Showing posts with label Menuntut Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Menuntut Ilmu. Show all posts

Saturday, February 28, 2009

Ikhlas sifat penting menuntut ilmu

Oleh Mohd Shukri Hanapi

Setiap Muslim wajar tambah pengetahuan bagi capai kemuliaan diri

ISLAM mewajibkan umatnya menuntut ilmu pengetahuan kerana kemajuan dan kemunduran sesuatu bangsa itu diukur berdasarkan ketinggian ilmu pengetahuan mereka. Tanpa ilmu, kehidupan akan berada dalam kegelapan, kejahilan dan kemunduran.

Perlu disedari ilmu yang dianugerahkan Allah kepada kita hanya sedikit. Allah berfirman yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat Tuhanku, maka habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)." (Surah al-Kahfi, ayat 109)

Berdasarkan ayat itu, jelas menunjukkan ilmu perlu diterokai dan dicari. Cara terbaik dan berkesan untuk meluaskan ilmu pengetahuan ialah dengan mengkaji, mencari, mempelajari dan membaca buku bermanfaat serta mengandungi nilai terpuji yang boleh memperkembangkan tahap pemikiran.

Dalam menuntut ilmu hendaklah menanamkan sifat ikhlas, sekali gus menjauhi sifat jemu dan malas. Perkara lebih penting ialah kita hendaklah mengamalkan segala ilmu dipelajari bagi mendapatkan keberkatan dan keredaan Allah.

Sesungguhnya orang berilmu itu dipandang tinggi masyarakat, berbanding yang tidak berilmu. Oleh itu, setiap Muslim mestilah mementingkan ilmu pengetahuan dan menambahkannya dengan seberapa banyak yang mampu bagi mencapai kemuliaan dirinya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Adakah sama orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (tidak berilmu)? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna." (Surah al-Zumar, ayat 9)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan orang yang diberi ilmu pengetahuan, mengetahui (dengan yakin, bahawa keterangan) yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu (mengenai hari kiamat dan lain-lainnya) itulah yang benar serta memimpin ke jalan Allah yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji." (Surah Saba', ayat 6)

Memiliki ilmu pengetahuan menjadikan seseorang itu maju dan membangun, bukan saja untuk dirinya tetapi untuk masyarakat dan negara.

Di samping itu, mereka akan dapat mencapai kedudukan atau darjat yang baik di dunia mahupun di akhirat nanti.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu, maka ia dianggap sebagai orang yang berjihad fisabilillah (di jalan Allah) sehingga ia kembali." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Allah juga memberikan pengiktirafan tertinggi kepada ilmuwan dan merendahkan orang jahil atau yang hanya mengikut tanpa berfikir berlandaskan ilmu pengetahuan.

Menurut Ibn 'Abbas, perbezaan kedudukan antara orang berilmu dengan yang tidak berilmu adalah sebanyak 700 darjat. Jarak di antara setiap darjat pula ialah selama 500 tahun perjalanan.

Sesungguhnya Allah menganugerahkan akal kepada manusia adalah untuk membezakan mereka dengan haiwan. Selain itu, dengan akal manusia boleh berfikir dan membezakan antara perkara yang hak dengan batil.

Akal akan lebih berkembang jika diberi ilmu pengetahuan. Ini kerana berbekalkan ilmu pengetahuan perjalanan hidup dapat diurus dengan betul dan sentiasa berjalan di atas kebenaran mengikut petunjuk Allah.

Semua orang menyedari bahawa sekarang adalah zaman kemajuan sains dan teknologi yang memerlukan kepada ilmu pengetahuan tinggi dan luas. Islam tidak menghalang umatnya menuntut apa juga bidang ilmu pengetahuan, baik perubatan, pertanian, pertukangan dan bidang lain diperlukan, seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Ilmu dalam bidang ini sewajarnya dikuasai umat Islam. Hal ini semata-mata untuk memajukan umat Islam, sekali gus membolehkan kita menyekat dakyah palsu yang sering menyerang dan merosakkan pemikiran umat Islam. Penguasaan ilmu ICT juga dapat menyebarluaskan ajaran Islam yang suci ke seluruh dunia.

Perlu diingat, dalam kesibukan menuntut ilmu, janganlah sekali-kali meninggalkan tuntutan ilmu agama merangkumi akidah, ibadat dan akhlak supaya mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Monday, August 25, 2008

Budaya ilmu generasi sahabat Rasulullah

Oleh Mohd Fikri Che Hussain

Umat Islam digesa ikut cara tabiin untuk capai kesempurnaan hidup

MENUNTUT ilmu agama tidak cukup dengan hanya bermodalkan semangat. Seseorang Muslim patut mengetahui juga segala bentuk prinsip asas dan cabangnya seperti digariskan syariat yang sempurna.

Tujuannya supaya seseorang Muslim itu tidak kebingungan dalam menghadapi seruan daripada kepelbagaian kelompok dakwah. Apa yang penting, mereka tidak mudah terjerumus ke arah pemahaman menyeleweng.

Dewasa ini ada banyak ‘ruang’ dan ‘jalan’ ditawarkan bagi mempelajari agama Islam. Sudah pasti semua pihak mendakwa cara dan gaya mereka adalah yang terbaik dan paling benar. Melalui pelbagai cara dan gaya ini jugalah mereka berusaha menambat pengikut seramai boleh.

Lihatlah dalam masyarakat kita sendiri, ada pihak menawarkan cara dengan motivasi diri dan hati, ada mengajak untuk ikut serta dalam persoalan politik, ada golongan menyeru supaya segera mendirikan Khilafah Islamiyah kali kedua, ada secara santai menantikan kehadiran al-Mahdi dan ada pula bermusafir dari satu tempat ke tempat lain mengajak manusia untuk berjemaah di masjid.

Tetapi, cuba perhatikan di persekitaran tempat tinggal dan masyarakat sekeliling kita. Keadaan masyarakat Islam masih lagi pada takuk lama, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai objektif hidup dan tidak mengerti kerana apa mereka dihidupkan di atas muka bumi ini.

Pada jiwa dan sanubari mereka, tiada perkara penting melainkan kemewahan hidup. Kejahilan masih lagi menyelimuti seolah-olah mereka akan hidup kekal di dunia ini. Bahkan, keluarga serta sanak saudara terbabit pelbagai isu keruntuhan akhlak dan kebejatan moral yang bertambah parah.

Adakah perkara yang salah dalam tindakan mereka? Jawapannya sudah pasti ada yang salah, apabila kita dapat menyaksikan saban hari berlaku pelbagai kepincangan di sisi umat yang semakin jauh daripada panduan diserukan Islam.

Golongan Ahli Sunnah yang menjadi pewaris Nabi SAW sering kali menyeru dan tetap berusaha mengamalkan apa diwasiatkan Rasulullah dalam mengajak umat Islam kembali mempelajari agamanya.

Dalam pelbagai situasi yang ditempuhi, Ahli Sunnah tidak akan keluar dari jalan yang dilandaskan berdasarkan sunnah Rasulullah SAW untuk mengambil dan memahami apa yang ditunjukkan Nabi SAW dalam persoalan agama.

Keselarasan kita dalam menurut segala aspek ditonjolkan Nabi SAW berdasarkan hadis diriwayatkan ulama hadis sejak dulu adalah sesuatu yang utama dalam kehidupan seorang Muslim. Inilah yang sebenarnya sangat diperlukan oleh umat Islam.

Justeru, untuk mencapai kesempurnaan ilmu agama, seseorang Muslim perlu memahami ajaran agama yang dianuti sejak sekian lama dan berpegang kepada perkara asas mencari ilmu antaranya:

l Mengambil ilmu agama daripada sumbernya yang asal. Sumber utama ilmu Islam yang menjadi prinsip asasnya adalah berpandukan kepada petunjuk al-Quran dan al-Sunnah.

Hal ini jelas difahami daripada firman Allah yang bermaksud: “Ikutilah daripada apa yang diturunkan kepada kamu semua oleh tuhan kamu (Allah) dan janganlah kamu mengikuti panduan selain-Nya.” (Surah al-A’raf, ayat 3)

Rasulullah SAW pula bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah bahawasanya aku diberi al-Quran dan yang serupa dengannya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

l Memahami al-Quran dan al-Sunnah sesuai dengan pemahaman golongan salaf. Golongan salaf yang dimaksudkan adalah sahabat serta orang yang mengikuti mereka dari kalangan tabiin dan generasi selepas mereka.

Hal ini jelas seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah generasiku kemudian generasi yang datang setelah mereka, kemudian generasi lain yang datang setelah mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mereka ini bukanlah golongan yang mengaku dirinya ‘salaf’ seperti yang ada hari ini kerana jauhnya zaman itu. Golongan kini hanya layak digelar sebagai salafi kerana menasabkan diri mereka dengan akidah salafiyah yang dibawa generasi awal Islam.

Golongan salaf atau generasi awal Islam ini perlu diteladani memandangkan segala kebaikan yang berada pada mereka adalah kebaikan mencakup segala hal berkaitan agama, sama ada daripada aspek keilmuan, pemahaman, pengamalan dan strategi dakwah berkesan.

Ibn al-Qayyim pernah merumuskan bahawa: “Nabi SAW pernah menyatakan bahawa sebaik-baik generasi adalah generasinya secara mutlak. Itu bermaksud merekalah yang paling utama dalam segala bentuk kebaikan. Jika bukan yang sedemikian, sudah pasti mereka adalah golongan yang baik dari beberapa aspek saja (seperti generasi lain) dan mereka sudah pasti bukan tergolong sebaik-baik generasi secara mutlak.”

Dengan demikian, pemahaman mereka terhadap agama sudah dijamin oleh Nabi SAW tanpa perlu meraguinya lagi bahawa kebenaran itu pasti bersama mereka. Kewajaran ini jelas kerana mereka adalah golongan yang paling mengetahui selok-belok ajaran Islam selepas Nabi SAW.

Bahkan, mereka menyaksikan sendiri di mana dan bilakah turunnya wahyu serta mengetahui kaitan peristiwa terlafaznya sesebuah hadis. Keadaan sebegini sudah tentu membuatkan ulama selepas era mereka sangat menghormati generasi terbaik ini.

Oleh demikian, sesetengah ulama sendiri menyatakan bahawa jika sahabat bersepakat terhadap sesuatu urusan, maka menjadi kesalahan bagi seorang Muslim berselisih dengan kesepakatan mereka.

Jika mereka sendiri berselisih pendapat dalam sesuatu urusan agama, maka seseorang Muslim itu tidak boleh mencari pendapat lain daripada mengetahui titik perselisihan mereka. Ini bermaksud bagi seorang Muslim, beliau harus memilih salah satu daripada pendapat mereka dan tidak boleh membuat pendapat yang lain di luar pandangan mereka.

Imam Syafii sendiri menyatakan: “Mereka (sahabat) adalah golongan paling tinggi berbanding dengan kita dari segala aspek keilmuan, ijtihad, warak (sikap penuh berhati-hati), berakal dan pada setiap perkara yang mendatangkan ilmu atau diambil daripada mereka ilmu. Pendapat mereka lebih baik dan lebih utama buat kita dari pandangan kita sendiri…”

Jika kita mampu kembali ke arah tatacara pelaksanaan yang dilandaskan generasi terbaik ini dalam mengkaji usul agama, sudah pasti kita mampu mengubah masyarakat dan membetulkan mereka dengan sandaran petunjuk Ilahi.

Kesatuan dan kesepaduan yang dijalinkan berasaskan hujah dan contoh teladan itu pasti mampu menghindarkan umat Islam daripada pengaruh kesesatan. Perkara ini sudah dijamin Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah melindungi umatku dari berkumpul di atas kesesatan.” (Hadis riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ibn Abi Asim)

Tuesday, August 19, 2008

Muslim digalak mereka cipta ikut acuan budaya

Oleh Azrina Sobian

BUDAYA reka cipta di kalangan rakyat Malaysia kurang menyerlah dan tidak diberi perhatian khusus. Masyarakat Malaysia, terutama masyarakat Melayu berasakan amalan mereka cipta bukan budaya mereka.

Oleh itu, pada masa kini kita dianggap sebagai masyarakat pengguna, iaitu masyarakat yang hanya pandai mengguna ciptaan orang lain dan bukan masyarakat yang menghasilkan sesuatu ciptaan.

Namun sebenarnya, tanggapan bahawa budaya reka cipta bukan budaya masyarakat Melayu juga adalah salah. Cuba perhatikan masyarakat Melayu dulu yang bijak mencipta pantun, peribahasa, syair dan pandai pula membina rumah mengikut keadaan cuaca di negara ini.

Bukankah ini juga satu perbuatan mereka cipta yang boleh dikatakan tinggi nilainya? Oleh itu, menidakkan budaya reka cipta dalam masyarakat kita juga adalah tidak benar.

Dari sudut pandangan hidup Islam pula, kegiatan mereka cipta mudah difahami. Apa yang perlu diingat oleh setiap Muslim, reka cipta adalah sifat dan hak mutlak Maha Pencipta yang menjadikan sesuatu daripada tiada kepada ada.

Sebagai hamba-Nya, kita perlu memahami bahawa sesuai dengan kejadian dan tanggungjawab diberikan, manusia berpegang kepada amanah untuk menjaga dan memakmurkan bumi. Oleh itu, usaha untuk menambah baik kehidupan manusia di samping memelihara ciptaan-Nya adalah dituntut.

Lanjutan itu, setiap Muslim digalakkan untuk memelihara daya reka cipta dianugerahkan Tuhan. Galakan itu tidak bermakna kita cuba meniru atau mengambil alih peranan Maha Pencipta tetapi lebih kepada galakan untuk meneroka dan meningkatkan kemampuan diri untuk kebaikan semua.

Hasil reka cipta manusia haruslah bermatlamatkan kesejahteraan untuk semua memenuhi tiga aspek dalam masyarakat. Pertama, selalunya (namun bukan setiap masa) kegiatan reka cipta bermula dengan satu masalah.

Keduanya, jika budaya reka cipta menjadi kebiasaan dalam masyarakat, maka akan terciptalah lebih banyak pemikiran atau barangan berasaskan keadaan dan budaya masyarakat kita. Perlu diingat bahawa ciptaan dihasilkan dunia Barat adalah berasaskan budaya dan cara hidup mereka.

Kadangkala, apabila kita membawanya ke sini, ia tidak sesuai digunakan kerana budaya dan cara hidup mereka yang berbeza. Oleh itu, reka cipta oleh rakyat tempatan penting supaya hasil ciptaan itu mencerminkan nafas budaya dan cara hidup masyarakat kita.

Ketiganya, reka cipta juga penting jika kita ingin menjadi sebuah negara maju kerana negara maju tidak boleh sentiasa meniru dan menggunakan hasil reka cipta daripada negara maju lain. Jika ini berlaku, maknanya, kita sedang meniru bulat-bulat gaya kemajuan negara lain.

Peniruan dan penggunaan hasil reka cipta mungkin hanya sesuai di permulaan pembangunan sesebuah negara. Pada tahap seterusnya, negara itu sepatutnya mempunyai budaya reka cipta tempatan yang kukuh bagi menghasilkan banyak rekaan ciptaan rakyat tempatan.

Inilah yang berlaku di Jepun. Pada awal pembangunannya, masyarakat negara matahari terbit itu sememangnya gemar meniru lalu menambah baik barangan atau idea daripada Amerika Syarikat. Akibatnya, barangan Jepun dianggap bermutu rendah.

Tetapi kini, di mana saja barangan dan teknologi Jepun digunakan dan dianggap antara yang terbaik di dunia. Jelaslah reka cipta penting dalam masyarakat. Tetapi kenapa kegiatan reka cipta tidak begitu menyerlah dalam masyarakat Malaysia?

Pada pandangan penulis, sebabnya ialah berlakunya kekeliruan dan salah faham masyarakat terhadap amalan mereka cipta ini. Antara kekeliruan itu, kebanyakan kita takut dengan perkataan reka cipta itu.

Mungkin kita sering berasakan bahawa reka cipta adalah bidaah. Pandangan sebegini mungkin sudah ditanam dalam pemikiran kita yang tidak menggalakkan budaya reka cipta dan hanya mahu menurut kata mereka yang dikatakan bijak-pandai.

Kebanyakan kita juga berpandangan untuk mencipta sesuatu, perlu mempunyai pengetahuan mendalam dalam sains dan teknologi. Selain itu, kita sering menganggap bahawa reka cipta hanya boleh berlaku jika mempunyai pengetahuan mendalam dalam sesuatu bidang.

Sebenarnya ramai pencipta terdiri daripada orang biasa yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan tinggi seperti Thomas Edison, pencipta mentol lampu. Ketika kecilnya, beliau sering dimarah dan dianggap gurunya sebagai pelajar yang keliru.

Alexander Graham Bell (pencipta telefon) pula, meninggalkan sekolah pada usia 15 tahun. Malah, tiada yang menarik dalam rekod sekolahnya. Apa yang banyak dicatatkan hanyalah catatan ketidakhadiran ke sekolah dan keputusan peperiksaan yang tidak menarik.

Malah, Albert Einstien yang terkenal juga seorang yang tidak pandai dalam matematik ketika di sekolah. Oleh itu, kepakaran atau pendidikan tinggi tidak menjamin seseorang itu akan menjadi pereka cipta yang hebat.

Dalam hal ini, pandangan masyarakat perlu diubah supaya budaya reka cipta menjadi satu yang biasa dalam kehidupan masyarakat kita.

Tuesday, August 12, 2008

Perspektif Ikim: Bangsa sedia belajar, diajar akan kecap kemajuan

Oleh Md Asham Ahmad

Insan jadi zalim apabila ilmu, Islam dirosak ulama palsu melampau, tersalah asuhan

BANGSA yang mahu maju ke depan ialah bangsa yang mengambil pengajaran daripada kesilapan sendiri dan bangsa lain serta belajar kelebihan serta kepandaian orang lain. Bangsa yang mahu berubah daripada keadaan tidak baik kepada baik atau sedia baik kepada lebih baik mesti belajar, yakni mahu belajar dan boleh diajar (menerima ajaran).

Belajar adalah jalan memperoleh ilmu dan kepandaian, akan tetapi tidak semua orang melalui jalan itu sampai ke tujuan perjalanan. Ada syaratnya yang mesti dipenuhi, jika tidak sia-sia saja perjalanan itu.

Bijak pandai ada berkata: "Takkan sekali-kali beroleh ilmu seorang yang malu tidak juga yang takbur." Kata-kata itu dalam maknanya dan harus direnungkan dengan cermat. Ia merujuk sifat yang menjadi penghalang kepada kehendak belajar seseorang manusia.

Kehendak dan kemahuan untuk belajar datang daripada keinsafan terhadap kejahilan diri yang juga suatu keaiban, kelemahan dan kekurangan diri yang hanya boleh dihapuskan apabila ilmu mengambil tempatnya.

Keinsafan itu, mewajibkan suatu tindakan diambil bagi menyelesaikan masalah berkenaan iaitu memperoleh ilmu yang benar dengan jalan menuntutnya daripada yang memilikinya. Seorang yang malu untuk belajar bukanlah seorang menginsafi kekurangan diri kerana dia tidak menyedari bahawa kekurangan itu adalah sesuatu yang membinasakan kehidupannya.

Seorang yang takbur pula enggan mengakui kelemahan dan kekurangan diri sehingga tidak memungkinkan dia meletakkan dirinya di bawah tunjuk ajar seseorang yang dia mesti akui kelebihan dan kewibawaannya. Selagi kedua-dua sifat itu bersarang di jiwa, tidak mungkin seseorang itu meletakkan dirinya sebagai murid kepada sesiapa.

Bangsa yang mahu berubah juga mesti memenuhi syarat sama. Ia tentunya sukar kerana sesuatu bangsa itu mesti diyakinkan dan dipujuk untuk berubah. Justeru, mereka mesti terlebih dulu diinsafkan kenapa mesti berubah dan untuk menjelaskan mestilah diterangkan dulu keadaan mereka yang sebenarnya dan punca atau sebab mereka berada dalam keadaan itu.

Usaha mengubah sesuatu bangsa adalah usaha yang panjang dan jauh perjalanannya. Ia menuntut perjuangan diasaskan kepada kebijaksanaan, keikhlasan, kesabaran dan keberanian. Usaha menyedar dan menginsafkan sesuatu bangsa adalah peringkat paling sukar.

Ia hanya boleh bermula apabila timbul segolongan daripada mereka orang yang sedar, insaf serta mahu pula berdaya usaha menyedar dan menginsafkan bangsanya. Pengalaman sejarah mengajar bahawa golongan ini sering menjadi sasaran kecaman, cemuhan, ejekan dan momokan pada peringkat awalnya dan mula ditindas dan diganyang jika dilihat mendapat sambutan dan mula mengancam apa yang selama ini diterima.

Seruan mengubah pemikiran, minda, paradigma bangsa Melayu bukanlah sesuatu yang asing bahkan semakin lantang kedengaran kebelakangan ini apatah lagi melihatkan kepada krisis akhlak dan siasah yang semakin parah. Sudah menjadi kelaziman manusia, 'sudah terhantuk baru tengadah'.

Apabila sesuatu masalah mencapai tahap krisis barulah riuh redam bertempik menuding jari menyalahkan satu sama lain. Perjumpaan, rundingan, perbincangan, seminar dan bengkel mula dianjurkan pihak yang berkenaan bagi mengumpulkan buah fikiran buat memecahkan pokok persoalan.

Dalam keadaan begini, mereka perlukan seorang yang jujur dan ikhlas menyatakan kelemahan serta keaiban supaya terbuka mata hati untuk melihat dan mengenali diri sendiri. Malangnya, kejujuran, keikhlasan, keterbukaan, ketegasan dan keberanian bukan sifat dipandang tinggi bangsa kita.

Mereka melihat masalah, nasib dan masa depan dalam kerangka siasah kebangsaan dan semangat kenegaraan yang sempit. Demikian jugalah mereka mentafsirkan agama Islam dan keislaman mereka serta amanah yang dipikul.

Lupakah mereka bangsa Melayu tidak punya sebarang kemuliaan jika tidak kerana agama Islam? Lupakah mereka amanah sebenar adalah terhadap agama Islam dan dalam rangka itulah mereka sepatutnya mentafsir, memahami dan melunaskan amanah yang lain?

Apabila kedudukan siasah mereka tergugat dan tercabar, mereka hadapinya dengan semangat kebangsaan melulu iaitu taksub. Si taksub tetap membela keluarga, puak dan bangsanya tanpa mengira mereka pada pihak yang benar (dizalimi) atau salah (menzalimi).

Orang taksub seorang yang buta matanya dan pekak telinganya. Dia hanya mahu melihat dan mendengar apa yang menyenangkan perasaannya. Justeru, si pengampu dan si munafik diangkat menjadi penasihat dan sahabat karib. Masakan mereka ini akan memberikannya nasihat yang benar bahawa dia menzalimi diri sendiri dan mengkhianati amanah.

Ketidakpuasan hati bangsa lain berpunca daripada pengkhianatan bangsa Melayu sendiri terhadap amanah dipikulkan ke atasnya. Bangsa Melayu menjadi zalim kerana tidak mengendahkan peringatan dan teguran.

Mereka menjadi zalim kerana ilmu mengenai agama Islam sudah dirosakkan ulama palsu yang melampau. Mereka zalim kerana berguru dengan manusia salah asuhan. Mereka tidak akan beroleh petunjuk selagi tidak mengubah sifat yang melayakkan mereka menerima petunjuk.

Penulis ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Wednesday, August 6, 2008

Penguam Syarie Menulis: Ilmu agama kukuh benteng ajaran sesat

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

PERINGATAN: Papan tanda mengenai ajaran Qadiani yang dipasang di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak. - Gambar Hiasan


Amalan bertentangan syariat perlu dijauhi elak gugat ketenteraman, keharmonian

AJARAN sesat berlawanan dengan pegangan agama yang diiktiraf sering kali mengganggu ketenteraman dan keharmonian hidup setempat. Walaupun ajaran itu bersifat pelik dan menyeleweng daripada yang biasa dipelajari, masih ada segelintir umat Islam terpengaruh dan menjadi sebahagian pengikut ajaran sebegini.

Antara ajaran yang difatwakan sesat dalam negeri Selangor adalah ajaran Qadiani, ajaran Haji Banuar Roslan, ajaran tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol, al-Arqam, ajaran Martabat Tujuh dan ajaran Zikir Hasan Anak Rimau.

Ada juga kalangan pengikut ajaran sebegini tidak tahu bahawa apa yang dipegang dan dipertahankan itu adalah sesat serta menyimpang daripada ajaran Islam. Justeru, ilmu mengenai asas agama perlu dipelajari supaya dengan akal dan iman yang waras, kita dapat mengenali perkara baru yang diberitahu adalah sesat ataupun sebaliknya.

Apakah yang dikatakan sesuatu ajaran itu sesat dan menyeleweng? Ajaran sesat sebenarnya merujuk kepada ajaran atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan ia bercanggah dengan isi kandungan al-Quran dan sunnah.

Ajaran sesat mempunyai beberapa ciri perlu kita fahami antaranya:

Mencemarkan kesucian al-Quran dan hadis seperti memansuhkan, mengubah, mempertikai atau membuat tafsiran menyeleweng terhadap al-Quran dan hadis. Contohnya, mengatakan ayat al-Quran mengenai sembahyang tidak ada dan dimansuhkan atau mengatakan Nabi Muhamad SAW adalah bukan seorang terpuji, bukan nabi terakhir dan ada lagi nabi selepas Nabi Muhammad.

Mengubah prinsip asas dalam akidah Islam seperti ajaran menggabungkan Islam dengan agama lain sehingga menjadi satu ajaran sangat pelik serta terasing atau mengatakan semua agama tidak berbeza dan sama taraf serta datang dari Tuhan yang sama.

Memuja dan mendewakan ketua ajaran sehingga ke tahap mengatakan ketuanya suci daripada dosa, menjadi Nabi, menjadi jelmaan Tuhan di dunia dan boleh mencipta serta membuat mukjizat seperti Nabi terdahulu.

Apabila sampai ke tahap memuja, pengikut akan berusaha melakukan segala perkara untuk ketuanya sehingga memberikan keseluruhan harta, mencium kaki, meminum air basuhan kaki, meminta syafaat pemimpin serta pelbagai perkara yang tidak ada dalam ajaran Nabi Muhammad.

Menolak perkara yang mutlak (qat'ie) dalam Islam. Contohnya, mengatakan berkahwin secara batin tanpa saksi adalah sah, ketua ajaran dan pengikutnya boleh berkahwin dengan seberapa ramai yang dikehendaki. Ketua dan ahlinya sudah bebas daripada hukum-hakam agama dan tidak perlu mengerjakan sembahyang atau puasa, mengajarkan solat tidak perlu mengerjakan dengan perbuatan, sebaliknya memadai dilakukan dengan niat saja.

Mengubah konsep pahala dan dosa seperti memberi kuasa pengampunan dosa kepada ketua ajaran. Ketua boleh memberi pahala dan menjamin pengikutnya masuk ke syurga atau pun semua yang mengikutnya tidak akan dihisab amalannya di akhirat kelak.

Mendakwa boleh melakukan sesuatu yang pelik bersangkutan dengan perkara ghaib. Contohnya, ketua ajaran mengatakan dia boleh bercakap dengan Tuhan, boleh memanggil roh simati termasuklah berinteraksi dengan Nabi, malaikat atau pun mengatakan syaitan tidak berani menggoda kerana maqamnya terlalu tinggi.

Mendewakan sesuatu yang lain selain Allah atau mensyirikkan Allah dengan sesuatu sembahan lain termasuklah meminta bantuan bukan daripada Allah tetapi menyeru nama jin atau makhluk halus. Menolak hadis Nabi serta membenci semua diriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW.

Apabila sesuatu ajaran bertentangan dengan prinsip asas Islam, maka setiap yang beriman perlu menjauhinya dan berusaha menyelamatkan orang lain daripada terpengaruh. Ada peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkenaan kesalahan ajaran sesat.

Contohnya, seksyen 4 (1) memperuntukkan kesalahan membabitkan memuja alam semula jadi atau melakukan perbuatan yang menunjukkan pemujaan atau rasa hormat kepada mana-mana orang, binatang, tempat atau benda dengan cara menyalahi hukum syarak.

Seksyen 7 enakmen yang sama memperuntukkan orang mengajar atau menjelaskan doktrin atau melaksanakan upacara bertentangan hukum syarak dan fatwa yang berkuat kuasa sama ada di tempat sendiri atau di tempat umum boleh disabitkan denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak lebih enam kali sebatan.

Apakah yang boleh dilakukan jika kita mendapat tahu ada ajaran sesat berlaku dalam kawasan kita?

Kita perlu membuat aduan kepada pegawai penguat kuasa Agama (PKA) memaklumkan mengenai ajaran yang disyaki bertentangan Islam. Selepas aduan dibuat, PKA akan mengadakan siasatan ke atas aduan itu.

Seksyen 54 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003 memperuntukkan cara seseorang awam boleh membuat aduan. Pengadu perlu memberi aduan bertulis dengan mengisi borang, mencatat dengan terperinci apa dan di mana perkara disyaki itu berlaku.

Borang itu perlu ditandatangani dan maklumat mengenai diri pengadu juga perlu disertakan. Ini bertujuan menjaga pertanggungjawaban pengadu terhadap aduan dibuat. Jika aduan diberi secara lisan, ia juga perlu dipindahkan kepada bentuk bertulis.

Walaupun pada dasarnya PKA akan bertindak apabila ada aduan, tetapi dalam keadaan tertentu berdasarkan Seksyen 57 enakmen sama, PKA boleh terus bertindak dan menangkap walaupun tanpa aduan jika ada sebab untuk mensyaki perlakuan sesuatu kesalahan boleh tangkap berlaku.

Contohnya kes yang sudah dihebohkan oleh media, PKA boleh terus bertindak melakukan siasatan kerana jika menunggu laporan orang awam terlebih dulu, mungkin masa sudah menjadi terlalu lambat dan pihak bersalah juga mungkin berjaya melarikan diri. Ini perlu diperhalusi antara kes membabitkan kesalahan boleh tangkap, kes umum dan kes dikecualikan.

Demi untuk menyelamatkan masyarakat daripada terjerumus dalam ajaran sesat kita mengharapkan supaya:

Umat Islam berusaha mencari ilmu membabitkan ajaran Islam daripada pihak yang diketahui berilmu atau badan diiktiraf supaya tidak terpengaruh dengan ajaran pelik yang terasing.

Kita juga perlu memantapkan kefahaman mengenai perkara asas dalam Islam sehingga berjaya membezakan antara ajaran tepat dengan yang menyeleweng.

Membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab atau PKA di tempat ajaran yang disyaki menyeleweng.

Memohon kerajaan menambah bilangan PKA profesional dan mahir dalam kaedah siasatan dan tangkapan di setiap negeri serta kawasan supaya mampu menangani permasalahan dan kesalahan berbentuk agama yang bertambah.

Memohon setiap ajaran yang dikenal pasti sesat dan menyeleweng disegerakan fatwanya oleh pihak berwajib dan dihebahkan kepada orang awam seberapa segera.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Tuesday, February 26, 2008

Keilmuan tinggi jadi benteng kekuatan bangsa

Oleh Tuan Sidek Tuan Muda

MASYARAKAT Arab Makkah ketika dibangkitkan Rasulullah SAW adalah daripada keturunan Nabi Ismail, anak kepada Nabi Ibrahim. Mereka pada zaman sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW sudah beriman dengan Allah dan mematuhi agama-Nya berdasarkan syariat Nabi Ibrahim.

Mereka mentauhid dan menyembah Allah yang Esa, tidak menyekutukan-Nya dengan sebarang makhluk serta melaksanakan syariat-Nya seperti sembahyang dan puasa. Mereka juga menjaga dan memelihara Kaabah sebagai tempat suci. Begitulah orang Arab Makkah melaksanakan agama Allah.

Dengan berlalunya zaman demi zaman, kurun demi kurun, orang Arab mula mencampuradukkan yang betul dengan yang salah. Kebenaran yang mereka pusakai daripada nenek moyang diadukkan dengan kebatilan yang datang dengan tidak disedari, justeru menjadi cacat dan tercelalah seluruh bangsa Arab.

Mereka diselubungi kejahilan, hanyut dan sesat bersama orang yang terpukau dan terpedaya dengan kepalsuan. Dengan itu, menyusup masuk syirik ke dalam masyarakat mereka dan akhirnya menyembah berhala menjadi kebiasaan.

Mereka mula jauh daripada suluhan tauhid dan ciri agama Allah yang sebenar. Akhirnya, selepas satu jangka masa panjang menyeluruhlah kejahilan yang sangat sukar dihapuskan. Selepas itu, dibangkitkan Rasulullah SAW untuk menghapus kejahilan dan membawa cahaya ilmu pengetahuan menerangi bumi sehingga mereka kembali menjadi bangsa yang hebat dan berjaya menguasai dunia.

Tercatat dalam Fiqh al Sirah al Nabawiyyah (al Buti 1994), pencetus syirik menyembah berhala di bumi Makkah ialah Amru ibnu Luhay. Ibnu Hisyam meriwayatkan, cara Amru ibnu Luhay memulakan penyembahan berhala di Makkah.

Beliau ialah seorang saudagar. Pada satu ketika, beliau pergi ke Syam kerana urusan perniagaan dan melalui satu kawasan yang didiami suku Amaliq. Amru melihat mereka menyembah berhala lalu bertanya mengenai benda yang mereka sembah itu

Suku Amaliq menjelaskan, mereka menyembah patung berhala. Mereka sembahyang meminta hujan, hasilnya patung itu menurunkan hujan. Mereka minta pertolongan lalu patung itu memberi pertolongan.

Amru meminta supaya diberikan kepadanya salah satu berhala itu untuk dibawa pulang ke bumi Makkah supaya mereka menyembah seperti disembah suku Amaliq. Mereka memberikan kepada Amru berhala yang dinamakan Hubal. Berhala itu dibawa pulang ke Makkah dan bermulalah episod penyembahan berhala di Makkah.

Begitulah cara bermula dan berkembangnya penyembahan berhala di Tanah Arab. Bertukarlah keadaan asal mereka yang dulunya berada di atas akidah tauhid pusaka daripada Ibrahim dan Ismail kepada kepercayaan syirik dan akhirnya sampai ke peringkat sesat seperti bangsa lain yang sesat.

Al Buti dalam kitabnya itu menjelaskan, sebab utama mudahnya orang Arab ketika itu yang berada di atas landasan benar bertukar menyembah berhala ialah kerana ketandusan ilmu pengetahuan dan buta huruf.

Ilmu pengetahuan adalah perkara sangat penting dan mesti dititikberatkan setiap bangsa yang ingin sejahtera dunia mahupun akhirat. Ketika Rasulullah SAW dibangkitkan, Baginda sangat menekankan kepentingan ilmu pengetahuan bahkan wahyu yang pertama diturun iaitu Iqra' (Bacalah).

Ia menunjukkan tuntutan menuntut ilmu. Ada banyak ayat al-Quran dan hadis menerangkan mengenai pentingnya ilmu. Firman Allah bermaksud: "Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?" (Surah al Zumar, ayat 9)

Firman Allah lagi bermaksud: "Supaya Allah meninggikan darjat orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat." (Surah alMujadalah, ayat 11)

Begitu juga hadis Rasulullah SAW melalui sabdanya bermaksud: "Dan sesiapa yang merentasi satu jalan untuk mencari ilmu, Allah mempermudahkan kepadanya satu jalan ke syurga." (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi bermaksud: "Dunia adalah tempat tercela dan semua benda di dalamnya adalah tercela kecuali zikir kepada Allah dan segala yang mentaati Allah, orang alim dan penuntut ilmu." (Hadis riwayat al Tirmizi)

Itulah antara ayat al-Quran dan hadis yang menjelaskan kelebihan ilmu dan orang yang berilmu. Ilmu adalah tunggak kekuatan sesuatu bangsa. Jatuh bangun sesuatu bangsa bergantung kepada sejauh mana mereka berilmu dan pada masa sama mempraktikkan ilmu berkenaan.

Dengan keilmuan yang lemah, seseorang atau sesuatu bangsa akan mudah dipermainkan oleh syaitan dan musuh Islam seperti yang berlaku ke atas penduduk Makkah, apatah lagi di zaman moden yang penuh mencabar ini.

Era globalisasi yang tidak mengenal batas sempadan, ajaran sesat, pengaruh jahat dan liar, anasir buruk bertentangan dengan Islam begitu meluas dan mudah sampai ke dalam masyarakat. Dalam masa yang sama, ia begitu sukar untuk disekat dan dihapuskan.

Benteng pertahanannya tidak lain dan tidak bukan melainkan keilmuan mencukupi bagi mempertahankan diri. Dengan ilmu saja dapat dibezakan antara hak dan batil.

Benarlah pepatah Melayu yang berbunyi 'ilmu itu pelita hidup'. Sifat pelita yang menerangi kegelapan malam pekat samalah dengan ilmu yang menyinari kehidupan dan menjadi pembeza antara betul dengan salah.

Apa yang berlaku ke atas orang Arab Makkah perlulah diinsafi dan diambil pengajaran. Mudah-mudahan ia memberikan panduan berguna dalam membina satu masyarakat yang cemerlang dan terbilang serta seimbang dunia akhirat. Semoga sejarah itu tidak berulang kepada kita.

Penulis ialah Pensyarah Pengajian Islam, Universiti Kuala Lumpur City Campus

Tuesday, January 8, 2008

Perspektif Ikim: Memahami penting belajar galak anak dahaga ilmu

Oleh Azrina Sobian

MINGGU ini adalah minggu kedua untuk 2008. Rasanya masih belum terlewat membicarakan antara perkara penting berkait dengan tahun baru iaitu permulaan musim persekolahan yang sudah bermula.

Namun, perbincangan ini tidak sama sekali merujuk kepada persediaan kebendaan oleh ibu bapa, guru dan anak dalam menghadapi musim baru persekolahan. Perbincangan lebih kepada usaha membentuk anak yang kita hantar ke sekolah untuk menjadi orang berilmu, seterusnya melahirkan masyarakat Malaysia berilmu.

Apabila anak dihantar ke sekolah, apakah sebenarnya yang mereka fikirkan? Apa pula yang diharapkan ibu bapa? Adakah kita pernah bertanyakan soalan ini? Adakah kita, sebagai ibu bapa pernah benar-benar memikirkan harapan kita menghantar anak ke sekolah?

Jika soalan itu ditanyakan kepada ibu bapa, pelbagai jawapan akan kita terima, itupun jika mereka ada jawapan kepada soalan berkenaan. Umumnya, jawapan diberikan adalah hampir sama walaupun hadir dalam ayat berbeza.

Semua ibu bapa mahu anak menjadi pandai. Bagi masyarakat kita, menjadi pandai selalunya dikaitkan dengan lulus cemerlang dalam peperiksaan. Seterusnya anak itu layak masuk ke universiti dan akhirnya apabila lulus, mereka boleh mendapat pekerjaan baik dengan gaji lumayan.

Dalam proses disebutkan itu, terselit juga harapan lain. Contohnya, dalam usaha menjadi pandai, ibu bapa berharap anak juga boleh menjadi ahli masyarakat berguna dengan kembali menyumbang kepada masyarakat.

Jika kaedah disebut di atas benar, maka nyatalah bahawa usaha pembudayaan ilmu dalam masyarakat kita amat cetek sifatnya. Andai anak menganggap ke sekolah hanya untuk lulus peperiksaan, masuk universiti dan mendapat kerjaya hebat, maka ini bermakna usaha membentuk insan yang mencintai dan membudayakan ilmu dalam hidupnya sebenarnya tidak kesampaian.

Justeru, pemikiran bagaimana yang perlu ditanamkan dalam kotak fikiran anak kita? Sewajarnya, anak yang memulakan persekolahan diingatkan tujuan utama ke sekolah adalah untuk mencari dan mencintai ilmu serta menggunakan ilmu dengan cara betul.

Selepas itu, barulah kita mengajar anak itu bahawa jika mereka berjaya mencari, mencintai dan menggunakan ilmu dengan baik, maka pada ketika itulah mereka akan dianggap sebagai manusia yang pandai lagi berjaya. Tidak kurang pentingnya, anak perlu diingatkan bahawa usaha itu akan mendekatkan diri mereka dengan Allah.

Apabila anak muda sudah jelas tujuan mereka menuntut ilmu, maka tidak akan timbul lagi persoalan belajar bila perlu. Anak kita akan sentiasa dahagakan ilmu dan mencari ilmu demi mendapat keredaan Maha Pencipta.

Oleh itu, anak dididik untuk berpegang pada pencarian ilmu yang lengkap tentunya boleh dibezakan dengan mereka yang dangkal ilmu.

Pada saat ini, ilmu yang akan membezakan anak kita. Seperti disebut Prof Wan Mohd Noh Wan Daud dalam penulisannya, "perbezaan insan bukanlah semata-mata merujuk kepada unsur jasmani dan genetik (keturunan), tetapi paling penting merujuk kepada unsur rohani dan akhlak. Dalam hal ini pastinya pemilikan ilmu tinggi dalam diri manusia termasuk dalam kerangka rohani dan akhlak."

Permulaan persekolahan anak dengan pemikiran sebegini adalah penting. Jika mereka memulakan alam persekolahan dengan hanya memikirkan memperoleh ilmu, maka besar kemungkinan pembudayaan ilmu dalam masyarakat kita akan berjaya. Tetapi jika pemikiran salah ditanamkan dalam kotak fikiran pelajar muda itu, maka selamanya mereka tidak jelas sebab sebenar mereka belajar atau menuntut ilmu.

Sebenarnya, usaha membetulkan pemikiran anak agak sukar. Kesukaran berlaku kerana sebahagian besar ibu bapa dan ahli masyarakat tidak memahami tujuan menuntut ilmu. Jika yang dewasa gagal memahami, apakah harapan yang hendak kita letakkan kepada anak kecil ini?

Hasilnya, anak ke sekolah hanya untuk mengejar keputusan cemerlang atau cukup sekadar lulus peperiksaan dan boleh menjawab soalan ditanyakan guru. Oleh itu, dalam usaha membudayakan ilmu, seluruh lapisan masyarakat perlu melakukannya dan memahami matlamatnya.

Maka, fikirkanlah dan mulalah mengambil tindakan. Pembudayaan ilmu harus berlaku dalam setiap lapisan masyarakat, namun jika usaha ini dilakukan seawal mungkin iaitu kepada anak, maka kita akan mengecapi nikmat berpanjangan.

Oleh Azrina Sobian ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia