Showing posts with label Tarbiah. Show all posts
Showing posts with label Tarbiah. Show all posts

Thursday, December 31, 2009

Suami kena berazam jadi ketua keluarga terbaik

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Kepemimpinan, teladan seorang ayah tarbiah paling berkesan bentuk peribadi anak

MASIH tidak terlambat untuk berazam sempena awal Muharam yang baru melewati beberapa hari dan 2010 esok hari. Syukur ke hadrat Ilahi kerana memanjangkan usia di tahun baru bersama semangat dan keyakinan bahawa tiada yang boleh berubah melainkan jika kita berani memulakannya.

Masa berlalu pantas seperti tiada apa yang sempat kita rebut walaupun di awalnya kita berazam dengan pelbagai janji untuk diri sendiri. Sedar tak sedar, setahun masa berlalu dan kita masih tidak mengenal diri.

Mujur kita masih diberi waktu untuk memperbanyakkan amal dan bakti. Bala dan musibah masih belum cukup memberi peringatan kerana kita membutakan mata dan tulikan telinga daripada mengambil pengajaran.

Hakikatnya, jika tidak berani untuk berubah, tiada siapa yang boleh berhijrah. Sikap lalai dan cuai banyak memberi kerugian daripada laba yang diingini ramai. Pemimpin yang lalai daripada tanggungjawab boleh menggadaikan tanah air ke tangan asing dan menumbangkan struktur organisasi dibina dengan tonggak dan nilai murni.

Sebaliknya, kuasa dan wang ringgit menjadi taruhan sehingga sanggup meminggirkan agama dan bangsa. Pemimpin yang leka juga boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan yang utuh dengan persefahaman dan tolak ansur, menghilangkan rasa hormat daripada yang dipimpin.

Sifat memimpin tidak akan terbina tanpa ilmu dan akhlak, menyeru kebaikan dan mengingkari kejahatan adalah semata-mata kerana janji kepada Allah sebagai khalifah yang akan meneruskan kesinambungan 'khaira ummah'.

Tetapi sekiranya pemimpin itu sendiri melakukan kerosakan di muka bumi, sudah tentulah sukar untuk membina sebuah kehidupan yang baik dan harmoni kerana maksiat dan kejahatan kepada Yang Esa hanya menjanjikan kecelakaan ke seluruh alam.

Justeru, yang paling penting, pemimpin keluarga mengetuai satu unit masyarakat kecil perlu berani berubah seiring hijrah. Latihan kepemimpinan bermula dengan mengatur keperluan ahli keluarga dan menunaikan hak serta tanggungjawab boleh membantu ketua menjadi pemimpin yang diteladani.

Jangan malu dengan perkahwinan, biarlah dicela kerana tidak seperti pinang dibelah dua, asalkan agama dijunjung di kepala. Pernikahan bermula dengan dua insan saling menghormati dan mempercayai sehingga lahirnya cahaya mata menyinari segenap ceruk rumah tangga dengan cinta dan kasih sayang.

Tarbiah mereka dengan ilmu dan akhlak dipesan Rasulullah SAW serta sahabat supaya kelak mereka menjadi ibu bapa yang menyambung legasi kekasih Allah dan mendidik generasi baru seperti yang pernah mereka lalui.

Allah berfirman yang bermaksud: "Hai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu." (Surah At Tahrim, ayat 6)

Jangan sesekali lalai dengan masa kerana itu merugikan ramai orang sehingga mereka terlambat. Di saat anak sudah mesra dengan maksiat, pemimpin keluarga baru hendak beringat, tetapi semuanya sudah terlambat.

Laporan remaja berzina di awal usia belasan tahun amat mengejutkan, mana mungkin itu terjadi jika pemimpin tidak cuai menjalankan tugas. Janin tidak berdosa di buang merata-rata adalah petanda ada sesuatu tidak kena dalam kepimpinan keluarga hari ini.

Pergaulan bebas bukan berlaku di kota tetapi juga di desa kecil yang warganya saling mengenali dan boleh berpesan sesama sendiri. Setiap pemimpin keluarga yang berada di bawah sinar telunjuk agama tidak akan mengabaikan tanggungjawab terhadap ahli keluarga walau sedetik pun.

Seorang penyair, Hithan bin Mu'alla berkata: "Sesungguhnya anak berada di sekitar kita. Mereka adalah jantung hati kita yang berjalan di atas bumi. Apabila angin menerpa mereka, nescaya mata kita tak mampu untuk terpejam."

Sempena tahun baru, setiap pemimpin keluarga harus menanam tekad dan hasrat membina 'rakyat' dalam rumah tangganya dengan akidah, akhlak dan muamalah diseru agama. Di saat pertama bergelar pemimpin keluarga, mulakan hidup baru bertunjangkan Islam.

Biar tidak berilmu atau sijil berjela, kesediaan bergelar suami dan menghulur mahar adalah petanda segala-galanya lengkap di dada. Untuk memimpin, membimbing dan meneraju sebuah rumah tangga adalah beratus kali payahnya daripada mengetuai diri sendiri.

Oleh itu, janganlah memandang enteng terhadap hidup berkeluarga jika tidak mampu menjadi suami yang paling baik terhadap isteri dan ayah paling dihormati oleh anak.

Saturday, May 30, 2009

Celik al-Quran jadi syarat penting tarbiah anak

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

AL-QURAN mempunyai pelbagai hikmah, pengajaran, sejarah, kisah perjuangan anbia dan perkhabaran ghaib yang pasti menjanjikan kesejahteraan, kebahagiaan, kesejahteraan hidup insan dunia dan akhirat.

Membaca al-Quran dengan penuh penghayatan berbeza membacanya tanpa matlamat. Menghayati kandungan al-Quran memberi kelebihan apatah lagi jika dapat difahami suruhan serta tegahan terkandung dalamnya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya sudah datang kepada kamu cahaya daripada Allah dan kitab yang menerangkannya. Dengan kitab itulah Allah memimpin orang yang mengikuti keredaan-Nya.” (Surah al-Maidah, ayat 15-16)

Sebagai pemimpin kepada anak yang sedang dewasa, ibu bapa wajar membimbing mereka menjadi generasi celik al-Quran selaras usaha kerajaan melalui program Program Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) yang diajar di sekolah rendah.

Matlamat program j-QAF ialah melatih anak dan remaja membaca al-Quran dengan sempurna, menulis semula ayat yang sudah dibaca, memberi kefahaman mengenai isi kandungan al-Quran, melatih menghafaz ayat al-Quran serta mendalami al-Quran dalam kehidupan seharian.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya kami memudahkan al-Quran untuk diingati, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?” (Surah al-Qamar, ayat 17)

Namun, apa yang perlu diberi perhatian ialah ibu bapa perlu terlebih dulu celik al-Quran dan turut melengkapkan diri mempelajari serta mendalami al-Quran supaya dapat mendidik anak dengan kaedah yang betul.

Kita sedih melihat generasi Islam sekarang lebih mudah dan gemar menghafaz lirik lagu termasuk dalam bahasa asing walaupun mereka tidak memahami apa yang dihafalkan, sedangkan ayat al-Quran tidak meluncur lancar di bibir mereka.

Inilah pentingnya didikan awal kerana asas yang tertanam dalam diri anak tunjangnya bermula daripada didikan, teladan dan amalan yang dapat mereka lihat di sekeliling.

Barangkali kerana kealpaan terhadap al-Quran, ramai anak muda yang dibelenggu masalah diri, keluarga atau rakan lebih senang mengambil tindakan bertentangan ajaran agama konon untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi.

Ada terbabit dengan arak, dadah, pil khayal, lari dari rumah, ponteng dan pelbagai kegiatan jenayah lain sebagai cara membebaskan diri daripada masalah serta tekanan.

Padahal pada saat begini mereka boleh kembali mencari diri, ketenangan dan kekuatan dengan membaca al-Quran atau sekurang-kurangnya mendengar alunan bacaan ayat suci itu.

Firman Allah bermaksud: “Dan kami turunkan kepadamu kitab untuk menjelaskan sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang yang berserah diri kepada Allah.” (Surah al-Nahl, ayat 89)

Membaca al-Quran adalah ibadat. Allah memberi ganjaran pahala jika usaha memartabatkan isi kandungannya dapat diamalkan bersama.

Antara kaedah mudah boleh dimulakan ibu bapa mendekatkan diri dengan al-Quran ialah:

# Mengkhususkan masa antara Maghrib dan Isyak untuk bersama keluarga bertadarus al-Quran. Selain dapat membetulkan bacaan antara satu sama lain, ia juga merapatkan hubungan kekeluargaan.

# Seandainya ibu bapa tidak mahir membaca al-Quran, dapatkan guru yang mampu membantu ahli keluarga membaca ayat suci itu dengan betul dan tepat.

# Semarakkan kehidupan berkeluarga dengan bercerita kisah nabi daripada al-Quran. Setiap ahli keluarga boleh bergilir bercerita.

# Jika bermusafir, biasakan mendengar rakaman bacaan ayat suci al-Quran atau alunan zikir.

# Tidurlah dengan alunan bacaan ayat al-Quran. Biasakan menidurkan anak dengan lafaz ayat al-Quran.

Apabila bibir sentiasa dibasahi bacaan al-Quran, ia menjadi sebati dalam jiwa seseorang. Ia akan mengalir bersama darah, menjalar ke seluruh urat saraf dan kesannya akan terpamer melalui ketrampilan diri, peribadi dan perwatakan. Inilah individu generasi al-Quran.

Wednesday, October 1, 2008

Bersama YaPEIM: Syawal kesinambungan tarbiah jiwa sepanjang Ramadan

Oleh Penulis Khas YaPEIM


Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan sumbangan Aidilfitri YaPEIM kepada 400 anak yatim sempena Majlis Berbuka Puasa YaPEIM di Bagan Datoh, baru-baru ini.


Umat Islam disaran sambut hari raya dengan kesyukuran tanpa dicemari perkara bercanggah

SAHABAT Rasulullah SAW, Anas pernah menceritakan bagaimana Rasulullah SAW mendapati penduduk Madinah bergembira dalam dua hari. Lantas Baginda SAW bertanya kepada mereka mengenai dua hari itu.

Mereka menjawab bahawa mereka menyambut perayaan dan bergembira pada hari itu mengikut amalan jahiliah. Baginda SAW menyatakan bahawa Allah sudah menggantikan dua hari itu dengan hari yang lebih baik iaitu Hari Raya Korban dan Hari Raya Fitrah.

Perkataan hari raya disebut juga dengan ‘ayd’ yang merujuk kepada suatu keadaan di mana seseorang itu kembali mengecapi suasana kegembiraan setiap tahun dan memastikan bahawa ia sentiasa mengulang-ulang kegembiraan tersebut. Jadi apabila digandingkan kalimah `ayd al-fitrah ia memberi maksud kembali kepada fitrah yang suci.

Dengan kata lain, seseorang itu menyatakan kegembiraannya mengecapi sesuatu yang fitrah, suci dalam dirinya. Ia adalah kesinambungan daripada proses pentarbiahan dan penyucian jiwa sepanjang bulan Ramadan dengan melakukan segala ketaatan kepada Allah.

Kedatangan hari raya menjadikan umat Islam dapat bergembira atas taufik Allah yang dikurniakan kepadanya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang mereka rayakan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya dengan membawa bersama puasanya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah)

Ia menunjukkan apabila mereka berbuka puasa setiap hari, mereka akan bergembira. Begitu juga apabila selesai menyempurnakan fardu puasa selama sebulan pada Ramadan dan menyambut hari raya, mereka bergembira buat kali kedua.

Kegembiraan yang disambut itu bagaimanapun adalah kegembiraan bersumberkan taufik Ilahi kepada mereka yang menjunjung titah perintah Allah sepanjang Ramadan. Nikmat ketaatan itu terzahir pada peluang dan ruang dikurniakan Allah kepada mereka untuk mengerjakan ibadah puasa dan menunaikan solat sunat pada waktu malam Ramadan yang mulia.

Justeru, kemunculan hari raya adalah untuk menyempurnakan kegembiraan yang baru saja selesai mengerjakan ibadah puasa pada Ramadan. Maka tidak hairanlah pada hari lebaran, orang mukmin akan bergembira dengan taufik Allah.

Ini bertepatan firman Allah yang bermaksud: “Katakan dengan kelebihan dan nikmat Allah, dengan itu maka bergembiralah kamu. Ia adalah lebih baik dari apa harta yang kamu kumpulkan.” (Surah Yunus, ayat 58)

Walau bagaimanapun, umat Islam tidak boleh bergembira secara solo atau bersendirian pada hari yang mulia sebaliknya, kegembiraan itu perlu dikongsi dengan orang lain terutama yang bertaraf miskin dan fakir.

Justeru, Islam mensyariatkan zakat fitrah yang wajib bagi setiap individu Muslim, anak dan isteri yang termasuk di dalam tanggungannya walaupun dia juga dikategorikan sebagai miskin. Islam mengkehendaki setiap Muslim membiasakan diri untuk menafkahkan hartanya sama ada ketika susah atau senang dan membiasakan diri menjadi penyumbang. Walaupun dia sendiri fakir, tetapi tetap menjadi penyumbang.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Zakat diberikan orang kaya akan digunakan Allah untuk membersihkan dirinya dari dosa. Manakala zakat orang miskin akan dikembalikan kepadanya oleh Allah dengan jumlah yang lebih banyak dari apa yang diberikannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam Abu Daud)

Pada hari raya, setiap individu Muslim yang berjaya menyempurnakan perintah Allah pada Ramadan layak bergembira. Kegembiraan dan kesyukuran yang dirayakan itu, bagaimanapun, tidak boleh disambut dengan melakukan perkara bercanggah ajaran Islam.

Sambutan hari raya dalam Islam tidak perlu dimeriahkan dengan program berlandaskan tuntutan hawa nafsu. Hari raya perlu dimulakan dengan takbir dan solat sunat hari raya. Ia menunjukkan hari raya mempunyai hubungan rapat dengan makna dan tuntutan ibadah dalam Islam.

Pada hari raya itu mempunyai makna rabbani, hubungan dengan Allah. Bukanlah ertinya hari raya yang sebenar jika ada beranggapan boleh melakukan apa saja tanpa mengira batasan agama. Pada hari raya juga tidak bermakna seseorang Muslim memutuskan hubungan dengan Allah.

Kita perlu membetulkan suatu kefahaman bahawa tamatnya bulan Ramadan, maka tamatlah hubungan mereka dengan masjid, solat berjemaah, solat sunat dan membaca al-Quran.

Barangkali inilah yang dikatakan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi ketika menyindir kelakuan sesetengah umat Islam yang beranggapan sedemikian dengan katanya: “Sesiapa yang menyembah Ramadan, maka Ramadan telah pergi. Tetapi sesiapa yang menyembah Allah maka Dia sentiasa hidup tanpa mati.”

Justeru, tidak hairanlah kita melihat fenomena di tanah air apabila berada pada awal Ramadan, masjid dan surau penuh sesak dengan jemaah yang datang beribadah, tetapi apabila Ramadan mula melabuhkan tirainya, makin susut pengunjung masjid.

Jika kita menginsafi bahawa Ramadan adalah bulan terbaik untuk mentarbiah diri dan hati dengan makna keimanan, ketakwaan dan mencari kelebihan yang ada di sisi Allah, kita tidak akan dapati seseorang itu boleh memutuskan hubungannya dengan Allah walaupun Ramadan berlalu pergi.

Dia percaya bahawa latihan yang diterima pada Ramadan menjadikan dirinya terus membuat hubungan dengan Allah selepas Ramadan. Dia tidak akan memutuskan hubungan mesranya dengan Penciptanya.

Barangkali ada benarnya kata-kata salafussoleh bahawa seburuk-buruk kaum ialah kaum yang hanya kenal Allah pada Ramadan saja. Kita hendaklah menjadi rabbani sepanjang masa dan waktu, bukan menjadi orang yang melakukan ketaatan hanya pada Ramadan.

YaPEIM mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin kepada semua muslimin dan muslimat, marilah kita menyambut hari raya dengan penuh kesyukuran dan keinsafan, mudah-mudahan Allah menambah lagi nikmat kepada kita, keluarga, masyarakat dan negara tercinta.

INTI PATI

Kemunculan hari raya adalah untuk menyempurnakan kegembiraan yang baru saja selesai mengerjakan ibadah puasa pada Ramadan dan orang mukmin akan bergembira dengan taufik Allah.

Umat Islam tidak boleh bergembira secara solo atau bersendirian pada hari yang mulia sebaliknya, kegembiraan itu perlu dikongsi dengan orang lain terutama yang bertaraf miskin dan fakir.

Islam mensyariatkan zakat fitrah yang wajib bagi setiap individu Muslim.

Islam mengkehendaki setiap Muslim membiasakan diri untuk menafkahkan hartanya sama ada ketika susah atau senang dan membiasakan diri menjadi penyumbang.

Sambutan hari raya dalam Islam tidak perlu dimeriahkan dengan program berlandaskan tuntutan hawa nafsu sebaliknya perlu dimulakan dengan takbir dan solat sunat hari raya.

Latihan yang diterima pada Ramadan menjadikan diri Mukmin terus membuat hubungan dengan Allah selepas Ramadan.

Tuesday, September 30, 2008

Syawal kesinambungan tarbiah jiwa sepanjang Ramadan

Oleh Penulis Khas YaPEIM

SAHABAT Rasulullah SAW, Anas pernah menceritakan bagaimana Rasulullah SAW mendapati penduduk Madinah bergembira dalam dua hari. Lantas Baginda SAW bertanya kepada mereka mengenai dua hari itu.

Mereka menjawab bahawa mereka menyambut perayaan dan bergembira pada hari itu mengikut amalan jahiliah. Baginda SAW menyatakan bahawa Allah sudah menggantikan dua hari itu dengan hari yang lebih baik iaitu Hari Raya Korban dan Hari Raya Fitrah.

Perkataan hari raya disebut juga dengan ‘ayd’ yang merujuk kepada suatu keadaan di mana seseorang itu kembali mengecapi suasana kegembiraan setiap tahun dan memastikan bahawa ia sentiasa mengulang-ulang kegembiraan tersebut. Jadi apabila digandingkan kalimah `ayd al-fitrah ia memberi maksud kembali kepada fitrah yang suci.

Dengan kata lain, seseorang itu menyatakan kegembiraannya mengecapi sesuatu yang fitrah, suci dalam dirinya. Ia adalah kesinambungan daripada proses pentarbiahan dan penyucian jiwa sepanjang bulan Ramadan dengan melakukan segala ketaatan kepada Allah.

Kedatangan hari raya menjadikan umat Islam dapat bergembira atas taufik Allah yang dikurniakan kepadanya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang mereka rayakan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya dengan membawa bersama puasanya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah)

Ia menunjukkan apabila mereka berbuka puasa setiap hari, mereka akan bergembira. Begitu juga apabila selesai menyempurnakan fardu puasa selama sebulan pada Ramadan dan menyambut hari raya, mereka bergembira buat kali kedua.

Kegembiraan yang disambut itu bagaimanapun adalah kegembiraan bersumberkan taufik Ilahi kepada mereka yang menjunjung titah perintah Allah sepanjang Ramadan. Nikmat ketaatan itu terzahir pada peluang dan ruang dikurniakan Allah kepada mereka untuk mengerjakan ibadah puasa dan menunaikan solat sunat pada waktu malam Ramadan yang mulia.

Justeru, kemunculan hari raya adalah untuk menyempurnakan kegembiraan yang baru saja selesai mengerjakan ibadah puasa pada Ramadan. Maka tidak hairanlah pada hari lebaran, orang mukmin akan bergembira dengan taufik Allah.

Ini bertepatan firman Allah yang bermaksud: “Katakan dengan kelebihan dan nikmat Allah, dengan itu maka bergembiralah kamu. Ia adalah lebih baik dari apa harta yang kamu kumpulkan.” (Surah Yunus, ayat 58)

Walau bagaimanapun, umat Islam tidak boleh bergembira secara solo atau bersendirian pada hari yang mulia sebaliknya, kegembiraan itu perlu dikongsi dengan orang lain terutama yang bertaraf miskin dan fakir.

Justeru, Islam mensyariatkan zakat fitrah yang wajib bagi setiap individu Muslim, anak dan isteri yang termasuk di dalam tanggungannya walaupun dia juga dikategorikan sebagai miskin. Islam mengkehendaki setiap Muslim membiasakan diri untuk menafkahkan hartanya sama ada ketika susah atau senang dan membiasakan diri menjadi penyumbang. Walaupun dia sendiri fakir, tetapi tetap menjadi penyumbang.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Zakat diberikan orang kaya akan digunakan Allah untuk membersihkan dirinya dari dosa. Manakala zakat orang miskin akan dikembalikan kepadanya oleh Allah dengan jumlah yang lebih banyak dari apa yang diberikannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam Abu Daud)

Pada hari raya, setiap individu Muslim yang berjaya menyempurnakan perintah Allah pada Ramadan layak bergembira. Kegembiraan dan kesyukuran yang dirayakan itu, bagaimanapun, tidak boleh disambut dengan melakukan perkara bercanggah ajaran Islam.

Sambutan hari raya dalam Islam tidak perlu dimeriahkan dengan program berlandaskan tuntutan hawa nafsu. Hari raya perlu dimulakan dengan takbir dan solat sunat hari raya. Ia menunjukkan hari raya mempunyai hubungan rapat dengan makna dan tuntutan ibadah dalam Islam.

Pada hari raya itu mempunyai makna rabbani, hubungan dengan Allah. Bukanlah ertinya hari raya yang sebenar jika ada beranggapan boleh melakukan apa saja tanpa mengira batasan agama. Pada hari raya juga tidak bermakna seseorang Muslim memutuskan hubungan dengan Allah.

Kita perlu membetulkan suatu kefahaman bahawa tamatnya bulan Ramadan, maka tamatlah hubungan mereka dengan masjid, solat berjemaah, solat sunat dan membaca al-Quran.

Barangkali inilah yang dikatakan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi ketika menyindir kelakuan sesetengah umat Islam yang beranggapan sedemikian dengan katanya: “Sesiapa yang menyembah Ramadan, maka Ramadan telah pergi. Tetapi sesiapa yang menyembah Allah maka Dia sentiasa hidup tanpa mati.”

Justeru, tidak hairanlah kita melihat fenomena di tanah air apabila berada pada awal Ramadan, masjid dan surau penuh sesak dengan jemaah yang datang beribadah, tetapi apabila Ramadan mula melabuhkan tirainya, makin susut pengunjung masjid.

Jika kita menginsafi bahawa Ramadan adalah bulan terbaik untuk mentarbiah diri dan hati dengan makna keimanan, ketakwaan dan mencari kelebihan yang ada di sisi Allah, kita tidak akan dapati seseorang itu boleh memutuskan hubungannya dengan Allah walaupun Ramadan berlalu pergi.

Dia percaya bahawa latihan yang diterima pada Ramadan menjadikan dirinya terus membuat hubungan dengan Allah selepas Ramadan. Dia tidak akan memutuskan hubungan mesranya dengan Penciptanya.

Barangkali ada benarnya kata-kata salafussoleh bahawa seburuk-buruk kaum ialah kaum yang hanya kenal Allah pada Ramadan saja. Kita hendaklah menjadi rabbani sepanjang masa dan waktu, bukan menjadi orang yang melakukan ketaatan hanya pada Ramadan.

YaPEIM mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin kepada semua muslimin dan muslimat, marilah kita menyambut hari raya dengan penuh kesyukuran dan keinsafan, mudah-mudahan Allah menambah lagi nikmat kepada kita, keluarga, masyarakat dan negara tercinta.

Saturday, August 30, 2008

Puasa tarbiah jiwa taat, ikhlas lakukan ibadat

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

Ramadan bulan istimewa apabila setiap amalan dijanjikan ganjaran berlipat ganda

KEDATANGAN Ramadan memang ditunggu umat Islam dengan perasaan gembira. Namun, ada juga sebilangan kecil umat Islam yang berasa tidak selesa, gelisah dan ceria dengan kedatangan Ramadan kerana terpaksa menjalani ibadat puasa.

Bagi golongan kedua ini mereka berasakan satu beban berat kepada mereka dengan kehadiran Ramadan. Apa pun, suka atau tidak, Ramadan daripada perkiraan Islam cukup istimewa dan penuh dengan limpahan ganjaran pahala daripada Allah.

Kira-kira dua hari lagi Ramadan akan menjelma dan umat Islam diwajibkan berpuasa. Adalah berdosa bagi sesiapa yang sudah akil baligh, sama ada lelaki atau perempuan, jika tidak menunaikan ibadat puasa.

Andainya ada yang tidak berpuasa pada bulan itu sedangkan ia sudah akil baligh, maka ia hendaklah qada' (menggantikan) puasa yang ditinggalkannya pada Ramadan sebelum ini.

Ibadat puasa Ramadan dan puasa sunat pada bulan lain bertujuan melatih diri supaya menjadi orang yang murqarrabin (orang yang dekat dengan Allah). Puasa juga boleh menginsafkan diri bahawa kita ini adalah hamba Allah yang lemah di sisi-Nya.

Bagi orang berpuasa pada Ramadan dengan hati tulus ikhlas dan mengharapkan keampunan Allah, akan diampuni Allah dosanya yang lalu.

Berpuasa itu juga adalah sebagai tanda kita syukur dan terima kasih kepada Allah yang tidak putus memberi rezeki-Nya serta nikmat (kesihatan, keselamatan, ketenangan dan banyak lagi) yang tidak terhingga kepada kita selama ini.

Sesungguhnya Ramadan mempunyai kelebihan dan keistimewaannya jika dibandingkan dengan bulan lain dalam kalendar Islam.

Firman Allah yang bermaksud: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk perbezaan di antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan maka hendaklah ia berpuasa." - (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Siapa berpuasa bulan Ramadan dengan penuh keimanan, mengharap balasan daripada Allah, diampunkan baginya dosa yang telah lalu." - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain berpuasa melatih diri supaya bersifat sabar ketika berdepan dengan ujian, berpuasa juga menurut beberapa penyelidik ahli ilmu perubatan boleh menghindarkan penyakit dalam tubuh manusia. Demikian antara hikmah bagi orang yang berpuasa.

Menyentuh ibadat puasa ini, menurut Imam Al-Ghazali ada tiga tingkat puasa iaitu puasa umum, puasa istimewa dan puasa paling istimewa.

Puasa umum, ujar Imam al-Ghazali, ialah menghindarkan perut daripada makan, minum dan menahan anggota seks daripada memuaskan nafsu. Puasa istimewa pula ialah puasa yang dapat menghindar dan mengawasi pancaindera iaitu mata, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada melakukan sebarang dosa.

Puasa paling istimewa, menurut Imam al-Ghazali, iaitu puasa yang ditambah lagi dengan puasa hati daripada semua keinginan yang rendah dan fikiran keduniaan. Inilah puasa yang paling tinggi darjatnya dan puasa semacam inilah yang dikehendaki Allah.

Beruntung orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa dalam erti kata sebenar-benarnya seperti puasa paling istimewa yang disebut Iman al-Ghazali.

Walau apa pun, ada dua kesenangan bagi orang yang mengerjakan puasa seperti diterangkan hadis Rasulullah SAW, iaitu kesenangan di kala berbuka dan kesenangan di kala bertemu dengan Allah di padang Mahsyar.

Oleh kerana Ramadan adalah bulan mulia, maka umat Islam diingatkan supaya sentiasa menjaga kemuliaannya dengan tidak melakukan perbuatan atau pun tingkah-laku yang boleh mencemarkan kemuliaan bulan itu.

Mencemarkan kemuliaan Ramadan bukan saja dengan melakukan makan minum di tempat terdedah kepada mata orang ramai di waktu siang, bahkan tidak bersolat, bercakap bohong serta mengumpat dan mengata orang juga boleh dikira mencemarkan bulan Ramadan. Sewajarnya sifat negatif itu tidak dilakukan dalam bulan Ramadan dan bulan lain juga.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah mengeluarkan perkataan yang kotor dan jangan bertengkar. Jika kamu dicaci orang atau pun diajak berlawan, maka katakanlah sesungguhnya aku berpuasa." - (Hadis riwayat Bukhari dan Musim)

Puasa Ramadan adalah perintah Allah. Orang yang berjaya menyempurnakan perintah Allah ini dan sekali gus berjaya melawan ujian serta godaan hawa nafsu dihadapkan kepadanya, maka sesungguhnya mereka adalah orang yang beroleh kemenangan besar.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling takwa." - (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Pada Ramadan, selain turunnya al-Quran, ada satu malam di antara malamnya yang Allah pilih sebagai satu malam tinggi nilainya iaitu malam lailatul qadar. Malam inilah yang dicari dan dirindui setiap umat Islam kerana ganjarannya adalah syurga bagi mereka yang berjaya memperoleh malam itu sewaktu mengerjakan amal ibadat.

Wednesday, August 6, 2008

Tarbiah remaja di masjid perlu lebih efektif

Oleh Ruzain Syukur Mansor

REMAJA dan tarbiah tidak dapat dipisahkan dan kerana itulah proses pembangunan jati diri serta usaha menjadikan mereka pemimpin masa hadapan harus dijadikan keutamaan aktivis remaja serta pendakwah.

Justeru, program latihan dan tarbiah remaja di masjid perlu digerakkan dengan lebih aktif dan efektif.

Masjid turut boleh berfungsi sebagai institusi sosial dan medan tarbiah kepada masyarakat terutama golongan remaja.

Pengalaman aktivis remaja Kelab Remaja Jamaah Islah Malaysia (JIM) Petaling Jaya yang bergerak aktif mengendalikan program motivasi dan latihan di sekitar daerah ini banyak memberikan pendedahan kepada masyarakat pentingnya menjadikan masjid sebagai medan penyubur minda dan iman remaja. Remaja sepatutnya disediakan ruang dan peluang untuk memupuk jatidiri sebelum mereka mencari aktiviti yang dirasakan boleh memupuk identiti diri. Jangan hanya mencemuh remaja tetapi tidak menyediakan peluang untuk mereka terbabit aktiviti sihat.

Bentuk program latihan remaja yang boleh dilaksanakan di masjid termasuk program motivasi dan jatidiri, kem ibadah, pemantapan solat, program pengurusan diri , kewangan, teknologi maklumat (ICT), latihan pembinaan sahsiah juga sukan antara masjid seperti kejohanan futsal daerah.

Prasyarat merealisasikan masjid sebagai pusat pembangunan remaja ialah mewujudkan suasana yang mesra remaja seperti mewujudkan ruang yang lebih terbuka untuk menganjurkan program turut membabitkan pengurusan masjid.

Kesediaan dan keterbukaan ini seharusnya disambut dengan memperkasakan jawatankuasa belia dan remaja sebagai sebuah jawatankuasa yang mampu merencana dan mencadangkan idea untuk pembangunan remaja.

Ketiadaan kepakaran mengurus aktiviti remaja di masjid bukanlah alasan untuk meminggirkan aspek pembangunan remaja kerana banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudi bekerjasama dengan pengurusan masjid membangunkan program memperkasa remaja.

Aspek kemudahan asas seperti kawasan aktiviti dan rekreasi boleh membantu keperluan program latihan remaja di masjid. Dewan serba guna yang boleh dijadikan lokasi aktiviti, manakala pusat sumber sebagai pusat perkembangan ilmu.

Bagi memantapkan institusi ini, aspek pengurusan latihan kepada penggerak remaja juga tidak harus dipandang ringan. Sebaliknya mereka perlu didedahkan dengan ilmu untuk berdakwah supaya dapat menarik rakan sebaya.

Firman Allah yang bermaksud: "Hanya yang memakmurkan masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang diharapkan termasuk golongan orang mendapat petunjuk." – (Surah at-Taubah, ayat 18)

Monday, March 10, 2008

Gembleng potensi remaja menerusi tarbiah Islamiah

Oleh Nor Asmahan Abdul Kadir ialah Panel Penulis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

REMAJA perlu disedarkan mengenai kekuatan diwarisi dan pernah dijana Rasulullah SAW dalam mereka meniti usia rebung yang cukup berharga ini. Sebelum kedatangan Islam, remaja dianggap pewaris kepada keturunan yang mesti mengikut setiap langkah ibu bapa dan nenek moyang mereka tanpa soal.

Remaja tidak dibenarkan bersuara dalam apa-apa urusan apalagi cuba membantah keputusan yang sudah dibuat ketua dalam keluarga atau kaum mereka.

Remaja dalam masyarakat bangsawan Quraisy hanya mengenal kemewahan dan hidup berfoya-foya tanpa kesedaran untuk berfikir dan memikul tugas negara. Namun, apabila tiba waktunya mereka akan diserahkan tugas mentadbir.

Bayangkan jika tanpa pengamalan mereka mentadbir kaum mengikut dorongan nafsu, bukan akal yang sihat. Tiadalah pembaharuan atau pengembangan potensi tamadun yang dibina. Akibatnya, sesuatu tamadun akan terhenti pada pertengahan jalan.

Pendirian Nabi Muhammad SAW berbeza kerana Baginda memandang usia remaja sebagai usia paling berharga untuk merancang dan membentuk masa depan ummah. Sebagai pemimpin agung, Baginda memulakan segala contoh teladan daripada diri Baginda sendiri.

Sebelum dilantik sebagai pesuruh Allah, Nabi Muhammad SAW sudah menunjukkan potensi sebagai pemimpin masa depan. Keadaan hidup yang penuh dengan tekanan lantaran kehilangan bapa ketika masih dalam kandungan dan kehilangan ibu tempat bermanja menyebabkan Baginda terdidik dengan jiwa berdikari.

Biarpun berada di bawah jagaan seorang datuk yang amat menyayangi baginda, ia bukanlah suatu alasan untuk anak kecil bernama Muhammad menghirup kemewahan semahunya.

Nabi Muhammad SAW mempunyai pendirian yang teguh terhadap berhala yang menjadi sembahan kaumnya. Rasa tidak senang dengan sembahan itu mendorong Baginda sentiasa menjauhi aktiviti kaumnya yang bersangkut paut dengan berhala.

Lantaran itulah Baginda tidak mahu ke ‘sekolah’ tradisi masyarakat Quraisy kerana lokasinya di sisi Hubal, berhala utama terletak bersebelahan Hajarul Aswad. Di situlah tempat anak sebaya Baginda menuntut ilmu asas kaum mereka termasuk Hamzah bin Abdul Muttalib, bapa saudara seusia Baginda.

Baginda SAW memilih menjadi penggembala kambing pada usia seawal lapan tahun, yang dianggap tidak sesuai dengan kedudukan sebagai zuriat Bani Hasyim yang mulia. Namun, Baginda membuktikan ilmu kehidupan boleh diperoleh di mana juga.

Melalui kerja mengembala kambing, Baginda terdidik dengan ilmu amanah, tanggungjawab, menepati masa di samping ilmu hisab. Pekerjaan menjaga kambing berterusan hingga ke usia remaja bahkan Baginda bangga dengan pekerjaan itu sehingga pernah menyebut, “setiap nabi pernah menjadi penggembala kambing dan aku pernah menjadi penggembala kambing.”

Kematian Abdul Muttalib, menambah tekanan kepada Nabi Muhammad SAW. Walaupun Abu Talib menjaga Baginda, tetapi beliau bukan seorang yang berada untuk menanggung keluarga besar di samping tugas warisan memenuhi keperluan jemaah haji yang diwarisi secara tradisi sejak Hasyim bin Abdu Manaf.

Menarik untuk kita perhatikan antara aspek kehidupan Nabi Muhammad ketika usia remajanya. Baginda lebih rela membanting tulang empat kerat mencari sumber rezeki biarpun melalui kerja yang memberi upah kecil asalkan halal dan suci.

Sedangkan Baginda boleh saja bekerja dengan bapa saudara yang kaya raya seperti Abu Lahab dan Al-Abbas.

Keikhlasan dalam mencari rezeki akhirnya mendapat pembalasan yang baik daripada Allah apabila Baginda dilamar Khadijah binti Khuwailid untuk menjadi pengurus perniagaannya. Nabi Muhammad dengan ikhlas menerima tawaran pekerjaan itu memandangkan urus niaga dijalankan Khadijah ternyata tidak berasaskan aktiviti riba dan tidak menganiayai pihak yang berurusan dengannya.

Pada era Nabi Muhammad SAW, usaha menggembleng potensi remaja diteruskan dengan lebih teratur. Melalui tarbiah Islamiah yang menyeluruh, Baginda berjaya melahirkan remaja hebat dan terbilang seperti Mua’z bin Jabal, Musa’b bin Umayr, Zaid bin Harithah, Ali bin Abi Talib, Usamah bin Zaid, Abdullah bin Umar dan ramai lagi.

Kepada golongan remaja Muslim sekarang, renungkanlah di mana diri anda pada masa ini di sisi ummah. Adakah anda sudah membuat sesuatu yang dapat dimanfaatkan untuk diri anda dan ummah?.

Saturday, January 5, 2008

Guru cemerlang fokus tarbiah, membentuk insan berkualiti

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

PERSEKOLAHAN sesi 2008 sudah bermula. Semua murid dan guru kembali ke sekolah. Guru akan meneruskan tanggungjawab dan amanah sebagai pendidik dan murabbi di bumbung ilmu, manakala murid seharusnya sudah bersedia untuk menggali seberapa banyak ilmu yang mungkin.

Tugas guru bukan saja perlu pakar dalam profesion keguruan mengikut subjek pilihan, tetapi cemerlang sebagai pendidik dan pembimbing sesuai dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan guru bertaraf dunia dengan kegemilangan jati diri.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang buruk dan keji, serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benarnya)." (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Jelas, Islam mengharapkan guru dan pendidik supaya terus melaksanakan tanggungjawab besar yang dipikul untuk membimbing generasi hari ini menguasai pelbagai disiplin ilmu memenuhi keperluan cabaran masa depan.

Guru gemilang yang memberi pendidikan cemerlang akan sentiasa memandu pelajar meningkatkan pencapaian serta potensi mereka dengan memberi fokus kepada tarbiah, asuhan dan didikan untuk membentuk hati, jiwa, mental dan nurani dengan ciri insaniah untuk digelar insan berkualiti.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia." (Surah al-Rum, ayat 41)

Justeru, besarnya nilai dan makna pendidikan, maka peranan guru menjadi kian mencabar untuk melahirkan generasi insan cemerlang dalam ilmu keduniaan serta mantap dari aspek kerohanian sebagai bekalan akhirat.

Jasa dan pengorbanan guru begitu besar kerana tanpa bimbingan serta didikan mereka, negara tidak mungkin dilengkapi generasi bijak pandai yang kepakaran mereka memberi manfaat kepada kemajuan bangsa serta negara.

Pun begitu, tugas mendidik bukan hak mutlak guru kerana tanggungjawab mengajar walaupun satu ayat terbeban pada bahu semua umat Islam kerana kepentingan menuntut ilmu daripada amalan membaca sudah dijelaskan Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang menjadikan sekelian makhluk. Tuhan yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang maha pemurah. Tuhan yang mengajar manusia menulis dengan dengan kalam. Tuhan yang mengajar manusia apa yang manusia tidak mengetahuinya (Surah al-Alaq, ayat 1-5)

Berdasarkan mafhum itu, dapat difahami pendidikan bermula daripada proses penerokaan ilmu disertai asas agama yang kukuh. Salah satunya memulakan proses pencarian ilmu dengan menyebut nama Allah SWT untuk mendapatkan keredaan dan keberkatan-Nya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Menuntut ilmu itu adalah fardu kepada semua orang Islam." (Riwayat Bukhori dan Muslim).

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin kebahagiaan di dunia, maka perlulah berilmu. Sesiapa yang inginkan akhirat, maka perlulah dia berilmu. Dan sesiapa yang inginkan dunia dan akhirat, maka perlulah dia berilmu." (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW begitu menitikberatkan kepada setiap umatnya supaya meletakkan usaha untuk mencapai kebahagiaan diri masing-masing dengan mencari dan mempelajari pelbagai jenis ilmu serta kemahiran mengikut keperluan dan kecenderungan masing-masing.

Dalam konteks dunia pendidikan hari ini, pelbagai disiplin ilmu dipelajari oleh setiap individu perlu diselaraskan dengan pendidikan bestari sebagai persediaan melahirkan generasi umat berkualiti.

Sebagai guru pula, selain membimbing mereka juga perlu menjadi pelajar yang sentiasa dahaga ilmu baru dan berlumba -lumba mempertingkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang pendidikan supaya dapat memberi pembaharuan dalam bidang pengajaran.

Islam begitu menekankan proses pendidikan perlulah dilaksanakan sejak peringkat awal lagi. Ia kerana pada peringkat itu, pelajar masih mudah menerima didikan, asuhan dan kemahiran yang disampaikan. Di sinilah letaknya peranan besar ibu bapa dalam menentukan hala tuju masa depan anak mereka.

Mereka yang lambat bertindak dan tidak mampu mengikut arus kehidupan semasa, maka akan tertinggal dalam banyak lapangan hidup dan sudah pasti akan mendapat kerugian dalam kehidupan.

Anggota masyarakat sentiasa menyanjungi usaha dan khidmat mulia guru serta pendidik, tanpa mengira kemahiran atau bidang kerana melalui guru, kesinambungan pendidikan hari ini dapat terus dilaksanakan dengan sebaiknya.