Showing posts with label Tahun Baru. Show all posts
Showing posts with label Tahun Baru. Show all posts

Sunday, January 3, 2010

Ulul Albab: Apabila tahun baru sekadar pertukaran angka

Oleh Abdurahman Haqi


KITA perlu sentiasa bersyukur dengan kurnia Allah SWT kerana masih berpeluang menyambut tahun baru. Namun sebagai umat Islam, kita hendaklah sentiasa merenung masa lalu bagi menginsafi dan memotivasikan diri. - Gambar hiasan

Umat yang tak menghargai, mengenal nilai masa tidak akan jadi manusia berjaya

JIKA kita memerhati penggantian angka dari 2009 kepada 2010 kita hanya melihat satu makna. Tetapi jika kita memerhati penggantian makna dari 2009 kepada 2010 kita akan melihat banyak angka. Ini sama seperti kita melihat atau membaca satu ayat al-Quran tetapi banyak di dalamnya pelbagai tafsiran.

Dari sudut perangkaan penggantian dari 9 kepada 10 adalah perkara yang tidak lazim bukan seperti penggantian angka sebelumnya. Jika penggantian angka sebelumnya adalah kepada angka baru seperti 1 menjadi 2 dan 8 menjadi 9, maka penggantian angka 9 menjadi 10 adalah satu titik mula kembali kepada asal. Sebelum ditemukan angka 0, permulaan angka adalah 1 dan diakhiri dengan 9. Ketika saintis Muslim menemukan angka 0 yang sama dengan 'titik' dalam perangkaan Hindi, maka pengiraan angka mempunyai wadah atau tempat. Penemuan saintis Muslim dalam sistem angka inilah era digital pada hari ini berhutang budi. 10 adalah angka keramat seperti pernah disentuh sebelum ini. Ia adalah permulaan dua digit yang berkesudahan pada angka 99 dan gabungan antara angka mati dan permulaan angka hidup.

2009 yang penuh dengan suka duka baru saja berlalu dan 2010 juga akan dipenuhi dengan suka duka juga baru saja menjelma. Yang telah berlalu tidak akan kembali dan yang akan datang kita belum tahu apa yang akan terjadi.

Untuk memikirkan apa yang akan kita lakukan pada masa hadapan adalah sesuatu yang dituntut agar kita selalu dimotivasikan untuk membuat perkara positif yang membawa faedah kepada kita. Tetapi, memikirkan apa yang telah berlalu kemudian terkongkong dengan imaginasinya, maka ia tidak akan membawa kepada sebarang perubahan bahkan ia akan memudaratkan diri sendiri.

Pada suatu hari Saidina Umar ibn al-Khattab sedang berkumpul dan berbincang dengan sahabatnya. Untuk memecahkan suasana perbincangan beliau berkata: "Berangan-anganlah kamu sekalian. Salah seorang daripada mereka berkata: "Aku berangan-angan seandainya rumah ini dipenuhi oleh emas untuk aku nafkahkannya di jalan Allah." Lalu Umar berkata, "Berangan-anganlah kamu sekalian." Yang lain pula berkata: "Aku berangan-angan sekiranya rumah ini dipenuhi dengan permata agar aku boleh mendermakannya ke jalan Allah dan bersedekah dengannya."

Kemudian Umar berkata lagi: "Berangan-anganlah kamu sekalian." Mereka lalu berkata: "Kami tidak tahu lagi apa yang harus kami katakan wahai Amirul Mukminin." Umar berkata: "Aku justeru berangan-angan seandainya ada orang seperti Abu Ubaidah ibn al-Jarrah, Mu'az ibn Jabal dan Salim Mawla Abu Huzaifah agar aku dapat meninggikan kalimat Allah dengan bantuan mereka." Lain yang dilihat oleh Khalifah Umar, lain pula yang dilihat oleh beberapa orang sahabatnya dan kedua-duanya tidak salah dari sudut pandang Islam. Oleh itu tidak ada acara saling salah-menyalahkan dalam sesi perbincangan itu. Yang ada hanyalah penambahan minda hadirin dengan hujah yang dikemukakan.

Saidina Umar tidak melihat kepada kebendaan dalam memajukan dakwah demi peninggian agama Islam, i'la kalimatillah. Yang beliau utamakan ialah sumber manusianya.

Manusia lebih penting daripada benda kerana benda diadakan Allah untuk kepentingan manusia. Kemanfaatan seseorang manusia dilihat tanda arasnya daripada kepanjangan umurnya yang digunakan untuk faedah alam sekitarnya. Selagi ia berbuat baik kepada persekitarannya, sebanyak itu pula dia mendapat kebaikan bahkan dilipatgandakan oleh Allah. Begitu pula sebaliknya, jika kejahatan mendominasi kepanjangan hidupnya maka keburukan pula yang akan diterimanya.

Ketika Rasulullah SAW ditanya: "Siapakah manusia terbaik?" Baginda menjawab: "Orang yang panjang usianya dan baik pula amalnya." Baginda kemudian ditanya lagi: "Lalu, siapakah manusia terburuk?" Jawab Nabi: "Orang yang panjang usianya tetapi buruk amalnya." (Hadis riwayat Tirmizi)

Jika kita melihat penggantian 2009 kepada 2010 dari sudut sebutan angka saja, maka kita tidak akan melihat makna di dalamnya. Oleh itu kita mesti melihatnya dari sudut pandang makna kehidupan kita agar kita akan menghargainya kerana ia akan penuh makna. Makna yang paling menonjol ialah menghormati masa dan menggunakannya dengan sebaik-baiknya agar tidak termasuk insan yang rugi.

Masa adalah anugerah adil yang dikurniakan Allah SWT kepada makhluknya. Sesiapa yang bersyukur yakni dengan menggunakan sesungguhnya maka Allah akan tambahkan nikmat-Nya, tapi barang siapa ingkar maka azab Allah amatlah pedih.

Pendakwah yang disebut sebagai 'televangelist' Muslim semasa, Amr Khalid dalam buku Ghayyir Nafsak (Rubah Dirimu) ada menulis bahawa apabila kita membaca al-Quran, kita akan dapati bahawa Allah sering bersumpah dengan masa. Tuhan sememangnya tidak akan bersumpah melainkan sesuatu itu penting dan mempunyai nilai berharga. Allah swt berfirman maksudnya: "Demi malam apabila menutupi (cahaya siang) dan siang apabila terang benderang." (Surah al-Lail: 1-2) "Demi waktu Dhuha dan demi malam apabila telah sunyi." (Surah al-Dhuha: 1-2) "Demi fajar dan malam yang sepuluh." (Surah al-Fajr: 1-2) "Demi matahari dan cahayanya di pagi hari dan bulan apabila mengiringinya." (Surah al- Syams: 1-2) "Demi masa." (Surah al-Ashr: 1) "Maka sesungguhnya Aku bersumpah dengan cahaya merah pada waktu senja." (Surah al- Insyiqaq: 16)

Apakah yang menarik di sebalik masa ini hinggakan Allah bersumpah dengannya. Kembali kepada tujuan al-Quran diturunkan, maka Allah menginginkan kita supaya memerhatikan perkara ini agar mendapat pengajaran. Begitu banyak sumpah-Nya berkaitan dengan waktu. Maka umat yang tidak mengenal harga nilai masa tidak akan menjadi umat yang maju dan berjaya.

Ketika kita membaca: "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia." Hati kita pasti terkesan dengan sebutan umat terbaik akan tetapi keadaannya sangat menyedihkan. Pada asasnya, seseorang umat akan menjadi terbaik dan berjaya hanya jika mampu memanfaatkan kurnia Allah sebaik-baiknya dan tidak menyalahgunakannya. Maka apatah lagi bagi kita umat Islam. Dapatkah kita memahami betapa pentingnya masa yang sering kita sia-siakan?

Penemuan pertama kaum Muslimin awal masa keemasannya adalah jam. Pada waktu itu mereka mengembangkan dan meletakkannya di tempat awam dan di ruang istana. Mereka begitu membanggakannya. Mengapa? Sungguh mereka berjaya kerana memerhatikan masa. Sungguh agung umat ini.

Namun kini kita tidak begitu. Seorang yang taat beragama sepatutnya menghargai waktu dalam kehidupannya. Apatah lagi da'i yang mengajak manusia ke arah perjuangan Islam. Kisah berikut adalah kisah benar yang berlaku kepada seorang tokoh Muslim yang berjumpa dengan warga asing. Muslim itu terlambat beberapa minit. "Anda muslim?" tanya warga asing itu. "Ya." "Anda solat?" tanyanya lagi. "Ya." "Berpuasa pada Ramadan?" "Ya." "Anda sudah menunaikan haji?" "Ya, tentu." "Anda solat Jumaat tepat waktu?" "Sudah tentu." "Sungguh aneh orang Islam. Agama mereka mengajarkan prinsip agung, sayang mereka tidak mengendahkannya."

Amma ba'du, masihkah kita menjadikan penggantian tahun ini hanya sebuah penggantian angka saja dengan tetap mengutamakan foya-foya? Wallahu alam.

Tuesday, December 29, 2009

Tajdid Iman: Muhasabah diri sebelum tahun baru

Disiplin, amal ibadat, zikir bantu ummah perangi cengkaman hawa nafsu

MENDEKATI detik terakhir penghujung tahun ini, sememangnya agak gementar mengimbas kembali catatan kealpaan diri sepanjang tahun. Orang mukmin yang jujur suka mengorek rahsia hatinya dengan mencari kelemahan dan menangisi kerugian yang ditanggung. Mereka merumuskan makna kejayaan dan peningkatan pencapaian sebenar bagi setiap tahun dalam kehidupan mengikut kacamata agama.

Sesungguhnya peningkatan agama bergantung dengan ibadat, peningkatan harta kerana pandai merancang dan berjimat, peningkatan ilmu kerana mengkaji, peningkatan akhlak kerana lemah lembut dan mengawal emosi, peningkatan dalam hubungan sesama manusia kerana membuang sifat sombong dan riak, peningkatan kesabaran hati kerana banyaknya musibah, peningkatan kualiti diri kerana disiplin yang kuat.

Kelemahan diri pula menjadi agenda yang paling penting untuk diinsafi setiap masa, misalnya ketika kita kekurangan harta akibat nafsu membeli-belah yang tinggi dan tidak pandai merancang. Sewaktu ditimpa surutnya cahaya di hati kerana malas beribadah dan meninggalkan ilmu. Kerasnya jiwa kerana jauh dari al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya. Berkurangnya kawan dan renggang ikatan persaudaraan kerana suka menambah musuh, takbur, menunjuk-nunjuk dan berdengki. Bertambahnya penyakit kerana banyak makan, malas, berehat dan berhibur secara berlebihan. Berkurangnya umur dan sedikitnya bekalan ke akhirat juga menunjukkan betapa ruginya manusia sepanjang tahun ini.

Saat bermuhasabah tidaklah terbatas hanya pada hujung tahun, kerana Rasulullah SAW mengajar umatnya untuk sentiasa mengakui kelemahan diri melalui firman Allah yang bermaksud: "Orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas ampunan-Nya dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaan) mu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu. Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa." (Surah al-Najm: 32)

Jangan sesekali menganggap diri sudah berjaya sebelum benar kepastiannya mengenai pintu syurga atau neraka yang akan dimasuki. Sepanjang kehidupan yang kita lalui di dunia, banyak kemungkinan akan terjadi. Berubahnya hati dan turun naiknya iman, pasang surutnya amalan dan bertambah atau berkurangnya dosa dan pahala. Hakikatnya ramai yang menjadi tawanan hawa nafsu dan sedikit saja orang yang selamat. Layakkah kita menjadi golongan yang sedikit itu?

Suatu hari Ibnul Qayyim Al-Jauziyah menziarahi gurunya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah yang sedang dipenjara dan difitnah musuh-musuhnya. Melihat keadaan gurunya itu beliau pun menangis. Ibnu Taimiyah berkata: "Apakah kamu menangis melihat keadaanku? Demi Allah, wahai anakku, aku bukan seorang tawanan. Sesungguhnya orang yang menjadi tawanan itu sebenarnya adalah orang yang menahan hatinya dari ikatan Tuhannya membiarkan hawa nafsunya menawannya."

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Terangkanlah kepadaku akan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya." (Surah Al-Furqan: 43)

Mulakan muhasabah ini dengan melihat sejauh mana kekuatan hawa nafsu mempengaruhi diri. Betapa hebatnya cengkaman hawa nafsu terhadap jiwa raga kita sehingga kedudukannya boleh jadi setaraf dengan Tuhan dalam pandangan manusia yang lalai. Bahkan Baginda pernah memberi nasihat kepada seorang sahabat supaya berwaspada dengan jerat nafsu.

Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Rabi'ah, mintalah kepadaku". Aku berkata: "Wahai Rasulullah biar aku fikirkan sebentar. Lalu aku mengingat-ingat dunia serta kefanaannya sehingga aku berkata: "Aku tidak akan meminta kecuali akhirat. Kemudian aku mendatangi Baginda SAW dan berkata: "Aku meminta supaya aku boleh menemanimu di syurga. Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Rabi'ah adakah yang selain dari itu? Aku menjawab: Itu saja. Maka Rasulullah SAW bersabda lagi: Berjanjilah untuk kamu mengendalikan hawa nafsumu dan banyakkan sujud (nescaya kamu akan menemaniku di syurga)." (Muslim)

Hawa nafsu boleh dilemahkan jika manusia berdisiplin memeranginya. Satu kata kunci untuk kejayaan adalah disiplin. Ia wujud dalam sistem ibadat kita, solat lima waktu dan solat sunat, puasa, haji, zakat dan sedekah. Zikrullah dengan terang ataupun tersembunyi, memelihara al-Quran sentiasa hidup di dalam hati dan melaksanakan sunnah Rasul adalah disiplin. Mengisi masa dengan amal, menguasai dunia demi akhirat memerlukan disiplin yang tinggi.

Ibnu Al-Qayyim pernah berkata: "Wahai orang yang lemah semangat! Sesungguhnya di atas jalan ini Nuh menjadi tua, Yahya dibunuh, Zakaria digergaji, Muhammad diseksa dan anda pula inginkan Islam datang dengan mudah di bawah kakimu?"

Selepas meneliti kuasa hawa nafsu dalam diri dan mengakui cengkamannya yang melemahkan amal salih maka langkah yang kedua ialah menentukan azam baru untuk memerangi, merancang jalan mana yang mahu ditempuhi, lebih tajam membuat siasat perang dan berwaspada dengan muslihat musuh setiap saat.

Musuh manusia yang paling licik berada di sekelilingnya. Ia tidak memilih apakah orang itu alim atau jahil, ahli ibadat atau ahli maksiat, mukmin atau kafir. Syaitan tetap syaitan, semua orang dipengaruhi syaitan masing-masing. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya syaitan itu mengalir di dalam tubuh anak Adam laksana mengalirnya darah dan sesungguhnya aku bimbang dia akan menimbulkan di dalam hati kamu sesuatu yang jahat." (Al-Bukhari dan Muslim)

Setiap konflik yang muncul dalam pergaulan manusia kerana dengki, dendam dan sombong, perselisihan suami dan isteri, terputusnya ikatan sanak saudara, anak menderhaka, orang tua tidak amanah, orang kaya tamak, pemimpin zalim serta lalai dan kufurnya manusia terhadap Allah SWT, semua itu berpunca daripada hasutan syaitan akibat diri menjadi tawanan nafsu.

Orang mukmin sentiasa mengingati diri mereka supaya berlindung dari gangguan syaitan, mengenali bahawa kejahatannya itu adalah hasil kerja syaitan dan cepat-cepat kembali bertaubat dan berwaspada supaya tidak tertipu lagi dengan kenikmatan yang dijanjikan syaitan. Oleh kerana sifat dosa adalah nikmat sesaat manakala pahala pula bersifat susah, perit dan seksaan maka ramailah yang kecundang dalam memilih.

Tetapi bagi orang mukmin, seksaan melawan hawa nafsu dan syaitan itu sedikit demi sedikit berubah menjadi nikmat jiwa yang paling bernilai yang tidak pernah dirasai orang fasik lagi lalai. Nikmatnya seakan-akan di dalam syurga walaupun mereka masih berada di dunia lagi.

Ibnu Taimiyah berkata: "Sesungguhnya di dunia ini ada syurga, sesiapa yang belum masuk ke dalamnya dia tidak boleh masuk syurga akhirat. Murid-muridnya bertanya: "Apakah syurga dunia itu? Beliau berkata: "Syurga mengenal Allah, mencintai-Nya, merindu dan berlemah-lembut kepada-Nya."

Penulis ialah Mufti Perlis

Monday, December 28, 2009

Tahun baru harus jadi pemangkin minda

Oleh Zainul Rijal Abu bakar

Tiada guna masa berlalu tanpa memperoleh manfaat, usaha perbaiki kelemahan diri

MINGGU ini adalah minggu terakhir sebelum 2009 melabuhkan tirainya. Tahun 2010 pula sedang mengintai dengan penuh harapan dan dugaan. Umat Islam pula masih baru menyambut Maal Hijrah yang menandakan permulaan tahun 1431 Hijrah. Azam dan iltizam memenuhi gerak hati kebanyakan insan yang berikrar memperbaiki diri.

Kemunculan tahun baru ini seharusnya menjadi pemangkin minda kita memikirkan apakah yang berlaku sepanjang tahun dan bagaimanakah pula kita akan menghadapi tahun baru nanti. Segala suka dan duka yang berlaku hendaklah dijadikan teladan dan sempadan kepada kita. Tiadalah gunanya tahun berlalu tanpa apa-apa manfaat yang kita peroleh. Tiadalah manfaatnya tahun berlalu tanpa kita perbaiki untuk masa-masa akan datang.

Apa yang berlaku tercatat sebagai sejarah. Tiada siapa yang dapat mengubahnya dan sejarah itu pasti berulang. Itulah lumrah alam. Oleh hal yang demikian kita tidak dapat lari daripada memikirkan apa yang telah berlaku kepada kita.

Jika kita menyorot apa yang berlaku sepanjang 2009, tentu banyak perkara yang akan merungkai minda kita.

Dari sudut perundangan Islam pula, sudah tentu kalendar 2009 diwarnai dengan pelbagai persepsi yang positif dan negatif.

Umpamanya keputusan Majlis Raja-Raja menolak cadangan pindaan undang-undang keluarga Islam yang dicadangkan kerajaan menarik perhatian pelbagai pihak berkaitan dengan undang-undang itu. Begitu juga kes Kartika Seri Dewi Sukharno yang masih belum lagi dilaksanakan hukuman sebat ke atasnya menimbulkan polemik yang agak sukar difahami ramai orang. Pendakwaan kes mengajar tanpa tauliah Dr Mohd Asri Zainal Abidin juga tidak kurang menarik perhatian umum.

Kes Muhammad Ridzuan Pathmanathan seorang mualaf yang mengislamkan anaknya mengambil tempat di dada akhbar arus perdana. Begitu juga halnya dengan kes perkuburan Islam di Kota Kemuning yang mana Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan Majlis Agama Islam Selangor mencelah juga membangkitkan ketidakpuasan hati di kalangan masyarakat Islam.

Semua kes di atas adalah manifestasi bahawa perjuangan memartabatkan Islam di bumi Malaysia masih belum mencapai matlamatnya yang sebenar. Usaha kita untuk mengarusperdanakan Syariah perlu dilipat ganda dan disusun atur dengan lebih sistematik bagi mencapai kejayaan.

Semoga tahun mendatang ini akan menjadi lebih baik khususnya berkaitan perkembangan agama Islam di tanah air. Walaupun bibit penambah baik itu mula dirasainya, ia bukannya suatu jaminan umat Islam berasa selesa dan menghentikan perjuangan. Walaupun kesatuan NGO Islam disemai, masih banyak perkara yang perlu diperkukuhkan antara NGO Islam. Melihat kepada cabaran yang akan dihadapi kelak, sebenarnya sudah tiada masa untuk umat Islam berseronok dan terkinja-kinja menyambut tahun baru.

Tahun baru mesti disambut dengan penuh keazaman dan komitmen agar Islam diletakkan di tempatnya. Bukan caranya menyambut tahun baru dengan pesta liar yang langsung tidak menggambarkan adat ketimuran budaya, bangsa dan agama.

Saya juga mengharapkan perpecahan di kalangan umat Islam akan dapat diperbaiki. Perpaduan antara umat Islam dan bukan Islam pula dapat ditingkatkan di samping saling hormat menghormati antara satu sama lain sejajar dengan prinsip Rukun Negara dan Keluhuran Perlembagaan dan kedudukan istimewa Islam di negara kita.

Kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan perlu direalisasikan dan dalam masa yang sama agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Ini bermakna agama lain boleh diamalkan selagi ia tidak menjejaskan keamanan dan kedamaian terhadap Agama Persekutuan di dalam negara.

Pada masa yang sama umat Islam hendaklah jangan sesekali mengherdik agama orang lain sebagaimana kita sendiri tidak mahu agama kita diherdik. Jangan memperlekehkan agama orang lain seperti kita tidak mahu diri agama kita diperlekehkan.

Perubahan minda sebegini amat penting bagi mengharungi tahun baru ini. Tanpanya sudah pasti kita akan berada di takuk lama dan tidak akan menjadi contoh teladan kepada orang lain.

Anjakan minda sebegini akan menjadi pemangkin kepada kita menggapai kecemerlangan pada tahun hadapan. Berbeza pandangan dalam perkara furu' adalah lumrah dan janganlah begitu terpesona dan taksub dengan sesuatu pandangan hingga tidak boleh berlapang dada menerima teguran orang lain.

Walaupun 2009 menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan yang menguji kesabaran dan perpaduan masyarakat, 2010 pasti akan menjadi pertaruhan sekiranya tiada usaha mantap memperbetulkan keadaan yang sedang berlaku.

Untuk itu pihak kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, institusi dan individu perlu sedar hakikat sebenar dan tidak mementingkan diri sendiri saja. Moga tahun baru ini memberi harapan ke arah memartabatkan agama Islam di samping memelihara perpaduan rakyat pelbagai bangsa.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia, boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my