Showing posts with label Muhasabah. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah. Show all posts

Tuesday, January 5, 2010

Sabar senjata ampuh hadapi ranjau

Oleh Dr Juanda Jaya

Muhasabah diri cari punca kegagalan, kesilapan sebelum merancang azam baru

TAHUN silih berganti, hari-hari yang berlalu memberi pengalaman berharga kepada insan yang mahu belajar daripada kesilapan. Semakin matang dan bermanfaatnya ilmu semakin cerahlah pandangan seseorang dalam memahami jalan hidupnya. Tentulah ilmu dan hidayah Allah saja menunjukkan perbezaan di antara al-Haq dan bathil.

Memahami jalan sulit menembusi cabaran duniawi, mengenal makna hidup dan arah tujuan, apa diperjuangkan dan impian yang dikejar selama ini. Namun, sering muncul persoalan, mengapa kita selalu gagal mencapai azam dengan sempurna?

Alangkah eloknya sebelum merancang azam baru, seseorang itu mencari dan meneliti sebab kegagalannya pada masa lalu, supaya tidak mengulangi lagi kesilapan lama dan tidak kembali jatuh ke dalam lubang sama. Di antara sebab kegagalan seorang mukmin dalam mencapai azam hidupnya ialah:

  • Perasaan aman berada dalam zon selesa

    Manusia sering berasa megah dengan dirinya, rasa sudah banyak amalnya dan melupakan dosanya. Dia begitu selesa, gembira dan yakin dengan keadaannya sekarang. Padahal ibadatnya tidak sempurna, ilmunya cetek, hatinya keras, akhlaknya bermasalah, hubungannya dengan Tuhan terputus-putus, kesibukannya hanya pada aktiviti keseronokan mengikuti kemahuan hawa nafsu.

    Tetapi, nikmat duniawi mencurah-curah dalam pelukannya sehingga menenggelamkan ingatan mengenai akhiratnya. Dia berasa sungguh selesa dan lupa kepada dosa-dosanya, kurang sensitif ketika menilai kesilapan diri dan menganggap ibadat yang sedikit boleh menghapuskan dosa besar. Maka itu, dia sembahyang tetapi makan harta riba.

    Dia berpuasa tetapi memfitnah dan menyebarkan kebatilan, dia pergi haji tetapi menderhaka kepada ibu bapanya, dia melakukan sembahyang malam tetapi memenuhi siangnya dengan tidur dan tidak bertanggungjawab dengan tugasnya, dia berdakwah ke merata tempat tetapi tidak peduli dengan keluarganya. Jika dia menuntut ilmu maka ilmunya itu menyebabkannya takbur dan memandang rendah orang lain.

    Jika seseorang berasa sempurna, suci tanpa dosa sebenarnya dia melakukan dosa dengan perasaan sebegitu. Kerana sikap ini menunjukkan kelalaian, ujub dengan dirinya sendiri dan tidak mengaku hakikat bahawa Allah saja yang Maha Sempurna.

    Bahkan ada yang sanggup mengkembarkan pahala dan dosa sekali gus. Tangan kanan memegang tasbih, tangan kiri memegang cawan arak. Adakalanya matanya jinak membaca al-Quran dan suatu ketika liar dalam tontonan cabul. Hari ini menerima duit rasuah esok pula bersedekah, ada masanya pergi umrah tetapi masih juga terpalit dosa berzina. Bagaimana mungkin mereka sanggup menipu Allah, membohongi diri mereka sendiri dan lebih teruknya mereka selesa dengan kehidupan yang sebegini.

    Allah SWT berfirman: "Mereka hendak menipu Allah dan orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar." (Surah Al-Baqarah ayat: 9) Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedang kamu Mengetahui." (Surah Al-Baqarah ayat: 42)

    Jika mereka menganggap baik perbuatan dosa kerana selesa dengan amal ibadatnya maka susahlah menaruh harapan untuk berjaya meningkatkan prestasi iman di sisi Tuhan.

  • Disiplin untuk dunia, tidak untuk akhirat

    Kejayaan manusia bergantung dengan disiplin diterapkan dalam hidupnya. Kita melihat orang yang begitu hebat mencari harta, menaikkan pangkat dan memuja kuasanya sehingga sanggup bergadai nyawa, menyeksa diri, mengharamkan rehat, meletihkan jasadnya, menghiris perasaannya demi dunia. Mereka begitu disiplin untuk dunia tetapi tidak untuk akhirat.

    Allah berfirman yang bermaksud: "Itulah orang yang membeli kehidupan dunia dengan (kehidupan) akhirat, maka tidak akan diringankan seksa mereka dan mereka tidak akan ditolong." (Surah Al-Baqarah ayat: 86)

    Betapa kita melihat manusia yang sanggup menghabiskan sepenuh harinya untuk duit akhirnya mati sebelum dapat menikmati hasil titik peluhnya sendiri. Kita melihat mereka kelelahan dengan beban tugas dan tanggungjawab demi wang ringgit hingga tidak cukup masa untuk mengenal Tuhan. Ada pula yang dikongkong oleh anak dan isteri sampai melupakan soalan apabila maut akan datang sudahkah cukup bekalan?

    Mengapa kita yang percaya kepada akhirat tidak dapat berdisiplin mematuhi Allah sebagaimana mereka berdisiplin menghambakan diri kepada dunia? Jika mereka sangat menjaga masa mengapa pula kita selalu bersungut bosan dan jemu dengan kehidupan ini? Bukankah al-Quran menjadi penawar, al-Sunnah menjadi pencerah wajah, ilmu dan hidayahnya menjadi teman sepanjang masa, kerja-kerja dakwah, amal dan ibadah juga tanggungjawab yang pasti melebihi masa yang kita ada?

    Jika untuk dunia mereka sanggup berdisiplin, mengapa kita tidak mahu berdisiplin untuk akhirat, tempat terakhir dan kekal yang tiada penghabisannya, sedangkan dunia hanya sementara. Bagaimanakah seseorang boleh sampai ke akhirat jika ia menangguhkan perjalanan dan hanya suka bermain-main saja, adakah mungkin dia akan sampai ke tujuan itu?

  • Kurang sabar dalam beramal

    Untuk dunia, manusia sanggup menitiskan air mata, menumpahkan darah, menghiris kalbunya dan memenjarakan kebebasannya. Akan tetapi berapa ramaikah yang sanggup bersabar dalam mentaati Allah, membela agamaNya, dihina kerana iman dan perjuangannya?

    Daripada Abdullah bin Ahmad bin Hanbal, beliau berkata: "Aku mendengar ayahku, imam Ahmad bin Hanbal berkata: Moga-moga

    Allah merahmati Abul Haitham! Lalu aku bertanya: Siapakah dia Abul Haitham itu? Ayahku bercerita: Dulu apabila aku diheret untuk disiksa dan aku dibawa keluar untuk disebat, tiba-tiba seseorang menarik tanganku dan berkata: Akulah Abul Haitham Al-Ayyar seorang penipu terkenal. Aku sudah merasai 18,000 sebatan dalam beberapa masa dan aku bersabar mentaati syaitan kerana inginkan dunia. Dan Engkau wahai syeikh hendaklah bersabar mentaati Tuhan kerana agamamu."

    Sebuah kisah menjadi pegangan dalam memperjuangkan iman, ujian dan dugaan sentiasa datang supaya kita benar-benar cekal dan tangguh, kerana sesungguhnya pemenang adalah mereka yang sabar menghadapi musuh bukannya mereka yang kuat semata-mata. Kesabaran adalah senjata ampuh saat menempuhi ranjau dan Allah tidak menguji hamba-Nya melainkan menurut kemampuannya.

    Penulis ialah Mufti Perlis, kini menjadi tamu Pusat Kajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom
  • Tuesday, December 29, 2009

    Tajdid Iman: Muhasabah diri sebelum tahun baru

    Disiplin, amal ibadat, zikir bantu ummah perangi cengkaman hawa nafsu

    MENDEKATI detik terakhir penghujung tahun ini, sememangnya agak gementar mengimbas kembali catatan kealpaan diri sepanjang tahun. Orang mukmin yang jujur suka mengorek rahsia hatinya dengan mencari kelemahan dan menangisi kerugian yang ditanggung. Mereka merumuskan makna kejayaan dan peningkatan pencapaian sebenar bagi setiap tahun dalam kehidupan mengikut kacamata agama.

    Sesungguhnya peningkatan agama bergantung dengan ibadat, peningkatan harta kerana pandai merancang dan berjimat, peningkatan ilmu kerana mengkaji, peningkatan akhlak kerana lemah lembut dan mengawal emosi, peningkatan dalam hubungan sesama manusia kerana membuang sifat sombong dan riak, peningkatan kesabaran hati kerana banyaknya musibah, peningkatan kualiti diri kerana disiplin yang kuat.

    Kelemahan diri pula menjadi agenda yang paling penting untuk diinsafi setiap masa, misalnya ketika kita kekurangan harta akibat nafsu membeli-belah yang tinggi dan tidak pandai merancang. Sewaktu ditimpa surutnya cahaya di hati kerana malas beribadah dan meninggalkan ilmu. Kerasnya jiwa kerana jauh dari al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya. Berkurangnya kawan dan renggang ikatan persaudaraan kerana suka menambah musuh, takbur, menunjuk-nunjuk dan berdengki. Bertambahnya penyakit kerana banyak makan, malas, berehat dan berhibur secara berlebihan. Berkurangnya umur dan sedikitnya bekalan ke akhirat juga menunjukkan betapa ruginya manusia sepanjang tahun ini.

    Saat bermuhasabah tidaklah terbatas hanya pada hujung tahun, kerana Rasulullah SAW mengajar umatnya untuk sentiasa mengakui kelemahan diri melalui firman Allah yang bermaksud: "Orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas ampunan-Nya dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaan) mu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu. Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa." (Surah al-Najm: 32)

    Jangan sesekali menganggap diri sudah berjaya sebelum benar kepastiannya mengenai pintu syurga atau neraka yang akan dimasuki. Sepanjang kehidupan yang kita lalui di dunia, banyak kemungkinan akan terjadi. Berubahnya hati dan turun naiknya iman, pasang surutnya amalan dan bertambah atau berkurangnya dosa dan pahala. Hakikatnya ramai yang menjadi tawanan hawa nafsu dan sedikit saja orang yang selamat. Layakkah kita menjadi golongan yang sedikit itu?

    Suatu hari Ibnul Qayyim Al-Jauziyah menziarahi gurunya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah yang sedang dipenjara dan difitnah musuh-musuhnya. Melihat keadaan gurunya itu beliau pun menangis. Ibnu Taimiyah berkata: "Apakah kamu menangis melihat keadaanku? Demi Allah, wahai anakku, aku bukan seorang tawanan. Sesungguhnya orang yang menjadi tawanan itu sebenarnya adalah orang yang menahan hatinya dari ikatan Tuhannya membiarkan hawa nafsunya menawannya."

    Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Terangkanlah kepadaku akan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya." (Surah Al-Furqan: 43)

    Mulakan muhasabah ini dengan melihat sejauh mana kekuatan hawa nafsu mempengaruhi diri. Betapa hebatnya cengkaman hawa nafsu terhadap jiwa raga kita sehingga kedudukannya boleh jadi setaraf dengan Tuhan dalam pandangan manusia yang lalai. Bahkan Baginda pernah memberi nasihat kepada seorang sahabat supaya berwaspada dengan jerat nafsu.

    Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Rabi'ah, mintalah kepadaku". Aku berkata: "Wahai Rasulullah biar aku fikirkan sebentar. Lalu aku mengingat-ingat dunia serta kefanaannya sehingga aku berkata: "Aku tidak akan meminta kecuali akhirat. Kemudian aku mendatangi Baginda SAW dan berkata: "Aku meminta supaya aku boleh menemanimu di syurga. Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Rabi'ah adakah yang selain dari itu? Aku menjawab: Itu saja. Maka Rasulullah SAW bersabda lagi: Berjanjilah untuk kamu mengendalikan hawa nafsumu dan banyakkan sujud (nescaya kamu akan menemaniku di syurga)." (Muslim)

    Hawa nafsu boleh dilemahkan jika manusia berdisiplin memeranginya. Satu kata kunci untuk kejayaan adalah disiplin. Ia wujud dalam sistem ibadat kita, solat lima waktu dan solat sunat, puasa, haji, zakat dan sedekah. Zikrullah dengan terang ataupun tersembunyi, memelihara al-Quran sentiasa hidup di dalam hati dan melaksanakan sunnah Rasul adalah disiplin. Mengisi masa dengan amal, menguasai dunia demi akhirat memerlukan disiplin yang tinggi.

    Ibnu Al-Qayyim pernah berkata: "Wahai orang yang lemah semangat! Sesungguhnya di atas jalan ini Nuh menjadi tua, Yahya dibunuh, Zakaria digergaji, Muhammad diseksa dan anda pula inginkan Islam datang dengan mudah di bawah kakimu?"

    Selepas meneliti kuasa hawa nafsu dalam diri dan mengakui cengkamannya yang melemahkan amal salih maka langkah yang kedua ialah menentukan azam baru untuk memerangi, merancang jalan mana yang mahu ditempuhi, lebih tajam membuat siasat perang dan berwaspada dengan muslihat musuh setiap saat.

    Musuh manusia yang paling licik berada di sekelilingnya. Ia tidak memilih apakah orang itu alim atau jahil, ahli ibadat atau ahli maksiat, mukmin atau kafir. Syaitan tetap syaitan, semua orang dipengaruhi syaitan masing-masing. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya syaitan itu mengalir di dalam tubuh anak Adam laksana mengalirnya darah dan sesungguhnya aku bimbang dia akan menimbulkan di dalam hati kamu sesuatu yang jahat." (Al-Bukhari dan Muslim)

    Setiap konflik yang muncul dalam pergaulan manusia kerana dengki, dendam dan sombong, perselisihan suami dan isteri, terputusnya ikatan sanak saudara, anak menderhaka, orang tua tidak amanah, orang kaya tamak, pemimpin zalim serta lalai dan kufurnya manusia terhadap Allah SWT, semua itu berpunca daripada hasutan syaitan akibat diri menjadi tawanan nafsu.

    Orang mukmin sentiasa mengingati diri mereka supaya berlindung dari gangguan syaitan, mengenali bahawa kejahatannya itu adalah hasil kerja syaitan dan cepat-cepat kembali bertaubat dan berwaspada supaya tidak tertipu lagi dengan kenikmatan yang dijanjikan syaitan. Oleh kerana sifat dosa adalah nikmat sesaat manakala pahala pula bersifat susah, perit dan seksaan maka ramailah yang kecundang dalam memilih.

    Tetapi bagi orang mukmin, seksaan melawan hawa nafsu dan syaitan itu sedikit demi sedikit berubah menjadi nikmat jiwa yang paling bernilai yang tidak pernah dirasai orang fasik lagi lalai. Nikmatnya seakan-akan di dalam syurga walaupun mereka masih berada di dunia lagi.

    Ibnu Taimiyah berkata: "Sesungguhnya di dunia ini ada syurga, sesiapa yang belum masuk ke dalamnya dia tidak boleh masuk syurga akhirat. Murid-muridnya bertanya: "Apakah syurga dunia itu? Beliau berkata: "Syurga mengenal Allah, mencintai-Nya, merindu dan berlemah-lembut kepada-Nya."

    Penulis ialah Mufti Perlis

    Thursday, May 7, 2009

    Ikhlas muhasabah diri cara berkesan baiki kelemahan ummah

    Oleh Muhammad Rashidi Wahab

    MUHASABAH adalah perilaku menghitung dan memperelokkan diri yang terbentuk dalam jiwa manusia menurut kaca mata agama. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri sentiasa mencela segala kejahatan pernah dilakukan yang boleh menjadi penghalang untuk mendapat keredaan Allah.

    Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).” (Hadis riwayat al-Tarmizi)

    Sesiapa yang bermuhasabah diri tidak meninggalkan ruang dan masa melakukan perkara batil. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Dia mencela jiwanya atas setiap kesalahan dan kekurangan dilakukannya terhadap Allah kerana takut kekuasaan-Nya. Jika inilah keadaannya, mungkin tiada jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan. Berkata as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie: “Daripada takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah.” (Kitab al-Burhan al-Muayyad).

    Muhasabah menghasilkan perasaan bertanggungjawab terhadap Allah, Rasul-Nya serta makhluk. Melalui muhasabah juga manusia berasa diri tidak diciptakan dengan sia-sia kerana kita pasti kembali kepada Allah apabila sampai waktu. Firman Allah bermaksud: “Setiap yang berjiwa (bernyawa) akan berasa mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga ia sudah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanya kesenangan yang memperdayakan.” (Surah ali-Imran, ayat 185)

    Dalam kesibukan kita mengejar kekayaan dunia, jangan lupa untuk menyibukkan diri dengan mengingati Allah supaya kehidupan baik di dunia dapat dinikmati dan kesejahteraan akhirat tetap menanti.

    Firman Allah bermaksud: “Maka segeralah kembali kepada Allah maka sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata daripada Allah untukmu.” (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 50)

    Golongan sufi sentiasa mengabdikan diri kepada Allah. Mereka beriman dalam perjalanan musafir ini menuju Allah dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Hati mereka sentiasa mengingati mereka akan kembali kepada Allah pada setiap masa. Firman Allah bermaksud: “Di tempat yang disenangi (penuh kebahagiaan) di sisi Tuhan (Allah) Maha Kuasa. ” (Surah al-Qamar, ayat 55)

    Berkata Syeikh Ahmad Zarruq: “Lalai daripada bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada adanya sifat reda nafsu atau rasa berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkan dia menjadi pahlawan. Oleh itu lazimkan diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramal dengan apa yang sahih tanpa bertolak ansur terhadap perkara yang salah. Ketika beramal jangan mencari sesuatu yang tidak jelas.” (Kitab Qawaid al-Tasawuf)

    Demikianlah pentingnya muhasabah dalam diri setiap individu. Tanpa muhasabah yang ikhlas seseorang sentiasa berasa diri tidak pernah melakukan kesalahan. Bermuhasabah dengan hati terbuka supaya kita boleh memperbaiki kebatilan dan kelemahan diri sebelum menemui ajal.

    Tuesday, April 14, 2009

    Tajdid Iman: Jiwa tanpa hidayah terima seksaan paling beratJ

    Oleh Juanda Jaya


    BERSYUKUR kepada Allah bukan saja ketika senang tetapi juga pada saat menghadapi ujian-Nya. - Gambar hiasan


    Rahmat, musibah diturunkan Allah patut jadi medan umat muhasabah diri setiap saat

    SESUNGGUHNYA orang yang memiliki ketajaman mata hati mengakui bahawa bencana dan seksa Allah tidak hanya dalam bentuk kelaparan, sakit, miskin dan muflis. Sesungguhnya bencana paling hebat ialah azab Allah bersifat maknawi, tidak nampak di mata manusia tetapi kesannya sungguh dahsyat dirasai.

    Ia boleh membuat hati mereka tertekan seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Barang siapa yang Allah menghendakinya mendapat petunjuk nescaya Dia melapangkan dadanya untuk menerima Islam. Siapa yang dikehendaki Allah mendapat kesesatan nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit seolah-olah ia sedang mendaki ke langit." (Surah Al-An'am, ayat 125)

    Walaupun semua nikmat dunia sudah dimiliki dada rasa sempit, susah, takut, risau dan sedih. Bukankah perasaan itu adalah azab yang bersifat maknawi? Apakah lagi azab Allah yang ditimpakan kepada manusia supaya mereka beringat?

    Azab di hati, tidak berasa manisnya iman. Mengapa orang yang lalai kepada Allah hidupnya bergelumang harta dan kuasa? Tidak nampak kesusahan pada wajah mereka, sentiasa sihat dan gembira dengan apa dimiliki. Tetapi benarkah mereka bahagia?

    Mana mungkin harta boleh membeli ketenangan jiwa, bahkan hakikatnya semua yang ditonjolkan adalah palsu belaka. Hati mereka menjerit dikejar rasa bersalah, diburu bayang-bayang dosa dan maksiat yang dilakukan.

    Nurani yang bersih sentiasa berbisik bahawa mereka melakukan kesilapan memilih jalan sedangkan nafsu yang keji cuba menjerat dengan pelbagai kenikmatan sesaat. Memang mereka menikmati segalanya tetapi jiwa tidak pernah puas, hampa dan kosong.

    Allah menyeksa dengan cara mengunci mati hati mendapat hidayah-Nya. Azab Allah membuat hidup seseorang tidak menentu, tertekan, tersesat tanpa kuasa yang boleh menolongnya selain Allah.

    Jika Allah cabut kemanisan iman dari hati, sesungguhnya Dia mengazab mereka secara senyap, ramai yang sembahyang tetapi tidak rasa manisnya sujud atau khusyuk dan mereka berilmu tetapi tidak mengenal jalan menuju Allah.

    Mereka kaya tetapi tidak merasai keberkatan hartanya. Mereka kepenatan mengejar dunia, menitiskan air mata untuk dunia, risau dan takut kerana dunia, berjuang untuk dunia, sakit dan akhirnya mati untuk dunia tanpa melalui kemanisan saat beribadah dan kenikmatan memuji Allah.

    Hati tempat jatuhnya rahmat dan azab Allah. Alangkah ramainya manusia yang tidak menyedari dirinya sedang diazab kerana dosa membutakan hati sehingga tiada mampu membeza manakah salah satunya, antara rahmat atau azab?

    Kata-kata pendeta Bani Israil dalam kitab Ibnul Qayyim Al-Jauzi, 'Shaydul Khatir': "Oh Tuhanku, aku sering berbuat maksiat tetapi mengapa tak kunjung datang azab-Mu menimpaku? Dikatakan kepadanya: Betapa banyaknya azab Allah menimpamu, tetapi engkau tidak tahu bahawa itulah azab Allah. Tidakkah engkau merasa dihalang dirimu merasai kenikmatan bermunajat kepada-Nya?"

    Orang berilmu buta hati jika ia menganggap dirinya sentiasa dirahmati Allah walaupun maksiat menghiasi peribadi, apatah lagi orang awam yang kering iman lagi jahil. Walaupun mesti bersangka baik kepada Allah, jangan sampai dia langsung tidak kisah dengan karat maksiat dan hanya berlagak umpama suci dalam debu.

    Semakin dia rasa tidak kisah dengan maksiat itu, semakin hatinya kotor dan tidak layak dijatuhi pandangan rahmat-Nya. Kemudian dia tidak mampu lagi membeza mana rahmat dan mana azab, akhirnya buta hati.

    Azab di mata, tidak mahu membaca hikmah peringatan Allah. Setiap peristiwa mesti mengandungi hikmah untuk kebaikan manusia. Ujian dan azab yang dideritai adalah bentuk tarbiah berkesan untuk menyedarkan kesilapan manusia.

    Tetapi, ada pula orang yang semakin diuji semakin teruk kesesatannya, bahkan berterusan melakukan maksiat. Azab di atas azab! Apabila sakit yang dideritai, kehilangan harta, kegagalan hidup dan ajal maut sama sekali tidak menyedarkan bahawa semua itu adalah peringatan Allah.

    Padahal duri yang mencucuk kulit itu menyimpan petanda peringatan daripada Allah bahawa manusia memang lemah, miskin dan tidak berupaya melawan kehendak Allah. Orang yang degil dan derhaka anggap semua itu lumrah hidup tiada campur tangan Allah.

    Ketika sakit dia menyumpah seranah, jika rugi dia membuat penyelewengan demi mendapat keuntungan secara haram, jika dizalimi dia membalas dendam dengan kezaliman yang lebih teruk ke atas orang lain.

    Tidak ada kamus taubat dan insaf dalam hidupnya. Mereka tidak mahu mengambil pelajaran kisah penyelewengan manusia yang berakhir dengan kesengsaraan dunia akhirat. Mata, telinga, hati dan akal dikurniakan Allah untuk mendapat hidayah tidak dimanfaatkan sehingga kesesatan tiada berakhir.

    Firman Allah yang bermaksud: "Perumpamaan mereka seperti orang yang menyalakan api, maka selepas api itu menerangi sekelilingnya Allah hilangkan cahaya (yang menyinari) mereka, dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Mereka tuli, bisu dan buta." (Surah al-Baqarah, ayat 17)

    Mengapa manusia mudah tertipu? Bukankah mereka tahu musuh paling berbahaya ialah iblis dan syaitan tetapi mereka menjadikannya teman setia? Manusia juga dibekalkan syariat, hati dan mata. Justeru, dengan modal itu mereka pula semakin tersesat.

    Orang Islam mengetahui syurga dan neraka, tetapi ramai pilihannya selalu silap. Mereka tahu dunia ini palsu dan menipu tetapi di situlah mereka memuaskan nafsu. Jadi, bagaimana menyelamatkan diri daripada kebodohan sendiri yang selalu tertipu sebelum azab datang?

    Setiap kali mengulangi dosa dan maksiat kepada Allah, cubalah ancam diri sendiri. Awas! Jaga-jaga kuasa Allah boleh menarik balik semua yang anda miliki. Bayangkan perkara negatif terkena pada tubuh, harta, anak, isteri dan keluarga, kedudukan serta kuasa.

    Apabila seseorang hidup dalam zon selesa dan tidak pernah mengancam diri maka keadaan ini membuatnya hanyut, lalai dan lupa daratan. Jika dia sentiasa berjaga-jaga dan suka menakutkan diri, ia sebagai langkah pencegahan sebelum kemurkaan Allah tidak dapat dibendung. Cara paling berkesan untuk mengancam diri dengan azab Allah ialah dengan mentadabburkan al-Quran. Sesungguhnya al-Quran bukan hanya membawa khabar gembira kepada hamba Allah yang beriman bahkan ada ayat ancaman supaya manusia tidak leka dibelai dunia. Sedikit tertawa dan banyak menangis adalah wasiat Rasulullah SAW supaya manusia suka mengancam dan memperingatkan diri dengan seksa Allah yang begitu pedih.

    Ketinggian akhlak manusia bergantung dengan seberapa kerap dia bersyukur kepada Allah. Orang itu layak dipanggil manusia paling mulia dan tahu mengenang budi. Sesungguhnya manusia tanpa sifat syukur seperti penderhaka yang mengambil kesempatan dan menikam dari belakang.

    Walaupun ilmu menjulang ke langit, harta setinggi gunung, kuasanya segagah ruang angkasa tetapi jika sifat kufur mengatasi segala-gala maka dia menjadi sehina makhluk pada pandangan Zat Yang Maha Pemberi Nikmat.

    Lebih baik hidup sebagai cacing yang sedar diri sambil berzikir pagi dan petang mengingat jasa baik Allah memberinya makanan di dalam tanah. Walaupun syukur sang cacing tidak dibalas dengan nikmat di akhirat tetapi dia pandai berterima kasih kepada Allah atas rezekinya dalam tanah. Cacing hanya makan kotoran tetapi pandai bersyukur. Manusia jauh lebih baik makanan dan nikmat hidup yang dianugerahkan Allah tetapi betapa sedikitnya yang pandai bersyukur.

    Syukur bermakna berhias dengan lidah yang memuji saja tanpa sepatah pun mencela perbuatan Allah ke atas diri kita, berhias dengan perbuatan mengikut undang-undang Tuhan sekali gus menolak logik manusia yang bodoh berlagak tahu segala-gala.

    Syukur itu perhiasan paling cantik jika dipakai, ilmu bermanfaat jika diamal dan akhlak indah pada pandangan Tuhan, bahkan ia boleh menahan azab yang turun dari langit. Allah berfirman yang bermaksud: "Jika kamu bersyukur, Aku tambahkan nikmat-Ku namun jika kamu kufur sungguh azab-Ku amat pedih."

    Friday, April 10, 2009

    Muhasabah senjata hancurkan sifat takbur, sombong

    Oleh Amran Zakaria

    Nilai kelemahan diri, usah salahkan orang lain jika gagal capai matlamat dirancang

    MUHASABAH penting bagi memastikan setiap individu ataupun organisasi sentiasa kuat dan cekal menghadapi ujian. Sering kali elemen muhasabah iaitu menilai dan memeriksa diri untuk memperbaiki kelemahan diri diabaikan.

    Melalui amalan muhasabah, seseorang itu dapat menganalisis kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Sekurang-kurangnya ia menjadikan seseorang lebih berhati-hati supaya tidak mengulangi kesilapan.

    Antara keburukan pada kebanyakan manusia ialah kurang muhasabah diri. Mengamati kelemahan dan kekurangan diri membuatkan kita lebih insaf bahawa kita tidak terlepas melakukan kesilapan. Hanya manusia angkuh saja memiliki pendirian bahawa dirinya tidak pernah melakukan kesalahan.

    Sebenarnya, kemerosotan penghayatan nilai agama dan etika boleh mempengaruhi sifat serta sikap individu dalam urusan kerja atau apa-apa urusan yang dipertanggungjawabkan. Oleh itu, kita perlu bersedia mengakui kesalahan dan memperbetulkannya.

    Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)." (Surah al-Ankabut, ayat 64)

    Manusia yang takbur akan dilaknat Allah SWT kerana mereka menyaingi kebesaran dan keagungan Allah SWT. Mereka juga dilaknat Allah SWT kerana membesarkan diri sendiri, bukan orang lain yang membesarkannya.

    Orang takbur suka dipuji, pantang dikritik, kagum dengan pandangan sendiri, suka meremehkan pandangan orang lain dan sukar menerima nasihat atau tunjuk ajar daripada orang lain.

    Imam Al-Ghazali merumuskan, seburuk-buruk sifat takbur ialah orang yang tidak mahu mengambil manfaat daripada ilmu pengetahuan serta tidak mahu tunduk kepada kebenaran, walaupun kebenaran itu sudah terbukti.

    Apabila sifat angkuh dan sombong menguasai, akan hilanglah keseimbangan diri dan sikap rasional, maka tindakan mereka lebih menjurus ke arah mencapai kepuasan serta mengikut hawa nafsu masing-masing.

    Salman Al-Farisi, sahabat Rasulullah SAW ketika ditanya: "Apakah perbuatan buruk yang menyebabkan semua kebaikan menjadi sia-sia? Beliau menjawab: Takbur."

    Jangan membangga diri dengan ilmu yang banyak dan tinggi, sehingga menganggap orang lain semuanya bodoh. Jangan angkuh dengan kekayaan dan rezeki dikurniakan Allah SWT. Jangan bangga dengan kuasa yang diberikan kepada kita sebagai ujian sehingga kita menjadi takbur kerananya.

    Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada setiap orang yang sombong, takbur lagi membanggakan diri." (Surah Luqman, ayat 18)

    Jangan sekali kita berlagak sombong dan memandang rendah kepada manusia lain. Allah SWT mengingatkan melalui firma yang bermaksud: "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri." (Surah Luqman, ayat 18)

    Adapun cara untuk kita mensyukuri nikmat Allah SWT itu pelbagai termasuk melalui pujian dan doa serta sujud syukur. Kita hendaklah sentiasa menanam dalam jiwa sifat tawaduk, rendah hati dan sentiasa bersyukur nikmat Allah SWT kurniakan.

    Jangan sesekali menyalahkan kesilapan diri dengan menuding jari kepada orang lain kerana orang yang tidak mengakui kelemahan sukar untuk memperoleh kejayaan, sentiasa resah dan kelam kabut dalam kehidupannya.

    Justeru, kita perlu rendah hati untuk mengakui kesilapan yang pernah dilakukan atau bersedia mengambil manfaat daripada kegagalan dan cukup berani untuk membetulkan kesilapan. udah untuk meletakkan kesalahan kepada orang lain apabila kita gagal dalam mencapai matlamat sepertimana yang dirancang. Namun agak sukar kita mengakui kesilapan yang kita lakukakan secara terbuka. Hanya hati dan perasaan kita yang ditimbang akal akan mencari kesalahan dan kelemahan diri untuk diperbetulkan secara tertutup.

    Kita sepatutnya mengenalpasti dan mencari jalan bagaimana hendak mengatasi kelemahan yang ada dalam diri kita dan bersedia ditegur untuk kebaikan. Jika kelemahan itu dapat diatasi dan sentiasa berusaha menambahbaik, pasti harapan mencapai kejayaan akan menjadi lebih mudah.

    Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)

    Friday, March 20, 2009

    Muhasabah penyelesaian terbaik selamatkan rumah tangga

    Oleh Lokman Ismail

    KEHIDUPAN berumah tangga banyak dugaan. Tidak sefahaman, sikap angkuh pasangan, campur tangan keluarga, penyakit, kewangan dan gagal menjalankan tanggungjawab menjadi antara puncanya.

    Islam menyarankan permasalahan rumah tangga diselesaikan dengan sebaik-baiknya. Jangan mengambil jalan singkat yang boleh menghancurkan kebahagiaan yang dikecapi melalui perkahwinan. Jika ada persengketaan antara suami isteri, perlu diadakan muhasabah untuk mencari punca krisis berlaku. Dalam hal ini keikhlasan suami isteri amat penting. Jangan mudah menyalahkan pasangan sebagai penyebabnya. Sikap membuat kesimpulan sebelum perbincangan hanya akan menambah lagi kekusutan.

    Keadilan hanya akan wujud jika perbincangan dilakukan dengan berlapang dada. Ketika suami atau isteri menjelaskan apa yang berlaku, ia mesti didengar dan diperhalusi tanpa prejudis. Dengan cara itu kebenaran lebih mudah ditemui dan keputusan dapat dibuat dengan adil.

    Dalam usaha merungkai masalah yang timbul, bercakap benar amat penting. Antara suami isteri seharusnya tiada rahsia kecuali jika dikhuatiri berterus terang dalam hal tertentu akan mendatangkan keburukan, maka harus ia dirahsiakan.

    Bercakap benar perlu diamalkan sepanjang masa. Pembohongan antara satu sama lain akan menghancurkan rumah tangga dibina. Jika berbohong, lambat laun ia akan terbongkar juga. Keadaan ini menyebabkan suami atau isteri tidak lagi mempercayai apa dicakapkan biarpun perkara yang benar.

    Bercakap benar akan membina ikatan saling mempercayai dan seterusnya mengelak rasa curiga. Jika difikirkan sukar diadakan perbincangan ketika suami dan isteri sudah 'panas' dan buntu fikiran, maka Islam menyuruh kedua-dua menghantar wakil untuk berbincang. Pendekatan itu diharapkan dapat mencari jalan penyelesaian.

    Perkataan talak atau cerai yang dilafazkan oleh suami sah biarpun dilakukan ketika marah, bergurau, ugutan dan seumpamanya. Talak berlaku bukan saja melalui ucapan, malah juga dalam bentuk tulisan, termasuk melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

    Justeru, soal talak tidak boleh dipandang mudah. Betapa payahnya hendak melangsungkan perkahwinan yang terpaksa melalui beberapa proses, begitu juga sepatutnya sebelum berlaku talak.

    Isteri jangan mencabar suami menjatuhkan talak apabila berlaku perkara yang tidak disenangi. Suami pula perlu berhati-hati dan bersabar daripada mengucapkan perkataan talak atau perkataan yang boleh menyebabkan talak.

    Islam membenarkan talak bukan bermakna ia satu perkara yang 'mudah' dilakukan. Talak adalah jalan terakhir dalam penyelesaian masalah rumah tangga. Selagi ada peluang untuk kembali aman, maka wajib dilakukan usaha ke arah itu.

    Firman Allah bermaksud: "Tidak ada sesuatu dosa atas kamu jika kamu menceraikan isteri kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 236). Ayat itu jelas mengenai harus bagi suami menceraikan isterinya atas sebab tertentu.

    Sesungguhnya, kebenaran suami talak isteri bukan bermakna ia boleh dipermudahkan dan dipermainkan. Kamus rumah tangga tidak sepatutnya menyimpan perkataan talak.

    Talak ertinya berlawanan dengan akad nikah. Jika perkahwinan itu dituntut, maka talak pula perlu dihindarkan. Peristiwa talak mengundang kebencian Rasulullah SAW dan Allah.

    Suami tidak boleh bertindak atau memperlakukan sesuka hati terhadap isteri. Isteri mempunyai hak untuk mendapat layanan terbaik daripada suami. Isteri bukannya hamba memuaskan nafsu suami semata-mata. Institusi perkahwinan adalah pelindung bagi wanita daripada perbuatan jahat lelaki yang tidak bertanggungjawab.

    Kebahagiaan yang diharapkan pada permulaan perkahwinan perlu diteruskan sepanjang masa. Semakin lama usia perkahwinan, sepatutnya semakin erat kasih sayang dan mendewasakan mereka dalam menghadapi cabaran hidup.

    Saturday, October 18, 2008

    Menilai diri sebelum berangkat ke Tanah Suci

    Oleh Ibrahim Abdullah


    JEMAAH haji berkumpul untuk berwuquf di Arafah iaitu kemuncak ibadat haji.


    Ibadah haji beri kesan positif terhadap sikap, tindakan dan tingkah laku individu

    UMAT Islam dari seluruh dunia tidak lama lagi akan menunaikan ibadah haji di tanah suci Makkah dan Madinah sebagai menyempurnakan rukun Islam kelima.

    Firma Allah yang bermaksud : "Allah mewajibkan atas manusia untuk mengerjakan ibadah haji bagi yang mampu mengadakan perjalanan ke sana." – (Surah al-Imran, ayat 97)

    Takrif haji secara bahasa bererti menuju atau menziarahi suatu tempat. Menurut istilah fikah ialah ziarah ke Baitullah di Makkah untuk melaksanakan ibadah dengan cara tertentu, dalam waktu dan tempat-tempat tertentu. Ibadah haji diwajibkan pada tahun kesembilan selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

    Ibadah itu sudah dikenal sejak dari zaman Nabi Ibrahim AS bersama anaknya Ismail yang diperintahkan Allah mengajak dan menyeru manusia menziarahi rumah Allah (Baitullah al-Haram). Waktu itu bangsa Arab di sekitarnya setiap tahun berduyun-duyun menuju Kaabah untuk melakukan ibadah haji dengan cara syariat Nabi Ibrahim. Pelaksanaan ibadah haji berjalan terus sampai zaman Nabi Muhammad SAW hinggalah hari ini.

    Menunaikan haji hukumnya wajib bagi yang mampu dari segi mental, fizikal, harta dan keimanan mengenai cara melaksanakan ibadah berkenaan.

    Setiap umat Islam mengharapkan dirinya untuk menunaikan ibadah haji. Apa lagi pahala ganjaran yang dijanjikan sangat besar bagi haji mabrur iaitu balasan syurga. "Tidak ada balasan bagi haji mabrur, melainkan syurga." – (Hadis riwayat Muttafaqa 'Alaih)

    Begitu besarnya kerinduan akan kebesaran dari keagungan Allah di Baitullah. Bagi mereka yang sudah menunaikan haji, ingin semula mengerjakan ibadah itu berulang-ulang kali.

    Walaupun Rasulullah SAW menegaskan bahawa ibadah haji itu cukup sekali (wajib), sedangkan yang kedua dan seterusnya adalah sunnah. – (Hadis riwayat Imam Ahmad).

    Hal itu tidak tidak menghalangi niat kaum Muslimin untuk terus menunaikan ibadah haji ke tanah suci. Semulia ibadah haji adalah mereka yang dapat mencapai dan meraih darjat haji mabrur. Hanya haji mabrur diterima Allah, iaitu ibadah haji yang dilaksanakan tanpa melakukan perbuatan kesalahan seperti diterangkan dalam al-Quran bermaksud: "Barang siapa yang berniat melakukan ibadah haji, maka tidak boleh mencampuri isteri, tidak boleh berbuat fasik, dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan haji." – (Surah al-Baqarah, ayat 197)

    Upaya untuk mendapatkan haji mabrur dilalui berbagai cara. Di antaranya, sebelum berangkat haji seseorang mesti melakukan hal yang boleh membantu hajinya. Iaitu:

    l Bekalannya yang digunakan adalah halal (harta)

    l Berniat ikhlas kerana Allah semata-mata

    l Ketakwaan

    l Mengerti mengenai ilmu mengerjakan haji dengan mengikuti kursus haji, mengetahui rukun haji, wajib haji dan larangan haji.

    l Mengerti mengenai ilmu ibadah selama dalam perjalanan seperti solat musafir, solat jamak dan solat qasar dan seterusnya.

    Sepanjang masa di Tanah Suci, hendaklah memperbanyakkan zikir, talbiah dan menggunakan waktu sebaik-baiknya, beribadah dengan tenang, jangan mengganggu orang lain. Jika ada kesempatan hendaklah menyembelih korban.

    Memang balasan syurga adanya di akhirat. Namun sesungguhnya balasan di dunia pun tetap ada iaitu dalam perilaku dan tindakan yang berubah kepada lebih baik. Seseorang yang ibadah hajinya meraih darjat haji mabrur, akan terlihat sekembalinya ke tanah air, sikapnya, tindakannya, akhlaknya dan ibadahnya.

    Seseorang jemaah haji yang ternyata tidak ada perubahan sama sekali setelah dan sebelum berangkat ke Tanah Suci, boleh dikatakan ibadah hajinya adalah mardud (haji ditolak).

    Darjat haji mabrur hanya boleh diraih dengan niat dan hati ikhlas semata-mata untuk beribadah kepada Allah di Tanah Suci. Hati mesti ikhlas dan lurus, tidak ada sedikitpun untuk kepentingan lainnya dalam melaksanakan ibadah haji itu.

    Kerana itu, semua kepentingan duniawi mesti diketepikan dan ditinggalkan di tanah air, seperti pangkat, kedudukan, jabatan, dan harta, tidak perlu bermegah-megah di tanah suci, semuanya sama di hadapan Allah.

    Di samping itu, jemaah haji mesti benar-benar ikhlas melakukan taubat seperti yang dilakukan Nabi Adam AS, selepas melakukan kezaliman kerana termakan buah terlarang iaitu khuldi.

    Taubat yang semata-mata untuk meraih ampunan dari Yang Maha Kuasa, dilakukan Nabi Adam selama 40 tahun di Padang Arafah. Bayangkan untuk satu kesalahan dan kezaliman, Nabi Adam melakukan taubat di Arafah selama 40 tahun dengan sedikitpun tidak berani mengangkat kepalanya di hadapan Allah.

    Dengan penuh rasa malu dan tidak berhenti-henti Nabi Adam memohon kepada Allah untuk diampuni atas kezaliman yang dilakukannya.

    Selain itu, untuk meraih haji mabrur yang ditentukan oleh peribadi jemaah, peranan dan wibawa pembimbing jemaah haji (swasta) termasuk pihak bertanggungjawab (Tabung Haji) juga sangat penting. Justeru, pembimbing tidak hanya mengajarkan mengenai tatacara mengerjakan ibadah haji, tetapi juga didasarkan pada bagaimana meningkatkan kefahaman jemaah mengenai melaksanakan ibadat haji dengan baik dan betul. Sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW.

    Mengenai jemaah haji yang berkali-kali mengerjakan ibadah haji ke tanah suci, Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya 'Ihya Ulumuddin' memberikan tegurannya, seharusnya mereka yang pergi haji untuk kedua kali dan selebihnya itu hendaklah memperhatikan tetangganya dan saudara Muslim lainnya yang memerlukan pertolongan. Mereka yang berhaji dengan hal seperti itu sama dengan orang yang tertipu (ghurur).

    Terhadap mereka yang berangkat mengerjakan ibadah haji kali pertama, al-Ghazali melontarkan tegurannya, di antara mereka banyak yang tidak membersihkan jiwa dan hatinya. Mereka banyak yang mengabaikan aspek ibadah haji berkaitan dengan fizikal dan mental, sehingga apabila sampai di Tanah Suci tidak mampu mengawal kesucian diri seperti berbantah, bertengkar, berkata keji serta berbuat fasik dan maksiat.

    INFO: Tanda mendapat haji mabrur menurut ulama:

    Ternampak perubahan pada sikap, wajah, akhlak dan cara hidup.

    Amal ibadah bertambah baik dan tidak cuai melakukannya berbanding sebelumnya.

    Sifat jahat dan keji seperti tamak, hasad, dengki, riak, takbur, bakhil, angkuh, membazir, boros dan sebagainya terus ditinggalkan.

    Menjadi seorang yang berakhlak baik seperti bertawaduk, merendah diri, tolong menolong, dermawan, bercakap benar, amanah, jujur, bersedekah dan akhlak terpuji.

    Ibadah haji memberi kesan positif terhadap sikap dan tingkah laku dari segi perjuangan, kegigihan, keadilan dan sebagainya.

    Selalu mengerjakan ibadah puasa dan puasa sunnah dan ibadah lain.

    Seseorang pernah berzina, minum arak dan sebagainya terus meninggalkannya sama ada dosa kecil dan dosa besar.

    Kalau dulu dia sering mendedahkan aurat tetapi kini dia terus menutup auratnya sebagaimana dituntut oleh ajaran agama.

    Seseorang yang baik akan bertambah baik lagi dalam urusan hidup seharian.

    Tuesday, September 23, 2008

    Perspektif Ikim: Muhasabah diri untuk mengukur kekuatan iman

    Oleh Wan Roslili Abd Majid

    Ramadan ajar umat memberi maaf, jernihkan hubungan elak sengketa bawa kehancuran RAMADAN kini berada pada 10 terakhir. Bagi mereka yang melaksanakan ibadah puasa dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan mengharapkan keredaan Allah pastilah saat akhir ini menjadikan mereka lebih bersemangat menggandakan amal salih dan kebajikan.

    Semua dengan tujuan bagi mencapai matlamat ibadah puasa disyariatkan, iaitu menjadi insan lebih bertakwa. Sehubungan itu, dalam usaha mencapai tahap berkenaan memerlukan hidayah serta petunjuk daripada al-Quran yang diturunkan pada Ramadan.

    Allah berfirman yang bermaksud: "Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya daripada Allah dan kesempurnaannya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 2)

    Firman Allah lagi yang bermaksud: "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

    Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Bidayah al-Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah) menegaskan bahawa permulaan jalan hidayah ialah ketakwaan zahir dan kesudahan jalan hidayah adalah ketakwaan batin.

    Katanya, petunjuk hanya akan diperoleh oleh orang yang berusaha menyediakan dirinya supaya menjadi orang bertakwa. Beliau menjelaskan ketakwaan terbahagi kepada dua bahagian iaitu melaksanakan segala perintah Allah dan kedua, meninggalkan larangan-Nya.

    Selepas berlalunya bahagian pertama dan kedua Ramadan, wajarlah kita bermuhasabah sama ada sudah benar-benar berusaha mencapai matlamat melaksanakan ibadah puasa, iaitu bagi menyemai ketakwaan dalam diri atau sebaliknya.

    Ibadah puasa hanya dilaksanakan sebagai amalan menahan lapar serta dahaga bermula dengan terbit fajar sehingga terbenamnya matahari dan tidak lebih daripada itu. Jika itu keadaannya, maka jadilah kita sebagai sebahagian daripada orang yang rugi dan tercela.

    Maka sesudah berlalunya Ramadan kelak, tiada sebarang peningkatan dicapai dalam jalinan hubungan dan ketaatan terhadap Allah. Ada satu kaedah dalam Islam yang menyatakan, "Apa yang tidak dapat dilakukan keseluruhannya maka usahlah ditinggalkan keseluruhannya."

    Kita tidak akan dicela jika tidak dapat mencapai peringkat ketakwaan tertinggi tetapi kita dicela kerana tidak melakukan sebarang usaha, sedangkan kita masih berkemampuan.

    Selain bermuhasabah mengenai hubungan dengan Allah, ketaatan dan ketakwaan terhadap-Nya, kita juga wajar menilai sejauh mana ibadah puasa dilaksanakan dapat mendorong untuk sentiasa memperbaiki serta mengukuhkan hubungan sesama manusia, iaitu salah satu sifat dan ciri utama golongan bertakwa.

    Justeru, hitung dan nilailah sama ada kekusutan dan perbalahan yang mungkin berlaku sudah dileraikan. Atau sebaliknya, sehingga saat ini kita masih belum bertegur sapa dan bersedia memaafkan ahli keluarga, rakan sekerja, sahabat-handai dan jiran tetangga.

    Amat malang bagi kita jika pada bulan yang menjanjikan keampunan Allah ini, kita pula masih bersengketa dan bermusuhan serta tidak bersedia untuk saling memaafkan antara satu dengan lain. Padahal kita cukup menyedari bahawa kesepakatan, perpaduan dan kesatuan amat penting bagi kemajuan, keutuhan serta kesejahteraan ummah.

    Sebaliknya, perbalahan dan persengketaan hanya merugikan selain mengakibatkan kehancuran serta kemusnahan. Al-Quran merakamkan pujian terhadap orang yang lebih suka memaafkan dan menjernihkan hubungan.

    Allah berfirman yang bermaksud: "Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan ingatlah, Allah mengasihi orang yang melakukan perkara baik." (Surah Ali-Imran, ayat 133)

    Sementara hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta dan tidaklah Allah menambahkan bagi hamba yang suka memaafkan (kesilapan orang lain) melainkan kemuliaan, dan tidaklah seseorang itu tunduk tawaduk kepada Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya."

    Al-Quran menggariskan peranan penting itu kerana ia akhirnya dapat mengelakkan kezaliman terhadap salah satu pihak dan menyatukan kembali kedua-duanya.

    Dalam hubungan ini, tindakan al-Hasan bin Ali bagi mengelakkan perpecahan dan pertumpahan darah umat Islam terus berlaku, wajar dijadikan iktibar. Selepas Ali meninggal dunia, penyokong beliau terus memberikan bai'ah kepada puteranya, al-Hasan.

    Penyokong itu mahu meneruskan niat mereka untuk membunuh Mu'awiyah namun dibantah oleh al-Hasan. Sebaliknya al-Hasan mengutus surat perdamaian kepada Mu'awiyah yang diterima oleh Mu'awiyah dengan perasaan gembira tidak terkira.

    Lantas, Mu'awiyah berangkat ke Kufah pada Rabiul Awal 41 hijrah iaitu selepas enam bulan al-Hasan menjalankan tugas sebagai khalifah. Al-Hasan dan al-Husain memberikan bai'ah kepadanya dan langkah itu dituruti seluruh umat Islam. Dengan demikian, tertegaklah Kerajaan Umayyah secara rasmi dan Mu'awiyah menjadi khalifah bagi umat Islam keseluruhannya.

    Umat Islam gembira dengan perdamaian yang dapat diwujudkan dan mereka bersyukur kerana segala bentuk fitnah serta pertumpahan darah dapat dihentikan serta-merta. Mereka menamai tahun itu sebagai 'Tahun Penyatuan'.

    Sesungguhnya usaha mulia al-Hasan meninggalkan kesan yang baik terhadap keseluruhan umat Islam. Majoriti ulama' Ahli-Sunnah memuji tindakan yang diambil al-Hasan sehingga berjaya menyatukan kembali umat Islam yang dilanda persengketaan, kebencian dan permusuhan.

    Mereka juga menegaskan bahawa tindakannya itu menegaskan lagi kenabian datuknya, Muhammad SAW yang bersabda, "Anak (cucu)ku ini adalah penghulu, semoga Allah mendamaikan melaluinya dua buah kumpulan yang besar daripada kalangan umat Islam."

    Penulis ialah pegawai penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia

    Saturday, February 2, 2008

    Bermuhasabah hadapi kematian

    Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

    Pahala amal jariah, timba ilmu dan doa anak salih kekal berterusan

    SETIAP makhluk bernyawa pasti akan menemui ajal dan ditentukan Allah dalam catatan Loh Mahfuz-Nya. Begitu juga manusia yang diamanahkan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, tidak dapat lari daripada ketentuan itu.

    Di mana dan bila-bila masa sekalipun, ajal kematian pasti akan menjemput setiap insan walaupun dia cuba bersembunyi atau melarikan diri ke dalam benteng yang tinggi.

    Allah berfirman bermaksud: “Di mana kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal) sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan jika mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah daripada sisi Allah. Jika pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: Ini adalah daripada (sesuatu nahas) yang ada padamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) daripada sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?” (Surah al-Nisa, ayat 78)

    Wajar bagi setiap Muslim untuk merenung diri, bermuhasabah dan seterusnya mempersiapkan diri dengan persediaan serta bekalan sebelum menghadapi kematian untuk menuju ke akhirat. Persiapan awal penting bagi setiap Muslim kerana peluang kehidupan di dunia ini dikurniakan Allah bagi setiap insan hanya sekali dan tiada lagi peluang kedua atau ke sekian kalinya apabila seseorang Muslim melangkah ke alam barzakh.

    Allah banyak merakamkan kisah penyesalan orang kafir musyrik di alam barzakh dan alam akhirat, namun penyesalan mereka itu tiada gunanya lagi kerana mereka sudah diberi peringatan. Ciri Muslim bijaksana dan bertakwa kepada Allah ialah Muslim sentiasa bermuhasabah diri dan membuat persiapan menghadapi kematian.

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang paling bijaksana di kalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal salih sebelum menghadapi kematian, manakala orang yang paling lemah ialah orang yang terikut pujukan hawa nafsu dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    Rasulullah SAW memberikan panduan berguna kepada umatnya yang dikasihi melalui sabda baginda bermaksud: “Apabila seseorang manusia itu meninggal, maka terputuslah pahala segala amalannya melainkan pahala tiga amalan yang kekal berterusan walaupun selepas kematian, iaitu amalan sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan doa anak yang salih kepada kedua-dua ibu bapanya.” (Hadis riwayat Muslim)

    Tiga amalan utama yang seharusnya dilakukan setiap Muslim ketika hayatnya di dunia sebagai bekalan amal yang bakal dibawa menuju ke alam baqa ialah sedekah jariah atau mendermakan seluruh atau sebahagian hartanya pada jalan Allah.

    Islam mendidik umatnya supaya menghiasi diri dengan sifat dermawan dan pemurah kepada sesama manusia terutama kepada fakir miskin dan orang kurang bernasib baik. Allah sendiri bersifat Maha Pemurah lagi Maha Dermawan.

    Firman Allah bermaksud: “Belanjakan (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan agama Allah) dan jangan kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil). Baiki (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

    Menafkahkan harta pada jalan Allah bukan hanya terhad kepada membelanjakan harta melalui jihad dan perjuangan menegakkan Islam, malah turut mencakupi amalan berzakat, bersedekah, menderma, wakaf, perbelanjaan kepada ahli keluarga dan kaum kerabat serta sumbangan kebajikan untuk kepentingan umum.

    Dalam hal ini, Allah berfirman bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: Apa juga harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan, maka berikanlah kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin dan orang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah) apa juga yang kamu buat daripada jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).” (Surah al-Baqarah, ayat 215)

    Amalan kedua ialah menimba ilmu sama ada ilmu duniawi mahupun ukhrawi kerana Islam adalah al-Din yang mengimbangi antara keperluan dunia dan akhirat. Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu sebanyak mungkin dan Allah mengangkat darjat orang berilmu berbanding tidak berilmu.

    Hanya dengan ilmu seseorang Muslim dapat memantapkan iman kepada Allah, mempertingkatkan amal kepada-Nya dan dapat mengikhlaskan niat hanya kepada Allah.

    Rasulullah pernah menyentuh kelebihan ilmu melalui sabdanya bermaksud: “Tuntutlah ilmu kerana amalan menuntut ilmu akan menghampiri dirimu kepada Allah, mengajarkan ilmu kepada orang lain satu amalan sedekah. Sesungguhnya ilmu itu akan mengangkat seseorang ke darjat kemuliaan dan kebijaksanaan. Ilmu itu juga akan menjadi perhiasan indah orang berilmu di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat al-Rabie)

    Amalan ketiga yang pahalanya berterusan ialah doa seorang anak yang salih kepada kedua-dua ibu bapanya yang sudah meninggal dunia. Alangkah beruntungnya orang tua yang mampu mendidik anak sehingga menjadi anak salih dan taat kepada Allah.

    Pada masa sama, anak juga diasuh menjadi generasi harapan yang akan menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negara tercinta. Inilah antara ciri anak salih yang diasuh dengan asuhan spiritual dan material yang doanya nanti amat bernilai kepada kedua-dua orang tuanya.

    Dalam erti kata lain, anak salih harta pelaburan jangka panjang yang berharga kepada kedua-dua orang tua. Oleh itu, ibu bapa hendaklah mengajar anaknya supaya selalu berdoa.

    Apabila rahmat doa itu sampai kepadanya, alangkah suka dan gembiranya serta dirasai rahmat itu lebih berharga daripada dunia dan segala isinya. Sebenarnya, pahala amalan doa daripada orang yang masih hidup di dunia akan sampai kepada orang mati menurut pendapat jumhur ulama.

    Wednesday, January 2, 2008

    Peguam Syarie Menulis: Rancang program ilmiah sambut tahun baru

    Oleh Mohamad Isa Abdul Ralip

    SEMALAM adalah hari pertama kita melangkah ke tahun baru 2008 Masihi dan pada Khamis minggu depan pula kita akan menyambut tahun baru 1429 Hijrah. Kita semua kerap menggunakan tarikh Masihi berbanding tahun Hijrah sedangkan ia sangat berkait rapat dengan kita.

    Kehadiran 2008 disambut penuh gemilang, dengan pelbagai program tetapi bagaimana pula sambutan terhadap kehadiran tahun Hijrah?

    Tahun baru yang kita sambut bersandarkan kepada Kalendar Miladiah yang berasaskan kedudukan matahari. Tahun Miladiah atau Masihi atau Gregorian berasal daripada Kalendar Julian 'Julius Caesar' yang diperkenalkan sejak tahun 45 BC.

    Kalender Gregorian hanya mula digunakan secara rasmi pada 1582 selepas melalui beberapa pengubahsuaian oleh Pope Greogory. Tahun Baru Hijrah bersandarkan Takwim Hijrah mula diperkenalkan ketika pemerintahan Khalifah Islam kedua, Saidina Umar Ibn al-Khattab dalam tahun 638 Miladiah.

    Takwim Hijrah dipilih bersempena penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan umat Islam dari Makkah Mukarramah ke Madinah Munawwarah. Awal Muharam tahun pertama hijrah bersamaan dengan 16 Julai 622 Miladiah.

    Sama ada kita menyambut Tahun Baru Miladiah (Tahun Baru) atau pun Tahun Hijrah (Awal Muharam), keduanya membawa satu penekanan iaitu kita akan meninggalkan tahun terdahulu dan menuju ke tahun yang baru.

    Kebiasaannya masyarakat kita membincangkan mengenai azam baru, ingin mengubah diri daripada tidak baik kepada baik dan yang sudah baik kepada menjadi lebih baik.

    Boleh dikatakan setiap kali menyambut tahun baru, hijrah diri dilakukan dengan bermuhasabah atau penilaian diri selari tuntutan agama yang menganjurkan manusia melakukan perubahan atau pembaharuan positif memperbaiki aqidah, akhlak, amal, ilmu dan sebagainya bagi mencapai taraf hidup lebih baik serta diredai Allah.

    Dengan kata lain hijrah adalah tuntutan agama yang menghendaki manusia supaya berpindah daripada belenggu Jahiliah kepada Islam, kemunduran kepada kemajuan, hidup berpuak dan bermusuhan kepada hidup bersaudara dan bersatu padu.

    Ini selaras hadis Rasulullah SAW daripada Abdullah bin Habsyi yang bermaksud: "Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah."

    Setiap tahun kita menyambut perayaan tahun baru dengan mengatur pelbagai acara menarik dalam suasana gilang-gemilang. Kawasan tertentu di bandar besar seperti di Kuala Lumpur dihiasi dengan cahaya neon dan menjadi tempat berkumpul beramai-ramai bagi menghitung detik 12 malam.

    Tahun Baru diraikan dengan perasaan suka ria dan penuh keceriaan. Lazimnya, pada sambutan tahun baru kita akan melihat anak muda bergaul bebas tanpa batasan, berpesta hingga ke pagi.

    Sama ada kita sedar atau tidak, tahun baru yang dianjurkan setiap tahun sebahagiannya tidak selaras dengan kehendak Islam serta menyimpang daripada syariat dan adat kesopanan.

    Soalnya, adakah kita mahu setiap kali tibanya tahun baru anak muda kita terpesona serta lalai sehingga melewati batas sepatutnya? Untuk itu marilah kita bersama berganding bahu dan bekerjasama supaya sambutan tahun ini disambut dengan cara lebih baik dan sempurna.

    Kerajaan sama ada melalui pihak berkuasa tempatan atau agensinya, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya boleh menggembleng tenaga dengan merancang dan mengadakan program atau aktiviti berbentuk ilmiah seperti forum, seminar, diskusi dan ceramah.

    Sewajarnya tahun baru menjadi titik permulaan untuk kita menilai diri, keluarga, masyarakat, negeri dan negara dan bukan sebagai landasan terbabit dengan keramaian yang membazir, berpesta hingga melalaikan diri serta mengandungi unsur menyimpang daripada ajaran agama yang sebenar.

    Menilai diri penting bagi melahirkan seorang individu yang bertakwa serta berperibadi mulia. Menilai keluarga juga penting bagi melahirkan keluarga bertakwa dan bahagia. Dengan kukuhnya institusi keluarga maka kukuhlah institusi masyarakat sesebuah negeri atau negara.

    Anak perlu dididik dengan didikan agama, bukannya mengejar keinginan dan kepuasan hidup semata-mata kerana ia boleh merosakkan serta memusnahkan hidup dan masa depan mereka.

    Anak kita adalah generasi muda yang bakal mewarisi kepemimpinan negara. Malah generasi muda hari ini adalah golongan yang bertanggungjawab memastikan agenda Islam serta agenda negara dapat dipertahankan.

    Sehubungan itu, generasi muda terutama golongan pelajar seharusnya tidak menghabiskan masa muda dengan kegiatan dan aktiviti tidak bermanfaat. Pergunakanlah masa muda untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran supaya tahu berdikari demi kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

    Ketika menyambut tahun baru, kita hendaklah mengawasi gerak-geri anak supaya tidak menyimpang ke jalan yang tidak diredai Allah. Selain itu, kita perlu menilai diri supaya tidak tersesat ke jalan yang mungkar dengan meningkatkan keazaman dan kekuatan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

    Semua itu dilakukan melalui amal ibadat untuk menimba dan menguasai ilmu pengetahuan serta kemahiran di samping sentiasa bersedia menghadapi serta menerima perubahan yang berlaku dengan dada terbuka.

    Sempena tahun baru 2008 dan tahun baru Hijrah yang akan tiba, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengucapkan Selamat Tahun Baru 2008 dan Selamat Tahun Baru Hijrah 1429 kepada seluruh rakyat Malaysia.

    INTI PATI

    Lazimnya, pada sambutan tahun baru kita akan melihat anak muda bergaul bebas tanpa batasan, berpesta hingga ke pagi.
    Kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya boleh menggembleng tenaga dengan merancang dan mengadakan program berbentuk ilmiah seperti forum, seminar, diskusi dan ceramah.
    Menilai diri penting bagi melahirkan seorang individu yang bertakwa serta berperibadi mulia.
    Pergunakan masa muda untuk meningkatkan pengetahuan supaya tahu berdikari demi kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

    Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Semua komentar boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com