Showing posts with label Marah. Show all posts
Showing posts with label Marah. Show all posts

Thursday, February 11, 2010

Ingatan bagi pelupa: Sesal hasil marah paling nyata

MARAH yang terbit daripada sifat takbur, sombong, bongkak dan kebanggaan melahirkan perasaan meninggikan diri, hasad, dengki serta berebut pengaruh.

Ada kalanya kemarahan hanya untuk kepentingan diri, bukan mendidik dan mengajar.

Menahan kemarahan seperti itu perlu banyak maaf (hilm) dan banyak menahan hati (tahallum) kerana marah adalah tabiat diri.

Biasanya jika marah kepada yang disegani, perasaan dipendam dalam hati dan muka menjadi muram.

Jika marah kepada sama usia, muka merah, badan gementar dan ada kalanya terserlah kemarahan itu.

Ada juga sikap marah yang lahir daripada pergaulan dengan orang pemarah.

Disebabkan itu kita juga menjadi mudah marah sebaliknya apabila bergaul dengan orang yang tenang dan lemah lembut, si pemarah akan luntur nafsu marahnya.

Sesal adalah hasil marah paling nyata. Akibat suka marah, kawan semakin kurang, yang dibenci bertambah banyak, musuh bertambah gembira memperolok-olokkan, orang yang dengki bertambah suka mempermainkan. Anak suka sekali mencemuh dan meniru.

Seorang bapa sering memarahi anaknya dengan berkata: "Awas, nanti kamu semua saya 'timbang' dengan kaki kiri, dan saya kirimkan masuk kolam."

Disebabkan sering dimarahi begitu, anak yang mendengar memarahi kawannya dengan kata-kata yang sama. Hasilnya, akibat kesombongan dan sering dimarah bapa menjadi bahan ejekan anaknya.


Sumber: Buku Tasauf Moden - Prof Dr Hamka

Wednesday, December 30, 2009

Marah biar bertempat ikut panduan al-Quran, Sunnah Rasulullah

NABI SAW dalam hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah, seorang lelaki datang kepada Nabi SAW lalu berkata: "Berwasiatlah kepadaku Ya Rasulullah. Lalu Baginda bersabda: Jangan engkau marah." Nabi SAW mengulanginya sebanyak tiga kali.

Setiap manusia ada mempunyai sifat marah, begitu juga haiwan. Seekor kucing yang jinak dan manja akan marah apabila kita menyakitinya dengan menarik ekornya beberapa kali.

Sifat sabar adalah penghalang daripada sifat marah. Bagaimanapun, kesabaran ada had dan batasnya kerana apabila sudah hilang sabar maka timbullah kemarahan.

Menurut Imam Al-Ghazali, sikap marah ialah nyalaan api bersumber daripada api Allah yang menyala dan menjulang tinggi sampai naik ke hati. Maka terpulang kepada seseorang untuk cepat marah, marah keterlaluan (marah tidak bertempat), marah pertengahan (mampu mengawal marahnya) atau tidak tahu marah.

Marah yang sederhana adalah marah terpuji, manakala tidak tahu marah adalah terkeji dan marah keterlaluan adalah termasuk dalam marah terkeji yang dilarang oleh Nabi SAW seperti sabdanya.

Marah keterlaluan dilarang Islam kerana mendatangkan kesan dan implikasi tidak baik kepada orang yang marah, juga orang kena marah. Disebabkan marah ada rumah tangga runtuh, kerana marah anak didera, pembunuhan berlaku, anak lari dari rumah, majikan ditetak pembantu rumah dan kerana marah orang saman-menyaman.

Menurut Imam Al-Ghazali, 10 punca menyebabkan sifat marah:

  • rasa bangga diri (sombong)

  • takjub kepada peribadi sendiri

  • suka bergurau senda yang ber lebihan dan melampaui batas
  • suka bercakap perkara sia-sia

  • suka membuat fitnah

  • suka berbantah-bantah dalam sesuatu perkara

  • khianat

  • tamak kepada harta dan pangkat

  • tidak dapat mengendalikan nafsu dan emosi dengki dan irihati.

    Apabila seseorang itu marah maka pergerakan fizikalnya akan turut berubah. Api kemarahan semakin memuncak menyebabkan percakapannya menjadi kuat, kata-kata tidak teratur, bahasanya lucah, kasar dan bersifat menghina.

    Orang yang marah akan merendah-rendahkan orang dimarah, muka dan matanya menjadi merah, badannya terketar-ketar, tangan dan kakinya menjadi ringan untuk memukul dan menghentam, akalnya pada waktu itu tidak digunakan secara betul, semua tindakan mengikut nafsu kemarahannya.

    Bagi orang yang waras, tentu kita tidak sanggup melihat keadaan kita sewaktu marah jika ia dirakam dan ditayang semula untuk menontonnya. Bagi orang yang kena marah mungkin akan berdiam diri, kadang kala melawan dengan kata-kata atau kekuatan.

    Marah turut berlaku kepada individu yang mempunyai kedudukan seperti orang agama berstatus ustaz, ustazah, tuan guru, ulama, marah dan melenting.

    Marah yang dipuji adalah marah yang pertengahan, iaitu marah bertempat. Contohnya, seorang bapa marah kepada anaknya yang tidak mahu bersolat atau menutup aurat. Nabi SAW mengajar dalam sabdanya yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang tidak mahu bersolat ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur."

    Marah kepada mereka yang memusuhi Islam sehingga kita boleh mengisytiharkan berperang. Begitu juga dalam mencegah kemungkaran, perlu ada marah.

    Contoh paling hebat berlaku dalam sejarah ialah ketika Saidina Ali berada dalam satu peperangan di mana beliau hampir hendak memenggal leher musuhnya, tiba-tiba musuhnya itu meludah mukanya. Lalu Saidina Ali tidak jadi memenggal lehernya.

    Maka musuhnya berasa pelik lalu bertanya kepada Saidina Ali mengapa tidak jadi membunuhnya. Maka Saidina Ali menjawab: "Aku takut bahawa aku membunuhmu bukan kerana Allah tetapi kerana marah kepada kamu kerana meludahku." Hebatnya Saidina Ali masih lagi menggunakan pertimbangan akal dan syariat walaupun ketika marah.

    Sumber: Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)
  • Tuesday, November 10, 2009

    Ingatan bagi pelupa: Bakhil, marah dan mabuk mainan syaitan sesatkan manusia

    WAHB bin Munnabbih berkata, "Ada seorang ahli ibadat Bani Israel akan disesatkan oleh syaitan tetapi gagal. Pada suatu hari ia keluar kerana ada urusan lalu diikuti syaitan untuk mencari kesempatan menyesatkan alim itu. Syaitan berusaha menaikkan syahwat dan kemarahannya tetapi kecewa. Lalu syaitan menimbulkan ketakutannya maka dibayangkan kepadanya seolah-olah batu besar dari bukit akan menimpanya tetapi alim itu selalu berzikir kepada Allah sehingga terhindar.

    Adakalanya syaitan menyerupai singa dan binatang buas tetapi semua itu tidak dihiraukan dan ada kalanya syaitan menyerupai ular yang melingkari kakinya ketika sembahyang. Ketika sujud ular itu membuka mulutnya seakan-akan hendak menelan kepalanya maka ia hanya menyingkirkan dengan tangannya sampai dapat bersujud.

    Ketika selesai sembahyang syaitan datang kepadanya dan berkata: “Aku sudah usaha untuk menyesatkan kamu tetapi tidak dapat, dan kini saya akan berkawan saja denganmu. Jawabnya: “Sedang ketika kau menakutkan aku, alhamdulillah aku tidak takut, kini saya tidak ingin bersahabat dengan engkau.”

    Lalu syaitan berkata: “Apakah kau tidak tahu bagaimana keadaan keluargamu sepeninggalan kamu? Jawabnya, “Aku sudah mati sebelum mereka.” Syaitan berkata: “Adakah kamu ingin bertanya bagaimana aku dapat menyesatkan anak Adam? Jawabnya, “Bagaimana kamu menyesatkan anak Adam? Jawab syaitan dengan tiga macam; Bakhil (kikir) dan marah dan mabuk. Sebab manusia jika bakhil kami bayangkan kepadanya bahawa hartanya sangat sedikit sehingga ia sayang untuk mengeluarkan untuk kewajipannya.

    Apabila ia marah, kami akan mempermainkan ia sebagai anak kecil bermain bola, meskipun ia dapat menghidupkan orang mati dengan doanya, kami tetap tidak patah harapan untuk dapat menyesatkannya, sebab ia membangun dan kami yang merobohkan dengan satu kalimat saja.

    Demikian pula jika seorang mabuk maka kami akan mendorongnya dengan mudah kepada segala kejahatan sebagaimana kambing ditarik sesuka kami. Di sini syaitan menyatakan bahawa orang yang marah jatuh di tangan syaitan bagaikan bola di tangan anak-anak, kerana itu seorang harus sabar supaya tidak jatuh dalam tawanan syaitan dan tidak sampai gugur dalam perbuatannya.

    Sumber Tanbihul Ghafilin

    Wednesday, November 4, 2009

    Umar tak laksana hukum ketika marah

    KHALIFAH Umar Abdul Aziz berkata kepada orang yang memarahnya. "Andaikan engkau tidak membuatkan aku marah, nescaya aku beri hukuman". Umar tiba-tiba teringat ayat Allah. "Dan mereka yang dapat menahan marah", kerana itu ketika ia mendapat kesempatan untuk menahan maka langsung dipergunakan.

    Umar dalam peristiwa lain melihat seorang mabuk, maka ketika ditangkap untuk dihukum, tiba-tiba Umar dimaki oleh lelaki mabuk itu, maka Umar kembali tidak jadi menghukum. Ketika ditanya," Ya Amirul mukminin, mengapa setelah ia memakimu tiba-tiba engkau tinggalkan? Jawabnya, "Kerana ia menjengkelkan aku, maka andaikan aku hukum (pukul) mungkin kerana kemarahanku kepadanya. Saya tidak suka memukul seorang hanya membela diriku."

    Thursday, February 19, 2009

    Bendung rasa marah menerusi sabar

    Nik Salida Suhaila Nik Saleh

    Sifat pemaaf seperti diajar Rasulullah perlu menjadi panduan, ikutan ummah

    SESIAPA saja yang mengalami gangguan emosi akan mudah marah walaupun perkara kecil. Gurauan dan usikan pun boleh mengundang padah jika tidak kena pada masanya. Apatah lagi jika ada mencurah minyak ke atas bara yang masih menyala, tentulah apinya menjulang lebih tinggi.

    Perasaan marah adalah satu kebiasaan kepada manusia dan ia bukan luar biasa. Maklumlah hidup yang penuh liku menuntut kesabaran dan ketenangan, tetapi jika ia tidak dikendali sebaik-baiknya, kesabaran turut ditelan rasa marah yang memakan diri.

    Setiap insan berdepan pelbagai ujian hidup yang kadangkala perit untuk ditanggung. Pancaroba datang dalam pelbagai bentuk, ada kalanya kesusahan, kemiskinan, pengorbanan, kematian, kehilangan, kekayaan, kesenangan dan kemasyhuran.

    Jika tidak menyedari setiap ujian yang datang itu adalah untuk menguji keimanan seseorang hamba, sudah tentulah kita tidak reda dan pasrah dengan kesulitan itu. Itulah akhirnya yang menyebabkan rasa marah menguasai diri mengatasi yang lain.

    Kita perlu akur sifat marah wujud dalam diri setiap manusia, tetapi ia disediakan sebegitu rupa untuk dimanfaatkan pada masa yang sepatutnya dan dengan penuh hikmah dan bijaksana, bukannya penuh nafsu dan membabi buta.

    Orang beriman, rasa marah boleh dileraikan dengan kesabaran dan itulah yang menjadi perisai dalam menghadapi dugaan, bahkan itulah yang menjadikannya reda terhadap takdir Ilahi, kerana setiap apa yang terjadi di muka bumi ini adalah mengikut perancangan Allah dengan usaha makhluk-Nya.

    Orang beriman juga tahu sifat marah amat dibenci oleh Allah sehinggakan Rasulullah SAW pun berkali-kali menyatakannya dalam sabda Baginda bermaksud: "Dari Abu Hurairah bahawasanya ada seorang lelaki berkata kepada Nabi Muhammad SAW: 'Berpesanlah kepadaku', lalu Baginda Rasulullah SAW bersabda: 'Jangan marah'. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta agar Rasulullah SAW memberinya pesanan, tetapi Baginda masih tetap bersabda: "Jangan marah". � (Riwayat Al-Bukhari)

    Walaupun sifat marah ada dalam diri setiap makhluk, sebaik-baiknya ia dielakkan kerana marah boleh menimbulkan permusuhan dan kemudaratan, bukan saja kepada orang lain malah kepada diri sendiri. Lebih buruk, jika sifat marah menyebabkan kesusahan kepada, masyarakat keseluruhannya dan membiakkan dendam yang tidak berkesudahan.

    Ajaran agama supaya sesiapa yang berasa marah mengambil wuduk untuk menenangkan diri perlulah diamalkan setiap masa, malah itulah yang memudahkan huluran maaf, yang akhirnya menyambungkan kembali silaturahim sesama insan.

    Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Dari 'Atiah ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan itu diciptakan daripada api dan sesungguhnya api itu terpadam dengan air, maka apabila salah seorang dari kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk". � (Riwayat Abu Daud)

    Firman Allah SWT dalam Surah Ali 'Imran, ayat 133-134 yang bermaksud: "Dan segeralah kamu mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa iaitu orang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan ingatlah, Allah mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik".

    Sememangnya perbuatan zalim seperti pembunuhan, rompakan, sumbang mahram dan sebagainya yang dilakukan kepada seseorang boleh menyebabkan kemarahan bukan saja orang yang menjadi mangsa malah orang di sekeliling yang melihat kejahatan itu dilakukan.

    Bukan saja yang boleh dilihat dengan mata kasar, ada kalanya kezaliman berbentuk fitnah yang memecahbelahkan umat Islam serta boleh menghancurkan kesucian agama yang dijunjung oleh umat yang masih kuat pegangan akidah dan tauhid. Sudah tentulah keadaan ini menyebabkan rasa marah.

    Tetapi seperti dirakamkan dalam al-Quran yang lebih baik adalah memaafkan perbuatan itu, kerana itulah yang kekal dalam pertimbangan Allah terhadap orang yang menjauhi dosa besar serta perbuatan keji. Jangan pula kejahatan dibalas dengan kezaliman dan fitnah dibalas dengan tohmahan. Dalam syariat juga kemaafan ada 'merit' dalam melonggarkan hukuman jika ia diberikan kepada pesalah, seperti Qasas.

    Orang yang terdidik untuk mengawal sifat marah boleh menjauhi dengki dan dendam, buruk sangka, berperasaan buruk terhadap orang lain, bertindak mengikut nafsu dan sabar dengan ujian-Nya. Sifat sopan, lemah lembut, berkasih sayang, mesra dan pemaaf seperti diajar Rasulullah perlu menjadi panduan dan ikutan umat Islam kerana ia boleh menjauhi sifat marah yang juga adalah jalan ke syurga.

    Rasulullah bersabda bermaksud: "Dari Abi Ad-Darda ia berkata, wahai Rasulullah SAW, tunjukkanlah saya sesuatu amalan yang boleh menyebabkan saya dapat masuk syurga. Rasulullah SAW bersabda: Jangan marah nescaya engkau akan dapat masuk syurga". � (Riwayat At-Tabarani)

    Ingatan supaya meminimumkan rasa marah dan mudah memaafkan kesilapan dan kesalahan orang lain perlu dihayati pada setiap masa dan ketika, bukan sewaktu kita sedar bahawa kita tidak mampu melawan takdir saja.

    Apa juga yang berlaku dalam kehidupan seharian, sama ada membabitkan perasaan dan hak diri sendiri, ahli keluarga atau sahabat handai, perlulah diingat bahawa jika rasa marah yang mengatasi kesabaran, kita jadikan janji Allah dan nasihat Rasulullah SAW sebagai pengubat hati.

    Islam menggariskan cara hidup yang harmoni dan aman damai, bersatu padu serta berkasih sayang sepanjang masa, termasuk kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan, bukan saja sesama manusia, justeru, demi memelihara maruah dan prinsip agama, perlulah sentiasa beringat.

    Jika marah menyebabkan perpecahan, permusuhan dan menghancurkan silaturahim umat Islam yang juga dimusuhi bukan Islam, buanglah rasa marah itu jauh-jauh walau sukar manapun, supaya kita menjadi umat yang lebih baik.

    Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

    Monday, September 29, 2008

    Semangat Ramadan kawal bara kemarahan

    Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

    IBADAT puasa bukan saja perlu dilaksanakan dengan hati ikhlas kerana Allah, bahkan kita juga dituntut menjaga tingkah-laku atau akhlak sepanjang Ramadan. Kata Luqman al-Hakim: "Agama dan akhlak adalah sendi ketakwaan."

    Salah satu akhlak yang harus dijauhi sepanjang Ramadan ini ialah marah. Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menyatakan selain hawa nafsu, marah adalah kesempatan emas bagi syaitan untuk menyesatkan manusia.

    Menurut Imam al-Ghazali pula, marah berpunca daripada secebis api neraka yang menyala. Kepanasan itu naik ke sudut hati lalu bersembunyi menjadi bara yang diliputi abu. Bara itu menetap di hati seperti api dalam sekam. Apabila terjadi sesuatu tidak menyenangkan, maka meletuslah bara itu lalu menjadi api yang bernyala.

    Syaitan akan mengambil kesempatan apabila ada anak cucu Adam yang mula hendak marah dengan menghasut mereka menerusi urat pendawaian yang boleh dihubungi oleh hasutan syaitan. Akhirnya tercetuslah kemarahan apabila api dalam hati marak menyala bagai gunung berapi.

    Dalam banyak keadaan marah boleh mendatangkan perkara buruk. Apabila seseorang itu marah, ia dibantu oleh syaitan. Syaitan adalah musuh utama manusia yang berjanji kepada Allah untuk menggoda dan memesongkan anak cucu Adam.

    Hal ini jelas dinyatakan melalui firman Allah yang bermaksud: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus.” (Surah al-Araf, ayat 16)

    Mujahid menceritakan syaitan berkata: “Aku tidak dapat dilemahkan oleh anak Adam pada tiga perkara. Salah satu perkara itu ialah apabila orang itu marah, dia akan berkata apa yang tidak diketahuinya dan melakukan sesuatu perkara yang dikesalnya.”

    Walaupun perasaan marah itu banyak dihasut oleh syaitan, ada waktunya perasaan itu boleh diredakan dengan kita mengalihkan pemikiran kita kepada Allah yang sentiasa melihat kita dan apa yang kita lakukan.

    Ingatlah, Allah tidak menyukai hamba-Nya berakhlak buruk, apatah lagi kesan dari akhlak buruk itu boleh mendatangkan perkara tidak baik. Kaedah cukup baik untuk menurunkan api kemarahan yang bergelora dalam diri ialah dengan mengambil wuduk untuk menyejukkan kemarahan yang membara dalam dada.

    Sesungguhnya apabila kita menjauhkan diri daripada mengamalkan sikap marah atau orang yang suka marah, kita sebenarnya menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah.

    Hal itu dinyatakan Rasulullah SAW kepada seorang lelaki bertanya Baginda: “Wahai Rasulullah! Apakah sesuatu yang lebih berat? Dijawab Rasulullah SAW: Kemurkaan Allah! Lelaki itu bertanya lagi: Apakah sesuatu yang dapat menjauhkan aku daripada kemurkaan Allah? Rasulullah SAW menjawab: Jangan marah.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu `Amr)

    Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang, Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)

    Selain dapat menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah, hikmah dan beruntungnya orang yang tidak marah ini ialah dapat masuk syurga seperti diceritakan Abu Darba bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Saya bertanya, Wahai Rasulullah! Tunjukkanlah saya amalan yang boleh membawa saya masuk ke dalam syurga! Lalu Baginda menjawab: Jangan marah.” (Hadis riwayat Ibnu Abid-Dunya dan At-Tabrani)

    Daripada Imam Hasan, dinyatakan bahawa ada empat orang dilindungi Allah dari syaitan dan diharamkan masuk neraka. Menurut Imam Hasan, orang yang mengekang dirinya dari kecintaan, kebencian, nafsu syahwat dan marah.

    Mengelak rasa marah bukan saja pada Ramadan tetapi sepanjang waktu perlu mengawal emosi supaya tidak lekas marah. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang cepat marah dan suka marah.

    Perlu diingat, marah itu bara api syaitan yang menjunam ke dalam hati manusia dan syaitan itu adalah musuh manusia nombor satu. Jauhkan diri kita daripada sifat marah.

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menahan kemarahannya dan dapat melaksanakannya, nescaya Allah akan memanggilnya di hadapan manusia ramai dan menyuruhnya memilih di antara bidadari yang dikehendakinya.” (Hadis riwayat Ibnu Abid-Dunya, Ahmad, Abu Daud dan at-Tarmizi)

    Sunday, August 31, 2008

    Persoalan Agama: Cara atasi marah, panas baran

    Bersama Jakim

    SAYA seorang yang panas baran. Perkara yang kecil pun boleh menyebabkan saya menjadi sangat marah dan menjadi mangsa adalah isteri dan anak. Lebih teruk ketika marah, tangan saya seperti ringan hendak memukul atau menampar. Selepas marah hilang, saya selalu menyesal, terutama apabila melihat anak ketakutan.

    Walaupun tahu sifat ini buruk dan memalukan, saya sukar mengatasi masalah ini.

    Saya ingin meminta nasihat dan panduan untuk mengatasi masalah ini. Apakah pendekatan Islam untuk mengatasi sikap panas baran atau adakah ayat al-Quran tertentu yang boleh diamalkan.

    Bapa garang,
    Kuala Lumpur

    Sifat pemarah dan panas baran adalah suatu emosi yang kadang-kadang berlaku kepada manusia biasa. Marah tidak digalakkan di dalam Islam dan perlu dikawal kerana ia memberi impak negatif terhadap keperibadian, keseimbangan akal dan keharmonian masyarakat.

    Cara mengatasi marah dalam Islam ialah:

    Mengubah Posisi. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring." (Riwayat Muslim)

    Berwuduk. Rasulullah SAW bersabda: "Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk" (Hadis Riwayat Abi Daud) .

    Minum air.

    Mendiamkan diri ketika marah.

    Berlindung kepada Allah daripada syaitan.

    Meluahkan perasaan dan masalah dalam keadaan masa dan tempat sesuai.

    Berfikiran positif.

    Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; mengelakkan daripada memekik atau bertindak garang.

    Bawa bertenang seperti menarik nafas.

    Senyum kerana senyuman mampu meredakan tekanan.

    Monday, August 11, 2008

    Menahan marah, pemaaf sifat terpuji

    Oleh Lokman Ismail

    SIFAT MULIA: Bermaaf-maafan dituntut supaya perselisihan tidak berpanjangan demi keharmonian masyarakat. - Gambar hiasan


    Bertenang, wuduk mampu redakan panas baran untuk wujud keharmonian

    MARAH adalah antara sifat semula jadi yang ada dalam diri manusia, lahir apabila ada perkara yang tidak disukai, menyakitkan, merugikan atau tidak seperti dikehendaki berlaku terhadap diri. Lawan sifat marah ialah pemaaf.

    Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap Muslim. Sifat itu mempunyai kesan besar dalam kehidupan kerana ia dapat menyelamatkan seseorang daripada terjebak dalam tindakan yang boleh mendatangkan penyesalan.

    Kerugian atau keadaan yang tidak seteruk mana yang menjadi punca kemarahan boleh bertukar satu kerugian lebih besar jika kemarahan tidak dapat dikawal.

    Sifat pemaaf dapat meletakkan seseorang pada kedudukan tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat. Dia mendapat keuntungan untuk dirinya sendiri dan tidak pula mendatangkan keburukan kepada pihak lain.

    Allah berfirman yang bermaksud: "Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan." (Surah al-Imran, ayat 132)

    Orang yang bersifat pemaaf adalah insan yang tidak berdendam dan buruk sangka terhadap orang lain. Biarpun dia pernah diperlakukan dengan sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, dia memaafkan perbuatan itu dan menerimanya secara positif.

    Mungkin pihak yang menyebabkan rasa marah itu tidak mempunyai niat melakukan perbuatan itu, melainkan kerana terpaksa atau tidak mempunyai pilihan lain. Dalam situasi begitu, sesiapa pun tidak dapat mengelak.

    Bagi mengelak timbul perasaan marah, jangan melihat sesuatu keadaan dengan terlalu serius sehingga memberi gambaran sebaliknya. Jangan cepat menyalahkan orang, sebaliknya fikirkan apakah kita mampu mengelaknya jika berada di sebelah pihak yang menyebabkan kemarahan itu.

    Marah akan menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal dan banyak keburukan akan terjadi.

    Insan pemaaf dan berhati mulia tidak hanya memaafkan apabila pelakunya memohon maaf, bahkan bersikap terbuka. Jadi, sesiapa ingin membersihkan diri daripada sifat negatif haruslah terlebih dulu membuang sifat dendam.

    Orang yang kuat menahan sifat marahnya akan mudah memaafkan orang lain. Firman Allah yang bermaksud: "Dan orang yang menahan amarahnya serta memaafkan (kesalahan) orang." (Surah al-Imran, ayat 134)

    Rasulullah SAW pernah menjelaskan orang yang kuat dalam pandangan syarak ialah mereka yang berjaya mengawal perasaan ketika marah untuk mengelak daripada bencana lebih buruk. Dia boleh mengalihkan situasi marah itu kepada satu keadaan yang lebih baik.

    Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

    Islam mengajar umatnya bagaimana mengendalikan diri dalam keadaan marah supaya sifat marahnya itu tidak berlarutan. Antaranya jika seseorang yang sedang marah itu dalam keadaan berdiri, adalah lebih baik dia duduk.

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

    Selain itu, mereka yang sedang marah juga boleh memadamkan kemarahannya dengan berwuduk. Dua perkara kelebihan wuduk, pertamanya membersihkan diri daripada kekotoran hati dan keduanya secara fizikal menyejukkan hati yang melahirkan ketenangan.

    Hadis diriwayatkan Abu Daud yang bermaksud: "Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk."

    Mereka yang berjaya menahan amarahnya supaya tidak merebak akan mendapat ganjaran di sisi Allah di dalam syurga kelak, di mana mereka boleh memilih mana-mana bidadari yang mereka sukakan.

    Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: "Barang sesiapa menahan amarahnya pada hal ia mampu untuk menumpahkannya, maka Allah akan memanggilnya di hadapan para pemimpin makhluk, lalu Allah memberinya kebebasan untuk memilih bidadari mana yang ia sukai." (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)

    Di samping mampu menahan sifat marah, seseorang itu juga perlu bersedia memaafkan pihak yang membuatkan mereka marah. Memaafkan kesalahan orang lain digalakkan bagi mengekalkan silaturahim dan keharmonian. Malah, sifat pemaaf meletakkan seseorang itu di tempat yang tinggi.

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang sesiapa yang ingin dimuliakan tempat tinggalnya dan ditinggikan darjatnya, maka hendaklah ia memberi maaf kepada orang yang menzaliminya, memberi kepada orang yang tidak mahu memberi kepadanya dan menyambung silaturahim kepada orang yang memutuskannya." (Hadis riwayat al-Hakim)

    Rasulullah SAW juga mengingatkan mereka yang selalu memberi ampunan kepada seseorang akan mudah mendapat keampunan daripada Allah. Memang orang yang dizalimi berhak membalas balik perbuatan itu tetapi adalah lebih baik jika memberi kemaafan.

    Firman Allah yang bermaksud: "Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang sama. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim." (Surah asy-Syura, ayat 39-40)

    Biarpun Islam membenarkan membalaskan kejahatan dengan kejahatan yang sama, adalah lebih baik jika diselesaikan secara memberi kemaafan. Ini bagi mengelak perkara buruk berterusan. Disebabkan membalas itu mungkin berlaku ketidakadilan apabila balasan dikenakan lebih teruk.

    Sebenarnya tidak rugi kita memaafkan orang lain. Apa yang berlaku sudah menjadi sejarah. Kita tidak mendapat apa-apapun daripada kemarahan yang ditunjukkan, bahkan menyebabkan kesan buruk kepada diri sendiri.

    Syaitan pernah memberitahu Nabi Musa bagaimana dia mendekati manusia supaya melakukan perbuatan dilarang agama dengan katanya: "Tiga perempat daripada masa yang paling baik untuk aku menggoda manusia ialah sewaktu mereka dalam keadaan marah, kerana pada masa itu aku boleh mempermainkan hati mereka seperti sebiji bola."

    Monday, January 14, 2008

    Balasan syurga bagi orang menahan marah, nafkahkan harta

    Oleh Ahmad Redzuwan Mohd Yunus

    SETIAP muslim bercita-cita untuk masuk syurga. Beruntunglah bagi mereka yang dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT. Mereka adalah orang yang taat kepada Allah SWT dan sentiasa berusaha menjauhkan diri daripada perkara dilarang-Nya.

    Allah SWT menjelaskan mengenai sifat mereka yang akan masuk syurga, yang pertama ialah mereka suka menafkahkan harta pada jalan Allah SWT sama ada di waktu senang mahupun susah.

    Firman Allah yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit.” (Surah ali-Imran, ayat 134)

    Sifat kedua yang ada pada ahli syurga, mereka adalah orang yang kuat menahan sifat marahnya dan suka pula memaafkan orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menahan amarahnya serta memaafkan (kesalahan) orang.” (Surah ali-Imran, ayat 134)

    Rasulullah SAW pernah menjelaskan bahawa orang yang kuat dalam pandangan syarak ialah mereka yang berjaya mengawal perasaannya ketika marah untuk mengelak daripada bencana lebih buruk.

    Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

    Islam mengajar umatnya bagaimana mengendalikan diri dalam keadaan marah supaya sifat marahnya itu tidak berlarutan.

    Daripada Abu Dzar, ia berkata: Sesungguhnya Rasulullah berpesan kepada kami dengan sabdanya yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

    Selain itu, mereka yang sedang marah juga boleh memadamkan kemarahannya dengan berwuduk. Hal itu dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    Mereka yang berjaya menahan amarahnya supaya tidak merebak akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT di dalam syurga kelak, di mana mereka boleh memilih mana-mana bidadari yang mereka sukakan.

    Daripada Sahl bin Muaz bin Anas, daripada ayahnya, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang sesiapa menahan amarahnya pada hal ia mampu untuk menumpahkannya, maka Allah SWT akan memanggilnya di hadapan para pemimpin makhluk, lalu Allah SWT memberinya kebebasan untuk memilih bidadari mana yang ia sukai.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

    Di samping mampu menahan sifat marah, sifat ahli syurga juga ialah mereka suka memaafkan orang yang melakukan kesalahan terhadap diri mereka, sehingga tidak ada sedikitpun niat dalam diri mereka untuk membalas dendam kepada seseorang.

    Rasulullah SAW menjelaskan daripada Ubay bin Kaab, di mana baginda bersabda yang bermaksud: “Barang sesiapa yang ingin dimuliakan tempat tinggalnya dan ditinggikan darjatnya, maka hendaklah ia memberi maaf kepada orang yang telah menzaliminya, memberi kepada orang yang tidak mahu memberi kepadanya dan menyambung silaturahim kepada orang yang memutuskannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)

    Sifat ketiga yang ada pada ahli syurga ialah mereka suka memohon ampun terhadap kesalahan mereka. Firman Allah yang bermaksud: “Dan juga orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri mereka ingat Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapa lagi dapat mengampuni dosa selain daripada Allah.” (Surah ali Imran, ayat 135).

    Bagi mereka yang memohon keampunan kepada Allah SWT, Allah SWT akan mengampunkannya. Daripada Abu Said, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Iblis berkata: Wahai Tuhanku, demi kemuliaan-Mu, aku akan terus menggoda anak cucu Adam selama roh mereka masih berada di tubuh mereka. Allah pun menjawab: Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku tetap akan memberi ampunan kepada mereka selama mereka memohon ampunan kepada-Ku.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

    Rasulullah SAW juga mengingatkan mereka yang selalu memberi ampunan kepada seseorang akan mudah mendapat keampunan daripada Allah.

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berikanlah kasih sayang, nescaya kalian akan dikasihi dan berilah keampunan, nescaya kalian akan diberikan keampunan. Celakalah bagi orang-orang yang mendengar perkataan, tetapi tidak mengamalkan dan celaka pula bagi orang-orang yang terus menerus berbuat dosa yang mereka kerjakan, sedang mereka mengetahui (larangan berbuat dosa itu).” (Hadis riwayat Imam Ahmad).