Showing posts with label Harta. Show all posts
Showing posts with label Harta. Show all posts

Thursday, December 3, 2009

Hak Muslim: Ibu bapa ada hak ambil balik harta yang diberi kepada anak

Soalan:

SAYA mempunyai ibu bapa angkat yang sudah uzur. Kedua-duanya tinggal di rumah orang tua sejak setahun lalu. Menurut ibu bapa angkat saya, mereka ada seorang anak perempuan namun tidak pernah datang menjenguk sejak setahun yang lalu.

Ibu bapa angkat saya sebenarnya memiliki banyak rumah dan tanah, tetapi semuanya sudah diberikan kepada anak perempuan dan suaminya kerana mereka pernah berjanji akan menjaga ibu bapa jika semua harta diberikan.

Sebaliknya ibu bapa angkat dihantar ke rumah orang tua. Saya kecewa dengan tindakan anak perempuan yang bukan saja derhaka malah kejam dan zalim mengabaikan ibu bapanya sendiri setelah semua harta dibolot. Bolehkah ibu bapa angkat saya menuntut balik hak mereka?

Karim Ahmad

Jawapan:

IBU bapa adalah manusia paling berjasa di dunia ini dan Islam mewajibkan setiap anak melayan ibu bapa dengan baik dan melaknat anak yang menderhaka apatah lagi menzalimi ibu bapa.

Dalam kes ini, ibu bapa angkat saudara sebenarnya berhak menarik balik pemberiannya dengan beberapa syarat.

Harta itu sememangnya diperoleh anak melalui hibah daripada ibu bapanya. Justeru bapa perlu membuktikan bahawa harta yang ingin dituntutnya itu adalah harta yang dihibahkan kepada anaknya.

Harta masih wujud. Jika harta itu sudah habis digunakan anak, maka ibu bapa angkat saudara tidak boleh menuntutnya kembali.

Harta itu hendaklah masih dalam milikan si anak. Jika harta sudah dipindah milik kepada orang lain, maka ibu bapa angkat saudara tidak boleh membuat tuntutan. Oleh demikian, tindakan tepat sekarang adalah meminta ibu bapa angkat saudara memasukkan kepentingannya ke dalam harta itu dengan cara mendaftarkan kaveat di pejabat tanah, melantik pemegang amanah, penama atau wasi.

Harta itu tidak diperoleh semula oleh anak dengan cara lain contohnya hartanah berkenaan pernah berpindah milik, kemudian diperoleh semula oleh anak melalui transaksi baru seperti hadiah, pembelian atau pusaka daripada orang lain, maka ia tidak boleh dituntut.

Saya menasihatkan ibu bapa angkat saudara mendapatkan perintah menarik balik atau membatalkan hibah itu dengan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah berdekatan tempat tinggal ibu bapa angkat saudara.

Dengan perintah itu, ibu bapa angkat saudara akan mendapat balik hak mereka terhadap rumah dan harta berkenaan. Bagi tujuan permohonan, ibu bapa angkat saudara dikehendaki mengemukakan kepada mahkamah saksi serta dokumen menunjukkan harta itu kepunyaannya seperti geran tanah, sijil saham atau perjanjian jual beli dan dokumen berkaitan bagi menyokong permohonan mereka.

Saya juga menasihatkan saudara melantik peguam syarie bertauliah bagi pihak ibu bapa angkat untuk melicinkan permohonan itu. Jika ibu bapa angkat saudara tidak mampu mengupah peguam swasta, saudara boleh mendapatkan khidmat Biro Bantuan Guaman, Pusat Bantuan Guaman dan Biro Bantuan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Saya mendoakan semoga niat saudara diberkati Allah dan ibu bapa angkat saudara berjaya mendapatkan semula hak mereka sebagai pengajaran kepada anak menantunya yang tidak mengenang budi.

Sunday, May 24, 2009

Ulul Albab: Hak sepencarian amalan berzaman Nusantara

Oleh Abdurrahman Haqqi


SUAMI isteri suku Minangkabau turut mengamalkan pemberian harta sepencarian dikenali sebagai harta suarang. - Gambar hiasan


Negara Islam boleh contohi kanun diguna pakai masyarakat Melayu bahagi harta suami isteri

DALAM ruangan pada 24 Disember 2006 di halaman 15, penulis menyebut: "Penulis belum pernah membuat, membaca atau mendengar kajian berkaitan dengan penawaran konsep harta sepencarian di negara Asia Barat dan negara Islam lain. Apakah mereka menerima atau menolak konsep berkenaan?" Pernyataan penulis ini sudah terjawab pada Khamis lalu.

Pada hari itu ketika membaca akhbar harian Emiriah Arab Bersatu (UAE), al-Ittihad, penulis dapati berita seorang pelajar warga negara berkenaan yang berjaya mendapatkan gelaran doktor falsafahnya daripada sebuah universiti Tunisia dengan membuat kajian tesisnya bertajuk harta sepencarian dalam undang-undang perkahwinan Islam dan pentingnya UAE mengamalkannya di mahkamah syariah.

Penulis berada di Abu Dhabi dari Selasa hingga Khamis lalu menghadiri seminar ilmiah tahunan ke-17 Fakulti Undang-Undang Universiti UAE. Tajuk seminar tahun ini adalah Electronic Transactions: E-Government and E-Commerce. Penulis membentangkan kertas kerja berkaitan masukan fikah dalam kesahihan kontrak transaksi elektronik dalam Perintah Transaksi Elektronik Brunei Darussalam 2000. Pembentang dari Malaysia diwakili Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Prof Abu Bakar Munir dan Prof Madya Siti Hajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Dalam berita al-Ittihad itu, dilaporkan pelajar terbabit yang juga polis berpangkat Leftenan Kolonel sudah menyerahkan hasil kajiannya kepada Menteri Dalam Negeri UAE, Syeikh Saif Zaid al-Nahyan untuk diberi perhatian.

Laporan itu menyebutkan kajian harta bersama suami isteri berdasarkan konsep syarikah mudharabah dan ia semesti diterapkan dalam masyarakat UAE yang semakin maju serta bertamadun dengan perempuannya mendapat hak dan kewajipan sejajar termasuk dalam soal perkahwinan.

Di Nusantara, harta sepencarian sudah dikenali sejak lama. Oleh itu, kita mendapati ia wujud di kalangan beberapa masyarakat terkemuka di Nusantara.

Sebagai contoh ia disebut harta carian laki bini oleh masyarakat Melayu Negeri Sembilan; harta pencarian menurut masyarakat Melayu Sarawak; harta pencarian di kalangan masyarakat Islam Melanau Sarawak; harta gono gini dalam masyarakat Jawa; hareuta sihareukat masyarakat Aceh; harta suarang menurut masyarakat Minang; harta guna kaya dalam masyarakat Sunda; harta druwe bagro dalam masyarakat Bali; harta barang perpatangan menurut masyarakat Kalimantan dan harta usaha sama masyarakat Terengganu.

Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh ketika perkahwinan antara suami dan isterinya, hasil sumber atau usaha mereka bersama dan ia mesti mengikut syarat ditentukan hukum syarak.

Ada beberapa pendekatan untuk mengaitkan harta sepencarian dengan undang-undang Islam. Ada yang mengatakan ia adalah sharikah al-abdan; ada yang mengatakan diakui atas dasar siyasah shar'iyyah; ada yang mengatakan atas dasar upah (ujrah), dan ada yang mengatakan atas dasar adat yang baik.

Dengan cara ini penyelesaian terhadap tuntutan kes harta sepencarian dapat dibuat menurut kaedah harta mush, kaedah upah, kaedah pembahagian saham dan kaedah adat.

Kita tidak mempertikaikan pendekatan ini kerana walaupun ulama di rantau ini dalam mencari dasar hukum harta sepencarian berbeza pendapat, dalam kenyataannya ialah harta sepencarian sudah menjadi undang-undang rasmi di rantau ini.

Dari segi undang-undang, di Brunei Darussalam harta sepencarian ditakrif oleh Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999 bab 2 (1), Tafsiran sebagai: "Harta yang diperoleh bersama suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak".

Di Malaysia harta sepencarian ditakrif dalam peruntukan atau seksyen 2 (1) mengenai penafsiran setiap akta atau enakmen negeri. Sebagai contoh, Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan No 303, Tahun 1984, mentakrifkannya: "Harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak".

Namun dalam Enakmen Keluarga Islam Kelantan No 1, 1983 ada kelainan kerana mentakrif harta sepencarian dengan hanya mengatakan:

"Mempunyai erti yang sama dengan apa yang sudah diperuntukkan oleh Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982" yang pada intinya menyamai peruntukan Akta Wilayah Persekutuan. Di Indonesia, harta sepencarian atau harta bersama ditakrifkan oleh Undang-Undang Perkahwinan No 1, 1974 pasal 35 sebagai harta benda yang diperoleh selama perkahwinan."

Jelas kepada kita harta sepencarian di ketiga-tiga negara di atas mempunyai pengertian yang sama iaitu aset yang diperoleh bersama oleh suami isteri secara perseorangan atau bersama sepanjang hubungan perkahwinan mereka wujud selagi tidak ada perjanjian lain yang mengubahnya.

Dalam undang-undang di atas disebutkan mahkamah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah aset yang diperoleh oleh pihak itu ketika perkahwinan dengan usaha bersama dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasilnya dibahagi antara pihak terbabit.

Ketika menjalankan kuasa ini mahkamah perlu mengambil perhatian beberapa perkara termasuk takat sumbangan yang dibuat setiap pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperoleh aset dan hutang oleh satu pihak bagi manfaat bersama serta keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada.

Harta sepencarian tidak merangkumi harta yang diperoleh sebelum perkahwinan atau melalui pembahagian harta pusaka. Pemiliknya berhak secara keseluruhan ke atas harta itu.

Bagaimanapun, jika harta itu dikerjakan bersama suami isteri ketika perkahwinan dan hasilnya meningkatkan nilai harta berkenaan, pihak yang satu lagi boleh menuntut upah jika terjadi perceraian.

Jika isteri menolong mengusahakan tanah, dia berhak kepada setengah daripada harta itu tetapi jika hanya memberikan sumbangan secara tidak langsung dia berhak mendapat satu pertiga.

Umpamanya, tanah suami atau isteri sebelum perkahwinan (harta bawaan) kemudian mereka bercucuk tanam di tanah itu. Harta ini tidak dikira sebagai harta sepencarian, tetapi mana-mana pihak boleh menuntut upah.

Sebaliknya mengenai harta yang dimiliki secara warisan dengan suami tidak mempunyai apa-apa pendapatan melainkan mengusahakan tanah itu bersama isteri dan kemudian daripada hasilnya mereka dapat membeli beberapa bidang tanah atau harta lain, maka harta yang diperoleh ini dikira sebagai harta sepencarian.

Jika saudara kita di Asia Barat mahu mengambil kira pandangan Nusantara dalam hal ini, kemungkinan besar mereka akan sependapat dengan hasil kajian warga UAE itu, seperti UAE juga sudah menerima penggubalan undang-undang perniagaan nombor dua awal dekad ini yang digubal warga negara Malaysia, Prof Abu Bakar, Dekan Fakulti Undang-Undang UM. Wallahualam.

Wednesday, February 18, 2009

Bersama YaPEIM: Pemilikan kekayaan ujian pemegang amanah



SETIAP muslim yang memiliki lebihan kekayaan diwajibkan membayar zakat sebagai bentuk penyucian jiwa dan harta.

Islam larang harta dimiliki disorok tanpa diagih kepada masyarakat memerlukan


Bahagian Pertama Kertas Kerja: Peranan Institusi Kewangan Dalam Mempertingkatkan Pemilikan Kekayaan Ummah: Satu Gagasan dan Cabaran oleh Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam); Datuk Zukri Samat.

SECARA amnya, kekayaan boleh didefinisikan sebagai nilai bersih, iaitu nilai aset bersih ditolak liabiliti pada satu-satu masa. Semua aset ini boleh dikategorikan dalam pelbagai bentuk mengikut beberapa tatanama seperti kewangan dan bukan kewangan, ketara dan tidak ketara, serta yang boleh dipasarkan dan yang tidak boleh dipasarkan.

Islam menganggap kekayaan sebagai pemberian atau rezeki tanpa batas daripada Allah yang amat pemurah. Sesungguhnya, Allah adalah pemilik sebenar dan mutlak segala pemberian, dan memberikan keberkatan terhadap sesiapa yang mendapatkan kekayaan itu melalui cara yang halal dan membelanjakannya mengikut ajaran Islam.

Dalam kata lain, kaedah mendapatkan, mengumpul, mengedar dan mengagih kekayaan mesti mematuhi peraturan dan prinsip syariah. Islam menghormati hak individu terhadap pemilikan, sementara pada masa yang sama, menggesa sesiapa yang memiliki kekayaan supaya memenuhi tanggungjawab sosial mereka.

Sesungguhnya, pemilikan kekayaan adalah satu bentuk ujian daripada Allah terhadap hamba-Nya yang diberikan tugas sebagai pemegang amanah yang mesti mencuba sebaik mungkin mengelakkan diri daripada sebarang penyalahgunaan seperti digambarkan oleh Imam Al-Ghazali, iaitu "Kekayaan seumpama seekor ular yang membawa bersamanya bisa dan penawar; bahaya dan manfaat".

Kurniaan rezeki kekayaan tidak sepatutnya dianggap hanya sebagai penghormatan, tetapi juga sebagai tugas atau tanggungjawab untuk dibelanjakan atau dilaburkan dengan bijaksana, sementara menyorok harta, mensia-siakannya dan membazirkan harta tersebut wajib dihindari sama sekali.

Islam tidak menghalang pengumpulan harta persendirian, tetapi mengutuk pengumpulan harta di dalam tangan segelintir pihak tertentu yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan. Harta sepatutnya dimiliki melalui usaha yang produktif oleh individu dan bukannya atas usaha orang lain.

Namun, di dalam Islam, kejayaan sebenar yang kita perlu capai adalah memperoleh tahap ubudiyyah yang abadi atau kepatuhan terhadap Allah dan bukannya pengumpulan harta.

Al-Dailami meriwayatkan Rasulullah SAW pernah bersabda, "Seorang Islam harus mempersiapkan diri untuk kehidupan akhirat seolah-olah dia akan mati pada keesokan harinya, tetapi pada masa yang sama, dia harus bekerja kuat untuk meningkatkan kesejahteraan hidup di dunia, seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya".

Menyorok kekayaan adalah dilarang sama sekali dalam Islam kerana ia menyekat peredaran kekayaan dalam kalangan masyarakat. Kekayaan yang terhasil daripada usaha yang halal hendaklah beredar dalam kalangan orang ramai (bukan segelintir) kerana kekayaan yang dibelanjakan dengan baik akan menjana kekayaan baru dan memastikan ramai orang lain mempunyai punca pendapatan. Mekanisme peredaran dan pengagihan kekayaan dalam Islam adalah bertujuan menjaga hak orang ramai dalam masyarakat terutama yang lemah dan mudah terjejas.

Memandangkan Islam tidak menentang usaha mengejar keuntungan kebendaan atau pengumpulan harta yang sah, menjadi multi jutawan atau ribu jutawan bukan perbuatan keji. Malah, kita harus berbangga melihat kemunculan umat Islam yang menjadi orang kaya baru, yang kemudian boleh kita harapkan akan menunaikan tanggungjawab mereka membantu umat Islam yang kurang bernasib baik.

Walau bagaimanapun, daripada empat puluh lelaki dan wanita terkaya di negara ini pada 2008, seperti diterbitkan majalah Forbes Asia terbitan 2 Jun 2008, hanya lapan orang Islam yang tersenarai dalam barisan 'Senarai Orang Kaya' di Malaysia.

Dalam senarai ini, hanya seorang saja individu Islam yang termasuk dalam senarai 10 teratas yang layak masuk ke kelab ribu jutawan yang dinilai dalam dolar Amerika Syarikat. Jika digabungkan kekayaan semua lapan individu Islam itu, mereka hanya menyumbang 7.9 peratus daripada kekayaan keseluruhan hartawan Malaysia dianggarkan berjumlah AS$46.133 bilion.

Untuk mendapatkan gambaran sepenuhnya pemilikan kekayaan dalam kalangan umat Islam di negara ini, sebarang analisis hendaklah berdasarkan pendekatan dan mengambil kira perspektif semua kelas aset utama dimiliki umat Islam, sama ada dari segi kewangan atau bukan kewangan. Malangnya, cabaran terbesar yang kami hadapi bagi menyediakan kertas kerja ini ialah ketiadaan data sebenar yang relevan atau barangkali, ketidakwujudan mereka dalam domain awam. Berlatarbelakangkan perkara ini dan berdasarkan pengetahuan saya, perkembangan pemilikan kekayaan umat Islam di negara ini boleh dijelaskan dengan membuat rujukan munasabah menerusi hanya dua set penunjuk, iaitu ekuiti dan harta tanah bukan kediaman.

Memandangkan kedua-dua kategori data ini dipecahkan dari segi pemilikan Bumiputera dan bukan Bumiputera, saya terpaksa membuat andaian umum secara purata, pemilikan umat Islam mencakupi 90 peratus daripada keseluruhan pemilikan Bumiputera. Dengan demikian, pemilikan ekuiti dalam kalangan umat Islam di negara sebagai peratusan kepada pemilikan ekuiti negara melonjak kepada 17.4 peratus pada 2006 berbanding hanya 2.1 peratus pada 1970.

Begitu juga, pemilikan harta tanah bukan kediaman oleh umat Islam di Malaysia sebagai peratusan kepada jumlah keseluruhan meningkat hampir sekali ganda kepada 13.5 peratus pada tahun 2007 daripada hanya 7.4 peratus pada tahun 2002. Lebih daripada 60 peratus bangunan dimiliki umat Islam adalah bangunan setingkat dan dua tingkat.

Ketiadaan data mengenai pemilikan harta lain seperti bon, unit amanah atau dana bersama, skim insurans, rumah dan tanah yang dipegang oleh umat Islam Malaysia akan memberikan gambaran tidak lengkap mengenai pemilikan kekayaan mereka.

Sememangnya, dengan ketiadaan data sebegini, agak sukar bagi kita membuktikan secara tepat sumbangan sistem kewangan khususnya industri perkhidmatan kewangan Islam (IFSI) terhadap proses pembentukan, pengumpulan, pemeliharaan, peredaran dan pengagihan kekayaan oleh umat Islam di negara ini.

Kemuliaan Islam sebagai agama yang sempurna dapat dibuktikan dengan wujudnya aplikasi Islam yang meluas dalam semua aspek kehidupan manusia yang saling berkait rapat dan saling bergantung, termasuk dalam bidang ekonomi.

Secara umum, umat Islam boleh menjalankan sebarang aktiviti ekonomi dan amalan komersial kecuali perkara diharamkan, iaitu perkara yang boleh membawa keburukan dari segi moral dan kebendaan kepada diri mereka atau masyarakat secara keseluruhan, antara lain termasuk peminjaman yang dikenakan riba, perjudian, alkohol, bahan berdasarkan khinzir, bahan yang mengkhayalkan seperti dadah, bahan lucah, amalan sorok untuk meningkatkan harga dan memanipulasi harga.

Pada dasarnya, sebagai satu jalan tengah antara kapitalisme dan sosialisme, prinsip umum dan peraturan yang wujud dalam ekonomi Islam berusaha untuk mencapai imbangan yang adil antara usaha swasta (individualisme) dengan keutamaan sosial (kolektivisme) atau antara kecekapan ekonomi dengan keadilan sosial tanpa menghalang usaha individu.

Perbezaan ciri ekonomi Islam yang lain ialah kepentingan normatif dan insentif kerohanian dalam tindak-tanduk ekonomi sebagai satu daripada motif di sebalik sebarang aktiviti ekonomi. Ekonomi Islam juga mengiktiraf perbezaan dari segi keupayaan individu yang boleh bertindak sebagai penghalang semula jadi kepada mereka untuk mendapatkan akses terhadap pembentukan kekayaan dalam masyarakat. Melaksanakan ajaran sistem ekonomi Islam yang sebenar sepatutnya memberikan sumbangan yang bermakna ke arah pengukuhan pemilikan kekayaan dalam kalangan umat Islam.

Sistem ekonomi Islam adalah unik jika ditinjau dari aspek sifatnya yang memiliki mekanisme pengagihan atau peruntukan dan jaringan keselamatan sosial yang membabitkan pemindahan pendapatan dan kekayaan daripada penduduk yang secara relatifnya kaya kepada penduduk miskin dan yang memerlukan di samping faraid atau undang-undang pewarisan yang memastikan kekayaan tersebar dalam kalangan waris yang layak atau waris dekat dari generasi ke generasi bagi mengelakkan pemilikan tertumpu pada seseorang individu.

Kertas kerja ini dibentangkan pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di PWTC pada 13 Januari 2009.

Friday, September 26, 2008

Zakat fitrah amalan bersih diri, santapan fakir

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir


ZAKAT fitrah diwajibkan kepada semua umat Islam yang memenuhi syarat.


Rukun Islam keempat wajib ditunai sebelum solat Aidilfitri, didik ummah tak terlalu sayang harta

SEBELUM Ramadan yang mulia dan penuh ganjaran pahala ini meninggalkan kita, satu tanggungjawab yang patut dilaksanakan ialah membayar zakat fitrah. Setiap umat Islam wajib membayarnya mulai sekarang dan waktu afdal ialah selepas sembahyang Subuh akhir Ramadan.

Selewat-lewatnya sebelum menunaikan sunat Aidilfitri di masjid. Membayar zakat fitrah itu dianggap makruh dan haram sesiapa membayarnya selepas terbenam matahari pada Aidilfitri.

Daripada Umar katanya: "Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada Ramadan kepada semua orang Islam, lelaki, perempuan, orang yang merdeka atau hamba, satu sha' kurma atau gandum." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tujuan membayar zakat fitrah adalah menyucikan diri yang berpuasa daripada kata dan perbuatan keji. Kehidupan ini sentiasa terdedah dengan perbuatan atau perkara yang boleh mendatangkan dosa, apatah lagi jika kita berniaga.

Kita mungkin tidak sedar sumber kewangan dalam perniagaan diperoleh daripada jalan tidak bersih dan haram seperti terjual barang haram, tersalah kira, menjual barang kurang bermutu atau luput tarikh. Pendapatan daripada sumber itu dianggap tidak bersih dan haram.

Apabila mengeluarkan zakat, bererti kita mengeluarkan harta daripada sumber pendapatan yang tidak bersih itu. Yang tinggal adalah harta yang bersih dan halal seperti firman Allah bermaksud: "Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka." (Surah at-Taubah, ayat 103)

Islam menggariskan lapan perkara bagi orang yang layak atau boleh menerima zakat fitrah iaitu fakir, miskin, mualaf, riqab (budak yang akan memerdekakan diri), orang yang banyak hutang, berjuang di jalan Allah, ibnu sabil dan amil. Sementara orang yang tidak layak dan tidak boleh menerima zakat ialah lima kelompok iaitu kafir, orang yang ada pekerjaan dan harta, dalam tanggungan orang lain, hamba dan keturunan Hashim serta Abdul Mutalib.

Sama ada zakat fitrah atau harta, harus diingat mengeluar atau membayar zakat adalah perintah Allah. Ia antara lima Rukun Islam dan diwajibkan pada tahun kedua hijrah. Firman Allah yang bermaksud: "Dirikanlah sembahyang dan bayarkan zakat hartamu." (Surah an-Nisa', ayat 77)

Dalam sebuah buku dicatat bahawa Ikramah, berkata harta yang daripadanya tidak ditunaikan hak Allah akan menjadi ular yang tidak berambut di kepala pada Hari Kiamat dan mengejar pemiliknya. Dia (pemilik harta itu) akan meminta perlindungan daripadanya.

Diceritakan juga Hajar Ibnu Baian menukilkan sabda Baginda SAW bahawa jika seorang daripada saudara-mara meminta pertolongan daripada harta yang lebih daripada keperluannya dan dia tidak sanggup menolong, maka pada hari hisab harta itu menjadi ular dan membelit jasadnya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan orang yang menyimpan emas dan perak tidak menafkahkan di jalan Allah, maka beritahulah kepada mereka (bahawa mereka akan) mendapat seksa yang pedih." (Surah at-Taubah, ayat 34)

Harta yang dikeluarkan zakat darinya mendapat lebih keberkatan dan si pemilik harta berkenaan mendapat pahala dan hidupnya diberkati Allah. Tentu saja mereka yang ingkar membayar zakat menerima hukuman Allah seperti dinyatakan dalam firman di atas.

Mengeluarkan zakat tanda kita bersyukur kepada Allah atas nikmat-Nya. Sesungguhnya nikmat Allah yang dikecapi kini dan lalu tidak ternilai harganya dan tidak terbalas. Justeru, tidak ada sebab mengapa kita berat hati mengeluarkan zakat yang diwajibkan.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, nafkahkanlah sebahagian daripada rezeki yang sudah Kami berikan kepada kamu." (Surah al-Baqarah: 254)

Daripada Ibnu Abbas katanya: "Rasulullah SAW menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan sia-sia dan perkataan buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum solat hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain." (Hadis riwayat Abu Daud)

Friday, September 19, 2008

Menilai semula kaedah perakaunan zakat

Oleh Dr Zahri Hamat

Harta diperoleh daripada sumber baru patut dinilai dari segi jumlah dan tempoh

KETIKA mengutuskan Muaz bin Jabal ke Yaman, Rasulullah SAW berpesan kepada beliau yang bermaksud: "Ajaklah mereka bersyahadah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya aku adalah utusan Allah, jika mereka mentaatinya maka hendaklah engkau memberitahu mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. Maka jika mereka mentaatinya, hendaklah engkau memberitahu mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka zakat yang diambil daripada orang kaya dan dikembalikan kepada orang miskin dalam kalangan mereka." – (Hadis riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis, rumusan yang boleh dibuat ialah zakat adalah rukun Islam ketiga selepas syahadah dan solat. Kaedah pelaksanaan zakat dengan mengambil kekayaan daripada golongan kaya dan diberikan kepada golongan miskin dan zakat itu sebenarnya mengembalikan hak golongan miskin daripada kekayaan golongan kaya.

Zakat diwajibkan ke atas setiap kekayaan yang dimiliki orang Islam. Dengan kata lain, sesiapa saja yang termasuk dalam golongan kaya, mereka perlu membayar zakat.

Persoalannya, apakah bentuk kekayaan yang diwajibkan zakat? Adakah zakat diwajibkan ke atas hanya kekayaan sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah. Bagaimanakah pula dengan pelbagai kekayaan yang ada pada zaman ini?

Hal ini memerlukan satu penilaian semula terhadap kaedah perakaunan zakat yang sedang diamalkan kerana ada pelbagai kekayaan yang sedang dan akan dimiliki oleh orang Islam.

Kekayaan yang diwajibkan zakat disebut Allah dalam dua bentuk. Pertama ialah bentuk umum dan kedua, bentuk khusus. Bentuk umum, al-Quran hanya menyebut perkataan sebahagian harta seperti firman Allah yang bermaksud: "Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka dengannya kamu membersihkan dan menyucikan mereka." – (Surah al-Taubah, ayat 103)

Dalam ayat lain, al-Quran menyebut harta. Contohnya, firman Allah yang bermaksud: "Dan pada harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian." – (Surah al-Zariyat, ayat 19)

Zakat dalam bentuk khusus pula, al-Quran menyebut kekayaan seperti emas dan perak. Firman Allah yang bermaksud: "Dan orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah maka beritahulah kepada mereka (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih." – (Surah al-Taubah, ayat 34)

Zakat dalam bentuk pendapatan pula antaranya ialah seperti pendapatan daripada pertanian. Firman Allah yang bermaksud: "Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) apabila ia berbuah dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya." – (Surah An'am, ayat 141)

Pendapatan daripada perniagaan dan hasil galian adalah seperti firman Allah yang bermaksud: "Hai orang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu." – (Surah al-Baqarah, ayat 267)

Kekayaan yang diwajibkan zakat disebut oleh Rasulullah SAW juga dalam dua bentuk iaitu umumnya Rasulullah SAW hanya menyebut perkataan harta seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Tunaikan zakat harta kamu." – (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Zakat dalam bentuk khusus, Rasulullah SAW menyebut kekayaan diwajibkan zakat iaitu emas dan perak, barang perniagaan, hasil pertanian seperti gandum, barli dan anggur, ternakan seperti kambing, lembu dan unta dan hasil galian.

Malah Rasulullah SAW menyebut kaedah perakaunan zakat ke atas kekayaan. Bagi zakat emas dan perak, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "…tidak diwajibkan atas kamu sesuatu pun pada emas sehingga ada bagi kamu dua puluh dinar; jika engkau ada dua puluh dinar, dan ia pula genap setahun lamanya dalam simpanan kamu, maka zakatnya ialah setengah dinar." – (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Untuk zakat perniagaan pula, dilaporkan perintah Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rasulullah SAW memerintah kami supaya mengeluarkan zakat ke atas barang yang disediakan untuk dijual." – (Hadis riwayat Abu Dawud)

Kadar zakat ke atas hasil pertanian pula sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tanaman yang disiram dengan air hujan atau air mata atau tumbuh sendiri zakatnya satu persepuluh dan tanaman yang disiram dengan alat siraman zakatnya satu perdua puluh." – (Hadis riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW itu, kekayaan yang diwajibkan zakat boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu yang pertama ialah pendapatan yang peroleh. Kedua ialah kekayaan yang dimiliki.

Justeru, setiap orang Islam yang memperoleh pendapatan, maka mereka diwajibkan zakat. Begitu juga jika mereka memiliki kekayaan, mereka akan diwajibkan zakat.

Bagaimana pula kekayaan yang wujud dalam pelbagai bentuk pada masa sekarang seperti mereka yang mempunyai beberapa buah rumah kediaman yang tidak didiami atau yang didiami sekali sekala. Begitu juga dengan pemilikan bilangan kenderaan yang melampaui keperluan. Mengikut amalan sekarang, rumah dan kenderaan adalah harta tetap. Harta tetap tidak dikenakan zakat.

Mereka mempunyai beberapa buah rumah dan kenderaan itu sebenarnya terdiri daripada golongan kaya. Golongan kaya diwajibkan zakat ke atas kekayaan yang dimilikinya. Jika rumah dan kenderaan itu disewakan, maka zakat pendapatan sewaan akan diwajibkan.

Namun jika kaedah perakaunan zakat dilaksanakan berasaskan sama ada mengikut kategori pendapatan ataupun kategori kekayaan, maka harta tetap yang tidak digunakan atau didiami akan dikenakan zakat.

Dengan kata lain, hanya sebuah rumah yang dikecualikan daripada zakat, manakala rumah lain adalah diwajibkan zakat. Begitu juga dengan kekayaan lain seperti tanah terbiar yang tidak diusahakan, ia tidak terkecuali daripada zakat.

Hal ini sebenarnya tidak konsisten dengan aplikasi kaedah perakaunan zakat perhiasan wanita yang sedang diamalkan. Semua perhiasan wanita yang dipakai dikecualikan zakat jika tidak melebihi daripada uruf (kadar biasa dipakai sebagai perhiasan mengikut taraf dan kedudukan masyarakat).

Jika ia melebihi daripada kadar biasa mengikut pandangan masyarakat dan keadaan setempat, maka ia dikenakan zakat ke atas yang lebih daripada uruf.

Justeru, kaedah sama sepatutnya dipakai dalam menilai semula pendapatan dan kekayaan yang diwajibkan zakat kerana ini dengan sendirinya akan mempamerkan betapa peranan dana zakat akan sentiasa relevan. Ia tidak terbatas dengan sesuatu tempoh waktu dan sesuatu tempat.

Ini mempamerkan betapa kelestarian fiqh dalam Islam sentiasa berlaku. Hal ini akan lebih terserlah apabila adanya pendapatan baru yang diperoleh atau kekayaan baru ditemui.

Penulis ialah pensyarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia

Monday, August 18, 2008

Mendalami ilmu faraid elak pertikaian pembahagian harta

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

ISLAM sebagai agama yang syumul menggariskan pelbagai pilihan kepada umatnya untuk meninggalkan harta kepada ahli waris atau individu yang disayangi. Antara instrumen yang ditawarkan ialah hibah, wasiat dan wakaf.

Menerusi cara dibenarkan itu, perancangan harta dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna bagi memastikan semua ahli waris dapat menikmati kehidupan lebih selesa kemudian hari yang menepati saranan Rasulullah SAW supaya meninggalkan waris dalam keadaan hidup senang, bukan meminta-minta.

Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu mengenai ilmu pengurusan harta atau lebih dikenali sebagai ilmu faraid menyebabkan timbul banyak masalah apabila berlaku kematian dan ahli waris bertelagah ketika mereka mahu mendapatkan harta peninggalan.

Konvensyen Faraid dan Hibah Kebangsaan 2008 anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Amanah Raya Berhad (ARB) cuba mengangkat ilmu faraid sebagai ilmu yang perlu diberi perhatian semua pihak.

Tujuannya, menggalakkan umat Islam mengguna pakai ilmu faraid yang menetapkan pembahagian harta pusaka bagi golongan yang berhak berlandaskan al-Quran dan sunnah kerana tidak keterlaluan jika dikatakan tidak ramai yang faham mengenai ilmu faraid.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam ucapan perasmian konvensyen itu berkata perkembangan masa kini menjadikan urusan pengurusan harta semakin mencabar.

Justeru katanya, semua pihak yang terbabit dalam mengurus harta atau memutuskan kes berkaitan umat Islam perlu bersedia daripada aspek kefahaman, rujukan serta keupayaan berijtihad untuk menghadapi kes berkaitan pengurusan harta.

“Masyarakat juga hendaklah dididik mendekati dan berjinak-jinak dengan ilmu pengurusan harta seperti faraid dan hibah supaya pentadbiran harta berjalan lancar mengikut panduan ditetapkan al-Quran dan sunnah.

“Kegagalan dan kelemahan dalam merancang, mengurus serta mentadbir harta boleh mengakibatkan pelbagai kesulitan di kalangan waris. Selain itu, boleh menyebabkan keretakan hubungan silaturahim sesama ahli waris.” katanya.

Ilmu faraid ialah kaedah fiqh dan matematik yang dapat mengetahui orang yang berhak terhadap harta pusaka dan bahagian untuk setiap ahli berhak dengan kadar wajib mereka terima. Peranan ilmu ini juga untuk mengenal pasti sama ada seseorang itu ahli waris atau bukan.

Walaupun sudah jelas peruntukan pembahagian harta mengikut ilmu faraid dalam al-Quran, masih berlaku kes harta tidak dibahagikan mengikut peraturan di tetapkan dan berlaku juga pihak yang tidak berhak turut mendapat harta.

Pensyarah Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Mohd Ridzuan Awang berkata, bagi memastikan kesyumulan hukum faraid umat Islam perlu mematuhi hukum dan syarat, tanggungan harta dan penentuan ahli waris.

Katanya, kuasa terletak kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan semua itu sebelum sijil faraid dikeluarkan bagi membolehkan pentadbir harta menguruskan proses pembahagian berdasarkan ketetapan dalam sijil faraid.

“Harta hanya boleh diberi selepas mahkamah menentukan siapa waris yang benar-benar berhak, menentukan harta sepencarian serta kadarnya, membuat pengesahan mengenai wasiat, hibah dan wakaf selain mengeluarkan perintah mengikut Kanun Tanah Negara.

“Apabila semua itu sudah diputuskan, barulah Mahkamah Syariah mengeluarkan sijil faraid yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah. Berdasarkan sijil faraid inilah pembahagian harta dilakukan kepada waris,” katanya.

Beliau berkata, masalah yang sering dihadapi ketika proses pengeluaran sijil faraid ialah maklumat disertakan tidak mencukupi, senarai harta yang dikemukakan tidak lengkap dan tidak ada keseragaman antara negeri dalam mengeluarkan sijil faraid.

Malah, dalam sesetengah kes, ada ahli waris yang disembunyikan sementara sebahagiannya pula tidak hadir ketika perbicaraan. Lebih menyulitkan apabila tidak ada persefahaman ketika membuat permohonan kerana ahli waris berbalah sesama mereka.

Oleh itu, katanya umat Islam perlu mengetahui cara membuat permohonan sijil faraid yang betul bagi memastikan urusan pembahagian harta yang berkesan serta menjaga kebajikan ahli waris yang berhak terhadap harta itu.

Pensyarah Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zamro Muda berkata, hibah adalah satu kaedah perancangan harta bertujuan membela nasib kaum kerabat terdekat dengan syarat ia berlandaskan hukum syarak.

Katanya, elemen penting dalam pemberian hibah adalah penerimaan barang hibah atau al-Qabd oleh penerima hibah daripada pemberi hibah yang bermaksud penerima mendapat sesuatu, menguasai dan boleh melakukan sesuatu ke atas barang berkenaan.

Bagaimanapun katanya, masalah berkaitan hibah ialah apabila pemberian itu hanya diketahui oleh pemberi dan penerima hibah, sedangkan waris lain tidak dimaklumkan. Ia menyebabkan berlaku pertelingkahan terutama jika ada waris tidak bersetuju.

Sebab itu katanya, disarankan supaya hibah dibuat secara bertulis dalam bentuk dokumen yang boleh ditunjukkan kepada pihak yang tidak mengetahui wujudnya hibah itu. Ia bagi mengelakkan berlakunya perpecahan antara waris.

“Sebaiknya apabila ada ijab dan kabul bagi barang yang dihibah, hendaklah ditukar nama sebagai bukti jika timbul pertikaian kelak. Begitu juga dengan harta, hendaklah dipindah milik kepada penerima hibah,” katanya.

Zamro berkata, hibah mempunyai kebaikan kerana harta yang dihibahkan terkeluar daripada harta pusaka dan tidak boleh dituntut oleh waris. Hibah juga membolehkan pewarisan harta dibuat dengan lebih mudah dan cepat.

Namun, katanya, hibah mengikut syarat sewajarnya masih tidak popular di kalangan umat Islam selain tiada undang-undang khusus mengenainya diwujudkan setakat ini. Justeru, penerangan mengenai produk hibah perlu dilakukan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak, Wan Abd Halim Wan Harun berkata, sehingga kini belum ada statut khusus berkaitan harta pusaka orang Islam di Malaysia dan proses pembahagian ialah mengikut hukum faraid.

Katanya, pihak berkaitan pusaka orang Islam hanya merujuk kepada kitab faraid di samping menghadiri kursus asas dan pembelajaran secara tidak formal selain berpandukan pengalaman dalam jawatan membolehkan mereka memahami hukum faraid lebih mendalam.

“Itu baru hukum faraid, belum lagi masalah yang mungkin dihadapi apabila membabitkan hukum hibah, tuntutan harta sepencarian, wasiat atau pemilikan tanah pusaka yang mempunyai bidang kuasa berasingan.

“Keadaan ini boleh menyebabkan proses pembahagian harta pusaka satu proses membebankan serta mengelirukan kerana terpaksa berurusan dengan banyak pihak,” katanya.

Justeru katanya, undang-undang berkaitan hukum harta pusaka umat Islam perlu dipermudahkan dengan mencadangkan penubuhan Mahkamah Pusaka sebagai satu institusi yang berkemampuan menyelesaikan semua masalah membabitkan pengurusan harta pusaka.

Saturday, August 16, 2008

Muslim cintakan harta lebih bahaya daripada serigala buas

Oleh Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad

DUNIA ini penuh dengan fitnah dan ujian. Ia berlaku dalam pelbagai bentuk dan di mana saja. Harta adalah fitnah paling besar kerana tiada siapa boleh terlepas daripadanya. Perkara itu ditegaskan Allah dalam al-Quran

Firman Allah bermaksud: "Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anakmu itu hanya sebagai cubaan (fitnah) dan sesungguhnya pada sisi Allahlah pahala yang besar." (Surah al-Anfal, ayat 28)

Manusia ini jika tiada harta dianggap miskin, jika ada harta dianggap kaya, sedangkan kedua-dua keadaan itu adalah ujian dan cubaan Allah. Orang tiada harta ada dua keadaan, iaitu ada yang reda dan ada yang tamak. Yang pertama itu dipuji dan kedua dicela.

Orang yang ada harta pula ada dua keadaan iaitu ada yang bakhil, kikir kedekut dan ada pula suka berbelanja. Yang satu dicela dan yang satu lagi dipuji. Orang suka berbelanja pula ada dua keadaan, iaitu yang membazir dan ada berjimat cermat. Dipuji ialah yang berjimat.

Firman Allah bermaksud: "Hai orang beriman, janganlah hartamu dan anakmu melalaikan kamu daripada mengingat Allah. Barang siapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Munafiqun, ayat 9)

Dalam konteks bahayanya harta ini terhadap seorang Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah serigala yang buas itu jika dilepaskan di kandang kambing lebih berbahaya daripada seorang cintakan pangkat, harta dan kemegahan pada keadaan agama seorang Muslim." (Hadis riwayat al-Tirmizi dan al-Nasa'i)

Maksudnya, daripada perspektif agama, seorang Muslim yang cintakan harta dan pangkat kedudukan itu lebih berbahaya daripada serigala yang berada di kandang kambing. Demikian perbandingan digambarkan Nabi Muhammad SAW bagaimana harta mempunyai pengaruh besar kepada manusia.

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: "Sebaik-baik harta ialah harta yang berada pada orang yang baik (salih)." (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Tabarani)

Monday, January 14, 2008

Balasan syurga bagi orang menahan marah, nafkahkan harta

Oleh Ahmad Redzuwan Mohd Yunus

SETIAP muslim bercita-cita untuk masuk syurga. Beruntunglah bagi mereka yang dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT. Mereka adalah orang yang taat kepada Allah SWT dan sentiasa berusaha menjauhkan diri daripada perkara dilarang-Nya.

Allah SWT menjelaskan mengenai sifat mereka yang akan masuk syurga, yang pertama ialah mereka suka menafkahkan harta pada jalan Allah SWT sama ada di waktu senang mahupun susah.

Firman Allah yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit.” (Surah ali-Imran, ayat 134)

Sifat kedua yang ada pada ahli syurga, mereka adalah orang yang kuat menahan sifat marahnya dan suka pula memaafkan orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menahan amarahnya serta memaafkan (kesalahan) orang.” (Surah ali-Imran, ayat 134)

Rasulullah SAW pernah menjelaskan bahawa orang yang kuat dalam pandangan syarak ialah mereka yang berjaya mengawal perasaannya ketika marah untuk mengelak daripada bencana lebih buruk.

Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Islam mengajar umatnya bagaimana mengendalikan diri dalam keadaan marah supaya sifat marahnya itu tidak berlarutan.

Daripada Abu Dzar, ia berkata: Sesungguhnya Rasulullah berpesan kepada kami dengan sabdanya yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Selain itu, mereka yang sedang marah juga boleh memadamkan kemarahannya dengan berwuduk. Hal itu dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Mereka yang berjaya menahan amarahnya supaya tidak merebak akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT di dalam syurga kelak, di mana mereka boleh memilih mana-mana bidadari yang mereka sukakan.

Daripada Sahl bin Muaz bin Anas, daripada ayahnya, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang sesiapa menahan amarahnya pada hal ia mampu untuk menumpahkannya, maka Allah SWT akan memanggilnya di hadapan para pemimpin makhluk, lalu Allah SWT memberinya kebebasan untuk memilih bidadari mana yang ia sukai.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Di samping mampu menahan sifat marah, sifat ahli syurga juga ialah mereka suka memaafkan orang yang melakukan kesalahan terhadap diri mereka, sehingga tidak ada sedikitpun niat dalam diri mereka untuk membalas dendam kepada seseorang.

Rasulullah SAW menjelaskan daripada Ubay bin Kaab, di mana baginda bersabda yang bermaksud: “Barang sesiapa yang ingin dimuliakan tempat tinggalnya dan ditinggikan darjatnya, maka hendaklah ia memberi maaf kepada orang yang telah menzaliminya, memberi kepada orang yang tidak mahu memberi kepadanya dan menyambung silaturahim kepada orang yang memutuskannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Sifat ketiga yang ada pada ahli syurga ialah mereka suka memohon ampun terhadap kesalahan mereka. Firman Allah yang bermaksud: “Dan juga orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri mereka ingat Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapa lagi dapat mengampuni dosa selain daripada Allah.” (Surah ali Imran, ayat 135).

Bagi mereka yang memohon keampunan kepada Allah SWT, Allah SWT akan mengampunkannya. Daripada Abu Said, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Iblis berkata: Wahai Tuhanku, demi kemuliaan-Mu, aku akan terus menggoda anak cucu Adam selama roh mereka masih berada di tubuh mereka. Allah pun menjawab: Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku tetap akan memberi ampunan kepada mereka selama mereka memohon ampunan kepada-Ku.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Rasulullah SAW juga mengingatkan mereka yang selalu memberi ampunan kepada seseorang akan mudah mendapat keampunan daripada Allah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berikanlah kasih sayang, nescaya kalian akan dikasihi dan berilah keampunan, nescaya kalian akan diberikan keampunan. Celakalah bagi orang-orang yang mendengar perkataan, tetapi tidak mengamalkan dan celaka pula bagi orang-orang yang terus menerus berbuat dosa yang mereka kerjakan, sedang mereka mengetahui (larangan berbuat dosa itu).” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Saturday, January 5, 2008

Harta lebih berkat melalui amalan zakat

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

HARTA yang sering menjadi rebutan setiap manusia dianggap sebagai lambang kesenangan dalam kehidupan seseorang hingga hari kiamat. Atas persepsi itulah maka orang akan sanggup bekerja siang dan malam hanya untuk mendapatkan harta.

Bahkan ada segelintir umat Islam sendiri yang sanggup menghalalkan cara atau mengetepikan hukum ketetapan Allah SWT demi memperoleh harta. Lanjutan itu, maka timbullah pelbagai gejala tidak sihat seperti rasuah, penipuan, ragut, riba, perjudian, pelacuran dan lain-lain.

Padahal, harta benda sebenarnya tidak lebih sekadar perhiasan kehidupan dunia saja. Al-Quran menegaskan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Harta benda dan anak pinak itu perhiasan penghidupan dunia, tetapi amal kebajikan itu lebih baik ganjarannya di sisi Tuhan.” (Surah al-Kahfi, ayat 46)

Oleh kerana lupa kepada Allah SWT (yang memberi harta), maka mereka mencari, memburu, mengusahakan dan mengumpul harta sebanyak-banyaknya seolah-olah hidup di dunia ini tidak berakhir dan dapat hidup bersama harta yang dimilikinya

Sikap sebegini sebenarnya mengundang kutukan Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Kecelakaanlah bagi tiap-tiap orang yang pengumpat, menghina, yang mengumpulkan harta dan menghitungnya, disangkanya hartanya itu mengekalkannya.” (Surah al-Humazah, ayat 1-3)

Sesungguhnya Islam tidak pernah sama sekali menghalang seseorang itu mencari harta. Malah, itu adalah keperluan yang dituntut oleh sesiapapun demi kehidupan yang sewajarnya. Cari dan burulah seberapa banyak harta, namun perlu diingat bahawa penentu segala kejayaan dan kekayaan bukan kerana kepandaian seseorang atau kerajinan dan ketekunan bekerja tetapi Allah SWT.

Bila ada keyakinan yang mantap, sudah tentu hati akan senantiasa ingat kepada Allah yang Maha Pemberi Kurnia dan kehidupan di akhirat nanti. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan carilah apa yang diberikan Allah kepada kamu di negeri akhirat, dan janganlah kamu lupa bahagian kamu daripada (kenikmatan) dunia, dan berbuatlah baik sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu.” (Surah al-Qashas, ayat 77)

Sebagai seorang Muslim, hendaklah sentiasa berhati-hati dalam mencari harta kekayaan dan apabila sudah diperoleh, maka harta itu hendaklah diurus sebaiknya supaya tidak mendapat kemurkaan Allah SWT.

Hal menguruskan harta benda ini, Mohammad Ali Al-Hamidi dalam bukunya Jalan Hidup Muslim mengklasifikasikan manusia kepada empat golongan iaitu kikir atau kedekut dengan hartanya, boros mengguna hartanya, sombong dengan hartanya dan cermat, hemat serta teratur dalam mengurus hartanya.

Islam hanya membenarkan manusia berada dalam golongan keempat saja. Lantaran golongan itu saja yang menyedari dan mengakui bahawa harta benda dimiliki sebenarnya adalah kurniaan Allah SWT.

Oleh itu, sebagai seorang Muslim yang sedar hakikat itu seharusnya melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT dengan melipatgandakan ketaatan kepada-Nya dan memperguna harta di jalan yang diredai Allah SWT.

Al-Quran juga menyatakan bahawa harta yang dimiliki hendaklah dikeluarkan sebahagiannya untuk keperluan orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Nafkahkanlah sebahagian rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datangnya hari di mana tidak ada lagi jual beli, tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat. Dan orang kafir itulah, golongan orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah, ayat 254)

Menafkahkan harta bermakna kita membersihkan harta daripada kepunyaan orang lain dan mengikis sifat bakhil, kedekut, mementingkan diri sendiri dan sombong. Rasulullah SAW menerangkan melalui sabda baginda yang bermaksud: “Siapa yang mengeluarkan zakat dan menjamu tamu dan menunaikan amanat, maka ia telah terpelihara dari kebakhilan dirinya.”

Masih ada segelintir umat Islam yang enggan mengeluarkan dan menghulurkan sebahagian hartanya kepada orang lain atau pihak yang memerlukan. Pada anggapan mereka, apabila harta diberikan kepada orang lain, hartanya akan susut, terkikis dan habis.

Anggapan itu salah sama sekali. Yakinlah, bahawa apabila harta dikeluarkan di jalan Allah SWT dengan penuh keikhlasan, Allah akan melipatgandakan lagi hartanya. Demikianlah janji Allah SWT yang tidak boleh diragui.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah, adalah seperti satu biji (benih) yang menumbuhkan tujuh tangkai, di tiap-tiap satu tangkai ada seratus biji, dan Allah akan menggandakan kepada siapa yang Ia kehendaki; dan Allah itu Luas (pemberian-Nya), amat Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berkurang harta kerana sedekah dan tiada seseorang yang memaafkan suatu aniaya kezaliman melainkan Allah menambah kemuliaannya.”

Bagi orang yang percaya dengan janji Allah SWT, sudah tentu berlumba-lumba untuk membuat kebajikan dengan harta dimilikinya dengan cara bersedekah, mengeluarkan zakat, membantu kaum fakir miskin atau anak yatim serta dalam hal memberi manfaat yang tidak bertentangan syariat Islam.

Namun perlu diingat, dalam memberi atau bersedekah, mestilah sesuatu yang baik dan yang kita sayangi. Kalau memberi sesuatu kepada orang lain yang sudah tidak dapat dipakai atau dimakan, maka kesannya sangat buruk.

Si penerima tentunya merungut dan tidak senang hati. Dengan itu juga kemungkinan besar hubungan antara kedua belah pihak menjadi semakin renggang dan terputus. Lantaran itu, Allah mengarahkan supaya bersedekah sesuatu yang elok dan si penerima merasa gembira.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu pilih yang tidak baik buat kamu dermakan dia pada hal kamu tidak akan menerima dia melainkan dengan memejam mata padanya, dan ketahuilah bahawa Allah itu Kaya, Terpuji.” (Surah al-Baqarah, ayat 267)

Di samping itu, dalam menggunakan harta untuk kepentingan peribadi atau keluarga, Islam melarang keras seseorang itu bersifat membazir atau boros. Sifat demikian tidak menunjukkan rasa syukur kepada Allah, mensia-siakan harta tanpa memberi faedah sedikitpun serta terkeluar daripada akhlak seorang Muslim.

Orang yang suka membazirkan hartanya, bermakna sudah mengikut kehendak hawa nafsu serta termakan bisikan syaitan. Akibatnya, mendapat kemurkaan Allah seperti mana firman-Nya yang bermaksud: “Makanlah yang baik-baik daripada apa yang telah Kami berikan rezeki kepadamu, dan janganlah melampaui batas. Sebab hal yang demikian menyebabkan murka-Ku kepadamu. Barang siapa yang mendapat murka-Ku, nescaya dia menjadi binasa.” (Surah Toha, ayat 81)

Orang yang beriman dan mempunyai harta seharusnya bijak mengguna dan menyalurkannya dalam rangka beribadat, memburu pahala dan keredaan Allah SWT. Janganlah kita menjadi orang yang dimurkai kerana mendapatkan harta dan menyalurkannya pada tempat yang tidak diredai Allah SWT.