Showing posts with label Rendah Diri. Show all posts
Showing posts with label Rendah Diri. Show all posts

Monday, March 9, 2009

Tinggi darjat bukan penghalang rendah diri, hidup sederhana

Oleh Dr Aminudin Mansor

SESUNGGUHNYA Nabi Muhammad SAW ialah rasul terakhir yang mempunyai akhlak unggul dan keperibadian tinggi. Baginda SAW dilahirkan di tengah masyarakat jahiliah yang rosak akhlak, namun Baginda tidak sedikit pun terpengaruh dengan kehidupan di sekelilingnya.

Contoh dan teladan ini harus menjadi ikutan umatnya dalam menjalani kehidupan penuh pancaroba. Umat Islam dianjurkan mencontohi akhlak Baginda seperti firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Rasulullah SAW itu adalah contoh ikutan yang terbaik bagi kamu." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Antara misi utama diutuskan Rasulullah SAW ialah membaiki akhlak manusia seperti sabdanya bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik." (Hadis riwayat Ahmad)

Saidatina Aisyah menggambarkan akhlak Rasulullah seperti akhlak al-Quran yang hidup dan bergerak kerana pergerakan seharian Baginda selari kandungan al-Quran. Baginda tidak bercakap melainkan perkara benar dan tidak mengajarkan sesuatu kepada sahabatnya melainkan Baginda orang pertama mengamalkannya.

Firman Allah bermaksud: "Tiadalah katanya itu mengikut hawa nafsu tetapi berdasarkan apa yang diwahyukan kepadanya." (Surah an-Najm: 3-4)

Rasulullah SAW seorang yang lemah lembut dan sentiasa menjaga hubungan dengan sahabat. Baginda sentiasa menunjukkan wajah ceria dan tersenyum walaupun ketika kesusahan, selain sentiasa mendahului sahabatnya dalam memberi salam. Rasulullah SAW juga penghulu manusia dan kelahirannya umpama rahmat. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Akulah penghulu manusia pada hari kiamat." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Diceritakan dalam suatu riwayat, Saidina Ali Malik, sahabat yang rapat dengan Baginda dan pernah menjadi khadamnya. Beliau menceritakan, Nabi SAW tidak pernah menyuruhnya membuat pekerjaan sebagai khadamnya, bahkan Baginda melakukan sendiri apabila di rumah seperti menyusun sepatu. Rasulullah SAW juga tidak pernah meninggikan suara dan memarahi keluarga khadamnya.

Baginda SAW menyayangi fakir miskin serta sangat pemurah bersedekah kepada mereka. Baginda mendidik keluarganya hidup sederhana dalam semua perkara.

Walaupun tinggi darjatnya, Baginda tawaduk dan merendah diri termasuk dengan anak kecil. Ini adalah contoh yang patut diikuti umatnya.

Dalam hal keimanan, Baginda menjelaskan tanda kemanisan iman dalam hadis daripada Anas bin Malik, sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasa kemanisan iman; siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih daripada cintanya kepada yang lain; siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana suatu tujuan duniawi); dan ia membenci kembali kekufuran selepas Allah menyelamatkannya seperti bencinya akan dicampakkan ke dalam api neraka." (Hadis riwayat Muslim)

Sebagai Muslim, kita harus berusaha mengikut teladan Rasulullah SAW dalam semua perkara. Kita digalak menjauhi sifat mazmumah seperti hasad dengki, dendam, bakhil dan fitnah.

Sifat sabar akan mendekatkan jiwa dan hati kepada Allah SWT, amanah, jujur dalam menyampaikan atau mengerjakan pekerjaan, tawakal, tawaduk (rendah diri) yang menjadikan kita hidup dalam kesejahteraan dan disayangi semua makhluk.

Tuesday, February 19, 2008

Sifat rendah diri benteng tamakkan dunia

Oleh Zahari Hasib

TAMAKKAN dunia ialah kecenderungan untuk memburu dan mengejar kehidupan duniawi termasuk mengumpul benda, mengejar kedudukan pangkat dan darjat, menyintai kemewahan hidup dan melupakan tanggungjawab terhadap Allah.

Islam tidak menegah atau menghalang umatnya mencari kekayaan dan kebahagiaan hidup di dunia, sebaliknya apa yang ditekankan ialah memburu kebahagiaan hidup di dunia janganlah sampai lupa tanggungjawab mempersiapkan diri dengan amalan serta bekal kehidupan di akhirat.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan carilah kurniaan Allah untuk kebahagiaan di akhirat di samping itu jangan pula engkau lupa kepada kebahagiaan di dunia." (Surah Al-Qasas, ayat 77)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bekerjalah kamu untuk kepentingan di dunia ini seolah-olah kamu akan hidup buat selama-lamanya, tetapi beramallah untuk kepentinganmu di akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari." (Hadis riwayat Al-Asyakin)

Jelas Islam adalah agama yang radikal serta tidak pasif, ia menyarankan perspektif luas supaya wujud keseimbangan antara kepentingan dunia dan akhirat antaranya menerusi kewajipan berzakat – yang kaya membantu golongan memerlukan.

Malah, selain ganjaran pahala amalan zakat menjadikan umat Islam bersifat rendah hati dan mereka yang rendah hati tergolong dalam golongan sangat dikasihi Allah.

Sejarah Islam sudah menunjukkan bukti jelas bahawa orang yang tamakkan dunia akan menerima pembalasan daripada Allah, bukan saja di dunia, tetapi di akhirat seperti berlaku terhadap Qarun seorang hartawan yang hidup pada zaman Nabi Daud.

Disebabkan sifat tamak dan haloba atas rezeki yang Allah kurniakan, Qarun bersama hartanya ditelan bumi. Begitu juga Firaun yang bongkak hingga mengaku dirinya tuhan akhirnya mati dihanyutkan arus lautan yang bergelora.

Marilah kita menyedari hakikat bahawa segala kekayaan dimiliki seseorang adalah suatu ujian daripada Allah untuk melihat sejauh mana kesyukuran serta ketakwaan kita dalam menerima anugerah itu.

Bagi yang tebal rasa keimanannya tentu saja mereka akan menerima segala kekayaan dan harta benda itu sebagai pemberian perlu disyukuri, manakala mereka yang tamak dan haloba sering berasa tidak pernah cukup lalu akhirnya kekayaan menjadikan ia bertambah sombong, bongkak, kikir dan kedekut serta berpaling menjauhkan diri daripada Allah.

Oleh itu, sifat rendah hati amat ditekankan Islam kerana sifat rendah hati boleh menjadi benteng mencegah daripada rasa tamak haloba terhadap dunia.

Firman Allah yang bermaksud: "Bahawa kebanyakan manusia itu sentiasa bersifat tamak serta tidak pernah bersyukur, jika kami berikan satu lembah emas nescaya dia akan meminta lagi, kemudian bila kami berikan dua lembah emas sekalipun, namun dia tidak juga berasa cukup lalu memintanya lagi."

Sementara dalam kumpulan riwayat (Al-Futahal Makkiyah) Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia itu kebanyakannya berada di dalam kecukupan tetapi mereka masih mencari akan apa yang membawanya kepada kedurhakaan, sesungguhnya manusia itu juga tidak pernah berasa cukup dengan sedikit, tetapi tidak pula mereka berasa puas dengan yang banyak."

Pada zaman Rasulullah SAW ada seorang sahabat bernama Abu Saalabah yang hidup dalam keadaan miskin, tetapi terkenal sebagai seorang cukup taat mengerjakan sembahyang berjemaah bersama nabi serta sahabat.

Nabi Muhammad SAW hairan kerana Abu Saalabah tidak pernah mahu ikut bersama jemaah lain untuk mengaminkan doa dibacakan Baginda setiap kali selepas selesai menunaikan solat.

Pada suatu hari ketika Abu Saalabah hendak bangun meninggalkan jemaah yang sedang mengaminkan doa, tiba-tiba Rasulullah SAW memanggilnya seraya bertanya: "Wahai Saalabah, mengapa aku lihat engkau tidak pernah mahu menunggu bersama orang lain untuk mengaminkan doaku."

Maka Saalabah pun menjawab: "Wahai Rasulullah, sebenarnya hamba ini seorang yang sangat miskin, kebetulan hanya inilah saja sehelai kain (sambil dia memegang kain yang dipakainya) yang hamba miliki, oleh itu hamba tidak sempat untuk menunggu lama bagi mengaminkan doa tuan, sebab kain ini jugalah yang hendak dipakai oleh isteri hamba yang kini sedang menunggu untuk bersembahyang di rumah."

Mendengarkan jawapan itu, Rasulullah SAW tercengang lalu baginda bertanya kepada Abu Saalabah: "Jika demikian miskinnya kamu, maka mahukah engkau aku doakan supaya menjadi kaya?" Lalu Abu Saalabah menjawab: "Demi engkau sebagai nabi dan kekasih Allah, doakanlah supaya aku menjadi kaya."

Selang tidak berapa lama, dengan berkat doa Nabi Muhammad SAW maka kehidupan Saalabah beransur-ansur senang akhirnya dia menjadi kaya raya selaku seorang saudagar dan tuan punya biri-biri dan unta yang banyak.

Selepas kekayaannya Abu Saalabah tidak lagi kelihatan datang ke masjid untuk menunaikan sembahyang berjemaah bersama nabi serta golongan sahabat lain. Ketika beberapa sahabat menanyakan Nabi Muhammad SAW mengenai ketiadaan Saalabah sembahyang berjemaah, lalu Baginda menjawab: "Kesibukan menguruskan harta benda dan kecintaan Saalabah kepada dunia ini menyebabkan dia terlupa untuk mencari jalan ke masjid."

Kisah Saalabah menunjukkan bahawa kemewahan hidup serta sifat tamakkan dunia bisa menggugat ketakwaan serta keimanan seseorang.

Dalam sebuah hadis sahih, seseorang yang bertanya kepada Nabi Muhammad SAW mengenai perbandingan antara kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat, maka jawab baginda: "Ketahuilah kamu bahawa jika dibandingkan kenikmatan yang ada di dunia ini dengan kenikmatan di dalam syurga, maka dunia sebenarnya adalah tak lebih seperti seketul bangkai yang ditarik atau direbut oleh beberapa ekor anjing."

Sementara dalam sebuah hadis lain, bertanya pula seseorang kepada Rasulullah SAW mengenai perbandingan antara dunia dengan akhirat, maka jawab baginda: "Celupkan jarimu ke air laut, maka air yang menitis dari hujung jarimu itulah dunia, manakala air yang selebihnya tertinggal di lautan itulah akhirat."