Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Monday, November 9, 2009

Abdul Latip hasil novel berlandaskan sejarah Islam

Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar
muhdyusuf@bharian.com.my


ABDUL Latip hasilkan karya untuk berdakwah kepada pelbagai lapisan masyarakat.


Papar ketokohan pejuang silam dalam 16 karya untuk berdakwah kepada orang ramai

KESANGGUPANNYA untuk bersara awal bagi memberi tumpuan kepada penulisan fiksyen akhirnya membawa hasil, apabila berjaya mengangkat bahan sejarah Islam ke bentuk novel sejarah.

Novelis, Abdul Latip Talib kini mengukir nama sebagai penulis novel sejarah Islam berjaya selepas menghasilkan 16 novel Islam berasaskan kisah sejarah pahlawan Islam, sahabat Nabi SAW dan Khulafah Arrasiddin dalam tempoh empat tahun.

Kalau sebelum ini, Abdul Latip yang pernah memenangi beberapa anugerah sastera hanya menghasilkan novel kanak-kanak dan novel sejarah Melayu, namun mulai 2005, bekas Penyelia Kanan Felcra itu mengorak langkah menghasilkan novel sejarah Islam selepas menemui penerbit PTS Litera Utama, Ainon Mohd yang mencadangkannya supaya menghasilkan novel sejarah berasaskan sejarah Islam.

Bertitik tolak saranan itu, beliau berusaha mengangkat kisah penakluk Sepanyol, Tariq bin Ziyad ke bentuk novel sejarah Islam yang kemudian ternyata sambutannya menakjubkan.

"Selepas itu saya menghasilkan novel Salahuddin Ayubi, Khalid Walid, Ikramah Abu Jahal dan Abu Ubaidah yang menyaksikan beberapa kali cetakan semula berikutan sambutan hangat daripada pembaca. Sebagai contoh, novel pejuang Islam terkemuka, Khalid Walid sehingga kini memasuki cetakan kelima sejak diterbitkan 2005," katanya ketika ditemui di Berita Harian, baru-baru ini.

Bagi menghasilkan novel yang menarik, Abdul Latip berkata, dia menjadikan menulis novel ini sebagai kerjaya sepenuh masa, sama seperti pekerja awam dan swasta.

"Saya berkerja selama lapan jam sehari untuk menghasilkan novel. Saya membaca, menghayati dan membuat penyelidikan terperinci sebelum menghasilkan novel sejarah. Ini penting bagi memastikan kandungannya berdasarkan fakta yang benar dan jelas dengan olahan berbentuk fiksyen.

"Hasilnya, ia memberi kepuasan kepada saya sebagai penulis dan pembaca yang menikmati cerita berkenaan apabila diolah kepada bentuk novel. Cukup menyeronokkan apabila pembaca memberi maklum balas memberangsangkan mengenai novel yang dihasilkan," katanya.

Anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan dan kini menetap di Jelebu, Latip turut menghasilkan novel Khalifah Arrashiddin, iaitu Abu Bakar Assidiq, Umar Alkhatab, Usman Affan dan Ali Abi Talib.

"Saya dalam proses untuk menghasilkan novel mengenai kehidupan empat imam besar Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu Shafie, Hanafi, Hambali dan Maliki yang terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan ketika menuntut ilmu dan menyebarkannya sehingga menjadi ikutan sebahagian besar masyarakat Islam di dunia," katanya yang turut menghasilkan novel Bilal Rabah, Sultan Muhammad Al Fateh dan Hulagu Khan.

Ternyata usaha Abdul Latip dalam mengembangkan dakwah melalui penulisan berhasil, kalau dulu, kita hanya mendengar kisah sejarah disampaikan penceramah atau ustaz, namun kini melalui novel Islam yang digarap dengan berkesan dan menyentuh hati, minat masyarakat khususnya generasi muda terhadap Islam akan meningkat.

Friday, March 13, 2009

Muzium Benaki jadi rujukan Islam di Athens


MUZIUM Benaki di Athens menjadi pusat rujukan Islam di Greece dan Eropah.


Pameran diadakan tarik perhatian pelancong Eropah kenali, dekati budaya Muslim

ISLAM tersebar luas di Eropah terutama di kawasan Sicily dan selatan Sepanyol ketika pemerintahan Kerajaan Uthmaniyah atau juga dikenali sebagai Empayar Ottoman. Kerajaan yang berpusat di Cordova itu diasaskan oleh Khalifah Abdul Rahman I pada tahun 756 M.

Penaklukan Constantinople oleh Mehmed Fatih I pada 1453 pula menandakan penyebaran Islam di kawasan Eropah Timur yang juga di kenali sebagai kawasan Balkan. Greece yang bersempadan dengan negara Balkan juga tidak terkecuali daripada berada di bawah Empayar Ottoman.

Pertelingkahan dan peperangan di kalangan kerajaan kecil serta keadaan politik yang tidak stabil memudahkan perluasan Islam di benua itu.

Kelemahan kerajaan Byzantine juga memberi laluan kepada penyebaran Islam. Institusi gereja khususnya Gereja Greek Ortodoks, pada masa itu, tidak lagi menjadi pelindung kepada masyarakat dan tidak mampu lagi mendapatkan perlindungan dari kerajaan Byzantine.

Pada masa sama, institusi gereja juga hampir hancur disebabkan wujudnya penyalahgunaan kuasa, pergaduhan pemimpinnya, serta kekurangan kewangan untuk beroperasi sepenuhnya. Dalam keadaan beginilah ramai penganut Kristian tertarik kepada keistimewaan yang ada dalam agama Islam.

Dasar diplomasi dan toleransi menarik minat masyarakat Kristian memeluk Islam. Penghijrahan orang Turki dan usaha pendakwah juga memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di Eropah pada zaman Uthmaniyah.

Namun, selepas melalui penjajahan demi penjajahan dan peperangan demi peperangan, kejatuhan Empayar Ottoman bukan sekadar berakhirnya pemerintahan Islam di Eropah, malah mengikis terus Islam daripada minda masyarakat Greek.

Ketika lebih 400 tahun pemerintahan Empayar Ottoman di Greece, pemerintah Turki membina beratus-ratus masjid dalam wilayah jajahannya, yang akhirnya dimusnahkan apabila negara itu bebas daripada Empayar Ottoman pada 1829.

Athens, yang suatu ketika dulu memiliki ratusan masjid, hari ini adalah ibu negara di Kesatuan Eropah yang terakhir tidak memiliki masjid.

Walaupun Greece membentuk sebahagian sempadan Kesatuan Eropah yang bersempadan dengan orang Islam Turki, masih ramai masyarakatnya yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai Islam.

Mereka dikatakan seolah-olah mengalami `Islamfobia' dan mempunyai tanggapan serong terhadap Islam. Sembilan puluh peratus rakyat negara itu adalah Kristian Ortodoks dan hanya 10 peratus adalah lain-lain agama termasuk Islam.

Mereka ini adalah orang luar yang berhijrah ke negara itu sebagai sumber tenaga kerja. Namun, atas usaha dan keprihatinan seorang ahli perniagaan yang sangat kaya daripada keturunan Greek Antonis Benaki, muncul usaha ke arah mendidik masyarakat Greek mengenali Islam melalui pembukaan Muzium Benaki yang terletak di pusat bandar Athens.

Pelbagai pameran diadakan di sini yang menarik perhatian ramai pelancong khususnya warga Eropah untuk mengenali dan mendekati Islam. Antaranya pameran diadakan tahun lalu yang menampilkan pelbagai wajah dan kehidupan umat Islam sedunia.

Contohnya, gambar seorang wanita bertudung berjalan melalui papan tanda restoran makanan segera Barat di bandar Kuwait, kanak-kanak lelaki asyik bermain permainan video di sebuah pusat video di Dubai dan seorang gadis Syria memegang bola salji di sebuah resort pergunungan berhampiran Damsyik.

Semua imej ini yang dipamerkan di ruang Kesenian Islam Muzium Benaki ini menunjukkan kemajuan di dunia Arab, sekali gus mengikis tanggapan Barat mengenai masyarakat dunia Arab yang dianggap terkongkong.

Pameran di Athens itu adalah sebagai bermulanya cubaan untuk mendidik masyarakat Greek mengenai rantau yang secara geografi terletak berhampiran dan ada kaitan secara ekonomi dengan dunia Arab tetapi masih wujud salah faham mengenai budaya masyarakat Islam.

Terletak di villa lima tingkat di Queen Sofias Avenue di Athens, Muzium Benaki diasaskan pada 1930 oleh Antonis sebagai memperingati bapanya, Emmanuel Benaki.

Perniagaan keluarga Benaki sangat maju pada kurun ke-19 di Mesir tetapi berpindah semula ke Greece pada 1920-an untuk melarikan diri daripada pergolakan yang berlaku secara tiba-tiba antara orang Yahudi dan Arab.

Pada 1931, Benaki menyumbangkan rumah keluarga di Athens dan koleksi yang mereka simpan lebih daripada 37,000 bahan kesenian Islam dan objek Byzantine. Lebih 9,000 artifak ditambah pada 1970-an, yang disumbangkan pelbagai pihak lain. Benaki terus aktif bersama muzium itu sehingga beliau meninggal dunia pada 1954.

Selepas usaha pemulihan bangunan yang musnah akibat gempa bumi dijalankan dan diubahsuai membabitkan kos RM20 juta, muzium itu dibuka semula pada 2000. Disebabkan sebahagian muzium itu memfokuskan kepada kebudayaan Greek, koleksi Islam dipindahkan ke rumah baru pada 2004 ketika Athens menjadi tuan rumah Sukan Olimpik.

Dirasmikan pada 27 Julai 2004, muzium itu menampilkan lebih daripada 8,000 bahan berkaitan dengan pembangunan seni Islam selama lebih 12 abad termasuk seramik, hasil kerja tangan besi, emas, senjata, ukiran kayu, ukiran kaca dan tekstil.

Koleksi itu dikumpul dari seluruh dunia antaranya India, Iran, Mesopotamia, Asia Barat, Mesir, Turki, Afrika Utara, Sicily, Sepanyol dan sedikit dari Asia meliputi kesenian Islam dari kurun ke-7 hingga kurun ke-19, dan memiliki banyak koleksi kesenian Empayar Ottoman pada kurun ke-16.

Kemuncak pameran itu adalah dua ukiran kayu daripada kurun ke-8 Kerajaan Mesopotamia, gangsa kecil untuk pengiraan falak kepunyaan ahli astronomi terkenal Ahmad ibn al-Sarraj.

Kini muzium itu sering menjadi lokasi lawatan pelajar, sekali gus membolehkan generasi muda Greece mengenali Islam. Sejak dimasukkan ke dalam peta pelancongan, muzium itu menerima ramai pelawat asing yang teruja apabila bertembung dengan koleksi canggih dunia Islam dalam negara yang mengamalkan Kristian Ortodoks.

Pada November tahun lalu, Muzium Benaki bekerjasama dengan Muzium Britain dan pemilik koleksi persendirian mengadakan pameran Kesenian Islam di Qatar.

Semasa kunjungan ke Greece, penulis hairan kerana tidak dibawa melawat ke Muzium Benaki walaupun beberapa kali bas pelancong kami melalui kawasan itu. Bagaimanapun, sebaik melihat kewujudan muzium itu dalam peta pelancongan ditulis `Islamic Museum', penulis berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Pastinya ia memerlukan inisiatif sendiri untuk berkunjung ke situ kerana tidak dimasukkan dalam jadual lawatan.

Ketika bertanya kepada pemandu pelancong, Thanasis Prounarous mengenai Islam di Greece, beliau menjelaskan sebagai negara demokrasi, kerajaan tidak menghalang rakyatnya menganut sebarang agama. Katanya, Islam semakin dikenali dan rakyat Greece menghormati amalan agama lain selain Kristian.

Katanya, kerajaan negara itu bercadang membina sebuah masjid besar tidak lama lagi tetapi apabila ditanya bila akan dibina, beliau hanya menjawab; "Tidak lama lagi".

Sebaik kembali ke tanah air, penulis menceritakan mengenai perkara itu kepada seorang rakan yang pernah membuat liputan Sukan Olimpik Athens pada 2004. Menurut rakan ini, ketika itu beliau juga pernah bertanyakan perkara yang sama. Akhirnya kami membuat kesimpulan, sudah masuk lima tahun, belum ada satu masjid pun didirikan lagi.

Mereka yang berminat untuk melancong ke Greece boleh mendapatkan maklumat lanjut pada Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta Fair) 2009 yang berlangsung mulai 13 hingga 15 Mac di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Saturday, September 27, 2008

Mukjizat bantu Nabi Ilyasa', Zulkifli kembalikan akidah umat

Oleh Hasliza Hassan

PROGRAM Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah meneruskan kembara dengan menyingkap kisah dua lagi nabi iaitu Nabi Ilyasa’ dan Zulkifli. Kehidupan Nabi Ilyasa’ amat ringkas. Baginda suka memakai pakaian biasa, bertongkat dan memiliki pembantu bernama Jihza yang setiap masa bersama dan menguruskan keperluan Baginda.

Ketika Nabi Ilyasa’ mengembara untuk menziarah makam Nabi Ayub, iblis menyesatkan Baginda dan hasrat menziarahi makam itu tidak kesampaian.

Ketika memimpin kaumnya, Nabi Ilyasa’ diberi Allah pelbagai mukjizat. Selepas pulang dari Timur Jordan melihat Nabi Ilyias diangkat Allah ke langit, Baginda mendiami Jericho seketika. Penduduk mengadu sumber air mereka rosak, berbau dan tidak boleh diminum.

Nabi Ilyasa’ berdoa kepada Allah dan selepas itu mencampakkan beberapa ketul garam ke dalam mata air. Berkat mukjizat Baginda, mata air itu menjadi bersih dan kembali tawar sesuai untuk diminum.

Nabi Ilyasa’ meninggalkan Jericho menuju ke Baitul Ilah. Penduduk di sana menyembah berhala menyuruh anak mereka mengejek Nabi Ilyasa’ dengan memanggil Baginda, si Botak. Ketika itu keluar dua binatang buas dari hutan berhampiran lalu menerkam kanak-kanak itu hingga membawa maut.

Sejak itu, penduduk kampung menghormati Nabi Ilyasa’ dan tidak lagi mengejeknya. Nabi Ilyasa’ kembali menemui Allah selepas memimpin kaumnya ke arah keimanan dan ketakwaan.

Nabi Zulkifli dikatakan ialah Ilyias bin Yasin, cicit Nabi Harun sementara ada pula mengatakan Baginda ialah Yusa’ bin Nun, Nabi Halqiya dan pendapat lain, Nabi Zulkifli ialah Uwaidaya bin Adrim. Baginda diberi gelaran Zulkifli bermakna ‘yang sanggup memikul tugas.

Nabi Zulkifli diberi tugas mengembalikan seorang raja yang gagah perkasa ke pangkal jalan dan bertaubat kepada Allah. Jika raja itu sanggup bertaubat, Allah janjikan kepadanya syurga. Baginda membawa surat kepada raja itu dan selepas menerimanya, dia bertaubat serta beriman kepada Allah.

Nabi Zulkifli dikatakan hidup pada zaman seorang nabi bani Israel. Selepas nabi itu tua dan tidak lagi berupaya memimpin dia mencari penggantinya. Sesiapa yang sanggup memenuhi tiga syarat akan menggantikannya sebagai pemimpin.

Nabi Zulkifli sanggup melakukannya dan selepas nabi itu wafat, Allah melantiknya menjadi nabi. Ketika berdakwah mengembalikan akidah kaumnya, Nabi Zulkifli juga menghadapi pelbagai cabaran. Namun berkat kesabaran, Baginda berjaya memulihkan akidah kaumnya dan mereka kembali ke pangkal jalan.

Friday, September 26, 2008

Baitulmaqdis jadi rebutan penganut tiga agama samawi

Oleh Hasliza Hassan

Pemerintahan Nabi Sulaiman adalah zaman kegemilangan kerajaan Israel. Ketika itu mereka berpegang teguh kepada agama dan tidak menyekutukan Allah.

Namun, selepas itu mereka menjauhkan diri daripada agama, malah mensyirikkan Allah dengan menyembah berhala Ba'al.

Kerajaan bani Israel berkecai semula. Mereka menjadi lemah, tidak berupaya mempertahankan diri dan tewas dalam peperangan. Kaum mereka sering menjadi tawanan perang dan Baitulmaqdis ditawan musuh silih berganti.

Pada 70 Masihi, Raja Rom, Titus mengepung Baitulmaqdis sehingga bani Israel kebuluran dan dihalau keluar dari Palestin. Pada 135 Masihi, Maharaja Adrianus membina semula Baitulmaqdis tetapi dibakar Parsi pada 614 Masihi.

Baitulmaqdis kemudian diserah kepada Khalifah Umar al-Khattab dan orang Islam memanggilnya Al-Qadsi. Pada 1099 Masihi tentera Salib menawannya daripada umat Islam, tetapi Salahuddin al-Ayubi merampasnya kembali pada 1187. Baitulmaqdis kemudian jatuh ke tangan Kerajaan Turki Alkhawarizmi dan Turki Othmaniah.

Al-Qudsi atau nama asalnya Jerusalem adalah bandar suci penganut Yahudi, Kristian dan Islam.

Bagi penganut Yahudi, di situlah rumah ibadah yang dibina Nabi Sulaiman iaitu Haikal Sulaiman. Bagi penganut Kristian, di situ juga Kanisah Al Qiamah sementara bagi umat Islam, terletaknya Masjid al-Aqsa.

Nabi Sulaiman wafat pada 933 Sebelum Masihi selepas memerintah Israel 40 tahun. Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah yang meneruskan catatan mengenai Nabi Sulaiman dalam episod kali ini turut mengimbau sejarah Baitulmaqdis, iaitu bandar tua Baitulmaqdis yang menjadi ibu negara Palestin dulu.

Nama Jerusalem diberi suku kaum Amuri yang membina bandar itu berdasarkan nama tuhan mereka Syalim. Yurusyalim membawa erti bandar yang diasaskan oleh tuhan Syalim.

Baitulmaqdis menyimpan banyak sejarah selain Makam Nabi Daud, batu tergantung di Masjid Qabbah Assakhrah serta gua yang menjadi tempat Rasulullah SAW bersembahyang ketika Israk dan Mikraj.

Turut dipertontonkan ialah rumah ibadat yang dibina Nabi Sulaiman iaitu Haikal Sulaiman di atas Bukit Muria atau Bukit Muriah yang memakan masa tujuh tahun untuk disiapkan.

Thursday, September 25, 2008

Kuasa, kekayaan tak jejas ketakwaan, iman Nabi Sulaiman

NABI Sulaiman memohon daripada Allah supaya dikurniakan sebuah kerajaan yang besar dan luas. Allah memperkenankan permohonan Nabi Sulaiman itu yang tidak diberikan kepada kerajaan lain selepasnya.

Allah juga mempermudah angin yang bertiup mengikut arahan Baginda. Jika angin diperintah bertiup, nescaya bertiuplah ia dan apabila diperintah berhenti, angin pun berhenti. Baginda juga berupaya memerintah angin bertiup menjadi ribut kencang atau bayu lembut yang nyaman.

Baginda boleh mengarahkan angin bertiup membawa awan dan menurunkan hujan di kawasan kering dan gersang dalam wilayahnya. Bumi gersang itu pun bertukar subur menghijau membawa kemewahan kepada petani.

Pada waktu negara jiran mengalami kemarau panjang, negara Israel mewah dengan air hujan yang dibawa awan. Ribut taufan menjadi bala tentera Baginda ketika bertindak memecahbelahkan barisan pertahanan musuh.

Allah juga mempermudahkan jin berkhidmat kepada Nabi Sulaiman dan jin digunakan sebagai buruh lombong tembaga dan bijih besinya. Jin juga bekerja menyediakan perhiasan dan perabot untuk istana dan rumah ibadah Baginda.

Di samping itu, syaitan juga patuh kepada perintah dan arahan Nabi Sulaiman. Syaitan diperintah Baginda untuk menyelam di laut dalam, bagi mengeluarkan mutiara. Begitulah kekuasaan Nabi Sulaiman yang dikurniakan Allah kepadanya.

Nabi Sulaiman juga memahami bahasa serangga seperti semut. Ketika bala tentera Nabi Sulaiman terdiri daripada manusia, jin dan burung sampai di suatu lembah yang dikenali dengan 'Lembah Semut' seekor daripada semut itu mengarahkan semut lain supaya masuk ke sarang masing masing.

Mereka diminta berbuat demikian supaya tidak dipijak oleh bala tentera Nabi Sulaiman yang ramai. Nabi Sulaiman memahami bahasa percakapan semut lalu tersenyum dan ketawa. Lantas memuji Allah, Pencipta Alam yang memberi nikmat kepadanya dan kedua ibu bapanya.

Biarpun diberi Allah kekayaan dan kekuasaan namun Nabi Sulaiman tidak lupa daratan. Malah segala-galanya menjadikan iman dan takwa baginda kepada Allah, bertambah kuat.

Kisah Nabi Sulaiman dan mukjizat dikurniakan Allah kepada Baginda diceritakan dalam program Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah dalam episod 26 di TV9, jam 10.30 malam ini. Penonton juga didedahkan dengan kisah Nabi Sulaiman dengan Puteri Balqis seperti diceritakan oleh al-Quran.

Melalui perkhabaran diterima daripada burung belatuk, ada seorang raja perempuan memerintah negeri Saba' dan mereka menyembah matahari. Lalu Nabi Sulaiman mengutus surat untuk berdakwah kepada pemerintah wanita itu.

Surat Nabi Sulaiman dimaklumkan Puteri Balqis kepada pembesar negara dan walaupun bersedia untuk menghadapi peperangan tetapi Puteri Balqis tidak mahu kerana memikirkan kesannya nanti kepada negara Baginda.

Sebaliknya Puteri Balqis lebih suka mengadakan hubungan baik dengan Nabi Sulaiman lalu mencadangkan supaya dikirim utusan membawa hadiah dan barang barang berharga kepada Baginda.

Nabi Sulaiman menolak hadiah dikirimkan seterusnya memaklumkan bahawa Baginda tidak mengharapkan harta benda. Malah apa diberi Allah kepa-danya jauh lebih baik daripa-da apa yang dimiliki Puteri Balqis.

Menurut pendapat yang masyhur, Nabi Sulaiman memperisterikan Ratu Balqis dan mengasaskan masyarakat Yahudi di negaranya.

Tuesday, September 23, 2008

Burung belatuk dedah kehebatan Ratu Balkis kepada Nabi Sulaiman

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

TABUT iaitu kotak warisan Bani Israel yang mengandungi tinggalan anbia dipercayai tersimpan di Gereja St Mary di Aksum, Habsyah.

Tabut itu dibawa dari Jerusalem oleh anak Nabi Sulaiman dan Ratu Balkis, Menelik I.

Ketika Menelik berusia 22 tahun, dia meminta kebenaran daripada ibunya, Ratu Balkis untuk menziarahi bapanya, Raja Sulaiman di Israel.

Apabila tiba di Jerusalem, Raja Sulaiman menerima kedatangan Menelik I dengan penuh penghormatan.

Menelik I yang memerintah Aksum ketika itu, pergi ke Baitulmaqdis bagi mendapatkan pengiktirafan takhta daripada ayahandanya. Kepulangan Menelik I ke Aksum membawa bersamanya Tabut, sebagai tanda alat kebesaran pemerintah dan pengiktirafan takhta kepadanya.

Selama tiga tahun, Menelik I tinggal bersama bapanya dan mempelajari 10 rukun Musa. Disebabkan wajah Menelik I dan Raja Sulaiman seiras, ia menyukarkan bangsa Israel membezakan antara keduanya.

Pendeta Israel mencadangkan kepada Raja Sulaiman supaya menghantar pulang anaknya itu. Raja Sulaiman bersetuju menghantar pulang anaknya, tetapi dengan syarat 1,000 orang daripada setiap suku Bani Israel hendaklah pulang bersama Menelik I.

Selepas pulang ke Habsyah, Menelik I mengasaskan Dinasti Sulaiman dan kerajaan Aksum dengan mengamalkan agama Yahudi dan 10 rukun.

Pada kurun ke-4 masihi, Raja Ezana pemerintah kerajaan Aksum menerima pengaruh agama Kristian. Fellasha atau saki baki Yahudi Habsyah menganut agama Kristian tetapi meneruskan amalan agama Yahudi hingga kini.

Hubungan Habsyah dengan tanah Arab wujud sejak zaman Nabi Sulaiman dan negeri itu juga pernah berada di bawah pemerintahan Ratu Balkis, iaitu pemerintah kerajaan Saba’.

Masyarakat Ethiopia menggelarkan Ratu Balkis dengan nama Makeda atau Sheba yang bermaksud Saba’. Pada awalnya, Ratu Balkis dan rakyat jelata menyembah matahari sebagai tuhan mereka.

Di bawah pemerintahan Ratu Balkis, Habsyah menikmati kekayaan perbendaharaan negara, bala tentera yang kuat dan penguasaan ilmu pengetahuan.

Berita mengenai kehebatan Ratu Balkis dan istananya diceritakan seekor burung belatuk yang menjadi perisik kepada Nabi Sulaiman. Selepas mendapat berita mengenai kehebatan Ratu Balkis tetapi tidak beriman kepada Allah, Nabi Sulaiman berhasrat menyampaikan dakwahnya.

Sebenarnya, Ratu Balkis memeluk Islam ketika kali pertama berjumpa Nabi Sulaiman yang berada di Baitulmaqdis. Nabi Sulaiman, Ratu Balkis dan anaknya Menelik I beragama Islam. Ikuti sambungan Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah dalam episod seterusnya.

Friday, September 19, 2008

Bani Israel mengembara mencari 'Bumi yang Dijanjikan'

Oleh Hasliza Hassan

BANI Israel meneruskan perjalanan menuju 'Bumi yang Dijanjikan'. Penduduk kawasan sekitar sudah merasai bahang kebarangkalian serangan dari kaum Bani Israel. Dengan itu kesemua mereka membuat persiapan awal untuk mempertahankan tanah air mereka.

Raja Irad di Selatan Palestin sudah merasai yang kerajaannya akan menjadi mangsa pertama serangan Bani Israel. Pengintip memberitahu bahawa gerombolan Bani Israel sudah tiba di Jabal Hour yang bersempadan dengan negerinya.

Raja Irad membuat serangan kilat ketika Bani Israel dalam perjalanan ke bandar Atarim. Raja Irad menewaskan mereka dan ramai dari kalangan Bani Israel yang ditawan. Oleh itu, rancangan memasuki ‘Bumi yang Dijanjikan’ dari arah selatan menemui kegagalan.

Bani Israel terpaksa berundur dan merancang untuk memasukinya melalui timur laut. Bani Israel kembali semula ke Jabal Hour. Mereka bergerak ke arah selatan, ke sempadan bumi Adum. Mereka terpaksa mengelilinginya kerana penduduk Adum tidak membenarkan mereka melintasinya.

Bani Israel meneruskan perjalanan dari Jabal Hour menuju ke Teluk Aqabah sejauh 160 kilometer.

Mereka melintasi Oboth, Asyiun Jabir dan Eilat utara Teluk Aqabah. Selepas itu mereka berpatah balik dan mengelilingi Jabal Syair.

Mereka meneruskan perjalanan arah ke timur laut dan Jabal Syair di sebelah kiri. Berhari-hari mereka berpusing-pusing mengelilingi Jabal Syair hingga terlintas di hati mereka mengambil jalan singkat dengan menceroboh bumi Adum ke Kan’an jika penduduknya masih enggan memberi kebenaran.

Tetapi Allah melarang mereka memerangi Adum kerana bumi itu sudah dijanji Allah untuk generasi Aisu bin Ishak. Pengembaraan mereka belum berakhir kerana ‘Bumi yang Dijanjikan’ masih jauh.

Al-Risaalah 2 Musa Kalamullah episod ke-20 malam ini turut mengimbas kembali peristiwa dilalui Nabi Musa dan saudaranya Nabi Harun bersama kaum Bani Israel selepas mematuhi perintah Allah untuk meninggalkan bumi Mesir.

Bagaimanapun, selepas mengharungi perjalanan yang sukar apabila menurut perintah Allah untuk keluar dari Mesir, akhirnya terbuka peluang untuk Bani Israel melangkah ke ‘Bumi Yang Dijanjikan’ iaitu Palestin.

Lalu Nabi Musa mengutus 12 orang untuk meninjau ‘Bumi Yang Dijanjikan’ dan salah seorang utusan itu ialah Yusa’ bin Nun.

Allah memerintah mereka masuk dan menyerang dan memasuki ‘Bumi Yang Dijanjikan’ namun ramai tidak bersetuju kerana takut walaupun Allah sudah menjanjikan kemenangan. Disebabkan itu mereka diharamkan memasuki bumi itu dan sesat selama 40 tahun di padang pasir Sinai.

Bagi Nabi Musa, Baginda mengakhiri perjalanan di puncak gunung Nibo di mana Baginda hanya melihat ‘Bumi Yang Dijanjikan’ dari jauh sebelum mengadap Tuhannya selepas tugas sebagai rasul utusan Allah selesai.

Nabi Musa meninggalkan kaumnya Bani Israel tanpa sempat menjejakkan kaki di ‘Bumi Yang Dijanjikan’. Ketika itu Bani Israel sudah pun bertapak dan memiliki wilayah sebelah timur Sungai Jordan.

Nabi Musa sebelum wafatnya memanggil Yusa’ bin Nun dan berkata: “Kamulah yang akan memasuki Bumi Yang Dijanjikan bersama kaum ini dan kamulah yang ditugaskan untuk membahagi-bahagikan bumi itu.”

Yusa’ bin Nun melaksanakan tugas itu dengan jayanya. Beliau dan pengikutnya berangkat ke Ariha, Palestin. Selama enam bulan di sana, beliau berjaya membuka Baitul Maqdis.

Namun, sebelum kemenangan berpihak kepada tentera Yusa’ bin Nun, beliau berdoa kepada Allah supaya memanjangkan hari Jumaat (kerana hari Sabtu adalah hari yang diharamkan berperang bagi kaum Bani Israel). Baginda mengajak para tentera berdoa kepada Allah.

Al-Risaalah 2 Musa Kalamullah episod ke-20 malam ini turut mengimbas kembali peristiwa dilalui Nabi Musa dan saudaranya Nabi Harun bersama kaum Bani Israel selepas mematuhi perintah Allah untuk meninggalkan bumi Mesir.

Tuesday, September 16, 2008

Bani Israel ingkari nikmat Ilahi dilaknat jadi monyet, khinzir

KEHIDUPAN di padang pasir yang kering kontang menyebabkan sumber makanan berkurangan dan keadaan itu membangkitkan kemarahan bani Israel yang mula menyalahkan Nabi Musa serta Harun yang mengajak mereka keluar dari Mesir.

Mereka sudah mula nampak kematian. Di padang pasir yang tandus itu mereka bagaikan hilang kepercayaan kepada Maha Kuasa yang berupaya menurunkan makanan kepada hamba-Nya.

Allah memberitahu Nabi Musa bahawa Ia mendengar segala rintihan bani Israel. Pada petangnya, angin bertiup membawa bersama burung salwa sehingga menutupi bumi yang kering kontang itu. Burung itu ditangkap dan dimasak oleh bani Israel.

Keesokan paginya, turun pula manna, tepung berwarna putih bagaikan tepung gandum atau jagung. Rasanya menyerupai tepung apabila dicampur dengan madu. Manna turun bagai embun pagi dan perlu dipungut segera sebelum cair terkena sinaran matahari.

Nabi Musa memberitahu kaumnya bahawa itulah tepung untuk membuat roti yang Allah turunkan kepada mereka. Setiap orang hanya dibenar mengambil kira-kira satu umir atau 8.5 liter setiap hari.

Manna dan salwa diturunkan Allah kepada bani Israel setiap hari kecuali Sabtu. Mereka harus mengumpul makanan itu pada Jumaat untuk kegunaan Sabtu kerana Allah menurunkannya sekali ganda pada Jumaat.

Ada juga yang mengumpulnya pada hari lain, namun pada hari berikutnya ia rosak dan berulat. Bagaimanapun makanan yang mereka kumpul pada Jumaat tidak rosak dan boleh digunakan keesokan hari.

Begitulah nikmat yang Allah turunkan kepada bani Israel. Pada cuaca yang panas Allah menaungi mereka dengan awan dan ketika ketiadaan makanan Allah turunkan manna serta salwa. Namun, mereka tetap tidak mensyukuri nikmat Allah.

Allah memerintah bani Israel menghormati Sabtu kerana hari itu kelepasan untuk mengabdikan diri kepada Allah dan beribadah. Wasiat keempat daripada 10 wasiat Nabi Musa kepada umatnya melarang mereka bekerja pada Sabtu.

Mereka menangkap ikan sepanjang minggu kecuali Sabtu, namun mencukupi untuk menyara mereka seminggu. Allah menguji keimanan bani Israel pada Sabtu apabila banyak ikan timbul dan bermain di permukaan air.

Sekumpulan daripada mereka menjadi tamak dan mencari helah lalu mengepung ikan itu pada Sabtu dan menangkapnya pada hari berikut. Pada mereka, larangan Allah ialah menangkap ikan dan mereka hanya mengepung tetapi tidak menangkapnya.

Nasihat dan teguran ahli agama mereka abaikan lalu Allah menukar mereka kepada monyet dan khinzir. Selepas beberapa hari tidak kelihatan, rakan menjengok mereka di rumah dan terperanjat melihat apa yang berlaku. Monyet dan khinzir itu mati akhirnya.

Kisah sikap bani Israel yang tidak mahu mensyukuri nikmat Allah kerana tamak dijelaskan dalam Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah jam 10.30 malam di TV9.

Saturday, September 13, 2008

Sikap tamak Bani Israel terbongkar

SELEPAS terselamat daripada ancaman Firaun, perjalanan Nabi Musa dan Bani Israel masih jauh dan berliku. Selepas menyeberangi laut terbelah, Nabi Musa dan Bani Israel meneruskan perjalanan di Semenanjung Sinai.

Mereka singgah di kawasan berhampiran Bukit Tur. Nabi Musa dan Bani Israel singgah di hamam (tempat mandi) untuk menyucikan diri sebelum meneruskan perjalanan ke Palestin. Hammam itu kini dikenali sebagai Hammam Musa.

Di sana, Allah memerintahkan Nabi Musa mencampakkan pokok ke dalam sumber air itu supaya ia boleh diminum. Nabi Musa sempat membersihkan dirinya ketika berada di kawasan itu selama tiga hari sebelum meneruskan perjalanan ke bumi Syam.

Pada saat genting merentasi bumi Sinai yang tandus, Bani Israel masih tergamak meminta makanan yang enak demi memenuhi desakan nafsu keterlaluan. Permintaan Bani Israel kepada Nabi Musa mendedahkan sikap sebenar mereka yang tamak dan enggan bersyukur.

Perbuatan Bani Israel itu mengecewakan Nabi Musa tetapi Allah yang Maha Pemurah memperkenankan permintaan mereka dengan menurunkan makanan istimewa bernama manna dan salwa. Selain itu, Allah juga menaungi Nabi Musa dan Bani Israel dengan awan dari panas terik matahari di padang pasir Sinai.

Selepas 90 hari peristiwa laut terbelah, Nabi Musa dan Bani Israel sampai di Wadil Muqaddas dan ketika sampai di sana, Allah memerintahkan Nabi Musa berpuasa selama 40 hari untuk menerima kitab Taurat di Jabal Musa.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan kami telah janjikan masa kepada Musa untuk memberikan Taurat selama 30 malam, serta kami genapkan jumlahnya dengan 10 malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya 40 malam." (Surah al-A'raaf, ayat 142)

Apabila sempurna puasa Nabi Musa, Baginda mendaki bukit itu untuk menerima syariat Allah.

Ketika Bani Israel meminta air daripada Nabi Musa kerana kehausan, Baginda memukul batu dengan tongkatnya. Daripada batu itu keluar 12 mata air untuk 12 kabilah Bani Israel.

Benarkah peristiwa itu berlaku? Semua terungkap pada episod 14 Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah kerana ia tidak bercanggah dengan al-Quran seperti dijelaskan ayat 160, surah al-A'raf yang bermaksud: "Ketika kaumnya meminta air kepadanya, maka pukullah batu itu dengan tongkatmu wahai Musa, maka terpancarlah 12 mata air tiap-tiap golongan antara mereka mengetahui tempat minum masing-masing."

Kewujudan 12 mata air daripada batu antara mukjizat tongkat Nabi Musa selain membelah laut dan menjadi ular. Baginda kemudian meneruskan pendakian untuk menerima kitab Taurat dan untuk mengetahui kesinambungan kisah Nabi Musa, ikuti Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah.

Friday, September 12, 2008

Taubat Firaun di ambang maut sudah terlewat

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

Kedegilan golongan ingkar akui kerasulan Nabi Musa berakhir dengan bencana ditenggelamkan laut

PROGRAM Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah episod 13 mendedahkan sikap Firaun tetap berdegil dan tidak mahu beriman kepada Allah serta mengakui kerasulan Nabi Musa walaupun Allah menurunkan bencana kepada penduduk Mesir.

Kekejaman dan penindasan berterusan dilakukan Firaun terhadap rakyatnya. Ketika itu Bani Israel menyedari Nabi Musa adalah utusan Allah bagi menyelamatkan mereka dan meminta Baginda membawa mereka keluar dari Mesir dan kekejaman Firaun.

Rombongan Nabi Musa dan Bani Israel menuju ke bumi yang dijanjikan Allah. Apabila mengetahui perancangan itu, Firaun mengutuskan orangnya ke bandar negeri Mesir untuk mengumpul tentera.

Allah memerintah Nabi Musa membawa kaumnya keluar dari Mesir pada waktu malam manakala Firaun dan tenteranya mengejar mereka ketika terbit matahari. Disebabkan kelengkapan dimiliki, tentera Firaun berjaya mengejar Nabi Musa dan Bani Israel.

Dalam keadaan tersepit sedangkan di depan adalah tasik terbentang luas dan di belakang ialah Firaun dan tenteranya sedang mengejar, perasaan cemas dirasai kerana takut dibunuh tentera Firaun.

Nabi Musa meyakinkan kaumnya bahawa Allah bersama mereka sehingga turun wahyu meminta Baginda memukul air tasik dengan tongkatnya. Maka dengan kuasa Allah air terbelah dua dan diperintahkan orang yang beriman dengan Allah menyeberanginya.

Itulah mukjizat Nabi Musa dan apabila tentera Firaun cuba melalui jalan dilalui Bani Israel tadi, Allah menenggelamkan mereka dalam keadaan yang amat dahsyat. Menyedari saat kematiannya, Firaun mengatakan keinsafan tetapi kalimah iman itu terlewat kerana pintu taubat sudah tertutup.

Episod kali ini penonton dapat melihat ikan Musa atau nama saintifiknya Solea, spesies ikan yang ada di semua lautan.

Profesor biologi Universiti Kaherah, Dr Hilmi Bishari, berkata spesies ikan itu terjadi kerana peristiwa luar biasa berlaku ke atasnya. Ketika laut terbelah, ikan Musa berada di garisan tengah yang terbelah dua.

Selain itu dipaparkan Tasik Qarun di Mesir yang mengimbas peristiwa umat Nabi Musa, Qarun dimusnahkan Allah kerana sifat haloba. Dia terlalu kaya sehinggakan anak-anak kunci peti besi menyimpan kekayaannya, terlalu berat untuk dipikul lelaki perkasa.

Kilauan emas permata membutakan mata dan hati Qarun. Nabi Musa menasihatkan Qarun membayar zakat sebagai tanggungjawabnya membantu fakir miskin. Baginda menerangkan setiap zakat dikeluarkan akan menyuburkan rezeki, tetapi Qarun tetap berdegil.

Tasik Qarun adalah bukti kemurkaan Allah yang tidak bersyukur dengan kekayaan dikurniakan.

Thursday, September 11, 2008

Kisah Firaun Ramsis II seksa sampai mati permaisuri beriman

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

NEFERTARI adalah seorang daripada isteri Firaun Ramsis II. Bagaimanapun bilangan sebenar permaisuri Ramsis tidak diketahui tetapi beliau mempunyai lapan isteri rasmi, tidak termasuk dayang istana yang dijadikan gundik.

Lebih menggemparkan Ramsis II turut mengahwini anaknya sendiri iaitu Bent-anat, Meritamon dan Nebettaui, juga adik perempuannya Henutmira.

Kematian Nefertari adalah satu kehilangan besar buat Ramsis II. Sebagai penghormatan terakhir, Ramsis II membina makam indah memaparkan watak Nefertari berdampingan dengan tuhan Mesir kuno sebagai simbol kemuliaan.

Lukisan yang menghiasi setiap sudut makam permaisuri kesayangan Ramsis II diiktiraf 'Egyptologist' atau pakar sejarah Mesir kuno sebagai yang terbaik dalam era Firaun. Tidak ada makam di Mesir yang boleh dibandingkan dari segi keindahan dan nilai artistik lukisan di makam itu.

Secara langsung ia menggambarkan betapa tingginya imaginasi dan kemahiran golongan artis dan karyawan ketika era Firaun Ramsis II.

Berdasarkan kepercayaan Mesir kuno, Hathor adalah isteri kepada Ra', tuhan matahari. Tujuan Ramsis II mengaitkan Hathor dengan nama isterinya, Nefertari adalah semata-mata untuk meletakkan Nefertari di tempat paling mulia.

Jika Nefertari dan Ramsis II meneruskan tradisi penyembahan tuhan Mesir kuno, seorang daripada isteri Ramsis II dipercayai beriman kepada Allah SWT. Permaisuri yang dimaksudkan adalah Asiah atau Asit.

Persamaan nama di antara Asit dan Isitnofret, isteri Ramsis II menarik perhatian banyak pihak. Malah, ada yang percaya Isitnofret adalah Asit atau Asiah yang beriman kepada ajaran Nabi Musa.

Kisah isteri Firaun yang beriman diceritakan dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan kepada orang mukmin iaitu perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: Wahai Tuhanku, binalah untukku sebuah rumah di sisimu di dalam syurga dan selamatkanlah daku daripada firaun dan perbuatannya yang kufur dan buas, serta selamatkanlah daku daripada kaum yang zalim." (Surah at-Tahriim, ayat 11)

Kezaliman Ramsis II tiada batasnya sehinggakan dia sanggup membunuh isterinya sendiri kerana beriman kepada Allah SWT. Beliau akhirnya menyeksa Asiah hingga mati. Meskipun ketika saat ajalnya hampir tiba, bibir Asiah masih mampu mengucapkan kalimah mengagungkan Ilahi.

Kebencian Ramsis kepada Asiah belum berakhir. Firaun itu mengarahkan nama Asiah dan semua catatan yang merujuk kepada permaisurinya itu dipadamkan dalam lipatan sejarah.

Perdebatan mengenai Firaun yang memerintah Mesir ketika Nabi Musa. Bagaimanapun, ahli sejarah berpendapat Firaun yang dimaksudkan adalah Ramsis II dan untuk mengetahui sebabnya, akan dijelaskan dalam episod 12, Al-Risaalah 2.

Turut dijelaskan pada program kali ini proses pengawetan mayat Firaun dan pembesar Mesir yang dilakukan sejurus selepas kematian mereka menggunakan garam natron dilakukan selama 40 hari sehingga air di dalam badan kering sepenuhnya.

Rempah dan minyak juga digunakan bagi menghilangkan bau. Bahan digunakan bukan saja didapati di Mesir, bahkan dibawa daripada Afrika dan Asia.

Melihat kepada kedudukan kedua-dua tangan mumia Ramsis II yang agak pelik, sesetengah sarjana berpendapat, proses mengawet mayat Ramsis II dilakukan selepas bertahun-tahun kematiannya.

Sunday, September 7, 2008

Penulis papyrus dianggap setaraf dengan menteri

BANI Israel yang datang dari Palestin pada zaman Nabi Yusuf sudah lama menetap di Mesir. Mereka adalah golongan pedagang dan membina penempatan di utara Mesir. Disebabkan jumlah mereka semakin bertambah dan taraf kedudukan ekonomi kukuh, Firaun berasakan pengaruhnya kian goyah.

Lantas, Firaun memerintahkan bayi lelaki dari kalangan Bani Israel dibunuh. Dan ketika itu, seorang wanita Bani Israel bernama Yukabad melahirkan seorang bayi lelaki yang kemudian dikenali sebagai Musa.

Allah mengilhamkan kepada Yukabad supaya menghanyutkan bayinya itu di Sungai Nil untuk menyelamatkannya daripada buruan askar Firaun. Nabi Musa diletakkan dalam sebuah peti lalu dihanyutkan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa, susukanlah dia, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya daripada angkara Firaun, maka letakkanlah dia ke dalam peti dan lepaskanlah dia ke sungai dan janganlah engkau berasa bimbang dan jangan pula berduka cita, sesungguhnya kami akan mengembalikannya kepadamu dan kami akan melantiknya menjadi salah seorang daripada rasul kami." (Surah al-Qasas, ayat 7)

Begitulah bermula kisah riwayat Nabi Musa yang digeruni musuhnya tanpa disedari musuhnya bahawa orang ditakuti itu tinggal bersama di dalam istana.

Kisah Nabi Musa dapat disaksikan jam 10.30 malam ini di TV9 dalam program Al-Risaalah 2. Episod kali ini turut menceritakan kisah Firaun Ramsis II yang membina banyak bangunan tinggi, mempunyai ramai isteri dan anak serta terbabit membunuh lelaki Bani Israel.

Ribuan tahun lalu, penduduk Mesir purba dikongkong akidahnya. Mereka dipaksa menyembah Firaun Ramsis Kedua yang mengaku dirinya tuhan. Pemerintahan Ramsis berakhir lebih 3,000 tahun lalu, namun legenda Firaun itu masih segar.

Monumen hebat bertujuan mempamerkan kekuasaannya yang dibina masih boleh dilihat di sekitar Mesir. Tujuannya supaya namanya sentiasa diingati meskipun selepas dia mati tercapai.

Dari segi struktur sosial, pemerintahan dinasti Firaun seolah-olah berbentuk piramid, di puncaknya berdiri gagah pemerintah Firaun yang berkuasa mutlak, diikuti menteri, kelas pertengahan, petani dan akhir sekali golongan hamba abdi.

Di sebalik kehebatan Ramsis, rakyat Mesir ketika itu hidup di dalam ruang lingkup yang terbatas. Bani Israel ditindas dan dizalimi seolah-olah mereka golongan hamba yang sangat hina. Keringat mereka dikerah untuk membina monumen hebat tanpa belas kasihan.

Nabi Musa yang menyedari kezaliman dilakukan ke atas kaumnya, Bani Israel berazam akan mengembalikan hak mereka suatu hari nanti.

Selain kisah sejarah Nabi Musa, episod kali ini turut memaparkan kertas dibuat dengan menggunakan serat papyrus yang disusun berselang-seli. Papyrus digunakan oleh orang Mesir purba sebagai bahan tulisan sejak 3,000 tahun Sebelum Masihi.

Di kalangan pemerintah Mesir purba, penulis papyrus dianggap setaraf dengan jawatan menteri. Mereka adalah penulis surat untuk pemerintah dan melukis pelbagai sejarah mengenai negara. Antara bukti tulisan awal menggunakan papyrus pada zaman Mesir purba ialah Buku Kematian.

Saturday, September 6, 2008

Sumpahan popularkan legenda Tutankhamun


GAMBARAN: Mungkinkah ini rupa Tutankhamun hasil pembentukan semula imej mumianya mengunakan mesin pengimbas CT.


SIAPAKAH sebenarnya Tutankhamun? Persoalan itu akan terjawab dalam episod ketujuh program Al-Risaalah malam ini. Tutankhamun yang dilahirkan pada 1371 Sebelum Masihi ditabalkan sebagai firaun ketika umurnya 10 tahun.

Tutankhamun mengahwini Akhesenamun, anak Raja Mesir yang didakwa berpegang kepada agama tauhid, Aakhenaten yang juga masih kanak-kanak. Akhesenamun adalah anak Aakhenaten bersama isteri utamanya, Nefertiti.

Sesetengahnya percaya Tutankhamun adalah anak Akhenaten bersama isterinya, Kiya. Namun ada yang berpendapat Tutankhamun adalah anak saudara Akhenaten atau adik beradik sebapa.

Tutankhamun yang baru setahun jagung mudah dipengaruhi golongan berkepentingan di istana. Tutankhamun hanya boneka yang mengikut telunjuk penasihatnya iaitu Ay dan Horemheb yang mengimpikan jawatan firaun.

Tutankhamun menghapuskan agama tauhid yang diperkenalkan Akhenaten dan menghidupkan kembali agama Mesir kuno iaitu penyembahan Amun. Kemungkinan tindakan itu turut dipengaruhi paderi yang hilang kuasa ketika pemerintahan Akhenaten. Legenda firaun kanak-kanak mula mendapat perhatian dunia berikutan penemuan makam hasil kegigihan ahli arkeologi British, Howard Carter.

Usaha mencari makam Tutankhamun bermula pada 1917 Masihi. Selepas lima tahun berlalu dan lebih £60,000 dibelanjakan, projek itu dianggap gagal. Bagaimanapun, pada 4 November 1922, dunia dikejutkan dengan berita penemuan makam Tutankhamun di lembah raja-raja di Luxor, Kaherah yang dianggap pencapaian tertinggi dunia arkeologi sepanjang kurun ke-20.

Perkembangan penting dalam sejarah evolusi agama Mesir purba berlaku pada kurun ke-14 Sebelum Masihi. Proses evolusi agama Mesir tua mengambil masa hampir 3,000 tahun kerana orang Mesir mempunyai banyak tuhan.

Akhenaten menolak ketuhanan Amun lalu memperkenalkan konsep tuhan satu yang menimbulkan tanda tanya rakyat dan menggegarkan institusi beraja Mesir ketika itu. Pengaruh agama Bani Yaakob memberi kesan kepada kepercayaan masyarakat Mesir hasil pergaulan mereka dengan keturunan itu. Selepas kematian Akhenatan, beliau digantikan oleh Tutankhamun. Kemasyhuran Tutankhamun bukan kerana binaan menakjubkan, tetapi misteri sumpahan yang dipercayai boleh terkena sesiapa saja yang membongkar persemadian firaun itu.

Tutankhamun meninggal secara tiba-tiba pada tahun kesembilan pemerintahannya. Jika hidup Tutankhamun diselubungi misteri dan sebab kematiannya penuh teori, makamnya pula dikaitkan dengan kontroversi.

Sesetengah ahli arkeologi berpendapat kematian secara tiba-tiba itu menimbulkan masalah besar kerana makamnya belum siap dibina. Akibatnya, Tutankhamun disemadikan di makam penasihat kanannya, Ay.

Bagaimanapun, makam Tutankhamun dianggap makam firaun paling sempurna berbanding makam lain yang ditemui sebelumnya. Ahli kaji purba bukan saja menemui mumia firaun termuda dalam sejarah kerajaan Mesir purba tetapi turut menemui banyak harta peninggalan. Bagaimanapun, kegembiraan penemuan bersejarah itu hanya sementara. Kejadian ngeri mula menghantui ahli kaji purba sebaik saja pintu ke makam itu dicerobohi.

Sejak itu tiada lagi kegembiraan atau angan-angan untuk hidup mewah hasil penemuan itu. Kejadian ngeri yang berlaku satu demi satu terhadap beberapa ahli kaji purba terus mengundang ketakutan kepada yang lain.

Thursday, September 4, 2008

Al-Risaalah 2 papar tradisi Firaun bina monumen tonjol kehebatan

FIRAUN adalah perancang yang membentuk rakyat Mesir sehingga muncul sebagai kelompok manusia bertamadun tinggi tetapi kemajuan mengalpakan mereka menyebabkan penindasan berleluasa, kerohanian dipinggirkan, akidah diselewengkan.

Zoser adalah Firaun pertama dinasti ketiga yang memerintah Mesir dari 2686 hingga 2613 sebelum Masihi. Zoser dianggap anak tuhan matahari dan mengikut sejarah, dia mengahwini saudara perempuannya bagi mengekalkan darah keturunan diraja.

Sistem beraja dan kuasa negara yang kukuh membolehkan Zoser memulakan pembinaan piramid pertama. Pada zaman beliau, piramid tangga dibina arkitek terkenal yang juga penasihatnya, Imhotep, yang memperkenalkan teknik penggunaan batu kapur hingga berjaya membina piramid pertama dunia.

Firaun Zoser mempercayai adanya hari akhirat atau hari pembalasan selepas kematian tetapi kepercayaan itu terpesong daripada syariat dibawa rasul sebelumnya. Piramid bagai tangga yang tersergam dan dikagumi ke hari ini dibina Firaun Zoser dibina kerana mempercayai roh mereka akan naik ke langit selepas mati.

Kisah Firaun dapat diikuti dalam program Al-Risaalah 2 yang disiarkan TV9 jam 10.30 malam ini. Sejarah menunjukkan memang tradisi setiap Firaun akan berpindah untuk membina monumen dan kerajaan yang lebih hebat.

Firaun Khufu adalah pemerintah kedua dinasti keempat yang memerintah Mesir dari 2589 hingga 2566 sebelum Masihi. Beliau membina Piramid Khufu dan dianggarkan 100,000 orang pekerja membina piramid itu yang memakan masa 23 hingga 25 tahun untuk disiapkan.

Sphinx dibina Firaun Khafra pada 2480 sebelum masihi dengan ketinggian melebihi 70 meter. Sphinx adalah binaan patung yang terbesar dan tertua. Monumen yang berkepala manusia dan berbadan singa itu lambang kekuasaan Firaun serta kegagahannya seperti seekor singa.

Masyarakat tempatan dulu percaya, Sphinx adalah penjaga kawasan padang pasir dan piramid daripada ditimbus ribut pasir.

Monumen kuil Abu Simbel dibina Firaun Ramsis 2 yang masyhur dengan jolokan ‘Ramsis yang Agung’. Beliau pernah berkata, “Wahai kaumku, bukankah kerajaan negeri Mesir ini, akulah yang menguasainya dan sungai ini mengalir di bawahku? Tidakkah kamu melihatnya?”

Firuan Ramsis 2 memperdayakan rakyatnya dengan membina kuil yang mengalir di bawahnya Sungai Nil. Apabila Allah mengutuskan rasulnya sebagai pembimbing, Firaun membutakan mata dan memekakkan telinga semata-mata untuk mempertahankan egonya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan berlaku sombong dan takburlah Firaun dan tenteranya di negeri itu dengan tiada alasan yang benar dan mereka menyangka bahawa mereka tidak akan dikembalikan kepada kami.” (Surah al-Qasas, ayat 39)

Pencapaian masyarakat Mesir purba dalam bidang ketamadunan memang mengagumkan tetapi dalam aspek akidah, mereka menyembah banyak dewa dan tuhan yang menyimpang daripada syariat Allah.

Tuesday, August 26, 2008

Tajdid Iman: Roh Islam hidupkan semangat lawan penjajah

Oleh Dr Juanda Jaya


PERJUANGAN: Islam janjikan kemuliaan kepada sesiapa berjuang menegakkan yang hak dan menentang kezaliman. - Gambar hiasan
Sejarah buktikan perjuangan tegak kedaulatan agama, bangsa dipelopori ulama
KETIKA memperingati Hari Kebangsaan, kita perlu merenung sambil cuba menjelajah sejarah yang menumpahkan darah syuhada bangsa. Apakah yang menguatkan azam dan keberanian jiwa mereka menentang penjajah.

Agaknya ada sesuatu yang amat besar mampu melahirkan semangat kepahlawanan dalam diri syuhada. Roh Islamlah sebenarnya berperanan menghidupkan jiwa mereka menentang kolonialisme. Islam yang menjanjikan kemuliaan kepada sesiapa berjuang menegakkan yang hak.

Data sejarah merakamkan gerakan antipenjajahan British yang dipelopori ulama sama ada di Sarawak, Melaka, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Catatan sejarah menyatakan pada 17 Ogos 1844, Sharif Sahab, Sharif Mashor, Datu Patinggi Ali, Datu Patinggi Imam Abdul Gafur, Imam Masjid Besar Sarawak yang pertama bersama penduduk tempatan dari kalangan Dayak melakukan penentangan bersenjata secara serentak terhadap penjajahan Brooke di Sarawak.

Akibat pertempuran itu, Datu Patinggi Ali gugur dalam Pertempuran Beting Maru, manakala Sharif Mashor yang gigih menentang penjajah akhirnya dibuang negeri ke Singapura. (Zaini Ahmad, Rakis 1978)

Pada 1895, di Pahang muncul Datuk Bahaman yang disokong Tok Ku Paloh dari Terengganu mengisytiharkan perang jihad menentang British. Pada awal abad ke-20, muncul pula Tok Janggut Mat Hasan di Kelantan.

Pada 1922, Abdul Rahman Limbong memimpin gerakan Islam menentang British di Terengganu bersama rakan beliau seperti Musa Abdul Ghani. Hasil daripada kesedaran serta semangat kebangsaan dan keIslaman orang Melayu, maka lahirlah parti politik seperti Hizbul Muslimin, Umno dan Pas pada pertengahan abad ke-20.

Walaupun antara parti politik ini ada perbezaan dari segi strategi dan taktik perjuangan, matlamat yang dituju adalah satu iaitu membela kedaulatan agama Islam dan Melayu. (Mahayudin Haji Yahya, Islam di Alam Melayu 1998)

Prof Dr Hamka yang mengkaji gerakan ulama di Nusantara mengabadikan nama besar pahlawan Islam di serata Kepulauan Indonesia. Antara yang beliau sebutkan ialah Sultan Iskandar Muda di Acheh, Sultan Agung Tirtayasa di Banten, Sultan Agung Hanyotokusumo di Mataram, Sultan Hasanudin di Makasar, Raja Haji di Bugis, Raja Muda di Riau, Diponegoro memimpin tanah Jawa, Teuku Imam Bonjol, Pattimura di Ambon dan gurunya Said Partintah dari Saparua, seorang berketurunan Arab. (Hamka, Dari hati ke hati, tentang Agama, Sosial, Budaya dan Politik 2002)

Semua pahlawan negara itu menjadikan ajaran Islam sebagai pedoman dalam gerakan dan perjuangannya. Patutkah kita melupakan jasa ulama di Alam Melayu Nusantara ini? Alangkah lemahnya pandangan mata hati yang tidak mahu mengakui bahawa roh Islamlah sebenarnya yang menggerakkan perjuangan mereka.

Menerusi semangat al-Quran mereka menggenggam semangat jihad hingga mencapai kemerdekaan. Firman Allah yang bermaksud: "Dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya seperti mana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah berserta orang yang bertakwa." (Surah Al-Taubah, ayat 36)

Kerana iman kepada Allah mereka memperjuangkan agama dan bangsa, seperti maksud firman-Nya: "Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui." (Surah Al-Taubah, ayat 41)

Mereka percaya dengan janji Allah bagi sesiapa memperjuangkan agamanya adalah nikmat syurga yang kekal abadi seperti dimaktubkan dalam ayat al-Quran yang bermaksud: "Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya) dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang beriman." (Surah Al-Saf, ayat 10-13)

Jelas terpancar semangat Islam itulah yang membangkitkan pahlawan bangsa kita. Begitu pula sebaliknya, penjajah yang datang dari barat dipengaruhi semangat salibiyyah di samping faktor politik dan ekonomi.

Hal ini dibongkar oleh Hamka melalui buku sejarah yang ditulis K M Panikkar bertajuk Asia and Western Dominant. Ketika Panglima Perang Portugis Alfonso d'Albuquerque mahu menyerang Melaka yang menjadi pertahanan Islam kuat ketika itu, dia mengobarkan semangat juang tenteranya dengan pidatonya yang terkenal: "Adalah suatu pemujaan dan persembahan ibadat yang amat suci dari kita untuk Tuhan dengan mengusir dan menghakis habis orang Arab dari negeri ini, dan dengan menghembus padam pelita pengikut Muhammad sehingga tidak ada lagi cahayanya di sini buat selama-lamanya. Apabila perniagaan di Melaka ini kita rampas daripada tangan orang Islam, maka habislah masa depan Kaherah dan Makkah, dan Vanesia tidak akan dapat lagi berniaga rempah kalau tidak berhubungan dengan Portugis."

Sejarah Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan selama-lamanya. Orientalis dan negarawan pelopor imperialisme terkenal akhir abad ke-19, Gladstone (1809-1898) pernah mengungkapkan kesulitan penjajah menguasai negeri Islam.

Sambil memegang al-Quran dalam House of Common, beliau berkata: "Selama kitab ini masih dibaca orang Islam, selama itu mereka masih melawan kita."

Betapa dekatnya Islam dan bangsa Melayu, abadi selama-lamanya menjadi kekuatan yang terbukti boleh menentang sesiapa yang mahu mempermainkan ketinggian maruah mereka. Perkataan Gladstone menjadi bukti bahawa kekuatan Melayu berpunca daripada keyakinan mereka terhadap agamanya, Islam.

Kita sudah merdeka dan kekal dengan semangat 'Islam dan Melayu' yang takkan hilang ditelan zaman. Namun akhir-akhir ini kita dikejutkan oleh usaha pengkhianat bangsa yang mahu meruntuhkan jiwa bangsa, menghisap kasih sayang dan toleransi dari darah daging generasi baru.

Mereka berusaha meracuni pemikiran generasi baru dengan sentimen ras dan warna kulit berbeza padahal gerakan ini nyata membawa agenda politik tertentu. Perlu difahami bahawa kolonialisme zaman sekarang tidak jauh beza dengan nenek moyang mereka dulu.

Hanya yang sekarang menggunakan taktik membonceng di belakang tali barut berasal dari negara yang dijajah. Mencipta suasana tegang antara suku kaum adalah siasat dan muslihat basi yang agaknya mahu diguna pakai kembali saat ini.

Bukankah penjajah dulu menggunakan taktik pecah dan perintah? Yang menjadi mangsa bukan hanya umat Islam dan orang Melayu, bahkan kaum minoriti lain ikut terbabit kerana kemajuan ekonomi dan pembangunan boleh terjejas dengan isu keselamatan negara. Akhirnya kita akur, kesan penjajahan itu tak boleh dihapuskan, taktik dan muslihat mereka lebih canggih daripada dulu.

Transformasi budaya berunsur negatif sedikit sebanyak menghilangkan jatidiri generasi baru bangsa ini. Bukankah ramai anak muda yang malu mengaku Melayu dan Muslim dalam bergaya, berekspresi dan bergerak dalam percaturan dunia?

Nenek moyang kita amat kuat pegangan agamanya, merekalah yang memperjuangkan kemerdekaan ini. Jangan dilupa, Islamlah yang menggerakkan perjuangan merebut kemerdekaan. Mengapa mahu dihapuskan kemuliaan Islam dalam perjuangan kita hari ini? Hamka pernah mencoretkan pesanan: "Melayu tanpa Islam, hilang 'me'-nya, tinggal layu saja".