Showing posts with label (A) Hasliza Hassan. Show all posts
Showing posts with label (A) Hasliza Hassan. Show all posts

Saturday, February 27, 2010

Anugerah Maulidur Rasul rangsang semangat

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


PELAJAR dan guru Sekolah Rendah Islam Kafa Masjid Az -Zubair Ibnul Awwam bergambar selepas diumumkan johan pertandingan perarakan Kategori Sekolah dan IPTA pada Sambutan Maulidur Rasul di Putrajaya, semalam.


Kerajaan beri penghormatan individu cemerlang beri manfaat untuk negara

"TIDAK terjangkau tinggi pekertimu, tidak tergambar indahnya akhlakmu, tidak terbatas segala jasamu, sesungguhnya engkau Rasul pilihan. Cekalnya hatimu menempuh dugaan, mengajar erti kesabaran, menjulang tinggi kemenangan, terpahat namamu di dalam al-Quran."

Bait indah dendangan lagu nasyid menggambarkan keperibadian serta kelebihan Nabi Muhammad SAW yang menjadi contoh sepanjang zaman sememangnya menimbulkan kekaguman dan pada masa sama, melahirkan rasa takut.

Mungkin itu yang cuba diluahkan pemenang Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah/2010 Masihi, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, ketika dikelilingi media yang ingin mendapatkan maklum balas beliau pada Majlis Sambutan Maulidur rasul Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya, semalam.

Selain rasa malu atas anugerah diterima itu, Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu melahirkan rasa takut jika pengiktirafan diterima tidak setimpal khidmat disumbangkan.

"Nabi Muhammad sebagai individu sudah meninggalkan kita tetapi Baginda sebagai misi dan visi terus hidup. Apabila saya diberi anugerah Maulidur Rasul ini, saya tertanya sama ada mampu bawa masyarakat kepada misi dan visi sebenar.

"Ini buat saya rasa kecil dan takut soal pengiktirafan yang belum tentu dapat saya sempurnakan. Lagipun, masih ramai yang berwibawa dan banyak menabur bakti di luar sana tidak ditonjolkan. Saya rasa malu, takut anugerah ini tidak tepat dengan realiti," katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau tetap bersyukur, gembira dan rasa berkewajipan menerima pengiktirafan berkenaan selain berharap untuk terus berbakti kepada masyarakat dengan memberi pandangan yang boleh diterima serta sesuai mengikut keperluan masyarakat.

Anugerah disampaikan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Anugerah Perdana Maulidur Rasul mula diperkenalkan tahun lalu dan penerima anugerah menerima wang tunai RM50,000, sebuah plak, sijil dan hadiah iringan. Penerima pertama anugerah ini ialah Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba.

Anugerah Maulidur Rasul mula diperkenalkan pada 1413 Hijrah (1992 masihi) dan pencalonan terbuka kepada lelaki serta perempuan Islam dan bukan Islam yang terbabit dalam tugas serta perkhidmatan mencabar, berisiko tinggi, kritikal yang memberi kebaikan kepada rakyat dan negara. Penerima menerima hadiah wang tunai RM22,000 berserta hadiah iringan.

Penerima kali ini ialah bekas Pengarah Kesihatan yang aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan, Datuk Dr Abdul Razak Kechik; pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 yang mendapat 21A dan kini sedang melanjutkan pengajian di Jordan, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamel; Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, Faiza Bayumi Syed Ahmad; pendakwah dan penceramah bebas, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz.

Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Yaacob Che Man dan satu-satunya penerima bukan Islam, Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Tan Swee Lian.

Dr Tan berkata, pengiktirafan diterima hasil kerjanya di Mardi selama lebih 30 tahun itu diharap menjadi pendorong kepada penyelidik muda untuk menghasilkan penyelidikan yang membawa faedah kepada masyarakat serta negara.

Beliau yang berjaya mendapat hak milik intelektual bagi lima jenis ubi kayu dan empat jenis ubi keledek mengakui semangat 1Malaysia membolehkan rakyat mendapat pengiktirafan hasil sumbangan mereka serta menjadi pendorong kepada orang lain menyumbang untuk negara.

"Saya tidak boleh bandingkan diri saya dengan Nabi Muhammad tetapi saya berharap dengan anugerah Maulidur Rasul ini saya dapat menjadi contoh kepada penyelidik muda untuk bekerja lebih rajin demi negara," katanya.

Sementara itu, Dr Yaacob yang diiktiraf sebagai saintis pertama menerima Anugerah Saintis Halal di World Halal Research Summit 2009, mengharapkan usaha dilakukan untuk mempertingkatkan kepentingan logo halal Malaysia.

Katanya, status halal Malaysia sangat berwibawa dan dipandang tinggi termasuk oleh Pertubuhan Negara Islam (OIC) tetapi berdepan masalah dalam negara seperti kebanjiran logo halal digunakan disebabkan kelemahan undang-undang.

"Ini kelemahan tetapi menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal agama sudah mengambil usaha memastikan isu ini dapat diselesaikan. Kita harap apabila ada akta lebih kuat nanti tiada lagi berlaku penipuan logo halal atau isu logo yang pelbagai.

"Selain standard yang bagus, kita perlu ada undang-undang tegas selain penguatkuasaan berkesan untuk mengawal penggunaan logo halal," katanya yang banyak menjalankan penyelidikan bagi membangunkan industri halal.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah mengekalkan tradisi berarak sambil berselawat oleh kira-kira 100 kontinjen yang mengambil bahagian sebagai manifestasi kecintaan kepada Rasulullah SAW dan menonjolkan semangat serta syiar Islam.

Perarakan sejauh 2.5 kilometer itu bermula dari Masjid Tuanku Mizan menuju Masjid Putra, Putrajaya. Kontinjen terbabit dalam perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah turut diadili bagi menentukan johan dan naib johan berdasarkan kategori.

Lima kategori dipertandingkan iaitu kategori agensi kerajaan, badan berkanun, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi (IPT) dan institut latihan dan sekolah. Pemenang menerima plak, sijil dan hadiah iringan.

Saturday, February 20, 2010

Kontroversi hukuman sebat berpunca daripada persepsi salah masyarakat

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Tak perlu pertikai pelaksanaan prosedur yang ambil kira kesejahteraan pesalah

TIGA wanita disabitkan kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di penjara Kajang, 9 Februari lalu disaksikan 13 orang termasuk Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan serta pegawai bahagian syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.

Dua daripada wanita itu dikenakan enam sebatan, manakala seorang lagi empat sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 antara Disember 2009 hingga Januari lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, merujuk kebimbangan sesetengah pihak berhubung hukuman sebat itu berkata, sebatan terhadap tiga wanita berkenaan tidak langsung mendatangkan kecederaan.

Malah, berdasarkan temu bual dengan tiga pesalah wanita itu, mereka mengakui reda, insaf dan bertaubat dengan hukuman diterima. Walaupun sebatan tidak mendatangkan luka pada badan, ia mendatang kesan mendalam kepada diri mereka.

Diharap perkembangan terbaru ini mampu mengubah persepsi negatif pihak tertentu yang menentang hukuman sebat mengikut undang-undang syariah, dijatuhkan kepada pesalah wanita oleh Mahkamah Syariah atas kesalahan dilakukan mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, merujuk kebimbangan sesetengah pihak berhubung hukuman sebat itu berkata, sebatan terhadap tiga wanita berkenaan tidak langsung mendatangkan kecederaan.

Malah, berdasarkan temu bual dengan tiga pesalah wanita itu, mereka mengakui reda, insaf dan bertaubat dengan hukuman diterima. Walaupun sebatan tidak mendatangkan luka pada badan, ia mendatang kesan mendalam kepada diri mereka.

Diharap perkembangan terbaru ini mampu mengubah persepsi negatif pihak tertentu yang menentang hukuman sebat mengikut undang-undang syariah, dijatuhkan kepada pesalah wanita oleh Mahkamah Syariah atas kesalahan dilakukan mereka.

Friday, February 5, 2010

Pemimpin, ulama jana kekuatan ummah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Sebarang penyelesaian masalah guna pendekatan disaran oleh Rasulullah

PANDANGAN serta pemikiran ulama dan umara (pemimpin) perlu selaras dalam bentuk ucapan mahupun tindakan terutama dalam hal berkaitan negara dengan mengambil kira semangat toleransi pada batas diizinkan syarak selain memahami perasaan orang lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata peranan serta tanggungjawab utama kedua-dua golongan itu ialah bersama menjana kekuatan ummah termasuk generasi muda bagi pembangunan negara, bangsa dan syiar Islam.

Oleh itu, katanya, kesepakatan terhasil daripada perjumpaan ulama dan umara bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjadi penanda aras bahawa ulama mempunyai peranan besar dalam tadbir urus negara.

"Buah fikiran dan pandangan golongan ulama didengar dan diguna pakai dalam konteks melahirkan ummah berkualiti bagi kesejahteraan umat sejagat khususnya rakyat negara ini," katanya pada pertemuan di pejabatnya di Putrajaya.

Beliau berkata, Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Ulama dan Umara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), petang ini adalah landasan menyatukan fikrah ulama dan umara dalam segenap bidang.

Majlis yang dijangka dihadiri 1,000 tetamu kalangan ulama, cendekiawan dan pemimpin itu bakal membuka ruang kepada ilmuwan serta kepemimpinan negara membincangkan isu berkaitan Islam demi kebajikan umatnya malah semua pihak.

Perjumpaan kali ini juga membolehkan kedua-dua golongan itu berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing bagi mencipta modul pembangunan generasi dan masyarakat sebagai penyumbang kepada pembangunan lain.

Selain itu, hubungan silaturahim ulama dan umara diharap dapat menjadikan Malaysia negara contoh yang mengamalkan sistem kerjasama antara ilmuwan, cendekiawan serta kepemimpinan.

Ternyata, masih ada isu membabitkan agama Islam yang belum diselesaikan. Pada masa sama, ulama serta umara terus menjadi perhatian kerana kedua-dua golongan ini diharap dapat menjelaskan kedudukan sebenar serta membebaskan masyarakat daripada kekeliruan.

Jamil berkata, tidak dinafikan ada pihak melihat cara kepemimpinan dan ulama menyelesaikan isu berkaitan konflik atau pertelagahan mengenai isu agama seolah-olah mereka mengalah dengan tekanan atau keadaan yang berlaku.

Sebenarnya, katanya, itu adalah persepsi kerana ulama dan umara mengambil pendekatan yang disarankan Rasulullah untuk menyelesaikan sesuatu kemelut iaitu menggunakan hikmah supaya keharmonian tetap terjaga.

Mengambil contoh isu kalimah Allah yang belum ada keputusannya, beliau tidak menafikan ada pihak tidak berpuas hati dengan tindakan diambil sedangkan setiap tindakan mengambil kira kepentingan semua pihak untuk jangka masa panjang.

"Anggapan bahawa kita saja selalu mengalah itu hanya persepsi. Jika saya pengadil bola sepak, pastinya saya ingin pasukan Kedah sentiasa menang tetapi jika lawan dengan pasukan Selangor dan Kedah kalah, saya kena terima hakikat.

"Sebagai pengadil saya tidak boleh meniup wisel dan mengatakan 'batal' atau 'gol tidak masuk' kerana prinsip pengadil ialah menegakkan keadilan. Dalam kes kalimah Allah, jika dimuktamadkan di mahkamah nanti ia akan jadi rujukan tepat jika kita tersepit lain kali," katanya.

Menjawab persoalan mengenai sesetengah pemimpin yang membuat kenyataan mengelirukan mengenai isu berkaitan agama, beliau berkata, perjumpaan antara ulama dan umara akan menjadi forum membincangkan keperluan supaya pandangan serta pemikiran diselaraskan.

Mengenai isu agama yang sering dikategorikan sensitif sementara pihak berkuasa agama mengambil masa lama untuk meredakan keresahan masyarakat, Jamil berkata, agama menjadi isu sensitif bagi mereka yang tidak faham.

Katanya, pihak berkuasa agama pula memerlukan tempoh untuk meneliti sesuatu isu sebelum memberi sebarang maklum balas kerana kenyataan daripada pihak berkuasa agama diterima sebagai sesuatu yang sah oleh umum.

"Apa hukum makan babi, jawabnya senang tetapi ada juga jawapan senang menjadi tidak senang dalam keadaan tertentu. Bagi pihak berkuasa agama, perlu teliti kerana tidak boleh silap cakap, takut nanti akan jadi sensitif," katanya.

Justeru katanya, perbincangan ulama dan umara pada sesi dialog bersama Perdana Menteri hari ini akan memperlihatkan kesatuan dua golongan itu mengemukakan pandangan serta cadangan yang mendukung cita-cita negara untuk terus maju dan berkembang.

Friday, January 29, 2010

Pelbagai halangan kuat kuasa undang-undang syariah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Ada pihak mengkritik, mempertikai tindakan penguasa agama, kekang aktiviti maksiat

KAEDAH penguatkuasaan undang-undang ada kalanya perlu dilakukan bagi mencegah serta menyelesaikan jenayah syariah dan pelaksanaannya oleh pihak berkuasa mestilah mendapat sokongan masyarakat.

Ini kerana tidak dinafikan ada kalanya penguatkuasaan undang-undang syariah sukar untuk dilaksanakan kerana ada yang beranggapan, malah mempertikai undang-undang ditetapkan Islam itu sebagai melanggar hak asasi manusia.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin, berkata pelbagai terma undang-undang digunakan pihak tertentu yang mempersoal tindakan pihak berkuasa syariah untuk menegakkan undang-undang yang hakikatnya termaktub dalam perundangan.

Katanya, kritikan dilemparkan itu bukan saja memberi kesan negatif kepada pihak penguat kuasa undang-undang yang menjalankan tanggungjawab mereka, malah mencabar undang-undang syariah sehingga menyebabkan hilang rasa hormat terhadap sistem perundangan Islam.

"Contohnya terma 'victimless crime' atau jenayah tanpa mangsa merangkumi undang-undang berkaitan kesopanan atau tatasusila. Ia bukan terma undang-undang tetapi digunakan pihak tertentu untuk mempertikai tindakan pihak berkuasa syariah.

"Dalam konteks jenayah syariah, kesalahan berkaitan tatasusila seperti perbuatan tidak sopan, khalwat dan meminum minuman memabukkan bertentangan dengan ajaran Islam tetapi sering dilaung-laungkan sebagai menyalahi kebebasan individu," katanya.

Katanya, hal itu diburukkan lagi dengan kritikan terbuka segelintir masyarakat yang menuduh pihak penguat kuasa agama mencampuri urusan peribadi dan kebebasan apabila menangkap serta menyiasat golongan disyaki terbabit kesalahan moral.

Gelaran 'polis moral' atau 'pengintip' dicanang dan dilaungkan untuk merendahkan moral serta memberi penekanan kepada pihak penguat kuasa agama menjalankan tanggungjawab hakiki mereka mencegah kemungkaran.

Sebaliknya, setiap hari masyarakat didedahkan dengan laporan mengenai salah laku umat Islam dalam pelbagai jenayah syariah yang kini dikatakan pada tahap membimbangkan sementara usaha menanganinya pula sering mendapat 'campur tangan' tidak sepatutnya.

Katanya, kejahilan mengenai mekanisme tatacara perundangan juga menyebabkan usaha membanteras perbuatan menyalahi undang-undang tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Beliau berkata, pihak berkuasa mempunyai kaedah tertentu untuk berdepan pesalah jenayah syariah termasuk menilai sesuatu kesalahan itu terlebih dulu sebelum mengambil sebarang tindakan diperuntukkan undang-undang.

Pegawai penguat kuasa agama akan hanya memberi nasihat dan mengarah untuk beredar apabila berdepan perlakuan yang dikira kurang 'mencolok mata' seperti berjalan sambil berpegang tangan, duduk rapat, bergurau senda dan sebagainya.

Bagi yang agak mencolok mata seperti duduk merangkul pasangan, pelaku akan diarah hadir kursus pemantapan iman yang diadakan di masjid negeri sementara perlakuan berat seperti berkucupan dan berpeluk secara berdepan, maka pasangan tadi akan didakwa di Mahkamah Syariah.

"Penguat kuasa syariah mempunyai cara tertentu untuk menangani jenayah syariah dan pendekatan kita bukan untuk menghukum tetapi mendidik serta membimbing masyarakat supaya tidak terbabit dengan perbuatan menyalahi hukum syarak.

"Namun, apa yang menyedihkan masyarakat Islam sendiri mencari ruang mempertikaikan apa saja tindakan pihak berkuasa agama. Bagi mereka, isu kesopanan begitu subjektif dan berpakaian seksi, berpegang tangan serta berpeluk-pelukan adalah hak peribadi," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia memberi penafsiran yang mengesahkan maksud 'bertindak atau berkelakuan tidak sopan' merujuk kepada perbuatan dilakukan di tempat awam termasuk bercumbu-cumbuan, berpeluk-pelukan, pertuturan, isyarat lucah, berpakaian mengghairahkan atau perbuatan tidak sopan yang bertentangan hukum syarak.

Mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, perbuatan tidak sopan di tempat awam adalah kesalahan dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Justeru menurut Badli Shah, usaha mencegah atau mengubah kemungkaran bukan terletak di bahu pihak penguatkuasa syariah saja malah wajib dipikul umat Islam untuk bersama menggunakan pendekatan mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

(amar makruf nahi mungkar).

Sementara perkembangan semasa yang memperlihatkan sikap golongan remaja semakin berani melakukan perbuatan tidak sopan di khalayak ramai, beliau merujuk situasi itu kepada kehidupan masyarakat hari ini yang jauh daripada agama.

Oleh itu katanya, dalam setiap hati umat Islam perlu membersihkan jiwa melalui amal ibadat dan ia perlu dilakukan secara berterusan. Pendekatan terbaik mencapai matlamat itu ialah menyemai rasa bertuhan khususnya kepada remaja.

Usaha itu tidak akan menghasilkan keputusan dalam tempoh singkat dan Rasulullah SAW sendiri mengambil masa 13 tahun di Makkah menanam rasa bertuhan di hati sahabat sebelum Baginda memulakan pembangunan negara sepuluh tahun kemudian.

"Baginda bangunkan madrasah yang menjadi pusat melahirkan ilmuwan bertakwa sebagai penyambung dan pelapis perjuangan. Dibangun ekonomi dengan membuka pasar Ansar yang diuruskan Abdul Rahman bin Auf.

"Begitulah perjuangan itu berkembang dan terus membesar hingga akhirnya tiga perempat dunia menyerah diri kepada Islam. Semua itu bertolak daripada iman dan rasa bertuhan. Inilah yang perlu kita lakukan sekarang sebagai usaha mencegah masyarakat daripada terbabit jenayah syariah," katanya.

Friday, January 22, 2010

Patuh mahkamah selagi tiada permohonan ubah perintah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

ADA bapa atau bekas suami yang bukan sengaja tidak mahu melaksanakan perintah nafkah dikeluarkan Mahkamah Syariah tetapi sikap ibu tidak membenarkan bapa berjumpa anak menjadi punca perintah itu diabaikan.

Timbalan Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata alasan menyebabkan perintah mahkamah tidak dilaksanakan itu diketahui apabila kedua-dua pihak dipanggil untuk sesi khidmat nasihat.

Katanya, bagi kes seumpama itu selalunya dapat diselesaikan cara baik selepas pegawai BSK meminta supaya ibu bapa patuh kepada undang-undang dan hukum agama yang pastinya memberi kebaikan kepada semua pihak terutama anak.

“Memang ada kes bukan bapa tidak mahu bayar nafkah tetapi apabila tidak dibenarkan jumpa anak, buat apa mereka nak bagi nafkah. BSK akan menasihatkan ibu walau apa terjadi, hubungan bapa dan anak tidak boleh putus.

“Kita juga jelaskan hukum agama siapa yang memutuskan hubungan bapa dan anak tidak akan masuk syurga. Jadi selain melaksanakan perintah mahkamah, BSK juga beri kesedaran agama. Jika isu tanggungjawab ditekankan, secara tidak langsung hak disempurnakan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan ada bekas suami yang memang sengaja tidak mahu membayar nafkah kerana perasaan seronok kononnya dapat mengatasi undang-undang apabila tidak mematuhi perintah mahkamah.

Bagi kes sebegitu katanya, BSK akan mengambil tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang dengan mendapat perintah mahkamah untuk menahan, merampas, melelong dan menjual harta bekas suami yang ‘tegar’ itu.

Mohd Na’im berkata, kefahaman mengenai undang-undang penting terutama bagi melaksanakan perintah mahkamah kerana perintah yang dikeluarkan wajib dilaksanakan tetapi boleh diubah apabila berlaku situasi yang membenarkan.

Antaranya, apabila pihak yang sepatutnya memberi sejumlah bayaran nafkah tidak mampu melaksanakan perintah itu atau pihak yang mendapat bayaran ingin menambah jumlah atas alasan bapa berkemampuan.

“Bagi kes nafkah anak, perintah bayaran yang diputuskan mahkamah berdasarkan status pihak terbabit ketika itu. Ada bapa yang selepas bercerai disahkan bankrap dan tidak mampu membayar nafkah, undang-undang membenarkan pihak berkenaan datang untuk ubah perintah.

“Ada juga yang selepas bercerai menjadi kaya raya dan bekas isteri boleh datang mahkamah minta ubah jumlah nafkah terdahulu kerana merasakan bekas suami mampu memberi lebih untuk nafkah anak.

“Perintah dikeluarkan mahkamah wajib dilaksanakan dan selagi tiada permohonan ubah perintah, ketetapan itu terus berjalan. Itu yang kita beritahu kepada pihak yang datang ketika sesi khidmat nasihat kerana kita mahu pastikan perintah mahkamah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, BSK memikul cabaran besar sebagai badan penguatkuasa untuk memastikan perintah nafkah dikeluarkan mahkamah dilaksanakan dan kepentingan anak terjamin untuk meneruskan kehidupan.

Walaupun ditubuhkan 20 Oktober 2008, pegawai dan kakitangan BSK hanya mula dihantar bertugas di negeri April lalu selepas menjalani latihan serta pendedahan tugas di JKSM. Seramai enam pegawai dan kakitangan BSK ditempatkan di mahkamah di setiap negeri.

Sejak beroperasi dengan dana sebanyak RM500,000 sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), seramai 37 penerima mendapat bayaran pendahuluan BSK membabitkan jumlah RM100,000. Kes mereka juga sudah difailkan untuk penguatkuasaan.

Mohd Na’im berkata, perundangan saja tidak boleh menyelesaikan masalah kerana undang-undang adalah sebahagian mekanisme untuk memastikan kestabilan masyarakat dan perlu ada badan sokongan bagi memenuhi kekosongan yang ada.

Katanya, penubuhan BSK dilihat sebagai harapan kepada ibu dan anak mendapat hak nafkah yang selama ini diabaikan oleh bapa kerana tidak patuh perintah dikeluarkan mahkamah.

“Harapan saya, masyarakat umum memberi peluang kepada BSK untuk menyelesaikan perintah nafkah yang tidak dilaksanakan. Jika dulu tidak ada pihak boleh membantu, kini BSK ada untuk mendapatkan hak supaya dapat diberi kepada yang berhak.

“Pada masa sama, BSK memenuhi tanggungjawab menyalurkan bantuan melalui pembayaran pendahuluan bagi meringankan beban ibu tunggal yang menghadapi kepayahan membesarkan anak disebabkan suami tidak mematuhi perintah mahkamah,” katanya.

Oleh itu katanya, masyarakat perlu memahami fungsi serta matlamat utama penubuhan BSK dan memberi sokongan kepada badan itu melaksanakan tanggungjawab menegakkan undang-undang syariah dan meningkatkan imej Mahkamah Syariah.

Peranan Bahagian Sokongan Keluarga:

# Meleraikan konflik dihadapi wanita serta ibu tunggal yang berdepan masalah mendapatkan nafkah seperti diperintahkan mahkamah.

# Melaksanakan penguatkuasaan ke atas perintah mahkamah khususnya dalam kes nafkah dan saraan.

# Memberi khidmat nasihat perundangan Islam kepada orang awam.

# Menyalurkan bantuan kewangan sara hidup sementara melalui sumber dana kewangan yang diharuskan hukum syarak kepada keluarga yang menghadapi masalah tuntutan nafkah.

Monday, January 18, 2010

Memastikan perintah nafkah dilaksana

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Badan Sokongan Keluarga bukan agensi kebajikan bantu wanita bercerai

"SAYA dalam proses nak bercerai. Boleh tak saya dapat duit daripada RM15 juta itu? Sikit pun tak apa. Jika saya dijamin boleh dapat duit itu, saya pasti akan bercerai."

Itu antara pertanyaan daripada pemanggil yang menelefon Badan Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berhubung dana RM15 juta yang disalurkan kerajaan kepada BSK, baru-baru ini.

Pertanyaan itu satu daripada puluhan atau mungkin ratusan, jika dijumlah kesemua panggilan diterima BSK di setiap negeri sejak pengumuman dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, mengenai keputusan Kabinet meluluskan peruntukan RM15 juta kepada BSK.

Timbalan Pengarah BSK, Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata perasaan teruja terhadap dana RM15 juta yang bakal disalurkan kepada BSK menyebabkan timbul salah faham seolah-olah BSK adalah badan kebajikan membantu wanita yang bercerai.

Katanya, tanggapan masyarakat yang menyangka BSK adalah badan kebajikan perlu diperbetulkan kerana matlamat utama penubuhan BSK adalah untuk memastikan perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah dilaksanakan dengan berkesan.

"Perlu ditekankan BSK bukan badan kebajikan dan masyarakat tidak boleh fikir hendak dapatkan duit daripada badan ini. Tugas BSK ialah sebagai penguatkuasa pelaksanaan perintah mahkamah yang tidak dipatuhi terutama membabitkan nafkah anak selepas perceraian pasangan.

"Kebanyakan perintah pemberian nafkah dikeluarkan Mahkamah Syariah tidak dipatuhi menyebabkan anak dan bekas isteri terumbang ambing untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu, BSK akan memastikan bapa dan bekas suami melaksanakan perintah itu," katanya.

Beliau berkata, BSK ditubuhkan hasil mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Ke-46 yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, melihat kelemahan penguatkuasaan pelaksanaan perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah khususnya nafkah anak.

Justeru, JKSM diarah menubuhkan satu bahagian baru bertanggungjawab memastikan perintah dikeluarkan mahkamah dilaksanakan dan pada 20 Oktober 2008, BSK ditubuhkan secara rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada mulanya, BSK mendapat dana sebanyak RM500,000 hasil sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebelum Kabinet meluluskan peruntukan RM15 juta bagi membantu isteri serta anak yang tidak mendapat nafkah.

Mohd Na'im berkata, berbeza dengan agensi kebajikan lain yang memberi bantuan hangus, apa yang diberikan BSK kepada pihak sepatutnya menerima bayaran nafkah (anak) akan dibayar semula oleh pihak berhutang (bapa).

Oleh itu katanya, apa yang diberikan BSK kepada bekas isteri dan anak adalah bayaran pendahuluan bagi melaksanakan perintah nafkah yang dikeluarkan terhadap bapa untuk memastikan anak dapat meneruskan kehidupan dengan sempurna.

"Jadi perlu jelas di sini, bayaran dibuat BSK kepada bekas isteri dan anak adalah bayaran pendahuluan atau dalam bahasa mudah ialah pinjaman kerana kita tidak mahu kehidupan anak terjejas disebabkan sikap tidak bertanggungjawab bapa mengingkari perintah mahkamah.

"Apabila kita dapat menguatkuasakan perintah membayar nafkah itu nanti, bapa yang berhutang perlu membayar balik wang yang diberikan BSK. Diharap, masyarakat tidak keliru kerana dana BSK tidak sama dengan dana agensi kebajikan lain," katanya.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata sebelum ini apabila berlaku ketidakpatuhan kepada perintah nafkah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah oleh bekas suami, tidak ada agensi atau badan yang boleh membantu bekas isteri.

Pemahaman bekas isteri bahawa tugas itu akan dilakukan mahkamah menyebabkan penantian mereka ibarat menunggu buah yang tidak gugur. Sebenarnya menjadi tanggungjawab isteri untuk memaklumkan mahkamah jika suami mengingkari perintah mahkamah.

Kini, dengan ada BSK yang khusus melihat kepada isu perintah bayaran nafkah dikeluarkan mahkamah, bekas isteri boleh membuat aduan dan BSK akan memastikan perintah itu dilaksanakan pihak sepatutnya.

BSK mempunyai tiga seksyen yang berkait antara satu sama lain dan bekerja beriringan iaitu Seksyen Khidmat Nasihat, Seksyen Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah serta Seksyen Dana yang menyalurkan bayaran kepada penerima nafkah.

Mohd Na'im berkata, apabila menerima aduan daripada ibu yang mendapat perintah mahkamah mengenai ketidakpatuhan bekas suami melaksanakan perintah itu, BSK akan memanggil bekas suami untuk datang ke mahkamah bagi sesi khidmat nasihat.

Katanya, melalui sesi khidmat nasihat itu BSK akan menasihatkan bapa mengenai tanggungjawab bukan saja daripada sudut perundangan malah juga hukum syarak selain menyiasat sebab musabab kenapa bapa enggan melaksanakan perintah itu.

"Sebolehnya kita harap masalah nafkah ini dapat diselesaikan melalui khidmat nasihat. Sebab itu kita bukan saja terangkan aspek perundangan, kita beri kefahaman bahawa tidak kira apa yang berlaku bapa wajib memberi nafkah kepada anak.

"Apabila kita minta dia bayar dan dia setuju bayar, Alhamdulillah. Tetapi jika selepas sesi khidmat nasihat, bapa tadi enggan juga melaksanakan perintah mahkamah, BSK dengan kuasa diberi oleh mahkamah boleh mengambil tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah," katanya.

Antara tindakan boleh diambil oleh seksyen penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah ialah mendapatkan perintah mahkamah bagi menahan, merampas dan menjual harta penghutang untuk membayar tunggakan.

Pindaan Undang-udang Keluarga Islam juga bakal memudahkan tugas pelaksanaan apabila diwujudkan akta bagi bapa yang tidak mampu memberi nafkah, tugas itu dipertanggungjawabkan kepada datuk atau adik beradik sebelah bapa.

Mengenai bapa dan bekas suami yang gagal dikesan atau halimunan, Mohd Na'im berkata BSK menjalinkan kerjasama dengan agensi lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi menjejaki pihak berhutang.

"BSK akan terus mencari dan menyiasat tetapi jika pihak berhutang itu gagal juga ditemui, itu di luar kuasa kita. Bagaimanapun, BSK akan membantu mahkamah memastikan perintah nafkah yang dikeluarkan dilaksanakan," katanya.

Saturday, January 16, 2010

Sumber kehidupan halal bentuk peribadi mulia

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


MASYARAKAT tanpa mengira bangsa dan agama perlu memainkan peranan penting dalam memastikan perlakuan jenayah dan keruntuhan moral di kalangan generasi muda dapat dibendung dari awal.


Makanan daripada hasil haram jejas keperibadian, kepincangan keluarga umat Islam


KEPINCANGAN dalam masyarakat hari ini berlaku kerana terlalu melihat kepada kebendaan menyebabkan timbul perasaan tidak tenang dan berasakan apa dimiliki masih belum cukup hingga sanggup melakukan apa saja bagi memenuhi impian.

Disebabkan itu, isu keberkatan hidup tidak pernah diberi perhatian apatah lagi untuk mengambil berat perihal makanan yang dibawa masuk ke rumah dan memastikan keluarga dibimbing menurut syariat Islam.

Penceramah bebas, Zahazan Mohamed, berkata perkara yang sebenarnya penting tetapi sering diabaikan itu menyebabkan berlakunya kejadian jenayah serta keruntuhan moral yang kian hari kian menakutkan.

Katanya, jika diselidik secara mendalam, anak yang soleh dan mudah terarah kepada kebaikan bukan berlaku secara kebetulan tetapi bermula daripada asas penubuhan keluarga iaitu pemilihan pasangan, pendidikan serta sumber makanan.

"Ada hadis mengenai lelaki yang menadah tangan ke langit dan berdoa kepada Allah tetapi doanya tidak diterima kerana rezekinya haram, pakaian haram dan dibesarkan oleh susu yang haram. Jadi, jika ibu makan makanan haram, itu yang anak jadi degil dan doa tidak mustajab.

"Perkara ini penting tetapi kita suka mengambil sikap pandang mudah atau tidak menghiraukan langsung perkara itu kerana terlalu mengejar keduniaan. Hasilnya kita lihat sekarang ini generasi Islam yang pincang," katanya.

Perkembangan semasa memperlihatkan insiden jenayah rogol, pembunuhan, konflik keluarga, keruntuhan moral golongan remaja, menimbulkan persoalan di mana silapnya kehidupan masyarakat hari ini.

Pembunuhan kejam terutama di kalangan ahli keluarga, keberanian anak remaja berzina tanpa disedari ibu bapa, pembuangan bayi tidak berdosa dan kepercayaan kepada bomoh serta ajaran sesat menjadi masalah seakan tiada berkesudahan.

Zahazan berkata, sikap individualistik yang semakin menyelubungi masyarakat kini menjadikan sistem kehidupan tidak berjalan seperti yang sepatutnya sedangkan jika semua pihak mengambil berat, banyak gejala negatif dapat dibendung secara bersama.

Oleh itu katanya, tindakan drastik untuk mengubah sikap masyarakat yang lebih bersifat individualistik kepada masyarakat prihatin perlu disegerakan supaya perjalanan sistem kehidupan dapat digerakkan ke arah keadaan yang lebih baik.

"Saya masuk masjid dan khatib ingin memulakan khutbah tetapi ada anak muda sedang berbual. Saya akan beritahu, penat saja datang jika tidak mendengar khutbah kerana pahala akan batal. Jika semua orang cakap begitu, budak muda ini akan sedar.

"Jika tengah malam ada anak remaja perempuan duduk melepak dengan lelaki di restoran, sepatutnya pemilik restoran menasihati dengan memberitahu alangkah risau ibu bapa memikirkan anak mereka yang tidak pulang.

"Malangnya, kebanyakan kita mengambil sikap 'tidak mengapa, orang lain akan buat tugas itu' menyebabkan tiada tindakan dan bagaimana kita hendak mengharapkan keadaan berubah menjadi lebih baik," katanya.

Beliau berkata, sistem pendidikan yang mementingkan hasil duniawi semata-mata sehingga mengetepikan keperluan untuk menerapkan nilai diajar agama melahirkan golongan bijak dalam pelajaran tetapi miskin dari segi akhlak mulia.

Sebab itu, ada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang tetapi boleh bergaduh dengan rakan hanya kerana berebut teman lelaki disebabkan pencapaian yang baik tidak memberi kesan kepada akhlak.

Mereka tidak diceritakan mengenai adanya Allah, malaikat Raqib dan Atid serta kesan perbuatan baik mendapat pahala sementara yang melakukan kejahatan bakal dibalas dosa.

Zahazan berkata, umat Islam perlu melihat diri mereka sebagai satu badan dan mengambil masalah yang berlaku dalam masyarakat sebagai masalah masing-masing seterusnya berfikir mencari jalan menanganinya.

"Nabi Muhammad SAW berpesan siapa yang kata manusia itu rosak, orang Islam itu binasa, dialah yang paling binasa di kalangan mereka atau dialah yang membinasakan mereka. Hadis ini bahaya dan perlu difikirkan.

"Sementara Imam Syafie berkata, biar aku fikir sekejap daripada solat 1,000 rakaat kerana jika aku solat itu untuk diri aku tetapi jika aku fikir, fikiran itu akan dipakai beratus tahun. Jariah aku tidak pernah ada noktahnya," katanya.

Friday, January 15, 2010

Sistem pensijilan halal Jakim dapat pengiktirafan dunia

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

PIHAK industri luar negara memohon pensijilan halal Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana mengakui kelebihan logo halal itu terutama untuk meningkatkan hasil jualan serta menarik pengguna Islam.

Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Mohd Amri Abdullah, berkata pensijilan halal kini bukan mengenai hukum syarak saja, sebaliknya menjadi strategi utama pemasaran pihak industri termasuk syarikat luar negara untuk meningkatkan penjualan.

Bagi sijil halal Malaysia pula katanya, ia mendapat perhatian industri luar negara kerana sistem pensijilan halal yang dipertanggungjawabkan kepada Jakim itu diiktiraf dunia dari segi dokumentasi dan kualiti standard yang ditetapkan.

"Pensijilan halal Jakim menggabungkan Islam (hukum syarak) dan sains (teknologi) menjadikan logo halal Malaysia diiktiraf di peringkat dunia. Oleh itu, setiap tahun kita lihat ada peningkatan permintaan menggunakan logo halal Malaysia termasuk dari luar negara.

"Kajian menunjukkan jualan produk mempunyai sijil halal meningkat 30 peratus berbanding sebelum itu juga menjadi faktor pendorong kepada syarikat untuk memohon sijil dan logo halal," katanya di pejabat Bahagian Hab Halal Jakim di Cyberjaya.

Beliau yang baru pulang daripada membuat pemeriksaan produk di Brazil berkata, Malaysia sering menjadi rujukan pensijilan halal sehingga ada syarikat pengeluar logo halal akan bertanya kepada syarikat yang memohon sama ada Jakim sudah datang membuat penyelidikan atau belum.

Dalam erti kata lain, jika Jakim sudah membuat penyelidikan di sesebuah syarikat itu, maka tugas badan pengeluar sijil halal akan menjadi lebih mudah kerana tahap keyakinan terhadap ketegasan Jakim dalam aspek mengeluarkan sijil halal.

Mohd Amri berkata, ketegasan Jakim memastikan hukum syarak dipatuhi dan aspek kebaikan toyyibah produk serta perkhidmatan terjamin juga adalah faktor mendorong pihak industri mendapatkan pensijilan halal daripada jabatan itu.

Justeru, pihaknya sentiasa memberi kefahaman mengenai maksud halalan toyyibah secara meluas supaya pihak industri serta pengguna tahu bahawa halal bukan saja bebas daripada unsur haram mengikut syarak malah merangkumi perkara lain yang perlu diberi perhatian serius.

"Sembelih ayam putus halkum sudah menepati syarak dan halal tetapi jika tempat meletak ayam tidak bersih boleh menyebabkan kuman bakteria, itu tidak boleh. Konsep baik itu subjektif kerana pemahaman berbeza dan disebabkan itu kita keluarkan standard supaya mudah faham.

"Sekarang ramai sudah faham halal itu bukan tidak ada babi atau benda haram lain dan perlu ditekankan Jakim meneliti secara keseluruhan. Jika makanan, boleh dikatakan kita periksa dari ladang hinggalah dihidangkan di atas meja.

"Rangkaian penyediaan diambil kira termasuk bahan mentah digunakan, serbuk tambahan, label, pembungkusan, pengangkutan, pekerja dan premis. Semua itu dilihat satu persatu kerana ini amanah dan kita bakal dipertanggungjawabkan," katanya.

Katanya, penyebaran maklumat mengenai konsep halal dan kepentingannya dilakukan melalui laman web hab halal, ceramah, seminar, kedutaan di luar negara, badan Islam luar negara yang diiktiraf Jakim serta hebahan di media.

Mengenai syarat bagi syarikat luar negara yang ingin memohon pensijilan halal Malaysia, selain borang permohonan, pihak syarikat perlu melantik eksekutif halal atau menubuhkan jawatankuasa halal dalaman.

Oleh kerana kebanyakan pemilih syarikat dari luar negara bukan Islam, eksekutif halal dan jawatankuasa halal dalaman bertanggungjawab memastikan syarat penggunaan sijil dan logo halal Malaysia dipatuhi dengan berkesan.

Pemeriksaan ke premis pemohon biasanya tidak memakan masa lama tetapi jika ada aspek yang tidak menepati peraturan ditetapkan Jakim, maka pemilik syarikat diminta membuat penambahbaikan dan juruaudit Jakim akan melakukan pemeriksaan semula. Tetapi, bagi permohonan yang jelas tidak menepati hukum syarak, ia tidak akan diluluskan.

Selain syarat permohonan Jakim, pensijilan halal Malaysia turut disertai sijil lain seperti HACCP, Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Sistem Keutamaan Am (GSP).

Mohd Amri berkata, tugas di galang juruaudit Jakim yang melakukan pemeriksaan di premis pihak yang memohon pensijilan halal pemohon bukan mudah dan memerlukan tahap kecekapan serta semangat tinggi kerana tugas itu memang mencabar.

Selain itu, juruaudit yang pakar dalam bidang syariah perlu mengetahui ilmu serta perkembangan teknologi, begitu juga sebaliknya bagi pakar teknologi supaya masing-masing dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

"Juruaudit perlu ada niat suci, roh halal dan jihad halal. Contohnya, nak periksa ayam yang bakal disembelih selalunya operasi bermula seawal jam tiga pagi. Maknanya juruaudit kena bangun pagi dan jika tidak kuat roh jihad, maka syahid jawapannya.

"Begitu juga tugasan luar yang ada kalanya terpaksa melalui penerbangan hingga 30 jam dan jadual di sana pula ketat. Semua itu memerlukan kesabaran dan jika tidak ada jiwa halal, itu yang rasa susah," katanya.

Menyentuh mengenai penguatkuasaan seperti pemeriksaan ke premis yang mendapat pensijilan halal Jakim, ia dilakukan mengikut kategori iaitu bagi berisiko tinggi seperti rumah sembelihan dan syarikat pengeluar produk berasaskan daging, tiga bulan sekali.

Bagi syarikat besar yang menjaga kepatuhan kepada syarat pensijilan yang dikategorikan sebagai berisiko rendah, pemeriksaan dilakukan setahun sekali.

Wednesday, January 13, 2010

Program MLM jual buku dalam internet ikut syariah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Guna konsep hanya ahli aktif dapat ganjaran bagi pastikan keuntungan dikongsi secara adil

PERNIAGAAN pemasaran pelbagai tingkat (MLM) berdasarkan syariah secara khusus mungkin tidak ada atau belum pernah didengar tetapi tidak bermakna konsep perniagaan itu tidak boleh dilaksanakan.

Stormreaders Network Sdn Bhd, anak syarikat Telaga Biru Sdn Bhd yang menerbitkan buku dan bahan ilmiah mengambil langkah meneroka perniagaan MLM patuh syariah dengan memperkenalkan Program Gabungan Kedai Buku Online Pemasaran Pelbagai Tingkat (MLM).

Pengurus Besar Stormreaders Network, Syah Rizal Mohamed, berkata program yang pertama di Malaysia itu memberi peluang ahli yang berminat menjana pendapatan daripada penjualan buku di kedai buku online (e-store).

Katanya, pada masa sama, ahli dapat meningkatkan ilmu pengetahuan, meningkatkan minat membaca, berjihad menyebarkan ilmu bermanfaat seterusnya menjalin silaturahim sesama ahli dan masyarakat.

"Melalui program MLM penjualan buku melalui internet ini diharap dapat memberi satu pemikiran baru bahawa walaupun MLM tidak diceritakan dalam Islam, ia tidak dilarang selagi pelan perniagaan itu patuh kepada syariah.

"Selain membantu ahli yang berminat, matlamat kita ialah menggalakkan lebih ramai membaca kerana tidak dinafikan peratusan membaca buku di negara ini memang kurang," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Program Gabungan Kedai Buku Online MLM baru-baru ini.

Perasmian disempurnakan Pengarah Urusan Stormreaders Network, Waharp Md Yusof. Hadir sama, Pengarah Eksekutif Telaga Biru Sdn Bhd, Zahazan Mohamed yang turut menyampaikan ceramah bertajuk 'Ilmu dan Keberkatan Rezeki'.

Program Gabungan Kedai Buku Online MLM membolehkan ahli memiliki e-store masing-masing dengan modal sebanyak RM90 dan setiap pembelian daripada kedai itu, pemilik e-store akan mendapat 20 peratus komisen jualan peribadi.

Keistimewaan program ini ialah semua aktiviti pembelian dan tempahan dilakukan secara online di e-store sementara penghantaran pula dilakukan oleh Stormreaders Network. Pemilik kedai juga boleh membuat penghantaran peribadi jika perlu.

Dalam program ini juga, pemilik e-store boleh maju ke peringkat pengedar dan mempunyai rangkaian dengan mengumpul 100 mata ganjaran daripada pembelian peribadi. Setiap pembelian berharga RM3 membolehkan pemilik e-store menerima satu mana ganjaran.

Seperti perniagaan MLM lain, Program Gabungan Kedai Buku Online MLM membolehkan ahlinya mendapat bonus daripada jualan kumpulan rangkaian sebanyak 15 peratus tetapi Stormreaders Network mengehadkan jumlahnya kepada RM4,500 seminggu.

Syah Rizal berkata, langkah mengehadkan bonus jualan rangkaian RM4,500 sebulan bagi mengelak lebihan bayaran kerana tidak adil jika ahli tidak bekerja keras tetapi memperoleh pendapatan selain memberi peluang kepada ahli rangkaian menikmati bonus.

Beliau berkata, itulah perbezaan Program Gabungan Kedai Buku Online MLM dalam usaha mematuhi kehendak syariah dengan memastikan perniagaan tidak memberi kemudaratan kepada setiap ahli dan hanya yang benar-benar bekerja layak mendapat ganjaran.

"Jika tidak dimaksimumkan, akan terjadilah terlebih bayar. Tetapi had maksimum hanya untuk tempoh seminggu. Jika minggu berikutnya ahli berjaya mencapai jualan, mereka layak menerima bonus lagi," katanya.

Katanya, bukan mudah untuk mengembangkan pelan MLM yang patuh syariah dan Program Gabungan Kedai Buku Online MLM sendiri memakan masa dua tahun untuk dirombak serta diperbaiki supaya benar-benar mengikut syariah.

Antaranya, menetapkan produk dijual pada harga pasaran mengambil konsep mengelak penguasaan orang tengah atau harga tidak mengikut pasaran merujuk hadis Rasulullah SAW yang memuji serta mendoakan sahabat yang menjual kambing mengikut harga pasaran.

Syah Rizal berkata, MLM sedia ada tidak mempunyai asas menyebabkan harga produk dijual ada kalanya dua kali ganda daripada pasaran dan itu menjadikan perniagaan MLM seolah-olah permainan mengaut keuntungan.

Begitu juga konsep bonus ganjaran merujuk kepada kisah di zaman Nabi Yusuf apabila pemerintah menawarkan makanan seberat seekor unta kepada sesiapa menjumpai piala yang hilang. Syarat dikenakan untuk meraih sesuatu.

Dalam hal MLM patuh syariah, ahli yang bekerja dan mencapai sasaran layak menerima ganjaran bonus dan bagi Program Gabungan Kedai Buku Online MLM, setiap ahli rangkaian perlu aktif bagi membolehkan mereka mendapat ganjaran tambahan.

"Ada mengatakan bezanya MLM ini hanya akad saja tetapi perlu ditekankan akad nikah yang hanya seminit itu penting kerana ia akan menghalalkan hubungan lelaki perempuan. Jadi tiada istilah akad saja, kerana nilai akad itu besar.

"MLM patuh syariah tidak boleh disamakan seperti ayam yang

disembelih dengan yang mati kena langgar, apabila digoreng dan diletakkan di kedai nampak serupa saja tetapi hakikatnya, satu disembelih dan satu lagi mati dilanggar," katanya.

Beliau berkata, di Stormreaders Network, konsep diguna pakai ialah hanya mereka yang aktif bakal mendapat ganjaran bagi memastikan keuntungan dikongsi secara adil, bukan siapa letak duit banyak bakal mendapat keuntungan banyak.

Syah Rizal berkata, sejak memulakan operasi secara online pada awal Disember tahun lalu, Program Gabungan Kedai Buku Online MLM sudah mempunyai 500 ahli dan syarikat menyasarkan 5,000 ahli sehingga akhir tahun ini.

Katanya, buat masa ini Stormreaders Network yang dipayungi Telaga Biru hanya menjual kira-kira 200 tajuk buku, cakera padat (CD), video cakera padat (VCD) dan cakera video digital terbitan syarikat berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan mengajak syarikat penerbitan tempatan dan luar negara untuk menyertai program itu bagi memberi lebih banyak pilihan buku kepada pemilik e-store dan pembeli.

Menjawab persoalan kemungkinan hasrat untuk menggalakkan lebih ramai membaca tidak tercapai apabila ahli lebih menumpukan kepada perniagaan berbanding memenuhi usaha menyebarkan ilmu, beliau melihat perkara itu secara positif.

"Mungkin mereka beli sekarang untuk meningkatkan jumlah jualan tetapi akan tiba masa mereka mengambil buku itu untuk membacanya. Jika tidak hari ini, anak cucu ahli akan membacanya nanti dan buku tidak ada tempoh luput. Visi kita ialah membawa ilmu ke dalam rumah," katanya.

Saturday, January 9, 2010

Teroka kesamaan dalam agama elak konflik masyarakat

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


DR REZA (kanan) berbincang bersama Pushkain Rahman dan Graeme Vanderstoel (tengah) selepas menyampaikan ceramah bertajuk 'Titik Persamaan: Kesamaan Kerohanian dan Etika Antara Islam dan Buddha' di IAIS, kelmarin.


Asas kepercayaan boleh jadi faktor penyatuan antara penganut jika saling menghormati

MELIHAT persamaan antara agama bukan bermakna menyamakan antara dua agama tetapi bertujuan mempelajari serta memahami sesuatu agama itu bagi mengelak salah faham seterusnya mengambil apa yang baik untuk dimanfaatkan.

Felo Penyelidik Institute of Ismaili Studies, London, Dr Reza Shah-Kazemi, berkata antara agama Islam dan Buddha ada persamaan yang jika dikaji akan menarik masyarakat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai kedua-dua agama.

Katanya, melalui pemahaman itu juga dapat mengelak konflik membabitkan agama sebaliknya masyarakat pelbagai agama boleh hidup dalam suasana harmoni apabila masing-masing sentiasa menghormati agama anutan pihak lain.

"Memang ada perbezaan besar antara dua agama jika kita melihat kepada asas kepercayaan serta doktrin antara Islam dan Buddha. Apabila ingin mencari titik persamaan kita tidak boleh melihat daripada aspek akidah tetapi kerohanian.

"Ini kerana apabila melihat aspek kerohanian, ia adalah manifestasi kepada kesamaan yang ada pada kedua-dua agama," katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk 'Titik Persamaan: Kesamaan Kerohanian dan Etika Antara Islam dan Buddha' di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS), kelmarin.

Beliau yang turut menghasilkan buku 'Buddhism and Islam: The Common Ground' berkata, penekanan ceramahnya itu adalah hasil penyelidikan selama tiga bulan membaca teks agama Buddha dalam usaha meningkatkan kefahaman serta mencari apa yang sama antara kedua-dua agama.

Walaupun menekankan aspek kerohanian untuk mencari titik persamaan berbanding teologi, Dr Reza pada ceramahnya tidak menafikan akan kemungkinan wujudnya persamaan dalam asas kepercayaan agama antara Buddha dan Islam.

Katanya, persamaan menakjubkan boleh dilihat apabila tumpuan diberi kepada bagaimana kedua-dua agama memahami mengenai zat Allah, nama Allah dan kualitinya seperti al-Haq yang bermaksud nyata dan benar.

"Ajaran Buddha tidak terhad kepada norma dan tingkah laku saja kerana dharma (kata-kata) Buddha turut mengiktiraf keadaan nirwana iaitu suasana aman sesudah mati. Walaupun tidak dijelaskan mengenai konsep kuasa yang menjadikan, ini tidak bermakna Buddha menafikan hakikat itu.

"Sementara Islam melihat zat dan nama Allah sebagai kepercayaan kepada kuasa mutlak yang menjadikan dan keyakinan ada alam akhirat. Cuma ia tidak boleh digambarkan secara jelas sebaliknya berdasarkan andaian dibuat mengikut daya akal," katanya.

Pada ceramahnya juga, Dr Reza membangkitkan persoalan mengenai kedudukan penganut Buddha yang menyentuh kepada aspek kepercayaan apabila menanyakan apakah penganut agama itu perlu dilayan seperti ahli kitab.

Beliau merujuk kisah berlaku di zaman Al-Hujaj bin Yusuf yang memberi maklum balas kepada anak saudaranya, Muhammad bin Qasim, mengenai apa yang patut dilakukan kepada penganut Buddha yang ditemui selepas berjaya menakluk India.

Penganut Buddha seperti diceritakan kisah itu tidak termasuk golongan musyrik berdasarkan kepercayaan serta amalan agama dianuti dan sebagai jawapan, Al-Hujaj menyuruh Muhammad melindungi mereka jika membayar jizyah.

Katanya, ada kesepakatan antara ulama untuk mengiktiraf penganut Buddha sebagai ahli kitab. Syafie juga tidak menolak hakikat itu kerana al-Quran ada menyebut kepada suhuf Ibrahim dan Musa yang diberikan kepada nabi lain.

Ini menjurus kepada cadangan, kemungkinan Buddha yang menyebarkan ajaran selepas mendapat kesedaran adalah nabi yang diutuskan kepada umatnya kerana agama Buddha mempunyai naskah yang mengandungi peraturan agama.

Beliau turut merujuk situasi itu kepada ayat 137, surah al-Baqarah yang bermaksud: "Maka jika mereka beriman seperti kamu beriman (dengan kitab Allah dan rasul-Nya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk."

Bagaimanapun, cadangan mengenai penganut Buddha sebagai ahli kitab tidak diterima pensyarah kanan Jabatan Pengajian China, Universiti Malaya, Dr Ching Thing Ho, yang menjelaskan agama Buddha tidak mengiktiraf identiti sebagai individu.

Beliau yang diundang untuk memberi komentar kepada ceramah Dr Reza berkata, tiadanya konsep identiti atau individualisme dalam ajaran Buddha menyebabkan penganutnya tidak boleh disamakan dengan ahli kitab.

Namun, beliau tidak menolak di sebalik perbezaan antara kedua-dua agama wujudnya persamaan dalam aspek teologi sambil mengakui bukan mudah untuk perkara itu dijelaskan dan ia tidak boleh dijelaskan oleh manusia.

"Tuhan digambarkan seperti manusia tetapi bukan manusia. Jadi memang tidak boleh dijelaskan dengan kata-kata. Dari segi kerohanian, memang ada persamaan antara kedua-dua agama dan banyak yang perlu dilakukan untuk menjelaskan perkara itu," katanya.

Katanya, di Malaysia, tidak ramai penganut Buddha yang belajar atau benar-benar memahami agama itu mungkin disebabkan ajaran Buddha kaya dengan falsafah menyebabkan pemahaman mereka tidak sampai kepada tahap melihat persamaan dengan agama lain.

Merumuskan ceramah mengenai titik persamaan antara agama Islam dan Buddha, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IAIS, Prof Datuk Dr Osman Bakar, berkata matlamatnya adalah melihat agama sebagai faktor penyatuan.

Beliau berkata, penekanan memahami agama lain memberi peluang masyarakat melihat persamaan yang boleh mewujudkan suasana harmoni kerana perbezaan hanya akan menimbulkan konflik.

"Dialog antara Islam dan Buddha tidak banyak berlaku dan apa yang dibentangkan Dr Reza sebagai petunjuk bahawa ada kesamaan yang patut diterokai dan difahami penganut kedua-dua agama.

"Apabila masing-masing saling memahami, barulah dapat menghormati serta menghargai kesamaan yang pasti memberi banyak manfaat. Orang Islam tahu apa yang diajarkan agama Buddha dan penganut Buddha akan menghargai Islam," katanya.

Friday, January 1, 2010

Mengharapkan hijrah untuk kehidupan lebih baik

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Iman, jihad, matlamat akhir ke syurga mampu bentuk masyarakat Islam berkualiti

PERUBAHAN ke arah kehidupan lebih baik yang sering dikaitkan dengan sejarah hijrah Nabi Muhammad SAW bukan sesuatu yang mudah dilakukan dan tidak ramai berminat untuk keluar daripada zon selesa diduduki sekarang.

Bagaimanapun, menurut perunding motivasi Human Touch Consultant, Mohd Zawawi Yusoh (gambar), hijrah akan menjadi mudah serta menyeronokkan jika perubahan itu bersandar kepada tiga komponen iaitu iman, jihad serta matlamat akhir untuk mencapai syurga.

Katanya, pengertian hijrah yang membawa maksud bermula daripada awal juga perlu diubah kepada memulakan sesuatu dengan mengingati matlamat akhir kerana cara itu lebih berkesan untuk mendorong seseorang berubah.

"Cerita sejarah hijrah Nabi Muhammad SAW adalah cerita lama tetapi akan menjadi baru jika umat Islam dapat menghayati cara hidup Baginda dalam niat untuk melakukan penghijrahan atau perubahan ke arah kehidupan lebih baik.

"Al-Quran apabila bercerita mengenai hijrah selalu mengaitkannya dengan orang yang beriman dan ini menguatkan bahawa hijrah itu bermula dengan iman," katanya pada Majlis Sambutan dan Ceramah Maal Hijrah di surau di Balai Berita, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, melihat kepada kedudukan diri, seseorang perlu bertanya apakah mereka sudah benar-benar beriman dan jika sebaliknya hendaklah berusaha memulakan hijrah dengan mempertingkatkan keimanan.

Zawawi berkata, tiga konsep iman jika difahami akan menjadikan penghijrahan bakal dilakukan bermula dengan iman itu berakhir dengan mencapai hasil diharapkan akhirnya iaitu meraih syurga Allah pada akhirat kelak.

Pertama, konsep iman ilmu al yakin yang mendorong seseorang itu berubah atas dasar iman serta ilmu. Maknanya, apa yang dilakukan semata-mata kerana Allah, bukan tujuan mendapat pengiktirafan atau layanan baik daripada pihak tertentu.

Contohnya, majikan dan pekerja yang saling hormat menghormati antara satu sama lain bukan saja di pejabat tetapi di mana juga mereka berada, adalah sebagai memenuhi suruhan Allah bukan kerana terpaksa.

Konsep iman ainul yakin pula adalah rasa yakin yang lahir seolah-olah apa yang diyakini itu dapat dilihat dengan mata kasar. Walaupun Nabi Muhammad SAW sudah tiada, hati kuat berasa untuk berubah dan mencontohi keperibadian Baginda.

"Ainul yakin ialah kita percaya walau tidak nampak dengan mata kasar. Malangnya sifat manusia ini, sudah nampak baru yakin atau sudah terkena baru nak sedar. Mat rempit selepas kemalangan dan patah kaki baru hendak menyesal.

"Sepatutnya walaupun Nabi Muhammad sudah tiada melihat kepada sirah Rasulullah kita tetap ingin menjadi seperti Baginda. Inilah yang dinamakan melakukan sesuatu kerana kita yakin balasannya nanti," katanya.

Sementara iman haqqul yakin pula katanya, adalah keyakinan yang sudah sebati dalam jiwa seseorang itu yang dapat digambarkan melalui perasaan seolah-olah apa yang dilihatnya ialah apa yang Allah lihat dan apa yang didengarnya ialah apa yang Allah dengar.

Dalam erti kata lain, Allah hanya suka melihat benda yang baik-baik dan itulah yang dilihat seseorang yang berhijrah. Begitu juga Allah suka mendengar perkara yang baik-baik saja dan itulah yang sepatutnya kita dengar.

Zawawi berkata, walaupun asasnya perubahan seolah-olah sukar untuk dilaksanakan tetapi dengan keyakinan kepada janji Allah seseorang itu mampu melakukannya dengan syarat sentiasa berdoa bersungguh-sungguh, berusaha melakukan suruhan agama, kreatif dalam berusaha dan akhirnya bertawakal kepada Allah.

Tuesday, December 22, 2009

NGO wanita Islam perlu bersatu perjuangkan isu semasa

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) wanita Islam perlu bersatu supaya pendirian mereka dapat disuarakan dengan lantang serta diberi perhatian dalam memperjuangkan isu semasa berkaitan kepentingan umat Islam terutama membabitkan kebajikan wanita.

Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, berkata kesepakatan antara semua NGO wanita Islam membolehkan tindakan serta pandangan mereka disuarakan secara bersepadu.

Katanya, hubungan akrab dengan media massa juga perlu dipertingkatkan bagi membuka ruang untuk NGO wanita Islam berkongsi pandangan atau pendirian dengan masyarakat umum serta menghebahkan aktiviti dianjurkan demi kepentingan bersama.

"Tidak dinafikan NGO wanita Islam banyak serta ada yang terkenal, tetapi disebabkan tidak ada kesepakatan, apabila timbul isu membabitkan Islam, ia nampak seolah-olah tidak ada kenyataan yang lantang daripada NGO wanita Islam.

"Sebenarnya semua NGO buat kerja dan menyumbang, cuma apabila kita bertindak secara sendirian maka apa yang dilakukan tidak nampak ketara. Lagi satu, tindakan kita tidak dihebahkan di media massa," katanya.

Beliau yang ditemui pada Majlis Wehdatul Fikr Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Islam anjuran Yadim, baru-baru ini berkata, pertemuan kira-kira 23 NGO wanita Islam pada majlis itu diharap dapat menghasilkan satu kesepakatan yang akan mengukuhkan peranan mereka memartabatkan Islam dalam pelbagai bidang.

Nik Safiah berkata, cadangan supaya setiap NGO berkongsi maklumat mengenai aktiviti yang dijalankan turut mendapat perhatian dalam usaha meningkatkan kerjasama dan semangat saling bantu membantu.

Katanya, perkongsian pintar itu juga membolehkan setiap program dirancang dengan lebih berkesan berdasarkan kepada keperluan supaya dapat memenuhi kehendak dan memberi manfaat kepada kumpulan sasar.

Selain mempereratkan hubungan silaturahim, kira-kira 100 peserta yang hadir pada majlis itu turut didedahkan isu semasa membabitkan umat Islam seperti isu sosial, kekeluargaan, ekonomi dan perundangan syariah yang menjadi misi perjuangan kebanyakan NGO wanita Islam.

Dua kertas kerja turut dibentangkan meliputi permasalahan isu perundangan syariah serta kes kekeluargaan yang menjadi perkara utama perjuangan NGO membela nasib wanita dan kepentingan pembangunan ekonomi kepada wanita.

Kertas kerja undang-undang syariah dibentangkan Timbalan Pengerusi MPWIM, Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal sementara Ahli Majlis MPWIM, Datin Aminah Pit Abdul Rahman menjelaskan mengenai isu ekonomi semasa berkaitan wanita.

Mengenai jurang antara pemimpin tua dengan generasi muda dalam NGO wanita Islam, Nik Safiah mengakui tidak ramai anak muda menunjukkan minat untuk berkecimpung dalam kerja-kerja bersifat sukarela.

Keadaan itu katanya, menampakkan seolah-olah NGO wanita Islam dikuasai golongan tua atau mereka yang sudah pencen sedangkan kerjasama kumpulan profesional muda serta pelajar memang dialu-alukan untuk mencapai misi perjuangan.

"Apabila tiada gabungan antara yang tua dan muda, itu yang kita nampak seakan ada jurang. Sebenarnya kita memang memerlukan kumpulan pelapis yang akan meneruskan perjuangan membela serta meningkatkan kehidupan umat Islam," katanya.

"Mungkin sistem pendidikan kita juga perlu menekankan semangat sukarela di kalangan pelajar sejak kecil lagi. Pada masa sama, kita hendaklah melihat apakah faktor yang mengurangkan semangat sukarela atau semangat ingin membantu ini," katanya.

Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Fadhlina Siddiq, berkata jurang generasi dalam NGO wanita Islam boleh diperbaiki melalui usaha penyatuan dan gerakan menarik lebih ramai anak muda aktif dalam aktiviti sukarela.

Beliau berkata, perjumpaan semua NGO wanita Islam boleh menjadi landasan atau permulaan ke arah menjalinkan hubungan erat antara ahli pertubuhan seterusnya menjadikan NGO wanita Islam lebih menonjol untuk memperjuangkan isu berkaitan kepentingan wanita.

"Apabila ada kesatuan kita boleh bergerak lebih agresif. Walaupun setiap pertubuhan mempunyai visi serta misi perjuangan tersendiri tetapi itu tidak menghalang untuk menjalinkan kerjasama kerana setiap NGO boleh saling bantu membantu.

"Kita juga boleh bekerjasama menganjurkan program atau bersatu melahirkan pandangan supaya suara wanita Islam lebih lantang. Apabila ada isu berbangkit, kita boleh berkumpul, berbincang, mencari penyelesaian dan menetapkan pendirian," katanya.

Katanya, Abim sebagai pertubuhan belia memiliki sukarelawan dan kepakaran menarik pembabitan golongan muda sentiasa bersedia menjalinkan kerjasama dengan NGO wanita Islam lain terutama dalam menggerakkan aktiviti untuk kumpulan sasar berkenaan.

Thursday, December 10, 2009

AS tak perlu guna perantara untuk dekati dunia Islam

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


PELBAGAI pandangan dibentangkan ketika ceramah umum bertajuk �Memperbaiki Hubungan AS dan Dunia Islam: Beberapa Cadangan Praktikal� di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia, kelmarin.


Kedua-dua pihak patut mencari persamaan memungkinkan perhubungan yang lebih baik

HARAPAN dunia Islam untuk melihat perubahan dasar luar Amerika Syarikat (AS) sebaik Barack Obama dipilih sebagai presiden negara kuasa dunia itu amat tinggi tetapi seorang ilmuan berpendapat Obama bukan saja gagal memenuhi harapan berkenaan malah tidak menampakkan perubahan positif ke arah itu.

Penolong Profesor Kolej Sosiologi Kuliyyah Pengajian Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Omar Hisham Altalib, berkata polisi AS menyebabkan banyak perkara yang ingin diubah Presiden AS itu sukar dilaksanakan.

Bagi umat Islam pula katanya, beranggapan bahawa AS mempunyai kuasa untuk melakukan apa saja dan apabila AS gagal menyelesaikan masalah yang tercetus, ia adalah kerana kuasa besar itu sengaja tidak mahu membantu.

"Itulah tanggapan kebanyakan masyarakat dunia dan umat Islam bahawa AS boleh melakukan apa saja dengan teknologi yang dia ada. Jadi jika ada sesuatu berlaku di tempat lain AS mesti sudah tahu perkara itu terlebih dulu dan jika AS tidak buat apa-apa, maknanya itu salah AS.

"Apabila AS masuk campur, mereka dikritik dan apabila tidak masuk campur pun tetap dikritik," katanya ketika menyampaikan ceramah umum bertajuk 'Memperbaiki Hubungan AS dan Dunia Islam: Beberapa Cadangan Praktikal' di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS), kelmarin.

Hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Eksekutif Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR), Tan Sri Hasmy Agam, wakil kedutaan asing, pegawai kementerian, pensyarah universiti dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dr Omar berkata, cadangan yang dikemukakannya bertujuan memperbaiki hubungan AS dengan dunia Islam supaya kedua-dua pihak dapat saling memahami dan mengetahui apa yang diharapkan daripada satu sama lain.

Katanya, salah faham berlaku menyebabkan wujud tanggapan tidak adil kepada pihak satu lagi sedangkan AS dan dunia Islam sepatutnya mencari persamaan memungkinkan mereka mempunyai hubungan lebih baik terutama dalam menangani masalah membabitkan AS dengan umat Islam.

Melihat kepada sejarah, polisi ketamadunan Islam yang terbina 1,400 tahun lalu sebenarnya ada dalam pemikiran AS yang membentuk tamadun negara itu tetapi polisi berkenaan sukar dilaksanakan kerana wujudnya konflik dalam sistem pentadbirannya.

Tiga polisi dikongsi tamadun Islam dan AS ialah tidak menyakiti orang lain dan tidak mahu disakiti oleh orang lain, kebebasan dalam beragama dan memastikan kebebasan dalam perniagaan kepada

semua orang.

Justeru katanya, matlamat umat Islam dan AS perlu menumpukan kepada usaha menyelesaikan konflik yang wujud supaya hubungan antara AS dengan dunia Islam dapat diperbaiki dan lebih banyak perkara baik mampu dicapai.

"Masalahnya ialah dalam pentadbiran AS sendiri ada konflik. Bagi jabatan pertahanan, mereka mahu kerja selesai tetapi bagi jabatan diplomasi, inginkan hubungan baik dalam aspek sosial dengan negara lain.

"Masyarakat dunia melihat AS sebagai satu kuasa pentadbiran dan ini menyebabkan timbul anggapan seolah-olah AS tidak ada usaha sedangkan dalam membuat keputusan, antara jabatan ada konflik.

"Itulah matlamat saya iaitu untuk cuba menyelesaikan konflik kerana jika kedua-dua pihak, AS dan dunia Islam dapat bekerjasama, banyak masalah mampu ditangani. AS dan dunia Islam perlu berbaik-baik melalui perubahan polisi kedua-dua pihak," katanya.

Beliau juga mengharapkan beberapa polisi yang menjadi halangan kepada perhubungan lebih baik AS dan dunia Islam diubah antaranya proses permohonan visa supaya lebih telus dan dipermudahkan termasuk memberi alasan bagi permohonan yang ditolak.

AS juga perlu menilai semula keperluan mengambil kakitangan yang tahu bahasa serta budaya setempat bukan melahirkan pegawai yang membosankan hanya kerana takut melanggar polisi ditetapkan kerajaan.

Dr Omar berkata, apa yang berlaku sekarang, AS tidak akan menggajikan pekerja daripada kalangan mereka yang tahu bahasa serta budaya sesuatu tempat dengan alasan tidak mahu kakitangan terpengaruh atau berasa belas dengan masyarakat tempatan.

Beliau berkata, Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) juga perlu memastikan bantuan pembangunan benar-benar sampai kepada kumpulan sasar termasuk umat Islam, bukan mereka yang pro AS atau pihak tidak sepatutnya.

"Saya juga mencadangkan AS terbabit dengan semua kumpulan umat Islam terutama yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat. Dengan cara itu mereka akan kenal kumpulan mana yang ganas dan kumpulan mana boleh memberi kebaikan.

"Mereka tidak perlu rapat dengan kumpulan berkenaan, cukup sekadar menerima kumpulan itu dengan baik dan tahu apa yang ingin mereka sampaikan. Sekarang ini AS lebih senang menggunakan kumpulan perantaraan untuk mendekati masyarakat Islam," katanya.

Pada masa sama katanya, umat Islam dan dunia Islam juga perlu mengambil langkah sama bagi memperbaiki hubungan dengan AS termasuk menubuhkan satu badan yang boleh bersuara serta menjadi rujukan untuk menjawab soalan daripada bukan Islam.

Penjelasan juga perlu dibuat bagi membezakan Arab dengan Muslim bagi memperbetulkan tanggapan jika sesuatu itu dilakukan oleh bangsa Arab, maknanya ia adalah tindakan Muslim keseluruhan sedangkan ada tindakan bangsa Arab tidak dipersetujui Muslim lain.

Isu lain yang perlu diberi perhatian ialah hak wanita kerana suka atau tidak AS bimbang mengenai nasib wanita Islam kerana berdasarkan maklumat diterima, AS sentiasa memberi gambaran salah terhadap hak wanita Islam.

Saturday, December 5, 2009

Jakim anjur Ekspedisi Kasih sempena Aidiladha

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


BERAMAH mesra sempena program Ekspedisi Kasih di Pos Hendrop.


Program bertujuan memberi penjelasan mengenai ibadat korban kepada Orang Asli

MENGGUNAKAN pendekatan dakwah bil hal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan program Ekspedisi Kasih sempena sambutan Aidiladha di perkampungan Orang Asli di Pos Hendrop, Gua Musang, Kelantan.

Program bertujuan memberi penjelasan dan pendedahan mengenai ibadat korban kepada masyarakat Orang Asli serta cara meraikannya menurut kaca mata Islam itu diketuai Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Program julung kali dianjurkan itu mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Wan Mohamad berkata, penganjuran program ibadat korban kepada kumpulan sasar seperti masyarakat Orang Asli secara langsung membolehkan mereka menghayati hikmah dilaksanakan korban yang menjadi syariat agama.

Katanya, pembabitan masyarakat Orang Asli dalam aktiviti penyembelihan dan pengagihan secara gotong-royong dengan semangat kerjasama memperlihatkan kemurnian Islam dalam menjaga kepentingan golongan kurang berkemampuan.

"Semangat kerjasama ini dapat menerapkan nilai murni ibadat korban kepada masyarakat Orang Asli dalam hubungan sesama manusia kerana selain membantu mereka yang tidak berkemampuan, pelaksanaan secara gotong-royong mengeratkan lagi hubungan silaturahim.


WAN MOHAMAD (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Orang Asli.


"Hikmah ibadat korban ini perlu dihayati supaya tujuan pengorbanan itu benar-benar mencapai matlamat," katanya pada majlis perasmian program Ekspedisi Kasih yang diadakan selama tiga hari untuk mengimarahkan sambutan Aidiladha.

Hadir sama, wakil Abim, Datuk Dr Abdul Razak Kecik; Pengarah JHEOA Negeri Kelantan, Abdul Razak Arsyad dan Mohd Zamri dari Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) serta pengurusan tertinggi Jakim.

Selain menyembelih tujuh ekor lembu, program itu dimeriahkan dengan jamuan hari raya, penyampaian sumbangan oleh Pertubuhan Himpunan Lepasan Institut Pendidikan Malaysia (Haluan) dan ceramah bertajuk Sejarah Ibadat Korban oleh Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA).

Pada majlis itu, Wan Mohamad turut merasmikan surau di tengah-tengah perkampungan Pos Hendrop sebagai hadiah kepada penduduk kampung selain menyampaikan sumbangan wang dan barangan berjumlah RM10,000.

Program meraikan penduduk Pos Hendrop terdiri dari 13 kampung itu turut melakar sejarah apabila 142 penduduk melafazkan syahadah termasuk Tok Batin Kampung Hendrop, Penghulu Rongging Busu.

Wan Mohamad berkata, Jakim akan menghantar pegawainya pada 11 Disember nanti bagi membuat proses susulan dan pemantauan seterusnya membantu masyarakat Orang Asli yang baru memeluk Islam.

"Saya gembira kerana majlis ini disempurnakan pada hari raya korban dan berharap dapat menjenguk lagi semua saudara Islam di sini pada sambutan Maulidur Rasul nanti untuk bersama-sama meraikan hari mengimbau sejarah perjuangan Rasulullah SAW," katanya.

Jumlah keseluruhan penduduk di Pos Hendrop ialah 594 orang dan 346 daripadanya beragama Islam.

Friday, November 13, 2009

Memahami konsep taqlid, Ijtihad, talfiq

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


ABDULLAH bersalaman dengan peserta seminar ketika merasmikan Seminar Taqlid, Ijtihad dan Talfiq di IKIM, Kuala Lumpur, semalam.


Prinsip syariah untuk kebaikan, elak sebarang keburukan

WUJUD paradoks atau pertentangan pendapat dengan pendapat diterima umum dalam pengamalan Islam di Malaysia. Dari satu aspek, syariah perlu ada keseragaman dan dari sudut lain, undang-undang Islam harus bersifat dinamik serta progresif.

Apakah masyarakat Islam dituntut mengikut ajaran mazhab tanpa soal sedangkan perkembangan semasa memperlihatkan perlu adanya pembaharuan.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berkata matlamat penciptaan syariah (maqasid al-syariah) dan hukum hakam dalamnya untuk menghasilkan kebaikan dan menolak keburukan bagi faedah umat manusia.

Katanya, penciptaan syariah itu juga satu pendekatan melakukan penyelidikan ilmiah kerana teorinya sama iaitu berasaskan kepada prinsip menghasilkan kebaikan dan menjauhkan keburukan tetapi dengan syarat perlu tahu secara mendalam maksud kebaikan serta keburukan itu.

"Caranya ialah merujuk keseluruhan hukum syarak berpandukan al-Quran, sunnah dan kemudian merumuskan prinsipnya dalam bentuk menyeluruh supaya apabila timbul persoalan, mudah dikelaskan sebagai kebaikan atau keburukan," katanya pada Seminar Taqlid, Ijtihad dan Talfiq: Skop, Amalan dan Batasan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, semalam.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk Ijtihad, Taqlid dan Talfiq dari Perspektif Maqasid al-Syariah membahagikan kebaikan kepada tiga kategori iaitu pertama, menyentuh soal hidup mati ummah, keduanya berkaitan keselesaan dan akhirnya mengenai nilai tambah.

Mahmood Zuhdi berkata, berasaskan pemikiran itu ulama semasa seperti Yusuf al-Qaradhawi memperkatakan bahawa memahami keutamaan menjadi asas penting dalam membuat sebarang keputusan.

Katanya, keutamaan tidak boleh ditentukan kecuali sesudah nas syarak difahami dengan baik, realiti hidup juga difahami secara mendalam dan memerlukan kemahiran melakukan pertimbangan secara tepat.

"Seseorang mujtahid atau penyelidik perlu tahu membezakan antara yang bersifat substantif dan prosedur semata-mata. Ia penting bagi menentukan fokus sebenar ijtihad supaya tidak berlaku perbuatan mementingkan yang remeh dan meremehkan yang penting.

"Apa pun juga, penciptaan syariah mampu membentuk mentaliti objektif berasaskan ini berbanding mentaliti formal yang melihat sesuatu berasaskan bentuk. Ini penting dalam dunia sekarang supaya penilaian melihat kepada sifat sebenar bukan bentuk luarannya saja," katanya.

Seminar anjuran Ikim itu dirasmikan Pengerusi Ikim, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Hadir sama Ketua Pengarah Ikim, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dan Timbalan Ketua Pengarah Ikim, Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin.

Seminar dua hari itu bertujuan memberi kefahaman mengenai konsep taqlid, ijtihad dan talfiq serta kedudukan dalam Islam selain mengkaji ruang lingkup talfiq dan faktor yang mendorong kemunculannya.

Pada pembentangan itu, Mahmood Zuhdi turut menerangkan peranan ijtihad yang menjadi sebahagian metodologi penyelidikan hukum Islam dan empat langkah perlu diambil dalam usaha melakukan penyelidikan (ijtihad) mengikut pendapat al-Raisuni.

Langkah pertama, mengambil kira objektif dalam menentukan hukum iaitu melihat nas bukan pada pengertiannya saja tetapi melihat kepada matlamat ketetapan itu.

Langkah seterusnya ialah melakukan kompromi antara prinsip umum dan dalil khusus; menarik kebaikan dan menolak keburukan, akhirnya mengambil kira kesudahan akibat daripada kesimpulan penyelidikan terhadap masyarakat.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Lukmanul Hakim Hanafi, berkata semua ilmu dalam Islam menerima pembaharuan dan yang dicita-citakan dalam ilmu fiqh ialah menghidupkan semula ijtihad.

Beliau berkata, usaha itu perlu selepas wujudnya dakwaan pintu ijtihad sudah ditutup tersebar luas sedangkan ijtihad adalah kaedah penyelidikan dan kajian ilmiah dalam merumuskan hukum bertujuan mengetahui hukum diturunkan Allah dengan lebih jelas.





Katanya, semua pihak perlu membersihkan diri daripada sentimen taksub atau fanatik mazhab secara buta tuli kerana mazhab bukan faktor memecah belah sebaliknya ia aliran penafsiran dan pemahaman syariah.

"Kita tidak harus berasa sempit dada dengan sebab wujud perbezaan mazhab kerana ia lumrah dan tabii bagi akal manusia memahami hukum. Kita boleh berbangga dengan perbezaan ilmu fiqh yang ditinggalkan sebagai satu perbendaharaan fiqh yang berharga.

"Ia juga bukti betapa berkembang subur dan hidupnya fiqh, betapa luasnya pemikiran fuqaha dalam melaksanakan kewajipan memberi khidmat kepada syariat Islam," katanya yang membentangkan kertas kerja bertajuk Taqlid, Ijtihad dan Talfiq: Penjelasan Epistemologi Sunni.

Katanya, pihak tertentu juga tidak boleh memaksa orang menerima pandangan mereka dalam masalah khilafiyyah dan pada masa sama tidak boleh menentang amalan yang tidak sesuai dengan mazhab dianuti.

Lukmanul Hakim berkata, masyarakat juga jangan terpengaruh dengan pendekatan sebahagian anak muda yang berlagak alim menghentam ulama silam yang tidak sealiran dengan mereka sambil menyeru menentang amalan sedangkan ia perkara khilaf ulama semata-mata.

Begitu juga pendakwah, guru atau imam, perlu bijak menangani masalah khilafiyyah kerana tidak bijak mereka membangkitkan isu remeh dalam ceramah atau pengajaran yang hanya menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.

"Kita mesti beradab dengan pihak yang berbeza pandangan kerana masing-masing mempunyai hujah serta alasan yang perlu kita hormati. Matlamat kita sepatutnya membangunkan ummah bukan meruntuhkan," katanya.

Thursday, November 12, 2009

Hukum benarkan pengagihan daging korban dalam tin

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


DAGING korban dalam tin mudah diagihkan kepada umat Islam di seluruh dunia.


MENGAGIH daging korban, membuat kenduri daripada bahagian daging korban atau mengetinkan daging korban, semua dibenarkan kerana yang penting ialah penghayatan falsafah ibadat korban untuk membina akhlak Islam yang sanggup berkorban demi kebajikan orang lain.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, mengetin daging korban untuk diagihkan kepada umat Islam di negara lain bukan perkara baru kerana ia satu keperluan hari ini supaya daging itu dapat sampai kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, begitu juga budaya memasak dan mengadakan kenduri pada hari raya korban di sesetengah tempat juga menepati falsafah ibadat korban dengan syarat jemputan itu merangkumi semua lapisan masyarakat terutama golongan fakir miskin.

"Seperti daging dalam tin sudah dibuat oleh kerajaan Arab Saudi, daging yang dikorbankan di Madinah diagihkan di Afghanistan. Apa yang dibuat menggunakan pendekatan sama mungkin kerana keperluan baru supaya daging korban sampai pada yang memerlukan sesuai roh asas ibadat korban.

"Bagi di bandar, sesuai dengan gaya hidup mungkin lebih selesa mengagihkan daging korban berbanding di kampung yang caranya mengadakan kenduri dan menjemput seluruh penduduk menikmati daging korban," katanya selepas sidang media Program Ibadah Korban di Kemboja di Jakim, Putrajaya, semalam.

Hadir sama, Pengarah Ikatan Intelektual Islam Kemboja (CMIA), Mohd Farid Hosen dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Misi Keamanan Malaysia (GPM), Mohd Halimi Abdul Hamid.

Beliau berkata, pendekatan di Kemboja yang sama dengan pendekatan masyarakat kampung di negara ini memasak daging korban untuk kenduri ialah bagi memastikan semua yang datang dapat menikmati kerana jika diagihkan daging mungkin tidak semua akan dapat.

Mengagihkan daging korban yang diproses, ditinkan dan kemudian dihantar ke negara umat Islam lain untuk dinikmati terutama mereka yang berhadapan bencana alam serta masalah peperangan dilakukan beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

Pada masa sama, pelbagai program seperti menganjurkan ibadat korban di Kemboja dan negara lain turut diadakan bagi memberi peluang umat Islam negara ini menginsafi kelebihan yang ada dengan bersedekah kepada saudara mereka yang memerlukan.

Contohnya, Program Ibadat Korban di Kemboja yang akan diadakan pada 29 November depan anjuran CMIA dengan kerjasama Jakim dan GPM akan memberi manfaat kepada 5,000 umat Islam di Kemboja yang terpinggir dan masih berada dalam kemiskinan tegar.

Program yang dilancarkan baru-baru ini mensasarkan 300 ekor lembu atau 2100 bahagian (tujuh bahagian setiap seekor lembu) dan sehingga kini kira-kira 50 ekor lembu berjaya dikumpulkan daripada penyertaan orang ramai.

Mengenai agihan daging korban yang turut diterima oleh golongan berkemampuan, Wan Mohamad berkata, daging korban berbeza dengan duit zakat yang dihadkan kepada kumpulan asnaf terpilih dan falsafahnya juga berbeza.

Oleh itu katanya, fahaman orang kaya tidak layak menerima daging korban adalah tidak tepat kerana pengorbanan dilakukan golongan berkemampuan terhadap saudara yang kurang mampu bertujuan untuk mengeratkan hubungan kasih sayang serta saling bantu membantu.

"Semua ini ada rahmat iaitu untuk menggalakkan interaksi yang kaya dengan miskin apabila yang mengadakan korban turut menyembelih, melapah, memasak dan makan bersama, jika diadakan kenduri. Ini hanya isu agihan dan yang penting menghayati konsep ibadat korban itu.

"Tetapi jangan diadakan kenduri untuk golongan yang berada saja dan meminggirkan pihak sepatutnya menerima daging korban kerana bimbang ibadat itu tidak sempurna. Dari segi syarat rukun korban sah tetapi semangat falsafah tidak mencapai tujuan asas korban," katanya.

Beliau berkata, disebabkan itu, kebanyakan masjid di Lembah Klang yang mendapat penyertaan banyak untuk ibadat korban digalakkan membawa sebahagian daripada jumlah itu ke kawasan lain dan Jakim menyokong budaya amal jariah itu.

Pihak masjid akan memberitahu peserta mengambil bahagian bahawa daging korban mereka diagihkan kepada saudara yang memerlukan di tempat lain dan ini lebih baik kerana dapat memenuhi hikmah berkongsi dengan golongan yang benar-benar memerlukan.

Wednesday, November 11, 2009

Penyampaian ilmu tanpa hikmah gagal lahirkan insan berkualiti

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bhrian.com.my

PENEKANAN kepada penyampaian maklumat dan mempertingkatkan kemahiran menyebabkan aspek hikmah dalam pendidikan diabaikan sedangkan ilmu dan hikmah tidak boleh dipisahkan jika ingin melahirkan insan berjiwa besar. Felo Penyelidik Kanan Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (UM), Prof Dr Osman Bakar, berkata hikmah dalam bidang pendidikan merujuk ilmu istimewa dan jika dimiliki boleh menjadikan seseorang lebih bijaksana.

Katanya, apa yang berlaku dalam bidang pendidikan kini lebih kepada menyampaikan sebanyak mungkin maklumat bukan ilmu menyebabkan matlamat melahirkan generasi memiliki ilmu dan hikmah tidak tercapai.

"Hikmah ialah ilmu yang mempunyai ciri tertentu dan patut diserapkan pada peringkat pengajian rendah hingga ke universiti. Sekarang kita lebih bercakap mengenai penyampaian maklumat. Pemikir kita kata maklumat berbeza dengan ilmu dan ilmu berbeza dengan hikmah.

"Bagaimana kita dapat teruskan pembinaan tamadun manusia lebih baik jika hanya berpuas hati dengan penyampaian maklumat," katanya pada Seminar Pendidikan Tinggi Islam VII anjuran Kolej Dar al-Hikmah di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bandar Baru Bangi.

Seminar itu diadakan sempena sambutan 20 tahun penubuhan Kolej Dar al-Hikmah bertujuan membincangkan pendekatan dan usaha yang perlu dilaksanakan bagi membina generasi ilmuwan ulul albab dan memartabatkan falsafah pendidikan al-Hikmah.

Menjelaskan mengenai hikmah, Dr Osman yang menjadi ahli panel membicarakan 'Wawasan Pendidikan al-Hikmah: Pembinaan Generasi Ulul Albab' berkata, dalam konteks pendidikan, memiliki kemahiran saja tidak mencukupi sebaliknya perlu ditambah dengan sifat kemanusiaan.

Contohnya, untuk dikatakan menguasai bidang perniagaan perlu mahir teknologi maklumat selain memiliki banyak ilmu mengenai perniagaan. Namun apakah kemahiran saja mencukupi untuk menjadi peniaga yang berjaya?

Bagaimana sifat kemanusiaan seperti kejujuran dalam perniagaan kerana jika mengikut hikmah, kejujuran perlu sebagai aset dalam bidang perniagaan tetapi ia bukan dalam bentuk yang boleh disukat atau diukur.

"Maknanya jika ingin menjadi peniaga berjaya bukan sekadar memiliki kemahiran malah juga aspek lain seperti kejujuran. Peniaga yang memiliki kejujuran berbeza dengan peniaga hanya memiliki kemahiran. Oleh itu, hendak didik ilmu mesti berserta hikmah kerana jika ada satu saja, pendidikan itu tidak lengkap," katanya.

Katanya, dimensi kemanusiaan sedikit demi sedikit sudah terhakis daripada pemikiran dan kesedaran masyarakat hari ini kerana terdesak untuk menyampaikan sebanyak mungkin maklumat dan mengajar kemahiran.

Justeru, pihak berkuasa perlu mengkaji semula kurikulum pendidikan sama ada ia memberi penilaian cukup pada dimensi kemanusiaan serta bagaimana hendak menghidupkan kembali prinsip ilmu dalam al-Quran, hadis dan yang dikemukakan ulama setiap zaman.

Dr Osman berkata, gabungan ilmu dan hikmah perlu diserapkan dalam sukatan pelajaran supaya apa juga maklumat disampaikan mampu melahirkan manusia yang baik kerana daripada manusia baik lahir warga negara yang baik.

Sementara itu, Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba, berkata masyarakat perlu diberi kefahaman pentingnya pendidikan yang memberi fokus kepada pembangunan insan.

Katanya, perubahan dalam pendidikan wajar mengambil kira penyesuaian dalam binaan kurikulum dan metodologi bagi memperkasakan sistem pendidikan Islam yang boleh membangunkan tamadun.

"Bagi tujuan itu, pendidikan mesti bersepadu serta menyeluruh. Pendidikan Islam dan ilmu mengurus mesti disepadukan kerana kita perlu melahirkan ulama ilmuwan yang bukan saja tahu bidang profesional malah menguasai ilmu agama," katanya.

Beliau mahu pendidikan arus perdana yang pelajarnya berbilang bangsa didekati melalui pendidikan etnik dan nilai menggabungkan tamadun Islam dengan bukan Islam dalam usaha mendekatkan nilai murni, seterusnya menghasilkan pencapaian cemerlang.

Dalam aspek pendidikan Islam, Dr Sidek mahu penekanan diberikan kepada usaha memperkasa kurikulum yang mengintegrasikan ilmu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama untuk diteruskan ke peringkat pengajian tinggi.

"Dengan ada ilmu bersepadu, pelajar sekolah aliran agama boleh meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi. Pada masa sama, pendidikan negara yang berbilang bangsa jangan terlepas daripada tamadun etika dan nilai yang menemukan manusia dengan manusia," katanya.

Tuesday, November 10, 2009

Ramai umat Islam kurang arif isu derma organ

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Fatwa keharusan memindah anggota wajar disebar didik masyarakat saling membantu

BANYAK soalan dikemukakan pada Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan yang diadakan di Masjid Wilayah Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ternyata masih ada yang belum difahami secara jelas mengenai fatwa pendermaan organ serta isu berkaitan dengannya walaupun keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang hidup hukumnya harus.

Antara soalan menarik perhatian pada sesi soal jawab itu ialah, apakah hukum menggunakan organ haiwan seperti jantung babi yang hampir serupa dengan jantung manusia sebagai alternatif kerana sukarnya menantikan pendermaan jantung manusia.

Soalan lain, bagaimana pula jika organ yang didermakan itu digunakan untuk melakukan maksiat atau jenayah, apakah penderma akan menanggung dosa disebabkan organ itu milik mereka.

Menjawab persoalan itu, Ahli Dilantik Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof Madya Datin Dr Paizah Ismail, berkata pemindahan jantung babi kepada manusia tidak dibenarkan.

Sementara bagi soalan kedua pula, anggota badan manusia tiada nilai selepas kematiannya sama ada didermakan atau tidak, sebaliknya setiap insan dinilai melalui amalan serta iman kepada Allah. Oleh itu, mereka tidak menanggung dosa dilakukan orang yang menerima organ.

"Jelas sekali masih ada persoalan berkaitan isu pendermaan organ ini dan usaha memberi pendidikan kepada masyarakat memang diperlukan walaupun pada dasarnya persoalan mengenainya bukan perkara baru.

"Selain itu, apa yang berbangkit sekarang adakah fatwa mengenai pendermaan organ diterima secara meluas hingga menjadikan masyarakat menerimanya sebagai amalan selaras hukum difatwakan itu," katanya.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Pendermaan Organ dari Perspektif Islam' menjelaskan, keputusan fatwa mengharuskan menderma dan memindahkan organ tertakluk kepada prinsip menjaga kepentingan semua pihak.

Oleh itu, pemindahan atau pendermaan boleh dilakukan dengan syarat ia tidak menyebabkan penderma menanggung kemudaratan dan pemindahan berlaku dengan izin penderma yang memiliki kelayakan melakukannya.

Proses itu juga berlaku berasaskan keizinan dan niat menderma bukan membabitkan urusan jual beli. Doktor yang melakukan urusan pemindahan perlu mempunyai ilmu yang cukup untuk membuat pertimbangan baik buruk terhadap penderma dan penerima.

Dr Paizah berkata, fatwa mengharuskan pemindahan organ seperti mata dan jantung daripada orang mati kepada orang hidup meletakkan empat syarat yang perlu diambil kira sebelum pemindahan dilakukan.

Syarat pertama ialah pemindahan dalam keadaan mendesak bahawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahan difikirkan berjaya. Kedua, dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma sudah dipastikan.

Ketiga, tindakan sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota, akhirnya ialah dalam kes kematian biasa kebenaran hendaklah diperoleh daripada penderma sementara kematian akibat kemalangan, kebenaran daripada keluarga.

Seminar Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, bertujuan memberi pendidikan kepada masyarakat supaya lebih faham mengenai fatwa yang diputuskan.

Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan, Abdul Jabar Ahmad pula melahirkan keyakinan jika masyarakat boleh faham mengenai kepentingan pendermaan organ, ia boleh meningkatkan jumlah mereka yang berikrar untuk menjadi penderma.

Apabila masyarakat sudah diberi kefahaman mengenai pendermaan organ daripada aspek agama, manfaat pendermaan kepada pihak yang memerlukan dan proses pemindahan daripada segi perubatan, peratusan yang melahirkan hasrat untuk menjadi penderma meningkat.

"Kurangnya jumlah penderma adalah disebabkan persepsi negatif yang wujud atas pelbagai sebab antaranya kurang kefahaman, maklumat tidak lengkap, terpengaruh dengan mereka yang berpandangan negatif dan kurangnya sokongan keluarga.

"Tetapi apabila diberikan penjelasan secara terperinci, kita dapat melihat peratusan yang bertukar fikiran daripada negatif kepada positif terus meningkat. Maknanya, melalui penyebaran maklumat yang jelas, masyarakat akan mula faham dan menyokong usaha ini," katanya.

Namun katanya, walaupun persepsi orang ramai berjaya diubah, masih ada cabaran yang perlu dihadapi kerana kesedaran tidak memastikan seseorang itu bersedia untuk menterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan iaitu menjadi seorang penderma.

Bagaimanapun, beliau tetap optimis dengan usaha berterusan melalui penyebaran maklumat, kempen kesedaran serta iklan di media cetak serta elektronik akan membantu pihak kementerian meningkatkan pengetahuan rakyat terhadap isu berkenaan.

Katanya, apabila dimulakan pada 1997, jumlah yang berikrar untuk menderma ialah 2,600 dan dengan promosi yang dijalankan, kini jumlah berikrar mendermakan organ mereka meningkat kepada 134,000. Daripada lima penderma pada 1997 meningkat 26 penderma pada tahun lalu.

"Harapan kita supaya masyarakat terutama ahli keluarga terdekat memahami seterusnya menerima hasrat penderma organ dengan hati terbuka. Ada penderma yang sudah berikrar tetapi keluarga menentang dan kita tidak akan memaksa.

"Alhamdulillah, kita ada juga kes yang tidak berikrar sebagai penderma tetapi setelah mereka meninggal dunia, keluarga datang untuk mendermakan organ ahli keluarga yang sudah meninggal. Sekarang ini kita mahu mereka yang sudah ada pengetahuan terjemahkan dalam bentuk pelaksanaan," katanya.

Sementara itu, sejauh mana pemindahan organ berjaya menyelamatkan nyawa mereka yang menerimanya, Ketua Penyelaras Pusat Sumber Transplan Nasional Hospital Kuala Lumpur, Datin Dr Lela Yasmin Mansor berkata, pemindahan organ adalah kaedah terbaik untuk pesakit mengalami kegagalan organ.

Katanya, selepas pemindahan organ, penerima mampu hidup seperti normal tetapi mesti berhati-hati serta mengamalkan cara hidup sihat supaya tidak terdedah kepada jangkitan kuman yang boleh membahayakan semula kesihatan mereka.

"Kita ada kes penerima buah pinggang hidup selama 31 tahun selepas melakukan pemindahan buah pinggang dan di Amerika Syarikat, Tony Huesman, yang menerima jantung pada 1978 meninggal dunia 9 Ogos lalu, bukan disebabkan jantung tetapi komplikasi kanser.

"Apa yang penting ialah melalui organ yang didermakan, penerima dapat menjalani kualiti hidup lebih baik. Ini yang perlu diketahui masyarakat dan sekarang ini pun masih ramai sedang menanti penderma organ demi menyelamatkan nyawa mereka," katanya.

INFO
Syarat perlu diambil kira sebelum pemindahan dilakukan

# Pertama ialah dalam keadaan mendesak bahawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahan difikirkan berjaya

# Kedua dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma sudah dipastikan

# Ketiga tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota

# Keempat ialah dalam kes kematian biasa kebenaran hendaklah diperoleh daripada penderma sementara kematian akibat kemalangan, kebenaran daripada keluarga