Showing posts with label Mukjizat. Show all posts
Showing posts with label Mukjizat. Show all posts

Sunday, November 8, 2009

Ulul Albab: Mukjizat al-Quran boleh dirasai semua

Oleh Abdurrahman Haqqi



KANDUNGAN kitab suci al-Quran terpelihara daripada sebarang perubahan.


Banyak kajian serta cubaan mengelirukan kebenaran kitab suci tetapi temui kegagalan

JIKA kita ingin mengetahui dan rasai kehebatan satu-satu mukjizat seperti yang pernah berlaku ke atas umat sebelum kita, kemudian kita mengisytiharkan keimanan serta-merta dan memeliharanya, sila perhatikan al-Quran al-Karim.

Al-Quran ialah mukjizat kekal sebagai bukti kebenaran bahawa Muhammad adalah Rasulullah SAW. Pengekalan mukjizat al-Quran akan tetap dirasai oleh seluruh manusia hingga ke akhir zaman. Ini berbeza dengan mukjizat seketika yang hanya dirasai oleh umat sebelum kita, bahkan mukjizat yang dirasai oleh sahabat nabi, selain al-Quran.

Sebagai contoh, Nabi Nuh AS dengan mukjizat taufan dan air bah yang hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Saleh AS dengan mukjizat unta hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Musa AS dengan mukjizat membelah air laut dan hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Isa AS dengan mukjizat boleh menghidupkan yang mati atas izin Allah dan hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja.

Tetapi Nabi Muhammad SAW dengan mukjizat al-Quran berlaku untuk dan dirasai seluruh umat manusia ketika dan sesudah Baginda tidak kira masa dan tempat sampai hari kiamat dan ia akan kekal dipelihara seperti ditetapkan al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya" (Surah al-Hijr: 9), Dengan jaminan Allah ini, terpeliharalah kitab suci al-Quran daripada sebarang perubahan, dan bersinarlah cahayanya ke seluruh dunia.

Al-Quran itu sendiri boleh menjadi sebab kepada seseorang untuk memeluk agama Islam sama ada menerusi isi, bahasa, bacaan, lagu, suara, hiasan, nilai ekonomi bahkan tulisan atau kaligrafinya. Begitu pula ia menakutkan dan menggerunkan musuhnya menerusi isi, bahasa, bacaan, lagu, suara, hiasan, nilai ekonomi bahkan tulisan atau kaligrafinya. Ramai orang memeluk al-Quran dengan karakter al-Quran dan tidak sedikit pula yang memusuhinya bahkan menyeru untuk berperang melawannya seperti disebutkan al-Quran sendiri dengan ayatnya yang bermaksud: "Dan orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar al-Quran ini dan tentanglah ia (dengan nyanyian dan jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)" (Surah Fussilat: 26)

Antara orang yang pernah menentang al-Quran ialah seorang profesor Matematik dan logik di Universiti Toronto, Kanada bernama Gary Miller. Pada 1977, beliau membuat keputusan untuk mengkaji al-Quran dengan tujuan mencari kesilapan dan kesalahan ilmiah dan sejarah yang ada di dalamnya.

Dia berharap dengan kajian itu boleh membantu rakannya, pendakwah Kristian untuk mengelirukan umat Islam dan mengajak mereka keluar daripada agama Islam dan memeluk Kristian. Pihak gereja dan yang berkepentingan menyokong tujuan 'mulia' ini dan memberikan apa jua keperluan kewangan dan moral bagi menjayakannya.

Apa yang diinginkan manusia lain dengan apa yang diinginkan oleh Allah dan yang pasti akan berlaku ialah apa yang diinginkan Allah, maka takdir yang baik menyebelahi Prof Miller dan kemudian membawanya untuk memeluk Islam setahun kemudian iaitu pada 1978 selepas menamatkan kajiannya. Kajiannya ini kemudian dibukukan dan diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dengan tajuk al-Quran al-Muzhil (al-Quran Yang Mempesona) atau tajuk asalnya The Amazing al-Quran. Beliau menukar namanya menjadi Abdul Ahad Omar kemudian bekerja sebagai pensyarah di University of Petroleum and Mines, Dhahran, Saudi Arabia hingga ke hari ini masih menjadi pendakwah antarabangsa dan banyak menulis mengenai Islam.

Perkara pertama yang menarik perhatian Prof Miller ialah cabaran al-Quran yang mendakwa bahawa di dalamnya tidak ada kesalahan atau kesilapan apa pun juga. Beliau berkata: "Tidak ada seorang penulis pun di dunia ini yang memiliki keberanian kemudian dia menulis buku dan mendakwa bahawa bukunya itu tidak ada sebarang kesalahan mahupun kesilapan kecuali al-Quran, bahkan ia mencabar seandainya anda mencari-cari kesalahan itu anda pasti tidak akan menemukannya."

Beliau juga mengungkapkan kepesonaannya terhadap al-Quran dengan mengambil contoh bahawa dalam al-Quran ada satu surah yang diberi nama Surah Mariam yang mana di dalamnya ada diberitakan mengenai kemuliaan beliau yang tidak dijumpai di mana-mana kitab suci lainnya. Kita tidak menemukan surah yang dijoloki nama orang kesayangan Nabi SAW seperti Aisyah dan Fatimah. Malah nama baginda pun tidak banyak disebut al-Quran iaitu hanya lima kali jika dibandingkan dengan nama Nabi Isa as yang disebut sebanyak 25 kali.

Penentang kebenaran al-Quran mendakwa bahawa syaitanlah yang mengajarkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW tetapi bagaimana di dalam al-Quran ada ayat yang maksudnya: "Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau (terlebih dulu) memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang kena rejam." (Surah al-Nahl: 98)

Dr Miller berkata: "Seandainya aku berada dalam keadaan Rasulullah bersama Abu Bakar di gua di mana seandainya seorang daripada pengepungnya melihat ke bawah pasti mereka akan ternampak, maka jawapan ketakutan Abu Bakar akan dijawab secara semula jadi dengan ucapan 'mari kita cari jalan belakang' atau 'diam, jangan berkata-kata'. Akan tetapi Rasulullah SAW menjawab dengan tenang: "Janganlah engkau risau sesungguhnya Allah bersama kita." Adakah jawapan ini boleh dikeluarkan oleh seorang penipu atau jawapan seorang nabi yang percaya seratus peratus kepada pertolongan Allah?

Surah al-Masad (Tali Yang Dipintal) iaitu surah nombor urut 111 dalam al-Quran diturunkan 10 tahun sebelum matinya Abu Lahab. Ini bermakna bahawa di hadapan Abu Lahab ada sebanyak 365 x 10 = 3,650 peluang untuk membuktikan bahawa al-Quran adalah satu khayalan dan pembohongan. Selama itulah ada cabaran tetapi Abu Lahab tetap dalam kekufuran dan kekafirannya dan tidak tergerak hatinya untuk masuk Islam walaupun secara pura-pura. Surah ini sampai hari ini masih dibaca, bagaimana Rasulullah SAW yakin atas kebenaran yang dibawanya selama 10 tahun dan Abu Lahab sememangnya tidak akan memeluk Islam. Keyakinan ini membuktikan bahawa al-Quran memang wahyu Allah yang mengetahui segala sesuatu dan ia diturunkan kepada nabi terakhir yang diutus untuk umat manusia, Muhammad SAW.

Prof Abdul Ahad juga merujuk kepada New Catholic Encyclopaedia dalam topik 'al-Quran' dikatakan bahawa walaupun banyak kajian dan percubaan untuk mengelirukan kebenaran al-Quran tetapi pada akhirnya: "Selama berabad-abad muncul banyak teori mengenai sumber al-Quran tetapi tidak satu pun daripada teori itu boleh diguna pakai oleh seorang yang berakal." Beliau menambah ada gereja yang pada mulanya teruja untuk mengadaptasi teori berkenaan tetapi pada akhirnya mereka semua menolaknya dan malangnya mereka tidak berani untuk mengakui kebenaran teori umat Islam. Apa pendapat anda? Adakah anda masih meragui kebenaran al-Quran yang mempesonakan? Terima kasih Profesor Abdul Ahad.

Saturday, September 27, 2008

Mukjizat bantu Nabi Ilyasa', Zulkifli kembalikan akidah umat

Oleh Hasliza Hassan

PROGRAM Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah meneruskan kembara dengan menyingkap kisah dua lagi nabi iaitu Nabi Ilyasa’ dan Zulkifli. Kehidupan Nabi Ilyasa’ amat ringkas. Baginda suka memakai pakaian biasa, bertongkat dan memiliki pembantu bernama Jihza yang setiap masa bersama dan menguruskan keperluan Baginda.

Ketika Nabi Ilyasa’ mengembara untuk menziarah makam Nabi Ayub, iblis menyesatkan Baginda dan hasrat menziarahi makam itu tidak kesampaian.

Ketika memimpin kaumnya, Nabi Ilyasa’ diberi Allah pelbagai mukjizat. Selepas pulang dari Timur Jordan melihat Nabi Ilyias diangkat Allah ke langit, Baginda mendiami Jericho seketika. Penduduk mengadu sumber air mereka rosak, berbau dan tidak boleh diminum.

Nabi Ilyasa’ berdoa kepada Allah dan selepas itu mencampakkan beberapa ketul garam ke dalam mata air. Berkat mukjizat Baginda, mata air itu menjadi bersih dan kembali tawar sesuai untuk diminum.

Nabi Ilyasa’ meninggalkan Jericho menuju ke Baitul Ilah. Penduduk di sana menyembah berhala menyuruh anak mereka mengejek Nabi Ilyasa’ dengan memanggil Baginda, si Botak. Ketika itu keluar dua binatang buas dari hutan berhampiran lalu menerkam kanak-kanak itu hingga membawa maut.

Sejak itu, penduduk kampung menghormati Nabi Ilyasa’ dan tidak lagi mengejeknya. Nabi Ilyasa’ kembali menemui Allah selepas memimpin kaumnya ke arah keimanan dan ketakwaan.

Nabi Zulkifli dikatakan ialah Ilyias bin Yasin, cicit Nabi Harun sementara ada pula mengatakan Baginda ialah Yusa’ bin Nun, Nabi Halqiya dan pendapat lain, Nabi Zulkifli ialah Uwaidaya bin Adrim. Baginda diberi gelaran Zulkifli bermakna ‘yang sanggup memikul tugas.

Nabi Zulkifli diberi tugas mengembalikan seorang raja yang gagah perkasa ke pangkal jalan dan bertaubat kepada Allah. Jika raja itu sanggup bertaubat, Allah janjikan kepadanya syurga. Baginda membawa surat kepada raja itu dan selepas menerimanya, dia bertaubat serta beriman kepada Allah.

Nabi Zulkifli dikatakan hidup pada zaman seorang nabi bani Israel. Selepas nabi itu tua dan tidak lagi berupaya memimpin dia mencari penggantinya. Sesiapa yang sanggup memenuhi tiga syarat akan menggantikannya sebagai pemimpin.

Nabi Zulkifli sanggup melakukannya dan selepas nabi itu wafat, Allah melantiknya menjadi nabi. Ketika berdakwah mengembalikan akidah kaumnya, Nabi Zulkifli juga menghadapi pelbagai cabaran. Namun berkat kesabaran, Baginda berjaya memulihkan akidah kaumnya dan mereka kembali ke pangkal jalan.

Tuesday, September 16, 2008

Roh Nuzul al-Quran ubah, bina peradaban ummah

Kalam Allah beri hidayah, petunjuk manusia tinggalkan hidup jahiliah penuh kesesatan

PERISTIWA Nuzul al-Quran antara perkara penting yang harus diingat dan direnung Muslim kerana bermula dengan peristiwa itu zaman jahiliah yang diliputi kegelapan disinari cahaya, kesesatan digantikan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu berubah bertuhankan Allah Yang Esa.

Peristiwa Nuzul al-Quran menjana perubahan dan membina peradaban umat. Allah berfirman bermaksud: "Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata "al-Quran mukjizat akhir zaman" atau "al-Quran yang mempunyai mukjizat". Disebabkan keutamaan inilah, al-Quran berbeza daripada kitab lain yang diturunkan kepada nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya al-Quran adalah mukjizat terbesar dianugerahkan Allah kepada Rasulullah SAW dalam menghadapi cabaran menegakkan syiar Islam. Ketabahan Baginda berjaya mengubah bangsa Arab yang hidup tanpa pedoman, jauh daripada hak dan kebenaran dengan meniupkan roh semangat al-Quran.

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW perlu diingati dengan penuh keinsafan oleh umat Islam. Al-Quran mengandungi lebih 6,000 ayat adalah himpunan wahyu dan kitab panduan terakhir daripada Allah, diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun kepada Rasul-Nya, Muhamad supaya menjadi petunjuk kepada seluruh umat.

Penurunan ayat al-Quran secara beransur-ansur mempunyai hikmah, antaranya tidak membebankan pesuruh-Nya dan umat Islam pada zaman awal Islam, malah sesetengah ayat diturunkan bagi menerangkan kedudukan sesuatu kes dalam masyarakat. Contohnya, dalam kes Umar terhadap Rasulullah SAW yang mengingatkan kemungkinan ada antara mereka yang menemui isteri Baginda bersikap tidak jujur. Sejurus kemudian, turun wahyu Allah menjelaskan perkara itu, iaitu firman Allah yang bermaksud: "Wahai Nabi, katakanlah kepada isterimu, anak perempuanmu dan isteri orang Mukminin hendaklah memakai jilbab. Dengan demikian akan mudah dikenali dan tidak diganggu. Allah Maha Pengampun dan Penyayang." (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Waktu penurunan al-Quran mengikut perancangan dan ketentuan Ilahi. Sesuai dengan kitab itu yang sungguh mulia, Allah juga memilih penghulu segala bulan yang terkenal dengan bulan keampunan, rahmat dan keberkatan iaitu Ramadan untuk menurunkannya. Firman Allah bermaksud: "Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan daripada pembeza (antara yang hak dan batil)." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Nabi menerima wahyu dalam pelbagai cara dan keadaan antaranya:

- Malaikat memasukkan wahyu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW tidak melihat sesuatu pun, hanya berasa ia sudah berada dalam kalbunya.

- Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW berupa lelaki yang berkata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal kata-kata itu.

- Wahyu datang seperti gemerincingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi SAW. Kadangkala pada keningnya keluar peluh walaupun ketika itu musim sejuk. Ada kalanya, unta yang Baginda tunggangi terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat apabila wahyu itu turun.

- Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW dalam rupanya yang asli.

Hikmah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur itu ialah:

Lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang tidak akan melaksanakan suruhan dan larangan jika diturunkan sekali gus dengan banyak.

Antara ayat itu ada yang nasikh dan mansukh, sesuai dengan permasalahan waktu itu. Ini tidak dilakukan jika al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan ada nasikh dan mansukh)

Turun ayat sesuai dengan peristiwa yang berlaku lebih mengesankan dan berpengaruh di hati.

Memudahkan penghafalan. Orang Musyrik bertanya mengapakah al-Quran tidak diturunkan sekali gus seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Mengapakah al-Quran tidak diturunkan kepadanya sekali gus? Dijawab dalam ayat itu sendiri: Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu." (Surah al-Furqan, ayat 32)

Ada antara ayat itu jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan seperti dikatakan Ibnu Abbas. Hal ini tidak dapat terlaksana jika al-Quran diturunkan sekali gus.

Al-Quran mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan dalam segenap aspek, bukan saja suruhan dan larangan, malah merangkumi cerita alam ghaib, teladan dan ilmu pengetahuan.

Peristiwa Nuzul al-Quran mengubah dan membina peradaban umat kerana al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu adalah perkara benar dan tidak perlu diragui oleh manusia.

Sehubungan itu, peristiwa Nuzul al-Quran harus dihayati umat Islam kerana ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah. Bahkan, ia dilihat asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW serta keyakinan Islam itu agama benar, satu-satunya agama yang diredai di sisi Allah. (Buku Peristiwa Bersejarah Bulan Ramadan)

Wednesday, March 12, 2008

Iqra: Meneroka taman mukjizat Rasulullah

Judul: 1000 Mukjizat Rasul
Penulis: Dr Mustafa Murad
Penerbit: Berlian Publications Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM35

MUKJIZAT Nabi Muhammad SAW yang agung dan mutlak ialah mukjizat al-Quran al-Karim yang tidak diberikan kepada nabi sebelumnya, mengandungi ratusan mukjizat maknawi berkekalan hingga kiamat.

Mukjizat menurut pengertian dari sudut istilah ialah perkara luar biasa yang dizahirkan Allah kepada nabi yang selamat daripada bantahan dan bertujuan untuk mencabar orang yang menentang.

Buku 1000 Mukjizat Rasul menampilkan pelbagai mukjizat Rasulullah SAW yang ditulis oleh Dr Mustafa Murad yang memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) bidang Dakwah dari Universiti al-Azhar membawa pembaca meneroka taman mukjizat baginda.

Beliau berkata, jika diselami lautan yang dalam, nescaya bilangan mukjizat Nabi Muhammad akan sampai kepada jumlah jutaan tetapi beliau hanya mengisyaratkan dan memberi contoh saja, yang ada kalanya daripada satu hadis dikeluarkan lebih satu mukjizat.

Katanya, ini membuktikan ketelitian dalam kajian dan bagi mereka yang ingin menambah bilangan yang ada dalam buku dihasilkan beliau, maka bacalah kitab mukjizat ilmiah, mukjizat bayan, mukjizat objektif al-Quran dan mukjizat at-tibbiy dalam hadis nabi berkaitan perubatan.

Dalam karyanya kali ini, Dr Mustafa memulakan pengembaraan pembaca mengenai kisah mukjizat nabi dengan menjelaskan dalil kenabian, dalil kebenaran risalah Muhammad SAW, dalil kebenaran risalahnya dan dalil menunjukkan kebenaran Rasulullah iaitu mukjizatnya.

Selepas mukadimah itu, barulah penjelajahan 1000 Mukjizat Rasul yang dibahagikan kepada enam segmen bermula dengan segmen pertama memberi tumpuan kepada mukjizat Isra' dan Mikraj yang mempunyai 30 kisah mukjizat.

Antara mukjizat berkaitan Isra' dan Mikraj ialah apabila orang Quraisy menanyakan baginda mengenai sifat Baitulmaqdis dan bilangan pintunya, lalu Allah memperlihatkan kepada Nabi SAW, maka baginda memberitahu apa yang orang Quraisy inginkan tanpa tersalah sedikit pun.

Paling banyak mukjizat Nabi yang diketengahkan dalam buku ini ialah berkaitan dengan haiwan iaitu sebanyak 465 kisah diikuti tanda kiamat, 331 kisah yang semuanya menjurus kepada pengalaman Nabi SAW dengan bintang, manusia serta makhluk lain seperti pokok.

Melalui mukjizat Rasulullah SAW, unta yang lambat boleh berjalan pantas seperti diriwayatkan Jabir, "Aku keluar bersama Rasulullah dalam satu peperangan. Untaku berjalan lambat dan meletihkan aku. Lalu Rasulullah datang kepadaku dan bertanya: Apa masalah engkau? Jawabku: Untaku lambat berjalan dan meletihkanku. Lantas Baginda memukulnya dan bersabda: Tungganglah. Lalu akupun menunggangnya, maka sesungguhnya selepas itu untaku berjalan laju."

Buku 1000 Mukjizat Rasul turut menggariskan syarat yang ditetapkan muhaqqik perlu ada pada mukjizat antaranya hendaklah ia luar biasa sebagai perbuatan bagi Allah, kerana pembenaran hanya daripada Allah kepada Rasul-Nya.

Syarat lain ialah perbuatan itu disanggupi Nabi dan hendaklah mukjizat itu luar biasa kerana jika ia tidak luar biasa, nescaya pendusta boleh menyangkal kenabian baginda.

Walaupun jumlah 1,000 nampak seperti banyak tetapi setiap kisah yang berbeza akan membuatkan pembaca tidak sabar untuk tahu apa lagi kelebihan yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya dan tidak dinafikan sebahagian sudah diketahui umum.

Namun, pengulangan terutama kisah yang natijahnya adalah kebaikan serta pertolongan Allah kepada hamba-Nya yang yakin serta taat dalam amalan mereka mampu mencetus perasaan luar biasa yang hanya dirasai mereka yang meyakini kekuasaan Allah.