Showing posts with label Musyawarah. Show all posts
Showing posts with label Musyawarah. Show all posts

Wednesday, January 23, 2008

Bersama YaPEIM: Musyawarah pertingkat saingan global

Oleh Penulis Khas YaPEIM

Strategi berpasukan merealisasikan misi perdagangan dunia tanpa sempadan

PEPATAH Melayu 'rumah siap pahat berbunyi' sebenarnya mengandungi mutiara etika yang cukup berharga. Melayu tidak suka mengungkit atau mempersoalkan sesuatu yang sudah diputuskan secara muktamad.

Ia sebenarnya suatu etika membuat keputusan gaya Melayu yang sesuai dengan etika ketika merencanakan strategi perang. Ketika perang Uhud, Rasulullah SAW bermusyawarah dengan umat warga Madinah.

Musyawarah memutuskan supaya umat Islam menunggu musuh di luar Madinah. Usul Rasulullah SAW yang mahu umat Islam bertahan dalam kota Madinah, dikalahkan suara majoriti. Rasulullah SAW melaksanakan keputusan majoriti, walaupun ia bertentangan dengan usul Baginda sendiri.

Ketika sekumpulan orang Islam mendatangi Baginda SAW dengan maksud untuk mencadangkan rombakan terhadap keputusan itu, Baginda menjawab, "Pantang seorang Nabi menanggalkan semula baju perang yang sudah dipakainya."

Jawapan Rasulullah SAW itu ditafsirkan sebagai suatu isyarat bahawa apabila keputusan sudah dibuat dengan suara majoriti, ia tidak harus diungkit atau dipertikaikan lagi. Sebaliknya ia harus segera dilaksanakan tanpa ragu atau teragak-agak.

Sementara itu, firman Allah dalam surah Ali-Imran, ayat 159, mengandungi perintah bermusyawarah yang menyebut: "Maka bertakwakallah kepada Allah sebaik saja keputusan dibuat dan bersegeralah melaksanakannya tanpa ragu atau teragak-agak."

Memang sesuatu yang diputuskan secara musyawarah itu punya kekuatan dan darjah kewibawaan yang tinggi. Dalam tradisi politik dan pentadbiran Islam, ahli syura atau majlis mesyuarat biasanya dipilih daripada kriteria tertentu terutama kriteria keagamaan atau ketakwaan.

Ahli majlis mesyuarat perlu terdiri daripada kalangan mereka yang menghayati ajaran agama kerana tanggungjawab memberi pendapat seterusnya membuat keputusan adalah satu amanah.

Hakikat itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Seorang perunding itu adalah pemegang amanah. Tanggungjawabnya bukan cuma sebagai pembela dan pelindung kepentingan diri dan suku-sakatnya, tetapi adalah pemegang amanah umat sekali gus diredai Allah."

Dalam hubungan itu, Saidina 'Umar ibn al-Khattab berpesan, "Musyawarahkanlah urusanmu dengan orang yang takut kepada Allah."

Seterusnya ia harus pula memenuhi kriteria kebijaksanaan atau ketajaman fikiran. Rasulullah SAW menyebut kriteria itu dalam sabda Baginda yang bermaksud: "Mintalah petunjuk daripada orang yang berakal."

Orang bodoh memang tidak layak diajak bermusyawarah, apa lagi jika isu yang dibincangkan itu rumit dan sulit. Saidina 'Umar ibn al-Khattab dikatakan pernah menyuruh seorang Badwi diam apabila beliau cuba ikut campur dalam isu yang tidak difahaminya.

Seorang ahli syura perlu memenuhi kriteria iaitu seorang yang bebas dari segi pemikiran. Ertinya ia mampu berfikir dan seterusnya mampu membuat keputusan sendiri tanpa terikat dengan pendirian orang lain.

Musyawarah yang sihat adalah musyawarah yang disertai anggota yang bersikap terbuka dan lapang dada, iaitu mereka yang bersikap untuk mendengar dan menghormati pendapat.

Walaupun proses globalisasi belum menampakkan impak sepenuhnya, beberapa gejala bawaannya sudah mula kelihatan. Antaranya, fenomena perdagangan global. Seiring dengan perkembangan itu ialah meningkatkannya persaingan di dunia dagang.

Dalam keadaan itulah timbul gagasan dunia pasukan atasan. Sesuai dengan sifat global perdagangan dewasa ini, maka pasukan kelas dunia yang digagaskan itu tentu bersifat global dalam erti pasukan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya. Demikianlah peri pentingnya pasukan, semangat berpasukan dan kerja berpasukan. Dalam kaitan inilah relevannya wacana amal kerja berpasukan itu.

Amal kerja berpasukan bukan sekadar keperluan pragmatik. Lebih daripada itu ia adalah tuntutan keagamaan khususnya dalam konteks gerak kerja Islami seperti diisyaratkan dalam firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Surah Ali 'Imran, ayat 104)

Ayat itu tidak hanya menerangkan isi mesej gerak kerja pendakwah mendorong ke arah kebaikan dan menghindari kemungkaran, tetapi sekali gus digariskan pula cara gerak kerja itu dilaksanakan iaitu menerusi wadah ummah yang membawa makna sejumlah individu yang bergabung dalam sebuah organisasi dan bekerja secara kolektif.

Dengan ungkapan lain, agama memang sangat menekankan kaedah dan strategi amal berpasukan untuk merealisasikan misi organisasi. Gerak kerja dalam wadah, kaedah dan semangat kolektif-koperatif seperti itu diberikan harapan oleh Allah akan mencapai kejayaan dengan pelakunya tergolong dalam kelompok orang yang berjaya.

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh." (Surah al-Saff, ayat 4)

Ayat itu tidak hanya menyatakan keutamaan mereka yang berperang atau berjuang, sekali gus menyatakan juga sifat, kaedah dan strategi perjuangan yang seharusnya berbentuk saf, barisan atau angkatan yang utuh, kompak dan padu.

Ungkapan bangunan yang tersusun kukuh dan rapi bukan sekadar suatu perbandingan umum, tetapi gambaran hakikat dan ciri asas organisasi dengan jalinan perhubungan erat dan akrab di kalangan warganya, baik perhubungan emosi, mahupun perhubungan tindakan. Semuanya selaras secara harmonis dalam suatu skima kerja terancang.

Untuk memungkinkan terlaksananya amal berpasukan, warga organisasi perlu memiliki sifat kolektif seperti kepatuhan, kerjasama dan nasihat-menasihati. Tidak sedikit orang yang berjaya dalam kerja peribadinya, tetapi gagal berperanan secara positif dalam konteks amal berpasukan.

Wednesday, January 16, 2008

Bersama YaPEIM: Mewujud keadilan dalam musyawarah

Oleh Penulis khas YaPEIM

Ahli majlis mesti bebas gejala berpuak-puak, elak permainan politik

SYURA adalah mekanisme pembuat keputusan yang sudah lama membudaya dalam kehidupan masyarakat Melayu. Cuma dalam tradisi Melayu, ia lebih dikenali dengan istilah musyawarah dan muafakat.

Nilai Islam ini sudah menyatu dengan nilai keaslian seperti tergambar dalam peribahasa "bulat air kerana pembentungan, bulat kata kerana muafakat". Memang syura adalah mekanisme terbaik untuk membuat keputusan. Al-Quran menyebut kepentingan syura pada dua tempat:

"…juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal keduniaan) itu." ( Ali `Imran :159).

"... dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka." (al-Syura: 38).

Ayat syura yang pertama (Ali `Imran: 159) berbentuk perintah (fi'l amr), manakala dalam ayat kedua pula syura disebut di tengah apitan dua kewajipan asasi, sembahyang dan zakat.

Berdasarkan cara al-Quran menyebut syura seperti dinyatakan itu, ulama mengambil kesimpulan hukum wajibnya amalan syura.

Mengurus manusia memang tidak mudah. Manusia adalah makhluk yang dimuliakan Tuhan, mereka punya maruah dan hak kemanusiaan harus dihormati. Kerana itu Islam menghendaki pengurus Islam mendapatkan kerelaan mereka yang diurus.

Selain itu, mereka berhak dilayani atau diperlakukan secara adil. Melalui syura matlamat mendapatkan keadilan dan kerelaan itu dapat dicapai.

Dalam hubungan ini, Abu A'la-Maududiy menyatakan perlunya syura dalam membuat keputusan membabitkan dua orang atau lebih. Adalah tidak wajar dari segi moral dan prinsip keadilan jika keputusan itu dibuat hanya oleh seorang atau satu pihak saja dengan memaksakan kemahuannya tanpa mempedulikan kepentingan pihak lain.

Ada dua sebab mendorong seseorang itu membuat keputusan sendiri dan memaksanya ke atas kumpulannya. Pertama, kerana kepentingan diri sehingga sanggup menafikan hak orang lain.

Kedua, kerana ia menganggap dirinya begitu unggul lalu meremehkan kemampuan orang lain dari segi etika. Kedua-dua sikap itu adalah tercela. Maududiy menegaskan bahawa hanya orang yang tidak takut kepada Allah SWT yang berani membuat keputusan sendiri tanpa musyawarah.

Untuk menjamin pengalaman syura yang sihat ia harus bertolak daripada sangka baik (husnu-`z-zan) di kalangan sesama anggota pembuat keputusan itu. Sangka baik ini pula hanya wujud jika ada sikap saling percaya mempercayai.

Andainya proses syura itu bertolak daripada perasaan buruk sangka dan saling tidak percaya, maka sesungguhnya syura yang sedemikian itu sebenarnya gagal sejak saat ia dimulakan.

Di kalangan peserta syura harus ada kesepakatan dari segi rujukan buku. Dalam konteks umat Islam, rujukan buku yang utama ialah al-Quran dan al-Sunnah, selepas itu barulah diikuti rujukan lain seperti perlembagaan, akta, undang-undang penubuhan dan sebagainya.

Syura tidak akan mencapai kesepakatan yang diharapkan jika anggotanya tidak terlebih dulu sepakat dalam soal rujukan buku.

Seterusnya harus ada kebebasan bersuara sepenuhnya di kalangan anggota pembuat keputusan. Yang dimaksudkan dengan kebebasan bersuara termasuk kebebasan dan keberanian berbeza pendapat dengan sesiapa saja termasuk ketua kumpulan.

Syura tidak akan dapat mencapai objektifnya jika ia dilaksanakan dalam suasana budaya takut bersuara dan takut berbeza pendapat. Syura juga tidak mungkin menyubur dalam budaya ampu dan budaya bodek.

Hasil syura juga banyak bergantung kepada ketua kumpulan. Ia juga harus mendapat kepercayaan daripada anggota kumpulan. Pemilihannya harus didasarkan kepada kriteria prestasi, kemampuan dan keikhlasan. Ketua yang tidak mampu, tidak jujur, ego dan degil tidak akan dapat mengendalikan syura dengan berjaya.

Setiap anggota peserta syura harus mendapat kepercayaan dan mandat penuh daripada pihak diwakilinya. Tanpa mandat penuh, seseorang itu tidak mungkin dapat turut serta membuat keputusan dan seterusnya memberikan komitmen kepada keputusan kolektif yang dibuat.

Tidak ada ertinya bersyura jika anggota pesertanya tidak berani membuat keputusan bagi pihak diwakilinya.

Syura bukanlah medan bertegang leher cuma untuk memperjuangkan kepentingan diri dan kelompok yang diwakili. Syura harus disemai sikap toleransi, timbang rasa dan setia kawan yang kental.

Syura yang sihat harus bebas daripada gejala berpuak-puak di kalangan anggotanya. Gejala seperti ini akan membawa berleluasanya 'permainan politik' dan perebutan sokongan secara tidak sihat. Sebaliknya ia akan menjadi medan pertarungan antara kumpulan yang tidak lagi berminat untuk mencari idea yang terbaik, sebaliknya lebih berminat memenangkan pendirian kelompok masing-masing.

Dalam keadaan wujudnya perbezaan pendapat, keputusan harus diambil berdasarkan suara terbanyak. Memang dalam Islam suara majoriti diakui sebagai kekuatan pemutus. Dalam istilah usul fiqh ini disebut al-kathratu hujjatun (suara majoriti adalah suara hujah atau kuasa pemutus).

Dalam keadaan demikian pihak yang menjadi minoriti harus tunduk kepada keputusan majoriti itu. Demikianlah yang dapat kita teladani dari Nabi SAW yang cadangannya dikalahkan suara majoriti dalam peristiwa pemutusan strategi perang Uhud.

Ternyata syura bukan sekadar pertemuan biasa. Andainya ia bertolak daripada niat yang tulus meneladani Sunnah Nabi SAW dan dilaksanakan dengan cara yang semestinya, syura bukan saja dapat menyumbang kepada pengurusan korporat, malah dapat membawa limpahan barakah dan keredaan Tuhan.

Bagaimanapun, ia hanya sebahagian daripada apa yang dinamakan pengurusan Islami. Masih banyak nilai dan kaedah Islam yang perlu diterapkan dalam budaya korporat kita.

(Bersambung minggu depan)