Saturday, March 6, 2010

Jahil pengetahuan agama rencat perpaduan kaum

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

Pertelingkahan dalam masyarakat boleh dielak jika saling menghormati anutan bangsa lain

TINDAKAN pihak tertentu membakar beberapa gereja di negara ini diikuti insiden empat kepala babi bersama wang tunai di letakkan di pekarangan dua masjid di Petaling Jaya, yang masing-masing menjadi rumah ibadat penganut Kristian dan Islam, awal Januari lalu boleh disifatkan sebagai jahil terhadap pengetahuan agama.

Keharmonian, keamanan dan perpaduan rakyat pelbagai kaum, keturunan, etnik dan agama di negara ini dilihat begitu unik dan amat dikagumi. Namun, beberapa insiden seumpama itu sedikit sebanyak menggugat ketenteraman.

Kejahilan atau fanatik terhadap agama masing-masing secara melulu boleh mendorong dan mencetuskan perkara tidak diingini sehingga merencatkan perpaduan negara. Pada asasnya, semua jenis agama sama ada Islam, Kristian, Hindu atau Buddha menggalakkan pengikutnya melakukan kebaikan dan mengutuk perbuatan buruk.

Pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fadlan Mohd Othman, berpendapat Islam memang menggalakkan umatnya banyak membaca untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan mengelak seseorang itu terus jahil agama.

Dalam senario di Malaysia, kejahilan terhadap agama juga boleh mendorong seseorang melakukan perkara yang melangkaui batasan termasuk tidak menghormati agama lain.

Malah, Islam tidak pernah menyekat umatnya untuk bercampur atau bergaul dengan rakan lain yang berlainan agama sebaliknya yang lebih penting adalah menghormati dan memahami agama mereka supaya wujud kesejahteraan dalam masyarakat.

"Allah suka kepada kelembutan dan mengelakkan permusuhan. Kita digalakkan menjadi penyelamat serta berlaku adil untuk kepentingan hidup bermasyarakat. Kalau ada permusuhan antara Islam dan bukan Islam ia boleh diselesaikan dengan baik menerusi perbincangan," katanya pada majlis diskusi ilmiah bertajuk 'Jahil Agama Rencat Perpaduan Negara' di Universiti Malaya, baru-baru ini.

Diskusi ilmiah itu antara lain bertujuan mengenal pasti peranan dimainkan oleh agama dan memastikan perpaduan di antara kaum terus dikekalkan.

Namun, Fadlan berkata, dalam aspek global, negara yang memusuhi Islam seperti Yahudi tidak seharusnya diberi tempat untuk mengelakkan perpecahan yang semakin membarah dalam masyarakat Islam sendiri.

Sementara itu, Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 1, Bandar Kinrara, Dharma Lingam, berkata dalam Mazhab Saiva (Tamil) percaya bahawa pencapaian tertinggi adalah mendampingkan diri dengan tuhan yang memiliki nilai kasih sayang.

Sekiranya pencapaian tertinggi itu dapat dilakukan, maka sifat saling menyayangi mampu menjadi benteng kepada perpaduan tanpa wujudnya diskriminasi agama dalam apa juga bentuk. Bagaimanapun, kecetekan terhadap agama masing-masing menyebabkan wujud diskriminasi, selain mendatangkan rasa kurang senang dengan penganut lain dan menimbulkan ketegangan.

"Diskriminasi dan salah faham itu adalah disebabkan oleh agama, bangsa, bahasa, budaya, status, pendidikan, paras rupa dan warna kulit. Oleh itu, kita juga digalakkan faham apa yang terkandung dalam agama lain. Oleh itu, jika kita lihat masjid, kuil atau gereja masing-masing tahu menghormati apa fungsi rumah ibadat itu.

"Kalau kita tahu agama, tidak mungkin, ada orang Islam, Hindu, Kristian atau Buddha memaling muka masing-masing apabila melihat rumah ibadat yang bukan dianuti mereka. Sebenarnya arah dan destinasi setiap agama sama tetapi hanya cara saja berbeza," katanya.

Beliau berkata, seruan agama meminta umatnya memberi makanan, pakaian dan bantuan yang diperlukan kepada orang yang memerlukan tanpa mengira kaum budaya dan agama boleh mewujudkan perpaduan.

Seruan agama menyuruh mengikiskan sifat seperti ego, sombong, tamak, bernafsu tinggi, perasaan mudah marah, cemburu, tidak bersyukur dan prejudis.

"Oleh itu, kita dapati dengan memiliki agama yang sempurna ia mampu memperkukuhkan asas perpaduan negara khususnya yang dihuni oleh pelbagai anutan agama dan bangsa," katanya.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Kinrara Metta Buddhist serta Kumpulan Bodhi Buddish dan Rangkaian Perniagaan Buddha, Tan Huat Chye, berpendapat amalan beragama menuntut kehidupan yang sejahtera, keamanan serta mengelakkan permusuhan atau peperangan.

Malangnya, apa yang berlaku sekarang permusuhan masih bertapak dalam hati setiap penganut berlainan agama disebabkan kejahilan mereka terhadap agama yang dianuti.

"Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan dianggap bumi rahmat, sekiranya semua manusia memegang label kepada agama masing-masing yang mengutamakan persefahaman dan saling menghormati," katanya.

Felo Evengentical Siswazah dan Pelajar, Universiti Malaya, Prof Dr Lee Chai Peng, yang mewakili penganut Kristian, pula turut memberi pandangan sama dengan menegaskan agama adalah aspek penting kerana ia mempunyai peranan penting dalam memandu manusia ke arah kebaikan, keamanan dan kesejahteraan.

Seseorang itu tidak kira apa saja agama yang mereka anuti, perlu belajar agama masing-masing dengan mendalam supaya dapat memahami secara keseluruhan.

"Perselisihan faham antara kaum yang berlainan agama mengenai sesuatu isu berkaitan agama boleh diatasi jika mereka saling memahami kehendak dan kepercayaan agama masing-masing kerana semua agama mempunyai persepsi sama dalam aspek berbuat kebaikan.

"Kita juga boleh berbincang untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengelak kekecohan dan permusuhan berpanjangan," katanya.

Malah, seseorang itu digalakkan belajar memahami agama lain dan bukannya hanya bergantung kepada punca sekunder saja kerana ia lazimnya kurang tepat sehingga boleh mewujudkan ketegangan dan salah faham.

Khalwat untuk beribadah diharuskan

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Mana-mana lelaki tidak akan berdua-duaan (berkhalwat) dengan perempuan, melainkan pasti syaitan akan menjadi yang ketiga." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Wanita dilarang berkhalwat dengan lelaki bukan muhrimnya bukan saja di dalam rumah tetapi juga di tempat sunyi tanpa dihadiri atau dilihat orang ramai seperti di taman, tasik dan pejabat.

Khalwat yang diharuskan Islam dalam erti kata 'mengasingkan diri daripada orang ramai untuk tujuan beribadah kepada Allah' seperti berlaku kepada Rasulullah SAW yang berkhalwat di Gua Hira'. Baginda menjauhkan diri daripada masyarakat jahiliah untuk beribadah kepada Allah.

Syaitan adalah makhluk yang bijak. Selagi ada kesempatan terluang, ia akan menggoda manusia untuk melakukan perbuatan terkutuk.

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berwaspada. Jangan sekali-kali menghampiri pintu yang menghumban ke neraka seperti melakukan khalwat yang akhirnya menjurus kepada zina.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Friday, March 5, 2010

Pertumbuhan ekonomi, kebajikan perlu seiring

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

Strategi berasas falsafah tauhid perlu jadi dasar pembangunan rakyat

SUASANA ekonomi di serata dunia walaupun angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sedikit memberangsangkan tetapi hakikatnya membimbangkan pada masa hadapan. Angka pengangguran berada pada tahap tinggi. Kos sara hidup terus meningkat. Hutang makin membesar dan kadar kemiskinan masih di tahap tinggi di serata dunia.

Pertumbuhan KDNK tidak mencerminkan kebajikan masyarakat turut meningkat. Bahkan angka KDNK yang menjadi penanda aras pertumbuhan ekonomi sekarang mula dipersoalkan terhadap kesan positif kepada kebajikan masyarakat.

Persoalan yang perlu diberi perhatian ialah adakah pengukuran pertumbuhan ekonomi sahaja mampu menyelesaikan keperluan guna tenaga, penurunan kadar kemiskinan dan penurunan kos sara hidup.

Dengan erti kata lain, pertumbuhan ekonomi dalam perjalanan sistem ekonomi semasa tidak semestinya menjamin kebajikan hidup rakyat akan berjaya dicapai, hatta menjana kepada kemajuan ekonomi seterusnya.

Jika sesebuah masyarakat mahu mencapai kemajuan ekonomi dan kebajikannya maka strategi penyusunan kehidupan yang menyeluruh perlu diberi perhatian pemerintah. Ini bermakna, tumpuan kepada perancangan membangun negara hendaklah secara menyeluruh dan perancangan kemajuan ekonomi hendaklah menjadi sebahagian daripada dasar pembangunan masyarakat.

Pendekatan ini memerlukan sesebuah negara menggubal hanya satu rancangan pembangunan negara meliputi semua aspek termasuk bidang kerohanian, pendidikan, kebudayaan, ekonomi, institusi keluarga, politik dan sebagainya.

Melalui pendekatan itu, semua aspek yang menghasil kepada kebajikan rakyat akan dirancang dan dilaksana secara komprehensif serta bersepadu. Maknanya, pendekatan itu mampu menghala masyarakat membina sebuah peradaban sempurna.

Dengan mengambil pendekatan syumul dan komprehensif dalam menggubal dasar pembangunan negara, semua aspek yang dikenal pasti akan menjadi pengukur kepada kemajuan sesebuah masyarakat. Pendekatan itu akan mengukur tahap kemajuan negara secara menyeluruh dengan cara sepadu. Ukuran kepada pencapaian semua perkara itu akan memberi gambaran lebih tepat kepada kedudukan kebajikan masyarakat yang sebenar. Matlamat akhir perancangan pembangunan negara yang menyeluruh hendaklah mampu menjana kesejahteraan rakyat.

Pendekatan bersifat syumul ini mengambil langkah untuk membangun peradaban masyarakat yang utuh. Peradaban atau cara hidup yang serba maju ini jika dijadikan pendekatan kepada usaha untuk membangunkan negara, hasilnya sudah pasti menjamin kepada pencapaian kesejahteraan rakyat yang sebenar.

Krisis dan kemelut ekonomi dihadapi masyarakat dunia kini adalah natijah daripada pendekatan negara memberi tumpuan kepada usaha mencapai pertumbuhan ekonomi.

Tidak menghairankan jika strategi ini menjadi panduan kebanyakan negara semasa kerana mereka yakin dengan kapitalisme. Walaupun kerenah kemanusiaan hasil daripada pelaksanaan sistem ini kepada masyarakat sangat teruk, manusia seolah-olah tidak mampu merujuk kepada pendekatan alternatif. Apa yang disarankan masih dalam gagasan ideologi itu.

Kapitalisme dibina atas falsafah kebendaan, individualisme dan naturalisme. Ia bersifat kebendaan kerana pada awal lagi manusia ditakrif sebagai makhluk kebendaan (economic man). Matlamat hidup manusia ialah memuaskan nafsu jasadnya (hedonisme). Kejayaan hidup manusia hanya di dunia melalui pengumpulan begitu banyak harta bagi memenuhi hedonisme.

Cara harta itu dikumpul bagaimanapun tidak menjadi perhatian. Hasilnya, banyak kerenah ketidakadilan berlaku dalam masyarakat pada hari ini.

Dalam menyusun perjalanan sistem ekonomi, sistem kapitalisme mengemukakan pendekatan laisse faire (kebebasan mutlak hendaklah diberi kepada individu) melalui institusi pasar. Melalui institusi pasar semua aktiviti ekonomi akan dijalankan.

Di samping itu, peranan sektor awam hendaklah diminimumkan. Jika sektor awam turut aktif dalam penyusunan ekonomi negara, sektor swasta (sektor individu) akan terhakis. Asas falsafah kepada penyusunan sistem ekonomi kapitalisme pada masa kini sudah tidak menepati ideologi dan pendekatan asal kapitalisme.

Pembabitan sektor awam sudah menjadi terlalu besar untuk menghadapi kekangan ekonomi yang dihadapi masyarakat pada hari ini. Kemelut ekonomi terus berlaku sehingga menyebabkan peradaban manusia semakin terhakis.

Dunia kini dalam keadaan sangat membimbangkan. Keadaan alam sekitar membuktikan kerakusan tingkah laku manusia membolot hasil bumi dalam proses mengumpul kekayaan.

Apa yang turut membimbangkan institusi keluargaan kini bertambah rapuh. Akibat masa yang lebih banyak terpaksa diperuntukkan sebahagian daripada masyarakat pada hari ini untuk menampung keperluan hidup akibat kos sara hidup yang tinggi sehinggakan masa untuk memenuhi keperluan keluarga terpaksa diabaikan.

Dalam suasana sedemikian, manusia terus gagal mencari pendekatan baru kembali kepada kesejahteraan. Pendekatan baru penyusunan ekonomi bernegara dan perhubungan ekonomi di peringkat antarabangsa masih kekal dalam kerangka kapitalisme.

Sudah tiba masa manusia kembali kepada agama. Malangnya pendekatan baru yang berunsurkan agama masih tidak dapat dikemukakan di luar kerangka kapitalisme.

Bahkan apa yang dianggap pendekatan menepati kehendak agama tidak bersifat syumul dan komprehensif. Ia hanya disandar kepada persoalan teknikal dan mekanikal hukum. Bukan semangat hukum untuk menjayakan matlamat syariah.

Justeru, pendekatan agama khususnya Islam mesti diasaskan kepada falsafah tauhid. Semangat keadilan dan memupuk muafakat di kalangan umat manusia dalam menyusun dan memajukan peradaban manusia, termasuk aspek ekonomi perlu menjadi gagasan model baru dasar pembangunan sesebuah negara.

Hanya melalui pendekatan ini kemelut ekonomi semasa dapat ditangani dengan memberi penyelesaian kepada akar umbi permasalahan itu. Jika kita hanya cuba mencari penyelesaian ekonomi melalui dasar fiskal dan kewangan smata-mata, permasalahan ekonomi seperti kemiskinan, pengangguran, kos sara hidup yang tinggi serta kebajikan hidup pada keseluruhannya tetap tidak berjaya dicapai.

Negara dan dunia pada masa ini memerlukan model pembangunan syumul yang menepati keperluan bagi membina semula tamadun manusia.

Ingatan bagi pelupa: Sedekah erat persaudaraan Islam

RASULULLAH bersabda maksudnya: "Sesiapa mempunyai kenderaan melebihi daripada keperluannya sendiri hendaklah bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai kenderaan dan sesiapa mempunyai lebihan bekalan makanan hendaklah ia bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan. Selanjutnya Rasulullah menyebut bermacam-macam lagi harta benda yang baginda teringat hingga kami lihat bahawasanya tidak ada seorang pun daripada kami yang benar-benar mempunyai kelebihan." (Hadis riwayat Muslim)

Islam menggalakkan umatnya memberi pertolongan dan bantuan kepada orang yang susah serta memerlukan bantuan sama ada daripada segi harta benda, kewangan, makanan dan sebagainya.

Hikmah bersedekah ialah untuk mengelakkan daripada mementingkan diri sendiri sebaliknya mengeratkan persaudaraan dalam Islam.

Bagi golongan hartawan yang mempunyai harta kekayaan juga digalakkan bersedekah dengan memberi bantuan makanan kepada golongan yang lebih memerlukan seperti bantuan basikal untuk kanak-kanak ke sekolah atau apa-apa sumbangan diperlukan bagi mereka yang memerlukan.

Keganasan rumah tangga virus masyarakat

Oleh Ibrahim Abdullah

Suami isteri perlu berpandu hukum agama elak konflik dalam perkahwinan

RUMAH tangga tempat berteduh dan menjanjikan sejuta kedamaian dan kasih sayang harmonis dalam institusi kekeluargaan. Islam sebagai ad-Din yang sempurna mengatur dan mengurus bagaimana mewujudkan kebahagiaan, selain menciptakan rumah tangga.

Hadis Nabi Muhammad bermaksud: "Baiti Jannati" (Rumahku, Syurgaku). Rumah tangga yang ditemukan kedamaian, kasih sayang (mawwadah), kebahagiaan, dan rahmat Allah diibaratkan seperti syurga dunia.

Imam Hasan al-Banna mengatakan dalam wasiatnya: "Jangan tinggikan suaramu melebihi keperluan pendengar, kerana hal demikian adalah perbuatan bodoh dan mengganggu orang lain." Suara tinggi atau keras dalam percakapan, berbantah-bantahan, ketawa terbahak-bahak atau suara menengking yang kuat adalah hal yang sensitif. Ia mendorong tercetus perselisihan dan pergaduhan dalam rumah tangga. Ia bukan etika dalam Islam.

Dalam rumah tangga Islam, tentu penghuninya selalu berusaha menerapkan etika Islam dalam bermuamalah dengan sesama anggota dan jiran tetangganya, menjaga kesopanan dalam bercakap, menghormati hak orang lain dan menjaga rahsia dalam rumah tangganya.

Kebahagiaan hidup berkeluarga hanya dapat dicapai jika suami isteri melaksanakan tanggungjawab diamanahkan. Suami sebagai ketua keluarga bertanggungjawab memimpin isteri dan orang dalam tanggungannya mentaati Allah serta Rasul-Nya selain melaksanakan tuntutan ibadat dan memelihara daripada perbuatan maksiat dan dosa. Suami wajib memberi nafkah secukupnya dengan kadar termampu seperti tempat tinggal, makan minum, pakaian dan kemudahan-kemudahan lain yang diperlukan keluarganya.

Isteri pula wajib mentaati suami (selagi tidak menyuruh yang haram) serta berkhidmat dan memelihara kebajikan rumah tangga dan anak. Rasulullah bersabda bermaksud: "Seorang lelaki (suami) adalah pemimpin dalam urusan keluarganya dan dia diminta bertanggungjawab dalam kepimpinannya. Seorang isteri adalah pemimpin dalam mengurus rumah tangga suaminya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepimpinannya." (Hadis riwayat Bukhari)

Jelas, keluarga yang tidak berasaskan pendidikan dan ajaran Islam boleh mengundang pelbagai masalah, konflik, tiada persefahaman, penderaan dan pergaduhan. Akhirnya, berlaku keganasan dalam rumah tangga bahkan terjadi pembunuhan yang menyayat hati.

Keganasan rumah tangga adalah perbuatan kejam terhadap ahlinya. Kes itu timbul dengan pelbagai sebab antara lain kerana tidak memberi nafkah kewangan dan keperluan asasi lainnya. Juga, keganasan emosi untuk memalukan atau membalas dendam terhadap seseorang.

Keganasan fizikal seperti menyebabkan kecederaan dan kematian, meninggalkan mangsa di tempat berbahaya, memukul dan sebagainya, menyekat mereka berjumpa keluarga dan saudara, terbabit orang luar bersubahat untuk mencederakan mangsa dan lain-lain.

Daripada kes dilaporkan menunjukkan kadar peningkatan dari tahun ke setahun terhadap penderaan kanak-kanak dan isteri. Keganasan rumah tangga berlaku berikutan dipengaruhi pelbagai faktor antaranya pengalaman pelaku sendiri, keluarga, rakan, masyarakat dan keadaan persekitaran.

Keganasan berlaku akibat tekanan emosi dan perasaan marah dan tidak puas hati terhadap isteri dan anak atau ahli keluarga lain. Sesetengah kes bagaimanapun disembunyikan daripada pengetahuan umum kerana takut dan malu. Jiran pula bersikap acuh tak acuh kerana menyifatkan itu masalah peribadi dan keluarga terbabit dan tiada kaitan dengan mereka.

Semua pihak perlu memainkan peranan mencegah keganasan berterusan dalam rumah tangga supaya tidak bertambah teruk dan merebak menjadi virus yang mengancam masyarakat. Pihak terbabit seperti kementerian, badan berkanun, badan bukan kerajaan dan masyarakat juga perlu bekerjasama menangani masalah itu.

Pada masa sama, orang yang melakukan keganasan hendaklah bertaubat dan memperbaiki diri sendiri kerana pengabaian tanggungjawab kepada keluarga dan rumah tangga adalah penganiayaan pada dirinya sendiri selain dosanya besar dan berat. Setiap perkahwinan perlu diikat dengan perasaan kasih sayang, hormat menghormati, bantu membantu, sikap tolak ansur dan tanggungjawab dalam semua perkara.

Suami sebagai pemimpin, pelindung dan tempat bergantung perlu menjalankan tanggungjawab melindungi anak, isteri dan lain-lain. Rasulullah adalah contoh terbaik sebagai seorang suami bertanggungjawab mengasihi dan menyayangi ahli keluarganya.

Soal Jawab Agama: Anak luar nikah dilayan sama rata

Bersama Ustaz Jamanuddin Jusoh

Soalan:

BERKENAAN kedudukan anak luar nikah di sisi Allah jika dia beriman, apakah dia berhak ditempatkan di syurga? Adakah benar sabda Nabi, anak luar nikah dan keturunannya tidak akan mencium bau syurga? Harap dapat sedikit penjelasan.

Fatimah Abd Manaf,
Pahang.

Jawapan:

ISLAM menganjurkan hubungan halal melalui pernikahan bagi meneruskan kesinambungan umat dan keturunan dan mengharamkan zina kerana membantutkan proses itu.

Persoalan saudari berkenaan anak luar nikah, dia tetap menjadi ahli syurga dan akan dilayan dengan sebaiknya oleh Allah seperti orang lain jika dia beriman dan beramal soleh.

Syeikh Ismail Muhammad A'jluni di dalam kitabnya Kashful Khafa, juz kedua halaman 372: “Tidak akan masuk syurga anak yang dilahirkan secara haram” diriwayatkan oleh Abu Naim dari Abu Hurairah RA. Imam Nasai juga meriwayatkan hadis ini dengan makna sama.

Namun demikian, Imam Daru Qutni menyebut sanad (silsilah perjalanan) hadis ini tidak sampai kepada sahabat Nabi iaitu Abu Hurairah RA.

Pengarang kitab Maqasid mengatakan hadis ini diragukan. Ulama hadis iaitu Abu Tahir dan Ibnu Jauzi mengatakan hadis ini maudu' (direka-reka). Pengarang kitab Safarus Saa'dah mengatakan hadis ini batil.

Al-hafiz Ibnu Hajar menyebut hadis ini bermaksud anak itu tidak akan masuk syurga jika sekiranya dia masih mengamalkan perbuatan terkutuk seperti yang dilakukan ibu bapanya.

Kebanyakan ulama bersepakat bahawa hadis ini tidak ditafsirkan mengikut zahir

lafaznya dan ia mestilah ditakwilkan maknanya (mengikut andaian lafaznya). Begitu juga maksud lafaz ‘tidak akan masuk syurga’ bermakna dia tidak masuk syurga bersama golongan yang awal kerana orang yang melakukan maksiat akan diazab terlebih dulu dalam jangka masa yang ditentukan Allah dan tidak kekal di neraka.

Jika dia bertaubat maka dia akan terlepas melainkan jika dia menghalalkan hukum zina itu sendiri lalu menjadi murtad dan kekal di neraka.

Bagi menjelaskan maksud hadis di atas Abu Daud di dalam sunannya meriwayatkan sebuah hadis Nabi Muhamad dari Abu Hurairah RA bermaksud: “Anak nia (luar nikah) adalah terkutuk jika dia terus mengamalkan amalan kedua orang tuanya.” (al-hadis)

Thursday, March 4, 2010

Berita palsu gugat keharmonian

Oleh Mohd Feruz Abu Bakar


SULTAN Azlan Shah ketika melawat Masjid Ihsaniah Iskandariah, di Padang Rengas berikutan kesilapan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai masjid ini yang kononnya terbiar dan tidak dimanfaatkan, kelmarin. - Foto Bernama


Sultan Azlan Shah murka laporan media kerana cuba cetus isu, provokasi


KESILAPAN keterangan gambar mengenai Masjid Lama Kuala Dal yang mungkin dianggap kecil sesetengah pihak, diambil serius oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hingga baginda mencemar duli melawat masjid itu di Kuala Kangsar, Isnin lalu.

Sultan Azlan Shah murka dengan laporan akhbar berbahasa Inggeris Isnin lalu kerana masjid bersejarah itu yang dikatakan terbiar reput sebenarnya sudah siap menjalani kerja pemuliharaan. Baginda bertitah, laporan itu boleh menimbulkan persepsi salah kepada masyarakat.

Tindakan baginda mempunyai asas kerana Islam adalah agama yang diberikan perlindungan undang-undang oleh Perlembagaan Negara. Islam diletakkan terus di bawah naungan kuasa Raja-Raja, manakala agama lain dibenar diamalkan dalam suasana aman tetapi tidak dibenarkan disebar atau diajar kepada umat Islam.

"Rakyat jangan sesekali cuba mencetuskan sesuatu isu dan provokasi yang boleh menggugat suasana harmoni yang sudah sedia terjalin antara pelbagai kaum dan agama. Perbuatan bersifat provokasi berpotensi menjejaskan perpaduan dan ketenteraman awam," titah baginda.

Baginda merujuk kepada Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan agama bagi negara ini adalah Islam tetapi Perkara 11 menegaskan setiap orang berhak mengamalkan agama tetapi tidak boleh menyebarkan fahamannya kepada penganut Islam.

Perkara 38 pula memberi kuasa kepada Majlis Raja-Raja mengenai hal agama. Kedudukan ini wajib difahami dan dihormati semua pihak. Perlembagaan Negara dirangka berasaskan asal-usul sejarah negara ini dan sudah diterima semua pihak yang mewakili pelbagai kaum dan agama.

Kegagalan menghormati asas persetujuan ini, boleh menimbulkan suasana tidak harmoni yang berkemungkinan mencetuskan persengketaan.

Ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Perak 1431 Hijrah, di Taiping, baru-baru ini, Sultan Azlan bertitah, Islam adalah agama yang paling benar di sisi Allah berasaskan firman yang terkandung dalam ayat 123 Surah Al-Baqarah yang bermaksud:

"Dan demikian itu kami jadikan kamu sekalian golongan umat pilihan, supaya menjadi saksi dan teladan bagi umat manusia seluruhnya; dan supaya Rasulullah juga menjadi saksi dan teladan bagi kamu sekalian."

Demikian janji Allah kepada umat Islam sebagai umat pilihan. Janji itu menuntut supaya umat Islam memenuhi bahagian mereka kepada Allah, supaya mereka dapat menjadi saksi dan teladan bagi umat manusia seluruhnya.

Baginda sudah menunaikan segala janji yang perlu diperlihatkan oleh seseorang hamba kepada Penciptanya, merangkumi aspek ibadat, amanah, pengorbanan, kesabaran, keimanan, kepemimpinan dan pelbagai aspek kehidupan termasuk dalam urusan berkeluarga, berumahtangga dan berjiran-tetangga.

Baginda mengamalkan contoh hidup mulia hingga perkataan dan tindakan baginda diterima sebagai sunnah yang dijadikan ikutan. Baginda berjaya memperlihat sebenar-benar teladan untuk disaksikan ummah.

Sultan Azlan bertitah, iman berperanan utama dalam membina kekuatan dan kemuliaan insan. Iman yang teguh akan dapat dibina jika umat Islam berpegang kukuh kepada ajaran Islam seperti dibuktikan oleh para sahabat dan umat Islam di era kegemilangan Islam.

"Peradaban dan tamadun Islam memuncak ketika bilangan umat Islam masih kecil. Namun, bilangan minoriti itu dapat mengatasi bilangan majoriti kerana umat Islam mengamalkan disiplin yang tinggi, memiliki fokus serta mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap Allah," titahnya.

Elemen disiplin, fokus dan keyakinan adalah penting. Umat yang mengamalkan disiplin dalam hidup akan menghargai waktu, memenuhi janji, bersifat amanah, ikhlas dan jujur. Kerja yang diberikan akan disempurnakan dalam waktu yang ditentukan. Bila berjanji, janji dikota, bila berhutang, hutang dibayar selain tidak mengamalkan amalan mungkar.

Sultan Azlan bertitah, umat Islam di negara ini wajib merenung dan bertanya, memeriksa dan menyelidik kekuatan diri sendiri jika mahu berdaya saing.

"Dibimbangi jika umat Islam yang terlalu mabuk dilambung gelombang politik kelompok, nasib masa depan umat Islam akan tergugat. Akibatnya, umat Islam akan kehilangan apa yang sudah menjadi hak kepada agama dan bangsanya di bumi ini," titahnya.

Tanggungjawab yang diberi dilaksanakan dengan penuh amanah lagi ikhlas dalam semangat menunaikan fardu kifayah, semata-mata atas nama Allah Yang Maha Esa. Mereka tidak berpura-pura, tidak bersifat lain di depan, lain di belakang. Mereka mempunyai kekuatan menegur yang salah dan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik.

Islam berjaya mencipta kegemilangan kerana umatnya memilih untuk bersatu walaupun mereka mewakili pelbagai bangsa dan suku kaum, pelbagai budaya dan bahasa dari pelbagai negara dan wilayah. Faktor penyatuan itu menjadi teras dan kunci, menjadikan mereka umat yang kuat lagi gagah, digeruni lagi dihormati. "Sudahkah umat Islam di negara ini berada dalam kedudukan yang boleh menjadi teladan kepada sekalian umat? Adakah umat Islam pada hari ini kukuh bersatu dalam mempertahan maruah dan kemuliaan agamanya jika cuba dipersenda oleh orang lain?

"Dibimbangi jika umat Islam yang terlalu mabuk dilambung gelombang politik kelompok, nasib masa depan umat Islam akan tergugat. Akibatnya, umat Islam akan kehilangan apa yang sudah menjadi hak kepada agama dan bangsanya di bumi ini," titahnya.

Bertepatan dengan tema 'Memantapkan Ukhuwah, Memperkasa Ummah', baginda mengingatkan umat Islam untuk menghayati mesej yang terkandung di sebalik tema itu. Ingatlah bahawa umat Islam adalah bersaudara dan binalah hubungan persaudaraan yang ikhlas sesama Islam supaya umat Islam menjadi lebih kuat dan dihormati.

Ubah perspektif elak wanita jadi mangsa kekejaman

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

KETIKA Hari Wanita disambut di seluruh dunia tidak lama lagi, negara masih tidak sepi daripada penganiayaan terhadap golongan ini yang dianggap sebagai lumrah kepada yang lemah. Walaupun Barat meraikan kemenangan wanita dengan mewujudkan Hari Wanita Sedunia sejak 1911, Islam terlebih dulu memulihkan status kaum hawa yang terhina kerana amalan jahiliah, hatta memberi hak kesamarataan dalam soal ibadah.

Ketika Barat merangka undang-undang yang menolak diskriminasi terhadap wanita, Islam sudah lama memuliakan mereka dalam jaminan yang terkandung dalam Al-Quran. Bahkan sejak 15 abad lalu, Al-Quran merakamkan nas yang qat'i yang menyamakan kedudukan antara lelaki dan wanita dalam menjalankan kewajipan insani berbanding Revolusi Perancis yang berlaku di penghujung abad ke-18 dengan deklarasi piagam hak asasi manusia yang jelas mendiskriminasi wanita.

Firman Allah dalam Surah Ali 'Imraan, ayat 195 bermaksud: "Sesungguhnya aku tidak mensia-siakan amal orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki mahupun perempuan (kerana) sebahagian kamu adalah turunan dari sebahagian yang lain."

Dan Allah juga berfirman dalam Surah An-Nahl yang mafhumnya: "Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik. Dan sesungguhnya kami akan beri balasan kepada mereka dengan pahala lebih baik dari apa yang mereka kerjakan."

Wanita hari ini bukan seperti isteri yang dijual suami di Barat sebelum 1930-an, bukan juga seperti di Jazirah Arab di era jahiliah yang menjadi objek hinaan dan celaan serta punca keaiban keluarga. Malah wanita yang melahirkan bayi perempuan menanggung rasa bersalah yang tidak terhingga, begitu juga suaminya.

Sambutan Hari Wanita pada tahun ini pasti melonjakkan agenda pemerkasaan wanita seperti dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini. Tiada siapa berani menafikan, apatah lagi menidakkan rencana ke atas wanita kerana umum mengetahui kecemerlangan wanita hari ini tidak boleh diragui dan terbukti.

Hampir semua undang-undang sedia ada, khususnya Perlembagaan Persekutuan, mengiktiraf kesaksamaan gender dan menolak sebarang diskriminasi terhadap wanita, melainkan wujud beberapa peruntukan yang perlu dimurnikan agar konsisten dengan peruntukan undang-undang dalam Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskiminasi Terhadap Wanita (Konvensyen Wanita) dan prinsip syariah yang sebenar.

Sekiranya wanita dianggap sebagai khalayak yang mulia seperti makhluk Allah lain, sudah tentulah mereka tidak dianiaya semata-mata untuk memuaskan nafsu buas sehingga terpaksa mengandungkan anak dengan susah payah sembilan bulan lamanya.

Selepas itu, melahirkan dan membunuh zuriatnya sendiri kerana tidak sanggup ditohmah masyarakat. Cabaran kini ialah mengubah perspektif bahawa fizikal manusia ialah sama, maka tiada siapa menjadi mangsa kekejaman.

fizikal kepada sesiapa. Walaupun tidak mudah direalisasi, banyak hakikat membuktikan wanita perkasa kerana percaya mereka berupaya.

Wujud peruntukan undang-undang yang masih tidak bersifat adil terhadap wanita kerana memberi kesamarataan hak tanpa mengambil kira kesamarataan matlamat yang hendak dicapai. Wawasan, gagasan dan seruan negara direalisasikan melalui pelbagai suara agar wanita dihormati dan dipelihara, melindungi mereka dengan menyempurnakan tanggungjawab serta membahagiakan mereka, sama ada mereka seorang ibu, isteri, anak mahupun pekerja dan rakyat jelata.

Sungguhpun begitu, ia tidaklah begitu ketara menganiaya wanita berbanding amalan dalam budaya dan sosial masyarakat yang memandang wanita sebelah mata sekali gus menjadikan mereka mangsa jenayah seksual dan pembunuhan.

Ini adalah pembawaan jahiliah yang masih tidak berkurangan, malah hari ini kerana dizalimi juga, wanita sanggup membunuh anak yang baru lahir ke dunia kerana takut mendepani masyarakat akibat perbuatan berzina yang terang-terangan terbukti dengan kelahiran zuriat dari darah dagingnya, manakala si bapa haram pula hilang entah ke mana.

Sekiranya wanita dianggap sebagai khalayak yang mulia seperti makhluk Allah lain, sudah tentulah mereka tidak dianiaya semata-mata untuk memuaskan nafsu buas sehingga terpaksa mengandungkan anak dengan susah payah sembilan bulan lamanya. Selepas itu pula, melahirkan anak sendirian dan membunuh zuriatnya sendiri hanya kerana tidak sanggup menghadapi tohmah masyarakat.

Tambahan pula, teori konstruktif sosial meneguhkan kepercayaan bahawa wanita dan kanak-kanak adalah makhluk yang lemah, sedangkan tidak semua mereka lemah, begitu juga tidak semua lelaki kuat. Tetapi kerana masyarakat umum terbina dengan pengaruh sosial dan budaya begitu, maka realiti membenarkan bahawa wanita dan kanak-kanak adalah lemah dan boleh dibelasah.

Cabaran terkini ialah mengubah perspektif bahawa fizikal manusia ialah sama, maka tiada siapa yang akan menjadi mangsa kekejaman fizikal kepada sesiapa. Walaupun tidak mudah direalisasi, banyak hakikat membuktikan wanita perkasa kerana percaya mereka berupaya.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom.

Wednesday, March 3, 2010

Peguam Syarie Menulis: Perkahwinan campur tuntut toleransi pasangan, keluarga

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip


PERKAHWINAN berlainan agama tuntut pengorbanan dan komitmen daripada dua pihak. - Gambar hiasan


Asas agama jadi tiang seri kerukunan rumah tangga

KAHWIN campur bukan janggal di kalangan masyarakat Malaysia hari ini. Secara umumnya, masyarakat dapat menerima hakikat kahwin campur dapat memperkaya budaya dalam masyarakat serta mengukuhkan hubungan antara kaum.

Namun begitu, tidak kurang juga masyarakat berpendapat kahwin campur akan mengundang pelbagai masalah pada masa akan datang sehingga sampai ke tahap perceraian.

Soal hati dan jodoh, memang sukar dimengerti. Kalau sudah jodoh berkahwin dengan orang yang asalnya berlainan agama dan bangsa itu sudah suratan takdir.

Sebenarnya tidak ada nas yang menggalakkan berkahwin dengan pasangan berlainan bangsa. Cuma sesetengah fuqaha menggalakkan agar berkahwin dengan pasangan yang tidak ada hubungan kekeluargaan kerana melihat beberapa maslahah terutama aspek mengembangkan zuriat serta kesihatan sekiranya perkahwinan membabitkan saudara terdekat dibenarkan.

Justeru, walau tidak ada larangan syarak berkaitan perkahwinan sesama keluarga, ia menjadi suatu yang biasa dalam masyarakat hari ini. Jika kita lihat kepada sejarah Islam, Nabi Muhammad SAW pernah mengahwini sepupunya iaitu Zainab Jahsy. Selain itu, Baginda sendiri pernah mengahwinkan anaknya Fatimah dengan Syaidina Ali iaitu sepupu baginda.

Isu kahwin campur ini juga tidak diperuntukkan secara khusus di dalam undang-undang. Namun, peruntukan dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, misalnya, Seksyen 7 memperuntukkan bahawa setiap perkahwinan di Wilayah Persekutuan harus mengikut peruntukan di dalam akta dan diakadnikahkan menurut hukum syarak.

Seksyen ini memberi mahkamah bidang kuasa dalam mana-mana perkahwinan di Wilayah Persekutuan. Merujuk kepada Seksyen 10 (1) akta yang sama, peruntukan seksyen itu memperuntukkan bahawa 'tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam kecuali seorang Kitabiyah.'

Dalam mentafsirkan 'Kitabiyah' Seksyen 2 akta berkenaan menyatakan bahawa 'Kitabiyah' adalah seorang perempuan keturunan Bani Ya'qub atau seorang perempuan nasrani keturunan orang nasrani sebelum Nabi Muhammad menjadi Rasul atau seorang perempuan Yahudi keturunan orang Yahudi sebelum Nabi Isa menjadi Rasul.

Jika kita lihat senario hari ini, perkahwinan campur adalah satu tekanan besar terhadap pasangan serta keluarga masing-masing dan memerlukan sikap toleransi semua pihak yang terbabit, bukan hanya suami dan isteri berkenaan saja. Oleh itu, kahwin campur mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri.

Aspek agama misalnya mestilah mengatasi segala perkara. Bagi budaya, ia satu elemen yang mewarnai kehidupan pasangan kahwin campur. Perbezaan dari segi budaya, tradisi dan amalan keluarga pihak suami serta isteri sebenarnya akan menceriakan kehidupan, mengeratkan ikatan hubungan pasangan berkenaan dan anak-anak mereka.

Walaupun wujud beberapa halangan serta tentangan terhadap kahwin campur, tetap terselit keistimewaan bagi situasi itu. Pendedahan terhadap budaya dan amalan kaum lain akan membuatkan individu terbabit memahami dengan lebih baik kebudayaan dan tradisi orang lain.

Selain itu, anak hasil kahwin campur akan mendapat kebaikan daripada pendedahan terhadap budaya ini dan mereka boleh mahir dalam sekurang-kurangnya tiga atau empat bahasa termasuk bahasa ibunda ibu bapa serta juga bahasa Inggeris selain boleh menikmati pelbagai masakan kaum masing-masing.

Dari segi saintifik dikatakan bahawa perkahwinan campur ini akan melahirkan generasi yang lebih genius. Kahwin campur sebenarnya memberi satu sinar dan keceriaan bagi mereka yang bijak mengadaptasi kelebihan ini dalam rumah tangga dengan sentiasa cuba mempelajari dan mengenali amalan, budaya serta tabiat keluarga pasangan masing-masing.

Pemikiran akan lebih terbuka dan positif selain dapat menerima dan memahami adat resam masing-masing. Namun, apa yang paling penting dan menjadi keutamaan adalah asas agama kerana ia adalah tiang seri kepada kerukunan sebuah rumah tangga.

Allah menjadikan manusia pelbagai bangsa, rupa serta budaya yang berbeza namun pada hakikatnya agama saja yang boleh menyatukan mereka. Kegagalan daripada kahwin campur pula dapat dilihat sekiranya pasangan tidak dapat memahami dan bertolak ansur dalam semua perkara.

Jurang perbezaan yang begitu ketara terutama adat dan budaya menjadikan mereka tewas dalam melayari perkahwinan yang bahagia. Alam percintaan sebelum perkahwinan menjadikan pasangan dibuai mimpi indah tanpa memikirkan realiti selepas perkahwinan yang menuntut tanggungjawab lebih besar.

Segala kekurangan mahupun kegagalan dalam perkahwinan campur ini dapat diatasi apabila pasangan tahu apakah sebenarnya perkahwinan itu. Perkahwinan adalah satu perhubungan intim di antara dua individu (lelaki dan perempuan) yang bergelar suami dan isteri.

Ia bukan setakat hanya untuk menikmati kepuasan seksual, tetapi juga merangkumi melakukan aktiviti harian bersama serta berkongsi minat, kegemaran dan kepentingan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Iqra: Kaedah mendidik perspektif Rasulullah

# Judul: Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik
# Penulis: Razali Saaran
# Penerbit: Mustread Sdn Bhd
# Pengulas: Hasliza Hassan
# Harga: Semenanjung Malaysia (RM19.90) Sabah/Sarawak (RM22.90)

SEPANJANG bulan Rabiulawal bermula tanggal 12 Rabiulawal hingga penghujungnya, sambutan Maulidur Rasul memenuhi program anjuran surau, masjid, persatuan penduduk dan agensi agama sebagai manifestasi ingatan serta perasaan cinta terhadap Nabi Muhammad SAW.

Sebagai Rasul pilihan, sejarah kehidupan Baginda sentiasa menjadi inspirasi umat Islam dalam meningkatkan ketakwaan dan mencari kebahagiaan hidup di dunia serta akhirat.

Oleh itu, selain ceramah, seminar atau perbincangan dianjurkan untuk mengimbas sejarah hidup Baginda yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas, buku dihasilkan mengenai Muhammad bin Abdullah sewajarnya menjadi pilihan bacaan.

Buku Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik memfokuskan peranan guru sebagai pembimbing melalui penekanan terhadap akhlak guru ketika mengajar supaya dapat diterima seterusnya menjadi contoh kepada pelajar yang dibimbing.

Perkara dikupas penulis buku ini ialah kaedah digunakan Rasulullah SAW menyampaikan ilmu serta nasihat kepada sahabat seperti sesi soal jawab, bergurau senda, memberi nasihat dan cara meraikan pelajar.

Kaedah soal jawab diguna pakai Rasulullah ketika menyampaikan ilmu kepada sahabat dan interaksi antara guru dan pelajar mempunyai kesan positif memberi kefahaman serta percambahan idea berbanding kaedah satu hala.

Rasulullah juga sering meminta diulang soalan dan menjawab semula selain menggunakan pendekatan bergurau senda seperti dijelaskan melalui sunnah Baginda dalam buku Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik.

Perkembangan hari ini memberi cabaran kepada guru untuk mendidik menyebabkan guru memerlukan panduan yang dapat membantu menghadapi kerenah pelajar dan dalam masa sama menunaikan tanggungjawab sebagai guru.

Bagaimanapun, guru adalah insan terpilih seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang berilmu yang berusaha mencipta, orang yang mahu mengajarkan ilmunya akan didoakan oleh seluruh penghuni kerajaan langit." (Hadis riwayat Tirmizi)

Menariknya, buku ini cuba memahami profesion perguruan dengan melihat guru sebagai pendidik, pengurus, pemimpin, pemudah cara dan kaunselor.

Tujuannya, supaya guru dapat melihat serta menilai diri mereka daripada pandangan orang lain dan mengambil langkah proaktif ke arah memartabatkan profesion ini di mata masyarakat. Buku ini bukan saja sesuai untuk guru tetapi juga ibu bapa untuk membimbing anak.