Showing posts with label Perlembagaan. Show all posts
Showing posts with label Perlembagaan. Show all posts

Monday, January 25, 2010

Isu kalimah Allah boleh selesai jika faham Perlembagaan Negara

Zainul Rijal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my


TINDAKAN tidak bermoral membakar surau yang dilakukan oleh golongan tidak bertanggungjawab boleh menimbulkan konflik di kalangan masyarakat majmuk. - Gambar hiasan


Penekanan perlu diberikan agar tiada pihak mempersendakan Islam

SELEPAS lebih tiga minggu berlalu isu mengenai penggunaan kalimah Allah dalam sebuah penerbitan berbahasa Melayu Gereja Katolik masih lagi belum reda. Beberapa insiden buruk seperti membakar gereja, kuil dan surau yang dilakukan oleh segolongan orang yang tidak bertamadun mencacatkan permulaan tahun baru 2010 ini.

Namun, ironinya apabila gereja dibakar ia menggamit liputan media yang besar. Malah kerajaan, ahli politik dari kalangan kerajaan dan pembangkang juga berpusu-pusu melawat gereja itu. Kerajaan juga menghulur sejumlah wang yang besar bagi membaiki kerosakan.

Badan bukan kerajaan (NGO) Islam juga mengambil tanggungjawab menyediakan sukarelawan bagi mengawasi dan melindungi gereja. Bukanlah hasrat saya mempertikaikan keikhlasan semua pihak dalam tindakan mereka itu.

Bagi saya sendiri perbuatan membakar rumah ibadat adalah suatu perbuatan terkutuk yang tidak pernah diajar oleh agama Islam. Ia adalah perbuatan yang menjadi liabiliti kepada Islam.

Walaupun begitu apabila surau menjadi mangsanya tidak kelihatan pula begitu ramai pemimpin yang melawat surau berkenaan, berapa pula sumbangan yang diperuntukkan oleh pihak tertentu bagi membaiki surau itu dan di mana pula NGO bukan Islam? Tidakkah mahu mereka menawar diri menjamin keselamatan surau dan masjid?

Inilah antara persoalan yang sering bermain di fikiran kita. Nampaknya terdapat perbezaan antara dua golongan ini.

Lebih teruk lagi ada juga pihak tertentu mempertahankan penggunaan kalimah Allah ini oleh orang bukan Islam. Pihak ini pula bukanlah daripada golongan Kristian tetapi sebaliknya, orang Islam sendiri yang memperjuangkannya. Walaupun dalam sedar mereka mengetahui orang Kristian di Denmark tidak bersetuju penggunaan kalimah Allah ini merujuk Tuhan orang Kristian, seorang paderi di Australia juga menentang penggunaannya, beberapa golongan Kristian di Sabah dan Sarawak juga berpandangan kalimah itu tidak wajar digunakan oleh orang Kristian. Nampaknya orang Islam ini sendiri yang lebih sudu dari kuah.

Natijahnya jadilah orang Islam ini sebagai hamlak yang hanya ditertawakan oleh bangsa lain. Malah bangsa Melayu Islam sendiri menghamput golongan ini kerana hanya memikirkan kepentingan diri saja walaupun secara terang-terangan bertentangan dengan titah Sultan Selangor.

Golongan ini sebenarnya mendahului Raja-Raja Melayu khususnya Sultan Selangor dalam hal ini. Tetapi mereka cuba mengalih perhatian rakyat dengan menyeret Majlis Agama dan Jabatan Agama ke dalam kemelut ini kerana kedua-dua agensi ini berpegang teguh atas pendirian kalimah Allah hanyalah bagi orang Islam saja. Tindakan Majlis Agama ini adalah berdasarkan perundangan negeri yang memberi kuasa kepada Majlis Agama untuk menjalankan tugas sebagai wakil Sultan dalam hal mengimpak kepentingan dan perpaduan Islam dan Melayu Islam.

Begitu juga tatkala seorang ahli jemaah menteri menyatakan kalimah Allah itu hanya tidak boleh digunakan di Semenanjung Malaysia saja tetapi bebas digunakan di Sabah dan Sarawak. Amat pahit kenyataan ini hendak ditelan orang Islam sama ada di Semenanjung ataupun di Sabah dan Sarawak. Seolah-olah di negeri itu tiada mempunyai ketua agama.

Raja dan rakyat tidak dapat dipisahkan bagi mempertahankan agama Islam. Raja-Raja Melayu bukanlah bersifat 'ceremonial' saja. Di dalam sebuah kertas kerja bertajuk Para Sultan Melayu Nusantara - Pewaris Khulafa Rasul Allah sebagai Sayyidin Penata Agama dan Madinah ada menyatakan:

"Sultan dengan zikir dan fikir seharusnya mampu berfiil amal soleh yang kaffah, mengubah buana ini yang cenderung jahiliyah-yastribiyah menjadi adabiyah diniyah; peradaban yang agamis tertib dan indah, berpedoman imani dan ilmu dua warisan al-Quran dan as Sunnah sehingga layak sebagai pewaris Rasulillah fil ardi.

"Oleh kerana rakyat Melayu asal beriman menurut titah Rajanya, maka tiadalah sempurna Melayu itu melainkan dengan pemagar-pemagarnya iaitulah Sultan dan segala orang besar baginda. Mereka ini laksana payung Allah dan tempat Allah menurunkan rahmat dan hidayatnya. Maka demikianlah yang menjadikan bangsa Melayu itu kuat umpama seikat rotan payah dan liat untuk dipatahkan. Adat dan syarak pengikatnya, Sultan dan orang-orang berbangsa pengetatnya. "Biar mati anak jangan mati adat kerana terlerailah Melayu sebagai bangsa jika tiada dijaga adat dan syarak.

Pantang anak Melayu derhaka pada Rajanya kerana apabila rotan sebilah tiada mahu mengikut, walau bagaimanapun putus juga ia kerana rahmat Allah sudah tiada bersama."

Jelaslah peranan Raja dan rakyat amat besar di dalam mempertahankan agama Islam. Sudah pasti golongan yang berpendirian memberi kebenaran bagi orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah ini tidak mengambil kira pandangan sejarah ini. Malah segala tindakan leluhur kita akan menjadi sia-sia dengan pendirian terhasil daripada tanggapan tersasar dari landasan sebenar itu.

Kedudukan Sultan di negeri di dalam Persekutuan dan Yang DiPertuan Agong adalah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing dan mereka menjalankan tugas suci sebagai pelindung Agama Islam dan menjaga kepentingan masyarakat Islam melalui Majlis Agama Islam Negeri Negeri seperti yang diperuntukkan oleh perundangan. Malah kesetiaan kepada Raja adalah salah satu Rukun Negara.

Berteraskan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, kedudukan Islam adalah sebagai Agama Persekutuan di mana hal ehwal berkaitan Islam dan hak orang Melayu adalah termaktub dan terpelihara oleh Perlembagaan Persekutuan.

Penekanan perlu diberikan terhadap perkara ini agar tiada pihak yang akan mempersendakan kedudukan Islam, hak-hak orang Melayu serta mendokong kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

Permasalahan ini sebenarnya bukanlah dicetuskan oleh umat Islam sendiri. Pihak Gereja Katolik itulah yang mengusik sensitiviti umat Islam dan kedudukan agama Islam ini sehingga menimbulkan kegelisahan keresahan dan kegusaran di kalangan orang Islam.

Oleh itu, mereka seharusnya mengambil langkah betul bagi memperbaiki keadaan runcing ini. Kemelut ini boleh diselesaikan jika setiap rakyat mengakui hakikat kedudukan istimewa agama Islam di dalam Perlembagaan.

Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my

Monday, January 4, 2010

Penghakiman hakis keistimewaan Islam

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my

Keputusan mahkamah benar gereja guna kalimah cetus kegusaran, kekeliruan masyarakat

KEPUTUSAN Hakim Datuk Lau Bee Lan pada 31 Disember lalu yang membenarkan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald-The Catholic Weekly adalah suatu tamparan hebat kepada usaha memartabatkan agama Islam sebagai 'agama rasmi.' Masyarakat Islam arus perdana melihat penghakiman ini sebagai suatu perkara yang akan menimbulkan kekeliruan dan kegusaran di kalangan umat Islam.

Penghakiman ini juga dilihat menghakis keistimewaan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Saya sendiri mendapat banyak panggilan telefon, e-mel dan surat bertanyakan kesan penghakiman itu terhadap kedudukan agama Islam di Malaysia khususnya. Dalam beberapa hari saja penghakiman berkenaan dikeluarkan, keluhan dan ketidakpuasan hati umat Islam ini dizahirkan di dalam media arus perdana dan media alternatif.

Sebenarnya pendirian umat Islam bukanlah hendak memadam kalimah Allah di dalam kitab suci agama lain tetapi hanyalah berkisar di sebalik undang-undang yang berkuatkuasa di dalam negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini jelas kerana agama Sikh umpamanya yang menggunakan kalimah Allah di dalam bahasa asal kitab suci mereka tidak pernah dihalang daripada membaca atau mengamalkan ajaran di dalam kitab asal mereka.

Malah pendirian diambil oleh umat Islam bukanlah 'peperangan antara kitab suci' tetapi lebih kepada memberi makna dan tafsiran jelas kepada peruntukan yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan yang disanjung oleh segenap warga negara Malaysia. Permasalahan yang timbul ialah penerbitan majalah Herald-The Catholic Weekly ini boleh digapai oleh orang ramai termasuk orang Islam. Ia sudah tentu diedarkan dan tiada jaminan ia tidak akan sampai kepada orang Islam.

Walaupun usaha beberapa majlis Islam negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Terengganu, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Kedah serta Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), gagal mencelah di dalam kes ini, usaha itu haruslah diberi penghargaan tinggi kerana khususnya majlis agama sudah menjalankan tanggungjawab statutori mereka di dalam mempertahankan agama Islam dan MACMA adalah NGO tunggal berbuat demikian.

Namun persoalan lain pula, di manakah Majlis-Majlis Agama Islam negeri lain? Adakah mereka juga bersekongkol dan bersetuju kalimah Allah ini boleh digunakan oleh pihak gereja di dalam penerbitan mereka? Majlis agama mempunyai tanggungjawab statutori menasihati Sultan di dalam hal ehwal agama malah menjaga agama juga diletakkan di bawah tanggungjawab majlis agama. Hanya Islam satu-satunya agama yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tiada agama lain disebut secara khusus di dalam Perlembagaan Persekutuan melainkan hanya disebut sebagai boleh diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni dalam negara. Ini adalah jaminan perlembagaan bahawa pengamalan agama lain oleh orang bukan Islam dibenarkan tertakluk kepada Perkara 11(4), iaitu berkaitan sekatan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Umat Islam adalah penduduk majoriti di Malaysia. Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan agama Islam ialah agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Malaysia. Makna 'boleh diamalkan dengan aman dan damai' ialah agama lain selain agama Islam boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan selagi ia tidak menghakis kedamaian dan keamanan agama rasmi Persekutuan, iaitu Islam. Inilah kedudukan istimewa Islam.

Kedudukan istimewa Islam ini bolehlah difahami kerana wujud peruntukan lain yang memberi kelebihan kepada Islam sebagai agama rasmi Persekutuan seperti termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, antaranya:

a) Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa negeri-negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka kepada orang Islam. Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang yang menganuti agama Islam;

b) Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan Persekutuan diberi kuasa untuk mengurus dan menghulur bantuan kepada institusi Islam seperti masjid, sekolah agama dan juga bagi tujuan pembangunan syiar Islam;

c) Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan kerajaan negeri berkuasa membuat undang-undang bagi mentadbir urusan agama Islam;

d) Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan juga memberi pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan, membatalkan atau tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.

Penghakiman Lau itu memberi kesan ketara terhadap orang Islam. Ini bermakna orang bukan Islam bebas menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan mereka selagi ia diedarkan di kalangan orang bukan Islam. Persoalan yang timbul pula apakah jaminan ia tidak akan diedarkan kepada orang Islam?

Penerbitan itu bukan hanya diedarkan di gereja. Kenapakah pihak gereja begitu terdesak mahu menggunakan kalimah Allah ini? Tidakkah dengan menggunakan kalimah Allah ini akan menggugat kedamaian dan keamanan agama bagi Persekutuan? Malah kewujudan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) juga tidak mempunyai signifikan secara realitinya.

Enakmen yang wujud di beberapa negeri sejak berpuluh-puluh tahun masih tidak dilaksanakan. Malah ada negeri yang meluluskan enakmen ini masih tidak mewartakan dan memberi tarikh pelaksanaannya. Empat negeri pula, iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak belum menggubal undang-undang sama walaupun Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri ketika menjadi Perdana Menteri, berjanji dan mengarahkan negeri terbabit menggubal undang-undang berkenaan.

Sememangnya kepentingan agama Islam sering kali dipinggirkan ketika membuat sebarang tindakan oleh pelbagai pihak. Kenapa kita terlalu mengabaikan perkara ini? Dalam keadaan yang agak tegang ini, saya meminta kerajaan segera memfailkan rayuan terhadap keputusan hakim itu, serta memohon menggantung perintah dikeluarkan.

Saya juga menyeru kerajaan melaksanakan segera Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam dan bagi negeri yang belum menggubal undang-undang terbabit, hendaklah segera berbuat demikian.

Majlis Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama negeri juga perlu membuat ketetapan tegas berkaitan dengan perkara ini selaras dengan sumpah jawatan baginda mempertahankan Islam pada setiap masa. Malah Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan juga boleh merujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi pentafsiran Perkara 3 itu.

Perkara 13 berkenaan menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal mengenai kesan mana-mana peruntukan perlembagaan ini yang sudah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya mengenai apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

Oleh yang demikian, jika Yang di-Pertuan Agong merujuk kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan isu ini, mungkin akan meredakan ketegangan dihadapi umat Islam sekarang. Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang gereja menggunakan kalimah Allah kerana KDN sebagai sebuah badan kerajaan perlu mempertahankan ikrar Yang di-Pertuan Agong ketika menaiki takhta, iaitu mempertahankan Islam pada setiap masa.

Oleh itu segala tindakan dibuat kerajaan perlu sejajar dengan ikrar mempertahankan Islam. Secara mudahnya, setiap urusan kerajaan adalah disifatkan sebagai Urusan Seri Paduka Baginda (seperti tertera di dalam sampul surat jabatan kerajaan). Oleh yang demikian adalah tidak masuk akal, urusan itu mencabul ikrar yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

KDN perlu segera merayu keputusan kes ini kerana ia membabitkan kedudukan agama Islam di Malaysia apatah lagi keputusan mahkamah tertinggi dalam negara perlu bagi menyelesaikan kedudukan ini secara muktamad.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my

Wednesday, March 11, 2009

Peguam Syarie Menulis: Mahkamah Syariah selari kehendak Perlembagaan

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Persetujuan ibu atau bapa bagi tukar agama anak bawah 18 tahun jelas ikut undang-undang

JABATAN Agama dan Mahkamah Syariah difitnah lagi. Ketua Biro Pendidikan Politik MCA, Gan Ping Sieu menempelak keputusan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan yang dikatakan membenarkan seorang bayi berusia 15 bulan, memeluk Islam.

Tindakan memeluk Islam itu dibuat secara berseorangan oleh ibu kandung bayi berkenaan Siti Zubaidah Chew Abdullah tanpa persetujuan bapa. Mahkamah Syariah Seremban juga sudah memberi hak penjagaan sementara kepada Siti Zubaidah bagi menjaga anaknya itu.

Maka pelbagai tohmahan dilontarkan kepada Jabatan Agama dan Mahkamah Syariah akibat ketidakpuasan hati mereka. Antaranya, seperti dilaporkan dalam akhbar berbahasa Inggeris tempatan dan laman web malaysiakini.com iaitu:

# Keputusan berkenaan adalah suatu penghinaan kepada mana-mana sistem keadilan;

# Mahkamah Syariah mengambil kesempatan atas masalah yang melanda pasangan dan keluarga itu, dan

# Hak penjagaan anak mesti diputuskan oleh Mahkamah Sivil kerana anak itu lahir daripada perkahwinan sivil dan Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.

Malah, MCA menyifatkan keputusan menukar agama kanak-kanak bukan Islam berusia 15 bulan sebagai 'keghairahan agama berlebihan' dan 'salah guna sewenang-wenangnya' tafsiran Perlembagaan Persekutuan.

Gan juga menyatakan kekecewaan dengan tindakan mengambil kesempatan melalui proses perundangan syariah sehingga menjejaskan pasangannya dan anggota keluarga suami.

Tuduhan sebegini amat keterlaluan yang muncul daripada kejahilan mereka sendiri berkaitan Perlembagaan Persekutuan daripada sudut penafsiran, kerangka dan sejarahnya. Malah, ia juga meminggirkan keputusan Mahkamah Sivil sendiri.

Kenyataan Gan menyinggung perasaan orang Islam. Gan juga gagal memahami dwi sistem perundangan yang diamalkan di negara kita.

Perkara 12 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: "Tiada seorangpun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri."

Perkara 12 (4) pula menegaskan: "Bagi maksud Fasal (3), agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya."

Jelas peruntukan yang disebut itu membenarkan salah seorang ibu atau bapa menukar agama anaknya. Perlembagaan Persekutuan yang juga undang-undang tertinggi memperuntukkan sedemikian.

Jika kita menjunjung Perlembagaan itu sudah tentu kita mengakui hakikat keputusan Mahkamah Syariah adalah selari dengan kehendak Perlembagaan.

Sebenarnya ada beberapa kes Mahkamah Sivil iaitu Chang Ah Mee dan Gengga Devi Chelliah yang memutuskan bahawa persetujuan kedua ibu bapa diperlukan untuk menukar agama anak di bawah 18 tahun.

Namun, Mahkamah Tinggi Johor Bahru dalam kes Nenduchelian memutuskan hanya kebenaran salah seorang ibu bapa saja diperlukan. Dalam hal demikian ada perbezaan keputusan antara mahkamah berkenaan.

Namun, perbezaan keputusan sudah diselesaikan oleh keputusan mahkamah tertinggi negara iaitu Mahkamah Persekutuan. Ini kerana, baru-baru ini Mahkamah Persekutuan memutuskan dalam kes Subahsini dan Saravanan bahawa salah seorang ibu bapa boleh menukar agama anak kecilnya itu.

Oleh demikian, kedudukan undang-undang ini sudah pun diselesaikan dan mahkamah bawahan tidak mempunyai pilihan lain selain mengikuti keputusan itu.

Jika Gan tidak menerima keputusan Mahkamah Syariah kenapa pula keputusan Mahkamah Sivil ini tidak diperlekehkan? Adakah Gan mempunyai agenda tertentu dalam komentarnya itu?

Tidak timbul soal mengambil kesempatan dalam sebarang situasi. Sebenarnya Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan tidak bertanding antara keduanya.

Masing-masing mempunyai bidang kuasa tertentu dan tidak melangkaui batasan yang digariskan itu. Hakikat ini amat dipertahankan oleh kedua-dua mahkamah namun pihak ketiga pula yang gagal mengamati hikmahnya, lantaran desakan emosi serta minda yang tertutup.

Lebih menghairankan, Gan langsung tidak menyentuh ketidakadilan yang berlaku kepada mualaf dalam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Apa yang ingin digambarkan oleh Gan ialah akta itu adalah akta terbaik yang tiada cacat celanya dan adil kepada semua pihak.

Penulis mengambil contoh seksyen 51 akta berkenaan hanya memberi kuasa kepada pihak yang tidak memeluk Islam saja memohon membubarkan perkahwinan mereka. Bagi mualaf yang memeluk Islam, hak mereka langsung tidak diberikan untuk membubarkan perkahwinan itu.

Mereka langsung tidak mempunyai pilihan di Mahkamah Sivil, sebaliknya terpaksa menunggu pasangan yang tidak memeluk Islam memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di Mahkamah Sivil barulah boleh memohon sesuatu di mahkamah sedangkan keIslaman mereka sudah diiktiraf dan dijamin Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 11 menganut dan mengamalkan agamanya.

Oleh itu, mereka tidak mempunyai pilihan selain menoleh ke Mahkamah Syariah untuk memutuskan kedudukan mereka di sisi hukum syarak. Tatkala berbuat demikian, mereka diterjah pelbagai tohmahan mengatakan mereka melakukan penindasan dan sebagainya.

Sebenarnya, mualaf inilah yang ditindas oleh Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 itu. Mengapa Gan langsung tidak menyentuh hal demikian dan tidak menyarankan supaya seksyen 51 itu dipinda? Ini persoalan besar yang harus dijawab oleh Gan.

Memanglah diakui mencari jalan penyelesaian yang memuaskan hati semua orang adalah amat sukar. Oleh itu, kita mesti berbalik kepada asas dan kerangka perlembagaan itu sendiri. Malah, keputusan Mahkamah Sivil juga memihak kepada Mahkamah Syariah. Ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan dan terimalah hakikat itu.

Mahkamah Syariah memutuskan pertikaian berdasarkan kepada nas agama. Amat keterlaluan jika dikatakan Mahkamah Syariah terlalu ghairah dalam agama. Agama adalah tunjang Mahkamah Syariah dan tiada istilah ghairah dalam perjalanan prosiding Mahkamah Syariah.

Segala-galanya sudah ditunjukkan oleh agama. Oleh demikian, orang bukan Islam perlu lebih sensitif dan memahami perasaan orang Islam. Orang Islam tidak memaksa orang bukan Islam memeluk Islam tetapi apabila seseorang itu sudah Islam adalah menjadi tanggungjawab orang Islam membantu saudara seagamanya tanpa mengira sama ada mereka dilahirkan Islam atau baru memeluk agama Islam.

Hakikatnya ialah Gan dan MCA yang sebenarnya terlalu ghairah memperlekehkan institusi Islam tanpa membuat penyelidikan mengenai kedudukan undang-undang dan perlembagaan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Saturday, March 7, 2009

Perlembagaan Persekutuan lindungi umat Islam

Oleh Amran Zakaria

Kebebasan beragama boleh disekat melalui undang-undang bagi menjaga ketenteraman awam

ARTIKEL 3 dalam Perlembagaan mencatatkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Kedua, dilindungi orang Islam dalam konteks Artikel 11 (4). Walaupun kebebasan beragama dibenarkan tetapi dari segi umat Islam, mereka tidak boleh diganggu.

Perkara 11 adalah peruntukan utama hak kebebasan beragama, semacam membayangkan ruang litup hak berkenaan meliputi aspek menganut, mengamal dan mengembangkan agama berkenaan.

Bagaimanapun, hak mengembangkan agama tertakluk kepada peruntukan bahawa pengembangan agama lain tertakluk kepada sekatan undang-undang. Sekatan ini termasuk larangan mengembangkan doktrin atau agama selain Islam kepada orang Islam.

Undang-undang menyekat penyebaran agama lain di kalangan orang Islam masih belum ada di Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang. Undang-undang ini ialah untuk melindungi orang Islam daripada dipengaruhi kepercayaan lain.

Dalam agama Islam, hak kebebasan agama bermaksud Islam tidak memaksa orang bukan Islam menerima Islam. Namun di negara kita kebebasan beragama boleh disekat melalui undang-undang.

Perlembagaan dengan jelas menyatakan kebebasan itu tertakluk kepada undang-undang yang diluluskan bagi mengawal atau menyekat pengembangan agama lain daripada Islam di kalangan umat Islam.

Selain itu perlembagaan juga menyebut kebebasan agama tidak boleh digunakan untuk menyalahi undang-undang awam mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak.

Justeru, menghairankan mengapakah akhbar Herald The Catholic yang diterbitkan dalam empat bahasa dan pengedaran hanya 12,000 naskhah, beriya-iya memaksa kerajaan memberi kebenaran menggunakan perkataan Allah untuk seksyen bahasa Melayu, sedangkan di negara Barat mereka amat membenci nama Allah.

Tentu mereka ada perancangan terselindung. Mereka cuba menjadikan isu memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai strategi untuk memohon kerajaan membenarkan penggunaan nama Allah untuk menggantikan 'God' yang biasa diguna pakai mereka.

Penyakit itu bukanlah baru jika kita mengenal strategi mereka. Sebab itulah Allah memberitahu dalam firman: "Sebahagian dari orang Yahudi mengubah kalimah-kalimah Allah daripada tempatnya." (Surah an-Nisaa, ayat 46).

Jika perkataan Allah dibenarkan dalam terbitan agama lain di sini, ia dikhuatiri akan mengelirukan umat Islam, terutama generasi akan datang yang tidak dapat membezakan penggunaan nama Allah untuk kedua-dua agama itu.

Sesungguhnya Allah seperti dipercayai umat Islam jauh bezanya dengan apa yang cuba diperkenalkan untuk menggantikan 'God' yang sudah lama mereka gunakan. Memang ada hujah penggunaan Allah oleh penganut Kristian sekali gus menunjukkan mereka menidakkan konsep Triniti dalam agama itu.

Ini kerana makna Allah merujuk kepada 'Tuhan Maha Esa'. Bagaimanapun dalam soal ini Allah sudah memberi peringatan: "Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Sesungguhnya Allah ialah Al Masih putera Maryam, padahal Al Masih (sendiri) berkata: Hai Bani Israel, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu.

Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang zalim itu seorang penolong pun. Sesungguhnya kafirlah orang yang mengatakan: Bahawasanya Allah salah seorang dari yang tiga, padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa seksaan pedih. (Surah al-Maidah, ayat 72-73)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Katakanlah: Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus." ( Surah al-Maidah, ayat 77)

Memang benar Islam menekankan aspek kesabaran. Sabar bermakna tidak bertindak balas atas apa yang diperlakukan oleh orang lain kepada masyarakat Islam. Sabar bermaksud tabah menghadapi sesuatu keadaan yang tidak disenangi dan berserah kepada Allah.

Wajarkah kita bersabar apabila melihat agama dicabar. Firman Allah yang bermaksud: "Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang menceroboh." (Surah al-Baqarah, ayat 190)

Sudah cukup serangan daripada pelbagai sudut terhadap umat dan kesucian Islam di negara ini selama ini. Kita tidak mahu wujud lagi provokasi yang boleh menjejas dan mempersendakan agama suci ini.

Kita tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan atas suara kita yang tidak berada dalam satu wadah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah." (Surah al-Anfal, ayat 39)

Perjuangan mempertahankan kalimah Allah adalah sumbangan penting kepada agama.

Daripada Abdullah bin Amru bin Al-As menceritakan: "Seseorang telah bertanya Rasulullah SAW: Apakah sifat orang Islam yang paling baik? Rasulullah SAW bersabda: Seseorang yang menyelamatkan orang Islam dengan lidah dan tangannya." (Hadis riwayat Muslim)

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)

Wednesday, March 4, 2009

Peguam Syarie Menulis: Perlembagaan memartabat Islam

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
www.peguamsyarie.org

Syor wujud unit khas dengan pegawai kuat kuasa enakmen

PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kesal kerana sehingga kini empat negeri yang sudah diarahkan menggubal undang-undang bagi mengawal serta menyekat pengembangan iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam masih belum berbuat demikian.

Isu itu sudah berlarutan lebih dua tahun sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan negeri berkenaan iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan segera berbuat demikian.

Namun, seolah-olah tidak ada tindakan termasuk di Wilayah Persekutuan kecuali beberapa kenyataan daripada pemimpin negeri berkenaan yang menyatakan persetujuan.

Tiada penjelasan diberikan mengapa banyak masa diambil untuk menggubal undang-undang itu sehinggalah baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika menjawab soalan di Parlimen menegaskan bahawa kerajaan sudah bersedia menggubal Akta Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam.

Kenyataan tegas itu mendapat sokongan badan bukan kerajaan (NGO) Islam arus perdana dan diharapkan menteri berkenaan mengotakan janjinya itu.

Pada Ogos 2006, Perdana Menteri mengarahkan empat kerajaan negeri mengambil tindakan sesuai untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam.

Pada masa ini, semua negeri beraja seperti Perlis, Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu, selain Melaka sudah melaksanakan kuasa itu melalui enakmen negeri masing-masing. Kelantan adalah negeri paling awal berbuat demikian pada 1981 dan paling akhir ialah Johor pada 1991.

Berdasarkan laporan akhbar, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang itu dikatakan amat mengecewakan kerana hampir tiada rekod menunjukkan undang-undang berkenaan pernah dilaksanakan.

Antara kesalahan yang disebut pada undang-undang ini ialah memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut seorang Islam untuk menjadi seorang pengikut atau anggota suatu agama bukan Islam.

Turut dianggap sebagai kesalahan ialah mendedahkan seorang yang beragama Islam bawah umur 18 tahun kepada pengaruh suatu agama bukan Islam dan menghantar atau menyerahkan terbitan mengenai apa-apa agama bukan Islam kepada seorang beragama Islam.

Selain itu, apa yang lebih penting pada enakmen itu ialah untuk menjadikannya lebih berkesan daripada sudut penguatkuasaan. Kekurangan itu dapat dilihat bagaimana setakat ini bukan saja masyarakat umum kurang mengetahuinya, malah di kalangan penguat kuasa sendiri tidak begitu arif mengenainya.

Ia kerana penguat kuasa enakmen bukan penguat kuasa agama tetapi polis kerana ia membabitkan pengawalan terhadap mereka yang bukan beragama Islam. Sehubungan itu, penulis mencadangkan supaya pihak berkuasa menubuhkan unit khas dengan menempatkan pegawai dan anggota yang khusus bagi menguatkuasa enakmen itu.

Melihat perkembangan kebelakangan ini, apabila banyak isu menyentuh sensitiviti umat Islam berlaku, tentunya penguatkuasaan undang-undang itu menjadi semakin mustahak. Namun, perlu ditegaskan bukan tujuan kita untuk meminta ada sesiapa yang ditangkap mengikut enakmen ini. Cuma kita mahu enakmen ini mampu menimbulkan kegerunan yang secara langsung menjadi satu bentuk pencegahan.

Harus diingat enakmen ini mempunyai asas rapat dengan Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 11 (4) yang membenarkan undang-undang digubal bagi mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam.

Pada perkembangan sama, penulis menyarankan negeri lain supaya mencontohi Kelantan yang sudah meningkatkan hukuman dalam enakmen berkenaan. Pindaan dibuat pada 1998 membolehkan Kelantan mengenakan hukuman denda tertinggi dan penjara paling lama berbanding negeri lain.

Melihat senario politik masa kini, Rang Undang-Undang itu mungkin melalui jalan mudah jika dibentangkan di Parlimen kerana ia akan dibentangkan kerajaan sendiri, manakala wakil rakyat Pas diharapkan tidak akan menentang Rang Undang-Undang berkenaan.

Wakil rakyat PKR pula yang sebahagiannya juga adalah orang Islam termasuk Zulkifli Noordin yang bertanyakan secara khusus berkaitan akta ini sudah tentu tidak akan menyanggahnya. Cuma tinggal wakil rakyat DAP yang mungkin tidak dapat menerima hakikat itu.

Apapun, di kebanyakan negeri, adalah menjadi kesalahan menyebarkan agama bukan Islam di kalangan orang Islam termasuk mengguna kalimah tertentu seperti Allah, Baitullah, Kaabah, solat dan lain-lain lagi.

Negara baru-baru ini digemparkan dengan perintah dikeluarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang membenarkan penggunaan kalimah itu dengan syarat tertentu. Namun selepas didesak, menteri berkenaan meneliti semula dan mendapati terdapat kesilapan dalam pewartaan perintah itu.

Umat Islam arus perdana menarik nafas lega dengan keputusan menteri berkenaan dan mengingatkan supaya lebih berhati-hati apabila membuat keputusan mengenai Islam.

Penulis mendesak supaya tindakan segera diambil kepada sesiapa saja yang melanggar undang-undang kawalan pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam. Tidak perlu ditunggu sehingga keputusan kes kalimah Allah diputuskan oleh mahkamah kerana sudah wujud kesalahan berkaitan perkara itu.

Menteri Dalam Negeri sepatutnya mengambil langkah proaktif membaiki kesilapannya dengan mengarahkan pelaksanaan undang-undang kawalan penyebaran agama bukan Islam itu dimantapkan dan dilaksanakan dengan berkesan.

Selesai isu pewartaan Menteri Dalam Negeri, timbul pula laporan yang memetik Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menyarankan supaya orang bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Jika benar seperti apa yang dilaporkan, kenyataan itu sebenarnya terkeliru antara nas al-Quran dan realiti perundangan negara. Ia juga nampaknya tidak mengambil kira faktor maslahah dan tujuan kenapa orang bukan Islam begitu beriya-iya ingin menggunakan kalimah itu.

Malah, mereka tidak akan berhenti menggunakan kalimah Allah saja, mereka sudah pun meminta menggunakan perkataan lain seperti Baitullah, Kaabah dan solat. Kenyataan itu juga tidak bersandarkan kepada sejarah bahawa Kelantan antara negeri yang awal menggubal Enakmen Kawalan Agama melarang penggunaan perkataan Allah di kalangan orang bukan Islam.

Apatah lagi pada 2007, Dewan Undangan Negeri Kelantan di bawah pimpinan Menteri Besar sendiri meluluskan Rang Undang-Undang meningkatkan hukuman dalam enakmen sama. Bagaimana pula sekarang Menteri Besar menyokong orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah?

Kedudukan Islam mestilah dipelihara. Islam bukan hanya simbol negara malah adalah agama bagi negara. Sudah tentu sebagai agama bagi negara, Islam menikmati kedudukan istimewa berbanding agama lain tetapi pada masa sama tidak memaksa orang bukan Islam menganut Islam.

Tiada sekatan bagi penganut agama lain menganut dan mengamalkan agamanya dengan aman dan harmoni. Namun, penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam tidak boleh dilakukan kerana kerangka Perlembagaan Persekutuan memperincikan perkara sedemikian. Inilah hakikat yang perlu diterima setiap rakyat yang menjunjung Perlembagaan.

Malah, sumpah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan timbalan baginda juga adalah mempertahan dan memelihara Islam pada setiap masa. Adalah tidak masuk akal Ketua Negara berikrar mempertahan dan memelihara Islam pada setiap masa sedangkan kerajaan baginda tidak patuh kepada ikrar itu.

Sudah sampai masanya kita melihat semula kerangka Perlembagaan Persekutuan daripada lensa berbeza supaya Islam itu dapat dimartabatkan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari www.peguamsyarie.org