Showing posts with label Tokoh Islam. Show all posts
Showing posts with label Tokoh Islam. Show all posts

Monday, January 4, 2010

Ulama ikhlas tidak jatuhkan air muka pemimpin

Oleh Mohd Hilmi Ramli


DR Wahbah Zuhaily (kiri) bersama bukunya Eqhal Islam dan Dahil, adalah ulama Fiqh yang tidak asing di kalangan pelajar jurusan Fiqh dan Usul Fiqh di negara ini. - Gambar hiasan

Ketinggian ilmu, peribadi ilmuwan Islam sampaikan risalah kebenaran perlu dicontohi

BULAN lalu, tanah air kita dikunjungi ramai ulama dan ilmuwan. Yang paling diingati ialah kunjungan Sheikh Yusuf Qaradawi, ulama tersohor dan pemimpin Persatuan Ulama Sedunia. Beliau menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1431 Hijrah. Sheikh Qaradawi bukan ulama yang asing di kalangan umat Islam di Malaysia.

Karyanya menjadi sumber bacaan dan inspirasi bagi golongan pelajar pengajian Islam, pendukung gerakan Islam dan masyarakat awam yang dahagakan kefahaman Islam. Kehadiran beliau sangat dinanti oleh masyarakat Islam di sini, selepas hampir sedekad tidak menjejakkan kaki di Malaysia, yang kali terakhir ialah pada 1997.

Pada tahun itu, beliau menjadi tetamu kerajaan Malaysia, dan melalui Kementerian Belia dan Sukan bercakap mengenai peranan belia dan dakwah Islam. Kehadiran beliau kali ini mengubat kerinduan dengan berkongsi 'buah tangan' terbaru beliau iaitu karyanya Fiqh Jihad. Kunjungan pertama kali beliau ke Malaysia ialah pada 1974 antaranya melawat pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Sumbangan terpenting beliau ialah manhaj kesederhanaan dalam dakwah dan pendekatan yang mengiktiraf segala perbezaan pandangan di kalangan ulama dalam bidang fiqh. Abim berjasa menerbitkan dan menterjemahkan banyak karya Sheikh Qaradawi.

Di samping itu, seorang ulama fiqh yang tersohor juga, Sheikh Dr Wahbah Zuhaily juga berada di Malaysia kerana memberi ucaptama pada Kongres Pendidikan Islam Sedunia ke-7 yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor. Sheikh Wahbah juga tidak asing di kalangan umat Islam di Malaysia, terutama pelajar jurusan agama di bidang Fiqh dan Usul Fiqh.

Karya magnum opusnya Fiqh Islam Wa Adillatuhu yang menjadi sukatan penting dalam pengajian Fiqh di universiti tempatan. Beliau juga penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun sebelumnya.

Sebelum itu, Prof Tariq Ramadan, cucu kepada Hassan Al Bana, pengasas Ikhwan Muslimin juga berada di Malaysia. Beliau yang sering dengan kenyataan kritis dan kontroversinya, mengupas dokumentari 'Road To Mecca' yang berpandukan kisah sebenar Muhammad Asad, seorang pemikir Yahudi yang memeluk Islam kemudiannya.

Bagi pengamal aliran sufi, kehadiran Sheikh Yusuf Al Bakhur Al Shazili dan Sheikh Rohimuddin An-Nawawi Al Bantany ke Seminar Sufi 2009 sangat bermakna. Keduanya pernah menjadi tetamu Abim di Anjung Rahmat. Bahkan kehadiran Sheikh Muhammad Al Yaqoubi ke Konvensyen Perpaduan Muslim 2009 di PWTC satu lagi kunjungan yang dinantikan. Beliau masyhur kerana mendidik sebahagian besar ilmuwan kontemporari seperti Sheikh Hamza Yusuf, Sheikh Jibril Haddad dan ramai lagi .

Ketika kita meraikan kehadiran ulama dan ilmuwan dari luar negara, kemunculan Prof Naquib Al Attas selepas hampir empat tahun tidak berceramah di hadapan massa kerana kesihatan yang tidak mengizinkan, adalah perkara yang menakjubkan juga. Satu seminar anjuran Himpunan Keilmuwan Muda (Hakim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkenaan Seminar Pengukuhan Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Prof Naquib Al Attas diadakan.

Tidak keterlaluan dikatakan, seminar ini merakam sejarah tersendiri apabila seorang Timbalan

Menteri membatalkan urusan politiknya untuk mendengar pembentangan kertas kerja yang bermula seawal pagi sehinggalah malamnya, Syarahan Perdana oleh Prof Naquib Al Attas.

Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi harus diberi pujian kerana jemputan kepada beliau hanyalah untuk merasmikan majlis, namun dengan kecintaan dan penghormatan yang tinggi terhadap ilmuwan dan pembudayaan ilmu, beliau setia dengan seminar dari pagi sehingga ke penghujungnya iaitu malam Syarahan Perdana.

Prof Al Attas memberi inspirasi kepada gerakan Abim peringkat awalnya, dengan mendidik generasi awal pendukung Abim, mencipta logo dan memberi nama majalah Abim sebagai Risalah. Buku Islam and Secularism terbitan Abim pada 1978 menempatkan nama Abim di persada dunia sebagai pertubuhan belia Islam yang berwibawa menerbitkan sebuah karya penting oleh ilmuwan besar.

Dalam tradisi ilmu Islam, ulama diberi penghormatan tinggi dan mulia. Ini dirakamkan dalam al-Quran dan hadis mengenai penghormatan yang diberikan kepada mereka.

Persoalan adab kepada golongan ulama tidak boleh dipertikaikan lagi. Burhanuddin Zarnuji dalam kitab mashyurnya Ta'lim Muta'alim Tariq Ta'alum (Bimbingan Bagi Penuntut Ilmu Pengetahuan) menulis, menghormati guru ialah jangan berjalan di depannya, duduk di depannya, duduk di tempatnya, memulai mengajak berbicara atas perkenan darinya, berbicara hal lagha di depannya dan menanyakan hal yang membosankan. Hal seperti ini sememangnya kita sudah bersetuju sejak azali lagi bahawa ini bentuk penghormatan yang diberikan kepada mereka.

Ulama yang wibawa tidak perlu merasa gentar berdepan dengan pemimpin. Mereka menyampaikan risalah kebenaran, nasihat mahupun teguran ikhlas. Bagi pihak pemimpin pula, kedudukan mereka ialah mendengar dengan ikhlas nasihat itu dan dengan rendah diri cuba menerima kelemahan jika ada bentuk teguran diberikan.

Nasihat ulama yang ikhlas tidak sama sekali untuk menjatuhkan air muka seseorang pemimpin, bahkan itu sebenarnya tugas hakiki seseorang ulama dalam sejarah tradisi keilmuan dan kepemimpinan Islam. Ulama yang menegur pemimpin tidak sama sekali bertujuan menggantikan kedudukan pemimpin itu.

Penulis ialah Ketua Penerangan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)

Monday, December 28, 2009

Yusuf Al-Qaradawi tokoh ulama serba boleh, reformis dunia Islam

Oleh Mohamad Sofee Razak

PEMILIHAN Presiden Persatuan Ulama Sedunia, Dr Yusuf Al-Qaradawi sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa 1431/2009M adalah tepat dan ditunggu-tunggu umat Islam di negara ini sejak sekian lama. Beliau adalah contoh tokoh ulama serba boleh, disanjungi kawan serta lawan dan dinobatkan sebagai reformis dunia Islam dalam segala bidang oleh banyak pihak.

Malahan melihat kepada keperibadian dan kewibawaan beliau yang begitu mengagumkan, di samping sebagai tokoh ilmuan, beliau juga turut diiktiraf sebagai pemikir, sarjana dan ikon intelek kontemporari pada abad ini. Bintang dunia Islam ini dilahirkan di Mahallah al-Kubra, Gharbiah, Mesir pada 1926 telah mendapat pendidikan tertingginya di Universiti al-Azhar sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam fiqh al-Zakat pada 1973. Beliau menjadi idola kepada ilmuan Islam di seluruh pelosok dunia dan dianggap sebagai ensiklopedia dan kamus bergerak umat Islam.

Jika sebelum ini kita hanya membaca, meneliti dan menelaah sekian banyak buku, makalah, kajian dan pelbagai bahan penulisan ilmiah serta fatwa-fatwa mutakhir yang dikeluarkan beliau melalui pelbagai medium tanpa memberi apa-apa penghargaan dan pengiktirafan kepada beliau, maka pemilihan beliau kali ini sebagai Tokoh Maal Hijrah adalah bukti terima kasih, penghormatan dan pengiktirafan tertinggi negara kita dan umat Islam di sini kepada golongan agama yang diwakili beliau.

Sebagai ulama yang ketrampilan, beliau juga diangkat sebagai tokoh tajdid yang tidak pernah kalah menyeru umat Islam kepada model keluasan fekah dan metodologi kemerdekaan minda dari ketaksuban pandangan tokoh atau mazhab tertentu kepada penilaian terhadap setiap pendapat dengan adil berteraskan landasan al-Quran dan al-Sunnah. Situasi ini kadang-kadang menjadikan beliau sebagai tokoh ulama yang agak kontroversi kerana tidak selari dengan sekolah pemikiran tradisional Islam.

Namun, jika dilihat pencapaian dan rekod sepanjang hidup beliau memperhambakan dirinya kepada dunia ilmu, di samping menjadi jurubicara umat di benua Islam dan seterusnya berusaha memberi khidmat serta kepakaran beliau kepada perkembangan agama Islam dan ummah secara keseluruhannya dengan begitu komited sekali selain konsisten berdakwah yang dianggap sebagai teras kerjayanya, malahan bertenaga menerajui usaha perubahan dan membangkitkan kesedaran Islam di seluruh dunia.

Dalam pada itu, buku terbarunya Fiqh al-Jihad yang juga karya terbesar selepas Fiqh al-Zakah, Fiqh al-Daulah, Fiqh al-Awlawiyyat dan banyak lagi karya ilmiah beliau yang tidak ternilai kepada umat Islam. Dalam Fiqh al-Jihad misalnya, beliau menekankan bahawa segala dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap amalan jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia.

Sehubungan itu, umat Islam di seluruh dunia perlu memahami konsep jihad dalam ajaran Islam yang sebenar agar dapat membantu mereka mempertahankan hujah berkaitan penyebaran agama Islam yang sering kali dikaitkan dengan penggunaan pedang, peperangan dan kekerasan melampau seperti yang direka dalam banyak bahan penulisan orientalis, Barat dan catatan sejarah lampau. Persepsi dan perspektif negatif ini perlu diperbetulkan segera agar tidak menjadi barah kepada dunia Islam.

Sunday, December 20, 2009

Ulul Albab: Abdul Rahman 'Auf tokoh hijrah contoh

Oleh Abdurrahman Haqqi


KETIKA hayatnya, Abdul Rahman Auf sering menyedekahkan sebahagian besar harta kekayaannya untuk jihad fisabilillah. Oleh itu umat Islam digalakkan mencontohi sifat mulia beliau supaya mendapat keredaan Allah. - Gambar hiasan


Hartawan Islam mantapkan jaringan sosial, ekonomi penduduk Madinah dengan hartanya

KEBANYAKAN konglomerat Madinah sepanjang sejarah permulaan Islam berasal dari kota Makkah atau yang disebut sebagai Muhajirin, orang yang berhijrah sebagai saudara kepada penduduk asal Madinah yang disebut Ansar. Antara mereka ialah Khalifah Othman bin 'Affan, al-Zubeir bin 'Awwam, al-Abbas bin Abdul Mutallib dan Abdul Rahman bin 'Auf..

Apabila kita mengira jumlah harta kekayaan mereka, kita akan berasa takjub dan terkesima sehingga akan banyak pertanyaan dalam minda kita. Kita akan lebih takjub dan tercengang apabila kita perhatikan sepak terajang mereka dalam menafkahkan harta mereka di jalan Allah demi untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.

Kekayaan yang melimpah ruah yang dimiliki kaum Muhajir itu adalah bukti kebenaran ayat al-Quran yang bermaksud: "Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur." (Surah al-Nisa: 100)

Mereka dalam kesempitan hidup ketika berada di Makkah demi perjuangan membela Islam dan mereka kemudian menemukan tempat hijrah yang sesuai sehingga boleh mengumpulkan rezeki yang banyak lalu sempat mensyukurinya. Abdul Rahman bin 'Auf adalah satu contoh Muhajir yang berjaya.

Abdul Rahman bin Auf membangunkan jaringan sosial dan ekonomi yang kukuh di Madinah sehingga dengan kekayaannya yang luar biasa boleh menstabilkan perekonomian Madinah demi kepentingan penduduknya.

Ketika beliau meninggal dunia, antara harta warisnya ialah 1,000 unta (RM3 juta), 100 kuda (RM1 juta), 3,000 kambing (RM900,000), beliau mempunyai empat isteri dan masing-masing mendapatkan pembahagian khusus 80,000 dinar (RM 40.8 juta). Beliau memerdekakan sejumlah besar budak-budak yang dimilikinya. Kemudian diwasiatkannya supaya memberikan 400 dinar (RM204,000) kepada masing-masing bekas pejuang Perang Badar. Mereka berjumlah 100 orang, dan semua mengambil bahagiannya masing-masing (RM20.4 juta). Subhanallah.

Di samping itu masih ada peninggalannya berupa emas dan perak, yang jika beliau membahagikannya kepada ahli warisnya dengan mengapak, maka potongannya cukup menjadikan seorang ahli warisnya menjadi kaya raya.

Beliau juga berwasiat supaya memberikan hartanya yang paling mulia untuk Ummahat al-Mukminin, Aisyah ra sering mendoakannya: "Semoga Allah memberikannya minum dengan minuman dari telaga salsabil."

Beliau pernah menyedekahkan hartanya untuk kepentingan jihad sebanyak 40,000 dinar (RM20.4 juta), menyerahkan 500 kuda (RM5 juta) dan 1,500 unta (RM4.5 juta) kepada pejuang.

Daripada buku yang mengisahkan kepahlawanan sahabat Rasulullah yang ditulis oleh Abdul Rahman Ra'fat Basya kita memperoleh susuk Abdul Rahman bin 'Auf yang menakjubkan dan perlu diteladani umat Islam.

Beliau termasuk lapan orang yang mula-mula masuk Islam; beliau juga termasuk 10 orang yang diberikan khabar gembira oleh Rasulullah masuk syurga; beliau termasuk enam sahabat yang bermusyawarah dalam pemilihan khalifah sesudah Umar bin Khattab RA; dan beliau adalah seorang mufti yang dipercayai Rasulullah SAW untuk berfatwa di Madinah ketika Baginda masih hidup di tengah-tengah masyarakat Islam.

Namanya pada masa Jahiliah ialah Abd Amr. Setelah masuk Islam Rasulullah menggantikannya dengan Abdul Rahman bin Auf. Beliau memeluk agama Islam sebelum Rasulullah SAW masuk ke rumah al-Arqam, iaitu dua hari sesudah Abu Bakar al-Siddiq memeluk Islam.

Dalam proses hijrah ke Madinah di mana Rasulullah mempersaudarakan kaum Muhajir dan kaum Ansar, Abdul Rahman bin Auf dipersaudarakan dengan Sa'ad bin Rabi' al- Anshari RA.

Pada suatu hari Sa'ad berkata kepada Abdul Rahman: "Wahai saudaraku Abdul Rahman. Aku termasuk orang kaya di antara penduduk Madinah. Hartaku banyak. Saya mempunyai dua bidang kebun yang luas, dan dua isteri. Pilihlah olehmu salah satu di antara kedua-dua kebun itu, kuberikan kepadamu mana yang kamu sukai. Begitu pula salah seorang di antara kedua-dua isteriku akan kuserahkan mana yang kamu sukai, kemudian aku nikahkan engkau dengan dia." Jawab Abdul Rahman bin Auf: "Semoga Allah melimpahkan berkat-Nya kepadamu, kepada keluargamu, dan kepada hartamu. Saya hanya akan minta tolong kepadamu untuk menunjukkan di mana letaknya pasar Madinah ini."

Sa'ad menunjukkan pasar tempat berjual beli kepada Abdul Rahman. Maka, mulailah beliau berniaga di sana, berjual beli, melaba dan merugi. Belum berapa lama dia berdagang, terkumpullah wangnya sekadar cukup untuk mahar menikah. Dia datang kepada Rasulullah memakai wangi-wangian. Baginda menyambut kedatangan Abdul Rahman seraya bersabda yang bermaksud: "Alangkah wanginya kamu, hai Abdul Rahman." Jawab Abdul Rahman: "Saya hendak menikah wahai Rasulullah." Tanya Rasulullah: "Apa mahar yang kamu berikan kepada isterimu?" Jawab Abdul Rahman: "Emas seberat biji kurma." Kata Rasulullah: "Adakan kenduri, walau hanya dengan menyembelih seekor kambing. Semoga Allah memberkati pernikahanmu dan hartamu." Kata Abdul Rahman: "Sejak itu dunia datang menghadap kepadaku (hidupku makmur dan bahagia). Hingga seandainya aku angkat sebuah batu, maka di bawahnya aku dapati emas dan perak."

Begitulah doa Rasulullah SAW untuk Abdul Rahman sehingga perniagaannya selalu meningkat dan berkembang. Kabilah dagangnya terus-menerus hilir mudik ke Madinah mengangkut gandum, tepung, minyak, pakaian, barang-barang pecah-belah, wangi-wangian dan segala keperluan penduduk.

Pada suatu hari iring-iringan kabilah dagang Abdul Rahman terdiri daripada tujuh ratus unta bermuatan penuh tiba di Madinah. Semua membawa makanan, pakaian dan barangan lain keperluan penduduk. Ketika mereka memasuki kota, bumi seolah-olah bergetar. Terdengar suara gemuruh dan hiruk-pikuk. Sehingga Aisyah bertanya, "Suara apa hiruk-pikuk itu?" Dijawab orang: "Kalifah Abdul Rahman dengan iring-iringan tujuh ratus unta bermuatan penuh membawa makanan, pakaian dan lain-lain." Kata Aisyah: "Semoga Allah melimpahkan berkat-Nya bagi Abdul Rahman dengan baktinya di dunia, serta pahala yang besar di akhirat. Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Abdul Rahman bin Auf masuk syurga dengan merangkak (kerana syurga sudah dekat sekali kepadanya)."

Sebelum menghentikan iring-iringan unta, seorang pembawa berita mengatakan kepada Abdul Rahman bin Auf berita gembira yang disampaikan Aisyah, bahawa Abdul Rahman bin Auf masuk syurga. Serentak mendengar berita itu, bagaikan terbang dia menemui Aisyah. Katanya: "Wahai ibu, apakah ibu mendengar sendiri ucapan itu diucapkan Rasulullah?" Jawab Aisyah: "Ya, saya mendengar sendiri." Abdul Rahman melonjak bahagia. Katanya: "Seandainya aku sanggup, aku akan memasukinya sambil berjalan. Sudilah ibu menyaksikan, kabilah ini dengan seluruh kenderaan dan muatannya, kuserahkan untuk jihad fisabilillah."

Cuba kita bayangkan, seandainya ada 700 kontena yang berisi penuh keperluan memasuki Kuala Lumpur sudah tentu akan membuat heboh penduduknya dan yang akan membuat lebih heboh lagi ialah semuanya berserta isinya disedekahkan kepada penduduk Kuala Lumpur. Nah, siapa yang sanggup mencontohi susuk Hijrah kita yang satu ini? Selamat Tahun Baru Hijrah 1431.

Saturday, December 19, 2009

Pengorbanan dalam bidang keagamaan dihargai

Oleh Jami'ah Shukri


MOHD YUSOF bersalaman dengan Yusuf Al-Qaradawi selepas menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.


Pemilihan dua tokoh Maal Hijrah sejajar sumbangan besar kepada pembangunan Islam

PENGORBANAN dan sumbangan mereka dalam bidang keagamaan bagaikan air yang mengalir tanpa henti. Itulah yang dilakukan dua tokoh Maal Hijrah 1431H, yang dianugerah atas sumbang besar tokoh sarjana Islam terkemuka dunia, Prof Dr Yusuf Abdullah Al-Qaradawi, 65, dari Mesir dan Tan Sri Dr Mohd Yusof Md Noor, 68. Pemilihan dua tokoh berkenaan adalah amat tepat dan bersesuaian ke atas sumbangan besar mereka kepada Islam.

Al-Qaradawi yang juga ulama, pemikir, intelek kontemporari, menganggap anugerah itu amat besar dan dimuliakan, khususnya ia diterima ketika seluruh dunia menyambut tahun baru Hijrah.

Ini sekali gus, katanya, dapat mengingatkan umat Islam terhadap peristiwa sambutan Hijrah Rasulullah SAW yang menjadi permulaan kepada pembinaan sebuah model tamadun Islam, masyarakat berilmu dan beriman serta pembinaan kerajaan Islam.

"Malah anugerah itu dianjurkan oleh Malaysia, iaitu sebuah negara yang amat saya cintai dan dimuliakan serta dikenali dengan kebangkitan Islam dan semangat Islam yang menjadi kebanggaan umat seluruh dunia.

"Sesungguhnya, hubungan dan perkenalan saya dengan Malaysia bukan baru, sebaliknya bermula sejak setengah kurun. Saya mempunyai hubungan akrab dengan beberapa individu, ulama dan institusi. Saya juga beberapa kali datang ke negara ini atas jemputan universiti, masjid dan berjumpa dengan sebilangan guru dan pelajar di sini.

"Saya juga ada bertemu dengan pemerintah sama ada dari Umno dan Pas, selain pernah menerima anugerah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)," katanya ketika menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H, semalam. Anugerah disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, yang juga Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Al-Qaradawi dan Yusuf masing-masing menerima wang tunai RM100,000, plak, pingat dan sijil penghargaan sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya bertemakan ‘Memantapkan Ukuwah, Memperkasakan Ummah’.

Beliau yang juga Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia dan Pengarah Pusat Kajian Sunnah dan Sejarah Islam di Universiti Qatar, berkata nikmat paling besar disempurnakan pada Maal Hijrah ini adalah diutuskan Nabi Muhammad SAW serta diturunkan kitab al-Quran, lantas menjadikan umat Muhammad sebagai umat pilihan yang adil dan menjadi saksi ke atas perbuatan manusia.

Keistimewaan Nabi Muhammad adalah generasi paling kehadapan seperti disifatkan dalam al-Quran dengan empat ciri, iaitu pertama rabbani (dilahirkan untuk memberi hidayah, sinar, kebahagiaan dan manfaat kepada manusia; kedua, kesederhanaan, yang penuh dengan keseimbangan, tidak berlebih-lebih mementingkan kebendaan seperti kaum Yahudi dan tidak melampau mengutamakan kerohanian seperti kaum Nasrani; ketiga, umat yang cemerlang dari segi kebaikan berbanding umat terdahulu dan keempat umat yang bersatu.

“Nabi Muhammad SAW pada hayatnya meninggalkan banyak warisan kepada umat Islam. Walaupun tempoh jangka masa pendek sebagai rasul iaitu ketika berusia 23 tahun, namun berjaya mengubah perjalanan seluruh alam, takdir dan matlamatnya, memalingkan pandangan manusia dari penyembahan makhluk kepada penyembahan Tuhan.

“Hakikatnya, Nabi Muhammad meninggalkan segala yang agung dan sangat berharga, yang tidak pernah diwarisi sesiapa sebelumnya iaitu boleh dibahagikan kepada tiga perkara iaitu, al-Quran termasuk keterangannya daripada Sunnah dan Sirah, ajaran dan pegangan bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah dan umat Islam terhasil daripada perkembangan ajaran ini yang bermula daripada sahabatnya," katanya.

Sementara itu, Yusuf pula yang kini Pengerusi Kumpulan Felda, menganggap sumbangannya dalam bidang keagamaan adalah terlalu sedikit dan masih banyak perlu diperjuangkan ke arah kesejahteraan umat Islam secara keseluruhan.

Katanya, anugerah itu perlu diselaraskan dengan niatnya untuk terus menyumbang bakti dalam bidang keagamaan yang masih belum selesai.

"Sebenarnya sumbangan saya dalam bidang ini masih kecil. Kita sepatut perlu melakukan lebih banyak lagi untuk membantu golongan Muslim dan bukan Muslim di negara ini.

"Misi utama saya adalah untuk mewujudkan persefahaman yang baik antara orang Islam dan bukan Islam di negara ini. Saya juga tidak boleh mengakui bahawa saya terbabit banyak dalam bidang ini.

"Cuma apabila kerajaan memperkenalkan nilai Islam saya juga terbabit sama. Saya turut mengadakan perbincangan dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan bukan Islam mengenai nilai Islam. Tetapi ia belum selesai dan ini yang perlu diteruskan dalam mewujudkan kesejahteraan," katanya.

Beliau berkata, Malaysia adalah negara pelbagai kaum dengan dihuni kira-kira 60 peratus orang Islam, namun berjaya menjalani kehidupan penuh harmoni.

Malah, katanya, jika hubungan rapat itu terus berkekalan pastinya orang bukan Islam juga akan menerima faedahnya.

"Majoriti orang Islam di Malaysia adalah rahmat kepada orang bukan Islam. Oleh itu saya berpendapat orang bukan Islam tidak harus takut dengan orang Islam. Orang Islam pada ketika ini tercabar sedikit kerana banyak perkara perbalahan antara sesama Muslim.

"Oleh itu, saya mahu mereka perlu merapatkan barisan kerana ia akan memberikan kebahagiaan kepada penduduk lain. Orang Islam di negara ini perlu bersatu padu menerusi kaedah ini mereka memberi rahmat negara. Ini sekali gus memberikan kesejahteraan kepada keseluruhan masyarakat di negara ini," katanya.

Yusuf berkata, kerajaan yang ada sekarang juga memberi fokus kepada Islam dengan memperkenalkan nilai Islam dan ini seharusnya diteruskan untuk memberi kesejahteraan kepada orang bukan Islam.

Katanya, sumbangannya dalam bidang keagamaan akan diteruskan menerusi akademik sejajar dengan dirinya yang menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk melahirkan pelajar yang mampu menjadi tokoh hebat serta mampu menjadi teladan kepada masyarakat berbilang kaum.

"Saya menerusi universiti merancang untuk menjadikan mahasiswa sebagai contoh menjadi teladan kepada masyarakat berbilang kaum. Peranan yang akan saya mainkan dalam bidang Islam ialah menerusi akademi. Saya fikir universiti adalah platform yang cukup baik dalam melahirkan lebih ramai pakar dan tokoh dalam bidang pelbagai bidang termasuk keagamaan.

"Saya sebagai pengerusi dan fokus itu kepada pelajar yang menjadi elemen penting. Sebelum mereka menamatkan pengajian dan bekerja dalam bidang masing-masing mereka boleh menjadi contoh kepada negara ini," katanya.

PROFIL

# Prof Dr Yusuf Abdullah Ali al-Qaradawi

Umur: 65 tahun.

Tarikh Lahir: 9 September 1926 (Shafat al-Turab Mahallah al-Kubra, Gharbiyah, Mesir).

Pendidikan:Pengajian Usuluddin, Universiti al-Azhar (1953); PhD dalam Fikah al-Zakat dan Ijazah Tinggi Fakulti Usulludin bidang Tafsir dan Hadis.

Jawatan: Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia; Pengerusi Majlis Fatwa Eropah; Naib Pengerusi Organisasi Zakat Antarabangsa; Ahli Pusat Pengajian Islam di 0xford; Pengarah Pusat Kajian Sunnah dan Sejarah Islam Universiti Qatar; Penyelia Hal Ehwal Kementerian Wakaf dan Jabatan Kebudayaan Islam Al-Azhar; Pengarah Kolej Islam, Qatar; Pengasas dan Dekan Fakulti Syariah dan Pengajian Islam, Universiti Qatar.

Anugerah: Tokoh Maal Hijrah 1431 (Malaysia); Anugerah Antarabangsa Raja Faisal dalam bidang pengajian Islam (1413H); Anugerah Kecemerlangan Sarjana UIAM (1996); Anugerah Sultan Hassan al-Bulkiah Sultan Brunei dalam bidang Fikh (1997); Anugerah Sultan al-Uwais, Emiriah Arab Bersatu (1999); Anugerah Antarabangsa Dubai (2000); Anugerah Penghargaan Kebangsaan dalam bidang Pengajian Islam, Qatar (2008).



# Tan Sri Dr Mohd Yusof Md Nor

Umur: 68

Tarikh Lahir: 5 Februari 1941 (Besut, Terengganu)

Pendidikan: Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaysia, Diploma Kepakaran Pendidikan Universiti Ein Shams, Mesir; PhD dalam bidang Falsafah, Universiti Kaherah, Mesir.

Jawatan: Pengerusi Kumpulan Felda sejak 2000 sehingga sekarang; Pengerusi Majlis Penasihat Tabung Haji sejak 2000 sehingga sekarang; Pengerusi Lembaga Pendidikan Islam Malaysia sejak 2005 sehingga sekarang; Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno (1987 -2005); Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Bekas Menteri Perusahaan Awam; Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM - 1974).

Wednesday, May 13, 2009

Iqra: Koleksi artikel 9 tokoh

Judul: Islam dan Kemodenan - Pandangan Intelektual Islam
Suntingan: John Copper, Ronald Nettler dan Mohamed Mahmoud
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Pengulas: Muhd Yusuf Abu Bakar.

KUMPULAN sembilan artikel membincangkan mengenai Islam dan Kemodenan melalui perspektif berbeza daripada ilmuan kontemporari Islam hasil bengkel perbincangan ilmiah di Oxford, England, pada 1996.

Perbincangan membabitkan sembilan ilmuan termasuk Javed Majeed, John Cooper, Nadia Abu-Zahra, Mohamed Mahmud dan Abdou Filali-Ansari itu cuba melihat idea di kalangan cerdik pandai Islam pada abad ke 20. Secara keseluruhan pandangan mereka menurut penulis berkenaan mendahului pemikiran tokoh kemodenan terawal dan berpengaruh seperti Muhammad Abduh dan Rashid Rida.

Tokoh pemikir seperti Shaikh Muhammad Said Ramadan al-Buti, di Syria; Husayn Ahmad Amin (Mesir); Mahmud Muhammad Taha (Sudan), Sir Sayyid Ahmad Khan dan Altaf Hussain Hali (India) dan Mohamed Talbi (kelahiran Tunisia) disentuh secara serius oleh pengkaji Islam berkenaan mengenai sumbangan mereka kepada dunia Islam.

Tokoh pemikir ini berasal dari pelbagai negara, menganjur dari Afrika Utara sehingga ke India. Walaupun pandangan mereka agak berbeza terhadap pemikiran Islam, namun isu ditonjolkan merapatkan hubungan antara mereka.

Buku ini hasil bengkel, yang membuat penilaian semula terhadap tokoh pemikir dan idea mewakili pemikiran Islam abad ke-20. Koleksi artikel yang dimuat di dalam buku ini turut menekankan keutamaan dalam konteks sejarah untuk memahami al-Quran.

Saturday, April 18, 2009

Kekuatan akhlak, ilmu asas pembangunan insan

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi


KANAK-KANAK mengikuti kem solat yang digunakan sebagai model pembangunan insan. - Gambar hiasan


Umat wajib bersihkan jiwa daripada hasutan nafsu, kebendaan capai kehidupan diredai

SEIRING pelantikan sebagai khalifah Allah, manusia diamanah untuk memakmurkan bumi dengan pembangunan dan kemajuan sesuai kepentingan serta keperluan manusia. Perkara itu dilaksanakan umat terdahulu seperti diceritakan al-Quran.

Firman Allah bermaksud: "Demi sesungguhnya bagi penduduk Saba' satu tanda (menandakan kemurahan Allah) di tempat tinggal mereka, iaitu dua kumpulan kebun (luas lagi subur) di sebelah kanan dan kiri (kariah mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukur kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun." (Surah Saba', ayat 15)

Kaum Saba' sudah menjulang ke mercu kecemerlangan dan kegemilangan dengan Empangan Ma'ribnya yang masyhur. Ditambah limpahan nikmat Ilahi yang tiada terhingga dan kesuburan tanahnya mengubah wajah kota sekitarnya umpama syurga dunia.

Pada mulanya, penduduk kota Saba mensyukuri nikmat Allah, namun kemudian mereka lupa diri dan semakin berani melakukan kezaliman sehingga terjerumus dalam kancah kederhakaan kepada Allah. Bukan setakat itu, mereka lantang menentang seruan nabi Allah yang diutuskan kepada mereka. Natijahnya, Allah mengirimkan banjir besar sehingga meleburkan Empangan Ma'rib yang tersohor itu Segala tanaman musnah dan menjadikan negeri itu umpama padang jarak padang tekukur. Semua nostalgia silam itu dirakamkan dalam surah Saba'.

Jelas, kemajuan dan pembangunan dalam pelbagai bidang adalah keperluan kehidupan manusia serta diharuskan syarak selama ia membawa kebaikan dan manfaat kepada umat manusia. Inilah pembangunan material yang diharuskan kepada umat, tetapi pada masa sama mereka perlu menginsafi segala kemajuan dan pembangunan dicapai itu adalah dari Allah juga.

Umat Islam wajar menyatakan kesyukuran kepada Allah atas limpah dan kurnia nikmat-Nya yang tiada terhingga. Kesyukuran itu antara ciri pembangunan rohani yang perlu disemai supaya kemajuan dan pembangunan berlangsung terus seiring peredaran zaman.

Justeru, pembangunan fizikal dan kerohanian memainkan peranan ke arah kelangsungan bangsa bertapak kukuh. Meninjau keadaan umat Islam kini, pembangunan fizikal perlu dalam kehidupan ummah, sekali gus mewujudkan keunggulan umat dalam pelbagai bidang kehidupan kini.

Islam tidak melarang pembangunan fizikal selagi ia memberi manfaat. Jika pembangunan membawa kemudaratan, Islam melarangnya seperti pembangunan senjata nuklear atau pengedaran dadah. Pembangunan kerohanian yang tidak ditekankan atau diberi perhatian sewajarnya oleh umat Islam menyebabkan mereka mudah dilabelkan sebagai umat mundur dan jumud. Sedangkan, pembangunan kerohanian adalah mekanisme penting yang perlu dijana ke arah membawa umat Islam ke mercu kegemilangan. Pembangunan kerohanian bukan istilah baru dalam diari masyarakat Islam. Ia wujud sejak zaman Rasulullah SAW yang diutuskan sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam. Dewasa ini, pembangunan kerohanian dikaitkan dengan pembangunan insan.

Prof Zakaria Stapa dalam bukunya, Akidah dan Kerohanian dalam Kehidupan Muslim mendefinisikan pembangunan insan sebagai usaha berterusan memupuk dan mengembangkan potensi dalam diri manusia supaya subur dan kental keimanannya terhadap Rukun Iman serta berupaya terdorong menggesa atau menyumbang ke arah kebaikan dan kesejahteraan diri, orang lain juga alam.

Mereka juga perlu sedia dan sentiasa terpanggil untuk melaksanakan kerja pencegahan terhadap perkara mungkar yang boleh merosakkan kesejahteraan hidup.

Pembangunan insan merujuk kepada usaha pembinaan diri atau sahsiah manusia dengan nilai positif sesuai dengan akal murni dan syarak supaya kewujudan serta kehadiran mereka menjadi sumber kepada kebaikan dan kesejahteraan hidup, bukan sebaliknya.

Jelas di sini, maksud pembangunan insan adalah usaha berencana untuk melahirkan peribadi yang dapat menghayati konsep hidup manusia sebagai hamba dan khalifah Allah dengan akidah mantap, akhlak terpuji, ilmu yang kukuh serta semangat juang.

Acuan inilah juga rahsia dan formula sebenar kejayaan serta keunggulan yang dirintis generasi dulu seterusnya berjaya menghasilkan personaliti terbilang antaranya Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Othman bin Affan, Ali Abi Talib dan ramai lagi.

Merekalah yang menyemarakkan pentas dunia dengan nilai positif tiada tolak bandingnya dalam lipatan sejarah Islam. Ini bertepatan jolokan istimewa yang Allah kurniakan kepada mereka sebagai umat terbaik. Firman Allah bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk lagi keji) serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-sebenar iman)." (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Perlu diinsafi antara punca kehancuran bangsa terdahulu kerana tersebarnya kefasikan dan kemungkaran penghuninya. Oleh itu, perbuatan maksiat dan kemungkaran perlu dijauhi dan dihapuskan secara menyeluruh.

Sejarah manusia membuktikan akhlak bertindak sebagai ejen penentu kepada jatuh bangun sesebuah bangsa. Syauqi Bek pernah berhikmah: "Sesungguhnya umat dan bangsa sangat bergantung pada akhlaknya. Jika baik, maka akan kuatlah bangsa itu. Jika rosak, maka hancurlah bangsa itu."

Lebih-lebih lagi gelora globalisasi, pasca modenisme dan dunia tanpa sempadan menuntut sedikit sebanyak kesediaan umat Islam melakukan perubahan ke arah kecemerlangan Islam. Oleh itu, umat Islam semua lapisan dan peringkat menyedari peranan merealisasikan program pembangunan insan. Individu Muslim wajib memurnikan jiwanya daripada unsur syirik, belenggu fahaman kebendaan dan karat penyakit hati serta dorongan nafsu membinasakan. Setiap ibu bapa perlu menyedari tanggungjawab tarbiah anak supaya berpegang teguh dengan ajaran Islam sebenar.

Setiap anggota masyarakat Islam turut menyumbangkan saham dalam tradisi ketamadunan ilmu, membangunkan agama, bangsa dan negara di atas kefahaman Islam sebenar. Pemimpin perlu menjadikan Islam teras pentadbiran berteraskan keadilan dan ketelusan.

Memadailah Rasulullah SAW dan generasi selepasnya sebagai contoh terbaik untuk diteladani dalam program pembangunan insan yang berjaya apabila Baginda SAW berjaya mendidik generasinya dengan tauhid, akhlak, ilmu dan semangat jihad sehingga tercipta generasi bertakwa.

Pembangunan insan perlu bagi menjana kekuatan akidah, kekentalan akhlak dan kemantapan ilmu; Ketiga-tiga aspek itu perlu dicernakan seiring pembangunan material untuk membentuk pembangunan bermanfaat kepada umat manusia di bawah naungan limpahan keredaan Ilahi.

Friday, April 17, 2009

Peranan wanita dan lelaki sebagai perawi hadis sama penting

Oleh Hasliza Hassan

SUMBANGAN perawi dan ahli hadis wanita dalam pengajaran serta penyebaran ilmu hadis tidak boleh dinafikan kerana selain menjadi rujukan, mereka antara yang bertanggungjawab mengajar ahli hadis lelaki yang terkenal.

Perkara itu dijelaskan Felo Penyelidik Pusat Pengajian Islam Oxford, Dr Muhammad Akram Nadwi, ketika menyampaikan ceramah umum bertajuk Peranan Wanita dalam Gerakan Hadis di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS) Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, penekanan yang ingin dibuat ialah dalam pengembangan ilmu hadis, keutamaan diberi kepada siapa yang mempunyai bukti kuat bukan siapa yang meriwayatkan hadis itu lelaki atau wanita kerana kedua-duanya boleh menjadi perawi dan ahli hadis.

"Ummu Darda' banyak mengadakan kelas pengajian di masjid di Damsyik untuk wanita Islam ketika itu dan apabila berita itu sampai ke pengetahuan Khalifah Abdul Malik bin Marwan, beliau juga ingin mengikuti kelas pengajian itu. Ia satu contoh kerana ramai lagi yang seperti Ummu Darda'," katanya.

Satu lagi perkara menarik dikongsi Dr Muhammad Akram kepada peserta ialah perawi atau ahli hadis wanita tidak ada yang memalsukan hadis Rasulullah SAW tetapi ada perawi dan ahli hadis lelaki yang mereka hadis palsu.

Beliau yang menghasilkan buku Al-Muhaddithat The Women Scholar In Islam berkata, buku yang dihasilkan selama 10 tahun mengenai perawi dan ahli hadis wanita bertujuan menggalakkan wanita mendalami ilmu hadis, selain mengubah persepsi terhadap wanita.

Katanya, tidak dinafikan masih ada pihak atau masyarakat di negara Islam sendiri yang masih memandang wanita sebagai warga kelas kedua sedangkan katanya Islam memperakui kelebihan yang ada pada golongan itu.

"Seperti yang saya tonjolkan dalam buku lengkap mengenai biografi perawi hadis wanita membuktikan wanita bergiat mengembangkan ilmu hadis dan berdasarkan kajian saya ada lebih 1,000 wanita yang meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW. Jumlahnya mungkin lebih," katanya.

Satu lagi contoh yang diberikan Dr Muhammad Akram bagi membuktikan bahawa wanita mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam ialah kisah proses penulisan al-Quran apabila Uthman meminta salinan yang disimpan anak perempuan Umar, Hafsah yang diterima daripada Abu Bakar.

Beliau berkata, jika orang Islam tidak percaya kepada wanita mereka boleh mempersoalkan salinan yang ada pada Hafsah yang mungkin sudah dibuat perubahan tetapi tidak ada soalan itu dan semua membaca al-Quran yang diambil daripada salinan dalam simpanan Hafsah.

Al-Muhaddithat The Women Scholar In Islam adalah buku pengenalan mengandungi ringkasan dalam bahasa Inggeris mengenai karya Dr Muhammad Akram dan penyelidikan hingga terhasilnya buku perawi wanita sebanyak 40 jilid.

Buku itu turut menceritakan mengenai kepentingan ilmu kepada lelaki dan wanita dalam Islam di mana Islam menyediakan peluang sama untuk mereka menuntut ilmu, berinteraksi dalam pembelajaran sama ada di madrasah, masjid atau rumah.

Bagaimanapun, Dr Muhammad Akram tidak menafikan tafsiran hadis boleh berbeza antara perawi lelaki dan wanita, dan penilaian akan diberi kepada siapa memiliki bukti yang kuat tidak kira perawi lelaki atau wanita.

Katanya, dalam bidang hadis, kualiti dilihat sama ada perawi itu seorang yang alim, jujur dan mempunyai ingatan kuat serta tiada kesalahan dikesan daripada hadis diriwayatkan.

Menjawab persoalan apakah usahanya itu akan mengubah peranan wanita dalam bidang ilmu hadis hari ini, beliau berkata, wanita di United Kingdom kini sudah ramai berminat mendalami bidang itu dan hingga kini masih ada perawi hadis wanita yang mengajar ilmu itu.

Malah, ilmu hadis juga luas mencakupi bab muamalah, isu kekeluargaan, perkahwinan dan perceraian serta ibadah harian yang dijelaskan secara terperinci berdasarkan fahaman serta hasil perbincangan.

Tuesday, August 19, 2008

Jejak Rasul ketengah konsep travelog dialami Ibn Battutah

Oleh Hasliza Hassan

RIHLAH Ibn Battutah mengisahkan pengembaraan pengembara Arab yang terkenal pada abad ke-14, menjadi tema program dokumentari berbentuk ilmiah Jejak Rasul 14 yang bakal menemui penonton sepanjang Ramadan ini.

Program 30 episod yang menyusur kembali perjalanan selama 29 tahun pengembara kelahiran Tangier, Maghribi ke 44 negara membawa penonton melihat sendiri tempat pernah dilawati Ibn Battutah seperti diceritakan dalam buku Rihlah Ibn Battutah.

Penerbit Eksekutif Jejak Rasul 14, Abdul Rauf Rhan, berkata program kali ini mengetengahkan konsep travelog atau catatan pengembaraan berserta visual yang dialami Ibn Battutah sebagai tokoh ilmuwan Islam hebat.

Katanya, kisah pengembaraan itu bukan saja mengangkat personaliti pengembara masyhur itu tetapi isi kandungan buku Rihlah Ibn Battutah yang menceritakan segala-galanya mengenai adat resam, peperangan, kisah aneh dan pelbagai peristiwa politik serta sosial dilalui Ibn Battutah.

“Tema Ibn Battutah bertujuan menghargai sumbangan besar ilmuwan Islam kepada perkembangan tamadun Islam. Jika Barat berbangga dengan Marco Polo, kita boleh bangga dengan Ibn Battutah yang pencapaiannya bukan saja setanding, malah lebih baik daripada Marco Polo.

“Menjadi hasrat Jejak Rasul 14 untuk memperkenalkan kehebatan tokoh ini kepada penonton terutama generasi muda supaya mengambil iktibar daripada pengembaraan selama 29 tahun Ibn Battutah,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Jejak Rasul 14 di Sri Pentas TV3.

Majlis penuh simbolik dengan kehadiran penunggang kuda berpakaian ala ‘Pak Arab’ itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Hadir sama, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin.

Jejak Rasul 14 membawa pengacaranya, Ahmad Noor Sulaiman serta krew penerbitan mengembara keenam negara pilihan yang pernah dilawati Ibn Battutah iaitu Maghribi, Oman, Turki, India, Sri Lanka dan Maldives.

Perjalanan selama 90 hari krew penerbitan menjejaki semula pengalaman menarik ditempuh Ibn Battutah seperti mana diceritakan buku terjemahan bahasa Malaysia, Pengembaraan Ibn Battutah, terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang turut melakar sejarah negara kerana memakan masa 10 tahun disiapkan bermula 1993 hingga 2003.

Keseluruhan teks itu diterjemahkan Pensyarah Jabatan Bahasa Asing Universiti Putra Malaysia (UPM), Syed Nurul Akla Syed Abdullah dan Felo Penyelidik Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (Istac), Adi Setia Muhammad Dom, manakala tugas penyuntingan dilakukan bekas Ketua Pengarah IKIM yang kini Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Ismail Ibrahim bersama Pegawai Penyelidik IKIM, Wan Roslili Abd Majid.

Berdasarkan pengalaman ditulisnya, Ibn Battutah menetap paling lama di India dan dilantik menjadi kadi selama dua tahun. Begitu juga seterusnya di China, beliau sekali lagi memegang jawatan kadi selama satu setengah tahun.

Friday, August 15, 2008

Tokoh Islam cetus perubatan lengkap semua zaman

Oleh Masmawi Abdullah

KEKUATAN senjata kaum Muslimin pernah mengagumkan dunia Barat namun kesannya tidak kekal. Bagaimanapun, ilmu pengetahuan Islam dalam banyak hal sudah meresap ke dalam pemikiran orang Barat.

Bidang perubatan misalnya, Islam melahirkan ahli perubatan ternama seperti Ibn Sina, Abu Zakaria a-Razi, Abul Qasim dan ramai lagi yang menyumbangkan karya besar mereka sebagai warisan teks bagi dunia perubatan Islam serta Barat hingga ke abad ini.

Umat Islamlah yang pertama mendirikan hospital dengan penyusunan dan layanan baik, mengadakan farmasi sebagai tempat menjual ubat-ubatan dan mendirikan sekolah farmasi serta menghasilkan kitab farmakologi.

Sumber utama menghasilkan peradaban ilmu pengetahuan adalah al-Quran dan sunnah dan bidang perubatan tidak lepas daripada merujuk kepada kedua-dua sumber utama itu.

Banyak hadis yang mengisyaratkan perlunya didirikan balai perubatan khusus untuk merawat pesakit supaya terhindar daripada jangkitan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah seorang yang berpenyakit bercampur dengan yang sihat.”

Malah, Rasulullah SAW pernah mengisyaratkan supaya didirikan balai perubatan khusus untuk penyakit kusta dengan sabdanya yang bermaksud: “Jauhilah orang berpenyakit kusta sebagaimana engkau menjauhi seekor singa.” (Hadis riwayat Bukhari dan Abi Hurairah)

Bertolak daripada itu, khalifah Islam tergerak untuk mendirikan pusat perubatan terutama bagi penyakit berjangkit. Seperti dicatatkan, hospital kusta pertama dalam Islam didirikan pada tahun 88 Hijrah/706 Masihi atas gagasan khalifah Walid Abdil Malik.

Ia adalah hospital yang lengkap dengan pelbagai kemudahan, kakitangan, wad dan ubat-ubatan yang serba percuma. Semua keperluan harian pesakit ditanggung pemerintah.

Muhammad bin Jarir Atthohari melalui bukunya bertajuk Tarikh Rusul Muluk mengungkapkan, “Bagi penduduk Syam, Walid bin Abdil Malik adalah khalifah utama. Beliau mendirikan masjid, hospital khususnya bagi pesakit kusta dengan layanan dan perawatan intensif dan serba percuma.

Sejarawan ada mencatatkan bahawa tatkala terjadinya perang Khandak, kaum Muslimin mendirikan sebuah khemah atas gagasan Rasulullah SAW sendiri sebagai saranan untuk mengubati tentera Muslim yang terluka.

Dituliskan oleh Ibnu Hisham dalam bukunya yang masyhur Sirah Ibnu Hisyam bahawa Rasulullah SAW mendapatkan Sa’ad bin Mu’ad dalam khemah itu ketika Baginda terluka dengan didampingi oleh jururawat khusus mengubati tentera Muslim yang cedera.

Di samping klinik bergerak, dibina hospital tetap di bandar seperti didirikan oleh Walid bin Abdil Malik di Damsyik, Harun ar-Rasyid di Baqhdad dan tempat lain yang jumlahnya mencapai 34 pada abad kesembilan.

Dr Mustafa as-Sibaie mengungkapkan dalam bukunya Rowaie Hadhratina bahawa hospital itu terbuka untuk umum. Wad lelaki dan wanita dipisahkan. Ada ruang khas untuk pembedahan pesakit mental, perut, mata dan pelbagai penyakit berjangkit.

Pesakit mendapat layanan dan rawatan ubat-ubatan serta makanan di bawah pengawasan doktor secara percuma selama tempoh rawatan. Selepas pesakit yang miskin sembuh, dia akan diberi beberapa helai pakaian dan wang mencukupi keperluan ketika tempoh rehatnya di rumah sehingga kembali bekerja.

Sementara pesakit yang meninggal, seluruh perbelanjaan pengurusan mayat pesakit ditanggung oleh yayasan negara. Uniknya, dengan adanya layanan serba percuma itu ialah mengundang khalayak ramai yang berpura-pura sakit untuk bersenang di dalamnya.

Sistem pembedahan mempunyai sejarah perkembangannya yang panjang bagi dunia perubatan Islam. Abul Qsim az-Zahrawi, ahli bedah yang bekerja di istana Cordova menghasilkan buku farmakologi Kitabuttasyrif Lima Ajaza Anitta’lif yang menjadi sumber terpenting ilmu pembedahan hingga abad ke-17.

Di dalamnya tertulis sistem pembedahan dilengkapi peralatan pembedahan dan gambar anatomi tubuh manusia. Operasi yang pernah beliau lakukan antara lain ialah mengikat saluran darah, mengeluarkan batu-batu kecil daripada perut pesakit dan operasi aliran pernafasan.

Selain menjadi pusat rawatan, hospital juga bertindak sebagai sekolah perubatan. Kemudahan pengajaran cukup memadai dengan adanya sebuah dewan besar untuk kuliah, makmal lengkap dengan peralatannya dan perpustakaan mengandungi sumber rujukan lengkap, sekali gus pesakit menjadi objek praktikal pelajarnya.

Kaedah demonstrasi adalah acara paling banyak digunakan di sekolah perubatan itu. Hasil praktikal seseorang pelajar harus dikemukakan untuk dibahas bersama. Dengan cara itu, tidak hairanlah jika ada penemuan baru. Sumber yang banyak digunakan di awal abad itu adalah karangan Galien (seorang doktor Yunani, Ibnu Sina dan Ibnul Majusi)

Dengan bantuan orang kaya, mereka dapat membangunkan sekolah khusus farmasi untuk mempelajari ilmu perubatan.

Sejak zaman pemerintahan Al-Ma’mum pengamal perubatan diwajibkan menjalani ujian. Demikian pula seorang doktor tidak diizinkan membuka klinik sendiri kecuali selepas lulus ujian di hadapan doktor terkemuka untuk mempertahankan hasil kerjayanya. Apabila berjaya dan diberi ijazah, barulah berhak mengamalkan ilmunya.

Thursday, January 31, 2008

Tokoh agama berprinsip, disegani

Tokoh agama berprinsip, disegani


TINGGAL KENANGAN: Ishak bersama isteri, Khalijah bergambar bersama cucu mereka.

Ishak tegas perjuangan walaupun menerima teguran pelbagai pihak

BEKAS Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom, 80, yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rasmi (ICU) Hospital Sungai Buloh (HSB), petang semalam, adalah seorang tokoh agama yang dihormati, bukan saja di Selangor, malah di seluruh negara.

Beliau dilantik sebagai mufti kelima di Jabatan Mufti Selangor secara kontrak pada 16 Ogos 1985, ketika berusia 58 tahun, iaitu tiga tahun selepas bersara sebagai guru agama.

Kontrak Ishak, anak kelahiran Kanchong Darat, Banting, ditamatkan pada 1997, atas faktor usia.

Ishak, adalah anak pasangan Baharom Jabar yang berasal dari Banjarmasin, Sumatera dan Fatimah Junid, yang berasal dari Melaka.

Beliau yang mempunyai lima adik beradik mendirikan rumah tangga dengan isteri pertamanya, Datin Maznah Yusuf yang berasal dari Manung, Kuala Kangsar, Perak. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak, Shahmun, Nawal dan Ahmad Fuad.

Pada Julai 1994, Maznah meninggal dunia ketika berusia 50 tahun selepas berada dalam keadaan koma ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Beberapa tahun selepas kematian Maznah, Ishak berkahwin dengan seorang pegawai tadbir di Jabatan Pendidikan Selangor, Khalijah Abdullah, 48, dan mereka mengambil anak angkat, Nasim, yang kini berusia dua setengah tahun.

Ishak bersekolah di Sekolah Melayu Kanchong Darat dari 1935 hingga 1941 dan pada 1945, beliau menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Arab Madrasah Bukit Mertajam, Seberang Prai, Pulau Pinang, sebelum melanjutkan pelajaran di Darul Ulum, India.

Beliau digantikan Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid sebagai mufti Selangor pada 1998 dan berkhidmat sehingga kini.

Sepanjang Ishak menjadi mufti selama 12 tahun, beliau terpaksa melalui pelbagai kontroversi. Antaranya ialah apabila beliau menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan tiga gadis Islam yang juga model sambilan, menyertai satu pertandingan ratu cantik pada 1997.

Pendirian tegas beliau bukan saja menyebabkan ramai pihak terkejut, ada yang mempertikaikan tindakan Jais.

Ia juga menimbulkan satu lagi kontroversi, apabila akhbar lidah rasmi Pas, Harakah, melaporkan Ishak menuduh iman Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai terpesong berikutan kenyataan Dr Mahathir mengenai kes penangkapan tiga peserta terbabit.

Lanjutan daripada laporan Harakah itu, Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tersinggung dengan kenyataan Ishak, namun isu berkenaan dianggap selesai selepas Ishak menjelaskan keadaan sebenar.

Pun begitu, tidak lama kemudian, Ishak melahirkan rasa sedih dan kekesalannya kerana tiada seorang pun pemimpin kerajaan negeri yang mempertahankan tindakan Jais menahan ketiga-tiga gadis itu.

Kenyataan Ishak itu dikatakan dibuatnya ketika beliau menyampaikan satu ceramah di Masjid Az-Zubir Ibnu Al-Awwam di Cheras.

Ketegasan Ishak dalam isu membabitkan akidah dan cara hidup umat Islam di Selangor memang sudah diketahui sepanjang beliau menjawat jawatan sebagai mufti.

Pada awal 1996, Ishak mengeluarkan kenyataan mengharamkan perbuatan merokok di kalangan umat Islam.

Beliau yang juga Pengerusi Perunding Hukum Syarak Selangor ketika itu, memberi penjelasan bahawa ada bukti kukuh mengapa perbuatan merokok dianggap sebagai haram.

Antara alasan yang diberikan ialah ia membahayakan kesihatan dan hakikat itu sudah diakui pakar kesihatan sendiri.

Ishak juga pernah membuat kenyataan bahawa pinjaman yang dibuat penjaja dan peniaga kecil Melayu daripada along atau ceti haram menunjukkan mereka tidak mengambil berat soal halal haram hingga sanggup membuat pinjaman atau berurusan dengan mereka.

Ishak menegaskan bahawa perbuatan itu bertentangan dengan hukum syarak kerana ia ada unsur riba yang hukumnya adalah dosa besar.

Sepanjang beliau menjadi mufti sehingga ke akhir hayatnya, Ishak menjadi penceramah dan pendakwah bebas walaupun beliau pernah diharamkan kerajaan Selangor, daripada menyampaikan ceramah di masjid dan surau negeri itu pada November 1998. Bagaimanapun, larangan itu ditarik balik pada Februari 1999.

Secara peribadi, Ishak berpegang kepada prinsip jika kita berbuat baik kepada orang tanpa mengira kaum dan keturunan, Tuhan akan membalas perbuatan dengan balasan yang baik.

Selain itu, Ishak percaya setiap individu tidak perlu berkira untuk membantu atau berkorban kepada individu lain asalkan ia tidak bertentangan dengan ajaran agama dan berada di jalan yang benar.

Biarpun Ishak sering berdepan dengan pelbagai kontroversi, dengan prinsip yang dipegangnya sepanjang hayat beliau, Ishak tetap disayangi keluarga dan orang yang mengenalinya sehingga akhir hayat beliau.

Ishak menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika dirawat di HSB akibat pendarahan dalam otak selepas tidak sedarkan diri sejak pagi kelmarin, kira-kira 30 hari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-80 tahun pada 1 Januari lalu.

PROFIL

Ishak Baharom

Beliau dilantik sebagai mufti kelima di Jabatan Mufti Selangor secara kontrak pada 16 Ogos 1985, ketika berusia 58 tahun, iaitu tiga tahun selepas bersara sebagai guru agama.

Kontrak Ishak, anak kelahiran Kanchong Darat, Banting, ditamatkan pada 1997, atas faktor usia.

Ishak adalah anak pasangan Baharom Jabar yang berasal dari Banjarmasin, Sumatera dan Fatimah Junid, berasal dari Melaka.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan isteri pertamanya, Datin Maznah Yusuf dan dikurniakan tiga anak, Shahmun, Nawal dan Ahmad Fuad.

Ishak berkahwin dengan Khalijah Abdullah, 48, selepas kematian Maznah.

Friday, January 4, 2008

Saintis Eropah kagumi penemuan ilmuwan Islam

Oleh Hasliza Hassan

ABU Ishaq Ibrahim ibn Yahya al-Zarqali, dikenali di Barat sebagai Arzachel, ahli astronomi utama pada masanya. Al-Zarqali menjalankan siri cerapan astronomi di Toledo dan menyusunnya sebagai Jadual Toledo terkenal.

Beliau membetulkan data geografi oleh Ptolemy dan al-Khwarizmi. Khususnya, al-Zarqali membetulkan anggaran Ptolemy mengenai panjang laut Mediteranean daripada 62 darjah kepada nilai yang hampir betul iaitu 42 darjah. Jadual Toledo diterjemahkan dalam bahasa Latin pada kurun ke-12.

Al-Zarqali adalah orang pertama yang membuktikan pergerakan Aphelion berbanding bintang dengan pasti. Beliau mengukur kadar pergerakannya sebagai 12.04 saat setahun, yang begitu dekat kepada kiraan moden iaitu 11.8 saat.

Al-Zarqali mereka cipta astrolab rata yang dikenali sebagai Safihah. Perinciannya diterbitkan dalam bahasa Latin, Hebrew dan beberapa bahasa Eropah.

Copernicus dalam bukunya yang terkenal De Revolutionibus Orbium Celestium mengungkapkan rasa terhutang budinya kepada al-Battani (Albategnius) dan al-Zarqali dengan memetik hasil kerja mereka beberapa kali.

Beer dan Madler dalam buku mereka yang terkenal Der Mond (1837) menyebutkan ciri permukaan bulan sempena al-Zarqali. Ia adalah sebuah dataran dalam seksyen ke-8 berdiameter lebih daripada 60 batu dan dikelilingi barisan gunung-ganang tegak seperti teres setinggi 13,000 kaki di atas kawasan dalam. Ia juga membabitkan beberapa bukit, genahar dan sebuah rekahan ketara di sebelah dasar dinding bergunung barat.

Malah, wajah al-Zarqali, pakar sains Islam yang hidup antara 1028 hingga 1087 diabadikan pada setem di Sepanyol bagi menghargai sumbangan beliau terhadap penciptaan astrolab yang lebih baik.

Ketokohan al-Zarqali akan dikisahkan sepenuhnya melalui episod kelapan program Ilmuwan Islam terbitan TV3, jam 7.30 malam ini. Selain al-Zarqali, Ilmuwan Islam musim ketiga mengetengahkan lapan tokoh ilmuwan Islam terkenal.

Siri lalu memaparkan pakar matematik, Ghiyath al-Din Jamshid Mas'ud al-Kashi yang dilahirkan pada 1380 di bandar Kashan, terletak di tengah Iran. Gelaran al-kashi adalah sempena nama bandar kelahirannya Kashan.

Al-Kashi dilahirkan dalam keluarga miskin, namun kehidupannya berubah apabila dia menguasai ilmu matematik dan astronomi. Sumbangan al-Kashi dalam ilmu matematik kekal hingga hari ini, umpama aliran air yang tidak pernah berhenti.

Sebenarnya jasa al-Kashi dalam memudahkan sistem pengiraan hari ini dikesan sarjana bukan Islam yang mengkaji sejarah sains Islam dan menerusi mereka, sumbangan dilakukan al-Kashi didedahkan.

Ilmuwan Islam seperti al-Khawarizmi dan al-Kashi mewariskan sistem pengiraan yang mudah untuk dunia moden. Kecemerlangan al-Kashi dalam ilmu matematik menarik perhatian pemerintah Samarkand yang menawarkan jawatan ketua balai cerap kepada al-Kashi.

Balai cerap tempat al-Kashi melaksanakan tanggungjawabnya dikenali dalam sejarah astronomi sebagai balai cerap Ulugh Begh, sebuah lagi lambang keunggulan ilmuwan Islam dalam bidang matematik dan astronomi.

Keistimewaan ilmuwan Islam silam ialah mereka menguasai semua cabang ilmu, bahkan dalam bidang muzik seperti Abul Hasan Ali bin Nafi’, ilmuwan tersohor di benua Eropah dengan nama Ziryab yang dilahirkan pada 789 masihi dan meninggal dunia pada 857 masihi.

Ketokohan Ziryab menghiasi episod keenam program Ilmuwan Islam yang mendedahkan sejarah permulaan kegemilangan hidupnya yang bermula daripada penghijrahan beliau dari Baghdad, Iraq di bawah kerajaan Abbasiyyah ke Cordoba, Sepanyol yang ditadbir kerajaan Umawiyyah.

Menurut Profesor Sejarah, Reinhart Dozy dalam buku bertajuk Sejarah Muslim di Sepanyol, Ziryab bukan saja pemuzik terkenal, bahkan seorang sasterawan dan ahli falak. Apa yang menghairankan adalah semangat Ziryab dan segala pemahaman mengenai sesuatu, begitu indah. Tiada siapa yang peduli mengenai seni dan fenomena hidup, seperti dilakukan Ziryab.

Ziryab bukan saja melakukan perubahan sosial, malah perubahan kepada dunia muzik di Andalus. Menurut pensyarah Fakulti Sastera Universiti Kaherah, Mesir, Dr Obada Kohela, Ziryab tidak pernah mengarang kitab.

Walaupun Ziryab tidak pernah mengarang kitab berkaitan muzik, sumbangan beliau tetap diiktiraf dan namanya disebut dalam kitab yang ditulis pengarang selepas zamannya.

Kitab muzik Andalus karangan sarjana muzik, Dr Mahmud Ahmad al-Hifni, menggambarkan Ziryab sebagai seorang pemuzik, perunding imej dan penasihat istana Abasiyyah. Ziryab memperkenalkan pakaian mengikut musim dan perintis kepada susun atur alat keperluan di meja makan. Namun, ilmuwan Islam ini terkenal kerana gambus.

Ziryab terkenal sebagai orang yang mencipta tali kelima untuk gambus. Gambus mempunyai empat tali. Selepas itu Ziryab memajukan industri muzik dan menambah tali yang kelima, jadilah gambus bertali lima.

Menurut kitab sejarah, gambus yang dimainkan Ziryab berbeza dengan gambus kepunyaan gurunya, Ishak Mausili. Gambus kepunyaan Ziryab lebih ringan berbanding gambus lain pada zamannya. Tali gambus dibuat daripada sutera yang tidak direndam air panas dan daripada ekor singa yang lembut. Sementara pemetik gambus kepunyaan Ziryab dibuat daripada kuku burung helang.

Disebabkan kehebatan gambus miliknya serta kemampuan mencipta lagu lebih hebat daripada gurunya, bakat Ziryab menarik minat Khalifah yang memerintah menyebabkan beliau dicemburui gurunya sendiri.

Selain ketokohan ilmuwan terkenal, Ilmuwan Islam turut menyelitkan maklumat mengenai penggunaan teknologi seperti hammam, perkataan Arab yang bermaksud tempat mandi wap terkenal di timur tengah yang menyumbang kepada aktiviti kemasyarakatan, ibadat serta politik.

Hammam menjadi tempat pertemuan para intelek, sasterawan dan ahli politik suatu ketika dulu. Selain menyucikan diri, mereka berkongsi idea dan bertukar pandangan. Faktor ini menjadikan hammam berkembang luas hingga ke luar timur tengah.

Reka bentuk hammam dikaitkan dengan ilmuwan bidang perubatan, Ibnu Sina yang pernah menulis kitab berkenaan hammam. Beliau menjadikan hammam satu kaedah untuk rawatan penyakit kulit yang masih diteruskan hingga hari ini selain mampu menolong menyembuhkan resdung.

Pada zaman arkitek Mimar Sinan, binaan hammam digabungkan dengan binaan masjid. Sebelum memasuki masjid, umat Islam perlu bersuci dan kewajipan itu mendorong hammam menjadi sebahagian daripada binaan masjid.

Ketika era kerajaan Uthmaniah, hammam di Turki berkembang pesat selaras dengan keperluan masyarakat Islam ketika itu. Kebersihan adalah kewajipan sebelum beribadah, sementara hammam menjadi perantara kepada kebersihan.

Hammam untuk kegunaan awam dikawal selia di bawah pengurusan baitulmal. Pegawai bertauliah ditempatkan di setiap hammam bagi menjaga adab semasa mandi dan kualiti air yang disalurkan.

Pelan pembinaan hammam menunjukkan ia terbahagi kepada tiga bahagian, pertama, ruang di luar atau ruang tamu, kemudian bahagian tengah dan bahagian ketiga ialah bahagian luar. Pelan dan bentuk seni bina ini dipanggil sauna hari ini.

Seni bina hammam berubah mengikut peredaran zaman dan teknologi terkini. Spa, sauna dan jakuzi, adalah reka bentuk yang lahir selepasnya tetapi dari segi fungsi serta penggunaan ada persamaannya.

Difahamkan, Barat mengambil idea orang Islam mengenai tetapi menukar fakta sejarah seni bina olah Islam meniru mereka sedangkan hakikatnya Barat memindahkan ilmu Islam di Sepanyol, Portugal dan Andalusia ke negara mereka.

Sedangkan sebelumnya mereka tidak mengenali hammam dan tidak pernah melihat hammam di tempat mereka, bahkan tidak pernah mendengar mengenainya.

Mengenali bentuk serta fungsi hammam mendekatkan umat Islam kepada kemajuan yang dicapai masyarakat Islam dulu dan ilmu yang dikembangkan daripada penemuan itu terus dimanfaat hari ini dalam penjagaan kesihatan serta kecantikan.