Showing posts with label (B) Peguam Syarie Menulis. Show all posts
Showing posts with label (B) Peguam Syarie Menulis. Show all posts

Wednesday, March 3, 2010

Peguam Syarie Menulis: Perkahwinan campur tuntut toleransi pasangan, keluarga

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip


PERKAHWINAN berlainan agama tuntut pengorbanan dan komitmen daripada dua pihak. - Gambar hiasan


Asas agama jadi tiang seri kerukunan rumah tangga

KAHWIN campur bukan janggal di kalangan masyarakat Malaysia hari ini. Secara umumnya, masyarakat dapat menerima hakikat kahwin campur dapat memperkaya budaya dalam masyarakat serta mengukuhkan hubungan antara kaum.

Namun begitu, tidak kurang juga masyarakat berpendapat kahwin campur akan mengundang pelbagai masalah pada masa akan datang sehingga sampai ke tahap perceraian.

Soal hati dan jodoh, memang sukar dimengerti. Kalau sudah jodoh berkahwin dengan orang yang asalnya berlainan agama dan bangsa itu sudah suratan takdir.

Sebenarnya tidak ada nas yang menggalakkan berkahwin dengan pasangan berlainan bangsa. Cuma sesetengah fuqaha menggalakkan agar berkahwin dengan pasangan yang tidak ada hubungan kekeluargaan kerana melihat beberapa maslahah terutama aspek mengembangkan zuriat serta kesihatan sekiranya perkahwinan membabitkan saudara terdekat dibenarkan.

Justeru, walau tidak ada larangan syarak berkaitan perkahwinan sesama keluarga, ia menjadi suatu yang biasa dalam masyarakat hari ini. Jika kita lihat kepada sejarah Islam, Nabi Muhammad SAW pernah mengahwini sepupunya iaitu Zainab Jahsy. Selain itu, Baginda sendiri pernah mengahwinkan anaknya Fatimah dengan Syaidina Ali iaitu sepupu baginda.

Isu kahwin campur ini juga tidak diperuntukkan secara khusus di dalam undang-undang. Namun, peruntukan dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, misalnya, Seksyen 7 memperuntukkan bahawa setiap perkahwinan di Wilayah Persekutuan harus mengikut peruntukan di dalam akta dan diakadnikahkan menurut hukum syarak.

Seksyen ini memberi mahkamah bidang kuasa dalam mana-mana perkahwinan di Wilayah Persekutuan. Merujuk kepada Seksyen 10 (1) akta yang sama, peruntukan seksyen itu memperuntukkan bahawa 'tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam kecuali seorang Kitabiyah.'

Dalam mentafsirkan 'Kitabiyah' Seksyen 2 akta berkenaan menyatakan bahawa 'Kitabiyah' adalah seorang perempuan keturunan Bani Ya'qub atau seorang perempuan nasrani keturunan orang nasrani sebelum Nabi Muhammad menjadi Rasul atau seorang perempuan Yahudi keturunan orang Yahudi sebelum Nabi Isa menjadi Rasul.

Jika kita lihat senario hari ini, perkahwinan campur adalah satu tekanan besar terhadap pasangan serta keluarga masing-masing dan memerlukan sikap toleransi semua pihak yang terbabit, bukan hanya suami dan isteri berkenaan saja. Oleh itu, kahwin campur mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri.

Aspek agama misalnya mestilah mengatasi segala perkara. Bagi budaya, ia satu elemen yang mewarnai kehidupan pasangan kahwin campur. Perbezaan dari segi budaya, tradisi dan amalan keluarga pihak suami serta isteri sebenarnya akan menceriakan kehidupan, mengeratkan ikatan hubungan pasangan berkenaan dan anak-anak mereka.

Walaupun wujud beberapa halangan serta tentangan terhadap kahwin campur, tetap terselit keistimewaan bagi situasi itu. Pendedahan terhadap budaya dan amalan kaum lain akan membuatkan individu terbabit memahami dengan lebih baik kebudayaan dan tradisi orang lain.

Selain itu, anak hasil kahwin campur akan mendapat kebaikan daripada pendedahan terhadap budaya ini dan mereka boleh mahir dalam sekurang-kurangnya tiga atau empat bahasa termasuk bahasa ibunda ibu bapa serta juga bahasa Inggeris selain boleh menikmati pelbagai masakan kaum masing-masing.

Dari segi saintifik dikatakan bahawa perkahwinan campur ini akan melahirkan generasi yang lebih genius. Kahwin campur sebenarnya memberi satu sinar dan keceriaan bagi mereka yang bijak mengadaptasi kelebihan ini dalam rumah tangga dengan sentiasa cuba mempelajari dan mengenali amalan, budaya serta tabiat keluarga pasangan masing-masing.

Pemikiran akan lebih terbuka dan positif selain dapat menerima dan memahami adat resam masing-masing. Namun, apa yang paling penting dan menjadi keutamaan adalah asas agama kerana ia adalah tiang seri kepada kerukunan sebuah rumah tangga.

Allah menjadikan manusia pelbagai bangsa, rupa serta budaya yang berbeza namun pada hakikatnya agama saja yang boleh menyatukan mereka. Kegagalan daripada kahwin campur pula dapat dilihat sekiranya pasangan tidak dapat memahami dan bertolak ansur dalam semua perkara.

Jurang perbezaan yang begitu ketara terutama adat dan budaya menjadikan mereka tewas dalam melayari perkahwinan yang bahagia. Alam percintaan sebelum perkahwinan menjadikan pasangan dibuai mimpi indah tanpa memikirkan realiti selepas perkahwinan yang menuntut tanggungjawab lebih besar.

Segala kekurangan mahupun kegagalan dalam perkahwinan campur ini dapat diatasi apabila pasangan tahu apakah sebenarnya perkahwinan itu. Perkahwinan adalah satu perhubungan intim di antara dua individu (lelaki dan perempuan) yang bergelar suami dan isteri.

Ia bukan setakat hanya untuk menikmati kepuasan seksual, tetapi juga merangkumi melakukan aktiviti harian bersama serta berkongsi minat, kegemaran dan kepentingan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Wednesday, February 24, 2010

Peguam Syarie Menulis: Perbezaan hukuman kelirukan ummah


PESALAH disebat dalam keadaan menutup aurat membuktikan Islam menyanjung tinggi maruah umat.


Undang-undang syariah wajar diseragamkan di semua negeri

PADA 9 Februari lalu adalah tarikh yang mencatatkan sejarah baru dalam sistem perundangan syariah tanah air apabila pelaksanaan hukuman sebat kali pertama ke atas wanita dilaksanakan di negara ini, dalam suasana harmoni dan penuh kerahmatan.

Tiga pesalah wanita disabitkan mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan luar nikah) yang dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari lalu. Selain itu, ada empat pesalah lelaki turut menjalani enam kali sebatan pada hari berkenaan atas kesalahan sama.

Walaupun timbul polemik isu sebatan ke atas pesalah wanita, Kartika Sari Dewi Shukarno sejak 20 Julai 2009, tiga wanita yang dijatuhkan hukuman kemudian daripada Kartika Sari, menjalani hukuman lebih awal. Syabas kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara kerana melatih penyebat wanita menjalankan sebatan syariah, dan sebelum itu dikatakan tidak wujud jawatan seumpamanya.

Sebaik saja hukuman dilaksanakan, timbul bantahan dan kritikan golongan tertentu, kononnya memperjuangkan hak wanita dan hak asasi manusia. Tetapi hakikatnya, golongan ini cuba mengukur undang-undang jenayah Islam dari perspektif undang-undang sivil.

Walhal, peruntukan dalam Kanun Acara Jenayah yang diterima pakai di Mahkamah Sivil, tidak wajar dijadikan kayu pengukur dalam menilai pelaksanaan undang-undang jenayah syariah. Undang-undang jenayah syariah yang ada pada hari ini bukanlah cabang undang-undang Sivil, tetapi ia bertunjangkan atas paksi tersendiri, berasaskan semangat perlembagaan yang diberikan oleh Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan dan prosiding di Mahkamah Syariah tidak tertakluk kepada Mahkamah Sivil. Sebarang hukuman atau keputusan dijatuhkan Hakim Mahkamah Syariah adalah hukuman yang sah, berdasarkan peruntukan undang-undang diluluskan Badan Perundangan Negeri dan diperkenankan Sultan negeri berkenaan, dan bagi Wilayah Persekutuan, diluluskan oleh Parlimen dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Hujah dikemukakan golongan ini bahawa hukuman sebat ke atas pesalah wanita bertentangan dengan peruntukan Seksyen 289 (a) Kanun Acara Jenayah yang melarang hukuman sebat dijatuhkan ke atas wanita adalah hujah lemah dan dangkal.

Ini kerana seksyen itu hanya terpakai dalam kes jenayah mengikut bidang kuasa Mahkamah Sivil. Peruntukan itu tidak mengikat Mahkamah Syariah, kerana Mahkamah Syariah mempunyai Akta/Enakmen Tatacara Jenayahnya sendiri. Undang-undang Syariah tidak membezakan hukuman antara pesalah lelaki atau wanita.

Golongan ini sepatutnya berasa malu, kerana mereka boleh menyaksikan sendiri cara pelaksanaan hukuman sebatan syariah yang tersangat ringan, tidak mencederakan dan bukanlah zalim seperti didakwa. Pesalah disebat dalam keadaan menutup aurat, membuktikan Islam menyanjung tinggi maruah mereka sebagai wanita, walaupun mereka melakukan jenayah.

Tiga pesalah wanita yang menjalani hukuman sebat itu mengakui mereka langsung tidak berasa sakit dengan sebatan berkenaan, sebaliknya berasa insaf dan bertaubat. Tarikh 9 Februari itu, bukan saja menjadi titik tolak perubahan hidup tiga wanita terbabit ke arah kehidupan lebih baik, malah juga terhadap perkembangan perundangan syariah negara.

Dalam usaha penambahbaikan sistem sedia ada, penulis mengajak pihak terbabit meninjau keseluruhan peruntukan Akta atau Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri. Setakat ini beberapa kesalahan tertentu diperuntukkan hukuman sebatan syariah ke atas pesalah, sebagai tambahan kepada hukuman denda atau penjara.

Hukuman itu juga ada dalam kesalahan yang berbeza antara satu sama lain dan juga berlainan antara satu negeri dengan negeri lain. Penulis mengambil contoh peruntukan kesalahan jenayah syariah yang boleh dihukum sebat di 10 negeri untuk tujuan perbandingan.

Sebagai contoh, bagi kesalahan doktrin palsu (ajaran sesat), Selangor, Wilayah Persekutuan, Pahang, Johor, Terengganu dan Pulau Pinang memperuntukkan pesalah boleh dihukum dengan sebatan Syariah, tetapi tidak di negeri lain. Di Selangor, perbuatan mencemar atau memusnahkan tempat ibadat boleh dihukum sebat, tetapi di negeri lain hanya dihukum didenda atau penjara saja, walaupun kategori kesalahan sama.

Pesalah tidak boleh dihukum sebat bagi kesalahan sumbang mahram, jika kesalahan berlaku di Kelantan, Sabah, dan Sarawak, tetapi boleh dihukum sedemikian jika kesalahan berlaku di negeri lain. Seorang bapa ayam (muncikari) tidak boleh dihukum sebat jika kesalahan berlaku di Kelantan, Pahang, Sabah dan Perak.

Hanya bagi kesalahan persetubuhan luar nikah (zina), kebanyakan negeri memperuntukkan hukuman sebat kecuali Terengganu. Bagi kesalahan persediaan melakukan persetubuhan luar nikah (muqaddimah zina), dan persetubuhan bertentangan hukum tabii, pesalah boleh disebat di Selangor dan Negeri Sembilan, tetapi di negeri lain pesalah tidak disebat.

Kesalahan meliwat boleh dihukum sebat di Wilayah Persekutuan, Kelantan, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang tetapi hukuman sedemikian tidak ada di negeri-negeri lain. Lebih menghairankan, hanya Pahang dan Kelantan memperuntukkan perbuatan meminum arak boleh dikenakan sebatan syariah, tetapi tidak di negeri-negeri lain. Maksudnya jika seseorang itu meminum arak di Wilayah Persekutuan atau di Terengganu, dia tidak boleh dihukum sebat. Dia hanya denda atau penjara atau kedua-duanya.

Perbezaan peruntukan hukuman sebat di negeri-negeri ini menampakkan tidak selaras Badan Perundangan Negeri dalam memperuntukkan hukuman terhadap pesalah jenayah syariah, walaupun dalam kategori kesalahan sama. Kenapa tidak diseragamkan peruntukan kesalahan dan hukuman jenayah syariah ini?

Dengan syarat ia masih dalam bidang kuasa yang dibenarkan mengikut Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (pindaan 1988), maka tidak mustahil idea ini direalisasikan. Adalah suatu keganjilan dan kejanggalan sebuah negara kecil seperti Malaysia mempunyai pelbagai peruntukan mengenai kesalahan syariah dan peruntukan hukuman yang berbeza-beza.

Wednesday, February 17, 2010

Peguam Syarie Menulis: Penzina wajar dikenakan hukuman lebih berat

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Enakmen Jenayah Syariah perlu dipinda, dikaji bagi mengekang kes pembuangan bayi

SEBAK, sedih dan marah. Itulah perasaan menyelubungi diri ini apabila melihat gambar bayi comel yang dihurungi semut, dipaparkan media sejak kebelakangan ini. Lebih menyesakkan dada apabila dua hari lalu, dipaparkan pula kejadian dahsyat tanpa perikemanusiaan apabila seorang bayi dicampakkan ke dalam tong sampah dan dibakar di Kuala Krai, Kelantan.

Kejadian ini amat kejam dan ia kes keempat buang bayi yang dilaporkan sepanjang minggu ini saja. Isu buang bayi ini bukanlah isu baru kerana dulu ia pernah hangat seketika kemudian kembali senyap tetapi kini semakin menjadi-jadi.

Sebelum itu, kita banyak mendengar berita beberapa kejadian penemuan bayi tidak berdosa, kebanyakannya hanya tinggal jasad, dengan litupan hanyir sampah sarap dan gigitan semut merah. Kita membaca lagi berita mengenai dua mayat bayi ditemui di Pulau Pinang - seorang daripadanya lelaki, ditemui di depan pintu tandas wanita di tingkat satu Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Mayat bayi kedua masih lagi berdarah, terapung diperangkap sampah dalam kolam Indah Water Konsortium (IWK), berhampiran Pusat Perniagaan Asas Murni Taman Sukun.

Perangkaan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mendapati 65 kes buang bayi dicatat pada 2000 dan meningkat kepada 83 kes tahun lalu. Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 22 kes (pada 2000) dan 24 kes (2006). Daripada jumlah tahun lalu, 79 membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan dan empat lagi kes pembuangan janin.

Ia bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main dan ini harus dipandang serius kerana ia berkaitan dengan isu wanita dan juga keluarga. Dalam kita membincangkan kes buang bayi ini, kita tidak dapat lari daripada isu anak luar nikah. Di dalam membincangkan isu anak luar nikah ini pula kita tidak dapat lari daripada persoalan zina yang makin berleluasa di kalangan umat Islam kebelakangan ini.

Justeru, untuk membendung permasalahan seperti ini daripada terus berleluasa, maka jalan yang boleh melorongkan ke arah perlakuan zina ini perlu ditutup serapat-rapatnya. Hal ini dijelaskan oleh Allah di dalam firmannya, surah Al-Isra (17) ayat 32 yang bermaksud "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk".

Ayat ini secara jelas menyentuh mengenai zina dan umat Islam dilarang melakukan zina kerana kesannya dalam masyarakat, amat buruk. Kesannya bukan saja kepada individu terbabit, malah kepada masyarakat kerana ia memberi impak kepada keturunan, selain boleh mengundang kepada jenayah lain seperti membunuh.

Ini yang berlaku sekarang apabila bayi yang lahir daripada perut ibunya sanggup dibunuh kejam dengan membakar bayi itu tanpa rasa belas kasihan bagi tujuan menghilangkan bukti kononnya. Secara tidak langsung, ia menggambarkan perlakuan pelakunya adalah suatu tindakan kebinatangan yang harus dibendung segera. Malah tindakan itu lebih buruk daripada binatang kerana ada binatang yang menyayangi anak mereka.

Justeru, tindakan yang proaktif harus diambil semua pihak bagi membendung gejala ini pada peringkat akar umbi. Maksud dibendung ini adalah membendung pada peringkat awal daripada berlakunya jenayah ini, bukannya mengambil tindakan berbentuk sementara dengan melaungkan idea agar sebuah rumah membuang bayi didirikan supaya remaja terbabit meletakkan anak tak sah mereka di situ.

Perkara ini boleh mengundang ke arah tindakan negatif dan kurang berhemah. Malah ia akan mengundang kepada berlakunya zina kerana remaja ini tidak perlu gusar dan bimbang kerana jika perkara ini berlaku, mereka ada tempat perlindungan bagi bayi yang mereka tidak inginkan kelahirannya.

Tindakan undang-undang yang lebih tegas harus diambil terhadap mereka yang terbabit dengan zina ini kerana kesannya buruk sehingga mengundang kepada permasalahan buang bayi.

Secara normalnya pasangan suami isteri yang mempunyai ikatan sah tidak akan membuang bayi mereka. Tindakan membuang bayi ini adalah hasil hubungan pasangan yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan sah.

Di negara kita, perlakuan kesalahan zina ini adalah terbatas. Oleh kerana keterbatasan pelaksanaan hukum syarak dalam ruang lingkup negara kita, maka kesalahan zina lebih dikenali dengan persetubuhan luar nikah dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 di dalam Seksyen 23 manakala di Selangor pula di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Peruntukan di dalam akta itu memperuntukkan sekiranya mana-mana lelaki atau perempuan melakukan persetubuhan dengan perempuan atau lelaki yang bukan isterinya atau suaminya yang sah, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam kali sebatan atau dihukum bagi mana-mana kombinasi hukuman itu.

Selain itu juga peruntukan berkenaan menyebut bahawa seorang perempuan melahirkan anak yang sempurna sifat dalam tempoh kurang enam bulan qamariah daripada tarikh pernikahannya atau hamil luar nikah akibat persetubuhan yang direlakan dan tahu kesalahan yang sedang dilakukannya, maka kedua-dua keadaan itu mencapai tahap 'prima facie' yang disabitkan Mahkamah Syariah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman itu.

Sewajarnya disebabkan perlakuan zina ini memberi kesan buruk pada masyarakat, maka hukuman berat serta setimpal wajar dikenakan terhadap pelakunya sama ada lelaki atau wanita agar permasalahan yang timbul kesan perlakuan itu seperti masalah buang bayi tidak akan timbul pada masa akan datang.

Peruntukan undang-undang terhadap hukuman pesalah zina ini harus dipinda dan dikaji dengan memberikan hukuman berat agar permasalahan seumpama ini dapat dibendung selain kita membendung pada peringkat awal.

Selain membendung daripada sudut undang-undang, ibu bapa dan keluarga juga berperanan untuk menjadi ibu bapa yang baik dan bertanggungjawab supaya anak dapat dididik dengan baik. Tanamkan nilai keagamaan dari kecil lagi, selain gunakan pendekatan terbaik. Tetapi ingat jangan memaksa anak-anak remaja kerana desakan anda akan menolak mereka kepada teman yang lebih rapat.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Wednesday, February 10, 2010

Peguam Syarie Menulis: Kahwin tak ikut undang-undang boleh dihukum

Oleh Tuan Musa Awang


BERKAHWIN tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan Islam boleh menjejaskan institusi kekeluargaan Islam. - Gambar hiasan


Maklumat perundangan kekeluargaan Islam perlu disebar elak masyarakat berdepan masalah

KEUTUHAN sesebuah institusi perkahwinan bertitik- tolak daripada punca dan unsur perkahwinan itu sendiri. Jika baik caranya, Insya-Allah akan baiklah juga kesudahannya. Islam sebagai suatu cara hidup komprehensif merangkumi semua urusan kehidupan manusia termasuklah perkahwinan dan perceraian menitikberatkan soal asas dalam membina sesebuah institusi rumah tangga.

Oleh sebab itu, undang-undang dikanunkan bagi mana-mana perbuatan orang Islam di Malaysia yang berkahwin tanpa mematuhi prosedur undang-undang adalah suatu kesalahan jenayah Syariah.

Di negara kita, bidang kuasa Mahkamah Syariah sama ada membabitkan urusan kekeluargaan atau jenayah Syariah tertentu berdasarkan peruntukan di dalam Jadual Kesembilan Senarai Dua Perlembagaan Persekutuan.

Dengan adanya peruntukan itu, badan perundangan negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang mengawal kehidupan tertentu orang Islam seperti urusan kekeluargaan, beberapa jenayah yang berkaitan dengan akhlak dan moral orang Islam dan beberapa perkara lain.

Bagaimanapun, ruang lingkup bidang kuasa Mahkamah Syariah ke atas kesalahan jenayah Syariah secara khusus sangat sempit dan kuasa menghukumnya sangat rendah, berdasarkan peruntukan di dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984.

Akta ini memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan sehingga enam sebatan.

Sebelum ini perbincangan diadakan untuk memberi kuasa lebih besar, namun perbincangan itu kelihatan sepi kembali, dengan tidak menampakkan potensi untuk merealisasikannya.

Berkahwin atau terbabit dalam upacara perkahwinan tanpa mematuhi prosedur undang-undang adalah kesalahan menurut undang-undang Syariah dan boleh dikenakan penalti, sama ada penalti berbentuk jenayah syariah atau penalti yang membawa kepada tindakan mal dan penalti tidak boleh daftar perkahwinan berkenaan.

Seksyen 36 dibaca bersama Seksyen 28 dan Seksyen 32 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa seseorang yang tidak dilantik oleh Sultan tidak boleh menyimpan daftar atau rekod sesuatu perkahwinan atau mengeluarkan sebarang dokumen perakuan perkahwinan (Surat Nikah).

Jika dia berbuat demikian, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500, penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama. Bagi kesalahan berikut boleh didenda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Seseorang yang melakukan apa-apa kekerasan atau ugutan untuk memaksa seseorang berkahwin yang bertentangan dengan kemahuan orang itu atau jika bertindak menghalang seseorang lelaki berumur 18 tahun atau seseorang perempuan berumur 16 tahun daripada berkahwin adalah melakukan kesalahan yang hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 37).

Seseorang yang membuat pernyataan palsu untuk berkahwin boleh didenda tidak melebihi RM2,000, penjara maksimum setahun atau kedua-duanya (Seksyen 38).

Seseorang yang menjalankan akad nikah sedangkan dia tidak diberi kuasa menjalankannya juga adalah suatu kesalahan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 39 dan 40).

Seksyen 124 enakmen yang sama memperuntukkan hukuman kepada seseorang suami yang berpoligami tanpa kebenaran mahkamah iaitu denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam kes Muhamad Mat Diah melawan Pendakwa Syarie Kelantan di mana perayu disabitkan dan dihukum di atas empat pertuduhan di bawah seksyen 99 dan 100(1)(a) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan kerana mengakadnikahkan pasangan yang berkahwin tanpa diberi kuasa untuk berbuat demikian dan perkahwinan itu tidak mendapat kebenaran terlebih dulu.

Perayu mengemukakan pembelaan alibi antara lainnya dengan menunjukkan pasportnya bahawa beliau pergi ke Thailand sehari sebelum kejadian dan kembali sehari selepas kejadian. Mahkamah memutuskan bahawa mahkamah boleh menerima pasport sebagai dokumen kerajaan.

Bagaimanapun, orang yang bertanggungjawab mengecop tarikh masuk dan keluar seperti yang tertera di dalam pasport harus dipanggil sebagai saksi bagi menentukan kesahihan tarikh keluar masuk tertuduh ke Thailand.

Sungguhpun wujud peruntukan undang-undang yang mengenakan penalti terhadap pesalah yang melakukan kesalahan berhubung pra perkahwinan, namun masih banyak kesalahan ini dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Malah masih terdapat banyak sindiket pernikahan sebegini di luar sana yang menjalankan aktiviti ini tanpa mengira tempat dan masa.

Persoalan juga timbul adakah pelaku kesalahan ini tidak dibawa ke muka pengadilan, walhal ada peruntukan undang-undang yang membolehkan tindakan diambil ke atas mereka.

Adakah disebabkan kadar penalti yang dikenakan amat rendah jika dibandingkan dengan kesalahan yang dilakukan, menyebabkan segelintir pihak berani untuk terus melakukannya memandangkan kebanyakan mereka yang melakukan kesalahan itu mampu untuk membayar penalti yang dikenakan terhadap mereka?

Melihat kepada era moden kini, penulis berpendapat pentingnya maklumat perundangan kekeluargaan didedah dan disebarkan kepada masyarakat.

Ini bagi membolehkan masyarakat lebih peka terhadap implikasi yang wujud terhadap sesuatu perkahwinan yang melanggar peruntukan undang-undang.

Secara tidak langsung perlanggaran ini akan menjejaskan institusi kekeluargaan Islam kerana perkahwinan tanpa mengikut prosedur tidak boleh didaftarkan, lebih malang lagi jika suami bersikap sambil lewa dan apa yang merisaukan sekiranya anak yang lahir nanti tidak diketahui statusnya.

Adalah wajar juga dilakukan penilaian semula terhadap bentuk penalti dan hukuman yang diperuntukan kepada Mahkamah Syariah supaya suatu hukuman dan penalti yang bakal dikenakan dapat memberi kesan mendalam kepada pesalah, seterusnya mencegah mereka mengulangi kesalahan yang sama.

Wednesday, February 3, 2010

Peguam Syarie Menulis: Pertunangan ada ikatan perjanjian

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Tindakan putus hubungan tidak haram tetapi tidak digalakkan

PERTUNANGAN bukan sekadar adat yang boleh diambil ringan kerana pertunangan adalah perjanjian antara pihak lelaki dan perempuan yang bersetuju untuk menempuh alam perkahwinan bersama. Oleh itu, janji hendaklah dikota.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, tunaikan serta sempurnakan perjanjian kamu." (Surah Al-Maidah, ayat 1). Oleh itu, sesuatu perjanjian termasuk perjanjian untuk berkahwin yang dibuat ketika bertunang tidak boleh ditamatkan melainkan ada alasan munasabah.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: "Orang Islam terikat dengan perjanjian mereka dan perkara yang mana mereka sudah bersetuju." (Sahih Muslim).

Pertunangan biasanya diadakan mengikut adat resam sesebuah masyarakat di mana ia dianggap sebagai langkah permulaan kepada perkahwinan. Adat pertunangan boleh diikuti selagi ia tidak bertentangan dengan Islam.

Diriwayatkan oleh Iman Ahmad, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Sesuatu perkara atau perbuatan yang dianggap sebagai baik oleh masyarakat Islam adalah baik di sisi Allah."

Pertunangan hanya satu perjanjian untuk mengadakan perkahwinan dan tidak mewujudkan perkahwinan itu dengan sendirinya.

Oleh itu, mana-mana pihak berhak untuk membatalkan perjanjian jika ada sebab yang sah bagi membolehkannya berbuat demikian.

Memandangkan pertunangan bukan perkahwinan dan hanya janji untuk berkahwin, maka kebanyakan fuqaha berpendapat pasangan yang bertunang masing-masing boleh memutuskan pertunangan.

Namun begitu, pasangan yang bertunang tidak digalakkan membatalkan pertunangan mereka demi memelihara nama baik perempuan dan keluarganya.

Bagaimanapun, masih ramai yang tidak mengetahui apabila berlakunya putus tunang secara tidak munasabah maka mereka berhak menuntut ganti rugi di Mahkamah Syariah. Jika tiada sebab munasabah, perjanjian seperti itu tidak harus dibatalkan.

Mengenai pembatalan perjanjian pertunangan, Seksyen 15 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan 'jika seseorang sudah mengikat pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau bertulis, bersendirian atau melalui seorang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak satu lagi tanpa sebab yang sah manakala pihak satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah perlu memulangkan pemberian pertunangan jika ada atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang sudah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan untuk perkahwinan itu dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.'

Peruntukan itu jelas menunjukkan pihak yang memutuskan tali pertunangan bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan serta membayar wang yang dibelanjakan bagi tujuan persediaan perkahwinan kepada tunangnya.

Pihak yang dimungkiri juga boleh memohon tindakan mahkamah bagi meminta pihak yang mungkir janji membayar apa-apa juga wang yang sudah dibelanjakan bagi membuat persediaan perkahwinan.

Dalam kes Aishah lawan Jamaludin (1978) J H 104, defendan mungkir perjanjian untuk berkahwin dengan plaintif. Dengan itu, plaintif menuntut pembayaran mas kahwin sebanyak RM25, belanja kahwin RM800 dan plaintif juga mendakwa bahawa berhak untuk menyimpan cincin pertunangan.

Mahkamah Kadi Besar Negeri Kedah memberi penghakiman kepada plaintif dan menentukan defendan membayar ganti rugi mengikut perjanjian pertunangan iaitu mas kahwin RM25 dan belanja kahwin RM800. Plaintif juga berhak untuk menyimpan cincin pertunangan.

Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar plaintif RM25 bagi baju yang sudah disiapkan untuk perkahwinan itu dan RM400 sebagai pembayaran membaiki rumah. Rumah dibaiki sebagai persediaan untuk meraikan perkahwinan itu.

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah apakah jenis barang boleh dituntut akibat pembatalan pertunangan? Pihak yang dimungkiri berhak menuntut ganti rugi terhadap apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati bagi membuat persediaan bagi perkahwinan.

Jika pihak yang dimungkiri membelanjakan sejumlah wang bagi persiapan untuk perkahwinan, maka bayaran ini boleh dituntut daripada pihak yang memungkiri sebagai ganti rugi.

Antara persediaan boleh dituntut adalah wang bagi kad jemputan perkahwinan yang ditempah, wang muka bagi jamuan perkahwinan dan apa-apa persediaan perkahwinan seperti tempahan khemah dan sebagainya. Pihak yang dimungkiri berhak membawa tuntutan di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan ganti rugi berdasarkan kepada peruntukan di atas.

Mengikut peruntukan seksyen itu, pemberian pertunangan merujuk kepada pemberian diberi semasa majlis pertunangan atau pemberian yang boleh ditakrifkan sebagai pemberian persediaan perkahwinan.

Oleh itu, bagi pemberian yang diberikan sebelum pertunangan, pemberian berkenaan bukanlah pemberian pertunangan sebaliknya hadiah atau pemberian sebelum wujudnya pertunangan, justeru ia tidak boleh dituntut di mahkamah.

Pemberian diberikan sebelum pertunangan boleh ditakrifkan sebagai hadiah atau hibah. Menurut pandangan ulama Syafie, hadiah pada hakikatnya adalah pemberian (hibah).

Oleh itu, pihak yang membuat pemberian tidak seharusnya menarik balik apa yang diberikan setelah pihak penerima menerima barang, kecuali bapa yang boleh menarik balik apa yang diberikan kepada anaknya.

Bolehlah dikatakan ia adalah sekadar hadiah semasa proses pikat-memikat dan pemberian itu sebagai satu cara untuk memikat dan menawan hati pihak yang satu lagi dengan membuat pelaburan kebendaan.

Oleh kerana pertunangan bukan perkahwinan, cuma janji untuk berkahwin, kebanyakan fuqaha berpendapat pasangan yang bertunang masing-masing boleh membatalkan pertunangan mereka. Ini kerana selagi akad tidak wujud, tanggungjawab dan pertanggungjawaban juga tidak wujud.

Daripada segi akhlak, pasangan bertunang digalakkan tidak membatalkan pertunangan mereka kecuali dalam keadaan tidak dapat dielakkan dan mendesak, demi memelihara nama baik perempuan dan keluarganya.

Maka tidak seharusnya seseorang lelaki itu mengubah fikiran untuk membatalkan pertunangan, kerana itu dianggap memungkiri janji. Hakikatnya, pembatalan pertunangan bukan haram tetapi tidak digalakkan syariat Islam.

Persoalan lain, adakah pihak dimungkiri boleh menuntut ganti rugi am akibat rasa dirinya dianiaya dan dimalukan oleh tindakan suatu pihak lagi. Peruntukan undang-undang tidak memperuntukkan perenggan berkaitan tuntutan keaiban yang boleh dituntut oleh pihak yang dimungkiri.

Asasnya tuntutan ganti rugi keaiban adalah di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana tuntutan itu tidak diperuntukkan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Wednesday, January 27, 2010

Peguam Syarie Menulis: Usaha martabat perundangan Syariah perlu berterusan

Oleh Tuan Musa Awang
sekretariapgsm@yahoo.com

Pengiktirafan amalan 5S bukti komitmen mahkamah

SEBAGAI institusi awam tempat masyarakat membawa dan mengadu masalah untuk diselesaikan, bukanlah sesuatu yang mudah bagi Mahkamah Syariah memuaskan semua hati pelanggannya.

Namun, pujian wajar diberikan kepada kakitangan Mahkamah Syariah di seluruh negara kerana setakat ini berjaya menjalankan fungsi dengan baik dan berkesan, walaupun usianya masih muda berbanding Mahkamah Sivil yang wujud sejak zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Pada 15 Januari lalu, satu majlis penyampaian sijil pengiktirafan amalan 5S diadakan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang dirasmikan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan kehakiman Syariah Malaysia, Tan Sri Ibrahim Lembut.

Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan berjaya mendapat pengiktirafan amalan 5S pada sesi audit yang dijalankan oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) pada 21 Disember lalu. 5S merujuk kepada gabungan lima perkataan Jepun yang bermula daripada huruf S iaitu Seiri (sisih), Seiton (susun), Seiso (sapu), Seiketsu (seragam) dan Shitsuke (sentiasa amal).

Amalan 5S adalah amalan mengasing dan membuang barangan yang tidak diperlukan, menyusun barang diperlukan secara sistematik supaya mudah diambil dan dikembalikan di tempat asal selepas digunakan, membersihkan tempat bekerja, mewujudkan standard amalan terbaik di tempat kerja dan memas-tikan ia dipatuhi.

Ia juga melatih pekerja mengamalkan rutin ini secara berterusan agar membudaya dalam organisasi. Kebersihan, keceriaan dan sistematik di tempat kerja mempengaruhi budaya kerja kakitangan mahkamah agar dapat melayan kerenah pelanggan dengan baik, ceria dan sistematik.

Sijil pengiktirafan diterima Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan ini bukan yang pertama kerana sebelum itu beberapa negeri lain termasuk Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia meraih beberapa pencapaian sama. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Putrajaya, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang sudah mendapat pengiktirafan pensijilan MS ISO 9001: 2000.

Pada 15 Disember lalu, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor muncul jabatan kehakiman syariah negeri pertama dianugerahi sijil MS ISO 9001: 2008, iaitu pengiktirafan bertaraf dunia kerana menyediakan sistem pengurusan dan pentadbiran terbaik dalam mengendalikan kes mal, jenayah, rayuan dan pembahagian faraid.

Pengiktirafan ini membuktikan kakitangan Mahkamah Syariah komited dan bersungguh-sungguh merealisasikan wawasan menjadikan perkhidmatan awam sebagai terbaik dan terunggul, meskipun Mahkamah Syariah masih muda usianya, dengan bilangan pendaftaran kes meningkat setiap tahun, serta cabaran semasa dihadapi mahkamah seperti kecaman dan tanggapan negatif sesetengah pihak.

Sebagai usaha berterusan untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah, penulis mencadangkan pada setiap tahun diadakan satu hari dikenali sebagai 'Hari Mahkamah Syariah' sebagai memperingati tarikh penubuhan rasmi Mahkamah Syariah di Malaysia. Rujukan boleh dibuat terhadap tarikh terawal penubuhan Mahkamah Syariah di negara ini.

Menyorot sejarah, pada 1948 ordinan Mahkamah Persekutuan dan sistem kehakiman persekutuan memisahkan Mahkamah Syariah daripada hierarki mahkamah. Selangor pertama mewujudkan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (1952), diikuti negeri lain di Malaysia Barat.

Waktu itu Mahkamah Syariah dikenali sebagai Mahkamah Kadi bagi menjalankan peraturan dan peruntukan undang-undang pentadbiran agama Islam bagi setiap negeri di Tanah Melayu.

'Hari Mahkamah Syariah' yang dicadangkan ini juga sebagai menghargai jasa kakitangan yang bekerja keras memajukan organisasi dan meningkatkan syiar syariah di Malaysia.

Satu daripada usaha memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai peranan Mahkamah Syariah adalah mengetahui sejarah dan perkembangannya. Dengan itu kita tahu bagaimana sesuatu perkara bermula dan menghargai susah payah pejuang terdahulu berhempas-pulas untuk kesejahteraan dan nikmat yang dirasai pada hari ini.

Dengan memahami sejarah juga, masyarakat sedar peranan Inggeris selepas menduduki Pulau Pinang pada 1786, dengan membawa undang-undang mereka ke Tanah Melayu, menubuhkan mahkamah dan melantik hakim yang mahir dengan undang-undang Inggeris untuk mengadili kes di Tanah Melayu.

Inggeris juga memperkenalkan tiga piagam Charters of Justice pada 1807, 1826 dan 1885, bertujuan mengangkat taraf undang-undang Inggeris dan secara langsung menenggelamkan undang-undang Islam yang dulunya diamalkan sebagai undang-undang tempatan. Usaha memartabatkan perundangan Syariah perlu berterusan. Usaha murni untuk tujuan itu wajar disokong kerajaan dan umat Islam agar perundangan Syariah di Malaysia akan lebih berkesan, mantap dan cemerlang dari semasa ke semasa.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi melalui e-mel sekretariapgsm@yahoo.com

Wednesday, January 20, 2010

Peguam Syarie Menulis: Jalan pintas bernikah undang risiko

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip


PERNIKAHAN di luar negara tanpa kebenaran adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Akta/Enakmen Keluarga Islam. - Gambar hiasan


Pasangan mahu kahwin di luar negara perlu fikir masalah bakal timbul


JIKA diamati sekarang ini, ramai rakyat Malaysia tanpa mengira nama, pangkat, darjat dan status, berkahwin di Selatan Thailand sama ada di wilayah Songkhla, Narathiwat atau Pattani. Saya dimaklumkan oleh seorang rakan ketika saya berkunjung ke Kelantan baru-baru ini bahawa di Majlis Agama Islam Narathiwat saja lebih 10 pasangan dinikahkan sehari.

Kalau betul angka itu, bermakna isu ini amat serius dan ia amat membimbangkan. Persoalannya, apakah sebab atau faktor menyebabkan individu tertentu ini mengambil 'jalan singkat' tanpa mengira kesannya dari sudut perundangan serta hukum syarak.

Pernikahan di luar negara tanpa kebenaran adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Akta/Enakmen Keluarga Islam apatah lagi bagi individu yang sudah mempunyai isteri. Wujud pelbagai faktor menyebabkan mereka ini bernikah di luar negara. Antaranya, alasan masalah keluarga.

Ini merangkumi suami, wali sengaja enggan menikahkan atas pelbagai alasan wali sendiri, ibu bapa atau ahli keluarga tidak merestui pernikahan itu disebabkan masih dalam alam pengajian, tidak seketurunan atau keluarga sudah ada calon mereka sendiri.

Kesan ketidakizinan keluarga ini menyebabkan hasrat pasangan bernikah melalui 'proses biasa' tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Akibatnya, mereka bernikah di luar negara bagi menyelesaikan permasalahan mereka.

Selain itu, sebilangan pasangan bernikah di luar negara bagi tujuan poligami, kerana sudah mempunyai isteri lain sama ada satu isteri, dua atau tiga. Undang-undang di negara kita menetapkan bagi lelaki yang ingin berkahwin lebih daripada satu, perlu mendapat kebenaran Mahkamah Syariah.

Namun demikian ada pasangan mengambil jalan mudah untuk nikah di luar negara atas alasan kerana tentangan isteri sedia ada, tidak mahu isteri sedia ada mengetahui atau mengelak diketahui pihak tertentu seperti majikan atau keluarga.

Selain itu, faktor kewarganegaraan juga dikatakan menyumbang kepada penyebab pernikahan luar negara ini. Keadaan di Malaysia pada masa ini ialah ada warganegara asing yang datang berkunjung atau warganegara Malaysia ke luar negara sama ada kerana melancong, belajar, bekerja atau menjalankan urusan perniagaan.

Hal ini secara tidak langsung mendorong hubungan peribadi antara warganegara asing dengan penduduk tempatan. Hasil hubungan itu, sebilangan mereka yang melangsungkan akad nikah di luar Malaysia tanpa kebenaran pihak berkuasa agama negeri atas pelbagai alasan seperti sedang berada di negara berkenaan dan tidak sempat balik ke Malaysia, memerlukan kos tinggi untuk berulang alik dan juga disebabkan pernikahan dengan warganegara asing itu adalah pernikahan poligami.

Faktor undang-undang juga dikatakan berperanan kepada penyumbang berlakunya pernikahan luar negara. Peraturan pernikahan melalui Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang diguna pakai di seluruh negeri di Malaysia, antara lain bertujuan menyusun atur dan mengawal isu berkaitan dengan perkahwinan, perceraian dan hal yang bersangkutan dengannya.

Bagaimanapun, ada segelintir masyarakat beranggapan peruntukan undang-undang yang ditetapkan adalah ketat dan ia menyusahkan dan membebankan. Umpamanya peraturan mensyaratkan setiap pasangan yang hendak bernikah mengisi borang dan melengkapkannya, menghadiri kursus pra perkahwinan, mendapatkan surat akuan bujang, surat akuan mastautin, surat pengesahan HIV, surat pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara bagi pemegang penduduk tetap, menghadiri temubual dan sebagainya yang memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang.

Malah bagi kes tertentu, ia akan dirujuk ke Mahkamah Syariah dan kelulusan seperti wali enggan, permohonan poligami dan kes yang bersangkutan dengan perceraian. Bagi sesetengah pasangan, peraturan ini sangat membebankan dan menjadi penghalang utama hasrat mereka untuk menjadi pasangan suami isteri. Sebagai langkah alternatif, bernikah di luar negara dengan anggapan prosesnya lebih mudah berbanding di dalam negara sendiri.

Sesuatu pernikahan itu boleh dilakukan di mana-mana tempat yang dipilih oleh pasangan asalkan pernikahan mereka memenuhi rukun nikah dan syaratnya. Bagaimanapun bagi memastikan pernikahan itu diakui, kebenaran untuk melangsungkan pernikahan hendaklah diperoleh terlebih dulu mengikut proses undang-undang.

Pernikahan luar negara mempunyai kesan iaitu memungkinkan pasangan dipisahkan jika pernikahan itu tidak sah, pasangan dikenakan denda atau penjara, serta sukar mendapat hak suami atau isteri. Lantaran itu, setiap pasangan yang bercadang mengambil jalan pintas dalam menyelesaikan masalah, sepatutnya memikirkan kesan pernikahan itu secara mendalam sebelum tindakan nekad diambil bagi mengurangkan masalah baru yang bakal timbul akibat pernikahan itu.

Dari segi perundangan pula, contohnya Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984. Seksyen 23(1) mengenai poligami memperuntukkan bahawa seorang lelaki yang mahu berpoligami perlu memohon keizinan Mahkamah Syariah terlebih dulu.

Jika dia berkahwin sebelum atau setelah gagal mendapatkan kebenaran itu, maka tindakannya adalah salah di sisi undang-undang. Dia boleh didakwa di bawah Seksyen 123. Jika disabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Satu kesan perkahwinan yang dilakukan tanpa kebenaran mahkamah adalah perkahwinan itu tidak boleh didaftarkan. Tujuan pendaftaran ini bukan hanya satu formaliti bagi mendapatkan sijil nikah. Ia satu rekod yang mensahihkan perkahwinan berkenaan, bukan saja menurut undang-undang negeri malah menepati hukum syarak.

Perkahwinan yang tidak didaftarkan adalah tidak sah dari segi undang-undang. Ia bermaksud bahawa pihak perempuan tidak akan mempunyai hak sebagai seorang isteri dan tidak boleh membuat sebarang tuntutan di Mahkamah Syariah nanti.

Pihak perempuan tidak akan dibenarkan menuntut hak ke atas nafkah, hak penjagaan atau nafkah anak, dan lain-lain tuntutan sehingga perkahwinan didaftarkan. Proses pendaftaran bukanlah satu perkara mudah terutama sekali jika ia dilakukan di luar negara, tanpa wali hadir atau tanpa saksi yang dikenali atau suami enggan bekerjasama.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Wednesday, January 6, 2010

Peguam Syarie Menulis: Semua negeri patut warta fatwa merokok haram

Oleh Tuan Musa Awang

Hanya Kedah, Selangor iktiraf muzakarah ulama 1995 anggap perokok pesalah syariah

MULAI 1 Januari lalu, kerajaan menetapkan harga minimum bagi rokok, iaitu RM6.40 bagi 20 batang, atau RM0.32 sen bagi setiap batang rokok, apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) (No.2) 2009 yang diwartakan.

Langkah itu disambut baik kerana dapat menghindari golongan muda terutama pelajar membeli rokok. Sesetengah berpendapat, harga rokok perlu dinaikkan lebih tinggi bagi membendung aktiviti merokok dikalangan masyarakat.

Merokok adalah proses memasukkan bahan beracun ke dalam tubuh secara sukarela oleh perokok. Tidak kurang daripada 3,800 jenis racun disedut ke dalam tubuh ketika seseorang itu menghisap sebatang merokok. Pada masa sama, tidak kurang juga yang mengeluh, sudah pastinya si perokok.

Isu mengenai bahaya rokok ini bukanlah satu perkara baru. Beberapa fatwa dikeluarkan sebelum ini oleh ulama Islam antarabangsa seperti oleh Al-Marhum Mufti Saudi, Syeikh Abdul Aziz bin Baaz, Syeikh Abdullah Al-Masyd (Ketua Lembaga Fatwa Azhar), Dr Ahmad Umar Hashim (Naib Canselor Al-Azhar), Syeikh Ahmad as-Sunhawy al-Bahuty al-Anjalaby, Syeikh Al-Malakiyah Ibrahim al-Qaani dari Mesir, An-Najm al-Gazy al-Amiry as-Syafi'i dari Syria, dan ulama Makkah Abdul Malik al-Ashami, dan juga fatwa Dr Yusuf al-Qardhawi.

Merokok haram hukumnya berdasarkan makna daripada zahir ayat Al-Qur'an dan As-Sunnah serta iktibar (logik) yang benar. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud, "Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri dalam kebinasaan." Merokok termasuk perbuatan yang mencampakkan diri sendiri ke dalam kebinasaan.

Sabda Baginda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith sahih melarang membazirkan harta kepada hal tidak bermanfaat. Membeli rokok bukan saja memperuntukkan harta pada hal yang tidak bermanfaat, bahkan boleh membawa kemudaratan. Dalam hadith riwayat Ibnu Majah, Baginda SAW bersabda yang bermaksud "Tidak boleh (menimbulkan) bahaya dan tidak boleh pula membahayakan orang lain.".

Firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 157 yang bermaksud, "Dihalalkan atas mereka apa-apa yang baik, dan diharamkan atas mereka apa-apa yang buruk (kotoran)." Rokok dan bau mulut perokok mengganggu orang lain, termasuk pada jemaah solat.

Sejak 23 Mac 1995, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKBHEAI) Kali Ke-37 memutuskan bahawa tabiat merokok adalah haram menurut pandangan Islam.

Akta, enakmen dan Ordinan Pentadbiran Undang-Undang Islam negeri-negeri memperuntukkan kenyataan Mufti tidak boleh dikatakan sebagai fatwa dan tidak akan menjadi undang-undang mengikat (binding) melainkan jika ia dikeluarkan melalui prosedur ditetapkan enakmen dan seterusnya disiarkan di dalam warta.

Penguatkuasaan fatwa adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri kerana pentadbiran undang-undang Islam terletak di bawah negeri. Di samping itu, tidak ada mana-mana negeri boleh dipaksa menerima fatwa yang dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan.

Perlanggaran terhadap fatwa yang diwartakan pemerintah negeri adalah kesalahan menurut undang-undang Jenayah Syariah. Semua negeri memperuntukkan hukuman kepada orang Islam yang melanggar fatwa, meskipun wujud perbezaan dari segi jumlah hukuman.

Pada 1997, tiga gadis Islam yang memasuki pertandingan Ratu Cantik di Petaling Jaya Selangor, didakwa atas kesalahan melanggar fatwa negeri Selangor yang menya takan adalah haram bagi wanita Islam menyertai sebarang jenis pertandingan Ratu Cantik (Pendakwa Syarie lwn. Fahyu Hanim Ahmad dll. (2000) JS 8(1),137).

Tahun lalu, lelaki yang mendakwa dirinya Rasul Melayu, Kahar Ahmad didakwa kerana menghina pihak berkuasa agama, menurut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang menyebutkan, "Mana-mana orang bertindak dengan cara menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan :- (a) Duli Yang Maha Mulia Sultan atas sifat Baginda sebagai Ketua agama Islam ; (b) Majlis (c) Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya."

Di Kedah, seseorang yang melanggar Perintah DYMM Tuanku Sultan boleh dikenakan tindakan menurut Seksyen 32, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 yang memperuntukkan bahawa "(1) Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan boleh, sebagai Ketua Agama Negeri, mengeluarkan apa-apa perintah, dari semasa ke semasa, berkaitan dengan perkara khusus yang tidak bertentangan dengan Hukum Syarak: Dengan syarat bahawa perintah itu hendaklah berkuatkuasa pada tarikh ditetapkan oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan melalui pemberitahuan dalam Warta. (2) Mana-mana orang yang tidak mematuhi perintah di sub-seksyen (1) adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya."

Selangor sudah mewartakan fatwa pengharaman rokok pada tahun yang sama fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 dikeluarkan. Kedah turut mewartakannya pada tahun berikutnya. Maka orang yang menghisap rokok di negeri Selangor dan Kedah adalah pelaku jenayah Syariah yang boleh didakwa di bawah Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah kerana menghina pihak berkuasa agama, serupa dakwaan terhadap tiga peserta pertandingan ratu cantik dan Kahar Ahmad.

Sejak keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan MKBHEAI dikeluarkan pada 1995, hanya negeri Selangor dan Kedah mewartakan fatwa berkenaan. Apa sudah jadi dengan negeri-negeri lain? Adakah negeri lain tidak mengiktiraf fatwa peringkat kebangsaan yang dikeluarkan itu?

Jika ya, apakah fungsi dan peranan sebenar MKBHEAI yang ditubuhkan ketika Sidang Majlis Raja-Raja pada 1 Julai 1969 untuk memberi nasihat dan syor kepada Majlis Raja-Raja, kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam Negeri atas apa-apa perkara berkenaan dengan perundangan, pentadbiran Agama Islam dan pelajaran Agama Islam, dengan tujuan mewujudkan penyelarasan yang berkesan dan seragam antara negeri-negeri dalam pentadbiran hal ehwal orang Islam di negara ini tercapai. Di manakah integriti dan kewibawaan majlis di peringkat kebangsaan ini?

Fatwa rokok yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sejak 15 tahun lalu itu perlu segera diwartakan oleh setiap kerajaan negeri jika pihak kerajaan benar-benar serius untuk menjaga kesejahteraan rakyat.

Kita tidak dapat menerima alasan pihak yang melengahkan tindakan mewartakan fatwa ini di peringkat kerajaan negeri, setelah lebih sedekad fatwa peringkat kebangsaan itu dikeluarkan. Kelengahan berterusan jika terus dibiarkan, boleh memberi gambaran buruk kepada imej Islam.

Wednesday, December 23, 2009

Peguam Syarie Menulis: Proses membuktikan amalan sihir mesti jelas

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Hakim perlu bantuan pakar, saksi sebelum putuskan hukuman ke atas pengamal ilmu hitam

AMALAN sihir dalam melakukan kegiatan jenayah dilihat semakin meruncing dalam masyarakat masa kini dan seterusnya membuka mata banyak pihak betapa serius perkara ini dan memerlukan penyelesaian segera. Penggunaan istilah sihir dalam alam Melayu kebiasaannya merujuk kepada ilmu hitam.

Sihir yang diamalkan dikategorikan kepada beberapa bahagian iaitu bagi tujuan melindung diri, mendapatkan kelebihan, mengawal dan memusnahkan musuh serta meramal masa hadapan. Sihir yang diamalkan boleh dikelaskan menurut beberapa kelompok seperti saka yang menggunakan jin atau syaitan (kadam, toyol, roh orang mati, hantu), azimat dan menggunakan jampi serapah.

Malah amalan sihir ini turut berlaku di dalam perbicaraan kes kekeluargaan di Mahkamah Syariah dan kesannya sihir boleh menghasilkan natijah luar biasa, menarik, mengelirukan dan kadangkala berupaya mengatasi masalah manusia selepas pelbagai ikhtiar dilakukan. Amalan sihir ini terus diamalkan secara tersembunyi atau terang-terangan seolah-olah ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam, apatah lagi usaha untuk menghalangnya seumpama tidak wujud dan jelas.

Amalan itu berleluasa kerana tiada undang-undang yang diperuntukkan bagi mengekang masalah ini seterusnya tiada sebarang tindakan boleh dikenakan terhadap orang yang menggunakan sihir dan pengamalnya. Oleh itu, cadangan yang dikemukakan pada `Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis anjuran Jabatan Mufti Selangor, baru-baru adalah sesuatu yang boleh diterima dan diperhalusi. Namun begitu, kajian menyeluruh dengan pakar dalam bidang ini amatlah dialu-alukan bagi mendapatkan penyelesaian yang sewajarnya.

Penggubalan undang-undang berkaitan sihir ini adalah suatu yang mendatangkan kebaikan kerana ia dapat mengekang amalan sihir ini daripada berterusan dan digunakan sewenang-wenangnya dalam masyarakat.

Namun begitu, apa yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana melalui peruntukan undang-undang ini dapat membuktikan ama lan sihir itu berlaku sedangkan amalan sihir adalah suatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan bersifat abstrak. Dalam hal ini, pandangan pakar amatlah perlu bagi membantu hakim dalam membuat keputusan.

Firman Allah maksudnya, "Oleh itu, bertanyalah kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahuinya" (Al-Nahl:42).

Ayat itu menyarankan kepada kita agar bertanya kepada orang yang mengetahuinya. Inilah yang dikatakan meminta pendapat "ra'yu al-khabir" di dalam prinsip Undang-undang Keterangan Islam.

Persoalan lain pula akan timbul iaitu siapakah pakar-pakar berkenaan? Siapa yang akan menentukan bahawa mereka adalah pakar? Adakah wujud badan yang pakar dalam hal itu?

Antara kes yang boleh dirujuk adalah kes Mustafa Batcha lwn Habeba Abd Rahman di dalam kes cerai talak tiga yang mana perayu mendakwa bahawa beliau pada ketika itu tidak tahu apa yang dilakukannya kerana terkena sihir, ada barang sihir dan hanya sihat setelah mendapat rawatan daripada dukun.

Ia perbuatan yang dikeji di dalam hukum Islam. Perayu menyatakan bahawa selepas beliau ke kantin di sebuah kilang, fikirannya tidak tenteram, selalu bergaduh dan marah pada isterinya, timbul rasa benci dan memukul isterinya dan beliau sendiri tidak mengetahuinya. Dalam pada itu, perayu dengan tidak sedar diri telah membuat aduan kepada pihak berkenaan untuk menceraikan isterinya. Perayu mendapati bungkusan kain putih di dalam kantin itu dan beliau berusaha berubat cara kampung. Menurut orang yang mengubatinya (dukun), beliau terkena sihir kerana berjaya mendapatkan kantin itu.

Berdasarkan rekod perbicaraan, hakim memutuskan hukumannya berdasarkan kepada ikrar yang dibuat oleh perayu yang ia sudah menceraikan isterinya dengan talak tiga. Walaupun ikrar adalah salah satu cara pembuktian yang terkuat dalam hukum syarak tetapi sebelum ikrar itu diterima ia hendaklah dipastikan ia dilakukan secara mutlak tanpa syarat, ikatan atau kait mengait dengan perkara lain. Jika ia dikaitkan dengan perkara lain dan tidak mutlak sebagaimana ulama berpendapat bahawa ikrar itu tidak sah.

Kes di atas adalah antara contoh kes kekeluargaan yang membabitkan sihir yang dilaporkan. Situasi sebenar yang dapat kita lihat di dalam kes amalan sihir adalah rumit dan memerlukan penelitian yang khusus terutama daripada hakim yang akan membuat keputusan memandangkan tiada peruntukan undang-undang yang khusus bagi menangani masalah yang membabitkan sihir.

Saranan paling tepat adalah kes itu didengar dan dibicarakan sewajarnya dengan memanggil saksi untuk memberikan keterangan, pendapat "ra'yu al-khabir" sama ada benar atau tidak sihir digunakan dengan membincangkan latar belakang, suasana dan keadaan kes yang diikrarkan.

Peruntukan undang-undang berkaitan sihir ini perlu diwujudkan di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah bagi mengekang masalah ini daripada terus berleluasa. Sekiranya tiada peruntukan undang-undang berkenaan, ia akan membolehkan individu, bomoh atau penjenayah yang mengamalkan ilmu sihir dan melakukan jenayah serta menganiayai orang lain terlepas daripada hukuman kerana tiada peruntukan undang-undang.

Perjumpaan antara pengamal undang-undang, ahli agama, ahli akademik dan badan tertentu penting bagi membincangkan penyelesaian kepada masalah ini seterusnya boleh diusul dan dibahaskan dengan terperinci pada peringkat Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan kerana membabitkan isu nasional dan akidah umat Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Wednesday, December 9, 2009

Peguam Syarie Menulis: Usah memperlekeh kedaulatan Mahkamah Syariah

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip


SEBARANG perintah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah harus dipandang serius kerana ia mengguna pakai undang-undang Islam. - Gambar hiasan


Umat Islam patut hormati sistem perundangan untuk tegakkan keadilan ikut al-Quran, sunnah


SEPERTI Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah hendaklah dihormati dan dipandang tinggi kerana kedua-duanya adalah institusi keadilan di negara ini walaupun sistemnya berlainan. Kita tidak boleh lari daripada hakikat negara mempunyai dua sistem perundangan berasingan.

Namun, adat segelintir umat Islam yang tidak yakin dan tidak menghormati Mahkamah Syariah dan disebabkan itu mereka tidak mengambil berat soal kehadiran ke mahkamah walaupun saman dikeluarkan bagi memastikan mereka hadir.

Ini diburukkan lagi apabila sesetengah keadaan perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah dilanggar serta diperlekehkan pihak tidak bertanggungjawab terutama dalam kes membabitkan perintah pembayaran wang seperti perintah nafkah isteri, anak, edah dan mutaah.

Tanggapan 'ala, perintah Mahkamah Syariah saja, bukan ke mana pun' sepatutnya dihakis bagi menghilangkan pandangan negatif orang ramai terhadap Mahkamah Syariah.

Semua prosiding di Mahkamah Syariah dimulakan dengan saman seperti pengesahan lafaz cerai, tuntutan perceraian dan tuntutan lain melainkan mana-mana prosiding yang ditetapkan undang-undang dibuat melalui permohonan.

Apabila sesuatu saman difailkan, saman itu hendaklah disertakan dengan penyata tuntutan. Selepas saman difailkan, Pendaftar Mahkamah hendaklah memeriksa saman dan pihak menuntut (plaintif) membayar yuran ditetapkan. Pendaftar Mahkamah akan menandatangani, memeterai dan mengeluarkan saman itu.

Saman berserta penyata tuntutan yang menyatakan secara khusus bentuk tuntutan plaintif hendaklah diserahkan sendiri kepada pihak yang kena tuntut (defendan) oleh pegawai mahkamah atau orang dipertanggungjawabkan.

Apabila defendan menerima saman itu, defendan hendaklah hadir bersendirian atau melalui peguam yang dilantik mewakilinya pada hari kes ditetapkan mahkamah pada surat saman untuk menjawab tuntutan berkenaan. Undang-undang memperuntukkan secara jelas jika defendan tidak hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan untuk sebutan kes, mahkamah boleh meneruskan perbicaraan sekali gus memutuskan atau memberikan penghakimannya.

Ia berlaku dengan syarat saman sudah diserahkan kepada defendan secara sempurna. Defendan yang menerima saman tidak boleh mengambil ringan soal ketidakhadiran kerana mahkamah mempunyai kuasa menjalankan perbicaraan, sekali gus mengeluarkan perintah membabitkan perceraian mahupun perintah pembayaran wang.

Jika defendan menerima saman tetapi enggan hadir ke mahkamah tanpa alasan munasabah dari segi undang-undang dan hukum syarak,

mahkamah mempunyai kuasa mengeluarkan waran tangkap yang dilaksanakan oleh polis atau pegawai penguatkuasa agama.

Mengikut Seksyen 51 (a) atau (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, mahkamah mempunyai kuasa mengeluarkan waran untuk menangkap defendan dalam keadaan:

# Sama ada sebelum atau selepas pengeluaran saman oleh mahkamah tetapi sebelum mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes. Di dalam keadaan ini mahkamah berpendapat ada alasan untuk mempercayai bahawa defendan sudah melarikan diri atau dipercayai tidak akan mematuhi saman itu;

# Dalam keadaan defendan sudah menerima saman tetapi tidak hadir ke mahkamah dengan tidak memberikan alasan munasabah.

Dalam keadaan pertama, mahkamah sebelum saman atau selepas saman dikeluarkan boleh mengeluarkan waran tangkap jika ada bukti menunjukkan defendan sudah melarikan diri atau ada alasan dan bukti jelas defendan memang tidak akan mematuhi saman itu.

Contohnya, defendan mengatakan kepada plaintif atau di hadapan saksi bahawa dia tidak akan hadir mahkamah walaupun menerima saman. Oleh kerana saman perlu diserahkan kepada defendan, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap walaupun sebelum tarikh sebutan kes ditetapkan.

Merujuk keadaan kedua, jelas defendan sudah menerima saman tetapi tidak hadir ke mahkamah tanpa alasan munasabah yang boleh memuaskan hati mahkamah. Seseorang yang hadir ke mahkamah selepas kes disebut juga tidak dikira sebagai hadir atas rekod mahkamah.

Dalam keadaan itu waran tangkap boleh dikeluarkan mahkamah atas permohonan plaintif atau peguam syarie plaintif. Begitu juga seorang yang ada alasan tidak hadir seperti sakit, berlaku kematian tetapi tidak mengemukakan kepada mahkamah perkara itu.

Mahkamah tidak akan membenarkan pengeluaran waran tangkap jika semua pihak menghormati dan tahu tanggungjawabnya untuk hadir ke Mahkamah Syariah pada masa ditetapkan tanpa perlu dipaksa.

Sewajarnya, umat Islam wajar menghormati Mahkamah Syariah sebagai institusi keadilan dalam Islam termasuk menghadirkan diri ke mahkamah apabila diperintahkan.

Jika umat Islam tidak menghormati institusi perundangan syariah, siapa lagi yang akan menghormati dan memartabatkannya kerana mahkamah ini mendukung undang-undang syariah berasaskan keadilan di bawah neraca Allah.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Wednesday, December 2, 2009

Peguam Syarie Menulis: Seksyen 51 nafi hak mualaf bubar perkahwinan

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip


JIKA salah seorang pasangan suami isteri bukan Islam memeluk Islam, perkahwinan itu boleh terbatal dengan sendirinya jika pihak satu lagi tidak turut masuk Islam dalam tempoh edah. - Gambar hiasan


Mahkamah Sivil hanya benar pasangan bukan Islam fail petisyen batal ikatan suami isteri


UNDANG-UNDANG perkahwinan dan perceraian di negara ini ditadbir dua kod berbeza yang merujuk kepada Islam dan bukan Islam. Bagi orang Islam, mereka tertakluk kepada enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri masing-masing.

Bagi bukan Islam pula dikawal selia di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) atau dikenali dengan 'Law Reform Act'.

Seksyen 51 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 memperuntukkan jika satu pihak memeluk Islam, maka pihak satu lagi boleh membuat petisyen di mahkamah untuk membubar perkahwinan.

Mahkamah boleh membuat perintah kepada isteri atau suami bagi menjaga kepentingan anak jika ada, atau meletakkan syarat apabila membubarkan perkahwinan itu. Mahkamah dimaksudkan ialah Mahkamah Sivil.

Jika meneliti Seksyen 51 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, peruntukan seksyen hanya memberi hak kepada pihak yang tidak memeluk Islam memfailkan petisyen pembubaran perkahwinannya di mahkamah. Sementara pihak yang memeluk Islam tiada hak membubarkan perkahwinan.

Merujuk Seksyen 46 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, jika salah satu pihak bukan Islam memeluk Islam, perbuatan demikian tidak boleh sendirinya berkuat kuasa membubarkan perkahwinan itu sehingga Mahkamah Syariah mengesahkannya.

Jelaslah di sini ada percanggahan antara dua undang-undang itu. Bagaimanapun pihak yang masuk Islam boleh memohon membubarkan perkahwinan di Mahkamah Syariah melalui Seksyen 46 (2) enakmen berkenaan, tetapi perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah tidak mengikat pihak yang tidak memeluk Islam.

Kebiasaan yang berlaku, sering kali perintah Mahkamah Syariah tidak dihiraukan dan dipandang sepi oleh pihak tidak memeluk Islam kerana mereka berpendirian perkahwinan didaftarkan melalui kaedah sivil. Mahkamah Sivil satu-satunya medan berhak membubarkan perkahwinan itu, bukannya Mahkamah Syariah.

Mengikut Seksyen 51 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, pihak memeluk Islam tidak mempunyai cara untuk membubarkan perkahwinan dan ini tidak adil bagi pasangan yang memeluk Islam.

Berdasarkan pelaksanaan sekarang, pihak yang memeluk Islam dinafikan haknya untuk hidup mengikut kepercayaan agamanya, kerana beliau dianggap masih suami isteri di sisi undang-undang jika pihak tidak memeluk Islam tidak memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan.

Kebanyakan kes yang dibawa ke mahkamah di negara kita adalah mengenai kesan pemelukan Islam oleh salah satu pihak daripada perkahwinan bukan Islam. Mengikut undang-undang Islam, jika salah seorang pasangan bukan Islam memeluk Islam dan pihak satu lagi tidak mengikutinya memeluk Islam dalam masa edah, perkahwinan itu dengan sendirinya terbatal.

Tetapi di Malaysia, seseorang yang memeluk Islam masih terikat dengan undang-undang sivil.

Jabatan Peguam Negara sudah mengemukakan beberapa cadangan bagi mengatasi konflik bidang kuasa syariah dan sivil, antaranya pindaan seksyen 51 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 bagi memberi hak kepada orang Islam mempetisyen pembubaran perkahwinan di Mahkamah Sivil.

Pada masa sama, Jabatan Peguam Negara mencadangkan pindaan terhadap Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984. Cadangan dikemukakan Jabatan Peguam Negara bagi mengatasi konflik bidang kuasa antara syariah dan sivil.

Turut dicadangkan, perkahwinan sivil seorang mualaf dibubarkan secara automatik selepas tiga bulan disahkan sebagai Islam. Cadangan itu selari undang-undang Islam iaitu jika seseorang suami mahupun pihak isteri yang berkahwin di bawah undang-undang bukan Islam kemudian memeluk agama Islam dan pihak satu lagi tidak mengikutinya memeluk Islam dalam masa edah, perkahwinan itu dengan sendirinya terbatal.

Namun demikian cadangan itu mendapat tentangan kerana dikatakan tidak memberi keadilan kepada pasangan bukan Islam.

Persoalannya, apakah Parlimen mempunyai kuasa meminda undang-undang kepada orang Islam saja kerana kuasa perundangan individu dan keluarga Islam adalah hak eksklusif kerajaan negeri.

Seperti termaktub dalam Senarai 1 Senarai Persekutuan perkara 4 (e)(i) dan (ii), Kerajaan Persekutuan/Parlimen mempunyai kuasa membuat undang-undang diri dan keluarga bagi orang bukan Islam.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan boleh membuat undang-undang diri dan keluarga Islam untuk tujuan penyeragaman dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.

Pindaan yang dicadangkan itu akan memberi kesan terhadap undang-undang syariah antaranya Seksyen 46 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dipadamkan bagi meraikan pindaan Seksyen 51 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Seterusnya, ia memberi kuasa kepada Mahkamah Sivil untuk menentukan pembubaran perkahwinan yang sudah wujud dalam Jadual Kesembilan Senarai 2 - senarai negeri (perkara 1). Pindaan itu menyempitkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Wednesday, November 4, 2009

Peguam Syarie Menulis: Penguat kuasa agama profesional kurang

Oleh Musa Awang


KES syarie memerlukan bukti kukuh sebelum dibawa ke Mahkamah Syariah. - Foto Azuddin Saad


Syor tambah anggota, perkenal skim latihan tingkat kemahiran kendali kes jenayah syariah

PEGAWAI Penguatkuasa Agama (PPA) dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri (Main) daripada kalangan anggota perkhidmatan awam negeri atau perkhidmatan bersama, diberi kuasa menjalankan penyiasatan, menangkap dan menahan orang melakukan kesalahan di bawah undang-undang Islam, sebelum didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Syariah.

PPA adalah sayap kanan kepada Pendakwa Syarie (pendakwaan), bagi memastikan peruntukan dalam undang-undang syariah dilaksanakan. Mutakhir ini, tugas PPA bukan semata-mata menangani kes jenayah syariah.

Malah, tugas mereka mencakupi pelbagai bidang termasuk membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memeriksa makanan halal, membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menguatkuasa Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 dan terbitan berunsur Islam lain.

PPA juga berperanan memastikan undang-undang syariah, kaedah serta fatwa mufti dipatuhi dan dilaksanakan. PPA turut berfungsi menguatkuasakan undang-undang keluarga Islam, bagi kesalahan perkahwinan yang boleh menggugat ikatan kekeluargaan Islam.

PPA juga tertakluk kepada arahan tetap Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri dan arahan tetap Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama yang mengandungi manual atau tatacara menerima maklumat, menjalankan siasatan, menyediakan kertas siasatan, menyediakan laporan ringkas kes serta mengendalikan barang yang disita.

Adalah menjadi tanggungjawab PPA menghantar pesalah ke penjara atau pusat tahanan selepas dijatuhkan hukuman, seperti tugas polis di Mahkamah Sivil.

Pada 2007, sebuah akhbar tempatan mendedahkan di Johor hanya mempunyai seramai 76 PPA berbanding jumlah penduduk Islam Johor iaitu seramai lebih 2.1 juta orang. Daripada jumlah itu, hanya 18 pegawai berjawatan tetap, manakala 58 lagi adalah kontrak.

Menurut sumber, di Selangor kini hanya ada 68 PPA termasuk lelaki dan perempuan berbanding lebih 2.5 juta penduduk Islam. Jumlah penduduk itu tidak termasuk warga asing seperti Indonesia, Bangladesh, Singapura, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Myanmar, Filipina dan Thailand yang ada di negeri itu.

Pada Disember 2008, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan hanya ada 1,242 PPA di seluruh negara, dengan nisbahnya seorang penguat kuasa bagi 23,000 orang, dan keadaan itu amat membebankan PPA melaksanakan tugas.

Kekurangan PPA wanita juga menimbulkan masalah terutama membabitkan tangkapan pesalah wanita. Masalah logistik seperti kurang peralatan komunikasi, kekurangan pemandu, kenderaan operasi, peruntukan elaun lebih masa, elaun perjalanan terbatas dihadapi PPA, menjejaskan tugas pencegahan maksiat.

Dalam menjalankan tugas, PPA perlu mahir melaksanakan beberapa prosedur seperti siasatan dan menyediakan laporan lengkap sebelum dikemukakan kepada bahagian pendakwaan. Skim perjawatan PPA adalah skim hal ehwal Islam atau dilantik secara kontrak.

Sebelum pegawai ini mendapat latihan dan pengetahuan secukupnya, mereka sudah diarahkan ke bahagian atau jawatan lain atau ditamatkan kontrak. Akibatnya, usaha melahirkan PPA berpengetahuan dan berpengalaman terbantut.

PPA tidak dilatih melakukan kerja penyamaran seperti pegawai penyiasat polis dan ini mendedahkan mereka kepada risiko termasuk kes pendakwaan yang lemah. PPA juga tidak mempunyai kuasa menahan reman pesalah menyebabkan mereka sukar mendapatkan maklumat. Selepas mengambil kenyataan, pesalah terpaksa dibebaskan sehingga dituduh di mahkamah.

Di sesetengah negeri, Bilik Gerakan 24 jam (hotline) tidak dapat beroperasi seperti sepatutnya disebabkan kekurangan kakitangan. Malah, PPA tidak dibekalkan sistem komunikasi dan ciri keselamatan yang cukup ketika menjalankan operasi.

Sehubungan itu, usaha meningkatkan profesionalisme PPA di setiap Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) perlu disegerakan dengan menambah bilangan PPA di samping melatih kakitangan sedia ada.

Satu skim tertutup perlu diperkenalkan untuk PPA sama seperti polis atau agensi penguatkuasaan lain, supaya PPA ditukarkan hanya ke bahagian dalam lingkungan tugas mereka. Ini boleh mengasah kemahiran serta kepakaran mereka mengendalikan kes jenayah syariah.

Enakmen Tatacara Jenayah Syariah mungkin perlu dikaji dan dipinda dengan memasukkan peruntukan yang memberi kuasa kepada PPA menahan reman pesalah, dengan perintah daripada Hakim Syarie.

Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mempunyai Bilik Gerakan 24 jam dikendalikan petugas khas bagi mengendalikan sistem maklumat sehenti boleh dijadikan model ke arah mempertingkatkan kecekapan dan keupayaan operasi PPA negeri.

PPA juga dibekalkan alat perhubungan walkie talkie antara bilik gerakan dan kumpulan operasi. Oleh kerana kekurangan anggota, maka mereka bekerja secara waktu anjal.

Penampilan PPA juga dipertingkatkan supaya sentiasa dirasai berada di tengah masyarakat, dengan mewajibkan pakaian seragam, memasang lambang, lampu amaran dan sistem peti suara di kesemua kenderaan operasi.

Tidak dinafikan kewangan menjadi halangan besar kerana penambahan perjawatan dan infrastruktur memerlukan peruntukan kos besar. Namun, kita perlu sedar masyarakat melihat dan menilai agensi agama dari semasa ke semasa.

Paradigma baru bahagian penguatkuasaan atau PPA ini adalah arca kepada usaha pencegahan jenayah. Karisma yang terbit dari bahagian penguatkuasaan ini mencerminkan kepada masyarakat bahawa seriusnya kita mahu membendung dan mencegah jenayah syariah.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://www. peguamsyarie.org

Wednesday, June 3, 2009

Peguam Syarie Menulis: Henti polemik benarkan Chin Peng pulang ke Malaysia

Oleh Musa Awang

Rakyat masih tak dapat lupa kekejaman PKM dalam memperjuangkan ideologi komunis

PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyokong penuh pendirian kerajaan tidak membenarkan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng kembali ke Malaysia.

Sokongan ini adalah berdasarkan kepada alasan berikut:

Masyarakat Malaysia hari ini perlu melihat sejarah hidup Chin Peng sejak kecil, yang berminat sekali membaca bahan media cetak dan menyoroti perkembangan di negara China ketika itu.

Pada 1940, dia diterima untuk menyertai PKM iaitu satu cabang Parti Komunis China di seberang laut ketika umurnya baru saja 18 tahun. Bayangkan beliau mendalami fahaman komunis sejak kecil dan mustahil untuknya melupakan fahaman itu walaupun usianya sekarang sudah lewat 80-an.

Kesan jangka panjang yang ditinggalkan oleh Chin Peng dan pengikutnya ke atas masyarakat Malaya, China dan India pada waktu itu, bermaharajalela membunuh pemimpin tempatan, penghulu, imam kampung, penduduk, menyerang ladang, gudang getah, rumah asap dan rumah pengurus milik orang British, sehingga menimbulkan kemarahan orang Melayu yang bangkit untuk menentang komunis.

Falsafah komunis yang mengamalkan ateisme, prinsip utama komunisme yang ditulis oleh Karl Marx tidak mempercayai tuhan dan menyatakan bahawa agama itu adalah candu manusia.

Walaupun dikhabarkan ada pemimpin Melayu PKM mengamalkan prinsip keagamaan seperti Ra-shid Maidin, Abdullah CD dan Suraini Abdullah tetapi tindakan kejam dan ganas mereka bercanggah dengan ajaran Islam.

Orang Melayu Islam secara keseluruhannya menolak cara ganas dan tidak berperikemanusiaan komunis. Perjuangan komunis tidak boleh dianggap sebagai perjuangan untuk kemerdekaan kerana mereka hanya berjuang untuk kepentingan PKM dan kepentingan peribadi, bukan untuk kemerdekaan Malaya.

Ini terbukti apabila mereka tetap meneruskan taktik ganas ala gerila walaupun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Mereka juga masih berada dalam hutan tebal negara sehingga diasak keluar ke sempadan Thailand oleh pasukan keselamatan negara, walaupun ketika itu negara sudah merdeka.

Stigma terpahat dalam minda rakyat Malaysia bahawa PKM dan tangan Chin Peng itu diselaputi darah dan dendam yang menebal di kalangan anggota pasukan keselamatan dan orang awam yang menjadi mangsa kepada kekejaman perjuangan yang dipimpinnya.

Isu kepulangan Chin Peng ke tanah air walaupun pada mulanya dibangkitkan oleh seorang pemimpin Parti Gerakan (satu komponen dalam Barisan Nasional) tetapi kemudian disokong oleh parti pembangkang kerana dilihat boleh memberikan keuntungan politik kepada mereka.

Parti ini bercakap soal kepulangan Chin Peng sedangkan ada banyak lagi isu lain yang perlu diperjuangkan. Saranan ini juga sama sekali tidak mengambil kira sensitiviti mangsa yang menjadi korban atau kesengsaraan yang dilakukan oleh Chin Peng dan konconya.

Dengan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan Chin Peng pulang maka semua pihak terutama dalam parti kerajaan harus patuh kepada pendirian itu. Mereka tidak perlu membangkitkan lagi isu sensitif seumpama ini hanya semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan sesebuah parti.

Pada 30 April lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rendah yang meminta Chin Peng menunjukkan dokumen pengenalan sebelum dibenarkan memasuki negara ini.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk S Augustine Paul yang bersidang bersama Hakim Datuk Hashim Yusof dan Datuk Wira Ghazali Mohd Yusof membuat keputusan itu selepas menolak usul Chin Peng memohon kebenaran untuk rayuan.

Keputusan Mahkamah Persekutuan ini adalah penghakiman tertinggi yang seharusnya dihormati oleh setiap warga negara ini. Jadi isu ini tidak lagi harus ditimbulkan dan menjadi polemik yang belum nampak tanda kesudahannya.

Penulis ialah Timbalan Presiden PGSM

Wednesday, May 27, 2009

Peguam Syarie Menulis: Mediasi bantu selesai pertikaian tanpa bicara

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Kaedah guna orang tengah lebih jimat masa, kos tanpa memanjangkan kes ke mahkamah

BARU-BARU ini kerajaan Terengganu dan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu bersama-sama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menganjurkan Kursus Pengurusan Mediasi kepada pegawai syariah dan pegawai tadbir Terengganu.

Selain itu, kursus berkenaan dihadiri beberapa pegawai syariah daripada Jabatan Kehakiman Syariah Pahang, Kelantan, Perak dan Kedah. Kursus itu dikendalikan mediator berpengalaman Accord Group dari Australia. Peserta diwajibkan menjalani kursus mediasi 40 jam selama lima hari berturut-turut.

Antara objektif kursus adalah untuk memastikan kemahiran dan pengetahuan teknik pengendalian proses sulh yang berkesan. Kursus itu juga bertujuan memberi pendedahan secara profesional kaedah mengurus dan mengawal keadaan pelanggan yang pelbagai, selain mendapatkan pengiktirafan akademik mengenai tanggungjawab, kelayakan dan kredibiliti pegawai sulh secara teori sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa akan tercapai.

Mediasi bermaksud proses untuk membina suatu persetujuan bersama secara sukarela antara kedua-dua pihak. Ketika proses itu, seorang akan bertindak sebagai pihak ketiga atau orang tengah atau perantara (mediator) yang tidak akan memihak kepada sesiapa dan beliau juga tidak bertindak sebagai hakim bagi menentukan pihak mana patut menyelesaikan pertelingkahan mereka.

Mediator juga bukanlah seorang yang memberikan nasihat atau mencadangkan kepada pihak itu bagaimana harus menyelesaikan pertelingkahan mereka. Mediator bertindak sebagai pemudah cara bagi membantu kedua-dua pihak berkomunikasi antara suatu sama lain dengan lebih berkesan.

Dengan teknik khusus, pihak terbabit dengan bantuan mediator sebagai orang tengah mampu untuk menyelesaikan pertikaian tanpa memanjangkan kes mereka ke mahkamah untuk tujuan perbicaraan.

Hakikatnya, perjanjian yang diperoleh oleh mereka secara persetujuan bersama itu dengan dibantu mediator akan dapat menyelesaikan pertelingkahan. Kaedah itu lebih baik berbanding jika pihak itu merujuk kes mereka ke mahkamah, seterusnya memperoleh perintah mahkamah.

Ini kerana mahkamah hanya menumpukan kepada hak pihak yang bertikai berdasarkan undang-undang. Sedangkan melalui proses mediasi, penyelesaian dapat dicapai atas dasar keperluan sebenar mereka di atas situasi menang-menang, maksudnya tiada pihak yang kalah.

Mediasi adalah salah satu proses sangat dianjurkan bagi menyelesaikan suatu pertikaian tanpa melalui proses perbicaraan yang panjang di mahkamah. Mediasi adalah salah satu cabang Alternative Disputes Resolution (ADR) iaitu kaedah penyelesaian tanpa merujuk pertikaian ke mahkamah.

Selain mediasi ada kaedah ADR lain iaitu perbincangan, perdamaian serta arbitrasi. Bagaimanapun, kaedah mediasi dikatakan berjaya menyelesaikan kes tanpa menjalani proses perbicaraan panjang. Ia dipraktikkan di negara seperti Singapura, Australia serta beberapa negara lain.

Kesannya, lebih daripada 70 peratus kes yang didaftarkan dapat diselesaikan dengan kaedah ini manakala selebihnya diselesaikan di mahkamah. Proses itu mempunyai beberapa kebaikan berbanding proses perbicaraan di mahkamah.

Proses mediasi tidak menggunapakai undang-undang serta prosedur mahkamah yang ketat. Proses itu juga lebih menjimatkan masa serta kos pihak-pihak yang bertikai serta dapat mengurangkan bebanan seperti terpaksa menghadapi kelewatan kes di mahkamah kerana sudah pastinya kes akan tertangguh atas beberapa alasan antaranya tidak cukup bukti atau kurang persediaan peguam mahupun pihak-pihak.

Bagi mengurangkan masalah ini, sewajarnya kaedah itu harus ditekankan bagi memastikan hak pihak-pihak tidak terjejas. Kaedah mediasi sudah digunakan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi melatih pegawai syariah terutama pegawai sulh bagi menyelesaikan pertikaian di luar mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan yang panjang.

Proses itu sudah menunjukkan hasil memberangsangkan apabila kebanyakan kes difailkan ke Mahkamah Syariah dapat diselesaikan oleh pegawai sulh terlatih dengan mediasi. Beberapa negeri seperti Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan ketara dalam peningkatan kes yang diselesaikan di luar mahkamah selepas pegawai sulh negeri terbabit kursus mediasi.

Pegawai sulh sudah dilatih berhadapan pelbagai kerenah pelanggan di samping diserapkan ilmu sebagai mediator supaya dapat menyelesaikan kes Mahkamah Syariah dengan lebih profesional dan tersusun.

Apatah lagi mereka yang mengikuti kursus serta lulus ujian penilaian ditetapkan secara ketat, mereka ini bergelar mediator bertauliah dan diiktiraf negara Asia Pasifik.

Sedikit sebanyak dengan pengiktirafan itu dapat melahirkan pegawai Mahkamah Syariah yang profesional serta mempunyai kemahiran bagi menyelesaikan masalah pihak yang bertikai. Sekali gus proses itu dapat menangkis tanggapan negatif sesetengah pihak yang mengatakan Mahkamah Syariah lewat. Hakikatnya, lebih daripada 60 peratus kes dirujuk ke Mahkamah Syariah dapat diselesaikan dengan kaedah ini.

Walaupun negara seperti Singapura, Australia, New Zealand dan Republik Arab Mesir sudah lama melaksanakan sistem mediasi di Mahkamah Keluarga berbanding Mahkamah Syariah di Malaysia tetapi dengan adanya pendedahan mediasi pembaharuan atau penambahbaikan dapat dibuat dari masa ke semasa.

Pelaksanaan mediasi dapat mempercepatkan lagi proses penyelesaian pertelingkahan antara pihak-pihak sekali gus dapat mempertingkatkan keupayaan sistem penyampaian dan keberkesanannya.

Dalam Islam, mediasi menyamai konsep sulh yang bermakna 'putus pertengkaran' yang membawa maksud kompromi. Sementara pengertian syarak membawa maksud satu perjanjian dimeterai bagi menyelesaikan perselisihan atau pertikaian antara pihak beragama Islam.

Sejarah juga mencatatkan Nabi Muhammad SAW sebelum menjadi rasul menjadi pengantara (mediator) dalam pertikaian yang hampir mencetuskan pertumpahan darah antara pembesar Quraisy.

Peristiwa itu berlaku ketika ingin menentukan siapakah yang akan meletakkan kembali hajar al-aswad ke tempat asalnya. Muhammad SAW akhirnya dipilih untuk menyelesaikan pertikaian itu dari kalangan pembesar Quraisy kemudian sepakat dan bersetuju cadangan Baginda.

Selepas dilantik menjadi rasul, Baginda tidak melakukan apa-apa perubahan terhadap amalan terakhir dilaksanakan berasaskan prinsip kerelaan kedua-dua pihak. Baginda SAW menampilkan dirinya untuk menyelesaikan pertikaian.

Dalam konteks sedemikian, meskipun berfungsi sebagai hakim tunggal, tetapi Baginda lebih cenderung menyelesaikannya dengan mencadangkan sulh kepada pihak bertikai daripada bertindak menjatuhkan hukuman.

Hakikatnya, sulh ada dinyatakan dalam al-Quran sebagai sebaik-baik jalan untuk perdamaian. Namun begitu, tidak dijelaskan secara terperinci bagaimana suatu sulh dapat dilaksanakan bagi menyelesaikan pertikaian di antara pihak-pihak.

Langkah JKSM dan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu menghantar pegawai syariah mendalami ilmu mediasi adalah langkah tepat bagi memartabatkan Mahkamah Syariah serta mencari formula mengurangkan kes tertunggak dan menyelesaikan pertikaian tanpa perbicaraan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Wednesday, May 13, 2009

Peguam Syarie Menulis: Hukuman pesalah jenayah syariah masih rendah

Oleh Musa Awang

Akta sudah 25 tahun wajar dipinda supaya bersesuaian dengan arus pemodenan

PADA 22 April lalu, ketika penulis dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah, terdengar perbualan sesama mereka. Kata si abang kepada adiknya, "Adik, tengok 'paper' ni, Kapten Boleh kena penjara tiga bulan. Patutlah cerita Kapten Boleh di TV asyik ulang-ulang cerita sama saja." Si adik merampas surat khabar daripada abangnya dan berkata, "Iya betullah.. Patutlah..." Tersenyum penulis mendengar perbualan anak kecil ini.

Pada 21 April lalu, pelakon Ako Mustapha dijatuhi hukuman penjara tiga bulan berkuat kuasa serta-merta dan didenda maksimum RM3,000 atas kesalahan berkhalwat dengan seorang jurusolek bukan Muslim, dua tahun lalu.

Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 36, mengaku salah atas tuduhan berkhalwat dengan Anang Sagunting, 25, pada 27 Jun 2007 sekitar jam 1.20 pagi di Blok B-2-9, Kondominuim Oakleaf Park, Persiaran Bukit Antarabangsa, Gombak.

Sebelum itu, Ako dikenakan waran tangkap Januari lalu selepas beberapa kali tidak menghadirkan diri pada prosiding mahkamah. Bagaimanapun, pada 21 Januari lalu, Ako mengaku bersalah atas tuduhan dikenakan ke atasnya.

Daripada perbualan spontan anak itu, rentetan daripada kes Ako Mustapha ini, terlintas di fikiran penulis beberapa perkara yang perlu kita renungkan bersama.

Pertamanya, betapa kuatnya pengaruh karaktor dalam rancangan televisyen kepada anak. Pada masa sama, adakah hukuman jenayah syariah masih relevan dengan keadaan semasa? Adakah hukuman dijatuhkan hakim itu cukup berat untuk menjadi pengajaran kepada pesalah dan masyarakat dan adakah hukuman itu cukup mapan untuk membendung kes jenayah syariah?

Terlintas di fikiran ini, Ako yang berkhalwat dengan pasangan bukan Islam dijatuhkan hukuman, bagaimana pula pasangannya? Adakah dia terlepas begitu saja?

Anak melihat watak rekaan di televisyen sebagai hero mereka. Lebih-lebih lagi jika rancangan itu ditayang berulang-ulang kali. Anak lebih kenal watak Kapten Boleh?, berbanding nama sebenarnya Ako Mustafa. Anak menyanjungnya sebagai seorang kapten serba boleh, yang boleh menyelesaikan setiap masalah. Amatlah malang apabila hero yang menjadi kebanggaan anak melakukan jenayah, mengaku salah dan dikenakan hukuman penjara.

Sebagai ibu bapa, fikirkan, sama ada wajar atau tidak hukuman denda RM3,000 dan penjara tiga bulan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur itu. Tambahan pula, Ako beberapa kali tidak menghadirkan diri sehingga waran tangkap dikeluarkan terhadapnya. Ako seolah-olah mencabar kewibawaan mahkamah syariah, walaupun publisiti terhadap perjalanan kesnya disiarkan dalam media arus perdana.

Sebagai selebriti yang menjadi pujaan dan perhatian masyarakat, seharusnya dia menjadi idola yang baik. Lebih-lebih lagi jika dia membawa watak hero kepada kanak-kanak. Hukuman yang dijatuhkan itu bukan sekadar dakwah kepada Ako saja, malah sebagai pengajaran kepada selebriti lain dan masyarakat keseluruhannya.

Atau, adakah anda berasakan hukuman itu terlalu ringan dengan kesalahan dan kesan dilakukan? Apa pun penilaian anda, hakim bicara sebenarnya menjatuhkan hukuman menurut undang-undang.

Kes Ako ini turut mencetuskan persoalan pada minda penulis, adakah masih relevan hukuman jenayah syariah dengan keadaan semasa? Adakah hukuman yang ada sekarang cukup berat menjadi pengajaran kepada pesalah dan masyarakat, dan adakah ia cukup mapan untuk membendung kes jenayah syariah?

Penulis berpandangan, adalah wajar hukuman bagi kesalahan jenayah syariah ditingkatkan, bagi membendung peningkatan kesalahan jenayah syariah di negara ini. Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom, pada 24 April lalu kemungkinan hukuman bagi kesalahan jenayah syariah ditingkatkan disambut baik. Ia tepat pada masa dan suasana sekarang.

Kini, hukuman boleh dijatuhkan mahkamah syariah adalah rendah, terutama apabila kebanyakan hukuman dijatuhkan hanya membabitkan denda. Hukuman dikenakan ini adalah dalam ruang lingkup bidang kuasa diberikan kepada hakim syariah dalam menghukum pesalah jenayah syariah.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah Syariah) 1965 (pindaan 1984) membataskan hukuman boleh dikenakan oleh mahkamah syariah adalah tidak melangkaui prinsip 5-3-6, iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam kali sebatan.

Akta yang sudah 25 tahun tidak mengalami perubahan ini perlu dipinda supaya ia bersesuaian dan mampu membangun dengan arus kemajuan dan pemodenan umat Islam hari ini. Jika 25 tahun lalu, jumlah denda RM5,000 mungkin menggerunkan, tetapi tidak lagi pada masa sekarang. Ia menyebabkan pesalah jenayah syariah lebih rela mengaku salah dan membayar denda daripada dibicarakan.

Jika mahkamah syariah mengenakan denda maksimum sekalipun, ia masih rendah dan boleh dibayar pada bila-bila masa. Jarang kita dengar pesalah syariah dipenjarakan kerana gagal membayar denda.

Jika perbandingan dibuat dengan Mahkamah Majistret Kelas Pertama pun, ternyata kuasa pada mahkamah syariah adalah lebih rendah. Seksyen 85 Akta Mahkamah Rendah 1948 memberikan bidang kuasa jenayah kepada Mahkamah Majistret Kelas Pertama yang boleh membicarakan semua kesalahan dengan hukuman maksimumnya tidak melebihi 10 tahun penjara atau denda saja.

Sedangkan mahkamah syariah dan mahkamah tinggi syariah sekali pun, hanya boleh menjatuhkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Sila layari http://peguamsyarie.org.

Wednesday, April 22, 2009

Peguam Syarie Menulis : Perintah kes nafkah, hadanah tak boleh digantung

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
http://peguamsyarie.blogspot.com

Perayu mesti patuhi arahan pelaksanaan bagi memastikan hak anak belum mumayyiz terpelihara

MERUJUK peruntukan undang-undang syariah, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati terhadap suatu penghakiman mahkamah sama ada keseluruhan atau sebahagian penghakiman itu boleh merayu kepada mahkamah lebih tinggi dengan memasukkan notis rayuan dalam 14 hari dari tarikh penghakiman dikeluarkan.

Ini bermaksud, jika kes itu diputuskan di Mahkamah Rendah Syariah, pihak tidak berpuas hati boleh merayu kepada Mahkamah Tinggi Syariah dan jika tidak berpuas hati pada peringkat Mahkamah Tinggi Syariah, boleh membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah di negeri di mana penghakiman dikeluarkan.

Seksyen 139 (3) dan (4) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan: "Seseorang perayu boleh merayu terhadap keseluruhan atau mana-mana bahagian daripada sesuatu keputusan."

Notis rayuan hendaklah difailkan dalam 14 hari dari tarikh keputusan diumumkan dan hendaklah menyatakan sama ada keseluruhan, sebahagian saja atau bahagian yang mana, keputusan itu hendak dirayu."

Namun begitu, jika pihak yang membuat rayuan berhasrat untuk menggantung pelaksanaan perintah itu, pihak yang merayu boleh membuat permohonan ke mahkamah yang mengeluarkan penghakiman untuk menggantung pelaksanaan penghakiman sementara menanti rayuan diputuskan.

Contohnya, jika bekas suami diperintahkan mahkamah membayar sejumlah wang sebagai bayaran mutaah kepada bekas isterinya dan lelaki itu tidak berpuas hati dengan kadar bayaran diputuskan mahkamah, dia boleh memohon kepada mahkamah untuk menggantung pelaksanaan pembayaran mutaah sehingga mahkamah lebih tinggi memutuskan rayuan berkaitan jumlah yang perlu dibayar.

Memfailkan notis rayuan tanpa membuat permohonan penggantungan pelaksanaan perintah di mahkamah yang mengeluarkan perintah mengikut prosedur ditetapkan tidak akan menggantung pelaksanaan perintah itu.

Dengan hanya memasukkan notis rayuan tanpa membuat permohonan penggantungan ke mahkamah dan diluluskan oleh mahkamah, penggantungan tidak akan berlaku secara automatik.

Hakim berkuasa untuk membenarkan pergantungan permohonan pihak yang merayu atas alasan mencukupi. Seksyen 144 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan: "Pemfailan suatu notis rayuan tidaklah berkuat kuasa sebagai penggantungan pelaksanaan, tetapi mahkamah boleh, atas permohonan dan apabila sebab mencukupi ditunjukkan, menggantung pelaksanaan atas apa-apa terma yang difikirkannya patut."

Namun, bukan semua kes akan dibenarkan penggantungan pelaksanaan oleh mahkamah sementara menanti rayuan diputuskan mahkamah lebih tinggi. Berdasarkan Arahan Amalan no. 1 tahun 2005 yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menyatakan: "telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan mengenai perayu membuat rayuan dengan alasan tidak berpuas hati keputusan mahkamah yang dirayu dalam kes mal, menurut hukum syarak adalah memadai untuk menggantung pelaksanaan perintah sementara menunggu keputusan rayuan dan rujukan hendaklah dibuat kepada mana-mana kes yang sudah diputuskan oleh mahkamah lebih tinggi kecuali dalam kes nafkah, upah menyusu, tempat tinggal, hadanah dan serah anak yang belum mumayyiz kepada ibu."

Arahan amalan jelas menyatakan tidak semua kes boleh dibenarkan untuk digantung pelaksanaan sementara menanti kes rayuan diputuskan. Mengikut hukum syarak, kes seperti nafkah, upah menyusu, tempat tinggal, hadanah dan serah anak yang belum mumayyiz kepada ibu tidak dibenarkan untuk digantung pelaksanaannya.

Jika penggantungan dibenarkan, sudah tentu akan memberi kesan kepada pihak suatu lagi dan kepada anak masih kecil, terutama soal berkaitan hadanah atau hak penjagaan anak yang belum mumayyiz.

Bagi kes membabitkan nafkah anak, jika penghakiman sudah dikeluarkan mahkamah memerintahkan bapa membayar sejumlah nafkah anak dan rayuan dibuat ke mahkamah oleh bapa kerana tidak berpuas hati dengan keputusan bersama permohonan penggantungan pelaksanaan perintah.

Jika permohonan penggantungan pelaksanaan bapa tadi sebagai perayu dibenarkan sudah tentu akan menafikan hak anak mendapatkan nafkah daripada bapanya sementara menunggu keputusan rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Justeru, panduan yang sudah diberikan melalui Arahan Amalan berkaitan penggantungan pelaksanaan perintah sementara menanti rayuan diputuskan adalah wajar dipatuhi kerana ia selari hukum syarak. Prinsip keadilan dalam Islam akan lebih terpancar jika pihak terbabit mengetahui undang-undang serta mendalami hukum syarak.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com