Tuesday, May 26, 2009

Kepemimpinan dalam takwa, iman wujudkan keharmonian

Oleh Dr Aminudin Mansor

KEADILAN penting dalam pemerintahan, begitu juga kepemimpinan dalam sesebuah keluarga akan dipersoalkan di akhirat kelak. Setiap daripada kita adalah pemimpin bagi diri keluarga, masyarakat dan negara.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang berlaku adil di sisi Allah akan menduduki beberapa mimbar diperbuat daripada cahaya. Mereka ialah orang yang berlaku adil di dalam pemerintahan, ke atas keluarga dan apa-apa yang ditadbir mereka." � (Hadis riwayat Muslim)

Ciri pemimpin yang baik mestilah perlu mempunyai kecerdasan spiritual tinggi dan memahami penderitaan serta kehendak rakyat dipimpinnya. Begitulah sebagai ibu atau bapa mesti memahami kehendak ahli keluarga dipimpinnya dan bertindak adil dengan penuh kesedaran.

Menurut K H Dewantara, pemimpin di hadapan memberi contoh sehingga dapat diteladani, di tengah memberi dorongan semangat dan mengikuti dari belakang dengan memberi kekuatan dalam usaha melaksanakan tugas.

Muhammad Iqbal berkata, seseorang pemimpin mesti mempunyai semangat patriotisme. Oleh sebab itu, seseorang pemimpin mestilah memerintah dengan bijaksana, ia akan dipatuhi dengan senang hati oleh orang dipimpinnya.

Sewajarnya, seseorang pemimpin mestilah berakhlak, beradab, berani bertindak, bersikap adil, lemah lembut, penyayang, saksama, berdisiplin, selalu bermusyawarah, memudahkan dan mempunyai misi mengarah ke masa hadapan.

Aisyah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya sebahagian tanda orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling berakhlak mulia dan paling lembut kepada keluarganya." � (Hadis riwayat Tirmidzi dan Al-Hakim)

Perilaku seseorang pemimpin yang baik akan menjadi ikutan kepada orang dipimpin. Apabila perilaku baik, sifat ini akan menjadi ikutan dan teladan kepada orang dipimpin ke arah mewujudkan ummah cemerlang di dunia dan akhirat.

Khalifah Umar Al-Khattab adalah contoh pemimpin yang berani dan tegas. Selain itu, beliau juga mempunyai sifat dan rasa kasih sayang tinggi, adil dalam menghukum, suka bermusyawarah, tidak sombong, pendengki dan tidak pendendam.

Beliau mendahulukan kepentingan masyarakat daripada kepentingan peribadi. Suka menerima kebenaran daripada sesiapa saja, sederhana, tidak berlebihan dalam makan minum, berpakaian dan hidup seperti rakyat biasa. Beliau sangat benci kepada yang batil dan berani membela yang benar.

Khalifah Umar Al-Khattab pernah berkata: "Janganlah engkau datangi sesuatu yang tidak penting bagimu! Jauhkan diri daripada musuhmu. Awaslah daripada temanmu yang ramai, kecuali teman kepercayaanmu! Jangan kau percaya selain orang yang takut kepada Allah. Jangan engkau berteman dengan orang zalim, kerana nanti engkau peroleh pengetahuan dari kezalimannya! Jangan engkau perlihatkan kepadanya rahsiamu! Dan bermusyawarah dalam urusanmu dengan mereka yang takut kepada Allah."

Sebagai pemimpin Saiyidina Umar Al-Khattab seorang yang berani, tegas, disegani oleh kawan dan lawan, berakhlak mulia, berhati jujur dan perkataannya selalu benar. Begitu juga khalifah pertama, Abu Bakar As-Siddiq, yang lebih cinta kepada Allah dan Nabi SAW melebihi cintanya kepada harta benda serta anak serta isterinya sendiri.

Sebagai pemimpin, beliau adalah seorang yang gagah berani, suka menolong orang miskin, memuliakan tetamu, pemurah lagi bersopan santun serta dermawan.

Antara kata nasihatnya: "Aku adalah manusia biasa dan aku bukanlah manusia yang terbaik di antara kamu. Apabila kalian lihat perbuatanku benar, ikutlah aku, tetapi apabila kalian lihat perbuatanku salah, maka perbetulkan aku."

Begitulah sifat rendah diri dan tawaduk yang ada pada pemimpin yang juga sahabat walaupun termasuk antara mereka yang mendapat jaminan masuk syurga.

Oleh sebab itu, sebagai pemimpin, baik pemimpin negara, di pejabat, rumah dan dalam kalangan masyarakat, sifat ketakwaan dan keimanan kepada Allah dan Nabi SAW penting bagi mewujudkan keharmonian dalam negara dan masyarakat.

Sesungguhnya, sabda Nabi SAW ini seharusnya menjadi renungan dan pandangan kepada kita. Sabdanya yang bermaksud: "Kamu semua adalah penjaga (pemimpin). Dan kamu semua bertanggungjawab terhadap penjagaan (orang yang dipimpin)." � (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Monday, May 25, 2009

Gejala sosial dikira ancaman jahiliah era moden

Oleh Masmawi Abdullah

Kerajaan perlu menambah baik sistem pendidikan untuk bentuk sahsiah generasi muda

BENARKAH jahiliah masih membelenggu pemikiran dan pengalaman umat Islam masa kini? Apakah kita faham pengertian jahiliah dalam erti kata sebenarnya? Jahiliah adalah perkara penting untuk kita fahami kerana ia musuh Islam sepanjang masa.

Pastinya orang yang hidup dalam zaman moden dan serba canggih hari ini mengakui dirinya Islam tetapi secara tiada sedar masih melakukan amalan jahiliah disebabkan tidak mengenal konsep dan ciri jahiliah sebenarnya baik melalui al-Quran, hadis atau bahan sejarah.

Saidina Umar al-Khatab pernah menjelaskan: "Sesungguhnya ikatan Islam yang kukuh akan terungkai satu demi satu apabila di kalangan umat Islam tidak mengenal apa itu jahiliah."

Jahiliah bererti bodoh, sesat, biadap, dungu, tidak mengetahui, tidak berilmu, keliru atau melakukan sesuatu tanpa pengertian dan pengetahuan. Tanggapan umum pula, jahiliah ialah keadaan yang berlaku sebelum kedatangan Islam atau dikenali sebagai zaman pra-Islam.

Ini biasanya ditujukan kepada masyarakat Arab di Semenanjung Arab sebelum Rasulullah SAW diutuskan. Umumnya membatasi pengertian jahiliah pada gejala syirik atau paganisme (tanpa agama), primitif, krisis keruntuhan akhlak yang melanda masyarakat Arab pada ketika itu.

Menurut pendapat Muhammad al-Qutb dalam bukunya, Jahiliah Abad ke-20 menggambarkan konsep jahiliah bukan berdasarkan masa, tempoh atau zaman tertentu, tetapi disebabkan individu atau masyarakat tidak mengakui Islam sebagai syariat hidup yang cukup sempurna.

Sayyid Qutb pula dalam bukunya, Petunjuk Sepanjang Jalan menyebut: "Masyarakat jahiliah ialah masyarakat yang tidak tulis pengabdiannya kepada Allah. Ini bermaksud pengabdian yang menjelma dalam kepercayaan atau keyakinan dalam syiar, lambang, peribadatan dan dalam peraturan serta undang-undang."

Usaha memperjelaskan pengertian jahiliah dalam erti kata sebenarnya, al-Quran menggambarkan beberapa ciri untuk menjadi panduan sifat dan ciri-ciri jahiliah itu.

Firman Allah yang bermaksud: "(Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam) perasaan sombong angkuh secara jahiliah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu)." (Surah al-Fath, ayat 26)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Sesudah itu, patutkah mereka berkehendakkan lagi kepada hukum jahiliah? Padahal kepada orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah." (Surah al-Maidah, ayat 50)

Beberapa ciri jelas untuk mengkategorikan beberapa golongan dalam erti kata masih jahiliah iaitu:

# Tidak mengikut hidayah Allah.

Alim ulama menyatakan dalam aspek ini, golongan itu terdiri daripada orang yang tidak beriman kepada Allah. Mereka sentiasa menyengutukan Allah dan seterusnya tidak melaksanakan syariat Islam. Keadaan ini seterusnya melahirkan manusia syirik, kufur, kafir serta orang tidak mempunyai pegangan hidup.

# Hidup mengikut hawa nafsu.

Orang hidup di dunia berdasarkan hawa nafsu yang membawa keburukan tanpa kawalan. Golongan itu tidak mempunyai ciri keperibadian Muslim dalam kehidupannya sebagai hamba Allah. Allah sudah memberi peringatan yang tepat bagi golongan ini.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menetapkan hukum seperti diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu." (Surah al-Maidah, ayat 49)

Jika manusia mengikut kehendak nafsu, mereka terdorong melakukan perkara keji. Penilaian yang dibuat adalah berdasarkan akal fikiran semata-mata dan tidak berteraskan kebenaran. Ini sekali gus menjadikan manusia semakin jauh daripada hidayah Allah.

# Adanya golongan pemusnah Islam.

Golongan itu sentiasa berusaha memusnah kesucian agama Islam melalui pelbagai cara sama ada secara fizikal, mental atau spiritual. Musuh Islam sentiasa berusaha menjatuhkan kekuatan umat Islam secara bersepadu. Jika umat Islam tidak mempunyai keimanan dan keyakinan kepada Allah sudah tentu terjerumus ke arah kebinasaan dan Islam musnah.

Justeru, orang Islam yang tidak menyedari diri mereka sudah diperguna dan diperalatkan golongan itu menjadi faktor terhadap keruntuhan Islam seluruhnya. Bagi orang yang jahil sudah tentu mereka tidak dapat membezakan dengan jelas perkara ini.

# Gejala keruntuhan akhlak.

Memang tidak dapat disangkal lagi gejala keruntuhan akhlak dan moral adalah ciri orang jahiliah. Lantaran demikian, beberapa keadaan berlaku di sekeliling kita sedikit sebanyak memberikan `tempias' terhadap perkara itu.

Ternyata sekali kualiti masyarakat semakin merosot. Pelbagai gejala keruntuhan akhlak seperti pergaulan bebas, bohsia, dadah, rempit, zina, bohjan, pengkid, lepak, judi, hiburan yang mengasyikkan, arak, khalwat dan dadah melanda remaja mutakhir ini.

Berdasarkan faktor itu, ternyata ciri jahiliah sedang merebak dan meresap dalam diri umat Islam. Tindakan segera merangkumi aspek kesedaran dan pendidikan perlu dilaksanakan kerana kejahilan akan memberi kesan terhadap manusia.

Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism, krisis berlaku dalam masyarakat berpunca daripada tiga faktor iaitu kekeliruan dalam ilmu pengetahuan, kehilangan adab dan lahirnya pemimpin Islam yang tidak berkelayakan, tidak mempunyai nilai moral, intelektual dan kerohanian yang tinggi.

Oleh demikian, usaha kita untuk menyelesaikan pengaruh jahiliah perlu bersandarkan kepada maruah, sejarah serta identiti tersendiri kerana Al-Maududi menyarankan: "Masalah utama yang perlu diselesaikan ialah kedudukan dan status manusia di alam ini."

Penghapusan jahiliah di kalangan manusia daripada aspek pemikiran, pengalaman dan daya tindak adalah perlu. Ini juga memerlukan satu sistem pendidikan Islamik yang mampu menggarap manusia sebagai insan mempunyai rohani, fikiran, perasaan serta keseimbangan. Kesedaran semula umat Islam mestilah tepat bagi membentuk kesedaran menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan sama ada ekonomi, politik, sosial dan budaya.

Didikan seimbang jamin kekuatan akidah, kemuliaan akhlak anak

ANAK anugerah Allah cukup berharga kepada ibu bapa serta amanah untuk dipelihara dengan sempurna termasuk memastikan keselamatan di dunia dan akhirat. Amanah ini akan ditanya Allah di akhirat nanti, apakah kita sudah menunaikannya dengan sebaiknya ataupun mengkhianatinya.

Islam tampil sebagai model terbaik memberi bimbingan dan panduan kepada manusia untuk melahirkan sebuah keluarga bahagia, dirahmati serta diredai. Ibu bapa sentiasa mengharapkan dikurniakan anak salih yang bakal menjadi penyejuk mata dan penawar hati.

Anak bukan saja dapat membantu ketika di dunia bahkan diharap dapat membantu hingga ke alam akhirat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak salih yang mendoakan kepadanya."

Jika berhasrat dan mengidamkan untuk mendapat zuriat terbaik dan salih, maka ibu bapa mestilah memberikan pendidikan sempurna kepada anak dengan ilmu fardu ain serta fardu kifayah.

Antara perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dalam proses melahirkan zuriat yang salih ialah sentiasa berdoa kepada Allah kerana ia adalah amalan dilakukan nabi dan rasul.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai tuhan kami kurniakanlah kepadaku dari sisimu zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan." (Surah Ali-Imran, ayat 38)

Nabi dan rasul mengutamakan zuriat yang salih dalam kehidupan mereka, walaupun zuriat itu belum dilahirkan lagi, mereka berdoa kepada Allah supaya dikurniakan zuriat keturunan yang baik. Ini memberi gambaran dan contoh kepada manusia untuk diamalkan.

Di samping berdoa, hendaklah kita memberi pelajaran sempurna dari segi fardu ain dan kifayah semoga mereka dapat membangunkan diri, masyarakat serta negara.

Akidah adalah asas yang perlu diberi perhatian dan keutamaan, kerana akidah yang mantap mampu menjamin kebahagiaan serta kecemerlangan hidup manusia di dunia dan akhirat. Anak yang mempunyai pegangan akidah mantap tidak akan mudah menyeleweng atau diselewengkan.

Penekanan daripada sudut ibadah yang sempurna melambangkan sifat kepatuhan dan ketaatan kepada Allah. Selain itu, sebagai tanda penyempurnaan jalinan hubungan dengan Allah sepanjang masa dengan sentiasa menyerahkan segala jiwa dan raganya terhadap setiap suruhan, meninggalkan segala larangannya pada setiap masa.

Melakukan ibadah kepada Allah dapat menyedarkan anak sifat manusia sebagai hamba bersesuaian firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam." (Surah al-An'am, ayat 162)

Memiliki akhlak terpuji lambang kecemerlangan dan keindahan terhadap keperibadian seorang Muslim sejati. Akhlak terpuji menyebabkan seseorang itu dihormati dan akhlak mulia adalah amalan paling berat dalam timbangan di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak ada sesuatu yang lebih berat diatas neraca timbangan seseorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang mulia."

Setiap ibu bapa perlu memastikan setiap makanan yang diberikan kepada anak daripada sumber yang halal serta menjauhi sumber subahat, apatah lagi daripada sumber haram seperti rasuah, riba dan penipuan.

Rezeki halal bukan saja membawa keberkatan, juga dapat melahirkan zuriat yang pintar dan sihat, akhirnya mendorong seseorang ke arah melakukan kebaikan di dunia serta mendapat rahmat Allah di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: "Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang ada di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu." (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Marilah bersama memberikan pendidikan sempurna kepada anak demi melihat generasi terbaik pada masa depan. Korbankan sedikit masa dan harta untuk mereka, berikan kasih sayang serta tunjukkan contoh terbaik.

Didik generasi muda tanggungjawab setiap Muslim

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Semua pihak perlu serius tangani masalah disiplin pelajar, remaja yang semakin parah

STATISTIK Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 2,562 pelajar ditahan pada 2003 dan 1,429 daripadanya terbabit pelbagai kes jenayah. Pada 2005 peratusan kes jenayah pelajar meningkat iaitu 5,543 berbanding 2004, 5,140 kes.

Rekod Kementerian Pelajaran menunjukkan 21,060 pelajar (0.39 peratus) ponteng pada 2007, manakala 24,840 pelajar (0.46 peratus) pada tahun sebelumnya.

Selain ponteng, salah laku pelajar kurang sopan seperti merokok, tidak hormat guru dan pengawas serta berbahasa kesat adalah kesalahan paling banyak berlaku di sekolah membabitkan 23,220 kes (0.43 peratus) tahun lalu dan 19,980 kes (0.37 peratus) pada 2006.

Kesalahan berunsur jenayah seperti mencuri, mencederakan pelajar, bergaduh dan pukul juga antara kes banyak dicatatkan di sekolah iaitu 18,900 (0.35 peratus) tahun lalu dan 18,360 (0.34 peratus) pada 2006. Isu lewat ke sekolah atau tidak pentingkan masa juga agak ketara dengan rekod 18,360 pelajar (0.34 peratus) terbabit tahun lalu dan 15,120 pelajar (0.28 peratus) tahun sebelumnya.

Perlu diinsafi, renteten peristiwa demi peristiwa yang berlaku di kalangan pelajar kini mendukacitakan, sekali gus menjadi isyarat jelas kepada kita indeks keruntuhan akhlak di kalangan pelajar berada pada paras berbahaya.

Apa yang berlaku wajar diberi perhatian serius pelbagai pihak bertanggungjawab daripada ibu bapa, masyarakat dan kerajaan dalam mendepani kemelut yang meruncing dan tidak ketinggalan, umat Islam perlu menginsafi apakah corak pendidikan dicurahkan kepada anak muda masih tidak mencukupi.

Lantaran itu, mereka mudah terjerumus ke kancah yang akhirnya bukan saja memudaratkan diri sendiri, malah mengancam kesejahteraan masyarakat dan kestabilan negara. Umat Islam juga wajib menghisab diri apakah fenomena ini disebabkan mereka melupakan tanggungjawab mendidik generasi muda yang bakal mewarisi takhta kepemimpinan pada masa akan datang.

Oleh itu, tidak wajar kita memandang remeh apa yang berlaku dan seterusnya menganggap ia masih belum serius dan terkawal. Kita mesti berwaspada serta sentiasa beringat sepanjang masa.

Jangan pula apabila masalah sudah menjadi parah, baru kita mengambil tindakan susulan padahal ia sudah terlambat seperti kata orang tua, sudah terhantuk baru tengadah.

Umat Islam tidak usah menuding jari menyalahkan siapa yang bertanggungjawab terhadap krisis akhlak dan disiplin pelajar.

Islam menganjurkan umatnya mendidik anak dengan ilmu dunia dan akhirat. Generasi muda terdidik dengan iman, ilmu dan akhlak adalah generasi yang ampuh dan mampu berdepan cabaran zaman penuh pancaroba.

Namun, tugas mendidik bukan mudah, ia mesti dipikul setiap Muslim dalam masyarakat Islam. Perlu ditegaskan skop didikan bukan sekadar memberi makan pakai secukupnya, malah mencakupi bimbingan ke arah kebaikan dan kebahagiaan sebenar.

Ibu bapa ialah pendidik pertama kepada anak dan tidak dinafikan tanggungjawab mendidik paling besar sebenarnya terhimpun pada bahu mereka untuk mencorakkan jenis pendidikan yang akan mewarnai hati, akhlak, perwatakan serta pemikiran anak.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tiada bayi yang dilahirkan melainkan dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci dan bersih dari dosa). Ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi." (Hadis riwayat Bukhari)

Dapat disimpulkan beratnya tanggungjawab terpaksa dipikul ibu bapa. Sebab itu, sebarang kesilapan dilakukan dalam proses mendidik anak atau mengabaikan tanggungjawab itu akan membawa kemudaratan hidup anak dan mereka.

Walaupun tanggungjawab mendidik terletak di bahu ibu bapa, masyarakat sekeliling juga bertanggungjawab mendidik generasi muda Islam. Oleh itu, jangan sesekali bersikap tidak ambil peduli mengenai hal orang lain.

Masyarakat Islam sebenarnya ialah masyarakat yang bersatu padu, saling bahu-membahudan tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan. Bukankah tugas mendidik juga termasuk dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.

Lantaran itu, generasi muda perlu didekati dan dididik oleh setiap masyarakat melalui pendekatan terbaik seperti firman Allah bermaksud: "Dan serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan peringatan yang baik." (Surah al-Nahl, ayat 125)

Justeru, generasi muda yang hanyut dibawa arus kemungkaran perlu diselamatkan, ditegur dan dipimpin ke arah jalan lurus sesuai sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Barang siapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya), dan jika dia tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)

Kesimpulannya, tanggungjawab mendidik adalah tanggungjawab mulia dan besar ganjarannya di sisi Allah. Justeru, setiap anggota masyarakat dari pemimpin, rakyat dan seterusnya ibu bapa hendaklah memikul tanggungjawab mendidik generasi pewaris mereka nanti.

Sikap saling mengajar kepada perkara bermanfaat dan tegur menegur terhadap perkara yang silap sewajarnya terhias dalam setiap anggota masyarakat. Dengan itu, barulah masyarakat Islam terhindar daripada sebarang kemelut dan krisis moral yang meruncing.

Ulama pewaris nabi kena berani bongkar, tentang penyelewengan

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

PERTEMBUNGAN antara golongan yang hak dan batil adalah episod yang sentiasa berlaku pada setiap generasi umat Islam. Musuh Islam berusaha untuk menjauhkan umat Islam daripada jalan yang lurus dan diredai Allah.

Namun, pada setiap generasi pasti wujud ulama adil yang tampil membela Islam daripada dicemari pemikiran serta ajaran sesat yang cuba diterapkan dalam minda umat Islam.

Sabda Rasulullah SAW: "Ilmu ini akan dibawa oleh mereka yang adil dari setiap generasi. Mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan dusta golongan yang batil (sesat) dan takwilan golongan jahil." (Hadis Hasan)

Hadis ini memperjelaskan tugas utama ulama yang bertanggungjawab sebagai penyimpan amanah warisan Rasulullah SAW untuk mengekalkan ketulenan ajaran Islam daripada apa juga bentuk pencemaran atau penambahan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya ulama ialah pewaris nabi. Nabi tidak mewarisi dinar dan tidak pula dirham, namun (mereka) mewariskan ilmu. Sehingga sesiapa yang sudah mengambilnya (ilmu itu), bererti sudah mengambil bahagian yang sempurna." (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)

Ilmu menjurus daripada al-Quran dan al-Sunnah atau dalam erti kata lain, ilmu berkaitan agama Islam. Muhammad Sirin berkata: "Sesungguhnya ilmu ialah agama. Maka lihatlah daripada siapa kalian mengambil agama kalian."

Ilmu akan dibawa oleh mereka yang adil setiap generasi bermaksud setiap generasi umat Islam ada golongan adil (boleh dipercayai dalam ajaran agama) dan bersungguh-sungguh membawa ajaran Islam seperti yang diwarisi daripada Rasulullah SAW.

Ulama adil ini berusaha melindungi umat Islam daripada penyelewengan dalam agama, amalan syirik, bidaah, khurafat, tahyul dan maksiat. Mereka sentiasa tegar membongkar penyimpangan atau anasir asing yang cuba disebarkan kepada umat Islam.

Adakalanya, ulama ini dihambur dengan pelbagai tohmahan dan cercaan disebabkan ketegasan menjaga ketulenan agama terutama ketika mereka mengkritik amalan yang bukan daripada ajaran Rasulullah tetapi sudah sebati dalam kehidupan masyarakat.

Namun mereka sentiasa bersabar menghadapi segala rintangan sebagai penyambung warisan Nabi SAW dan segala cercaan tidak sedikitpun memudaratkan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sentiasa ada sekelompok di kalangan umatku yang berada di atas kebenaran. Tidak memudaratkan mereka bagi orang yang ingin menjatuhkan mereka sehingga tiba urusan Allah (hari Kiamat)." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Rasulullah SAW memperjelaskan ciri yang perlu ada bagi mereka yang ingin menyambung warisan ajaran Baginda serta mempertahankan ketulenan Islam iaitu:

l Mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas. Segala penyelewengan yang cuba dilakukan kelompok yang melampaui batas dalam urusan agama akan diperangi. Golongan yang menyimpang daripada ajaran Islam sentiasa berusaha menyelewengkan ajaran terkandung dalam al-Quran supaya menyokong doktrin sesat mereka.

l Mereka menafikan (menentang) dakwaan dusta golongan yang sesat. Ulama perlu sentiasa memantau dakwaan dusta golongan sesat yang tersebar di tengah masyarakat bertujuan menjauhkan manusia daripada ajaran Islam sebenarnya yang disampaikan Rasulullah SAW.

Contohnya, dakwaan dusta golongan liberal yang menyatakan ada perkara yang termaktub dalam hukum syarak hanya sesuai untuk dilaksanakan pada zaman silam, bukan untuk zaman moden. Ulama harus bingkas bangun memperjelaskan hikmah di sebalik segala pelaksanaan hukum ditetapkan syarak yang tidak pernah lapuk ditelan zaman.

Masyarakat harus disedarkan segala hukum-hakam dalam al-Quran dan al-Sunnah itu wajib dilaksanakan seperti firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran supaya engkau menghukum antara manusia menurut apa yang Allah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi pengkhianat." (Surah al-Nisa', ayat 105)

l Mereka menafikan (menentang) tafsiran golongan jahil. Golongan ini sering melakukan tafsiran ayat al-Quran mahupun hadis Nabi SAW tanpa dasar atau kaedah ilmu yang jelas lalu mereka memalingkan daripada tafsiran sebenar seperti disampaikan Rasulullah SAW dan generasi salaf.

Contohnya, firman Allah bermaksud: "Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu al-Yakin." (Surah al-Hijr, ayat 99)

Menerusi ayat itu, kelompok batiniah yang jahil meyakini bahawa apabila seseorang sudah mencapai kedudukan dipanggil al-yakin, mereka terlepas daripada bebanan hukum.

Bagi syeikh tarikat, mereka yang diyakini susah mencapai makam itu tidak perlu melakukan ibadah seperti solat, puasa dan zakat serta dibenar melakukan maksiat.

Sedangkan bagi kelompok ahli sunnah wal jamaah, mereka mentafsirkan al-yakin dengan makna kematian. Oleh itu, firman Allah di atas sebenarnya bermaksud kita perlu tetap beribadah kepada Allah sehingga ajal menjemput kita.

Sunday, May 24, 2009

Ulul Albab: Hak sepencarian amalan berzaman Nusantara

Oleh Abdurrahman Haqqi


SUAMI isteri suku Minangkabau turut mengamalkan pemberian harta sepencarian dikenali sebagai harta suarang. - Gambar hiasan


Negara Islam boleh contohi kanun diguna pakai masyarakat Melayu bahagi harta suami isteri

DALAM ruangan pada 24 Disember 2006 di halaman 15, penulis menyebut: "Penulis belum pernah membuat, membaca atau mendengar kajian berkaitan dengan penawaran konsep harta sepencarian di negara Asia Barat dan negara Islam lain. Apakah mereka menerima atau menolak konsep berkenaan?" Pernyataan penulis ini sudah terjawab pada Khamis lalu.

Pada hari itu ketika membaca akhbar harian Emiriah Arab Bersatu (UAE), al-Ittihad, penulis dapati berita seorang pelajar warga negara berkenaan yang berjaya mendapatkan gelaran doktor falsafahnya daripada sebuah universiti Tunisia dengan membuat kajian tesisnya bertajuk harta sepencarian dalam undang-undang perkahwinan Islam dan pentingnya UAE mengamalkannya di mahkamah syariah.

Penulis berada di Abu Dhabi dari Selasa hingga Khamis lalu menghadiri seminar ilmiah tahunan ke-17 Fakulti Undang-Undang Universiti UAE. Tajuk seminar tahun ini adalah Electronic Transactions: E-Government and E-Commerce. Penulis membentangkan kertas kerja berkaitan masukan fikah dalam kesahihan kontrak transaksi elektronik dalam Perintah Transaksi Elektronik Brunei Darussalam 2000. Pembentang dari Malaysia diwakili Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Prof Abu Bakar Munir dan Prof Madya Siti Hajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Dalam berita al-Ittihad itu, dilaporkan pelajar terbabit yang juga polis berpangkat Leftenan Kolonel sudah menyerahkan hasil kajiannya kepada Menteri Dalam Negeri UAE, Syeikh Saif Zaid al-Nahyan untuk diberi perhatian.

Laporan itu menyebutkan kajian harta bersama suami isteri berdasarkan konsep syarikah mudharabah dan ia semesti diterapkan dalam masyarakat UAE yang semakin maju serta bertamadun dengan perempuannya mendapat hak dan kewajipan sejajar termasuk dalam soal perkahwinan.

Di Nusantara, harta sepencarian sudah dikenali sejak lama. Oleh itu, kita mendapati ia wujud di kalangan beberapa masyarakat terkemuka di Nusantara.

Sebagai contoh ia disebut harta carian laki bini oleh masyarakat Melayu Negeri Sembilan; harta pencarian menurut masyarakat Melayu Sarawak; harta pencarian di kalangan masyarakat Islam Melanau Sarawak; harta gono gini dalam masyarakat Jawa; hareuta sihareukat masyarakat Aceh; harta suarang menurut masyarakat Minang; harta guna kaya dalam masyarakat Sunda; harta druwe bagro dalam masyarakat Bali; harta barang perpatangan menurut masyarakat Kalimantan dan harta usaha sama masyarakat Terengganu.

Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh ketika perkahwinan antara suami dan isterinya, hasil sumber atau usaha mereka bersama dan ia mesti mengikut syarat ditentukan hukum syarak.

Ada beberapa pendekatan untuk mengaitkan harta sepencarian dengan undang-undang Islam. Ada yang mengatakan ia adalah sharikah al-abdan; ada yang mengatakan diakui atas dasar siyasah shar'iyyah; ada yang mengatakan atas dasar upah (ujrah), dan ada yang mengatakan atas dasar adat yang baik.

Dengan cara ini penyelesaian terhadap tuntutan kes harta sepencarian dapat dibuat menurut kaedah harta mush, kaedah upah, kaedah pembahagian saham dan kaedah adat.

Kita tidak mempertikaikan pendekatan ini kerana walaupun ulama di rantau ini dalam mencari dasar hukum harta sepencarian berbeza pendapat, dalam kenyataannya ialah harta sepencarian sudah menjadi undang-undang rasmi di rantau ini.

Dari segi undang-undang, di Brunei Darussalam harta sepencarian ditakrif oleh Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999 bab 2 (1), Tafsiran sebagai: "Harta yang diperoleh bersama suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak".

Di Malaysia harta sepencarian ditakrif dalam peruntukan atau seksyen 2 (1) mengenai penafsiran setiap akta atau enakmen negeri. Sebagai contoh, Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan No 303, Tahun 1984, mentakrifkannya: "Harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak".

Namun dalam Enakmen Keluarga Islam Kelantan No 1, 1983 ada kelainan kerana mentakrif harta sepencarian dengan hanya mengatakan:

"Mempunyai erti yang sama dengan apa yang sudah diperuntukkan oleh Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982" yang pada intinya menyamai peruntukan Akta Wilayah Persekutuan. Di Indonesia, harta sepencarian atau harta bersama ditakrifkan oleh Undang-Undang Perkahwinan No 1, 1974 pasal 35 sebagai harta benda yang diperoleh selama perkahwinan."

Jelas kepada kita harta sepencarian di ketiga-tiga negara di atas mempunyai pengertian yang sama iaitu aset yang diperoleh bersama oleh suami isteri secara perseorangan atau bersama sepanjang hubungan perkahwinan mereka wujud selagi tidak ada perjanjian lain yang mengubahnya.

Dalam undang-undang di atas disebutkan mahkamah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah aset yang diperoleh oleh pihak itu ketika perkahwinan dengan usaha bersama dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasilnya dibahagi antara pihak terbabit.

Ketika menjalankan kuasa ini mahkamah perlu mengambil perhatian beberapa perkara termasuk takat sumbangan yang dibuat setiap pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperoleh aset dan hutang oleh satu pihak bagi manfaat bersama serta keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada.

Harta sepencarian tidak merangkumi harta yang diperoleh sebelum perkahwinan atau melalui pembahagian harta pusaka. Pemiliknya berhak secara keseluruhan ke atas harta itu.

Bagaimanapun, jika harta itu dikerjakan bersama suami isteri ketika perkahwinan dan hasilnya meningkatkan nilai harta berkenaan, pihak yang satu lagi boleh menuntut upah jika terjadi perceraian.

Jika isteri menolong mengusahakan tanah, dia berhak kepada setengah daripada harta itu tetapi jika hanya memberikan sumbangan secara tidak langsung dia berhak mendapat satu pertiga.

Umpamanya, tanah suami atau isteri sebelum perkahwinan (harta bawaan) kemudian mereka bercucuk tanam di tanah itu. Harta ini tidak dikira sebagai harta sepencarian, tetapi mana-mana pihak boleh menuntut upah.

Sebaliknya mengenai harta yang dimiliki secara warisan dengan suami tidak mempunyai apa-apa pendapatan melainkan mengusahakan tanah itu bersama isteri dan kemudian daripada hasilnya mereka dapat membeli beberapa bidang tanah atau harta lain, maka harta yang diperoleh ini dikira sebagai harta sepencarian.

Jika saudara kita di Asia Barat mahu mengambil kira pandangan Nusantara dalam hal ini, kemungkinan besar mereka akan sependapat dengan hasil kajian warga UAE itu, seperti UAE juga sudah menerima penggubalan undang-undang perniagaan nombor dua awal dekad ini yang digubal warga negara Malaysia, Prof Abu Bakar, Dekan Fakulti Undang-Undang UM. Wallahualam.

Saturday, May 23, 2009

Manusia tak boleh taksub mendalami alam ghaib

Oleh Hashim bin Ahmad

Allah sengaja merahsiakan supaya insan berfikir tentukan masa depan hidup

MEMANG tidak dapat dinafikan manusia adalah semulia-mulia makhluk dan sebaik-baik kejadian diciptakan Allah kerana dikurniakan akan untuknya menentukan arah hidup, tujuan serta perjuangannya pada hari muka.

Akal membezakan manusia dengan makhluk lain. Dengan akal, manusia dapat meneroka lautan luas dan meredah angkasa raya serta melakukan kerja berat dan bahaya yang tidak dapat dilakukan binatang besar dan terkuat di dunia.

Bagaimanapun, kemampuan dan kebolehan diberikan Allah kepada manusia melalui akalnya adalah terhad. Allah tidak memberitahu manusia mengenai perkara ghaib. Perkara ghaib adalah rahsia Allah.

Tergolong dalam kategori perkara ghaib ialah adanya malaikat, alam akhirat, qada dan qadar Allah. Perkara ini adalah salah satu daripada Rukun Iman yang wajib dipercayai dan diyakini setiap orang mengaku dirinya beragama Islam.

Membicarakan mengenai perkara ghaib, Allah berfirman yang bermaksud: "Katakanlah! Tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib baik di langit atau pun di bumi kecuali Allah." (Surah An-Naml, ayat 65)

Oleh itu masalah syurga, neraka, dosa, pahala, hidup kembali dan semua yang akan berlaku pada masa akan datang adalah perkara ghaib. Mahu tidak mahu manusia terpaksa bergantung kepada Allah untuk mengetahui apa yang dianggap ghaib itu.

Pergantungan kepada Allah satu perkara yang mesti kerana semua perkara diceritakan melalui pesuruh-Nya, Nabi Muhammad SAW. Tidak ada saluran atau cara lain untuk mengetahui perkara ghaib melainkan dengan Allah.

Oleh itu wajar bagi manusia supaya sentiasa berhubung dengan Allah untuk mengetahui masalah hari akhirat. Adalah menyimpang dari akidah dan ajaran Islam jika ada manusia yang mahu mengetahui perkara ghaib, maka ia mencari nujum atau tukang tenung.

Sesungguhnya langkah yang mereka ambil itu jauh menyimpang daripada ajaran Islam. Sedarkah mereka bahawa orang yang mereka temui itu adalah manusia biasa seperti mereka juga. Oleh itu di manakah letak duduknya logik perbuatan mereka itu.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Sesungguhnya minuman keras, judi, menyembah berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan kotor daripada perbuatan syaitan. Maka hendaklah kamu meninggalkannya, semoga kamu menjadi orang yang beruntung." (Surah Al-Maidah, ayat 90)

Perbuatan bertenung nasib perbuatan syirik yang sangat dimurkai Allah. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa datang ke tempat juru ramal, kemudian bertanya sesuatu dan membenarkan apa yang dikatakan, maka Allah tidak menerima sembahyangnya selama 40 hari." (Hadis riwayat Muslim)

Apakah akan terjadi kepada kita pada akhirat kelak jika amalan sembahyang yang kita kerjakan saban hari itu tidak diterima oleh Allah, sedangkan amalan yang mula-mula sekali dihisab di akhirat kelak ialah sembahyang.

Kita juga sudah sedia maklum bahawa tidak ada sesiapa pun yang mengetahui perkara ghaib baik di langit atau di bumi melainkan Allah. Oleh itu, adalah satu pekerjaan yang membazir jika kita masih melakukan perbuatan yang sudah terang dan nyata berada di luar kemampuan kita.

Apakah akan terjadi jika benar-benar ada manusia mengetahui perkara ghaib. Sudah pasti dunia akan menjadi kacau bilau dan dengan sendirinya melumpuhkan kegiatan otak untuk berfikir.

Sesungguhnya pada diri manusia itu ada dua perkara yang dikira penting dan berguna kepadanya. Pertama, otak dan kedua, lidah. Tangan kaki dan anggota badan yang lain pada tubuh seseorang itu hanya dianggap sebagai kuli yang akan membantu otak dan lidah untuk bekerja.

Seseorang menjalankan perniagaan kerana mengharapkan keuntungan. Apakah ia akan meneruskan perniagaannya jika mengetahui perniagaan akan mengalami kerugian. Begitulah halnya dengan seseorang yang memelihara anak angkat. Apakah ia akan memelihara anak itu jika ia tahu bahawa anak angkat itu akan berlaku derhaka dan menconteng arang di mukanya suatu hari nanti?

Oleh itu, untuk mengelak sesuatu kegiatan daripada terhenti di muka bumi ini, Allah sengaja menjadikan manusia tidak mengetahui perkara ghaib. Jika kita hendak mengetahui juga, maka Allah menyuruh kita berusaha dan berikhtiar.

Satu daripada usaha yang boleh dilakukan ialah dengan berdoa kepada Allah dan bersembahyang istikharah. Selepas kita bersembahyang istikharah, memohon limpah perkenan serta taufik dan hidayah Allah di samping bermuzakarah sesama sendiri, maka bolehlah kita cuba-cuba untuk berbuat sesuatu secara agak-agak dan dengan berpandukan fikiran sendiri.

Bersyukurlah kepada Allah jika apa yang kita andaikan itu bertepatan dengan kehendak kita dan janganlah kita kecewa jika apa yang kita harapkan itu tidak kunjung tiba.

Isu agama anak mesti diselesai secara hemah, bijaksana

Oleh Md Asham Ahmad

ANAK masih kecil dan di bawah jagaan orang tua tidak dipertanggungjawabkan dengan apa-apa tanggungjawab. Dia hanya mahu dijaga dan diberikan kasih sayang dan tidak akan faham kenapa direbut serta dipisahkan daripada ibunya.

Anak akan merasai kesedihan dan kedukaan akibat kehilangan kasih sayang ibu. Bagi ibu pula, sudahlah berpisah dengan suami, kini berdepan kemungkinan anaknya pula dirampas. Apakah tanggapan terhadap agama yang ‘membenarkan’ perbuatan sedemikian? Apa pula tanggapan keluarga, sahabat handai dan masyarakat sekeliling terhadap agama itu melihat apa yang berlaku?

Soal ‘mengislamkan’ anak kecil tidak sepatutnya dipermasalahkan dan diperbesar-besarkan sehingga kita lari daripada soal hak penjagaan (hadanah). Tidak kiralah apa yang menjadi punca perceraian, hak seorang ibu terhadap anaknya tidak seharusnya dipersoalkan.

Malangnya masalah itu tidak dilihat sebagai masalah penjagaan tetapi lebih sebagai masalah hak untuk ‘mengislamkan’ anak yang tidak mengerti apa-apa. Ada pihak memberi alasan khuatir nasib dan masa depan anak berkenaan jika tidak dibesarkan secara Islam. Kekhuatiran itu tidak berasas kerana berapa ramai anak dilahir dan dibesarkan ibu bapa Muslim sedangkan keislaman mereka amatlah menyedihkan.

Syarat untuk seseorang itu dipertanggungjawabkan dengan tanggungjawab agama ialah akal. Kanak-kanak masih belum sempurna akalnya, justeru belum dibebankan dengan sebarang tanggungjawab.

Sehubungan itu, hadis yang sering dipetik bahawa setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah dan kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi, hendaklah diperincikan maknanya supaya tidak disalah faham.

Hadis itu hanya menyatakan secara umum apa yang biasanya berlaku, iaitu agama biasanya diwarisi daripada orang tua. Ia tidak bermaksud bahawa setiap anak pasti kekal menganuti agama yang diwarisinya kerana jika begitu, apa gunanya dakwah.

Satu perkara yang menarik untuk diamati mengenai hadis itu ialah bagaimana dalam kes agama Yahudi, Nasrani dan Majusi digunakan perkataan ‘meyahudikan’ (yuhawwidan), ‘menasranikan’ (yunassiran), dan ‘memajusikan’ (yumajjisan) tetapi tiada perkataan bagi ‘mengislamkan’.

Sebabnya ialah kerana tiada sesiapapun pada hakikatnya yang boleh ‘diislamkan’ oleh orang lain.

Islam adalah agama fitrah. Ia agama sejajar dengan bawaan semula jadi setiap insan. Ia tidak boleh dipaksa dari luar sebaliknya datang daripada kehendak dan kesedaran sendiri.

Justeru, perkataan ‘mengislamkan’ pada hakikatnya mengelirukan. Tiada sesiapapun yang boleh ‘diislamkan’ yakni dijadikan Muslim tanpa keinginan dan kerelaan sendiri.

Hadis itu juga memberi maksud agama lain itu bukan agama fitrah, ertinya tidak sejajar dengan bawaan semula jadi manusia. Justeru, hanya diterima secara ikut-ikutan lantaran kejahilan ataupun secara paksaan.

Hanya dalam Islam fitrah itu ditemui. Tidak kiralah dengan agama apa seseorang itu dibesarkan apabila dia mengenali dan memahami risalah Islam pasti ditemui apa yang dicari selama ini. Dengan sebab itulah hanya Islam menuntut ilmu adalah kewajipan agama dan tiada noktahnya.

Hanya dengan ilmu yang cukup risalah Islam dapat disampaikan secara sempurna dan nyata. Sememangnya, yang menjadi tanggungjawab kita hanya menyampaikan, sedangkan petunjuk dan hidayah datang dari Allah.

Jika dipandang dari sudut maslahah, kita sebenarnya sudah melanggar satu prinsip penting bahawa kemudaratan hendaklah dihindar atau dihapuskan. Yang kita lakukan sebaliknya, membuka pintu kemudaratan yang besar apabila mendedahkan agama kepada fitnah gara-gara perbuatan sendiri yang tidak berhemah.

Persoalan ini mesti ditangani dengan penuh kebijaksanaan dengan mengambil kira keadaan semasa masyarakat di negara kita. Jangan kerana keghairahan ingin ‘mengislamkan’ seorang dua kanak-kanak, ribuan orang yang mula berjinak-jinak dengan Islam menjauhkan diri atau ditakut-takutkan oleh pihak tertentu supaya menjauhkan diri.

Jika soal berkaitan perpisahan akibat daripada pertukaran agama itu diurus secara berhemah, contohnya secara rundingan mengenai siapa yang layak dan sepatutnya menjaga serta hak lawatan pihak satu lagi, lebih terbuka, kemungkinan kedua-dua pihak dapat berdamai dan tidak bermusuh demi kebaikan anak mereka. Siapa tahu akan terbuka hati pasangan yang belum memeluk Islam itu untuk turut sama memeluk Islam.

Andai kata si bapa memeluk Islam sementara anak di bawah jagaan ibu, hubungan antara bapa dengan anak tetap tidak akan putus. Bahkan, dia masih wajib menanggung nafkah anaknya. Inilah yang perlu dituntut, ditekankan dan dipertahankan.

Jika tanggungjawab sebagai bapa masih diteruskan walaupun sudah bertukar agama, anak pasti akan dapat melihat sendiri dan membuat perbandingan, akhirnya membuat pilihan agama mana yang mahu dianuti. Tiada gunanya memaksakan sesuatu sebelum masanya.

Petunjuk Allah boleh datang daripada pelbagai jurusan dan cara. Kita bagaimanapun diajar untuk berlembut dan tidak bersikap kasar terhadap orang bukan Muslim kerana itu akan menyebabkan mereka menjauhkan diri.

Kita berada pada suatu zaman di mana fitnah terhadap agama begitu berleluasa. Walaupun kita mungkin tidak boleh menghentikan semua fitnah itu, sekurang-kurangnya kita tidak turut sama menyumbang dalam erti kata menambahkan lagi kegawatan sedia ada.

Solat asas utama hindari remaja terjebak maksiat

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

GEJALA sosial yang tidak pernah surut menggerunkan sesiapa saja dan pelbagai program diatur dalam usaha memastikan generasi muda berada di atas landasan hidup yang benar serta menjadi insan yang berguna.

Sebenarnya apa yang berlaku pada anak bergantung kuat kepada didikan diberikan kedua-dua ibu bapa kerana di rumah bermula titik tolak landskap penghidupan anak untuk menentukan corak dilalui semasa alam remaja serta dewasa.

Justeru, kita perlu melihat panduan Nabi SAW melayari bahtera rumah tangga kerana segala apa yang dilakukan dan berlaku dalam rumah tangga Baginda adalah pedoman terbaik untuk umat Islam melangkaui zaman apa sekalipun.

Jika diteliti secara mendalam perjalanan sejarah rumah tangga Nabi SAW, memang terpapar banyak elemen pendidikan suci dan luhur untuk dijadikan ikutan. Di sini disentuh satu aspek sangat relevan dengan apa terjadi pada anak remaja belia masa kini yang terjebak dengan gejala negatif.

Nabi SAW mendidik isteri dan anak dalam soal solat saja. Solat adalah pembentukan dan pengasuhan hati budi yang mempengaruhi perwatakan anak. Firman Allah yang bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mendirikan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar mengerjakannya.” (Surah Toha, ayat 132)

Kaitan anak remaja dengan solat ialah, solat jika dididik dalam ruang lingkup yang baik dan penuh berhemah ketika anak masih kecil akan menyerap unsur nilai serta ketaatan kepada perintah agama secara berkesan .

Apabila menunaikan solat sudah sebati dan menjadi amalan wajib dalam diri anak, fokus fikir serta kekuatan daya tahan hati mereka sukar untuk ditembusi anasir negatif. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Jelaslah, solat yang diasuh secara rapi dan penuh bermakna pasti akan meninggalkan kesan mendalam kepada perwatakan sahsiah anak. Disebabkan itu anak perlu dididik menunaikan solat sedari kecil lagi.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Suruhlah anak kamu mendirikan solat pada ketika usia mereka tujuh tahun, jika mereka masih belum melaksanakannya pada usia 10 tahun, maka pukullah mereka.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu daud).

Pentingnya ibu bapa membimbing anak supaya menunaikan sembahyang sejak kecil dan pendidikan itu dilakukan secara berperingkat. Tugas itu juga tidak boleh diserahkan kepada pihak lain dengan mengharapkan guru di sekolah untuk mendidik anak menunaikan solat.

Imam Ibnu Taimiyah berkata: “Sesiapa yang memiliki anak, hamba atau anak yatim, sedang dia tidak menyuruh mereka mendirikan solat, maka orang dewasa yang lebih tua akan diseksa oleh Allah jika tidak menyuruh yang lebih muda usianya mendirikan solat. Orang yang lebih dewasa hendaklah dihukum takzir (denda) yang sewajarnya kerana menderhaka perintah Allah dan Rasul.”

Begitulah pendapat Ibnu Taimiyah yang melihat kepentingan ibu bapa mendidik anak supaya menunaikan solat. Apa guna kita memberikan pendidikan akademik meninggi langit tetapi mereka membesar dalam situasi yang tidak kenal perintah agama seperti solat itu.

Biar didikan solat menjadi agenda utama dalam pendidikan anak kerana sebagai pemegang amanah, ibu bapa akan ditanya apakah mereka sudah memenuhi tanggungjawab termasuk mendidik anak supaya tidak tinggalkan kewajipan menunaikan solat.

Suruhan agama mendirikan solat itu mempunyai hikmah bersesuaian meliputi semua masa dan zaman. Ibu bapa sewajarnya mendidik anak menjadi seorang insan yang soleh, taat kepada Allah dengan melaksanakan segala perintahnya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin, setiap pemimpin adalah bertanggungjawab kepada orang yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat An-Nasai)

Anak yang membesar dalam suasana kehidupan beragama akan menjadi insan yang mengawal diri walaupun ketika mereka remaja atau dewasa nanti.

Jiwa dan hati anak akan disaluti iman yang mantap di samping memiliki keindahan akal budi. Secara tidak langsung ibu bapa tentu akan gembira apabila anak mereka hidup dalam persekitaran yang murni.

Sekecil-kecil amalan tetap jadi penyelamat kita di akhirat

Oleh Ibrahim Abdullah

IBNU Qayyim al-Jauziyah menukilkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang panjang mengenai amalan yang boleh menyelamatkan seseorang daripada kesulitan pada akhirat kelak.

Diriwayatkan oleh Abu Musa al-Madini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku semalam bermimpi melihat hal yang sangat menakjubkan. Aku melihat seorang daripada umatku didatangi oleh malaikat untuk mencabut nyawanya, lalu datang amalannya kepadanya dalam berbakti kepada kedua-dua orang tuanya, sehingga amalan itu membuat malaikat kembali semula.

“Aku melihat seseorang yang sudah dipersiapkan kepadanya seksa kubur, lalu datang wuduknya sehingga wuduknya itu menyelamatkannya daripada seksa kubur.

“Aku melihat seseorang yang sudah dikepung banyak syaitan, lalu datang kepadanya zikirnya kepada Allah, sehingga zikirnya itu mengusir syaitan darinya.

“Aku melihat seseorang yang kehausan, sedang tiap kali ia mendekati telaga, ia diusir darinya. Lalu datanglah puasa Ramadan, sehingga puasanya itu memberikan minum kepadanya.

“Aku melihat seseorang di mana nabi masing-masing duduk dalam majlis halaqah, ia diusir dan dilarang untuk bergabung di dalamnya. Lalu datanglah mandinya dari hadas besar, sehingga mandinya itu membimbing ia dengan memegang tangannya seraya mendudukkannya di sampingku.

“Aku melihat seseorang yang di depannya gelap sekali, begitu pula di belakangnya, atasnya dan bawahnya, sehingga ia kebingungan mencari arah jalannya. Datanglah kepadanya haji dan umrahnya, lalu keduanya mengeluarkan ia daripada kegelapan dan memasukkannya ke tempat yang terang sekali.

“Aku melihat seseorang yang melindungi mukanya dengan tangannya daripada panasnya gejolok api, lalu datang sedekahnya kepadanya dengan menutupi gejolakan api dari mukanya seraya membimbingnya ke hadapan Allah.

“Aku melihat seseorang yang mengajak bercakap orang Mukmin, tetapi mereka mendiamkan diri. Datanglah silaturahim seraya berkata: “Wahai orang beriman, sesungguhnya ia adalah orang yang melakukan silaturahim, maka ajaklah dia bercakap.”

“Maka orang itu diajak bercakap oleh semua orang Mukmin dan mereka menghulurkan tangan untuk berjabat dengannya, sementara ia pun menghulurkan tangannya untuk berjabat dengan mereka.

“Aku melihat seseorang yang sudah dicengkam malaikat Zabaniyah, lalu datanglah kepadanya amal makruf dan nahi munkarnya, hingga amalannya itu menyelamatkan ia daripada seksa Zabaniyah dan memasukkannya ke dalam lingkungan malaikat rahmat.

“Aku melihat seseorang yang jalannya merangkak dengan kedua-dua lututnya dan di depannya ada tabir yang memisahkan ia dengan Allah, lalu datanglah akhlak baiknya seraya memegang tangan dan membimbingnya ke hadrat Allah.

“Aku melihat seseorang yang catatan amalannya datang dari sebelah kirinya, lalu datanglah takwanya kepada Allah dan mengambil buku itu dengan meletakkannya di tangan kanannya.

“Aku melihat orang yang timbangan amalannya sangat ringan, lalu datang anaknya yang meninggal dunia waktu kecil, sehingga mereka memberatkan timbangan amalan baiknya itu.

“Aku melihat seseorang yang berdiri di tebing Jahanam, lalu datanglah harapannya kepada Allah, hingga harapannya itu menyelamatkannya dari Jahanam dan ia berjalan menuju syurga dengan selamat.

“Aku melihat seseorang yang terpelanting di atas neraka, lalu datanglah air matanya kerana takut kepada Allah hingga air mata itu menyelamatkannya dari jatuh ke neraka.

“Aku melihat seseorang yang sedang berada di atas jambatan (sirat) dengan tubuh gementar, lalu datang husnuzannya (sangka baik) pada Allah, hingga sikapnya itu menjadikan dia tenang dan ia berjalan dengan lancar.

“Aku melihat seseorang yang jatuh bangun di atas jambatan, kadang-kadang ia merangkak, kadang-kadang pula ia bergantung, lalu datanglah solatnya menegakkan kedua kakinya dan menyelamatkannya hingga ia mampu menyeberangi jambatan sampai ke pintu syurga.

“Akupun melihat pula seseorang yang sudah sampai ke pintu syurga, semua pintu ditutup baginya, lalu datanglah syahadahnya, sehingga dibukakan pintu syurga dan ia pun boleh masuk ke dalamnya.”

Itulah gambaran amalan yang dengan izin Allah boleh menyelamatkan umat Muhammad SAW yang benar-benar melaksanakan perintah Allah dan sunnah Rasulullah SAW dengan hati ikhlas.