Showing posts with label Zikir. Show all posts
Showing posts with label Zikir. Show all posts

Sunday, February 7, 2010

Persoalan Agama: Zikir perlu ikut tajwid supaya tepat makna

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my

Saya ada persoalan iaitu:

1. Ketika berzikir, apakah perlu bacaannya bertajwid? Apakah dimaksudkan dengan zikrullah, zikir qalbu, syir dan makrifatullah?

2. Bolehkah berzikir tanpa bertasbih?

3. Apakah rantai tasbih boleh dijadikan hiasan dalam kenderaan?

Amrad,
Hulu Klang, Selangor.

APABILA kita hendak menggunakan bahasa Arab, kita perlu mengetahui kaedah atau peraturannya. Bahasa Arab ini mempunyai peraturan bahasa yang dikenali sebagai ilmu Nahu dan Saraf yang disusun oleh alim ulama. Jika kita tidak tahu atau mengenali ilmu berkenaan, dibimbangi kita sudah tersalah dalam menggunakan bahasa Arab. Begitu juga dengan bahasa lainnya termasuklah tatabahasa bagi bahasa Melayu.

agi mereka yang tidak mengenali peraturan bahasa Arab, sudah tentu kita tidak memahami manfaat ilmu berkenaan. Justeru dalam kita membaca al-Quran, kita perlu membaca mengikut hukum tajwid yang disusun oleh ulama supaya apa yang kita baca menepati maknanya. Jika tidak mengikuti tajwid, sudah tentu bacaan kita membawa makna berbeza dan membawa kepada laknat bagi pembacanya.

Dalam tajwid ada panjang, pendek, dengung dan seumpamanya perlu dibaca supaya bacaan itu menepati makna dan maksud seperti diturunkan kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Justeru mempelajari ilmu tajwid juga suatu fardu supaya apa yang kita baca itu dinilai sebagai pahala ibadat seperti dinyatakan kata al-Imam Ibn Jazari yang bermaksud: "Dan mengambil bacaan al-Quran dengan tajwid itu adalah wajib. Dan barang siapa tidak mentajwidkan al-Quran itu adalah berdosa kerana dengan tajwid itu, Allah SWT menurunkan al-Quran. Dan demikian pula sampainya al-Quran itu kepada kita daripada-Nya."

Begitu juga zikir yang disebut dalam bahasa Arab, sama ada bertasbih, bertahmid, bertakbir, bertahlil atau seumpamanya hendaklah dibaca atau disebut dengan betul supaya ia menepati maknanya. Saya tidak jelas maksud saudara berzikir tanpa bertasbih. Mungkin maksud saudara berzikir tanpa membilang dengan rantai tasbih kerana bertasbih itu termasuk dalam zikir.

Zikir bukan saja menyebut tasbih (Subhanallah), tetapi juga tahmid (Alhamdulillah), takbir (Allahuakbar) dan seumpamanya. Justeru, konteks berzikir ini luas dalam rangka mengingati Allah SWT. Dia juga ada berfirman pada surah 'Ali Imran ayat 190 hingga 191: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah SWT) bagi orang-orang berakal. (Iaitu) orang-orang yang sentiasa berzikir kepada Allah (mengingati Allah) semasa mereka berdiri, dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan pula tentang kejadian langit dan bumi (sambil menyebut): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, (dan bertasbih menyebut) Subhanallah (Maha suci Allah), maka peliharalah kami dari azab neraka."

Seperti saya katakan tadi, maksud zikrullah adalah luas. Saya ingin bawakan definisi zikrullah yang disebut al-'Allamah Abi Zakaria, Yahya bin Syaraf an-Nawawi (seorang ulama besar mazhab as-Syafie) dalam kitab beliau al-Azkar (yang bermaksud): "Ketahuilah olehmu bahawa fadilat (keutamaan) zikir itu tidaklah terbatas pada tasbih, tahlil, tahmid, takbir dan seumpamanya saja. Bahkan setiap orang yang melakukan ketaatan, maka dia dinilai daripada orang yang berzikir kepada Allah Ta'ala. Demikianlah menurut Sa'id ibn Jubair dan ulama lain. Dan sudah berkata Atha': "Majlis zikir iaitu majlis (yang diambil peduli dan dibicarakan padanya mengenai) halal dan haram, bagaimana caranya kamu membeli, bagaimana caranya kamu menjual, bagaimana caranya kamu sembahyang, bagaimana caranya kamu berpuasa, bagaimana caranya kamu bernikah, bagaimana caranya kamu talak (cerai), bagaimana kamu melaksanakan haji dan seumpamanya.

Ada juga ulama yang memberi takrif zikrullah dalam cakupan luas iaitu tiap ketaatan kepada Allah SWT, zahir dan batin. Menurut Imam al-Wahidi di dalam tafsir al-Wasith, dengan sanadnya kepada Khalid bin Imran r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang mentaati Allah SWT maka sesungguhnya ia berzikir mengingati Allah SWT, walaupun sedikit solatnya, puasanya dan amal kebaikannya. Dan barang siapa yang bermaksiat (menderhakai) Allah SWT, maka sesungguhnya ia sudah melupakan-Nya sekalipun banyak solatnya, puasanya, pembacaan al-Qurannya dan amal kebaikannya.

Makrifatullah bermaksud mengenal Allah. Dalam ilmu aqidah, kita biasa bertemu dengan kata-kata "Awwaluddin makrifatullah" bermaksud pertama-tama dalam agama ialah mengenal Allah SWT. Menurut Sayid Sabiq, cara untuk makrifat kepada Allah dengan mengenal nama-nama-Nya yang mulia dan sifat-sifat-Nya yang tinggi. Juga kita dapat mengenal (makrifat) Allah SWT dengan bukti-bukti yang wujud atau ada-Nya serta kenyataan sifat keagungan-Nya dalam alam semesta atau di dunia ini. Orang yang makrifat kepada Allah SWT akan memancarkan pelbagai perasaan baik dalam jiwanya, dan dapat dibina semangat untuk menuju ke arah kebaikan. Makrifat ini dapat memberi didikan kepada hati untuk sentiasa menyelidik dan meneliti mana-mana salah dan tercela, malahan lahir kemahuan untuk mencari kemuliaan, keluhuran dan ketinggian budi dan akhlak sebaliknya juga menyuruh seseorang supaya menghindarkan dirinya dari perbuatan yang hina, rendah akhlak dan tidak berharga sedikit pun.

Bagi persoalan mengenai tasbih, biji tasbih yang digunakan sekarang mungkin belum dikenali lagi pada masa Baginda. Tetapi ada sahabat Nabi SAW menggunakan biji kurma sebagai alat menghitung bilangan bacaan mereka yang kemudian berkembang menjadi tasbih. Di samping itu tidak semua yang tidak dikerjakan Rasulullah SAW adalah terlarang. Sebelum menetapkan hukumnya, perlu dilihat dulu, apakah sebab dan motivasinya sehingga Baginda SAW tidak mengerjakannya. Penulisan semua ayat al-Quran dalam satu mashaf misalnya tidak dilakukan pada zaman Rasulullah kerana belum timbul keperluan untuk itu. Tetapi pada zaman Khalifah Abu Bakar r.a, bermulalah pengumpulan dan usaha membukukan al-Quran itu.

Mengenai perbuatan ramai yang menjadi rantai tasbih sebagai hiasan yang digantung dalam kenderaan, ini sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri. Jika diletakkan sebagai hiasan, tidak menjadi masalah kerana mungkin dengan melihat tasbih itu, hatinya terdorong untuk berzikir mengingati Allah SWT. Tetapi jika ia digantung dengan iktikad kepercayaan bahawa rantai tasbih itu mempunyai Ta'sir (memberi bekas), mempunyai tuah atau kekuatan yang dapat mengadakan, memberi manfaat dan mengelak daripada mudarat, maka orang yang berkeyakinan (beriktiqad) seperti ini sudah menjadi kufur. Ini kerana keyakinan atau kepercayaan itu timbul daripada tahyul, daripada ajaran yang bukan-bukan dan kurafat, yang wajib dijauhi setiap Muslimin. Wallahua'lam.

SEBARANG kemusykilan sila hantarkan soalan ringkas menerusi e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Tuesday, April 14, 2009

Zikir penawar paling mujarab ubati penyakit hati

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Mengingati Allah memperkuat emosi, jiwa manusia bagi hadapi rintangan hidup

MANUSIA tidak terlepas daripada ujian dan dugaan hidup untuk menguji sejauh mana tahap kesabaran serta keimanan mereka. Dugaan yang datang juga peluang untuk bertanya diri adakah kita seorang yang sabar atau sebaliknya.

Keupayaan manusia sebagai khalifah memerlukan beberapa kekuatan antaranya kuat emosi dan jiwa sebagai faktor penting meneruskan tanggungjawab memakmurkan alam. Kekuatan dalaman juga penting sebagai benteng pertahanan kukuh dalam menghadapi rintangan hidup.

Allah memberi jaminan beruntungnya manusia yang menjaga dan menyucikan hati serta rugi mereka yang mengotorinya. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) bertambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)." (Surah al-Syams, ayat 9-10)

Dalam dunia semakin maju, hidup manusia pasti menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran. Ujian ada kalanya membuat seseorang mudah tewas dan mengalah lantaran jiwa yang lemah. Kemewahan, kesusahan dan kesedihan juga ujian. Justeru, Islam mengatur kehidupan manusia dengan kaedah yang patut diamalkan dalam menghadapi ujian hidup.

Berzikir mengingati Allah adalah alternatif ke arah pembersihan dan ketenangan jiwa daripada segala kekalutan serta sifat mazmumah. Mengingati Allah ialah dengan mengagungkan-Nya, mengucap tasbih, tahmid dan takbir.

Termasuk dalam istilah zikrullah ialah mengerjakan solat, menghadiri majlis ilmu dan membaca al-Quran. Ini bererti seseorang hamba Allah perlu dan mesti melakukan perkara itu bagi memenuhi kriteria dan ciri zikrullah sebenar.

Zikrullah adalah penawar hati paling mujarab dalam memberi ketenangan jiwa bagi mengubat keresahan diri. Ini terbukti melalui firman Allah bermaksud: "Orang yang beriman itu tenang dan tenteram hati dengan zikrullah. Ketahuilah bahawa dengan zikrullah itu akan tenang tenteramlah hati-hati manusia." (Surah al-Ra'd, ayat 28)

Sesungguhnya zikir boleh dilakukan sama ada bersendirian atau berjemaah, melalui lisan atau dengan hati. Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar menyatakan zikir lisan atau hati paling afdal.

Zikir lisan ialah menyebut nama Allah berulang kali, menyebut sifat-Nya atau melafazkan puji kepada-Nya. Zikir dengan hati pula ialah menghadirkan kebesaran, keagungan, kehebatan, kemuliaan dan kesempurnaan Allah dalam diri dan jiwa sehingga hati sentiasa sibuk dengan mengingati Allah.

Seseorang yang lidahnya sentiasa basah mengingati Allah mendapat manfaat antaranya:

# Membersihkan hati daripada sifat mazmumah.

# Melembutkan hati sehingga dapat melihat kebenaran yang datang daripada Allah.

# Berasa dekatnya diri dengan Allah sehingga apabila berdepan pelbagai musibah, pergantungannya hanya kepada Allah.

# Meningkatkan mutu amalan kepada Allah.

# Memelihara diri daripada gangguan syaitan yang sentiasa mahu menyesatkan manusia daripada mengingati Allah.

# Menjadi penawar kepada hati yang sering gundah, keluh kesah dan tidak tenteram.

Menghadiri majlis ilmu sama ada kuliah, ceramah, seminar atau bengkel termasuk dalam zikrullah, malah disifatkan Rasulullah sebagai satu daripada taman syurga.

Baginda bersabda diriwayatkan Ibnu Umar yang bermaksud "Apabila kamu melalui taman syurga, maka hendaklah kamu singgah dan ambil perhatian. Sahabat bertanya, apakah taman syurga wahai Rasulullah? Baginda menjawab, ia adalah halaqah (majlis) zikir. Sesungguhnya Allah menghantar utusannya yang terdiri daripada malaikat mencari majlis zikir dan apabila malaikat melihat dan berjumpa dengannya, mereka saling menyebut perkara itu sesama mereka."

Ulama membuat perumpamaan bahawa malaikat mencari majlis ilmu seperti seseorang melihat bintang berkelip di langit pada waktu malam. Betapa indahnya melihat bintang bersinar, begitulah keindahan majlis ilmu di sisi malaikat.

Di samping itu, mengerjakan solat termasuk dalam zikrullah seperti dijelaskan Allah dalam firman bermaksud: "Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku." (Surah Toha, ayat 14)

Inilah zikir paling afdal mesti menghiasi diri individu yang mengaku kasih dan cintakan Allah. Seseorang yang istiqamah mengerjakan solat paling hampir dengan Allah. Sesiapa lalai mengingati Allah melalui solat, hati dan jiwanya kosong, malah mati walaupun jasadnya hidup bertenaga.

Membaca al-Quran juga zikir paling mulia kerana ia adalah kalam Allah. Apabila membaca al-Quran, seseorang sebenarnya menuturkan kalam Allah dan ia gambaran betapa hampir dirinya dengan Allah.

Sehubungan itu, individu Muslim perlu membaca al-Quran setiap hari supaya hati tidak kosong dan pada masa sama mengingati Allah.

Apabila menghadapi kesulitan, zikrullah adalah alternatif menyelesaikan segala masalah. Inilah sebenarnya kekuatan dalaman atau faktor utama keteguhan emosi dalam mengharungi segala pancaroba hidup.

Semoga hati menjadi tenang dan segala urusan kehidupan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Tindakan menyalahkan takdir atau meletakkan kesalahan kepada orang lain perlu dielakkan kerana ini bukan sifat orang beriman dan tawaduk.

Penulis ialah Penolong Pengarah Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jelebu, Negeri Sembilan

Saturday, April 11, 2009

Hati umat Islam berkarat jika meninggalkan zikir

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Jiwa orang selalu ingat Allah sentiasa bening, tenang walaupun banyak masalah hidup

ORANG dalam hatinya terpancar keimanan kukuh, akan selalu giat berusaha sepanjang langkah usianya untuk bertaqarub kepada Allah kerana didorong rasa cinta mendalam terhadap-Nya. Kasih sayang dan kecintaan kepada Allah menjadikan seseorang itu sentiasa rindu pada-Nya.

Ibarat seorang anak muda sedang mabuk asmara, selalu terkenang-kenang si buah hatinya. Orang yang beriman, ingatannya tetap bergetar tulus kepada-Nya tanpa mengira waktu dan tempat. Bagi mukmin sejati, zikir dan hati adalah satu nyawa, tidak boleh dipisahkan.

Ia ditegaskan Ibn Taimiyah: "Zikir bagi hati adalah umpama air bagi ikan, bagaimana keadaan ikan apabila berpisah daripada air?"

Inilah gambaran orang beriman, yakin percaya kepada Allah dan menginsafi diri tidak lebih sebagai seorang hamba sangat lemah yang selama ini menerima nikmat Allah tidak terhitung banyaknya.

Hal ini menepati firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang." (Surah al-Ahzab, ayat 41-42)

Kebanyakan masyarakat faham zikir hanya kata-kata yang dilafazkan saban kali habis menunaikan solat fardu, solat sunat atau membisik doa ketika ingin makan, memulakan sesuatu kerja yang baik, terjaga dan tidur serta bersin.

Padahal hakikat zikir kepada Allah sebenarnya tidak tertentu kepada zikir lisan semata-mata seperti mana ditegaskan Al-Imam An-Nawawi, bahawa zikir tidak terbatas kepada tasbih, tahlil, takbir dan lain-lain zikir lisan, mereka yang bekerja kerana Allah juga orang yang berzikir kepada Allah.

Pendapat beliau disokong Basri Ibrahim Al-Azhari dalam bukunya Salah Faham Terhadap Konsep Ibadah, Ilmu dan Zikir, bahawa setiap orang yang taat kepada Allah, mengikut segala diperintahkan dan meninggalkan dilarang oleh-Nya dikira sebagai orang yang berzikir.

Zikir terbahagi kepada tiga bahagian iaitu zikir hati, lidah dan anggota. Zikir hati memikirkan keagungan dan kebesaran Allah di bumi, langit dan seluruh kejadian makhluk-Nya. Zikir lidah pula melantunkan puji-puji kepada Allah, mensyukuri nikmat kurniaan-Nya, menyeru masyarakat ke arah ajaran Islam, menerangkan kebaikan syarak, menjelaskan hikmah pada perintah dan larangan Allah, memberi nasihat kepada sesama Islam.

Sementara zikir anggota pula menggunakan anggota badan untuk melakukan amalan ketaatan, sama ada dalam bentuk melakukan segala suruhan atau meninggalkan segala larangan Allah.

Orang yang lupa atau lalai kepada Allah, hatinya selalu dirundung resah gelisah, tenggelam dalam kebimbangan dan sengaja meletakkan dirinya di tempat mengundang kemurkaan Allah lantaran tidak rasa bersalah terhadap kemungkaran dilakukan.

Lupa kepada Allah menandakan hati seseorang itu sudah berkarat dengan sifat mazmumah yang sangat keji. Orang beriman tidak akan membiarkan hatinya berkarat dan penuh dengan kekotoran, ia akan sentiasa menggilap hatinya dengan berzikir kepada Allah.

Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah pernah berkata: "Tidak dimungkiri bahawa hati itu dapat berkarat seperti berkaratnya besi dan perak. Alat yang dapat membersihkan hati berkarat adalah zikir. Zikir dapat membersihkan hati berkarat sehingga dapat berubah menjadi bening seperti cermin yang bersih. Apabila seseorang meninggalkan zikir, hatinya akan berkarat. Dan apabila ia berzikir, hatinya akan bersih."

Sesungguhnya seseorang yang lalai daripada mengingati Allah bermakna dirinya dihinggapi penyakit sombong, lupa asal kejadian diri sebagai makhluk lemah yang diciptakan semata-mata supaya mengabdikan diri kepada-Nya dan mewarisi sifat orang munafik.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang munafik itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan, apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riak (dengan solat) di hadapan manusia. Dan, tidaklah mereka menyebut Allah, kecuali sedikit sekali." � (Surah an-Nisa, ayat 142)

Setiap mukmin sewajarnya menjadikan zikir sebagai sesuatu yang tidak terpisah daripada kehidupan seharian kerana banyak keistimewaan bakal diterima oleh orang yang sentiasa berzikir.

Kitab Tanbih al-Ghafilin menyatakan lima kelebihan dan faedah berzikir, iaitu mendapat keredaan Allah, menambahkan kesungguhan melaksanakan ketaatan, terkawal daripada hasutan syaitan, melembutkan hati dan mencegah daripada melakukan maksiat.

Orang yang memperbanyakkan zikir, dosanya akan diampuni sekali gus mendapat ganjaran pahala besar seperti firman yang bermaksud: "Lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Aku sudah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar." � (Surah al-Ahzab, ayat 35)

Orang yang selalu ingat kepada Allah jiwanya menjadi bening dan tenang, sekalipun sedang menghadapi banyak permasalahan hidup, ujian, musibah dan seumpamanya. Firman Allah yang bermaksud: "Ingatnya, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram." � (Surah al-Ra'ad, ayat 28)

Sesungguhnya dengan selalu ingat kepada Allah, akhlak diri menjadi indah dan menarik, sekali gus menjadi cermin bagusnya nilai ajaran Islam dan hebatnya orang mukmin pada mata orang bukan Islam seperti pernah ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Jangan jadikan sibuk dengan urusan kehidupan di dunia sebagai alasan lupa kepada Allah. Sungguh Allah melarang keras seseorang memiliki sifat lalai seperti ditegaskan firman yang bermaksud: "Janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai." � (Surah al-A'raf, ayat 205)

Wednesday, March 18, 2009

Perbanyak zikir elak budaya suka mengumpat

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

MENGUMPAT bermaksud bercerita serta menyatakan keburukan atau kekurangan individu kepada orang lain, sama ada dengan nama pelakunya atau individu terbabit memang dikenali orang yang mendengarnya. Mengumpat sememangnya boleh berlaku sama ada ia disedari orang yang melakukannya atau sebaliknya.

Rasulullah menjelaskan mengumpat ini dalam sabda baginda yang bermaksud, "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim).

Memandangkan buruk dan hinanya sikap mengumpat ini, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama sendiri bagi seseorang yang melakukannya. Manusia waras tidak akan sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri. Disebabkan mengumpat terlalu lazim berlaku dalam kehidupan seharian.

Hakikat inilah yang perlu direnungkan kita semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain selalunya akan mendedahkan keaiban diri seseorang individu. Perlu diingat seseorang yang membuka keaiban rakan atau seseorang lain akan didedahkan segala keaiban mereka pula di hari akhirat kelak.

Sabda Rasulullah: "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip keaiban mereka. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud).

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab: "Semua kebaikan itu (pahala) datangnya dari orang melakukan umpatan kepada engkau tanpa engkau ketahui".

Jika pahala orang mengumpat tidak ada lagi diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang yang mengumpat adalah golongan manusia muflis di akhirat nanti.

Memandangkan buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu, perbanyak zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri kita daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat ini. Antaranya ialah:

Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.

Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi di dalam sudah busuk dan berulat.

Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang.

Imam al-Ghazali ada menyatakan enam perkara mendorong seseorang itu mengumpat:

Ingin memuaskan hati disebabkan kemarahan yang memuncak hingga sanggup mendedahkan keaiban dan kesalahan orang lain. Jika kemarahan tidak dapat dikawal, ia boleh menimbulkan hasad dan dendam;

Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang;

Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah;

Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;

Bergurau dan suka berlawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain; dan

Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.

Sehubungan itu, Imam al-Ghazali menyarankan lima perkara untuk menghentikan sikap suka mengumpat, antaranya iaitu, harus sedar dan insaf mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain itu berdosa besar; insaf dan membetulkan kesalahan sendiri daripada menyalahkan orang; hendaklah berasa malu apabila memperli kecacatan orang lain. Ini kerana mencela kecacatan fizikal seolah-olah mencerca Tuhan yang menciptakan.

Perlu diingatkan ada beberapa kelakuan yang tidak dikatakan sebagai umpatan bahkan menjadi harus seperti seorang isteri yang mengadu kepada hakim untuk mendapatkan keadilan.

Maka isteri sudah tentu perlu menyatakan keburukan si suami untuk dipertimbangkan oleh hakim. Begitu juga dengan umpatan yang dilakukan seseorang terhadap individu yang zalim. Kisah hidup masyarakat dipaparkan melalui TV, filem dan cerpen dan novel juga bukanlah bersifat umpatan kerana ia terlalu umum demi membentuk naratif sebuah cerita dan kisah hidup sebagai teladan khalayak umum.

Tuesday, September 9, 2008

Tajdid Iman: Jenayah lidah, nafsu punca rosak segala ibadat

Bersama Dr Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com

Amalan zikir jamin puasa sempurna, dorong diri sentiasa berusaha untuk kebaikan

PUASA adalah urusan peribadi seorang hamba dengan Allah. Begitu rahsia sifatnya kerana tiada siapa yang tahu apakah seseorang itu benar-benar berpuasa atau dia hanya berpura-pura. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Puasa juga berperanan membentuk kasih sayang dalam diri hamba kepada Allah. Ibadat yang istimewa itu berhasil mengajar kita mengenai rahsia ketundukan dan kesabaran di atas perintah-Nya. Bukan senang mendapat pahala puasa yang dijanjikan Allah. Entah-entah ibadat puasa itu mungkin rosak oleh pengaruh persekitaran dipenuhi gangguan hawa nafsu yang bersekutu.

Ada beberapa tanda menunjukkan puasa seseorang itu cacat seperti dijelaskan melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan dusta maka Allah tidak berhajat kepada usahanya meninggalkan makan dan minum (puasanya)." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Mengapakah Allah amat membenci lidah yang suka bermaksiat sehingga memberi amaran kepada orang yang berpuasa dengan amaran begitu keras? Tidak dinafikan jenayah lisan bukan hanya menjadi penyebab rosaknya puasa, tetapi ia juga menjadi sumber kerosakan segala ibadat.

Jenayah lisan juga menjadi racun yang mematikan kasih sayang dalam pergaulan sesama insan, menyuburkan benih dendam dan kebencian dalam persaudaraan. Apabila manusia terdedah kepada bahaya fitnah, saling mencela, berprasangka buruk atau menghina secara terang-terangan maka akan rosaklah kehidupan yang asalnya aman dan damai.

Justeru, strategi paling berkesan bagi menghindari maksiat lisan sudah diajar Baginda SAW melalui penyaksian Ummul Mukminin Aisyah yang berkata: "Sesungguhnya Rasulullah sentiasa berzikir kepada Allah setiap saat." (Hadis riwayat Muslim)

Alangkah eloknya apabila kita boleh memujuk diri dan membulatkan tekad untuk sentiasa berzikir seperti mana amalan Baginda SAW. Walaupun tujuan sebenarnya ialah untuk menghadirkan Allah pada setiap perbuatan, supaya lurus segala amal zahir dan batin, amalan zikrullah juga diyakini boleh menyibukkan lidah dan hati sehingga keduanya tidak berpeluang melakukan maksiat.

Zikrullah menjamin puasa yang sempurna, hati hidup dan jasad sentiasa bergerak untuk kebaikan.

Selepas memahami tanda puasa yang cacat dan ubat mujarab untuk mengubatinya, seharusnya kita juga menggali kefahaman mengenai tanda puasa yang sempurna iaitu:

-Ikhlas beramal secara sembunyi dan terang-terangan.

Setiap mukmin yang beramal ada kalanya terpaksa menghadapi bisikan hati yang ragu-ragu terhadap amalannya itu. Bisikan itu memujuk supaya menyembunyikan amal daripada pandangan manusia sebagai syarat keikhlasan. Padahal fitrah manusia suka kepada pergaulan, saling mempengaruhi dan berhubungan satu sama lain.

Maka tidak menjadi kesalahan melakukan amal secara terang yang dilakukan berjemaah atau di hadapan khalayak ramai. Amal yang terang di hadapan orang lain tidaklah kecil kedudukannya di samping amalan tersembunyi. Kesan dari melakukan amal secara terang amatlah baik untuk persekitaran kita. Bukankah amal itu boleh menjadi teladan untuk diambil peringatan?

Nyata silapnya pandangan mengenai amal yang dilakukan dengan terang-terangan kononnya dapat merosakkan niat. Sedangkan hadis Rasulullah SAW menjelaskan yang mafhumnya: "Sesiapa yang menunjukkan kebaikan maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya." (Hadis riwayat Muslim)

Tetapi hasutan syaitan tidak akan pernah menyerah untuk memperdaya manusia, dibisikkan ke dalam hati orang yang beramal secara terang-terangan itu mengenai bahaya riak supaya orang itu mengalami keraguan dan akhirnya langsung meninggalkan amal.

Cara ubati was-was yang dihembus syaitan seperti diterangkan al-Imam Fudail bin 'Iyyad katanya: "Meninggalkan amal kerana manusia itu adalah riak. Beramal kerana manusia itu adalah syirik. Adapun ikhlas ialah Allah menyelamatkan kamu daripada keduanya."

-Reda dan gembira

Tanda puasa yang sempurna selain ikhlas kepada Allah ialah reda dan gembira. Tidak merasa berat melakukan ibadat bahkan merasa gembira dengan mengingat janji Allah kepada orang yang berpuasa.

Janji-janji Allah itu dikhabarkan Rasulullah SAW dalam hadis Baginda antaranya:

Pertama ialah pahala istimewa yang menjadi rahsia Allah disimpan untuk orang yang berpuasa. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Allah berfirman: Puasa itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Janji Allah yang kedua, diampun segala dosa seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa dengan keimanan dan keikhlasan maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ketiga, dijauhkan dari api neraka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah seorang hamba yang mengerjakan puasa satu hari kerana Allah, melainkan Allah menjaga dirinya dari neraka sejauh perjalanan 70 tahun kerana puasanya yang sehari itu." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keempat, imbalan tunai dan kesihatan jasmani. Sebelum pakar kesihatan mengkaji dan menemukan manfaat puasa, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Berpuasalah nescaya kamu akan sihat." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kelima, doa yang tidak akan ditolak. Rasulullah SAW menegaskan dengan sabdanya yang bermaksud: "Tiga orang yang doanya tidak akan ditolak; pemimpin adil, orang berpuasa sehingga dia berbuka dan orang yang teraniaya." (Riwayat Ahmad, al-Nasai, al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Keenam ialah masuk syurga melalui Bab al-Rayyan. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barang siapa yang termasuk golongan orang mengerjakan sembahyang maka ia akan dipanggil dari pintu solat.

Barang siapa termasuk golongan orang melakukan jihad, maka ia akan dipanggil dari pintu jihad. Barang siapa termasuk golongan orang yang berpuasa maka dia akan dipanggil dari pintu al-Rayyan." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Enam ganjaran tadi boleh menjadi pemacu ke arah kesempurnaan puasa. Saat menahan lapar dan dahaga, ketika menghidupkan malam dengan ibadat, membaca al-Quran pada siang hari, bersedekah, bekerja dan menuntut ilmu, ketika zikrullah tidak terlucut dari hati dan lisan, ingatlah enam ganjaran ini.

-Puasa itu memberi kesan kepada keperibadian.

Selepas seseorang itu bersusah payah mengawal hawa nafsunya sepanjang Ramadan, tetapi ketika berakhirnya Ramadan dia kembali menjadi orang panas baran, tamak, rakus dan gelojoh maknanya puasanya itu tidak memberi kesan kepada keperibadiannya. Dia tidak mencapai matlamat ditetapkan al-Quran.

Hal ini dijelaskan firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Matlamat akhir ibadat puasa ialah mendapatkan bekalan takwa yang cukup untuk menjalani hari-hari seterusnya. Maknanya pada Syawal pun kita masih merasai nikmat beribadah seperti dirasai pada bulan Ramadan.

Tetapi ramai melepaskan pakaian takwanya ketika memasuki Syawal dan seterusnya tenggelam mengikut arus kecuali orang yang diberi cahaya petunjuk Allah.

Berhasilkah puasa membentuk keperibadian? Hal ini bergantung kepada sejauh mana kesungguhan seseorang menghiasi diri dengan pakaian takwanya atau dia mengganti pakaiannya itu dengan fesyen tidak diredai Tuhannya. Aduhai, alangkah ruginya manusia itu di dunia dan akhirat.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my

Friday, August 22, 2008

Amalan berzikir terapi jiwa paling mujarab

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

MENGINGATI ALLAH: Membaca dan menghayati kandungan al-Quran juga dianggap berzikir.

Ibadah mudah serlah kesempurnaan identiti muslim beriman, bertakwa

IBADAT yang sangat dianjurkan Islam kepada umatnya dalam kehidupan seharian ialah berzikir kepada Allah. Jika ditinjau secara halus, zikir adalah amalan paling mudah dan tidak membebankan bagi Muslim untuk melaksanakannya berbanding ibadat solat, zakat serta puasa.

Amalan berzikir hanya menuntut ingatan penuh tulus kepada Allah. Berzikir tidak menuntut kerahan tenaga atau sumbangan kewangan sebaliknya hanya menuntut supaya digerakkan lidah, hati dan akal mengingati Allah pada bila-bila masa dan di mana juga.

Fadilat dan keistimewaan amalan berzikir ini, Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman! (untuk bersyukur kepada Allah) ingat serta sebut nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Bertasbih kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang." (Surah al-Ahzab, ayat 41-42)

Rasulullah SAW tidak ketinggalan menggalakkan setiap Muslim supaya merebut kesempatan hidup di dunia dengan memperbanyakkan zikir sebagai tiket untuk memasuki taman syurga yang penuh kenikmatan.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Apabila kamu melewati taman syurga, hendak kamu ikut sama menikmatinya. Sahabat bertanya: Apakah itu taman syurga, wahai Rasulullah? Ujar Baginda SAW: Ialah perhimpunan zikir." (Hadis riwayat Tirmizi dan Ahmad)

Berdasarkan nas itu, dapat disimpulkan amalan berzikir amat digalakkan. Selain itu, amalan zikir menyerlahkan kesempurnaan identiti Muslim bertakwa dan menjadi ciri Ibadur Rahman yang sentiasa membasahkan lidah mereka dengan zikir dan doa tidak putus kepada Allah.

Pendek kata, zikir kepada Allah adalah petanda bertakhta iman di sudut hati dan juga bebas daripada belenggu sifat munafik yang tercela.

Zikir mempunyai pengertian cukup luas dan bukan sekadar bertasbih, bertahmid atau bertakbir seperti fahaman kebanyakan umat. Membaca al-Quran dan menghayati isi kandungannya juga adalah zikir.

Zikir maknanya ingat kepada Allah dengan apa juga cara. Oleh itu, apabila kita melihat pokok rimbun, lautan tiada bertepi, gunung-ganang dan alam keseluruhan, mencetuskan kesedaran hati akan kekuasaan Allah hingga kita ingat kepada-Nya juga dinamakan zikir.

Zikir adalah amalan tradisi orang salih dan bertakwa kepada Allah. Bagi mereka, berzikir menjalinkan hubungan jiwa yang erat dengan Allah pada setiap waktu dan ketika dalam kesusahan atau ketenangan, waktu berdiri, duduk atau berbaring.

Zikir yang menghiasi detik kehidupan menjadikan mereka sentiasa cergas, sihat dan bersemangat waja dalam menjunjung perintah Ilahi juga menjauhi larangan-Nya. Lebih penting, mereka mengecapi ketenangan hingga jiwanya sentiasa hidup dalam beribadat kepada Allah.

Semua ini manifestasi daripada zikir kepada Allah seperti firman-Nya yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah, tenang tenteram hati manusia. Orang beriman dan beramal salih, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya." (Surah al-Ra'd , ayat 28-29)

Di samping itu, orang yang mengingati Allah memperoleh jaminan perlindungan Allah daripada sebarang gangguan dan godaan musuh utama manusia iaitu syaitan yang sentiasa mengintai peluang menjerumuskan mereka ke lembah kederhakaan kepada Allah.

Ini bermakna zikir berperanan sebagai perisai daripada pengaruh syaitan. Allah berfirman yang bermaksud: "Bahawasanya orang bertakwa, apabila mereka disentuh sesuatu imbasan hasutan oleh syaitan, lantas mereka ingat kepada Allah (berzikir), maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)." (Surah al-A'raf , ayat 201)

Golongan yang tidak berzikir dan mengingati Allah bererti jiwanya sudah mati, hatinya semakin keras dan tentu semakin payah menerima kebenaran cahaya Islam. Akhirnya, dia menjadikan dirinya perangkap untuk diterjah dan dikuasai syaitan yang sentiasa mengarahkan pengikutnya melakukan kemaksiatan.

Firman Allah yang bermaksud: "Sedang saudara (pengikut) syaitan, dibantu oleh syaitan itu dalam melakukan kesesatan, kemudian mereka tidak berhenti-henti (melakukan perbuatan yang sesat lagi menyesatkan itu). (Surah al-A'raf, ayat 202)

Pernah suatu ketika, seorang sahabat Baginda SAW iaitu Ibnu Mas'ud didatangi lelaki yang kelihatan dari raut wajahnya dan bayangan matanya bahawa dia sedang dirundung duka. Lantas lelaki itu berkata: "Wahai Ibnu Mas'ud! Berikan kepadaku satu nasihat yang dapat kujadikan penawar untuk jiwaku sedang gelisah ini. Sejak akhir-akhir ini, perasaanku tidak begitu tenteram, jiwaku sentiasa gelisah, fikiranku selalu kusut, makan tak lalu, tidur tak lena."

Mendengarkan hal itu, Ibnu Mas'ud berkata: "Jika itu penyakit yang menimpa jiwamu, maka hendaklah kamu bawa hatimu mengunjungi tiga tempat ini; pertama, tempat orang membaca al-Quran sama ada kamu membacanya atau kamu mendengarnya baik-baik. Kedua, majlis pengajian ilmu yang mengingatkan hatimu kepada Allah. Ketiga, cari tempat dan waktu yang sesuai supaya kamu dapat beribadat kepada Allah dengan penuh khusyuk dan tulus ikhlas."

Pengajaran daripada kisah itu menjelaskan zikir berupaya bertindak sebagai terapi jiwa gundah di samping menghembuskan ketenangan hati dalam mengharungi pentas kehidupan yang penuh cabaran.

Lebih-lebih lagi, mutakhir ini kehidupan dunia penuh persaingan, semakin mencabar dengan pelbagai kemajuan serta pembangunan tidak terkawal dan tidak berhenti-henti mengubah wajah dunia era globalisasi dan dunia tanpa sempadan sedikit sebanyak menuntut kesediaan seorang Muslim untuk terus berjuang berdepan dengan cabaran sengit dalam roda kehidupan yang sentiasa berputar.

Justeru, ketenangan jiwa serta kemantapan akal perlu sebagai momentum konkrit dalam menepis segala anasir yang cuba menodai kesejahteraan hidup sejagat di samping berbekalkan iman dan Islam yang bertapak di sudut hati untuk menyuluhi hidup ke arah kebenaran.

Wajar Allah memperingatkan Muslim supaya sentiasa berwaspada dan beristiqamah dalam mengemudi bahtera kehidupan berbekalkan ajaran Islam yang suci. Untuk memperoleh kejayaan dan kebahagiaan abadi di dunia dan akhirat, Allah berfirman yang bermaksud: "Katakanlah! Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al-Quran ini ialah panduan yang membuka hati dari Tuhanmu dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang beriman. Apabila al-Quran itu dibaca, maka dengar akan ia serta diam (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya) supaya kamu beroleh rahmat. Sebut serta ingat akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintah-Nya) dan dengan tidak pula meninggikan suara pada waktu pagi dan petang. Jangan kamu menjadi orang yang lalai." (Surah al-A'raf, ayat 203-205)

Zikir kepada Allah adalah penawar paling ampuh kepada sebarang masalah, musibah dan penyakit jiwa yang mewarnai alam maya kini. Zikir kepada Allah juga berupaya menyuntik ketenangan dan kekuatan dari segi jasmani dan rohani dalam merentasi lautan hidup yang sentiasa bergelora.

Wednesday, July 30, 2008

Iqra: Himpunan doa pilihan jadi panduan seharian

Judul: Doa-Doa Pilihan Rasulullah
Penulis: Mufti Melaka, Datuk Rashid Redza Mohd Salleh
Penerbit: Knaz Studio
Pengulas: Jami'ah Shukri

SAIZNYA buku ini kecil, namun kandungannya cukup padat dengan koleksi doa yang begitu memberi manfaat untuk amalan seharian sejajar tuntutan agama bagi menggalakkan umatnya berdoa serta berzikir untuk mendapat keredaan dan rahmat daripada Allah.

Yang menariknya, ia adalah himpunan doa penting yang diamalkan Rasulullah berkisar dalam semua aspek daripada mengenai kebaikan diri, keluarga, harta benda, urusan dunia, agama dan akhirat.

Setiap perjalanan hidup manusia memang sudah ditentukan qada dan qadar oleh Allah, tetapi menerusi doa, sesuatu itu mampu menolak takdir. Bagaimanapun kita digalakkan supaya tidak cepat putus asa dan mengharapkan doa dikabulkan segera kerana Allah sudah menjanjikan sesuatu, walaupun pada saat itu kita sudah bongkok tiga.

Himpunan doa yang turut disertakan dengan makna itu dilakukan mengandungi lapan bab bagi memudahkan pembaca memilih mana-mana doa yang mereka fikirkan perlu untuk diamalkan dengan menegaskan bahawa doa adalah satu ibadat, dalam bab dua dan tiga dinyatakan doa bersumberkan al-Quran, hadis, adab makan dan minum (bab empat), adab musafir (bab lima), adab salam (bab enam), keutamaan berzikir (bab tujuh) dan Asmaul Husna (bab lapan).

Doa mempunyai adab tertentu, iaitu yang paling penting ialah umat Islam mesti ikhlas melakukannya. Berdoalah dalam keadaan suci, tidak mengharap doa cepat dikabulkan, berdoa menadah tangan dengan tapak tangan di atas, menghadap kiblat, mulai doa dengan diri sendiri, memohon keinginan dan niat yang kuat, mengulanginya tiga kali, meminta Asmaul Husna, mulai doa dengan pujian dan sanjungan, meminta kesihatan serta banyaklah meminta serta selawat ke atas Nabi Muhammad.

Waktu doa yang terkabul ialah sepertiga malam terakhir, berdoa ketika turun musibah atau cubaan, antara azan dan iqamat, azan dan jihad bertempur melawan musuh, ketika sujud solat, pada Jumaat dan ada kokokan ayam.

Sementara itu, doa yang dikabulkan adalah ketika dalam kesulitan dalam perjalanan, orang tua kepada anaknya, seorang mukmin untuk saudaranya tanpa pengetahuannya, ketika senang, orang yang banyak berzikir, dizalimi dan iman yang adil serta doa orang Muslim untuk orang kafir.

Bagaimanapun, doa akan terhalang (tidak dikabulkan), iaitu menyekutukan Allah, meminta mati atau keburukan diri sendiri, keburukan anak, pembantu dan harta kekayaan, mengharapkan peperangan dan bertemu dengan musuh, doa dengan dosa dan maksiat serta melampaui batasan berdoa.

Buku setebal 240 muka surat ini, mudah dibawa ke mana-mana sebagai panduan bagi memudah dan menggalakkan amalan beribadat, sekali gus mampu sebati dengan diri. Doa dan zikir adalah tuntutan Allah.

Thursday, February 21, 2008

Personaliti: Memantapkan rohani atlit negara

Oleh Hasliza Hassan



Amalan zikir mampu bina kekuatan, keyakinan untuk raih kejayaan: Hasnol

KEKUATAN Ruhiah Dicapai, Kilauan Pingat Digapai. Itulah moto Unit Hal Ehwal Islam Majlis Sukan Negara (MSN) yang menjelaskan fungsi kewujudannya di tengah-tengah kelompok atlit negara bertujuan memantapkan kerohanian mereka untuk mencapai kejayaan.

Ternyata selain kekuatan fizikal dan mental, kekukuhan serta pemantapan rohani mampu menjadi 'makanan tambahan' bernilai bagi meningkatkan keyakinan diri atlit negara berhadapan cabaran dalam bidang sukan diceburi.

Mendekati orang yang bertanggungjawab menguruskan program pemantapan kerohanian atlit negara, Ketua Unit Hal Ehwal Islam MSN, Mohammad Hasnol A Bakar mengakui tugas berdakwah kepada warga sukan memerlukan pendekatan yang pelbagai.

Katanya, tidak dinafikan bukan mudah untuk memasukkan elemen Islam dalam bidang sukan yang kebanyakan pencapaian dinilai daripada kekuatan fizikal dan mental tetapi tugas itu perlu dilaksanakan dalam usaha membangun jati diri warga sukan khususnya atlit.

"Mungkin ada yang bertanya apa kena mengena Islam dengan sukan. Sebenarnya banyak kaitan antara Islam yang menjadi cara hidup dengan sukan yang menjadi sebahagian daripada kehidupan terutama kepada atlit kita.

"Dalam pembinaan manusia ada jasad, akal dan kerohanian. Tanggungjawab saya bersama rakan di Unit Hal Ehwal Islam MSN ialah membimbing atlit menggunakan kekuatan kerohanian untuk mencapai kemenangan serta menghadapi cabaran semasa," katanya.

Katanya, ketika mula-mula memikul tanggungjawab sebagai pegawai agama kepada warga MSN pada 2001, langkah pertama dilakukan ialah menganjurkan program meningkatkan kefahaman dalam bidang akidah, ibadat dan akhlak dengan bantuan daripada unit lain.

Beliau yang ketika itu berseorangan turut mengatur program secara berkala seperti solat berjemaah, solat hajat, bacaan Yasin setiap minggu dan bulanan selain meraikan hari kebesaran Islam seperti mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul.

Muhammad Hasnol berkata, tumpuan beliau ketika itu ialah memberi kesedaran kepada atlit mengenai kepentingan membina hubungan dengan Allah sebagai sumber kekuatan dalaman yang dapat membantu mereka mencapai kecemerlangan.

Beliau berkata, atlit dan warga sukan perlu diperjelaskan bahawa agama bukan ibadat semata-mata tetapi agama dapat membantu membina kekuatan dalaman dengan meningkatkan kefahaman akidah dan menguatkan keimanan kepada Allah.

Katanya, atlit Islam akan menghadiri kuliah untuk meningkatkan kefahaman bidang akidah sementara atlit bukan Islam, ada pegawai memantau keperluan mereka memenuhi amalan agama masing-masing berpaksi kepada perkara pertama Rukun Negara iaitu Percaya Kepada Tuhan.

Katanya, keyakinan bahawa setiap kejayaan diraih atau kegagalan terjadi datangnya daripada Allah akan mengembalikan atlit kepada hakikat di sebalik usaha gigih itu mereka perlu bertawakal kepada Allah.

"Jika juru latih membimbing atlit berusaha menggunakan kekuatan fizikal dan mental tatkala menjalani latihan atau menghadapi pertandingan, saya tunjukkan bagaimana amalan berzikir mampu membantu ahli sukan mencapai kemenangan.

"Pada masa sama, saya juga menekankan perlunya sifat amanah dan pentingnya untuk atlit serta warga sukan memasang niat untuk ikhlas melaksanakan tanggungjawab kerana selain imbuhan dunia yang diperoleh apabila mereka berjaya, mereka bakal menerima ganjaran daripada Allah," katanya.

Memiliki diploma dalam bidang pengajian Islam, al-Quran dan Sunnah, graduan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) yang bercita-cita menjadi pendakwah itu reda dengan rezeki ditentukan Allah kepadanya untuk menabur khidmat bakti kepada warga sukan.

Walaupun menghadapi kejutan budaya ketika mula berkhidmat dan bergaul dengan atlit daripada 27 bidang sukan, beliau yakin ada sebab mengapa Allah menjodohkan beliau dengan Unit Hal Ehwal Islam MSN.

Bagi anak kelahiran Kuala Lumpur itu, walaupun berdepan cabaran untuk menarik minat warga sukan mendalami serta memahami kepentingan agama dalam bidang sukan, semangatnya tidak pernah luntur.

Malah, hatinya berazam untuk terus berdakwah dengan meminjam semangat ditunjukkan idolanya Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah berputus asa menyebarkan syariah Islam walau terpaksa berdepan tentangan hebat.

Beliau juga bersyukur apabila di bawah pentadbiran Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, Unit Hal Ehwal Islam MSN dibesarkan dengan tambahan seorang lagi pegawai agama lelaki dan seorang ustazah yang membolehkan lebih banyak program diatur mengikut kepentingan serta keperluan atlit.

Kini, setiap hari warga sukan yang terdiri daripada kakitangan MSN dan atlit akan memulakan hari mereka dengan tazkirah ringkas disampaikan beliau secara bergilir dengan rakan lain yang turut didengar atlit yang sedang menjalani latihan di padang.

Mohammad Hasnol berkata, tumpuannya kini ialah berusaha memastikan program kekuatan kerohanian di kalangan atlit dan warga sukan mendapat sambutan hebat seperti diberikan kepada program meningkatkan kekuatan fizikal dan mental.

Katanya, usaha itu memerlukan sokongan pihak pengurusan MSN dan mereka yang bertanggungjawab dalam persatuan sukan bagi memastikan pembangunan fizikal, mental dan kerohanian atlit Malaysia dapat dilakukan serentak.

Mengenai kepentingan ilmu agama dalam sukan katanya, semua dapat difahami daripada matlamat penubuhan unit berkenaan yang antara lain untuk melahirkan generasi atlit serta anggota kerja yang mantap daripada sudut ilmu dan iltizam, berilmu dan berakhlak mulia menghadapi cabaran semasa.

Melalui proses secara berperingkat, beliau yakin keperluan pemantapan kerohanian kepada atlit akan diakui lambat laun berdasarkan perkembangan positif diperlihatkan terutama daripada atlit yang memanfaatkan ilmu disampaikan kepada mereka.

"Kenangan manis bagi saya ialah apabila pasukan sepak takraw berjaya pada Sukan Sea di Manila 2005. Di sana mereka tidak lupa membaca surah Yasin dan mengamalkan zikir yang diajar untuk membina keyakinan serta kekuatan.

"Gabungan ketiga-tiga kekuatan iaitu fizikal, mental dan kerohanian menunjukkan atlit lebih berkeyakinan dan mampu mencapai matlamat mereka dengan lebih mudah. Saya harap banyak lagi yang dapat saya sumbangkan untuk membantu atlit kita mencapai kecemerlangan," katanya.

Beliau berkata, Kursus Pembangunan Atlit Melalui Kecerdasan Emosional dan Spiritual (ESQ) yang diperkenalkan MSN kepada atlit juga adalah alternatif terbaik menitipkan kesedaran pentingnya kekuatan intelektual dan spiritual dalam mengisi tujuan hidup seorang atlit.

Mohammad Hasnol berkata, mengislamkan sukan bukan sesuatu yang mustahil kerana beliau sudah melihat contoh yang ditunjukkan atlit dari Iran yang cemerlang dalam bidang sukan masing-masing dan pada masa sama mengekalkan nilai yang diajar dalam Islam.

Begitu juga contoh dilihat pada temasya Sukan Negara Islam yang pernah dianjurkan di Makkah di mana beliau menjadi Chef de Mission mengetuai atlit negara pada 2004 berjaya memisahkan atlit wanita dan lelaki dengan mengadakan acara secara berasingan.

Justeru katanya, banyak lagi yang boleh dilakukan oleh pihak berkaitan bagi memastikan agama tidak terpinggir dalam program pembangunan sukan negara sebaliknya menjadi elemen penting yang dapat membantu atlit mencapai tahap terbaik dalam diri mereka.

"Atlit tidak berdisiplin kerana tidak ada kekuatan agama dan kurang penekanan kepada kerohanian. Agama mengajar kita supaya saling hormat menghormati. Jika atlit hormat jurulatih, mereka akan disayangi dan pastinya perhatian diberikan kepada mereka.

"Begitu juga sebaliknya, jika jurulatih menghormati atlit, mereka lebih mudah menerima tunjuk ajar yang diberi. Akhirnya, prestasi kedua-duanya meningkat, mencapai kejayaan dan paling penting, mendapat keredaan Allah," katanya.

Katanya, adanya program pemantapan kerohanian dalam bidang sukan juga dapat menangkis kerisauan ibu bapa yang takut anak mereka meninggalkan aspek spiritual apabila membabitkan diri dalam dunia sukan.

PROFIL

Mohammad Hasnol A Bakar

Tarikh lahir: 20 April 1973
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Pendidikan: Diploma Pengajian Islam, al-Quran dan Sunnah, Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, Terengganu
Isteri: Norrul Huda Ngah
Anak: Izzatul Mutmainnah, 10; Izzurrahman, 9; Izzulhafeez, 4

Thursday, January 24, 2008

Zikir kikis penyakit keras hati, sikap mazmumah

MENGISI waktu dengan perkara yang boleh mendekatkan diri kepada Allah adalah sesuatu yang wajar dan perlu diamalkan dari semasa ke semasa demi mencapai puncak rahmat dan reda-Nya seperti yang didambakan setiap insan bergelar Muslim.

Namun, sangat mendukacitakan jika di kalangan masyarakat Islam hari ini ada yang belum terbuka pintu kesedarannya, lalu membiarkan usia berlalu begitu saja. Masih ada yang malas melaksanakan ibadat difardukan, enggan menerima nasihat, tidak gemar luangkan masa mendengar ceramah agama atau menghadiri majlis ilmu.

Sikap seperti itu mungkin ada pada hati keluarga kita, jiran, kawan, atau diri sendiri. Mengapa terjadi hal demikian? Jawapannya ialah kerana memiliki hati keras, diserang penyakit mazmumah seperti sombong, panas baran, dan suka perkara bertentangan hukum agama.

Orang berhati keras, sesungguhnya jauh daripada rahmat Allah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah adalah mereka yang berhati keras." (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Sesungguhnya hati manusia ini pelbagai wajah seperti pernah diutarakan ulama tersohor Ibn Qayyim. Beliau berpendapat hati terbahagi kepada tiga iaitu:

Hati yang sihat dan selamat iaitu hati yang selalu menerima, mencintai dan mendahulukan kebenaran. Pengetahuannya mengenai kebenaran benar-benar sempurna, juga selalu taat dan menerima sepenuhnya.

Hati yang keras, iaitu hati yang tidak menerima dan taat pada kebenaran.

Hati yang sakit, jika penyakitnya sedang teruk, maka hatinya menjadi keras dan mati, jika ia mengalahkan penyakit hatinya, maka hatinya menjadi sihat dan selamat.

Daripada ketiga-tiga wajah hati itu, apa yang perlu dimiliki orang Islam ialah sekeping hati sihat dan selamat. Sebagai insan beriman dan cintakan Allah secara benar, maka sedaya upaya harus berusaha mengatasi hati keras dan mengubati hati yang sakit.

Jika dibiarkan, hati akan menghadapi beberapa perkara bahaya yang membinasakan iaitu memandang perkara buruk dan baik adalah sama saja atau mungkin mempercayai yang baik itulah mungkar dan yang mungkar itu baik, menjadikan hawa nafsu sebagai pedoman dan bisikan syaitan sebagai penyuluh arah.

Hati diserang penyakit seumpama itu masih boleh dirawat dengan membaca al-Quran, mendalami maknanya dan mengamalkan ajarannya untuk menghidup dan melunakkan hati, selain menambah ilmu pengetahuan serta membentuk akhlak terpuji.

Membaca al-Quran juga boleh menjana ingatan kepada Allah dan meneguhkan ketakwaan. Inilah sebenarnya tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia.

Firman Allah bermaksud: "Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang yang zalim selain kerugian." (Surah Al-Isra, ayat 82)

Jelas sekali selalu mengingati Allah boleh mengindahkan hati dan menenangkan perasaan. Berdasar pendapat Ibn Taimiyah, zikir itu penting bagi manusia, umpama betapa perlunya ikan kepada air.

Selanjutnya, perlu ada keinsafan dalam hati bahawa diri hanya sebagai hamba hina di sisi Allah. Rasa rendah diri, menjadikan ibadat dilakukan ikhlas, bersungguh-sungguh dan berkualiti.

Rasa rendah diri, menghindarkan daripada sikap sombong dan meyakini bahawa hanya Allah yang Maha Besar dan Maha Agung. Orang yang sentiasa merendah diri, hatinya akan menjadi murni, tenang, senang menerima hidayah serta mendapat kedudukan tinggi di sisi Allah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: ".....Allah tidak menambah terhadap hamba yang memberi maaf melainkan kemuliaan, dan seseorang tidak merendahkan diri kepada Allah melainkan Allah meninggikannya." (Hadis riwayat Muslim)

Hati juga akan berkembang mekar apabila mengingati kematian yang pasti kedatangannya. Makhluk lemah seperti manusia satu masa nanti pasti mengalami peristiwa kematian. Apabila ingat mengenai kematian, maka boleh melembutkan hati.

Syeikh Muhammad Husain Ya'qub dalam tulisannya, Tragedi Alam Kubur menyebut: "Zikrulmaut dapat mencegah daripada perbuatan maksiat, melunakkan hati, menghilangkan kecintaan terhadap dunia dan sedih terhadap musibah. Kematian adalah mauizah dan pemisah manusia dari segala dimilikinya."

Memang tak dapat disangkal berlakunya pelbagai masalah sosial, keruntuhan akhlak di kalangan remaja, tandusnya budi pekerti dan budaya Islam, adalah akibat daripada kerasnya hati anggota masyarakat kita hari ini.

Hal itu boleh dibendung sebelum keadaannya semakin parah dengan kesedaran untuk kembali kepada sinar Islam dan hidayah Allah. Apabila semua hati anggota masyarakat dalam keadaan bersih dan sihat nescaya hidup masyarakat akan jadi aman, maju dan dipandang mulia.

Sunday, January 13, 2008

Ulul Albab: Pemikiran hebat, berzikir mesti saling melengkapi

Oleh Abdurrahman Haqqi

Kemajuan tidak kekal lama jika meminggirkan agama

DI HADAPAN kita ada dua senario yang tidak ada senario ketiganya. Senario pertama berkaitan dengan zikir dan senario kedua berkaitan dengan fikir di mana zikir tanpa fikir tidak akan ke mana dan fikir tanpa zikir akan sesat dan membinasakan.

Apa yang paling disukai oleh sepasang kekasih ketika mereka sedang memadu kasih sayang sehingga kehidupan mereka terasa indah dan bermakna? Walaupun banyak jawapan yang mungkin kita dapati, cuba kita pusatkan jawapannya kepada saling mengingati. Seorang kekasih akan gembira dan senang hati jika mereka selalu mengingati dan diingati oleh kekasih mereka di mana dengan ingatan itu mereka akan berasa senang hati pula untuk meneruskan aktiviti kehidupan mereka dengan penuh himmah dan keceriaan. Inilah natijah konsep zikir dalam Islam. Ketika kita mencintai Allah, kita akan selalu mengingati-Nya dan ketika itu jualah yang kita ingati yakni Allah akan mengingati kita dan apabila Allah mengingati kita maka semua naungan dan pertolongan Allah akan kita peroleh. Allah SWT berfirman maksudnya: "Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku mengingatimu." (Surah al-Baqarah: 152)

Apabila kita mencintai sesuatu maka kita akan selalu berfikir agar kecintaan kita itu selalu memberikan kebaikan kepada kita. Kita akan selalu berfikir bagaimana kita boleh mengekalkan percintaan berkenaan. Kita akan selalu berfikir bagaimana kita boleh mencari kepelbagaian agar percintaan itu akan selalu hidup dan berkembang. Inilah konsep fikir dalam Islam. Ketika kita mengharapkan keredaan Allah, kita akan selalu menggunakan akal fikiran bagaimana mendapatkan, menambahtumbuhkan dan mempelbagaikannya. Itulah hakikat yang kita simpulkan daripada 17 ayat al-Quran (sama dengan 17 raka'at yang kita lakukan sehari semalam untuk solat) yang menegaskan mengenai perkara tafakur atau fikir.

Dua senario di atas adalah sifat masyarakat ulul albab yang digariskan al-Quran dalam ayatnya yang bermaksud: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal; (iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah ketika mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka." (Surah Ali 'Imran: 190-91)

Dalam ayat di atas perkataan yang digunakan adalah kata jamak bagi 'orang yang menyebut dan mengingati Allah'. Ini mengisyaratkan kepada kita bahawa ia adalah galakan secara kolektif dalam berzikir dan bertafakur walaupun pada asasnya ia ditujukan kepada individu.

Berzikir dalam pengertian terminologi dihadkan kepada ucapan lisan untuk menyebut dan mengingati Allah zikr al-lisan. Bagaimanapun, sebenarnya ia lebih luas daripada itu. Ia boleh menjadi zikr al-qalb atau zikir hati dan juga zikr al-jawarih atau zikir anggota badan. Pembahagian zikir seperti ini tersirat dalam ayat di atas pada kalimat "ketika mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring".

Ketika kita mengucapkan dengan lisan lafaz 'la ilaha illallah' maka ia disebut zikr al-lisan. Ketika kita dalam hati menegaskan lafaz itu menjadi tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, maka ia disebut zikr al-qalb. Dan akhirnya ketika kita menjelmakan menerusi anggota badan dalam beribadah, bermu'amalat, bermunakahah, dan perundangan yang hanya ditujukan kepada Allah semata-mata dan tidak dipesongkan kepada tuhan lain, maka ia disebut zikr al-jawarih.

Agar zikir kita sempurna maka ketiga-tiga perkara di atas mestilah ada dan diambil kira, maka fadilat zikir bagi individu dan masyarakat yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya akan dinikmati.

Al-Quran menegaskan bahawa dengan zikir, hati kita akan tenteram dan damai dalam ayatnya bermaksud: "(iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra'du: 28)

Dengan berzikir maka kita sedang menumbuhkembangkan keimanan kita. Nabi bersabda maksudnya: "Nyanyian dan permainan hiburan yang melalaikan menumbuhkan kemunafikan dalam hati, bagaikan air menumbuhkan rumput. Demi yang jiwaku dalam genggaman-Nya, sesungguhnya al-Quran dan zikir menumbuhkan keimanan dalam hati sebagaimana air menumbuhkan rumput." (Hadis riwayat al-Dailami)

Dalam sebuah hadis disebutkan bahawa berzikir adalah satu proses penyembuhan. Imam al-Baihaqi meriwayatkan maksudnya: 'Menyebut-nyebut Allah adalah suatu penyembuhan dan menyebut-nyebut mengenai manusia adalah suatu penyakit (penyakit akhlak).'

Bahkan ditegaskan dalam sebuah hadis bahawa perbezaan orang yang hidup dan yang mati adalah zikir. Sabda Junjungan seperti diriwayatkan Imam al-Bukhari dan Muslim maksudnya: 'Perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan yang tidak, seumpama orang hidup dan orang mati.'

Justeru, zikir adalah penyelamat manusia daripada seksa neraka jahanam seperti yang terkandung dalam hadis bermaksud: 'Tiada amal perbuatan anak Adam yang lebih menyelamatkannya daripada azab Allah selain zikrullah.' (Hadis riwayat Ahmad)

Jika kita secara sepintas memerhati ucapan 'Tuhanku, semakin Aku berilmu semakin bertambah kejahilanku, tambahkanlah kejahilan kepadaku,' sudah tentu kita akan terperanjat kerana ia bertentangan dengan doa yang selalu kita baca, rabbi zidni 'ilman atau Tuhanku, tambahkanlah ilmu kepadaku. Tapi jika kita perhatikan ucapan berkenaan dengan saksama maka kedua-duanya tidak berbeza dari segi isinya walaupun bahasanya memang berbeza. Inilah hasil daripada proses berfikir yang dilakukan akal manusia.

Ada 17 ayat al-Quran yang menyentuh seruan kepada manusia untuk berfikir, tafakkarun dan yatafakkarun al-Quran menggalakkan kita untuk selalu berfikir kerana dengan berfikir kita akan mencapai apa yang kita tuju dan hajati. Semua yang manusia ciptakan sejak Nabi Adam hingga ke hari ini bahkan sampai kiamat kelak adalah hasil daripada penggunaan fikiran manusia.

Dengan adanya fikiran dan menggunakannya maka seorang manusia itu disahkan hidup. Dengan meminjam ada yang ditemui bapa falsafah sains moden Rene Descartes (1596-1650) dalam Cogito ergo sum atau 'aku berfikir maka aku wujud, hidup', kita boleh menggunakannya dalam membentuk masyarakat yang makmur, bukan yang membinasakan.

Descartes adalah seorang ahli matematik yang berupaya membangun falsafah seperti konstruksi matematik. Oleh itu, dia memulakannya dengan suatu keraguan dan melanjutkannya dengan metod matematik. Dengan ini, terbentuklah suatu falsafah baru. Dia memulakan dengan langkah seorang skeptis dan keluar daripada keraguan sebagaimana yang dilakukan oleh Augustine. (A Kamil 'Meragukan Kesangsian Dsecartes')

Dengan metod pemikiran di ataslah, tamadun Barat secara amnya dibangunkan hari ini. Sayangnya mereka mengetepikan senario zikir sehingga apa yang terjadi sekarang adalah penciptaan permusuhan di kalangan masyarakat dunia yang mana yang ada pada diri mereka adalah siapa bersama kami adalah teman kami dan siapa yang menentang kami adalah musuh kami.

Masyarakat dunia sememangnya memikirkan kemakmuran manusia tapi tidak berpandukan zikir oleh itu mereka sesat dan menyesatkan. Sebagai contoh, mereka pada tahun 1980-an telah menghamburkan wang sebanyak AS$4,000 bilion untuk membangunkan projek pembunuh mereka sendiri yang bernama senjata nuklear sejak Perang Dunia Kedua. Senjata nuklear berkenaan cukup untuk membunuh AS$58 bilion orang yakni 12 kali ganda jumlah penduduk dunia waktu itu. Dan pada saat itu, biaya yang dikeluarkan untuk seorang tentera adalah AS$25,000 manakala untuk pendidikan hanya AS$450. Untuk operasi kapal induk Amerika Syarikat diperlukan biaya AS$550,000 sehari manakala 14,000 orang mati kebuluran di Afrika. (Laporan dibuat oleh bekas pegawai Perlucutan dan Pengawasan AS, Ruth Sivard dalam 'Pengeluaran sosial dan ketenteraan dunia 1985') Inilah akibat daripada fikiran manusia yang tidak berlandaskan zikir.

Berfikir dalam ajaran Islam lebih baik daripada ibadah seperti dalam hadis tafakur sa'ah khairun min 'ibadah sanah atau berfikir sejenak adalah lebih baik daripada setahun ibadah. Oleh itu, orang yang berfikir mempunyai kedudukan tersendiri di sisi Allah. Mereka selalu dimotivasi dalam al-Quran dengan seruan untuk berfikir kerana dengan berfikir maka ilmu pengetahuan diperoleh. Dengan ilmu pengetahuan yang semakin tinggi sebagai hasil daripada proses pemikiran maka ia menjadi penimbang aras tamadun dan budaya yang mencakupi aktiviti berfikir, berperasaan dan berkemahuan. Pada tahap ini, kegiatan berfikir (tafakur), pengajian (mutala'ah) dan penyelidikan (tadabbur) semakin subur yang ditujukan untuk usaha pemenuhan keperluan material mahupun spiritual.

Dalam memperingati Maal Hijrah 1429 sudah menjadi kewajipan umat Islam untuk selalu berzikir dan berfikir demi mencapai kemakmuran bukan untuk memporak perandakan bangunan yang sudah kita bina dengan megah dan indah. Kita mesti kembali kepada ajaran al-Quran yang menggariskan masyarakat ulul albab yang mempunyai sifat zikir dan fikir.

Akhirnya, menerusi zikir dan fikir yang diterapkan dalam masyarakat maka kita akan memperoleh apa yang kita hajati dalam doa dan harapan kita. Allah berfirman maksudnya: "Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya: 'Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan'. (Surah Ali 'Imran: 195) Wallahu a'lam.