Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Saturday, November 29, 2008

Program motivasi bantu remaja fasih baca al-Quran

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my


DARI kiri, Mohd Nasir Rustam, Muhammad Aqif dan Mohd Amir Farhan.


Peserta anggap kegiatan dilaksana bantu pelajari ibadat wajib serta cabar kekuatan diri

SEMUA mengakui asalnya pemergian mereka mengikuti program Motivasi al-Quran Latihan Ala Madrasah anjuran Tahsin Al-Quran Training Centre adalah kerana dihantar ibu bapa bagi mengisi waktu cuti sekolah.

Namun, selepas dua minggu berada di Kem Herba Sungai Congkak, Hulu Langat, perasaan 'terpaksa' pada mulanya bertukar menjadi seronok kerana banyak pengalaman serta pengetahuan yang ditimba di sana.

Adik beradik Mohd Amir Farhan Ampandi, 14, dan Muhammad Aqif Ampandi, 11, yang pertama kali mengikuti kem belajar al-Quran melahirkan perasaan gembira dan berterima kasih kepada ibu bapa kerana membuka peluang untuk mereka mendalami ilmu membaca al-Quran dan ilmu fardu ain.

"Masa bapa saya kata hendak hantar mengikuti program ini saya tidak mahu kerana tidak tahu apa yang akan dibuat di sini. Tetapi apabila mengikuti program membaca al-Quran dan belajar solat, hati mula rasa seronok.

"Suasana di sini juga menyeronokkan kerana kami bukan saja belajar membaca al-Quran tetapi juga melakukan aktiviti riadah seperti mandi sungai, meredah hutan dan didedahkan kepada ajaran Islam antaranya kepentingan menunaikan solat," katanya.

Beliau yang bergiat aktif dalam suka skuasy dan menjuarai Penang International Junior Championship 2008 untuk kategori 11 tahun baru-baru ini berkata, perkhemahan itu memberi pendedahan baru kepada aktiviti selain daripada latihan di gelanggang skuasy.

Pendapat itu disokong Mohd Amir Farhan, yang juga aktif dalam sukan skuasy, yang berazam meneruskan usaha meningkatkan kefasihan membaca al-Quran selepas tamat mengikuti program selama dua minggu itu.

"Dulu saya tidak fasih membaca al-Quran dan dengan pertolongan fasilitator, kini saya boleh membaca al-Quran dengan lancar. Malah, saya dapat menghafal dengan mudah. Saya suka aktiviti meredah hutan sambil berzikir," katanya.

Sementara itu, bagi pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas, Intan Suhana Azri berkata, program Motivasi al-Quran Ala Madrasah adalah pengalaman baru yang mencabar kekuatan diri.

"Tiga hari pertama berada di kem ini memang susah bagi saya terutama untuk berkongsi chalet dengan kawan-kawan tetapi apabila sudah saling kenal mengenali dan mengikuti aktiviti harian, saya mula merasa keseronokannya.

"Dulu tidak banyak yang saya tahu mengenai Islam dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Kini saya gembira kerana banyak perkara dipelajari terutama kepentingan solat dan membaca al-Quran. Saya rasa semakin dekat dengan Allah SWT," katanya.

Peserta yang sudah empat kali mengikuti program anjuran Tahsin Al-Quran Training Centre itu, Faizul Ilmi Fikri, 13, berkata keseronokan padanya ialah apabila dapat mempelajari al-Quran dan menunaikan solat berjemaah.

Disebabkan perkhemahan itu memberi peluang meningkatkan kemahiran dalam pembacaan al-Quran dan mempelajari perkara lain berkaitan ibadat wajib, beliau meminta ibu bapanya membenarkan mengikuti program berkenaan setiap kali cuti sekolah.

"Selalunya apabila cuti sekolah saya mesti merayau bersama kawan menunggang basikal. Paling penting, di kem ini saya boleh memperbaiki tajwid dan membaca al-Quran dengan baik," katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, beliau tetap meneruskan amalan yang dilakukan di kem sekembalinya di rumah seperti menjadi imam solat berjemaah kepada adik-adiknya serta membaca al-Quran.

Pengasas program Motivasi al-Quran Latihan Ala Madrasah, Mohd Nasir Rustam al-Hafiz, berkata modul latihan yang dianjurkan bertujuan melahirkan anak yang menjadikan al-Quran sebagai budaya hidup di samping menerapkan nilai murni dalam kehidupan.

Beliau berkata, program yang diadakan di pusat rekreasi itu juga sebagai alternatif kepada bentuk percutian yang boleh dirancang ibu bapa untuk anak mereka iaitu bercuti sambil menimba ilmu mengenai al-Quran.

"Kami yakin ibu bapa tidak mahu anak mereka menghabiskan cuti sekolah yang panjang dengan sia-sia. Oleh itu, kami menganjurkan perkhemahan yang memberi peserta pengalaman menikmati suasana riadah sambil mendapat pengetahuan tambahan.

"Di sini kami bukan mencari peserta yang pandai membaca al-Quran tetapi mengajak mereka meningkatkan kefasihan membaca dengan bimbingan fasilitator. Ada yang tidak tahu membaca al-Quran, di sini mereka diajar asas untuk mendalami ilmu itu," katanya.

Seramai 218 peserta dari seluruh negara berumur antara sembilan hingga 16 tahun mengikuti program perkhemahan menyerupai pengajian di madrasah selama dua minggu bermula 16 November dan berakhir hari ini.

Program masuk tahun ketujuh itu mendedahkan peserta ilmu tajwid, kepentingan menunaikan solat dan ilmu fardu ain melalui kaedah pembelajaran latihan dalam kumpulan kecil serta bengkel.

Maklumat lanjut mengenai program Motivasi al-Quran Latihan Ala Madrasah boleh diperoleh dengan menghubungi Mohd Nasir di talian 019-6955930 atau layari laman web www.tahsinquran.iklan-power.com

Saturday, August 9, 2008

Hubungan agama, kehidupan ibarat irama dan lagu

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian,com.my

TUNJUK AJAR: Dr Ary Ginanjar (kiri) bersama sebahagian peserta yang mengikuti latihan ESQ.


Masyarakat hilang arah kerana mencari kecemerlangan dunia hingga terlupa amalan akhirat

SETIAP kali mengingati arwah ayah yang meninggal dunia pada 2003, hati rasa sayu hingga ada kalanya tidak dapat menahan tangisan kerana mengenangkan kasih sayang dicurahkan ayah sejak kecil hingga dewasa dan bergelar ibu.

Begitulah perasaan rindu pada ayah yang datang tanpa mengira waktu. Tetapi perasaan rindu pada Allah hanya hadir tatkala diri merasa resah, ada sesuatu tidak kena berlaku atau ketika merayu supaya dikabulkan hajat. Memang memalukan untuk mengakuinya tetapi itulah hakikat.

Persoalan itu timbul selepas mengikuti latihan asas Kecerdasan Emosi dan Spiritual (ESQ) 165 yang diadakan di Kuala Lumpur, selama tiga hari, baru-baru ini. Malah, banyak lagi persoalan yang terjawab dan hanya menunggu masa untuk melakukan tindakan seterusnya.

Kesimpulan diperoleh daripada latihan disertai 290 peserta itu, kebanyakan kita masih memisahkan agama daripada kehidupan sedangkan kedua-duanya ibarat `irama dan lagu'. Pautan keduanya begitu kuat dan jika dipisahkan, maka pincanglah diri, masyarakat, negara dan dunia.

Itulah yang dapat dilihat hari ini iaitu kekalutan yang melanda, menyebabkan masyarakat seakan hilang arah kerana tumpuan hanya kepada mencapai kecemerlangan dunia hingga terlupa asas yang sepatutnya menjadi tunjang iaitu ajaran agama.


LATIHAN: Peserta mengikuti permainan dalam aktiviti simulasi ketika mengikuti latihan asas ESQ 165.


Analoginya mudah saja. Selalunya apabila ingin memikat orang yang disayangi tidak kira lelaki atau perempuan, pastinya kita akan mencuba sedaya upaya melakukan apa yang disenangi pasangan semata-mata untuk menarik perhatiannya kepada kita.

Setiap kali berjanji untuk berjumpa, perasaan terus 'tergedik-gedik' tidak sabar, malah pelbagai perancangan diatur daripada pemilihan pakaian hingga kepada perkataan yang bakal diutarakan apabila bersama nanti.

Apabila tiba waktu temu janji dengan Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang, adakah hati rasa tergedik-gedik untuk segera menunaikan solat. Bagaimana pula persediaan terutama kata-kata dalam doa yang ingin diucapkan pada pertemuan itu. Apakah itu semua diambil kira?

Begitu juga bagi pekerja atau ketua syarikat, jika semua mengikut peraturan dan memenuhi hak serta tanggungjawab masing-masing, maka tidak akan berlaku kakitangan ponteng kerja sementara majikan tidak menyalahgunakan kuasa.

Sesungguhnya, Allah lebih menyayangi serta mencintai hambanya. Jaminan kasih sayang Allah ialah setiap hamba yang melakukan dosa tidak kira berapa banyaknya akan diampunkan-Nya selagi mereka tidak syirik kepada-Nya.

Segala nikmat dan rahmat terus dikurniakan kepada manusia di dunia ini seperti nikmat hidup, makan, pakai, harta dan alam sekitar supaya mereka dapat menjalani kehidupan senang lenang. Dan sebagai balasan hamba kepada Tuhannya, tepuk dada, tanya iman.

Latihan ESQ 165 bukan kelas belajar agama tetapi melatih peserta membangun nilai insan melalui nilai sejagat merujuk kepada al-Quran dan sunnah. Pencarian iman ditunjukkan melalui penerokaan alam angkasa yang membuktikan kewujudan serta kekuasaan Allah.

Peserta juga dipandu membangunkan prinsip hidup dan keperibadian berdasarkan Cara ESQ 165. Angka 165 adalah simbol bagi 1 hati yang ihsan, enam prinsip moral berdasarkan Rukun Iman dan lima langkah kejayaan berasaskan Rukun Islam.

Pendekatan menggunakan teknologi terkini termasuk sistem bunyi yang hebat membantu menterjemahkan Cara ESQ 165 dan menjadikan kursus itu lain daripada yang lain. Proses simulasi dengan kaedah penceritaan serta permainan memudahkan peserta memahami mesej disampaikan.

Nampaknya latihan menyentuh aspek spiritual menggunakan kaedah penceritaan terutama membabitkan permasalahan harian dihadapi manusia sesuai dengan fitrah sesetengah peserta yang berjaya disentuh hatinya hingga menerbitkan rasa sayu dan ada menangis mengenang diri.

Waktu lain, perbincangan berkisar kepada faktor yang membantu membangunkan prinsip hidup dengan cara mengembangkan ketiga-tiga kecerdasan intelektual, emosi dan spiritual melalui pemikiran rasional.

Sasarannya ialah hati sebagai pusat orbit dan titik ketuhanan (god spot) dalam otak manusia yang menentukan perjalanan hidup seseorang itu. Setiap kita mempunyai titik ketuhanan tetapi bagaimana untuk menyentuh titik itu.

Keseluruhannya, latihan ESQ 165 menekankan kepentingan kecerdasan spiritual yang menjadi pusat kepada kecerdasan lain seperti kecerdasan intelektual dan emosi. Tujuannya bagi melahirkan insan yang mampu mengembangkan keperibadian melalui kecerdasan emosi serta kerohanian.

Peserta akan dibimbing untuk membangkitkan tujuh nilai iaitu jujur, tanggungjawab, berwawasan, disiplin, kerjasama, adil, dan prihatin. Nilai itu sebenarnya sudah tertanam dalam diri manusia sejak lahir.

Melalui latihan ESQ, peserta diarahkan untuk dapat mencapai nilai dasar itu dan membantu membangkitkan kekuatan tersembunyi serta mengerahkan seluruh potensi dirinya untuk kehidupan dan pekerjaan yang lebih produktif.

Berjayakah pendekatan latihan diasaskan penulis buku ESQ: Rahsia Kejayaan Membangun Kecerdasan Emosi dan Spiritual dan pengasas latihan ESQ 165, Dr Ary Ginanjar Agustian itu membantu mencungkil kecerdasan emosi dan spiritual peserta, hanya mereka yang pernah melalui pengalaman selama tiga hari berkenaan boleh memberikan jawapan.

Bagaimanapun, keadaan mata serta hidung peserta yang merah apabila keluar dewan dan kesungguhan mereka membincangkan semula ilmu diperoleh pada sesi latihan ketika menikmati hidangan tengah hari atau minum petang yang disediakan mungkin boleh memberi gambaran awal.

Pengalaman menarik yang selama ini tidak disedari kerana tidak diberi perhatian ialah konsep salam semut yang diperkenalkan di mana setiap peserta pada setiap waktu akan diminta bangun untuk bersalaman sambil berpelukan dengan sahabat baru di sekeliling mereka.

Pada saat itu akan terasa kemesraan serta perpaduan yang sepatutnya menjadi amalan setiap insan jika inginkan sebuah masyarakat hidup dalam suasana aman, damai serta harmoni. Syaratnya, perasaan ketika itu mesti bebas daripada persepsi.

Memang nampak remeh tetapi cubalah salam dan peluk ahli keluarga atau sahabat dengan hati ikhlas tanpa sebarang prasangka. Rasanya, memang sukar digambarkan. Tidak percaya? Apa kata selepas ini salam dan peluk orang disayangi. Jika tiada rasa, mungkin hati kita belum kosong lagi.

Kosong bermakna keadaan hati yang bebas daripada faktor menghalang. Jawapan kenapa adanya penghalang untuk melakukan kebaikan ialah hati tidak bebas daripada perasaan prasangka, suka membandingkan dan banyak lagi sifat negatif perlu dibersihkan.

Sekadar memetik kata-kata alumni ESQ yang juga penerbit di Jabatan Majalah, Dokumentari dan Famili TV3, Mohd Noor Sulaiman yang sempat berkongsi pengalaman: "Impak selepas menjalani latihan ESQ banyak pada diri dan ini hasil keyakinan kepada kuasa Allah.

"Prestasi kerja juga akan meningkat kerana kita sedar diri adalah khalifah Allah di muka bumi ini. Sebelum ini tertanya kenapa masih ada kekosongan sedangkan ada kerja elok. Saya terbabit menerbitkan program agama tetapi masih merasakan banyak perkara tidak mampu dijawab. Sekarang saya sudah mendapat jawapannya."

Sunday, August 3, 2008

Ulul Albab: Israk Mikraj motivasi ketuanan umat

Bersama Abdurrahman Haqqi

TUMPUAN: Sebelum Islam diterima di Kota Suci Makkah pelbagai tentangan terpaksa dihadapi Nabi Muhammad untuk memperluaskan ajaran Islam. - Gambar hiasan

Muslimin mesti mantapkan silaturahim, mengota ikatan janji sesama sendiri

DALAM satu kaedah fekah ada disebut iza daqa al-amru ittasa', maknanya jika sesuatu perkara sudah sampai ke tahap yang sempit maka ia akan menjadi luas. Contohnya, jika kita dalam keadaan lapar kemudian kita tidak temui makanan yang halal, selain makanan haram maka kita dibenarkan untuk memakannya kerana darurat.

Kaedah fekah ini banyak digunakan dalam konteks siasah syariah yang sememangnya berdepan dengan isu semasa yang tidak ada nas syarak sarih atau jelas mengenai satu-satu masalah. Kaedah ini adalah hadiah berharga daripada ajaran Islam kepada seluruh manusia kerana rahmat Allah akan diberikan kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya di mana satu daripada fenomena rahmat ini ialah jika seseorang menghadapi satu kesempitan pasti akan diadakan jalan untuk menyelesaikannya selagi individu berkenaan ingat kepada Allah SWT.

Nabi Musa AS dan pengikutnya, Bani Israil ketika dalam kesempitan tidak ada jalan di hadapan kecuali laut yang melintang luas apabila dikejar Firaun dan tenteranya, mendapat penyelesaian serta-merta daripada Allah SWT.

Al-Quran mengisahkan maksudnya: "Maka Firaun dan tenteranya pun mengejar mereka ketika matahari terbit. Selepas kedua-dua kumpulan nampak satu sama lain, berkatalah orang Nabi Musa: "Sesungguhnya kita akan dapat ditawan." Nabi Musa menjawab: "Tidak! Jangan fakir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolongan-Nya), Dia akan menunjuk jalan kepadaku." Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Pukullah laut itu dengan tongkatmu". (Selepas dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ. Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang yang bersama dengannya, semuanya. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya)." (Surah al-Syu'ara: 60-66) Satu pengajaran daripada kisah ini ialah apabila kita sudah sampai ke satu tahap yang sempit maka ia akan menjadi luas.

Hal ini juga yang berlaku kepada junjungan besar Muhammad SAW. Apabila Baginda sudah sampai pada satu tahap yang sudah tidak boleh bergerak lagi dalam penyebaran dakwah Islam di Makkah, maka Allah menjadikan peristiwa Israk Mikraj untuk Baginda sebagai tanda bukti sokongan kepada Baginda.

Pada hari sebelum peristiwa Israk Mikraj ada beberapa kejadian yang membuat Baginda berasa sedih, antaranya apabila bapa saudara Baginda, Abu Talib dan isteri Baginda, Khadijah meninggal dunia. Mereka berdua adalah tulang belakang permulaan dakwah Islam di Makkah.

Ketika Baginda pergi ke Taif dengan harapan untuk mendapat perlindungan daripada penduduk kawasan itu, sebaliknya pula sambutan diterima, iaitu Baginda ditentang dan diusir balik ke tempat asal.

Dalam misi Taif ini, Baginda mendapat dugaan yang tidak kalah beratnya daripada apa yang didapati di Makkah. Penduduk Taif membaling Baginda sehingga darah mengalir daripada wajah Baginda walaupun mempertahankan muka dengan sepasang seliparnya sambil duduk. Kejadian yang membuat marah malaikat penjaga gunung Taif dan mereka meminta kebenaran Baginda untuk membenamkan penduduk Taif ke dalam bumi tapi tidak dibenarkan Baginda kerana Baginda percaya penduduk terbabit akan menerima Islam.

Oleh kerana penerimaan penduduk bumi terhadap Nabi sedemikian rupa, maka peristiwa Israk Mikraj ini menjadi penglipur lara dan penghibur hati Baginda. Ia adalah isyarat kepada penghuni bumi (Makkah dan sekitarnya) bahawa jika mereka tidak mahu menerima Muhammad maka penghuni langit akan menerimanya dengan senang hati dan penuh bangga. Betapa tidak, bukankah Muhammad makhluk paling mulia di sisi Allah?

Peristiwa Israk dan Mikraj adalah kemuncak penghormatan dan pemuliaan Allah terhadap nabi-Nya yang bernama Muhammad yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa pun juga termasuk malaikat kanan, Jibril AS. Dalam peristiwa yang berlangsung beberapa bulan sebelum hijrah ke Madinah itu, Allah SWT sudah menghampiri dan terus bertambah hampir, sehingga antara-Nya dengan Muhammad antara jarak anak panah dengan busurnya, atau lebih hampir daripada itu.

Nabi Muhammad pada kemuncak itu sendirian, manakala Jibril AS berada pada kemuncak yang lain yang lebih rendah daripada kemuncak yang dicapai Nabi junjungan SAW. Di situlah berlaku suatu munajat besar dengan Allah SWT. Di situ juga disampaikan wahyu langsung daripada Allah. Dan di situ juga berlaku penglihatan terhadap wajah Allah.

Sebenarnya peristiwa Israk Mikraj lebih luas dan lebih umum daripada menjadi sesuatu peristiwa sejarah semata, dan sesudah itu tidak ada lagi yang harus dikata dan dibicarakan. Ia adalah suatu gambaran bagi kehidupan Muslim dan mengandungi pelbagai nasihat serta contoh teladan yang hampir tiada dikenali manusia.

Muhammad sudah dipilih oleh Allah untuk memikul perutusan-Nya. Akan tetapi sebelum itu Allah sudah membentuk peribadinya terlebih dahulu sehingga diserahkan kepadanya tanggungjawab kenabian.

Jika umat Islam memiliki pemimpin seperti Nabi Muhammad SAW sudah semestinya mereka berasa bangga dan jika mereka berasa bangga, maka sudah sepatutnya mereka akan menerima dan mengamalkan risalah Islam sepenuhnya. Dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita sudah perhatikan lalu yakini betapa tinggi dan luhur kedudukan junjungan besar kita.

Ketinggian kedudukan Baginda di sisi Allah berimbas kepada umat Baginda. Mereka juga tinggi kedudukan mereka di sisi Allah sehingga melayakkan mereka untuk menjadi tuan umat manusia sekalian. Umat Islam diangkat oleh Allah untuk menjadi saksi ke atas semua peristiwa yang berlaku ke atas manusia. Allah berfirman maksudnya: "Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (mengenai yang benar dan yang salah)." (Surah al-Baqarah: 143)

Ketuanan umat Islam ke atas umat yang lain adalah pilihan Allah menerusi imbasan peristiwa Israk Mikraj yang berlaku ke atas Nabi mereka. Ketuanan ini mesti digunakan dengan sebaik-baiknya. Mereka harus menyedari tali persaudaraan mereka yang mengalir dalam darah daging mereka. Mereka mesti memantapkan hubungan silaturahim mereka yang terjalin menerusi minda mereka. Dan mereka mesti mengotakan ikatan janji yang sudah mereka buat sesama sendiri.

Ketuanan umat Islam ke atas umat manusia sejagat ini tidak akan direalisasikan dan kemudian kekal berlaku jika mereka melupakan ajaran al-Quran bermaksud: "Nabi Muhammad ialah Rasul Allah; dan orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir (yang memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) daripada Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya." (Surah al-Fath: 29) Wallahu a'lam.