Sunday, February 28, 2010
Persoalan Agama: Bakal pengantin berhak lihat pasangan sebelum kahwin
Johari,
Klang, Selangor
KALAU kita lihat di negara barat, lelaki bukan saja boleh melihat si gadis yang hendak dipinang tetapi lebih dari itu ia boleh bawa gadis itu ke sana dan ke mari, ke pesta atas alasan untuk menguji. Pada satu pihak tradisional pula, mereka mengharamkan lelaki melihat wanita yang hendak dipinang itu. Mereka melarang kedua-duanya saling berpandangan sehinggalah tiba saat dikahwinkan.
Sesungguhnya kedua-dua sikap tersebut adalah tercela. Yang benar adalah pendapat pertengahan daripada kedua-dua pendapat berkenaan seperti yang diajar syarak dan diperintahkan oleh Nabi SAW, iaitu agar lelaki hendaklah melihat wanita yang hendak dilamar sebagai mana dalam sebuah hadis yang bermaksud "Pernah seorang lelaki datang kepada Baginda SAW seraya berkata, "Saya telah meminang seorang perempuan Ansar." Lalu Nabi SAW bertanya, "Apakah engkau telah melihatnya?" Dia menjawab, "Belum." Baginda SAW menjawab, " Pergilah engkau melihatnya, kerana pada mata orang-orang Ansar itu (biasanya) ada sesuatu (cacat). (Riwayat an-Nasa'I no.3247).
Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi iaitu al-Mughirah bin Syu'bah pernah meminta izin atau memberitahu kepada Nabi SAW bahawa dia hendak meminang seorang wanita, lalu Nabi SAW bertanya, "Adakah engkau sudah melihatnya?" Dia menjawab, "Belum." Kemudian Baginda SAW bersabda, "Lihatlah dia, kerana yang demikian itu lebih menjamin untuk melangsungkan hubungan kamu berdua." (Riwayat al-Tirmizi no.1087).
Ertinya dengan mengikut cara yang dianjurkan dalam hadis, kelak akan terbinalah kerukunan, keharmonian dan keserasian di antara keduanya (suami dan isteri). Ini adalah perintah daripada Nabi SAW. Sabda Baginda lagi, "Apabila salah seorang di antara kamu meminang seorang wanita dan mahu mengahwininya, maka hendaklah ia melihat sebahagian dari apa yang dapat mendorongnya untuk mengahwininya." (Riwayat Abu Daud no.2084)
Daripada hadis di atas, dapatlah kita ketahui bahawa lelaki yang mahu meminang berhak, bahkan harus melihat wanita yang akan dipinang itu dan keluarga si wanita itu hendaklah memberi kemudahan kepadanya untuk melakukannya, sehingga ia (si lelaki) dapat melihat si wanita dan si wanita dapat melihat lelaki tersebut. Seterusnya wanita berhak untuk menerima atau menolak pinangan tersebut. Justeru, kedua-dua belah pihak perlu saling melihat satu sama lain sebelum melaksanakan perkahwinan. Dengan cara itu, kehidupan rumah tangga dapat dibina di atas tapak yang kukuh dan tiang yang kuat.
Boleh juga lelaki melihat wanita yang akan dipinang itu tanpa pengetahuan wanita dan keluarganya, kerana pengetahuan keluarga dan wanita itu bukanlah syarat. Ia juga supaya si wanita tidak tersinggung perasaannya. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah, bahawa beliau bercerita mengenai isterinya selepas dikahwininya. Katanya, "Sesungguhnya saya dulu bersembunyi di bawah pohon untuk melihatnya, sehingga saya dapat melihat sebahagian dari sesuatu yang dapat mendorong saya untuk mengahwininya."
Tuesday, February 16, 2010
Perkahwinan elak manusia terjerumus dalam maksiat
Perkahwinan adalah benteng mempertahankan maruah dan harga diri. Rumah yang didiami bukan sekadar tempat berlindung, bahkan tempat beristirahat, membina kasih sayang dan mencari keredaan Allah.
Sesungguhnya, manusia perlu berkahwin adalah disebabkan tuntutan psikologi dan fitrah dijadikan Allah. Maka atas tuntutan itu, tanpa adanya perkahwinan, manusia akan terjerumus ke lembah perzinaan dan maksiat.
Islam memuliakan sebuah perkahwinan dan menggalakkan umatnya berkahwin seperti mana sabda Rasulullah: "Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu). (Hadis riwayat Bukhari)
Wednesday, February 10, 2010
Peguam Syarie Menulis: Kahwin tak ikut undang-undang boleh dihukum

BERKAHWIN tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan Islam boleh menjejaskan institusi kekeluargaan Islam. - Gambar hiasan
Maklumat perundangan kekeluargaan Islam perlu disebar elak masyarakat berdepan masalah
KEUTUHAN sesebuah institusi perkahwinan bertitik- tolak daripada punca dan unsur perkahwinan itu sendiri. Jika baik caranya, Insya-Allah akan baiklah juga kesudahannya. Islam sebagai suatu cara hidup komprehensif merangkumi semua urusan kehidupan manusia termasuklah perkahwinan dan perceraian menitikberatkan soal asas dalam membina sesebuah institusi rumah tangga.
Oleh sebab itu, undang-undang dikanunkan bagi mana-mana perbuatan orang Islam di Malaysia yang berkahwin tanpa mematuhi prosedur undang-undang adalah suatu kesalahan jenayah Syariah.
Di negara kita, bidang kuasa Mahkamah Syariah sama ada membabitkan urusan kekeluargaan atau jenayah Syariah tertentu berdasarkan peruntukan di dalam Jadual Kesembilan Senarai Dua Perlembagaan Persekutuan.
Dengan adanya peruntukan itu, badan perundangan negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang mengawal kehidupan tertentu orang Islam seperti urusan kekeluargaan, beberapa jenayah yang berkaitan dengan akhlak dan moral orang Islam dan beberapa perkara lain.
Bagaimanapun, ruang lingkup bidang kuasa Mahkamah Syariah ke atas kesalahan jenayah Syariah secara khusus sangat sempit dan kuasa menghukumnya sangat rendah, berdasarkan peruntukan di dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984.
Akta ini memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan sehingga enam sebatan.
Sebelum ini perbincangan diadakan untuk memberi kuasa lebih besar, namun perbincangan itu kelihatan sepi kembali, dengan tidak menampakkan potensi untuk merealisasikannya.
Berkahwin atau terbabit dalam upacara perkahwinan tanpa mematuhi prosedur undang-undang adalah kesalahan menurut undang-undang Syariah dan boleh dikenakan penalti, sama ada penalti berbentuk jenayah syariah atau penalti yang membawa kepada tindakan mal dan penalti tidak boleh daftar perkahwinan berkenaan.
Seksyen 36 dibaca bersama Seksyen 28 dan Seksyen 32 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa seseorang yang tidak dilantik oleh Sultan tidak boleh menyimpan daftar atau rekod sesuatu perkahwinan atau mengeluarkan sebarang dokumen perakuan perkahwinan (Surat Nikah).
Jika dia berbuat demikian, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500, penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama. Bagi kesalahan berikut boleh didenda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Seseorang yang melakukan apa-apa kekerasan atau ugutan untuk memaksa seseorang berkahwin yang bertentangan dengan kemahuan orang itu atau jika bertindak menghalang seseorang lelaki berumur 18 tahun atau seseorang perempuan berumur 16 tahun daripada berkahwin adalah melakukan kesalahan yang hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 37).
Seseorang yang membuat pernyataan palsu untuk berkahwin boleh didenda tidak melebihi RM2,000, penjara maksimum setahun atau kedua-duanya (Seksyen 38).
Seseorang yang menjalankan akad nikah sedangkan dia tidak diberi kuasa menjalankannya juga adalah suatu kesalahan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 39 dan 40).
Seksyen 124 enakmen yang sama memperuntukkan hukuman kepada seseorang suami yang berpoligami tanpa kebenaran mahkamah iaitu denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Dalam kes Muhamad Mat Diah melawan Pendakwa Syarie Kelantan di mana perayu disabitkan dan dihukum di atas empat pertuduhan di bawah seksyen 99 dan 100(1)(a) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan kerana mengakadnikahkan pasangan yang berkahwin tanpa diberi kuasa untuk berbuat demikian dan perkahwinan itu tidak mendapat kebenaran terlebih dulu.
Perayu mengemukakan pembelaan alibi antara lainnya dengan menunjukkan pasportnya bahawa beliau pergi ke Thailand sehari sebelum kejadian dan kembali sehari selepas kejadian. Mahkamah memutuskan bahawa mahkamah boleh menerima pasport sebagai dokumen kerajaan.
Bagaimanapun, orang yang bertanggungjawab mengecop tarikh masuk dan keluar seperti yang tertera di dalam pasport harus dipanggil sebagai saksi bagi menentukan kesahihan tarikh keluar masuk tertuduh ke Thailand.
Sungguhpun wujud peruntukan undang-undang yang mengenakan penalti terhadap pesalah yang melakukan kesalahan berhubung pra perkahwinan, namun masih banyak kesalahan ini dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Malah masih terdapat banyak sindiket pernikahan sebegini di luar sana yang menjalankan aktiviti ini tanpa mengira tempat dan masa.
Persoalan juga timbul adakah pelaku kesalahan ini tidak dibawa ke muka pengadilan, walhal ada peruntukan undang-undang yang membolehkan tindakan diambil ke atas mereka.
Adakah disebabkan kadar penalti yang dikenakan amat rendah jika dibandingkan dengan kesalahan yang dilakukan, menyebabkan segelintir pihak berani untuk terus melakukannya memandangkan kebanyakan mereka yang melakukan kesalahan itu mampu untuk membayar penalti yang dikenakan terhadap mereka?
Melihat kepada era moden kini, penulis berpendapat pentingnya maklumat perundangan kekeluargaan didedah dan disebarkan kepada masyarakat.
Ini bagi membolehkan masyarakat lebih peka terhadap implikasi yang wujud terhadap sesuatu perkahwinan yang melanggar peruntukan undang-undang.
Secara tidak langsung perlanggaran ini akan menjejaskan institusi kekeluargaan Islam kerana perkahwinan tanpa mengikut prosedur tidak boleh didaftarkan, lebih malang lagi jika suami bersikap sambil lewa dan apa yang merisaukan sekiranya anak yang lahir nanti tidak diketahui statusnya.
Adalah wajar juga dilakukan penilaian semula terhadap bentuk penalti dan hukuman yang diperuntukan kepada Mahkamah Syariah supaya suatu hukuman dan penalti yang bakal dikenakan dapat memberi kesan mendalam kepada pesalah, seterusnya mencegah mereka mengulangi kesalahan yang sama.
Wednesday, January 20, 2010
Peguam Syarie Menulis: Jalan pintas bernikah undang risiko

PERNIKAHAN di luar negara tanpa kebenaran adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Akta/Enakmen Keluarga Islam. - Gambar hiasan
Pasangan mahu kahwin di luar negara perlu fikir masalah bakal timbul
JIKA diamati sekarang ini, ramai rakyat Malaysia tanpa mengira nama, pangkat, darjat dan status, berkahwin di Selatan Thailand sama ada di wilayah Songkhla, Narathiwat atau Pattani. Saya dimaklumkan oleh seorang rakan ketika saya berkunjung ke Kelantan baru-baru ini bahawa di Majlis Agama Islam Narathiwat saja lebih 10 pasangan dinikahkan sehari.
Kalau betul angka itu, bermakna isu ini amat serius dan ia amat membimbangkan. Persoalannya, apakah sebab atau faktor menyebabkan individu tertentu ini mengambil 'jalan singkat' tanpa mengira kesannya dari sudut perundangan serta hukum syarak.
Pernikahan di luar negara tanpa kebenaran adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Akta/Enakmen Keluarga Islam apatah lagi bagi individu yang sudah mempunyai isteri. Wujud pelbagai faktor menyebabkan mereka ini bernikah di luar negara. Antaranya, alasan masalah keluarga.
Ini merangkumi suami, wali sengaja enggan menikahkan atas pelbagai alasan wali sendiri, ibu bapa atau ahli keluarga tidak merestui pernikahan itu disebabkan masih dalam alam pengajian, tidak seketurunan atau keluarga sudah ada calon mereka sendiri.
Kesan ketidakizinan keluarga ini menyebabkan hasrat pasangan bernikah melalui 'proses biasa' tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Akibatnya, mereka bernikah di luar negara bagi menyelesaikan permasalahan mereka.
Selain itu, sebilangan pasangan bernikah di luar negara bagi tujuan poligami, kerana sudah mempunyai isteri lain sama ada satu isteri, dua atau tiga. Undang-undang di negara kita menetapkan bagi lelaki yang ingin berkahwin lebih daripada satu, perlu mendapat kebenaran Mahkamah Syariah.
Namun demikian ada pasangan mengambil jalan mudah untuk nikah di luar negara atas alasan kerana tentangan isteri sedia ada, tidak mahu isteri sedia ada mengetahui atau mengelak diketahui pihak tertentu seperti majikan atau keluarga.
Selain itu, faktor kewarganegaraan juga dikatakan menyumbang kepada penyebab pernikahan luar negara ini. Keadaan di Malaysia pada masa ini ialah ada warganegara asing yang datang berkunjung atau warganegara Malaysia ke luar negara sama ada kerana melancong, belajar, bekerja atau menjalankan urusan perniagaan.
Hal ini secara tidak langsung mendorong hubungan peribadi antara warganegara asing dengan penduduk tempatan. Hasil hubungan itu, sebilangan mereka yang melangsungkan akad nikah di luar Malaysia tanpa kebenaran pihak berkuasa agama negeri atas pelbagai alasan seperti sedang berada di negara berkenaan dan tidak sempat balik ke Malaysia, memerlukan kos tinggi untuk berulang alik dan juga disebabkan pernikahan dengan warganegara asing itu adalah pernikahan poligami.
Faktor undang-undang juga dikatakan berperanan kepada penyumbang berlakunya pernikahan luar negara. Peraturan pernikahan melalui Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang diguna pakai di seluruh negeri di Malaysia, antara lain bertujuan menyusun atur dan mengawal isu berkaitan dengan perkahwinan, perceraian dan hal yang bersangkutan dengannya.
Bagaimanapun, ada segelintir masyarakat beranggapan peruntukan undang-undang yang ditetapkan adalah ketat dan ia menyusahkan dan membebankan. Umpamanya peraturan mensyaratkan setiap pasangan yang hendak bernikah mengisi borang dan melengkapkannya, menghadiri kursus pra perkahwinan, mendapatkan surat akuan bujang, surat akuan mastautin, surat pengesahan HIV, surat pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara bagi pemegang penduduk tetap, menghadiri temubual dan sebagainya yang memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang.
Malah bagi kes tertentu, ia akan dirujuk ke Mahkamah Syariah dan kelulusan seperti wali enggan, permohonan poligami dan kes yang bersangkutan dengan perceraian. Bagi sesetengah pasangan, peraturan ini sangat membebankan dan menjadi penghalang utama hasrat mereka untuk menjadi pasangan suami isteri. Sebagai langkah alternatif, bernikah di luar negara dengan anggapan prosesnya lebih mudah berbanding di dalam negara sendiri.
Sesuatu pernikahan itu boleh dilakukan di mana-mana tempat yang dipilih oleh pasangan asalkan pernikahan mereka memenuhi rukun nikah dan syaratnya. Bagaimanapun bagi memastikan pernikahan itu diakui, kebenaran untuk melangsungkan pernikahan hendaklah diperoleh terlebih dulu mengikut proses undang-undang.
Pernikahan luar negara mempunyai kesan iaitu memungkinkan pasangan dipisahkan jika pernikahan itu tidak sah, pasangan dikenakan denda atau penjara, serta sukar mendapat hak suami atau isteri. Lantaran itu, setiap pasangan yang bercadang mengambil jalan pintas dalam menyelesaikan masalah, sepatutnya memikirkan kesan pernikahan itu secara mendalam sebelum tindakan nekad diambil bagi mengurangkan masalah baru yang bakal timbul akibat pernikahan itu.
Dari segi perundangan pula, contohnya Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984. Seksyen 23(1) mengenai poligami memperuntukkan bahawa seorang lelaki yang mahu berpoligami perlu memohon keizinan Mahkamah Syariah terlebih dulu.
Jika dia berkahwin sebelum atau setelah gagal mendapatkan kebenaran itu, maka tindakannya adalah salah di sisi undang-undang. Dia boleh didakwa di bawah Seksyen 123. Jika disabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Satu kesan perkahwinan yang dilakukan tanpa kebenaran mahkamah adalah perkahwinan itu tidak boleh didaftarkan. Tujuan pendaftaran ini bukan hanya satu formaliti bagi mendapatkan sijil nikah. Ia satu rekod yang mensahihkan perkahwinan berkenaan, bukan saja menurut undang-undang negeri malah menepati hukum syarak.
Perkahwinan yang tidak didaftarkan adalah tidak sah dari segi undang-undang. Ia bermaksud bahawa pihak perempuan tidak akan mempunyai hak sebagai seorang isteri dan tidak boleh membuat sebarang tuntutan di Mahkamah Syariah nanti.
Pihak perempuan tidak akan dibenarkan menuntut hak ke atas nafkah, hak penjagaan atau nafkah anak, dan lain-lain tuntutan sehingga perkahwinan didaftarkan. Proses pendaftaran bukanlah satu perkara mudah terutama sekali jika ia dilakukan di luar negara, tanpa wali hadir atau tanpa saksi yang dikenali atau suami enggan bekerjasama.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Thursday, January 14, 2010
Kahwin lari boleh jejas institusi kekeluargaan Islam

ISLAM sangat menggalakkan umatnya supaya melakukan proses perkahwinan secara teratur dan beradab. - Gambar hiasan
Golongan alim ulama perlu cari kaedah tangani gejala yang menjadi-jadi sekarang
KAHWIN lari, satu istilah yang biasa digunakan masyarakat Islam merujuk kepada pasangan yang bernikah secara senyap di sempadan negara atau melalui sindiket di dalam negara sendiri. Dewasa ini, fenomena itu nampaknya semakin menjadi-jadi.
Saya sebagai seorang bapa juga berasa amat bimbang dan mencadangkan pihak berwajib memikirkannya secara serius. Antara penyebab utama kahwin lari adalah poligami, terlanjur serta wali adhal (enggan).
Kebanyakan pasangan mengambil jalan singkat memilih kahwin lari dengan harapan dapat menyelesaikan masalah dengan cepat. Namun, sedarkah mereka sedang mencipta masalah baru yang lebih besar terutama golongan wanita atau si isteri sendiri. Beberapa keburukan jelas daripada kahwin lari dapat saya simpulkan seperti di bawah.
Meruntuhkan sistem kekeluargaan Islam yang murni.
Islam sangat menggalakkan umatnya supaya melakukan proses perkahwinan secara teratur dan beradab. Tidak pernah sekali pun kita membaca sirah Rasulullah SAW membenarkan para sahabatnya kahwin lari bagi sebarang masalah dihadapi sekalipun, sebaliknya Baginda sendiri yang akan mewakili sahabatnya bagi upacara peminangan dan selanjutnya.
Kita juga amat memahami bahawa meminang itu sunat muakkad dalam Mazhab Syafie. Permohonan dengan penuh beradab untuk mengambil anak perempuan sesuatu keluarga dilihat sangat sesuai dengan Islam sebagai agama yang murni lagi selamat.
Menghilangkan hak wali.
Bayangkan jika perkara ini berlaku kepada anda? Saya sangat menyokong tindakan wali (kebiasaannya bapa perempuan) memohon kepada Mahkamah Syariah perintah Mufarakah dan sebagainya bagi memastikan anaknya benar-benar dinikahi secara bertepatan syarak.
Mengeruhkan hubungan kekeluargaan.
Antara hikmah digalakkan perkahwinan dalam Islam adalah bagi mengembangkan silaturrahim antara sesama Muslim. Semakin jauh kaitan kekeluargaan, semakin baik bagi tujuan itu.
Namun, kahwin lari berlaku sebaliknya. Bukannya mengembang silaturrahim malah bertambah menguncup. Anak perempuan dan bapa akan bermusuhan apatah lagi menantu. Keluarga kedua-dua pihak akan menyalahkan antara satu sama lain dan lebih parah lagi akan berlaku pergaduhan. Inikah yang diimpikan daripada sebuah perkahwinan? Jelas sekali jawapannya tidak.
Pernikahan diragui.
Walaupun kahwin lari memenuhi rukun syarak akan diperakui sah, pernahkah kita terbaca atau mengalami kisah seorang isteri mempunyai dua suami? Menantu berkahwin dengan mentua? Isteri yang diceraikan tetapi masih dalam edah dinikahi?
Tahukah kita betapa longgarnya peraturan dan undang-undang pernikahan di negara jiran? Tahukah kita, ada banyak sindiket yang tidak bertauliah berlumba-lumba mencari pasangan untuk dinikahi? Pernikahan sebegini jelas menyebabkan statusnya diragui kesahihannya.
Sudah wujud banyak sindiket pernikahan di merata negeri Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Kedah, Kelantan dan lain-lain. Mereka tidak mengira halal haram asalkan bayaran diterima bagi pasangan yang terdesak. Tidak kurang juga sindiket yang menguruskan kahwin lari secara sah di negara jiran.
Pernahkah kita mendengar kisah sepasang kekasih yang ditangkap khalwat dan gagal mengemukakan sebarang bukti pernikahan, datang seminggu kemudiannya membawa sijil nikah negara sempadan? Saya bimbang dengan kawalan dan undang-undang yang longgar, sijil nikah ini mudah diperoleh melalui sindiket tanpa melalui proses pernikahan sah mengikut hukum syarak.
Sebagai cadangannya saya mengesyorkan panel penggubal undang-undang Mahkamah Syariah melihat kembali enakmen yang perlu diperhalusi dan dibahaskan. Antara permasalahan ketara adalah peraturan dan undang-undang poligami. Enakmen sedia ada dilihat sangat menyulitkan pasangan bahkan boleh dikatakan hampir mustahil untuk dipenuhi.
Contohnya peraturan memanggil isteri memberi keterangan, bakal isteri, bakal mentua dilihat sangat membebankan, sedangkan mengikut hukum syarak, keterangan yang paling tinggi darjatnya adalah keterangan saksi-saksi yang adil. Keterangan isteri hanyalah bayyinah (penyokong) kepada keterangan syahadah (saksi).
Sebagai contoh, Mahkamah Syariah boleh menetapkan bakal suami yang ingin berpoligami untuk membawa dua saksi yang adil bagi menyatakan kelayakannya untuk berpoligami. Walaupun sering kali Mahkamah Syariah menafikan bersungguh-sungguh bergantung keterangan isteri, hakikat yang berlaku adalah sebaliknya bahkan kebiasaannya bukan poligami yang berjaya, tetapi keruntuhan rumah tangga sedia ada. Akhirnya wanita teraniaya.
Memudahkan urusan permohonan pernikahan (khususnya permohonan poligami dan pasangan bermasalah).
Memudahkan bukan bermaksud membiarkan semudah-mudahnya tetapi mencari jalan memudahkan pasangan bukan menyulitkan mengikut hukum syarak.
Pernikahan juga tidak disulitkan dengan pelbagai bayaran dan hadiah yang membebankan.
Hantaran tidak dijadikan perlumbaan bagi tujuan kebanggaan dan prestij. Ikutilah saranan Nabi SAW yang menggalakkan kita mempermudahkan urusan perkahwinan serta kenduri secara sederhana.
Menutup pintu pengiktirafan perkahwinan tanpa permohonan dan kebenaran yang sah.
Pernikahan tanpa kebenaran tidak langsung diberi pengiktirafan dan tidak didaftarkan dengan hanya pengecualian kes khas yang memerlukan tandatangan sokongan seseorang yang diyakini dan dipercayai seperti Mufti atau Ketua Hakim Syariah negeri.
Dengan cara ini, sekurang-kurangnya dapat menyedarkan masyarakat risiko kahwin lari serta membendungnya. Dengan syarat permohonan dan kelulusan pernikahan secara sah (termasuk poligami) hendaklah dipermudahkan.
Adakan kursus khas kepada suami yang ingin berpoligami serta isteri mengenai syarat dan kelayakan serta tanggungjawab yang akan dipikul.
Kefahaman ini penting bagi orang yang benar-benar layak dan dapat membela wanita sebelum mereka diberi kebenaran.
Diadakan kursus dan seminar undang-undang kekeluargaan Islam supaya masyarakat lebih memahami peraturan dan undang-undang sedia ada terutama kepada pasangan bermasalah dan wali adhal.
Perbincangan di kalangan alim ulama juga perlu bagi mencari kaedah paling sesuai bagi membendung masalah ini berterusan dan melemahkan institusi kekeluargaan Islam di Malaysia.
Saturday, January 2, 2010
Kahwin lari guna sindiket tanpa daftar semula menyusahkan waris
Oleh Abdul Razak Idris
PERNIKAHAN secara sah mengikut rukun dan hukum Islam diletakkan dalam agama Islam setaraf mendirikan sebuah masjid. Hari ini pernikahan antara pasangan lelaki dan wanita secara amalinya terikat dengan peraturan kariah sebelah wanita. Mengikut prosedur kariah, bakal pengantin perempuan bagi kebanyakan negeri, pihak pengantin lelaki perlu menyerahkan surat akuan sumpah mengaku sama ada bujang atau surat kebenaran untuk berpoligami bagi yang sudah berkahwin.
Namun bagi pasangan yang berkahwin di sempadan dan nikah sindiket perkara ini sering diabaikan. Ini yang menimbulkan masalah di kemudian hari kerana urusan pendaftaran anak-anak dan pembahagian harta tertakluk kepada pendaftaran nikah kahwin mengikut enakmen setiap negeri.
Nikah sindiket yang berlaku dalam masyarakat kita bukan perkara baru. Ia berlaku sejak peraturan tegas supaya setiap perkahwinan didaftarkan dan setiap bakal pengantin perlu mengikuti kursus anjuran pihak berkuasa agama setiap negeri. Perkahwinan sebagai suatu perkara suci perlu dilakukan mengikut undang-undang uli-amri dan sikap mengikut undang-undang logik perlu diubah kerana ia menimbulkan masalah kepada waris dan bukan kepada pasangan pengantin itu sendiri.
Prosedur ini perlu dipenuhi bagi memberi kemudahan kepada anak-anak yang bakal lahir daripada sebuah perkahwinan mendapat pengiktirafan warga negara. Tindakan pasangan yang menggunakan sindiket akan mendedahkan diri mereka dengan tindakan mahkamah syariah dan mahkamah jenayah jika perbuatan yang tidak diredai undang-undang ini dilakukan.
Kes mufarakah yang berlaku kepada satu pasangan di sebuah negeri baru-baru ini menunjukkan jika prosedur biasa dilanggar, inilah akibat yang perlu ditanggung oleh pasangan terbabit.
Rukun nikah menetapkan agar wali dijemput untuk menikahkan pasangan bertujuan menghindar daripada fitnah dan dosa terhadap kedua ibu bapa kerana membelakangkan mereka. Zaman ini kerana cinta, ramai anak muda lebih suka kahwin lari di sempadan yang boleh menjalankan upacara nikah tanpa menyeberang sempadan.
Ada juga yang tidak mendaftarkan pernikahan sampai ajal menjemput mereka. Apabila urusan harta ingin dilaksanakan, pengesahan nikah yang belum dibuat akan menimbulkan masalah kepada waris hingga urusan mengambil kuasa terbantut dan terbengkalai.
Walaupun mengikut syarak pernikahan di sempadan sah ia tetap akan menimbulkan masalah jika ia tidak didaftarkan oleh pasangan terbabit. Setiap peraturan bukanlah untuk menyusahkan tetapi untuk memberi kemudahan dan kebajikan kepada pasangan. Cuba bayangkan jika pendaftaran tidak dibuat dengan betul apa akan jadi jika isteri yang kita nikahi itu rupanya masih mempunyai suami yang ditinggalkan sekian lama.
Mungkin juga suami yang dinikahi itu mempunyai lebih daripada empat isteri. Itu yang boleh berlaku jika pendaftaran gagal dibuat oleh pasangan yang berkahwin di sempadan atau secara sindiket.
Berkahwin mengikut undang-undang sama ada untuk poligami atau yang pertama kali lebih baik dari kahwin dua dan tiga tetapi menghadapi masalah hingga 'sikap sayang selasih hamba lurutkan, kerana kasih hamba turutkan' berlaku dalam masyarakat.
Setiap perkahwinan adalah atas rasa kasih sayang yang suci dan perasaan itu biarlah berlandaskan agama dan hukum pemerintah. Perkahwinan bukan untuk sehari dua tetapi perjalanan panjang yang dianggap perjudian oleh sesetengah pihak. Jika bahagia bersyukur, jika kelak bercerai atau salah seorang pasangan meninggal dunia yang susah ialah pihak satu lagi dan perkara ini sedang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini.
Friday, December 25, 2009
Soal Jawab Agama: Nikah batin tidak sah kerana tiada wali, pasangan wajib kahwin semula
KITA sering mendengar amalan pernikahan secara batin dilakukan pasangan pengantin Islam. Namun persoalan timbul adakah Islam mengiktiraf pernikahan berkenaan dan jika pasangan berkenaan mempunyai anak, apakah hukum kedudukan anak itu?
Pemuda Kedah
Alor Star
Sebenarnya, pernikahan batin muncul apabila masyarakat tidak memahami dan tidak mempelajari Islam yang sebenarnya, sebaliknya mencampuradukkan Islam dengan amalan karut. Di dalam hukum pernikahan mengikut syarak, antara rukun sah nikah, ialah wali dan saksi. Namun apabila nikah batin tidak membabitkan wali dan saksi, tentunya ia jelas tidak sah dan diiktiraf hukumnya.
Sebuah hadis yang diriwayatkan Tirmizi dari Abu Musa Asya'ri bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tiada nikah melainkan dengan wali".
Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Aishah bahawa Nabi SAW bersabda: "Mana-mana perempuan yang berkahwin dengan ketiadaan izin walinya, maka nikahnya adalah batil (batal), maka nikahnya adalah batil, maka nikahnya adalah batil".
Begitu juga keperluan dua saksi bagi menghalalkan pernikahan itu, sabda Rasul SAW melalui hadis Ibnu Abbas bermaksud: "Bermula perempuan yang berkelakuan sundal itu ialah mereka yang menikahkan dirinya tanpa saksi". (Tirmizi, Sahih).
Imam Ahmad berpendapat adalah harus seorang lelaki dan dua perempuan sebagai saksi. Namun demikian beliau tidak bersetuju jika ketiadaan saksi. Imam Syafi'e di dalam kitabnya Al-Um memuatkan sebuah hadis dari Nabi SAW bermaksud: "Tiada sah nikah melainkan dengan wali dan dua saksi yang adil".
Inilah apa yang dilakukan sahabat Nabi SAW sebagai respons kepada banyak hadis yang bermaksud demikian. Ia juga dikuatkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas dan sahabat lain menyebut: "Tiada sah nikah melainkan dengan dua saksi yang adil dan wali yang bijak". Pendapat ini juga disokong oleh Zubaidi di dalam syarah Ihya'. Begitu juga disebut oleh Imam Ghazali di dalam kitab Al-wajiz: "Tiada dikira nikah melainkan dengan adanya dua saksi yang adil dan tiada permusuhan antara saksi dan kedua mempelai".
Saidina Umar pernah membatalkan perkahwinan yang bersaksikan seorang lelaki dan seorang perempuan, seraya berkata: "Jika sekiranya sudah bersatu antara keduanya (yang berkahwin), nescaya akan aku rejam mereka". Apatah lagi jika ketiadaan seorang pun sebagai saksi pada majlis akad berkenaan.
Jika sekiranya berlaku pernikahan seperti yang disebut penyoal tadi, maka kedua pihak diwajibkan bernikah semula dengan cara yang sah termasuk membayar mahar seperti kebiasaan mengikut bayaran semasa. Maka di dalam soal ini pihak berwajib akan menyelesaikan masalah itu dengan penuh kebijaksanaan jika ia membabitkan soal kekeluargaan dan perlu memberi pengajaran kepada mereka yang berniat melakukannya pada masa akan datang. Dalam pada itu, anak yang dilahirkan hasil dari hubungan itu akan ditentukan oleh mahkamah sama ada ia hasil zina atau syubahat.
Sunday, November 1, 2009
Persoalan Agama: Buka ruang berbincang sebelum izin nikah
SAYA jatuh cinta dengan seorang pemuda. Selepas menjalin hubungan dengan beliau dan mengikat janji setia untuk berkahwin, tiba-tiba keluarga memaksa saya berkahwin dengan lelaki lain. Apakah berdosa perbuatan melanggar janji dengan pemuda itu.
Gadis bimbang,
Hulu Langat.
Perkahwinan seperti disyariatkan Islam ialah akad yang wajib disempurnakan dengan keredaan pihak terbabit. Gadis perlu bersetuju, demikian juga walinya meredai dan juga perbincangan dengan ibu dan adik beradiknya selepas sempurna diselidik latar belakangnya.
Rasulullah SAW menganjurkan beberapa petunjuk agar wanita tidak dipaksa dalam pemilihan jodoh walaupun masih berstatus gadis. Nabi SAW dalam dua hadis berbeza meminta wali bertanya anak perempuan mengenai bakal suaminya dan izin gadis itu biasanya terletak pada diamnya kerana malu. (Riwayat al-Daruqutni).
Demikian pula dalam hadis yang berasingan Nabi SAW pernah membatalkan perkahwinan wanita dengan lelaki yang tidak disukainya.
Pada kesempatan lain, Baginda ditanya seorang wanita mengenai perintah ayahnya untuk mengahwini seseorang yang tidak disenanginya, lalu Nabi SAW menyuruh menerima kehendak ayahnya. Wanita itu masih bertegas meminta campur tangan Baginda supaya memberitahu si ayah dia tidak menyenangi lelaki itu.
Nabi SAW masih menyatakan "terimalah ketetapan ayahandamu!" Demikianlah secara berulang-ulang Nabi menasihatinya, namun dia tetap berkeras. Akhirnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau berhak menolak."
Apabila Nabi SAW memerintahkan ayahnya memberikan kebebasan wanita ini untuk menuruti pilihannya, wanita itu berkata yang bermaksud: "Saya menerima kehendak ayah, cuma ingin beliau memahami mereka tiada kuasa terhadap urusan perkahwinan anak perempuan mereka."
Kesimpulannya, anak perempuan yang ingin dikahwinkan wajar diajak bermesyuarat, dihargai pandangannya dan diminta keredaannya.
Bapa juga perlu memahami kehendak hati anak sama menerusi tanda jelas atau tersembunyi.
Wali pula perlu reda dan memberikan kebenaran. Dalam hadis sahih Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa pun di kalangan wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya adalah batal, batal, batal! (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmizi).
Justeru, Muslimat tidak dibenar berkahwin tanpa izin wali. Hikmah hukum ini ialah untuk menjaga kepentingan wanita daripada dipermainkan kerana tanpa pengawalan ini dibimbangi ramai gadis menjadi mangsa penganiayaan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Mereka mungkin ditipu lantas diperalat golongan yang ingin mengambil kesempatan.
Oleh kerana itu, Islam meletakkan syarat ketat untuk melindungi wanita iaitu dengan memberikan hak kepada wali untuk mengahwinkannya selepas berunding dengan empunya badan.
Seterusnya, melengkapkan kedua-dua komponen di atas, Nabi SAW menambah satu lagi perkara yang penting sebelum mendirikan rumah tangga iaitu rundingan dengan ibu wanita yang bakal dikahwinkan. Ini sesuai dengan maksud hadis: "Ajaklah ibu berunding mengenai anak perempuan mereka." (Hadis riwayat Ahmad, Ab Razzak, Abu Daud dan al-Baihaqi).
Kepentingan merujuk pendapat bonda disebabkan mereka lebih memahami hati anak perempuan yang biasanya tidak difahami si ayah.
Apabila semua pihak sepakat sama ada ayah, ibu, bakal isteri dan calon suami, perkahwinan ini akan mencapai kebahagiaan dan ketenangan seperti difirmankan Allah SWT dalam surah al-Rum ayat ke-21 yang bermaksud: "Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir."
Selepas memahami penjelasan di atas, saya yakin saudari dapat memahami tindakan mengikat janji dengan pemuda pertama tanpa keredaan ayah yang menjadi wali adalah menyalahi syariat.
Nabi SAW pernah bersabda bermaksud: "Setiap orang Islam mesti mematuhi janji selain janji yang membabitkan pengharaman yang halal ataupun sebaliknya." (Riwayat al-Daruqutni)
Oleh kerana perjanjian saudari dengan pemuda itu sesuatu mungkar yang diharamkan syarak, saudari tidak perlu bimbang kerana mengabaikannya. Wali perlu menjaga hak terhadap anak gadis selagi ia dalam ruang lingkup yang dibenarkan syarak maka bapa wajar membuka ruang perbincangan tanpa bertindak secara diktator terhadap kepentingan puteri mereka.
Selain itu, dapatkan nasihat dan idea ibu dan serta adik-beradik, terutama yang terkenal dengan kebaikan dan salih semoga keluarga yang diasaskan itu berkekalan dalam kebahagiaan dan ketaatan kepada-Nya. Wallahu a'lam.
Thursday, May 28, 2009
Islam garis langkah terbaik selesai konflik perkahwinan
Pasangan harus mengetahui punca krisis, urus perdamaian sebelum memilih untuk bercerai
HARI ini, kegetiran rumah tangga bukan saja berlaku kepada pasangan baru berkahwin, tetapi juga yang hampir melewati setengah abad. Puncanya, tiada persefahaman, akibat masalah yang mungkin remeh-temeh atau tiada masalah langsung, tetapi itulah berlaku apabila jodoh tidak berpanjangan.
Ada yang mengadu suami jatuh cinta lagi dan tidak mampu membahagi kasih, lalu isteri terpaksa memberi laluan kepada cinta baru suami, dan anak pula tiada pilihan melainkan reda dengan kehilangan seorang ayah yang mereka dambakan kasih sayangnya sehingga dewasa.
Keluarga adalah institusi paling kecil, tetapi utama dalam pembinaan tamadun. Asas kukuh menjadi tunjang kepada peradaban yang sihat dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu, keutuhan dan kerukunan perlu dicapai setiap unit keluarga bagi membolehkan membina tamadun manusia. Pincang institusi itu bermakna akan ada pelbagai bentuk kerosakan di muka bumi.
Permulaan untuk membina unit asas institusi kekeluargaan adalah perkahwinan. Antara objektif perkahwinan, menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita, memenuhi fitrah kehidupan manusia mengingini kasih sayang serta ketenangan terhasil daripada ikatan yang suci.
Ia juga untuk memanjangkan generasi sedia ada dengan pertambahan zuriat keturunan sebagai penyambung tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di bumi di samping mengelakkan masalah sosial yang semakin meruncing akibat hubungan terlarang antara manusia.
Asas kepada perkahwinan ialah rasa cinta, kasih sayang, melaksanakan tanggungjawab, saling mempercayai, hormat menghormati, belas kasihan dan bertolak ansur. Persoalan mengenai penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita rentetan daripada perkahwinan tidak timbul langsung dalam Islam kerana isteri mempunyai hak mendapat kebahagiaan. Jika hak itu dinafikan oleh suami, isteri berhak menuntut perceraian.
Antara penyebab berlakunya konflik dalam rumah tangga adalah tekanan ekonomi, masalah komunikasi, memberi ruang kepada kehadiran orang ketiga, penyakit atau kematian, kesunyian dan tidak menyandarkan hubungan suci itu kepada tiang agama.
Konflik sebegini tidak seharusnya diakhiri dengan perceraian. Lagi pun, talak perkara paling dibenci Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah perceraian." (Hadis riwayat Abu Dawud)
Langkah mengembalikan hubungan yang tegang seperti sedia kala adalah dengan memulakan sebuah kehidupan baru. Pasangan harus mengetahui penyebab kepada krisis berlanjutan. Jalan penyelesaian juga mesti dibincangkan bersama dan jangan melengahkan masa untuk memulakan sistem pembinaan semula perkahwinan yang bahagia.
Islam menganjurkan setiap individu Muslim hidup bahagia dan jika ada masalah yang mengganggu keharmonian, ia hendaklah diselesaikan seberapa upaya. Untuk menguruskan perdamaian akibat perbalahan antara pasangan, pelbagai cara boleh digunakan seperti mendapatkan nasihat daripada orang yang lebih dihormati.
Pasangan juga perlu berbincang dari hati ke hati dengan meluahkan apa terbuku bagi mengelakkan sebarang salah faham yang boleh berlarutan. Tetapi, ini hanya boleh berlaku jika masih wujud perasaan hormat antara suami isteri, jika sebaliknya, maka tiada perdamaian 'hati' yang boleh diusahakan lagi.
Selain itu, suami boleh memulihkan keadaan dengan tujuan memberi pengajaran mungkin dalam bentuk teguran, amaran atau pukulan yang tidak menyakitkan. Jika salah satu pihak cuai menjalankan tanggungjawab menyebabkan konflik dalam perkahwinan, suami atau isteri boleh membuat aduan dan tindakan mahkamah. Jika mahkamah menjatuhkan hukuman, maka hukuman ini bolehlah juga dikatakan sebagai amaran.
Tiada perhatian daripada ibu bapa yang bermasalah mengakibatkan anak mencari kebahagiaan lain, jurang komunikasi pula menidakkan ajaran dan bimbingan dalam sebuah keluarga, akhirnya wujudlah anak menagih perhatian di jalanan.
Asalnya, dulu mereka melepak untuk menghabiskan masa terluang dan ia sangat menyeronokkan, tetapi hari ini mereka menjadi samseng jalanan untuk membina 'jati diri' menghadapi kemungkinan kemudian hari. Akhirnya rumah tangga bermasalah menjadi semakin punah kerana ibu bapa tidak tegar menghadapi kerenah anak yang lebih mengusutkan.
Akhir-akhir ini juga banyak konflik perkahwinan membawa kepada krisis yang besar sehingga pasangan bertindak untuk tinggal berasingan. Ia berlaku mungkin disebabkan pasangan tidak langsung cuba menyelesaikan masalah.
Pasangan juga mungkin boleh meredakan kemarahan dengan berjauhan antara satu sama lain dalam tempoh tertentu. Ia tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan masalah lain yang timbul seperti nusyuz, pengabaian nafkah zahir dan batin.
Islam membenarkan pengasingan sementara jika ia adalah jalan terbaik untuk meredakan keadaan dan melindungi mana-mana pihak daripada kemudaratan lebih besar. Apabila seseorang lelaki bersumpah untuk menjauhkan diri daripada isterinya, al-Quran menjelaskan bahawa mereka perlu diberi tempoh untuk bertenang dan dapat berfikir semula secara waras.
Firman Allah bermaksud: "Kepada orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri mereka diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 226)
Bukan tiada caranya untuk menangani konflik rumah tangga, tetapi jika tidak kembali kepada ajaran-Nya, tentulah masalah menjadi semakin runcing, suami mesti sentiasa menjadi pemimpin, isteri setia dibimbing, anak pula jangan dikesamping.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
Wednesday, April 29, 2009
Iqra: Panduan tingkat keharmonian rumah tangga
Penulis: Zawiyah Hassan dan Rohayati Bakri
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM17.50 (Semenanjung) RM19.50 (Sabah/Sarawak).
ISLAM menggariskan undang-undang perkahwinan lengkap bagi memelihara kepentingan umat manusia. Segala peraturan dan disiplin dalam perkahwinan bertujuan memelihara kepentingan suami isteri serta zuriat mereka.
Perkembangan institusi perkahwinan membentuk masyarakat Islam daripada pelbagai bangsa dan keturunan bagi memakmurkan alam. Namun, kebelakangan ini berlaku kepincangan institusi keluarga mengakibatkan gejala sosial dalam masyarakat semakin menjadi-jadi. Antara punca gejala itu kerana tidak mengikut peraturan dan panduan ditetapkan Islam.
Buku 501 Soal Jawab Perkahwinan Islam memberi maklumat dan panduan bagi membantu mereka yang menghadapi masalah perkahwinan mencari penyelesaian terbaik seterusnya meningkatkan iltizam menjaga keharmonian rumah tangga.
Dibahagikan kepada empat bahagian, buku setebal 257 halaman membicarakan isu serta persoalan sebelum perkahwinan merangkumi tujuan perkahwinan, merisik dan meminang, sama taraf, bertunang dan haram berkahwin.
Bahagian dua pula mengupas persoalan berlaku ketika perkahwinan seperti isu berlainan pegangan agama, pernikahan dan kenduri kahwin, poligami serta hal membabitkan perceraian iaitu talak, rujuk, tebus talak dan nafkah.
Mutaah, nafkah anak serta penjagaan anak selepas perceraian dimuatkan dalam bahagian tiga yang turut membincangkan masalah wasiat dan harta pusaka. Bahagian empat ialah isu semasa antaranya harta sepencarian, sumbang mahram serta masalah dihadapi masyarakat hari ini.
Buku yang disusun dalam bentuk soal jawab itu cuba merungkai masalah daripada sudut agama kerana tidak dinafikan ada sesetengah pihak memandang ringan hukum hingga menjadikan ia satu budaya yang diterima masyarakat.
Contohnya, wanita bertunang pergi dan balik dari pejabat dijemput serta dihantar tunangnya. Bagi ibu bapa hari ini perbuatan itu dilihat biasa kononnya untuk memberi peluang mereka mengenali hati budi masing-masing sebelum menjadi suami isteri.
Pertunangan bukan tiket untuk pasangan melakukan sesuka hati. Itu bagi yang sudah bertunang tetapi ada juga yang belum mempunyai ikatan tetapi hubungan seperti pasangan suami isteri.
Justeru, buku 501 Soal Jawab Perkahwinan Islam sewajarnya menjadi teman kepada suami, isteri, pasangan bertunang dan pembaca umum supaya dapat memahami lebih lanjut mengenai perkahwinan serta bagaimana dapat dilayari rumah tangga supaya sentiasa mendapat keredaan Allah.
Sunday, April 5, 2009
Persoalan Agama: Saudara baru tidak boleh berwali
SAYA ialah saudara baru dan tinggal bersama keluarga angkat yang selama ini memberi banyak tunjuk ajar dan kasih sayang.
Saya bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Persoalannya bolehkah bapa angkat saya menjadi wali dan menikahkan kami kelak.
Gadis Musykil,
Kota Bharu, Kelantan.
Jawapan:
Al-Wilayah dari sudut bahasa bermakna kasih sayang dan pertolongan, manakala dari sudut istilah syarak bermaksud melaksanakan kata-katanya terhadap orang lain dan mengawasi urusan mereka (mempunyai kuasa).
Tidak sah pernikahan seseorang wanita jika dia berkahwin tanpa berwali seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tidak terjadi pernikahan kecuali dengan berwali" (Riwayat at-Tirmizi).
Menurut Imam Nawawi, wali paling utama ialah bapa, kemudian datuk, moyang, saudara lelaki seibu sebapa dan seterusnya sekalian golongan Asobah (mereka yang berhak mewarisi pusaka).
Perwalian nikah berpindah kepada sultan atau wakilnya (hakim) jika seorang wanita tiada, wali, hilang wali, wali enggan menikahkan atau walinya sendiri berkahwin dengan wanita itu seperti sepupu lelaki sebelah ayah.
Oleh itu, jika seorang wanita memeluk Islam sedangkan tiada wali, dia perlu berwalikan sultan atau wakilnya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sultan menjadi wali bagi mereka yang tidak mempunyai wali" (Riwayat at-Tirmizi)
Bapa atau datuk yang bukan Islam tidak berhak mewalikan pernikahan anaknya yang Islam.
Begitu juga dengan bapa angkat, beliau tidak berhak mewalikan anak angkat walaupun mereka memelihara anak berkenaan sedari kecil dan membintikan anak kepada namanya (walaupun penamaan seperti itu adalah haram dari sudut hukum Islam).
Thursday, August 14, 2008
Hak Muslim: Bapa tidak boleh walikan pernikahan anak tak sah taraf
Soalan:
SAYA ingin berkahwin akhir tahun ini dan sudah menghantar borang permohonan berkahwin ke pejabat agama Islam. Selepas beberapa hari, saya dimaklumkan permohonan tidak dapat diproses kerana pegawai jabatan agama Islam mendapati tarikh lahir saya tidak sampai empat bulan dari tarikh pernikahan ibu dan bapa.
Saya dikatakan sebagai anak tak sah taraf. Permohonan saya dirujuk ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan kebenaran berkahwin. Mengapa saya perlu berbuat demikian, sedangkan dalam kad pengenalan tertulis bahawa saya berbintikan bapa kandung. Bagaimana cara untuk saya memohon kebenaran dan apakah dokumen yang diperlukan? Harap mendapat penjelasan.
Kamaliah Al-Hasan
Jawapan:
Mengikut Undang-Undang Keluarga Islam yang berkuatkuasa di semua negeri termasuk Wilayah Persekutuan, permohonan kebenaran berkahwin asalnya adalah melalui pejabat Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam di mana tempat individu itu bermastautin.
Akan tetapi, ada beberapa kes perlu dirujuk oleh Pendaftar Nikah kepada Mahkamah Syariah untuk tindakan Hakim Syarie, bagi mengeluarkan kebenaran berkahwin terlebih dulu. Selepas kebenaran berkahwin daripada Hakim Syarie atau Mahkamah Syariah, barulah Pendaftar Nikah boleh memproses dan meluluskan kebenaran berkahwin itu.
Kes berkenaan ialah:
Permohonan untuk berkahwin di bawah umur. Bagi lelaki berumur bawah 18 tahun atau perempuan di bawah umur 16 tahun yang ingin berkahwin, mereka perlu mendapatkan kebenaran berkahwin di Mahkamah Syariah terlebih dulu.
Permohonan oleh seseorang janda berhias, iaitu perempuan yang bercerai sebelum disetubuhi suaminya atau dalam istilah Arab disebut qabla dukhul.
Permohonan bernikah secara wali hakim. Pernikahan secara wali hakim ini pula perlu dalam kes berikut:
- tiada wali yang sah dari segi nasab
- wali ghaib
- saudara baru atau mualaf
- anak tak sah taraf
- wali enggan
- wali dalam ihram haji/umrah
- wali tidak dapat dihubungi atas sebab darurat
- permohonan poligami
Berbalik kepada persoalan mengenai anak tak sah taraf. Maksud anak sah taraf ialah anak yang lahir daripada akad pernikahan yang sah, dalam tempoh tertentu selepas akad nikah atau disebabkan persetubuhan syubhah. Anak tak sah taraf ialah anak yang lahir daripada pernikahan yang tidak sah atau fasid menurut hukum syarak.
Secara syariatnya seseorang anak yang lahir boleh disabitkan nasab kepada ibu yang melahirkannya, sama ada secara sah taraf ataupun tidak sah taraf. Tetapi untuk anak itu disabitkan nasabnya kepada bapa, beberapa syarat perlu dipenuhi iaitu:
dengan sebab perkahwinan yang sah
disebabkan perkahwinan yang fasid
disebabkan persetubuhan syubhah
Fuqaha bersepakat bahawa anak dilahirkan oleh perempuan yang mempunyai suami secara sah boleh disabitkan nasab kepada suaminya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Anak yang lahir daripada hamparan (yang sah) berhak disabitkan nasab keturunan."
Hukum di atas adalah dengan syarat suami adalah orang yang boleh menyebabkan isteri hamil, anak dilahirkan selepas enam bulan dari masa akad nikah, iaitu menurut ulama Hanafi. Menurut ulama jumhur, masa enam bulan dikira dari masa ia dibolehkan melakukan persetubuhan.
Jika anak dilahirkan kurang daripada tempoh minimum masa mengandung, iaitu enam bulan, ulama bersepakat tidak sabit nasab daripada si suami. Keadaan lain di mana suami dan isteri boleh bertemu dan bersama selepas berlaku akad nikah.
Berdasarkan penjelasan itu jelas fuqaha berpendapat jika anak dilahirkan kurang dari tempoh enam bulan selepas akad nikah yang menghalalkan persetubuhan suami dan isteri, maka anak itu tidak boleh dinasabkan kepada bapanya. Maksudnya bapa itu tidak boleh mewalikan pernikahan anak dan perlu berwalikan hakim.
Dalam kes anda, permohonan kebenaran berkahwin hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah Rendah Syariah di tempat anak bermastautin. Antara dokumen diperlukan bagi permohonan adalah:
notis permohonan
afidavit sokongan
lampiran yang diperakukan seperti salinan kad pengenalan, pengesahan pemastautin (jika alamat dalam kad pengenalan berlainan dengan alamat bermastautin), borang permohonan berkahwin bagi perempuan dan lelaki dan lain-lain dokumen berkaitan. Dalam kes anda, elok dikemukakan sekali sijil kelahiran dan sijil nikah ibu bapa
surat sokongan daripada Pendaftar Nikah
bayaran yang secukupnya
wakalah peguam syarie bagi yang menggunakan khidmat peguam syarie.
Jika lengkap segala dokumen dan saksi yang dikehendaki hadir ke mahkamah pada hari ditetapkan, proses perbicaraan kes seperti ini adalah mudah dan kebiasaannya boleh diselesaikan dalam masa satu hari saja. Jika menggunakan khidmat peguam syarie, maka peguam akan menguruskan dan menyediakan segala dokumen diperlukan.
Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang
Thursday, March 6, 2008
Hak Muslim: Wanita ada hak pertahan maruah di sisi suami
Kak Long,
Selangor.
PUAN prihatin terhadap adik yang bermasalah. Adik puan wajar bersyukur dan berterima kasih kerana mempunyai tempat untuk mengadu. Adik puan berdepan pelbagai masalah yang bermula daripada isu hubungan luar suami dengan perempuan lain.
Permasalahan dan pergaduhan serta pukul memukul adalah rentetan yang berlaku sebagai kesinambungan perselisihan atas isu itu.
Perkahwinan memang selalu diselang-seli dengan perselisihan, tetapi apabila membabitkan pergaduhan besar seperti maki hamun, menggunakan perkataan menghina yang tidak sepatutnya, apatah lagi pukul memukul, maka ia bukan perkara biasa lagi.
Suami adik puan sudah melakukan tindakan yang tidak wajar dan berlawanan dengan prinsip peranan, tanggungjawab serta penunaian hak di antara suami isteri. Saya menasihatkan supaya puan memberi bantuan moral di samping sokongan lain sebagai orang terdekat supaya adik mampu berusaha menyelesaikan masalah dengan baik.
Jika puan berpendapat adik ipar puan boleh dibawa berbincang, saya sarankan puan mengambil peranan itu. Kemungkinan ada perubahan yang boleh berlaku, Nasihat adik ipar dengan baik, ingatkan dia dosa yang dilakukan dan kedudukan adik puan sebagai isterinya yang sah.
Puan boleh mengingatkannya bahawa perkahwinan adalah hubungan kasih sayang atau mawaddah dan rahmah. Jika tujuan perkahwinan sudah tidak dapat dicapai dan mungkin menimbulkan mudarat kepada pihak sama ada isteri atau suami, maka pada ketika itu, kemungkinan perceraian adalah jalan terakhir yang wajar disarankan.
Oleh kerana adik puan dan suami selalu bergaduh, pukul memukul apabila isu hubungan luar ditimbulkan, bahkan membawa kepada maki hamun dengan perkataan tidak baik, sudah tentu sebarang usaha untuk menasihati suami jika dilakukan oleh adik puan secara sendiri akan berakhir dengan pergaduhan juga.
Jika puan sebagai kakak tidak mampu menasihati suami, puan boleh mencadangkan kepada adik tadi supaya berusaha meminta bantuan daripada pihak ketiga seperti kenalan rapat suami, keluarga suami, pakar kaunseling di tempatnya bekerja atau sesiapa saja yang suami hormati.
Ibu bapa puan sewajarnya mengetahui masalah ini kerana mungkin mereka boleh menolong mengatasinya dengan lebih baik. Bagaimanapun, adik puan perlu berhati-hati memilih perantara supaya ia tidak akan diperbesar dan menimbulkan kekecohan.
Perantara itu mestilah orang yang boleh dipercayai dan tidak menghebohkan perkara itu kepada orang lain. Perantara juga perlu tahu peranan yang hendak dimainkan dan boleh memberikan nasihat kepada suami secara berkesan.
Carilah perantara yang sesuai bagi membantu menyelamatkan rumah tangga. Apa yang penting, adik puan sendiri tidak boleh duduk menangisi apa yang berlaku tanpa sebarang usaha untuk membaikinya kerana Allah tidak akan mengubah nasib kita jika kita tidak berusaha membaikinya.
Jika segala daya usaha sudah dijalankan, tetapi keadaan masih tidak berubah atau menjadi lebih negatif dan membawa mudarat lebih besar, maka kami cadangkan supaya adik puan memikirkan kebajikan dirinya dan anak jika terus bertahan dalam rumah tangga sebegini.
Adik puan wajar mendapatkan nasihat undang-undang daripada mana-mana orang yang ahli seperti peguam syarie. Apabila beliau selalu dipukul, ditampar dan dihina dengan panggilan tidak munasabah seperti dinyatakan, maka ia adalah alasan yang diterima syarak untuk perkahwinan itu dipisahkan.
Puan boleh merujuk kepada Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 di mana alasan itu diterima sebagai dasar untuk memohon fasakh. Jika adik puan masih ingin bertahan dalam rumah tangga itu, maka mungkin ada beberapa cadangan lain yang boleh difikirkan olehnya.
Contohnya jika suami layak dan berkemampuan serta boleh berlaku adil, mungkin adik puan mungkin boleh menyarankan suaminya berkahwin lain dengan syarat tertentu seperti diperuntukkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam.
Selepas berusaha, berserah kepada Allah. Ajaklah adik puan untuk selalu mendekatkan diri dengan Allah dan berdoalah kepada-Nya bagi membuka hati suami dan menanam benih kesedaran dalam jiwanya untuk berubah. Allah tidak akan menguji hamba-Nya melainkan apa yang mampu dihadapi olehnya saja.
Kami menasihati adik puan dan wanita lain supaya mengambil tahu dan mempunyai ilmu mengenai hak masing-masing di sisi undang-undang syariah supaya kebajikan dan keselamatan terpelihara.
Jika keadaan menjadi lebih berbahaya dan adik puan berasa khuatir keselamatannya akan terancam, beliau boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapat perintah tegahan bagi menghalang suami daripada mengganggu, memukul atau mencederakannya.
Kami juga menasihati beliau supaya membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan serta laporan perubatan apabila keadaan memerlukan. Ia mungkin berguna sebagai bahan bukti untuk dikemukakan kepada mahkamah pada kemudian hari.
Kesimpulannya, jika matlamat perkahwinan itu tidak dapat dicapai selepas segala usaha dilakukan dan keselamatan terancam, mungkin jalan terbaik ialah berpisah. Namun, berusahalah sedaya upaya terlebih dulu untuk mencari jalan terbaik menjernihkan suasana dan kembali kepada syariat. Semoga masalah beliau dapat diatasi dengan baik.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Semua persoalan boleh dikirim ke excopgsm@yahoo.com dan boleh layari http://peguamsyarie.blogspot.com
Thursday, February 28, 2008
Hak Muslim: Isteri kedua hadapi masalah daftar kelahiran
Soalan:
SAYA berkahwin dengan suami di Narathiwat, Thailand, sebagai isteri kedua. Saya diwalikan abang sendiri. Masalahnya, kini kami tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak kerana tidak mempunyai sijil nikah. Kami diarahkan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan Perintah Pengesahan Nikah di Mahkamah Syariah, tetapi kami dapati prosesnya rumit dan lama. Bagaimanakah status perkahwinan? Apakah yang perlu kami lakukan untuk mendapatkan sijil kelahiran anak dengan kadar segera? Tidak cukupkah sijil nikah asal daripada Majlis Agama Islam Narathiwat dan surat akuan bersumpah kami untuk mempercepatkan proses pendaftaran sijil nikah itu?
Inginkan hak,
Kuala Lumpur
PERSOALAN puan menjurus kepada prosedur pengesahan pernikahan di luar negara dan mendaftarkan kelahiran anak hasil pernikahan itu. Apa yang puan lakukan sebenarnya membawa risiko dan akibat yang puan sendiri perlu tanggung sekarang.
Apabila puan nekad bernikah di luar negara tanpa kebenaran mahkamah, puan juga perlu bersedia dan nekad melalui proses pengesahan nikah di mahkamah syariah untuk mendapatkan sijil nikah di Malaysia bagi membolehkan anak puan didaftarkan kelahirannya di Malaysia.
Seksyen 12(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) menyebut sesuatu perkahwinan bersalahan dengan akta itu tidak boleh didaftarkan.
Subseksyen (2) Seksyen 12 menyatakan, tanpa menjejaskan Seksyen 40(2) mengenai penalti kesalahan, sesuatu perkahwinan itu jika sah mengikut hukum syarak boleh didaftarkan mengikut akta itu dengan perintah daripada mahkamah.
Ia bermaksud, walaupun sesuatu perkahwinan itu dilakukan tidak mengikut prosedur ditetapkan akta, tetapi ia sah mengikut hukum syarak, maka ia masih boleh didaftarkan mengikut akta ini dengan mendapatkan perintah mahkamah terlebih dulu.
Isu di sini ialah kedudukan perkahwinan puan mengikut hukum syarak. Seksyen 11 Akta 303 memperuntukkan, sesuatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, berdasarkan hukum syarak, untuk menjadikannya sah. Isu permasalahan puan adalah sama ada perkahwinan mempunyai semua syarat sah iaitu rukun perkahwinan berdasarkan hukum syarak.
Merujuk kepada rukun nikah mengikut Mazhab Syafie dalam I'a'natul Tolibin, ada lima rukun nikah iaitu adanya bakal isteri, bakal suami, wali, dua orang saksi lelaki dan sighah akad (lafaz ijab dan kabul). Dalam kes puan, rukun pertama dan kedua sudah dipenuhi.
Rukun ketiga iaitu perkahwinan dijalankan wali jika bakal isteri adalah anak dara berdasarkan hadis Rasulullah SAW diriwayatkan Aisyah bermaksud: "Tidak ada perkahwinan kecuali berwali."
Jumhur ulama bersepakat mengatakan perkahwinan tanpa wali adalah tidak sah dan batal. Ia juga berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Siapa saja perempuan kahwin tanpa izin walinya, maka perkahwinannya batal, maka perkahwinannya batal. Kemudian, jika (suaminya) mencampurinya, maka bagi perempuan itu berhak memperoleh mahar sebab apa yang ia anggap halal daripada mencampurinya; kemudian jika mereka (wali-walinya) berselisih, maka penguasa (hakim) yang menjadi walinya." (Hadis riwayat Imam yang lima kecuali Nasai)
Seksyen 13 Akta 303 pula memperuntukkan perkahwinan tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan melainkan kedua-dua pihak bersetuju terhadapnya sama ada (a) wali pihak perempuan sudah bersetuju terhadap perkahwinan itu berdasar hukum syarak.
Dalam isu puan ini tidak dinyatakan sama ada bapa kandung atau datuk sebelah bapa puan iaitu wali mujbir masih hidup atau tidak ketika pernikahan itu dan apakah persetujuannya sudah diperoleh. Susunan wali perlu dituruti dalam sesuatu pernikahan. Puan juga tiada menimbulkan alasan berkahwin di Thailand di mana isu ini perlu dijelaskan di mahkamah.
Rukun keempat iaitu dua orang saksi bersandarkan hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Dan daripada Imran bin Hushain dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Tidak sah nikah melainkan dengan wali dan dua orang saksi yang adil." (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)
Rukun kelima iaitu ijab dan kabul. Merujuk kitab Al-Fiqh Al-Islamiy wa Adillatuh, lafaz mestilah membawa makna nikah contohnya, "Saya nikahkan kamu." Perkataan nikah secara jelas membawa makna nikah dan kahwin tanpa sebarang keraguan.
Sesuatu lafaz juga mesti dalam bahasa boleh difahami orang yang berada dalam majlis terutama bakal suami, bakal isteri, wali dan dua orang saksi. Justeru, dalam isu ini semua keterangan perlu dinyatakan di hadapan hakim syarie.
Kitab Muwafaqat menjelaskan, pentaklifan syariah terhadap setiap Muslim bertujuan menjaga maqasid (tujuan) tertentu digariskan Islam. Antara maqasid terpenting ialah menjaga nasab dan keturunan.
Islam begitu mementingkan nasab dan keturunan kerana ia membabitkan hak antara satu sama lain. Justeru, maqasid syariah juga sudah menggariskan bahawa menjaga keturunan atau nasab adalah elemen mesti dan lebih diutamakan dalam isu ini supaya tidak berlaku perlanggaran hak.
Kitab Muwafaqat Fi Usulul Ahkam oleh Abi Ishak Ibrahim bin Musa menyatakan bahawa menjaga keturunan atau nasab adalah tersenarai dalam tujuan terpenting.
Status anak hasil pernikahan ini dan yang sedang membesar perlu diambil kira apabila ada kesamaran pada status pernikahan ibu bapanya. Oleh sebab itulah pentingnya pernikahan disahkan terlebih dulu bagi memastikan sememangnya anak adalah hasil pernikahan yang tulen, suci dan hakiki selari dengan tujuan syariah bagi menjaga nasab.
Jika pernikahan ini tidak sah, maka anak yang ada akan keliru dari segi nasab atau bapa mereka. Oleh itu, merujuk kepada usaha puan membawa surat akuan sumpah, sekadar surat akuan bersumpah dan sijil nikah dari luar negara bukanlah suatu proses yang tepat mengesahkan pernikahan dan nasab anak seseorang Islam.
Setiap keterangan berkaitan rukun pernikahan hendaklah didengar dan diputuskan Hakim Syarie yang berbidang kuasa. Alasan proses mahkamah yang rumit dan lama boleh diperbaiki dengan menyarankan supaya kes membabitkan pengesahan nikah dipercepatkan perbicaraannya demi menentukan nasab anak.
Namun, puan sendiri perlu mengemukakan segala dokumen dan saksi teratur serta memenuhi rukun pernikahan demi mengesahkan nasab anak untuk didaftarkan sijil kelahirannya.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang persoalan boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com
Monday, January 21, 2008
Pilih pasangan hidup berakhlak mulia, beriman
ISLAM mengajar umatnya berhati-hati memilih pasangan hidup kerana hidup berumahtangga tidak hanya untuk satu atau dua tahun tetapi diniatkan sepanjang hayat.
Usaha memilih calon isteri atau suami tidak boleh dianggap mudah. Ia memerlukan waktu kerana kriteria memilih harus sesuai dengan syariat Islam. Orang yang hendak bernikah perlu memilih teman hidupnya dengan cermat.
Apabila seorang Muslim memilih pasangannya bererti dia menjadikan pasangan itu sebahagian daripada hidupnya.
Wanita yang akan menjadi isteri dalam rumah tangga akan menjadi ibu atau pendidik anaknya.
Lelaki yang menjadi suami atau pemimpin rumah tangga akan bertanggungjawab dalam hidup anak dan isteri.
Janganlah sampai menyesal terhadap pilihan pasangan selepas berumah tangga. Dalam memilih calon isteri, Islam memberikan beberapa petunjuk dan kriteria.
Satu daripada kriteria itu ialah calon isteri hendaklah memiliki dasar pendidikan agama dan berakhlak.
Sabda Rasulullah bermaksud, “Dari Abu Hurairah dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Perempuan itu dinilai kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, lalu pilihlah perempuan yang beragama nescaya kamu bahagia (Muttafaqun Alaihi).
Dalam hadis itu, dilihat bagaimana baginda menekankan pada sisi agamanya dalam memilih isteri dibanding dengan harta, keturunan, bahkan kecantikan sekalipun.
Allah berfirman bermaksud, “Jangan kamu nikahi wanita musyrik sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita budak mukmin lebih baik daripada wanita musyrik walaupun ia menarik hatimu. (Surah al-Baqarah: ayat 221).
Sehubungan itu, dengan kriteria memilih calon isteri berdasarkan akhlaknya, Allah berfirman bermaksud, “Wanita keji adalah untuk lelaki keji dan lelaki untuk wanita keji dan wanita baik adalah untuk lelaki baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita baik. (surah An-Nur: Ayat 26).
Seorang wanita yang memiliki ilmu agama tentu akan berusaha dengan ilmu itu supaya menjadi wanita salihah dan taat pada Allah. Wanita salihah akan dipelihara Allah, seperti firmannya bermaksud:
“Maka wanita yang salihah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara dirinya. Oleh kerana itu Allah memelihara mereka.” (Surah An-nissa, ayat 34).
Sesungguhnya wanita solihah bagi lelaki adalah sebaik-baik perhiasan dunia. Kriteria memilih isteri yang harus diberi perhatian ialah mempunyai sifat penyayang dan dapat melahirkan banyak anak.
Dalam memilih wanita yang banyak melahirkan anak, ada beberapa perkara yang perlu diketahui iaitu:
Kesihatan fizikal dan penyakit yang menghalang kehamilan. Untuk mengetahuinya, kita mesti meminta bantuan pakar. Oleh itu, seorang wanita yang mempunyai kesihatan yang baik dan fizikal kuat biasanya mampu melahirkan banyak anak.
Di samping itu, dia dapat memikul beban rumah tangga serta menunaikan kewajipan mendidik anak serta menjalankan tugas sebagai isteri dengan baik.
Melihat keadaan ibu dan saudara perempuan yang sudah bernikah. Sekiranya mereka termasuk wanita yang banyak melahirkan anak, maka biasanya wanita itu akan seperti itu juga.
Hendaklah memilih calon isteri yang masih gadis, terutama bagi lelaki bujang. Ini dimaksudkan untuk mencapai hikmah sempurna dan manfaat yang agung.
Di antara manfaat itu adalah memelihara keluarga, bukan menyusahkan kehidupan, menjurus ke dalam pelbagai masalah serta permusuhan.
Pada masa sama, ia akan mengeratkan tali cinta kasih antara suami isteri dan sekali gus memberi sepenuhnya kehalusan serta kelembutan kepada lelaki yang pertama kali melindungi, menemui dan mengenalinya.
Lain halnya dengan janda. Kadangkala daripada suami kedua, dia tidak mendapatkan kelembutan hati yang sebenarnya kerana ada perbezaan besar antara akhlak suami pertama dan suami kedua.
Mengutamakan orang jauh (dari keakraban) dalam perkahwinan. Ini dimaksudkan untuk keselamatan fizikal anak keturunan daripada penyakit yang menular atau cacat secara turun temurun.
Biasanya anak tidak tumbuh besar dan dalam keadaan lemah atau mewarisi cacat kedua orang tuanya dan penyakit nenek moyangnya.
Di samping itu, cara itu juga dapat memperluaskan pertalian kekeluargaan dan mempereratkan ikatan sosial.
Diharap kriteria dinyatakan itu dapat menjadikan panduan dan pedoman bagi lelaki khususnya, teruna yang ingin mencari pasangan hidup dan menamatkan bujang.
Kita juga mengharapkan rumah tangga yang dibina itu akan mendapat berkat, bahagia dan kekal abadi hingga ke akhir hayat.