Showing posts with label (A) Mohd Ali Bin Muhamad Don. Show all posts
Showing posts with label (A) Mohd Ali Bin Muhamad Don. Show all posts

Tuesday, April 21, 2009

Pergaulan bebas tanpa sempadan dorong perzinaan, buang bayi

Oleh Mohd Ali Muhamad Don


PEGAWAI Penyiasat, Inspektor Mustafar Che Jaafar bersama Penyelia Jururawat, Rosnani Zainuddin memeriksa bayi lelaki yang dijumpai seorang pelajar di perhentian bas Pekan, baru-baru ini.


Gaya hidup berlandas al-Quran benteng terjebak gejala sosial

SELEPAS sekian lama tidak mendapat liputan media massa, jenayah buang bayi kini kembali menjadi penghias muka depan akhbar utama. Hakikatnya, perbuatan kejam itu tidak akan berhenti selagi ada manusia bertopengkan syaitan yang tidak pernah insaf daripada noda yang dilakukan.

Selepas berseronok melakukan hubungan zina diharamkan, mereka terbabit pula melakukan pembunuhan kejam. Malah, bagi mereka buang bayi tidak ubah seperti buang sampah yang sudah busuk dan tidak lagi diperlukan.

Amalan hina itu lebih buruk daripada binatang dijadikan Allah dengan rasa kasih sayang dan belas kasihan terhadap darah daging sendiri. Bimbang malu atas keterlanjuran tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membunuh nyawa yang tidak berdosa. Malah, keadaan itu mendedahkan pelaku kepada jenayah membunuh dengan sengaja lalu mengundang kemurkaan Allah.

Masyarakat Arab jahiliah sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW pernah membunuh anak perempuan kerana malu dan dianggap tidak setanding dengan anak lelaki yang gagah dan boleh diajar berperang.

Hal ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: "Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (dia beroleh anak perempuan sambil dia berfikir), adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu." (Surah al-Nahl, ayat 58-59)

Tetapi kini, kejahatan manusia melampau naluri semula jadi seorang ibu yang sepatutnya menjadi belas serta sayang terhadap anak dilahirkan. Jantina bayi tidak lagi menjadi perhitungan, malah jika yang lahir pondan sekalipun, mahu dibuang atau dibunuh tetap akan dilakukan.

Ada dibuang dalam lubang tandas, ditinggalkan di tepi semak, tempat pembuangan sampah, dicampak dalam longkang dan terbaru seorang bayi seberat 3.05 kilogram ditemui ditinggalkan semalaman di perhentian bas sehingga dikerumuni ribuan semut.

Manusia jenis apakah tergamak melakukan perbuatan keji seperti itu. Sungguh ia perlakuan manusia dirasuk iblis hingga akal tidak lagi dapat berfungsi dengan sempurna.

Setiap kali isu itu dibangkitkan pelbagai pihak tampil memberi cadangan, tetapi hingga kini masih belum ada jalan penyelesaian.

Oleh itu, punca permasalahan perlu terlebih dulu dikenal pasti bagi mencari penawar untuk mengubati penyakit masyarakat yang sudah lama membarah. Pergaulan bebas tanpa batasan, keinginan muda-mudi untuk berseronok, terpedaya dengan pujukan pasangan, kurang perhatian dan kasih sayang ibu bapa, tidak melaksanakan perintah agama antara punca amalan tidak bermoral berterusan.

Bagi membendung jenayah ini, golongan muda-mudi Islam dinasihatkan kembali ke jalan benar. Mereka wajib kembali kepada beramal dengan ajaran al-Quran dan sunnah Rasul-Nya.

Setiap individu Muslim diingatkan supaya sentiasa menunaikan solat dan tidak mengabaikannya. Semoga ia mampu menjadi benteng serta pelindung kepada pelakuan dosa dan maksiat.

Allah berfirman bermaksud: "Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Ibu bapa pula diingatkan supaya tidak terlalu leka mengejar kemewahan dunia yang sementara menyebabkan tanggungjawab mendidik anak terabai. Walaupun kemungkinan anak tidak lagi tinggal serumah apabila sudah bekerja ibu bapa seharusnya tahu tempat tinggal, rakan juga tempat bekerja.

Anak akan berasa keprihatinan ibu bapa walaupun berjauhan.

Selain itu, pesta hiburan sehingga lewat malam yang menjurus kepada pergaulan bebas tanpa sempadan juga hendaklah diberhentikan.

Stesen televisyen juga disaran mematuhi garis panduan penayangan filem dengan menghentikan filem berunsur lucah daripada tayangan umum.

Seterusnya, marilah bersama menyumbang dengan melaksanakan kerja menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran untuk kebaikan semua.

Budaya tegur-menegur dan saling nasihat-menasihati perlu menjadi amalan dalam masyarakat supaya amalan buruk jahiliah moden ini dapat dibanteras.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Johor Bahru

Saturday, February 28, 2009

Berdakwah disertai penguasaan ilmu lebih berkesan

Oleh Mohd Ali Muhamad Don



PENDAKWAH kini berdepan dengan cabaran yang memerlukan persiapan diri dengan pelbagai disiplin ilmu.


Penceramah miliki pengetahuan, berakhlak mulia contoh terbaik dalam mendidik anggota masyarakat

SEMPENA Bulan Dakwah Kebangsaan yang dilancarkan baru-baru ini, golongan pendakwah diseru mengambil kesempatan untuk mempergiat aktiviti penyampaian dakwah kepada semua lapisan masyarakat selaras dengan tema mewujudkan khaira ummah iaitu ummah terbaik.

Usaha mencapai matlamat itu, pendakwah hendaklah memantapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu termasuk memiliki kemahiran menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai medium penyampaian dakwah yang berkesan.

Langkah itu dilihat berbaloi apabila jumlah pengguna internet di Malaysia dilaporkan mencecah 500,000 orang. Begitu pula dalam era globalisasi maklumat tanpa sempadan, kemahiran itu boleh digunakan sebagai mekanisme untuk menjawab segala tohmahan dan kritikan tidak berasas terhadap peribadi Nabi Muhammad SAW dan syariat Islam yang banyak disebarkan menerusi laman web serta blog.

Golongan pendakwah juga harus sentiasa mengamalkan prinsip cakap serupa bikin kerana mereka memikul amanah Allah. Justeru, mereka perlu melaksanakan ajaran agama dalam kehidupan sebelum menyuruh orang lain melakukannya.

Kealpaan pendakwah mempraktikkan prinsip itu bukan saja menyebabkan objektif dakwah tidak tercapai, malah bakal mengundang kemurkaan.

Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak kamu lakukan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah (apabila) kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan." (Surah al-Saf, ayat 2-3)

Situasi masa kini di mana berlaku kepincangan akhlak dan moral masyarakat Islam, dakwah menerusi personaliti mulia (dakwah bilhal) lebih elok dipraktikkan berbanding dakwah melalui mulut yang belum tentu mencapai hasil diharapkan. Pendakwah hendaklah mempersiapkan diri dengan akhlak mulia, penyabar dan tidak cepat melenting apabila ditegur.

Sikap terbuka dan tidak memandang rendah kepada kewibawaan orang lain adalah resipi kejayaan dakwah. Setiap individu harus menerima hakikat manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Adalah mulia jika segala kelebihan itu dikongsi bersama bagi memantapkan misi dakwah, sementara kekurangan diperbaiki untuk faedah bersama.

Kaedah dan cara berdakwah pula perlu seiring dengan situasi semasa supaya dakwah tidak hanya tertumpu kepada segelintir masyarakat saja. Pendekatan dakwah secara bijaksana penting supaya segenap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada aktiviti dakwah yang dijalankan.

Golongan muda dan remaja Islam yang seperti hilang arah hidup sepatutnya menjadi tumpuan pendakwah kerana mereka bakal menjadi pewaris negara pada masa depan. Pendekatan dakwah yang sesuai untuk golongan ini perlu difikirkan bersama oleh semua pihak bagi menarik lebih ramai golongan muda mempraktikkan perintah agama seperti solat yang kemudiannya mampu mendidik sahsiah serta peribadi mereka.

Lebih daripada itu, pendakwah hendaklah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan memperbanyak melakukan ibadah dan bermunajat kepada-Nya. Pendekatan ini adalah persediaan spiritual yang mampu menahan segala ujian dan cabaran dakwah yang bermacam ragam, kerana bukan mudah untuk membentuk akhlak serta peribadi manusia.

Ada yang menyokong dan tidak kurang pula membantah dengan melakukan tindakan di luar batasan. Kekuatan dalaman dan pergantungan mutlak kepada Allah diperlukan untuk menghadapi situasi getir itu.

Nabi dan rasul utusan Allah adalah golongan yang banyak menerima cabaran berat ketika berdakwah kepada kaumnya. Ada kalangan mereka yang bergelar Ulul Azmi, kerana hebatnya tribulasi dakwah terpaksa dihadapi.

Nabi Ibrahim pernah dibakar kaumnya namun dipelihara oleh Allah daripada musibah itu. Nabi Muhammad SAW juga menerima pelbagai ujian berat dalam usaha mengajak manusia supaya mengesakan Allah sehingga kemuncak daripada ujian itu Baginda SAW diracun lalu membawa kepada kewafatannya menurut pendapatan sebahagian ulama sirah.

Sifat buruk seperti keras hati, gemar berdebat, menyangka diri yang terbaik, sombong dan mata duitan adalah sifat yang merosakkan peribadi pendakwah di mata masyarakat. Amalan buruk itu bakal mengundang malapetaka dan merosakkan matlamat dakwah yang dicita-citakan. Pendakwah perlu menghindari sifat buruk ini jika mahu diterima masyarakat.

Pelbagai gerakan dakwah yang wujud di negara ini perlu bersatu hati bagi mencapai tujuan dan matlamat dakwah yang sama. Jangan asyik menuding jari menyalahkan orang lain sebaliknya sama-sama mencari jalan keluar kepada permasalahan yang berlaku. Pepatah ada menyebutkan, bersatu kita teguh bercerai kita roboh.

Masyarakat Islam juga diseru supaya turut sama dalam aktiviti dakwah menyeru kepada yang baik dan mencegah perkara mungkar, tidak hanya berharap kepada golongan agama bagi memikul tanggungjawab itu.

Kesedaran semua anggota masyarakat dalam melaksanakan gerak kerja dakwah amat diharapkan. Malah, cabang dakwah yang luas memberi peluang kepada semua pihak untuk sama-sama bertugas sebagai ejen penyampai dakwah.

Guru berdakwah dengan menyampaikan ilmu kepada murid, peruncit berdakwah melalui sifat amanah dan jujur dalam perniagaan, setiap individu Muslim berdakwah melalui akhlak serta peribadi mulia sehingga mampu memperlihatkan kecantikan Islam di mata masyarakat lain.

Selain pendakwah, setiap individu Muslim wajib memikul amanah memelihara diri dan keluarga daripada kesesatan. Perbuatan sesetengah ibu bapa yang tidak mempedulikan perlakuan buruk anak adalah sikap tidak bertanggungjawab yang bakal merosakkan masa depan mereka sebagai pemuda harapan bangsa dan agama. Bahkan ibu bapa akan dipertanggungjawabkan dengan persoalan itu di hadapan Allah di akhirat kelak.

Pendakwah semestinya memahami tugas dakwah adalah tugas yang berat dan memakan masa panjang. Pendakwah tidak boleh berputus asa kerana yang berhak dan berkuasa memberi petunjuk hanyalah Allah

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jugalah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)." (Surah al-Qasas, ayat 56)

Oleh itu, usaha dakwah tidak hanya meriah pada bulan dakwah saja. Dakwah sepanjang masa diperlukan bagi menarik lebih ramai orang Islam mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan seharian.

Sekali gus, menyumbang kepada minat masyarakat lain untuk mengenali dan mendalami Islam. Usaha ini juga mampu menangkis tanggapan buruk yang dilontarkan kepada Islam dan penganutnya.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

Thursday, February 19, 2009

Bersikap profesional boikot produk Yahudi, AS

Oleh Mohd Ali bin Muhamad Don


MUHAMMAD Ali (tengah) seorang tokoh korporat aktif memperjuangkan 'Jihad Melalui Bisnes'.


Tindakan pulau barang harus ambil kira kedudukan syarikat dimiliki umat Islam

SEJAK kempen boikot barang Israel dan Amerika Syarikat dilancarkan, banyak restoran makanan segera seperti KFC dan Pizza Hut menerima kesannya. Ada kemungkinan keadaan ini berlaku impak daripada kegawatan ekonomi yang berlaku di serata dunia sehingga menyebabkan daya beli masyarakat semakin berkurangan. Atau boleh jadi juga implikasi boikot membuahkan hasil dicita-citakan.

Tentu ramai bersorak gembira kerana kempen yang diuar-uarkan ke seluruh negara menampakkan natijahnya, namun berbaloikah tindakan itu jika ditujukan kepada syarikat milik Bumiputera yang majoriti pekerja terdiri daripada rakan seagama? Sesetengah orang menyangka tindakan ini wajar dilakukan terhadap Israel dan Amerika yang menghancurkan bumi Palestin sambil memboikot apa saja yang datang dari negara mereka.

Namun, apabila difikirkan dengan lebih rasional, sanggupkah kita menggadaikan pekerjaan saudara seagama demi menyelamatkan maruah dan nyawa saudara seagama lain, sedangkan negara Arab yang tinggal berhampiran Palestin pun tak mampu berbuat apa-apa bagi menghalang pencerobohan Israel.

Malah, lebih mengelirukan apabila syarikat dari Mesir dikatakan terbabit menyediakan bekalan makanan kepada tentera Israel ketika kempen serangan di Gaza, baru-baru ini.

Kita dalam dilema, antara terus memboikot semua produk yang ada dan dalam keadaan yang lain rela melihat ramai saudara seagama menganggur, bagi menanggung keluarga dan persekolahan mereka. Apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu masa kini. Inilah yang dikatakan 'ditelan mati emak diluah mati bapa'.

Kelihatan tiada yang mampu dilakukan kerana seluruh dunia sudah lama termakan budi dan tidak berdaya berdiri sendiri. Lihat saja kepada jenama barang mereka yang sudah lama bertapak dan dikenali di seluruh dunia. Seolah-olah tanpa KFC dan Pizza Hut tiada alternatif untuk makanan segera tempatan yang setanding jenama terkenal itu.

Perlu diketahui, Johor Corporation (JCorp) melalui anak syarikatnya QSR Brands Malaysia Berhad adalah pemilik rangkaian restoran Pizza Hut di Malaysia dan Singapura, yang kini berjumlah 190 cawangan. JCorp juga adalah pemegang saham terbesar KFC Holdings Malaysia Berhad yang mengendalikan 460 restoran KFC di Malaysia, Singapura dan Brunei.

JCorp yang kini diterajui Tan Sri Muhammad Ali Hashim adalah sebuah syarikat konglomerat Bumiputera di selatan tanah air yang aktif memperjuangkan 'Jihad Melalui Bisnes'.

Dalam usaha untuk berkongsi keuntungan perniagaan supaya dapat dimanfaatkan seluruh masyarakat Islam, JCorp mewakafkan saham anak syarikat miliknya di bawah konsep Wakaf Korporat.

Melalui kaedah ini JCorp mewakafkan RM200 juta saham syarikat di bawah pengurusan Kumpulan Wakaf An-Nur Sdn Bhd. (KWANB), keuntungan atau manfaat daripada pewakafan itu diagihkan kepada golongan yang memerlukan bantuan dan pertolongan.

Pada 2007, perolehan yang diterima KWANB adalah sebanyak RM3.23 juta dan RM177,360 sudah diagihkan kepada jalan fisabilillah dan kebajikan.

Jadi, apakah kempen ini perlu diberhentikan setakat ini atau boikot masih boleh diteruskan tetapi terhad kepada produk tertentu saja, misalnya rokok dan lain-lain yang memudaratkan. Terpulang kepada kebijaksanaan individu untuk menilai kewajaran melakukan tindakan ini. Jangan sampai 'marahkan nyamuk kelambu pula dibakar'.

Ada juga yang mencadangkan agar JCorp melakukan penjenamaan semula terhadap restoran makanan segera di bawah kelolaannya agar lebih bersifat glokal dan tidak lagi terikat dengan jenama Amerika. Kemungkinan ia boleh difikirkan walaupun sudah pasti memerlukan modal besar dan jangka masa panjang.

Ada juga yang lain, menegaskan bahawa sebelum masyarakat Islam bertindak memboikot produk yang disahkan halal lagi suci oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah lebih baik bertindak untuk berhenti membeli produk makanan yang meragukan di pasaran.

Jika tidak akan ada pihak tertentu mengambil kesempatan menangguk di air keruh, meraih keuntungan lumayan daripada ketirisan sensitiviti umat Islam.

Penulis adalah Pensyarah, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.