Showing posts with label Khabar Angin. Show all posts
Showing posts with label Khabar Angin. Show all posts

Saturday, June 6, 2009

Umat Islam dituntut sembunyi keaiban orang lain

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Sifat mahmudah hindar diri daripada termakan fitnah, khabar angin rosak masyarakat

FENOMENA fitnah dan khabar angin sering digunakan dalam menyebarkan maklumat tidak benar.

Ada segelintir daripada kita kini menggunakan kemudahan canggih itu untuk melagakan sesama manusia sehingga yang bersahabat menjadi musuh, suami isteri bercerai gara-gara e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), surat layang dan internet.

Islam melarang perbuatan fitnah dan menyebar khabar angin. Golongan penyebar maklumat palsu dijanjikan Allah dengan balasan azab amat pedih.

Firman Allah SWT dalam Surah an-Nur, ayat 19, bermaksud: "Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya."

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis bermaksud: "Awasilah diri kamu daripada buruk sangka kerana perbuatan itu satu pembohongan besar. Jangan mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikan diri kamu semua bersaudara." (Riwayat Bukhori & Muslim)

Rasulullah mengingatkan kita sentiasa menjauhi diri daripada terjerumus ke dalam perbuatan keji yang dinyatakan dalam hadis itu. Sesungguhnya impak perbuatan keji itulah yang membawa kepada penyebaran surat layang dan fitnah-memfitnah dalam masyarakat.

Perbuatan buruk sangka terhadap orang lain timbul daripada perasaan tidak puas hati dan dengki khianat atas sebab tertentu.

Perbuatan seperti ini melambangkan rendahnya moral pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain dengan menolak pertimbangan dan rasional akal yang dianugerahkan Allah kerana diri mereka dikuasai nafsu marah dan dengki khianat yang berpanjangan.

Jika sesuatu tuduhan itu ada kebenaran, orang yang mengambil kesempatan untuk berbuat demikian perlu mengadakan bukti kukuh dan munasabah bagi membuktikannya, bukan dengan mencantumkan cerita dibawa dari mulut ke mulut untuk dijadikan modal menyebarkan wasangka buruk dan tuduhan palsu serta negatif kepada individu.

Akibatnya, perasaan dendam terus berpanjangan antara yang menuduh dengan dituduh, masing-masing ingin membuktikan tuduhan dibuat benar dan menghijab diri dengan penafian bagi menolak segala tuduhan yang dilemparkan.

Islam melarang umatnya berperasaan suka mengorek rahsia orang lain. Peribahasa Melayu ada menyebut, jangan jaga tepi kain orang.

Namun, dalam beberapa hal membabitkan kebatilan dan perkara sumbang dalam masyarakat yang mengundang kemudaratan kepada ajaran agama, dibolehkan untuk berbuat demikian dengan tujuan menegahnya tidak terus menular dalam hidup bermasyarakat.

Namun, apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini, perbuatan mencari rahsia orang lain bukan bertujuan menegah berlaku perkara sumbang, tetapi untuk mendapatkan mesej tertentu mengenai peribadi seseorang dan kemudian dijadikan umpan sebagai alat membalas dendam kepada orang berkenaan.

Islam menuntut umatnya tidak mendedahkan keaiban orang lain walaupun ia mengetahuinya perkara sebenar kerana Allah akan menyembunyikan keaiban kita daripada dihebahkan kepada orang lain.

Telinga antara pancaindera anugerah Allah yang tiada bandingannya, justeru setiap Muslimin perlu menjaga telinga mereka daripada mendengar berita atau khabar angin yang belum tentu kebenarannya. Tetapi jika terpaksa mendengarnya atas faktor keadaan, maka dituntut tidak pula menjadi penyebar kepada orang lain.

Ini untuk mengelakkan kita terbabit sebagai penabur fitnah yang bakal memporak-perandakan kehidupan bermasyarakat.

Satu sifat mazmumah yang paling kerap melanda diri manusia yang suka menyebarkan khabar angin dan fitnah ialah hasad dengki dan iri hati.

Sifat ini dalam definisi yang lengkap membawa maksud mencari jalan atau ikhtiar menghilangkan nikmat pada orang lain.

Impak amat besar, bukan saja kepada orang didengki malah terpalit kepada seluruh anggota masyarakat umum. Kesabaran menjadi asas utama mengelakkan hal lebih besar melanda manusia.

Kesimpulannya untuk mengelak diri daripada terbabit dan tergelincir ke arah perlakuan keji seperti suka menabur fitnah, bersifat hasad dan mudah terpengaruh dengan khabar angin eloklah kita beramal dengan beberapa ciri sifat mahmudah seperti disarankan oleh Imam al-Ghazali iaitu:

# Al-qanaah (cukup dengan apa yang diberikan).

# Al-zuhd (tidak mementingkan duniawi).

# Kitmanus-sir (merahsiakan rahsia).

# Al-hilm (lambat marah).

# As-syajaah (berani.)

# Al-iffah (pemaaf).

Friday, April 3, 2009

Fitnah, khabar angin gugat keamanan

HARI ini kita beruntung kerana berada dalam negara yang harmoni dan aman. Nikmat dikurniakan Allah itu untuk disyukuri, bukan dikhianati. Hanya mereka yang menggunakan nafsu bersendikan amarah dan dendam yang tidak mensyukuri nikmat teramat mahal nilainya itu.

Nikmat keamanan dan keharmonian dalam negara turut dinikmati penduduk bukan Islam membuktikan rakyat mengutamakan iklim kehidupan aman dan harmoni. Justeru, penduduk bukan Islam tidak perlu bimbang mengenai keselamatan dan kebebasan selagi mereka menghormati prinsip yang dipersetujui bersama.

Masyarakat bukan Islam bebas berinteraksi dalam persekitaran sosial orang Islam dan berintegrasi dengan mereka bagi menjamin kestabilan, keharmonian masyarakat, kemajuan dan kemakmuran. Begitu juga sebaliknya.

Seluruh masyarakat Malaysia perlu terus mengamalkan toleransi, sifat terbuka dalam hubungan sosial, bersama menggalakkan kesatuan, integrasi masyarakat, meluaskan ruang bersama, saling memahami, menghormati, mempercayai dan meyakini.

Mereka perlu menghalang sentimen agama daripada menjadi punca persengketaan. Dengan kata lain, demi menjaga keharmonian beragama di Malaysia, rakyat mesti mengamalkan sifat sederhana dan menjauhi elemen yang boleh menghancurkan keamanan serta keharmonian dibina lebih lima dekad itu.

Islam sebagai agama yang menekankan keamanan dan kesejahteraan seperti terkandung dalam makna Islam sendiri. Seluruh warga Malaysia mesti menjadi pendukung nilai kebaikan sejagat seperti cintakan keamanan, kedamaian dan keadilan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang Islam ialah mereka yang sejahtera sekalian orang Islam daripada (bahaya ancaman) lidah dan tangannya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Demi Allah tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman, lalu ditanya, siapa (yang tidak sempurna imannya) wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Iaitu orang yang tidak memberi ketenteraman kepada jirannya dengan sebab kejahatan yang dilakukannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelas, untuk memelihara sistem hidup manusia atas landasan keamanan ialah dengan menjaganya supaya bebas daripada unsur perpecahan. Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Tuhan memperbaikinya.” (Surah al-A’raaf, ayat 85)

Sebenarnya, pembentukan bangsa yang berlainan akidah, kepercayaan, amalan dan adat resam tetapi berkongsi hidup secara aman dan saling membantu bukan perkara mustahil.

Suasana hidup bermasyarakat seperti ini sudah dilaksanakan Rasulullah SAW sejak zaman permulaan Islam. Baginda membentuk ummah terdiri daripada orang Islam (Muhajirin dan Ansar) yang berlatar belakangkan pelbagai puak dan bangsa. Di samping orang Islam, konsep ummatan wahidah yang menjadi gagasan besar Rasulullah SAW turut memasukkan orang Yahudi yang menjadi warga negara Islam Madinah.

Piagam Madinah memberikan hak sama rata kepada seluruh penduduk tanpa sebarang diskriminasi melangsungkan pembinaan masyarakat harmonis dan aman selesa.

Kerja meruntuhkan binaan yang kukuh dan mantap boleh dilakukan hanya sekelip mata, apatah lagi kemusnahan itu bermula daripada prasangka buruk yang merebak dan cepat dipercayai walaupun kebenarannya tidak dapat dibuktikan.

Allah mengingatkan melalui firman bermaksud: “Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan jangan kamu mencari kesalahan dan keaiban orang lain dan jangan sesetengah kamu mengumpat akan sesetengah yang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Fenomena fitnah dan khabar angin sering menjadi senjata berbisa menyebarkan maklumat palsu. Mereka menggunakan kemudahan canggih ini untuk melagakan sesama manusia, terutama pihak yang tidak menyertai kumpulan mereka.

Senjata ini membunuh keamanan dan keharmonian yang menjadi impian manusia. Islam melarang fitnah dan menyebar khabar angin, penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah dengan balasan azab amat pedih.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Awasi diri kamu daripada buruk sangka kerana perbuatan itu adalah pembohongan besar. Jangan mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikan diri kamu bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan bersangka buruk terhadap orang lain sebenarnya timbul daripada perasaan tidak puas hati dan dengki atas sebab tertentu. Perbuatan seperti ini melambangkan rendahnya moral pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain.

Kita mesti sedar untuk tidak membenarkan gejala buruk itu berlaku. Jangan dibenarkan nafsu menguasai akal kerana tindakan itu adalah perbuatan iblis yang tidak pernah menyesal terhadap perbuatannya.

Manusia mempunyai pertimbangan akal, iman dan nafsu sebelum melakukan perbuatan buruk. Justeru, letakkan keamanan dan keharmonian sebagai nilai yang tidak ada harga untuk membayarnya.

Bukankah Allah sudah menerangkan kepada umat Islam bahawa kunci keberkatan dan keamanan yang berkekalan adalah melalui rasa syukur kepadanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Apabila keamanan dan keharmonian hancur, sukar untuk mengembalikannya. Oleh itu, nikmat yang Allah kurniakan mesti dihargai dan disyukuri serta dipelihara supaya terus menjadi sumber perpaduan rakyat negara ini.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)