Showing posts with label Keganasan. Show all posts
Showing posts with label Keganasan. Show all posts

Saturday, November 7, 2009

Dasar melampau undang serangan balas

Dr Ismail Ibrahim

Radikal Islam wujud untuk pertahan hak daripada diceroboh penjajah

BEBERAPA peristiwa yang berlaku di dunia hari ini seperti pembunuhan hingga banyak nyawa yang tidak berdosa terkorban menunjukkan bahawa umat manusia kini lebih cenderung mengambil pendirian radikal dan ekstrem dalam memperjuangkan kes masing-masing, dan lebih yakin kepada cara ganas untuk mencapai objektifnya, walaupun dalam kebanyakan kes, cara ganas sering kali tidak membawa kepada kejayaan.

Dalam kata lain, nampaknya manusia hari ini tanpa mengira latar belakang agama dan bangsanya tidak lagi dapat bertindak sebagai umat yang sederhana, bertoleransi dan berperikemanusiaan. Kita sebagai umat Islam amat memahami ajaran al-Quran menyifatkan umat ini sebagai umat pertengahan, umat sederhana, iaitu umat sabar, bertoleransi, bertimbang rasa, berhikmah dan bersifat terbuka.

Sementara itu, pemimpin imperialis Barat bertindak merampas atau menjajah tanah air dan negara orang lain, seperti yang berlaku di Palestin dan Iraq serta beberapa negara lain, sebenarnya sudah bertindak amat ekstrem dan radikal.

Dalam proses memaksakan kekuasaan ke atas negara lain, mereka menggunakan taktik amat keras sehingga sanggup membunuh, meruntuhkan rumah dan bangunan orang yang mereka tindas, menangkap dan memenjarakan orang tidak bersalah dan tindakan lain menunjukkan sikap hipokrasi golongan sering mendabik dada bahawa kononnya mereka pejuang hak asasi manusia serta pejuang demokrasi dan keamanan sejagat.

Kita membaca banyak laporan mengenai hal ini di dalam media yang tidak memihak dan berita yang bebas, malah kumpulan hak asasi manusia Amnesty mengeluarkan kenyataan bahawa askar Amerika di Iraq menindas rakyat Iraq di luar batas hak asasi manusia. Kita juga banyak menyaksikan dan mendengar mengenai rejim Israel yang juga melakukan pelbagai tindakan kejam ke atas rakyat Palestin tanpa menghiraukan hak asasi manusia.

Inilah sebenarnya sikap radikal dan ekstrem dilakukan oleh negara penjajah Barat dan rejim Zionis ke atas umat yang lemah dan tidak berdaya. Tetapi sering kali perbuatan mereka tidak mendapat perhatian dunia kerana hal itu dilakukan oleh kerajaan mereka, dan mereka sering kali dapat mengaburi mata dunia dengan slogan mereka laung-laungkan bahawa mereka melakukan semuanya itu untuk memerangi pengganas an-tarabangsa, dan menyelamatkan umat manusia daripada keganasan musuh dunia.

Islam sebenarnya mempunyai sikap amat terbuka terhadap bangsa bukan beragama Islam, iaitu seperti ditegaskan oleh al-Quran mengenai kejadian manusia terdiri daripada pelbagai puak dan bangsa, sama juga seperti kejadian manusia terdiri daripada lelaki dan perempuan, juga kejadian manusia terdiri daripada kepelbagaian warna kulit dan bahasa mereka.

Maka, manusia seluruhnya tanpa mengira jantina dan bangsa, warna kulit, bahasa dan budaya, diciptakan untuk berinteraksi, bekerjasama dan berbaik-baik di antara semua umat itu. Malah al-Quran memberi amaran kepada umat Islam supaya jangan memaki-hamun atau mencerca Tuhan umat lain yang menyembah selain daripada Allah, supaya mereka pula tidak akan mencerca Allah dengan melampaui batasan tanpa ilmu. (Al-Quran 6:108).

Jadi berdasarkan sikap terbuka dan bertoleransi ini tidak mungkin sama sekali bagi sesiapa pun melemparkan fitnah dan tuduhan bahawa ajaran Islam adalah berasaskan bangsa dan agama, malah di dalam sejarah klasik dan moden kita dapat melihat bagaimana sikap toleransi Islam yang amat tinggi terhadap umat bukan Islam.

Cuma yang harus diperhatikan ialah sikap segelintir manusia dalam masyarakat dunia ini yang sememangnya memusuhi umat Islam, iaitu yang selama-lamanya tidak akan reda dengan Islam dan umatnya. Hal ini sama juga sebenarnya dengan segelintir umat Islam sendiri bersikap fanatik dan taksub melulu terhadap bukan Islam.

Islam juga menentang golongan yang taksub ini seperti terbukti di dalam pengertian ayat yang saya sebutkan di atas. Maka golongan inilah juga yang saya rasa golongan radikal dan ekstrem yang melakukan segala perbuatan ganas atas nama Islam seperti yang berlaku selama ini.

Malah perbuatan membunuh sesama Islam, termasuk juga yang berlaku di antara pengikut mazhab tertentu di dalam agama kita sehingga membawa kepada pertumpahan darah sesama saudara Islam, semuanya ini adalah satu tindakan keterlaluan dan melulu yang amat menyimpang jauh daripada ajaran Islam yang suci.

Sebab itulah, seperti saya sebutkan di atas, ketika ini nampaknya manusia lebih cenderung mengambil jalan radikal dan melampau, sama ada beragama Islam atau bukan Islam. Masing-masing bersaing dan berlumba-lumba menunjukkan kekuatan mereka dalam bentuk kekuatan bersenjata dan menceroboh hak orang lain yang sepatutnya dapat hidup dalam aman dan damai.

Sebab itulah juga, kuasa Barat tidak seharusnya bertanya kenapakah golongan yang mereka namakan sebagai pengganas Islam telah bertindak begitu melampau terhadap mereka dan kepentingan mereka. Kuasa Barat seharusnya mengetahui jawapannya kenapakah golongan radikal Islam itu bertindak terhadap kepentingan Amerika, British dan Israel. Mereka seharusnya terlebih dulu memeriksa dasar luar mereka terhadap negara membangun dan lemah, dan terhadap hak rakyat negara lain untuk menentukan nasib mereka sendiri.

Berdasarkan hal ini, mereka sebenarnya dengan tindakan melampau itulah yang mengundang serangan daripada puak 'militan Islam' itu. Oleh itu selagi pihak penjajah Barat tidak mengubah dasar dan tindakannya terhadap sebahagian negara Islam dan umat Islam yang dianggap sebagai musuh itu, maka selama itulah agak sukar pula pihak radikal berkenaan akan mengubah perjuangan mereka terhadap kepentingan penjajah itu.

Pihak rakyat Palestin umpamanya tentulah agak sukar untuk memberhentikan serangan mereka terhadap negara Israel dan kepentingan rejim terbabit selagi pihak Israel sendiri terus menerus bertindak dengan kejam menekan rakyat Palestin.

Datuk Dr Ismail ialah Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim UKM yang juga Pemegang Amanah Yayasan Satu Malaysia

Thursday, August 28, 2008

Hak Muslim: Boleh mohon cerai taklik, fasakh jika didera suami

excopgsm@yahoo.com

Isteri perlu guna saluran perundangan bagi pertahankan hak akibat keganasan rumah tangga

Soalan:

SAYA berkahwin kira-kira lima tahun lalu. Sepanjang perkahwinan itu saya tidak bahagia. Suami sering memukul saya hingga cedera. Pernah kaki saya patah kerana dipukul dengan kayu golf tetapi saya hanya beritahu doktor saya terjatuh selepas diberi amaran oleh suami. Saya takut dengan suami apatah lagi dia sering mengancam hendak mencederakan anak tunggal kami yang berusia dua tahun. Saya tidak dibenarkan keluar rumah melainkan bersama beliau. Saya sudah tidak sanggup lagi menanggung penderitaan ini tetapi tidak tahu apa yang harus dilakukan. Pada masa ini saya langsung tidak dibenarkan keluar rumah kerana muka dan badan saya ada kesan lebam dipukul suami. Tolonglah nasihatkan apa yang perlu saya lakukan.

Isteri menderita, Sunway

Jawapan:

Kisah puan yang sedih tidak sepatutnya berlaku pada masa ini. Walau apapun alasan diberikan, suami tidak mempunyai hak langsung untuk mencederakan puan. Puan perlu tegas dalam pendirian dan bertindak awal sebelum segala kemungkinan buruk berlaku.

Tujuan undang-undang syariah atau yang dinamakan maqasid al syariah adalah untuk menjaga agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. Jika ada perkara yang mengancam tujuan itu, undang-undang boleh dibuat bagi mengawalnya.

Perbuatan suami puan tergolong dalam perbuatan keganasan rumah tangga. Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 mentakrifkan perlakuan keganasan rumah tangga termasuklah:

meletakkan mangsa dalam keadaan takut atau cedera;
menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa;
memaksa mangsa melakukan perbuatan berbentuk seksual;
mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan; atau
melakukan khianat atau kerosakan terhadap harta.

Perlakuan di atas hendaklah dilakukan oleh seseorang terhadap isteri atau suami, bekas isteri atau bekas suami, kanak-kanak, orang dewasa yang tak berkeupayaan atau mana-mana anggota keluarga lain bagi tergolong di bawah kesalahan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Selain itu, Kanun Keseksaan juga memperuntukkan beberapa kesalahan yang boleh disabitkan jika mencederakan seseorang.

Dalam keadaan diterangkan, puan perlu melakukan beberapa perkara bagi mengakhiri penderitaan yang ditanggung. Pertamanya, puan perlu membuat aduan ke balai polis berhampiran mengenai penderaan yang dilakukan.

Puan juga boleh memohon perlindungan sementara di bawah seksyen 4 Akta Keganasan Rumah Tangga bagi menghalang suami mendekati puan. Permohonan itu hendaklah dibuat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan perintah yang diberikan berkuatkuasa sehingga siasatan polis selesai.

Di Mahkamah Syariah pula, puan juga boleh memohon perintah tegahan mengikut seksyen 107 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 bagi menghalang suami menceroboh diri, anak dan harta puan.

Jika wujud keadaan mendesak, puan boleh memohon perintah secara ex parte atau sebelah pihak. Di samping itu, puan boleh memohon hak jagaan sementara anak bagi mengelakkan anak juga didera suami.

Berhubung perkahwinan pula, puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah berhampiran untuk membubarkan perkahwinan sama ada secara taklik atau fasakh. Puan dinasihatkan berjumpa peguam syarie bagi mendapatkan nasihat sewajarnya dalam memfailkan permohonan pembubaran perkahwinan itu.

Seterusnya puan boleh memohon hadanah kekal atau hak jagaan anak di Mahkamah Syariah. Mengikut seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, ibu adalah penjaga utama bagi anak kecilnya sama ada dalam masa perkahwinan atau selepas perkahwinannya terbubar selagi tiada perkara menggugur hak itu berlaku.

Apa yang perlu puan lakukan sekarang ialah mengambil pendirian tegas bagi menyelamatkan nyawa dan anak. Undang-undang menjamin hak orang teraniaya tetapi jika puan tidak mahu menggunakan saluran perundangan, mungkin tidak ada orang lain yang dapat menolong. Fikirkanlah tindakan paling sesuai dan bertindak segera mempertahankan hak puan dan anak sebelum terlambat.

Mohonlah nasihat daripada sanak saudara, sahabat handai atau jiran tetangga bagaimana puan dapat mengatasi perkara ini kerana dalam keadaan sebegini sokongan saudara dan sahabat ataupun jiran tetangga penting terutama di peringkat yang amat genting.

Jika keseorangan, mudah suami terus menerus menzalimi puan. Puan juga boleh memohon bantuan daripada beberapa pertubuhan kebajikan dan pusat perlindungan bagi melindungi puan sekeluarga. Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat juga ada menyediakan talian khas iaitu talian An Nur bagi memberi khidmat nasihat. Nombor talian ialah 15999.

Jawapan ini disediakan Presiden Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar. Sebarang komentar boleh dihantar

ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com