulan haram selepas bulan Ramadhan ialah Muharam, kemudian bulan Rejab, kemudian bulan-bulan haram yang lain, akhirnya barulah Syaaban.

-Puasa dalam bulan Syaaban. Cuma ada ulama yang tidak membenarkan berpuasa pada 15 terakhir bulan Syaaban dengan hikmahnya untuk membuat persediaan tubuh badan bagi berpuasa sebulan Ramadhan dan bagi meningkatkan perasaan hati agar berasa ternanti-nanti kehadiran Ramadhan dengan penuh pengharapan dan kegembiraan.

Persoalan Agama: Surah al-Fatihah dasar akidah

Bersama Jakim

KITA membaca Surah al-Fatihah sebanyak tujuh belas kali sehari apabila bersolat. Apakah keistimewaan dan kelebihan surah ini berbanding surah lain yang hanya sunat dibaca?

Haslinda Deraman,
Kota Bharu, Kelantan.

Setiap orang Islam wajib membaca surah yang mengandungi tujuh ayat ini sekurang-kurangnya tujuh belas kali sehari semalam dan berkali-kali ganda lagi tanpa had jika mengadap Allah SWT dengan solat tambahan (solat sunat). Ini berdasarkan hadis bermaksud: “Tiada solat kepada mereka yang tidak membaca Surah al-Fatihah” (Riwayat Bukhari). Hadis itu dalil mewajibkan seseorang muslim itu wajib membaca al-Fatihah dalam setiap rakaat solat yang didirikan.

Antara keistimewaan surah al-Fatihah ialah mengandungi dasar aqidah, kefahaman Islam, juga perasaan (terhadap Allah) dan tawajjuh kepada-Nya yang membayangkan sebahagian hikmat mengapa Surah al-Fatihah dipilih untuk diulang-ulang bacaannya dalam setiap rakaat.

Surah al- Fatihah juga di kenali dengan pelbagai nama berbanding dengan surah lain di dalam al-Quran seperti Ummul Kitab, Ummul Quran, Sab’u Mathani, Surah Solat, Surah Al-Hamdu dan lain-lain lagi. Perkara ini juga melambangkan betapa besar fadilat dan khasiat yang tersirat yang ada padanya.

Persoalan Agama: Syarat sah haji mesti baligh

Bersama Jakim

KETIKA berumur sembilan tahun, ibu bapa membawa saya mengerjakan haji. Kini saya berumur 25 tahun. Adakah saya wajib mengerjakan lagi haji apabila dewasa. Apakah hukumnya jika saya mengerjakan haji sekali lagi?

Intan Nurliana Bukhari
Johor Bahru.

Seseorang dikira hajinya jika dia memenuhi syarat wajib dan sah haji. Oleh kerana syarat wajib haji ialah pertama mesti seseorang itu beragama Islam, baligh, berakal, merdeka, berkuasa atau kemampuan.

Oleh itu, sesiapa yang sudah mengerjakan haji ketika kecil iaitu sebelum baligh perlulah mengulanginya sekali lagi. Kerana haji seorang kanak-kanak sah, tetapi tidak memadai untuk melepaskan tuntutan haji yang menjadi rukun Islam. Manakala haji yang dilakukan seseorang kanak-kanak yang belum berakal (belum mumaiyiz) dikira tidak sah, kerana menunai haji terhenti kepada syarat berakal.

Ini merujuk kepada hadis Rasulullah SAW yang disebut dalam kitab Mugni Muhtaj: "Sebarang kanak-kanak yang dibawa mengerjakan haji oleh keluarganya kemudian dia mati sebelum sempat mengerjakan ibadah itu, kanak-kanak itu dikira telah mengerjakan haji. Kalau dia sempat melakukannya maka wajiblah dia mengerjakannya. Begitu juga, seseorang hamba dibawa mengerjakan haji oleh tuannya, jika hamba itu mati sebelum merdeka, maka ibadah hajinya dikira. Jika dia dimerdekakan, maka wajib mengerjakannya".

Persoalan Agama: Bakal haji tak perlu risau dakwaan berlaku kejadian aneh

Bersama Jakim

SAYA bakal mengerjakan ibadat haji tahun ini. Saya akui sebelum ini banyak melakukan perkara yang melanggar hukum agama dan cuai menunaikan ibadat wajib seperti solat. Rakan saya memberitahu bahawa orang yang banyak melakukan dosa akan mengalami kejadian pelik di Tanah Suci seperti tidak nampak Kaabah. Ini menyebabkan saya bimbang mengerjakan haji. Betulkah apa yang rakan saya ceritakan itu. Jika betul, bagaimanakah cara mengatasinya?

Jemaah haji bimbang,
Kuala Lumpur.

Haji adalah Rukun Islam ke-5 iaitu tanggungjawab pelengkap sebagai seseorang Muslim selepas mengucap syahadah, solat lima waktu, puasa bulan Ramadan dan menunaikan zakat. Allah SWT berfirman ".... Dan sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah..." (Surah al- Baqarah 2:196)

Manakala syarat menunaikan haji pula ialah kemampuan untuk mengerjakannya. Oleh itu tidak perlu menunggu sehingga berasa diri benar-benar baik dan soleh baru bersedia untuk menunaikan haji sedangkan dari segi kemampuan kewangan, masa dan sebagainya telah mengizinkan.

Sebagai umat Islam, kita perlu tahu falsafah, faedah dan hikmah tersembunyi dalam mengerjakan haji. Antaranya mereka yang menunaikan haji ini digambarkan seperti menempuh kematian. Contohnya seperti meninggalkan rumah kediaman yang selesa, kaum keluarga tersayang, sahabat handai, kerjaya dan sebagainya kerana menyahut panggilan Allah SWT.

Hal seperti itu amat menakutkan gambarannya kepada kita sebagai manusia biasa tetapi perlu diketahui pemergian yang penuh pengorbanan dan kepasrahan itu telah dijanjikan sesuatu yang bermakna kepada setiap hamba Allah SWT seperti hadis yang berbunyi "Sesiapa yang melakukan ibadah haji dan sewaktu itu tidak pula bercakap dan melakukan perbuatan yang buruk, maka dia akan kembali bersih tanpa dosa seperti waktu dia dilahirkan". (al-Bukhari Muslim)

Sebuah lagi hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah rombongan Allah SWT, jika mereka mendoakan sesuatu maka Allah SWT akan memperkenankannya dan jika mereka memohon ampun akan diampunkan." (at- Tabari)

Oleh yang demikian, mengenai dakwaan dan kisah pelik yang berlaku dan dialami sesetengah jemaah haji, anda tidak perlu berasa takut, risau atau bimbang kerana takut mengganggu jiwa. Justeru, sebelum menunaikan haji perlulah membersihkan diri dengan memohon ampun dan bertaubat atas kesalahan-kesalahan lampau kerana kita sebagai manusia biasa tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kelupaan. Perlu juga banyak berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT supaya dijauhkan daripada perkara yang memalukan, menakutkan atau yang boleh menjejaskan kesempurnaan pengembaraan dan amalan haji berkenaan.

Sunday, September 28, 2008

Persoalan Agama: Umat digalak qiyamullail hidupkan malam Aidilfitri

Bersama Jakim

Islam garis amalan sunat rai hari raya tanda syukur nikmat Ilahi, erat persaudaraan

Soalan:

Selain solat sunat Aidilfitri, apakah cara menyambut Aidilfitri mengikut syariat Islam?

Ishak Alang Ahmad
Kuala Kangsar, Perak

Jawapan:

Aidilfitri atau hari raya fitrah ialah salah satu hari raya dalam Islam selain Aidiladha. Antara perkara sunat yang digalakkan pada atau sebelum hari raya ialah:

Menggalakkan berjaga pada malam (qiyamullail) hari raya dengan melakukan ibadah seperti sembahyang sunat, zikir, membaca al-Quran dan memperbanyakkan istighfar.

Sabda Nabi SAW "Sesiapa yang menghidupkan (beribadah) malam hari raya fitrah dan hari raya korban dengan mengharapkan keredaan Allah, nescaya tidak mati hatinya pada hari yang mati semua hati" (Kasyaf al-Qina). Doa pada malam hari raya adalah mustajab.

Pada pagi hari raya juga disunatkan mandi hari raya, memakai bau-bauan , mencuci mulut, gigi serta memakai pakaian yang baik bagi lelaki sebagai qiyas pada Jumaat untuk menyatakan nikmat Allah dan bersyukur kepada-Nya.

Pada hari raya fitrah, hendaklah menjamah makan sebelum keluar bersembahyang sunat seperti buah kurma dan dimakan dengan bilangan ganjil.

Menunaikan kewajipan zakat fitrah sebelum sembahyang atau ditunaikan beberapa hari sebelum hari raya bagi membolehkan fakir menggunakannya pada hari raya.

Ibnu Abbas berkata: "Rasulullah SAW memfardukan zakat fitrah sebelum sembahyang bagi membersihkan orang berpuasa daripada kesilapan dan percakapan yang keji, dan untuk memberi makan fakir miskin, maka sesiapa menunaikannya sebelum sembahyang, maka ia adalah zakat yang diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas sembahyang, maka ia adalah salah satu daripada sedekah." (Muttafaq Alaih).

Memperbanyakkan sedekah iaitu lebih daripada kebiasaan menurut keupayaan masing-masing terutama kepada kaum kerabat.

Memberi senyuman dan menunjukkan kegembiraan kepada orang mukmin dan menziarahi keluarga serta sahabat handai di kampung halaman sebagai menandakan kegembiraan serta mengeratkan hubungan persaudaraan dan kasih mesra antara satu sama lain.

Sunday, September 21, 2008

Persoalan Agama: Tujuh ibadah terbaik diamalkan akhir 10 Ramadan

Bersama Jakim

Apakah amalan terbaik dilakukan pada 10 malam terakhir Ramadan.

Abdul Rahim Bakri
Muar, Johor

Antara amalan terbaik dilakukan pada 10 malam terakhir Ramadan ialah:

Melakukan solat sunat Rawatib, Tarawih dan sunat lain.

Memperbanyakkan berdoa seperti "Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, maka ampunkan aku".

Membaca, mempelajari dan mengkaji al-Quran kerana hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim menyatakan: "Jibril menemui Nabi Muhammad SAW pada setiap malam Ramadan dan bertadarus al-Quran"

Berzikir menyebut nama Allah, firman Allah SWT, "Berzikirlah kepada Tuhanmu dalam dirimu (hatimu) dengan penuh perasaan rendah hati dan takut dan bukan dengan suara keras pada waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau sampai dikira orang yang lalai."(Al- A'raf :205).

Memperbanyakkan sedekah kepada kaum kerabat dan fakir miskin. Hadis riwayat Bukhari Muslim menyatakan Nabi Muhammad SAW paling pemurah membuat kebajikan lebih-lebih lagi pada Ramadan ketika Baginda SAW dikunjungi Malaikat Jibril.

Beriktikaf di masjid terutama pada 10 hari terakhir Ramadan kerana ini cara terbaik untuk menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang, sebaliknya memberi rangsangan untuk melakukan perkara yang disuruh. Diharap dengan beriktikaf akan ditemui lailatul qadar kerana ia berlaku pada 10 malam terakhir. Disebut dalam kitab Fath al-Qadir daripada Aishah r.a. berkata "Apabila masuk 10 hari terakhir Ramadan, Nabi banyak berjaga kerana ibadah, Baginda membangunkan keluarganya mengasingkan diri daripada isterinya."

Qiamullail iaitu bangun beribadat pada malam hari. Kelebihannya seperti difirman Allah Taala bermaksud "Dan bangun pada sebahagian daripada malam serta kerjakan "sembahyang Tahajud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat terpuji." (al- Isra': 79)

Persoalan Agama: Alam semesta beri tanda kedatangan lailatulqadar

Bersama Jakim

Saya ingin tahu mengenai lailatul qadar yang pada pandangan saya bercampur baur antara fakta dan mitos. Bagaimana hendak tahu lailatulqadar berlaku. Melalui pembacaan dan pandangan sesetengah orang, antara tanda lailatulqadar ialah suasana ketika itu hening dan tenang, malah ada menyatakan pokok tunduk ke bumi dan air telaga beku. Betulkah? Apakah yang sebenarnya berlaku?

Salahuddin Samat
Bagan Dalam, Pulau Pinang

Lailatulqadar ialah satu malam yang amat agung pada setiap Ramadan. Ia juga malam perhubungan mutlaq antara bumi dan alam al-Mala'ul-A'la. Pada malam itu juga diturunkan al-Quran keseluruhannya ke langit dunia sebelum diturunkan secara berperingkat kepada Nabi Muhammad SAW seperti firman Allah "Sesungguhnya Kami sudah menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatul qadar." (Al-Qadr:1) Mencari malam lailatul qadar adalah sunat kerana Rasulullah SAW menurut hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim menyatakan bahawa Baginda berusaha sedaya upaya pada malam 10 akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam lain.

Mengenai cerita dan riwayat yang dikatakan berlaku pada malam itu perlu kita selidiki mengenai sejauh mana ia bertepatan dengan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Banyak pandangan beberapa sahabat dan ulama mengenainya antaranya ialah pandangan Imam Ghazali. Menurut beliau malam ini boleh diketahui melalui:

Jika awal Ramadan pada Ahad atau Rabu, maka lailatulqadar pada malam 29 Ramadan.
Jika awal Ramadan pada Isnin, lailatul qadar pada malam 21 Ramadan.
Jika awal Ramadan pada Selasa atau Jumaat maka lailatulqadar pada malam 27 Ramadan.
Jika awal Ramadan pada Khamis, lailatulqadar pada malam 25 Ramadan.
Jika awal Ramadan pada Sabtu, maka lailatulqadar pada 23 Ramadan.

Selain tanda itu malam ini juga boleh dikenali dengan beberapa tanda iaitu:

Malam itu langitnya kelihatan suci bersih.
Bulan bercahaya segar dan terang benderang.
Udaranya nyaman, tidak sejuk dan tidak panas.
Langit tidak diganggu bintang.
Matahari pada waktu paginya memancarkan cahaya seimbang seperti cahaya bulan purnama.

Bagaimanapun, lailatulqadar ialah rahsia yang hikmahnya supaya umat Islam terus mencari dengan menggandakan amal ibadah. Rasulullah bersabda "Telah datang kepada kamu Ramadan bulan membawa berkat, Allah menyelubungi kamu, lalu ia menurunkan rahmat serta menghapuskan kesalahan-kesalahan. Allah SWT memperkenankan doa pada bulan itu. Allah juga melihat perlumbaan antara kamu pada Ramadan dan menyampaikan kebanggaan-Nya terhadap kamu kepada malaikat. Oleh itu hendaklah kamu membuktikan kebaikan kamu kepada-Nya. Sesungguhnya orang yang celaka itu ialah orang yang dijauhkan atau diharamkan oleh Allah daripada mendapat rahmat-Nya." (Riwayat Tabarani)

Sunday, September 14, 2008

Persoalan Agama: Rawatan alternatif usah ada unsur syirik

Bersama Jakim

Soalan:

Apakah hukum orang Islam meminta bantuan bomoh untuk menyembuhkan sesetengah penyakit yang dianggap ghaib. Ada bomoh mendakwa mereka tidak meminta bantuan jin atau makhluk halus lain dan hanya menggunakan ayat al-Quran. Bagaimana pula dengan bomoh bukan Islam.

Sesetengah golongan ini tidak mengaku mereka sebagai bomoh dan sebaliknya menggelar diri sebagai pengamal perubatan tradisional atau alternatif dan pelbagai gelaran yang kelihatan hebat. Bolehkah orang Islam meminta bantuan mereka?

Khairil Anuar Karim,
Klang, Selangor.

Jawapan:

Islam amat menitikberatkan soal-soal akidah, syariah dan akhlak. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber asal al-Quran, hadis, Ijma' dan Qiyas adalah ditolak.

Dalam urusan perubatan kepada pesakit, satu perkara harus diingat oleh semua pihak, bahawa hanya Allah saja berkuasa mutlak menentukan sesuatu dan menjadikannya, termasuk menyembuhkan penyakit manusia disuruh berusaha dan berikhtiar.

Matlamat perbomohan hendaklah matlamat yang baik seperti untuk kesihatan tubuh badan, kerukunan hidup bermasyarakat dan berumahtangga.

Maka dilarang sama sekali untuk membalas dendam, membuat aniaya, menakutkan-nakutkan, mengugut orang lain dan sebagainya.

Pada umumnya, Islam mengharuskan pelbagai cara rawatan selagi mana ia tidak bercanggah dengan syarak.

Secara terperincinya adalah seperti berikut ;

Tidak menggunakan bentuk amalan sihir, ilmu hitam, telek nujum dan sebagainya.

Tidak boleh mengaitkan sesuatu pengeras dengan suatu akibat.

Tidak boleh percaya kepada sial dan mudarat yang menimpa seseorang

Tidak boleh melakukan perkara yang berunsur syirik seperti bersemah pantai, puja busut dan lain-lain.

Tidak boleh menyembelih binatang untuk sesuatu tujuan yang bukan syariat.

Tidak boleh melakukan bacaan tertentu yang menggunakan unsur-unsur meminta izin atau bantuan dari kuasa makhluk 'ghaib' dalam upacara perubatan.

Tidak boleh menyajikan makanan untuk menjamu penunggu.

Tidak boleh mentaati bomoh atau seseorang pada perkara yang jelas bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam.

Menolak sebarang syarat yang diberikan yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.

Persoalan Agama: Perbaharui niat baik setiap hari

Bersama Jakim

Soalan:

Saya sentiasa menantikan ketibaan Ramadan seperti tahun-tahun sebelum ini. Ketika bulan ini, saya pergi ke masjid untuk bersolat Isyak dan bertarawih serta membaca al-Quran. Saya juga menjaga tutur kata dan tidak makan berlebihan. Bagaimanapun, seperti tahun sebelum ini, kebanyakan amalan baik itu berakhir apabila Ramadan berakhir. Bagaimanakah perkara baik sepanjang Ramadan dapat diteruskan pada 11 bulan lain?

Habibullah Akhtar,
Pulau Pinang.

Jawapan:

Ramadan adalah bulan yang dilimpahi rahmat, keampunan dan dilepaskan daripada seksaan api neraka yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya.

Pada bulan ini, syaitan dan iblis dirantai, tetapi manusia masih mempunyai hawa nafsu dan tabiat kebiasaan untuk dikawal, dididik dan diperbaiki.

Di sepanjang Ramadan juga, umat Islam digalakkan memperbaharui niat menunaikan ibadah puasa pada setiap malam.

Perkara ini menunjukkan niat dan azam perlu diperbaharui pada setiap hari bagi memberi motivasi untuk kita melakukan perkara baik secara iltizam dan konsisten.

Oleh yang demikian, untuk terus melakukan perkara yang baik sepanjang hidup kita, pertama, kita perlu berusaha untuk terus mengekalkan keazaman dan mempertingkatkan amal ibadat semata-mata untuk mendapat keredaan Allah SWT.

Kedua, kita perlu menghayati konsep ihsan dalam melakukan sesuatu ibadah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; "Iaitu engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak mampu melihat-Nya, maka ketahuilah bahawa Dia selalu melihatmu." (Riwayat Muslim).

Seterusnya ketiga, perlu menjauhi dosa-dosa besar manakala jangan pula melazimi melakukan dosa-dosa kecil, ditakuti kita tidak berasa bersalah dalam melakukan dosa kecil sedangkan orang yang melazimi dosa kecil adalah golongan orang yang fasiq.

Keempat, selalu memohon ampun atas segala kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan sama ada disedari atau tidak.

Kelima, berdoa dan bertawakal agar sentiasa diberi taufiq dan hidayah Allah SWT di sepanjang kehidupan di dunia dan akhirat.

Kesimpulannya, perkara baik yang umat Islam biasa lakukan di sepanjang Ramadan seperti solat berjemaah di masjid, berqiamullal, membaca al- Quran, banyak bersedekah dan sebagainya adalah perkara asas yang dituntut di dalam Islam.

Maka kita tidak perlu membezakan antara Ramadan dengan bulan yang lain. Cuma terletak di tangan masing-masing untuk tepuk dada dan tanya iman.

Sunday, September 7, 2008

Persoalan Agama: Puasa tanda ketaatan kepada Allah

Bersama Jakim

Saya mempunyai seorang kenalan bukan Islam di luar negara yang melalui e-mel bertanya mengenai amalan berpuasa orang Islam. Dia memberitahu bahawa penganut agama lain juga berpuasa. Katanya, orang Hindu dan Yahudi pun berpuasa, tetapi apakah perbezaan puasa agama lain dengan puasa di sisi Islam. Boleh berikan jawapan untuk saya memberi penjelasan kepadanya?

Nur Syakirah Firdaus
Kuala Lumpur

Memang benar penganut agama lain juga melakukan puasa pada hari tertentu saja mengikut ajaran dan kepercayaan masing-masing manakala umat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan di samping puasa sunat pada hari tertentu pada sepanjang tahun. Puasa adalah ibadah yang difardukan ke atas umat Islam dan umat terdahulu dan ia satu rukun dalam Rukun Islam. Puasa adalah setinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Bagi umat Islam, puasa adalah satu ibadah tanda ketaatan dan keikhlasan hamba terhadap pencipta-Nya. Maksud puasa dalam Islam ialah menahan diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari disertai dengan niat.

Allah SWT memberi kelebihan yang banyak pada bulan Ramadan berbanding dengan bulan lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila tiba awal malam bulan Ramadan, diikat semua syaitan dan jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka, dan tidak dibuka walaupun satu pintu, dan dibuka pintu syurga, dan tidak ditutup walaupun satu pintu." Penyeru pun menyeru: "Wahai orang yang mengharapkan kebaikan, terimalah, dan wahai orang yang mengharapkan kejahatan, berhentilah. Dan (mereka yang ikhlas) kerana Allah, akan dibebaskan daripada api neraka dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam Ramadan." (Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah). Selain daripada apa yang dinyatakan oleh hadis Rasulullah, kelebihan bulan Ramadan juga ialah difardukan puasa di dalamnya.

Puasa juga dapat membentuk jati diri, kesabaran, kesihatan dan disiplin serta jimat cermat dalam perbelanjaan dan puasa juga penghapus dosa atas maksiat yang dilakukan. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu." Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Allah juga akan menggandakan pahala orang yang berpuasa melebihi amalan lain.

Persoalan Agama: Tarawih memadai lapan rakaat

Bersama Jakim

Bilangan rakaat solat Tarawih sering menjadi isu setiap kali Ramadan tiba walaupun ia tidak menimbulkan perbalahan. Apakah jumlah rakaat yang sepatutnya untuk solat Tarawih, terutama yang diamalkan oleh Rasulullah. Solat Tarawih di sesetengah masjid atau surau kadangkala terlalu lama kerana imam membaca satu juz al-Quran untuk khatam al-Quran dalam tempoh Ramadan. Adakah ini amalan Rasulullah dan digalakkan atau diperkenalkan oleh orang Islam pada zaman berikutnya?

Mohd Shauki Salleh,
Mergong, Kedah.

Sembahyang sunat Tarawih adalalah sunat muakkadah bagi lelaki dan perempuan. Nabi Muhammad SAW dan Khulafah al-Rasyidin sentiasa melakukannya dan disunatkan solat secara berjemaah.

Bilangan rakaat solat Tarawih sentiasa menjadi perbincangan dalam kalangan masyarakat. Ia boleh dilakukan sebanyak lapan rakaat atau 20 rakaat.

Perkara ini bukan satu isu besar. Rasulullah SAW melakukan lapan rakaat di masjid secara berjemaah kemudian menyempurnakan bersendirian di rumah.

Jumlah solat Tarawih sebanyak 20 rakaat secara berjemaah di masjid pula adalah mengikut apa yang ditetap oleh Saidina Umar R.A ketika beliau menjadi khalifah. Ini berikutan masyarakat Islam pada waktu itu agak mengabaikan ibadat solat sunat Tarawih yang dilakukan di rumah.

Penetapan ini untuk menggalakkan masyarakat Islam melakukan ibadat sunat pada bulan mulia ini.

Sahabat tidak ada yang membantah kerana Nabi Muhammad SAW bersabda: "Hendaklah kamu menurut sunnahku dan sunnah khulafah ar Rasyidin" - (Riwayat Abi Daud dan at- Tirmizi)

Monday, September 1, 2008

Hindari prejudis berbuka puasa di masjid


Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz


Tradisi bertukar juadah erat persaudaraan bentuk ummah utama ibadat khusus

SALAM Ramadan Peringkat Kebangsaan 1429 Hijrah bertujuan menggalakkan perancangan menyeluruh dan berkesan aktiviti sepanjang bulan mulia ini supaya roh Ramadan dapat dinikmati keseluruhannya. Ikuti wawancara wartawan HASLIZA HASSAN dengan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang mengulas lanjut mengenai program berkenaan.

APA matlamat program Salam Ramadan Peringkat Kebangsaan 1429 Hijrah dan apakah konsep program ini?

Apabila menjelang Ramadan, menjadi tradisi atau sunnah, Rasulullah SAW akan mengumpulkan sahabat dan menyampaikan perutusan sempena ketibaan Ramadan untuk membangkitkan keghairahan serta persediaan dari segi mental dan fizikal. Ramadan bulan istimewa dan tidak sewajarnya dilayan seperti bulan biasa. Oleh itu, Rasulullah SAW meletakkan asas tradisi itu supaya kedatangan Ramadan disambut dengan perancangan teliti untuk menikmati segala keistimewaan terkandung pada bulan mulia ini. Berdasarkan semangat itu, kita mengumpulkan orang yang bertanggungjawab dalam pengurusan masjid dan hal ehwal Islam pada majlis pelancaran Program Wakaf al-Quran dan Salam Ramadan Peringkat Kebangsaan 1429 Hijrah yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 28 Ogos lalu supaya mereka dapat merancang aktiviti menjelang ketibaan Ramadan. Kita tidak mahu apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan tarikh mula puasa, barulah semua kelam kabut untuk merancang kerana dari segi teorinya persediaan menyambut Ramadan ini bermula dari awal Rejab dan Syaaban, iaitu bulan untuk panaskan badan, berlatih berpuasa dengan melaksanakan puasa sunat. Pelbagai acara sudah kita rancang sebagai pengisian program Salam Ramadan Peringkat Kebangsaan 1429 Hijrah ini antaranya majlis pertemuan dan berbuka puasa ulama dan cendikiawan bersama Perdana Menteri pada majlis Pertemuan Ulama dan Umara. Tujuannya untuk menyampaikan mesej bahawa kekuatan negara mesti ditunjangi kesepaduan kelompok ulama, cendekiawan, pemikir dengan pihak pemerintah yang akan diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan esok bersamaan 2 Ramadan 1429 hijrah.

Itu dari aspek pemerintah dan pengurusan hal ehwal Islam. Bagaimana pula dengan masyarakat umum kerana pastinya mereka juga sewajarnya menyambut Salam Ramadan ini?

Memang kita sudah rancang pelbagai program pengisian sepanjang Ramadan ini seperti rakaman program Forum Perdana pada 10 Ramadan di Putrajaya sebagai tanda tamat sepuluh Ramadan yang pertama dan masuk 10 kedua. Aktiviti lain ialah program di tiga masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Wilayah Persekutuan, iaitu kuliah Zuhur, tadarus al-Quran, ceramah motivasi dan qiamullail untuk pelajar yang akan menghadapi peperiksaan sebagai persediaan rohani mereka. Kemuncak program Salam Ramadan ialah majlis memperingati turunnya al-Quran pada 16 September iaitu malam 17 Ramadan di Masjid Negara. Pengisian utama ialah pelancaran kitab Tafsir Pedoman Muttaqin hasil karya Dr Abdul Hayy Abdul Shukor, salah seorang ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang diterbitkan Jakim. Tafsir ini ditashihkan (disemak) oleh satu pasukan pakar dipengerusikan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin bersama anggota keanggotaan terdiri daripada pakar tafsir universiti tempatan dan pakar bahasa. Jakim juga menyediakan program untuk siaran televisyen antaranya siaran langsung solat tarawih dari Masjidil Haram dan rancangan bual bicara Ramadanku Kali Ini. Tidak ketinggalan, penyampaian sumbangan kepada pesakit di hospital selain menggalakkan aktiviti pameran serta jualan buku pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan di tiga masjid utama.

Program ini adalah peringkat kebangsaan. Adakah ini bermakna seluruh negara mengikut model ini atau pelaksanaannya di tiga masjid utama ini saja?

Dari segi pengisian kita harap ia dapat dijadikan model oleh pihak berkuasa agama negeri khususnya masjid utama setiap negeri. Surau pun kita galakkan juga kerana sepanjang Ramadan kita tetap meneruskan program dakwah. Malah, Jakim melalui laman web menyediakan maklumat mengenai Ramadan yang dinamakan Syukur Ramadan sebagai panduan kepada orang ramai.

Pada pendapat Datuk, apakah tradisi menyambut Ramadan yang tidak bercanggah dengan syariat yang makin dilupakan masyarakat hari ini?

Saya nampak ini kelebihan kreativiti ulama terdahulu menterjemahkan amalan sunat sehingga menyerap menjadi satu budaya seperti budaya bertukar kuih. Yang ini selalu jadi bahan omokan dan diburukkan lagi oleh keterlanjuran segelintir orang yang melihat ia sebagai satu pembaziran. Kononnya kenapa buat kuih berlebih-lebih sehingga sekarang ini langsung tidak buat dan akhirnya tidak dihadiahkan. Ini saya rasa, kita terlalu ekstrem sedangkan apa yang digalakkan ulama terdahulu ialah saling hadiah menghadiah. Orang yang berkemampuan akan buat lebih dan beri kepada saudara yang patut dapat untuk menikmati sama nikmat yang dia peroleh. Dia nak orang lain kongsi lebih-lebih lagi orang yang kurang mampu. Ini cara halus dan tertibnya kita hendak membantu orang. Satu tradisi saya ingat lagi, apabila petang akan ada seorang yang junjung talam pergi dari rumah ke rumah dan tuan rumah akan sumbang apa kuih yang dia buat hari itu. Talam itu dibawa ke surau atau masjid untuk mereka yang ingin berbuka dan solat berjemaah di masjid. Diharapkan Ramadan kali ini diserikan dengan budaya hadiah menghadiah supaya sama-sama dapat berkongsi rezeki yang diperoleh.

Mungkin ada amalan yang sepatutnya disemarakkan pada Ramadan ini tetapi tidak dilaksanakan masyarakat dan apakah sebabnya?

Sebenarnya yang berbuka puasa di masjid terdiri daripada pelbagai kategori ahli masyarakat. Ada yang kaya, pertengahan dan miskin. Mungkin yang kaya datang bukan hendak berbuka sangat tetapi ingin berjemaah. Tetapi disebabkan prejudis keterlaluan, kita ketinggalan sunnah yang dituntut. Banyak negara di Asia Barat menjadikan membawa keluarga berbuka puasa di masjid sebagai satu budaya. Mereka tidak rasa dihina berbuka puasa di masjid. Tetapi kita di sini jika berbuka puasa di masjid orang kata nak makan percuma. Ini prejudis, sedangkan hikmah yang dituntut sunnah supaya beri makan pada orang. Jelas tafsiran serta pemahaman hadis itu pelbagai. Di Masjidilharam. Masjid Nabawi dan masjid di London, hujung minggu pada Ramadan berbuka puasa di masjid macam satu pesta. Ahli keluarga datang berbuka puasa di masjid dengan bekalan tamar saja sebab makanan untuk berbuka ada disediakan. Sebenarnya yang disediakan di masjid adalah hasil sumbangan ahli jemaah juga. Itulah masalah kekangan budaya dan prejudis hingga orang malu untuk berbuka puasa di masjid. Sebabnya kita kata itu untuk pekerja kontrak Bangladesh, Myanmar dan sebagainya. Ini prejudis yang keterlaluan hingga orang malu untuk berbuka puasa di masjid. Saya syorkan pemimpin dan pembesar jangan malu bawa anak dan keluarga berbuka di masjid. Paling tidak tiga atau empat kali pada Ramadan ini.

Nasihat Datuk kepada umat Islam dalam meraikan Ramadan yang mulia ini dan harapan Datuk untuk program Salam Ramadan?

Kadang-kadang jadi fitnah apabila kita dilekakan dengan jamuan berkualiti tinggi hingga acara yang tidak perlu menyebabkan perkara lebih penting tertinggal seperti solat tarawih kerana sibuk dengan makan yang ambil masa berjam-jam. Atau terlalu sibuk menghadiri majlis berbuka hingga tergadai solat tarawih, apa maknanya. Kita bukan menghalang mengadakan majlis berbuka puasa tetapi perlu ada keseimbangan agenda mana yang lebih penting kerana berbuka bersama ini untuk mengeratkan silaturahim, berbakti kepada orang kurang berkeupayaan dan untuk solat bersama. Oleh itu, jangan diberikan tumpuan lebih dengan mengabaikan yang lain. Nak anjurkan program biarlah ditamatkan dengan solat tarawih. Mengenai Salam Ramadan ini, biarlah pengisiannya diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan oleh setiap masjid dan surau di seluruh negara. Lagi satu, Ramadan mendidik hati dan besarlah harapan jika selepas Ramadan nanti, senario yang berlaku sebelum Ramadan akan berubah. Jika tidak, pengisian Ramadan tidak mencapai matlamatnya.

Sunday, August 31, 2008

Persoalan Agama: Cara atasi marah, panas baran

Bersama Jakim

SAYA seorang yang panas baran. Perkara yang kecil pun boleh menyebabkan saya menjadi sangat marah dan menjadi mangsa adalah isteri dan anak. Lebih teruk ketika marah, tangan saya seperti ringan hendak memukul atau menampar. Selepas marah hilang, saya selalu menyesal, terutama apabila melihat anak ketakutan.

Walaupun tahu sifat ini buruk dan memalukan, saya sukar mengatasi masalah ini.

Saya ingin meminta nasihat dan panduan untuk mengatasi masalah ini. Apakah pendekatan Islam untuk mengatasi sikap panas baran atau adakah ayat al-Quran tertentu yang boleh diamalkan.

Bapa garang,
Kuala Lumpur

Sifat pemarah dan panas baran adalah suatu emosi yang kadang-kadang berlaku kepada manusia biasa. Marah tidak digalakkan di dalam Islam dan perlu dikawal kerana ia memberi impak negatif terhadap keperibadian, keseimbangan akal dan keharmonian masyarakat.

Cara mengatasi marah dalam Islam ialah:

Mengubah Posisi. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring." (Riwayat Muslim)

Berwuduk. Rasulullah SAW bersabda: "Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk" (Hadis Riwayat Abi Daud) .

Minum air.

Mendiamkan diri ketika marah.

Berlindung kepada Allah daripada syaitan.

Meluahkan perasaan dan masalah dalam keadaan masa dan tempat sesuai.

Berfikiran positif.

Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; mengelakkan daripada memekik atau bertindak garang.

Bawa bertenang seperti menarik nafas.

Senyum kerana senyuman mampu meredakan tekanan.

Persoalan Agama: Muslim perlu berusaha tingkatkan keimanan

Bersama Jakim

ALHAMDULILLAH, sejak baligh, saya tidak pernah meninggalkan solat. Ibu bapa saya amat menekankan mengenai tanggungjawab ini. Bagaimanakah cara mengenali Allah SWT dengan lebih dekat agar pegangan saya terhadap agama kekal mantap hingga ke akhir hayat.

AhmadSyarifKamaruddin,
Kangar, Perlis

Solat adalah tiang agama iaitu penghubung antara manusia dengan Pencipta-Nya iaitu Allah SWT secara langsung melalui niat, perkataan dan perbuatan. Oleh itu sesiapa yang menjaga solat maka Insya-Allah seluruh kehidupannya akan terjaga daripada melakukan perkara tercela kerana firman Allah bermaksud "Sesungguhnya solat mencegah daripada perbuatan yang keji dan kemungkaran." (al- Ankabut 29: 45)

Iman manusia boleh bertambah dan berkurang. Oleh yang demikian kita sebagai manusia perlu berusaha mengekalkan dan meningkat keimanan dan amal perbuatan.

Sehubungan itu cara mengenali Allah dengan lebih dekat dari semasa ke semasa di sepanjang kehidupan, agar pegangan agama semakin mantap ialah melalui empat perkara iaitu pertama memfokuskan akal agar berfikir dengan baik seraya mengambil kira keadaan persekitaran bagi melahirkan idea dan tindakan yang terbaik kerana akal adalah kurniaan Allah SWT yang amat berharga buat manusia.

Kedua, meningkatkan ilmu pengetahuan, tetapi perlu ditegaskan akal dan ilmu bukan faktor utama kelahiran iman.

Ketiga, membaja perasaan wujdan (naluri kerinduan dan kecintaan kepada Allah SWT) kerana perasaan percaya kepada ketuhanan dan berharap bantuan yang Maha Kuasa dalam kehidupan, lebih-lebih lagi ketika menghadapi kesusahan; sebenarnya adalah fitrah atau naluri hati manusia. Maka dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.

Keempat, akal, ilmu dan wujdan sekadar menghantar seseorang di hadapan pintu iman dan aqidah. Wahyu dan al-Quran yang membimbing manusia menjalani kehidupan penuh keimanan. Allah mengutuskan Rasul untuk membimbing manusia ke jalan yang benar malahan semua Rasul sejak Nabi Adam hingga ke Nabi Muhammad SAW membawa risalah tauhid yang sama iaitu mengesakan Allah SWT dan menyeru ke arah kebaikan.

Persoalan Jakim: Berwuduk sebelum tidur elak gangguan syaitan

Bersama Jakim

ANAK saya yang berumur enam tahun mengadu takut tidur sendirian dalam bilik dan meminta saya menemaninya. Dia memberitahu sering bermimpi buruk dan takutkan hantu. Walaupun ada pendekatan moden untuk mengatasi masalah ini, saya ingin tahu cara Islam menanganinya. Apakah amalan yang perlu dilakukan sebagai orang Islam, sama ada kanak-kanak atau orang dewasa sebelum masuk tidur.

Norzila Ariffin,
Muar, Johor.

Berdasarkan hadis; dari Barra' Bin 'Azib bahawasanya Rasulullah bersabda: "Apabila kamu hendak ke tempat tidur, maka berwuduklah seperti wuduk kamu untuk menghadiri solat..." (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim). Ia adalah saranan berwuduk ketika hendak tidur. Jika seseorang sudah mempunyai wuduk, maka tidak perlulah mengangkat wuduk lain, kerana maksud saranan itu sudah tercapai iaitu orang Islam perlu tidur dalam keadaan suci dikhuatiri maut menjemput pada ketika itu. Bersuci juga dapat menjauhkan diri daripada gangguan syaitan dan mententeramkan diri daripada perasaan takut ketika tidur.

Oleh itu, antara perkara diajar Islam sebelum tidur ialah:

Mengambil wuduk

Membaca zikir yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Saiditina Fatimah dan Saidina Ali ketika hendak tidur hendaklah bertasbih sebanyak 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir 34 kali.

Membaca ayat Qursi kemudian menyapu muka serta melurutkan tangan ke arah kaki sekadar capaian tangan dan diulang tiga kali.

Membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan An-Nas serta al-Fatihah.

Bermuhasabah di atas dosa-dosa harian yang dilakukan sepanjang hari lalu memohon ampun kepada Allah dan berazam melakukan perkara lebih baik pada keesokan harinya.

Berdoa kepada Allah dengan berserah diri kepada-Nya antaranya doa yang bermaksud: "Ya Allah dengan menyebut nama-Mu aku mati dan hidup".

Mengucap dua kalimah syahadah kerana dikhuatiri malam itu adalah tidur terakhir bagi kita. Moga-moga kalimah toyyibah itu menjadi kalimah terakhir dilafaz dalam perjalanan menemui Allah SWT.

Umat Islam juga diajar bagaimana menangani persoalan mimpi seperti diriwayatkan Abdullah bin Abu Qotadah bahawasanya Rasulullah bersabda: "Mimpi yang baik daripada Allah, sedangkan mimpi yang buruk daripada syaitan, maka apabila salah seorang di antara kamu bermimpi buruk hendaklah ia meludah ke arah kiri dan mohonlah perlindungan kepada Allah dari keburukannya, sesungguhnya hal itu tidak akan memudaratkannya". (Riwayat Bukhari Muslim)

Apabila bermimpi sesuatu perkara yang baik hendaklah memuji Allah dan menceritakannya kepada orang yang menyukai, tetapi jika sebaliknya hendaklah memohon perlindungan kepada Allah, kemudian meludah ke arah kiri tiga kali, berpindah tempat, solat dua rakaat dan jangan menceritakan kepada seorang pun supaya tidak timbul andaian dan pandangan yang bukan-bukan yang boleh menimbulkan ketakutan atau keluh kesah.

Persoalan Agama: Panduan laksana puasa secara berkesan

Bersama Jakim

SETIAP tahun umat Islam berpuasa sepanjang Ramadan. Saya bertekad menjadikan Ramadan kali ini lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini. Saya tidak lagi hanya mahu menahan lapar dan dahaga, tetapi masih melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam, walaupun pada pandangan sesetengah orang, perbuatan itu hanya dosa kecil. Saya ingin berubah. Bagaimanakah saya boleh melaksanakan ibadah selama sebulan ini dengan berkesan.

IlyasIshak,
Kapar, Selangor.

Puasa adalah ibadah yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seorang hamba. Menurut Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin mengenai puasa:

"Puasa ada tiga kedudukan : Puasa Umum, puasa Khusus dan puasa khusus al-Khusus. Puasa Umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat. Puasa Khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa. Puasa khusus ialah menahan hati daripada keinginan buruk dan tidak memikirkan sesuatu selain daripada Allah dan ini ialah puasa nabi, al- Siddiqin dan al- Muqarrabin.

Seseorang berazam dan bercita-cita melaksanakan puasa dengan berkesan; Pertama hendaklah berpuasa dengan penuh ketaqwaan kepada Allah SWT kerana mengharapkan pahala dan reda-Nya. Kedua, perlu bermujahadah daripada melakukan ataupun menghampiri perkara menerbitkan dosa sama ada dosa kecil atau dosa besar. Ketiga, perlu bersabar dalam menghadapi keinginan diri dan godaan luaran yang boleh mengurangkan pahala puasa.

Imam al- Ghazali juga menggariskan panduan bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang salih, seseorang perlu menyempurnakan enam perkara iaitu;

Menundukkan pandangan dan menahan diri daripada melihat perkara tercela dan dibenci syariat dan melalaikan hati.

Memelihara lidah daripada menuturkan perkataan tidak berfaedah seperti gurau senda, mengumpat, dusta dan sebagainya.

Menahan diri daripada mendengar perkataan dibenci syarak.

Menahan anggota tubuh daripada melakukan perkara haram seperti menahan perut daripada memakan makanan yang haram atau syubhah.

Makan makanan halal berlebihan sehingga terlampau kenyang.

Perlu timbul dalam hati, perasaan takut dan berharap agar puasa dilaksanakan diterima Allah SWT dan diampunkan dosa.

Bagi mencapai ibadah puasa Ramadan ini dengan lebih berkesan disarankan dan wajar sekali menuruti panduan di atas.

Sunday, August 24, 2008

Persoalan Agama: Harus daging akikah jadi jamuan kahwin

Bersama Jakim

Lebih afdal majlis berasingan, masakan dihantar kepada orang miskin

Soalan:

Saya mendengar pelbagai pandangan mengenai akikah yang diniatkan pada majlis kenduri kahwin. Ada pandangan yang mengatakan boleh dan ada juga tidak. Saya ingin mendapatkan penjelasan yang tepat serta nas dalam hadis atau ayat al-Quran mengenainya.

Hamdan Yahya
Kuantan, Pahang.

Jawapan:

Akikah dari sudut bahasa berasal daripada perkataan 'al-aqqu' yang bermaksud potong. Asalnya ia digunakan dengan makna rambut di kepala bayi ketika dilahirkan dan dinamakan demikian kerana perlu dicukur serta dipotong.

Dari segi syarak, akikah ialah binatang yang disembelih untuk seorang bayi yang berusia tujuh hari, iaitu pada hari ke-7.

Akikah antara ibadat sunat muakad yang perlu dilakukan ibu bapa atau penjaga bayi sebagai tanda kesyukuran terhadap kelahiran dan nikmat Allah SWT berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud:

Bagi anak lelaki, disunatkan menyembelih dua kambing, manakala anak perempuan seekor kambing. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Aisyah, bahawa Baginda memerintahkan sahabat menyembelih dua kambing untuk anak lelaki yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Tirmizi).

Ini bergantung kepada kemampuan ibu bapa atau penjaga bayi dengan seekor kambing sudah memadai untuk anak lelaki. Ini dilakukan Rasulullah SAW ketika mengadakan aqiqah untuk cucunya.

Ibnu Abbas r.a. menyatakan bahawa Rasulullah SAW menyembelih akikah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing (Riwayat Abu Dawud).

Disunatkan daging akikah dimasak dulu dengan masakan yang manis dengan harapan akhlak anak menjadi mulia. Masakan juga lebih afdal disedekahkan kepada orang miskin dengan cara menghantar makanan itu kepada mereka.

Bagaimanapun, disunatkan juga sebahagian masakan dimakan sendiri dan sebahagian lain disedekahkan kepada orang ramai.

Amalan yang menjadikan daging akikah sebagai jamuan kenduri kahwin adalah harus. Bagaimanapun, lebih afdal jika kedua-dua majlis dilakukan secara berasingan.

Sunday, August 10, 2008

Persoalan Agama : Alat muzik bertali simbol peminum arak

Bersama Jakim

Ada dua golongan ulama berpendapat haram, haruskan penggunaan

Soalan:
Saya ingin tahu mengenai alat muzik yang dibenarkan dalam Islam. Ini kerana ada pandangan gitar tidak dibenarkan. Namun, saya pernah menonton satu rancangan realiti (pertandingan nasyid) pesertanya menggunakan gitar dalam persembahan. Oleh itu, apakah alat muzik dibenarkan dan diharamkan Islam serta alasannya?

Nurul Ashikin Zaidy,
Tuaran, Sabah.

Jawapan:
Antara alat muzik yang sering digunakan dalam mendendangkan sesebuah nyanyian ialah gitar. Namun, penggunaan alat muzik berkenaan atau bertali dan seumpamanya menjadi perselisihan pendapat ulama sejak dulu lagi. Antara mereka ada yang mengharuskan dan ada pula yang mengharamkannya berdasarkan hujah masing-masing. Bagi golongan ulama yang mengharamkan alat muzik berkenaan, hujah mereka bersandarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; "Sesungguhnya Allah mengutuskan aku sebagai rahmat dan petunjuk kepada sekalian alam. Dia memerintahkan aku menghapuskan al-Mazamir (alat muzik yang ditiup seperti seruling) dan al-kabarat (gambus dan alat muzik bertali) serta berhala yang disembah di zaman jahiliyyah." (Hadith riwayat Ahmad)

Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa pengharaman alat muzik bertali dan ditiup dengan mulut kerana ia menjadi simbol kepada golongan peminum arak pada masa itu. Oleh itu, alat muzik berkenaan diharamkan berikutan pengharaman arak dengan tiga sebab. Pertama, peminum arak lebih bernafsu seronok apabila mendengar muzik itu. Kedua, mereka yang berhenti minum arak akan mengingati semula kenangan ketika minum arak dan boleh membangkitkan rasa rindu untuk mengulangi tabiat lama. Ketiga, berhimpun dan berkumpul mendengar hiburan dan muzik adalah kebiasaan perbuatan orang fasik. Pengharaman itu berdasarkan kepada tegahan Rasulullah SAW yang melarang umat Islam menyerupai sesuatu golongan yang negatif (melakukan perkara dilarang) kerana dia akan dianggap sebahagian daripada golongan itu.

Golongan ulama yang mengharuskan penggunaan alat muzik pula, berpendapat bahawa setiap sesuatu perkara hukum asalnya adalah harus. Ia berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah 2:29 yang bermaksud "Dialah Allah yang menciptakan untuk kamu setiap sesuatu yang ada di bumi." Oleh itu, pengharamannya bukan disebabkan oleh zat alat muzik berkenaan yang bertali, kerana ia menghasilkan bunyi yang baik dan menyeronokkan. Mengikut rumusan yang diperoleh melalui sumber hukum membuktikan bahawa semua perkara yang baik adalah halal, kecuali jika ia membawa kerosakan kepada manusia. Firman Allah surah al-A'raf :32 yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad); Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-Nya, dan demikian juga benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?