Showing posts with label Syirik. Show all posts
Showing posts with label Syirik. Show all posts

Saturday, May 9, 2009

Derhaka terhadap ibu bapa hampiri dosa syirik

Oleh Mohd Shukri Hanapi


PERHATIAN dan kasih sayang anak lebih penting kepada ibu bapa berbanding wang ringgit. - Gambar hiasan


Islam anjur hormat, taat selagi suruhan mereka tidak melanggari hukum syariat

GANDINGAN dan keserasian antara ibu bapa berjaya mendidik serta membesarkan anak mereka. Ibu bapa sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungi pelbagai cabaran demi memastikan kesenangan hidup anak.

Jika dilihat hari ini, sesetengah ibu bapa terpaksa keluar rumah seawal pagi semata-mata untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga. Pengorbanan itu sepatutnya dibalas dengan anak menghormati, mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa.

Ini sebagai suatu penghargaan tertinggi anak membalas jasa ibu bapa. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'uuh', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Israk, ayat 23-24)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud: "Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada Baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda." (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya kewajipan menghormati ibu bapa tidak terhenti walaupun kedua-dua mereka sudah meninggal dunia. Walaupun ibu bapa sudah meninggal dunia anak dikehendaki berdoa supaya mereka sentiasa bahagia di sisi Allah. Selain itu, anak digalakkan menziarahi kubur ibu bapa mereka.

Jelaslah menghormati, mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama serta berterusan sepanjang masa. Perintah Islam supaya menghormati dan mentaati ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira sama ada mereka beragama Islam atau tidak.

Cuma, bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan mentaati itu dengan bersyarat iaitu selagi mana ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah.

Diriwayatkan daripada Sa'id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir. Kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya, "Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad SAW)." (Hadis riwayat Muslim)

Berikutan peristiwa itu, Allah menurunkan ayat yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang telah kamu kerjakan." (Surah al-Ankabut, ayat 8)

Peristiwa di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau � dengan akal fikiranmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan." (Surah Luqman, ayat 14-15)

Inilah cara pergaulan dengan ibu bapa yang dianjurkan Islam. Hormat dan taatilah ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak melanggari syariat Islam. Mengingkari perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa termasuk dalam dosa besar.

Jika menyebut ungkapan 'uh' atau 'ah' pun sudah dikira menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak yang mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca kedua orang tuanya. Sahabat Baginda bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun kedua orang tuanya? Rasulullah SAW menjawab: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga jika seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Menderhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi SAW pernah menceritakan mengenai dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: "Menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu." (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, banyak peristiwa dan kejadian menimpa orang yang menderhaka ibu bapanya. Salah satunya ialah peristiwa yang menimpa Alqamah, sahabat yang kuat beribadah kepada Allah tidak dapat melafazkan kalimah tauhid di saat kematiannya kerana mengguris hati ibunya.

Betapa beratnya dosa menyakiti ibu bapa, lidah Alqamah seakan-akan terkunci. Tiada sepatah perkataan pun terkeluar dari mulutnya. Azab menimpa Alqamah berakhir setelah ibunya memaafkan kesalahan dilakukannya.

Peristiwa itu menjelaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Reda Tuhan (Allah) ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya." (Hadis riwayat al-Tabrani)

Oleh itu, jadikanlah peristiwa Alqamah sebagai pengajaran dan iktibar bahawa ibu bapa itu wajib dihormati dan dipatuhi. Janganlah kerana suatu perkara remeh, seseorang anak sanggup melupai dan menderhaka terhadap ibu bapa.

Biar bagaimana juga keadaan ibu bapa, tidak sepatutnya seorang anak menghantar ibu bapa mereka yang lanjut usia ke rumah orang tua dengan alasan menyusahkan atau membebankan. Ketika usia semakin lanjut itulah, mereka amat memerlukan layanan, perhatian, belaian dan kasih sayang anak.

Balas segala kesusahan dan kepayahan ibu bapa menjaga serta memelihara kita dengan sesuatu yang menggembirakan mereka. Perhatian dan kasih sayang anak lebih penting kepada ibu bapa berbanding wang ringgit.

Wednesday, April 1, 2009

Berjudi menjurus manusia kepada kelalaian, syirik

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Amalan warisan syaitan cetus porak-peranda dalam masyarakat serta malas cari rezeki halal

BERJUDI adalah jalan singkat yang salah untuk mengejar kekayaan dan wang ringgit. Judi disebut 'Al-Maisir' dalam Bahasa Arab dan ditafsirkan sebagai suatu bentuk permainan beradu nasib, menggunakan wang atau harta benda sebagai taruhan dengan pemenang akan mendapat hasil taruhan berlipat ganda.

Perjudian di negara kita amnya diamalkan dalam pelbagai bentuk antaranya menggunakan dadu, daun terup, jackpot, tikam, loteri, pertaruhan permainan sukan, mesin slot atau nombor ekor. Lebih canggih lagi, zaman sekarang berjudi turut diamalkan dengan mudah melalui internet.

Apabila berjudi, seseorang tidak perlu mengerah keringat dan tulang empat kerat. Bahkan modal diperlukan tidak begitu besar. Bak kata orang, goyang kaki pun boleh dapat hasil lumayan. Inilah antara faktor menyemarakkan semangat kaki judi untuk terus terjebak dengan gejala buruk ini.

Apatah lagi, jika pernah sekali dua 'tuahnya terkena' dan menang sejumlah wang, bertambah galak dan bersemangatlah si kaki judi melaburkan wangnya ke premis judi kononnya untuk mengaut keuntungan lebih besar lagi.

Sungguh menyedihkan melihat masih ramai umat Islam yang mengunjungi premis perjudian hari ini. Lebih memilukan adalah sesetengah mereka yang kental mengunjungi pusat atau premis perjudian ini boleh dikategorikan sebagai 'warga emas'.

Sudahlah begitu, anak cucu sendiri pun kadang kala dibawa bersama 'singgah' ke premis judi untuk membeli nombor atau bertaruh tanpa ada malu dan segan.

Jika kaki judi beranggapan bahawa judi adalah bentuk usaha untuk memperbaiki taraf kehidupan, mereka silap kerana sebenarnya matlamat tidak sesekali menghalalkan cara. Demi mengejar sesuatu matlamat, kita sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh, menggunakan saluran yang betul dan mengerah akal fikiran serta tenaga.

Islam meletakkan keutamaan kepada pencarian rezeki dan nafkah hidup yang bersih lagi halal. Bukannya mencari jalan singkat mengumpul harta melalui judi yang hukumnya haram dari perspektif Islam.

Islam menegah umatnya daripada bergelumang dengan perjudian yang ternyata bersifat keji dan amalan warisan syaitan. Selaras dengan firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?" (Surah al-Maidah, ayat 90-91)

Dari segi akhlak, seseorang kaki judi itu akan menjadi lalai dalam beramal ibadah, malas untuk berusaha, tamak dan haloba, iri hati, dendam, khianat, suka berhutang, membazir, bercakap bohong serta berputus harap kepada Allah.

Apabila penyakit berjudi semakin kronik membelenggu, maka si kaki judi ini sanggup pula menggadaikan akidah mereka dengan melakukan perbuatan syirik dan menyekutukan Allah seperti bertilik nasib, memuja kubur, mendapatkan bantuan bomoh dan memakai tangkal azimat.

Perbuatan syirik seperti ini dimurkai Allah dan akan menerima balasan setimpal dengan perbuatan terkutuknya. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa orang menyekutukan-Nya dan dia akan mengampunkan dosa selain itu bagi mereka yang dikehendaki-Nya." (Surah an-Nisa', ayat 48)

Seseorang meraih hasil daripada perjudian, ketahuilah ia sumber haram dan tidak diberkati Allah. Maka, kesan seterusnya terpaksa ditanggung akibat berjudi adalah ahli keluarga sendiri.

Apabila rezeki haram disogok ke mulut isteri, anak dan sebati menjadi darah daging mereka, tidak mustahil kesan negatif akan terserlah sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang.

Contohnya, luntur nilai silaturahim sesama keluarga, kehidupan porak-peranda, tiada kepercayaan dan hormat-menghormati, sukar mencapai kejayaan dalam apa juga yang dilaksanakan, terjebak dalam masalah sosial dan sebagainya.

Di akhirat kelak, penderitaan terpaksa ditanggung adalah lebih dahsyat lagi.

Untuk itu, sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, kita harus membendung gejala judi secara menyeluruh dalam kalangan masyarakat merentasi pelbagai umur. Ada begitu banyak permainan berkonsepkan judi yang ada di kedai runcit, seperti permainan tikam dan telur plastik berisi hadiah.

Kata-kata nasihat, program bimbingan keagamaan dan kaunseling adalah kaedah berlembut yang mungkin boleh dipraktikkan untuk memberikan kesedaran kepada kaki judi.

Pengamal media boleh memainkan peranan melalui iklan, dokumentari, siaran perbincangan atau pun dalam bentuk drama dan filem.

Jika ia tidak memberi kesan, perlulah pihak berwajib melaksanakan tindakan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat dan tegas.

Berjudi membuatkan seseorang lalai dan ingkar dengan tuntutan Islam supaya mencari rezeki halal dan diredai Allah. .

Thursday, October 23, 2008

Tuntutan ubat penyakit menerusi jalan halal

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Salleh

Tangkal, azimat, mantera adalah suatu kebodohan dan kesesatan bertentangan hukum syarak

MEMAKAI tangkal untuk menyembuhkan penyakit atau melindungi diri daripada musibah membahayakan adalah sejenis penyakit. Terasa asing juga apabila menulis mengenai tajuk ini kerana pada dunia tanpa sempadan ini, hal begini sudah jarang berlaku malah menjadi pelik apabila dibaca golongan muda kerana mustahil tangkal yang tergantung di leher, pergelangan tangan, pintu rumah dan sebagainya mampu mengatasi kuasa Allah.

Umat Islam perlu mengetahui bahawa untuk menjauhkan diri daripada penyakit, mara bahaya, mengelak terkena penyakit kronik, menambahkan kasih sayang antara suami isteri dan sebagainya ada cara yang dihalalkan.

Pelbagai mantera yang dibaca untuk berubat serta menjaga diri adalah suatu kebodohan dan kesesatan yang bertentangan dengan ketetapan Allah malah boleh menghilangkan tauhid.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa menggantungkan tangkal, maka Allah tidak akan menyempurnakan (imannya) dan barang siapa menggantungkan azimat, maka Allah tidak akan mempercayakan kepadanya." - (Hadis riwayat Ahmad, Abu Ya'la dan Hakim)

Uqbah bin 'Amir pula meriwayatkan bahawa ada sepuluh orang berkenderaan datang ke tempat Rasulullah SAW. Sembilan daripadanya bersumpah setia sementara seorang lagi ditahan. Kemudian mereka yang sembilan itu bertanya: "Mengapa dia ditahan? Rasulullah SAW menjawab: "Kerana di lengannya ada tangkal. Kemudian lelaki itu memotong tangkalnya, maka sumpah setianya diterima Rasulullah SAW dan bersabda yang bermaksud: "Barang siapa menggantungkan (tangkal), maka sungguh dia sudah menyekutukan Allah." - (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim)

Tangkal asalnya adalah daripada orang jahiliah yang menggunakan sihir untuk sesuatu maksud. Setelah kedatangan Islam dan wahyu Allah, sudah tentulah amalan sebegini dihapuskan kerana harapan dan munajat orang Islam hanyalah kepada Allah, berdoa serta mengharapkan rahmat-Nya tanpa ada sesuatu lain dijadikan alat.

Hari ini ada dua jenis tangkal yang berbeza, iaitu tangkal dibacakan ayat al-Quran, nama Allah atau doa dan jenis kedua, alat diperbuat daripada logam iaitu keris, paku, jarum, duit syiling, cincin, tembaga, timah, kulit binatang, misai atau kuku harimau, sisik tenggiling, benang, tasbih, kayu dan sebagainya.

Abdullah bin Mas'ud pernah mendapati isterinya memakai kalung yang ada padanya tangkal (benang dililit di lehernya). Beliau melucutkan tangkal itu dan memotongnya sambil berkata: "Seluruh keluarga Abdullah tidak boleh melakukan amalan syirik kepada Allah dengan sesuatu yang tidak pernah diturunkan oleh Allah keterangannya."

Kemudian beliau menyatakan yang beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah itu syirik. Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, jampi dan tangkal sudah kami tahu, apakah yang dinamakan 'tiwalah' itu? Baginda menjawab: Tiwalah itu ialah pekerjaan yang dilakukan kaum wanita supaya dengannya suami menyayangi isteri mereka." - (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Hakim)

Menurut ulama, tangkal yang ditulis ayat al-Quran, nama Allah, sifat-Nya dan doa tidak kira di mana digunakan, sama ada digantung di leher, diikat di pergelangan tangan, di pinggang, diletak di bawah bantal, di bawah alas tempat tidur, digantung di dinding, atau di atas rangka pintu tidak harus digunakan berdasarkan kepada hadis umum yang bermaksud: "Sesungguhnya jampi dan tangkal juga tiwalah itu syirik." - (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Juga berdasarkan kepada hadis daripada Aqabah bin Amir yang bermaksud: "Barang siapa menggantung tangkal maka sesungguhnya dia sudah syirik." - (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah, Ibn Habban dan al-Hakim)

Ia juga adalah untuk mengelakkan berlakunya penghinaan terhadap ayat suci, iaitu jika ia dibawa ke tempat kotor seperti tandas, dipakai ketika istinjak, ketika dalam keadaan junub dan sebagainya. Pendapat itu disokong oleh Abdullah bin Mas'ud, Ahmad Hambal dan juga kebanyakan sahabat, dan disokong ulama terkemudian daripadanya seperti Ibn Abbas, Uqbah bin Amir dan Ibn Akim.

Pendapat lain pula mengharuskan penggunaan tangkal diperbuat daripada ayat al-Quran, nama Allah dan sifat-Nya. Ini adalah pendapat Abdullah bin Umr bin al-As dan sesetengah ulama salaf.

Walau bagaimanapun, menurut fatwa Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Arab Saudi yang dibukukan, Al-Fatawa Az-Zahabiyah (1996;252), pendapat melarang penggunaan tangkal adalah lebih kuat hujahnya, lebih mantap untuk memelihara akidah, tauhid dan pegangan hidup orang Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berubatlah kamu, kerana sesungguhnya Zat yang membuat penyakit, Dia pula yang membuat ubatnya." - (Hadis riwayat Ahmad)

Bukanlah manusia tidak perlu berbuat apa-apa untuk mengelak daripada kecelakaan, tetapi ia harus dilakukan dengan ikhtiar yang tidak menyekutukan Allah. Untuk melariskan perniagaan, bukanlah dengan pelaris yang dijampi serapah dan dipacakkan di tengah gerai.

Bukan juga tangkal yang digantung di leher anak sehingga berserah sepenuhnya kepada benang yang tidak setebal mana pun, sehingga akhirnya lupa untuk merendah diri memohon pertolongan-Nya, sedangkan Dialah yang mempunyai ubatnya.

Penulis ialah penuntut Ijazah Doktor Falsafah Undang-Undang, Universiti Keele, United Kingdom dan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Sunday, September 14, 2008

Persoalan Agama: Rawatan alternatif usah ada unsur syirik

Bersama Jakim

Soalan:

Apakah hukum orang Islam meminta bantuan bomoh untuk menyembuhkan sesetengah penyakit yang dianggap ghaib. Ada bomoh mendakwa mereka tidak meminta bantuan jin atau makhluk halus lain dan hanya menggunakan ayat al-Quran. Bagaimana pula dengan bomoh bukan Islam.

Sesetengah golongan ini tidak mengaku mereka sebagai bomoh dan sebaliknya menggelar diri sebagai pengamal perubatan tradisional atau alternatif dan pelbagai gelaran yang kelihatan hebat. Bolehkah orang Islam meminta bantuan mereka?

Khairil Anuar Karim,
Klang, Selangor.

Jawapan:

Islam amat menitikberatkan soal-soal akidah, syariah dan akhlak. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber asal al-Quran, hadis, Ijma' dan Qiyas adalah ditolak.

Dalam urusan perubatan kepada pesakit, satu perkara harus diingat oleh semua pihak, bahawa hanya Allah saja berkuasa mutlak menentukan sesuatu dan menjadikannya, termasuk menyembuhkan penyakit manusia disuruh berusaha dan berikhtiar.

Matlamat perbomohan hendaklah matlamat yang baik seperti untuk kesihatan tubuh badan, kerukunan hidup bermasyarakat dan berumahtangga.

Maka dilarang sama sekali untuk membalas dendam, membuat aniaya, menakutkan-nakutkan, mengugut orang lain dan sebagainya.

Pada umumnya, Islam mengharuskan pelbagai cara rawatan selagi mana ia tidak bercanggah dengan syarak.

Secara terperincinya adalah seperti berikut ;

Tidak menggunakan bentuk amalan sihir, ilmu hitam, telek nujum dan sebagainya.

Tidak boleh mengaitkan sesuatu pengeras dengan suatu akibat.

Tidak boleh percaya kepada sial dan mudarat yang menimpa seseorang

Tidak boleh melakukan perkara yang berunsur syirik seperti bersemah pantai, puja busut dan lain-lain.

Tidak boleh menyembelih binatang untuk sesuatu tujuan yang bukan syariat.

Tidak boleh melakukan bacaan tertentu yang menggunakan unsur-unsur meminta izin atau bantuan dari kuasa makhluk 'ghaib' dalam upacara perubatan.

Tidak boleh menyajikan makanan untuk menjamu penunggu.

Tidak boleh mentaati bomoh atau seseorang pada perkara yang jelas bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam.

Menolak sebarang syarat yang diberikan yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.

Friday, July 25, 2008

Jauhi amalan baca ramalan bintang

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

KARUT: Sesiapa yang mempercayai apa yang dikatakan tukang tilik boleh jejaskan akidah.

Kepercayaan kepada ahli nujum, tukang tilik bawa kepada kekufuran

SOLAT mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau di internet tidak akan diterima Allah selama 40 hari, tidak kira mereka percaya atau sebaliknya kerana perbuatan itu sama seperti berjumpa dengan tukang ramal.

Pensyarah fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh, menjelaskan perkara itu berdasarkan ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi mengenai hukum membaca ramalan bintang.

Katanya, walau seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca, solatnya tetap tidak diterima selama 40 hari dan jika membaca serta membenarkan pula ramalan itu, maka orang itu dikatakan kufur kepada ajaran Muhammad.

Bagaimanapun katanya, jika membaca dengan tujuan untuk membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, hukumnya dituntut malah menjadi wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.

"Jelas amalan meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa dikatakan ramalan bintang itu perlu dijauhi mulai hari ini. Ini bukan perkara main-main atau seronok-seronok kerana ia bercanggah dengan hukum Islam," katanya.

Katanya, perkara itu juga jelas daripada hadis riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian dia membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu tidak diterima Allah selama 40 hari."

Perbahasan mengenai minat masyarakat hari ini terhadap ilmu ramalan termasuk membaca horoskop dibincangkan Nik Salida bersama Al-Fadhil Kadi Daerah Temerloh, Badli Shah Alauddin, dalam program Halaqah terbitan TV9 yang disiarkan malam Ahad lalu dengan tajuk Bintang 12.

Program yang mengulas mengenai ayat 105, surah an-Nahl, mengajak penonton menghindari perbuatan berjumpa atau mempercayai tulang tilik dan tukang ramal kerana Allah memberi amaran mengenai golongan pembohong itu.

Nik Salida berkata, tidak dinafikan ramai yang mengatakan tujuan mereka membaca ramalan bintang adalah suka-suka tetapi amalan bermula daripada suka-suka itu akhirnya menyebabkan mereka menjadi obses seterusnya terpengaruh dengan apa yang dibaca.

Katanya, ada kalangan masyarakat hari ini yang melanggan ramalan bintang melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengetahui apa yang diperkatakan mengenai nasib mereka atau perkara bakal dilalui mereka setiap hari, minggu atau bulan.

Sedangkan, perbuatan itu bukan saja merosakkan akidah malah menyebabkan hidup mereka tidak keruan kerana pengaruh ramalan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada aktiviti atau perancangan mereka pada hari itu.

"Jika tidak percaya atau untuk suka-suka kenapa hingga melanggan SMS horoskop. Maknanya bangun pagi kita mahu tengok apa yang diramalkan untuk kita hari itu. Begitu juga dengan membaca di akhbar dan majalah, kenapa kita hendak tahu ramalan.

"Jika katanya dalam bab rezeki apa yang diperoleh tidak setanding kerja dilakukan, maka akan timbul perasaan malas buat kerja sebab rezeki yang dapat sikit saja. Kesan ramalan ini bukan saja pada akidah, juga aspek psikologi.

"Daripada suka-suka itu juga apabila kebetulan perkara diramalkan itu benar berlaku ia mula menerbitkan kepercayaan yang akhirnya menyebabkan mereka jatuh ke lembah kepercayaan perkara karut-marut ini," katanya.

Badli Shah berkata, golongan yang percaya kepada Bintang 12 atau ramalan tukang tilik mengenai untung nasib atau hari baik dan tidak adalah mereka yang tidak percaya ketentuan Allah serta ciptaannya.

Beliau berkata, Allah sudah memberi amaran mengenai golongan itu di dalam al-Quran di mana Allah murka dan mengatakan mereka sebagai golongan pembohongan serta penipu kerana mendahului takdir Allah.

Katanya, apa yang dikhuatiri ialah disebabkan ramalan itu umat Islam lupa bahawa setiap sesuatu yang terjadi itu adalah dengan izin Allah dan ini memberi kesan daripada sudut akidah mereka.

"Jika Allah tidak izinkan perkara itu berlaku, ia tidak akan jadi. Tukang ramal pusinglah daun terup atau biarlah burung dia bercakap tetapi tanpa izin Allah tidak akan berlaku. Malangnya kita tengok, zaman moden ramai yang kembali percaya dan mencari petunjuk daripada zodiak," katanya.

Katanya, kepercayaan kepada ramalan terutama tukang tilik dan ahli nujum boleh mendatangkan kesan negatif seperti menyebabkan pergaduhan antara suami isteri, permusuhan sesama jiran atau sahabat karib.

Contohnya, isteri yang diberitahu mengenai sikap suami atau ramalan bahawa suami akan berkahwin lagi pastinya menyebabkan berlaku perbalahan dan paling malang lagi jika perkara itu tidak benar sama sekali.

Rasulullah SAW turut berdepan dengan kelompok masyarakat Arab yang taksub dengan ramalan dan kiraan bintang hingga Baginda menyebut akan tiga golongan itu terdiri daripada mereka yang mampu meramal bintang, meramal barang hilang dan melakukan ramalan berdasarkan pergerakan bintang di langit.

Malah, Baginda SAW pernah didatangi beberapa orang yang meminta Baginda meramal masa depan orang Arab tetapi Baginda memberitahu, jika diketahui perkara ghaib nescaya dirinya sudah mendapat kemewahan serta terlepas dari musibah.

Mengulas mengenai sejarah Bintang 12, Badli Shah berkata, kepercayaan itu berasal dari Mesopotania, daerah asal orang Babylon terletak antara sungai Tigris dan Euphrates dan kini terletak di tenggara Iraq.

Ilmu itu berkembang sejak Babylon kuno 200 tahun sebelum masihi dan secara bertahap. Amalan dan kepercayaan itu semakin berkembang hingga tahap yang dikenali sebagai horoskop atau Bintang 12 yang mengaitkan keperibadian dengan tarikh lahir berpandukan bintang.

"Contohnya bintang Capricorn untuk mereka yang lahir 22 Disember hingga 20 Januari ikut mitos Yunani ialah lambang kambing. Kambing itu bernama Almateus dan pernah beri air pada Dewa Zeus iaitu dewa tertinggi bagi bangsa kuno ketika kecil.

"Oleh itu, bagi mengenang jasa kambing itu ia dijadikan bintang dan bercahaya di langit. Kesimpulannya, Capricorn itu kambing saja. Di sini pun banyak kambing, tidak perlu tengok ke langit. Umat Islam perlu renung sejenak adakah bintang ini sesuai dengan peribadi Muslim.

"Sesuai ke jika umat Islam percaya kepada bintang kambing biri-biri atau lambang orang lelaki gagah tuang air dalam tempayan besar sedangkan banyak perkara lain lebih bermanfaat yang boleh kita fikirkan," katanya.

Justeru, beliau menasihati kepada umat Islam supaya menjauhi amalan membaca ramalan bintang atau tulang tilik walaupun untuk suka-suka kerana boleh memberi kesan kepada akidah serta amalan solat yang dilaksanakan.

Friday, February 22, 2008

Bicara Kalbu: Percaya ramalan dukun tidak ditunjangi akidah

www.bicarakalbu.com

SALAH seorang ahli keluarga saya adalah seorang dukun. Ramai yang datang menemuinya kerana pelbagai tujuan antaranya untuk mendapat jampi serapah bagi menyembuh penyakit, meminta tangkal supaya digeruni, menilik barang hilang dan ingin mencari jodoh. Terkini, sejak demam pilihan raya, ramai datang untuk meramal nasib sama ada dipilih untuk dicalonkan atau tidak, menang atau kalah. Persoalan saya, apakah garis pemisah dalam mempercayai perkara ghaib ini supaya tidak tergelincir akidah kerana apa yang saya difahamkan kita diwajibkan mempercayai perkara yang ghaib?

Siswi desa,
Kuala Lumpur

Persoalan saudari meliputi profesion bomoh, dukun, peramal nasib dan ahli nujum. Kini istilah dukun dilihat daripada perspektif positif. Dukun tidak lagi dikaitkan dengan dunia perbomohan kerana dukun sekarang tidak membabitkan mekanisme pelik seperti dilakukan bomoh.

Bukan sedikit orang terjebak dengan kata-kata bohong dan permainan kotor bomoh. Malangnya, ada yang terpengaruh dengan dunia bomoh ini adalah daripada kalangan intelektual dan berkelulusan tinggi.

Fenomena ini berlaku kerana kepandaian mereka tidak ditunjangi akidah Islam yang murni dan telus. Kadang kala fenomena itu melanda orang yang cintakan dunia dan gila kuasa.

Bomoh dalam bahasa Arab disebut Kahin dan tukang ramal disebut 'Arraf. Pengertian 'Arraf (tukang ramal atau tenung nasib) adalah orang yang mengaku mengetahui kejadian sudah lalu, kononnya boleh menunjukkan/menjumpai barang dicuri atau tempat hilangnya suatu barang.

Pengertian Kahin adalah orang memberitakan hal ghaib yang akan terjadi atau sesuatu terkandung di hati.

Menurut Syeikh Islam Ibnu Taimiyah, "'Arraf , Kahin , Munajjim (ahli nujum-meramal nasib berpandukan bintang) adalah nama yang sama untuk dua makna di atas."

Pengetahuan terhadap perkara ghaib adalah perkara yang menjadi rahsia Allah. Termasuk sifat Allah SWT paling khusus, yang tidak ada seorang makhluk pun dapat menyamainya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "(Dia adalah Rabb) yang mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorangpun mengenai yang ghaib itu, kecuali kepada rasul yang diredaiNya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan di belakangNya" (Surah Al-Jin, ayat 26-27)

Bomoh membawa lebih mudarat daripada kebaikan. Masyarakat tertipu sudah membazirkan harta demi mendapatkan ilmu ghaib dan mendapatkan khidmat ghaib menurut sangkaan mereka.

Bomoh memberitahu mereka beberapa perkara secara kebetulan benar dan sebahagian besarnya tidak benar. Bohong semata. Padahal Nabi pun tidak tahu perkara ghaib dan apa yang akan berlaku seperti mana Allah SWT berfirman kepada nabi-Nya yang bermaksud: "Katakanlah. Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudaratan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudaratan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman?" (Surah Al-A'raf, ayat 188)

Jika Nabi pun tidak mengetahui perkara ghaib, maka orang lain pasti tidak tahu. Secara logiknya Baginda lebih tahu dan berhak daripada mereka.

Panduan berikut boleh mengelakkan kita tergelincir akidah apabila berdepan dengan fenomena perbomohan:

Kita perlu mengenal pasti dan memahami ilmu ghaib yang bersumberkan daripada ayat al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Kita perlu berwaspada kerana kebanyakan orang yang mengaku mengetahui perkara ghaib bukanlah orang baik dan bertakwa. Orang yang bertakwa tidak mudah mengaku atau mencanang kelebihannya.

Kita perlu sedari, jika mengetahui hal yang ghaib adalah daripada keimanan yang benar, tentunya orang paling berhak ialah Rasulullah SAW.

Aisyah isteri Nabi berkata, "Ada sekelompok orang yang bertanya kepada Rasulullah SAW masalah bomoh dan tukang tenung. Baginda menjawab: Mereka tidak ada apa-apanya. Kemudian mereka bertanya lagi: Wahai Rasulullah, kadangkala mereka membicarakan sesuatu yang benar. Maka Rasulullah menjawab: Itulah sebuah kalimat kebenaran yang dicuri oleh jin, lalu disampaikan kepada telinga pembelanya, kemudian pembela jin ini mencampurkanya/menambah dengan seratus pembohongan."

Jawapan disediakan Ahli Jawatankuasa Wanita JIM, Endok Sempo Mohd Tahir. Semua persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.com