Showing posts with label Nafkah. Show all posts
Showing posts with label Nafkah. Show all posts

Friday, January 22, 2010

Patuh mahkamah selagi tiada permohonan ubah perintah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

ADA bapa atau bekas suami yang bukan sengaja tidak mahu melaksanakan perintah nafkah dikeluarkan Mahkamah Syariah tetapi sikap ibu tidak membenarkan bapa berjumpa anak menjadi punca perintah itu diabaikan.

Timbalan Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata alasan menyebabkan perintah mahkamah tidak dilaksanakan itu diketahui apabila kedua-dua pihak dipanggil untuk sesi khidmat nasihat.

Katanya, bagi kes seumpama itu selalunya dapat diselesaikan cara baik selepas pegawai BSK meminta supaya ibu bapa patuh kepada undang-undang dan hukum agama yang pastinya memberi kebaikan kepada semua pihak terutama anak.

“Memang ada kes bukan bapa tidak mahu bayar nafkah tetapi apabila tidak dibenarkan jumpa anak, buat apa mereka nak bagi nafkah. BSK akan menasihatkan ibu walau apa terjadi, hubungan bapa dan anak tidak boleh putus.

“Kita juga jelaskan hukum agama siapa yang memutuskan hubungan bapa dan anak tidak akan masuk syurga. Jadi selain melaksanakan perintah mahkamah, BSK juga beri kesedaran agama. Jika isu tanggungjawab ditekankan, secara tidak langsung hak disempurnakan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan ada bekas suami yang memang sengaja tidak mahu membayar nafkah kerana perasaan seronok kononnya dapat mengatasi undang-undang apabila tidak mematuhi perintah mahkamah.

Bagi kes sebegitu katanya, BSK akan mengambil tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang dengan mendapat perintah mahkamah untuk menahan, merampas, melelong dan menjual harta bekas suami yang ‘tegar’ itu.

Mohd Na’im berkata, kefahaman mengenai undang-undang penting terutama bagi melaksanakan perintah mahkamah kerana perintah yang dikeluarkan wajib dilaksanakan tetapi boleh diubah apabila berlaku situasi yang membenarkan.

Antaranya, apabila pihak yang sepatutnya memberi sejumlah bayaran nafkah tidak mampu melaksanakan perintah itu atau pihak yang mendapat bayaran ingin menambah jumlah atas alasan bapa berkemampuan.

“Bagi kes nafkah anak, perintah bayaran yang diputuskan mahkamah berdasarkan status pihak terbabit ketika itu. Ada bapa yang selepas bercerai disahkan bankrap dan tidak mampu membayar nafkah, undang-undang membenarkan pihak berkenaan datang untuk ubah perintah.

“Ada juga yang selepas bercerai menjadi kaya raya dan bekas isteri boleh datang mahkamah minta ubah jumlah nafkah terdahulu kerana merasakan bekas suami mampu memberi lebih untuk nafkah anak.

“Perintah dikeluarkan mahkamah wajib dilaksanakan dan selagi tiada permohonan ubah perintah, ketetapan itu terus berjalan. Itu yang kita beritahu kepada pihak yang datang ketika sesi khidmat nasihat kerana kita mahu pastikan perintah mahkamah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, BSK memikul cabaran besar sebagai badan penguatkuasa untuk memastikan perintah nafkah dikeluarkan mahkamah dilaksanakan dan kepentingan anak terjamin untuk meneruskan kehidupan.

Walaupun ditubuhkan 20 Oktober 2008, pegawai dan kakitangan BSK hanya mula dihantar bertugas di negeri April lalu selepas menjalani latihan serta pendedahan tugas di JKSM. Seramai enam pegawai dan kakitangan BSK ditempatkan di mahkamah di setiap negeri.

Sejak beroperasi dengan dana sebanyak RM500,000 sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), seramai 37 penerima mendapat bayaran pendahuluan BSK membabitkan jumlah RM100,000. Kes mereka juga sudah difailkan untuk penguatkuasaan.

Mohd Na’im berkata, perundangan saja tidak boleh menyelesaikan masalah kerana undang-undang adalah sebahagian mekanisme untuk memastikan kestabilan masyarakat dan perlu ada badan sokongan bagi memenuhi kekosongan yang ada.

Katanya, penubuhan BSK dilihat sebagai harapan kepada ibu dan anak mendapat hak nafkah yang selama ini diabaikan oleh bapa kerana tidak patuh perintah dikeluarkan mahkamah.

“Harapan saya, masyarakat umum memberi peluang kepada BSK untuk menyelesaikan perintah nafkah yang tidak dilaksanakan. Jika dulu tidak ada pihak boleh membantu, kini BSK ada untuk mendapatkan hak supaya dapat diberi kepada yang berhak.

“Pada masa sama, BSK memenuhi tanggungjawab menyalurkan bantuan melalui pembayaran pendahuluan bagi meringankan beban ibu tunggal yang menghadapi kepayahan membesarkan anak disebabkan suami tidak mematuhi perintah mahkamah,” katanya.

Oleh itu katanya, masyarakat perlu memahami fungsi serta matlamat utama penubuhan BSK dan memberi sokongan kepada badan itu melaksanakan tanggungjawab menegakkan undang-undang syariah dan meningkatkan imej Mahkamah Syariah.

Peranan Bahagian Sokongan Keluarga:

# Meleraikan konflik dihadapi wanita serta ibu tunggal yang berdepan masalah mendapatkan nafkah seperti diperintahkan mahkamah.

# Melaksanakan penguatkuasaan ke atas perintah mahkamah khususnya dalam kes nafkah dan saraan.

# Memberi khidmat nasihat perundangan Islam kepada orang awam.

# Menyalurkan bantuan kewangan sara hidup sementara melalui sumber dana kewangan yang diharuskan hukum syarak kepada keluarga yang menghadapi masalah tuntutan nafkah.

Monday, January 18, 2010

Memastikan perintah nafkah dilaksana

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Badan Sokongan Keluarga bukan agensi kebajikan bantu wanita bercerai

"SAYA dalam proses nak bercerai. Boleh tak saya dapat duit daripada RM15 juta itu? Sikit pun tak apa. Jika saya dijamin boleh dapat duit itu, saya pasti akan bercerai."

Itu antara pertanyaan daripada pemanggil yang menelefon Badan Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berhubung dana RM15 juta yang disalurkan kerajaan kepada BSK, baru-baru ini.

Pertanyaan itu satu daripada puluhan atau mungkin ratusan, jika dijumlah kesemua panggilan diterima BSK di setiap negeri sejak pengumuman dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, mengenai keputusan Kabinet meluluskan peruntukan RM15 juta kepada BSK.

Timbalan Pengarah BSK, Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata perasaan teruja terhadap dana RM15 juta yang bakal disalurkan kepada BSK menyebabkan timbul salah faham seolah-olah BSK adalah badan kebajikan membantu wanita yang bercerai.

Katanya, tanggapan masyarakat yang menyangka BSK adalah badan kebajikan perlu diperbetulkan kerana matlamat utama penubuhan BSK adalah untuk memastikan perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah dilaksanakan dengan berkesan.

"Perlu ditekankan BSK bukan badan kebajikan dan masyarakat tidak boleh fikir hendak dapatkan duit daripada badan ini. Tugas BSK ialah sebagai penguatkuasa pelaksanaan perintah mahkamah yang tidak dipatuhi terutama membabitkan nafkah anak selepas perceraian pasangan.

"Kebanyakan perintah pemberian nafkah dikeluarkan Mahkamah Syariah tidak dipatuhi menyebabkan anak dan bekas isteri terumbang ambing untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu, BSK akan memastikan bapa dan bekas suami melaksanakan perintah itu," katanya.

Beliau berkata, BSK ditubuhkan hasil mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Ke-46 yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, melihat kelemahan penguatkuasaan pelaksanaan perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah khususnya nafkah anak.

Justeru, JKSM diarah menubuhkan satu bahagian baru bertanggungjawab memastikan perintah dikeluarkan mahkamah dilaksanakan dan pada 20 Oktober 2008, BSK ditubuhkan secara rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada mulanya, BSK mendapat dana sebanyak RM500,000 hasil sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebelum Kabinet meluluskan peruntukan RM15 juta bagi membantu isteri serta anak yang tidak mendapat nafkah.

Mohd Na'im berkata, berbeza dengan agensi kebajikan lain yang memberi bantuan hangus, apa yang diberikan BSK kepada pihak sepatutnya menerima bayaran nafkah (anak) akan dibayar semula oleh pihak berhutang (bapa).

Oleh itu katanya, apa yang diberikan BSK kepada bekas isteri dan anak adalah bayaran pendahuluan bagi melaksanakan perintah nafkah yang dikeluarkan terhadap bapa untuk memastikan anak dapat meneruskan kehidupan dengan sempurna.

"Jadi perlu jelas di sini, bayaran dibuat BSK kepada bekas isteri dan anak adalah bayaran pendahuluan atau dalam bahasa mudah ialah pinjaman kerana kita tidak mahu kehidupan anak terjejas disebabkan sikap tidak bertanggungjawab bapa mengingkari perintah mahkamah.

"Apabila kita dapat menguatkuasakan perintah membayar nafkah itu nanti, bapa yang berhutang perlu membayar balik wang yang diberikan BSK. Diharap, masyarakat tidak keliru kerana dana BSK tidak sama dengan dana agensi kebajikan lain," katanya.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata sebelum ini apabila berlaku ketidakpatuhan kepada perintah nafkah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah oleh bekas suami, tidak ada agensi atau badan yang boleh membantu bekas isteri.

Pemahaman bekas isteri bahawa tugas itu akan dilakukan mahkamah menyebabkan penantian mereka ibarat menunggu buah yang tidak gugur. Sebenarnya menjadi tanggungjawab isteri untuk memaklumkan mahkamah jika suami mengingkari perintah mahkamah.

Kini, dengan ada BSK yang khusus melihat kepada isu perintah bayaran nafkah dikeluarkan mahkamah, bekas isteri boleh membuat aduan dan BSK akan memastikan perintah itu dilaksanakan pihak sepatutnya.

BSK mempunyai tiga seksyen yang berkait antara satu sama lain dan bekerja beriringan iaitu Seksyen Khidmat Nasihat, Seksyen Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah serta Seksyen Dana yang menyalurkan bayaran kepada penerima nafkah.

Mohd Na'im berkata, apabila menerima aduan daripada ibu yang mendapat perintah mahkamah mengenai ketidakpatuhan bekas suami melaksanakan perintah itu, BSK akan memanggil bekas suami untuk datang ke mahkamah bagi sesi khidmat nasihat.

Katanya, melalui sesi khidmat nasihat itu BSK akan menasihatkan bapa mengenai tanggungjawab bukan saja daripada sudut perundangan malah juga hukum syarak selain menyiasat sebab musabab kenapa bapa enggan melaksanakan perintah itu.

"Sebolehnya kita harap masalah nafkah ini dapat diselesaikan melalui khidmat nasihat. Sebab itu kita bukan saja terangkan aspek perundangan, kita beri kefahaman bahawa tidak kira apa yang berlaku bapa wajib memberi nafkah kepada anak.

"Apabila kita minta dia bayar dan dia setuju bayar, Alhamdulillah. Tetapi jika selepas sesi khidmat nasihat, bapa tadi enggan juga melaksanakan perintah mahkamah, BSK dengan kuasa diberi oleh mahkamah boleh mengambil tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah," katanya.

Antara tindakan boleh diambil oleh seksyen penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah ialah mendapatkan perintah mahkamah bagi menahan, merampas dan menjual harta penghutang untuk membayar tunggakan.

Pindaan Undang-udang Keluarga Islam juga bakal memudahkan tugas pelaksanaan apabila diwujudkan akta bagi bapa yang tidak mampu memberi nafkah, tugas itu dipertanggungjawabkan kepada datuk atau adik beradik sebelah bapa.

Mengenai bapa dan bekas suami yang gagal dikesan atau halimunan, Mohd Na'im berkata BSK menjalinkan kerjasama dengan agensi lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi menjejaki pihak berhutang.

"BSK akan terus mencari dan menyiasat tetapi jika pihak berhutang itu gagal juga ditemui, itu di luar kuasa kita. Bagaimanapun, BSK akan membantu mahkamah memastikan perintah nafkah yang dikeluarkan dilaksanakan," katanya.

Thursday, January 14, 2010

Nafkah sementara lindungi keluarga teraniaya

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Salleh


MELAKUKAN aktiviti bersama keluarga bukti ibu bapa sentiasa mengutamakan keharmonian dalam rumah tangga. - Gambar hiasan


Kelulusan dana RM15 juta bukti kerajaan peka keperluan isteri dalam proses bercerai


APABILA perintah nafkah zahir secara automatik kepada bekas isteri dalam edah dan anak yang belum mampu menanggung diri sendiri dicadangkan beberapa tahun dulu, banyak yang menyokong idea itu. Malah, ramai yang menggesa supaya pihak yang berkenaan berbuat sesuatu agar saranan itu menjadi kenyataan seberapa segera, sama ada melalui undang-undang atau bantuan sementara oleh kerajaan.

Antara usul menarik ialah agar setiap keluarga Muslim mempunyai 'insurans nafkah' supaya jika berlakunya perceraian atau suami gagal memberi nafkah, isteri dan semua anak tidak teraniaya dan dizalimi. Walaupun masih banyak perkara yang perlu dimurnikan, hal itu tentulah bertujuan memberi keadilan kepada wanita dan anak kecil seperti diperintahkan agama.

Tidak dapat dinafikan, hari ini ramai isteri bekerjaya dan mampu menanggung keluarga jika suami gagal menunaikan tanggungjawab. Malah trend berpoligami untuk menghimpun nafkah daripada isteri juga mengundang perhatian pemimpin dan pertubuhan wanita di negara kita dan hakikat ini sedikit sebanyak mencalarkan keizinan syarak kerana poligami bertujuan membela wanita yang dalam kesusahan, bukannya menganiaya wanita.

Undang-undang Islam memutuskan nafkah adalah tanggungjawab setiap suami dan menafikan hak mana-mana lelaki untuk berumahtangga sekiranya tidak mampu memberi nafkah kerana perkahwinan yang menyebabkan isteri dizalimi wajib dihalang.

Suami adalah qawwam (pemimpin) yang bertanggungjawab terhadap isteri seperti disebut dalam firman Allah SWT dalam Surah An-Nisaa', ayat 34 yang bermaksud: "Golongan lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap wanita."

Adalah amat penting untuk mengetahui sama ada bakal suami atau keturunan sebelah bapanya mampu menunaikan tanggungjawab memberi belanja asas untuk kesenangan ahli keluarga yang bakal bertambah kerana jika suami tidak memberi nafkah, maka bapa atau datuknya wajib berbuat demikian.

Di atas budi bicara isteri yang merelakan suami untuk tidak menunaikan tanggungjawab, masalah ini akan lebih meruncing apabila menuju perceraian kerana isteri akan memohon nafkah yang tertunggak seperti dibenarkan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri. Membayangkan bayaran itu yang mungkin mencecah ratusan ribu kerana nafkah bukan hanya wang untuk membeli keperluan dapur, malah juga tempat tinggal, pakaian, pembantu dan kemudahan asas lain, menyebabkan ramai suami tidak mahu melepaskan isteri kerana tidak mampu membayar hutang.

Proses memohon perceraian oleh isteri pula memakan masa selain memerlukan kerjasama suami yang kebanyakannya melarikan diri. Dalam tempoh inilah isteri dan anak digantung tidak bertali selain terpaksa pula membayar hutang yang dipusakakan oleh suami yang hilang. Jarang pula yang sanggup meminta nafkah daripada keluarga suami walaupun itu yang sepatutnya mereka lakukan.

Apabila Kabinet meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk digunakan sebagai bayaran pendahuluan kepada mereka yang memperoleh perintah nafkah Mahkamah Syariah, ia bagaikan durian runtuh buat isteri dan anak yang tiada tempat bergantung. Walaupun ia bukan bonus tahunan, sedikit sebanyak dapat juga membantu mereka yang benar-benar perlukan wang untuk meneruskan hidup, sementara mendapat hak yang sepatutnya mereka peroleh tanpa diminta.

Perlu juga difahamkan nafkah bukan wajib selepas berlakunya perceraian saja, sebaliknya bermula saat pertama dilafazkan ijab dan kabul. Amatlah tidak wajar sekiranya suami hanya berkira untuk memberi nafkah atau isteri hanya ingin memohon nafkah selepas disahkan bercerai.

Ia akan merumitkan keadaan yang tidak akan menjadi selesa selepas pertelingkahan bermula. Bagaimanapun, bukan semua isteri layak diberi nafkah, melainkan yang taat pada suami kerana hak yang boleh dituntut oleh seorang isteri daripada suami mestilah seimbang dengan kewajipan ditunaikan terhadap suami.

Nafkah sementara ini memanglah tidak akan menyelesaikan masalah tetapi sebagai perlindungan daripada pemerintah yang peka terhadap keperluan golongan wanita dan kanak-kanak.

Perlu diingat, wanita dan kanak-kanak bukanlah manusia kelas kedua atau ketiga yang boleh dipinggirkan sesuka hati apabila tidak diperlukan sebaliknya berstatus sama rata sebagai manusia di sisi Allah dan wajib dimuliakan.

Justeru, menzalimi mereka adalah satu kekejaman yang tidak terlindung lagi. Kerajaan melalui mahkamah wajar mengisytiharkan suami yang gagal membayar hutang nafkah sementara kembali kepada kerajaan sebagai bankrap, agar menjadi iktibar untuk tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom

Thursday, November 12, 2009

Hak Muslim: Anak 18 tahun berhak tuntut pemberian nafkah

Bapa kahwin lain bukan alasan abai tanggungjawab kepada zuriat sendiri

SAYA seorang pelajar berumur 18 tahun dan sekarang tinggal bersama dengan nenek yang tua dan uzur. Ibu saya meninggal dunia setahun lalu. Ibu bapa saya juga bercerai ketika saya berumur lima tahun. Segala perbelanjaan saya sekarang ditanggung nenek hasil daripada bantuan baitulmal yang kadang-kadang tidak mencukupi, sehingga saya terpaksa bekerja selepas waktu kolej sedangkan bapa saya masih hidup dan boleh dikatakan mewah.

Saya amat memerlukan wang sekarang untuk perbelanjaan pelajaran dan saya juga tidak mahu lagi menyusahkan nenek. Untuk pengetahuan, bapa saya berkahwin lain dan mempunyai seorang anak. Adakah saya masih berhak menuntut nafkah kerana umur saya 18 tahun? Apa yang perlu saya lakukan jika saya dibolehkan menuntut hak saya dan saya juga tidak mampu melantik peguam.

Zulfikar,
Batu 6, Gombak, Selangor

SAYA amat kesal dengan sikap bapa yang mengabaikan tanggungjawab ke atas saudara sebagai anak. Undang-undang syariah dan hukum syarak meletakkan bapa sebagai orang yang bertanggungjawab memberi nafkah ke atas anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau jagaan orang lain. Tanggungjawab nafkah meliputi keperluan asas seperti tempat tinggal, pakaian, makan minum, perubatan dan pelajaran mengikut kemampuan dan taraf hidup si bapa seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 72(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (AUUKI) 1984. Kewajipan terhadap nafkah anak ini akan berterusan sehingga anak itu mencapai umur 18 tahun.

Bagaimanapun, Seksyen 79 AUUKI 1984 membolehkan seseorang anak itu memohon kepada mahkamah agar nafkah itu dilanjutkan walaupun beliau mencapai umur 18 tahun. Seksyen 79 itu menyebut, "...perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur 18 tahun, tetapi mahkamah boleh atas permohonan oleh anak itu atau oleh seseorang lain, melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi."

Secara jelas ia menyatakan bahawa bapa wajib menanggung nafkah seseorang anak walaupun ia mencapai umur 18 tahun jika anak itu ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di mana-mana universiti atau kursus pada peringkat lebih tinggi.

Dalam isu saudara, saya percaya bahawa saudara berhak untuk mengemukakan tuntutan nafkah bagi diri saudara terhadap bapa, walaupun beliau berkahwin lain mahupun sudah mempunyai anak lain. Kewajipan seorang bapa tidak akan terputus walaupun beliau berkahwin lain. Dalam hal ini, sikap lepas tangan bapa adalah tidak wajar kerana ia menjadi kewajipannya.

Saudara juga berhak membuat tuntutan tunggakan nafkah jika terdapat apa-apa perintah yang dikeluarkan berkaitan dengannya.

Tuntutan ini hendaklah dibuat melalui permohonan di mahkamah syariah yang berdekatan dengan tempat tinggal saudara. Permohonan itu akan didengar di hadapan hakim melalui perbicaraan dan bagi melicinkan prosedur tuntutan saudara ini, saudara dinasihatkan melantik peguam. Saudara juga dinasihatkan menyediakan segala bukti berkaitan pembelajaran saudara termasuk resit perbelanjaan dan sebagainya.

Jika saudara atau nenek saudara tidak berkemampuan untuk melantik peguam, saudara dinasihatkan untuk berhubung dengan Biro Bantuan Guaman yang ditawarkan di setiap negeri. Di samping itu, saudara juga boleh cuba menghubungi Baitulmal Wilayah Persekutuan kerana badan itu juga mempunyai peruntukan khas bagi membantu golongan yang kurang mampu untuk mendapatkan khidmat guaman dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada beberapa syarat dan terma yang perlu dipenuhi.

INFO

# Tanggungjawab bapa terhadap anak diperuntukkan menerusi Seksyen 72(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (AUUKI) 1984. Kewajipan terhadap nafkah anak akan berterusan sehingga anak itu mencapai umur 18 tahun.

# Seksyen 79 AUUKI 1984 membolehkan seseorang anak memohon kepada mahkamah agar nafkah itu dilanjutkan walaupun beliau mencapai umur 18 tahun.

# Seksyen 79 itu menyebut, "...perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur 18 tahun, tetapi mahkamah boleh atas permohonan oleh anak itu atau oleh seseorang lain, melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi."

# Pertikaian nafkah boleh dituntut di mahkamah syariah. Penuntut tidak mampu bawa kes boleh rujuk Biro Bantuan Guaman.

Disediakan oleh Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Yusmawati Ab llah

Thursday, May 28, 2009

Hak Muslim: Suami belum jelaskan nafkah tertunggak RM45,000

Soalan:

SUAMI berhutang dengan saya sebanyak RM45,000 iaitu tunggakan perintah nafkah anak. Saya sudah memfailkan saman penghutang penghakiman terhadap beliau di Mahkamah Syariah. Adakah ia suatu tindakan tepat atau ada permohonan lain lebih sesuai. Boleh atau tidak saya membuat permohonan perisytiharan muflis dengan Jabatan Insolvensi Malaysia sebagai cara mendapatkan semula hutang itu. Selain permohonan muflis dengan Jabatan Insolvensi Malaysia, apa alternatif lain boleh diambil.

Ingin tahu,
Selangor.

Jawapan:

Pertamanya, tindakan puan memfailkan saman penghutang penghakiman adalah satu tindakan yang tepat. Jika suami mengaku berhutang seperti jumlah dinyatakan tadi, maka Mahkamah Syariah boleh mensabitkan terhadap tuntutan itu.

Bagaimanapun, jika suami menafikan dakwaan atau tuntutan puan, Mahkamah Syariah akan membuat siasatan terhadap suami. Mahkamah juga mengambil kira kemampuan suami membuat bayaran sama ada secara sekali gus atau ansuran jika tuntutan atau dakwaan puan berjaya disabitkan.

Bagi isu sama ada puan boleh membuat permohonan perisytiharan muflis, secara dasarnya perintah Mahkamah Syariah tidak disebut dalam akta muflis. Akta itu hanya menyebut perkataan 'mahkamah' saja. Ini bermakna bagi isu permohonan muflis puan harus membuat permohonan melalui Mahkamah Tinggi Sivil melalui seksyen 88 Akta Kebankrapan 1967.

Sementara itu , bagi permohonan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia, puan boleh memohon sendiri memandangkan puan adalah pihak yang memberi hutang kepada suami. Secara umumnya, jumlah hutang kepada pemiutang hendaklah sekurang-kurangnya RM30,000.

Syarat bagi jumlah itu sudah dipenuhi. Tambahan pula, hutang yang dituntut hendaklah untuk satu jumlah yang boleh ditentukan yang perlu dibayar segera atau kemudian dengan syarat terakhir suami puan adalah pemastautin di Malaysia dalam tempoh setahun sebelum petisyen difailkan.

Untuk pengetahuan puan, ada juga syarat lain yang perlu dipenuhi dalam seksyen 5 Akta Kebankrapan 1967. Bagi prosiding dan perintah atas petisyen pemiutang, seksyen 6 akta yang sama menggariskan panduan bagaimana mahkamah ingin mengisytiharkan seseorang itu dikategorikan sebagai muflis.

Mengikut seksyen itu, perkara penting yang perlu ada sepanjang prosiding mahkamah berlaku ialah bukti hutang pemiutang.

Namun, adalah lebih baik puan membuat aduan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK). Bahagian itu akan membantu puan melaksanakan perintah dikeluarkan mahkamah.

Pihak BSK akan membuat pemantauan terhadap suami untuk memastikan nafkah yang tertangguh dan diputuskan mahkamah diselesaikan.

Jawapan disediakan ahli Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nor Azmi Mohd Arif

Thursday, April 30, 2009

Hak Muslim : Isteri dicerai talak tiga berhak tuntut nafkah tempat tinggal

Soalan:

MERUJUK penulisan mengenai perceraian talak tiga pada ruangan ini minggu lalu, saya ingin bertanya mengenai hak isteri yang diceraikan dengan talak tiga. Sebagai isteri yang diceraikan talak tiga, bolehkah saya menuntut nafkah edah.

Bekas isteri,
Hulu Selangor

Jawapan:

Isteri yang diceraikan, walaupun dengan talak tiga masih berhak mendapat nafkah edah, tetapi nafkah tempat tinggal saja. Tempat tinggal adalah menjadi hak kepada semua wanita yang bercerai tidak kira cerai mati, talak rajie, talak bain atau fasakh. Kecuali jika isteri disabitkan sebagai isteri nusyuz dan isteri masih kecil atau isteri tidak disetubuhi.

Firman Allah bermaksud: "Tempatkanlah isteri (yang menjalani edahnya) di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu." (Surah at-Talaq, ayat 6)

Tujuan edah tempat tinggal adalah untuk meringankan beban ditanggung bekas isteri akibat perceraian. Dengan kata lain, apabila berlaku perceraian, bekas isteri mempunyai kediaman buat sementara waktu sebelum berpindah ke tempat lain.

Pada waktu sama, bekas isteri dapat membuat persediaan awal untuk menghadapi kehidupan baru tanpa bantuan bekas suami. Edah tempat tinggal juga bertujuan anak hasil perkahwinan mempunyai tempat tinggal sesuai, meskipun ibu bapa mereka sudah berpisah.

Isteri berhak tinggal di rumah didiami ketika berlaku perceraian walaupun rumah itu hak suami. Jika suami tidak mempunyai rumah, isteri boleh memohon suami menyewakan rumah sesuai supaya isteri boleh mendiaminya semasa dalam tempoh edah.

Dalam keadaan suami yang tidak mempunyai rumah sesuai untuk ditempatkan bekas isteri yang dalam edah dan isteri meminta dihantar ke rumah ibu bapanya lalu suami bersetuju, maka bapa atau ibu kepada isteri berhak mengenakan sewa rumah ke atas suami selagi isteri belum habis edahnya.

Seksyen 72 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan:

l Seseorang perempuan yang diceraikan berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri.

l Hak tempat tinggal yang diperuntukkan dalam seksyen kecil (1) akan terhenti jika tempoh edah sudah tamat atau jika tempoh penjagaan anak sudah tamat atau jika perempuan itu berkahwin semula atau jika perempuan itu melakukan perbuatan keji yang nyata dan sesudah itu suami boleh memohon mahkamah supaya dikembalikan rumah itu kepadanya.

Seksyen itu menjelaskan suami masih bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal sesuai untuk isterinya dalam tempoh edah. Hak tempat tinggal akan terhenti apabila isteri memenuhi salah satu daripada kriteria di atas. Selepas itu, suami boleh menuntut kembali rumah itu.

Hak tempat tinggal dalam edah ini perlu dituntut bekas isteri dalam tempoh seberapa segera yang mungkin, selepas berlaku perceraian. Jika isteri tidak berbuat demikian, hak itu akan gugur dan tidak menjadi hutang kepada bekas suami.

Merujuk kitab Kifayatul Akhyar, disebut yang maksudnya: "Berlalu sebahagian masa daripada edah atau keseluruhannya dan isteri yang diceraikan tidak menuntut hak tempat tinggal, maka gugurlah hak itu dan tidak menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya, seperti dinaskan as-Syafie."

Di sinilah letaknya keindahan dan kesyumulan Islam. Apa pun keadaan berlaku kepada puan, janganlah sesekali salahkan Islam. Islam itu baik, cuma penganutnya saja yang tidak memahami serta melaksanakan Islam seperti sepatutnya.

Jika suami tidak menyediakan tempat tinggal puan semasa tempoh edah, saya nasihatkan puan bersegeralah ke Mahkamah Rendah Syariah tempat puan bermastautin, failkan tuntutan nafkah edah dengan jumlah kiraan yang wajar untuk peruntukan tempat tinggal.

Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang. Sila layari http://www.peguamsyarie.org

Wednesday, April 22, 2009

Peguam Syarie Menulis : Perintah kes nafkah, hadanah tak boleh digantung

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
http://peguamsyarie.blogspot.com

Perayu mesti patuhi arahan pelaksanaan bagi memastikan hak anak belum mumayyiz terpelihara

MERUJUK peruntukan undang-undang syariah, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati terhadap suatu penghakiman mahkamah sama ada keseluruhan atau sebahagian penghakiman itu boleh merayu kepada mahkamah lebih tinggi dengan memasukkan notis rayuan dalam 14 hari dari tarikh penghakiman dikeluarkan.

Ini bermaksud, jika kes itu diputuskan di Mahkamah Rendah Syariah, pihak tidak berpuas hati boleh merayu kepada Mahkamah Tinggi Syariah dan jika tidak berpuas hati pada peringkat Mahkamah Tinggi Syariah, boleh membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah di negeri di mana penghakiman dikeluarkan.

Seksyen 139 (3) dan (4) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan: "Seseorang perayu boleh merayu terhadap keseluruhan atau mana-mana bahagian daripada sesuatu keputusan."

Notis rayuan hendaklah difailkan dalam 14 hari dari tarikh keputusan diumumkan dan hendaklah menyatakan sama ada keseluruhan, sebahagian saja atau bahagian yang mana, keputusan itu hendak dirayu."

Namun begitu, jika pihak yang membuat rayuan berhasrat untuk menggantung pelaksanaan perintah itu, pihak yang merayu boleh membuat permohonan ke mahkamah yang mengeluarkan penghakiman untuk menggantung pelaksanaan penghakiman sementara menanti rayuan diputuskan.

Contohnya, jika bekas suami diperintahkan mahkamah membayar sejumlah wang sebagai bayaran mutaah kepada bekas isterinya dan lelaki itu tidak berpuas hati dengan kadar bayaran diputuskan mahkamah, dia boleh memohon kepada mahkamah untuk menggantung pelaksanaan pembayaran mutaah sehingga mahkamah lebih tinggi memutuskan rayuan berkaitan jumlah yang perlu dibayar.

Memfailkan notis rayuan tanpa membuat permohonan penggantungan pelaksanaan perintah di mahkamah yang mengeluarkan perintah mengikut prosedur ditetapkan tidak akan menggantung pelaksanaan perintah itu.

Dengan hanya memasukkan notis rayuan tanpa membuat permohonan penggantungan ke mahkamah dan diluluskan oleh mahkamah, penggantungan tidak akan berlaku secara automatik.

Hakim berkuasa untuk membenarkan pergantungan permohonan pihak yang merayu atas alasan mencukupi. Seksyen 144 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan: "Pemfailan suatu notis rayuan tidaklah berkuat kuasa sebagai penggantungan pelaksanaan, tetapi mahkamah boleh, atas permohonan dan apabila sebab mencukupi ditunjukkan, menggantung pelaksanaan atas apa-apa terma yang difikirkannya patut."

Namun, bukan semua kes akan dibenarkan penggantungan pelaksanaan oleh mahkamah sementara menanti rayuan diputuskan mahkamah lebih tinggi. Berdasarkan Arahan Amalan no. 1 tahun 2005 yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menyatakan: "telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan mengenai perayu membuat rayuan dengan alasan tidak berpuas hati keputusan mahkamah yang dirayu dalam kes mal, menurut hukum syarak adalah memadai untuk menggantung pelaksanaan perintah sementara menunggu keputusan rayuan dan rujukan hendaklah dibuat kepada mana-mana kes yang sudah diputuskan oleh mahkamah lebih tinggi kecuali dalam kes nafkah, upah menyusu, tempat tinggal, hadanah dan serah anak yang belum mumayyiz kepada ibu."

Arahan amalan jelas menyatakan tidak semua kes boleh dibenarkan untuk digantung pelaksanaan sementara menanti kes rayuan diputuskan. Mengikut hukum syarak, kes seperti nafkah, upah menyusu, tempat tinggal, hadanah dan serah anak yang belum mumayyiz kepada ibu tidak dibenarkan untuk digantung pelaksanaannya.

Jika penggantungan dibenarkan, sudah tentu akan memberi kesan kepada pihak suatu lagi dan kepada anak masih kecil, terutama soal berkaitan hadanah atau hak penjagaan anak yang belum mumayyiz.

Bagi kes membabitkan nafkah anak, jika penghakiman sudah dikeluarkan mahkamah memerintahkan bapa membayar sejumlah nafkah anak dan rayuan dibuat ke mahkamah oleh bapa kerana tidak berpuas hati dengan keputusan bersama permohonan penggantungan pelaksanaan perintah.

Jika permohonan penggantungan pelaksanaan bapa tadi sebagai perayu dibenarkan sudah tentu akan menafikan hak anak mendapatkan nafkah daripada bapanya sementara menunggu keputusan rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Justeru, panduan yang sudah diberikan melalui Arahan Amalan berkaitan penggantungan pelaksanaan perintah sementara menanti rayuan diputuskan adalah wajar dipatuhi kerana ia selari hukum syarak. Prinsip keadilan dalam Islam akan lebih terpancar jika pihak terbabit mengetahui undang-undang serta mendalami hukum syarak.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Thursday, April 2, 2009

Hak Muslim: Isteri hilang sabar tak dapat nafkah lebih tiga bulan

SUAMI saya seorang yang berat tulang. Sejak pertengahan 2008 dia tidak memberi nafkah kepada saya dan anak. Saya yang menanggung nafkah kami sekeluarga, termasuk makan minum suami. Saya sudah tidak tahan dan hilang sabar. Saya ingin meminta cerai daripada suami, tetapi khuatir jika permohonan itu ditolak mahkamah. Saya keliru sama ada saya boleh minta cerai fasakh atau taklik? Saya dimaklumkan cerai taklik lebih mudah berbanding cerai fasakh. Harap dapat penjelasan daripada pihak tuan.

Isteri Bingung,
Banting, Selangor

Ada banyak jenis perceraian dalam Islam, iaitu perceraian dengan talak (persetujuan bersama), perceraian dengan kuasa Hakam, perceraian khulu' (tebus talak), perceraian secara taklik atau janji, perceraian dengan li'an, perceraian fasakh, cerai luar mahkamah dan cerai akibat murtad.

Setiap jenis perceraian berbeza skop dan definisinya. Seksyen 2 (tafsiran) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, fasakh didefinisikan sebagai pembubaran nikah disebabkan sesuatu hal keadaan diharuskan hukum syarak.

Cerai fasakh adalah kuasa Hakim Syariah. Ada banyak alasan membolehkan hakim memfasakhkan pernikahan suami isteri. Antaranya, jika suami hilang ghaib untuk tempoh lebih setahun, suami cuai atau tidak memberikan nafkah zahir selama lebih tiga bulan (tidak semestinya berturut-turut), suami dipenjarakan lebih tiga tahun, suami tidak menunaikan nafkah batin selama tempoh lebih setahun tanpa apa-apa sebab yang sah.

Alasan lain ialah suami mati pucuk, suami gila selama tempoh lebih dua tahun atau menghidap penyakit berjangkit, suami selalu menyakiti dan menzalimi isteri secara fizikal, suami berperangai keji mengikut hukum syarak, suami memaksa isteri hidup secara lucah, suami melupuskan harta isteri, suami melarang isteri menggunakan haknya, suami menghalang isteri menjalankan tanggungjawab agamanya dan suami berpoligami tetapi tidak berlaku adil.

Beban membuktikan terhadap alasan tadi adalah terletak di atas pihak yang mendakwa atau plaintif. Walaupun hanya satu saja alasan berjaya dibuktikan, hakim berkuasa memfasakhkan nikah pasangan. Cara pembuktian adalah melalui keterangan saksi, bukti dokumen atau dengan pengakuan pihak yang kena dakwa.

Sementara cerai taklik adalah berdasarkan peruntukan Seksyen 50 Enakmen sama iaitu lafaz perjanjian dibuat suami selepas akad nikah mengikut hukum syarak.

Ada perbezaan lafaz taklik antara negeri, terutama daripada segi syarat taklik. Cerai taklik hanya boleh dituntut isteri saja. Lafaz taklik itu juga perlu difahamkan secara keseluruhannya, bukan separuh atau sebahagian saja.

Berbeza dengan cerai fasakh, cerai taklik perlu dibuktikan dengan dua elemen utama iaitu pertamanya kewujudan lafaz taklik oleh suami, keduanya apakah syarat dalam lafaz taklik dilanggar suami.

Menjawab soalan puan, kegagalan suami memberikan nafkah zahir selama tempoh tertentu boleh dijadikan alasan untuk puan menuntut cerai di mahkamah, sama ada cerai fasakh atau cerai taklik. Jika puan lebih memilih cerai taklik, puan perlu pastikan terlebih dulu adakah elemen dalam syarat taklik itu sudah dilanggar suami atau belum.

Puan juga perlu memastikan adakah puan boleh mengemukakan saksi yang boleh mengesahkan bahawa suami ada melafazkan taklik seperti dalam surat nikah. Saksi sebaiknya dua orang saksi lelaki yang hadir semasa majlis akad nikah dan mendengar suami melafazkan taklik.

Jika puan tidak dapat mengemukakan saksi atau saksi sudah meninggal dunia atau uzur, adalah lebih selamat jika puan menuntut perceraian secara fasakh dengan alasan suami tidak memberi nafkah selama tempoh tiga bulan atau lebih.

Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang. Sila layari http://www.peguamsyarie.org.my

Thursday, February 26, 2009

Hak Muslim: Bapa tak boleh lepas tangan sara nafkah anak

http://www.peguamsyarie.org

Soalan:

SELEPAS bercerai dengan suami, tiga anak dijaga oleh saya. Selepas perceraian, suami lepas tangan. Saya menyara anak dengan kudrat yang ada. Saya sudah memfailkan tuntutan nafkah anak di Mahkamah Syariah tetapi bekas suami memberikan pelbagai alasan dan berdolak dalih, sehingga kes itu berpanjangan serta tertangguh. Bekas suami masih lepas tangan dan berkata dia tidak akan bayar nafkah anak selagi tidak ada perintah mahkamah. Bolehkah saya memohon supaya suami diperintahkan membayar dulu sebahagian nafkah anak sehingga mahkamah memutuskan jumlah nafkah sebenar yang perlu ditanggungnya?

Ibu penyayang,
Selayang.

Jawapan:

Boleh untuk puan memohon supaya bekas suami membayar nafkah sementara untuk anak kerana menurut hukum syarak, bapa berkewajipan menyara nafkah anak.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah yang bermaksud: "Ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya."

Bapa wajib membiayai nafkah anaknya dengan sebab anak itu dinasabkan kepadanya melalui akad nikah yang sah. Ia juga berdasarkan firman Allah dalam surah al-Talaq yang bermaksud: "Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya."

Al-Sheikh Mohamad Khatib al-Sharbani dalam kitab Mughni al-Muhtaj menghuraikan pengertian ayat di atas sebagai, "bahawa membayar upah bagi menyusukan anak itu termasuk juga sebagai kewajipan memberi nafkah kepada anaknya."

Subseksyen 73 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 memperuntukkan: "Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran seperti mana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya."

Sama ada anak itu di bawah jagaan ibu atau orang lain, bapa tetap bertanggungjawab menanggung nafkah anaknya termasuk tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan dan pelajaran. Bagi menentukannya jumlah atau kadar nafkah, mahkamah akan melihat kepada keperluan anak serta kemam-puan bapanya.

Subseksyen 73 (1) (a) hingga (e) enakmen yang sama memperuntukkan bahawa pada bila-bila masa, mahkamah boleh memerintahkan bapa membayar nafkah untuk faedah anaknya jika si bapa enggan atau mengabai memberikan nafkah munasabah kepada anaknya itu, atau jika si bapa telah meninggalkan langsung anaknya itu dalam jagaan isterinya, atau jika dalam menanti keputusan perbicaraan suami isteri, atau apabila mahkamah memerintahkan anak itu diletakkan di bawah jagaan seseorang, atau apabila mahkamah memberi kebenaran kepada si bapa untuk berpoligami.

Bagi mendapatkan perintah sementara (interim) nafkah anak, subseksyen 72(1) dan subseksyen 73 (1) yang dinyatakan di atas perlu dibaca bersama dengan seksyen 202 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003, yang memberikan kuasa kepada mahkamah untuk memerintah si bapa membayar nafkah sementara anak, dan perintah sementara itu akan berkuatkuasa sehingga perintah nafkah anak kekal dikeluarkan mahkamah.

Permohonan hendaklah dibuat melalui permohonan interim dan afidavit yang perlu diikrarkan oleh puan, menyatakan butir-butir nafkah sementara yang dipohon, perbelanjaan bulanan anak merangkumi tempat tinggal, makan minum, pakaian, perubatan, persekolahan dan kebajikan mereka. Setiap butiran perlu disokong dengan bukti dokumen bagi menguatkan permohonan di mahkamah.

Mahkamah akan mempertimbangkan berapakah kadar nafkah sementara yang wajar dengan melihat adat kebiasaan dan kemampuan pemberi nafkah (bapa).

Firman Allah yang bermaksud: "Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah mengikut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah memberikan nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu), Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya." (Surah al-Talaq, ayat 7)

Hindun binti Uthbah datang mengadu kepada Rasulullah SAW dan berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian seorang yang kedekut. Dia tidak memberi perbelanjaan kepadaku dan anakku kecuali setakat apa yang aku ambil daripadanya tanpa pengetahuannya. Sabda Rasulullah SAW kepada Hindun: Ambillah sekadar yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan cara yang makruf." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Al-Sayyid al-Bakri dalam kitab I'anah al-Taalibin menghuraikan maksud hadis sebagai, "wajib memberi makan kepada anak sekadar yang cukup kenyang bagi kesempurnaan hidup dan tidak wajib berlebih sangat atau sampai kepada kemewahan berlebihan. Selain makan minum dan pakaian termasuk juga perubatan, persekolahan dan sebagainya."

Jika berkemampuan, saya nasihatkan puan dapatkan khidmat peguam syarie bertauliah untuk mewakili puan dalam tuntutan ini.

Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sila layari http://www.peguamsyarie.org.

Wednesday, October 15, 2008

Peguam Syarie Menulis: Isteri boleh tuntut fasakh jika suami abai nafkah

Islam sedia penyelesaian adil bagi jamin hak wanita dalam sesebuah perkahwinan

ANTARA tanggungjawab suami kepada isteri ialah menyediakan nafkah zahir dan batin. Nafkah adalah hak isteri yang wajib ditunaikan suami menurut kemampuannya. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid, (Juzuk 11, terjemahan, halaman 424) fuqaha' sependapat nafkah wajib ke atas suami merdeka dan nafkah kepada isteri perlu selaras dengan ketaatannya.

Nafkah batin diakui fitrah semula jadi manusia yang memerlukan kasih sayang dan belaian. Firman Allah an-Nisa ayat 19 bermaksud, "dan bergaullah dengan mereka (isteri kamu) menurut cara yang ma'ruf (secara layak)."

Firman ini jelas menunjukkan hak nafkah batin isteri amat penting dalam perkahwinan. Isteri yang tidak mendapat hubungan seksual atau perhatian dan kasih sayang mudah hilang arah sekali gus membuka ruang untuknya melakukan maksiat. Suami patut menjadi pelindung kepada isteri dalam memberikan jaminan daripada segala keburukan dan kemaksiatan.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 222, "Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangi mereka menurut jalan yang diperintahkan Allah kepada kamu...." Hadis Riwayat Muslim dalam kitab haji, bab haji Nabi 1218, daripada Jabir r.a. (hadis haji wada'), "Bertakwa kepada Allah dalam mengendalikan urusan perempuan (isteri). Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu yang wajib ditunaikan isteri ialah tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci memijak kakinya ke tempat tidurmu (memasuki rumahmu). Jika mereka melakukannya, pukul mereka dengan pukulan tidak terlalu menyakitkan (tidak mendera).

Kewajipan kamu pula ialah memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan baik. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu perkara yang kamu tidak sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepadanya iaitu kitab Allah.

Seterusnya Ibn Hazm dalam Kitabnya, al-Muhalla menyatakan wajib suami memberi nafkah batin (layanan) kepada isterinya sekurang-kurangnya satu kali suci daripada haid (sebulan sekali). Ayat al-Quran dan hadis serta pandangan ulama menunjukkan pentingnya tanggungjawab suami dari segi memberi nafkah zahir dan batin bagi menjaga kerukunan rumah tangga. Jika tidak perkahwinan akan hancur.

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan suami atau isteri yang tidak menunaikan tanggungjawab nafkah batin kepada pasangannya boleh memohon cerai fasakh. Namun peruntukan ini mensyaratkan pengabaian itu adalah tanpa sebab yang munasabah mengikut hukum syarak lebih setahun.

Seksyen 53(1)(d) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor, 2003 memperuntukkan, "Seorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut hukum syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu (d) suami atau isteri tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;"

Berdasarkan peruntukan itu, sesuatu perkahwinan boleh difasakhkan atas satu atau lebih alasan yang dinyatakan mengikut Seksyen 53. Jika memohon fasakh atas alasan dinyatakan di atas dan dibuktikan maka mahkamah ada bidang kuasa membubarkan pernikahan. Namun apa yang biasa timbul di Mahkamah Syariah hari ini terlalu jarang suami memohon fasakh atas alasan itu. Kebiasaannya wanita yang menggunakan peruntukan ini jika suami mengabaikan nafkah batin.

Tidak dinafikan, nafkah batin adalah soal peribadi dan rahsia mutlak wanita. Hanya isteri selain Allah mengetahui dia tidak bersama suami. Isteri harus bersumpah untuk membuktikan dakwaannya.

Fasakh atas alasan tidak menunaikan nafkah batin bersandarkan hukum syarak. Wahbah al-Zuhaily dalam kitabnya Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, juzuk. 7, halaman 535, menyatakan peruntukan fasakh atas alasan suami tidak menunaikan nafkah batin dibuat berdasarkan pandangan Mazhab Maliki. Menurut pendapat ini, tidak menunaikan nafkah batin diterima sebagai alasan memohon fasakh kerana dianggap penderaan terhadap isterinya. Penderaan merangkumi segala apa yang lahir daripada suami sama ada perbuatan, perkataan dan perbuatannya yang memudaratkan isteri dalam setiap keadaan walaupun suami tidak bermaksud menyakitinya.

Islam menegah perbuatan menzalimi kaum wanita. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 231 bermaksud, "Dan janganlah kalian pegang mereka (isteri )dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka."

Daripada zahir ayat Allah memberikan panduan yang wajib diikuti suami supaya dapat bergaul dengan isteri secara baik. Kesimpulannya, jika perkahwinan tidak lagi mendatangkan kebaikan, malah menimbulkan kemudaratan terutama berkaitan nafkah batin, ia wajar dibubarkan. Jika isteri reda ia tidak menjadi suatu masalah, jika sebaliknya wajar dielak supaya isteri tidak terdedah melakukan maksiat. Islam menyediakan penyelesaian ini bagi memastikan kemaslahatan umatnya terjaga dan terjamin. Undang-undang yang digubal turut mengambil kira faktor ini untuk menegakkan keadilan tanpa 'bias' kepada lelaki atau perempuan.

Thursday, October 9, 2008

Hak Muslim: Tidak tahan terpaksa bayar nafkah berterusan

excopgsm@yahoo.com

Gaji dipotong RM800 sebulan walaupun bekas isteri sudah berkahwin lain

Soalan:

SAYA bercerai dengan isteri pada Mac lalu dan mempunyai seorang anak berumur tiga tahun. Sehingga hari ini gaji saya masih dipotong sebanyak RM800 atas perintah Mahkamah Syariah walaupun tanpa persetujuan dan kerelaan saya. Disebabkan potongan yang begitu tinggi menyulitkan hidup saya, kerana saya juga perlu membiayai nafkah anak bersama isteri pertama, tiga menuntut di institut pengajian tinggi dan dua di sekolah menengah. Apakah prosedur sebenar potongan gaji dan adakah masih perlu saya memberi nafkah kepada bekas isteri selepas idah walaupun khabarnya beliau sudah berkahwin lagi? Bagaimanakah penyelesaian boleh dilakukan memandangkan saya tidak begitu yakin dengan hakim yang mengendalikan kes ini daripada peringkat awal lagi. Nampaknya banyak berat sebelah kerana hakim tidak mahu mendengar hujah daripada saya.

Duda keliru,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Menurut undang-undang, perintah potongan gaji adalah sebahagian daripada perintah penguatkuasaan, iaitu selepas suatu perintah dikeluarkan mengenai bayaran wang sebelum itu gagal dilaksanakan orang yang dikenakan perintah.

Sebagai perintah penguatkuasaan, mahkamah boleh memerintahkan bayaran itu dibuat dengan cara potongan gaji kerana kegagalan mematuhi perintah mahkamah sebelum itu.

Potongan gaji boleh diperintahkan jika ketika perbicaraan saudara bersetuju dengan kaedah atau cara bayaran itu. Jika saudara tidak bersetuju dan mengemukakan alasan munasabah kenapa cara potongan gaji tidak wajar dilakukan, kebiasaannya mahkamah akan mempertimbangkan cara lain.

Saya tidak pasti sama ada saudara ada menyatakan bantahan terhadap cara potongan gaji itu ketika kes dibicarakan sebelum ini. Walau bagaimanapun, jika bantahan sudah dibangkitkan dan mahkamah masih memerintahkan gaji dipotong, saudara boleh memfailkan rayuan di mahkamah lebih tinggi kerana tidak berpuas hati dengan keputusan hakim.

Rayuan mestilah difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan tertakluk kepada prosedur dan tatacara rayuan. Akan tetapi, jika tempoh rayuan sudah tamat, saudara boleh kembali ke mahkamah sama dan memfailkan permohonan untuk mengubah dan menyemak semula kadar nafkah yang diperintahkan sama ada berpatutan atau tinggi untuk seorang anak.

Saudara juga boleh mengemukakan alasan kenapa jumlah RM800 itu tinggi dengan mengemukakan butiran tanggungan dan komitmen lain, termasuk terhadap anak dengan isteri sebelum itu.

Mahkamah akan memanggil semula bekas isteri dan mendengar keterangan serta hujah kedua belah pihak sebelum membuat sebarang keputusan mengubah kadar nafkah anak atau mengekalkannya.

Untuk makluman saudara, nafkah isteri hanya wajib disediakan suami sehingga tamat tempoh edah. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan hak suami untuk memberi nafkah kepada isteri dalam edah terhenti apabila tempoh edah tamat ataupun apabila isteri hidup dalam perzinaan.

Seksyen 65 (2) memperuntukkan: "Hak bagi seseorang isteri yang sudah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dulu di bawah sesuatu perintah mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat edah atau apabila isteri itu hidup dalam perzinaan dengan seseorang yang lain."

Saya menasihatkan saudara spaya mendapatkan nasihat daripada Peguam Syarie bertauliah di tempat saudara jika saudara masih tidak jelas dengan penerangan ini.

Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo-.com. Sila layari http://peguam-syarie.blogspot.com

Thursday, September 4, 2008

Hak Muslim : Mahkamah berhak arah bayar nafkah bekas isteri

BOLEHKAH saya menuntut nafkah yang tidak diberi suami sepanjang tempoh perkahwinan, sedangkan kami sudah bercerai hampir setahun lalu? Bagaimanakah saya hendak membuktikan kepada mahkamah bahawa bekas suami tidak memberikan nafkah.

Salmah,

Kajang, Selangor.

ASAL makna nafkah ialah mengeluarkan atau menghabiskan. Nafkah daripada istilah syarak ialah semua perkara yang diperlukan manusia seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Dinamakan nafkah kerana ia dikeluarkan atau dihabiskan dengan tujuan mendapat keperluan itu.

Ijmak ulama mengatakan suami wajib memberi nafkah kepada isterinya dengan syarat tertentu, berpandukan kepada firman Allah yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pimpinan dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.” (Surah An-Nisa’, ayat 34)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut yang sepatutnya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 233)

Mengikut hukum syarak, nafkah isteri yang paling asas ialah tiga perkara iaitu makanan dan minuman, pakaian serta tempat tinggal.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bertakwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan perempuan (isteri). Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan kamu menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri kamu ialah tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci memijak kakinya ke tempat tidurmu (memasuki rumahmu). Jika mereka melakukannya pukullah mereka dengan pukulan yang tidak terlalu menyakitkan (terlalu mendera). Kewajipan kamu pula ialah memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan baik. Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu satu perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepadanya iaitu kitab Allah.” (Hadis riwayat Muslim)

Seksyen 60 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan bahawa tertakluk kepada hukum syarak, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.

Prinsip asal, suami wajib memberi nafkah kepada isterinya, melainkan suami dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa isteri seorang yang nusyuz atau tidak menyerahkan dirinya untuk ‘istimta’.

Dalam bab nafkah, prinsip pembuktian yang dipakai adalah sama dengan kes lain iaitu: “Keterangan ditanggung oleh yang mendakwa (al-mudda’ie). Al-muddaie ialah sesiapa yang membuat dakwaan pada sesuatu perkara yang tidak muafakat dengan zahir atau asal. Zahir atau asal ialah asal nafkah tidak diberi atau tidak ada. Nafkah adalah suatu perkara yang mendatang. Kaedah fiqh berbunyi ‘asal pada perkara yang mendatang ialah tiada.’

Dalam kitab al-Asbah wa an-Nazair oleh Imam As-Sayuti ada menyebut pihak yang mendakwa ada memberikan nafkah adalah al-Mudda’ie. Merujuk kepada prinsip asal nafkah itu perkara yang tiada dan jika suami mendakwa ada memberi nafkah, maka bekas suami yang menanggung beban untuk membuktikan dia ada memberi nafkah kepada puan sepanjang perkahwinan itu.

Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Thursday, January 31, 2008

Hak Muslim: Bekas suami tiada alasan elak nafkah anak

SAYA bercerai dengan suami sembilan tahun lalu. Sejak bercerai, bekas suami tidak pernah memberi nafkah untuk dua anak kami yang masih belajar. Beliau bekerja sebagai arkitek di syarikat swasta dan sudah berkahwin lain. Saya meminta nafkah anak daripadanya secara baik tetapi biasanya perlu memaksa dengan cara anak menghubunginya berkali-kali barulah beliau memberikan wang. Kini, beliau sering menghina mengatakan saya pengemis dan tidak tahu malu menyuruh anak meminta wang daripadanya. Saya beritahu beliau saya akan menuntut nafkah anak di mahkamah tetapi beliau mengatakan akan menuntut kembali hak jagaan anak kerana saya tidak mampu menyara mereka. Adakah suami boleh menggunakan alasan itu untuk mendapatkan hak jagaan anak? Saya tidak mahu kehilangan anak tetapi tidak mampu menampung keperluan mereka. Jika saya ingin menuntut nafkah anak, berapakah jumlah yang perlu saya tuntut? Tolonglah nasihatkan saya.

Ibu tunggal,
Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

SEMOGA puan diredai Allah serta cekal mendidik anak menjadi insan berjaya di dunia dan akhirat. Persoalan puan ialah bekas suami enggan memberikan nafkah kepada anak walaupun diminta beberapa kali.

Apabila diberitahu puan akan menuntut nafkah di mahkamah, beliau mengatakan akan menuntut hak jagaan kerana puan tidak berkemampuan menyara anak. Puan perlu memfailkan tuntutan nafkah anak di mahkamah.

Selagi puan tidak mendapatkan perintah mahkamah, bekas suami tidak berasa berkewajipan membayar nafkah itu. Menurut hukum syarak, orang berkewajipan menyara nafkah anak adalah bapa dan bukannya ibu.

Allah berfirman yang bermaksud: "Ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya." (Surah al-Baqarah, ayat 223)

Antara lain ia bermaksud, bapa wajib membiayai nafkah anaknya dengan sebab kelahiran anak dinasabkan kepada bapa itu melalui akad nikah sah di antara ibu dan bapanya. Ia juga berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya." (Surah al-Talaq, ayat 6)

Al-Sheikh Mohamad Khatib al-Sharbani dalam Mughni Al-Muhtaj menghuraikan pengertian ayat itu sebagai, "bahawa membayar upah bagi menyusukan anak itu termasuk juga sebagai kewajipan memberi nafkah kepada anaknya."

Seksyen 72 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (selepas ini dirujuk sebagai 'Akta 303') memperuntukkan, bapa bertanggungjawab menanggung nafkah anaknya sama ada ia berada di bawah jagaannya atau jagaan orang lain termasuk menyediakan tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan, pelajaran dan sebagainya secara munasabah bergantung kepada kemampuan bapa.

Tidak timbul isu sama ada anak di bawah jagaan puan atau orang lain, bekas suami tetap bertanggungjawab menanggung nafkah anak. Seksyen 73(1)(a) Akta 303 pula memperuntukkan, mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah anaknya pada bila-bila masa jika dia enggan atau abai memberikan nafkah munasabah kepada anaknya. Berdasarkan nas dan peruntukan undang-undang itu, puan boleh memohon nafkah anak di mahkamah.

Isu bekas suami akan menuntut hak jagaan kerana puan tidak berkemampuan menyara mereka, tidak relevan. Hak jagaan akan hilang jika puan hilang kelayakan menjaga anak seperti mengabaikan kebajikan mereka, menjalani kehidupan tidak mengikut lunas Islam dan alasan lain digariskan hukum syarak.

Alasan bekas suami sebenarnya hendak menghalang puan memperoleh perintah kekal nafkah anak yang akan mengikatnya melaksanakan perintah itu.

Pernyataan tuntutan puan perlu menghuraikan anggaran perbelanjaan bulanan anak merangkumi makan minum, pakaian, perubatan, persekolahan dan kebajikan mereka. Setiap perbelanjaan perlu disokong dengan resit pembayaran serta saksi yang mengetahui berkaitan tuntutan bagi menguatkan keterangan di mahkamah kelak.

Namun, nafkah anak tidak mempunyai kadar tertentu. Ia berdasarkan konsep cukup menurut adat kebiasaan dan kemampuan pemberi nafkah.

Firman Allah yang bermaksud: "Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah mengikut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah memberikan nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu), Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya." (Surah al-Talaq, ayat 7)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bahawa Hindun Uthbah berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian seorang yang kedekut. Dia tidak memberi perbelanjaan kepadaku dan anakku kecuali setakat apa yang aku ambil daripadanya tanpa pengetahuannya." Sabda Rasulullah SAW kepada Hindun: "Ambillah sekadar yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan cara yang makruf." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Al-Sayyid al-Bakri dalam I'aanah al-Talibin menghuraikan maksud hadis sebagai, "wajib memberi makan kepada anak sekadar yang cukup kenyang bagi kesempurnaan hidup dan tidak wajib berlebih sangat atau sampai kepada kemewahan yang berlebihan. Selain makan minum dan pakaian termasuk juga perubatan, persekolahan dan sebagainya."

Puan perlu mengemukakan kepada mahkamah kemampuan bekas suami untuk menanggung nafkah anak dengan menyenaraikan sumber kewangan beliau seperti pendapatan tetap melalui penyata gaji bulanannya serta jumlah harta alih atau harta tidak alih yang beliau miliki seperti rumah, tanah, saham dan wang tunai.

Semua sumber boleh diperoleh daripada majikannya atau Lembaga Hasil Dalam Negeri. Mahkamah kebiasaannya akan menilai kemampuan bekas suami dibandingkan dengan keperluan anak sebelum memerintahkan jumlah nafkah yang wajib dibayar oleh bekas suami kepada mereka. Moga puan berkeyakinan untuk meneruskan tuntutan nafkah anak selepas ini.

INFO

Peruntukan undang-undang

Seksyen 72 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (dirujuk sebagai 'Akta 303') memperuntukkan, bapa bertanggungjawab menanggung nafkah anak sama ada ia berada di bawah jagaannya atau jagaan orang lain termasuk menyediakan tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan, pelajaran dan sebagainya secara munasabah bergantung kepada kemampuan bapa.

Seksyen 73(1)(a) Akta 303 pula memperuntukkan, mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah anaknya pada bila-bila masa jika dia enggan atau abai memberikan nafkah munasabah kepada anaknya. Berdasarkan nas dan peruntukan undang-undang itu, bekas isteri boleh memohon nafkah anak di mahkamah.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Semua tulisan boleh dilayari di http://peguamsyarie.blogspot. com/ dan sebarang persoalan boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com