Showing posts with label Sunnah. Show all posts
Showing posts with label Sunnah. Show all posts

Tuesday, April 21, 2009

Tajdid Iman: Al-Quran, sunnah panduan raih ketenangan hidup

Oleh Dr Juanda Jaya


MEMBACA dan mendalami kandungan al-Quran mampu menjadikan jiwa tenang, kuat serta dikurniakan rahmat Illahi.


JIKA ada mendakwa tidak bahagia dengan Islam yang dianuti, kerana al-Quran dibaca tidak dikenal maknanya dan ajaran Islam diamal secara ritual tidak melahirkan kesedaran maknanya, maka orang mengalami perjalanan hidup sebegini sedang dalam kebingungan yang dahsyat.

Hakikatnya mereka tidak perlu bingung, sedih dan banyak soal dalam mencari ketenangan hidup jika mahu menghayati Islam mengikut bimbingan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Adalah dikhuatiri mereka akan terus mengalami keraguan dalam hati terhadap ajaran Rasulullah SAW jika terus membiarkan hati bertanya yang bukan-bukan, membiarkan hati bebas menyuarakan jeritannya tanpa panduan wahyu.

Alangkah berbahaya jika seseorang mengosongkan mindanya tanpa panduan wahyu dan memilih sendiri lintasan dalam hatinya. Pendekatan berbahaya sebegini cuba dilakukan segolongan pakar motivasi masa kini yang cuba 'mempakejkan perkahwinan' Islam yang murni dengan pendapat kafir jahiliah yang tidak mengenal Allah apatah lagi wahyu Ilahi.

Sebenarnya, tanpa al-Quran dan al-Sunnah, mana mungkin manusia boleh memilih dan menentukan yang mana satu bisikan malaikat dan mana satu hasutan syaitan laknatullah.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya syaitan mempengaruhi dalam lintasan hati manusia dan malaikat juga ada pengaruhnya. Pengaruh syaitan ialah mengilhamkan manusia melakukan kejahatan dan membantah kebenaran. Adapun lintasan malaikat ialah mengilhamkan melakukan kebajikan dan membenarkan kebenaran." (Hadis riwayat al-Tirmizi, al-Nasa'i dan Ibnu Hibban)

Hanya hamba Allah terdidik jiwanya dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW mampu membezakan kebenaran dan kebatilan. Bukan semata-mata kerana mengikut bisikan hati yang sudah dikosongkan daripada pengaruh apapun.

Jika seseorang melepaskan dirinya daripada pengaruh al-Quran dan al-Sunnah serta membiarkan hatinya mencari-cari dan meneka antara haq atau batil, maka lama-kelamaan jiwanya akan memberontak dan cuba mentafsirkan Islam mengikut acuan hati dan nafsunya sendiri, yang pasti akan membawa kepada kehancuran.

Bagaimana jika jiwanya dipengaruhi oleh fahaman materialistik, maka sudah tentu dia akan mentafsir Islam ikut idea materialistik. Begitu pula jika dia terpengaruh dengan fahaman sekular, sosialis, kapitalis atau liberalis.

Jika didengar di dunia Barat ada satu penemuan baru mengenai fungsi otak ketiga yang dinamakan 'god spot'. Lalu bagai melatah berebut-rebutlah sebahagian orang Islam mengatakan itu adalah prinsip Islam. Sejak bila pula kafir jahiliah kenal Allah dan tahu di manakah 'signal' ketuhanan itu boleh 'diterima' dan 'diaktifkan'.

Jika nanti ditemukan otak kelima atau keenam, adakah mereka akan melatah juga, bahawa itu adalah kebenaran sesuai dengan prinsip Islam? Bagaimana jika suatu hari nanti sarjana Barat tiba-tiba menemukan kesilapan hasil kajian mereka mengenai 'god spot' itu, bukankah akan jelas amat memalukan.

Islam tidak sama sekali bermaksud menumpulkan ketajaman minda manusia untuk mencari jawapan atas apapun persoalan atau melarang kajian ilmiah dilakukan atas nama ilmu pengetahuan. Bahkan al-Quran menyuruh hamba Allah berfikir, bertadabbur, mengkaji, tapi dengan syarat ikut jalan yang Rasulullah SAW lalui.

Tetapi jangan sampai kajian mengenai perkara ghaib pun hendak diterjemahkan dengan akal yang kemampuannya amat terbatas. Perkara mustasyabihat dilarang sama sekali untuk dipersoalkan. Apapun, kajian masalah ilmu duniawi diberikan kebebasan oleh Baginda SAW sendiri melalui sabda bermaksud: "Kamu lebih memahami urusan dunia kamu."

Tetapi, jika terbabit dengan masalah akidah tauhid maka ia hak mutlak al-Quran dan al-Sunnah untuk menjawab setiap persoalan manusia mengenai hal itu. Tidak dibenarkan berkompromi dalam masalah akidah dan rujukannya hanya wahyu.

Juga dilarang membebaskan akal manusia yang rendah untuk menjawab ketinggian hakikat ketuhanan, apatah lagi hanya menggunakan hati dan jiwa kotor untuk memahaminya. Tiada pilihan lain, manusia hanya perlukan wahyu dan bimbingan Rasul untuk mendaki ketinggian tauhid.

Seperti masalah suara hati, keyakinan mengenai sifat dan nama Allah dalam Asmaul Husna yang boleh dilebur dengan akhlak manusia, mentafsirkan roh manusia berasal dari zat Allah sehingga sifat Allah itu berada dalam diri manusia.

Manusia yang mencari jati dirinya dengan cuba memahami prinsip sebegini sebenarnya terlalu berani menceroboh dan melanggar batas dijaga oleh wahyu. Bukankah al-Quran sudah menjawab pertanyaan mengenai roh bahawa urusan roh itu hanyalah urusan Allah yang ghaib tanpa wujud mana manusia pun yang tahu dan mampu menyingkap hakikatnya. Ia menjadi hak mutlak Allah untuk tidak membuka rahsia-Nya kepada manusia.

Jika ada mentafsirkan roh yang ditiupkan ke dalam diri anak Adam adalah dari zat Allah, maka sesungguhnya dia cuba menceroboh daerah kekuasaan Allah dan cuba menerapkan fahaman sesat 'Wehdatul Wujud' sebagai kesudahannya. Rasulullah SAW tidak pernah mengkhabarkan sedemikian bagi urusan amat sulit ini, maka fahaman sebegitu hanya fahaman orang yang tidak kenal hakikat tauhid.

Islam menerapkan disiplin paling ketat dan tegas dalam soal akidah. Jika dalam aspek ibadah, akhlak, adab dan muamalat timbul ikhtilaf yang banyak, namun ia bukan bermakna seseorang boleh mengambil pendapat sesuka hati tanpa disiplin ilmu serta dalil bertunjangkan al-Quran dan al-Sunnah.

Inikan lagi persoalan tauhid yang paling mudah menerima pengaruh percampuran agama lain, ideologi, adat, budaya atau sejarah suatu bangsa serta pengaruh ilmu falsafah, kalam dan yang paling terkini bernama pluralisme agama.

Ia suatu bentuk agama baru bersifat global, fahaman menyatakan semua agama adalah baik kerana lahir dari suara hati yang membisikkan kebaikan. Inilah idea cuba diserap dalam jiwa umat Islam moden yang mendakwa tidak cukup membaca al-Quran dan ibadah ritual untuk menjawab setiap persoalan hatinya yang selalu memberontak.

Padahal, sebenarnya dia tidak sabar mendaki anak tangga berjuta banyaknya dalam menuntut ilmu Islam. Takkanlah baru belajar membaca huruf al-Quran dengan makhraj yang betul sudah putus asa kerana tidak memahami maknanya. Lalu hatinya ragu-ragu, sedih dan putus asa mencari makna hidup.

Lalu dia pun merajuk dan menganggap belajar membaca al-Quran sudah tidak relevan lagi. Dia perlu belajar sesuatu yang cepat dan terus membawanya ke puncak kenikmatan perasaan, kepuasan hati dan ketenangan jiwa.

Padahal untuk menghayati Islam, seorang hamba Allah perlu duduk lama dengan ulama yang berautoriti dan diyakini thiqahnya, seraya menadah ilmu dengan sabar, banyak bertanya, mengamalkan apa dihayati dan mencari ketenangan hati dengan banyak membaca, bermuzakarah dan berdiskusi ilmu syarak.

Dia mesti meletakkan keutamaan tinggi untuk belajar Islam di samping komitmen keduniaan yang dijalani setiap hari. Jika untuk ilmu dunia manusia sanggup membelanjakan segala harta, masa dan nilai hidupnya, kenapa untuk agama yang menjadi tunjang hidup dunia dan akhirat mereka tidak mahu berusaha lebih kuat.

Paling penting ialah dia wajib mencari Islam dengan mengikuti jalan sunnah Rasulullah SAW. Jika dia cuba menggunakan cara selain daripadanya maka sebenarnya usaha itu sudah tertolak dengan sendirinya oleh agama.

Sesungguhnya bidaah zaman moden sudah muncul di sana-sini dalam pelbagai bentuk dan wajah. Jika dulu orang gemar menyembah kubur, memakai tangkal dan azimat, sekarang lebih canggih lagi penemuan baru dalam menyampaikan unsur bidaah.

Teknologi terbaru yang terkini, hebat, menghiburkan, penuh unsur falsafah mengelirukan, mereka mendakwa sudah mengenal dan menghayati Islam dalam jangka masa tiga hari saja melalui simbol dan rumusan angka tertentu, kemudian hati berasa yakin inilah kesempurnaan Islam dicari.

Sahabat Baginda SAW dan golongan salafus saleh bersabar mencari Islam melalui bacaan dan tadabbur ribuan ayat al-Quran serta jutaan hadis yang mesti dikaji, dihayati dan diamalkan.

Tiada jalan lain, hanya ilmu dituntut mengikuti jalan sunnah Rasulullah SAW boleh merungkai kekusutan jiwa seorang hamba Allah.

Bersambung minggu depan

Thursday, April 9, 2009

Persepakatan lahirkan umat contoh, terpuji

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Al-Quran, al-Sunnah rujukan terbaik selesaikan sengketa antara ummah

AL-QURAN sebagai rujukan utama tamadun Islam sarat pelbagai mesej menyeru ke arah perpaduan dan kesatuan ummah. Sesungguhnya semangat bersatu padu membentuk umat yang menjunjung dasar persaudaraan.

Allah berfirman bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara." (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Al-Quran juga menunjukkan kesan buruk persengketaan supaya menjadi pengajaran yang tidak wajar diulangi sama ada melalui bentuk penceritaan atau pernyataan umum. Dalam sambungan ayat itu, Allah berfirman bermaksud: "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang (Yahudi dan Nasrani) yang bercerai-berai dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata (yang dibawa nabi Allah). Dan mereka yang bersifat sedemikian, akan beroleh azab seksa yang besar." (Surah Ali-Imran, ayat 105)

Golongan berpuak dan sering bersengketa diisyaratkan Allah sebagai mencontohi perbuatan golongan musyrik. Ini disebut dalam firman-Nya bermaksud: "Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal bakti) serta bertakwalah kamu kepada-Nya, dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna, dan janganlah kamu menjadi daripada mana-mana golongan orang musyrik. Iaitu orang yang menjadikan fahaman agama mereka, mereka berselisih mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak, tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (daripada fahaman dan amalan yang terpesong itu)." (Surah al-Rum, ayat 31-32)

Seperti ditegaskan pada awal perbincangan, sesungguhnya kesatuan, kesepakatan dan perpaduan adalah faktor kepada pembentukan umat terbaik. Pengiktirafan Allah bahawa umat Islam adalah umat terbaik dijelaskan melalui firman-Nya bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad), adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji), serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Pengiktirafan umat Islam sebagai umat terbaik mesti memenuhi tiga syarat iaitu umat itu mesti menjalankan tugas menyeru kepada kebaikan, mencegah perlakuan mungkar serta beriman kepada Allah dengan iman yang sahih, benar dan sempurna.

Syeikh Wahbah al-Zuhayli dalam tafsirnya menyebut, apabila tiga syarat ini tidak lagi dipenuhi, maka pujian Allah kepada umat Islam sebagai umat terbaik akan hilang dan akan menjadi punca kepada kejatuhan umat Islam secara keseluruhannya.

Ciri ini menyamai sifat yang dimiliki sebahagian ahli kitab kerana mereka adalah golongan yang tidak mencegah kemungkaran berlaku di sekeliling mereka, beriman dengan sebahagian isi al-Quran serta kitab terdahulu. Bahkan mereka secara jelas menerima kerasulan sebahagian nabi seperti Nabi Musa dan Nabi Isa, tetapi menolak kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Merujuk fakta sejarah, punca kepada pergeseran yang membawa perpecahan sesama umat Islam daripada perbalahan pendapat yang akhirnya menjadikan umat Islam terpecah kepada pelbagai fahaman politik, fanatik mazhab dan kecelaruan pemikiran.

Bahkan ketika hayat Nabi SAW dan sahabat, Baginda sudah memperingatkan umat Islam bahaya perpecahan dan perbalahan. Pada haji perpisahan tahun ke-9 hijrah, ketika menyampaikan khutbahnya Baginda bersabda bermaksud: "Janganlah selepas kematianku kamu kembali kepada kekufuran, saling bertelagah dan berbunuhan sesama kamu, sesungguhnya aku sudah tinggalkan kamu sesuatu yang mana jika kamu berpegang teguh dengannya nescaya kamu tidak akan sesat selamanya iaitu al-Quran dan sunnah nabi-Nya."

Selepas kewafatan Baginda SAW, ruang berlakunya perselisihan semakin melebar. Ketika peperangan antara tentera Saidina Ali dengan Muawiyah kerana berebut jawatan Khalifah, keadaan umat Islam sudah berpecah, tetapi masih pada peringkat boleh diselamatkan.

Peperangan antara Ali dan Muawiyah berakhir apabila wakil Ali, Abu Musa al-Asyaari mengumumkan peletakan beliau sebagai Khalifah seperti dipersetujui dalam perbincangan dengan wakil Mua wiyah, Amru al-As.

Namun, Amru yang sepatutnya mengumumkan peletakan jawatan Khalifah oleh Muawiyah seperti dipersetujui dalam perbincangan dengan Abu Musa al-Asyaari sebaliknya mengumumkan bahawa Muawiyah bin Abu Sufyan adalah khalifah yang sah.

Begitulah bagaimana permulaan perpecahan amat dahsyat di kalangan umat Islam bermula apabila pihak yang tidak berpuas hati dengan pelantikan Muawiyah menyalahkan Saidina Ali dan menghalalkan darah kedua-dua Ali dan Muawiyah serta membentuk kumpulan Khawarij.

Sementara penyokong Muawiyah berpesta dengan kemenangan dan kebijaksanaan pemimpin mereka, penyokong Saidina Ali yang setia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Muawiyah yang merampas hak jawatan khalifah disandang Saidina Ali.

Akhirnya perbalahan siasah makin merebak dan menjadikan umat Islam hingga kini berpuak-puak dan sering berbalah sesama sendiri. Tidak dapat dinafikan perbezaan pendapat suatu yang tidak dapat dielakkan, tetapi janganlah sampai ke tahap permusuhan yang akhirnya merugikan umat Islam.

Jalan keluar kepada permasalahan sudah dijelaskan lebih awal oleh Baginda SAW yang menyarankan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah. Semoga umat Islam bersedia membuka ruang persepakatan ke arah melahirkan umat contoh dan terbaik serta menjunjung nilai terpuji saranan agama bagi merealisasikan pembentukan generasi Islam cemerlang, gemilang dan terbilang.

Penulis ialah Penolong Pengarah, Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jelebu, Negeri Sembilan

Tuesday, April 7, 2009

Tajdid Iman: 'Inilah jalan sunnah Nabiku'

SESEORANG yang berkeyakinan tinggi suka menggunakan kata-kata 'inilah jalan hidupku' apabila berdepan cabaran yang mahu menggugat idealismenya. Tetapi, adakah dia bersedia menggunakan istilah lebih tepat, 'inilah jalan sunnah Nabiku' atau 'inilah jalan Nabi SAW' untuk mewakili seluruh amal dilakukannya dengan membawa hati penuh cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW.

Seseorang mungkin akan mencapai tahap kecintaan utuh kepada Nabi SAW selepas membaca berpuluh-puluh kitab sirahnya daripada pelbagai perspektif kajian dibawa ulama. Ada pula gigih menguatkan keyakinan dengan menyelami hati Baginda SAW melalui ribuan hadis menjanjikan sentuhan kasih sayangnya.

Seperti seorang hamba Allah membaca al-Quran dan merasai rahmat Allah menitis ke dalam jiwa, begitu pula ketika ia membuka kitab hadis Nabi SAW seolah-olah dia rasa berhadapan dengan Baginda.

Mendengar sabdanya, berasa apa dirasa Rasulullah SAW. Gembira ketika Baginda SAW membawa khabar gembira, menangis bersama sahabat yang menangis, bersemangat ketika membaca sabda jihad dilaungkan, berwaspada saat Rasulullah berwasiat, meneliti setiap patah perkataan Baginda dengan berhati-hati dan penuh minat. Inilah cinta, hakikatnya bersimpul dalam ikatan ilmu, kajian, muzakarah, amal dan perjuangan menegakkan sunnah Rasulullah SAW.

Ironinya, ramai Muslim terjebak dalam memahami maksud sunnah, seolah-olah mereka menganggap sunnah itu adalah perkara yang dikaitkan dengan isu panas, konflik dan pecah belah dalam masyarakat. Perkara itu berbahaya kerana boleh jadi mereka sudah menghina tanpa sedar akan sunnah Rasulullah SAW.

Padahal, ancaman bagi sesiapa mencela sunnah Nabi SAW adalah berat seperti firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah: Apakah dengan Allah, ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu mengolok-olok? Tidak usah kamu meminta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang selalu berbuat dosa." (Surah al-Taubah, ayat 65-66)

Celaan orang jahil mengenai poligami, isu wanita kelas kedua, tohmahan bidaah, wahabi, menuduh sesat, orang awam mencela ulama, semua itu perbuatan yang tidak memahami jalan hidup sunnah yang sebenar. Sehingga orang awam pun tanpa mereka sedari menconteng kesucian sunnah disebabkan keringnya ilmu.

Rasulullah SAW adalah sebaik-baik makhluk mewakili setiap keadaan manusia. Beliau adalah suami yang dalam tempoh lama hanya beristeri seorang wanita, iaitu Khadijah, ini adalah sunnahnya. Jadi jangan katakan tidak ikut sunnah bagi sesiapa yang memilih monogami sebagai jalan hidup kerana Rasulullah SAW pun mengamalkannya ketika hidup bersama Khadijah.

Baginda pula mengamalkan poligami yang juga sunnahnya bagi sesiapa kuat iman dan takut kepada Allah sehingga dia boleh berlaku adil. Ia diamalkan bagi menyelesaikan masalah wanita pada zamannya, bukannya untuk kepuasan nafsu lelaki.

Umat Islam sepatutnya tidak menganggap orang kaya dan terkenal itu tidak ikhlas dan tamakkan dunia. Kononnya mereka menganggap Baginda SAW adalah Nabi bagi orang miskin dan membenci harta tersimpan di rumah.

Padahal ketika Baginda diangkat sebagai Rasul, saat itu Rasulullah SAW sudah memiliki empayar perniagaannya bersama Khadijah dan dengan harta itu dakwah Islam berkembang. Bahkan, orang kafir Quraisy tetap mempercayai Baginda sebagai pemegang amanah harta mereka sehingga Baginda berhijrah.

Sirah Nabi SAW menceritakan bahawa menjadi kaya dan berkuasa adalah sunnah Rasul jika dipergunakan untuk kemajuan agama, tetapi hati dan perbuatan mesti berasa sentiasa miskin, tawaduk lagi warak kepada Allah supaya dunia tidak mudah menipu.

Sesungguhnya Muhammad SAW adalah Nabi bagi orang kaya dan miskin, teladan untuk lelaki monogami dan poligami, contoh bagi sesiapa memperjuangkan Islam dengan ilmu, harta, politik dan ekonomi. Sunnahnya umpama penunjuk arah berfungsi meluruskan jalan hidup dipilih setiap insan.

Isu bidaah dan wahabi pula dilontarkan bagai peluru mahu mematikan amalan sunnah Rasulullah SAW. Orang yang suka memberi nama 'wahabi' kepada individu tertentu biasanya masuk dalam salah satu kategori, iaitu orang jahil tidak mengerti hukum hakam dan dalil syarak yang pelbagai atau orang alim yang dengki sesama ulama kerana inginkan pengaruh dunia.

Konflik wahabi dan bidaah boleh diubati dengan cara mendekati orang jahil dengan ilmu dan dalil kerana selama ini mereka mengenal Islam melalui pendekatan tengok dan ikut-ikutan saja tanpa didedahkan fakta serta dalil sahih mengikut al-Quran dan al-Hadis. Antara ulama berbeza pandangan pula mestilah dijalin semangat kejujuran, hormat menghormati, kasih sayang dan takut kepada Allah.

Menurut Ibnu al-Qayyim dalam kitabnya Shaydul Khatir, "Tabiat mendengki adalah sifat semula jadi manusia yang perlu diluruskan, apabila ia boleh membangkitkan sikap berlumba-lumba ke arah kebaikan maka ia menjadi dengki yang baik tetapi yang tercela apabila sifat ini melahirkan keinginan mahu mencelakakan orang lain sama ada dengan kata-kata ataupun perbuatan."

Diharapkan tohmahan bidaah dan wahabi tidak sekali-kali menyurutkan langkah mereka yang mahu memperjuangkan sunnah Rasulullah SAW. Sesungguhnya dalam diri Rasulullah SAW ada teladan baik dalam usaha menghadapi orang awam yang jahil.

Sahabat ramai yang alim, tetapi mereka tidak menafikan wujudnya perbezaan pendapat sebagai bentuk kekayaan ilmu, keluasan pemikiran, pandangan dan fahaman dalam Islam. Sunnah Rasul bukan terletak pada dalil hukum-hakam dan cara ibadat saja bahkan akhlak dan hubungan kemanusiaan dipamerkan Baginda sememangnya mesti diikut, disanjung dan diamalkan sebagai suatu sunnah yang turut dituntut.

Teladan dalam mencintai Rasulullah SAW bolehlah dilihat melalui kehidupan sahabat dan salafus salih. Mereka adalah generasi paling tahu mengenai Rasulullah SAW dan melalui merekalah kita tahu sunnah Baginda SAW.

Suatu ketika, Rasulullah SAW duduk bersama Umar dan sahabatnya. Lalu Umar berkata: "Wahai Rasulullah, dirimu sangat kukasihi melebihi segala-galanya melainkan diriku sendiri. Kemudian Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidak akan beriman seseorang sehingga ia mencintai diriku melebihi cintanya kepada dirinya sendiri. Mendengar sabda Rasulullah ini Umar lantas berkata: Demi Allah, sekarang aku lebih mencintaimu daripada diriku sendiri. Rasulullah bersabda: Sekarang saatnya wahai Umar (iman kamu sudah sempurna)." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Imam Malik sudah mengumpulkan hadis Rasulullah SAW dalam al-Muwatta'. Beliau pernah merasai gigitan kala 30 kali dalam suatu majlis ilmu tetapi masih membacakan hadis Rasulullah SAW seraya berkata: "Aku malu menghentikan bacaan hadis Rasulullah SAW semata-mata untuk kepentingan diriku."

Sa'id bin Musayyab pernah ditanya suatu hadis, ketika itu dia dalam keadaan sakit tenat. Beliau menyuruh keluarganya mendudukkannya dan berkata: "Bagaimana mungkin aku membaca hadis Rasulullah SAW sedangkan aku dalam keadaan berbaring?"

Kasih sayang, cinta dan perjuangan ulama terhadap Sunnah Rasulullah SAW sudah berhasil menghidupkan kembali ajaran Baginda SAW di tengah-tengah umat. Sekali gus menghapus segala bentuk penyelewengan bertentangan sunnahnya.

Rasulullah SAW pernah mengingatkan supaya umat berhati-hati terhadap penyelewengan halus yang menyusup masuk dalam akidah mereka. Baginda bersabda yang bermaksud: "Janganlah terlalu berlebih-lebihan dalam memujiku seperti yang dilakukan kaum Nasrani terhadap Isa Ibnu Maryam, sesungguhnya aku hanyalah hamba biasa dan katakanlah aku sebagai hamba Allah dan Rasul-Nya." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Umat Islam mesti meletakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW sesuai dengan tuntutan al-Quran dan al-Hadis, bukannya mengikut hawa nafsu. Jika mereka melebihkan daripada sepatutnya, sesungguhnya jerat iblis sangat halus hatta di belahan dada orang alim, inikan mereka yang jahil.