Showing posts with label Taubat. Show all posts
Showing posts with label Taubat. Show all posts

Tuesday, February 16, 2010

Tajdid Iman: Pintu taubat wanita berzina terbuka luas

Oleh Dr Juanda Jaya


KANAK-KANAK ini perlukan bimbingan, kasih sayang ibu bapa elak terjerumus ke lembah maksiat apabila dewasa. - Gambar hiasan


Masyarakat perlu ada sifat pemaaf, prihatin bendung gejala buang bayi daripada berleluasa

PERSEPSI negatif masyarakat terhadap dosa penzina agaknya melampau sampai ke tahap tiada ampun lagi. Jika setakat mencela perbuatan terkutuk itu tidaklah berat ditanggung penzina yang mahu bertaubat.

Tetapi jika sampai tidak menaruh belas kasihan bahkan dipulaukan, dikeji seumur hidup sampai anak yang dilahirkan turut sama menanggung dosa orang tua dengan panggilan anak haram, diistimewakan dengan sebutan nama berbin dan binti Abdullah supaya berbeza daripada anak-anak lain, apakah ini sikap memaafkan masyarakat kita?

Apabila berlaku fenomena membuang bayi, kita sepakat mengutuk sekeras-kerasnya kejahatan ini tanpa menilai mengapa ia berlaku. Adakah disebabkan budaya masyarakat yang jauh menyeleweng daripada agama, jika benar mengapa ramai orang Islam yang terbabit?

Mungkin orang kafir lebih bijak menghapuskan benih perzinaan itu dengan melakukan pengguguran, tetapi persoalannya adalah sikap membunuh darah daging yang sempurna bentuk jasad dan sifatnya itu lebih kejam daripada pengguguran pada awal kandungan.

Kita tidak mempersoalkan tindakan mana lebih kejam kerana memang kedua-duanya adalah dosa besar dalam Islam. Tetapi umat Islam perlu memiliki sifat kemanusiaan dan jangan menghukum teruk wanita yang berzina supaya mereka tidak takut dan kembali melakukan dosa besar dengan membuang bayi.

Bayi tidak berdosa itu terbunuh mungkin disebabkan proses kelahiran yang disembunyikan akibat perasaan takut dan malu, bukan kerana sengaja mahu dibunuh. Bagaimana jika ia bukan hasil perzinaan, kerana jenayah rogol misalnya atau 'haruan makan anak'.

Disebabkan masyarakat tiada belas kasihan dan keluarga berantakan, maka wanita yang terbabit berusaha menutupi dosa dengan melahirkan sendiri anak tak berdosa itu. Mustahil mereka mahu membunuh bayi selepas kelahiran. Kalau berniat membunuh, mereka akan melakukannya pada awal kandungan lagi.

Mungkin sesetengahnya tidak sempat menggugurkan kandungan dan terpaksa menunggu saat kelahiran, tetapi pada masa menunggu itu mengapa keluarga dan masyarakat tidak mahu memaafkan sehingga wanita ini putus asa dan akhirnya membunuh bayinya.

Keluarga dan masyarakat berperanan besar dalam menyelesaikan fenomena ini. Orang Islam yang taat jangan sesekali memandang serong wanita yang sudah bertaubat. Mereka yang terlanjur dan mahu bertaubat sepatutnya dibimbing, dikasihani dan ditunjukkan jalan keluar. Jika kita bersikap keras, membenci dan terus memusuhi mereka tanpa memberi peluang, fenomena sebegini akan berlarutan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu [246]. Kemudian apabila kamu membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya." (Surah Ali Imran ayat: 159)

Kita dituntut untuk terpanggil dan sensitif dengan gejala tidak sihat di sekeliling rumah, tempat kerja, lingkungan di seluruh negeri kita. Jika ada anak saudara yang terlanjur, mampukah kita memberi kemaafan dan menanggung sama aib itu, atau kita menutupinya kerana takut dicemuh masyarakat kemudian tidak peduli dengan perbuatannya bahkan melarang anak perempuan kita bergaul rapat dengannya?

Bukankah lebih baik mengajar anak-anak kita menolong, menasihat dan mencari jalan keluar supaya taubatnya benar-benar nasuha? Malangnya, cerita keji itu tetap dikenang selamanya dan dijadikan cacian dalam keluarga sendiri padahal wanita itu sudah bertaubat.

Kita lihat pandangan dan sikap Baginda SAW terhadap wanita berzina dalam suatu hadis mengenai taubat yang bermaksud:

"Ada seorang wanita dari Juhainah datang kepada Rasulullah SAW sedang dirinya hamil kerana berzina. Dia berkata: Wahai Rasulullah aku telah melakukan kesalahan yang menyebabkan aku terkena hudud, maka laksanakanlah hudud itu kepadaku. Kemudian Rasulullah SAW memanggil wali perempuan ini dan bersabda: Berbuat baiklah kepadanya apabila sudah melahirkan bawalah dia kepadaku." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Rasulullah SAW tidak sesekali mengeji wanita yang ingin bertaubat ini, tidak mencari dan mengheret lelaki yang melakukannya dan tidak menjatuhkan hudud ke atasnya saat itu juga. Bahkan Rasulullah SAW berpesan kepada ayahnya atau bapa saudaranya atau saudara lelakinya supaya menjaga wanita ini baik-baik. Betapa lembutnya akhlak Nabi SAW, sedangkan ramai anak-anak perempuan di sekelilingnya terlanjur tak dapat menahan marah ke atas mereka. Sehingga menyebabkan wanita itu tetap dalam kejahatannya bahkan bertambah jahat lagi dengan membuang bayi mereka.

Kemudian selepas wanita itu melahirkan dan cukup tempoh penyusuan bayinya, sesudah dia meninggal dalam hudud, baginda mensolatkannya. Umar RA bertanya: Wahai Rasulullah mengapa engkau mensolatkan wanita ini padahal dia berzina. Rasulullah bersabda: Wanita ini benar-benar bertaubat seandainya taubat itu dibahagi kepada 70 orang Madinah nescaya masih cukup. Pernahkah kamu mendapatkan orang yang lebih utama daripada seorang yang menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah Azza Wa Jalla".

Seperti kita, Umar mengeji sekeras-kerasnya penzina. Tetapi Rasulullah SAW mengingatkan mengenai kedudukan taubat lebih tinggi lagi daripada segala kejahatan yang pernah dilakukan manusia.

Sebelum hudud ditegakkan, negara mesti menyediakan badan dakwah dan kebajikan yang aktif berperanan mendidik umat, menggunakan pendekatan kasih sayang dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar, membanteras jenayah dengan usaha pencegahan berlandaskan ilmu, nasihat dan bimbingan.

Jika ibu bapa sibuk dengan urusan sendiri, tidak menghiraukan pendidikan agama kepada anak-anak, langkah terbaik adalah mengenakan dulu hukuman ke atas ibu bapa yang tidak bertanggungjawab sebelum menyalahkan anak-anak terbabit.

Malang sungguh, saat terlanjur mereka diberhentikan daripada pengajian, dipulau keluarga, tiada yang sudi menasihati dan membimbing, jalan taubat ditutup rapat oleh masyarakat sekeliling. Jika kita tidak mengubah persepsi terhadap wanita-wanita malang ini selamanya gejala buang bayi akan berleluasa.

Tuesday, February 2, 2010

Taubat sebenar perlu disertai dengan keinsafan

Oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat, maka dengan adanya dua sebab itu mereka diterima Allah taubatnya; dan ingatlah Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat, dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Nisa’, ayat 17-18)

Taubat adalah tuntutan agama dan ulama mengatakan, bertaubat wajib bagi setiap orang Islam. Banyak ayat mengenai taubat dalam al-Quran sama ada diturunkan di Makkah atau Madinah.

Ayat surah al-Nisa’ ini adalah seruan kepada taubat. Ayat pertama menyebutkan orang yang melakukan dosa lalu ia bertaubat, maka Allah akan mengampunkannya. Allah juga menyeru segera melakukan taubat dan jangan hampir saat kematian baru hendak bertaubat.

Ketika itu, permohonan taubatnya tidak lagi diterima. Mufasirin berbeza pandangan dalam penerimaan taubat seorang hamba. Sebahagian mengatakan wajib bagi Allah menerima taubat seorang hamba.

Pandangan ahli sunnah mengatakan, apabila seseorang hamba itu bertaubat maka Allah berhak untuk menerima atau menolaknya dan tidak wajib bagi Allah menerima taubat seseorang. Namun, Allah berjanji akan menerima taubat hamba-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat hamba-Nya yang bertaubat serta memaafkan kejahatan mereka lakukan; dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.” (Surah al-syura, ayat 25)

Mufasirin menyebutkan Allah berjanji akan mengampunkan orang yang bertaubat dengan syarat ia mencukupi empat perkara, iaitu insaf dengan hati, meninggalkan perbuatan maksiat, berazam tidak mengulang perbuatan itu dan dilakukan dengan penuh keredaan kepada Allah.

Pentafsir juga berbeza pandangan dalam menafsirkan ‘melakukan kejahatan dengan kejahilan.’ Pendapat pertama mengatakan setiap maksiat itu adalah kejahilan meliputi segala bentuk kekufuran dan maksiat.

Mengikut Qatadah, setiap perbuatan maksiat adalah kejahilan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan ingatlah ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina. Mereka berkata: Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan? Nabi Musa menjawab: Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil iaitu yang melakukan sesuatu yang tidak patut dan kejahatan.” (Surah al-Baqarah, ayat 67)

Pendapat kedua, seseorang melakukan maksiat dan mengetahui perkara itu adalah maksiat tetapi ia tidak mengetahui kadar hukuman maksiat berkenaan. Pendapat ketiga, seseorang yang melakukan maksiat dengan ia tidak mengetahui perkara itu adalah maksiat.

Ayat ini juga mengatakan bertaubat ketika hampir mati, tiada faedah dan sudah terlambat. Allah tidak menerima taubat sedemikian seperti Firaun yang tenggelam ketika mengejar Nabi Musa ingin bertaubat pada saat kematiannya.

Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah akan menerima taubat seseorang hambanya selagi nyawanya tidak di halkum.” (Hadis riwayat al-Turmizi, hadis Hasan Gharib).

Menurut al-Syarawi, Allah akan menerima taubat seseorang selagi nyawanya tidak di halkum dan menjadi kewajipan seorang Muslim supaya segera bertaubat.

Allah juga menyebutkan orang Islam yang tidak sempat bertaubat akan menerima azab pedih berbeza dengan kematian bagi orang kafir yang akan menerima seksaan buat selama-lamanya. Orang Islam melakukan maksiat tanpa bertaubat akan menerima azab setimpal perbuatannya.

Menurut Sayyid Qutb, taubat selayaknya bagi Allah menerimanya adalah taubat yang lahir dari hati penuh keinsafan seolah-olah ia baru lahir semula dan menjadi insan yang lain.

Allah menyeru setiap Muslim segera bertaubat dengan firman yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang beriman bersama-sama dengannya.” (Surah al-Tahrim, ayat 8)

Ayat ini menjelaskan Allah sentiasa menyeru orang mukmin bertaubat dan perintah Allah dalam al-Quran menunjukkan wajib. Matlamat taubat adalah supaya diampunkan segala dosa terdahulu dan akhirnya dimasukkan ke dalam syurga.

Ibn Kathir menyebutkan taubat nasuha sebagai taubat yang benar ikhlas dan kebanyakan ulama menyebut sebagai taubat daripada dosa dan tidak lagi mengulangi perbuatan itu. Al-Kalabi menyebutkan taubat nasuha beristighfar dengan lidah, insaf dengan hati dan mencegah dengan anggota badan.

Ulama mengatakan bertaubat adalah wajib sehinggakan anbia seperti Nabi Adam memohon keampunan daripada Allah. Oleh itu, kembali kepada Allah dengan bertaubat adalah satu tuntutan bagi setiap orang Islam sama ada kaya, miskin, raja atau rakyat.

Taubat bukan sekadar perkataan kerana taubat tidak disertai keinsafan di hati bukan taubat yang sebenar. Antara adab memohon keampunan Allah mestilah ikhlas, dalam keadaan bersih, mempunyai perasaan antara takut dan pengharapan, memilih waktu mustajab seperti pada waktu sahur.

Perkara ini disebut Allah dalam firman yang bermaksud: “Dan orang yang beristighfar dan memohon ampun pada waktu sahur.” (Surah Ali-Imran, ayat 17)

Antara adab memohon ampun ialah berdoa untuk mukmin yang lain. Ia tidak memohon ampun untuk dirinya saja tetapi untuk mukmin keseluruhannya. Di samping itu menggunakan lafaz yang mathur dari al-Quran dan al-Sunnah.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami daripada orang yang rugi.” (Surah al-Araaf, ayat 24)

Pengajaran ayat :

l Wajib kepada orang Islam memohon ampun kepada Allah setiap hari dan bersegera bertaubat kepada Allah.

l Allah tidak menerima taubat bagi orang yang sudah tiba saat kematiannya.

l Pintu taubat sentiasa terbuka luas dan hendaklah dilakukan dengan penuh beradab.

Sunday, January 24, 2010

Persoalan Agama: Bertaubat, mohon ampun atas perbuatan maksiat

Oleh Ustaz Zahazan Mohamed

Orang yang aibkan wanita dengan tuduhan zina mesti akui pembohongan depan khalayak

SEBELUM ini saya melakukan dosa berzina dan menuduh perempuan baik berzina. Saya benar-benar menyesal. Bagaimana caranya untuk saya bertaubat?

Johari
Pahang

Untuk pengetahuan, saudara sudah melakukan dua dosa besar. Justeru saudara wajib bertaubat. Dosa pertama yang saudara nyatakan ialah zina. Orang yang melakukan maksiat seperti ini hendaklah bertaubat kepada Allah, berasa menyesal, memohon ampun kepada-Nya, dan bertekad sepenuhnya iaitu tidak mengulanginya lagi selama-lamanya.

Sebahagian ulama mengetatkan syarat untuk maksiat ini dengan berkata: "Dia wajib menemui keluarga yang dizinanya dan meminta maaf kepadanya kerana ini berhubungan dengan hak hamba (manusia), oleh kerana itu, ia harus meminta maaf kepada mereka mengenai hak mereka." Maksudnya, bahawa lelaki yang berzina harus pergi kepada keluarga wanita yang dizinanya sebagai contoh dengan mengatakan: "Saya telah berzina dengan isteri atau anak anda, oleh kerana itu maafkanlah dan ampunilah saya."

Menurut pertimbangan akal, hal ini tidak mungkin terjadi, kerana keluarga itu akan membunuhnya atau mengambil tindakan yang bermacam-macam terhadapnya. Justeru, muhaqiq menetapkan bahawa bertaubat daripada zina cukup dilakukan seseorang terhadap Tuhannya. Apabila ia bertaubat, kembali jalan yang benar, menyesal perbuatannya, dan beristighfar memohon ampun kepada Allah, maka diharapkan Allah akan mengampuninya dan memaafkannya.

Dosa yang kedua yang saudara lakukan iaitu menuduh perempuan baik melakukan zina, wanita memelihara diri dan beriman, maka ia termasuk dosa besar dan termasuk dalam tujuh perkara yang membinasakan dunia dan akhirat. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang menuduh perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar. Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, mengenai segala yang mereka lakukan.

Allah SWT telah menetapkan hukuman bagi orang yang menuduh berzina ini dengan hukuman yang terkenal dengan had qazaf (hukuman kerana menuduh berzina) di dunia dengan disebat 80 kali. Ini adalah tuduhan badan selain tidak diterima kesaksian si penuduh setelah itu, dan ini adalah hukuman moral di mana nilainya telah jatuh dan kepercayaan telah tercabut daripadanya sehingga kesaksian tidak diterima. Di samping itu, ada pula hukuman keagamaan, iaitu dituduh sebagai orang yang fasik, seperti firman Allah SWT:"...dan mereka itulah orang yang fasik." (an-Nur:4)

"Kecuali orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha penyayang" (an-Nur:5)

Tetapi bagaimana caranya untuk bertaubat?

Dalam perkara ini, fuqaha dan imam berbeza pendapat. Di sini ada hak Allah SWT dan ada hak bagi wanita yang dituduh itu. Jika orang itu melontar tuduhan berkenaan di depan sekelompok orang, maka dia harus mengumumkan kebohongan tuduhannya di hadapan kelompok orang yang berkenaan, sehingga Allah meredainya atau ia pergi kepada wanita pemilik hak (yang dituduh) itu dan meminta maaf kepadanya.

Adapun mengenai dia melecehkan kehormatannya dan harga dirinya dengan mengucapkan perkataan yang tersebar ke pelbagai tempat yang menyebabkan aib wanita itu berserta keluarga dan anak-anaknya di kemudian hari, lalu si penuduh hanya mengatakan: "Saya bertaubat kepada Allah", maka hal ini belum cukup. Ia wajib menyatakan kebohongan dirinya dan mengakui bahawa ia sudah berdusta terhadap wanita itu atau ia meminta kerelaan si pemilik hak. Maka si pemilik hak boleh memaafkannya, dan jika tidak, si penuduh harus menyerahkan dirinya untuk disebat 80 kali dan bertaubat kepada Allah sesudah itu, maka taubatnya akan diterima.

Sunday, June 7, 2009

Ulul Albab: Pintu taubat lebih berharga daripada emas

Oleh Abdurrahman Haqqi

Umat Islam tidak boleh mudah putus asa beristighfar mohon ampun jika ingkar larangan

KETIKA pengikut Nabi Isa as, al-Hawariyyun memohon kepada Baginda supaya Allah berkenan menurunkan kepada mereka hidangan dari langit, maka Allah menerima doa Nabi Isa dengan firman-Nya bermaksud: "Allah berfirman: Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu berulang kepada kamu, kemudian sesiapa antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu), maka Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah Aku seksakan seseorang pun daripada sekalian makhluk." (Surah al-Maidah: 115).

Maksud ayat di atas dan tiga ayat sebelumnya ialah ada keinginan, permohonan dan jawapannya. Tetapi jawapan itu bersyarat yakni "kemudian sesiapa antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu), maka Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah Aku seksakan seseorang pun daripada sekalian makhluk."

Perkara ini juga pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang diriwayatkan bahawa orang musyrik Makkah meminta kepada Baginda supaya Allah menjadikan Bukit Safa emas.

Jika berlaku, mereka mempercayai Baginda dan memeluk Islam. Baginda terlalu gembira dengan permohonan dan niat orang musyrik itu sehingga bersabda: "Benarkah demikian?" yang dijawab oleh mereka: "Benar!"

Apabila Baginda bersiap untuk berdoa agar Bukit Safa menjadi emas oleh Allah, tiba-tiba Malaikat Jibril AS turun menghampiri Baginda seraya berbisik: "Mahukah tuan Bukit Safa itu dijadikan emas tetapi sesudah itu mereka kufur dan ingkar seperti al-Hawariyyun, kemudian mereka diseksa dengan azab sengsara yang tidak pernah Allah seksakan seseorang pun daripada sekalian makhluk atau tuan lebih memilih untuk diberikan pintu keampunan dan taubat?

Mendengar bisikan Jibril itu, Baginda mengurungkan niatnya untuk berdoa dan membiarkan musyrik seperti sedia ada.

Baginda memilih pintu keampunan dan tauba kerana berasa kasihan jika berlaku ke atas mereka seperti nasib segelintir al-Hawariyyun yang diubah menjadi babi dan kera di dunia kerana mengingkari janji mereka dan di akhirat kelak azab sengsara yang maha pedih sedang menunggu. Kisah ini diceritakan Ibn Katsir dalam kitab tafsirnya ketika membahas ayat Surah al-Maidah ini.

Baginda memilih pintu keampunan dan taubat yang lebih fleksibel daripada bukit emas yang kaku dan statik. Baginda lebih mengutamakan kebanyakan umat daripada segelintir umat yang hanya menginginkan bukit emas.

Sifat ini memang sudah direkodkan dalam al-Quran yang maksudnya: "Sesungguhnya sudah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang beriman." (Surah al-Taubah: 128)

Pilihan Baginda Rasulullah SAW didasarkan salah satu sifat Allah SWT iaitu al-Ghaffar (Maha Pengampun) dan al-Tawwab (Maha Penerima Taubat.

Satu ayat dalam al-Quran yang membuat hati kita terharu dan syukur serta gembira apabila membacanya, bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Zumar: 53).

Dalam ayat ini Allah menyapa orang yang melampaui batas dengan kata-kata: "Ya 'ibadi' (wahai hamba-Ku). Tujuannya ialah menyatukan hati hamba-Nya dan menyentuh perasaan mereka agar mendengarkan ayat berkenaan dengan baik.

Allah mengkhususkan panggilan-Nya itu untuk orang yang melampaui batas kerana mereka manusia paling banyak melakukan dosa dan kesalahan. Maka, bagaimana pula panggilan terhadap orang selain mereka yang juga sering melakukan kesalahan dan dosa?

Dalam ayat itu, Allah juga melarang hamba-Nya berputus asa memohon keampunan. Allah mengkhabarkan Dia akan mengampuni semua dosa siapa saja yang bertaubat kepada-Nya sama ada dosa yang dikerjakan secara sembunyi atau dengan terang-terangan.

Allah menyifatkan diri-Nya dengan dhamir mu'akkad (kata ganti untuk penegasan) dan 'al' (lam takrif) yang menunjukkan kesempurnaan sifat ketika Dia berfirman maksudnya: "Sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Dalam ayat lain disebutkan maksudnya: "Sesungguhnya jika mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentu mereka mendapati Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Nisa: 64).

Panduan al-Quran ini ditegaskan kembali oleh hadis bermaksud: "Allah SWT berfirman, "Wahai anak Adam, sepanjang kalian mahu memohon dan mengharapkan (keampunan-Ku), tentu akan Aku ampunkan semua dosa kalian dan Aku tidak peduli (meskipun dosa kalian banyak). Wahai anak Adam, sekali pun dosa kalian setinggi langit, kemudian kalian memohon keampunan-Ku, tentu akan Aku ampuni dosa kalian dan tidak Aku pedulikan (meskipun dosa yang kalian kerjakan itu dosa besar). Wahai anak Adam, jika kalian datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh isi bumi, kemudian kalian mati dengan tidak menyekutukan-Ku dengan apapun, Aku akan memberikan keampunan sepenuh isi bumi kepada kalian." (Hadis riwayat al-Tirmidzi.

Seberapa pun besar dosa seseorang Allah menjanjikan keampunan jika mahu beristighfar. Keampunan Allah menyebabkan terhapusnya dosa yang menyebabkan terhindar daripada azab di dunia dan akhirat.

Siapa yang mahu beristighfar ketika melakukan perbuatan dosa maka dosanya terhapus meskipun puluhan kali dia lakukan tiap harinya. Dia terbebas daripada sifat orang yang terus menerus dalam dosa.

Ini menunjukkan betapa besar dan luasnya rahmat Allah kepada hamba-Nya. Celakalah seorang hamba yang mengetahui luasnya rahmat Allah, namun dia tidak berusaha untuk meraihnya sehingga terhalang daripada rahmat-Nya.

Semoga istighfar menjadi amalan rutin seperti dilakukan Nabi kita. Baginda dalam sehari lebih 70 kali beristighfar. Dalam hadis lain diriwayatkan maksudnya: "Iblis berkata kepada Tuhannya, "Dengan keagungan dan kebesaran-Mu, aku tidak akan berhenti menyesatkan anak Adam selama mereka masih bernyawa."

Lalu Allah berfirman yang bermaksud: "Dengan keagungan dan kebesaran-Ku, Aku tidak akan berhenti mengampuni mereka selama mereka beristighfar". (Hadis riwayat Ahmad)

Kita sudah melihat pada awal tulisan ini bagaimana Rasulullah memilih pintu keampunan dan taubat daripada Bukit Safa yang dijadikan emas. Itulah sifat Baginda yang lebih mengdepankan berita positif yang membangun ketenteraman umat daripada berita negatif yang merugikan mereka. Wallahu alam.

Friday, June 5, 2009

Ingat mati cegah manusia bergelumang maksiat

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Usah menunggu tua untuk bertaubat, beramal salih kerana maut datang tanpa diduga

MANUSIA yang tenggelam dalam kemewahan dunia, dikuasai hawa nafsu dan hidup dibelenggu maksiat amat sikit bahkan mungkin juga tidak mengingati malaikat maut pasti datang membawa perintah Allah untuk meragut nyawanya.

Jika mengingati mati, pasti mereka ketakutan atau bersedih kerana mengingatkan apa yang bakal dihadapinya di alam akhirat, tetapi ia gusar mengenangkan harta bendanya serta segala kemewahan dunia yang bakal ditinggalkannya.

Firman Allah: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan pada hari kiamat saja akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia sudah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanya kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali Imran: 185).

Ketahuilah kematian pasti tiba kepada seluruh umat tanpa mengenal erti bangsa, kedudukan, kekayaan atau gagah perkasa. Tiada sesiapa pun yang boleh melarikan diri daripada maut. Apabila ditetapkan waktu kematian seseorang, ia tidak akan tertunda atau dicepatkan walaupun sesaat.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetap menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).” (Al-Jumu’ah: 8)

Dengan mengingati kematian, kita lebih berwaspada dalam menghadapi liku kehidupan dan sentiasa berusaha menurut perintah Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan larangannya kerana kita tidak tahu bila ajal tiba.

Mengingati kematian menyebabkan kita teruja membuat persiapan rapi menghadapinya nanti. Oleh itu, Islam amat menganjurkan kita sentiasa mengingati kematian.

Cara terbaik ialah mengenangkan keluarga, sahabat atau sesiapa saja yang boleh mempengaruhi hidup kita. Mereka mungkin memiliki kekayaan, jawatan besar serta disanjung tetapi kini jasadnya bersendirian di dalam kubur. Hartanya, kedudukannya serta sanjungan orang ramai kini terpisah daripadanya. Kita perlu serapkan di jiwa kematian juga pasti menjemput dan akan keseorangan di alam kubur.

Kita juga perlu menziarahi kubur kerana membantu mengingati kita juga akan menghadapi nasib sama dengan ahli kubur itu. Islam juga menganjurkan kita menziarahi orang sakit serta menghadiri majlis pengebumian kerana dapat mengingatkan kita mengenai kematian. Mengingati kematian membawa nilai positif terhadap insan, maka banyak dalil menganjurkan manusia selalu mengingati kehidupan hanya sementara.

Rasulullah juga mengkategorikan insan yang sentiasa mengingatkan kematian sebagai manusia paling bijaksana. Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?

“Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik,” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

Mengingati kematian juga boleh mendatangkan ketenangan jiwa seseorang sedang menghadapi kesulitan hidup.

Ia menimbulkan kesedaran dunia bukan segala-galanya dan selepas kematian ada alam yang kehidupan serta kenikmatannya abadi.

Bagi mereka yang dianugerahkan kesenangan, maka mengingati kematian menjauhkannya daripada kerlipan serta godaan duniawi.

Kematian menyedarkannya kesenangan duniawi tidak kekal dan dia bakal berpisah dengannya.

Hanya kehidupan di alam akhirat kekal abadi dan ini dapat menggerakkan jiwa untuk mempergunakan segala kesenangan di dunia ini demi mencapai kebahagiaan di akhirat.

Oleh itu, dengan menyedari setiap bernyawa pasti akan menghadapi maut yang hanya diketahui Allah, pasti ia menimbulkan semangat untuk segera melakukan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.

Jika seseorang menangguhkan untuk melakukan amalan salih dan ternyata ajalnya tiba ketika asyik melakukan maksiat, dia termasuk orang yang rugi dan bakal mendapat balasan buruk di akhirat.

Justeru, setiap umat Islam harus manfaatkan kehidupannya dengan cara terbaik iaitu mengerjakan amalan diperintah Allah dan Rasul-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Ketika tubuh sihat, kita manfaatkan semaksimum mungkin supaya menjadi insan beriman, bertakwa dan gemar mengerjakan amal salih.

Mana tahu entah esok mahupun lusa kita ditimpa kecelakaan sehingga terlantar keuzuran dan tidak lagi mampu melakukan amalan yang salih.

Kita pergunakan hayat dengan menghindari perbuatan maksiat kerana mungkin entah esok mahupun lusa malaikat maut mencabut nyawa sedangkan kita masih bergelumang dengan dosa.

Saturday, May 9, 2009

Jangan tunggu usia tua baru hendak bertaubat

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Kematian datang tiba-tiba, sentiasa dalam kemaksiatan boleh menghancurkan peribadi Muslim

MANUSIA tidak terlepas melakukan kesalahan kerana itu sudah menjadi sifat tabii manusia biasa kecuali Rasulullah SAW yang bersifat maksum. Namun, bagi seorang Muslim apabila sudah melakukan perbuatan yang mengundang dosa, perlu segera bertaubat kepada Allah SWT.

Taubat penuh keinsafan dan penyesalan gambaran sebaik-baik manusia yang melakukan kesalahan baik berupa dosa kecil mahu pun dosa besar seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap anak cucu Adam adalah pelaku dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah mereka yang bertaubat." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Maksud dosa besar ialah perbuatan yang melanggar perintah Allah SWT di mana telah ditentukan hukumannya di dunia dan dikenakan ancaman azab neraka di akhirat seperti mencuri, berzina dan lain-lain, yang memang termaktub dalam al-Quran atau pun hadis Rasulullah SAW.

Apabila menyedari sudah melakukan dosa, haruslah segera membersihkan diri. Rasulullah SAW sendiri walaupun dipelihara Allah SWT daripada melakukan dosa tetap bertaubat dalam sehari semalam melebihi 70 kali.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar (memohon ampun) dan bertaubat kepada Allah setiap hari lebih 70 kali." (Hadis riwayat Bukhari)

Namun, sebilangan besar masyarakat Islam hari ini begitu leka melakukan maksiat dan sedikit pun tidak rasa bersalah bahkan menjadi kebanggaan pula apabila melakukannya. Benarlah seperti diungkapkan Asy-Syekh Husen Yusuf Ghazzal: "Dapat kita saksikan bahawa saat ini apabila seseorang melakukan perbuatan dosa, maka ia tidak akan merasa malu sedikitpun. Bahkan dengan sewenang-wenangnya mereka berusaha menghalalkan suatu perbuatan tanpa mempedulikan syariat agama dan norma etika."

Berlakunya hal demikian lantaran masyarakat Islam memiliki iman yang lemah. Mudah menurut telunjuk nafsu sementara pengetahuan selok-belok ajaran Islam ternyata begitu dangkal. Sedangkan apabila sentiasa berada dalam kemaksiatan boleh menghancurkan keperibadian seorang Muslim.

Ulama berkata: "Sesungguhnya kemaksiatan itu berjalan menuju kekufuran. Manusia berpindah dari satu bentuk kemaksiatan kepada kemaksiatan berikutnya, sampai akhirnya dia keluar dari agamanya."

Sesungguhnya orang yang segera bertaubat secara benar dan bersungguh-sungguh adalah orang yang memahami bahawa taubat itu satu kewajipan ditentukan agama serta mencerminkan keimanan yang menebal.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan sungguh-sungguh." (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Allah SWT dengan sifat-Nya yang Maha Pengampun, membuka seluas-luasnya pintu taubat kepada hamba-Nya yang berdosa dan ingin bertaubat. Allah SWT sentiasa menerima taubat setiap hamba-Nya yang ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Barang siapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan, lalu memilih jalan lurus. Maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya dan Tuhan itu Maha Pengampun Maha Penyayang." (Surah al-Maidah, ayat 39)

Bagaimanapun, tidak ramai di kalangan kita yang ingin merebut peluang itu bahkan, taubat dipandang ringan saja. Setiap kali ditanya, mereka rata-rata menjawab akan bertaubat apabila sampai usia tua nanti.

Mereka sebenarnya memberi jawapan mengelirukan, seolah-olah mereka berpegang pada dahan yang rapuh kerana seseorang itu belum tentu hidupnya sampai usia lanjut. Oleh itu, bertaubat segera adalah perbuatan bijak dan terpuji.

Nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya: "Janganlah anakku undurkan melakukan taubat, sebab kematian datangnya tiba-tiba, sedang malaikat maut tidak memberitahukannya terlebih dulu."

Oleh itu, taubat perlu dilaksanakan segera tanpa tangguh-tangguh. Apa lagi taubat itu wajib hukumnya. Lalu bertaubatlah sekarang sebelum pintunya dikatup rapat oleh Allah SWT.

Mengikut keterangan hadis, pintu taubat akan ditutup bila terjadinya perkara-perkara berikut;

l Matahari naik sebelah barat.

Perkara ini dinyatakan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya di waktu siang untuk menerima taubat orang yang membuat jahat di waktu malam, membuka tangan selebar-lebarnya di waktu malam untuk menerima taubat orang yang melakukan maksiat waktu siang. Hal ini berterusan sehinggalah matahari terbit dari arah barat." (Hadis riwayat Muslim)

l Apabila nyawa sampai di kerongkong (nazak)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Tuhan bersedia menerima taubat seseorang hamba selagi nyawanya belum sampai di kerongkong (sebelum nazak)."

Untuk melakukan taubat nasuha, Islam menunjukkan syarat yang mesti dipenuhi iaitu menyesal dengan perbuatan dilakukan dengan sepenuh hati, berhenti serta merta melakukan perbuatan itu, berazam tidak akan mengulang kembali perbuatan itu. Jika membabitkan orang lain, hendaklah memohon maaf daripada orang berkenaan.

Apabila kita melakukan taubat ikhlas kerana Allah SWT, bermakna kita bersih daripada dosa itu, dipelihara dan dikasihi Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan orang yang menyucikan diri." (Surah al-Baqarah, ayat 22)

Allah SWT juga berjanji akan menempatkan orang bertaubat dalam syurga yang penuh kenikmatan, seperti firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha. Mudah-mudahan Tuhan kamu menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Oleh itu, marilah kita mencari keredaan Allah dengan membersihkan diri daripada segala dosa dengan bertaubat sepanjang masa. Jangan tunggu hingga esok kerana matlamat hidup kita sebenarnya ialah mendapatkan kebahagiaan di akhirat nanti. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang dikasihi Allah SWT.

Thursday, April 23, 2009

Mukmin diingat supaya tak tangguh bertaubat

Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Penyucian jiwa tuntut umat mohon keampunan, tekad tidak mengulangi dosa lalu

SUDAH namanya manusia, sering melakukan kesilapan dan kesalahan. Ada disengaja, ada pula tidak disedari, tetapi akhirnya membuatkan seseorang berasa disakiti. Tidak terkecuali ada yang suka mempersenda hukum Ilahi, terlupa tiba masanya kita perlu berserah pada Empunya segala-galanya.

Kala itu, usah berasa terlambat, kerana kita sememangnya ketinggalan daripada orang lain yang puas memungut rahmat dan berkat kehidupan untuk dibawa sebagai bekalan kemudian hari.

Kehidupan di dunia penuh dugaan dan cabaran memungkinkan kita berbuat apa saja untuk memuaskan nafsu tidak baik, kadangkala hasad dengki membelenggu hati hingga tidak dapat menerima hakikat kelebihan orang lain.

Dunia ini penuh dengan permainan melalaikan, walau cuba mengawal diri daripada tipu daya, ada kalanya kita tertewas juga apatah lagi jika balasannya lambat tiba, tidak berasa janji Allah itu akan sampai akhirnya.

Firman Allah bermaksud: "Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir?" (Surah al-An'am, ayat 32)

Benar manusia boleh dibohongi tetapi bukan Dia Yang Maha Kuasa. Sebab itulah negeri akhirat itu pasti, kepada yang tidak mensia-siakan kehidupan di dunia dengan kezaliman terhadap diri sendiri, pastilah kegembiraan ditunggu bagai tidak sabar dirasai, tetapi jika sebaliknya tentulah balasannya tidak tertanggung.

Akal dikurniakan Allah untuk berfikir supaya kita tidak mengulangi kesalahan sama berulang kali, sehingga menggagalkan misi dan visi sebagai hamba di dunia ini. Mana yang hak dan mana yang batil, usaha sendiri memilihnya, apa yang halal dan apa yang haram pula jangan dikompromi sehingga menjadikan hati kita buta.

Walaupun mencuba menjadi hamba yang baik dan taat, kadangkala kita lalai serta terlupa. Kata hati rupanya tidak semuanya memihak kepada kebenaran, bahkan ada kalanya membuka pekung di dada. Justeru, segala keterlanjuran jangan sampai kita tidak bertaubat, jika di akhirat ingin selamat.

Menyesali dosa yang dilakukan dan berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya adalah usaha perlu dilakukan jika benar-benar ingin bertaubat. Usah dikenang masa lalu jika itu membuatkan kita terus 'merindui' kejahatan dan kemaksiatan, sebaliknya kenanglah ia sebagai pengajaran tidak mungkin berulang.

Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'taubat nasuha', mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah At-Tahriim, ayat 8)

Jangan pula taubat dipermainkan dengan mengulangi dosa dan kemungkaran. Sesiapa yang ingin bertaubat mesti menyesali dosa yang sudah dilakukan dan bertekad untuk tidak mengulanginya. Inilah dikatakan menyucikan diri, menghilangkan segala kotoran terlekat di hati mudah-mudahan kebaikan itu mendorong kepada pembersihan jiwa sebenar.

Kita juga harus berjanji mengelak daripada melakukan dosa selagi hidup melainkan jika tidak disedari. Seboleh-bolehnya hidup hendaklah dipandu dengan garis panduan dimuktamadkan Allah dan Rasul-Nya yang sememangnya membantu kita menggapai kebahagiaan hakiki serta abadi.

Segala bentuk maksiat dan ingkar terhadap perintah Allah hendaklah dimohon keampunan dengan taubat dan sebarang bentuk penganiayaan terhadap orang lain, walau apa juga bentuknya perlulah disertai kemaafan serta mengembalikan hak yang diambil.

Jika ia fitnah, bayarlah dengan membersihkan nama baiknya dan jika harta yang diambil, lunaskan dengan mengembalikan miliknya atau minta dihalalkan. Apabila hati sudah memperoleh cahaya, segala dosa ingin dibersihkan dengan rela, inilah masanya kita perlu terus berusaha.

Penangguhan akan memungkinkan seribu tragedi yang boleh menggagalkan hasrat pengampunan kita daripada Yang Esa. Usahlah ditangguh peluang, kerana ajal bila-bila masa akan datang dan syukurlah jika sempat menyedari dosa dan kejahilan serta tekad tidak akan mengulanginya.

Firman Allah bermaksud: "Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat. Dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah an-Nisaa', ayat 18)

Mengingati bahawa hidup ini hanya sementara, maka perlulah berhati-hati apabila berbuat dan berkata, bimbang jika ada hati terluka. Bukan mudah meminta ampun atas segala dosa kerana hati yang disakiti lukanya sukar sembuh, bahkan parutnya pasti akan mengingatkan segala.

Sungguhpun begitu, selagi ada usia, selagi itulah pintu taubat sentiasa terbuka. Jangan kita sombong dan malu memohon ampun dan maaf daripada sesiapa, bahkan Allah Maha Pengampun terhadap hambanya.

Firman Allah bermaksud: "Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri dengan melakukan maksiat kemudian ia memohon ampun kepada Allah nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nisaa, ayat 110)

Paling penting, jangan berputus asa, jika kita benar-benar mengharapkan rahmat-Nya, lakukan seberapa terdaya, selagi tidak menutup mata, mohonlah keampunan-Nya kerana pintu taubat sentiasa terbuka.

Firman Allah bermaksud: "Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat daripada hamba-Nya yang bertaubat serta memaafkan kejahatan yang mereka lakukan dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan." (Surah Asy-Syuura, ayat 25)

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Saturday, April 18, 2009

Bertaubat daripada dosa jangan tunggu usia tua

Oleh Lokman Ismail

Syaitan sentiasa goda manusia lakukan maksiat jaya misi tambah penghuni mereka

MANUSIA dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah dan Islam sebagai cara hidup. Pengabdian kepada Allah meletakkan manusia sebagai hamba yang perlu sentiasa patuh kepada suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya.

Nikmat iman adalah anugerah paling besar kepada manusia. Sesiapa yang menolak cahaya keimanan, dia tidak mendapat kebaikan hidup di dunia. Firman Allah bermaksud: "Maka sesiapa yang memilih cara hidup selain Islam, Allah tidak sekali-kali menerima (agamanya) itu dan di akhirat dia dimasuk ke dalam golongan orang yang rugi." (Surah Ali-Imran, ayat 85)

Sesiapa sudah menerima nikmat keimanan, peganglah sehingga ke akhir hayat. Jangan menukar keimanan dengan kekufuran. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan sebagai seorang Islam." (Surah Ali-Imran, ayat 102)

Namun, sifat manusia tidak seperti malaikat yang tidak pernah melakukan selain perkara disuruh Allah. Dalam diri manusia ada akal dan nafsu yang mendorong melakukan kebaikan serta keburukan. Sebab itu, Allah menjanjikan balasan pahala dan dosa bagi setiap perbuatan. Allah mengetahui setiap perkara dilakukan hamba-Nya secara nyata atau bersembunyi.

Tahap keimanan manusia diumpamakan ombak yang ada tinggi dan rendahnya. Keimanan berada pada tahap tertinggi apabila banyak melakukan kebaikan dan menjauhkan kemungkaran dan begitulah sebaliknya.

Biarpun berstatuskan hamba, manusia bebas menentukan cara kehidupan diingini. Allah memberi pilihan berdasarkan kehendak manusia dan sebab itu manusia bakal menerima pembalasan atas apa dilakukan. Allah berfirman bermaksud: "Dan Kami menunjukkan kepadanya (manusia) dua jalan (jalan kebaikan dan jalan kejahatan)." (Surah al-Balad, ayat 10)

Setiap kebaikan digandakan nilai pembalasan antara 10 sehingga 700 kali. Sedangkan sesiapa melakukan kejahatan hanya dibalas dengan satu pembalasan atau diampunkan.

Sekalipun Allah tidak berhajat pertolongan daripada makhluk ciptaan-Nya, Dia memberi pembalasan sebaik-baiknya terhadap hamba yang taat. Limpah rahmat yang diberikan tidak terkira banyaknya.

Memandangkan manusia tidak lepas daripada melakukan dosa, sedangkan Allah sudah menjanjikan kebaikan pada hari akhirat, maka diberi peluang untuk menghapuskan dosa itu dengan jalan yang disebut taubat. Firman-Nya bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang melampau batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Dia juga yang mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia juga yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah az-Zumar, ayat 53) Allah menyebut mengenai sifat-Nya Maha Pengampun, bermaksud tidak ada satu pun dosa yang tidak diampunkan jika manusia memohon keampunan daripada-Nya. Firman Allah bermaksud: "Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, nescaya kamu beruntung." (Surah an-Nur, ayat 31)

Taubat boleh dilakukan sepanjang masa, paling baik selepas menyedari melakukan dosa. Jika kesalahan itu membabitkan sesama manusia, keampunan perlu dimohon kepada orang terbabit. Ketika meminta maaf perlu dilakukan dengan ikhlas kerana Allah atas kesedaran perbuatan itu satu dosa dan menyesalinya. Diharapkan perbuatan buruk itu tidak diulang, sebaliknya berusaha melakukan kebaikan untuk semua.

Taubat sebenar ialah menyedari kesalahan atau dosa diikuti penyesalan dan memohon keampunan Allah. Seterusnya, menanam sifat benci kepada perbuatan itu dan terus meninggalkannya. Hasil taubat membawa diri melakukan perbuatan baik. Taubat dipertahankan dengan sentiasa sedar dan waspada menjauhkan diri daripada kejahatan. Biarpun pintu taubat sentiasa terbuka, ia tertutup apabila ajal tiba. Jangan berlengah untuk bertaubat dan ia perlu dilakukan sepanjang masa, bukan hanya apabila usia lanjut.

Syaitan sentiasa membisikkan supaya melakukan dosa, menangguhkan taubat sehingga sampai ke akhir hayat. Syaitan sedar, sebesar mana dosa dilakukan anak Adam dan kemudian bertaubat, Allah tetap menerima taubat itu.

Bagi memastikan misi syaitan meletakkan manusia dalam neraka ialah dengan cara mengelak daripada bertaubat. Kerja jahat syaitan untuk menempatkan manusia bersamanya di neraka menjadi sia-sia jika manusia bertaubat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya, selagi roh belum sampai di kerongkong (hampir sangat dengan ajal)." (Hadis riwayat Tirmizi)

Sebagai Muslim yang yakin bertemu Allah di akhirat kelak, berusahalah meningkatkan takwa dan menghindarkan dosa supaya dihimpunkan bersama orang beriman di akhirat. Sesungguhnya hidup ini tidak hanya berakhir di dunia kerana akhirat kehidupan abadi.

Tuesday, October 7, 2008

Empat syarat mohon ampun kepada Tuhan, sesama manusia

Oleh Mohd Zamri Shafie

"MAAFKAN saya", ungkapan yang dinisbahkan kepada manusia dalam memohon maaf sesama manusia. Ia cukup berat diucapkan kecuali menjelang hari raya. "Ya Allah! Ampunkanlah dosaku" suatu lafaz menjadi kelaziman seharian memohon keampunan Allah. Pepatah Melayu menyatakan, bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora. Perumpamaan yang menyatakan persoalan, pasti semua orang ada jawapannya. Begitulah kehidupan manusia, terpalit dan dipalit dosa, kecil mahupun besar.

Sebagai manusia kita tidak dapat lari daripada melakukan dosa sama ada sesama makhluk atau dengan Allah. Tabir Ramadan hadir dengan kerahmatan, keampunan dan pembebasan daripada api neraka bagi hamba Allah yang beriman dan bertakwa.

Sepanjang Ramadan kita sering mendengar doa diajar Rasulullah SAW menerusi hadis diriwayatkan oleh At-Tirmidzi, An-Nasai'e dan Ibn Majah. Daripada Saidatina Aisyah katanya, wahai Rasulullah, jika aku melihat Lailatul Qadr, apakah doa yang boleh dibaca? Sabda Baginda SAW, katakanlah (berdoa): Ya Allah ya Tuhan kami! Sesungguhnya engkau yang maha pengampun, ampunkanlah (dosa) aku."

Berdasarkan doa ini, sebagai Muslim kita sewajarnya menyandarkan harapan kepada Allah supaya mengampunkan dosa yang dilakukan. Allah juga meletakkan keutamaan taubat seseorang dengan keampunan daripada-Nya sehingga keburukan mereka digantikan dengan kebaikan.

Keluasan keampunan Allah dan rahmat-Nya meliputi seluruh dosa orang bertaubat. Perkara itu dirakamkan menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hambaKu yang sudah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah juga yang maha pengampun, lagi maha mengasihani." (Surah az-Zumar, ayat 53)

Imam Nawawi dalam kitabnya Riadhus Solihin menyatakan ulama berpendapat bertaubat daripada setiap dosa yang dilakukan hukumnya wajib. Jika dosa itu berkaitan dengan Khaliq (Allah) dan dengan manusia. Ia terangkum dengan empat syarat taubat utama iaitu:

l) Berhenti daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah.

2) Menyesali perbuatan yang sudah dilakukan.

3) Berazam tidak mengulangi perbuatan itu selama-lamanya.

4) Jika dosa itu berkaitan dengan manusia perlu diselesaikan seperti mengembalikan harta diambil dengan cara salah kepada tuannya. Jika barang sudah hilang atau habis digunakan perlu diminta halal daripada tuannya. Jika menuduh atau memfitnah wajar memohon maaf atas segala perbuatan.

Nilai kemaafan bagi setiap mukmin di sisi Allah dengan keutamaan kepada orang yang bertaubat kepada-Nya ialah darjat tertinggi iaitu kasih sayang Allah Tuhan semesta alam. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri." (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Firman Allah yang bermaksud: "Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang jahil (degil dengan kejahilannya)." (Surah al-'Araf, ayat 199)

Imam Ibn Abi Hatim dalam tafsirnya menyatakan hadis Nabi SAW. Daripada Yunus bin Abdul A'la, katanya tatkala turun ayat ini (ayat 199 surah al-'Araf), Rasulullah SAW bertanya kepada Malaikat Jibril apakah (maksud ayat) ini, wahai Jibril? Jawab Jibril: "Sesungguhnya Allah memerintahkan engkau supaya memaafkan orang yang menzalimi engkau dan memberi kepada siapa yang menghalang (menentang) engkau dan hubungkanlah tali kekeluargaan dan persaudaraan (silaturahim) bagi siapa yang memutuskannya." (Tafsir Ibn Abi Hatim)

Monday, September 29, 2008

Syawal didik diri mohon maaf

Oleh Saidul Amin Usman

Dosa sesama manusia tidak diampuni Allah selagi kedua belah pihak enggan bermaafan terlebih dulu

MANUSIA tidak luput daripada salah, khilaf dan dosa. Namun sebaik-baik orang yang berbuat salah dan dosa adalah mereka yang cepat kembali kepada Allah seraya memohon ampun kepada-Nya.

Ini yang dikatakan Allah dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya taubat di sisi Allah itu adalah orang yang melakukan dosa kerana kebodohan dan kekhilafan mereka. Lalu mereka bertaubat dengan segera. Maka mereka itulah yang diterima taubatnya." (Surah al-Nisa', ayat 17)

Sayyid Qutb dalam tafsirnya, Fi Zilal al-Quran menyatakan bertaubat dalam waktu yang dekat adalah bertaubat sebelum meninggal dunia atau memasuki sakaratul maut. Sebab hakikatnya manusia sangat dekat dengan kematiannya dan mereka tidak mengetahui bila akan meninggal dunia. Untuk itu mereka harus sentiasa bersiap-siap untuk menghadapi kematian yang boleh datang bila-bila masa saja.

Syeikh Mustafa al-Maraghi dalam tafsir al-Maraghi menyatakan, bertaubat dalam waktu yang dekat bermakna seseorang yang melakukan dosa akibat kebodohan dan kelalaian harus bertaubat seberapa segera mungkin apabila sedar akan kesalahan yang dilakukannya.

Namun Sayyid Qutb dan al-Maraghi bersepakat, taubat yang diterima Allah adalah mereka yang bertaubat dari lubuk hati yang dalam dan ceruk jiwa yang suci. Mereka menyesali perbuatan itu serta berusaha sekuat tenaga untuk tidak melakukannya di masa akan datang. Ertinya Allah menerima taubat manusia bergantung kepada niat tulus ikhlas manusia itu.

Dosa manusia pada hakikatnya dapat dibahagi kepada dua, dosa kepada Allah dan dosa kepada manusia. Dosa kepada Allah dapat dihilangkan dengan beberapa cara. Dosa kecil dapat dihapuskan dengan beristighfar kepada Allah dan dosa biasa dapat dihapus dengan ibadat.

Dosa besar haruslah diselesaikan dengan taubat kecuali amalan syirik. Perbuatan itu dosanya tidak akan diampunkan sehingga seseorang itu meninggalkan semua anasir syirik seperti firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan dia akan mengampuni dosa selain itu." (Surah al-Nisa', ayat 48)

Namun sesungguhnya dosa yang paling berat itu adalah dosa di antara manusia dengan manusia. Sebab dalam masalah ini Allah tidak ikut campur sebelum manusia itu menyelesaikannya terlebih dulu.

Hal itu dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW daripada Anas bin Malik yang bermaksud: "Kezaliman itu terbahagi kepada tiga. Pertama kezaliman tidak diampunkan Allah. Kedua kezaliman diampunkan Allah dan ketiga kezaliman yang Allah tidak ikut campur dalam hal itu. Kezaliman tidak diampunkan Allah adalah syirik. Kezaliman diampunkan Allah adalah dosa manusia ke atas dirinya dan tuhannya. Kezaliman yang Allah tidak ikut campur adalah dosa di antara manusia dengan manusia, sehingga mereka menyelesaikannya terlebih dulu."

Allah tidak akan mengampunkan dosa seorang hamba kepada hamba yang lain sebelum kedua belah pihak menyelesaikan permasalahan mereka terlebih dulu. Jika tidak, pada akhirat nanti mereka akan saling menuntut balas dan membayar dosa dengan kebaikan atau memindahkan dosa orang dizalimi kepada yang menzalimi.

Pada hari itu mahkamah dipimpin Allah Maha Adil. Maka tidak ada sedikit pun kezaliman yang tidak dibalasi dan tidak ada sebesar zarahpun kebaikan kecuali akan diperlihatkan.

Oleh sebab itu meminta maaf ke atas dosa dilakukan kepada orang lain adalah sesuatu keharusan yang mesti dilakukan sebab meminta maaf di dunia jauh lebih mudah daripada harus membayar kesalahan itu pada akhirat kelak. Tidak seorang pun yang dapat membayangkan bagaimana dahsyat dan hebatnya alam akhirat.

Namun Islam adalah agama penuh kasih sayang. Maka setiap Muslim dianjurkan untuk memberi maaf sebelum orang meminta maaf. Sebab memberi maaf itu lebih dekat kepada ketakwaan seperti firman Allah yang bermaksud: "Dan jika kamu memberi maaf, maka itu lebih dekat kepada takwa." (Surah al-Baqarah, ayat 237)

Walaupun memberi maaf itu bukanlah sesuatu kewajipan, namun memberi maaf memiliki nilai yang sangat besar di sisi Islam. Orang yang memaafkan selepas diminta maaf akan mendapatkan pahala memaafkan dan pahala daripada kezaliman ke atasnya.

Namun orang yang memaafkan sebelum diminta maaf akan mendapat keuntungan sangat besar, iaitu ketenangan jiwa di dunia dan balasan berlipat ganda pada akhirat kelak, jauh melebihi nilai kezaliman yang dimaafkan itu.

Sempena mengakhiri Ramadan yang suci dan memasuki Syawal mulia sewajarnya kita membuka pintu maaf untuk siapa saja. Berikan ruang dalam hati untuk saling memaafkan kerana itu lebih utama daripada menyimpannya berlarutan di jiwa.

Friday, September 12, 2008

Taubat Firaun di ambang maut sudah terlewat

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

Kedegilan golongan ingkar akui kerasulan Nabi Musa berakhir dengan bencana ditenggelamkan laut

PROGRAM Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah episod 13 mendedahkan sikap Firaun tetap berdegil dan tidak mahu beriman kepada Allah serta mengakui kerasulan Nabi Musa walaupun Allah menurunkan bencana kepada penduduk Mesir.

Kekejaman dan penindasan berterusan dilakukan Firaun terhadap rakyatnya. Ketika itu Bani Israel menyedari Nabi Musa adalah utusan Allah bagi menyelamatkan mereka dan meminta Baginda membawa mereka keluar dari Mesir dan kekejaman Firaun.

Rombongan Nabi Musa dan Bani Israel menuju ke bumi yang dijanjikan Allah. Apabila mengetahui perancangan itu, Firaun mengutuskan orangnya ke bandar negeri Mesir untuk mengumpul tentera.

Allah memerintah Nabi Musa membawa kaumnya keluar dari Mesir pada waktu malam manakala Firaun dan tenteranya mengejar mereka ketika terbit matahari. Disebabkan kelengkapan dimiliki, tentera Firaun berjaya mengejar Nabi Musa dan Bani Israel.

Dalam keadaan tersepit sedangkan di depan adalah tasik terbentang luas dan di belakang ialah Firaun dan tenteranya sedang mengejar, perasaan cemas dirasai kerana takut dibunuh tentera Firaun.

Nabi Musa meyakinkan kaumnya bahawa Allah bersama mereka sehingga turun wahyu meminta Baginda memukul air tasik dengan tongkatnya. Maka dengan kuasa Allah air terbelah dua dan diperintahkan orang yang beriman dengan Allah menyeberanginya.

Itulah mukjizat Nabi Musa dan apabila tentera Firaun cuba melalui jalan dilalui Bani Israel tadi, Allah menenggelamkan mereka dalam keadaan yang amat dahsyat. Menyedari saat kematiannya, Firaun mengatakan keinsafan tetapi kalimah iman itu terlewat kerana pintu taubat sudah tertutup.

Episod kali ini penonton dapat melihat ikan Musa atau nama saintifiknya Solea, spesies ikan yang ada di semua lautan.

Profesor biologi Universiti Kaherah, Dr Hilmi Bishari, berkata spesies ikan itu terjadi kerana peristiwa luar biasa berlaku ke atasnya. Ketika laut terbelah, ikan Musa berada di garisan tengah yang terbelah dua.

Selain itu dipaparkan Tasik Qarun di Mesir yang mengimbas peristiwa umat Nabi Musa, Qarun dimusnahkan Allah kerana sifat haloba. Dia terlalu kaya sehinggakan anak-anak kunci peti besi menyimpan kekayaannya, terlalu berat untuk dipikul lelaki perkasa.

Kilauan emas permata membutakan mata dan hati Qarun. Nabi Musa menasihatkan Qarun membayar zakat sebagai tanggungjawabnya membantu fakir miskin. Baginda menerangkan setiap zakat dikeluarkan akan menyuburkan rezeki, tetapi Qarun tetap berdegil.

Tasik Qarun adalah bukti kemurkaan Allah yang tidak bersyukur dengan kekayaan dikurniakan.

Tuesday, February 5, 2008

Tekad tak ulang dosa perjanjian penting taubat nasuha

IMAN seorang muslim kadang-kadang boleh menjadi lemah sehingga membawanya dikuasai hawa nafsu. Apabila syaitan merayu berbuat maksiat, maka ia berbuat zalim terhadap dirinya sendiri dan menjerumuskan dirinya pada sesuatu diharamkan Allah.

Sesungguhnya Allah Maha Pengasih terhadap hamba-Nya dan rahmat Allah amat luas mencakupi segala sesuatu. Barang siapa bertaubat selepas melakukan kezaliman, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya dan mengampuninya.

Allah Maha Pemaaf dan Maha Mulia memerintahkan orang mukmin bertaubat nasuha supaya mereka mendapat kasih sayang Allah dan syurga-Nya.

Firman Allah bermaksud: "Hai orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir sungai di bawahnya." (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Sesungguhnya, pintu taubat masih terbuka bagi semua manusia hingga matahari terbit dari barat. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah membuka Tangan-Nya pada malam hari supaya orang yang melakukan kejahatan pada siang hari bertaubat dan Dia membuka Tangan-Nya di siang hari supaya yang melakukan kejahatan pada malam hari bertaubat hingga matahari terbit dari barat." (Hadis riwayat Muslim)

Taubat nasuha bukan hanya sekadar ucapan di lidah. Allah akan menerima taubat itu dengan syarat pelaku kejahatan mencabut akar dosa secara langsung dan menyesali apa yang sudah dilakukannya. Ia juga hendaklah bertekad untuk tidak kembali kepada perbuatan dosa itu dan mengembalikan hak orang dizaliminya. Sebaiknya taubat itu dilakukan sebelum melihat kedatangan kematian.

Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan yang kemudian mereka bertaubat dengan segera. Maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah daripada yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga datang ajal kepada seseorang di antara mereka, barulah ia mengatakan: "Sesungguhnya sekarang saya bertaubat." Dan tidak pula (diterima taubat) orang yang mati sedang mereka dalam kekafiran. Bagi orang itu sudah kami sediakan seksa yang pedih." (Surah an-Nisa, ayat 17 dan 18)

Allah mengajak pelaku perbuatan dosa untuk bertaubat supaya Allah mengampuni mereka. Firman Allah bermaksud: "Tuhanmu sudah menetapkan atas diri-Nya kasih sayang, (iaitu) barang siapa yang berbuat kezaliman di antara kamu lantaran kejahilan kemudian dia bertaubat selepas mengerjakannya dan mengadakan pembaikan, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-An'am, ayat 54)

Allah Maha Pengampun dan Pengasih menyukai taubat hamba-Nya dan memerintahkan mereka untuk bertaubat supaya mereka diampuni Allah, sementara syaitan, jin dan manusia menginginkan mereka menyimpang daripada kebenaran menuju kebatilan.

Sesungguhnya rahmat Allah mencakup segala sesuatu, maka jika seseorang hamba sudah melampaui batas pada perbuatan maksiat dan dosa, kemudian ia bertaubat, maka sesungguhnya Allah akan menerima taubatnya itu.

Seorang muslim yang sedar dengan kesalahan dan maksiat, maka selayak baginya untuk memperbanyak taubat dan mohon ampun. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Demi Allah sesungguhnya Aku mohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih daripada tujuh puluh kali." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sabda Nabi Muhamad SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah sangat gembira dengan taubat hamba-Nya daripada gembiranya seorang yang kehilangan bekal bersama untanya di sebuah padang yang tandus kemudian dia mendapatkannya kembali unta itu." (Hadis Mutafaq alaihi)

Thursday, January 17, 2008

Jadikan taubat agenda utama tahun baru hijrah 1429

Oleh Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad

DALAM kemeriahan kita menyambut tahun baru hijrah 1429 dengan pelbagai azam dan cita-cita baru, kita tidak patut melupai apa yang dilalui sebelum ini. Sebagai seorang Muslim kita perlu muhasabah diri terutama sepanjang tahun lalu apakah titik hitam berupa noda dan dosa yang pernah dilakukan.

Sekurang-kurangnya hal seperti itu tidak berulang pada tahun baru ini. Kerana dosa itu menyebabkan penderitaan berkekalan terutama di akhirat. Islam adalah agama yang penuh kerahmatan kerana ia milik Allah Yang Maha Pencipta, Yang Maha Pengasih dan Penyayang serta Maha Pengampun.

Justeru, Islam sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba-Nya yang terlanjur menderhakaiNya. Allah berfirman maksudnya: "Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang yang beriman supaya kamu beruntung"( Surah al-Nur, ayat 31).

Anas bin Malik berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda maksudnya: "Orang yang bertaubat daripada dosa seperti orang yang tidak ada dosa" ( Hadis Riwayat Ibn Majah). Kemudian Rasulullah membaca firman Allah bermaksud": Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan Allah menyukai orang menyucikan diri "(Surah al-Baqarah, ayat 222). Lalu baginda ditanya: apakah itu taubat ? Jawab baginda: "penyesalan".

Taubat adalah wajib sepanjang masa, kerana manusia tidak terlepas daripada maksiat, sekiranya ia terlepas daripada maksiat melalui anggota, ia tidak terlepas daripada angan-angan hendak berbuat dosa dengan hati.

Sekalipun ia terlepas daripada semua itu, ia tidak hilang daripada was-was dan rayuan syaitan sehingga lalai daripada mengingati Allah atau zikrullah.

Demikianlah kekurangan dan kelemahan manusia. Justeru, Islam sentiasa membuka pintu seluas-luasnya untuk umatnya bertaubat walau sebesar mana dosanya.

Sabda Rasulullah maksudnya: "Sekiranya kamu melakukan kesalahan sehingga tinggi melangit sekalipun, kemudian kamu bertaubat, pasti Allah menerima taubatmu" (Hadis Riwayat Ibn Majah daripada Abu Hurairah).

Saidina Umar r.a berkata: "Dampingilah orang yang suka bertaubat kerana mereka orang yang berjiwa halus".

Seorang yang bertaubat sebaiknya melakukan kebaikan sebagai ganti kepada kejahatan yang dilakukan supaya dengan itu dapat menghapuskan kejahatannya. Kebaikan itu boleh berlaku dalam bentuk hati, lidah dan anggota mengikut keadaan kejahatan dilakukan.

Kalau dengan hati ialah kita berasa hina dan rendah diri terhadap Allah, maka dengan lidah, kita mengakui kejahatan dilakukan dan terus beristighfar kepada Allah seumpama dia berkata: "Hai Tuhanku, aku menzalimi diriku, ampun dosaku".

Rasulullah mengajar kita bertaubat dalam sabdanya bermaksud: "Mana-mana orang yang melakukan satu dosa, lalu dia berwuduk dengan sebaik-baiknya, kemudian dia melakukan solat dua rakaat dan memohon ampun kepada Allah, pasti Allah mengampunkan dosanya" (Hadis Riwayat al-Tayalisi dalam Musnadnya).

Sesungguhnya dosa yang dilakukan memberi kesan buruk kepada hati kita sebagai Mukmin.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesungguhnya seorang Mukmin apabila dia melakukan satu dosa, terbentuklah satu titik hitam di hatinya, jika dia meninggalkannya dan bertaubat, bersinar kembali hatinya. Jika dia menambah lagi dosanya akan menebal titik hitam di hatinya.

Apakah hakikat taubat sebenarnya? Taubat ialah penyesalan terhadap apa yang dilakukan pada masa lalu, dan meninggalkannya serta-merta dan bertekad kuat untuk tidak mengulanginya lagi pada masa mendatang.

Marilah kita menjadikan taubat sebagai agenda utama kita sempena menyambut tahun baru Islam kita pada tahun ini. Semoga kita dapat membuka lembaran hidup baru dan bersih daripada noda dan dosa.

Friday, January 11, 2008

Bicara Kalbu: Dibenci jiran, rakan sekerja kerana kesilapan lalu

Jawapan disediakan usahawan Taska dan Tadika Islam, Rosnah Ahmad dengan kerjasama Wanita Jim.
www.bicarakalbu.blogspot.com

SAYA pernah melakukan kesilapan di tempat kerja sehingga kebanyakan rakan sekerja mula memandang benci, walaupun saya sudah mengakui kesilapan itu dan memohon maaf terhadap individu berkenaan. Saya juga sudah bertaubat.

Namun, rakan di tempat kerja dan jiran tetap menunjukkan sikap membenci, malah setiap mereka yang mendekati saya seolah-olah dihasut supaya jangan berbaik dengan saya. Akhirnya saya kehilangan kawan.

Peristiwa itu berlaku tujuh tahun lalu dan selama tempoh itu saya dipulau dan dipandang sepi, tetapi saya menguatkan semangat untuk tabah menghadapinya. Namun, apa yang membimbangkan, masalah itu memberi kesan kepada masa depan kerjaya saya kerana saya seolah-olah dihalang memajukan diri dan memegang jawatan tinggi.

Kadangkala saya terfikir untuk bertukar kerja, tetapi masih terikat dengan kontrak. Saya bercadang mengumpulkan wang untuk memulakan perniagaan satu hari nanti. Saya harap puan dapat memberikan pandangan bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini.

Ruzi,
Selangor.

Saya terharu dan bersimpati dengan apa yang dilalui saudari. Tindakan saudari bertaubat dan meminta maaf adalah satu usaha yang murni. Apa yang berlaku selama tujuh tahun menunjukkan saudari seorang yang tabah dan berhati mulia.

Apa yang boleh saya cadangkan adalah supaya saudari sentiasa bersangka baik sesama manusia, berfikiran positif dan berusaha menukar masalah kepada peluang dengan menangani masalah secara bijaksana.

Gunakan pendekatan beramal dengan amal soleh dan mencegah kejahatan dengan kebaikan seperti mana firman Allah yang bermaksud: “Siapakah yang lebih baik perkataannya dibanding orang-orang yang berseru kepada Allah dan mengerjakan amal soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri. Tidak sama amal kebajikan dengan keburukan. Tolaklah (keburukan itu) dengan perbuatan yang lebih baik (bijaksana). (Jika kamu lakukan demikian), maka orang yang bermusuhan dengan kamu akan menjadi akrab.” (Surah Al-Fussilat, ayat 33-34)

Kehilangan kawan adalah sesuatu yang pahit. Cuba cari ramai kenalan baru yang dapat menerima saudari dengan lebih baik dan bersikap terbuka. Saudari boleh menyertai persatuan kebajikan atau menghadiri majlis ilmu di masa lapang. Menyertai aktiviti yang sihat begini bukan saja membuka ruang untuk mendapat kenalan malah akan meningkatkan keyakinan diri.

Mengenai cadangan untuk berpindah tempat kerja atau berniaga, pada pendapat saya adalah satu cita-cita yang boleh menjadi alternatif yang baik. Apa pun seeloknya saudari menunggu sehingga tamat kontrak kerana bimbang implikasi undang-undang yang mungkin akan merumitkan masalah.

Jika saudari minat berniaga, saya mencadangkan saudari supaya menyertai persatuan yang memfokuskan kepada aktiviti perniagaan. Ini membolehkan saudari meneroka potensi diri dan peluang perniagaan yang ada serta melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan.

Sebagai seorang usahawan, secara peribadi saya berpendapat berniaga adalah satu kerjaya yang mencabar tetapi menyeronokkan, memberi kepuasan dan membuka banyak ruang untuk kita berbakti kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Apa pun, saudari perlu membuat perancangan dan persediaan rapi terutama daripada segi masa, kewangan dan kekuatan diri. Membuat perubahan memerlukan kekuatan dalaman yang tinggi. Berhijrah dengan niat yang suci akan membawa keberkatan dan kerahmatan Allah.

Saya yakin saudari akan dapat menangani masalah ini dengan penuh kesabaran. Moga saudari Ruzi berjaya dalam kerjaya, keluarga dan sentiasa tenang menghadapi hari mendatang.

Jawapan disediakan usahawan Taska dan Tadika Islam, Rosnah Ahmad dengan kerjasama Wanita Jim. Persoalan lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com